Archive | August 2013

Mengenang orang yang sudah tiada

Lebih dua minggu telah berlalu dalam kita menyambut bulan Syawal, namun perasaan yang dibawa bulan ini dan sebelum itu, bulan Ramadan, masih lagi menemani sebilangan kita. Ini terutamanya bagi mereka yang terkenangkan orang-orang yang telah tiada lagi di sisi. Ramadan dan Syawal selalu menimbulkan pelbagai nostalgia suka dan duka, namun bulan Hari Rayalah kita terbuai oleh rasa kesedihan yang lebih mendalam. Dalam suasana riang ria dan bersama-sama keluarga, ramai di kalangan kita sukar melupakan insan-insan yang disayangi, yang kini di alam barzakh. Betapa tahun-tahun yang telah berlalu itu hanyalah masa yang semakin menanjapkan kasih sayang kita kepada mereka yang telah tiada.

Penyair dari zaman ke zaman ada juga menyentuh soal kematian, walaupun tidak semestinya kematian yang berlaku pada bulan Ramadan dan Syawal. Makna insan yang disayangi dan pengorbanan yang telah dilakukan semasa hayatnya, semakin terasa besarnya setelah kematiannya. Chairil Anwar dalam antologi Kerikil Tajam dan Yang Terampas dan Yang Putus, menyimpulkan makna kehilangan orang yang disayanginya melalui puisinya dengan indah dan padat berjudul ‘Nisan’. Keredaan dan ketabahan nendanya menerima segala hempedu dan dugaan kehidupan dihablurkan dengan indah melalui puisi ringkas yang ditulis pada Oktober 1942 ini:

Nisan
(Untuk Nenekanda)

Bukan kematian benar yang menusuk kalbu
Keredaanmu menerima segala tiba
Tak kutahu setinggi itu atas debu
Dan duka maha tuan bertakhta.

Kita akan hanya memaklumi besarnya pengorbanan seseorang atau dalamnya kasih sayangnya, selalunya pada masa ketiadaannya.

Demikian juga dengan Amir Hamzah. Beliau kehilangan orang yang disayangi, ibunya, ketika menuntut ilmu di Tanah Jawa. Ibunya yang sakit di Langkat, Sumatera, tidak dapat dijenguknya dan kematian ibunya juga tidak dapat membolehkannya pulang ke kampung halamannya. Dalam antologinya Buah Rindu, yang terbit pada 1941, walaupun sajak-sajak antologi ini lebih awal dicipta berbanding dengan antologi puisi pertamanya, Nyanyi Sunyi (1937), terdapat beberapa puisinya yang ditujukan kepada ibunya. Yang dapat beliau ziarahi hanyalah kubur ibunya, yang mencetuskan kesedihan yang amat sangat. Petikan puisi ini menjelaskan rasa keharuan Amir Hamzah akan kehilangan yang dialaminya dan hanya dapat digambarkan melalui upacara membersihkan kubur ibunya:

Bonda II

Bunga rampai di atas rimba
Air selabu di pangkuan dinda
Kami menangis tiada terasa
Terkenangkan Ibu beradu cendera.

Bunga mawar bunga cempaka
Bunga melur aneka warna
Dipetik dinda di halaman kita
Akan menyapu telapakan Bonda.

Air selabu patik bawakan
Dari perigi dipagari batu
Pada Bonda kami sembahkan
Akan penyuci telapakan Ibu.

Sebuah lagi sajak yang dikenali khalayak sastera mengenai kematian ditulis oleh Usman Awang. Dalam antologi Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang (1987) memang termuat dengan puisi terkenalnya ini berjudul ‘Ke Makam Bonda’, yang ditulis pada 1956. Generasi demi generasi pencinta puisi Melayu sering menjadikan puisi ini sebagai sebahagian daripada santapan puisi awal mereka. Dalam puisi ini, kesedihan anak yang kehilangan ibunya mencuit hati kita. Membacanya semasa Hari Raya tentu menimbulkan semacam keharuan kepada kita juga. Walaupun kata-kata yang digunakan Usman Awang nampak mudah dan bersahaja, namun melalui kesederhanaan itulah terjelas kepedihan hatinya. Petikannya:

Ke Makam Bonda

Bibir bonda bersih lesu,
Pernah dulu mengucupi dahiku,
Kini kurasakan kasihnya lagi,
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabadian,
Insan kerdil menghadap Tuhan.

