Archives

Projek ‘Orang Singapura Pak Zubir Said’ Yang Dilancarkan Oleh MLLPC, Kementerian Pendidikan Singapura Pada 28 Oktober 2023

Kata Pengantar mengenai Pak Zubir yang saya tulis untuk ‘Projek Orang Singapura’, dimuatkan dalam sebuah buku kecil yang mengandungi 10 buah lagu ciptaan beliau selain disertakan persembahan terkini lagu-lagu tersebut dalam pemacu jari. Ia diedarkan ke semua sekolah di Singapura.

Prolog

Setiap kali menyanyi atau mendengar lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, hati kita berdetak sedikit. Kita teringat masa silam kita dan juga masa hadapan, bukan sahaja mengenai diri dan orang di sekeliling kita tetapi juga negara yang kita cintai, Singapura. Demikian juga perasaan kita apabila lagu ‘Semoga Bahagia’ beralun; semangat kita seakan dikobarkan agar kita lebih tabah dan tidak mengenal putus asa dalam mencapai cita-cita. Kita juga diingatkan bahawa dalam usaha-usaha sebegini, kita harus bersungguh-sungguh agar ‘kita ada harga di mata dunia’. Dan orang yang mengingatkan kita akan hal-hal murni ini ialah penggubah lagu-lagu tersebut, Pak Zubir Said.

Latar Pak Zubir Said

Pak Zubir bin Mohamad Said lahir di desa Tilatang, Bukittinggi, Sumatera pada 22 Julai 1907. Berketurunan Minangkakau, beliau merupakan abang sulung kepada dua orang adik lelaki dan tiga orang adik perempuan, setelah abang sulungnya meninggal dunia semasa kecil. Bapanya seorang pegawai Belanda yang bekerja sebagai konduktor kereta api dan juga penghulu empat buah desa di Bukittinggi.

Pak Zubir mendapat pendidikan di sekolah Belanda selama 11 tahun sehingga peringkat sekolah menengah; bapanya ingin beliau bekerja sebagai askar atau pegawai dalam pentadbiran Belanda dan mewarisi tugasnya sebagai penghulu dan mengusahakan ladang mereka sendiri. Namun, Pak Zubir mempunyai cita-cita yang berbeza.

Sejak dari sekolah rendah Pak Zubir meminati muzik yang didorong guru muziknya. Beliau mula bekerja sebagai pembuat batu-bata dan kemudian sebagai seorang jurutaip selepas meninggalkan bangku sekolah. Pada usia 19 tahun, Pak Zubir terlibat dalam kumpulan keroncong dan menjadi ketuanya. Kumpulan ini menjelajah ke beberapa tempat di Sumatera. Beliau rajin belajar dan pandai bermain beberapa alat muzik semasa di Sumatera dan juga di Singapura iaitu gitar, seruling, dram, biola, piano dan lain-lain. Dan pada usia muda itulah, ketika terlantar di hospital, Pak Zubir membuat keputusan meninggalkan kampung halamannya dan mencuba nasib di Singapura.

Tarikan Singapura dan Kerjaya Pak Zubir

Singapura terkenal sebagai tempat tumpuan pelbagai bidang kehidupan – pendidikan, perniagaan, pusat penerbitan, kesenian dan sebagainya. Ramai yang berhijrah ke Singapura semasa zaman pemerintahan British untuk memulakan penghidupan baharu. Demikian juga dengan Pak Zubir. Terpanggil untuk melestarikan kehidupan dan minat seninya, pada 1928 ketika berusia 21 dengan hanya sedikit bekalan, dari Pekanbaru, Sumatera, Pak Zubir belayar ke Singapura dan berlabuh di Tanjong Pagar. Dari sana Pak Zubir menetap di daerah Kampong Jawa/Kampong Gelam. Beliau mendapat peluang bekerja dalam orkestra Bangsawan dengan bermain biola. Kemudian, Pak Zubir menjadi ketua orkestra Bangsawan tersebut dengan 14 ahli muzik dibawah pimpinannya. Dalam kumpulan Bangsawan inilah Pak Zubir banyak didedahkan kepada muzik pelbagai bangsa iaitu Cina, India, Arab, Eropah dan lain-lain kerana cerita-cerita Bangsawan ketika itu tidak tertumpu kepada cerita-cerita dari daerah Melayu sahaja. Dan beliau juga dapat menjelajah ke Malaya (sekarang Malaysia).

Setelah menyertai orkestra Bangsawan, Pak Zubir mendapat peluang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat rakaman piring hitam, HMV (His Master’s Voice) pada 1935. Ini membolehkan Pak Zubir bertemu dan merakamkan lagu-lagu nyanyian ramai penyanyi dari pelbagai bangsa, baik dari dalam mahupun luar Singapura. Lagu-lagu yang dirakamkan merupakan lagu-lagu Melayu, Cina dan Inggeris dan Pak Zubir terpaksa memahirkan dirinya melatih para pemuzik dan penyanyi dalam tugas tersebut. Pak Zubir berkhidmat dengan HMV sehingga Perang Dunia Kedua meletus. Apabila Singapura dibom dan pegawai-pegawai atasan HMV ditangkap, dibunuh dan ada yang meninggal dunia, Pak Zubir berserta keluarganya meninggalkan Singapura buat sementara waktu dan pulang ke Sumatera untuk melindungkan diri. Beliau sekeluarga pulang semula ke Singapura pada 1947.

Pak Zubir bekerja sebagai jurugambar setelah pulang ke Singapura dan ternyata beliau berbakat dalam bidang ini; gambar-gambarnya digunakan oleh akhbar seperti Utusan Melayu dan lain-lain. Pada 1949, bermulalah penceburan Pak Zubir dalam dunia filem Melayu apabila beliau berkhidmat dengan Shaw Brothers yang menerbitkan filem-filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura. Beliau mencipta lagu untuk filem-filem Shaw Brothers dan mengenalkan suara latar (dubbing) untuk filem-filem Melayu. Pak Zubir kemudian lama berkhidmat dengan Cathay-Keris, sebuah badan penerbitan filem-filem Melayu, dari 1950 sehingga 1964. Lagu-lagu ciptaannya semasa berkhidmat dengan Cathay-Keris mendapat sambutan ramai. Dan Pak Zubirlah yang mengenalkan muzik latar (background music) untuk filem-filem Melayu. Pak Zubir telah melibatkan diri sebagai penggubah lagu filem-filem Melayu mungkin melebihi 33 filem Melayu. Setelah bersara dari Cathay-Keris pada 1964, Pak Zubir bertugas sebagai guru muzik sepenuh masa sehingga ke akhir hayatnya pada 1987.

Pak Zubir, Lagu-lagu Patriotik dan Falsafah Seninya

Seorang insan yang kuat disiplinnya, bersungguh-sungguh, selalu berminat meningkatkan ilmu pengetahuan, rendah diri dan ramah, Pak Zubir tidak terpanggil untuk mencipta lagu-lagu yang kontang nilai-nilai budaya yang murni. Lantas, lagu-lagu patriotik, lagu-lagu kanak-kanak, malah lagu-lagunya untuk khalayak ramai pun disulami kata-kata dan nilai-nilai indah selain iramanya yang memikat. Beliau melihat muzik berperanan dan turut membentuk watak manusia demi kehidupan yang lebih baik.

Lagu Kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, dicipta pada 1958 untuk Bandar Raya Singapura (Singapore City Council). Pak Zubir diundang pihak Bandar Raya Singapura untuk mencipta sebuah lagu patriotik. Lagu ‘Majulah Singapura’ kemudian dimainkan semasa pembukaan rasmi Dewan Peringatan Victoria (Victoria Memorial Hall) pada 6 September 1958.

Semasa Singapura berkerajaan sendiri pada 1959, lagu ‘Majulah Singapura’ dipilih sebulat suara oleh Dewan Perundangan Singapura (Singapore Legislative Assembly) sebagai lagu kebangsaan Singapura pada 11 November 1959. Pilihan ini amat mengharu dan membanggakan Pak Zubir. Beliau menolak apa pun pemberian kewangan kerana sumbangannya ini dan menganggapnya sebagai hadiahnya untuk sebuah negara yang dicintainya. Lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ ini bagi Pak Zubir adalah semacam doa dan harapan untuk negara dan masyarakat Singapura bukan hanya semasa ia diciptanya tetapi sepanjang masa.

Pada 1957 Pak Zubir mengadakan satu acara yang dipanggil ‘Kalendar Lagu-lagu Nasional’, mengundang mereka yang berminat untuk menyumbang lagu-lagu nasional. Acara ini bukanlah sebuah peraduan tetapi satu acara bersama untuk menambahkan lagi lagu-lagu nasional kita. Lagu-lagu yang dipilih kemudian dipersembahkan kepada khalayak ramai di Dewan Peringatan Victoria pada 7 Julai 1957. Pak Zubir juga sempat menulis dua buah buku mengenai muzik selain menyampaikan sebilangan kertas kerja dan ceramah mengenai muzik Melayu, muzik dan peranannya dalam kehidupan manusia. Beliau cuba mengetengahkan cara belajar muzik menggunakan angka, yang dipanggil sistem ‘Solmisasi’. Sistem ini memberi angka 1 sehingga 7 untuk nota ‘do, re, mi, fa, so, la, ti, do’. Melaluinya lebih mudah seseorang ‘membaca’ lagu dan menyanyi. Buku-buku yang ditulis Pak Zubir berjudul Pelajaran Menyanyi Sistem Solmisasi dan Membaca Muzik. Sayangnya harapan Pak Zubir agar sistem Solmisasi ini lebih menyeluruh diterima oleh khalayak ramai dan diperkenalkan kepada kanak-kanak tidak begitu kesampaian.

Pada pendapat Pak Zubir, seni muzik ada peranannya dalam kehidupan dan peradaban manusia. Seperti pujangga silam kita, beliau yakin bahawa seni bukan hanya untuk menghibur tetapi juga mengajar. Dalam satu wawancara pihak Jurnal Jejak Kembara dengan Pak Zubir, yang diadakan di rumahnya, di 190A, Joo Chiat Place, pada 19 Oktober 1984, Pak Zubir menegaskan bahawa kajian menunjukkan muzik juga boleh digunakan dalam bidang pertanian dan perubatan. Dan muzik itu bukanlah sesuatu yang melewakan atau menghilangkan tatasusila sesuatu bangsa atau masyarakat. Banyak yang perlu dipelajari dan didokumentasikan agar khazanah muzik kita tidak hilang begitu sahaja, menurut Pak Zubir.

Dan Pak Zubir juga berpesan bahawa walaupun angin perubahan itu akan muncul, bak kata pepatah, ‘sekali ombak melanggar pantai, sekali tepian berubah’, seseorang itu harus pandai menimbang dan memilih yang terbaik, seperti katanya dalam wawancara tersebut: “Begitu juga halnya dengan seorang pemain muzik, pencinta muzik, keadaan sekitar mungkin akan membantu pembentukan seorang ahli muzik, sama ada yang berfaedah atau yang merugikan. Hanya tepian atau pantai yang tahan lasak yang dapat menangkis gelombang yang datang. Dengan begitu proses perkembangan muzik akan ikut berubah. Pengaruh dan perubahan akan tetap ada. Pokoknya, bagaimana kita memakai dan menggunakan perubahan itu. Ini mengkehendaki ketelitian dan kewarasan fikiran dan pertimbangan.”

Seni bagi Pak Zubir bukan perkara remeh tetapi sesuatu yang boleh memperkayakan kehidupan dan menjadikan manusia dan masyarakatnya lebih harmoni, bersatu-padu dan saling menghormati, sebagaimana diserlahkan dalam sebilangan besar lagu ciptaannya. Beliau dibenturkan oleh budaya Minang dan Nusantaranya yang kaya dan disulami lagi oleh pelbagai budaya dan pengaruh yang ditemui dan dikajinya. Melalui ini dan meneliti kehidupan Pak Zubir, kita temui semangatnya yang gigih mencuba sesuatu yang baharu, keinginanannya untuk berani belajar dan meningkatkan ilmu, ketulusannya kepada semua yang diakrabi dan ditemuinya serta kerendahan hati dalam memberi sumbangan seninya kepada masyarakat.

Epilog

Pak Zubir telah diberi beberapa penghargaan kerana sumbangan seninya misalnya:

  1. Sijil Penghargaan dan Bintang Perkhidmatan Awam pada 1962 kerana menjadi Penggubah Lagu Kebangsaan Singapura
  2. Sijil Kemuliaan dan Bintang Bakti Masyarakat pada 16 Mac 1963, daripada Yang Di Pertuan Negara Singapura, Encik Yusof bin Ishak
  3. Jasawan Seni, yang diberi oleh lapan pertubuhan budaya Melayu Singapura iaitu Persatuan Kebudayaan Melayu Singapura (PKMS), Perkumpulan Seni, Sriwana, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Persatuan Wanita dan Teruna (Perwanit), Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50), Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD), Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) Dan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura pada 1971
  4. Anugerah Sangeetha Kalabooshan diberi oleh Singapore Indian Film, Arts and Dramatic Society, pada 30 Mac 1974
  5. Anugerah Sri Budiman diberi oleh Sriwana pada 20 Disember 1980
  6. Anugerah Kebudayaan dan Komunikasi ASEAN pada 24 Ogos 1987
  7. Sebuah jalan dinamakan ‘Zubir Said Drive’ dan di nombor 1, Zubir Said Drive didirikan Sekolah Seni Singapura.
  8. Anugerah Sepanjang Hayat daripada Compass (Persatuan Penggubah dan Penulis Singapura) diberikan setelah ketiadaan Pak Zubir, pada 17 April 1995.
  9. Dan sejumlah buku dan dokumentari mengenai Pak Zubir yang diterbitkan di Singapura dan Malaysia.

Semasa hayatnya Pak Zubir telah mencipta lebih 1000 lagu tetapi sebahagian besarnya telah hilang dan tidak didokumentasikan. Beliau juga, seperti kebanyakan seniman silam kita dahulu, tidak mendapat royalti daripada sebilangan besar karya ciptaannya. Dan Pak Zubir tidak pernah menjadi kaya kerana penglibatan seninya tetapi menjadi ‘kaya’ dalam berkongsi ilmu, mendidik dan menyumbang dalam menambahkan khazanah seni kita. Ketulusannya dalam bidang seni serta keinginan teguhnya untuk melihat masyarakat, terutamanya anak-anak kita membesar dengan sopan, berani, berseni dan tidak melupakan budaya dan jati diri serta tidak mengenal erti putus asa, sering membumbui karya-karyanya.

Sebagaimana Pak Zubir Said melagukan dalam lagu ‘Budi Yang Baik’, yang diambil daripada pantun tradisional kita:

          Pulau Pandan jauh di tengah
         Gunung Daik bercabang tiga
         Hancur badan dikandung tanah
         Budi yang baik dikenang juga.

Pak Zubir Said meninggal dunia pada 16 November 1987 di 190A, Joo Chiat Place, Singapura. Namun, jasa dan budi baik beliau akan tetap dikenang bukan hanya untuk generasi ini tetapi generasi-generasi mendatang di Singapura dan daerah-daerah lainnya.

Rujukan:

  1. Ahmad Sarji, 1999. P. Ramlee. Erti yang Sakti. Selangor: Pelanduk Publications.
  2. Azlan Mohamed Said, 2013. Malaya’s Early Music Scene Musika. Arena
    Muzik Silam di Malaya. Singapura: Azlan Mohamed Said.
  3. Perkamus, 2002. 7 Magnificient Composers. 7 Tokoh Muzik. Singapura: Perkamus.
  4. Rohana Zubir, 2012. Zubir Said. The Composer of Majulah Singapura. Singapura: ISEAS.
  5. Times Books International, 1990. Zubir Said. His Songs. Singapura: Times Books International.
  6. Wawancara Rasiah Halil dengan Pak Zubir Said pada 19 Oktober 1984 berjudul ‘Seni, Muzik dan Masyarakat’, tersiar dalam Jurnal Jejak Kembara, Jilid 2, Bilangan 2, November 1984/1985, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura.
  7. Sejumlah tulisan mengenai Pak Zubir Said dan lagu-lagu ciptaan beliau di Internet.

Tulisan: Rasiah Halil
13 Oktober 2023.

Penerangan Dan Pembacaan Sajak Serta Nukilan Beberapa Lagu Ciptaan Pak Zubir Yang Disampaikam Semasa Pelancaran ‘Projek Orang Singapura Zubir Said’ Pada 28 Oktober 2023, Di Singapura

Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada tetamu terhormat majlis ini, Dr Mohd Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan juga Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Encik Ong Kong Hong, Pengarah Divisyen, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kirikulum, Puan Salbiah Abas, Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Puan Noor Azimah Md Haad, Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Puan Zurainee Zainal, Sekretariat MLLPC (Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu)), Encik Suhaimi Sahmat, anggota Sekretariat MLLPC, jawatankuasa penganjur lainnya, tuan-tuan dan puan-puan.

Mengapa sajak ini dipilih dan penerangan selanjutnya:

  1. Kesamaan pengalaman sebilangan seniman silam kita
  2. Pak Zubir dan P Ramlee serta Saloma mengenali satu sama lain, malah Pak Zubir turut membimbing dan merakamkan lagu-lagu nyanyian Saloma

Sajak yang dibacakan:

Mengenangmu
(Mengenang 40 tahun pemergian P. Ramlee:
Lahir: 22 Mac 1929 – Meninggal Dunia: 29 Mei 1973)

Betapa kau mempelitai kami
bersumbukan seni
dengan corong ikhlas
keterampilan
bahawa hidup ini khazanah
kaya dengan kepelbagaiannya
dalam lagu, lakon, skrip, mengarah
pejal bagai batu prisma
memantul & mendokumentasi
warna-warni perjalanan bangsa.

Betapa kau mengilhami
makna penglibatan seni
tika ‘seniman’ mudah tergoda
tika namamu dijejer sesukanya
sedang semasa menderita, sepi
kau & Saloma bagai tersingkir
yang heboh meminggir
& bakat besar yang seharusnya mengawan
terjerlus oleh kepicikan wawasan.

Teuku Zakaria, P. Ramlee
Allah sahaja membalas
jasamu pada bangsa & seni.

Ditulis: 29 Mei 2013
Tulisan: Rasiah Halil.

Beberapa nukilan lagu ciptaan Pak Zubir dibaca dan ‘dinyanyikan’ bersama para peserta yang hadir dalam majlis tersebut:

Cantik Menghijau

Dengarlah burung berkicau-kicau
Seakan berdendang menghilangkan risau
Lihatlah lembah-lembah luas cantik menghijau
Menggambarkan wajah musim kemarau

Hatiku senang kubawa berdendang
Lagu gembira riang
Rama-rama serta bunga ikut girang
Semua bergembira bersentosa
Di musim kemarau.

Filem: Yatim Mustapha (1961) nyanyian Nona Asiah

Sayang Disayang

Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu kuburan
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang

Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari kenangan
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan kawan/abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang disayang.

Filem: Racun Dunia (1950) nyanyian Rubiah dan kemudiannya Kartina Dahari

Setangkai Kembang Melati

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Mekar dalam taman
Taman hati muda remaja

Kusunting kembang melati
Dalam sanubari
Sebagai kenangan
Untuk dewi yang kupuja-puja
Bahagialah melati
Pujaan abadi
Kusanjung dengan kasih
Asmara yang suci
Semoga hidup subur setiap masa
Dimandikan embun pagi

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Di dalam rangkaian
Asmara yang sakti.

Filem: Buluh Perindu (1953) nyanyian Jamaliah Shariff dan Abdullah Chik

Sirih Pinang

Burung dara terbangnya tinggi
Hinggap sebentar di kayu rendah
Ampunkan kami tegak berdiri
Wujudnya duduk menghidang sembah

Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah bersusun jari sepuluh

Dendanglah nyanyi-nyanyi nan meresap
Dalam hati dengan lagu
Lagu nan berseri-seri
Hidanglah tari-tari nan menghibur
Sanubari dengan langkah
Lenggang lenggok nan sejati.

Filem: Bawang Putih Bawang Merah (1959), nyanyi Norma Mam dan dinyanyikan oleh beberapa penyanyi lain, termasuk Sharifah Aini.

