Archive | August 2015

Dua Kuntum Sajak: Kepada Penyair Amir Hamzah Dan Kecerahan

Kepada Penyair Amir Hamzah
(28 Februari 1911 – 20 Mac 1946, Indonesia)

Apakah kau juga merasai begini
dijepiti suara hati & tuntutan
dianehkan keterasingan
& waktu adalah malam memanjang
yang enggan menemui siang
sedang subuh yang kaunanti
hanya melahirkan dinihari
& lingkaran kazab pelbagai.

Apakah kau juga menelan hempedu sunyi
mengunyah ketersingkiran diri
kerana hati yang terdera & tercalar
& betapa sukar, terseksa,
kau belajar merangkai harapan
menjadikan sepi penawar
& teguh mencintai kehidupan.

Betapakah payah kau memilih
antara kenangan & harapan
antara kasih & pengorbanan
kerana manusia selalu sepi
sering berperang dalam diri
& kau memaksa diri menghadami segala
jadam & racun peristiwa
kerana yakin
Tuhan tidak akan memutuskan rahmat-Nya.

Siapakah yang bakal mengerti, Amir,
segala hempedu duka
segala kepedihan jiwa
yang kautukarkan pualam
dalam pengaduanmu kepada Tuhan?

Ditulis: 20 September – 4 Disember 1990
Universiti Nasional Singapura/NUS – Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kecerahan

Tidak kita kongsikan kecerahan ini
kerana takutkan kegelapan
lalu kita pun menjadi tamak
memiliki kesejahteraan
mengira untung-rugi
persaudaraan, perhubungan,
sedang kecerahan secalit
adalah permintaan keterlaluan.

Ambillah segalanya sebelum hilang
padamkan hati bersumbu keikhlasan
segalanya boleh sirna, tak bermakna,
mata-mata yang dikabur keadaan
hati-hati yang terhijab
kerana derita itu musafir
di tundra kehidupan.

Ada secercah kecerahan
tetap bersinar
apa pun gelita keadaan.

Ditulis: 6 – 8 Julai 2007
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tiga Kuntum Sajak: Belon, Secangkir Resah Dan Tower Of London

G2 Malcolm XG1 Nelson-Mandela

Belon

Betapa tingginya belon-belon
dilepaskan ke udara
& kita ceria, teruja,
dengan warna-warninya
dengan tinggi terbangnya
& di padang pesta pora
kita semakin bangga, bersyukur,
belon-belon menerawang angkasa.

Tidak kita ketahui badut itu bunglon
diarah si tukang karut
di pentas pesta
menista dalam ketawa
meracuni minda khalayaknya
& licik mewarnai suasana
dipam & dikempiskan belon
diterbangkan mengikut cuaca
ditusuki bila menongkah
agar pentas sentiasa mempesona
walau masa & persekitaran berubah.

Yang dilepaskan sekadar belon-belon
bukan roket campuran logam titanium.

Ditulis: 19 – 20 Ogos 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Secangkir Resah

Secangkir resah tidak pernah lenyap
dengan kata-kata hambar, bermadah,
bila keledaknya riyak
mendaknya amarah
aromanya tergesa-gesa
membuihi kecelaruan
yang dikata
yang dikota.

Secangkir resah itu
bergumul dengan pekatnya prasangka
menyelirat dalam pembuluh fitnah
tidak mengenal tenang
tidak mengenal reda
atau makna syukur, tawaduk,
kerana degupnya curiga
darahnya iri
menyelinap ke seluruh jasad, jiwa.

Secangkir resah
bagai minuman
dengan teh takbur
gula ujub
air hasad
tanpa pernah mengerti
makna titis-titis wap
jernih
disuling Pencipta.

Ditulis: 24 – 25 November 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tower of London

Betapa mudah memutuskan segala
dengan kuasa, pedang,
seorang Anne Boleyn, Jane Grey,
atau sesiapa dianggap penghalang.

Bertahun Raleigh terpenjara di sini
hingga menghasilkan kitab
Thomas More dituduh penderhaka
kerana berbalah pendapat
semua idea boleh ditukar
semua prinsip diubah
kerana nyawa manusia murah
di tangan sang raja.

Berdiri depan Traitors’ Gate
pengunjung seakan terkenang:
nyawa manusia boleh tergadai
tapi prinsip & ideanya kekal.

Ditulis: 3 Jun 1990
Tower of London, London
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Igau

Dekahan bota-bota raksasa itu sesungguhnya menggerunkan sesiapa yang mendengarnya. Dekahan-dekahan itu bagaikan Gunung Merapi yang bila-bila masa bakal meletup dan meledakkan lahar. Namun suasana sekeliling seperti biasa, seolah-olah tiada terdengar dekahan bota-bota raksasa.

Di Daerah Sekangkang Kera ini aku menjadi manusia lutsinar atau lebih tepat, manusia halimunan. Kecuali beberapa makhluk, kehadiranku seakan tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Seekor burung bayan menemaniku di daerah ini; aku tidak tahu sama ada burung itu adalah pelarian dari zaman Sinbad atau sekadar menjenguk dari zaman Hikayat Bayan Budimannya. Bagai seorang Gulliver yang terdampar di Lilliput dan Brobdingnag atau Alice yang termasuk ke alam Wonderlandnya, aku seakan-akan terbawa ke negeri Antah Berantah yang diceritakan oleh seorang penglipur lara.

