Archive | June 2013

Jerebu

june-19-singapore-skyline
Siapakah yang mengasapi jerebu ini
kalau bukan kita
bermaharajalela, melembaga,
alpa mencemari alam
leka membibiti kehancuran
berlagak dengan pembangunan
sedangkan alam, membisu ubi
menanggungi, memerhati,
lapisan ozon yang semakin bocor
& keihsanan kita yang kian rapuh.

Inikah jerebunya kehidupan
mengaburi bukan sekadar pandangan
menyesakkan bukan sekadar pernafasan
memurungkan lagi kepiluan
menyedut & melampias
tindakan-tindakan tak terwajar
gejala-gejala tak tercatat
melegami daerah-daerah legar
di kebun bernama kemanusiaan?

Ditulis: 16hb Oktober 2002; Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil

Seekor Koala Bernama Sam

Australia Wildfires

Kerana cuai & kurang peduli
kita menghangati kepanasan bumi
sehingga terbakar hutan, belukar,
haiwan-haiwan terbunuh, cedera,
yang liar & yang diternak, dipelihara,
bagai satu-satu akan dihapusi
koala, tupai posum, kanggaru, walabi.

Seekor koala di hutan Mirboo Utara
disekelilingi hutan hangus, terbakar,
di wilayah Victoria, Australia,
ia terduduk, sukar bergerak,
kehausan & cedera
& terperangkap
sehingga muncul ahli bomba, David Tree,
mendekatinya
memberinya air galian
3 botol dihabisi
& koala itu mencekup & memegang tangan David
membenarkan dirinya diusap
seolah menyatakan yang liar boleh dijinakkan
andai manusia ikhlas & mengambil berat.

Seekor koala bernama Sam
yang dibalut, diberi titisan antibiotik
yang terpisah dari hutan yang dihuni
masih percaya
kebaikan manusia
kebergantungan bersama
& bersuara, tanpa kata,
makna kepedulian & kerjasama
sebelum semuanya hangus di bumi kita.

Ditulis: 12hb – 16hb Februari 2009; Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Bila Barah Payudara Menjengah– Sebuah Catatan Pengalaman

images

Oleh Rasiah Halil

Prolog

BARU-BARU ini (15/16 Mei 2013) pendedahan Angelina Jolie mengenai kemungkinannya terkena barah payudara dan tindakan beliau menjalani pembedahan mastektomi (pembuangan seluruh payudara) bagi kedua-dua payudaranya sebagai langkah pencegahan menimbulkan pelbagai reaksi. Angelina berisiko tinggi terkena barah payudara (87 peratus) dan barah ovari (50 peratus) kerana faktor gen atau baka yang ‘rosak’ atau mutan. Ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia pada 2007 kerana barah payudara dan ibu saudaranya, Debbie Martin, meninggal dunia kerana barah yang sama pada 26 Mei yang baru lalu.

Perangkaan Lembaga Penggalakan Kesihatan (Health Promotion Board/HPB) menunjukkan barah payudara merupakan barah yang paling lumrah dihidapi wanita di Singapura. Seorang daripada 20 wanita di Singapura berkemungkinan terkena barah payudara semasa hayatnya.  Menurut HPB lagi, setiap tahun seramai 1500 wanita terkena barah ini dan lebih kurang 250 wanita meninggal dunia akibat barah ini namun perangkaan nasional terkini (The Straits Times, 1 Jun 2013) menunjukkan jumlahnya telah bertambah: sebanyak 1624 terkena barah payudara setiap tahun dan daripada jumlah keseluruhan yang menghidap barah ini, 381 orang akan meninggal dunia. Sesiapa yang seakan dijengah barah payudara ini pasti berasa khuatir dan ngeri akan kemungkinan-kemungkinan yang bakal menimpa dirinya dan semua yang disayanginya.

Segala pernyataan dan fakta ini mungkin tidak menimbulkan banyak kesan kepada kita kerana besar kemungkinan kita menganggp ia tidak akan menjejas kehidupan kita. Tetapi bagaimana pula jika ahli keluarga, sahabat karib atau anda sendiri menjadi sebahagian perangkaan tadi? Apakah tindakan dan perasaan anda bila dijengah barah payudara?

