Archive | March 2015

Catatan Kecil 4 – Mac 2015

Mendiang Encik Lee Kuan Yew: 16 September 1923 – 23 Mac 2015 LKY MudaLKY Tua

Cadangan saya ingin menulis mengenai kenangan saya membesar dengan lagu-lagu Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini tertunda lagi kerana beberapa sebab, terutamanya terbatasnya masa dan gangguan kesihatan saya. Saya sebenarnya ingin menulis mengenai Allahyarhamah minggu ini – sebahagiannya telah pun siap. Tetapi ini saya tundakan lagi untuk minggu ini kerana pagi ini ada berita yang disiarkan daripada Pejabat Perdana Menteri Singapura (Prime Minister’s Office/PMO).

Hari ini rakyat Singapura dan dunia diberitahu mengenai meninggalnya perdana menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew pada jam 3.18 pagi tadi. Mendiang telah dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (Singapore General Hospital/SGH) sejak 5 Februari lalu. Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, anak mendiang Encik Lee Kuan Yew, mengumumkan Singapura akan berkabung selama 7 hari dari 23 sehingga 29 Mac 2015.

Bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga 70-an terutamanya tentu sukar melupakan seorang seperti mendiang. Dan hari ini dan hari-hari seterusnya dalam tempoh berkabung ini, banyak cerita mengenai mendiang di saluran-saluran radio dan televisyen Singapura. Saya hanyalah seorang penyair dan penulis serta bukanlah orangnya yang seharusnya menulis mengenai mendiang kerana ramai yang lebih layak melakukannya. Dan blog saya ini bukanlah saluran politik mana-mana pihak – saya hanya mencatatkan kenangan dan keprihatinan saya mengenai isu-isu yang lebih saya ketahui dan/atau akrab sahaja.

Rakyat Singapura generasi tahun-tahun 50-an sehingga 70-an mempunyai pelbagai kenangan membesar dan dikesani dasar-dasar pemerintahan mendiang Encik Lee Kuan Yew. Beberapa perkara yang boleh dijadikan iktibar ialah kesungguhan, disiplin, sikap tidak ambil lewa (not taking things for granted) dan kebolehan mendiang sama-sama membangunkan sebuah Singapura yang tiada sumber semula jadi menjadi negara yang maju.

Lama sebelum Singapura merdeka pada Ogos 1965, pulau ini terkenal sebagai pusat pendidikan, penerbitan akhbar, buku dan majalah, berpersatuan, perdagangan, filem dan lagu dan sebagainya. Membaca buku-buku dan tulisan-tulisan Mohd. Taib Osman, Ismail Hussein, Hamzah Hussin, Keris Mas, A. Samad Ismail, A. Samad Said, William Roff , C.M. Turnbull dan beberapa orang lagi memberi gambaran sedemikian. Sekadar contoh, beberapa orang ternama dari rantau ini, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed dan Adibah Amin, selain mereka yang berkedudukan di Negara Brunei Darussalam juga terdidik di Singapura lama sebelum Singapura merdeka. Mendiang Encik Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya sama memajukan ‘jenama’ Singapura yang sudah terkenal itu ke mercu tanda yang lebih tinggi lagi.

Mungkin yang terbaik boleh kita pelajari daripada kehidupan mendiang dan para pemimpin generasinya ialah belajar berdikari dan menakat (survive) dalam keadaan yang sukar untuk berbuat demikian – dan kita, siapa pun kita, berupaya keluar dari lingkaran apa pun kesukaran yang kita hadapi jika kita lebih fokus dan tidak berputus harapan untuk menjadikan kenyataan sesuatu yang dianggap mustahil, sebagaimana Singapura pada awal kemerdekaannya dahulu. ‘Jenama’ Singapura kini semakin terkenal tetapi janganlah pula kita ‘terkenal’ kerana kesombongan, sikap serba tahu kita serta memandang rendah orang lain – sesuatu yang tidak seharusnya menjadi ‘jenama’ kita sebagaimana ini bukan impian rakyat dan pemimpin Singapura, termasuk mendiang Encik Lee Kuan Yew, pada tahun-tahun 50-an dan 60-an duhulu.