Kaparinyo

Orang berinai berhitam kuku
Mandi dijirus si air mawar
Jikalau sampai hasrat hatiku
Racun kuminum jadi penawar

Belum tersurat dalam hikayat
Ayam keluar mencari musang
Belum tersirat di dalam adat
Bunga keluar mencari kumbang

Semenjak lembah bertambah dalam
Nampaknya gunung tinggi bertuah
Semenjak sejarah Hawa dan Adam
Alam berkembang berubah-ubah

Cincin bernama cincin pusaka
Takkan sesuai sebarang jari

Hasrat nak beli dulang bertepi
Barulah molek untuk hidangan
Hajat nak cari yang sama sehati
Barulah molek makan sepinggan

Sungguhlah harum si bunga tanjung
Hati nak petik si bunga mawar
Rindu dan dendam tidak tertanggung
Budi setitik jadi penawar

Sungguh melati senang dipetik
Harumnya masyhur seluruh alam
Sungguhpun budi hanya setitik
Langit dan bumi ada di dalam.

Filem: Tunang Pak Dukun (1960) nyanyian Saloma, Rahmah Ali dan Abdullah Chik

Akhir kalam

Pantun ringkas mengenang Pak Zubir:

Makan sirih bercampur gambir,
Makan di atas daun talas;
Tetap dikenang jasa Pak Zubir,
Hanya Allah yang boleh membalas.

Sekian, salam hormat dan terima kasih.

Tulisan: Rasiah Halil
28 Oktober 2023.

Catatan 20 – 23 Disember 2022

1. Lama benar saya tidak dapat menulis untuk masukan blog ini; saya disibukkan beberapa hal. Ada hal yang tidak disangka-sangka, misalnya komputer saya bermasalah dan sebilangan fail saya ‘hilang’. Fail-fail ini sejumlahnya dapat ditemu semula, tersorok dalam komputer tetapi ada yang masih belum dapat ditemukan. Sedih hati saya bukan kepalang, maklumlah tulisan saya bagaikan ‘anak-anak saya’; kehadiran tulisan-tulisan ini seakan mencatatkan kewujudan saya. Dan saya tiada PA (personal assistant/pembantu peribadi) untuk hal-hal sebegini. PA saya ada dua, setiap satu berkaki empat, tidak tahu pasal komputer, malah suka mengacau bila saya menggunakan komputer. Mereka baru berusia tiga tahun, comel dan nakal serta mudah digoda dengan wetfood dan kibbles selain suka dilayan dan dimanjakan. Nasib…nasib… ada PA sebegini, yang tak tahu mencari fail yang hilang, cuma sering menjadi penglipur lara dan badut di layar terkembang kehidupan….

Usia yang semakin meningkat juga bererti tenaga kita berkurangan dan ada sahaja masalah kesihatan. Saya berulang ke pusat-pusat perubatan beberapa bulan ini dan alhamdulillah kesihatan saya bertambah baik. Seperti kawan-kawan seangkatan saya, mudahnya kita penat dan ‘bercinta’ jika terpaksa menghabiskan banyak waktu di satu-satu tempat. Semua kendala ini bererti saya semakin ‘terseksa’ bila menyiapkan masukan blog. Banyak benar yang saya terkial-kial…..

2. Berita tanah runtuh dan banjir di Malaysia begitu menggerun dan menyedihkan kita. Semasa musim tengkujuh berbagai perkara boleh berlaku; mudah-mudahan apa yang boleh diperbaiki, diusahakan. Dan tragedi seperti di Jalan Genting-Batang Kali ini tidak akan berulang. Kita tabik kepada pasukan penyelamat (termasuk pasukan K-9nya) dan orang awam yang banyak meleraikan keadaan. Semoga di masa-masa mendatang, persiapan menghadapi tanah runtuh dan banjir lebih menyeluruh dan jitu ditangani pihak-pihak berkepentingan, insya-Allah.

3. Malaysia merupakan jiran terdekat kita di Singapura. Sebilangan besar kita mempunyai saudara dan sahabat di Malaysia; Malaysia juga merupakan destinasi berwisata yang digemari rakyat Singapura. Baru-baru ini Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15nya pada 19 November 2022 lalu. Bagi kita orang awam, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada berita-berita dari Malaysia yang kita ikuti, agak menyentak hati. Di media sosial pelbagai tuduhan dan fitnah mudah terhambur. Dan sesudah PRU, kerap pula saman-menyaman berlaku. Inikah budaya baharu? Zaman Tunku dan beberapa pemimpin sesudah beliau, tidaklah sebegini bercelaru. Saya teringat peribahasa kita: menang sorak kampung tergadai. Dan saya terkenangkan cogan kata salah sebuah sekolah saya dahulu: Fakta Non Verba – Deeds Not Words. Bercakap itu mudah, malah boleh berdegar-degar (dan ini tidak berbatas kepada sesuatu negara atau kumpulan sahaja) tapi yang penting, adakah kata kita dikota dan cakap kita serupa bikin? Menyedihkan juga jika pelbagai kecelaruan ini berterusan.

4. Di Iran, meninggalnya Mahsa Amini, 22 tahun pada 16 September 2022 lalu, setelah ditahan Polis Bahagian Moral, mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran. Hanya di Iran dan Afghanistan, dan bukannya di 57 negara Islam yang lain, tidak berhijab menimbulkan masalah besar. Mahsa berbangsa Kurdi dan beragama Islam Sunni dan bukan Syiah, seperti kebanyakan orang di Iran, tentunya hal-hal sebegini juga memainkan peranan. Terdapat banyak cara boleh dilakukan untuk menggalakkan wanita berhijab tetapi memenjara dan menyeksa mereka yang tidak berhijab bukan pula jawapannya. Ada yang ditangkap dan terbunuh dalam tunjuk-tunjuk perasaan ini dan gemanya disahut oleh beberapa negara lain terutamanya di Barat. Ada selebriti juga tumpang sekaki, turut memprotes soal hijab dan kematian Mahsa Amini tetapi berkelu kata apabila wanita-wanita di negara mereka dipengapakan oleh golongan tegar seperti Hindutva dan seumpamanya. Kita tidak bersetuju cara Mahsa diperlakukan dengan alasan yang diberi pihak berwajib di Iran tetapi kita juga sedia maklum ada juga pihak-pihak tertentu, di luar dan di dalam negara Iran, sengaja mengadu-domba dan menaja mereka yang sedia menggegar keadaan.

5. Qatar baru sahaja mengadakan Piala Dunia – pertama kali diadakan di negara Islam dan Arab, pada 20 November sehingga 18 Disember 2022 lalu. Maghribi/Morocco pula menjadi negara Arab-Afrika pertama memasuki pusingan separuh akhir Piala Dunia dan menduduki tempat keempat setelah dikalahkan Croatia. Mereka yang meminati bola sepak tentu teruja dan terhibur melihat idola mereka beraksi di Qatar. Dan Argentina dengan Lionel Messi sebagai kaptennya, menjadi juara Piala Dunia, mengalahkan Perancis. Tetapi sesetengah kita terpaut dengan gelagat Atlas Lions dari Maghribi/Morocco.

Yang kita saksikan bukan sekadar permainan bola sepak yang bertaraf tinggi tetapi ‘permainan-permainan’ yang lain juga. Ada sikap dwitara (double standards) sesetengah negara kerana menganggap semua seharusnya mengikut rentak mereka. Qatar tidak membenarkan arak diminum di stadium-stadium pertandingan dan juga memakai lilitan lengan ‘One Love’ (menyokong LGBTQ), itu pun dikecam. Menyayangi dan menghargai ibu bapa sendiri sebagaimana dilakukan oleh beberapa pemain Maghribi juga dikecam. Banyak yang dikecam kerana Qatar tidak mengikut acuan negara-negara Barat dan mengkedepankan nilai-nilai Islam dan budaya Arab. Aneh betul negara-negara ini – mereka hakim dan pendakwa raya – hanya ketentuan mereka sahaja boleh digunapakai. negara lain semua bagai tidak bertamadun, mundur, pengganas dan tidak mementingkan hak asasi manusia. Hanya sebiji bola dan sebuah piala tapi ada juga negara menganggap hanya mereka layak menentukan segalanya. Sesungguhnya zaman penjajahan itu belum terkubur dan sering diulang tayang.

Ada juga sebilangan orang bersuara – berbilion-bilion dibelanjakan Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia kali ini – Qatar begitu fokus untuk melaksanakannya sebaik mungkin. Ini tentu ada baiknya tetapi mengapa tidak disalurkan juga sejumlah wang, prasarana, kepakaran dan sebagainya untuk membantu orang-orang Islam dan bukan Islam yang dijadikan pelarian, dibaham sengketa dan perang sesamanya? Bukankah mengurangkan masalah-masalah sebegini dituntut oleh agama? Palestin tidak menyertai Piala Dunia tetapi kehadiran mereka digemakan di Qatar – semoga lagu yang dinyanyikan pemain dan penyokong Maghribi/Morocco dan penyokong lainnya mengenai Palestin diabaikan negara-negara Arab/Islam yang kaya, ada juga meresap dan menusuk di jiwa mereka yang seharusnya sedar dan peka keadaan di sana dan di beberapa tempat lainnya.

6. Di daerah kita, ramai yang masih bersesak-sesak berbelanja dan pergi bercuti. Pengekangan semasa Covid-19 dahulu bagaikan memercupkan keinginan kita untuk bertemu dan makan-makan bersama rakan dan taulan, berbelanja dan pergi bercuti sebelum tahun baharu tiba dan sekolah dibuka. Ini dimudahkan lagi dengan bantuan kewangan yang diberi pemerintah Singapura pada awal Disember ini. Apa lagi, ada sesetengah kita benar-benar berbelanja sakan sebelum GST dinaikkan oleh pemerintah Singapura tahun hadapan.

7. Adakah anda, seperti saya, berasa kurang selesa apabila kita memberi gelaran seperti Pencetus Ummah/PU, Imam Muda, Da’i dan sebagainya kepada mereka yang bergiat dalam bidang agama? Kalau mereka dipanggil Ustaz atau Ustazah dan seumpama itu dan mereka berilmu, tidak mengapalah. Kita mungkin mengelirukan masyarakat apabila orang-orang muda sebegini (tidak semua) semakin diketengahkan – seolah-olah masuk pertandingan sahaja sudah memadai. Yang benar-benar berilmu itu kan lain daripada mereka yang tidak mendalami.

Dan kita juga musykil bagaimana sekarang semakin bertambah mereka yang mudah mempercayai tarekat yang ternyata songsang, orang tidak berilmu agama tetapi begitu lantang bersuara seakan mereka terlalu faham kehendak Islam, ada yang mengaku cicit Rasulullah SAW dan terlalu diagung-agungkan, ada orang dianggap maksum dan lain-lain. Dan ada pula begitu tidak logik berkata para suami dayus membenarkan doktor lelaki menyambut isteri mereka yang bersalin, bersuara keras dan menganggap mereka sahaja yang betul. Betapa tergelincirnya masyarakat Islam jika orang dan golongan sebegini semakin mendapat tempat. Ini belum lagi kita bercakap mengenai sebilangan pempengaruh, pembuat content, selebriti yang tidak habis-habis dengan berbagai-bagai tingkah yang mengaibkan, meningkatkan keremehan dan kecelaruan dalam masyarakat kita.

8. Singapura memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menganggap hubungan seks di antara lelaki sebagai jenayah pada 29 November 2022 lalu. Dan Artikel 156 pula diperkenalkan untuk menguatkan institusi perkahwinan – bahawa perkahwinan itu adalah di antara seorang lelaki dengan seorang wanita.

Banyak suara yang terdengar, menyokong dan menyanggah pemansuhan ini. Sekarang semakin ketara gejala LGBTQ ini di mana-mana. Dan kita sebagai orang awam bagaikan mesti menerima segalanya – ada yang menjadi penggiat agama versi mereka, ada yang menyusup ke dunia seni, sastera, budaya, profesional dan keilmuan kita, ada buku, drama dan filem seolah-olah menganggap inilah soal ‘hak asasi’ dan kita harus menerima keadaan yang sedia ada. Saya yakin kita tidak digalakkan membenci sesiapa, hatta mereka yang dianggap ‘terkeluar ring’ tetapi mengatakan gejala ini okey dan harus diterima bulat-bulat, satu hal yang lain pula. Apakah pemansuhan ini akan berhenti setakat itu sahaja dan tiada usaha pihak-pihak LGBTQ ini untuk mengesahkan perkahwinan sejenis mereka, menuntut hak membeli dan mendapatkan rumah, insurans, mendapat dan memelihara anak dan seumpama itu? Banyak isu terbabit yang perlu difikirkan. Apakah jika kita menolak bekerjasama dengan pihak-pihak sebegini misalnya enggan mengadakan majlis ‘pertunangan’, ‘perkawinan’ golongan ini atau terlibat dengan usaha-usaha menormalisasikan gaya hidup mereka dan seumpama itu, kita dianggap melanggar hak mereka, boleh didakwa dan kita sebenarnya kolot? Dan bagaimana pula dengan anak cucu kita? Adakah mereka akan semakin dicelarukan fikirannya kerana apa yang dianggap tidak lumrah semakin lumrah dan seakan-akan dibela pula?

9. Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri United Kingdom pada 25 Oktober 2022 lalu. Ini menyusul perletakan jawatan Liz Truss dan sebelum itu Boris Johnson sebagai Perdana Menteri United Kingdom. Mereka semua dari Parti Conservative. Ada orang berasa amat bangga kerana Sunak yang berbangsa India dan beragama Hindu boleh diterima oleh rakyat Britain sebagai perdana menteri. Tetapi beliau dipilih oleh anggota partinya, sebagaimana Liz Truss, bukan rakyat Britain. Rishi Sunak bukan seorang daripada golongan sederhana, sebagaimana Jeremy Corbyn misalnya. Dia amat kaya, keluarganya lebih kaya daripada Raja Charles III. Apa pun, masa nanti akan menentukan prestasinya sebagai PM; adakah United Kingdom bertambah baik atau sebaliknya.

10. Kematian sering mengharu dan kadangkala menyentak dan menyedarkan kita; bahawa hidup ini singkat dan mengisi kehidupan ini sebaik mungkin seharusnya menjadi tujuan kita. Kita sering terkenang orang-orang yang kita kenal dan sayang atau mungkin tidak kita kenal secara peribadi tetapi kehadiran mereka ada juga mengesankan kehidupan kita. Pemergian empat orang ini membawa pelbagai erti bagi keluarga dan khalayak yang mengenali mereka.

a. Banyak telah ditulis dan diperkatakan mengenai Ratu Elizabeth II sejak kemangkatannya pada 8 September 2022 lalu. Dilahirkan pada 21 April 1926, Baginda menjadi Ratu United Kingdom dan negara-negara jajahannya pada 6 Februari 1952, setelah kemangkatan bapanya, Raja George VI. Bagi mereka yang lebih berusia, mungkin banyak kenangan mereka mengenai Baginda kerana Britain menjajah sejumlah besar negara di daerah kita, Afrika, Timur Tengah dan lain-lain. Dan walaupun banyak perkara diketengahkan mengenai penjajahan dan kesannya serta pengambilan pelbagai jenis pusaka dari negara-negara yang dijajah, termasuk permata Kohi-Noor, rata-rata ramai yang mudah menerima Baginda sebagai paksi negara.

Anak saudara sulung saya, yang berdarah kacukan Inggeris (ibunya dari United Kingdom), menginap di United Kingdom sejak usianya 13 tahun dan pernah bekerja sebagai juruterbang Tentera Udara DiRaja Britain (British Royal Air Force/RAF) menulis ini setelah berita kemangkatan Baginda tersiar:

‘It has been an honour to serve you, Ma’am.’

Kakak ipar saya (ibunya) yang juga pernah bekerja di bahagian pentadbiran RAF pada tahun-tahun 1960-an dahulu, turut berasa semacam ‘kehilangan’ dan menulis mengenainya kepada saya. Satu hal yang kita tabik, Baginda tidak terpalit dengan skandal dan berhemah memikul tugasnya. Di tengah-tengah mereka yang heboh apabila berkuasa, dalam dunia yang disaluti anasir-anasir berencam, kegilaan mendapatkan ‘likes’, mendedahkan kehidupan peribadi tanpa tapisan, keberadaan Baginda merupakan satu unsur kemantapan bagi Britain. Pada zaman moden ini, sukar kita menemui seorang Ratu sepertinya dan mungkin kerana beberapa unsur yang merangkai kehidupan Baginda, ramai yang tersentuh walaupun tidak menyukai penjajahan Britain terhadap negara mereka dahulu.

b. Sebaya dengan Ratu Elizabeth II, seorang sarjana dan ulamak besar, Sheikh Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradawi meninggal dunia pada 26 September 2022 di Doha, Qatar. Allahyarham dilahirkan di Mesir pada 9 September 1926, terdidik di Universiti Al-Azhar sehingga memperolehii ijazah PhD, beberapa kali dipenjarakan oleh pemerintah Mesir kerana penglibatannya politiknya, dan kemudian menetap di Qatar pada 1961. Penglibatannya dalam dunia Islam melalui kajian dan ceramahnya selain memula dan menghidupkan pelbagai initisiatif keilmuan Islam, memang membanggakan. Walaupun ada pandangannya menimbulkan tengkarah, misalnya mengenai pengebom nekad tetapi pandangan ini bukan mutlak digunapakai atau terus dianjurkan oleh Allahyarham.

Cinta Sheikh Al-Qaradawi kepada Islam dan ketekunannya menjawab persoalan-persoalan semasa dengan menggunakan bingkai dan rujukan Islam yang klasik dan muktabar, membolehkan orang awam lebih memahami Islam. Semoga Allah sahaja membalas jasa baik Allahyarham mengenalkan keindahan dan kesyumulan Islam kepada dunia. Kita juga berharap lebih banyak karya dan ceramahnya diterjemahkan, dikumpul, dibukukan dan disebarkan dengan lebih meluas. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menggolongkan Allahyarham di kalangan hamba pilihan-Nya. Amin.

c. Encik Md Guntor Sadali, 69 tahun, mantan editor Berita Harian/ Minggu selama 15 tahun dan mempunyai 42 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan, meninggal dunia pada 7 September 2022. Tidak mendengar apa-apa pun berita mengenai kesihatan beliau, berita pada pagi 7 September itu tentu memeranjatkan mereka yang mengenali Allahyarham.

Saya jarang menghantar beliau apa-apa mesej melalui WhatsApp, kecuali memberitahu ada masukan baharu dalam blog saya, mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ atau beliau bertanya saya satu dua perkataan untuk diterjemahkan. Kali terakhir saya menghubungi Encik Guntor ialah pada 2 September 2022; saya mengirim satu nukilan kata perangsang pada pagi Jumaat tersebut dan Encik Guntor menjawab dengan emoji jempol (ibu jari).

Saya tidak pernah ke rumah Encik Guntor walaupun pernah dijemput menghadiri majlis perkahwinan anaknya; saya sakit pada hari tersebut dan mengirim sumbangan untuk anaknya melalui Kak Salma Semono, mantan wartawan Berita Harian/Minggu. Encik Guntor membalas sumbangan saya dengan mengirimkan berkat perkahwinan anaknya melalui Kak Salma juga.

Tulisan-tulisan Encik Guntor pertama kali saya baca ketika saya di sekolah menengah, di dalam majalah bulanan terbitan Kementerian Pelajaran (sekarang Pendidikan) Singapura berjudul Majalah Harapan. Tulisan-tulisan Encik Guntor, ketika itu beliau berada di kelas Pra-Universiti di Sekolah Menengah Sang Nila Utama, menyentuh hal-hal politik serantau seperti ASEAN dan lain-lain. Tulisan-tulisannya bernas. Kemudian saya membaca pula tulisan-tulisan Encik Guntor ketika beliau mula bertugas di akhbar Berita Harian/Minggu.

