Archives

Ulasan CD: Pilihan Klasik Aidilfitri Sharifah Aini

SA Hari Raya 2SA Hari Raya 3

Prakata
Menjelangnya Hari Raya, lagu-lagu nyanyian P.Ramlee, Saloma, Fazidah Joned, Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Sharifah Aini dan lain-lain selalu berkumandang. Lagu-lagu ini, terutama nyanyian Saloma dan P.Ramlee semacam ‘kemestian’ dalam keriaan kita menyambut Syawal. Dan syarikat-syarikat rakaman selalu menerbitkan lagu-lagu Hari Raya, baik yang lama mahupun lagu-lagu baharu pada musim-musim begini.

Pilihin Klasik Aidilfitri Sharifah Aini
Sharifah Aini terkenal dengan lagu-lagu ‘Hari Yang Mulia’ dan ‘Suasana Di Hari Raya’, salah satu lagu ini seni kata lagu ditulis oleh beliau sendiri, selain lagu-lagu nyanyian bersama, sempena Hari Raya. Lantas, apakah istimewanya album Sharifah Aini yang terbaru berjudul Pilihan Klasik Aidilfitri ini?

Album ini memuatkan 10 buah lagu, sebuah medley, 3 instrumental dan ucapan ringkas Hari Raya oleh Sharifah Aini. Lagu-lagu ini pernah dipopularkan oleh Saloma (Selamat Hari Raya), P.Ramlee (Dendang Perantau dan Suara Takbir), Fazidah Joned (Selamat Hari Raya), Ahmad Jais (Selamat Hari Raya), Sanisah Huri (Aidilfitri), S.Jibeng (Musafir Di Aidilfitri), Oslan Hussin (Selamat Hari Lebaran) dan Sudirman (Balik Kampung). Terdapat sebuah lagu baharu berjudul ‘Nostalgia Aidilfitri’.

Terbiasa dengan lagu-lagu nyanyian penyanyi asalnya, dapatkah kita menerima lagu-lagu klasik Hari Raya nyanyian Sharifah Aini ini? Dapatkah beliau mengembalikan suasana silam kita melalui nyanyiannya?

Lagu-lagu ini telah diberi rentak yan sedikit berbeza daripada lagu asalnya. Penekanan pada penggunaan alat-alat muzik lama iaitu akordian, biola, violin, rebana, seruling bambu, gambus dan tabla selain gitar dan keyboard, menimbulkan kelainan itu. Lagu-lagu ini jelas disisipkan unsur ‘Melayu Klasiknya’nya, kerana penggunaan alat-alat muzik tadi dan juga temponya yang dialun perlahan. Dan mungkin juga, untuk menambat hati peminat lagu-lagu berunsur dangdut, beberapa buah lagu diselitkan sedikit dengan rentak ini, misalnya lagu ‘Balik Kampung’, ‘Aidilfitri’ dan ‘Selamat Hari Raya’ (nyanyian Ahmad Jais).

Selain perbezaan rentak dan tempo, terdapat juga lain kelainan. Dalam lagu ‘Suara Takbir’, dimulakan dengan takbir Hari Raya yang bersesuaian dengan seni kata lagu tersebut dan bagi lagu ‘Balik Kampung’, disisipkan lafaz niat zakat fitrah; mengingatkan akan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan, sama ada kita ‘balik kampung’ ataupun tidak.

Lagu-lagu nyanyian Sharifah Aini ini mudah meresap ke jiwa kita mungkin kerana alunan suaranya yang merdu, sebutannya yang baik, selain ‘patah lagu’nya yang menarik. Namun, di antara lagu-lagu ini, lagu-lagu yang lebih lembut dan sayu nampaknya menyerlahkan lagi kelunakan suara biduanita ini. Perhatikan misalnya lagu-lagu: ‘Nostalgia Aidilfitri’, ‘Dendang Perantau’, ‘Suara Takbir’ dan ‘Musafir Di Aidilfitiri’ yang disampaikan dengan ‘mood’ yang bersesuaian. Lagu ‘Nostalgia Aidilfitri’, terutamanya, akan menjadi salah sebuah lagi ‘khazanah’ lagu Hari Raya beliau, kerana rentak tradisionalnya yang indah dan seni katanya yang ditujukan bukan hanya kepada seseorang yang dikasihi, tetapi juga untuk Khaliknya:

Tibanya Syawal tanda ingatan
Kukirim rindu di angin lalu
Kasih yang hilang kuhulur tangan
Di Aidilfitri di Aidilfitri
Kupohon restu

Buatmu kasih di Aidilfitri
Mengimbas daku kata-katamu
Andai ku tiada di sisimu lagi
Merentang doa, merentang doa
Ikhlas darimu

Sesaat takbir bergema
Selama itu dikau di hatiku
Doa kukirim
Buatmu kasih
Di Aidilfitri
Ikhlas dariku

Di hening subuh di pagi Raya
Doa kupohon buat yang tiada
Air mataku tabur bersama
Terkenang daku, terkenang daku
Takbir bergema

Kutunduk sujud buat-Mu Kasih
Teringat daku kebesaran-Mu
Bulan Ramadan terasa bersih
Di Aidilfitri di Aidilfitri
Kita bertemu

Selama hayatku ada
Di hari yang mulia Hari Raya
Padamu kasih
Di Adilfitri
Terkenang daku
Cinta yang satu

Lagu: Nostalgia Aidilfitri
Lagu Ciptaan: Pak Ngah
Seni Kata: Logha
Pustaka Muzik EMI (M) Sdn Bhd.

Album Pilihan Klasik Aidilfitri ini, saya yakin akan mendapat sambutan ramai, sebagaimana album-album Sharifah Aini yang terdahulu kerana kelunakan suara, pilihan lagu dan keindahan rentak Melayunya akan menambat hati kita.

Ditulis: 16 – 17 Januari 1997
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Tajuk Asal: Lagu Album Klasik Bersama Sharifah Aini
Tersiar: Berita Harian, Singapura, pada 30 Januari 1997
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Ulasan Lagu: ‘Ghazal Untuk Rabiah’ – Ditulis Pada Februari 1996

JN 1Basrah 1Basrah 2JN 2

Prakata

Sebuah lagu menyentuh kita dengan berbagai cara. Satu, melalui muziknya yang indah. Kedua, melalui suara penyanyi yang menambat hati dan ketiga, kerana senikatanya yang menawan dan memikat kita. Sebuah lagu yang baik mungkin adalah cantumman ketiga-ketiga unsur ini dan mungkin juga ditambahi oleh beberapa unsur yang lain.

Penilaian Ringkas Lagu Ini

Antara beberapa buah lagu yang terbaru yang amat menyentuh perasaan saya ialah lagu Ghazal Untuk Rabiah nyanyian Jamal Abdillah dan M. Nasir, dipetik daripada album terbaru Jamal berjudul Suratan Kasih. Lagu ini dicipta oleh M.Nasir dan Jamal Abdillah, sedangkan liriknya pula ditulis oleh Cenderawasih.

Apakah keistimewaan lagu ini? Sebelum saya lanjutkan perbincangan, biarlah saya perturunkan lirik lagu ini:

Ya Rabiah…….
Kilauan bintang-bintang berkelip-kelip di langit tinggi
Dan cahaya menari-nari di langit biru
Tidaklah dapat menenangkan perasaanku
Yang merindukan kehadiranmu kasih

Gemersik irama merdu buluh perindu
Dan nyanyian pari-pari dari kayangan
Tidaklah dapat tenteramkan sanubari
Yang mendambakan kepastian kasihmu

Rela lepaskan
Segala-gala
Yang kuhajatkan itu 
Yang kau hajatkan
Rela terima
Apa pun syaratnya
Dan dugaaan
Untuk kubuktikan cintaku

Asalkan dapat ku mengubati
Hatiku yang cedera ditumpaskan cinta (kekasih)
Asalkan dapat ku menundukkan
Amukan gelora di jiwa yang menagih kasih
Ah……. ya kasih……………..

Yang halus, yang tulus
Yang mulus, yang kudus

Majnun………….

Semoga malamku tidak lagi
Menjadi medan air mata
Menusuk segenap kalbuku
Lagu ini ditujukan atau mengenai seorang wanita bernama Rabiah. Kenapakah Rabiah demikian istimewa, sehingga dilagukan dalam rentak Timur Tengah dan diselangi dengan larutan bunyi yang banyak mengingatkan kita kepada keindahan nasyid serta pembacaan ayat-ayat suci yang mententeramkan jiwa?

