Archive | March 2017

Kata Mutiara: Kisah Gelas Dan Danau

Seorang guru sufi mendatangi seorang muridnya ketika wajahnya kebelakangan ini selalu nampak murung dan sedih.

“Kenapa kau selalu murung dan sedih, Nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?” si Guru bertanya.

“Guru, kebelakangan ini hidup saya penuh dengan masalah. Sukar bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tiada akhirnya,” jawab si murid muda.

Si Guru tersenyum. “Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam, bawalah kemari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu.”

Si murid pun beranjak perlahan tanpa semangat. Ia melaksanakan permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa segelas air dan dua gengam garam sebagaimana yang diminta.

“Cuba ambil segenggam garam, dan masukkan ke segelas air itu, setelah itu cuba kau minum airnya sedikit” kata si Guru.

Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini meringis kerana meminum air yang sangat masin.

“Bagaimana rasanya?” tanya si Guru.

“Masin, dan perutku mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih meringis.

Si Guru tersenyum sekali lagi apabila melihat wajah muridnya yang meringis kemasinan.

“Sekarang kau ikut aku.” Si Guru membawa muridnya ke danau berhampiran tempat mereka. “Ambil garam yang segenggam lagi, dan tebarkan ke danau.”

Si murid menebarkan segenggam garam yang tersisa ke danau, tanpa bicara. Rasa masin di mulutnya belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin dari mulutnya, tapi tidak dilakukannya. Rasanya kurang sopan meludah di hadapan gurunya itu, begitulah fikirnya.

“Sekarang, cuba kau minum air danau itu,” kata si Guru sambil mencari batu yang datar untuk didudukinya, bersebelahan pinggir danau.

Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air danau, dan membawanya ke mulutnya lalu meneguknya. Ketika air danau yang dingin dan segar mengalir di tekaknya, si Guru bertanya, “Bagaimana rasanya, Nak?”

“Segar, segar sekali Guru,” kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan tangannya. Tentu sahaja, danau ini berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air danau ini juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya.

“Terasakah rasa garam yang kautebarkan tadi?”

“Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Si Guru hanya tersenyum memperhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air danau tersebut sepuas-puasnya.

“Nak,” kata si Guru setelah muridnya selesai minum. “Segala masalah dalam hidup seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kaualami sepanjang kehidupanmu itu sudah dikadarkan oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap sebegitu, sebegitulah ia, tidak berkurang, tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah.”

Si murid terdiam, mendengarkan.

“Tapi Nak, rasa `masin’ dari penderitaan yang dialami itu sangat bergantung dari besarnya ‘qalbu'(hati) yang menampungnya. Jadi Nak, supaya tidak terasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikanlah qalbu (hati) dalam dadamu itu sebesar danau.”

*Kisah ini dikirimkan oleh sahabat karib saya dari Malaysia melalui e-mel pada 2008. Ia begitu mengesankan sehingga saya mencipta sajak ‘Seluas Danau’ pada 8 Jun 2008 yang termuat dalam blog ini dahulu.

 

 

Catatan 7-8 Mac 2017

1. Pelbagai fikiran  ingin saya kongsikan sejak masukan terakhir blog saya pada Februari lalu. Tetapi ini tidak kesampaian. Saya disibukkan oleh beberapa tugas, kesihatan saya sedikit terganggu, ada pertemuan-pertemuan yang tidak dijangkakan dan terdapat juga berita-berita yang menyentak perasaan.

2. Ada dua berita kematian di kalangan kerabat saya Februari lalu. Seorang, anak saudara arwah Busu saya, merupakan peniaga yang dikenali di daerah Geylang Serai. Beliau lama menderita sakit barah dan meninggal dunia pada 13 Februari lalu. Sikapnya yang ramah dan dermawan  serta  mengambil berat terhadap mereka yang ditemui, termasuk pekerja asing, mengingatkan kita kepada kebaikan yang sentiasa ada di hati manusia.

Seorang lagi, Hajah Jauyah binti Haji Hashim, merupakan ibu kepada adik ipar saya di Brunei. Allahyarhamah lahir pada 1923 dan meninggal dunia pada 20 Februari lalu. Saya memanggil Allahyarhamah ‘Babu’, yang bererti ‘ibu’ dalam bahasa Brunei.  Orangnya tidak tinggi tetapi semangat berdikarinya tinggi – beliau ada perniagaan menjahit dan dahulu pernah menjahit untuk permaisuri Brunei.

Saya menemui Babu semasa saya melawat Brunei pada 1986 dan mulai 28 Februari 1987 sehingga April 1990, ketika saya bertugas di Universiti Brunei, saya ada juga menemui Babu di rumahnya dan juga di rumah kedua-dua orang anaknya. Orangnya suka bercakap dan  kelihatan cepat bergerak dan bertindak.

Satu kenangan saya dengan Babu yang sukar saya lupakan ialah anggapannya bahawa saya seorang pendengar yang baik terhadap apa pun percakapan dan pandangannya.  Sesekali pada tahun-tahun 80-an itu, saya singgah ke rumah Babu, setelah pulang dari bertugas atau semasa hari cuti umum. Rumahnya tidaklah terlalu jauh dari rumah adik ipar saya. Babu ramah dan suka berbual. Saya mendengar dengan teliti perbualan-perbualannya dan selalu berkata: ‘Ya, Babu’, setiap kali saya berasa perlu menyambut perbualannya. Babu memberitahu adik ipar saya, beliau suka bercakap dengan saya kerana saya seorang pendengar yang baik. Sebenarnya, seperti saya nyatakan kepada adik ipar saya, separuh daripada percakapan Babu yang menggunakan bahasa/dialek Brunei, tidak saya fahami. Lantas saya hanya tersenyum, mengangguk dan berkata ‘ya, Babu’. Bahasa/dialek Brunei sebagaimana bahasa/dialek Malaysia dan Indonesia, menyenangkan saya mendengarnya walaupun tidak semua tutur kata dalam bahasa/dialek tersebut saya fahami.

Babu telah lama sakit dan wanita yang dahulu begitu cergas, tidak dapat lagi secergasnya pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Babu dan seorang kerabat saya serta mereka yang telah berpulang ke rahmatullah dan menempatkan mereka di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga. Amin. Al-Fatihah.

3. Menjelangnya bulan Mac membawa berita pemergian dua orang seni, seorang di Singapura dan seorang lagi, di Malaysia.

M. Ishak, penyanyi zaman Pop Yeh Yeh, meninggal dunia pada 2 Mac lalu. Sesiapa yang membesar pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu, pasti mengenali Allahyarham. Saya beberapa kali tertembung beliau di  Geylang Serai, terutamanya di  kawasan Pusat Penjaja Haig Road, yang dinamakan ‘Liverpool’ Singapura. Ada sahaja kawan-kawan yang menemani beliau, termasuk penyanyi zamannya. Mungkin itulah kebahagiaan mereka – dapat bersama, bersantai dan mengenang masa silam.