Semasa zaman Encik Guntor menjadi editor Berita Harian/Minggu, malah semasa zaman editor-editor sebelum zaman beliau dan mereka yang menjadi editor hujung minggu atau pengelola ruangan sastera akhbar tersebut – nama-nama seperti Hussein Jahidin, Zainul Abidin Rashid, Yatiman Yusoff, Md Ismail Abdullah (MIA), Hawazi Daipi, Ismail Pantek, Md Naim Daipi (sekadar nama-nama yang masih saya ingat) – karya-karya saya sering mendapat tempat dalam satu-satu akhbar Melayu di Singapura. Karya saya (sajak) pertama kali tersiar di akhbar Berita Minggu pada 2 Disember 1973, berjudul ‘Lagu’. Sajak ini ditulis pada 4 Mei 1973 dan saya hanya mengirimkannya ke pihak akhbar setelah tamat menduduki peperiksaan GCE ‘O’ saya. Setelah karya pertama itu tersiar, saya lebih kerap menghantar karya ke Berita Minggu. Zaman itu sastera Melayu Singapura terasa begitu rancak dan anak muda seperti saya ketika itu menjadikan akhbar tersebut sesuatu yang mesti saya baca, selain Dewan Sastera (Malaysia) dan beberapa majalah dan tulisan lain.

Sebelum zaman Encik Guntor menjadi editor lagi, Encik Hawazi Daipi yang mengelolakan tulisan-tulisan bukan sastera dalam Berita Minggu, menggalakkan saya menulis rencana-rencana bukan sastera dalam ruangan ‘Pendapat’. Ketika Encik Guntor menjadi editor pada 1997, tahun berikutnya, melalui Ismail Pantek, editor hujung minggu Berita Minggu, mereka memberi saya peluang untuk menulis ruangan pojok yang diberi nama ‘Sri Anggerik’. Ruangan ini terbit dua minggu sekali dan mula tersiar dari 19 Julai 1998 sehingga 14 Jun 2006. Mereka juga memberi saya peluang menulis ruangan sastera menggunakan nama pena ‘Tun Fatimah’ dari 2004 sehingga awal 2009. Selain itu, tulisan-tulisan saya, baik sajak, cerpen, ulasan buku dan esei yang menggunakan nama saya juga disiarkan dari waktu ke waktu sepanjang Encik Guntor menjadi editor dan Ismail Pantek editor hujung minggunya. Saya berterima kepada mereka berdua dan sebilangan editor dan pengelola beberapa ruangan di akhbar tersebut dahulu, yang membuka ruang untuk saya terus berkarya dan mendapat tempat di dada akhbar Berita Harian/Minggu.

Saya berpeluang mengikuti Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, melalui Biasiswa Fulbright, pada Ogos sehingga Disember 1995. Dari Iowa, ada juga saya mengirim karya yang disiarkan di Berita Minggu. Setelah saya pulang ke Singapura, sekitar Januari 1996, saya datang ke pejabat lama Berita Harian, yang ketika itu terletak di Kim Seng Road, untuk bertemu Kak Salma Semono. Encik Guntor ternampak saya dan beliau keluar dari pejabatnya untuk berbual. Ternyata beliau bangga saya dapat pergi ke Iowa melalui biasiswa yang agak berpestij itu dan ini beliau nyatakan kepada saya. Dan beliau juga menggalakkan saya agar terus berkarya dan mengirim karya-karya saya ke akhbar Berita Harian/Minggu. Saya dapati Encik Guntor begitu ikhlas orangnya, bersikap merendah diri dan ini tidak berpandukan satu dua peristiwa sahaja. Beliau benar-benar bangga apabila ada anggota masyarakat Melayu-Islam Singapura mencapai kejayaan dalam apa pun bidang kehidupan yang memanfaatkan.

Satu kelucuan yang sukar saya lupakan – untuk beberapa tahun Encik Guntor mengadakan Anugerah Jauhari (mula diadakan pada 1998), saya turut diundang. Dan setiap tahun saya tidak dapat menghadirinya kerana beberapa halangan. Setelah beberapa kali menolak undangan Encik Guntor, akhirnya saya terpaksa memberitahu Encik Guntor perkara sebenar; saya tidak begitu selesa menghadiri majlis-majlis sedemikian dan saya tidak berkecil hati jika saya tidak lagi diundang. Lantas berhentilah Encik Guntor mengirim kad undangan ke majlis tersebut kepada saya.

Setelah Encik Guntor bersara dan mengusahakan perniagaan berkaitan penerbitan dengan dua orang mantan wartawan, ada juga saya diundang ke pejabat mereka di Geylang Serai. Dan bila sesekali bertemu atau berWhatsApp dengan beliau, saya pernah juga menyarankan agar Encik Guntor mengumpulkan esei-eseinya sejak dari zaman Pra-Universitinya lagi sehingga beliau di Berita Harian kerana ia merupakan dokumentasi yang baik. Beliau selalu berkata, beliau sedang mengusahakannya; mudah-mudahan warisnya akan melakukannya, jika belum semua esei Allahyarham sempat dikumpulkan untuk dijadikan buku.

Saya tidak terlalu mengenali Encik Guntor tetapi daripada sedikitnya yang saya kenal, saya tersentuh dengan kerendahan hatinya dan kesungguhan beliau memartabatkan Bahasa Melayu melalui Berita Harian/Minggu serta keikhlasannya apabila ada orang Melayu-Islam Singapura berjaya dalam satu-satu bidang kehidupan. Encik Guntor melambangkan kegigihan orang dulu-dulu, yang ilmunya tidak dibingkai oleh sekadar segulung ijazah kerana ilmu kehidupan yang ditimbanya begitu luas. Dan dalam keluasan itu, Allahyarham tidak pernah melupakan asal-usulnya, masyarakatnya atau menjadi orang yang bongkak. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham Encik Md Guntor Sadali di kalangan hamba pilihan-Nya. Amin.

d. Bagaimanakah harus dicatatkan mengenai seorang penulis dan penyair Singapura, Mohamed Latiff Mohamed, yang telah pun dicatatkan oleh sebilangan orang? Latiff dilahirkan pada 20 Mac 1950 di Singapura dan meninggal dunia di Melbourne, Australia pada 13 Oktober 2022 lalu. Saya mengenali Latiff, mula-mula melalui tulisannya dan kemudian orangnya pada awal tahun-tahun 1970-an dahulu. Kumpulan Grup Gelorasa yang dianggotai MIA (Md Ismail Abdullah), Djamal Tukimin, Eunosasah, Noryusman Abdulmajid (Haron Abdul Majid), Elfy Runianto (Hamzah Abdullah), Samsidah Suleiman dan lain-lain semakin dikenali pada awal tahun-tahun 1970-an itu. Kemudian barulah nama Latiff semakin meningkat, terutama setelah beliau menceburi Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50). Tulisan-tulisannya lantang dan ada juga yang romantis – dua tarikan yang melingkari kehidupannya. Latiff pernah bertugas sebagai guru Bahasa Melayu dan juga menjadi penulis pakar menulis buku-buku teks sekolah di Singapura. Allahyarham dan isterinya mengikut anak sulung mereka, Md Khairil, menginap di Melbourne pada 2015. Jiwanya mahu terus menetap di Singapura tetapi keadaan keluarganya memerlukan beliau menetap di Melbourne. Sesekali bertemu atau pada mulanya bermesej melalui telefon bimbit, Latiff sering menggambarkan resahnya hidup di rantau orang, berjauhan dari orang-orang dan tempat-tempat yang bermakna bagi hidupnya. Beliau seperti layang-layang putus tali kerana berjauhan daripada masyarakat Melayu-Islam yang sering ditegur tetapi amat disayanginya. Ternyata jiwa seninya tidak sedamainya di Melbourne dan beliau amat kurang menulis semasa menetap di sana selama 7 tahun.

Saya tahu Allahyarham menghidap satu dua penyakit kronik seperti kencing manis dan Allahyarham boleh menggeletar kelaparan kerana penyakit ini. Tetapi seperti kebanyakan orang, saya tidak menyangka beliau akan berpulang ke rahmatullah pada usia 72 tahun. Hampir sebulan sebelum Latiff meninggal dunia, pada 17 September 2022, saya diundang Asas 50 untuk menyampaikan ceramah mengenai perlambangan dalam kesusasteraan Melayu Singapura. Wan Jumaiah Md Jubri juga turut diundang menyampaikan ceramah mengenai perlambangan yang digunakan dalam cerpen-cerpennya. Saya mengemukakan karya beberapa orang penulis/penyair Singapura, termasuk karya Latiff. Dan saya ada bergurau mengenai kecenderungan Latiff dalam karya-karyanya. Selepas ceramah dan semasa menjamu selera, Suraidi Sipan, kawan baik Latiff sejak dahulu lagi dan merupakan Presiden Asas 50, memberitahu saya beliau baru sahaja menziarahi Latiff di Melbourne. Suraidi menangis melihat keadaan Latiff yang uzur dan Suraidi menunjukkan gambar Latiff yang baru diambilnya kepada saya dan seorang dua lagi. Ya, memang Latiff kelihatan uzur. Suraidi juga memberitahu bahawa Latiff ada bertanya khabar saya dengan satu soalan yang agak peribadi – Suraidi dan saya serta beberapa orang berdekatan turut ketawa mendengar pertanyaan Latiff melalui Suraidi. Dalam keadaan uzur pun sempat Latiff bertanya khabar yang sedikit peribadi – agaknya Latiff ingat saya masih muda belia dan bukannya wanita yang sudah pun mencecah angka 6 abad dalam hidupnya. Saya masih tersenyum bila teringatkan pertanyaan Latiff kepada Suraidi mengenai saya; alangkah terkejutnya saya apabila pada pagi 13 Oktober 2022 itu, saya menerima mesej daripada seorang kawan saya, yang turut mengenali Latiff, menyatakan Latiff sudah berpulang ke rahmatullah.

Karya-karya Latiff tidak terbatas kepada satu genre sahaja; Allahyarham menulis sajak, cerpen, esei, drama dan novel. Walaupun ada masanya tulisannya romantis tetapi sebilangan besarnya tidak sedemikian. Beliau lantang menyuarakan ketidakadilan dan gejolak masyarakat minoriti Melayu-Islam Singapura. Kalau anda keluarkan input masyarakat Melayu-Islam di dalam karya-karyanya, Latiff akan ‘mati’. Beliau kadangkala geram dan marah dengan tindak-tanduk masyarakatnya tetapi marahnya bukan kerana dia malu dikaitkan dengan masyarakat Melayu- Islam Singapura tetapi kerana cintanya yang mendalam terhadap mereka.

Sebagai kawan beliau jujur dan suka berterus terang tetapi boleh juga pada waktu-waktunya kuat merajuk. Saya selalu menganggap Latiff, Suraidi Sipan dan Md Naim Daipi (kini Allahyarham) sebagai abang-abang saya dalam dunia sastera; merekalah, bersama Cikgu Md Gani Ahmad dan beberapa penulis veteran mengerakkan semula Asas 50 pada tahun-tahun 1970-an dahulu. Ketika saya dan beberapa orang kawan mengusahakan jurnal sastera pertama di Universiti Singapura, Jejak Kembara, pada tahun 1978/79, ketiga-tiganya membantu kami. Md Naim membenarkan saya dan seorang ahli jawatankuasa Jejak Kembara membuat cetakan (saiklostail) di rumahnya sehingga larut malam. Suraidi pula membuat beberapa ilustrasi bagi jurnal yang sama, tanpa meminta apa-apa bayaran dan Latiff, apabila menerima jurnal itu begitu teruja sehingga menulis mengenai usaha sulung ini di Berita Minggu.

Kadangkala Latiff boleh menjadi sensitif apabila apa yang kita kemukakan, dia kurang bersetuju atau faham. Pertama kali saya menyampaikan ceramah sastera di luar khalayak sekolah atau kampus, pada Januari 1983, di Maktab Rendah Temasek, anjuran Asas 50, Latiff menunjukkan beliau kurang senang. Tajuk ceramah saya: ‘Unsur Pemikiran Dalam Puisi’ – bukan suara-suara lantang mengenai kemasyarakatan, sebagaimana yang Latiff utamakan. Bagi saya unsur pemikiran itu penting kerana tanpanya tulisan kita menjadi hambar atau propaganda. Separuh masa menyampaikan ceramah, Latiff keluar dari dewan. Begitu juga ketika saya menulis esei panjang mengenai beberapa novel/novelet Melayu Singapura, yang saya dapati sebilangan karya ini agak negatif rumusan permasalahannya. Latiff juga tidak setuju, seolah-olah saya menolak terus penyuaraan masalah-masalah negatif dalam masyarakat. Hanya setelah memahami apa yang ingin saya sampaikan, baru beliau okey dengan saya. Dan Latiff faham bahawa bukan saya orangnya yang mengikut satu-satu trend tanpa berfikir, mendampingi seseorang kerana ingin menumpang kemasyhurannya, mengagung-agung orang tak bertempat atau menjalin hubungan yang tidak murni.

Terdapat beberapa usaha untuk membukukan karya kami dan beberapa orang bersama. Hanya satu yang menjadi apabila Md Naim mengusahakan antologi Kehilangan, terbitan Badan Kesenian Melayu Singapura pada 1985, memuatkan cerpen-cerpen Latiff, Basiran Hj Hamzah, Md Fuad Salim, Noor Hidayat dan saya. Usaha untuk membukukan sajak dan esei kami dan satu dua penulis lain juga tidak menjadi. Pada tahun-tahun 2009 atau sekitarnya, ada usaha oleh Cikgu Md Gani Ahmad, Latiff dan saya untuk mengumpulkan karya-karya Singapura selepas Perang Dunia Kedua tetapi usaha ini tidak kesampaian kerana beberapa masalah. Sesekali Latiff dan satu dua kawan bertemu tetapi tiada usaha pembukuan bersama lagi, kecuali memang diusahakan oleh pihak-pihak lain.

Satu usaha pembukuan yang besar melibatkan puisi-puisi dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, diusahakan oleh Usman Awang dan Prof Muhammad Haji Salleh, memuatkan lukisan dari negara-negara yang terlibat dan juga puisi terjemahan ke Bahasa Inggeris, selain puisi asli berbahasa Melayu, ditaja oleh Maybank, dilancarkan pada April 1999. Buku tersebut berjudul Cakerawala Nusantara. Puisi dan Lukisan. Dari Singapura hanya tiga karya penyair dipilih untuk buku yang agak besar dan cantik ini: Masuri S.N., Latiff dan saya. Latiff yang menghubungi saya untuk mendapatkan keizinan dan sebagainya (mewakili pihak Usman Awang dan Prof Muhammad Haji Salleh) dan beliau banyak bercakap-cakap mengenai projek tersebut. Latiff ternyata terharu karya beliau dan saya turut terpilih dalam projek yang bermakna ini.

Sajak-sajak Latiff pernah saya terjemahkan ke Bahasa Inggeris sejak tahun-tahun 1980-an lagi. Dan saya juga menyampaikan kertas kerja di Malaysia membincangkan novelnya, Dalam Keasingan, serta puisi-puisinya. Ketika di Universiti Brunei mulai Mac 1987 sehingga April 1990, saya mengajar Kesusasteraan Melayu-Indonesia Moden dan juga Kesusasteraan Melayu Tradisional. Dalam sub-topik kesusasteraan Melayu-Indonesia moden, saya mengenalkan kesusasteraan Singapura selepas 1965 (selepas berpisah dari Malaysia) pada 1988. Karya-karya Latiff dan beberapa penggiat sastera Singapura turut diajar. Malah saya sempat pulang ke Singapura dan mewawancara sebilangan penggiat sastera Melayu Singapura untuk kursus baharu ini.

Hampir kesemua karya persendirian Latiff yang dibukukan saya miliki kecuali segelintir bukunya yang diterjemahkan ke Bahasa Inggeris. Sebilangan besar bukunya beliau berikan kepada saya dengan diterakan satu dua baris kata sebagaimana tertera di atas. Pertama kali membaca novelnya Batas Langit (1996) misalnya, saya amat terharu. Saya dapati novel tersebut baik dan pernah menyarankan kepada Latiff agar menulis novel sambungannya. Bagi saya novel tersebut, sehingga ke hari ini, merupakan novel terbaik Melayu Singapura selepas 1965. Saya juga pernah beberapa kali menyarankan kepada pihak tertentu agar novel tersebut dijadikan buku teks sastera peringkat GCE ‘A’ dan hanya baru-baru ini hal ini menjadi kenyataan. Saya tumpang gembira mengetahui karyanya yang baik ini akan dibaca oleh lebih ramai pelajar dan mereka yang berminat.

Beberapa tahun sebelum menginap di Melbourne, Latiff lebih terbuka mengenai beberapa masalah yang dihadapi berhubung dengan hal-hal sastera (misalnya ada karyanya diterbitkan tetapi Latiff tidak diberi apa-apa bayaran) dan juga peribadi. Saya tidak mengetahui semuanya; yang lebih mengetahui tentunya kawan rapat Latiff, Suraidi Sipan. Dan Latiff sedia maklum bahawa ada juga orang mengambil kesempatan daripadanya.

Latiff meminati karya-karya Usman Awang, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Chairil Anwar, Pramoedya Ananta Toer, Rendra dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama sahaja) dan beliau yakin karya penulis-penulis ini akan selalu ‘hidup’. Meneliti karya-karya Latiff, saya yakin sebilangan besar karyanya akan sentiasa ‘hidup’ walaupun nanti beliau telah lama berpulang ke rahmatullah. Suara Latiff tegas, pedas tetapi kadangkala lunak menyiratkan sesuatu. Dalam kelantangannya menyuarakan sesuatu hal atau marahnya yang kadangkala sukar dibendung, dalam beberapa pesona dan tarikan kehidupan, kita temui penulisannya yang berseni, bererti dan mencalitkan rasa kasih dan kejujurannya terhadap masyarakat Melayu-Islam Singapura dan mereka yang Allahyarham kasihi. Lama nanti suara puisi dan prosanya bergema di kalangan mereka yang benar-benar jujur dan pandai menghargai sumbangan insan seni ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed di kalangan hamba pilihan-Nya. Amin.

11. Beberapa buah sekolah akan ditutup dan digabungkan dengan sekolah-sekolah lain kerana jumlah murid yang semakin merosot atau tanah dan tapak sekolah tersebut diperlukan untuk kegunaan lain. Dengan merosotnya jumlah murid, beberapa aktiviti kokurikulum adakalanya sukar diadakan dan ini kurang baik untuk pembangunan para pelajar. Salah sebuah sekolah rendah di daerah timur Singapura, Sekolah Rendah Eunos (Eunos Primary School) akan digabungkan dengan Sekolah Rendah Telok Kurau (Telok Kurau Primary School) tetapi nama Sekolah Rendah Eunos ditiadakan dalam sekolah gabungan baharu itu.

Eunos Primary School mula beroperasi pada 3 Januari 1984 dan terletak di nombor 95, Jalan Eunos. Tapak sekolah ini dahulu terdapat dua buah sekolah iaitu Jalan Daud Primary School dan Jalan Eunos Primary School. Telok Kurau Primary School, yang ditubuhkan pada 1926, dahulu terletak di daerah Telok Kurau. Ia juga telah beberapa kali berpindah lokasi dan kini terletak di nombor 50, Bedok Reservoir Road. Sekolah ini bersejarah kerana Perdana Menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew dan juga Perdana Menteri ketiga Malaysia, Tun Hussein Onn, bersekolah di sana.

Bagi mereka yang terdidik di Eunos Primary School, tentunya berasa sedih dengan penutupan sekolah dan hilangnya nama sekolah mereka. Inilah kenangan selama 6 tahun belajar di sekolah tersebut. Begitu juga perasaan murid-murid lain di sekolah-sekolah yang ditutup dan namanya tidak lagi digunakan dalam sistem Pendidikan Singapura. Hanya sebuah sekolah atau bangunan tetapi banyak hal yang memusarkan kenangan kita; bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Di Singapura kadangkala kita begitu cepat membangun dan tempat-tempat yang kita telah terbiasa, semakin hilang atau berubah. Walaupun kita maklum negara kita tidak boleh membeku dan tidak menyahut perubahan dan pembangunan, ada masanya, rentak pembangunan ini boleh juga sedikit diperlahankan. Pelbagai kenanganlah yang menautkan kita dengan rakan sebaya, rakan sekampung, rakan sekerja, saudara dan sesama warga serta penduduk sesebuah negara. Sebuah negara yang kecil dan tanpa hasil bumi seperti negara kita, sumber kekuatan terbesarnya pastinya rakyatnya. Dan ketenangan serta pertautan sesama kita dalam melayari kehidupan ini tentunya besar manfaatnya. Sebuah sekolah dan lain-lain yang merimbunkan kenangan bersama (collective memory) kita tentu ada tempatnya di negara yang sama kita cintai ini. Semoga tahun-tahun mendatang tempat-tempat yang bermakna bagi warga kita tidak menghilang secepatnya.

