Sajak: ‘Si Kuning’ dan ‘Bola’

Kunyit Besar 1Kunyit Besar 2

Si Kuning

Kau menjelma lagi
setelah hujan lebat
guruh berdentum
berseleraknya daun-daun
bagai tibanya musim luruh
bertenggek di birai jendela
tekun mematuki hirisan epal
bahagia dengan rezekimu
& membahagiakan petangku.

Dahulu yang bertandang ibumu
kemudian berpasangan dengan bapamu
sebentar menceriakan hidupku
dengan gelagat & rupa mereka –
comel, kuning kunyit, bak unggas Zorro
siapakah yang kaubela Don & Dona Diego –
tapi mereka tak berkicau, asyik meladeni
rezeki itu untuk kenyang hingga ke subuh
& kemudian lama mereka menghilang
jendelaku tanpa dihias si Kunyit Besar
hingga ibumu membawa kau ke birai
kecil, bertatih, memakan hirisan epal
seolah takut-takut untuk berkenal-suai.

Hari ini sekali lagi kau menjelma
setelah hujan menyegari asar
& lama bertenggek di birai
kau tetap comel, lebih berani, besar
bersama tiung, sesekali pipit, merpati
mencari rezekimu di jendela
meriuhi dapurku & suasana
& mengindahkan hidupku akan rahmat-Nya.

Ditulis: 14 April 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Bola

Seperti bola
yang kautendang sesuka hati
apa pun permainan & padangnya
kerana kaulah penentu
gelanggang, penonton, penaja
& bola sebiji
sekadar pelengkap sorakan murba.

Bila-bila bola boleh kauanjalkan
dikempis atau ditukar
walau tanpa bola apalah permainan
apalah gelanggang, sorakan
sekadar sepak terajang sulapan
namun ramai yang rancak berbasa-basi
tanpa benar-benar menghargai
bola sebiji
wujud sebelum Raffles tiba
masyhur sezaman Sri Tri Buana
kerana gelanggang kian membesar, canggih
sorakan & penaja boleh sahaja dimuat naik.

Sekadar bola
betapa liciknya kaki hasrat
menyepak tanpa prihatin
erti etika & asasi.

Ditulis: 16 – 21 April 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Permasalahan Integriti

Prakata

Integriti adalah suatu prinsip hidup yang menjadi kayu ukur kesahihan serta kejujuran seseorang individu.  Ia bukanlah prinsip tempelan yang boleh ‘dipakai’ pada waktu tertentu dan dibuang, jika tidak lagi diperlu.  Seseorang yang menghayati prinsip ini dalam kehidupannya dapat dilihat melalui perbuatannya, bukan sekadar perkataannya sahaja; kerana berbeza dengan unsur-unsur luaran yang mungkin dipegang mengikut musim, integriti bukanlah sesuatu yang boleh ditukar masa, usia, keadaan dan sebagainya.  Lantas, seseorang yang mempunyai integriti adalah seorang yang saksama, adil dan wajar dalam tindak-tanduk dan pertimbangannya serta dalam perhubungannya antara sesama manusia.

Penjelasan Seterusnya

Apakah penting prinsip ini dalam kehidupan seharian kita? Seandainya prinsip ini tiada, adakah kehidupan kita akan lebih bahagia ataupun sengsara?

Menurut Stephen Covey, seorang pakar pengurusan kemanusiaan, integriti adalah prinsip utama yang menentukan laluan hidup seseorang.  Tanpa integriti, walaupun seseorang itu berjaya secara lahiriah: mempunyai kedudukan, kerjaya yang menjamin, rumah besar, kereta menjalar serta anak-anak di sekolah terbaik, ia tidak bermakna seseorang itu ‘berjaya’ dalam erti kata yang sebenar.  Tanpa integriti dalam kehidupannya, lambat-laun kejayaan lahiriah ini akan menghambarkan hidupnya kerana kepuasan dan ketenangan tidak dimilikinya dan kehendaknya terhadap ‘ganjaran-ganjaran’ kehidupan tidak akan menemui takat ketepuan.  Seperti kata pepatah Inggeris, mungkin bagi orang begini segala-galanya ada ‘harga’, lantas nilai-nilai hidup seperti integriti juga boleh ‘dibeli’, jika itu yang diperlukannya.

Tanpa integriti, individu dan kelompok tidak akan maju sebagaimana seharusnya dalam kontinuum kehidupan.  Penilaian yang digunakan nanti akan bersifat luaran, sementara dan berlandaskan perasaan serta kehendak individu itu, bukan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat terbanyak dalam jangka panjang.

Satu contoh yang boleh ditampilkan dalam bidang kerjaya ialah kerjaya guru.  Misalnya, seorang guru yang memberi penilaian (markah) kepada murid-muridnya, boleh melakukannya dengan penuh integriti ataupun sebaliknya.  Seandainya guru itu memberi markah tinggi atau keutamaan kepada seseorang murid berdasarkan faktor-faktor seperti : murid itu/keluarganya terlebih awal dikenali sang guru, murid itu patuh kepadanya, murid itu pandai memuji guru, guru mahu murid-murid mendapat markah tinggi supaya dia dianggap sebagai guru yang baik, tanpa memikirkan taraf sebenar murid-muridnya dan sebagainya, ternyata penilaian begini adalah penilaian yang songsang.  Tentunya penilaian begini akan membahagiakan sebahagian besar para murid dan guru, tetapi pada natijah terakhir, ia tidak membantu pembangunan para murid mahupun guru tersebut.