Saya pernah menulis dahulu mengenai menghargai dan mengabadikan sumbangan seniman kita. Sebelum terlalu terlambat, semoga ada usaha untuk mendokumentasikan zaman Pop Yeh Yeh, yang bermula di Singapura dan kemudian bertali-arus ke Malaysia dan diikuti di Nusantara. Kumpulan anak-anak muda ini bukan hanya boleh bermain muzik, malah mencipta lagu dan seni kata, yang masih menjadi kenangan bersama (collective memory) kita. Selain kugiran dan penyanyi utama mereka, terdapat penulis seni kata lagu yang baik, misalnya Allahyarhamah Salamah Basiron. Kita belum banyak mendokumentasikan penyumbang dan sumbangan zaman Pop Yeh Yeh. Pemergian M. Ishak mengingatkan kita, terutama pihak-pihak yang berkaitan yang mahu melestarikan sumbangan seni zaman tersebut, agar bertindak cepat sebelum terlambat. Kita tidak seharusnya sekadar bernostalgia tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengekalkan sumbangan seni penggiat seni muzik kita dalam bentuk dokumentasi atau mengadakan pelbagai lowongan agar mereka masih boleh terus memberi sumbangan seni mereka.

Pemergian Tan Sri Dr Jins Shamsuddin pada 1 Mac lalu tentunya mengharukan ramai orang. Allahyarham terkenal sebagai pelakon sejak 1957 apabila menjadi pelakon utama, Suria Kencana, dalam filem arahan P. Ramlee, ‘Panca Delima’.  Beliau menjadi pujaan ramai orang, termasuk saya. Filem pertamanya yang saya tonton di Panggung Queen, Singapura, pada 1961 berjudul ‘Si Tanggang’. Dan beberapa filemnya kemudiannya saya tontoni, termasuk filem-filem arahannya.

JSSatuth[1]th[6]

thTE38LTRMdownload (4)th51DL3O9Y

download (3)th39T073X4js

 

 

[Gambar-gambar di atas diambil dari Internet. Dua gambar terakhir diambil pada 24 November 1993 di Dewan Bahasa dan Pustaka dan perkarangannya semasa saya menghadiri dan menyampaikan kertas kerja dalam ‘Siri Dialog Puisi Nusantara’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.  Gambar-gambar ini disiarkan dalam Majalah Nona, keluaran 15 -28 Februari 1994.]

Saya bertemu Allahyarham dalam satu pertemuan sastera di Perak pada 1980 .Beliau membaca puisi dan saya terkejut beliau hadir dalam majlis tersebut. Selepas majlis, beliau bertemu khalayak. Arwah  gembira bila mendengar saya dan seorang kawan datang dari Singapura. Saya tergamam kerana hero saya ada di hadapan mata dan mula berbual tetapi kerana tergamam, saya berbual dalam bahasa Inggeris dan bertanyakan mengenai filem-filem arahannya. Ketika itu ‘Menanti Hari Esok’ sudah pun ditayangkan dan filem ‘Esok Masih Ada’ belum atau baru ditayangkan. Bagi saya, bahasa Melayu merupakan bahasa jiwa dan emosi saya, kalau saya tuturkan semasa tergamam, saya lebih beremosi. Beliau tersenyum dan ramah orangnya. Kawan saya mengusik, hero saya rambutnya sudah luruh tetapi bagi saya, beliau tetap hero saya sebagaimana P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Aziz Jaffar, Mustaffa Maarof dan beberapa orang lagi.

Kali kedua, saya bertemu Allahyarham di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 24 November 1993. Beliau menghadiri acara ‘Siri Dialog Puisi Nusantara’. Saya menyampaikan kertas kerja mengenai ‘Puisi Melayu Singapura’ dan membaca sebuah cerpen saya pada siang harinya. Saya dapat  bergambar dengan beliau dan beberapa gambar saya yang lain bersama penulis dan peserta serta wawancara, disiarkan dalam Majalah Nona, pada Februari 1994. Acara Dewan Bahasa dan Pustaka itu diteruskan pada malam tersebut atau keesokan malamnya. Saya membaca sajak berjudul ‘Perca Kehidupan’. Dalam sajak tersebut (ada dimuatkan dalam blog ini dahulu) ada menyebut nama beberapa orang seni, termasuk nama Jins Shamsuddin. Saya memilih sajak ini lebih awal, semasa diminta penganjur ketika saya berada di Singapura. Dan sajak tersebut didengar Allahyarham, yang hadir dalam majlis deklamasi puisi itu.

Allahyarham membuat persembahan sebagai pelakon pentas di Singapura pada akhir tahun-tahun 1990-an atau awal tahun 2000 dahulu. Beliau bermonolog dalam drama tulisan Kuo Pao Kun, ‘The Coffin Is Too Big For The Hole‘ yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Lakonannya hebat. Setelah lakonan itu, beliau beredar ke tempat duduk penonton kerana bertemu dengan seorang kawan lama, yang juga merupakan kawan Allahyarham P. Ramlee dan Saloma. Saya duduk tidak jauh dari kawan beliau tetapi saya terlalu segan untuk menyapanya. Bagi saya, dapat menonton lakonan pentas Allahyarham merupakan sesuatu yang sudah cukup menggembirakan saya.

Apakah sumbangan seorang Jins Shamsuddin kepada dunia seni kita? Sumbangannya banyak dan kehidupan kita turut diwarnai kerana adanya orang-orang seperti beliau. Ada hasratnya tidak kesampaian – untuk membuat filem mengenai perpisahan Singapura dari Malaysia kerana perpisahan kedua-dua negara ini ada sentuhan peribadinya bagi diri Allahyarham. Hasrat beliau untuk membuat filem sejarah mengenai Pasir Salak juga tidak tercapai. Dan seperti seniman Jalan Ampas dan Cathay Keris yang lain, beliau juga melalui pelbagai liku untuk terus menjadi anak seni setelah studio-studio filem di Singapura ditutup. Dan beliau juga bergelut dengan beberapa masalah peribadi yang sesekali terpancar juga dalam filem-filem arahannya. Namun, semangat juangnya dan kecintaannya kepada seni, ilmu dan majlis ilmu, sehingga mendapat Phd pada 2010, merupakan hal-hal yang membanggakan kita. Allahyarham juga sempat merakamkan biografinya, Suria Kencana, yang ditulis oleh Mohd. Zamberi A Malek pada 1998.

Seniwati Sarimah pernah berkata, setiap kali filem-filem seniman dahulu ditayangkan, tiada satu sen pun diberi kepada para seniman itu. Inilah kontrak buat filem pada zaman dahulu, berbeza dengan kontrak filem di Hollywood.

Mungkin masih belum terlambat agar beberapa usaha dapat dijalankan agar kontrak-kontrak filem dan yang berhubungkait dengannya lebih memanfaatkan seniman kita. Dan mudah-mudahan akan ada lebih banyak kajian dan dokumentasi mengenai  Allahyarham Jins Shamsuddin dan para seniman silam kita yang dibuat sesaksamanya.