Dan tidak lama lagi, sebuah daerah yang tidak begitu jauh dari estet perumahan saya akan dibangunkan semula, dalam beberapa fasa, bermula tahun hadapan (2023). Projek Bayshore ini terletak di tanah tambak dan akan dibangunkan estet perumahan awam, rumah privet dan 2 stesen MRT yang dinamakan Bayshore dan Bedok South. Kini tanah seluas 31 hektar ini iaitu sebesar 43 padang bola sepak, bukan hanya terdapat perumahan privet tetapi juga daerah hutan. Di daerah hutan ini terdapat 196 spesies flora (tanaman), 95 daripadanya merupakan flora tempatan dan 147 spesies fauna (haiwan), sejauh yang dapat direkodkan. Menyedihkan kalau ini juga menghilang dan udara segar yang dibawa oleh daerah hutan, pupus oleh pembangunan.

Saya membesar di daerah timur Singapura dan salah sebuah rumah saya, di Lorong L, Telok Kurau Road, letaknya tidak sejauhnya dari Pantai East Coast. Pantai East Coast belum ditambak ketika itu, lantas tiada daerah Marine Parade dan kawasan sekitarnya. Begitu mudah dan menyeronokkan jika kita dapat bermandi-manda dan berkelah di Pantai East Coast dahulu. Tetapi keadaan ini berubah mulai akhir tahun-tahun 60-an. Pantai East Coast menjauh dan wujud pula daerah Marine Parade. Perubahan ini tentu menyedihkan tetapi sebilangan kita menerima kenyataan ini dengan berlapang dada; sekurang-kurangnya kita masih ada Pantai East Coast. Kalau daerah Bayshore semakin diubah dan daerah sekitarnya semakin kurang ditempati flora dan fauna serta warga Singapura yang telah lama menghuni dan terbiasa di sana, bagaimana pula nanti keharuan yang meruangi kehidupan kita yang tersisa? Hanya sesebuah tempat atau daerah, tetapi di situlah pelbagai kenangan meriwayatkan kehidupan kita.

12. Dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut Tahun Baharu 2023. Sepanjang tahun 2022 ini dan semenjak Covid-19 berleluasa sejak 2020, kehidupan kita demikian dirusuhkan. Hanya tahun ini, sedikit demi sedikit keadaan seperti sebelum melandanya Covid-19, semakin pulih. Bukan semuanya indah – ada perang, sengketa, kezaliman, penindasan, pencerobohan, masalah pelarian, kebuluran di beberapa pelosok dunia. Ada perniagaan yang masih tercungap-cungap, ada penyewa kedai dan gerai disergah sewa yang bertambah, ada orang masih sukar mencari nafkah, ada yang dibaham masalah kesihatan, ada kematian yang tidak diduga, ada ahli keluarga dibeliti pelbagai masalah dan berbagai-bagai lagi kesukaran yang meruangi kehidupan kita. Namun di tengah-tengah ini semua, kita juga dianugerahi sebilangan hal yang baik dan indah – masih ada saudara, sahabat, orang-orang yang tidak kita kenal berhati mulia, jiran tetangga yang mengambil berat, orang sekeliling yang sedia berkongsi kepedulian dan semangat, dan walaupun kesukaran serta malapetaka boleh bertandang, keinginan kita untuk mengecap kehidupan yang lebih aman, bahagia, bermutu dan indah tetap tidak lekang daripada dihamparkan.

Betapa benar kata-kata daripada Surah Alam Nashrah (Al-Inshirah) ini – ‘…bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.’ Kita berteguh hati untuk tidak berputus asa, bersungguh-sungguh berusaha, memanjatkan doa dan berharap tahun hadapan dan seterusnya, kanvas hidup kita akan tetap dicalit warna-warna yang menarik dan indah walaupun sesekali ada juga calitan gelap melatarinya. Semoga semua yang baik dan bermanfaat, Dia yang Maha Berkuasa, Pengasih lagi Penyayang, memudahkan untuk kehidupan kita, insya-Allah.

Salam Sejahtera
Rasiah Halil
20 – 23 Disember 2022

Pelakon dan Penyanyi Omar Suwita

Pak Omar Suwita meminati seni lakon dan nyanyian sejak kecil lagi dan gemar menonton bangsawan serta filem. Beliau mempelajari beberapa alat muzik misalnya selo (cello) dan ukuele daripada Haji Sapuan dan belajar bermain gitar dengan Hassan Sulaiman di Melaka. Pada mulanya, Pak Omar Suwita melakukan beberapa pekerjaan seperti menjadi pencuci kereta, penjaga bola, penarik beca dan sebagainya untuk menyara kehidupan  keluarganya. Semasa zaman Jepun, Pak Omar melarikan diri ke Singapura kerana hampir diambil sebagai ‘askar’ kereta api maut di Siam. Di Singapura, Pak Omar Suwita bekerja  sebagai pembuka tayar dan pembikin paku. Selepas zaman Jepun, beliau bekerja di laut tetapi kapalnya yang seharusnya belayar ke Sumatera, terkandas di Port Dickson. Di sinilah Pak Omar Suwita menetap dan berkenalan dengan Wan Dollah yang menggiatkan ‘Diamond Star Opera’. Pak Omar Suwita kemudian kembali ke Singapura dan bekerja di RAF Seletar. Beliau akhirnya mencuba nasibnya untuk bekerja dengan Shaw Brothers, pemilik Malay Film Productions.

Penglibatannya di Studio Jalan Ampas bermula pada 1953; Pak Omar Suwita mengelolakan bahagian dubbing filem-filem asing. Mulai 1954, beliau mendapat peranan-peranan kecil dalam filem misalnya filem ‘Ribut’ dan ‘Hati Iblis’. Hanya selepas ini, peranannya semakin membesar dan Pak Omar Suwita melakonkan pelbagai watak: sebagai orang jahat, orang tua, hantu, juruhebah dan sebagainya. Di antara filem-filem lakonannya termasuklah: ‘Penarik Beca’, ‘Semerah Padi’, ‘Seniman Bujang Lapuk’, ‘Panca Delima’, ‘Ibu Mertuaku’, ‘Insan’, ‘Pusaka Pontianak’, ‘Menyerah’, ‘Sengsara’, ‘Dahaga’, ‘Pencuri’, ‘Taufan’, ‘Kembali Seorang’, ‘Kasih Sayang’, ‘Sri Andalas’, ‘Hang Tuah’, ‘Raja Bersiong’ dan lain-lain.

Bidang lakonan tidak dapat diteruskan setelah 1967, apabila Shaw Brothers menutup studio Jalan Ampasnya. Namun kerjaya Pak Omar Suwita dapat diteruskan sesekali sahaja apabila beliau berlakon dalam filem ‘Bukit Kepong’ (1981), ‘Langit Petang’ (1981) dan ‘Kolej 56’ (1992).  Pak Omar Suwita telah berlakon dalam lebih daripada 30 filem. Beliau juga turut berlakon dalam drama pentas di Panggung Victoria, Singapura misalnya dalam drama-drama ‘Syaitan Ke Syurga’ dan ‘Seniman Kehilangan Ilham’. Selain itu, Pak Omar Suwita juga berlakon dalam drama televisyen Singapura  misalnya drama-drama ‘Patah Junjung’ dan ‘Seniman’ pada tahun-tahun 1990-an. Selepas penutupan studio Jalan Ampas, sejumlah besar masanya dihabiskan dengan melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anaknya kerana hampir tiada lagi peluang lakonan untuknya.

Penceburan Pak Omar Suwita dalam bidang nyanyian bermula pada tahun 1950-an juga. Beliau memenangi satu peraduan nyanyian anjuran para pekerja pada 1953 dengan menyanyikan lagu ‘Seruan Gembala’ yang dimasyhurkan oleh Bing Selamat. Kemenangan ini memberi peluang kepadanya menceburi bidang nyanyian secara serius. Pak Omar Suwita dijadikan  penyanyi latar bagi beberapa orang pelakon Shaw Brothers ketika itu seperti Ahmad Mahmud, Yusof Latiff dan lain-lain. Di antara lagu-lagu daripada filem nyanyiannya yang terkenal termasuklah lagu ‘Perjodohan’, ‘Bila Tiba Masanya’ (berduet dengan Normadiah), ‘Suka Sama Suka’ dan ‘Kalau Sudi Kata Sudi’ (berduet dengan Rafeah Buang). Pak Omar Suwita juga pernah menubuhkan kumpulan muziknya bersama Salleh Kamil dan lain-lain  yang digelar ‘Delima Keroncong’. Pada tahun 1967, beliau menjadi pemimpin kumpulan muzik ‘The Terwellos’ dengan penyanyi utamanya, Sanisah Huri, yang turut berlakon dalam filem ‘A-Go-Go 1967’. Selepas 1967, Pak Omar Suwita menjelajah ke seluruh Malaysia menyanyikan lagu-lagu filem nyanyiannya bersama beberapa seniman lain.

Pak Omar Suwita telah diberi beberapa anugerah bagi menghargai jasanya dalam dunia perfileman dan nyanyian Melayu. Anugerah pertama yang diterimanya berupa penghargaan sempena ‘100 Tahun Batu Pahat’ pada 1994. Balai Rakyat Geylang Serai memberinya penghargaan pada 1995. Begitu juga Balai Rakyat Tampines. Pak Omar Suwita  turut diberi penghargaan dalam ‘Malam Seraut Wajah Di Layar Kenangan’ pada 24 Februari 1997 oleh Umno Bahagian Sri Gading, Johor. Penghargaan juga diterimanya sempena ‘Sepintas Kenangan Di Layar Silam’ pada 9 Mac 1997. Penghargaan terakhir diterimanya dari Radio dan Televisyen Malaysia, cawangan Johor, pada 1999.

Semasa diwawancara untuk tujuan Projek Ensiklopedia DBP ini, Pak Omar Suwita menginap di Woodlands, Singapura, berdekatan dengan Tambak Johor. Beliau sering melintas ke Johor Bahru dari rumahnya untuk menunaikan solat fardu Subuh dan solat fardu yang lain di sana. Beliau berumah tangga dengan Sayaah binti Salimin dan mempunyai 7 orang anak.

[Tambahan: Pak Omar Suwita meninggal dunia pada 11 Februari 2013 di Singapura.]

Ditulis: 1999
Tersiar: Ensiklopedia Sejarah Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1999/2000.
Tulisan: Rasiah Halil.

Bahagian Akhir: Penulis Peribumi Amerika (Ditulis Pada 1996)

Pengenalan

Golongan peribumi Amerika terdiri daripada beberapa puak, di antaranya: Blackfeet, Ojibway, Anishinabe, Hopi, Laguna Peublo, Mohawk, Kiowa, Navajo, Cherokee, Sioux, Omaha, Apache dan lain-lain. Golongan ini tidaklah besar berbanding dengan rakyat Amerika umumnya, lebih kurang 2 juta orang sahaja. Karya-karya yang mereka terbitkan pula mula muncul sejak akhir kurun ke-18.

Keutamaan Karya Mereka

Apakah yang diutamakan dalam karya-karya mereka? Penulisan mereka banyak menerapkan unsur tradisi lisan dan penceritaan mereka yang amat kaya, juga dibantu oleh mitos serta alam semula jadi. Mereka adalah di antara masyarakat Amerika yang mencintai alam, lama sebelum gerakan ‘Bumi Hijau’ dan sebagainya menyerlah di sekitaran kita. Sebagai satu golongan, berbanding dengan golongan Asia-Amerika dan Afrika-Amerika, mereka banyak menerima akibat buruk daripada penjajahan Barat di bumi mereka. Ada golongan dibunuh beramai-ramai, ada dihapuskan melalui pelbagai polisi dan sistem pendidikan, dan tidak kurang pula direndahkan martabatnya sebagai manusia bermaruah dengan budaya dan agama mereka seolah-olah diarkibkan melalui tanah rizab (reservation).

Apakah yang telah mengekalkan kewujudan golongan ini, walaupun hampir dilenyapkan melalui pelbagai peperangan dan polisi? Ada sarjana menganggap golongan ini dapat terus kekal melalui hubungan kekeluargaan yang tradisional, keakraban hubungan dengan tanah tumpah darah serta semua makhluk di dunia, serta kekuatan kepercayaan, bahasa, pendidikan dan cerita-cerita mereka. Seperti masyarakat Melayu yang terkenal dengan peribahasa dan ciri-ciri sastera lisan lainnya, Peribumi Amerika juga memiliki keistimewaan sedemikian.

Penulis Peribumi Amerika

Di antara sasterawan mereka termasuklah John Rollin Ridge, George Copway, Samson Occum, Mourning Dove, D’Arcy McNickle, N.Scott Momaday, James Welch, Gerald Vizenor, Linda Hogan, Joy Harjo, Louise Erdrich, Simon J. Ortiz dan lain-lain. Sebahagian besar penulis-penulis Peribumi Amerika ini berdarah kacukan: campuran Eropah dan Peribumi tetapi mereka tetap menganggap diri mereka Peribumi dengan segala rintangan yang dikaitkan dengan istilah itu.

Sebahagian besar penulis golongan ini digerakkan untuk menulis kerana unsur tanggungjawab sosial yang mendalam yang sehebat unsur individualiti mereka. Mereka mempergunakan mitos dan legenda Peribumi Amerika sebagai perisai untuk membentengi penyakit sosial dan keyakinan yang melanda masyarakat mereka terutama dalam abad ke-20 ini. Kita dapati dalam tulisan-tulisan mereka, terserlah unsur-unsur kemarahan, keterasingan, kehilangan dan lain-lain tetapi ini dibendungi oleh keyakinan padu untuk meneruskan kehidupan dengan menggunakan apa pun sumber yang boleh memanfaatkan. Ada semacam ‘penawar’ dalam tulisan-tulisan mereka kerana kemarahan itu disalurkan untuk meledakkan khasiat bak lahar gunung berapi, dan mereka juga menekankan unsur pembangunan individu dan keupayaan penakatan masyarakat. Dan ini tidak pula dijalinkan dengan siratan propaganda yang hambar.

N. Scott Momaday

Salah seorang sasterawan golongan Peribumi yang amat berbakat ialah N. Scott Momaday. Beliau berdarah kacukan Peribumi Kiowa dan Eropah dan lahir pada 27 Feb. 1934 di Oklahama. Di antara karyanya termasuklah: House Made Of Dawn (1969), The Way To The Rainy Mountain (1969), The Ancient Child (1989) dan lain-lain. Momaday mendapat pendidikan tinggi dan melibati dunia seni dalam pelbagai bidang, selain menjadi profesor Jabatan Inggeris di Amerika Syarikat.

Salah sebuah karyanya, The Way To The Rainy Mountain, mencatatkan semacam autobiografinya: kehidupannya semasa kecil dan sejarah puak Kiowa yang diceritakan oleh neneknya. Ungkapannya amat puitis dan diselangi oleh lukisan oleh bapanya, Al Momaday. Melalui buku yang menarik ini, bukan sahaja dapat kita ketahui kekayaan sejarah dan budaya golongan Peribumi tetapi juga menemui carik-carik kekuatan mereka, walau dirintangi pelbagai halangan.

Novel pertamanya, House Made Of Dawn pula telah dianugerahi Hadiah Pulitzer pada 1969 dan sekali gus mengangkat martabat sastera dan seniman Peribumi Amerika ke persada ‘arus nasional’ kerana Amerika sebelum ini seolah-olah tidak mengenali penulis-penulis golongan Peribumi. Seperti golongan Asia-Amerika dan Afrika-Amerika, terlalu banyak stereotaip yang telah berlaku terhadap golongan ini sehingga masyarakat Amerika keturunan Eropah hanya lebih mengenali apa yang dianggap negatif sahaja daripada golongan ini.

Novel ini berkisar kepada watak Abel yang pulang ke tanah airnya pada 20 Julai 1945 setelah berkhidmat sebagai askar dalam Perang Dunia Kedua. Abel adalah watak yang mengalami keterasingan yang mendalam: tidak memahami warisan bangsanya dan tidak pula diterima oleh masyarakat moden abad ke-20. Abel pulang kepada puak Jemez Peublo; datuknya menjadi semacam ketua di sana. Tarikh 20 Julai itu sengaja dipilih oleh Momaday kerana pada 20 Julai 1692, Diergo de Vargas telah memulakan kempen menghapuskan puak Jemez Peublo dan pada 20 Julai 1863, puak Navajo pula terpaksa menyerah diri di Fort Defiance. Lantas, Abel juga harus mensebatikan tarikh-tarikh yang amat bermakna bagi golongannya.

Untuk mencapai kefahaman dan hikmah dari kewujudannya, Abel terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Dia harus melalui lingkaran nasibnya: berperang dalam Perang Dunia Kedua, dipenjarakan setelah pulang, bertapak di Los Angeles dan akhirnya pulang semula ke daerah Jemez Peublo. Semuanya mengambil masa 7 tahun: angka yang sama ajaibnya dalam kesusasteraan tradisional kita. Abel akhirnya menjadi salah seorang ‘pelari’ dalam ritual puaknya setelah kematian datuknya. Dan ‘pelari’ ini bukan pelari biasa; orang-orang ini harus berlari pada waktu subuh untuk berdepan dengan ‘kejahatan’ dan menyisihkannya daripada kehidupan masyarakatnya. Ritual ini pula, yang sama pernah dilakukan oleh datuknya, mempunyai implikasi budaya yang serius. Dan bagi Abel sendiri, masa dan dugaan hidup telah membolehkannya menemui dirinya. Novel ini banyak menyisipkan unsur tradisi lisan golongan Peribumi Amerika, yang demikian kaya dengan unsur alam dan haiwan-haiwan yang menghuni di dalamnya.

Peribahasa Peribumi Amerika

Membaca karya-karya sasterawan Peribumi Amerika amat memberangsangkan. Keindahannya bukan hanya terletak pada lanskap minda yang digambarkan, bahkan juga kepelbagaian khazanah sastera dan budayanya. Seperti pantun dan peribahasa kita, golongan ini amat akrab dengan alam dan penghuninya. Ini dapat dilihat sebagaimana diungkapkan dalam peribahasa mereka:

I have been to the end of the earth.
I have been to the end of the waters.
I have been to the end of the sky.
I have been to the end of the mountains.
I have found none that are not my friends.

The words of God are not like the oak leaf which dies and falls to the earth,
but like the pine tree which stays green forever.

The soul would have no rainbow if the eyes had no tears.

Kesimpulan: Suatu Pencarian Panjang

Apakah kesimpulan yang dapat saya perolehi selama lebih 3 bulan di Amerika Syarikat mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Programme/IWP) dan membuat kajian ringkas mengenai penulis minoritinya serta menghayati kehidupan di sana?

Bagai menyusuri sungai yang dalam dan panjang, terlalu banyak pelajaran yang saya perolehi secara langsung mahupun tidak langusng, bagai muatan sarat, yang membolehkan saya untuk terus belayar menuju lautan. Bukan semua yang indah di sana; dalam IWP, terdapat juga individu yang prejudis, bersikap dwitara, malah mudah digulai oleh keadaan tertentu. Begitu juga akan kita temui dalam mengkaji karya beberapa orang penulis minoriti Amerika. Tetapi di sebalik beberapa kekurangan ini, keindahan dan keistimewaannya terlalu banyak untuk disenaraikan.