Murid-murid serta para guru yang dibesarkan dengan cara penilaian sedemikian akan mendapati sukar bersaing dengan sesungguhnya apabila dewasa dan menghadapi dunia kerjaya yang lebih mencabar.  Murid dan guru sedemikan akan selalu berasa runsing apabila terdapat rakan sebaya/sekerja yang belajar/bekerja bersungguh-sungguh dan dengan penuh integriti, kerana kehadiran orang-orang begini sebenarnya menampilkan, secara tidak langsung, suatu kayu ukur perbandingan, dan menggoyahkan kedudukan orang-orang yang tidak menghayati prinsip integriti itu.

Keperluan menghayati prinsip integriti ini tidak dapat dinafikan dalam kehidupan seharian kita.  Bayangkan apa yag akan berlaku, jika prinsip ini tidak menjadi salah satu prinsip hidup kita.  Memenuhi keperluan kehidupan akan menhadi demikian sukar; untuk mendapatkan keperluan-keperluan asas seperti air, lampu, gas, telefon, pengangkutan, perumahan, persekolahan dan lain-lain, kita perlu mengenali ‘“orang dalam’, jika tidak, kita tidak dilayan.  Dan dengan sewenang-wenang seorang individu itu boleh diketepikan kerana dia tidak ada ‘hubungan’ dengan orang-orang yang berkepentingan.  Sikap untuk melayani semua manusia dengan wajar dan saksama, tanpa mengira warna kulit dan kedudukan, tidak akan wujud dalam paradigma begini.  Yang tertampil ialah ‘talian-talian’ yang menguntungkan, yang melanggar prinsip integriti antara insan.  Dengan kata mudahnya, prinsip integriti ini mengkehendaki kita bersikap adil, wajar dan saksama terhadap semua manusia dan dalam apa pun keadaan yang rasional.  Prinsip ini tidak membenarkan kita ‘menimba di air yang keruh’ ataupun menjahanamkan orang lain demi penakatan kita.

Persoalan integriti ini melangkaui kelainan budaya, bangsa, bahasa dan agama.  Sama ada seseorang berbangsa Amerika ataupun Singapura, misalnya, persoalan integriti tidak akan berubah kerana kelainan warganegara ini.  Seandainya prinsip integriti ini hanya boleh berlaku dalam masyarakat ‘A’ misalnya, dan tidak bersifat sarwajagat, ini bererti prinsip ini terbatas penggunaannya.  Namun, kehidupan harian kita menunjukkan sebaliknya.  Misalnya dalam bidang kerjaya.  Seseorang pekerja dibayar gaji yang setimpal dengan kelulusan dan pengalamannya dan sekitaran kerjanya baik dan ‘sihat’.  Jika prinsip integriti menjadi amalan pekerja tadi, dia tidak akan mencuri tulang atau menunggu masa untuk pulang secepat mungkin, tanpa membereskan kerja-kerjanya.

Ini tidak bererti dia menjadi ‘penunggu’ syarikat dan bekerja seperti robot.  Yang dipentingkan ialah memberi masa bermutu untuk kerjayanya dan tidak menyalahgunakan masa dan tugasnya di pejabat.  Misalnya, masa bekerja tidak digunakan untuk membuat kerja sambilannya ata kegiatan-kegiatan luarnya hingga menjejas tugasnya di pejabat;  seandainya membuat kerja secara berkumpulan, dia tidak sekadar menempelkan namanya tanpa membuat sebarang kerja; dia juga tidak akan menyalahgunakan peruntukan R & D misalnya atau sewenang-wenang mahu ‘melancong’ dan ‘mencari bisnes sendiri’ atas kelonggaran mengikuti beberapa kegiatan di luar negara yang diberi oleh syarikatnya.

Integriti, atau dengan lain perkataan, hati  nuraninya, tidak akan membenarkannya melakukan hal-hal kebalikan di atas walaupun mungkin ada di kalangan rakan sekerjanya melakukan demikian.  Dan penerapan prinsip ini tidak berubah walau di mana pun seseorang itu berada, baik di Timbuktu, Kutub Utara ataupun Singapura; seperti kata Stephen Covey, prinsip begini adalah sesuatu yang malar (constant) dan tidak mencair atau membeku bertembung dengan apa pun kenyataan kehidupan.

Tanpa prinsip integriti dalam diri seseorang individu atau sesuatu kelompok masyarakat, jambatan penilaian jaya diri yang dibina, tidak akan kukuh dan tegap.  Dan penilaian begini akan runtuh bila berdepan dengan cabaran-cabaran hebat.  Bayangkan keadaan ini: pelajar yang dianggap cemerlang dalam pelajaran kerana hubungan intimnya dengan gurunya; pekerja yang dianggap baik kerana pandai bermulut manis dengan ketuanya; orang-orang yang dianggap wakil-wakil sesuatu pertubuhan, dipilih atas dasar pilih kawan dan lain-lain.  Kemajuan yang akan dicapai oleh individu atau kelompok dalam senario di atas, amatlah terbatas.  Yang terbaik tidak akan ke depan, sebaliknya, orang-orang yang tanpa integriti, yang nilai-nilai yang dihayati adalah nilai-nilai songsang, akan menjadi sumber contoh.  Dan kelompok tersebut akan sukar mencari kemajuan sebenar, kerana ia akan sering berpusar dalam lingkaran nilai-nilai palsu dan sementara.  Dan seandainya ada kemajuan yang dicapai, kemajuan yang digarap juga berupa jangka pendek.

Penutup

Sama ada kelompok ataupun individu, kayu ukur kemajuan dan kejayaan seharusnya diterapkan dengan nilai-nilai sarwajagat, yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.  Dan menghayati prinsip integriti dalam semua bidang kehidupan adalah salah satu nilai sarwajagat tersebut.  Dengannya individu ataupun kelompok dapat maju dengan wajar dan saksama serta pembangunan yang dinikmati bukan sekadar luaran sahaja.  Dan dengannya juga kita tahu membezakan antara kaca dan manikam dan menjadi cemerlang dalam erti kata sebenar.