Lebih banyak cerita Allahyarham yang dikenang keluarga dan rakan taulannya, saya pasti. Yang saya berasa sedikit kurang senang, mengapa dalam Wikipedia berbahasa Melayu atau pautan-pautan tertentu, gambar Allahyarham yang uzur diketengahkan? Kita tahu Allahyarham uzur sebelum pemergiannya tetapi adalah lebih baik jika gambarnya semasa beliau sihat dipaparkan dan boleh sahaja ditulis bila gambar tersebut dipetik. Kita tidak meminta gambar Allahyarhan yang terlalu muda belia dipaparkan dalam pautan seperti Wikipedia atau pautan-pautan tertentu, tetapi pilihlah gambar yang tidak merendahkan martabatnya. Demikian juga dengan seniman-seniman kita yang lain, yang telah berpulang ke rahmatullah.

Kita masih ada orang-orang seperti Nona Asiah, Rosnani, Hashimah Yon, Zaiton, Sarimah, Ruminah Sidek, A. Bakar Ali (jurugambar zaman P.Ramlee), Wahid Satay, Mat Sentol dan mungkin beberapa orang lagi. Lakukanlah sesuatu agar penglibatan dan pengetahuan mereka dapat dimanfaaatkan dan didokumentasikan. Dan juga golongan pelapis mereka yang kini juga sudah meniti usia senja. Pelbagai cara, sama ada dengan  memberi geran penulisan/kajian, membolehkan mereka menjadi pensyarah/penceramah seni, menulis biografi atau autobiografi selain dokumentari boleh diusahakan, sebelum terlambat. Orang-orang seni ini, sebagaimana Allahyarham Jins Shamsuddin sudah pun memberi sumbangan mereka kepada dunia seni kita, inilah masanya sumbangan itu kita perpanjangkan lagi dalam pelbagai cara untuk kemanfaatan mereka dan dunia seni kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham Jins Shamsuddin, M.Ishak dan semua seniman kita yang telah berpulang ke rahmatullah. Dan semoga mereka ditempatkan di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga. Amin. Al-Fatihah.

4. Dalam bulan Februari dan awal Mac juga saya menerima berita-berita yang tidak disangka-sangka. Seorang kawan baiknya tiba-tiba dimasukkan ke hospital. Kami sudah berkawan sejak tahun-tahun 70-an lagi dan telah melalui pelbagai suka-duka kehidupan. Saya benar-benar terperanjat kerana tidak mendengar beliau sakit teruk, tiba-tiba dimasukkan ke  hospital. Alhamdulillah kesihatannya bertambah baik walaupun masih dalam pengawasan doktor.

Seorang lagi kawan, guru geografi yang pandai berpantun secara spontan dalam bahasa Melayu dan Inggeris dan semasa di kampus dahulu saya menggelarnya ‘Hero Hindustan’ (beliau tiada darah India atau Pakistan), tiba-tiba kami dapat berita beliau sakit. Beliau sudah menjalani kemoterapi berpuluh kali kali. Saya tersentak betul. Inilah orangnya semasa di kampus memanggil saya ‘Kak Rasiah’. Apabila semakin dewasa, bekerja dan berumah tangga, beliau memanggil saya ‘Rasiah’. Dan semasa pelancaran dua buku saya pada Disember 2007 dahulu, beliau mendekati saya dan memanggil saya ‘Kak Rasiah’ sekali lagi. Beliau juga memberitahu beberapa orang kawan, saya adalah kakaknya, walaupun kami tiada pertalian darah. Orangnya baik, sebagaimana kawan baiknya, yang saya gelarkan ‘Ratno Timoer’ (pelakon Indonesia).

Saya mendoakan agar beliau tabah menhadapi dugaan kesihatan ini, sebagaimana kawan saya yang seorang lagi. Dan semoga Allah memberi penawar kepada penyakitnya. Amin.

Seorang lagi kawan baik saya dari Malaysia, tiba-tiba memberitahu dia, suami dan seorang anaknya akan ke Singapura dan ingin bertemu saya dan dua orang lagi kawan saya. Kami bersekolah bersama dan walaupun tinggal berjauhan, masih berhubungan. Dalam pelbagai kesibukan dan gangguan kesihatan, saya sempat berjumpanya. Betapa masa telah merubah wajah kami – daripada wajah segar kerana begitu muda belia, kini sebilangan kami sudah pun bertaraf nenek – tetapi keikhlasan yang menyaluti persahabatan kami tidak pernah luntur. Saya bahagia dapat berjumpa kawan-kawan lama ini. Sebagaimana saya bahagia bila ada kawan-kawan lama, zaman sekolah rendah/awal remaja saya berjumpa, bertanya khabar atau mengirim makanan dan buah durian belanda untuk saya. Begitu juga dengan sebilangan keluarga berangkai dan kerabat saya yang selalu mengingatkan saya bahawa mereka prihatin terhadap saya dengan pelbagai cara semasa hari-hari biasa, hari istimewa mahupun hari kebesaran yang kita raikan bersama.

5. Di Singapura ada beberapa berita menarik perhatian saya. Saya gembira dan teruja apabila Menteri Kewangan Singapura, Encik Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan Singapura di Parliamen pada 20 Februari lalu. Bukan, bukan pasal belanjawan tersebut – perkara ini, orang lebih mahir mungkin dapat lebih memperincinya. Saya gembira melihat Encik Heng semakin sihat setelah rebah dan koma pada Mei 2016 lalu.

Di Singapura juga ada berita mengenai basikal-basikal berjenama ‘ofo’  dan ‘OBike’ mula terdapat di tempat-tempat awam bagi meletak basikal. Bayaran untuk menyewa basikal-basikal  ‘ofo’  dan ‘OBike’ murah. Yang menghairankan, bagaimana perniagaan sebegini boleh menyelinap di tempat-tempat awam tanpa halangan dan tidak pun membayar sewa, sebagaimana kedai-kedai yang menyewakan basikal. Tentu ada silapnya sedangkan kita sebagai orang awam, jika meletakkan basikal atau lain-lain pengangkutan sembarangan akan disaman.

Sungei Road atau dinamakan juga ‘Robinson Petang’ oleh orang-orang dahulu, akan ditutup pada 10 Julai 2017 ini. Sungei Road, yang juga dinamakan ‘Thieves Market‘ wujud sejak tahun-tahun 1930-an lagi dan ia merupakan tempat untuk mendapatkan pelbagai barang yang sukar didapatkan di tempat-tempat lain. Sungei Road juga merupakan tempat berniaga kecil-kecilan bagi mereka yang tidak mampu menyewa gerai.

Sebahagian besar tempat-tempat yang bermakna bagi rakyat Singapura kini semakin hilang dalam peta Singapura – hanya berpeta dalam kenangan kita sahaja. Benar, sebagai negara kecil kadangkala kita tidak mampu terlalu dihanyut nostalgia tetapi sebagai masyarakat, apalah ada yang dapat membumbui kebersamaan dan kenangan kita, kecuali pelbagai kenangan dengan orang-orang dan tempat-tempat yang kita sudah terbiasa. Inilah landskap kenangan bersama kita.