Peluh dingin mula membasahi tubuhku. Mengerikan. Bayan pula bagaikan orang melatah melihat gejala itu. Manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil sibuk melakukan sesuatu. Cuaca hangat walaupun keadaan di daerah ini seperti berada pada waktu senja. Mentari, menurut Bayan, ditutupi awan tebal. Sedangkan langit pula kelihatan berbintik-bintik, mungkin sedikit bocor.

Kecuali beberapa nama jalan dan bangunan, tempat ini tidak lagi kukenal. Tiada lagi pohon-pohon besar menghijau, tiada lagi kelihatan tupai, monyet, burung dan serangga. Tiada lagi hutan simpanan, taman bunga, bukit dan gunung.

Aku rindukan rumput-rumput tinggi menjulang dan lalang-lalang melintuk-liuk ketika dipuput bayu. Aku rindukan bunga-bunga lalang yang memutih yang begitu indah dari kaca mata kanak-kanakku. Betapa indah bermain buai atau masak-masak dekat pokok sena, ketapang, sentul, kenanga. Atau bermain kejar-kejar dekat pokok kelapa dan mangga. Memungut daun-daun kering yang berselerak atau bermain ‘perahu’ menggunakan daun pelepah kelapa dan upih pinang. Kini, tiada lagi daun-daun berselerak, tiada lagi bau bunga cempaka putih yang semerbak. Yang ada hanyalah pohon, bunga, rumput dan tumbuh-tumbuhan buatan bahan sintetik.

Seperti dicekup daripada filem-tilem Steven Spielberg, manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil sibuk berlari-lari anak dan bercakap. Tiba-tiba angin kencang melanda. Angin kencang melepaskan amarahnya berkali-kali dan manusia-manusia aneh itu tercerai-berai dan memaut-maut pohon-pohon plastik. Suasana kucar-kacir ini dibingarkan lagi oleh dekahan bota-bota raksasa yang menyeram dan menegakkan bulu roma.

Kelompok-kelompok manusia aneh mula muncul setelah angin reda dan menggelar diri mereka kelompok A, B, C, D, E, F sehinggakan Z. Kebanyakan mereka memiliki sejenis tanda di dahi bertulis ‘Akal Sihat’ dan tanda ini semakin bersinar apabila mereka bercakap, terutama apabila mereka bercakap besar. Dan seperti cerita-cerita penglipur lara yang klasik, tiap kelompok ini dibekali kesaktian. Ada yang berupaya terbang, seperti burung-burung kesayangan bota-bota raksasa. Ada yang memiliki cincin ajaib yang mudah menewaskan sesiapa sahaja dengan hanya menekan batu permatanya. Ada diberi pedang sakti yang dapat membunuh tanpa menumpahkan darah. Kelompok lain dianugerahi panah purba yang berupaya mengenai apa pun sasaran yang dihajatinya. Sedangkan kelompok yang lain pula dikurniai kuda semberani yang tiba-tiba menjadikan penunggang-penunggangnya panglima-panglima sasa. Pendek kata banyak perkara ajaib terjadi setelah angin kencang melanda Daerah Sekangkang Kera.

Aku dan Bayan melihat manusia-manusia aneh ini bergerak dan bergerak, bersorak dan bersorak dan begitu asyik dengan kelekaannya.

Seandainya tidak kulihat siapa yang bercakap, tidak mustahil akan kusangka inilah penjelmaan bota-bota raksasa. Kecuali saiz badan dan suara, manusia-manusia aneh ini saling tak tumpah seperti para bota. Dahi kelompok ini amat bersinar dan selain tanda ‘Akal Sihat’, terpamer juga tanda ‘Serba Tahu’ yang berkelap-kelip seperti lampu-lampu hari raya. Kepala mereka begitu besar seperti ‘Humpty Dumpty’ yang bila-bila masa seakan boleh berkecai. Kaki mereka amat pendek, terapung-apung dan tidak menjejak bumi. Lidah mereka pula berapi dan sering pula menghamburkan kaca dan candu. Anehnya, apabila mereka berucap, ujaran-ujaran itu menjadi seperti korus dan korus ini berulang untuk apa pun suasana.

Suatu kelompok pula gemar bermain pakau. Dan mereka pertaruhkan bukan sekadar harta dan wang malah benda-benda yang tidak ternilai. Anehnya, daun-daun pakau yang seharusnya dijaga rapi, telah mereka buka dan letakkan semua di atas meja, walaupun belum masanya berbuat begitu. Permainan itu begitu dangkal dan amatur dan tidak seorang pun ahli kelompok ini memiliki wajah pemain poker. Akhirnya, seperti watak-watak daripada filem ‘Tiga Abdul’, kelompok ini satu-satu dijual dan pembelinya, tidak seperti P.Ramlee alias Abdul Wahub, adalah teramat licik dan pintar.

Sekumpulan manusia aneh yang lain mula berteriak seolah-olah mencanang atau melelongkan sesuatu. Rupa-rupanya ramai kelompok di sini beradu hantuk kepala. Darah mencurah-curah dan di tengah-tengah kehuru-haraan itu, terdengar berbagai suara:

“Kami hebat,” kata kelompok A.

“Kami lebih hebat,” celah kelompok B.

“Tapi kamilah yang paling hebat,” sampuk kelompok C dan seterusnya sehingga kelompok Z. Kepala-kepala terus berhantuk dan berkecai disertai sorak sorai. Dan suara berantakan serta bunyi berhantukan tidak putus terdengar di tengah-tengah lecakan darah.

“Kau mahu biarkan, biarkan, begitu?” soal Si Luncai tiba-tiba menjelma di sisiku.