Menghayati dan mengamali prinsip ini, seolah-olah menanamkan benih kejujuran dan kecemerlangan dalam pohon kehidupan kita, selari dengan kata pepatah kita yang indah: Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.  Dan kita berupaya menjadi pulau indah itu, walaupun kecil, asalkan prinsip-prinsip seperti integriti menjadi pegangan kita.

Ditulis: 12-14 Ogos 1996
Kuala Lumpur, Malaysia
Tersiar: Berita Harian (Singapura), pada 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Filem Melayu [Ditulis pada Ogos 2005]

JA 2Jalan Ampas PicJA 1

(Gambar-gambar diambil daripada Internet.)

Seorang kawan Sri dari Malaysia pernah meminta Sri membawanya ke stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang terletak di Tanjong Pagar. Dia bukan hendak pulang melalui kereta api tetapi kerana dia hendak mengambil gambar stesen tersebut. Kerana banyak menonton filem Melayu lama yang kebanyakannya dibuat di Singapura, gambaran-gambaran di stesen KTM telah lama terakam dalam ingatannya. Kenangannya pada filem-filem Melayu membawa bersama kenangannya kepada beberapa tempat di Singapura yang terakam dalam filem-filem tersebut.

Sebagaimana yang ditulis oleh Rahmad Sakom, sebilangan kita mengenali secercah budaya dan sejarah masyarakat Melayu melalui filem-filem Melayu lama. Tanpanya, dokumentasi mengenai pelbagai bidang kehidupan kita akan hilang bersama masa. Dari kisah Singapura Dilanggar Todak, Dang Anum, Si Tenggang, Hang Tuah, sehinggalah  kisah Penarik Beca, Gurindam Jiwa, Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku, siri Bujang Lapuk dan lain-lain, kita terhibur dan tersentuh kerananya. Sebilangan cara hidup, permasalahan dan tempat-tempat silam di Singapura dan daerah sekitarnya telah terakam melalui filem-filem tadi. Dan kita berterima kasih kerana sekurang-kurangnya ada semacam dokumentasi untuk generasi kini dan akan datang melalui filem-filem tersebut.

Sri teringatkan kisah filem-filem kita bila membaca laporan akhbar Straits Times (pada 17 Ogos 2005) mengenai dua filem buatan tempatan yang akan ditayangkan minggu ini iaitu filem The Maid oleh Kelvin Tong dan Perth oleh Ong Lay Jinn atau Djinn. Memanglah kita turut berbangga kerana ada usaha anak tempatan untuk merancakkan industri perfileman kita. Nama-nama seperti Eric Khoo, Jack Neo, Roystan Tan, Abdul Nizam, Glenn Goei, Colin Goh dan lain-lain mula terukir dalam dunia filem kita. Kecuali sebuah dua filem, kebanyakan filem ini tidak pula menggambarkan kepelbagaian masyarakat majmuk kita. Lantas gambaran yang terakam pada khalayak yang menonton terasa sedikit kurang seimbang.  Ini tidak mengapa jika isu yang diketengahkan banyak berlegar dalam satu-satu kaum, tetapi jika ia lebih bersifat umum, rasanya perlu juga kita secara tidak langsung memunculkan kepelbagaian kita seadanya sebagaimana dilakukan oleh Colin Goh dalam filem TalkingcockThe Movienya.

Memang industri filem kita tidaklah serancaknya semasa zaman akhir 40-an sehingga awal 60-an di Singapura. Ketika itu Singapura bukan sahaja menjadi pusat perfileman Melayu malah menjadi nadi penggerak bagi beberapa petubuhan dan penerbitan Melayu. Kini studio filem Shaw Brothers di Jalan Ampas and Cathay Keris di East Coast Road hanya menimbulkan linangan air mata sahaja. Dan sesekali kita bersua dengan karyawan filem lama kita, rasa gembira kita tidak dapat tidak berbaur dengan rasa keharuan kita.

Namun, industri berfileman kita kini sekali lagi mula mendapat tempat, walaupun masih lagi bertatih. Bantuan daripada pihak-pihak tertentu misalnya Suruhanjaya Filem Singapura dan lain-lain disediakan selain biasiswa untuk mereka yang ingin mendalami bidang ini. Tetapi yang akan dibantu tentunya terhad dan ada pula batas-batasnya jika diberi bantuan. Di politeknik dan universiti kini ada bidang-bidang pembuatan/kajian filem dan video dijalankan dan terdapat juga sejumlah orang Singapura yang ghairah mengikutinya. Tetapi keghairahan ini akan malap jika apa yang diimpikan semakin tidak terjangkau. Mungkin ada baiknya jika lebih banyak ruang disediakan bagi menampilkan bakat-bakat orang kita dalam industri ini melalui filem-filem pendek atau membuat siri drama untuk televisyen. Ini tentunya memakan masa, tetapi adalah lebih baik jika kita terus mengasah bakat-bakat kita melalui siri drama dan filem pendek daripada hanya mengimport drama bersiri yang kurang berbobot dari negara jiran. Tanpa mengadakan ruang dan sokongan, bakat orang kita hanya tertinggal pada zaman kegemilangan filem Melayu sahaja.

