Prakata: Nyanyian Si Anak Dagang

PRAKATA

Kumpulan puisi ‘Nyanyian Si Anak Dagang’ ini merupakan puisi-puisi pilihan saya yang ditulis dari 1992 sehingga 2011. Ia mengandungi 178 puisi yang dibahagikan kepada tiga bahagian kecil iaitu ‘Mencari Pulau’, memuatkan 47 puisi, ‘Di Tanjung & Di Selat’ mengandungi 59 puisi dan ‘Di Pelabuhan Hayat’ yang menampilkan 72 puisi.

Menyusul kumpulan puisi ‘Sungai & Lautan’ (DBP, 1995), yang memuatkan puisi-puisi pilihan saya dari 1972 sehingga awal Januari 1992, kumpulan puisi ‘Nyanyian Si Anak Dagang’ ini meneruskan ‘pelayaran’ saya mencari makna dan cuba memberi respons kepada kehidupan yang saya tempuhi. Muatan saya dalam ‘pelayaran’ ini, sejak pertama kali karya saya diterbitkan pada 1972 ialah, saya adalah anggota masyarakat Melayu beragama Islam, masyarakat peribumi yang merupakan masyarakat minoriti di Singapura. Namun muatan saya insya-Allah dikejapkan juga oleh tali temali dan kemudi serta sauh daripada nilai-nilai kemanusiaan dan kesejagatan Islam dalam melayari sebuah kehidupan.

Bahagian ‘Mencari Pulau’ merupakan semacam pencarian akan rasa ‘kehilangan’ saya setelah digenjotkan beberapa peristiwa yang amat menjejas saya secara peribadi dan dalam kerjaya. Ini ditautkan dengan ‘pencarian’ saya ke beberapa tempat di Asia dan Amerika Utara, termasuk bermastautin selama setahun di Kuala Lumpur, Malaysia.

Bahagian ‘Di Tanjung & Di Selat’, masih meneruskan pencarian itu dan dimulakan dengan puisi ‘Dan Air Mata Sepanjang Sungai’, tajuk yang diambil daripada sebaris pantun tradisional Melayu, yang menggambarkan terhempasnya kapal terbang Singapura, SilkAir MI 185, di Sungai Musi, Palembang, dan membunuh 104 nyawa, sejumlah besarnya merupakan rakyat Singapura. Bahawa tragedi ini berlaku di Palembang, memusarkan beberapa tafsiran terhadap sejarah silam dan juga yang mutakhir. Demikian juga beberapa puisi bahagian ini yang cuba memberi respons kepada hal-hal semasa baik yang berbentuk peribadi mahupun sebaliknya.

Bahagian ‘Di Pelabuhan Hayat’, ‘pelayaran’ saya semakin mendekati pelabuhan yang tenang apabila ia berlabuh di Makkah dan Madinah pada musim haji pada Januari sehingga Februari 2004. Saya semakin terlihat samudera yang besar, walaupun perahu saya tetap kecil dalam menyusur sungai, laut dan lautan kehidupan dan pelbagai perkara tetap menyentuh sanubari dan fikiran saya lalu lahirlah beberapa puisi. Rasa ‘kehilangan’ seorang anak dagang, orang yang sering dianggap ‘orang luar’ oleh beberapa lingkungan, saya cuba damaikan dengan layar tawakal dan reda. Dan puisi-puisi dalam kumpulan puisi ini adalah nyanyian kehidupan saya, seorang anak dagang dari Singapura.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Berita Harian Singapura dan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan beberapa penerbitan lain yang menyiarkan sejumlah besar puisi dalam kumpulan puisi ini. Ucapan terima kasih saya yang khusus saya tujukan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia kerana sedia menerbitkan kumpulan puisi ‘Nyanyian Si Anak Dagang’ ini.

Rasiah Halil

2013.

 

 

 

 

Advertisements