“Kau mahu mereka terus terjun dengan labu-labu?” lagi soal Si Luncai dengan marah-marah. Aku tidak mahu biarkan, sampai ke akhir hayat pun tidak akan kubiarkan. Tapi orang halimunan seperti kami tidak ternampak oleh sesiapa kecuali mereka yang berilmu firasat. Bersama Bayan, Pari-pari, Kancil, Pak Pandir, Mat Jenin, Abu Nawas, Dang Anum, Hang Nadim dan Shehrezad, aku telah cuba melakukan sesuatu tetapi alam halimunan ini adalah pendinding terbesar. Manusia-manusia aneh sukar kami leraikan dari berhantukan dan berantakan selamanya.

Di suatu sudut, sekelompok manusia aneh giat membina rumah panggung dan surau. Mereka kumpulkan kayu, batu, simen dan lain-lain bahan. Tetapi ketika rumah panggung dan surau in hampir siap, mereka bersungguh-sungguh merobohkannya. Dan seperti suatu upacara, mereka ulangi mengumpul bahan dan meruntuhkan. Di pinggir-pinggir Daerah Sekangkang Kera awang-awang kenit gusar menanti terbinanya rumah panggung dan surau. Dan tiap kali harapan mereka mengembang bagai belon, ia tiba-tiba dikempiskan. Sayangnya awang-awang kenit yang berkebolehan ini telah disumpah tujuh keturunan seperti Megat Seri Rama dari mendekati, atau lebih tepat lagi, menjadi pembina di Daerah Sekangkang Kera.

Bota-bota berdekah dan berdekah dan menambahkan lagi kengerian di negeri Antah Berantah. Tiba-tiba muncul sekumpulan manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil asyik menari dan menari, menyanyi dan menyanyi. Ada yang menari tarian patah, ada yang menggayakan lambada. Pendek kata, apa pun irama yang diperdengarkan, mereka akan terus menari. Terdengar lagu-lagu rap, blues, jaz, reggae, heavy metal, rok dan lain-lain. Mereka begitu asyik menari sehingga terlupa, tidak seorang pun di kalangan mereka pandai memainkan alat-alat muzik. Lantas, mereka hanya boleh menari, tidak boleh menentukan jenis muzik dan tari.

Komputer Mahabesar itu boleh melakar berbagai program firdausi yang unik. Dan kelompok di sini menjadi demikian bahagia kerana formula ajaib mereka miliki dengan hanya menekan pada kekunci komputer. Awang-awang kenit yang tahu fungsi sebenar sesebuah komputer, menjadi semakin kecewa. Dan formula ajaib itu diulang-ulang pada lain-lain komputer. Semakin diulang semakin sempurna cetakan firdausinya. Dan seperti cerita ‘Baju Baharu Sang Maharaja’, ramai yang menghebohkan cetakan istimewanya, yang sebenarnya hanyalah suatu silap mata ala David Copperfield.

Bunglon? Aku tidak tahu jenis apa manusia kelompok ini. Tiba-tiba mereka berkepala besar berbadan kerdil, tiba-tiba mereka berbadan besar berkepala kerdil dan kadangkala mereka menjadi manusia biasa yang tidak berstatus awang kenit. Lidah mereka seakan lidah reptilia dan suara mereka mudah berubah, seperti turun-naiknya pasaran saham di bursa. Kelompok ini mahir menggunakan kekata dwi-makna yang sering membuat pendengarnya terpinga-pinga. Dan seperti kumpulan Ali Baba dan ‘The Knight Templars’, mereka juga menggunakan bahasa rahsia yang membolehkan terbukanya pintu-pintu syurgaloka.

Jauh di suatu ruang, terhimpun manusia-manusia aneh yang amat gemar memakan. Tiada suatu pun makanan yang ditinggalkan sehingga perut mereka buncit, nafas sesak dan mereka amat gemar bercakap. Kemudian, setelah perut membusung, mereka mengajak kelompok-kelompok lain beradu gusti sumo. Gelanggang-gelanggang yang didirikan begitu sesak dan mual dipenuhi darah dan muntah para penggusti sumo.

Terdapat pula kelompok yang berpesta dan terus berpesta sedang yang lain pula bertapa dan terus bertapa, seolah-olah segala yang berlaku di Daerah Sekangkang Kera tidak sedikit pun mencuit hati mereka. Dan di pinggir-pinggir berkumpul awang-awang kenit yang memiliki ilmu firasat tetapi diperkecilkan kebolehan mereka oleh bota-bota raksasa.

Bayan dan kawan-kawanku yang lain begitu sugul menyaksikan penghuni negeri yang diceritakan oleh sang penglipur lara. Tiba-tiba, tanpa sebarang amaran empangan dipecahkan dan air melimpah-ruah ke hampir seluruh negara. Penghuni Antah Berantah amat cemas, kecuali mereka yang mengetahui muslihat bota-bota yang masih berdekah-dekah.

Ada yang memanjat pokok-pokok plastik, ada yang berenang dan ada yang terus hanyut. Ramai yang teringatkan cerita banjir besar pada zaman Nabi Nuh. Ada kelompok berkata glasier telah mencair, ada yang berkata mentari kini terbenam di Timur dan ramai pula yang yakin letupan berlaku di dasar-dasar laut yang menghamburkan air secara mengejut.

Di tengah-tengah kekacauan itu, puluhan armada muncul bagi menyelamatkan penghuni Antah Berantah alias Daerah Sekangkang Kera.