Dunia seni memang mudah dicemari unsur-unsur yang kurang baik tetapi seniman sejati itu bukan pula manusia yang tanpa nurani dan nilai hidup. Melalui pembauran fikiran, nurani dan perasaannya yang saksama, banyak yang dapat dilahirkan untuk tatapan umum. Dia mungkin belum sebaik P.Ramlee atau Jamil Sulong atau permainan kameranya belum setanding A. Bakar Ali, tetapi jika ada sokongan dan ruang untuknya bergerak mungkin satu hari nanti dapat juga dicapai taraf sebaik mereka atau lebih baik lagi. Dan ruangan untuk karyawan filem kita tidak perlu berlegar pada bidang filem secara khusus, tetapi mungkin menjurus ke bidang drama bersiri, dokumentari, animasi dan sebagainya. Yang penting, karya-karya yang baik dan bukan filem dan siri yang memualkan dapat dihidangkan kepada masyarakat umum. Sekadar contoh, badan-badan tertentu mungkin dapat bekerjasama untuk membiaya siri dokumentari  petukangan, permainan, busana Melayu atau tempat-tempat bersejarah di Singapura dan di Nusantara atau siri animasi yang diambil daripada kesusasteraan tradisional kita. Banyak cerita yang menarik dapat ditampilkan dan Sri yakin orang kita memang berkebolehan dalam bidang ini. Kalau membuat filem biasa terlalu sukar, biarlah kita lebih menebarkan bakat dalam bidang-bidang yang nampak kecil, tapi besar maknanya bagi dunia perfileman, drama dan pendokumentasian kita.

Ditulis: 17 Ogos 2005
Tajuk Asal: Dunia Filem Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 21 Ogos 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Sejarah Bagi Seniman Dan Sastera

Harun Aminurrashid pernah berkata ‘kita tidak berasal daripada batu’ untuk menjelaskan bahawa setiap masyarakat itu ada sejarah dan legendanya yang tersendiri . Dan mengenali kedua-duanya penting bukan hanya untuk khalayak ramai, bahkan sasterawan dan seniman.

Baru-baru ini filem ‘Puteri Gunung Ledang’ yang dikatakan mengggegarkan dunia perfileman Melayu, akan memasuki pasaran antarabangsa. Filem ini bukanlah filem pertama yang meng-gambarkan legenda dan sejarah orang Melayu. Ramai yang menontonnya nanti akan mengaitkan legenda Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Hang Tuah dan percintaan mereka, tanpa merujuk kepada sumber asal cerita-cerita tersebut. Benarkah gambaran filem itu? Menurut buku Sejarah Melayu edisi Shellabear dan Sulalatus Salatin edisi A. Samad Ahmad, Hang Tuah tidak pernah bercinta dengan Puteri Gunung Ledang, malah mereka tidak pun bertemu. Yang mendaki hingga ke puncak Gunung Ledang, bertemu Dang Raya Rani, hanyalah Tun Mamat. Dan Puteri Gunung Ledang pula bukanlah seorang puteri Jawa sebagaimana digambarkan dalam filem tersebut; berbeza dengan yang dirakamkan dalam edisi Shellabear dan A. Samad Ahmad. Malah, dalam Hikayat Hang Tuah (HHT), Puteri Gunung Ledang digambarkan sebagai anak sultan Melaka dan diangkat menjadi raja setelah kemangkatan ayahandanya! Hang Tuah juga tidak ghaib; beliau meninggal dunia dalam buku edisi Shellabear dan A. Samad Ahmad. Dalam HHT pula, Hang Tuah dikatakan tidak mati tetapi berada ‘di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan’ (HHT 1975: hal. 525). Jelasnya gambaran filem itu bercanggah dengan legenda yang sedia kita maklumi.

Memang seniman dan penulis boleh merubah apa-apa sejarah yang sedia kita ketahui tetapi untuk kepentingan umum, khalayak perlu juga tahu cerita asalnya. Ada filem-filem berdasarkan sejarah dicatatkan bahawa beberapa penambahan dilakukan untuk melancarkan jalan cerita tetapi teras utama sejarah atau legenda itu tidak akan diubah. Seorang penulis boleh mencipta watak Hang Tuah atau Dang Anum yang hidup pada zaman ini di Singapura tetapi teras watak mereka iaitu seorang pahlawan Melayu dari Melaka (bagi Hang Tuah) atau seorang anak Bendahari Sang Rajuna Tapa pada zaman Singapura purba (bagi Dang Anum) tidak akan diubah kerana itulah di antara beberapa ciri dan teras watak-watak tersebut.

V.S. Naipual pernah menulis bahawa ‘yang silam mesti dilihat sebagai sudah mati, kalau tidak yang silam boleh membunuh’. Tetapi sejarawan sering mengingatkan kita untuk memahami yang silam, kerana tanpanya kita akan mengulangi kesilapan-kesilapan silam. Dan banyak sejarah sering berulang walaupun bentuknya mungkin sedikit berbeza daripada yang silam.

Terdapat sebilangan penulis yang mencipta karya-karya mereka berlatar dan berdasarkan sejarah atau legenda masyarakat. Shakespeare melakukannya bagi sejumlah karyanya demikian juga Jean Plaidy, Victoria Holt dan lain-lain. Di kalangan penulis mapan kita, nama Harun Aminurrashid terserlah kerana novel-novel sejarahnya misalnya Jong Batu, Panglima Awang, Anak Panglima Awang, Tun Mandak, Wan Derus, Wak Cantuk, Sultan Mahmud Shah dan lain-lain. MAS pula melahirkan karya sedemikian untuk kanak-kanak misalnya Sri Tri Buana, Tuk Sumang dan Dang Anum sementara Suradi Parjo menulis novelet Sang Rajuna Tapa dan drama Keris Sempena Riau. A. Ghani Hamid pula merakamkan keadaan masyarakat Melayu semasa peristiwa Syed Yasin pada zaman penjajahan Inggeris di Singapura pada abad ke-19 dalam novelnya Desa Ini Hatiku dan drama pesilat tersohor abad ke-19 di Singapura, Wak Cantuk.

