Archives

Keindahan Pantun Dalam Buku ‘Kumpulan Pantun Melayu’ (1983)

Kumpulan Pantun Melayu

Pengenalan

Jarang sekali kita menemui sebuah buku yang mengumpulkan sebahagian besar pantun Melayu untuk tatapan umum. Buku Kumpulan Pantun Melayu adalah satu-satu buku yang memenuhi tujuan demikian.

Pengumpulan pantun-pantun ini mula dilakukan oleh Jamilah Ahmad dengan mengumpulkan pantun-pantun yang pernah diterbitkan. Usaha ini kemudian diambil alih oleh Zainal Abidin Bakar. Beliau turut menyertakan pantun-pantun lisan, terutama yang diperolehi dari Pahang (Temerloh, Pekan dan Kuantan) dan Negeri Sembilan (Kuala Pilah).

Sebanyak 46 sumber ditukil bagi mengisi kumpulan ini, iaitu buku-buku pantun, hikayat-hikayat, kumpulan-kumpulan perseorangan, majalah-majalah dan juga buku-buku kajian sastera Melayu lama.

Menikmati Pantun Kita

Dalam masyarakat Melayu lama, pengaruh pantun terhadap kehidupan seharian agak luas, terutama untuk menyerikan majlis-majlis peminangan dan perkahwinan. Ia juga dijadikan bahan bagi lagu-lagu dendangan rakyat seperti Dondang Sayang, Boria dan Dikir Barat. Pantun Melayu boleh juga dianggap sebagai satu dokumentasi perasaan dan fikiran masyarakat Melayu lama terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekitar mereka.

Dalam Kumpulan Pantun Melayu, penyelenggara memperkenalkan kita kepada genre pantun dalam sastera Melayu dan menghuraikan secara ringkas kedudukan pantun pantun dalam masyarakat.  Beliau kemudian menggolongkan sebanyak 2, 052 rangkap pantun mengikut sebelas tema yang ditetapkan.

Pantun terdiri daripada pembayang maksud dan maksud. Pembayang maksud ini sering dibina dari kata-kata yang indah yang menggambarkan keadaan alam: pohon-pohon, lautan, sungai, gunung-ganang, unggas, haiwan, pertukaran malam/siang dan sebagainya.

Maksudnya pula menyampiak hasrat si pemantun kepada pendengar. Pantun yang terpendek terdiri daripada dua baris serangkap, dan yang terpanjang pula ialah 16 baris serangkap.

Di sini saya turunkan beberapa rangkap pantun dari tema-tema yang ditetapkan dalam kumpulan tersebut.

1. Pantun Adat dan Resam Manusia

Kalau jagung kulitnya putih,
Tidak berbunga masa berbuah;
Di laut Temenggung di darat Perpatih,
Adat berpunca kitab Allah.
(hal. 47)

Dari Silaing ke Sijudah,
Japa memelit Tanjung Jati,
Buah Jerami bergantungan;
Baju bergunting kalau tak sudah,
Kata termulai kalau tak jadi,
Seksalah alam menanggungkan.
(hal. 57)

2. Pantun Agama dan Kepercayaan

Kemumu di dalam semak,
Jatuh melayang selaranya;
Meski ilmu setinggi tegak,
Tidak sembahyang apa gunanya.
(hal. 67)

Tiada boleh menetak jati
Papan di Jawa di belah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.
(hal. 70)

3. Pantun Budi

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi baik rasa nak junjung.
(hal. 78)

Dari Bintung ke Besiangkit,
Anak udang patah kepala;
Langit tergantung bumi tersenget,
Budi tuan ditimbang juga
(hal. 83)

4. Pantun Jenaka dan Permainan

Ngit-ngit tali gasing,
Budak lengit asyik memusing.
(hal. 89)

Anak lembu merah, tambat pokok asam,
Sudah kena marah, tarik muka masam.
(hal. 92)

Dari Kelang lalu ke Jawa;
Naik sigal ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai baca kitab.
(hal. 106)

5. Pantun Teka-Teki

Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan;
Cubalah cari wahai saudara,
Makin diisi makin ringan.
(hal. 122)

Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka;
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?
(hal. 124)

6. Pantun Kepahlawanan

Tebu bukannya bangkut,
Rama-rama terbang ke kuala;
Bukan kami kaki penakut,
Berani kami berkorban nyawa.
(hal. 127)

Sampan kotak mengapa dikayuh,
Hendak belayar ke tanah seberang;
Patah kepak bertongkatkan paruh,
Pantang menyerah di tengah gelanggang.
(hal. 131)

7. Pantun Nasihat dan Pendidikan

Tempurung mata tiga,
Orang malas rugi sahaja.
(hal. 135)

Subur tumbuhnya pohon kelapa,
Buahnya banyak bertali-tali;
Turutlah kata ibu dan bapa,
Takbur jangan sekali-kali.
(hal. 154)

8. Pantun Peribahasa dan Perbilangan

Hendak belayar di Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
(hal. 157)

Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut pecah batang;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut, salah datang.
(hal. 160)

9. Pantun Kias dan Ibarat

Apa dibuat menetak akar,
Akar ditetak layu bunganya;
Hujan lebat gunung terbakar,
Embun setitik padam baranya.
(hal. 180)

Penarik pisau raut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.
(hal. 200-201)

10. Pantun Kembara dan Perantauan

Cik Langsuir menikam pari,
Pari ditikam ombak senangin;
Bukan saya sengaja ke mari,
Dihantar ombak ditumpu angin.
(hal. 208)

Hinggap di daun si burung pantau,
Mati ditimpa ranting meranti;
Seratus tahun saya merantau,
Tuan tidak luput di hati.
(hal. 227)

11. Pantun Percintaan

Golongan ini terbahagi kepada empat bahagian kecil: pertemuan dan permulaan cinta, cinta yang berjaya, cinta yang gagal dan perpisahan.

Selasih nama kayu tubi,
Sama tinggi dengan kemunting;
Kasihkan tuan dalam sembunyi,
Sepantun duri dalam daging.
(hal. 251)

Sayang permata dibuat subang,
Akan kandang menanam padi;
Sedangkan warta lagi sekian,
Jika terpandang berapa lagi.
(hal. 256)

Selasih di tepi tubir,
Tanam bidara di tepi perigi;
Kasih Tuan di luar bibir,
Tidak mesra di dalam hati.
(hal. 308)

Jangan berpauh-pauh padi,
Ada biduk serampu pula;
Jangan berjauh-jauh hati;
Asal hidup bertemu juga.
(hal. 323)

Demikianlah beberapa petikan dari Kumpulan Pantun Melayu. Kita dapati sebahagian besar pantun-pantun pilihan adalah pantun tradisional, iaitu yang menggunakan kata-kata indah lagi puitis. Bagaimanapun, terdapat juga beberapa perulangan dalam pantun-pantun yang dikemukakan, walaupun pembayang maksudnya diubah.