Saya berharap, walaupun Sungei Road akan ditiadakan, akan diusahakan juga oleh pihak berwajib untuk memberi tempat lain yang berdekatan, sebagai gantinya. Peniaga-peniaga kecil-kecilan, yang sudah lanjut usia ini, tidak semudahnya mencari nafkah. Dan barangan yang mereka jual, ada juga yang berminat membelinya. Benar, tanah tempat perniagaan mereka akan dibangunkan dan pulangannya bukan kecil bila Sungei Road menjadi bangunan kediaman atau perniagaan. Tetapi bukan semua perkara boleh ditimbang dengan neraca wang – berilah kesempatan agar secebis kenangan kita ini dapat juga dikekalkan.

Kini begitu mudah berita tersebar di merata tempat. Kadangkala tidak semua berita itu seratus peratus benar dan orang-orang yang giat menulis dalam media sosial boleh sahaja bertindak tanpa usul periksa yang mendalam. Akibatnya, perkara yang wajar, boleh sahaja dinilai tidak wajar kerana konteks yang silap atau perkara yang tidak wajar, boleh sahaja dianggap wajar kerana banyak penyokongnya. Inilah yang boleh menyukarkan keselesaan kita sebagai sebuah masyarakat yang berinteraksi dengan pelbagai bangsa dan agama dalam negara yang majmuk. Semoga kita lebih saksama membuat pertimbangan, tidak mudah melatah, menuduh, menghukum dan menggunakan kata-kata yang kurang sopan hanya untuk kelihatan benar. Kebenaran itu tidak pernah berbohong dan tidak perlu disaluti hal-hal ketidakjujuran, ego dan kepentingan diri sendiri.

5. Banyak perkara boleh sahaja meresahkan kita meniti hari-hari mendatang. Mudah-mudahan dengan diduga pelbagai cara sebagai individu mahupun masyarakat, kita tidak mudah patah semangat. Dugaan dan cabaran itu boleh sahaja mengejap dan memperhaluskan matlamat kita dan mudah-mudahan menjadikan kita insan-insan yang lebih tabah dan berlapang dada. Apa pun dugaan, sebagaimana dilantunkan dalam lagu ‘Dondang Sayang’ ini  akan lebih menertipkan semangat juang kita dan memperkasa jiwa kita untuk menuju ‘Pulau Harapan’ kita, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
7 – 8 Mac 2017.

 

4 Kuntum Sajak: ‘Pelita Kasih Itu’, ‘Si Kitul’, ‘Kematian’ dan ‘Konon’

Pelita Kasih Itu

Kasih itu masih bersamaku
seperti dahulu
ketika kau menemaniku
tidur malam
demam
ke doktor di Kampong Glam
ke hospital
bercerita
ke pasar, jalan-jalan
belajar ngaji, jual kuih
bermain, tengok wayang
menanti di amben, ke sekolah
menonton TV, mendengar bangsawan
bergembira, berduka
meniti pelbagai jejak kehidupan
bagaikan pelita
mencerahi dugaan
agar sabar, tabah
& tidak putus harapan.

25 tahun setelah pemergianmu
masih kutemui pelita itu
bagai kautinggalkan pada orang-orang tertentu
sesekali menerangi perjalanan
sesekali meniupkan harapan, semangat
sesekali berkongsi kasih tanpa syarat
kerana yang baik itu tidak pernah pudar
& kau mengajarku melihat
di sebalik yang biasa
membeza kaca & manikam
berani mencuba, berlapang dada
& melebihi segala
yakin akan rahmat & keadilan-Nya
bintang-gemintang yang sentiasa ada
menerangi apa pun gelita
perjalanan hidupku nan berliku
& pelita kasihmu
tetap bersinar dari alam barzakh itu.

Ditulis: 16 Disember 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Si Kitul

Si Kitul putar alam
sibuk meriuhkan geng sakan
tabur fitnah tabur serakah
biar rakyat resah
biar takut bertakhta
asal tujuan tercapai
kuasanya kekal
tembolok kenyang
& alpa membius sekitar.

Betapa Melayu pantang derhaka
hatta kepada penyulap bangsa
& si Kitul semakin merajalela
membina rangkaian
membina empayar
menyingkir & menobatkan
orang-orang dungu, sekongkol
mengaibkan sejarah
menghitami budaya
& satu per satu dilucut
maruah nan tersisa.

Ditulis: 27 Februari 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kematian

Betapa licik kita membunuh
mengelar harapan & jiwa
memutus aorta
demi kemaslahatan
demi keprihatinan
tanpa kewajaran, timbang tara
& ramai bertukar algojo
menyentak halkum sasarannya.

Begitu lama pembunuhan berlarut
menumpuk kecelaruan, sengsara
yang melihat, buta
yang mendengar, tuli
yang bersuara, bisu
lama dipukau pesona
kerana yang lantang bukan nurani
semuanya nisbi
& angka-angka itu bergema
yang asing dipinggir, diniskala.

Betapa kematian itu berulang
menghakis segala
harapan, jati diri, maruah
akhirnya ditemui kuburnya.

Ditulis: 10 Februari 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Konon

Konon bukit itu akan runtuh
disalak tanpa henti
tapi anjing-anjing bercawat ekor
terbiasa memakan najis
meski dirantai dengan emas
& bila ditepuk ekor terjungkit
tangan yang menyuap tidak digigit
walau diperlekeh, diaib
sentiasa tunduk, patuh
& tak putus berterima kasih.

Konon di daerah terpencil itu
anjing-anjing sentiasa berkeliaran
menyalak siang & malam
menghidu najis & bangkai
tapi bukit tak pernah runtuh
biar berjuta anjing dilepaskan
sejak zaman bahari
hingga sangkakala berbunyi
tetap terpacak, teguh.

Ditulis: 5 – 6 Mac 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Makna Bertanggungjawab

Pertemuan Sri dengan beberapa orang baru-baru ini mengingatkan Sri akan peri pentingnya kita pandai memikul tanggungjawab. Bukan maksudnya orang-orang yang Sri temui ini tidak bertanggungjawab, tetapi terfikir pula oleh Sri, mungkin mereka kurang memberi perhatian makna tanggungjawab itu bagi kehidupan mereka.

Sri pernah terbaca daripada sebuah buku Inggeris bahawa tanggungjawab atau perkataan Inggerisnya responsibility itu sebenarnya ialah suatu ‘kebolehan untuk bertindak balas’ atau bahasa Inggerisnya: an ability to respond. Setiap kita diterjah oleh pelbagai gejala dan masalah dalam kehidupan ini; ada yang menyedihkan dan ada pula menggembirakan. Bertanggungjawab, dalam hubungan ini, bererti tindak balas kita terhadap gejala dan masalah yang menerjah kita berpatutan atau seimbang. Terlalu sedih dirundung nestapa akan hanya melarakan kita dan terlalu gembira dengan apa-apa pun yang kita alami mungkin membuat kita hanyut dalam erti kehidupan sebenar dan mungkin pula lupa daratan. Dan keseimbangan inilah boleh kita rumuskan sebagai keupayaan kita untuk belajar ‘menanggung’ dan juga ‘menjawab’ apa-apa pun jalan hidup yang telah kita tempah. Tidak berani menanggung mengenai satu-satu gejala atau masalah hidup, tentunya kita tidak berani menjawab apa pun yang berhubungkait dengan gejala tadi. Begitu juga jika kita tidak berani menjawab, tentunya kita tidak berani memikul apa pun yang perlu ditanggung.