Beberapa faktor yang mungkin menyebabkan barah payudara. Baka
Antara faktor yang menyebabkan barah payudara ialah faktor baka atau keturunan. Angelina Jolie bertuah kerana mempunyai kelebihan rezeki yang membolehkan beliau menjalani ujian gen/baka yang dianggarkan di antara $1500 sehingga $5000. Kebanyakan kita mungkin tidak berkemampuan menjalani ujian sedemikian. Namun, mengetahui ada keluarga anda terkena barah payudara atau barah ovari mungkin membolehkan anda membuat jangkaan sekilas sama ada faktor baka ada juga memainkan peranannya bagi kemunculan kedua-dua barah ini. Ia boleh juga membantu anda agar lebih bersiap sedia menghadapi penyakit-penyakit ini.

Bagi keluarga saya, sejauh yang saya tahu, tiada sesiapa yang meninggal dunia kerana barah payudara daripada pihak keluarga bapa saya. Daripada pihak keluarga ibu saya berlainan pula halnya. Di kalangan ibu saya dan adik-beradiknya tidak seorang pun terkena penyakit ini tetapi ini berbeza dengan generasi saya.

Dua orang sepupu saya meninggal dunia kerana barah payudara. 14 tahun lalu seorang kakak saya terkena barah payudara peringkat awal, menjalani pembedahan dan pulih dengan pemakanan ubat. Lebih 12 tahun lalu, seorang sepupu saya di Kuala Lumpur menjalani pembedahan dan kemoterapi kerana barah yang sama dan pulih. Anak kepada sepupu saya yang meninggal dunia juga terkena barah payudara, dan setelah rawatan, beliau pulih. Dan dua tahun lalu, seorang pangkat cucu saudara saya, seorang ibu muda,  meninggal dunia kerana barah ovari. Fakta-fakta ini seharusnya membuat saya lebih berhati-hati dalam hal kesihatan saya tetapi seperti kebanyakan orang, saya cuai memberi perhatian akan hal sedemikian.

Pemakanan
Bagaimana pula dengan pemakanan anda, adakah ia seimbang? Sebilangan besar kita tidak menjaga pemakanan kita, termasuk saya. Walaupun saya makan sayur dan buah-buahan, saya gemar memakan daging dan tidak begitu gemar memakan ikan. Saya juga suka makanan bergoreng dan jarang memakan makanan yang dikukus. Dan saya sering makan di luar yang selalunya dibumbui monosodium glutamate/msg (bahan perisa), digoreng, berlemak trans dan sebagainya. Dan saya suka meminum minuman manis dan memakan kuih-muih yang manis.

Pemakanan boleh membantu timbulnya penyakit ini, lebih-lebih lagi apabila usia anda meningkat dan berat badan anda bertambah dan keseimbangan dalam pemakanan jarang anda amalkan. Dan ia juga bergantung dengan ketahanan dalam badan anda. Ada orang menitik beratkan pemakanan seimbang dan bertubuh langsing tetapi barah payudara tetap menimpanya. Begitu juga ada orang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kencing manis misalnya tetapi pemakanannya banyak yang manis-manis yang agak keterlaluan tetapi penyakit ini tidak dihidapinya. Namun, menyedari semacam keanehan yang boleh berlaku, pemakanan seimbang dan penjagaan kesihatan tetap menjadi pilihan yang lebih baik.

Gaya Hidup
Apakah hidup anda penuh dengan tekanan? Memang kebanyakan kita tentu mengalami tekanan dalam kehidupan. Dan tidak semua tekanan itu menjejas kesihatan. Ada orang menganggap tekanan bagaikan angin berlalu dan berusaha menangani masalah ini dengan saksama. Tetapi ada juga yang berasa dibelenggui masalah tekanan dan membenarkannya berkubu dalam kehidupan. Tekanan boleh menjelma dalam berbagai bentuk. Menyiapkan kerja di rumah, selain kerja di pejabat juga boleh menimbulkan tekanan. Masalah keluarga, persekolahan, perhubungan, kewangan dan sebagainya juga boleh meresahkan kita. Walaupun kita bersikap positif dan enggan disaluti perasaan kasihan pada diri sendiri, kadangkala bibit-bibit tekanan yang kita cuba singkirkan ini tercampak dan tumbuh juga dalam ladang kehidupan kita.