Tema yang ditetapkan juga bersifat sewenang-wenang, kerana kadangkala sebuah pantun boleh digolongkan dalam beberapa jenis tema.

Penutup

Buku ini lebih merupakan suatu ‘pengenalan’terhadap pantun, dan untuk tujuan yang itu ia telah memenuhi matlamatnya. Menurut seorang sarjana, pantun Melayu boleh dibahagikan kepada tiga jenis: pantun-pantun gambaran, teguran dan anjuran. Berdasarkan penggolongan demikian, perlukisan terhadap apa yang dicita-citakan/ tidak diingini oleh masyarakat akan kelihatan lebih jelas.

Usaha selanjutnya terhadap pantun diharap tidak akan hanya tertumpu di bidang pengumpulan, tetapi juga mencakup bidang analisis. Ini, saya percaya, dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai masyarakat silam.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga diharap dapat mengumpulkan pula syair-syair Melayu yang terbilang untuk tatapan umum. Hingga saat ini, misalnya, kesemua syair karya penyair yang ulung, Hamzah Fansuri, belum dikumpulkan dalam bentuk buku.

Usaha begini bukanlah setakat memanfaatkan kita dari segi memperkenalkan kita kepada khazanah puisi lama, kerana bahan-bahan itu merupakan dokumentasi yang penting mengenai fikiran dan pandangan sesebuah masyarakat.

Ditulis: 26 Oktober 1983
Tajuk Yang Disiarkan Dalam Berita Minggu: ‘Bayangan Masyarakat Silam’
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 20 November 1983
Saya menggunakan nama pena ‘Shariza Rizal’ semasa menulis ulasan buku ini
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Ulasan Buku ‘Tapai’ – Keterbukaan Perlukan Bendungan (Ditulis: 2010)

Tapai

Pendahuluan

Baru-baru ini saya meminjam buku dari perpustakaan kejiranan saya. Tajuknya menarik: Tapai. Travels and Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian, tulisan Hishamuddin Rais, terbitan ZI Publications, Jun 2010. Saya fikirkan tentunya ia sebuah buku mengenai makanan dan pengembaraan seumpama beberapa rancangan masakan di kaca TV.

Penulisnya Hishamuddin Rais

Sesuatu yang menarik perhatian saya membaca buku ini, selain topiknya ialah penulisnya. Saya tidak pernah membaca atau menonton apa pun karya Hishamuddin Rais sebelum membaca buku Tapainya. Apa yang saya tahu, nama Hishamuddin Rais memang dikenali di kalangan beberapa mahasiswa semasa menuntut di Universiti Singapura pada tahun 1976. Beliau merupakan presiden persatuan mahasiswa Universiti Malaya yang melarikan diri pada 1974 kerana Peristiwa Baling dan lain-lain.

Selepas melarikan diri, tiada berita mengenainya atau kalau ada pun, saya tidak membacanya.  Yang saya tahu melalui pembacaan akhbar ialah kepulangannya ke Malaysia pada 1994. Beliau dikatakan ada membuat filem tapi saya tidak pernah menontonnya. Hishamuddin juga dikatakan menjadi kolumnis beberapa akhbar di Malaysia tetapi saya juga tidak pernah membaca tulisannya sehinggalah saya selesai membaca buku Tapai ini dan kemudian cuba mencari beberapa tulisannya di Internet. Ternyata apa yang saya terka setelah membaca bukunya tidak meleset malah diperkukuhkan lagi dengan membaca tulisan-tulisannya yang lain.

Buku ‘Tapai’

Buku Tapai ini bagaikan ‘pengembaraan’ Hishamuddin Rais ke beberapa daerah di Malaysia. Di dalamnya beliau memuatkan makanan-makanan enak yang terdapat di sesuatu tempat dan juga komentarnya mengenai beberapa isu misalnya majlis perkahwinan ‘Melayu Baharu’,  kedai makanan yang terperosok dan cerita pelanggan dan pengunjung daerah ‘hitam’ tersebut, penjual masakan itik dari Aceh di Kuala Lumpur  dan sebagainya.

Apa yang ditulis memang dapat menambah pengetahuan kita mengenai sesuatu hal dan kita terasa Hishamuddin agak terbuka menulis mengenai pelbagai perkara yang beliau anggap penting.  Tetapi yang memusykilkan kita ialah sikap berterus terangnya yang bagaikan tanpa bendungan dan nilai-nilai hidup yang menjadi tunjangannya.

Beliau mengaku dirinya sebagai ‘seorang bumiputera sambilan dan seorang manusia sepenuh masa’; kita dapat memahami pandangan begini terutama apabila ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakan makna ‘bumiputera’ di Malaysia. Tetapi dapatkah seseorang yang  mengaku dirinya Melayu, yang ada juga darah Orang Asli, terlalu berterus terang dan bertindak seperti beliau, dan bolehkah orang Melayu menerimanya?

Hishamuddin Rais tidak segan silu menyatakan beliau ada memelihara anjing, suka minum minuman keras, terutama yang percuma, pernah bersekedudukan dengan wanita  yang bukan isterinya, mengamalkan gaya hidup yang sukar diterima masyarakat, tiada larangan memakan makanan yang tidak disembelih secara Islam, malah menyebut memakan makanan yang ditaburi  emping (flakes) babi yang disebut ‘porcine’.

Pandangannya terhadap masyarakat Melayu dan Islam seolah-olah terhenti pada 1974. Setelah 20 tahun meninggalkan Malaysia dan masyarakat Melayu/Islam, nilai-nilai hidup yang beliau kemukakan, terasa amat janggal sekali. Benar, ada orang Melayu/Islam yang  minum minuman keras dan makan makanan yang tidak disembelih secara Islam dan sebagainya, mungkin kerana keadaan tertentu, tetapi jarang orang Melayu/Islam akan mengatakan ini sebenarkan ‘diboleh’kan. Dan sejahil-jahil orang Melayu/Islam, dia tidak makan babi.

Beliau merindui yang silam, ketika berHari Raya dengan bermain mercun dan sebagainya. Beliau menyentuh mengenai ‘Mandi Safar’ sedangkan kita tahu, dari segi sejarah, ‘Mandi Safar’ dianjurkan oleh Portugis di Melaka setelah menjajah Melaka pada 1511. Ia dijadikan perayaan untuk memperlekeh Nabi Muhammad s.a.w. kerana pada bulan Safar lah Nabi sakit kuat. Kita di Singapura pun pernah terlibat dengan perayaan begini tanpa mengetahui sejarahnya. Malah ada sebilangan amalan kita pada zaman silam kita lakukan tanpa mengetahui ia tidak sesuai bagi orang Islam.  Kesedaran dan pemahaman kita terhadap Islamlah yang banyak merubah masyarakat Melayu di Singapura, Malaysia dan di rantau ini. Namun bagi Hishamuddin, Islam dan nilai-nilainya bukanlah terlalu penting. Beliau seolah-olah mahu orang Melayu itu pergi pada yang silam – zaman pra-Islam, kerana dianggap itulah zaman orang Melayu lebih kuat identiti  Melayunya  dan lebih terbuka.