Sri berpanjang lebar cuba menerangkan makna tanggungjawab ini mungkin kerana disedarkan hal ini oleh pertemuan yang tidak disengajakan itu.  Ada orang demikian dewasa bila berhujah dan anda termakan dengan hujahnya tetapi setelah anda mengkaji dengan mendalam, anda semakin diyakinkan orang tersebut sebenarnya ‘omong kosong’ sahaja. Tanggungjawab bagi orang begini sekadar bercakap bukan membuat sesuatu. Misalnya dia katakan dia bertanggungjawab terhadap diri dan kehidupannya tetapi tidak tanduknya bertentangan dengan pendapatnya itu. Dia berasakan dia dimangsakan, dan ini mungkin wajar bila anda memaklumi keadaannya tetapi berlarut-larut dengan hal tersebut dan hanyut dalam sungai ‘terlalu mengasihani diri sendiri’ tiada apa pun yang akan terhasil dengan keadaan dimangsakan itu. Ini bukan bermakna kita tidak boleh berasa sedih atau kecewa terhadap kejadian-kejadian buruk dalam kehidupan kita tetapi melihat beberapa orang yang hampir ‘tenggelam’ dalam hal demikian, tentunya secara waras kita akan katakan orang tersebut mesti memberi semacam noktah kepada perasaan-perasaan yang menghanyutkan itu. Dan kadangkala kita juga memangsakan diri sendiri dan dengan secara tidak langsung mewajarkan dan mendapat semacam ‘ganjaran’ tersirat daripada perasaan dimangsakan itu. Mungkin salah satu ganjaran tersirat itu ialah orang sentiasa mengasihani kita, lantas kerana ingin terus dikasihani, kita kekal dalam keadaan ‘dimangsakan’ dan tidak perlu berbuat apa-apa.

Sri teringat salah sebuah novel penulis Jerman-Swiss,  Hermann Hesse; seorang watak novel itu berkata: cara terbaik untuk membunuh seseorang ialah dengan membenarkannya melakukannya sendiri. Bukan, bukan maksudnya membunuh diri sendiri dengan cara-cara biasa tetapi membenarkan seseorang itu ‘membunuh diri’ secara tersirat dengan membuatnya tidak bertanggungjawab terhadap kehidupannya lantas dibazirkan dengan berlarut-larut dalam gejala yang tiada manfaat dan penghujungnya. Dan kita maklum, ramai juga manusia ‘membunuh diri’ secara tersirat ini dan membiarkan kehidupannya berlalu begitu sahaja.

Ada orang pula amat kecewa dengan manusia-manusia yang digantungkan harapan sama ada yang digantungkan itu berupa cinta, kasih sayang, persahabatan, usahasama perniagaan, cita-cita yang belum tercapai, wang ringgit dan lain-lain. Kerana terlalu kecewa, kita menjadi daun semalu; terus menutup diri dan tidak mahu menggulati kehidupan ini lagi. Kita berasa kehidupan ini amat tidak adil kerana mereka yang memangsai orang lain masih merajalela sedangkan kita pula seolah-olah terus terseksa. Orang yang anda cintai atau sahabat yang anda percayai rupa-rupanya mempermainkan cinta dan kasih anda atau pandai mempergunakan anda untuk kepentingannya. Hendak kecewa, bolehlah, tapi hendak berlarut-larut mengenainya hanya akan menyeksa jiwa kerana ini akan hanya membuat anda kurang bertanggungjawab terhadap diri anda. Seperti kata nenek Sri, kalau sesuatu perkara amat mengecewakan kita, hendak menangis, menangislah. Sudah puas kita menangis, kata nenek Sri lagi, kita mesti bertanya: apa yang harus kita lakukan selepas ini? Buat apalah dirundung kecewa seolah-olah selama-lamanya sedangkan orang yang mengecewakan anda itu tidak pun berasa apa-apa atau sudah pun beredar ke pusingan kehidupan yang lain.

Kata orang, kelebihan kita sebagai manusia bukan kerana kita tidak pernah buat silap tetapi kerana setelah tersilap sama ada dalam memilih kasih, kawan, rakan niaga, tempat pergantungan dan lain-lain, kita menggagahkan diri kita untuk bangun semula walaupun terpaksa bertatih untuk memulakan lagi kehidupan. Tanpa berani melangkah kita akan terus terjerat dalam semacam lumpur jerlus yang pasti menelan satu persatu semangat, jiwa, harapan dan ketahanan kita. Dan inilah semacam ‘membunuh diri’ kerana kita membiarkan keadaan seakan-akan memangsakan kita dan kita pula seolah-olah berlepas tangan dan tidak perlu bertanggungjawab terhadap kehidupan kita dan orang-orang yang kita kasihi serta mereka yang mengharapkan kehadiran kita. Hanya mereka yang diperkasakan jiwanya akan tahu erti tanggungjawab pertama-tama pada diri sendiri dan bagaikan pusaran konsentrik, melingkari juga keluarga, kerabat, masyarakat, agama dan negaranya.

Ditulis: 25 September 2002
Tajuk Yang Disiarkan Dalam Berita Minggu: Berlarutan Kasihani Diri Sendiri Bererti Anda Tak Bertanggungjawab
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 6 Oktober 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Perihal Buku Dan Pembudayaannya

SalinaAngin Timur Laut

Pengenalan

Esei tulisan Kishore Mahbubani berjudul ‘Buying books in aid of literature’ tersiar di akhbar Sunday Times pada 3 Februari 2008, menarik untuk dibaca. Ada beberapa perkara pokok yang diutarakan Kishore, di antaranya termasuklah soal pemberian buku percuma penulis kepada orang lain dan juga membudayakan buku dalam keluarga, walaupun perkara-perkara ini bukan perkara baharu, tetapi ia tetap membuat kita berfikir mengenainya.

Pemberian Buku

Benarkah pemberian buku percuma oleh penulis kepada keluarga dan rakan taulannya selalu tidak menimbulkan kesan yang diingini, kurang dihargai, sebagaimana yang dialami Kishore dan ramai penulis lain? Apakah kerana kita tidak bersusah-payah mengeluarkan wang untuk mendapatkan buku tadi kerana diberi percuma, ia hanya akan tinggal sebagai bahan tambahan di rak-rak buku kita, tanpa membacanya? Saya fikir ini banyak bergantung kepada faktor lain. Kadangkala sesebuah buku memerlukan masa yang lama untuk dihadami dan kita pula mempunyai masa yang terbatas, lantas sukar untuk kita memberi tumpuan yang sepenuhnya jika diberi sesebuah buku dan siap dibaca dalam masa yang singkat. Dan adakalanya buku yang kita terima tidak termasuk dalam lingkungan buku-buku yang kita minati, lantas buku tadi diketepikan buat sementara waktu. Malah, ada buku-buku yang kita beli pun, kita terpaksa ketepikan kerana keterbatasan masa memerlukan kita menyelang-nyelikan pembacaan kita kepada beberapa buku pada masa yang sama.