“Jangan naik !” laung Hang Nadim sekuat tenaga. Dan beberapa makhluk lain, termasuk pari-pari, awang kenit dan watak-watak daripada sastera lama turut melarang manusia-manusia aneh itu daripada menaiki armada lepasan bota-bota.

“Ini bukan kapal seperti dalam cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa,” sampuk Kancil pula.

“Armada itu ada bom jangka. Jangan naik, jangan !!!”

Tetapi semakin ramai yang menaiki armada-armada itu dan bersyukur mereka telah selamat.

Di suatu kawasan yang belum dilanda banjir, awang-awang kenit giat menggali bahtera-bahtera purbakala yang tersimpan di perut bumi. Bahtera-bahtera itu agak besar tetapi dari kaca mata manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil, besarnya hanyalah sekadar perahu, tiada tandingan bagi kecanggihan puluhan armada.

“Naik! Lekas naik!” gesa awang-awang kenit.

Tetapi yang menaiki bahtera hanyalah kalangan mereka dan sebilangan kecil manusia-manusia aneh Daerah Sekangkang Kera. Armada-armada pula penuh sesak dengan manusia-manusia yang terus berasak-asak. Bota-bota raksasa semakin nyaring dekahannya melihatkan perihal manusia.

Boom! Boom! Boom! Letupan-letupan bergegar kuat, lebih hebat daripada ledakan peluru berpandu ‘patriot’ dan ‘scud’. Ada armada berkecai dan bahtera pula banyak yang terkena serpihan. Aku dan makhluk-makhluk lain semakin teperangkap dalam dimensi halimunan yang menyukarkan kami bertindak.

Di sana sini mayat terapung dan bau ledakan menusuk dada. Api menyala bagai lidah-lidah raksasa dan kepulan asap-asap jelaga menebali angkasa.

Boom! Boom! Boom!!! Manusia-manusia aneh masih berpusu-pusu menaiki armada. Para bota berdekah-dekah.

“Jangan!!!” kulaung sekuatnya. “Jangan naik armada, naik bahtera!!”

Tapi jeritanku seakan tidak didengari sesiapa. Seorang penglipur lara akan hanya meninggalkan negeri Antah Berantahnya apabila subuh menjelma, tapi awang-awang kenit, makhluk-makhluk halimunan dan manusia-manusia aneh bakal kehilangan segala-galanya.

JAAAAAAAAANNNNGGGGAAAANNNNNNN!!!!!!!!!

“Han, Han,” suara-suara yang kukenal memanggil-manggil namaku. Aku masih berada dalam alam yang dipenuhi banjir, armada, bahtera, manusia-manusia aneh, awang-awang kenit, watak-watak purba serta dekahan bota-bota raksasa.

“Jangan naik armada! Jangan!!!”

“Han, mengucap, mengucap, Han,” suara-suara cemas masih lagi terdengar.

Bilik asrama di Pusat Kajian Fort Canning Hill ini terang-benderang dan menyilaukan mataku yang baru mula dibuka. Masih lagi kudengar dekahan bota-bota raksasa ketika seorang angkasawan, bertanda-nama ‘Sang Nila Utama’ mengacu-acu keris lasernya dan bertempik “Allah!”

Ditulis : 18 – 28 Mac 1991
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Fahamkah Anda Mengenai Istilah Kita?

Bagaimana orang mengenali anda sebagai orang Singapura? Selain kad pengenalan anda, ada beberapa ciri yang menunjukkan kita orang Singapura. Satunya, kita kalau bercakap, agak cepat dan seringkali kurang sabar. Lagi, kalau ternampak benda-benda yang kita anggap murah, dengan ghairah kita ‘bercicip’ — sebab kita suka cakap ‘cheap, cheap’, lantas orang Johor panggil kita ‘burung’. Dan satu lagi, adanya ‘istilah-istilah’ kita, walaupun ada sebahagiannya boleh juga digunakan oleh sesiapa, selain orang Singapura.

Kawan-kawan Sri di KL sering mengusik bila Sri bercakap dengan mereka, terutama bila Sri ghairah bercerita kisah ini dan itu. Kenapa? Sebab, Sri, seperti kebanyakan orang Singapura, bila bercakap Sri akan selang-selikan kata-kata yang asing bagi mereka misalnya: ‘itu jam’ untuk ‘pada waktu/masa itu’ dan ‘dia/kita orang’ untuk ‘mereka/kita’ selain satu dua ‘pembawaan’ yang membuat mereka teka, kalau bukan pun orang Singapura, Sri sekurang-kurangnya, ‘orang Selatan’ iaitu orang Johor! Dan kita di sini pula senang juga mengenal orang Melayu yang bukan orang Singapura melalui pakaian mereka dan tentunya beberapa istilah mereka yang unik.