D.Y.M.M. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Dimahkotakan Pada 23 Mac 2015 Bersama Permaisuri Johor, D.Y.M.M. Permaisuri Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah

Sultan Johor 1Sultan Johor 2Sultan Johor 3

Hari ini juga merupakan hari kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sebagai Sultan Johor yang kelima. Kali terakhir istiadat kemahkotaan sebegini diadakan ialah pada 10 Februari 1960, semasa Singapura belum lagi merdeka. Kerajaan Johor bukanlah kerajaan baharu malah berkesinambungan daripada Kerajaan Melaka (dan ada juga kaitannya dengan kerajaan Singapura purba) dan telah wujud beratus tahun lamanya. Membaca Sejarah Melayu dan buku-buku sejarah mengesahkan hal tersebut.

Semoga rakyat Singapura dan Johor, dalam menerima berita kurang baik dan baik pada hari ini akan selalu belajar daripada sejarah untuk lebih membangunkan negara/negeri masing-masing dengan aman, makmur dan saksama, insya-Allah.

Ditulis: 23 Mac 2015

Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak : Hanyut

th (7)th (3)

Hanyut

Air setitik
tiadakan menandingi
samudera yang meliputi Bumi:
dakwat-dakwat kehidupan
pohon-pohon sebagai kalam
hanya sebaris menyurat
rahmat-Mu yang Maha Luas.

Kalau bukan Kau paksiku
ke manakah harus kutuju –
dalam segala keterbatasanku
dalam dosa-dosa membelenggu
aku terpinggir, terpinar,
jalan-Mu yang beraspal, tenang,
semberaniku ke titik awal.

Hanya air setitik
mampukah merenung ombak
menghitung arus
menyelam khazanah
hidup-hidupan nan sementara
& bila-bila boleh bertukar
angin liar
ombak menggila
laut tercemar
tsunami merajalela
sedang perahuku tidak sempurna,
bakal karam, hanyut,
mengharungi segala.

Aku hanya musafir, Tuhanku,
sering tersadung langkah
sering dijebak fatamorgana
sedang kafilah-Mu berkecapi
sayup, di kejauhan
mentamsilkan kembara
dari dunia hingga ke jannah.

Dalam hulur tarik kehidupanku
biarlah perahuku hanyut
hanya di sisi-Mu.

Ditulis: 10 – 16 Mac 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Pantun Budi

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tenang-tenang si air laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Bubu di pancuran bukit,
Taman-taman di seberang;
Budimu bukan sedikit,
Zaman berzaman dikenang orang.

Catatan Kecil 3 – Mac 2015

Minggu lalu saya dibuai pelbagai kenangan dalam kesibukan menyiapkan beberapa tugas, diganggu oleh kepenatan dan kesihatan yang tidak sebaiknya.

Pada 24 Februari lalu, sudah 3 bulan berpulangnya ibu saudara saya, Puteh Abdul Rahman, ke rahmatullah. Saya menghubungi sebilangan keluarga ibu saudara saya, menghantar pesanan ringkas dan juga gambar Allahyarhamah dengan beberapa orang, melalui aplikasi WhatsApp kepada mereka. Begitu cepat masa berlalu dan saya terasa ibu saudara saya masih lagi bersama, dan akan sesekali menelefon saya. Setiap kali melintasi estet perumahan Allahyarhamah atau tersua hal-hal yang terbiasa dikaitkan dengan beliau, hati saya terharu. Bukan perkara-perkara besar yang mengingatkan kita kepada seseorang yang telah tiada tetapi seringkali sekadar perkara-perkara kecil, yang merumuskan siapa sebenarnya orang tersebut kepada kita.