Saya yakin Rabiah yang menjadi pilihan ini bukanlah wanita sembarangan, tetapi seorang wanita yang terkenal kerana perhambaannya kepada Khaliknya. Dan melalui lagu ini, kita seolah-olah diperkenalkan kepada falsafah dan gelora hidup Rabiah kerana memilih jalan ‘Kekasih’nya dan tentunya jalan yang dipilih bukanlah jalan yang mudah.

Siapakah Rabiah Dalam Lagu Ini?

Siapakah Rabiah ini? Setelah berulang kali mendengar lagu ini, saya semakin pasti Rabiah yang dimaksudkan di sini ialah seorang ahli sufi dari Kota Basrah, Rabiah al-Adawiyyah. Beliau lahir pada 713/717 Masihi dan meninggal pada 800 Masihi. Lahir dalam keluarga yang miskin, Rabiah dicuri semasa kecil dan dijual sebagai hamba. Tetapi perhambaannya yang mutlak kepada Allah, menyebabkan beliau dibebaskan oleh tuannya. Rabiah menjadi ahli sufi yang terkenal di Kota Basrah dan ramai orang yang berilmu mendatangi beliau untuk mendapatkan penjelasan agama.

Lirik lagu ini menjelaskan: ‘Rela lepaskan/Segala-segala/Yang ku adakah itu/Yang kauhajatkan’…. Demikianlah hidup Rabiah. Dia sanggup berkorban segala-segalanya untuk ‘Kekasih’nya – menolak kesenangan, hidup berkeluarga, kemasyhuran, kerana yang diutamakan ialah keredaan Allah. Dalam hidupnya, Rabiah terkenal kerana kata-kata: bahawa dia tidak hajatkan syurga atau takutkan neraka kerana dia beramal tanpa mengharapkan/menjauhkan kedua-duanya; yang terpenting, amalannya ikhlas kerana Allah. Allah adalah segala-galanya bagi Rabiah; dan seluruh hidupnya berpaksikan cintanya kepada Penciptanya sehinggakan hatinya sirna untuk yang lain-lain.

Terdapat perkataan ‘majnun’ dalam lagu ini; ‘majnun’ bererti ‘gila’ dalam bahasa Arab. Dan orang yang terlalu asyik kepada Tuhannya kadangkala dituduh ‘majnun’ oleh khalayak ramai kerana kurang pengertian. Konsep cinta kepada Ilahi sedemikian tentunya amat tinggi bagi kita Muslim biasa, tetapi bagi Rabiah yang telah melalui disiplin, takah demi takah ahli sufi, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Perkara yang sama boleh kita temui dalam tulisan-tulisan mengenai Ibrahim Ibn Adham, Hasan Basri, Fariduddin Attar, Al-Hallaj dan lain-lain. Rabiah semasa hidupnya, bukan hanya terkenal dengan ilmu agama yang mendalam, bahkan juga kerana tulisan berkuntum-kuntum puisinya yang berunsurkan tasawuf, berpusarkan perhubungannya dengan Khaliknya. Puisi-puisi ini amat indah dan menawan. Dan kajian mengenai Rabiah al-Adawiyyah banyak terdapat sehingga kini, di antaranya dalam tulisan-tulisan Fariduddin Attar, Al-Ghazali, Nicholson, Annemarie Schimmel dan lain-lain.

Kesimpulan
Nyatanya lagu Ghazal Untuk Rabiah bukanlah lagu sembarangan. Ia mengandungi unsur falsafah dan inti kasih dan pengorbanan seorang sufi yang tinggi martabatnya. Dan bukanlah mudah memilih jalan hidup seperti yang dilalui Rabiah al-Adawiyyah, terutama dalam kehidupan kini yang sering dihiruk-pikukkan pelbagai keadaan. Namun, mendengar lagu ini, sesekali mengingatkan kita kepada suatu keindahan, ketenteraman dan ketidak-mustahilan hidayah Allah. Dan Ghazal Untuk Rabiah adalah lagu hayat yang boleh dicontohi sepanjang zaman, insya-Allah.