Benar, apabila kita terpaksa membeli sebuah buku, besar kemungkinannya kita akan meluangkan masa untuk membacanya dan memberi maklum balas, sama ada secara tulisan formal, misalnya dalam bentuk ulasan, menulis kesan-kesan tulisan buku tadi di tepi-tepi buku atau di buku nota yang lain, untuk kegunaan peribadi atau kadangkala kita berdiam sahaja. Tetapi perkara ini juga berlaku semasa meminjam buku-buku dari perpustakaan. Bezanya dengan buku yang diberi percuma, pembacaan dan kesan yang kita terima mungkin lebih mengambil masa, kerana kita kurang tergesa untuk berbuat demikian, melainkan karya penulis tersebut benar-benar kita minati dan tidak sabar kita menantikan kelahiran bukunya.

Buku-Buku Yang Mengesankan

Satu yang ketara, sama ada seseorang pembaca itu diberi buku percuma, membeli atau meminjamnya, penghargaannya terhadap buku tersebut dan kesan pembacaan buku tadi bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Ada buku amat mengesankan kita tetapi mengambil masa yang agak lama sebelum kita dapat menulis mengenainya. Saya teringat membaca novel Salina (karya A. Samad Said), Angin Timur Laut (karya S. Othman Kelantan) dan Ranjau Sepanjang Jalan (karya Shahnon Ahmad) pada usia remaja tetapi saya tidak dapat melahirkan apa-apa kesan daripada pembacaan buku-buku tersebut ketika itu. Saya hanya tahu saya demikian terharu memikirkan nasib orang-orang di Kampung Kambing, Pantai Timur dan Banggul Derdap. Rasa terharu ini kemudian lebih kuat gemanya apabila saya lebih mendalami ketiga-tiga karya itu dan lebih memahami masalah-masalah yang menyaluti beberapa watak dalam ketiga-tiga novel tersebut. Hanya setelah semakin menapak dari usia remaja itu barulah kesan-kesan pembacaan ketiga-tiga novel itu menyedarkan saya kepada beberapa hal, berhubung dengan masalah kemasyarakatan tetapi juga mengenai keterampilan penulisnya mengolah cerita dengan baik dan berkesan. Bertahun-tahun setelah tidak lagi menjengah ke dunia kucar-kacir selepas Perang di Kampung Kambing, Singapura, dahsyatnya angin timur laut mencorakkan kehidupan nelayan di Pantai Timur atau deritanya petani dari Kedah seperti Lahuma, cerita-cerita ini sesekali meruangi juga pemikiran saya dan kemudian tulisan saya. Sukar mengenepikan kesan-kesan buku yang baik kepada kehidupan kita kerana kesannya tidak semestinya berlaku dengan serta-merta atau pada jangka waktu yang singkat sahaja.

Maklum Balas Mengenai Buku Yang Dibaca Atau Dicipta

Untuk mendapatkan maklum balas yang jujur dan serius setelah membaca sesebuah buku, seperti dikatakan Kishore, memanglah tidak semudahnya. Ada yang memberi maklum balas, tetapi penelahannya tidak mendalam. Ada yang membuat ulasan, tetapi isu-isu pokok yang diutarakan penulis dalam bukunya, tidak pula disentuh. Dan ada pula sekadar mencakar-cakar di permukaan kerana sebenarnya tidak menghayati apa yang ditulis oleh seseorang penulis itu. Dan terdapat juga maklum balas yang diberi tidak sejujurnya kerana pemberi maklum balas sekadar memuji-muji kawan sendiri dan sebagainya.

Seorang mahaguru saya pernah bertanya: apakah buku-bukunya tidak mengesankan masyarakat Melayu-Islam Singapura? Mahaguru ini terkenal seantero Nusantara, malah buku-buku dan kajian-kajian ilmiahnya mendapat perhatian pemikir-pemikir di luar Nusantara. Tetapi jarang benar beliau mendengar maklum balas mengenai buku-bukunya, kecuali dalam majalah/jurnal kampus dan perbincangan di kalangan mahasiswa dari unversitinya. Dan buku-bukunya bukan calang-calang, malah menerjah kita untuk berfikir dan memikirkan beberapa hal seperti persoalan mitos peribumi yang malas, kajian mengenai timbulnya rasuah dan kesannya, peranan intelektual dalam negara membangun dan sebagainya. Saya pernah menjawab: orang Melayu-Islam bangga terhadap sumbangan beliau tetapi soal mendapatkan maklum balas ini mungkin sukar sedikit. Agaknya sesetengah kita lebih suka berdiam, kerana diam bagaikan pengantin perempuan, bermakna setuju, walaupun yang diperlukan sang mahaguru ialah maklum balas dalam bentuk perbincangan dan tulisan mengenai idea-idea dalam buku-bukunya. Demikianlah betapa besar peranan maklum balas yang jujur kepada penulis, hatta walaupun beliau seorang mahaguru yang terkenal dan berwibawa.

Prasarana Untuk Membudayakan Buku

Satu lagi perkara yang diutarakan Kishore ialah mengenai membudayakan buku, iaitu mengadakan rak-rak buku dalam rumah kita. Perkara ini pernah disentuh oleh beberapa penulis lain, termasuk saya, dahulu. Rata-ratanya masyarakat Melayu dan masyarakat Singapura kurang mengambil berat hal ini. Bila kita berpindah ke rumah baharu atau mengubah elok rumah, banyak perkara yang kita beri perhatian, tetapi jarang benar kita mengadakan ruang untuk rak-rak buku dan usaha-usaha berkaitan dengannya. Seperti kata Kishore, kita sanggup membeli TV plasma yang mahal, barang-barang elektronik yang mahal dan canggih tetapi rak-rak buku yang tidak seberapa harganya, tidak pula kita endahkan. Kalau ada pun ia mungkin sebagai bahan perhiasan, bukan sebagai tempat untuk mendekati buku dan ilmu.

Mengadakan rak-rak buku dan ruangan untuk buku bukanlah sukar atau mahal dilakukan. Rak-rak buku juga boleh juga dibuat sendiri, tanpa membelinya dari gedung. Seandainya kita tidak mampu membeli buku dan majalah yang baik, kita boleh mendapatkan buku dan majalah terpakai atau meminjam daripada perpustakaan dan meletakkannya di rak-rak tadi buat sementara. Wujudnya ruang untuk buku sebegini boleh menimbulkan suasana yang selesa untuk ahli keluarga kita bermesra dengan bahan bacaan yang baik. Kesannya tentulah pelbagai.