Ibu saudara yang saya panggil ‘Cicik’ ini tidak banyak bercakap orangnya. Tetapi ada peninggalannya seakan bersuara dan bergema. Semasa mengemas dan mengumpulkan peninggalannya untuk tujuan faraid dan pembahagian harta, ibu saudara saya seorang lagi dan sepupu-sepupu saya sekeluarga yang turut membantu, menemui cebisan-cebisan tulisan ibu saudara saya – yang membuat kami terharu. Allahyarhamah menulis mengenai pemergian suaminya, Busu saya, Abdul Ghani bin Abdul Kadir, dan beberapa hal yang lain. Yang paling mengharukan saya – Cicik saya menulis di sampul kecil berisi wang yang diberikan kepadanya sebagai cenderahati dengan doanya. Selalunya beliau menulis begini: ‘Diberi oleh anak-anakku atau ditulis nama si pemberi dan kadangkala ditulis juga kerana apa pemberian itu, misalnya kerana Hari Raya, dapat bonus, dapat CPF, duit saku, hari lahir dan sebagainya. Yang paling menyentuh saya – ibu saudara saya menulis ‘semoga diberkati Allah/semoga Allah memberkatinya’ – doanya untuk si pemberi tadi. Ini hanya kelihatan kecil tapi bila sepupu saya mengirimkan gambar-gambar cebisan tulisan pada kertas dan sampul kecil itu dan saya membaca tulisan ibu saudara saya dan doanya untuk mereka yang memberinya sedikit wang, saya menangis. Dan pada 24 Februari lalu, saya banyak terkenangkan Allahyarhamah dan Allahyarham Busu saya, suaminya. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh ibu dan bapa saudara saya. Amin.

Minggu lalu juga saya banyak terkenangkan nenek yang saya panggil ‘Mak’, yang membesarkan saya. Ketika baru-baru beliau meninggal dunia pada 16 Disember 1991, saya mengalami semacam rasa terperanjat dan kesedihan yang mendalam. Pada mulanya setiap kali saya terlihat seorang wanita yang berusia, dengan pakaian baju kurung dan kain batiknya serta selendang panjang, air mata saya tergenang. Ini lebih-lebih lagi jika wanita tersebut memimpin tangan cucunya yang kecil. Tiba bulan-bulan tertentu, Allahyarhamahlah yang paling saya terkenang.

Setelah menulis puisi ‘Perdu Kasih’ bagi mengenang nenek saya, yang disiapkan dari 16 Disember 1991 sehingga 2 Januari 1992, saya bagaikan kehilangan rasa dan tidak boleh menulis walaupun sebaris puisi. Malah saya berasakan bagaikan saya sebenarnya ‘tidak hadir’ dan ‘menerawang’ walaupun secara fizikal saya sedang berbual dengan seseorang. Mungkin perasaan sebegini timbul kerana beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka berkaitan dengan kerjaya saya dan juga semasa nenek saya tiba-tiba jatuh sakit dan sejurus sesudah pemergiannya.

Lebih lima bulan setelah beliau berpulang ke rahmatullah, saya menziarahi keluarga saya di Vancouver dan singgah juga di California, tempat dua orang sahabat saya dari kampus Universiti Singapura menetap dan berkeluarga dan seorang sahabat keluarga kami juga menetap bersama keluarganya di sana. Hanya di rumah salah seorang sahabat saya ini, ketika beliau dan suaminya keluar bekerja dan saya bersendirian menikmati alam yang terbentang luas dan bermandi-manda di kolam renang kecil milik mereka, baru saya dapat menulis lagi.

Nenek saya sukakan benda-benda yang kecil sebagai cenderahati jika saya bercuti ke luar negara. Hampir enam bulan setelah beliau meninggal dunia, dalam perjalanan pulang dari San Francisco ke Vancouver, saya ke sebuah kedai cenderahati di dalam lapangan terbang San Francisco. Saya ternampak beberapa benda kecil yang menarik dan setelah membelek-belek, saya memilih beberapa buah. Saya memilih benda-benda itu untuk nenek saya. Hanya apabila saya mula bergerak ke kaunter baru saya tersedar, nenek saya telah berpulang ke rahmatullah.

Kadangkala kita terasa orang yang telah berpulang ke rahmatullah itu masih lagi bersama kita kerana kehadirannya amat bererti bagi kehidupan kita. Kita mudah menitiskan air mata bila mengenangkannya dan kita bersyukur orang tersebut pernah hadir dan hidup dalam kehidupan kita.