Ditulis : 10 Februari 1996
Bedok, Singapura
Tajuk Asal: Ulasan Lagu ‘Ghazal Untuk Rabiah’
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 1996 dengan tajuk yang hampir serupa tetapi berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri kepada pihak Berita Harian.
Tulisan: Rasiah Halil.

12 Rabiul Awal 1437 Hijriah/24 Disember 2015 Masihi

Cover of The Life of the Last Prophet by Yusuf Islam

Album: The Life of The Last Prophet (1995)
Oleh: Yusuf Islam (Cat Stevens)

Prakata

Yusuf Islam, sebelum memeluk agama Islam pada akhir tahun-tahun 70-an, terkenal dengan nama Cat Stevens. Lahir di London pada 21 Julai 1948, Yusuf menceburi bidang muzik pada 1966. Dan dalam usia 20-an, beliau telah pun mencapai taraf ‘megastar’ dengan lagu-lagunya menjadi pujaan ramai.

Namun, dalam zaman gemilang itu pun, lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya, bukan sekadar hiburan gila-gilaan anak muda semata-mata. Ada di antara lagu-lagunya yang menggambarkan pencarian hidupnya, permasalahan manusia dan juga carik-carik kejiwaan yang memikat dan memukau hatinya. Di antara lagu-lagunya zaman silamnya termasuklah ‘On The Road To Find Out‘, ‘Silent Sunlight‘, ‘The Wind‘, ‘Where Do The Children Play‘, ‘Father And Son‘, ‘Peace Train‘ dan lain-lain.

Sebuah lagunya yang amat terkenal ialah ‘Morning Has Broken‘. Dirakamkan pada 1971, sebelum beliau menjadi Muslim, lagu ini merupakan kata-kata pujian seorang hamba kepada Khaliknya, kerana anugerah kehidupan yang penuh alamiah dan indah, terhablur dalam terbitnya waktu subuh. Subuh tersebut, bagai subuh pertama bagi manusia, demikian menyegarkan dan menuntut kita berterima kasih kepada Pencipta kita.

The Life of The Last Prophet: Penjelasan Ringkas

Album The Life of The Last Prophet (TLTLP) diterbit dan disampaikan oleh Yusuf Islam pada 1995, setelah ‘menghilang diri’ dari dunia hiburan semenjak 1978. Walaupun sebelum ini Yusuf pernah merakamkan wawancara mengenai pemilihannya akan agama Islam serta nasyid abjad ‘alif’ sampai ‘ya’ pada tahun 80-an, namun album TLTLP ini adalah rakaman rasminya yang pertama.

Apakah keistimewaan album ini? Tidak seperti album-album biasa, Yusuf telah memilih untuk menulis dan merakamkan kisah hidup nabi terakhir, Nabi Muhammad saw yang disampaikan dalam bahasa Inggeris. Album ini dirakamkan di London, Kahirah dan Amman oleh penerbitan Yusuf sendiri, ‘Mountain of Light Production Ltd’. Teks tulisan Yusuf Islam ini berdasarkan kajian yang mendalam daripada beberapa sumber sahih serta mendapat persetujuan jemaah ulama antarabangsa. Buku kecil yang dilampirkan, sebagaimana teks yang dibaca, memberi kita pelbagai sumber rujukan yang telah dibuat dan boleh kita kaji bersama. Selain rakaman sejarah hidup Nabi Muhammad saw, Yusuf juga menyisipkan 3 buah nasyid, yang dirakamkan berasingan daripada cakera padat (CD) dan pita kaset mengenai sejarah hidup Nabi.

Kita mungkin telah biasa dengan majlis-majlis maulid dan mengetahui akan kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad saw. Majlis-majlis begini selalunya memberi kita dorongan serta iktibar daripada kehidupan dan perjuangan Nabi saw serta nikmat agama Islam yang Baginda wariskan kepada kita. Album ini tidak jauh berbeza daripada apa yang telah kita fahami dan lumrahi selama ini.