Begitu bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.

Yang murni itu tidak pernah luntur oleh peredaran masa, terutamanya kasih sayang ibu bapa kepada anak atau kenangan anak kepada orang tuanya. Demikian juga kasih sayang kepada saudara atau pasangan hidup yang telah pergi. Rasa sedih itu meruntun kehibaan, tetapi kadangkala dibaurkan juga oleh rasa kecewa dan penyesalan. Baha Zain dalam antologi Jalan Ke Desa (1994), terkenangkan pemergian ayahnya dalam puisi berikut:

Setiap Kali Ramadan Tiba
Sewaktu Ramadan masih mengambang
sewaktu takbir masih bergantungan
engkau berangkat ke istirahat yang panjang.

Kini kekasihku kecewa, sangsi, dan pilu
jadi seakan-akan lengkaplah dukaku
apakah yang tinggal lagi
kecuali waktu berubah waktu
Tuhan, aku rebah dalam kudusmu.

Kematian itu sering menimbulkan pelbagai perasaan, bukan sekadar kesedihan sahaja. Baha berasa ‘kecewa, sangsi, dan pilu’ kerana betapa bersedia pun kita terhadap sesuatu kematian dan telah berusaha sesungguhnya untuk menjadi anak, saudara, pasangan hidup atau orang tua yang baik kepada orang yang telah pergi, kita tetap berasa ada beberapa perkara dapat kita lakukan dengan lebih baik lagi terhadap orang tersebut seandainya usianya dilanjutkan. Ini apatah lagi bagi mereka yang seharusnya menjalinkan hubungan yang baik, tetapi berlaku sebaliknya kepada orang yang telah pergi. Namun, sebagaimana Baha, kita akhirnya harus reda dan pasrah kerana hanya kepada-Nyalah tempat kita mengadu dan bergantung selama-lamanya.

Kepiluan kita selalu terbetik apabila terkenangkan segala pengorbanan dan jasa orang yang telah pergi dan semakin kita meningkat dewasa, semakin terasa siraman kasih yang mereka berikan itu telah menyuburkan kehidupan kita dan memantapkan pendirian hidup kita. A Ghani Hamid dalam antologi Ombak Terbang Tinggi (200 Puisi Pilihan, 1955-2000), menggambarkan kepiluan ini dengan puitis dan mengharukan dalam petikan puisi yang ditulis pada 1 Mac 1996 ini:

Akhirnya
(mengenang Ibu)

III
Ketika zaman terdesak menekan keluarga
kami tetap disuap nasi sesempurnanya
walau kau sendiri mengunyah keraknya,
pengorbananmu adalah siraman kasih termurni
doamu telah mengukir kejayaan kami.

IV
Adikku, ibu telah pergi,
kesetiaannya mengasuh
tiada gantian selamanya.
Ibulah dia,
menghadirkan kita hari ini.

Hadiah tertinggi untuk ibu terkasih
pada amalan anak-anaknya yang salih.

Ramadan dan Syawal akan selalu menimbulkan pelbagai kenangan kita, termasuk kenangan kita kepada mereka yang telah tiada. Keharuan itu akan sesekali bergema, mengaumkan kehilangan yang sukar dilafazkan oleh kata-kata. Namun, sebagaimana kata Baha Zain, akhirnya kita akan semakin memaklumi keterbatasan kita, dan ‘rebah dalam kudus’ Nya. Dan seperti A. Ghani Hamid, kita semakin insaf bahawa hadiah tertinggi kita untuk mereka yang telah tiada bukan sekadar tangisan atau menziarahi kubur mereka tetapi amalan-amalan baik kita yang menjadi semacam lambang pengorbanan, asuhan dan kasih sayang yang sempat mereka curahkan kepada kita. Hanya amalan-amalan murni inilah, sebagaimana dilagukan P.Ramlee, memberi erti kepada makna ‘kasih yang sejati dan mulia’.

Ditulis: 23 Oktober 2007
Tersiar: Ruangan Tun Fatimah, Berita Minggu Singapura, 28 Oktober 2008
Judul Asal: Kenangan Kematian Di Bulan Syawal.

Tulisan: Rasiah Halil