Benarkah ini? Apa ertinya menjadi orang Melayu tetapi sesuatu yang membawa banyak perubahan kepada pembangunan dan kemajuannya, iaitu agama Islam, diketepikan? Saya dapati pandangan Hishamuddin mengenai masyarakat Melayu dan Islam, sebilangannya bagaikan pandangan para orientalis.

Kita tak mampu menjadi manusia ‘ulang-alik’ iaitu Melayu/Islam bukan dan Barat pun bukan.  Kalau kita mahu mengambil daripada Barat, ambillah yang terbaik, bukan gaya hidup yang bercanggah dengan agama, yang bersifat luaran tetapi pelajarilah keprihatinan Barat terdapat pemikiran kritis, pengkajian dan kepentingan ilmu. Apalah ada pada masyarakat Melayu tanpa nilai-nilai yang ditunjangi Islam? Pernah orang dulu-dulu berkata: perkataan awal ‘mim’ (ejaan Jawi: mim, lam, alif, ya, waw: Melayu) bagi ‘Melayu’ dihubungkan dengan perkataan akhir ‘mim’ (ejaan Jawi: alif, sin, lam, alif, mim: Islam) bagi ‘Islam’. Kedua-dua ‘Islam’ dan ‘Melayu’ itu berhubung-kait. Dan mengamalkan nilai-nilai hidup Islam tidak bermakna kita menjadi orang Arab atau hilang identiti kita sebagai orang Melayu.

Dalam buku Tapainya Hishamuddin seolah-olah sukar menerima orang Melayu Malaysia telah berubah, sebilangannya merupakan perubahan yang lebih baik. Benar, ada orang yang kononnya kelihatan lebih ‘Islam’ tetapi mengamalkan hal-hal yang bercanggah dengan ajaran agamanya. Itu bukanlah kekurangan agama tersebut tetapi kekurangan kita sebagai manusia memahami mesej sebenar agama yang diamalkan.

Bolehkah masyarakat kita menjadi terbuka tanpa nilai-nilai baik? Nilai apa dan siapa pula akan kita tunjangi? Dan zaman pra-Islam mana pula akan kita jadikan kayu ukur nilai kita? Masyarakat Melayu telah melalui zaman animisme, zaman Hindu, zaman Buddha,  sebelum zaman Islam, mahukah kita membawa masyarakat kita ke zaman tersebut dan mengamalkan nilai-nilainya? Apalah ada pada identiti masyarakat Melayu tanpa nilai-nilai murni agama Islam?

Kesimpulan

Sesiapa pun boleh mengemukakan pendapat mengenai perkembangan masyarakat yang dicampurinya. Tetapi ini berbeza bila seseorang mahu dianggap pemimpin dan berhujah itu dan ini di depan masyarakat. Memang manusia itu banyak kekurangannya tetapi adalah amat sukar diterima jika seseorang yang mahu pandangan-pandangannya diterima menggambarkan dirinya ‘bebas’ daripada nilai-nilai masyarakat Melayu yang umum, sekurang-kurangnya. Benar  Hishamuddin Rais tidak berpura-pura seperti sesetengah orang yang mengaku dirinya ‘baik’ dan ‘alim’ tetapi keterbukaan tanpa nilai-nilai murni, misalnya dalam soal gaya hidup, sukar diterima ramai.

Tapai sebagai makanan memang boleh sesekali dimakan tetapi ia bukan makanan harian kita atau makanan utama dalam majlis-majlis perayaan. Demikian juga dengan nilai-nilai murni; keterbukaan itu ada peranannya tetapi keterbukaan tanpa bendungan dalam hal-hal tertentu boleh memudaratkan. Tanpa tunjangan nilai-nilai hidup yang dibawa Islam, apalah ada pada identiti Melayu dan keteguhannya menghadapi cabaran semasa?

Ditulis: 22 November 2010
Tajul Asal: ‘Di Mana Tunjangan Kita/’
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 24 November 2010
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku Tafsir Puisi Hamzah Fansuri Dan Karya-karya Shufi Tulisan Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Buku 1Buku 2

Mukadimah

Sesiapa yang meminati kesusasteraan Melayu tradisional pasti sukar melupakan tokoh-tokoh utama zaman tersebut yang telah memberikan sumbangan yang bermakna. Salah satu zaman gemilang itu bertempat di Aceh, Sumatera, kerana di sinilah, kegemerlapan sinar cendekia Melayu mendapat tempat utama, pada abad ke 16-17 Masihi.

Buku Tafsir Puisi Hamzah Fansuri Dan Karya-Karya Shufi

Buku Tafsir Puisi Hamzah Fansuri Dan Karya-Karya Shufi ini merupakan lanjutan daripada beberapa kajian mengenai tokoh-tokoh cendekia Islam zaman Aceh tersebut. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama mengenalkan kita kepada tiga tokoh ulama sufi yang terkenal dalam dunia Melayu iaitu: Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumatra-i dan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Bahagian kedua merupakan penyelidikan beberapa karya, misalnya syarah puisi Hamzah Fansuri serta karya oleh Abdur Rauf. Bahagian ketiga pula mengandungi lampiran karya Nuruddin ar-Raniri serta syarah puisi Hamzah Fansuri yang belum ditransliterasikan.

Pengarang buku ini bukanlah orang asing dalam bidang kesusasteraan tradisional berteraskan Islam ini. Hasil penyelidikannya banyak tersiar dalam beberapa jurnal serta dibukukan, misalnya buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara. Dan keluarga beliau juga merupakan golongan alim ulama yang turut mengumpul dan menyumbang dalam bidang kesusasteraan kitab.

Dalam buku-buku karya A.Hasjmy dan Syed Muhammad Naguib al-Attas banyak kita temui fakta-fakta mengenai Hamzah Fansuri. Wan Shaghir menunjukkan bahawa bapa Hamzah Fansuri juga seorang ulama, sebagaimana anak-anaknya Hamzah Fansuri dan Ali Fansuri (bapa Abdur Rauf ). Hamzah dikatakan lahir di Shahrun Nawi (Ayuthia), tetapi Wan Shaghir menyakini, beliau dilahirkan di Kampung Nawi, Patani. Patani terkenal kerana melahirkan ramai ulama dan hubungan erat Patani-Aceh memang telah wujud sejak zaman silam. Hamzah dikatakan fasih berbagai bahasa, termasuk bahasa Parsi, Arab, Urdu, Melayu, Jawa dan Aceh serta pernah menuntut ilmu di Aceh, Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan Tanah Arab. Karya-karyanya, yang berbentuk syair mahupun perbincangan ilmiah, turut disenaraikan oleh Wan Shaghir dalam buku ini.