Saya berasa gaya hidup saya tidak begitu sihat kerana pekerjaan yang saya lakukan. Mungkin ini juga yang dialami sebilangan anda. Sejak pulang dari mengajar di Brunei pada 1990, kecuali selama dua tahun bekerja sepenuh masa di dua buah institusi pengajian tinggi, selebihnya, selama 21 tahun, saya terpaksa ‘mencipta semula’ kerjaya saya dan bekerja sambilan sebagai pengajar, pelatih (trainer), penterjemah dan penyunting buku. Ini bermakna masa kerja saya tidak tetap. Kadangkala saya mengajar pada waktu petang ketika orang lain berehat, bekerja sehingga ke larut malam atau memberi latihan sepanjang hari. Tidak mustahil juga saya kadangkala menyiapkan kerja-kerja terjemahan dengan cepat kerana dateline yang diberi. Dan seperti pekerjaan-pekerjaan sambilan yang lain, sebahagian besar kerja-kerja ini tidak diberi sumbangan tabung simpanan pekerja dan setiap bulan, gaji yang anda terima tidak tetap; pasang surut gaji anda berencam. Mungkin faktor-faktor sebegini boleh juga menjejas kesihatan anda dan bercambah kepada penyakit-penyakit seperti darah tinggi dan barah.

Usaha Lembaga Penggalakan Kesihatan/HPB Menangani Barah Payudara
HPB banyak menguar-uarkan mengenai barah payudara, penyakit-penyakit kronik, pemakanan seimbang dan sebagainya  untuk warga dan penduduk Singapura dalam pelbagai iklan, buku kecil, risalah dan sebagainya. Penyakit payudara bukan lagi suatu penyakit tersorok sebagaimana pada tahun-tahun 50-an atau 60-an dahulu. Banyak usaha telah dijalankan agar kita sedar akan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil sebelum terkena penyakit ini. Dan sebagai wanita warga Singapura, saya juga mendapat undangan, ketika mencecah usia saya 50 tahun pada 2006 dari pihak HPB agar saya menjalani pemeriksaan mamogram bersubsidi di poliklinik dalam skim ‘BreastScreen Singapore’. Tetapi saya menundakan pemeriksaan tersebut kerana terlupa, sibuk dan juga kerana menganggap pemeriksaan sebegini tidak begitu  mendesak.

Dan yang paling aneh, saya merupakan salah seorang penterjemah sambilan untuk HPB sejak akhir tahun-tahun 1990-an sehingga awal 2008 dan sebahagian besar hal-hal berkaitan dengan barah payudara yang diterbitkan dalam pelbagai format, saya yang menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Namun secara kejiwaan saya seakan tidak menghadami apa yang saya terjemahkan dengan sebenar-benarnya. Sehinggalah kenyataan memaksa saya berdepan dengan barah payudara.

Selintas Latar Kesihatan Saya
Sejak beberapa tahun ini kesihatan saya sering terganggu tetapi tiada apa-apa serius yang didapati oleh doktor. Saya pernah dimasukkan ke hospital pada 1996 kerana secara tiba-tiba saya mengalami alahan terhadap ubat antibiotik biasa dan lain-lainnya. Saya diberi kad ‘Medik Awas’ yang harus saya bawa bersama saya setiap masa kerana tanpanya doktor dan sebagainya tidak tahu alahan saya. Dan tersalah diberi ubat boleh mengakibatkan kematian.

Saya sering juga bagaikan hendak demam apabila menjelang petang tetapi selalunya demam ini tidak menjadi. Dan apabila saya benar-benar sakit selalunya berlarutan. Saya mudah penat dan kaki saya bermasalah kerana pernah terjatuh di Gunung Kinabalu, selain cecair dalam tempurung lutut yang berkurangan. Dahulu saya sering terkena migrain setiap bulan tetapi sejak empat lima tahun ini, migrain saya menghilang tetapi yang timbul pula ialah masalah sukar tidur malam. Walaupun saya jenis manusia ‘nokturnal’ sejak zaman remaja, yang memang tidur lambat dan lebih dapat menumpukan perhatian pada waktu malam tetapi saya tiada masalah sukar tidur malam sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini. Dan tidak seperti zaman muda saya ketika saya gemar bermain bola jaring dan juga mengajarnya di sekolah selain berolahraga, kini saya
amat jarang bersukan dan bersenam. Kesannya, kesihatan saya terjejas.

Bila Barah Payudara Menjengah – Satu Catatan
Bagaimana perasaan anda jika anda dapati ada sesuatu yang ‘aneh’ pada payudara anda? Mungkinkah anda terfikir ia sekadar ‘biji angin’ atau fikiran anda akan menerawang kepada soal-soal berkaitan dengan barah payudara?

Itulah yang saya alami baru-baru ini.

Segala-galanya kelihatan biasa sehinggalah saya mendapati semacam biji angin di payudara kiri saya. Ini pada mulanya tidak mengkhuatirkan saya; semasa sebelum menopaus sering ada semacam biji angin yang tiba-tiba menjelma bersama kedatangan haid dan kemudian menghilang. Tetapi kali ini ia berlainan. Ini berlaku pada akhir Januari atau awal Februari lalu. ‘Biji angin’ tersebut membesar dengan cepat dan pada 28 Februari 2013, saya menjalani pemeriksaan mamogram di Poliklinik Pasir Ris.