Saya rasa saya banyak belajar dan mendapat iktibar daripada penulis-penulis yang saya temui, karya-karya yang dikaji mahupun menghayati kehidupan sehari-hari di sana. Amatlah mudah untuk menjadi ‘besar’ dan mencipta sastera jenis mi segera tetapi pembabitan saya dalam IWP dan kajian ringkas menunjukkan bahawa melahirkan sebutir manikam itu mengambil masa dan perlu disaksanakan dengan penglibatan yang jujur dalam bidang yang diceburi, kebijaksanaan dan hikmah sebagai manusia yang peka dan berani menentang arus, jika perlu, dan ‘berkorban apa saja’, demi mencipta sesuatu yang benar-benar indah dan bermakna.

Amerika yang saya temui bukan lagi Amerika zaman John Kennedy dan Martin Luther King, semasa zaman kanak-kanak saya dahulu. Ia telah amat berubah; tiap hari boleh kita tontoni ‘Talk Show’ yang kadangkala terlalu terbuka, membaca mengenai anak-anak remaja dengan masalah mereka, adanya majalah dan gaya hidup yang di luar batas kesopanan kita, manusia yang prejudis terhadap kelainan budaya, bangsa dan agama dan lain-lain.

Tetapi di Amerika juga saya temui orang-orang yang amat menghargai seni dan dunia keilmuan, dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha dalam kedua bidang ini. Di antara manusia yang prejudis sama ada orang Amerika sendiri mahupun peserta IWP, lebih ramai yang saya temui itu bersopan-santun, di tempat-tempat awam, seperti bas, restoran, pejabat pos, pasar raya, dewan konsert, kedai buku mahupun berpapasan di tengah jalan dan di rumah kawan-kawan. Mereka juga menghargai nilai-nilai keluarga walaupun banyak kepincangan yang mereka hadapi. Dan terdapat pelbagai buku dan majalah yang demikian baik di sana, seperti mana adanya rancangan televisyen yang bukan sekadar memenuhi ruang tetapi berbobot, misalnya dokumentari alam, seni, dan perbincangan isu-isu semasa.

Ada dua perkara berlaku di sana, yang banyak mengingatkan saya pada tahun 60-an, zaman idealisme Amerika dulu: isu perkauman, yang disirati Colin Powell yang diura-urakan menjadi calon presiden, hingga kepada keputusan mahkamah O. J. Simpson dan akhirnya perhimpunan besar golongan lelaki Afrika-Amerika di Lincoln Memorial pada Oktober 1995, yang disebut ‘Million Man March’, yang ditunjangi Louis Farakhan. Dalam keselarutan tiga perisitiwa yang berangkai ini, yang saya tanyai ialah apakah perubahan dan idealisme yang ditunjangi Martin Luther King dan Malcolm X/Malik el Shabazz itu masih bererti atau tidak lagi menjadi impian yang perlu dicapai, sebaliknya igauan yang mengerikan? Dan satu lagi peristiwa, ialah ‘pengumpulan semula’ kumpulan The Beatles yang ditayangkan pada November 1995. Bagi saya, ini bukan hanya suatu kumpulan muzik tetapi kewujudan dan pencarian mereka melambangkan juga pencarian orang muda ketika itu, dengan semangat idealismenya. Apakah kita kini ‘Free As A Bird’, (lagu gubahan kumpulan The Beatles) sebagai warga dunia atau terlalu dibelenggui masalah peperangan, perkauman, kebencian yang menular kepada segala yang sedikit asing dan lain?

Bagi saya, Amerika akan tetap mempunyai permasalahannya dan sebagai manusia biasa saya tidak perlu menyetujui segala tindak tanduk negara tersebut mahupun rakyatnya. Tetapi keterbukaannya dalam pelbagai bidang yang baik dan keprihatinan sebilangan rakyatnya untuk menggerakkan perubahan dalam hidup sivik mereka, menyuburkan harapan saya. Di Amerika seseorang itu boleh dikorupkan oleh budaya songsang serta gaya hidup yang amat kurang sopan tetapi di sana juga, seseorang boleh membuat pilihan dan mengejapkan apa pun pandangan baik dalam kehidupannya. Dan sama ada seseorang itu rakyat biasa atau penulis minoriti, dengan apa pun campuran darah yang diwarisinya, akhirnya yang penting adalah kehidupan yang dipilih dan dilaluinya dan makna yang diberi kepada kehadirannya di muka bumi ini.

Di suatu sudut dalam hati saya, Amerika yang mula saya kenal bukan sekadar lintasan filem-filem atau sitkom Hollywood yang dapat saya tontoni atau buku-buku popular yang dibaca. Amerika adalah pelbagai musim kehidupan yang seolah-olah telah dipadatkan untuk saya. Dan Amerika bukan sekadar kenangan saya mengalami tiga musim di sana atau enaknya minum coke dan makan pai labu serta kentang goreng. Seperti Abel dalam novel N.Scott Momaday, saya tahu, saya harus meneruskan ‘pelarian’ saya. Dan apa pun warisan yang saya miliki, ia adalah sumber kekuatan, bagai akar-akar tunjang dalam pohon kehidupan saya. Dan saya tahu, warisan terbesar saya ialah menjadi makhluk Allah yang diwujudkan sebagai manusia yang meminati seni. Dan dunia seni ini adalah pencarian dan pelayaran saya yang panjang untuk akhirnya menemui lautan. Seperti kata penulis N.Scott Momaday:

Writing, giving expression to my spirit and my mind,
that’s the way of surviving, of ordering one’s life…….
that’s a way of making life acceptable to oneself
”.

Dan saya akan selalu berterima kasih kerana dianugerahi kesempatan menginap, mengikuti IWP dan membuat kajian di Amerika melalui biasiswa Fulbright ini. Antara IWP dan kajian, manusia yang saya temui dan pelbagai pengalaman dan kenangan, saya tahu, sebuah peta dunia bukan lagi barang maujud yang hanya penting untuk ilmu alam. Sebaliknya, di suatu sudut di Iowa, Mesir, Belanda, Chile, Senegal, Fiji, Tebing Barat atau New Zealand, ada seorang manusia yang saya kenal dan saya panggil sahabat. Dan apa pun bahasa yang kami gunakan, betapa pun jarak antara seseorang, dunia ini menjadi semakin kecil kerana di beberapa tempat dalam peta dunia ini, ada seorang kawan saya menginap di sana. Dan dalam dunia yang semakin mengecil ini, di tengah-tengah peperangan dan kesedaran etnik yang songsang, yang terlebih bermakna dan besar, ialah suara kemanusiaan yang dapat kami bisik dan ucapkan bersama dalam suara kesenian.

Dan akan saya bisikkan ini bersama desir angin, dalam pelayaran seni yang masih terlalu jauh dan panjang, menyusuri samudera kehidupan, insya-Allah.

Disiapkan: 9 March 1996
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) dalam beberapa siri dan tajuk berlainan pada 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Masa- Masa Yang Berlalu…..

Adakah anda, seperti saya, terasa betapa cepatnya masa berlalu? Diam tak diam hari-hari biasa kita sudah mencecah hujung minggu. Tahun 2021 juga hampir sampai ke penghujungnya. Terasa baru kita memulakan bulan Januari 2021 tetapi Januari 2022 pula akan menjengah dalam beberapa minggu lagi. Dan Covid-19, yang meresahkan seluruh dunia, masih bersama kita – naik turunnya bagai degupan yang boleh menyentak jantung kita.

Semasa kita kecil, masa itu terasa panjang terutama apabila kita menanti orang tua kita pulang dari bekerja atau pergi ke sesuatu tempat. Kini, bagi mereka yang meningkat usianya, masa terasa singkat; baru kita bersibuk-sibuk di dapur atau menjalankan tugas, masa sudah hampir ke Asar. Baru kita hendak berehat-rehat, ada sahaja yang perlu dibereskan kerana masa bagai berputar kurang daripada 24 jam bagi sesetengah kita.

Mungkin masa itu relatif sifatnya. Apabila kita bergembira dan bersantai, masa berlalu cepat tetapi apabila kita bersedih dan menghadapi tekanan, masa bergerak lambat. Bagai cerita arnab dengan kura-kura, kita boleh dari masa ke semasa bergerak cepat seperti arnab atau seperti kura-kura lambat bergerak. Dan kadangkala kita mahu masa ‘berhenti’ kerana terasa putarannya semakin pantas.

Ada kawan-kawan kita terasa cepatnya masa berlalu terutama semasa hari lahir mereka. Menayangkan video ringkas gambar-gambar lama dalam media sosial seolah-olah meyakinkan bahawa usia kita meniti senja – wajah yang diubah masa, penampilan yang diwarnai usia dan kesihatan yang mula mengendur – kadang membuat kita berhenti sejenak dan bertanya apa yang telah kita lakukan dalam hidup kita sejauh ini. Ya, kita mungkin ada anak cucu, kerjaya, sudah bersara atau selesa di rumah sebagaimana dahulu semasa muda-muda kita membesarkan keluarga. Tetapi dengan cepatnya masa berlalu, kita bagai tidak sempat bertanya, ke mana pergi masa-masa kita?

Masa itu boleh diabadikan dengan pelbagai cara – gambar, video, tulisan, kenangan bersama dan sebagainya. Tetapi yang sering berputar ialah rakaman dalam fikiran kita bahawa pada suatu masa dahulu kita berkampung di tempat ini, berkawan dengan orang ini, bersekolah di sini, berkasih dengan orang ini, bekerja, berkeluarga, melihat anak atau anak buah membesar dan kini kita menyaksikan pula cucu-cucu membesar. Cepatnya masa berputar.

Ada beberapa hal yang boleh merisaukan mereka yang meniti senja, antaranya soal kesihatan, kewangan, kesunyian dan masa-masa yang semakin terbatas di dunia. Betapa sedihnya apabila kita melihat orang-orang yang dikatakan warga emas terpaksa bertungkus lumus bekerja demi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Dan jumlah orang-orang yang kesunyian semasa lanjut usia, walaupun berkeluarga, juga meningkat. Kesihatan pula selalu menjadi kerisauan golongan ini dan berkait dengannya tentulah masa-masa kita di dunia ini yang terbatas bilangannya.

Beberapa orang yang saya kenal diresahkan hal-hal kesihatan, bukan hanya terhadap apa yang mereka alami tetapi juga apa yang dialami orang-orang yang akrab dengan mereka.

Seorang kawan saya mendengar berita daripada rakan sekerjanya yang menjadi kawan rapatnya, bahawa dia diterjah amnesia. Kawannya ini sedang berenang di kolam renang awam tetapi tiba-tiba ingatannya hilang – dia tidak tahu di mana dia berada, apa yang sedang dan harus dilakukan dan sebagaiya. Nasib baik nombor telefon adiknya tertera dalam telefon bimbitnya dan dia dapat menelefon adiknya, yang membawanya ke hospital. Kalau dia mengalami amnesia dan benar-benar tidak dapat menghubungi sesiapa, bagaimana pula kesudahannya? Rakan kerja kawan saya ini menangis semasa menceritakan hal ini.Timbul rasa takutnya, bagaimana kalau amnesia ini berulang?

Dan kawan saya ini mengalami satu lagi kejutan – adik lelakinya yang menginap di luar negara juga mengalami amnesia bukan semasa berenang tetapi semasa bertugas. Nasib baik semasa bertugas amnesianya tidak menjejas sesiapa kecuali dirinya. Kawan saya dan keluarga berangkainya menangis menerima berita adik bongsu mereka. Kalau tidak kerana Covid-19, mungkin kawan saya dan seorang dua keluarganya akan bersama adik mereka di negara barat itu.

Siapalah sangka, dalam usia yang belum lanjut, dua insan yang akrab dengan kawan saya boleh tiba-tiba diterjah amnesia? Betapa segala in menggerun dan menginsafkan – bahawa segala-galanya boleh ‘menghilang’ dengan sekelip mata dan kita mungkin tidak dapat menghubungi atau dibantu sesiapa. Nauzubillah.

Seorang kawan saya bertandang ke rumah saya baru-baru ini. Kami berkawan sejak awal remaja dan kawan saya ini mempunyai beberapa orang anak dan cucu. Selain kami makan-makan, terkenang-kenang kisah silam dan bercakap sedikit hal-hal semasa, perkara yang mengharukan kawan saya ini ialah kematian seorang kawan yang kami kenal. Kawan yang meninggal dunia ini lebih berusia daripada kami dan dahulu sama-sama belajar agama dengan Ustazah Habsah Senin dan guru-guru agama yang lain. Lama tidak bertemu, silaturahim mereka terjalin semula kerana cucu-cucu mereka yang masih kecil menaiki kenderaan yang sama ke sekolah. Dan apabila kawan yang lebih berusia ini dimasukkan ke hospital, kawan saya memakluminya. Malah hanya beberapa hari sebelum meninggal dunia, kawan saya dihubungi Allahyarhamah. Dalam sekelip mata, orang yang dikenal sejak remaja telah tiada lagi di dunia.

Isu ini yang banyak mendapat perhatian kami hari itu. Apabila kawan atau ahli keluarga seangkatan anda satu-satu berpulang ke rahmatullah, anda akan terasa cepatnya masa-masa berlalu dan terbatasnya usaha anda untuk melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat bagi masa-masa anda yang masih tersisa. Anda akan bertanya – cukupkah persiapanku ke negeri akhirat? Saksamakah aku menunaikan segala tanggungjawab? Masihkah ada masa untuk aku luangkan dengan mereka yang kusayang? Membantu apa yang termampu demi kesejahteraan mereka yang akrab? Bermaknakah hidupku sejauh ini atau kehadiranku bagai angin berlalu pergi? Dan yang paling meresahkan anda tentunya terbatasnya persiapan anda untuk ‘berpindah’ ke alam bazakh dan alam akhirat seterusnya.

Betapa cepatnya masa-masa berlalu. Orang yang kita kenal dahulu semakin diubah masa tetapi keikhlasan seseorang itu juga terserlah dengan berputarnya masa. Yang jujur dan ikhlas itu, baik dalam perhubungan peribadi, kerjaya atau penglibatan-penglibatan lain dalam kehidupan kita, tetap bermakna dengan berlalunya masa. Yang sebaliknya, jika kita prihatin, juga menampakkan wajah-wajah sebenar mereka dengan pelbagai cara dengan beredarnya masa. Kita kadangkala menjadi lebih memahami keadaan dan belajar membezakan kaca dan manikam dengan masa yang berputar. Dan kita menginsafi kesilapan kita dan keterbatasan masa yang dipinjamkan kepada kita.

Masa-masa yang berlalu akan membuat kita menoleh ke belakang dan mengenang. Ia tetap membuat kita prihatin terhadap hal-hal semasa yang meruntun jiwa, walaupun kita semakin maklum apa yang mampu kita buat dan ubah dan apa yang di luar sempadan kemampuan kita. Dan ia juga membuat kita cuba meninjau-ninjau ke masa hadapan. Bukan, bukan untuk meninggalkan legasi, nama atau mahu disebut-sebut orang setelah kita berpulang tetapi masa hadapan yang lebih kekal.

Terasa terbatasnya usaha kita kerana usia, kesihatan dan kemampuan yang ada tetapi kita semakin memahami makna sebenar kehidupan dan memenuhi tuntutannya. Dan lebih daripada segala-galanya, kita maklumi kekurangan dan kesilapan kita dan mahu melayarkan perahu hidup kita dengan tabah dan tenang, bersauh dan berdayungkan Islam. Muatan kita semakin terbatas dan banyak yang terpaksa kita tinggalkan demi memudahkan sebuah pelayaran.

Dan masa-masa itu pun berlalu sehingga suatu ketika perahu hidup kita berlabuh di sebuah pulau nan jauh – mudah-mudahan sezarah amalan dan kebaikan yang pernah kita lakukan, Allah terima sebagai ikhlas dan kehidupan kita di alam lain itu ternyata bahagia, sejahtera dan damai.

Ditulis: 13 – 14 November 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Biasiswa Fulbright Dan Penerbangan Ke Iowa (Ditulis Pada 1996)

[Saya memasukkan beberapa tulisan mengenai penyertaan saya dalam Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Programme/IWP) di Universiti Iowa pada 1995 kerana beberapa sebab. Baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa Profesor Peter Nazareth telah bersara dari tugasnya di Universiti Iowa. Beliau lama terlibat dalam IWP sebagai Penasihat dan isterinya, Mary, dahulu mengendalikan hal-hal kebajikan peserta IWP. Bagi sebilangan besar peserta IWP, kedua-dua Mary dan Peter Nazareth memainkan peranan bukan sahaja secara formal semasa mereka di Iowa. Kedua-duanya menjadi sahabat dan kadangkala bagaikan kerabat bagi sebilangan peserta IWP.

Hubungan saya dengan kedua-dua Mary dan Peter akrab sejak 1995. Peter pernah melawat Singapura selepas 1995 itu kerana diundang sebagai penilai dalam acara Pesta Penulis Singapura (Singapore Writers Festival) dan saya serta beberapa penulis Singapura yang pernah menyertai IWP seperti Kirpal Singh, Robert Yeo dan Suchen Christine Lim, turut meraikannya. Begitu juga ketika Peter dan Mary turut diundang beberapa tahun selepas itu dalam acara yang sama. Selain penulis-penulis Singapura, penulis-penulis Malaysia seperti Baha Zain dan Anwar Ridhwan turut meraikan Peter dan Mary. Dan kedua-dua Peter dan Mary mempunyai ahli keluarga di Malaysia dan Singapura.

Hubungan saya dengan kedua-duanya tidak terbatas kepada hal-hal penulisan sahaja. Kami akrab. Semasa anak mereka Kathy berumah tangga, mereka mahu membeli dan memberi berkat tanjak yang saya bawa ke Iowa untuk para peserta IWP (semua penulis digalakkan membawa buah tangan dari negara masing-masing sebagai hadiah untuk peserta IWP). Saya mengirimkan berkat tanjak yang mereka perlukan sebagai hadiah saya untuk Kathy. Begitu juga saya tahu mengenai anak dan menantu mereka, ketiga-tiga cucu mereka dan lain-lain.

Ketika saya disahkan menghidap barah pada Mac 2013, pada mulanya saya hanya memberitahu keluarga saya dan beberapa sahabat akrab saya. Saya menelefon Mary dan Peter dan kami sama-sama bersedih. Beberapa tahun yang lalu, Peter pula terkena barah dan Mary menelefon saya dan kami lebih kerap menelefon kerana itu. Saya ada menulis beberapa rencana dan puisi mengenai pengalaman saya di Iowa sebagai mengingati apa yang saya lalui, pengamatan dan kajian ringkas saya mengenai penulis minoriti Amerika. Puisi-puisi saya semasa di Iowa termuat dalam buku puisi saya, Nyanyian Si Anak Dagang, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 2013 serta majalah sastera dan akhbar di Iowa, Malaysia dan Singapura. Saya menulis lima esei mengenai pengalaman saya di IWP dan kajian ringkas saya dengan tajuk:

  1. Biasiswa Fulbright dan Penerbangan ke Iowa (tidak disiarkan di akhbar)
  2. Rentetan Jadual Dan Lain-lain Dalam Program Penulisan Antarabangsa/IWP 1995 (tidak disiarkan di akhbar)
  3. Suitcases: Mini Project (disiarkan dalam blog ini Jun lalu)
  4. Program Penulisan Antarabangsa Untuk Dunia Melayu (disiarkan di akhbar Berita Minggu Malaysia pada 1996)
  5. Suatu Pencarian: Kajian Ringkas Penulis-Penulis Minoriti Amerika (disiarkan di akhbar Berita Minggu Singapura dalam beberapa siri pada 1996)

Tiga daripada tulisan ini saya memasukkan dalam blog kali ini. Ini juga untuk memperingati Peter dan Mary Nazareth serta kenangan saya semasa di Iowa. Baru-baru ini sebuah buku memperingati makna dan sumbangan Peter Nazareth (dan juga isterinya, Mary) sempena persaraannya dan diusahakan oleh S.G. Ellerhoff. Dr Ellerhoff meminta saya menyumbangkan karya untuk projek ini lebih dua tahun yang lalu. Projek ini tergendala sebentar kerana Dr Ellerhoff mengalami beberapa masalah teknikal. Saya menyumbang sajak berjudul ‘Terbuang’, yang saya terjemahkan ke bahasa Inggeris dengan tajuk ‘Exiled’. Sajak dalam bahasa Melayu dan terjemahannya dalam bahasa Inggeris ini termuat dalam buku Trickster Tactics. A Festschrift in Honor of Peter Nazareth, yang saya terima minggu lepas (Ogos 2021).]