Abdur Rauf pula (sering disebut sebagai Abdul Rauf Singkel) sebenarnya disebut oleh ulama sezamannya sebagai Abdur Rauf Ali al-Fansuri, anak saudara Hamzah. Beliaulah ulama pertama yang menterjemahkan 30 juz al-Quran ke dalam bahasa Melayu, yang disebut Tarjuman al-Mustafid ataupun Tafsir al-Baidhawi yang terkenal di seluruh Nusantara. Melalui sebilangan murid dan keturunan mereka termasuklah Baba Daud Ismail ar-Rumi (ke Patani) dan Syeikh Burhanuddin Ulakan (ke Minangkabau), Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan (ke Jawa Barat) dan Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi (ke Bugis) inilah ajaran Islam disebarkan, termasuk juga ilmu tarekat.

Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i (bukan as-Sumatrani) pernah menjadi pembesar dalam kerajaan Aceh. Berasal dari Pasai, beliau adalah anak murid Hamzah Fansuri dan lidah penyambungnya dalam tengkarah ajaran ‘Wahdatul wujud’ yang diselar Nuruddin ar-Raniri. Dan seperti gurunya, Syeikh Syamsuddin banyak mengarang tulisan ilmiah. Wan Shaghir ada menemui beberapa karyanya yang dahulu tidak disenaraikan.

Dalam bahagian ‘Syarah Puisi Hamzah Fansuri’, terdapat dua versi. Satu dikarang oleh Syamsuddin as-Sumatra-i dan satu lagi merupakan salinan Tuan Guru Hj Mahmud Trengganu. Bahagian ini menerangkan syarah puisi tersebut, misalnya:

Sidang faqir empunya kata
Tuhanmu zahir terlalu nyata’

Ini diikuti oleh soalan: ‘Apa erti kata Syeikh Hamzah (al-Fansuri), ‘Tuhanmu zahir terlalu nyata’ itu?’ Dan diteruskan dengan penerangan: ‘Jawab oleh mu’, dan penerangan diberikan. Beberapa konsep keislaman, terutama ilmu tasawuf dijelaskan melalui syarah ini. Bahagian ketiga, yang merupakan teks Jawi, adalah lampiran-lampiran yang dapat membantu pengkaji yang ingin lebih mendalami bidang ini.

Penutup

Tafsir Puisi Hamzah Fansuri Dan Karya-Karya Shufi adakalanya sedikit sukar untuk diikuti seandainya kita tidak terlebih dahulu mengetahui sedikitnya latar tokoh-tokoh ulama yang dibincangkan. Namun, beberapa fakta dan penemuan buku baharu yang dikemukakan Wan Shaghir Abdullah ternyata dapat menambat minat kita untuk lebih mendalami dan membincangkan khazanah gemilang kesusasteraan kita, sebagaimana yang dipancarkan oleh tokoh-tokoh tersebut di zaman kerajaan Aceh silam dan beberapa daerah di Kepulauan Melayu.

Ditulis: Julai 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) dengan tajuk yang hampir serupa pada 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku – Dol Said Pahlawan Naning

kulit-buku-dol-said-pahlawan-naning

Tajuk Novel : Dol Said Pahlawan Naning
Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Litera Utama, Selangor, 2009, 319 halaman.

Pengenalan

Berapakah harga sebuah kemerdekaan? Menurut novel Dol Said Pahlawan Naning, harganya tiada ternilai. Dan anak watan sanggup bermati-matian mempertahankan tanah airnya bila ia diserang. Mengikut cerita, Naning telah dibuka oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang, Raja Tanah Minangkabau, Sumatera, setelah baginda belayar ke kawasan baharu di Tanah Melayu. Serangga seperti tebuan iaitu naning, yang agak besar, dikatakan sakti, boleh mengubati penyakit dan jarang ditemui, dijumpai Datuk Perpatih di kawasan itu, lantas penempatan itu dinamakan Naning. Jawatan Penghulu Naning, setelah zaman Datuk Perpatih dan warisnya dipimpin oleh orang-orang daripada suku Biduanda dan suku Semelenggang, bergiliri-gilir.

Dol Said Pahlawan Naning

Abdul Said atau lebih dikenali sebagai Dol Said, lahir pada 1773, di Alor Gajah, Naning, Melaka, dan berasal daripada suku Semelenggang. Beliau anak tunggal keluarga sederhana, perilakunya baik dan pandai bersilat. Bersama sahabat-sahabatnya, Petah Melayu, Andika, Cik Had dan Cik Mohamad, Dol Said telah dilatih dalam hal-hal silat dan agama oleh guru Tok Wali Singa, sejak berusia muda. Dalam pertandingan silat yang diadakan di Naning semasa Dol Said meningkat dewasa, dia telah menjadi juara dan bergelar Pahlawan Naning. Dan sebagai Pahlwan Naning, Dol Said dapat menjaga kemaslahatan umum dengan baik. Beliau berkahwin dengan anak Penghulu Andak, setelah penghulu tersebut berkenan akan kepimpinannya. Setelah kematian bapa mentuanya, Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning yang ke-9, pada 1799, ketika berusia 26 tahun.

Naning berasal dari negara yang merdeka tetapi kedatangan penjajah-penjajah Barat ke Tanah Melayu, menyebabkan ia dijajah oleh Portugis, Belanda dan akhirnya British. Walaupun dijajah, Naning tidak pernah menyerahkan kemerdekaannya bulat-bulat . Mereka kalah dengan Portugis tetapi bila Belanda muncul, orang Naning berani bekerjasama dengan Belanda untuk mengusir Portugis. Kerjasama ini dan usaha-usaha lain oleh para pemimpinnya membolehkan Naning menjadi negara berdaulat di tengah-tengah berkembangnya empayar Barat di Tanah Melayu (Malaysia) dan Hindia Timur (Indonesia).

Masalahnya timbul bila British memerintah Tanah Melayu selama 17 tahun kerana Perang Napoleon di Barat. Semua jajahan Belanda dan kawasan berkaitan jatuh ke tangan British. Naning dipaksa membayar cukai, tidak sekadar hadiah sahaja yang diberi pihak Naning kepada Belanda dahulu. Kedatangan Belanda ke Tanah Melayu selepas Perang Napoleon, memulihkan kedaulatan Naning. Tetapi ini berubah lagi apabila Belanda dan British membahagi semua jajahan dan kawasan berkaitan di Kepulauan Melayu kepada dua: ke selatan Selat Singapura, diberi kepada Belanda dan ke utaranya, British menjajah. Naning dianggap tanah jajahan British.