Pada petang 8 Mac, surat keputusan pemeriksaan mamogram saya terima. Menurut surat itu, saya harus menjalani pemeriksaan-pemeriksaan ultrasound dan biopsi di Pusat Barah
Kebangsaan Singapura (National Cancer Centre Singapore/NCCS) kerana terdapat ketidakaturan (irregularities) dalam payudara saya semasa pemeriksaan mamogram.  Ketika itulah saya seakan tersentak; betapa barah payudara ini boleh benar-benar menjejas kehidupan saya.

Tarikh pemeriksaan ultrasound dan biopsi saya di NCCS dijadualkan pada 20 Mac 2013. Dalam menanti tarikh tersebut banyak perkara yang pasti anda fikirkan jika anda berada di tempat saya. Saya menyelesaikan tugas-tugas saya, misalnya mencari guru pengganti bagi pelajar-pelajar saya, menolak beberapa projek yang masih di peringkat  perbincangan/awal, menghubungi orang-orang terdekat, memastikan makanan dan ubat-ubatan mencukupi bagi kucing-kucing saya serta ada yang membantu mereka diberi ubat dan dibersihkan (seekor kucing saya lumpuh kedua-dua kaki belakangnya dan harus dibantu dalam pembuangan najis besar dan kecilnya), bertemu doktor peribadi, peguam, pegawai insurans, pihak Tabung Simpanan Pekerja (CPF), membuka akaun bersama dengan anak saudara saya bagi buku-buku bank simpanan saya serta membeli dan membaca rencana dan buku mengenai barah payudara dan rawatan (syifa’) secara islami. Mungkin anda harus membuat persiapan yang lebih daripada ini. Dan anda akan terasa masa berlalu begitu cepat kerana dalam sekelip mata sahaja pemeriksaan-pemeriksaan yang penting harus anda jalani di NCCS.

Pada 20 Mac saya menjalani pemeriksaan ultrasound dan kemudian bertemu dengan pakar bedah barah payudara di NCCS. Beliau memberitahu saya terdapat tumor (ketumbuhan) di kedua-dua payudara saya dan tumor di payudara kiri saya agak besar daripada biasa. Pemeriksaan biopsi juga dijalankan untuk mengambil beberapa tisu/sel dari kedua-dua payudara  dan juga nodus limfa (lymph nodes/ di bawah ketiak) sebelah kiri saya. Dan pengalaman menjalani pemeriksaan-pemeriksaan ini boleh menakutkan seseorang, terutama jika anda pergi ke sana bersendirian. Saya bertuah kerana ditemani ahli keluarga dari Singapura dan luar negara dan ada juga kawan-kawan yang ingin mengambil cuti untuk menemani saya.

Sesuatu yang menggembirakan saya ketika di sana – semua kakitangan di NCCS begitu cekap dan ceria menjalankan tugas mereka sehinggakan sebilangan kami yang digundah-gulanakan pelbagai perasaan ketika menanti dan menjalani pemeriksaan menjadi lebih tenang. Dan anda akan bertemu pelbagai pesakit di sana; anda perlu menguatkan semangat kerana ada sesetengah pesakit ini boleh membuat anda sedikit gerun dan hilang semangat.

Anda mungkin berasa takut, bimbang dan resah menanti keputusan ahli patologi yang memeriksa sel/tisu anda. Anda akan diberitahu sama ada tumor anda malignan (malignant/ada barah) atau benigna (benign/tiada barah). Saya dijadualkan bertemu pakar bedah payudara saya di NCCS pada 3 April, jam 10 pagi. Ada orang tumornya tidak sebesar 2 sentimeter sudah pun terkena barah payudara tahap ketiga; tumor kiri saya sebesar 11 sentimeter (laporan yang dikeluarkan pihak NCCS beberapa minggu setelah rencana ini ditulis dan disiarkan mencatatkan tumor payudara kiri saya sebenarnya 12 sentimeter) dan yang kanan 1.5 sentimeter.