Karya-karya ini dicipta bukan hanya untuk mengingatkan yang silam tetapi juga untuk meningkatkan jati diri dan perjuangan hidup pembaca. Harun Aminurrashid misalnya banyak mencipta karya sejarah semasa zaman penjajahan Inggeris dan ketika baru-baru merdeka, kerana ingin meningkatkan semangat juang pembacanya dan untuk mengingatkan bahawa lelulur pembacanya bukanlah berasal daripada batu lantas tidak punya apa-apa. Demikian juga Pramoedya Ananta Toer dengan Arus Balik, Arena Wati dengan Sudara, A. Samad Ahmad dengan Zaman Gerhana. Ramai penulis Singapura dan lainnya telah mengungkapkan kisah sejarah dalam puisi mereka; kita temui puisi ‘Hang Tuah’ oleh Amir Hamzah dan ‘Diponegoro’ oleh Chairil Anwar dan sebuah buku puisi yang hebat, Sajak-sajak Sejarah Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Sejarah dan legenda bagi penulis-penulis ini begitu hidup dan berakar dalam kehidupan khalayaknya.

Memahami laluan sejarah dan jujur dalam mengungkapkannya kadangkala boleh membawa padah kepada seniman. Ini terjadi misalnya bagi penulis-penulis Afrika Selatan sebelum hancur-nya zaman apartheid. Boris Pasternak pula menerima padah yang hebat kerana menulis novel Dr Zhivago. Novel ini, walaupun disaluti kisah percintaan, tidak menggambarkan segalanya muluk di Rusia setelah Revolusi Bolshevik, sebagaimana yang diinginkan pihak Russia. Seandainya Pasternak menggambarkan segalanya begitu sempurna dan hebat di Rusia dalam perlukisan novelnya pasti dia tidak dinafikan Hadiah Nobel, dipulau dan dicemuh oleh pihak berkuasa. Hanya gambaran sejarah sebagaimana adanya, dan Pasternak disingkir oleh negaranya.

Penulis yang tidak memahami sejarah dan legenda masyarakatnya mudah mempergunakannya untuk kepentingan-kepentingan yang tidak elok. Dia akan berlaku tidak jujur kepada seninya dan mengungkapkan apa yang diingini pihak-pihak tertentu, walaupunm bercanggah dengan nurani.

Sekadar contoh, seandainya dia hidup pada zaman Hitler di Jerman, dia akan menggambarkan segala-segalanya mengenai orang berdarah Aryan itu hebat dan sempurna dan orang yang tidak berdarah Aryan tidak akan mencapai tahap setinggi itu. Kalau ada pun orang-orang bukan Aryan yang berwibawa, dia akan seboleh-bolehnya menunjukkan orang-orang tersebut sebenarnya berdarah kacukan Aryan; lantas menafikan kebolehan orang-orang bukan Aryan tadi. Kejujuran atau seni penulis seperti ini bergantung kepada siapa yang berkuasa; kalau Hitler menghebohkan keperkasaaan orang Aryan, dia akan berbuat begitu. Kalau dia di Amerika dan bersama Christopher Columbus, dia akan mengggambarkan yang kuat hanya terdapat dalam kumpulan Columbus dan suku sakatnya, sambil menafikan secara langsung atau tidak langsung, hak sejarah kaum peribumi Amerika. Kejujuran seninya mencair dengan pemakaian pelbagai topeng canggih untuk menyorok agendanya yang sebenar.

Seniman begini, menurut Edward Said, telah dijajah pemikirannya. Mereka memiliki apa yang disebut sebagai ‘captive mind’. Tidak ternampak kebaikan yang ada dalam masyarakatnya, sebaliknya seandainya digambarkan sejarah masyarakatnya pada zaman Feringgi, Belanda, Inggeris atau Jepun, dia akan selalu berpihak pada yang berkuasa pada zaman tersebut, atau menggambarkan watak-wataknya yang hebat, hanya akan menjelma dengan adanya hubungkait dengan pihak-pihak berkuasa tadi. Baginya yang perkasa hanya lahir daripada siapa yang berkuasa.

Penulis dan seniman yang peka memahami makna sejarah dan kesannya pada manusia. Hanya penulis yang peka dan jujur dapat melahirkan misalnya cerpen ‘Cung! Cung! Cung!’ karya Jamal Ismail atau puisi ‘Melayu Baru’ tulisan Mohamed Latiff Mohamed. Kedua-duanya tidak buta terhadap sejarah atau mahu membutakan masyarakatnya terhadap sejarah dan perlakuan sejarah.

Ditulis: 23 September 2004
Judul Yang Disiarkan: Berlainan sedikit sahaja daripada tajuk yang saya beri.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Pencarian Itu

Pencarian itu bermula dari sini ketika malam sayup ini mengundang seribu penafsiran.  Dan bagai bintang-gemintang yang dihijab tahun-tahun sinar, dia pasti pencarian itu akan diakhiri penemuan.

Inilah perjalanan.  Inilah langkah.  Inilah laluan.  Dan tapak-tapak kembaranya akan terus membekas di jalanan kehidupan, mencari sebuah wadi ketenangan.  Dan pencarian itu, dia yakin sekali, akan membawanya ke suatu perjalanan pulang.

Di kota itu sinaran lampu dan bunyi jentera menerpa ke arahnya.  Dari hotel penginapannya, segalanya dapat disaksikan dan dirasa.  Dia terjaga lama sebelum subuh, menyiapkan diri dan menunggu untuk meneruskan langkahnya.

Subuh begitu sepi.  Setelah azan kedua, solat pun bermula.  Ada sesuatu bergema di hatinya ketika rakaat kedua.  Imam telah membaca sebuah surah yang membawa berbagai pengertian bagi hidupnya.  Seperti selalu, surah itu menusuk kalbunya.  Titis-titis air yang bergenang, mengalir dari kelopak matanya.  Inikah jawapan bagi segala pencariannya?  Masih diingati terjemahan surah itu ketika imam membacanya:

Demi waktu matahari sepenggalahan naik,
Dan demi malam apabila telah sunyi,
Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan
tiada pula benci kepadamu.
Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik
bagimu dari permulaan.
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya
kepadamu, lalu hati kamu menjadi puas.