Bagi saya, nenek saya selalu menjadi sumber contoh saya melayari kehidupan ini dengan sebaiknya, semampu saya. Dalam waktu-waktu sukar, saya terkenangkan bagaimana Allahyarhamah tidak pernah berpatah semangat dan mencuba sedaya upaya untuk mengubah keadaannya. Dalam waktu-waktu senang, saya teringat bagaimana dalam kesenangannya Allahyarhamah tidak mudah melupakan orang lain. Apa pun yang dialaminya, beliau masih boleh tersenyum dan menerima manusia seadanya, dengan hati terbuka. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh nenek saya, Fatimah Bte Abdullah dan datuk saya, Syed Hussein Bin Syed Mohidin Abunu, ibu bapa, keluarga dan sahabat kita yang telah berpulang menemui-Nya. Amin.

Saya titipkan 3 kuntum puisi yang saya tulis mengenai nenek saya dan sebuah cerpen. Cerpen ini belum pernah tersiar dan ditulis ketika pertama kalinya saya menjadi pensyarah sepenuh masa di Institut Pendidikan Nasional/National Institute of Education/NIE, ketika itu terletak di kampus lama Universiti Singapura, di Bukit Timah. Saya hanya mengubah sedikit latar cerpen ini mengenai saya menjadi pensyarah sastera di NIE kerana ia tidak lagi bersesuaian dengan keadaan saya kini. Walaupun saya menjadi pensyarah sambilan NIE sejak penghujung bulan-bulan 1991 dan menjadi pensyarah sepenuh masa mulai Julai 1994, saya tidak lagi menjadi pensyarah di institut tersebut sejak akhir Ogos 1995.

Semoga kenangan kita terhadap mereka yang telah berpulang ke rahmatullah akan menambahkan kasih dan amal jariah kita untuk mereka, meneguhkan peribadi kita dan menjadikan kita insan-insan yang lebih berlapang dada dan menjadikan kenyataan harapan mereka terhadap kita. Insya-Allah.

3 Mac 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Tiga Kuntum Sajak Mengenai Ibu/Nenek Yang Disayangi

Kepada Ibu
(Untuk Nenda Fatimah Binte Abdullah)

Ibu,
kalau air mata buat pengukur kasihku
betapalah telah kutitiskan untukmu
sepanjang jalan ke Bukit Timah
bersama nyanyian sendu
seolah perpisahan yang takkan ketemu.

Terasa kini
betapa kasihmu selama ini
telah mempercepatkan perjalananku
& memberanikan aku mendaki
bukit yang semakin tinggi ini
dibendung sebuah mimpi
temanku paling sejati.

Ibu,
seandainya air mata pengukur kasihku
akan kuderaikan sepanjang pendakian
bukit yang semakin curam ini
agar bertumbuh pohon-pohon harapan
antara kesesakan
& apabila di puncak
akan kutugukan:
air mataku
& kasihmu
yang gemilang.

Ditulis: 21 Disember 1976
Perpustakaan Universiti Singapura, Bukit Timah, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Mendengar Bangsawan Di Udara

Memang merdu
suara anak raja yang gagah santun
atau tuan puteri yang lunak beralun
mungkin nanti muncul ahli nujum
membantu wira memanah jin afrit
atau menjelma si nenek kebayan
berwatak jahat atau baik
diiringi muzik mendera, mendayu,
dengan plot bergerak perlahan
& kita dilipati kenangan
ketika bangsawan bakal disambung
minggu hadapan.

Mendengar bangsawan itu
bagai mengingatkan
cerita-cerita yang nenek sampaikan
atau bersamanya mendengar radio
sejenak terbawa ke alam lain
penuh sakti, keindahan,
seperti kayanya sastera silam
yang nenek ceritakan.

Ditulis: 11 Oktober 1999
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Ingatan
(Setelah 16 tahun)

Betapa kau kuingati
setelah 16 tahun berlalu pergi
hatimu yang ihsan
kaya & terbuka
memberi & menerima
manusia & makhluk lainnya.

Betapa kau kurindui
lewat kasih-kasih berbelah bagi
kerana hati yang tulus
tidak pernah rakus
atau menutupi hakikat
mempamerkan hanya yang hebat
kerana kau sedia menerima
segalanya seadanya.