Ramai sahabat handai mungkin mengunjungi anda semasa penantian ini dan memberi sokongan dan bantuan dalam pelbagai hal, sebagaimana yang saya alami. Dan banyak saranan yang akan anda terima daripada mereka; akhirnya anda sendiri yang harus bijak memilih saranan-saranan yang dikemukakan dan menghadapi kemungkinan terkena barah. Saya berasa takut kerana kalau benar tumor saya malignan,  persiapan saya ke kampung akhirat  masih di peringkat tadika, dan banyak lagi tanggungjawab saya di dunia yang belum lagi saya pikuli dengan sempurna. Banyak perkara mengimbau dalam fikiran anda – orang-orang yang anda sayangi tetapi telah berpulang ke rahmatullah, apakah anda akan bersama mereka dalam sesingkat masa? Dan orang-orang (serta kucing-kucing) yang anda sayangi dan mungkin tidak sempat melihat mereka menjadi semakin dewasa atau bersama mereka meniti usia senja.

Walaupun demikian, dalam kesibukan meladeni pelbagai hal, ada masa-masanya anda menjadi demikian bersendirian, berdoa dan mengadu kepada Allah akan segala keresahan hati anda. Dalam keheningan malam, melintasi tempat-tempat tertentu, mendengar sesuatu atau bertemu seseorang dan sebagainya, kadangkala air mata anda mudah bergenang dan menitis kerana anda terasa kedaifan anda sebagai makhluk Allah yang sedang diuji-Nya dan betapa besar nikmat kehidupan yang telah diberikan-Nya kepada anda selama ini. Mungkin Allah ingin membersihkan dosa-dosa anda atau menaikkan martabat anda di sisi-Nya. Anda semakin sedar dan insaf bahawa segala-segalanya adalah sementara, apa pun penyakit ada penawarnya, kecuali maut yang datang bertandang. Dan betapa benar ucapan yang lumrah anda ketahui: inna lillahi wa inna ilaihi rajiun:  kita daripada Allah dan kepada Allah kita akan kembali.

Selepas solat subuh pada 3 April, saya selesai menulis wasiat saya dan kemudian meng-emelkannya kepada adik lelaki saya, seorang peguam, di Brunei. Beliau mendoakan agar saya tabah menerima keputusan NCCS dan memberitahu beliau hanya dapat  menghubungi saya semasa rehat, sekitar 12.30 tengah hari, kerana terlibat dalam sebuah perbicaraan di mahkamah Brunei ketika itu. Saya menjawab khidmat pesanan ringkasnya dengan berkata bahawa insya-Allah saya akan tabah dan apa pun keputusan NCCS, saya reda dan saya yakin Allah tidak akan memberati saya apa yang tidak mampu saya tanggung.

Pada jam 10 pagi, 3 April, kata-kata terindah yang saya dengar daripada pakar bedah payudara di NCCS ialah: tumor anda tidak malignan. Rasa kesyukuran saya dan mereka yang terdekat dengan saya tidak terkira. Beliau memberitahu bahawa saya amat bertuah kerana ini. Namun, saya harus menjalani pembedahan mastektomi pada payudara kiri saya kerana tumornya terlalu besar. Tumor saya tidak benigna tapi borderline iaitu antara malignan dan benigna. Beberapa minggu setelah saya dibedah, saya bertemu dengan  pakar bedah payudara saya dan juga pakar radioterapi. Saya diberitahu tumor saya jenis phyllodes, iaitu sejenis tumor yang jarang berlaku (langka) dan merupakan kurang 1 peratus daripada semua jenis barah payudara. Tumor phyllodes ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu benigna, borderline dan malignan. Satu ciri tumor ini ialah ia membesar dengan cepat. Dan tumor jenis borderline ini boleh juga bertukar kepada tumor jenis malignan. Kajian mengenainya tidak banyak terdapat kerana ia jarang berlaku.

Saya menjalani beberapa pemeriksaan di NCCS dan Hospital Besar Singapura (Singapore General Hospital/SGH) sebelum dibedah pada 18hb April. Setelah pembedahan, tiub akan
dipasang di tempat pembedahan anda untuk mengeluarkan darah dan cecair badan ke dalam balang plastik yang ada vakum udara. Anda diajar membuat beberapa senanam, menukar balang plastik, mencatat dan melaporkan kepada jururawat barah payudara (breast cancer nurse atau disebut ‘breastcan’) sebanyak mana darah dan cecair badan anda mengalir ke dalam balang plastik setiap hari. Anda akan berasa tidak selesa kerana adanya semacam ‘ekor’ iaitu tiub dan balang plastik tersebut. Dan banyak ketikanya anda harus berulang-alik ke NCCS kerana soal pengaliran darah ini dan hal-hal lain.