Orang Naning Dengan British

Dol Said, selaku Penghulu Naning, disuruh membayar cukai yang tinggi kepada British. Keengganannya menurut telunjuk British menyebabkan Naning diserang selama 18 hari pada 1831 dan British kalah. Malu, British mencari helah menghancurkan Naning melalui pemecahan kerjasama Naning dengan orang-orang Melayu di luar Naning dan juga melalui pelbagai habuan bagi mereka yang bersekongkol dengan British serta penangkapan Dol Said dan kawan-kawan rapatnya. Naning diserang lagi pada 1832, dan Dol Said dapat bertahan selama 2 bulan,walau tanpa bantuan daripada orang-orang Rembau dan Sri Menanti. Naning dihancurkan British dan mereka menganggap orang-orang Naning berjuang bermatian-matian kerana di Naning ada emas dan bijih. Betapa meleset tanggapan itu. British menghabiskan wang lebih 100,000 pound, ramai askarnya terkorban walaupun mereka bersenapang dan bermeriam berdepan dengan orang-orang Dol Said yang bersenjata tradisional.

Penutup

Naning kalah dan Dol Said serta beberapa pengikutnya dapat melarikan diri ke Pasir Besar dan kemudian, Gunung Pasir. Apakah kesudahan pahlawan Naning ini? Kisah perjuangan inilah yang dirungkai oleh Abdul Latip Talib dalam novel sejarahnya. Beberapa fakta sejarah yang kurang kita ketahui mengenai Naning dan perjuangan anak watannya, semakin jelas apabila membaca novel ini. Tanpa emas dan bijih, daerah terpencil Naning ini tetap dipertahankan kerana yang lebih berharga melebihi itu ialah kemerdekaan.

Ditulis: 3 Februari 2010
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 20 Mei 2010
Tajuk Asal: Dol Said Pahlawan Naning
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Dua Karya Lelucon Terbaharu

Malay Folklore A Contemporary Retelling By D RuseEh! Wat Yu Talking Chronicles of Malay Humuor By Syed Ali Tawfik Al-Attas

Pengenalan

Sebilangan kita membesar dengan cerita-cerita jenaka, binatang dan pelbagai karya tradisional kita. Siapakah yang tidak akan teringat kisah-kisah Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang, Pak Kaduk, Si Tenggang selain kisah-kisah Sang Kancil, Bayan Budiman serta beberapa kisah purba seperti Singapura Dilanggar Todak, Badang, Raja Bersiung dan sejumlah cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam? Sebahagian cerita-cerita ini mengandungi lelucon tulen, tetapi ada juga diselitkan unsur ironi dan pelbagai pengajaran untuk pembacanya.

Selain terdapat beberapa komik, buku dan kajian mengenai kisah-kisah silam ini, terdapat juga filem, animasi dan telemovie yang berdasarkan cerita-cerita ini. Generasi demi generasi perulangan cerita-cerita ini selalu mencuit hati dan fikiran kita kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kenangan bersama kita. Dan cerita-cerita sebegini bukan hanya terbatas kepada masyarakat Melayu sahaja.

Dua Buah Karya Lelucon Yang Terbaharu

Baru-baru ini saya diberi dan terjumpa di perpustakaan dua buah buku yang merakamkan beberapa cerita purba kita, tetapi dengan sedikit pembaharuan. Buku yang pertama, Malay Folklore A Contemporary Retelling oleh D Ruse, terbit di United Kingdom pada 2007, mengandungi 10 cerita iaitu cerita-cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, ‘Bawang Putih, Bawang Merah’, ‘Puteri Gunung Ledang’, ‘Raja Bersiung’, ‘Si Tenggang’, ‘Pak Pandir’, ‘Si Luncai’, ‘Badang’, ‘Angan-angan Mat Jenin’ dan ‘Singapura Dilanggar Todak’. Cerita-ceritanya ditulis ringkas dan inti ceritanya umumnya sebagaimana yang diketahui. Bezanya, penulis buku ini, D Ruse, yang besar kemungkinannya ialah nama pena penulis Melayu atau Malaysia atau mungkin juga penulisnya orang Barat yang mendalami bidang kesusasteraan Melayu atau sekurang-kurangnya mengenali masyarakat Melayu, memberi ‘tafsiran kedua’ (second take) kepada cerita-cerita yang dimuatkannya. Lantas, terdapat dua versi cerita-cerita yang kita ketahui ini.

Misalnya cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, kita maklumi bahawa di akhir cerita si ibu ditelan batu belah batu bertangkup kerana terkilan dan merajuk tidak dapat makan telur ikan tembakul. Tetapi dalam second take cerita ini, D Ruse memberi versi yang begitu kontemporari. Ketika sang ibu hampir ditelan batu belah batu bertangkup, anak perempuannya menghalangnya kerana dia boleh mendapatkan telur ikan tembakul yang telah dimakan oleh adiknya dan dia. Bagaimanakah caranya? Senang sahaja, si anak tadi melalui SMS telefon bimbitnya telah mendapatkan telur yang lebih baik, caviar Beluga, dari sebuah pasar raya. Justeru, ibunya tidak jadi masuk ke batu belah batu bertangkup sebab akan mendapat telur tembakul yang lebih tinggi grednya!

Cerita ‘Raja Bersiung’ pula diberi second take yang tidak kita sangka-sangkakan. Sebagaimana yang kita ketahui, Raja Bersiung mendapat siungnya melalui makanan yang tercampur darah daripada luka jejari tukang masaknya. Kerana terbiasa dengan makanan sebegini, setiap hari makanannya terpaksa dicampur darah rakyatnya agar enak dimakannya. Ini menyebabkan sang raja itu bersiung (bertaring). Perbuatannya kemudian diketahui oleh rakyat jelata.

Dalam second takenya, Raja Bersiung lari daripada rakyat yang memberontak. Dia menaiki teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan berakhir di Eropah. Raja Bersiung kemudian mengikat kontrak sebagai pelakon gantian (stand-in) bagi Christopher Lee dalam filem ‘Count Dracula’. Walaupun filem-filem Dracula ini mencapai taraf box office, Raja Bersiung kecewa kerana dia hanya menjadi pelakon gantian dan tidak mendapat darah yang mencukupi untuk keperluannya. Lantas, dia memilih kerjaya baharu; mengunjungi bank-bank darah dan menjadi pembantu makmal bank darah secara sukarela. Dengan ini keperluan darahnya dipenuhi dan tiada siapa yang akan tahu jika sepaket dua darah hilang dalam simpanan bank darah!