Waktu zaman kanak-kanak, Sri ingat betapa Sri dan adik-beradik Sri selalu ketawakan sepupu-sepupu kami dari KL kerana cara mereka bercakap. Bahasa mereka lebih ‘berlagu’ dan ada istilah mereka yang kita anggap ‘aneh’: sesuatu yang kita kata tak baik atau tak senonoh dan tak meriangkan, mereka selalu kata ‘tak elok’dan ‘tak seronok’. Lantas kekata ‘tak elok’ dan ‘tak seronok’ inilah kita gunakan untuk mengusik mereka…

Pada tahun 60-an dan 70-an timbul beberapa istilah yang agak unik. Salah satu daripada istilah itu ialah ‘t s t’ iaitu ‘tahu sama tahu’. Nanti ketika anda sedang bercerita bab-bab ‘hangat’, anda takkan teruskan, tapi mengakhiri dengan ‘ialah t s t…..’ Timbul pula bahasa ‘f’ iaitu anda tukarkan semua huruf pertama dalam ayat anda kepada huruf ‘f’ terutama bila nak sampaikan rahsia dan lain-lain. Contoh: faku fahu fengok fayang fi Fueen (aku mahu tengok wayang di Queen). Gadis dan wanita, bukan sekadar dianggap ‘jambu’ (tentunya bukan jambu batu!) tetapi ‘bergetah’. Sri hairan binti ajaib ketika pertama kali mendengar ‘istilah’ ini — agaknya mereka fikir, wanita itu macam plastikkah atau macam ada gam? Dan di tengah-tengah keadaan ‘bergetah’ ini timbul pula frasa ‘ada ur kah?’ yang bermaksud, ada orangkah? Ini selalu digunakan untuk mengusik: ada ur kah di sebalik tandas, maklumlah tandasnya tak macam tandas zaman sekarang. Atau adakah sesiapa yang mengikut anda, terutama bila anda nak jumpa ‘matair’ atau ‘mambang’ anda. Katanya istilah ‘ada ur kah’ ini macam tiba-tiba tak lagi digunakan kerana ada orang (orang besar) rasa tersindir kerana dia berkulit gelap!

Masihkah anda ingat lagu ‘Ikan Kekek’ nyanyian Ismail Haron dan Anita Sarawak? Ada tiga frasa dalam lagu tersebut yang kemudiannya menjadi ‘istilah’ kita: ‘mana esai’ (mana boleh), ‘tengok natural beauty’ (tengok kecantikan semula jadi: selalu untuk orang yang suka ‘main mata’ dengan yang cantik/kacak) dan ‘balik kau kubuat tapai’ (nanti dia akan ‘dikerjakan’). Masa Rafeah Buang lebih awal menyanyikan lagu ‘Si Dia’, dengan cepat pula kita mengikut: bila cakap pasal matair, kita gunakan istilah ‘si dia’ konon-konon mak bapak kita tak tahulah… Dan bila Sharifah Aini menyanyikan lagu ‘Temanku’ dan gunakan kata ‘jejaka’ bagi teman lelakinya, kita juga terikut sama…

Ada istilah-istilah timbul tanpa kita mengetahui asal usulnya. Bila bermain bola, kita disuruh ‘hop’ (tangkap) tapi istilah ini bukan pula istilah Melayu, Cina, Tamil ataupun Inggeris. Dan ada orang pula, bila kita cakap yang serius dia buat tak ‘pot’ atau buat ‘dak’ saja (maknanya buat tak kisah). Selain itu ada istilah: ‘I say man’ (macam ‘alamak’) dan ‘es saba’ (macam ‘boleh tahan’): rasa-rasa Sri istilah ini timbul daripada sebuah lagu Hindi 60-an: ‘es saba mein karu, es saba tum karu…’ nyanyian Md. Rafi. Tapi ada juga orang boleh ‘naik peng’ (naik marah) bila mendengar lagu Hindi sebab suaranya tak ‘kencang sih’ (hebat)… Sesekali bila ada sesuatu yang amat menggeramkan, nenek Sri akan kata ‘suar’ tanpa menerangkan maknanya. Hanya pada tahun 80-an, kebetulan Sri membaca kamus bahasa Parsi, barulah jelas: macam sekarang kita Arabkan (khinzir), dulu rupa-rupanya kita Parsikan si kaki pendek tu…

Seorang mak cik Sri paling tidak ‘kerek[charac]/aksyen [action]’ (sombong) dan pandai membuat dan meragamkan istilah. Melihat kita suka berkhayal, dia kata kita ‘khayalome’. Bila kita terkejut, dia kata kita ‘terperanjat beruk’, bila sesuatu begitu hebat katanya ‘terhantuk benjol’…dan bila ada orang tunjuk lawa, katanya macamlah dia ‘terror-merror’ padahal orang itu taklah ‘stylo-mylo’… Bila sesuatu filem/rancangan TV dan lain-lain itu tak bagus, katanya itu semua ‘pekak badak’. Kalau terlalu sangat anda cekik darah, anda sememangnya ‘penyap’ (penyapu!).

Dan anak-anak kita kini beragam pula ‘istilah’ mereka. Bila ada sesuatu yang mempesona/baik/bergaya istilahnya ‘gerek’. Bila teruk betul atau sedikit selenge, katanya ‘kental’… Dan banyak lagi yang tak boleh Sri tulis di sini…

I say man, semenjak dua menjak ini, fahamkah anda istilah-istilah kita kini …?

Ditulis : 27 September 2000
Tersiar : Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, pada 8 Oktober 2000
Tajuk Asal: ‘Istilah-Istilah’ Kita
Tulisan: Rasiah Halil.

Sebuah Tanah Air Yang Sri Inginkan – Ditulis Pada 27 Julai 2005

Menjelang hari kebangsaan Singapura, biarlah Sri mencatatkan beberapa pandangan mengenai tanah air Sri, tetapi hati Sri dan adik-beradik Sri selalu sayu setiap menjelangnya hari kebangsaan kita. Ibu kandung Sri meninggal dunia pada hari kebangsaan Singapura.