Empat minggu setelah saya dibedah, saya bertemu pakar radioterapi di NCCS. Saya diberitahu kerana tumor saya borderline dan terlalu besar, doktor bedah tidak dapat membuang tumor tersebut dengan ‘garis bersih’ (clear margin) yang dikehendaki. Selalunya ‘garis bersih’ ini sekitar 2 sentimeter daripada tumor anda dan semasa pembedahan, tumor dan sehingga sempadan ‘garis bersih’ ini akan dibuang. Semasa pembedahan mastektomi saya, sebanyak 3 milimeter ‘garis bersih’ pada payudara saya tidak dapat dibuang kerana ia akan menyentuh otot dan tulang saya. Pakar radioterapi menyarankan saya menjalani radioterapi (radiasi), selama lima minggu, lima kali setiap minggu kerana ‘garis bersih’ yang belum mencukupi semasa mastektomi. Kemungkinan tumor ini berulang ialah 9 peratus, dengan radioterapi kemungkinannya menurun sehingga 4.5 atau 5 peratus. Kesan sampingan radioterapi ini termasuklah bahagian yang diradiasi menjadi gelap, saya akan batuk-batuk, tulang yang terkena radiasi menjadi sedikit rapuh dan ada kemungkinan 5 peratus ia akan mengganggu jantung saya. Seandainya peratusan tumor ini tumbuh berulang lebih tinggi, misalnya 20 atau 30 peratus atau tumor saya jenis malignan, saya tidak akan teragak-agak menjalani radioterapi. Memandangkan perulangannya tidak tinggi (9 peratus) dan jika menjalani radioterapi pun hanya separuh sahaja dapat dibuang, saya menolak menjalani radioterapi walaupun saya boleh merubah fikiran mengenainya dalam masa dua tahun.

Anda akan beberapa kali pergi ke NCCS dan SGH kerana bertemu beberapa karyawan perubatan. Seandainya anda memilih untuk membina semula payudara anda sebagaimana Angelina Jolie, anda akan dibedah selama lapan jam atau lebih. Sebilangan orang, seperti saya, tidak membuat pilihan ini tetapi memilih untuk menggunakan payudara prostetik (tiruan) yang akan diukur mengikut ukuran payudara anda. Ini akan mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan kerana anda harus menanti darah anda di tempat pembedahan telah benar-benar kering dan tiada komplikasi. Anda akan berasa sakit dan juga kebas di tempat pembedahan anda dan daerah sekitarnya. Kadangkala anda sukar mengangkat tangan anda, terutama apabila nodus limfa anda turut dikeluarkan semasa pembedahan. Pada mulanya anda tidak boleh memakai baju dalam dan apabila dibolehkan anda harus menggunakan baju dalam istimewa, khas untuk pesakit barah payudara dan menggunakan payudara daripada fabrik sebelum anda benar-benar pulih daripada pembedahan dan boleh menggunakan payudara prostetik. Dan NCCS akan menjadi tempat yang anda berulang kunjungi walaupun anda kelihatan pulih terutama apabila tumor anda di tahap borderline atau malignan.

Kesimpulan
Bagi saya, pengalaman berhubung dengan barah payudara ini amat menyentak. Saya terasa betapa cuai saya terhadap kesihatan saya dan membenarkan perkara-perkara yang boleh saya kawal, seperti pemakanan saya, menjadi tidak terkawal. Mungkin ada beberapa langkah yang boleh kita ambil agar barah payudara ini tidak menjadi sesuatu yang mengeruhkan dan menyekat pengaliran sungai kehidupan dan keceriaan kita.

Di antaranya:
1. ‘Pencegahan itu lebih baik daripada rawatan’ – betapa benar kata-kata ini apabila dikaitkan dengan barah payudara dan penyakit-penyakit kronik yang lain. Hampir 90 peratus daripada mereka yang terkena barah payudara boleh pulih jika dikesan lebih awal. Anda boleh melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan, seminggu selepas hari pertama haid anda, dan kalau ada yang tidak normal, berjumpa doktor.  Jangan cuai menjalani pemeriksaan mamogram kerana pengesanan awal ini boleh membantu anda. Dan jika terdapat semacam ‘biji angin’ jangan buat tidak endah atau pergi urut sahaja, terutama jika ia berlarutan kerana ia mungkin menjadi tumor yang malignan.