Kisah budak bijak bernama Nadim dalam cerita ‘Singapura Dilanggar Todak’ juga diberi pembaharuan yang lucu. Nadim tidak jadi dibunuh kerana kepandaiannya menyelesaikan masalah serangan todak ke Singapura purba, sebagaimana yang kita ketahui. Tetapi kerana dia bijak, dia pun mengakalkan sultan agar menyetujui suatu cadangan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak, apa yang kini disebut sebagai ‘keadaan menang-menang’ (win-win situation). Nadim dan Raja Singapura membuka restoran bernama ‘The Royal Satay & Swordfish Steak House’ yang pada mulanya dibuka di Shenton Way. Pada tahun 2006, restoran ini terdapat hampir 10000 cawangan di Asia dan Eropah! Dan siapa kata Nadim tak bijak?

Buku lelucon kedua berjudul Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour, diterbitkan oleh MPH pada 2007 dan ditulis oleh Syed Ali Tawfik Al-Attas, pengarah besar Institut Kefahaman Islam Malaysia. Tidak seperti yang kita sangkakan, buku ini tidak berisi kisah-kisah agama; Syed Ali Tawfik menyerlahkan peribadinya yang lucu, dan bukannya yang serius sebagai seorang sarjana, seperti yang kita maklum mengenai diri beliau. Sebilangan cerita ini kita pernah membacanya walaupun cara penulisan Syed Ali Tawfik tetap mencuit hati kita.

Kisah seorang watak lucu yang pandai merakamkan pelbagai cerita suka duka kehidupan dan bijak pula memberi iktibar melalui kejahilan, kebijaksanaan dan kadangkala kerana keadaannya yang sedia ada, bukan pula terbatas kepada dunia kita sahaja. Dalam dunia kesusasteraan Arab ada watak sedemikian yang dipanggil ‘Johar/Juha’; di kalangan mereka yang berbahasa Parsi terdapat watak yang dinamakan ‘Mulla Nasruddin’ dan di kalangan orang berbahasa Turki watak sedemikian dinamakan ‘Hoca Nasruddin’. Syed Ali Tawfik memilih watak Pak Pandir dan kawan-kawannya seperti Pak Mat, Pak Him dan Pak Su untuk menyampaikan cerita-cerita yang pernah beliau dengari daripada keluarganya, yang kita sedia maklum daripada kisah-kisah Pak Pandir dan kisah-kisah lucu lainnya dan juga cerita-cerita baharu untuk tatapan kita. Cerita-ceritanya kelihatan biasa sahaja tetapi cara penceritaannyalah yang membuat kita selalu tidak gering gusi apabila membacanya. Beliau banyak ‘mengusik’ kita dalam 79 kisah yang dimuatkan dalam buku leluconnya ini. Terdapat juga ilustrasi yang menarik mengiringi sebahagian besar cerita-ceritanya. Ilustrasi-ilustrasi ini dilukis oleh E. Yu.

Salah satu ceritanya mengenai seorang lelaki yang menghadapi masalah botak di kepala. Pak Pandir memberi penyelesaian: larutkan dua teh sudu garam dalam air dan sapukan di tempat yang terjejas. Ini harus dilakukan sebanyak lima kali sehari selama seminggu. Orang tersebut mematuhi arahan Pak Pandir tetapi masalahnya tidak juga selesai. Rambutnya tetap gugur dan tempat-tempat yang disapu larutan garam itu semakin tegang dan gatal. Bila dia bertanya Pak Pandir mengapa penyelesaian sedemikian yang diberinya, jawapan Pak Pandir ternyata meleset: dengan menyapu air bergaram di tempat-tempat yang terjejas, pada pendapat Pak Pandir, akar anak-anak rambut itu akan menjadi ‘haus’ lantas keluar dan tumbuh di kepala lelaki tersebut!

Satu lagi cerita berkisar kepada soal kuali yang beranak. Pak Pandir meminjam kuali jirannya dan kemudian memulangkan kuali tersebut bersama sebuah kuali yang kecil. Bila jirannya bertanya mengenai penambahan jumlah kuali yang dipulangkan, Pak Pandir berkata bahawa kuali yang dipinjamkan kepadanya dahulu telah ‘beranak’, lantas kuali kecil itu adalah hak jirannya. Beberapa ketika kemudian, Pak Pandir sekali lagi meminjam kuali jirannya. Kali ini dia tidak memulangkannya. Apabila jirannya meminta kualinya dipulangkan, Pak Pandir hanya mengucapkan takziah. Mengapa digucapkan takziah, kerana kualinya jirannya sudah ‘mati’. Jirannya enggan menerima penjelasan Pak Pandir: jirannya boleh menerima kualinya ‘beranak’ (sesuatu yang menguntungkan) tetapi enggan menerima kualinya boleh ‘mati’ (sesuatu yang merugikan), menjelaskan dengan lucu betapa tabiat sesetengah kita sebenarnya.

Satu lagi kisah ialah mengenai jiran Pak Pandir yang bersungut kerana rumahnya begitu sempit dengan isteri, empat orang anak dan ibu mertuanya tinggal bersamanya, lantas meminta nasihat Pak Pandir. Penyelesaian Pak Pandir: masukkan tujuh ekor ayam peliharaannya ke dalam rumahnya. Pak Pandir tahu jirannya akan berterima kasih kerana penyelesaian yang diajukannya. Ini dilakukan oleh jirannya tetapi semua ahli keluarganya bersungut kerana rumah semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir seterusnya: masukkan pula kerbau peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhi arahannya dan semakin bersungut kepada Pak Pandir kerana rumahnya semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir selanjutnya: masukkan pula tiga ekor kambing peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhinya tetapi bersungut keesokan hari kerana keluarganya sukar melelapkan mata dan rumahnya menjadi teramat sempit. Dan kini Pak Pandir memberi penyelesaian yang terakhir kepada jirannya: keluarkan semua binatang peliharaannya daripada rumahnya. Keesokan harinya jiran Pak Pandir mengucapkan terima kasih kerana menyelesaikan masalahnya: rumah yang dihuni oleh isteri, ibu mertua, empat orang anak dan dirinya terasa luas dan selesa. Betapa berbeza sesuatu masalah, menurut Pak Pandir, jika dapat melihatnya daripada perspektif yang berbeza dan pandai memahami keadaan kita sebenarnya!