Beliau meninggal dunia pada usia muda, hampir 48 tahun. Sesuatu yang Sri pernah terkilan mengenai ibu Sri ialah Sri tidak mengenalinya begitu lama. Sri tinggal bersamanya hanya selama 4 tahun, dari Mei/Jun 1964 sehingga Jun 1968, setelah dibesarkan oleh nenek Sri selama 8 tahun, dan kemudian ibu bapa Sri berpisah. Dan terasa dalam sekelip mata sahaja beliau meninggal dunia pada pagi 9 Ogos 1975. Dahulu Sri juga musykil kenapa beliau membezakan dan tidak menyayangi Sri sebagaimana anak-anaknya yang lain. Hanya setelah dewasa baru Sri faham bahawa kerana adanya ‘emotional baggage’ beliau terhadap nenek Sri lantas sukar baginya menerima anak yang dibesarkan nenek Sri, ibu saudaranya yang membesarkannya sebagai anak sendiri. Dan wajah Sri pula ada mirip wajahnya, walaupun Sri lebih tinggi dan besar dan warna mata Sri berbeza daripada warna matanya. Emotional baggage ini hanya sedikit terlerai pada tahun-tahun terakhir hayatnya, lantas mudah sedikit kami berhubungan walaupun Sri lebih dianggap bagaikan salah seorang saudara maranya, bukan anaknya. Kerana beliau ibu Sri, tak dapat tidak beberapa perawakan, selain gennya pasti Sri warisi. Sayangnya Sri terhadap ibu Sri berbeza dengan sayangnya Sri terhadap nenek Sri. Namun, bak kata seni kata sebuah lagu, seorang ibu, baik ibu kandung, nenek atau wanita yang membesarkan kita kasihnya membawa ke syurga…

Sebagaimana seorang ibu, sebuah ibu pertiwi juga sukar bagi kita terputus dengannya, walaupun kita menginap di tempat yang jauh darinya atau kita tidak lagi menjadi sebahagian daripada warganya. Banyak tempat baharu dan menarik mungkin telah kita huni, tetapi kalau ikatan kita lebih mendasar pada tanah tumpah darah kita, akan tetap ada kilasan-kilasan masa kita membesar bersamanya. Lagipun hari kebangsaan kita bukanlah sudah beratus tahun disambut; dalam usia menjelang 40, rata-rata negara ini masih muda dan perjalanannya masih jauh. Bagi mereka yang lahir sebelum 1965 misalnya, banyak lagi siratan sejarah yang telah mereka lalui, sebagai individu dan masyarakat. Dan tidak semuanya terakam dalam buku-buku sejarah atau diketahui dengan mendalam oleh semua orang.

Walaupun berusia muda, sejarah negara ini telah lama berakar di tanah sendiri dan sekitarnya. Sesuatu yang Sri inginkan, biarlah negara ini lebih menanjapkan warganya untuk lebih mengakar walaupun tidak semua warganya bijak atau kaya. Sri berkata begini kerana berbanding dengan tahun-tahun 50-an dan 60-an misalnya, jurang perbezaan rakyat kita seolah-olah semakin ketara. Mungkin dahulu tidak banyak orang ‘kaya aset tapi miskin wang’ kerana kebanyakannya miskin aset dan wang, tetapi keterikatan sesama kita jauh berbeza daripada sekarang. Anehnya dahulu dalam beberapa kelompok perumahan dan daerah, banyak juga tertanam rasa kebersamaan kita. Dan jurang ini kadangkala diburukkan lagi oleh sikap tergesa-gesa dan budaya ‘makanan segera’ (fast food) kita. Kita mahukan segalanya cepat sehingga yang muncul nanti kurang berkhasiat bagaikan makanan-makanan segera. Sri yakin semua yang baik itu mengambil masa tetapi kerana sikap tergesa-gesa kita, sering kita tidak pandai membezakan keterikatan yang sebenar pada negara setitik merah ini dengan desiran-desiran gemersik dari lalang-lalang yang mudah ditiup angin. Apakah seorang anak kurang menyayangi ibunya kerana bagaikan watak Cordelia dalam drama King Lear tulisan Shakespeare, dia tidak pandai memadui kata, tapi ikhlas menyayangi tanpa mengharapkan apa-apa?

Sejak kecil Sri selalu menganggap aset terbesar manusia adalah dirinya. Dan memandangkan negara kita yang kontang sumber ini, betapa terasa kebenarannya. Dan Sri berharap biarlah kita benar-benar mem-bangunkan potensi dan kebolehan rakyat negara kita. Memanglah sekarang dunia kita semakin global, dan rakyat kita dan warga lain mudah berpindah ke mana sahaja. Tetapi siapakah yang mudah berpindah atau mahu berpindah? Yang ada hanyalah Si Ali, Ah Seng, Gopal, Jim dan lain-lain yang harus terus menetap di sini. Kalau mereka terasa begitu sukar menggilap potensi dan kebolehan mereka, bagaimana, ya? Memanglah sebilangan warga kita pernah berasal dari daerah sekitar atau negara asing tetapi sejak mencapai pemerintahan sendiri pada 1959, kan sudah lain ceritanya. Walaupun negara mana pun boleh mengalu-ngalukan warga asing, tapi jangan pula anak watannya terasa bagaikan tersepit di negara sendiri. Orang tentu boleh memberi kita permata dengan serta merta, tapi rasa Sri pencarian kita untuk memunculkan permata di kalangan rakyat kita lebih bermakna. Bukalah pintu dan tingkap untuk membolehkan peredaran udara yang lebih sihat tapi jangan sampai penghuni rumah kita kesejukan atau kepanasan kerana kita tidak bijak meneka pertukaran suhu di kampung atau estet perumahan kita. Rakyat dan anak kita yang susah senang melalui apa pun kegetiran persekolahan, pekerjaan dan lain-lain, yang menjalani perkhidmatan negara dan menjalani latihan kerahan, takkanlah tak mahu pandang atau kita pandang sebelah mata akan potensi dan kebolehan mereka? Sri yakin banyak lagi yang boleh dikembangkan dan kita ada orang-orangnya kalau kita lebih menyeluruhi rakyat kita tanpa bertindak bagaikan pusat-pusat makanan segera.