2. Menjalani mastektomi atau apa-apa pembedahan yang berkaitan dengan barah payudara tidak menjadikan anda seorang yang kurang kewanitaannya. Ada pesakit yang enggan dibedah kerana menganggap mereka menjadi kurang sempurna sebagai wanita dan isteri. Tetapi apa pula erti ‘kesempurnaan’ jika kerananya kita semakin menderita dan mungkin mengundang maut? Bak kata Angelina Jolie (Berita Harian, 17 Mei): ‘Secara peribadi, saya tidak berasa kurang sebagai seorang wanita. Saya berasa bertenaga kerana telah membuat pilihan berat yang tidak sama sekali mengurangkan kewanitaan saya.’

3. Jika ada ahli keluarga anda diminta menjalani pemeriksaan ultrasound dan biopsi, temanilah mereka. Pemeriksaan-pemeriksaan sebegini boleh menimbulkan rasa gerun dan jika dikongsikan atau diberikan perhatian oleh mereka yang terdekat, rasa gerun tersebut boleh berkurangan. Dan jika ahli keluarga anda sedang menghidap barah payudara, luangkan masa untuk bersama mereka, memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan. Penghidap barah payudara (dan juga barah yang lain) mungkin mengalami pelbagai kitaran perasaan – terlalu murung, marah, tidak menerima dan sebagainya. Sokongan, bantuan dan kasih sayang anda kepada pesakit boleh memulihkan semangatnya dan mendorongnya untuk bersikap positif dan meneruskan sikap
juangnya berdepan dengan penyakit barah payudara ini.

4. Ubah cara pemakanan dan gaya hidup anda. Apabila saya menerima surat yang menyatakan pemeriksaan mamogram saya menunjukkan sesuatu yang tidak normal, saya beransur-ansur merubah cara pemakanan saya. Saya berhenti memakan daging kambing, lembu, ayam, udang, sotong, makanan segera dan sebagainya. Saya hanya memakan beberapa jenis ikan, sayur dan buah. Saya juga berhenti meminum minuman bersoda dan memakan cemilan sesuka hati. Setelah hampir sebulan dibedah, barulah saya mula memakan daging, tetapi sedikit sahaja. Makanan-makanan bergoreng dan sebagainya saya kurangkan atau tiadakan. Walaupun badan dan tenaga saya belum pulih, saya berasa saya lebih sihat kerana beberapa kilogram berat badan saya dapat diturunkan. Saya juga mencuba untuk mengurangkan kadar tekanan dalam hidup saya, baik deadline yang dibenarkan meresahkan saya, projek-projek yang terlalu mendera saya atau kerencaman pekerjaan saya. Mungkin anda juga akan bertindak sedemikian, sesuai dengan kata-
kata hikmah yang berbunyi: ‘Tuhan, beri aku ketenangan untuk menerima perkara-perkara yang tidak boleh aku ubah, keberanian untuk merubah apa-apa yang boleh aku ubah dan kebijaksanaan untuk membezakan kedua-duanya.’

5. Saya yakin berdoa, berzikir, bersolat sunat dan sebagainya boleh membantu seseorang pesakit berhadapan dan jika diizinkan Allah, menangani penyakitnya. Saya bersyukur ramai ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan mendoakan saya. Keikhlasan hati seseorang yang berdoa untuk orang lain atau dirinya, saya yakin memudahkan doa tersebut dikabulkan. Anda akan semakin tabah berhadapan penyakit anda setelah melakukan amalan-amalan ini dan betapa pun peringkat barah payudara anda, dengan amalan-amalan ini, anda akan menjadi lebih tenang menerima apa pun ketentuan Allah untuk anda. Bacalah kitab-kitab yang menerangkan pelbagai amalan ini dan juga buku-buku seperti Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser oleh Hj Lokman Abdul Hamid, Zikir Penyembuh Kanser oleh Prof. Dr. H.M.Amin Syukur, M.A., Ikhtiar Penyembuhan Penyakit oleh Dato’ Dr. Haron Din dan sebagainya yang mungkin boleh membantu anda.

6. Penyakit ini mungkin semakin mengingatkan kita betapa singkat dan rapuhnya usia serta nyawa kita kerana pada bila-bila masa sahaja kita boleh diundang Allah untuk kembali ke pangkuan-Nya. Mungkin persiapan kita belum mencukupi, lantas kita harus cuba mencukupkannya dan melepaskan banyak hal yang seakan membebankan perjalanan kita. Dan seperti dilagukan P.Ramlee, banyak perkara negatif yang tidak perlu lagi kita kenang kerana kalau kita kenang, akan meracun diri kita sendiri. Mungkin ada baiknya kita lebih bijak menepis yang negatif dalam kehidupan kita kerana yang positif masih teguh merimbun dan belum lagi kita hargai dan hayati sepenuhnya.