Satu lagi kisah yang ditulis Syed Ali Tawfik menceritakan bagaimana Pak Pandir berkebun di kebun semangkanya. Setelah beberapa jam berkebun, Pak Pandir berehat di bawah sebatang pokok kelapa. Dia terfikir dan seolah-olah berkata-kata kepada Allah: mengapa semangka yang begitu besar dan berat ditumbuhkan pada tanaman melata yang dahan dan rantingnya lembut sedangkan buah kelapa yang kecil ditumbuhkan pada pokok dan dahan yang kukuh? Tiba-tiba sebiji kelapa jatuh ke atas kepala Pak Pandir. Mengalami itu, barulah Pak Pandir faham akan kemahaluasan pengetahuan Allah. Andainya buah semangka yang terjatuh ke kepalanya, besar kemungkinan Pak Pandir kita tiada lagi di dunia!

Kesimpulan

Kedua-dua buku terbaharu ini memang boleh mencuit hati dan fikiran kita. Walaupun kisah-kisah lucu kita telah banyak dibukukan, termasuk buku Pak Pandir Moden tulisan penulis veteran kita, MAS, namun inilah kali pertama ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Anak remaja, selain mereka yang menggemari kisah-kisah begini, mudah mengikuti cerita-cerita ini. Ia merakamkan yang silam tetapi juga menjentik keadaan semasa dengan lucu dan sesekali penuh iktibar.

Selamat membaca.

Ditulis: 7 November 2007
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada November 2007
Tajuk Asal: Dua Karya Lelucon Terbaharu
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Antologi Puisi Simfoni Anis Sabirin

Anis Sabirin Book

Prakata

Sajak ini ialah suratku
kepada dunia
kepada kawan dan kasihku
meraikan hasrat mulia
ikatan kasih
ikatan mesra.

Demikian Anis Sabirin melambangkan penglahiran sajak-sajaknya di persada dunia dalam antologinya, Simfoni, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1996. Antologi puisi ini mengandungi 110 sajak; 77 dalam bahasa Melayu dan 33 dalam bahasa Inggeris. Sajak-sajak ini dicipta semenjak tahun 1961 sehingga 1995; ternyata ini merupakan sajak-sajak pilihannya setelah lebih 34 tahun berpuisi.

Mengenali Anis Sabirin Dan Secercah Sajak-sajaknya

Siapakah Anis Sabirin? Dilahirkan pada 1 Mac 1936 di Johor, Anis terdidik di Universiti Singapura (Universiti Malaya di Singapura) dan mendapat ijazah pertamanya dalam Pengajian Melayu pada 1959. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Anis melanjutkan pelajaran ijazah sarjana (M.A.) dan doktoratnya (Phd) dalam bidang Ekonomi di Amerika Syarikat dan menetap di California semenjak 1968 dan pulang ke tanah airnya, Malaysia, sekitar 1993/4. Dan kemudian menetap terus di California. Anis pernah bertugas dalam bidang ekonomi di Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lain di Amerika Syarikat. Beliau begitu aktif pada tahun-tahun 60-an dan karya-karyanya dalam antologi persendirian termasuklah: Dari Bayang Ke Bayang (antologi cerpen, 1966), Peranan Wanita Baru (antologi esei, 1969), Mengenal Puisi (kajian, 1972) dan Pesona (antologi cerpen, 1994). [*Terdapat beberapa lagi antologi persesorangannya selepas 1996 dan karya-karyanya dalam antologi-antologi bersama ditemui sejak tahun-tahun 60-an lagi.]

Antologi Simfoni ini banyak menggambarkan liku-liku hidupnya dan masyarakatnya, kebanyakannya direnung daripada perspektif ‘anak dagang’. Sesuatu yang amat ketara, pada tahun-tahun 70-an, tiada satu pun puisinya dimuatkan, baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Besar kemungkinan tahun-tahun tersebut adalah masa-masa yang agak mencabar dan amat peribadi, lantas tidak dimuatkan dalam Simfoni.

Dari tahun-tahun 60-an kita temui sajak-sajaknya yang banyak menyoal sekitarnya, menganalisis diri dan masyarakatnya serta menampilkan imejan kekotaan. Sajak-sajak awal ini, misalnya ‘Balada Anak Kota’, ‘Segelas Susu Dan Roti Segenggam’, ‘Duka’, ‘Quo Vadis, Dunia’, ‘Hidup’ dan lain-lain memantulkan keresahan peribadi muda menghadapi dunia yang diputari pelbagai peristiwa. Ada nada sinis dan sekali gus mahu berharapan melihat sekitar dalam larikan sajak-sajak zaman awalnya itu. Namun, perjalanan hidupnya, terutamanya di rantauan, menjadikan pencernaan puisi-puisinya lebih ‘longgar’, merdu dan matang.

Beliau masih menyoal diri, berkisah tentang rindu dan cinta, kegagalan dan kehibaan manusia, tetapi juga, melihat dunia daripada kaca mata yang lebih menerima dan reda, walaupun tetap menjentik bila ditemui kehaiwanan manusia. Dan yang ketara juga, terdapat banyak sajak, misalnya: ‘Bumi Hijau’, ‘Tanah Air’, ‘Lagu Cinta Tanah Air’, ‘Malaysia Tanah Airku’, ‘Surat Dari San Francisco’ dan lain-lain yang ditulis semasa di California, menggambarkan kerinduannya yang mendalam terhadap kampung halamannya. Dan mungkin kerana kerinduan ini, beberapa buah sajaknya menggunakan gaya pantun, misalnya sajak-sajak ‘Dari Mana’, ‘Requiem’, ‘Pantun Sehari’, ‘Timang-timang Anak’ dan ‘Jambatan Emas’.

Beberapa buah sajaknya menyentuh hati kita misalnya:

Kupegang bahunya dengan jari gementar
terlalu rindu menentang mukanya
dia senyum, bibirnya begitu pahit
kututup mata dan undur
kata Maut, belum masanya untuk kita berjumpa
tunggu daku pada musimnya.

(‘Tunggu Daku’, halaman 35)

Kasihku padamu
selebar lautan tujuh, sedalam ruang angkasa
mengatasi itu, kasihilah dirimu
mengerti bahawa kau manusia berharga
usah aniaya dirimu

(‘Harga Diri – Untuk Anakku Alida’, halaman 68)

Dirikan dunia yang damai dan aman
biar bayi yang comel tumbuh seperti pohon subur
anak-anak kecil boleh pergi ke sekolah
anak-anak ada masa depan.

(‘Sajak Bukanlah Susu’, halaman 47)

It is a pilgrimage without end, a journey to
nowhere. My soul is drunk with beauty, disoriented
with images, impressions, colours, movement
God, will I, like Ulysses, ever see home again?

(‘The Wanderings’, halaman 106)

Anak yang hilang di rantau belantara liar
dia mengenal nama Tuhannya
memimpin ke jalan benar.