Prakata

Diberi biasiswa Fulbright oleh ‘Council of International Exchange Scholars’ dari Washington D.C. dan mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Programme/IWP), anjuran Jabatan Inggeris, Universiti Iowa, Amerika Syarikat, adalah pengalaman dan pendedahan yang banyak menimbulkan kesan kepada saya. Saya berada di Amerika Syarikat selama lebih dari 3 bulan, tahun lalu (1995), dan ingin saya kongsikan beberapa pengalaman saya di sana.

Suatu Pencarian

Tidak pernah saya sangka saya akan ke Amerika Syarikat melalui biasiswa Fulbright, walaupun saya pernah menziarahi sahabat-sahabat saya di sana lebih 3 tahun yang lalu (1992). Sedangkan mengikuti Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, memang menjadi salah satu cita-cita saya kerana program ini amat menarik minat saya sebagai seorang penyair dan penulis. Tetapi lowongan untuk ke sana tidak terbuka untuk saya ketika itu.

Lama sebelum saya menziarahi Amerika Syarikat pada bulan Mei 1992 dan juga Ogos 1995 saya ada juga mengikuti perkembangan sastera dan seninya. Saya meminati, misalnya, karya-karya Saul Bellow, Toni Morrison, Alice Walker, Amy Tan, E.L. Doctorow, Ralph Waldo Emerson, Henry Thoreau, Robert Frost, T.S.Eliot dan tentunya Ernest Hemmingway. Saya juga menggemari sebahagian lagu-lagu yang dicipta di sana dan suara penyanyi mereka, antaranya: Aretha Franklin, Louis Amstrong, Nat King Cole, Elvis, Barbra Streisand, Carole King, John Denver, George Benson, Billy Joel, Whitney Houston, Mariah Carey, dan kumpulan seperti The Drifters, Deep Purple, 4PM dan pemuzik seperti Henry Mancini, Kenny G dan Yanni. Dan ‘pengenalan’ saya dengan Amerika Syarikat, selain buku sastera, muzik dan filem-filem Hollywood, juga dibantu oleh wujudnya majalah-majalah seperti Life, Readers’ Digest dan Time; sejak awal tahun 60-an, bapa saya melanggan majalah-majalah ini untuk bacaan kami. Dan Amerika yang saya ‘kenal’ dari tahun-tahun tersebut adalah Amerika pada era John F. Kennedy (yang disanjungi oleh bapa saya), zaman Dr Martin Luther King Jr, Malcolm X dan Robert Kennedy, merebaknya budaya hippies dan flower people serta beberapa keterbukaan negara yang sedikit sebanyak, dari segi sejarahnya, ada persamaan dengan Singapura. Tentunya ‘perkenalan’ yang sedemikian banyak keterbatasannya.

Menziarahi sesebuah negara untuk tujuan melancong atau melawat saudara sahaja adalah amat berbeza dengan menginap di sesebuah negara kerana mengikuti kursus, bekerja, menetap, atau tujuan-tujuan seumpama itu. Yang kita temui bukanlah pandangan selintas sahaja tetapi beberapa pandangan yang mungkin saling diperteguhkan oleh keadaan-keadaan yang dialami. Dan kesan daripada pengalaman-pengalaman ini berbeza, mengikut sahsiah seseorang individu: apakah dia mendatangi sesebuah negara atau masyarakat dengan penuh prasangka ataupun dengan sikap keterbukaannya yang sedia memaklumi kepelbagaian dan keanehan manusia.

Mendapatkan biasiswa Fulbright bukanlah mudah, demikian saya diberitahu, Tetapi, setelah melihat biodata, kajian serta tulisan-tulisan saya, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Amerika di Stamford Road ketika itu, Cik Tracy Thiele, menganjurkan saya memohon untuk mendapatkan biasiswa tersebut. Saya harus mengemukakan sebuah tajuk kajian ringkas semasa di sana dan saya memilih untuk membuat kajian ringkas mengenai penulis minoriti Amerika. Tajuk kajian ringkas ini amat dekat di hati saya; di Singapura yang berbilang kaum ini, saya adalah anggota masyarakat minoriti. Dan alam kelompok minoriti ini, saya menjadi ‘lebih minoriti’ kerana saya adalah seorang penyair atau penulis wanita dan berdarah campuran dengan kendala-kendala yang sedia dikaitkan dengan seseorang yang beribu-bapakan orang-orang yang berlainan keturunan. Saya yakin, penulis-penulis minoriti Anerika dapat memberi saya semacam perspektif, lantas tajuk kajian sedemikian saya ajukan. Dan kerana saya ingin mengikuti Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, kedua-duanya harus dilakukan lebih kurang serentak.

Keputusan pihak Fulbright memberi saya biasiswa hanya saya ketahui secara rasmi pada hampir penghujung bulan Jun 1995. Dengan penerimaan pihak Fulbright ini, saya terpaksa membuat beberapa keputusan yang amat penting bagi masa depan saya. Memang telah saya pertimbangkan banyak perkara dan berusaha mensaksamakan keadaan-keadaan tertentu dan akhirnya biasiswa Fulbright itu saya terima.

Saya berlepas dari Singapura pada subuh hari 28 Ogos 1995 dengan menaiki pesawat United Airlines, menuju ke Cedar Rapids, Iowa. Penerbangan ini mengambil masa yang lama; lebih 20 jam. Pesawat berhenti di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, dan penukaran pesawat membawa saya ke Chicago. Dari Chicago, pesawat yang lebih kecil yang seharusnya menerbangkan saya ke Cedar Rapids, tidak dapat bertolak kerana cuaca buruk. Setelah lebih dua jam, saya menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Cedar Rapids, Iowa. Saya dan beberapa orang penulis lain, dari destinasi yang berbeza, disambut oleh Pengarah Program Penulisan Antarabangsa, Dr Clark Blaise. Kami menumpangi van istimewa lapangan terbang dan dibawa ke Asrama Mayflower, yang terletak dalam sekitaran Universiti Iowa, di Iowa City. Di sana, kami disambut dan dibantu oleh beberapa orang penulis yang telah sampai lebih awal lagi dan juga oleh Penasihat Program Penulisan Antarabangsa, Prof. Peter Nazareth serta Pengurus Ehwal Penulis, isterinya, Mary Nazareth.

Semua penulis ditempatkan di tingkat teratas (tingkat 8) Asrama Mayflower. Setiap penulis mendapat keselesaan dua bilik: bilik tidur dan bilik tulis sendiri serta berkongsi bilik dapur dan bilik air dengan rakan di bilik sebelahnya. Dari segi urusan, tiada sesuatu yang sumbang dibenarkan; penulis yang berkongsi bilik air dan dapur dengan seorang penulis yang lain adalah daripada jantina yang sama, melainkan rakan tersebut adalah sepasang suami isteri. Kami juga diberi kemudahan meminjam mesin taip atau komputer, seterika, alat vakum, periuk belanga dan sebagainya serta ‘laundromat’ untuk mencuci baju. Bilik urusan ehwal penulis, bilik pertama di tingkat 8, Mayflower adalah bilik pejabat Mary Nazareth, tempat penulis-penulis minum kopi, teh, bersarapan, mendapatkan buku, bersembang atau mendapatkan barang-barang untuk beberapa keperluan harian.

Saya sampai di Asrama Mayflower setelah melewati jam sembilan malam pada 8 Ogos, ‘dimudakan’ oleh pertukaran masa mengikut kiraan Greenwich. Saya mendapati saya berkongsi dapur dan bilik air dengan sepasang suami isteri dari Poland yang berusia 60-an. Kebetulan pasangan ini sama-sama menanti pesawat semasa kami di Chicago. Dengan beberapa penyesuaian, tidaklah sukar bagi kedua-dua pihak menggunakan kemudahan yang harus dikongsi bersama.

Saya terlalu penat dan haus ketika itu. Setelah diberi minuman dan mengambil bantal, gebar dan sebagainya dari pejabat Mary, saya tidur. Untuk beberapa malam tidur saya tidak mengikut jadual biasa bersebabkan ‘jet lag’. Namun, kerana pemergian saya ke Amerika Syarikat kali ini bukan sekadar melancong atau menziarah tetapi berdasarkan keputusan-keputusan berat yang terpaksa saya buat, pada kali pertama saya tidur di Mayflower, saya berasakan seolah-olah saya benar-benar dapat fahami dan hayati segala gejolak rasa perintis awal Amerika, yang kebetulan menaiki kapal yang bernama ‘Mayflower’. Dan seperti mereka, kedatangan saya ke Iowa saya harapkan akan memulakan suatu pencarian dan penemuan dalam dunia seni dan kajian yang sama dicinta.

Ditulis: 1 Mac 1996
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tambahan – sebuah sajak yang ditulis di Iowa:

Perjalanan

Yang kutinggalkan
bukan sekadar kisah silam
kerjaya, kedudukan,
yang kucari
bukan hanya masa depan
makna seni, penglibatan.

Ini perjalanan panjang
melepasi kata
merentasi benua
bermukim di Iowa, Mayflower,
mengisi makna kewujudan
bagai perintis awal Amerika.

Sungai Iowa yang tenang
ladang jagung permai
redakanlah hatiku
menuju damai.

Ditulis: 28 Ogos – 1 September 1995
Mayflower, Iowa, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Rentetan Jadual Dan Lain-Lain Dalam Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Programme/IWP) 1995 [Ditulis Pada 1996]

Jadual Program IWP 1995

Program IWP ini bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 26 November 1995. Namun demikian, penulis yang tidak dibiaya oleh pihak United States Information Agency (USIA), dibenarkan menginap terus di Amerika selama sebulan selepas tamatnya program jika mereka mahu. Seramai 38 orang penulis (termasuk 3 orang yang menemani pasangan masing-masing dan mereka juga adalah penulis) penyertai IWP pada 1995. Ada negara diwakili lebih daripada seorang penulis dan para penulis ini berasal dari: Argentina, Australia, Belanda, Benin, Bolivia, Brazil, Chile, Colombia, Estonia, Fiji, Finland, Habsyah, Hungary, India, Israel, Jordan, Korea, Lithuania, Malaysia, Mesir, New Zealand, Papua New Guinea, Perancis, Poland, Romania, Rusia, Saudi Arabia, Senegal, Singapura, Slovakia dan Togo. Daripada jumlah 38 ini, terdapat hanya 10 orang penulis wanita. Dan setiap tahun, bilangan penulis wanitanya tidaklah ramai. Penulis termuda dalam IWP 1995 berumur 23 tahun dan yang tertua berusia 68 tahun. Kesemuanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris seadanya walaupun sebilangan penulis ini tidak menulis karya-karya mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebelum menyertai apa pun acara rasmi IWP, kami semua dibawa ke First National Bank, di bahagian Downtown, lebih kurang 10 minit jika memandu dari Mayflower untuk membuka akaun. Dalam masa seminggu, kami menerima melalui pos, buku cek dan kad ATM dari bank tersebut; kedua-dua ini amat penting kerana sebahagian besar pembayaran di Amerika dibuat menggunakan cek peribadi. Kemudian, kami dibawa ke pejabat pendaftar untuk mendapatkan semacam kad pengenalan yang dipanggil ‘Social Security Card’. Kad ini mencatatkan nama seseorang serta keizinan untuk bekerja atau sebaliknya semasa dia berada di Amerika Syarikat dan diberi nombor untuk tujuan cukai, duit simpanan pekerja dan sebagainya. Ia boleh digunakan seumur hidup. Kami juga dibawa ke pasar raya untuk membeli beberapa keperluan harian dan makanan. Semua peserta terpaksa memasak sendiri, melainkan dia lebih gemar makan di restoran atau dijemput ke majlis-majlis makan tengah hari dan malam.

Acara-acara IWP yang dijadualkan memang padat tetapi para penulis diberi kelonggaran untuk tidak menyertai apa-apa acara jika terlalu sibuk menulis atau ada acara tersendiri. Kami diberi beberapa penerangan rasmi dari pihak USIA dan IWP agar kami mengenali hak serta tanggungjawab kami serta selesa semasa berada di Amerika. Pada minggu pertama sehingga ketiga banyak majlis makan rasmi diadakan bagi meraikan kami. Yang tidak rasmi, misalnya, diraikan oleh penduduk Iowa City di taman berdekatan Mayflower atau dijemput secara peribadi oleh kakitangan IWP ke rumah mereka juga diadakan.

Jadual Dari Minggu Ke Minggu

Empat pagi dalam seminggu, kecuali hari Khamis, Sabtu dan Ahad, kelas bahasa Inggeris dikelolakan oleh Pengarah IWP. Kelas ini diadakan di Bilik Piano, Asrama Mayflower, dan lebih tertumpu kepada memberi penjelasan mengenai beberapa ciri slanga dan budaya Amerika seperti yang terdapat dalam akhbar dan majalah mereka. Tidak semua penulis menyertai kelas ini kerana ia lebih memanfaatkan mereka yang kurang mahir berbahasa Inggeris.
Setiap Isnin pula, mulai pukul 3:30 petang, diadakan kursus ‘Kesusasteraan Dunia Hari Ini’. Dipengerusikan oleh Pengarah, Penasihat ataupun Penyelaras IWP seperti Dr. Rowena Torrevillas, kursus ini bergilir-gilir menjemput beberapa orang penulis IWP untuk membincangkan ‘Kenapa Mereka Menulis Apa Yang Mereka Tulis’. Kursus ini diadakan di Jabatan Inggeris, Universiti Iowa dan dibuka kepada mahasiswa universiti tersebut. Sesi soal-jawab pula menyusul setelah perbincangan dikemukakan oleh para penulis.

Pada setiap Selasa, selepas 7:30 malam, diadakan ‘Open Mic Night’ di Bilik Piano, Mayflower, dan dipengerusikan oleh Penasihat IWP, Professor Peter Nazareth. Para penulis, kakitangan IWP serta mereka yang berminat, dijemput mempersembah dan membincangkan karya-karya terbaharu mereka. Banyak perbincangan menarik dan dari hati ke hati berpunca dari sesi-sesi tersebut.

Pada pukul 3:00 petang pada setiap Rabu pula, diadakan perbincangan panel yang mengemukakan seramai 3 atau 4 orang peserta IWP bagi setiap perbincangan. Ini diadakan di Jabatan Inggeris, Universiti Iowa. Tajuk-tajuk yang dibincangkan berbagai dan menarik perhatian. Di antaranya: ‘Sastera Penakatan’, ‘Sastera Bukan Fiksyen’, ‘Pembinaan Semula Bandar: Mengimaginasikan Sesebuah Negara’, ‘Terjemahan: Yang Hilang Dan Yang Ditemui’, ‘Bahasa Yang Dipinjam: Menulis Di Dalam, Di Luar Dan Melintasi Batas Jantina Seseorang Penulis’ dan lain-lain. Ada penulis yang membuat persiapan yang rapi dan menarik dan ada juga yang persiapannya sambil lewa lantas perbincangan bercampur-baur dan diselangi dengan pelbagai telatah manusia yang digelar penulis/seniman.

Hari Khamis merupakan hari kelepasan. Pada hari tersebut, Mary Nazareth akan membawa kami membeli barang-barang keperluan harian di Pasar Raya Eagle, Old Capitol, K-Mart, Wal-Mart, Korean Store atau ke Second Hand Store untuk membeli baju panas terpakai dan sebagainya. Selalu juga kami yang berhimpit-himpit di dalam van yang dipandu oleh kakitangan IWP, akan melencong ke tempat lain, misalnya singgah di kedai buku, kedai komputer, kedai muzik atau beramai-ramai pergi makan ke sesuatu tempat. Banyak peristiwa menarik berlaku semasa ini dan hubungan antara kami lebih terjalin rapat kerananya.

Pada sebelah petangnya, kira-kira jam 5:00 petang, diadakan seminar di ‘Center of International and Comparative Studies’, Universiti Iowa. Hanya segelintir sahaja penulis dijemput menyampaikan siri seminar ini kerana telah sedia ada para sarjana yang diundang terlebih awal dari pelbagai disiplin ilmu untuk menyampaikannya. Adakalanya siri seminar ini tidak dibataskan pada hari Khamis sahaja.

Hari Jumaat pula, ‘Bengkel Terjemahan’ diadakan mulai pukul 2:30 petang dan dikelolakan oleh Prof. Daniel Weissbort dengan bantuan Dr Carolyn Brown serta mahasiswa-mahasiswa Writers Workshop (WW). Karya-karya peserta IWP yang terpilih, diterjemahkan bersama, melalui perbincangan. Sayangnya, ada sebilangan mahasiswa ini, yang digandingkan dengan seseorang penulis, tidak mengetahui bahasa asal penulis tersebut atau memiliki kefahaman kebudayaan yang jitu, lantas menyukarkan terjemahan. Walaupun demikian, beberapa gandingan penterjemah-penulis, yang saling memahami bahasa asal penulis tersebut, terjemahannya dapat dibuat dengan baik. Kedua-dua pelajar dan penulis mendapat manfaat daripada proses begini. Pada hari Jumaat juga, bergilir-gilir peserta IWP diwawancara Pengarah atau Penasihat IWP dan dirakamkan melalui video untuk tujuan dokumentasi dan siaran radio di Iowa.

Kebanyakan acara budaya diadakan pada hari Sabtu, walaupun diadakan juga acara-acara ini pada hari-hari lain sepanjang minggu. Antaranya, kami dibawa mengharungi Sungai Mississippi, melawat kilang pertanian/traktor John Deere, menyaksikan pertandingan ‘rodeo’, cara melelong kuda dan aktiviti-aktiviti di Amana Colonies, pergi ke ladang pertanian, menyaksikan ‘Columbus Day Parade’, pergi treking dan memerhatikan penerbangan burung-burung kerana pertukaran musim, menghadiri upacara ‘Thanksgiving’ di ladang keluarga Danes dan memakan sebanyaknya pai labu (pumpkin pie) dan lain-lain.

Kami juga diberi tiket percuma untuk menyaksikan beberapa persembahan seni di Auditorium Hancher yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan kaki dari Mayflower. Bagi sebahagian acara di auditorium tersebut, kami harus membeli tiket dengan potongan harga, lantas dapatlah kami menyaksikan persembahan jaz oleh Wynton Marsalis, beberapa persembahan muzik dari Amerika serta luar negara, drama, ballet dan lain-lain. Juga di Memorial Union, Universiti Iowa, sering diadakan pesta filem dan persembahan budaya sesuatu golongan tertentu di Amerika misalnya, golongan Hispanik, Afrika-Amerika, Peribumi Amerika, Eropah, Cina, India dan sebagainya. Pawagam-pawagam umum pula, yang terletak tidak jauh dari Universiti Iowa, banyak menayangkan filem-filem terbaharu. Ada juga kursus-kursus menarik yang ditawarkan oleh Jabatan Inggeris dan lain-lain, misalnya kursus ‘Budaya Popular Amerika: Elvis Sebagai Antologi’. Di Iowa juga, sering diundang para seniman memberi ceramah atau membaca karya mereka misalnya diundang Mark Strand, Linda Hogan, Amy Tan, Bharati Mukherjee, Gregory Peck dan lain-lain. Kedai-kedai buku dan muzik yang baik banyak terdapat di Iowa City, begitu juga tempat-tempat berehat dan beriadah. Bagi mereka yang meminati bola sepak, Iowa terkenal kerana pasukannya, ‘Hawkeye’, dengan maskotnya seekor helang. Maskot dan jersi ‘Hawkeye’, yang berwarna kuning dan hitam terdapat di mana-mana. Selalunya pada hari Sabtu diadakan permainan sukan ini. Kegilaan mereka terhadap bola sepak sama hebatnya seperti minat rakyat Singapura terhadap sukan ini dan pasukan kebangsaan Singapura.