Ada orang mengadakan ‘hari membaca’ bagi keluarganya, lantas semua anggota keluarganya akan membaca buku atau majalah pada hari tersebut. Bayangkan berapa banyak bahan bacaan dapat dibaca dan mungkin juga dibincangkan oleh keluarga tersebut jika budaya mencintai buku ini diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat kita. Lebih ramai yang akan diperkayakan kehidupannya dengan ilmu, banyak buku yang akan terbit, ramai lagi penulis akan muncul dan usaha-usaha memartabatkan keilmuan, dan bukan hanya yang bercorak hiburan, akan lebih meruangi kehidupan kita. Semua usaha ini bukanlah sesuatu yang dapat menimbulkan kesan baiknya dengan serta-merta bagai mi segera tetapi ia akan mengambil masa. Seorang penulis yang baik tidak tiba-tiba muncul tanpa bertahun-tahun dipersediakan untuk tugasnya melalui pengasuhan, pendidikan dan ilmu. Selain manusia-manusia yang rapat dengannya yang membentuk peribadi dan kecenderungannya, bukulah yang telah mencorak-warnakan kehidupannya. Membudayakan buku bererti kita membudayakan ilmu dan ilmu yang baik itu selalu melorongkan kita ke tangga kejayaan, walaupun kejayaan itu tidak semestinya adanya nama yang gemilang, wang yang banyak atau pangkat yang besar. Tetapi ilmulah, yang dilambangkan dengan buku, yang membolehkan kita menjelajah ke pelbagai zaman, makhluk, masyarakat dan persoalan, menyedarkan kita akan kayanya kepelbagaian kehidupan. Dan tidak perlu kita menjadi seorang mantan duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), sebagaimana Kishore Mahbubani, untuk mengetahui ini

Ditulis: 6 Februari 2008
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Februari 2008 dengan tajuk atau tajuk-tajuk berlainan (tulisan yang tersiar entah di mana tersimpan).
Tulisan: Rasiah Halil.

Sekilas Mengenai Penulis Perancis Simone de Beauvoir

SDB3SDB4

SDB2SDB 1SDB6

Pengenalan

Simone de Beauvoir dilahirkan di Paris pada 9 Januari 1908. Beliau mendapat pendidikannya di Universiti Sorbonne, Paris, dan memperolehi ijazah dalam bidang falsafah dari universiti tersebut pada 1929. Simone adalah seorang penulis wanita yang boleh dianggap berjaya; beliau juga adalah seorang pemikir yang berwibawa dalam masyarakat Perancis. Walaupun daya pemikirannya dianggap tidak setinggi Jean-Paul Sartre, rakan seperjuangan dan kekasihnya, Simone juga adalah salah seorang pemimpin pergerakan existentialis selepas Perang Dunia Kedua, yang dipelopori oleh Sartre.

Setelah lulus dari Sorbonne, Simone bekerja sebagai guru di beberapa tempat di Perancis. Beliau telah menghasilkan karya-karya seperti The Long March, The Woman Destroyed, A Very Easy Death, Memoirs Of A Dutiful Daughter, The Prime Of Life, Force Of Circumstance, All Said And Done dan lain-lain. Dua buah karya Simone yang termasyhur ialah: The Second Sex, yang mengkaji dan menganalisis mengenai kedudukan wanita dan The Mandarins, mengenai peranan intelektual/penulis dalam masyarakat. Novel The Mandarins telah memenangi hadiah Prix Goncourt pada 1954.

Simone dan Novel The Mandarins

Membaca karya-karya Simone, kita berasa betapa tegasnya penulis ini menghujahkan idea-ideanya. Walaupun watak-wataknya mempunyai berbagai kelemahan tetapi mereka tidak pula menjadi boneka Simone, sebaliknya kita diajak bersimpati dengan mereka dan melihat kekuatan di sebalik kelemahan watak-wataknya. Dunia penulisannya begitu luas, tidak seperti dunia penulisan/ruang lingkup yang sering dikaitkan dengan penulis-penulis wanita. Daya pengamatan yang tajam dan ditambah dengan kejituan daya intelektualnya membuat karya-karya Simone begitu indah dan pejal dari segi pemikiran dan perasaan. Walaupun Simone kadangkala menyisipkan soal-soal ‘rahsia’ seperti yang sering dilakukan oleh NH Dini, penulis Indonesia, namun penyerlahan beliau mengenai hal-hal tersebut tidaklah keterlaluan atau kurang tertib, seperti yang dilakukan oleh NH Dini. Di sebalik penyerlahan perkara-perkara itu terpancar perutusannya yang lebih besar dan bermakna.

Dalam salah sebuah autobiografinya, Simone de Beauvoir menegaskan pentingnya peranan penulis sebagai golongan intelektual, dalam masyarakat. Menurut beliau, penulis tidak harus berpihak kepada satu-satu golongan yang berkepentingan seperti golongan kiri ataupun kanan tetapi penulis harus berpihak kepada kebenaran dan berani menyatakan kebenaran dan kenyataan-kenyataan yang bersangkut-paut dengannya. Penulis, menurut beliau lagi, harus bebas daripada ‘ikatan-ikatan’ golongan tertentu dalam masyarakat agar apa yang disuarakan bukanlah untuk kepentingan satu-satu golongan sahaja, bahkan untuk kebaikan semua golongan dalam masyarakat.

Novel Simone The Mandarins, jelas menampilkan peranan yang harus dimainkan oleh golongan intelektual/penulis ini. Novel ini merakamkan pergerakan, perjuangan dan penakatan golongan kiri/leftis Perancis yang diwakili oleh Robert Dubreuilh dan Henri Perron. Kedua-dua orang ini pernah menggerakkan kumpulan ‘Resistance’ menentang kekejaman Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Selepas Perang, kesedaran politik dan sosial mereka menyebabkan mereka melibatkan diri dalam kumpulan S.L.R., sebuah pertubuhan kekirian. Dubrueilh adalah seorang ketua, ahli teori dan pemikir pertubuhan ini. Dia terkenal sebagai seorang intelektual, pensyarah dan penulis. Perron pula adalah seorang pengarang akhbar L’Espoir. Dia juga terkenal sebagai seorang penulis. Akhbar L’Espoir telah diterbitkan bersama Luc, dan akhbar ini diminati ramai kerana isi kandungannya yang objektif; tidak ke kiri ataupun ke kanan. Bagi Perron, akhbarnya adalah salah satu cara baginya menunjukkan penglibatannya dalam masyarakat. Dubrueilh dan Perron selalu bekerjasama dalam pergerakan S.L.R. walaupun mereka mempunyai beberapa pandangan yang berbeza mengenai hal-hal pokok. Dubrueilh lebih tua daripada Perron dan sering menonjolkan idea-ideanya, yang rata-rata diterima oleh Perron, yang menganggapnya lebih mengetahui kerana Dubrueilh yang mengasah bakat penulisan dan intelek Perron. Persahabatan yang teguh ini kemudiannya diuji apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki bukan sahaja memeranjatkan dunia, ia juga menimbulkan kesan yang mendalam kepada golongan intelektual di Perancis. Muncul pula kumpulan-kumpulan yang pro-Amerika dan anti-Amerika di kalangan mereka. Berita yang meretakkan hubungan Dubrueilh-Perron ialah pendedahan mengenai kem-kem Soviet yang dianggap lebih buruk daripada kem-kem Nazi Jerman. Dubrueilh tidak mahu menerima kenyataan adanya kem-kem tersebut, dan jika adapun, ia tidaklah sedahsyat yang digambarkan. Perron pula, setelah mendapat bukti-bukti yang sah, terpaksa menerbitkan berita itu di akhbar L’Espoir, kerana dia percaya berita yang diterbitkannya lebih objektif sifatnya dan selaras dengan perjuangan mereka, jika dibandingkan dengan berita yang sama jika ianya diterbitkan oleh akhbar-akhbar pro-Amerika ataupun pro-Soviet. Masalah-masalah yang bersabit daripada isu genting ini, yang melibatkan sebilangan besar golongan intelektual Perancis, telah begitu baik diolah oleh Simone de Beauvoir.