(‘Erti Cinta’, halaman 64)

Kesimpulan

Antologi Simfoni ini menyerlahkan keteguhan peribadi dan pemikiran seorang penyair wanita yang boleh kita banggakan. Puisi-puisi Dr Anis Sabirin bagaikan mata air yang memancurkan air galian yang berbeza-beza kerana telah dihimpun daripada sumber yang berlainan kekayaannya. Namun ia menyegarkan kita kerana air yang kita minum mengandungi khasiat dan turut mendenyutkan aliran sastera kita.

Disiapkan: 10 Jun 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Tuesdays With Morrie

Cover Tuesdays With Morrie

Pengenalan
Apakah perasaan anda bila anda mengetahui bahawa orang yang anda kasihi akan tiada lagi di sisi dalam waktu yang tidak berapa lama lagi? Akankah anda membeku dan tidak tahu bertindak menghadapi kenyataan ini atau andakah yang terlalu runsing memikirkan kemungkinan yang menyedihkan ini?

Pengajaran Seorang Mahaguru
Tuesdays With Morrie, tulisan Mitch Albom, adalah sebuah buku yang digambarkan sebagai cerita ‘seorang lelaki tua, seorang lelaki muda, dan pengajaran hidup yang terbesar’. Setebal 192 halaman, ia ditulis pada 1997 oleh seorang wartawan sukan dari Detroit Free Press.

Siapakah pula Morrie? Mitch Albom mendapat ijazah pertamanya dari Universiti Brandeis, di Massachusetts dan Morie Schwartz adalah profesor sosiologinya di universiti tersebut. Hubungannya dengan Morrie bukan sekadar hubungan mahasiswa dengan guru sahaja; Morrie menganggapnya pelajar yang boleh diajak berbincang selain sukatan pelajaran mereka. Dan Morrie terkenal sebagai seorang profesor yang menyayangi mahasiswanya, selain cemerlang dalam bidangnya. Tahun 1979 adalah kali terakhir Mitch bertemu profesornya, semasa dia mendapat ijazah. Dia memperkenalkan profesornya kepada kedua ibu bapanya, yang berkata kepada ibu bapanya bahawa Mitch seorang pemuda yang istimewa. Namun keistimewaan ini tidak ditemui Mitch setelah keluar dari universiti.

Mitch menjadi pemuzik profesional, menulis lagu dan lain-lain setelah menjadi siswazah. Dia tidak menghiraukan apa-apa, sehinggalah pak cik kesayangannya meninggal dunia pada usia 44 tahun, kerana menghidap penyakit barah pankreas. Hidupnya berubah. Dia mengambil ijazah dalam bidang kewartawanan dan mencuba nasib di New York dan Florida, kemudian bekerja di Detroit. Mitch menjadi lebih tergesa, sibuk dengan pelbagai tugas, mengumpul harta dan berumah tangga. Dan hidupnya berlegar sekadar kerja dan ditambahi dengan banyak lagi kerja.

Profesornya pula, yang terkenal suka bergaul dengan orang ramai, menari, berenang dan sebagainya, manusia yang mencintai manusia dan kehidupan, tiba-tiba mendapati dirinya (1994) menghidap penyakit ‘amyotrophic lateral sclerosis’ (ALS), sejenis penyakit sistem urat saraf. Penyakitnya menghancurkan penguasaan otot-otot, yang bermula dari kaki dan kemudian naik ke atas. Morrie yang berusia lebih 70 tahun ketika itu, diberi kurang 2 tahun untuk hidup.

Sementara itu Mitch tidak tahu menahu mengenai penyakit profesornya (kerana semua surat dari Brandeis tidak dibukanya semenjak dia mendapat ijazah) sehingga Morrie diwawancara oleh Ted Koppel, dalam satu rancangan TV, yang kebetulan ditonton Mitch. Dia terdengar kata-kata profesornya dalam rancangan itu: ‘Terimalah apa yang anda boleh atau tidak boleh lakukan….Jangan andaikan sudah terlalu terlambat untuk terlibat dalam kehidupan….’ dan lain-lainnya yang menyentuh hati Mitch. Dia membuat keputusan menemui profesornya, lalu terbang 1000 batu ke rumah Morrie di Boston.

Pertemuan Mitch Dengan Profesornya
Pertemuan yang disalutkan dengan wawancara (kerana Mitch sukar berdepan dengan perasaannya), berakhir dengan rangkaian pertemuan setiap hari Selasa. Morrie terpaksa mengakhiri kuliahnya di Universiti Brandeis, sesuatu yang amat menyedihkannya tetapi penglibatannya dalam kehidupan tidak pudar, walaupun satu per satu kebolehannya menguasai diri dan otot-ototnya menurun. Melalui Mitch, dia ‘hidup’ kembali, mengajar murid kesayangannya beberapa pelajaran mengenai kehidupan walaupun ini dilakukan dengan agak payah, kerana dia semakin lemah. Antara perkara yang mereka bincangkan termasuklah mengenai maut, dunia, penyesalan, rasa hiba diri, keluarga, wang, perkahwinan, perasaan, hari tua, kemaafan, perpisahan dan lain-lain.

Kita terbawa menghadami kata-kata Morrie, yang rasa kasihnya yang murni kepada manusia, membenarkan dia berkisah tanpa memaksa dan sekali gus, mendamaikan resah gelisah orang-orang di sekelilingnya dan menghadapi maut dengan tenang. Dia mengajar Mitch misalnya, untuk menghubungi adiknya (Mitch) yang lama terpisah daripada keluarga. Dia juga membimbing Mitch untuk pandai meluahkan perasaannya, tanpa menjadi sentimental, dan melihat kehidupan dari kaca mata yang lebih berseimbang. Dalam keadaannya bagai kelongsong usang, Morrie tetap menambat hati dengan humornya, semangatnya yang terus hidup dan caranya mengasihi dan melepaskan orang-orang yang dia sayang: isterinya Charlotte, anak-anaknya Rob dan Jonathan, kaum keluarga, sahabat handai dan Mitch, kerana baginya kematian bukan bererti putusnya hubungan dia dengan mereka.

Penutup
Membaca Tuesdays With Morrie, membuat kita hiba, menghargai kehidupan, belajar memaafkan yang silam serta meraikan perasaan kemanusiaan kita. Dan seperti Mitch bila sesekali terbaca tugasan lama universitinya yang ditulis di tepi-tepinya: ‘Dear Coach’ dan dijawab Morrie: ‘Dear Player’, tetapi menyebakkan perasaannya, dia tetap meneruskan kehidupannya yang diharap lebih bermakna, demikianlah diharapkan bagi kita yang turut mengalami hal sebegini.

Ditulis: 1997
Tajuk Asal: Buku Mitch Albom Tuesdays With Morrie
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), pada 14 Feb 1999
Tulisan: Rasiah Halil.