Barah payudara ini hanyalah satu sebab yang boleh berakhir dengan maut tetapi sikap kita
terhadap penyakit ini, semangat juang kita untuk tidak berputus asa daripada rahmat Allah dan sikap berbaik sangka dan berlapang dada kita terhadap Allah dan manusia, boleh juga memainkan peranannya dalam penyembuhan atau pengurangan penyakit barah payudara ini.

Benar, seperti pesanan Rasulullah saw, kita harus menambat unta kita dan kemudian bertawakal kepada Allah. Demikianlah, kita harus berusaha seberapa yang mampu untuk mengurangkan terjadinya atau merebaknya penyakit barah payudara ini. Selebihnya, biarlah kita belajar bertawakal dan reda akan segala ketentuan-Nya, kerana saya yakin apa pun ketentuan, Allah tidak akan mensia-siakan hamba-hamba-Nya. Betapa berat pun mata orang memandang dan betapa berat pun bahu yang memikul, kalau tawakal dan reda menjadi ‘pelampung’ kita, walaupun kita mungkin tewas, kita tidak akan ‘hanyut’ berhadapan dengan barah payudara dan isu-isu yang berkaitan dengannya, insya-Allah.

 ***Tulisan: Rasiah Halil***
Ditulis: 28 Mei – 2 Jun 2013.

Latar
Keinginan untuk merakamkan pengalaman berhadapan dengan kemungkinan terkena barah payudara ini mula timbul apabila saya menerima surat pada 8 Mac 2013, meminta saya menjalani pemeriksaan-pemeriksaan ultrasound dan biopsi di Pusat Barah Kebangsaan Singapura, setelah pemeriksaan mamogram menunjukkan ada ketidakaturan (irregularities) dalam payudara saya. Pada 20 Mac, apabila saya menjalani pemeriksaan ultrasound dan biopsi, saya memberitahu para doktor dan jururawat yang mengendalikan saya bahawa saya akan menulis mengenai pengalaman ini, apa pun kesudahan pemeriksaan saya. Harapan saya, tulisan saya kelak dapat memberi sedikit manfaat bagi mereka yang belum menjalani pemeriksaan mamogram, yang harus menjalani pemeriksaan-pemeriksaan lanjutan, keluarga mereka, para pesakit barah payudara dan sebagainya.

Setelah dibedah pada 18 April dan minggu-minggu berikutnya, dengan beberapa pemeriksaan dan rawatan susulan, saya masih terlalu lemah untuk menulis apa-apa. Hanya pada minggu ketiga Mei, tenaga saya beransur pulih sedikit dan semangat ingin berkongsi semakin membara apabila Angelina Jolie menulis mengenai pembedahan mastektominya pada 15 atau 16 Mei 2013.  Saya mula menulis catatan ini pada 28 Mei dan selesai menyiapkannya sekitar subuh, pada 2 Jun 2013 dan mengemelkan kepada pihak Berita Harian Singapura.

Pihak Berita Harian memutuskan untuk menyiarkannya di Berita Minggu pada 9 Jun dan
menghantar seorang jurugambar ke rumah saya pada 6 Jun untuk mengambil gambar saya bersama kedua-dua kucing saya. Saya juga diberitahu bahawa rencana saya akan dipotong kerana keterbatasan ruang. Saya bersyukur kerana walaupun terpaksa dipotong, mesej rencana tersebut masih kesampaian.

Inilah keseluruhan rencana tulisan saya.

Mengenangmu

ramlee8

(Mengenang 40 tahun pemergian P. Ramlee:
lahir: 22 Mac 1929 dan meninggal: 29 Mei 1973)

Betapa kau mempelitai kami
bersumbukan seni
dengan corong ikhlas
keterampilan
bahawa hidup ini khazanah
kaya dengan kepelbagaiannya
dalam lagu, lakon, skrip, mengarah,
pejal bagai batu prisma
memantul & mendokumentasi
warna-warni perjalanan bangsa.

Betapa kau mengilhami
makna penglibatan seni
‘tika ‘seniman’ mudah tergoda
‘tika namamu dijejer sesukanya
sedang semasa menderita, sepi,
kau & Saloma bagai tersingkir
yang heboh meminggir
& bakat besar yang seharusnya mengawan
terjerlus oleh kepicikan wawasan.

Teuku Zakaria, P. Ramlee,
Allah sahaja membalas
jasamu pada bangsa & seni.

Ditulis: 29 Mei 2013; Bedok,
Tulisan: Rasiah Halil.