Betapa kau kudoakan
walau hingga ke akhir hayat
jasa & pengorbanan
tunjuk ajar & pendirian
adalah sari pati kejujuran
mewariskan kekayaan
tanpa wang
meneguhkan keyakinan
tanpa paksaan
& betapa segumpal hati
kau tafsiri daripada mata nurani.

Menyusuri lorong-lorong gelap berliku
betapa kau tetap mempelitai hidupku.

Ditulis: 16 Disember 2007
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Perdu Kasihnya

Bersama Nenda - RH Images

Seperti mendengar lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma, meredah padang ini, dengan bangunan-bangunannya yang lama dan pokok-pokok besar, hanya menimbulkan nostalgia. Aku teringat kawan-kawan lama, yang pernah turut sama dihangati bahang idealisme. Betapa bermaknanya bertembung dengan idea-idea baharu, mengenai ilmu pengetahuan, kehidupan, manusia. Atau sibuk berpersatuan, bersukan, mengajar di kelas bimbingan, membina persahabatan, mengenal cinta. Betapa indah zaman silam itu ketika padang ini menjadi sebahagian daripada Universiti Singapura.

Engkaukah demikian terharu dan bangga apabila aku diterima masuk sebagai mahasiswi di Universiti Singapura dahulu? Dan kini, ketika aku sibuk membaca, menulis atau membuat persiapan untuk latihan dan kursusku, aku sering terkenangkanmu. Begitu banyak perkara yang ingin aku kongsikan denganmu, namun tidak lagi dapat kulakukan itu semua walaupun perhubungan kita tidak pernah diputuskan oleh sesiapa.

Melihat pokok-pokok besar ini, yang seakan memahami kitaran alam, erti kesinambungan dan kehidupan, aku sering terfikirkanmu. Aku lebih maklum betapa singkatnya sebuah kehidupan dan panjangnya kenangan. Dan kau, bagiku, sebagaimana dalam puisi ‘Perdu Kasih’ yang kutulis mengenaimu setelah pemergianmu, adalah pohon yang teguh dan rimbun, sepanjang hayatku:

Kau ibarat pohon nan rimbun,
teguh & sentiasa melindung,
terik & taufan cuaca,
kau sedia mengongsi air, sinar, baja,
kerana yakin,
tiap kami adalah tumbuhan istimewa,
yang berupaya menjadi pohon.

Doktor itukah yang membawa berita yang sungguh-sungguh memeranjatkan aku? Setelah lebih seminggu diserang semput, tiba-tiba penyakit baharumu menular. Deriaku seolah-olah membeku ketika kuhubungi anak cucumu di Singapura, Brunei, United Kingdom dan Canada tentang itu. Aku masih enggan percaya. Barah? Mengapakah penyakit ini tiba-tiba menjelma dalam usiamu yang sedemikian tua?

Kau dihantar ambulans ke Hospital Besar Singapura (Singapore General Hospital/SGH) pada pagi Jumaat, 6 haribulan Disember itu. Kau akan diperiksa dengan saksama, walaupun tidak kau ketahui barah telah menyerangi hidupmu. Dan seperti keadaan masa sihat dahulu, kau masih sempat berbual, bergurau, malah beramah dengan doktor, jururawat dan seorang dua pesakit di bilik hospitalmu.

Tidak dapat kugambarkan kepiluanku melihat berjenis-jenis tiub dan jarum mencucuki tubuhmu. Dan wanita yang terkenal berdikari, kini terlantar. Ditukarkan lampinnya, dibersihkan tubuhnya dan disuapi makannya. Dan beberapa hari selepas itu, tangki oksigen membantu pernafasanmu. Aku masih enggan percaya, engkau dicengkami barah.

Bagai dirasuk, aku membaca seberapa banyak yang termampu mengenai penyakitmu dan meluangkan masa sebanyak mungkin untukmu. Dan bagai didera, aku tetap menghubungi cucu-cucumu di luar negara dan terpaksa membuat pelbagai keputusan, yang kadangkala begitu sukar, demi apa yang kuanggap baik untuk kau dan semua.