Yusuf Islam telah memulakan album TLTLP ini dengan melaungkan azan, yang sayup dan menggetarkan jiwa untuk terus menghayati kehidupan serta perjuangan Nabi Muhammad saw. Segala pahit getir, peristiwa dan sejarah kehidupan Nabi saw dibahagikan kepada 4 tajuk besar iaitu: ‘Kehidupan Awal Nabi’, ‘Kerasulannya’, ‘Hijrah’ dan ‘Penaklukan Kota Makkah’. Kita dikenalkan kepada detik-detik penting dalam kehidupan Nabi saw, sejak Baginda dilahirkan sebagai anak yatim sehinggalah Khutbah Terakhir serta kewafatan Baginda. Sebanyak 9 petikan Surah al-Quran disisipkan, dibacakan oleh qari Mesir Sheikh Muhammad Al-Minyaoui iaitu: Surah-surah al-‘Alaq, al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Isra’, al-Anfal, al-Haj, al-Imran, al-Saf dan al-Maidah. Selain itu, beberapa hadis yang bersesuaian dengan jalan cerita, dan dirujuk daripada kitab-kitab Sahih al-Bukhari, Mishkat al-Masabih serta An-Nawawi, juga disisipkan, bagi memperjelaskan peristiwa-peristiwa yang dipaparkan. Rakaman ini diakhiri dengan doa, dan terjemahannya diberi dalam buku kecil yang dilampirkan.

Yusuf Islam merakamkan 3 buah nasyid mengenai Nabi Muhammad saw, masing-masing berjudul: ‘Tala’a al-Badru ‘Alayna’, ‘La ilaha illa Allah’ dan ‘Muhammad al Mustafa’. Beliau menyampaikan satu nasyid sahaja, iaitu nasyid (berzanji) yang terkenal ‘Tala’a al-Badru ‘Alayna’ dan nyanyian nasyid-nasyid ini dibantu oleh Ahmed Abdul Qadir, Abdul Salam, Abu Ratib serta kumpulan koir kanak-kanak Jordan. Nyanyian nasyid ‘Tala’a al-Badru ‘Alayna’ mudah mengesankan sesiapa yang mendengar, yang disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris, saya tukil:

O the White Moon rose over us
From the Valley of Wada’
And we owe it to show gratefulness
Where the call is to Allah
………………………………………………….
O you who were raised amongst us
Coming with a word to be obeyed
You have brought to this city nobleness
Welcome! Best caller to God’s way

Kesimpulan

Album TLTLP ini adalah suatu usaha yang baik untuk menarik minat mereka yang kurang pengetahuan agama Islam, mahupun mereka yang telah mendalami agama Islam. Yusuf Islam sengaja merakamkan CD/kaset berasingan bagi kisah hidup Nabi saw, yang disisipkan dengan beberapa Surah daripada al-Quran dan CD/kaset bagi 3 buah nasyid. Rakaman berasingan ini dilakukan agar ayat-ayat suci al-Quran dihormati sebagaimana sewajarnya. Antara nasyid-nasyid ini, nasyid ‘Tala’a al-Badru ‘Alayna’ dan ‘Muhammad al Mustafa’ demikian indah menusuk ke sanubari kita. Yusuf Islam tidak menggunakan apa pun alat muzik bagi nasyid-nasyid ini, kecuali gegendang. Namun, keseluruhannya, harmoni dalam persembahan nasyid-nasyid ini menyenangkan sesiapa yang mendengarnya. Dan beberapa peristiwa dalam kisah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad saw akan menyentuh perasaan dan fikiran kita kerana peristiwa-peristiwa itu memang berupaya menyentuh jiwa kita dan bahasa serta penyampaian Yusuf Islam yang sederhana lagi jelas, juga membantu ke arah tersebut.

Kehadiran album TLTLP ini seolah-olah membuktikan bakat seni anugerah Allah ini, sebagaimana yang dimiliki Yusuf Islam/Cat Stevens, dapat disalurkan dengan indah dan memanfaatkan manusia tanpa menjadi propaganda hambar, jika kesungguhan, keikhlasan dan kebijaksanaan menjadi teras pemilik bakat seni tersebut. Dan akan kita nantikan lagi rakaman-rakaman seumpama ini, yang dibendung oleh nilai seni dan intelek yang indah serta tanpa penghayatan yang mendatar, daripada Yusuf Islam, di hari-hari muka.

Ditulis: 15 Mei 1996
Tersiar: 23 Mei 1996 di Berita Harian, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.