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim,
lalu Dia melindungimu.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Ada pun terhadap anak yatim, maka janganlah
kamu berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang meminta-minta
maka janganlah kamu mengherdiknya.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah
kamu menyebut-nyebutnya dengan bersyukur. *

 
Selepas jam lapan pagi dia bersembahyang di Raudhah dan kemudian menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya r.a..  Sejarah yang seakan tertayang, membuat dia insaf akan erti pengorbanan dan perjuangan.  Akan makna ketabahan.  Akan tafsiran cinta kepada Tuhan dan sesama insan.  Ada semacam keharuan menemaninya, ketika dia bertafakur dan cuba menukil iktibar daripada  kehidupan berlambang seorang insan mulia.

Bukit-bukau seakan menceracak bumi dan langit pula berada dalam waktu senja nan abadi.  Ada kesayuan yang tak terucapkan, seolah kehidupan di bumi baru bermula.  Lebih 1400 tahun yang lalu, jalanan ini telah menempah sejarah.  Dan kini, dia melalui perjalanan itu, walaupun urutannya bertukar, bukan dari Makkah ke Madinah, tetapi sebaliknya.

Pencarian itu tidak sekadar bermula dari sini, itu dia tahu dan dia pasti.  Dan dia yakin, langkah-langkahnya akan membuahkan secercah erti.

Dia pernah berjanji, lebih tujuh tahun yang lampau untuk ke mari.  Bertahun janji itu tidak dapat ditunaikan, tetapi bagai gesaan yang mendera, janji itu tidak dapat dilupakan.  Dia inginkan semacam perbualan, semacam peleraian terhadap resah gelisah hidupnya dan  akhirnya, tanpa disangka-sangka, selama 1l hari pada bulan Disember 1990, dia berada di sana.  Inikah tunjangan pencariannya?

Dengan apakah dapat digambarkan perasaannya pertama kali berdepan dengan Masjidilharam dan Kaabah?  Apakah dapat dilukiskan segalanya?  Atau, seperti sebuah catatan diari yang sarat dengan lambang dan makna, hanya diri yang pernah mengalami dapat memahaminya?  Inikah inti daripada perjalanan dan pencariannya?

Tuhanku
Di pinta-Mu aku mengetuk
Aku tidak bisa berpaling.

Betapa kecil dirasakan dirinya, betapa seni terasa segala masalahnya ketika berdepankan Kaabah.  Namun, bagai gumpalan benang kusut yang lama disimpaninya, bebola kusut satu-satu terkeluar ketika dia beriktikaf, bertawaf, mengucup Hajar Aswad, bersembahyang di Hijir Ismail, Multazam, Makam Ibrahim, bersai, minum air zam-zam, berzikir, membaca al-Quran serta ibadat-ibadat lainnya.  Masanya menjadi demikian panjang, untuk menilai diri, berdoa, minta keampunan.  Dan masa sesingkat 11 hari itu memberinya suatu ketenangan yang sejauh ini belum pernah dirasakan.

Dalam ketenangan itu dia telah bermohon dan berdoa untuk dirinya, keluarganya, saudara dan sahabatnya, malah penghuni dunia.  Betapa banyak bintik-bintik hitam telah meruangi hati dan hidupnya, yang tidak membenarkannya melihat kecerahan.  Dan betapa banyak tekanan yang menggenjotinya, yang tidak membolehkannya menikmati kehidupan.  Bagai seekor burung, dia disangkari suasana yang membelenggu kemanusiaan dan kebebasannya.  Dia mahu terbang tinggi dan jauh.  Dia mahu menjadi sebebas merpati di Tanah Haram, setenang suara imam membaca ayat-ayat al-Quran, dan setabah dan segigih insan mulia itu dalam mengharungi kehidupan dan setiap perjuangan.

Akankah aku kembali kepadamu, dia sendiri tidak pasti, ketika mengerjakan tawaf wadak.  Berilah aku keupayaan untuk datang ke sini lagi, doanya, dan ketabahan menghadapi segalanya.  Tuhanku, berilah aku kekuatan dan kesabaran untuk meneruskan sebuah pencarian.

Dia mencari dirinya di Eropah, ketika musim bunga baru berlalu dan musim panas baru bermula.  Pemandangan yang demikian indah, lebih indah daripada poskad-poskad yang pernah dilihatnya dan berbagai manifestasi tamadun manusia, membuatnya terpegun dan tersentuh akan kebolehan manusia dan keagungan Sang Pencipta.  Inikah pencariannya?  Ketika di Belgium, melawati Netherlands, mengharungi Sungai Rhine, singgah di Puncak Titlis dan Tasik Lucerne, di Switzerland.  Menyaksikan keagungan peradaban manusia di Venice, Florence, Pisa, Rome, Vatican City.  Terkenangkan Vincent van Gogh di Arles, Perancis, melawati Nice, Cannes, Paris dan mengharungi Sungai Seine.  Kembali ke United Kingdom.  Antara London yang menganugerahkan berbagai pengalaman dan Canterbury yang menimbulkan pelbagai kenangan, dia masih mendapati dirinya dalam satu jaluran pencarian yang panjang.  Di manakah akan dijumpai sebuah penemuan?