Hari Ahad acaranya bebas sedikit; selalunya diisi dengan bertemu kawan-kawan dalam kalangan penulis atau kawan-kawan lain. Saya sempat bertemu dan keluar dengan beberapa orang pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Iowa pada hari-hari tersebut. Pada sebelah petang, mulai jam 4:00 petang, kedai buku Prairie Lights mengundang salah seorang penulis IWP dan seorang mahasiswa WW untuk membacakan karya-karya mereka. Sesi ini terbuka kepada semua dan selalu mendapat sambutan hangat. Keadaan di kedai buku tersebut pula amat selesa; selain buku, terdapat juga warung yang menjual kopi/teh serta cemilan. Lantas mudahlah mengikuti apa pun acara atau duduk-duduk membelek buku mahupun menulis.

Walaupun jadual bagi setiap minggu agak padat tetapi banyak lowongan diberikan kepada para penulis. Kebanyakan penulis menghabiskan sejumlah masa untuk bersembang sehingga ke larut malam, mengenali Iowa City, membuat projek sendiri, melawat beberapa tempat di Amerika Syarikat (kami digalakkan keluar dari Iowa selama 2 minggu, pada minggu terakhir Oktober untuk lebih mengenali Amerika), menafasi segala rangsangan seni, keilmuan dan kemanusiaan dengan pelbagai acara sendiri mahupun rasmi. Walaupun sebagaimana lumrah, Program Penulisan Antarabangsa ini terdapat beberapa kekurangan, secara keseluruhannya ia adalah suatu program yang banyak merangsang dan memberi perspektif-perspektif baharu bagi seseorang yang memang terbuka dan berminat dalam bidang seni.

Kesimpulan

Bagi saya sendiri walaupun saya tidak banyak menulis semasa di sana atau dapat mengikuti semua program yang diatur, tidak dapat dinafikan bahawa demikian banyak manfaat yang saya raih melalui acara-acara rasmi dan tidak rasmi semasa di Iowa City. Kerana Iowa adalah bandar universiti dan terletak di tengah-tengah Amerika yang dipanggil ‘Midwest’ serta didedahkan kepada banyak kegiatan seni dan keilmuan serta persekitaran yang menawan – dengan adanya sungai, hutan, landskap ladang jagung, rumah-rumah yang rendah dan tidak berpagar, mengalami tiga pertukaran musim (musim panas, gugur, salji) serta melihat berjenis-jenis tupai, rusa, itik liar dan sebagainya, dan ditambah pula dengan mengenali dengan lebih dekat orang-orang yang dikelompokkan dalam IWP, masa lebih 3 bulan itu rasanya tidak mencukupi. Program ini banyak merangsang pemikiran saya, dan orang-orang yang saya temui banyak pula membuat saya menilai semula penglibatan saya dalam dunia seni dan keilmuan serta mengejapkan lagi beberapa prinsip dan pandangan hidup saya. Demikianlah jadual Program Penulisan Antarabangsa Iowa secara ringkas.

Ditulis: 2 Mac 1996
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tambahan – Dua Kuntum Puisi Yang Ditulis Di Iowa:

Musim Gugur (ii)

Merah yang menyala
setelah hijaunya suasana
memaksa perhatian
inikah caramu
mengisytihar pada dunia
kewujudan yang bererti
walau sementara
lalu kaugugurkan
daun-daunmu
satu
per
satu
sebelum sepi menghampiri
bersama salju?

Ditulis: 5 Oktober 1995
Mayflower, Iowa, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Ingatan Kepada Chairil

Dengan tenaga jati
nafas tegar & berani
ingin kuhirup
sum sum kehidupan
mencari kerangka
& otot-otot penemuan.

Kau yang rancak berlagu
riuhnya Jakarta & penghuninya
membikin aku sepi di Iowa
& sepertimu, aku tahu,
seni itu pencarian
kehidupan pengalaman
& masa adalah jauhari
memurnikan:
makna, penglibatan.

Sedegil kau, walau terbuang,
ingin kuteguhkan jati diri
dengan cogan:
‘sekali bererti
sudah itu mati’.

Ditulis: 21 Oktober 1995
Mayflower, Iowa, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Suatu Pencarian: Kajian Ringkas Penulis-Penulis Minoriti Amerika (Bahagian Satu, Ditulis Pada 1996)

Prakata

Saya seharusnya berada di Universiti Iowa selama 6 minggu untuk mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (IWP) dan 6 minggu lagi di Universiti California, di Santa Barbara, untuk membuat kajian ringkas mengenai penulis minoriti Amerika. Tiket untuk ke Santa Barbara, selain ke Iowa, telah pun diberi kepada saya semasa di Singapura.

Namun, di luar jangkaan saya, beberapa hari sebelum saya bertolak ke Iowa, profesor di Santa Barbara, yang seharusnya menjadi semacam mentor saya di sana, terpaksa menghadiri beberapa persidangan di luar Santa Barbara untuk beberapa waktu. Ketiadaan beliau secara tetap, sebagai Profesor Kesusasteraan Inggeris dan Pengajian Wanita, menyukarkan sedikit apa pun kajian yang bakal saya buat. Dan kecuali 3 orang sahabat yang saya kenal di California Selatan dan Utara, tiada sesiapa pun saya kenali di Santa Barbara. Lantas setelah lebih seminggu berada di Iowa, saya meminta keizinan pihak Fulbright, Universiti Iowa dan profesor tersebut untuk terus menetap di Iowa bagi membuat kajian ringkas saya.

Kaedah

Bagaimanakah akan saya membuat kajian mengenai penulis-penulis minoriti Amerika? Bilangan penulis kategori ini agak ramai, daripada golongan Peribumi Amerika, Afrika-Amerika, Hispanik, Asia-Amerika dan lain-lain. Adalah mustahil untuk membaca semua buku mengenai penulis-penulis ini sedangkan jangka masa yang ditetapkan terhad dan saya juga masih mengikuti kursus IWP. Lantas saya membuat cara mengkaji yang lebih selaras dengan keterbatasan yang saya hadapi. Antara yang saya lakukan:

  1. Mengadakan perbincangan dengan beberapa orang pensyarah yang mengajar/mengetahui mengenai penulis minoriti Amerika, dari masa ke semasa.
  2. Mengadakan perbincangan dengan penulis-penulis IWP, sebilangannya adalah penulis minoriti dalam negara masing-masing, dan mencari intipati persamaan, jika ada, dengan penulis-penulis minoriti Amerika.
  3. Menghadiri beberapa kuliah mengenai penulis minoriti dan penulis wanita di Universiti Iowa.
  4. Membeli dan membaca karya-karya penulis minoriti Amerika ataupun kajian-kajian mengenai mereka semampunya.

Sekilas Mengenai Penulis-Penulis Minoriti Amerika

Perhatian saya tertumpu kepada tiga golongan penulis minoriti iaitu penulis golongan Asia-Amerika, Afrika-Amerika dan Peribumi Amerika. Beberapa pandangan yang diutarakan di bawah ini merupakan pandangan ringkas dan sekilas, dan kajian yang lebih mendalam mungkin dapat mengemukakan beberapa tambahan lain.

A: Penulis Asia-Amerika

Sebahagian besar penduduk awal Asia-Amerika datang ke Amerika Syarikat pada kurun ke-19, kerana ‘gold rush’, membuat landasan kereta api dan lain-lain. Golongan ini bertambah apabila Amerika semakin membuka pintunya untuk pendatang sama ada mereka orang Cina, Jepun, Vietnam, Korea, Filipino, India, Arab dan lain-lain, selepas Perang Dunia Kedua dan mereka diterima sebagai penduduk tetap atau rakyatnya.

Salah seorang penulis Asia-Amerika yang agak terkenal ialah Amy Tan. Novelnya, The Joy Luck Club telah pun dilayarperakkan dan menjadi dokumentasi yang lunak mengenai budaya dan lingkungan keluarga golongan Cina, yang menjadi perintis dan juga generasi kedua orang Amerika. Melalui novel ini, kita temui perjuangan fizikal dan emosi watak-watak yang berasal dari negara China, yang berakhir di Amerika, dengan anak-anak mereka, dengan tanggapan dan pandangan hidup yang agak berbeza. Namun, natijah persoalan dan penghuraian yang mereka hadapi adalah serupa, walaupun manifestasinya agak berbeza. Kejayaan Amy Tan ini agak menggemparkan golongan sasterawan Amerika daripada ‘arus utama’ kerana selain Maxine Hong Kingston, dengan novelnya, The Woman Warrior pada 1976, penulis-penulis Asia-Amerika walaupun wujud, tidaklah menonjol dalam kesusasteraan Amerika.

Di antara penulis-penulis Asia-Amerika ini, termasuklah Frank Chin, John Okada, Bharati Mukherjee, David Mura, Garrett Hongo, Li Yong Lee, Kiyoki Mori, Shwan Wong dan lain-lain. Masalah terbesar yang dihadapi penulis Asia-Amerika ialah mereka dijadikan stereotaip: penonton dan pembaca terlalu biasa dengan gambaran stereotaip golongan ini sehingga secara tidak langsung, menghilangkan suara sebenar golongan ini dengan pelbagai sikap dwitara secara rasmi dan tidak rasmi yang mereka hadapi.

Sebuah novel yang agak menarik dan menggarisbawahkan masalah ini ialah No-No Boy, tulisan penulis keturunan Jepun, John Okada yang terbit pada 1957. Bersabit daripada beberapa masalah stereotaip ini, sejak beberapa tahun ini, terutama setelah lahirnya novel The Woman Warrior, terdapat banyak tulisan bentuk autobiografi, memoir dan lain-lain untuk menampilkan kekayaan budaya yang dimiliki penulis Asia-Amerika. Isu sama ada sastera ciptaan penulis golongan Asia-Amerika ini harus dianggap sebagai ‘sastera arus utama’ atau ‘sastera pinggiran’, masih lagi dihujahkan oleh beberapa pihak, namun yang nyata, penulis-penulis kategori ini amat dinamik dan menyerlah. Bahasa dan lingkungan budayanya agak berbeza namun kegusaran dan harapan yang diserlahkan tetap serupa seperti penulis Melayu atau lainnya. Saya nukil daripada novel The Joy Luck Club oleh Amy Tan:

In America I will have a daughter just like me. But over there
nobody will say her worth is measured by the loudness of her
husband’s belch. Over there nobody will look down on her,
because I will make her speak only perfect American English.
And over there she will always be too full to swallow any sorrow.
She will know my meaning, because I will give her this swan—a
creature that became more than she was hoped for.’

Bersambung pada entri blog mendatang.

Disiapkan: 9 Mac 1996
Tersiar: Ruangan Sastera Berita Minggu (Singapura) dalam beberapa siri dan tajuk, 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Segugus Suara Sastera Dan Renungan (Ditulis Pada Julai – Ogos 2020)

Mukadimah

Apakah erti sastera dan sasterawan dalam kehidupan? Apakah benar sastera itu memberi nilai tambahan kepada kehidupan atau sekadar sesuatu yang dengan mudah boleh dipinggirkan dalam kehidupan yang kian direncam? Sasterawankah yang cuba melantunkan secercah suara zamannya, mencatat kegusaran dan kegembiraan manusia untuk kita menampi dan mengambil iktibar daripadanya? Atau mereka hanya memuaskan ego dan disalut kepentingan diri sendiri?

Secercah Penelusuran

A. Samad Said, dalam ‘Menulis Itu Resah’ (A. Samad Said, 1989: 64-65), memberi gambaran apa itu sastera dan peranannya:

Secara alami, sastera adalah rakaman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak, mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang maha luas, di samping mengakrabkannya dengan sesama makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir dan getar kehidupan.

Memang sastera tidak boleh dengan mendadak memberi beras, tetapi tanpa mendampinginya, nasi yang dikunyah tidak pula dapat terisi khasiat bagi kewarasan dan kesegaran minda manusia. Pada dasarnya, sastera menemukan moral – yang jujur, yang subur, yang palsu, yang lesu. Dan sastera sentiasa mendaki puncak. Dan puncaknya, sastera mencapai kepada martabat seni sesyahdunya – dan seni adalah keindahan, adalah hati nurani, adalah keadilan, adalah ketakwaan. Seni juga adalah kewarasan, adalah kebijaksanaan, adalah tazkiyah. Atau setidak-tidaknya, seni adalah satu janji bahagia yang jasmaniah wajahnya, yang rohaniah hatinya. Segala-gala ini adalah baja bagi minda dan nurani manusia.

Daripada pohon yang sama, sastera Melayu-Nusantara itu bercabang ke ranting-ranting sastera yang diwarnai keadaan setempat dan sejarah pembentukan negara bangsa. Warisan dan bumbunya sama – karya-karya tradisional kita baik pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, pepatah, hikayat, cerita-cerita jenaka, haiwan, lipur lara dan sebagainya tetapi menjadi hidangan tetapi sedikit berbeza mengikut cita rasa masing-masing.

Zaman Harun Aminurrashid

Dari zaman Harun Aminurrashid dengan sajak pertamanya ‘O, Sariku’ terbit pada 1933 dalam majalah Pujangga Baru, serta adanya penyair seperti Pungguk dan kemudian muncul Masuri S.N. semasa Perang Dunia Kedua, dunia sastera Melayu semakin rancak menyelami keadaan semasa. Bagi Singapura, Harun Aminurashid boleh dianggap perintis dan penulisannya banyak membangkitkan kesedaran menimba ilmu dan meniupkan semangat kebangsaan berdepankan keadaan semasa. Dari novel Melur Kuala Lumpur, Cinta Gadis Rimba sehingga Darah Kedayan, Dayangku Fatimah, Panglima Awang, Tun Mandak, Wan Derus, Sultan Mahmud Shah, Wak Cantuk, Nur dan Ros, Simpang Perinang dan lain-lain serta cerpen, buku bahasa, kajian dan wisatanya, kita temui keinginan Harun untuk meningkatkan pengetahuan dan menaikkan semangat juang pembacanya. Sejarah terutamanya menjadi bahan mentah yang sering digali bagi tujuan tersebut.

Zaman Perang

Bagaimana pula perang mengesankan sasterawan kita? Banyak karya seni telah dihasilkan mengenai Perang Dunia Kedua dan hal-hal merebut kemerdekaan. Zaman Jepun yang penuh sengsara itu mungkin mengingatkan kita kepada novel Jejak Bara oleh Suradi Parjo, Nyawa Di Hujung Pedang oleh Ahmad Murad Nasaruddin dan novel-novel Salina dan Sungai Mengalir Lesu oleh A. Samad Said, Selain sejumlah sajak, cerpen dan novel yang menyingkap zaman tersebut, tiga novel terakhir ini begitu terserlah merakam petaka zaman itu. Demikian juga novel seperti Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer dan sebilangan cerpen penulis zaman sesudahnya. Perang mengacau-bilaukan kehidupan, meragut bukan sekadar nyawa tetapi makna menjadi manusia dan nilai kemanusiaan. Kita menemui suara-suara sebegini dalam sastera dan apabila melihat kehidupan mutakhir yang dicelarukan pelbagai jenis perang di beberapa pelosok dunia, kita semakin maklum karya-karya sastera zaman tersebut telah membolehkan kita lebih memahami kesengsaraan sebegini. Bagaimana mungkin kita melupakan seorang Siti Salina, dari Kampung Kambing, Singapura, yang menjadi lambang kesan perang itu sendiri? Bagaimana kita tidak akan terharu dengan menyaksikan jalan hidup seorang Hilmi atau Nahidah yang masa depan mereka tidak secerahnya bahana perang dan kemiskinan?

Perkembangan Seni Dari Daerah Sekitar

Dan diselang-seli pelbagai perkembangan baharu dalam kehidupan selepas Perang, sasterawan Melayu banyak diilhami percikan-percikan seni di rantaunya. Hadirnya karya-karya ciptaan sasterawan Indonesia seperti Abdul Muis, Sutan Takdir Alisjahbana, Armijn Pane, Amir Hamzah, Hamka, Muhammad Yamin, Sanusi Pane, Chairil Anwar, Asrul Sani, Rivai Apin, Idrus, Akhdiat K. Mihardja, Idrus, Trisno Sumardjo, Utuy Tatang Sontani serta Pramodya Ananta Toer, Taufiq Ismail, W.S. Rendra, Ajip Rosidi dan lain-lain begitu menyemarakkan lagi dunia sastera bukan hanya di Indonesia, malah daerah Nusantara lainnya. Kesann bertimbal-balik ini memercukan lagi karya-karya seni yang dicipta.

Angkatan Sastera Dan Sasterawan Zamannya

Dan bagaimana dapat kita ketepikan adanya para penulis yang cuba menghidupkan sastera Melayu dengan mewujudkan pertubuhan yang lebih aktif, Angkatan Sasterawan 50, yang menjadikan Angkatan 45 Indonesia, sebagai contoh? Dan muncul pula pandangan-pandangan berbeza mengenai peranan sastera/seni dalam masyarakat yang baru melalui zaman Perang. Sasterawan-sasterawan zaman itulah seperti MAS, Hamzah Hussin, Jymy Asmara, Jah Lelawati, H. Hanim, A Ghani Hamid, Noor S.I. serta rakan-rakan mereka yang membolehkan aras baharu bagi sastera kita. Karya-karya yang lahir kebanyakannya berunsur realisme sosial tetapi ada yang lebih menyelongkar pelbagai isu dari sudut yang agak berbeza misalnya dalam cerpen dan novel Hamzah Hussin. Selain karya kreatif yang semakin berbobot pada zaman itu, kita temui esei-esei yang bernas tulisan Asraf, Hamzah Hussin, Usman Awang, A. Samad Said dan lain-lain. Sastera bukan hanya penglipur lara tetapi menjentik minda kita untuk memikirkan pelbagai perkara.

Noor S.I. walaupun terkenal sebagai penyair kabur, namun sajak-sajaknya tidak sekaburnya dan penggunaan bahasanya lembut dan murni, sebagaimana puisi-puisi tulisan A. Ghani Hamid. Sajak ‘Tanjung Berlayar’ (Noor S.I., 1960: 12), digambarkan dengan lunak dan meminta kita memikirkan beberapa perkara:

Tanjung Berlayar

Terhitunglah manusia membenam sebilah pisau
kudus di pundak dari sepotong bara hijau
tiba di laut
berdiri batubatu intan di permukaan laut.

Batu laut di pinggir dan tegaklah kota beraja
di telapak sekawan figura
tiba di pantai kaca waja
termasuk hal hidupnya mengira korban suasana
.

Lahir di batubatu sekeras nafas
bersuara jua di kertas
tidak semua manusia menikam dengan pisau emas
memisah kasih bunda dengan hijau paras
.

Tinggallah Tanjungku di tanjungtanjung kaca waja
Sang Nila Utama menenggelamkan mahkotanya di muara.

Pada tahun-tahun 60-an itu, kitakah tersentuh membaca kisah Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), kisah nelayan dalam Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan), kisah Mazni yang mengharungi pelbagai dugaan dalam Badai Semalam (Khadijah Hashim), dunia wanita dan erti cinta dalam Rindu Hilang Di Tapak Tangan (Salmi Manja) dan novel jenis sindiran seperti novel-novel yang lebih awal ditulis Ishak Haji Muhammad, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, iaitu Tikus Rahmat (Hassan Ibrahim). Novel Tikus Rahmat mengingatkan kita kepada novel Animal Farm karya George Orwell – menyindir keadaan semasa dan ideologi Komunisme di Britain.