Peranan Intelektual/Penulis

Apakah peranan golongan intelektual Perancis dalam menghadapi masalah ini? Menurut Robert Dubrueilh, kenyataan-kenyataan mengenai kem-kem Soviet itu tidak harus di ‘propaganda’kan kerana jika disebar-luas, besar kemungkinan hasrat S.L.R. dan lain-lain parti sosialis untuk menegakkan negara sosialis akan musnah. Hanya sosialisme, menurut Dubrueilh akan menyelamatkan manusia daripada memulakan Perang Dunia Ketiga. Keburukan yang ditimbulkan oleh kem-kem Soviet itu adalah kecil berbanding dengan kebaikan yang bakal dinikmati daripada mengamalkan sistem pemerintahan sosialisme. Henri Perron juga berpandangan demikian tetapi dia yakin kebenaran itu harus diketengahkan, walaupun dia tidak percaya akan propaganda ‘keadilan’ yang ditonjolkan oleh Amerika Syarikat dan konco-konconya. Kebenaran, menurut Peron, lebih diutamakan daripada hanya berpihak kepada fahaman anutannya.

Perbalahan pendapat kedua tokoh ini melambangkan juga perbalahan pendapat golongan intelektual di Perancis. Beberapa kesan negatif telah timbul akibat daripada perbalahan ini. Parti S.L.R. dibubarkan, akhbar L’Espoir terpaksa ditutup dan pergerakan golongan intelektual/penulis Perancis seolah-olah tidak terarah. Dubrueilh yang pada mulanya percaya akan peranan golongan intelektual di Perancis, kini berkata: ‘Today the French intellectual can do nothing’. Perron pula, yang pada mulanya tidak boleh hidup tanpa menulis atau tanpa percaya kepada kebaikan sastera untuk kehidupan, akhirnya tidak boleh lagi menulis apabila kenyataan-kenyataan hidup terlalu mendesak untuk hanya dirakamkan dalam bentuk sastera. Perron kehilangan bakat kreatif dan estetikanya. Seperti golongan intelektual Perancis, kedua-duanya seolah-olah telah hilang arah, tujuan dan keyakinan mereka dalam perjuangan.

Tetapi keadaan tidak membenarkan Dubrueilh dan Perron terus menerus tidak melibatkan diri dalam masyarakat. Setelah berbalah beberapa lama akhirnya mereka menemui titik pertemuan. Dubrueilh telah dikecam oleh berbagai golongan intelektual kerana tindakan-tindakan dan tulisan-tulisannya yang dianggap tidak selaras; kecaman ini akhirnya dibela oleh Perron sendiri. Dengan tapak permulaan yang baharu, kedua-duanya mula menggerakkan golongan intelektual Perancis dengan tulisan-tulisan serta syarahan-syarahan mereka.

Menurut Simone de Beauvoir, the Mandarins ataupun golongan intelektual/penulis, seperti yang diwakili oleh Dubrueilh dan Perron, harus tampil ke depan dan menentu dan mengarahkan perjalanan masyarakat. Mereka mestilah terdiri daripada orang-orang yang benar-benar jujur, tajam daya fikirnya, berwibawa dan tidak boleh ‘dibeli’ oleh sesiapa pun. Perron misalnya, walaupun boleh hidup selesa dengan gaji yang lumayan dan rumah tangga yang damai, tampil ke depan bersama-sama Dubrueilh, yang seharusnya bersara daripada kegiatan-kegiatan seperti ini, kerana kedua-duanya percaya golongan intelektual/penulis Perancis harus sama-sama mencorakkan kanvas pemikiran dan perasaan masyarakat mereka. Walaupun mereka dikecam, disingkir dan tidak dipedulikan, seperti Dubrueilh dan Perron, mereka harus tabah dan yakin akan perjuangan mereka.

Novel ini tidak hanya merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah politik Perancis, ia juga mencatatkan beberapa kisah seharian yang menarik. Watak-watak seperti Anne, Paula, Nadine, Lambert, Scriassine, Vincent, Sezenac, Jossette, Lauchaume, Luc dan lain-lain memperkayakan novel The Mandarins ini. Tindakan watak-watak ini banyak membuat kita bertanya dan menilai semula prasangka-prasangka kita. Perkara-perkara yang membuat kita berfikir misalnya, mengapa Paula menjadi gila, Lambert anti-Nazi, Sezenac pro-Amerika, Nadine liar dan kasar, Luc tegas, Anne selalu mengalah dan lain-lain, begitu terperinci dan simpati dilukiskan oleh Simone de Beauvoir.

Kesimpulan

Membaca novel The Mandarins ini kita dapati suara pengarangnya yang tegas, fikirannya yang tajam dan keyakinannya yang teguh mengenai satu-satu isu yang beliau percayai baik. Daya intelektualnya telah dimanfaatkan untuk memperkayakan dunia sastera Perancis, di mana The Mandarins adalah salah satu contoh yang baik. Dianggap sebagai ‘magnum orpus’/karya agungnya, The Mandarins telah diadun dengan begitu rapi, dipenuhi dengan fakta-fakta yang kukuh serta isu-isu yang penting dan hujah-hujah yang memantulkan fikiran yang mendalam, berlainan daripada novel-novel yang sering ditulis oleh pengarang-pengarang wanita.

Keterlibatannya dalam perkara-perkara yang dianggap baik untuk masyarakat dan keberanian mentalnya serta daya estetikanya yang tinggi lagi halus dalam menyuarakan perkara-perkara tersebut walaupun kecil, seharusnya dicontohi oleh golongan penulis. Bahawa Simone de Beauvoir tidak didorongi oleh perasaan bangga diri, keinginan mencari nama atau mencari pengikut juga adalah ciri-ciri yang amat baik diteladani. Sepertimana kata Henri Perron dalam The Mandarins, walaupun sumbangannya kecil dalam masyarakat Perancis, dia (dan golongan intelektual/penulis) harus tampil ke depan dan mengarahkan pemikiran masyarakatnya, adalah pernyataan yang sepatutnya kita sama-sama renungi.

Disiapkan : 29 Januari 1986
Bedok, Singapura
Tersiar : Ruangan Sastera Berita Minggu (Singapura), 1986.