 
Siapakah yang tidak cintakan tanah tumpah darahnya?  Tempat dia bermain dan menjadi dewasa?  Siapakah yang tidak akan tersentuh, mendengar berita mengenai tanah airnya, terutama ketika dia berada di luar negara?  Bertahun di luar negara, dia tetap merindukan bunyi bising di Bedok Interchange, kesibukan di Geylang, Kampung Gelam, Katong/ Parkway dan kedamaian di pantai East Coast.  Riuh dan ragamnya anak-anak sekolah, telatah mama perata, senyuman penjual tauhue atau ‘apa khabar’ mak cik penjual nasi bungkus dan kuih.  Akankah dia tidak akan lagi terharu membaca berita anak yang ditinggalkan ibu, orang tua yang terbiar, orang muda yang perlukan rawatan ginjal atau pelajar miskin yang mengharumkan nama masyarakat?  Apakah cinta itu mesti diselarikan dengan pejalnya persetujuan, sedangkan dia adalah manusia bebas?  Apakah pencariannya bermula dari sini, ketika cintanya yang mendalam ini sering disaring dan ditafsiri?

Apa yang dialami bukan sekadar suatu kesedihan.  Perasaan itu melebihi kesedihan.  Dia berasakan semacam kehampaan, memaklumi kata-kata yang tidak diselaraskan kenyataan.  Dan dirinya terpanggang; bukan sekadar tidak diambil kira keupayaan dan usaha, malah harga dirinya.  Inikah suatu silap mata?  Tiba-tiba sepucuk surat menggelapkan masa depannya.  Pintu itu dihentam dan ditutup buat selamanya.

Inti suaranya tidak banyak berubah seperti mana suara dua orang ahli keluarganya ketika menyatakan berita buruk itu.  Hanya secebis warkah dan segala usahanya tidak memberi kesan apa-apa.  Saudarnya tergamam dan terharu mendengar nada suara yang hampir serupa superti kedua saudaranya dulu, memaklumi kesan peristiwa yang tidak jauh berbeza.   Nenek dan ibu saudaranya menangis.  Air matanya jatuh bertitisan ketika meletakkan gagang telefon itu.  Apakah yang dapat dilafazkan, apa lagi yang harus diusahakan?  Akan berlarutkah lagi sebuah pencarian?

Dia teringatkan kata-kata Shakespeare, dalam salah sebuah dramanya: ‘As flies to wanton boys, are we to the ‘gods’, they kill us for their sport’.  Betapa tidak wajar dirasakan segalanya.  Apakah ini suatu kelumrahan yang perlu ditanggunginya?  Inikah cagaran yang terpaksa dibayarnya? Tidak cukupkah segala apa yang dialami selama ini?  Atau manusiakah yang telah menjadi boneka tak berjiwa dan watak-watak wayang kulit sahaja?

Jangan.  Jangan berputus asa. Tuhan tidak memberati satu jiwa melainkan apa yang sanggup ditanggunginya.  Dia teringatkan keluarganya, sahabatnya, orang-orang yang dikasihinya.  Dia terkenangkan seorang guru yang pernah mengajarnya di sekolah menengah dulu.  Kini, segala pesanan gurunya bermain di kalbu.  Di teringat ketika menulis karangan dulu, yang berdasarkan beberapa peribahasa Melayu.  Dua buah peribahasa yang menjadi tajuk karangan, sekan-akan menjelma di hadapan: ‘Di tempat tiada helang, belalang mengaku helang’ dan ‘Anak di pangkuan mati kelaparan, beruk di hutan disusukan’.   Dan kepedihannya berlarutan.

 

Peristiwa itu telah menjejas seluruh hidupnya.  Seolah-olah segalanya hanya suatu sandiwara yang diadakan ‘asal boleh’ sahaja.  Dia terasa dirinya bagai seorang Cordelia, seorang watak dalam drama Shakespeare, berjudul ‘King Lear’.  Apakah seperti Cordelia, betapa luhur pun niatnya, tindakannya tetap di persalah, kerana dia tidak pandai memadui kata?  Apakah juga seperti Cordelia, dia akan terus disingkirkan dari Britain yang dicinta dan Raja Lear yang disayanginya?  Inikah  tragedi pencariannya?

Dia merenung awan, menyusur pantai.  Berasa demikian hampa dan keseorangan.  Apakah dia akan bermula lagi dari tangga alif walaupun pendakiannya sudah demikian jauh?  Apakah penafian demi penafian ini belum pun sampai ke tahap tepu?  Atau diakah, seperti pohon tak bernama yang pernah disajakkannya dulu, tidak akan dibenarkan menjadi rimbun dan teguh?

Dia terkenangkan dua ahli keluarganya.  Apakah perasaan terbungkam ini sama seperti apa yang mereka alami dulu?  Apakah segalanya akan terus berulang bagai lingkaran musibah yang tidak akan putus?  Dia teringatkan seorang guru, yang antara lain menulis di sijil persekolahannya: ‘She possesses a high sense of duty and an independence in thinking. She should do well…’   Itukah terkaan melulu atau harapan yang tidak akan terpenuh?  Semacam kesedihan meruangi hidupnya.  Dihabiskan masa dengan merenung, membaca, bertemu saudara dan sahabat, membuat kerja-kerja lainnya. Tetapi persoalan yang memberati jiwanya tidak pernah terjawab.  Atau inikah jawapan daripada segala persoalannya di Masjidilharam?  Inikah ertinya sebuah pencarian?

I decided long ago
never to walk in anyone’s shadow
if I failed, if I succeed
at least I live as I believe
no matter what they take from me
they can’t take away my dignity

Seni kata lagu itu membawanya kembali ke masa kini, yang perlu difikirkan dan diisi.  Betapa indah pun semalam, ia sekadar kenangan.  Betapa pahit pun peristiwa, ia sekadar pengalaman. Yang penting ialah masa kini, yang perlu dihidupi sepenuhnya dan diperkukuhkan dari peristiwa dan kenangan silam.  Dia harus merangkai masa kini,  walaupun ini bererti memilih jalan-jalan yang mungkin tidak pernah dipilih, dan memberi erti kepada kewujudan dan pencariannya selama ini.