Bak kata Pak Zubir Said dalam lagunya ‘Semoga Bahagia’:

Capailah lekas cita-cita
pemudi pemuda
supaya kita ada harga
di mata dunia….

Dan ‘harga’ sebenarnya akan timbul bila lebih banyak potensi rakyat kita dikembangkan dan digilap dengan saksama dan tekal.

Penulis Jung Chang menulis karya-karya Wild Swans dan Mao: The Unknown Story memberi gambaran yang berbeza daripada Utopia yang ingin diterapkan oleh pihak komunis China. Pandangan Jung Chang berlainan tetapi ini tidak bermakna beliau membenci rakyat jelata atau negara asalnya. Yang ditegur adalah beberapa perkara; dia menegur kerana sayang, bukan kebencian. Demikian juga George Orwell pernah berhujah dalam eseinya ‘My country, right or wrong’, bahawa kerana kita sayangkan negara kita, kita menegurnya, kerana mahu menjadikannya lebih baik lagi. Sri harap, menjelang angka kematangan ke-40nya, negara kita akan lebih terbuka kepada pandangan-pandangan yang mungkin berbeza tetapi tidak berniat jahat. Sebagaimana dalam keluarga mengiyakan sesuatu itu memang mudah, kita perlu juga menyediakan lebih banyak ruang agar anggota keluarga kita boleh berbalah pendapat, tetapi akhirnya tetap mahukan kesejahteraan keluarganya. Demikian juga bagi sebuah negara bernama Singapura.

Ditulis: 27 Julai 2005
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 7 Ogos 2005
Tajuk: Sebuah Tanah Air Yang Sri Inginkan (Tajuk dan rencana yang disiarkan oleh pihak Berita Minggu yang berlainan, hilang dalam simpanan saya).
Tulisan: Rasiah Halil.
[NB: Sila baca juga tulisan-tulisan saya mengenai ibu kandung saya dan Singapura yang tersiar pada 9 Ogos 2014 dengan tajuk-tajuk berikut: ‘Hari Kebangsaan Singapura Dan Ibu Saya’ dalam ‘Catatan’, sajak-sajak ‘Warkah Untuk Ibu’ dan ‘Terlupa’ dalam ‘Sajak’ dan ‘Biarkan Ibu Pertiwi Sentiasa Di Hati Kita’ dalam ‘Ruangan Sri Anggerik’]

7 Kuntum Sajak: Kenangan 9 Ogos 1975, Keresahan Anak Kota, Kepada Kawan, Serambi, Keterasingan, Tembuniku dan Kata Mahaguruku

Kenangan 9 Ogos 1975
(Mengenang ibuku Halimah bte Md Dali/Kassim)

Kau adalah sebahagian daripada sejarah
yang kupanggil pengalaman
paling sukar untuk dilupakan.

Aku pun menjadi sebahagian daripada sejarah
yang tak pernah kaukenal
atau faham.

Lalu bertemu kedua sejarah
di pentas bernama kehidupan
dengan keasingan & perpisahan:
aku pemerhati yang cuba memahami
watak-watakmu yang berlainan
tapi seringkali gagal.
Kau pelaku paling kaya dengan pengalaman
yang seringkali gelisah
& arus perngalaman membawa kau ke dasar.

Setelah dua tahun
bersama al-Fatihah & doa
aku mula belajar memaafkan
pengalaman & sejarah.

Ditulis: 9 Ogos 1977
Asrama Dunearn Road, Universiti Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Keresahan Anak Kota

Entah berapa kali kau menangis, anak kota,
ketika nafas harapanmu dicekik kenyataan-kenyataan curang
betapa kau dilemparkan ke sebuah lembah kekontangan
di mana irama kepalsuan berdendang riang.

Di sini hidup ditimbang dengan neraca-neraca kebendaan:
berapa banyak rumah, kereta, lukisan abstrak, teman kenamaan,
sijil & kertas kelulusan yang kaupunya
kau hanya perlu jadi ‘insan’ dalam perkataan bukan perbuatan
kerana intelekmu membuat kau lebih daripada seorang insan
& kau tidak perlu jadi wali untuk mendekati Allah
cukup sudah tasbih-tasbih rok memuji kebesaran-Nya.

Kau juga dipaksa mengekalkan adat resam
kerana bangsa yang beradab adalah bangsa
yang mempunyai nilai peradaban
tapi arus kemajuan memaksa kau memilih peradaban Barat
yang membuat kau segan
berbaju kurung atau bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

Di kota ini juga kau tidak boleh membantah
kerana bantahanmu adalah bantahan anak mentah
lagipun kemajuan mesti dicapai tanpa menoleh ke belakang
meskipun di belakang kawanmu mati telanjang.

Seorang anak kota berjalan di akhir senja
kota ini telah meragut nilai kemanusiaannya.