Beberapa Suara Sasterawan Singapura Selepas 1965

Singapura menjadi negara merdeka pada 9 Ogos 1965 dan dengannya suara-suara asal Singapura lebih terdengar, terutama mulai awal tahun-tahun 70-an. Seperti zaman-zaman sebelum ini, golongan baharu menyoal keterlibatan golongan yang lama dan sintesisnya, suara-suara lain mula terdengar. Isu-isu yang dikemukakan tidak terlalu lari daripada perjuangan sasterawan-sasterawan dahulu tetapi penyampaian mereka kadangkala berlainan pula. Pada awal tahun-tahun 70-an itu, beberapa orang anak muda seperti M.I.A, Eunos Asah, Djamal Tukimin, Elfy Runianto, Samsidah Suleiman, Zaiton Omar, Md Gani Ahmad, Noor Hidayat, Mohd. Latiff Mohd., Iswardy, Rosmala, Azizfakir, Mohd Naim Daipi, Suraidi Sipan, Hamed Ismail, Nadiputra, Maimunah Kemat dan lain-lain tampil ke hadapan. M.I.A. merupakan salah seorang yang berani bereksperimen dalam berkarya, misalnya dalam puisinya berjudul ‘Problematika’ (Berita Minggu, 1 April 1973), yang dengan pedas berhujah:

Problematika

aku tanya Tikus di sudut dapur
aku tanya Lintah di mejamakan
aku tanya Cacing di cawankopi
aku tanya Cicak di hujung bumbung
aku tanya Siput di dalam saku
aku tanya Musang dalam selimut
aku tanya Anai-anai di tapaktangga
aku tanya Pijat-pijat di celah ranjang
aku tanya & T+A+N+y+a
tanya sana tanya sini tanya lagi
aku tanya Nixon & Chou

aku tanya 106 roh dari bangkai Boeing 727 di Sinai
aku tanya Noel & Moore & Eid di Khartoum
aku tanya Russell Means di Wounded Knee
aku tanya & tanya & tanya & tanya
dan setiap kali aku dicarut mereka
sebelum diberi jawapan
(sama nyaring sama tegas):
“Si Tunggal sudah mampus, bahlul
& manusia sudah rampas kuasa esa
& hidup bukan lagi mimpi
ha ha ha…kuburkan Keadilan!

Dalam tulisan-tulisan Noor Hidayat pula, baik dalam puisi, cerpen, esei dan novelnya, kita temui penampilan seninya dalam busana keislamanan. Walaupun tidak semua karyanya dibalut hal sedemikian, inilah yang menjadi titik tolak karyanya. Dalam novelnya Majnun misalnya, yang merungkai makna pencarian seorang salik, Noor Hidayat antara sasterawan terawal Singapura selepas 1965, yang menitipkan jalur-jalur tasawuf/keislaman secara konsisten dalam karya-karyanya. Dan laluan pilihannya ini dilibati dengan kejujuran dan kesungguhan. Tradisi ini, diteruskan pula oleh Johar Buang, walaupun karya Johar lebih melegari dunia tasawuf dan kurang menyentuh hal-hal lain, berbanding dengan Noor Hidayat. Kedua-dua penulis ini berjaya menghimbau lintasan-lintasan keindahan dunia persuratan Islam. Lihat misalnya sajak ‘Seorang Sufi’ (Johar Buang 2003:84) ini:

Seorang Sufi

seorang sufi tidak menjadi sufi
dengan nilai jubahnya
seorang tidak menjadi sufi
demi tingkah lakunya
seorang sufi adalah
tidak menjadi apa-apa

Di tangan Mohd. Latiff Mohd., kita temui karya-karya yang banyak menyelongkar isu-isu semasa, terutama yang meruangi kehidupan masyarakatnya. Di dalam puisi, cerpen, novel dan eseinya, nada tegasnya terhadap kebobrokan dalam masyarakat jelas tergambar. Dan ini disalut juga dengan puisi-puisi romantis yang bagaikan puisi-puisi romantis Usman Awang. Dalam novelnya, Dalam Keasingan, Mohd. Latiff membawa pembaca kepada beberapa hal semasa yang seakan-akan mengasingkan sebilangan masyarakatnya melalui watak Pemuda – apakah itu kejadian sebenar atau igauan panjang Pemuda? Dalam novel Batas Langit, kita menjejaki kehidupan Adi, kanak-kanak yang hidupnya bobrok dan latar keadaan semasa juga bercelaru dengan perbalahan politik pada tahun-tahun 60-an di Singapura. Gambaran Mohd. Latiff segar dan hidup dan kita dibawa bersama untuk memaklumi kegusaran Adi dan orang-orang di sekelilingnya ketika percaturan politik dan cengkaman kemiskinan menjadi motif-motif utama dalam mencorakkan suasana zaman itu. Suara Adi akan selamanya mencarik-carik nurani kita sebagaimana sajak (Mohd. Latiff Mohd., 2007: 85) ini:

Siapa Yang Terluka?

Jika kau nampak darah menitis
tanda ada yang terluka
tapi siapa menduga
luka sejarah
yang pilunya menikam bumi
sakitnya menghiris mimpi
siapa dapat menduga luka begini

melainkan rasa simpati
pada takdir yang pecah ini
siapa menduga luka bangsa ini
dalam cermin sejarah
dalam bayang mimpi
bermain dengan ilusi
sarat dengan doa peribadi
cerita pahlawan yang kecundang
ditikam oleh sahabat dari belakang
dan siapa menduga luka sejarah begini
jika malam-malam kita berbau setanggi
keris keramat yang hilang di lautan mimpi.

Suara sasterawan itu turut bergema dalam karya-karya Iswardy, yang melahirkam novel dan cerpen, selain ada juga menulis puisi pada awal penglibatan seninya. Dunia kreatifnya berpusar kepada masyarakat yang kelihatan kecil – kisah orang-orang di estet perumahan, di kampung dengan pelbagai kerenah hidup mereka dengan bahasa yang bersahaja tetapi segar. Selain itu karya-karyanya juga menyentuh hal-hal ketuhanan. Cerpen ‘Otak’ misalnya, meminta pembacanya berfikir apakah akan terjadi jika manusia tiada berotak dan tidak tahu nilai otak dalam kehidupan mereka. Doktor otak yang menjadi protagonis cerpen ini pula dianggap seperti gila oleh mereka yang ingin dibantu doktor tadi. Dan bagaikan zombi, khalayak yang tidak berotak ini, memakan pula sepahan-sepahan otak yang dikumpulkan doktor otak untuk membantu mereka. Dengan bersahaja Iswardy mengajak kita memikirkan isu penggunaan otak ini dengan sempurna.

Nadiputra pula bergiat dalam dunia drama sebagai penulis skrip drama televisyen, radio dan pentas, selain berlakon dan menulis puisi. Salah sebuah dramanya yang dipentaskan, pada 17 Julai 1985, Encong, merungkai pelbagai kisah masyarakat – yang terpelajar, yang di pinggiran, yang dibelenggu minda serta nuraninya dalam penglibatan seni dan kehidupannya (Nadiputra, 1988: 35-36):

Petikan Drama Pentas: Encong

Wanita:
Jangan jalan jauh – di rumah ini! Rumah kita sendiri. Celopar bebel BUDAYA. Bebertih ngomel SENI. Berlengas kupas AGAMA. Bermurai kekek SASTERA.
Tapi:
Hidung datuk langkah, hidung nenek pangkah. Depan bapak berkapak, depan emak bersepak-sepak. Mana budaya, mana seni, mana agama, mana sastera.

Rendah BUDAYA kerana kita tak kaya.
Luput SENI kerana kita tak ada daya tani.
Goncang AGAMA kerana kita sudah duduk tak sama.
Berkecai SASTERA kerana kita sudah mulai huru-hara.
Pakaian sudah tidak lagi tunjuk bangsa.
Tutur sudah tidak lagi rujuk yang ESA.
Tapi,
Orang BUDAYA, orang SENI, orang AGAMA, orang SASTERA
Makin gila
Menggila-gila
Macam orang gila isim
Macam orang kena rasuk jisim
Antara sedar tak sedar atau tak sedar
Macam mimpi, macam ngigau, macam sasau bila sedar.
Tahu-tahu mahu bintang, mahu medal, mahu pingat, mahu anugerah…
Anugerah diri seumur hidup tak mahu kejar.

Dan suara sastera itu juga suara yang kadang-kadang sepi dan mengharukan apabila kita menyaksikan kehidupan yang serba kekurangan atau peristiwa-peristiwa yang melanda kita dan menginsafkan kita akan erti sebenar nilai-nilai murni. Hal ini kita temui dalam sajak Norulashikin Jamain (Norulashikin Jamain, 2018: 43):

Yang Memanusiakan Kita

Yang memanusiakan kita adalah bila
terdengar suara riang si terencat akal
bila terpandang loncatan si kaki
tempang bila terjeling lukisan halus oleh
kaki si tangan kudung

Tanpa kesempurnaan
mereka masih indah
di mata kebenaran

Kita belajar dari mereka erti
kesyukuran dan kebenaran
menerima kekurangan yang ada
lalu bahagia meneruskan kehidupan
tanpa sesal

Dan juga sajak Rohman Munasip (Rohman Munasip, 2013: 50):

nilai kejujuran

terima kasih Tuhan
yang menimpakan peristiwa
yang tidak membuatku gelabah
kerana aku kini mengerti
makna hikmah
tidak sesiapa kuasa memberi
jikalau Engkau menahannya
dan aku kini lebih mengenal
dan memilih kejujuran
yang nilainya
tentu lebih mahal

Dan di tangan seorang penulis yang baik, suara sastera itu bergema dengan hal-hal semasa yang dikait sebaiknya buat tatapan kita sebagaimana Wan Jumaiah Mohd. Jubri mengetengahkan cerpen-cerpennya seperti ‘Mak Nak Cakap Sikit…’ (Berita Minggu, 14 Jun 2015) dan ‘DeWan, Qarim Baba & Sebuah Ilusi’ (Berita Minggu, 8 Disember 2019). Dalam ‘Mak Nak Cakap Sikit…’, watak Mak, seorang penjual nasi dan lauk-pauk Melayu, begitu proaktif apabila orang asyik menghina masakan Melayu kerana selalu menggunakan santan. Dengan bersungguh-sungguh Mak membuat kajian mengenai santan dan berucap di Sudut Pidato di Hong Lim Park Singapura, mengenai santan dan kesannya kepada kesihatan manusia. Dengan penuh humor, Wan Jumaiah menggeletik pembacanya dengan penerangan panjang lebar Mak mengenai santan dan sekali gus mengingatkan kita apakah benar masakan-masakan warisan kita memudaratkan:

Petikan Cerpen: ‘Mak Nak Cakap Sikit…’


“Kenapa ya? Tak habis-habis lauk-pauk bersantan dihentam. Ada sajalah penyakit yang dikaitkan dengan lauk-pauk bersantan. Kalau awak berpenyakit, janganlah makan lauk-pauk yang memudaratkan tubuh badan awak. Jangan salahkan lauk-pauk bersantan jika berat badan naik. Pergilah bersenam! Jangan lepas makan berdengkur pulak! Macam mana badan tu tak membuak!”

Dan dalam cerpen ‘DeWan, Qarim Baba & Sebuah Ilusi’, Wan Jumaiah membenarkan protagonisya, DeWan, seorang kanak-kanak, menyoal Qarim Baba, keturunan Ali Baba, seorang peniaga dan hartawan, mengenai cara keturunannya mendapat harta kekayaan mereka. Bolehkah, menurut DeWan, seseorang itu dijadikan sumber contoh sedangkan cara dia mendapatkan harta dan perniagaannya sebenarnya dengan menipu dan membunuh orang, sebagaimana dilakukan oleh Ali Baba? Siapa sumber contoh kita dalam kehidupan, menurut Wan Jumaiah Mohd. Jubri, begitu penting bagi seorang individu mahupun sesebuah masyarakat.

Pelbagai suara dalam sastera Singapura boleh kita dengari dari masa ke semasa. Selain nama-nama yang diterakan di atas, ada juga sebilangan penulis yang lain seperti Ahmad Jaafar Munasip, Sarifah Yatiman, Anuar Othman dan ramai lagi. Dan di kalangan penulis-penulis yang lebih muda terdapat nama-nama seperti Cempaka Aizim, Roslie Sidek, Sh. Khadijah Aljoofrie, Saedah Saad, Noor Hasnah Adam. Noridah Kamari, Djohan Abdul Rahman, Farihan Bahron, Md Nagiub Ngadnan, R. Azmann A. Rahman, Noor Aisyah Buang, Samsudin Said dan beberapa orang lagi yang turut menyerikan sastera Singapura.

Hambatan Sastera

Tedapat beberapa perkara yang boleh menghambat perkembangan sastera, di antaranya:

• Pihak-pihak berkepentingan yang menghidupkan sastera Melayu harus lebih teliti dari segi ketelusan dan integriti dalam mengadakan acara-acara sastera serta menilai sesebuah karya untuk diberi hadiah-hadiah tertentu. Yang dihidupkan adalah sastera masyarakat dan negara kita, bukan orang pilihan kita sahaja.

• Terdapat budaya ‘tayang tampang’ sebagaimana disajakkan oleh A. Wahab Ali dalam sajaknya ‘Orang Bestari Kini’ semakin berleluasa kini, lantas kadangkala yang kaca dianggap permata. Ini dibantu pula oleh media sosial dan media massa. Begitu mudah sesebuah karya itu dijulang sedangkan nilainya mungkin tidak seberapa, sekadar berlegar dalam ‘puji-memuji’ murahan dan dibantu oleh ‘Bots’ komputer dan tarikan dolar.

• Perlu diadakan lebih banyak ruang agar penulis-penulis kita, yang lama bergiat mahupun yang baru terlibat dapat menyebarluaskan karya mereka. Tanpa bersikap saksama dalam hal ini, sastera kita akan menang sorak tetapi kampung tergadai.

Kesimpulan

Sasterawan Melayu itu, baik dia dari Singapura atau Nusantara, akan selalu menggemakan pelbagai keharuan dan kegirangan manusia jika penanya digerakkan oleh keikhlasan, keterampilan seni serta tahu peranannya sebagai makhluk Tuhan. Apa pun zamannya, akan ada manusia-manusia yang besar egonya, yang hasad dengki, yang mindanya dipenuhi kekotoran dan kebencian. Dan di samping itu, akan ada manusia-manusia yang berhati luhur, yang prihatin terhadap kesusahan orang lain, yang mahu kehidupan menjadi sebaik mungkin untuk semua. Di tengah-tengahnya seorang sasterawan berdiri – melihat, mencatat dan menghablur dengan mata hati yang prihatin, saksama dan ikhlas serta tidak dipukau nama, kedudukan dan wang. Dia hanyalah seorang insan yang mungkin dapat menyuarakan sedikit suara zamannya melalui tulisan dan amat memaklumi keterbatasannya sebagai semacam bejana yang dituangkan ilham oleh Tuhan.

Akankah seorang sasterawan sejati itu terus berkarya? Dia akan terkenangkan pelbagai watak dalam sastera seperti Minke dan Nyai Ontosoroh dalam novel tetralogi Pramoedya Ananta Toer, yang berani menongkah arus dan menyahut cabaran zaman. Dia enggan menjadi seperti Hanafi dalam Salah Asuhan tulisan Abdul Muis, yang memandang rendah budaya dan warisan sendiri kerana ‘berjiwa hamba’. Dia akan terkenangkan Shahrezad dalam Hikayat Seribu Satu Malam, penulis dan pencerita dari pelbagai pelosok dunia yang mengejapkan hatinya untuk terus berkarya. Dan dia akan terkenang dua kuntum sajak yang turut mengingatkan mengapa dia berkarya iaitu sajak MAS (MAS, 1988: 72):

Benarkah?

Benarkah
Yang benar
itu benar?

Benarkah
Yang benar itu
benar?

Benarkah
Yang benar itu benar?

tidak benar!

Dan sajak A. Ghani Hamid (A.Ghani Hamid, 2003: 139):

Murah

Di mana-mana
di alam serba mewah ini
di situ ada nafas gelisah,
kerana di mana-mana dan bila-bila pun
kita menolak yang mahal
termasuk nilai diri.

Dan pelbagai perkara inilah yang sentiasa menjadi mangkin menggerakkan dia untuk melantunkan suaranya melalui pena dalam melayari bahtera hidupnya nan sementara.

Rujukan

A. Ghani Hamid, 2003. Ombak Terbang Tinggi. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
A. Samad Said, 1989. Antara Bulan Dan Wira. KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Berita Minggu. 1 April 1973, 14 Jun 2015 dan 8 Disember 2019.
Hassan Ibrahim, 1975. Tikus Rahmat. KL: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Cetakan Pertama 1963).
Iswardy, 1992. Otak. Singapura: Pustaka Melayu Publisher.
Johar Buang, 2003. Sahara. Singapura: Toko Buku Haji Hashim.
MAS, 1988. Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
Mohd. Latiff Mohd., 1989. Dalam Keasingan. Shah Alam: Marwilis Publisher & Distributors.
___, 2002. Batas Langit. Singapura: Pustaka Nasional.
___, 2007. Bila Rama-Rama Patah Sayapnya. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
Nadiputra, 1988. Encong. Brunei: Universiti Brunei Darussalam.
Noor S.I., 1960. Setanggi Waja. Singapura: Malaya Publishing House Ltd.
Norulashikin Jamain, 2018. Kembara Usia. Singapura: Kreatif Hands and Associates.
Rohman Munasip, 2013. Balada Seorang Penyair Di Pentas Bangsanya. Singapura: Rohman Munasip.

Ditulis: 31 Julai – 3 Ogos 2020
Tersiar: Jurnal Sekata,
Majlis Bahasa Melayu Singapura, Disember 2020
Tulisan: Rasiah Halil.

International Writing Programme/IWP Mini Project: ‘Suitcases’ (Written in November 1995)

Three suitcases accompanied me to Iowa. One medium-sized and two smaller ones. I put my essential clothes and 3 traditional Malay costumes, toiletries, batik materials for certain people, books and cassettes in the medium-sized suitcase. The cassettes are old songs that I like in Malay, English, Hindi and Arabic. There is one special cassette that I brought with me. It contains songs from a 2-hour video that I made about my family titled: ‘The Journey Home’. The songs are mostly in Malay and English and 3 in Hindi. These songs remind me of my family and relatives scattered in many parts of the world — and also of home — however imaginary that ‘home’ might be. Of the books I brought, one is titled ‘The Sufis’, the other ‘The Selected Essays of Emerson’, a book of short-stories titled ‘Mysteries of Life’ by a former Malaysian now a professor in literature at Santa Barbara, California, 2 dictionaries, notebooks and 2 small prayer books.

One other suitcase contains canned and preserved Malay food given by my family and friends. While I can ‘survive’ eating fish fingers, fries and instant noodles, these well-intentioned people thought otherwise. And knowing my extremely limited culinary skills, I had ‘no choice’ but to accept the food they gave me to bring to Iowa. And they know, while I can tolerate eating at McDonald’s, I still crave for the Malay and Indian dishes that I am used to back in Singapore.

The other small suitcase, which I hand-carried, contains ‘tanjak’ — miniature Malay warrior headgears that are given as tokens to guests in a Malay wedding. To me, the ‘tanjak’ symbolises the beauty and grace of my Malay culture and tradition that I love and treasure — and I brought these to be given to the writer-friends that I will meet in Iowa.

I was born in l 956 in Singapore and was brought up by my grandparents until the age of 8. After that age, I lived with my parents and siblings and my grandma lived with us. My grandma was a remarkable woman who loved classical Malay literature and the Arts. I grew up listening to her tales from classical Malay literature and traditional Malay poetry, known as ‘pantun’ and ‘shair’. I started writing ‘pantun’ and ‘shair’ around the age of 13 or 14 and then progressed to writing modern poetry at the age of 15. My first poem was published in March l972 and my literary works — in poetry, short-story, essay and translation have been published since then, in Singapore, Malaysia and Brunei.

Will I ever stop writing? I think of a song by one of my favourite singers, P. Ramlee, titled ‘Getaran Jiwa’ (Rhythm of My Soul). In that song, P. Ramlee sings: ‘Andai dipisah lagu dan irama/lemah tiada berjiwa/hampa’ (If ever you separate the song from music/it will be hapless, soulless/lost). Writing then to me, is the song of my soul, my bright star in the night, much like P. Ramlee’s ‘Getaran Jiwa’. Hence I cannot fathom my life without writing, it is after all, the song and music of my soul.

I will be bringing back a ton of books on American literature and literature in general, books on sufism, philosophy, mysticism, postcards/books about trees and the landscape and books about music. I have bought souvenirs for my family and friends and also music CDs and cassettes for myself. But perhaps the most memorable — I will bring back a lot of memories — and these will fill up more than 3 suitcases for me.

Written: 26 November 1995; Mayflower, Iowa City, USA
Mini Project ‘Suitcases’ – writers were tasked to write very briefly about the suitcases they brought with them to Iowa, their life and literary involvement. IWP 1995 Project/International Writing Programme, University of Iowa, USA.
Written by: Rasiah Halil.