Apakah ada hanya satu laluan untuk mencapai cita-cita?  Apakah terdapat hanya satu jalan menuju ke syurga?  Betapa banyak pilihan dalam sebuah kehidupan dan betapa besar ertinya sebuah kedewasaan.  Dia tidak akan memecahkan kepalanya untuk meruntuhkan tembok; biarlah tembok-tembok itu berdiri teguh, dia tahu bukan sekadar satu tukul besi yang berupaya dimilikinya.  Dirikanlah seberapa banyak tembok, ujar hatinya, dan manusia tetap gemilang dalam meruntuhkannya, kalau tidak kini, di suatu masa menjelang.  Dan betapa pahit pun sesuatu pengalaman, ia bukanlah rantai yang dapat membelenggu sebuah kehidupan.  Dia ingin bebas dan bahagia seperti merpati di Masjidilharam.

Tekadnya sudah kejap. Walau nanti dia mungkin menangis, dia tidak akan kecewa.  Benar, sesekali kenangan itu akan mengusik jiwanya; bila terkenangkan nyanyian lagu ‘Wind Beneath My Wings’ mereka atau telatah dan kerenah saudara dan sahabatnya.  Itu bukan suatu kelemahan, sekadar peringatan, dia juga manusia, kadang terusik oleh penghargaan dan kasih sayang sesama manusia.

Daerah itu dijengah buat kali terakhirnya.  Bagai perakam video, dia merakam segalanya dan kemudian menyimpan pita itu di suatu tempat yang tidak akan lagi dibuka.  Cukuplah sekadar di sini.  Cukuplah sekadar aku mengetahui dan memaklumi dan tidak lagi memusatkan segala titik-tolak hidupku di sini.  Apa pun hikmah Tuhan di atas segala kejadian, aku tidak menyesal, kata hatinya.  Dia yakin  sekali, suatu hari kelak, segalanya akan terjawab.  Dan pencariannya akan menemui pengakhiran yang bererti.

Tiada selamat tinggal akan diucapkan.  Apakah yang dapat diucapkan kepada peristiwa-peristiwa silam yang banyak mengajar dan mendewasakannya?   Bagaimanakah akan dituturkan menjadi penghuni yang sebenarnya tidak diterima?  Tetapi kini hatinya tidak lagi hampa, kesal, kecewa.  Bagai hujan, segalanya kini menyegarkan kerana rantai yang membelenggu kehidupannya, putus.  Semacam pembersihan jiwa atau katarsis kini mengiringi pengkelanaan dan pencariannya.

Jejaknya kini mula diatur.  Dan dia tahu perjalanannya masih terlalu panjang dan jauh…

 
Ditulis : 1 – 10 Ogos 1991
Bedok, Singapura
Tersiar : Berita Minggu (Singapura) pada 1991
Tulisan: Rasiah Halil.

*Surah Adh-Dhuhaa, Al-Quran dan Terjemahannya, KL: Pustaka Antara, 1976, halaman l070-71.

 

5 Kuntum Sajak: ‘Di Pasir Salak’, ‘Kabus’, ‘Air Hayat’, ‘Hanya Yang Kasih’ dan ‘Kambing’

Di Pasir Salak

Ada keharuan tak terucap
di tepi Sungai Perak
Birchkah yang bertandang
atau Maharaja Lela kian hilang
& kita seakan lesu
dipusar waktu
antara sejarah & masa depan
& akankah berulang
pukaunya peristiwa
dalam dunia tanpa sempadan?

Ditulis: 19 November 1996
Pasir Salak, Perak, Malaysia
Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Kabus

Kabus inikah selendangmu
melambai pergi, pagi ini,
menutup rahsia
menghadiahkan seperca
busana alam
penuh misteri, mistik,
bagi pengembara yang hilang
Sejarah Melayunya & tuan puteri.

Ditulis: 22 Mei 1999
Gunung Ledang, Johor, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Air Hayat

Tak pernah wujud di dunia
walau puas kau mencarinya
tanyalah Iskandar
tanyalah Khidr
selongkarlah bumi
jelajah langit
renangi lautan
& belajar mentafsir
yang kautemui hanyalah kefanaan
kecuali iman menghidupi hati
& mengalirnya air hayat
bak sejalur mukjizat
daripada yang hakiki.

Ditulis: 13 Januari 2002
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Hanya Yang Kasih

Pilihlah kasih
bila kebencian membusa
Allah & Rasul dipersenda
& citra kita tegar
dikusam ketika.

Betapa mudah menghina, membunuh
sedang kasih itu bak benih
bertahun membesar, merimbun
menghias bunga & buah santun
daun-daunnya ihsan, adil, cinta
dari Haramain, dunia, alam semesta
sinarnya gemerlap
sejak Adam hinggakan Muhammad.

Sempurnalah al-Quran, as-Sunah
bukan yang tohor, liar
mentarbiahkan tawaduk, ikhlas
sejak lahir sampai ke Arasy.

Hanya yang kasih
mampu menggemakan sejahtera.

Ditulis: 4 Mac 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kambing

Kambing-kambing itu terlepas
dalam panas terik
di padang luas
berumput kering
perairannya berpasir
& si pengembala gelabah
takutkan binatang buas
takutkan amarah tuannya
lalu kambing-kambing disasar
diherdik, ditibai
jangan berlagak serigala
jangan membuat onar
terutama kambing hitam
sering bermasalah, terpencil.

Semakin tegas si pengembala
mengawal ternakannya
jangan lagi terlepas
jangan mengganggu sekitar
biar ladang permai
biar semua sejahtera
& di padang nan luas
cuaca semakin terik
keringat melekit
& pelbagai fatamorgana tiba-tiba menyisip.

Ditulis: 2 – 4 April 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.