(To feel is to suffer: Untuk berasa adalah untuk menanggung derita)

Ditulis: Awal Ogos 1974
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kepada Kawan

Kekuatan itu terbuhul daripada gigihnya usaha
bagai tiram yang sabar melahirkan mutiara
andai kakimu parah meniti perjalanan
usah mudah kecewa, biar kerikil
& kaca merencahkan pengalaman.
Lihat, pagi ini masih bening & basah
seketika, suria menjelma & langit cerah
& bagai pohon-pohon, akan kita kenal
betapa luasnya angkasa.

Ditulis: 1 Ogos 1983
Universiti Nasional Singapura, Kent Ridge
Tulisan: Rasiah Halil.

Serambi

Serambi itu memanggil kita ketika sepi, seperti masa & suasana
di kampung dahulu. Kita pun terasa keluasannya, duduk-duduk di
sana, menanti budak menjual goreng pisang, minum teh atau sekadar
bersembang di kala petang.

Kita mula rehat sewaktu itu, menjadi akrab, mengenal siapa pun
yang datang bertandang. Dan gambaran serambi mengingatkan kita
kepada rumah panggung, halaman yang ditumbuhi berbagai pohon,
lauk-pauk Melayu, ayam itik berkeliaran, permainan batu seremban,
canang, ting-ting, sepak raga, rounders, guli, bola hentam,
pohon-pohon kelapa yang beralun, suasana riuh & riang, lagu-lagu
Melayu, Inggeris, Arab, Hindustan, yang menemani kita hingga
menghilangnya asar. Ia mengingatkan kita kepada suatu keramahan,
tanpa perhitungan, bahawa kita bersaudara, kerana duduk
bersembang & membesar di sana.

Aku merindui sebuah serambi yang lama tidak kutemui di Masjid
Omar Kg Melaka, Katong, Lorong Engku Aman, Geylang Serai, Lorong
G, Sims Avenue, Goodman Road, Kg Wak Tanjong, Jalan Kobis &
Lorong L, Telok Kurau Road. Apakah kau menjumpai serambi itu di
sana, atau tiadakan lagi terjelma sebuah serambi dalam kehidupan
kita. Betapa ia mengingatkan kita kepada suasana & rumah
kampung, dengan persekitarannya yang santun, halaman luas,
keramahan yang ikhlas, dan eratnya hubungan manusia, alam, kehidupan.

Kalau nanti kautemui serambi itu di Concord atau West Covina,
beritakanlah padaku. Aku akan ke sana, menemanimu duduk di
serambi itu, sambil minum teh, mendengar lagu-lagu silam,
menyaksikan banjaran Gunung Diablo atau St. Gabriel, melihat
keindahan bunga-bunga mekar, pohon-pohon lemon, limau, sambil
kita bersembang.

Dan serambi itu akan selalu mengingatkan kita kepada keindahan
silam & kampung halaman.

Ditulis: 21 Jun – 26 September 1993
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Keterasingan

Tiada yang lebih pedih
daripada keterasingan
kewujudan yang hilang
makna yang dicairkan
& paksi hidup terbenam
pada dataran kesangsian.

Sebuah pencarian panjang
adalah igauan
mimpi & mati
maruah & harga diri
& hidup adalah hukuman
pada tindihan ‘dosa’
‘kesalahan’
‘alpa’
sedang tali gantung menanti
di mana-mana.

Tiada yang lebih sepi
daripada keterasingan
bila penafian lumrah
& kelainan berfikir
adalah kesalahan terbesar.

Ditulis: 5 September 1993
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.
[Sajak ini ditulis berdasarkan kertas kerja yang saya sampaikan dalam seminar di UKM mengenai novel Md Latiff Md, Dalam Keasingan, pada September 1993, yang direncahkan juga oleh hal-hal lain]

Tembuniku

Bersihkan tembuni ini
serta pusat
campurkan garam
campurkan asam
masukkan ke belanga kecil
gali lubang di bawah pohon
tanam belanga
biarkan
musim bertukar
bayi membesar
tembuni itu tetap di dasar.

Di bawah sebatang pohon
suatu masa, di timur Singapura
nenek menanam tembuni itu
setelah membidani ibu
kerana yakin
asam, garam, uri & pusatku
akan selalu mengingatkan
tanah tumpah darah
kehidupan yang direncah
& hati yang akan sentiasa kembali
walau merantau ke seluruh dunia.

Ditulis: 5 April 2002
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kata Mahaguruku

Kata mahaguruku
jadilah kambing yang makan rumput
bukan yang makan kertas
rumput itu berkhasiat
cita rasa ilmumu harus ditingkat
jangan memilih hampas.

Kata mahaguruku
jadilah pohon teguh
jangan jadi kangkung
melata di mana-mana
konon besar manfaat
tapi berlendir & kurang khasiat.

Kata mahaguruku
jadilah pohon umpama kelapa
jangan jadi kangkung
jangan jadi kaduk naik junjung
kerana masa itu jauhari
memaknakan yang berilmu & lompong
yang tawaduk & sombong
yang mementingkan kemaslahatan umum
atau mencari untung.

Kata mahaguruku
kangkung itu mudah tumbuh
merayap & melata-lata
mudah dikumpul, dijual,
tapi kelapa mengambil masa
membesar, memberi jasa
kepada semua.

Kata mahaguruku
bila kangkung di mana-mana
waspadalah
yang berkhasiat akan terpinggir
& yang lompong dianggap terbaik.

Kata mahaguruku
orang berilmu itu merendah
beradab, jujur, gigih, ikhlas,
bagai pohon teguh melindung
memberi pelbagai bunga & buah
bukan kangkung nan angkuh
sekadar merayap & melata.

Ditulis: 5 Mei – 21 Julai 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.