Kau jalani pemeriksaan bronkoskopi pada pagi Isnin, 8 haribulan Disember dan pada petangnya, jangkaan para doktor mengenai penyakitmu semakin ketara.

Barahmu sudah di tahap genting. Sebelah paru-paru musnah dan sebelah lagi sedang ditularinya. Para doktor pada mulanya memberi jangkaan masa hayatmu sehingga dua tahun, dipendekkkan kepada 6 bulan, dan kemudian, pada bila-bila masa. Kedua-dua ibu saudaraku menangis menerima berita buruk itu. Aku hanya dapat menahan hiba walaupun jiwaku remuk mendengarnya.

Aku pergi ke katilmu, mengusap-ngusap dadamu dan memberitahumu, demam dan semputmu akan reda. Aku belum bersedia menerangkan penyakitmu yang sebenar. Kuciumi dahimu dan keluar dari bilik hospitalmu. Tangisanku tidak dapat lagi dibendung ketika di tandas dan ketika kuturuni Blok 4 hospital itu, bersendirian. Lebih sejam aku mundar mandir di luar Blok 4 dan menangis. Aku fikirkan derita yang kau tanggung daripada penyakit barah itu. Aku kenangkan masa-masa silamku bersamamu. Aku teringat segala pengorbanan, kasih sayang dan harapanmu terhadapku. Aku berasa demikian daif dan piatu berhadapan kenyataan baharu itu.

Kau beransur segar selepas hari Isnin itu dan begitu gembira apabila kuberitahu, aku menumpang sembahyang maghrib di Masjid Omar Kampong Melaka. Di perkarangan masjid itulah kau membesar. Di situlah kau belajar membaca Jawi dan mengikuti ibumu, Hasinawati, menjual kuih di kereta sorong, jika dia tidak membidani orang. Di sanalah juga kau belajar menjadi bidan daripada ibumu dan seorang lagi moyangku, Nek Bulat, yang akhirnya menjadi menantunya Nek Bulat apabila kau berkahwin dengan anaknya, datuk pertamaku. Di Masjid Omar Kampong Melaka itulah juga kau belajar menjadi qariah dan pergi bertanding membaca al-Quran sehingga ke Kedah. Dan di situlah minatmu pada pantun dan syair serta hikayat-hikayat lama subur dan bercambah.

Akankah kau tabah menghadapi penyakit yang amat menyeksa ini, sebagaimana seluruh hidupmu, bagiku, adalah lambang ketabahan itu sendiri?

Sebanyak dua kali sepanjang tahun itu, sebelum kau dimasukkan ke hospital, kau berpesan padaku, apa yang kau ingin kulakukan apabila kau meninggal dunia. Aku amat terharu mendengar segala pesananmu, kerana seperti hidupmu, kematianmu juga akan berpaksikan kebajikan untuk sesama insan dan orang-orang yang kau sayang. Dan aku terharu, daripada sebilangan anak dan cucu yang kau sayang, kau memilih aku untuk melaksanakan pesanan-pesananmu. Namun tidak kusangka akan kulaksanakannya dalam tempoh sesingkat masa, kerana semasa pertama kali mengucapkannya engkau masih sihat walaupun dimamah usia. Siapalah sangka dengan tiba-tiba barah akan menamatkan riwayat seorang wanita yang begitu cekal hatinya, jujur, penyayang dan tabah bernama: Fatimah.

“Idah,” katamu ketika suatu senja kusuapimu makanan di Bilik 20, Tingkat 8, Blok 4, Hospital Besar Singapura itu.

“Mak terima kasih Idah kasi makan Mak.” Air mataku bergenang mendengar kata-katamu, sama seperti bergenangnya air mata di matamu. Betapa benar seperti kata seorang seniman, perasaan yang paling mendalam hanya diluahkan dalam diam. Apalah ada pada jagaanku padamu berbanding dengan segala pengorbananmu terhadapku selama ini? Seperti seni kata sebuah lagu lama, kau telah melimpahi hidupku dengan pelbagai tafsiran tentang erti pengorbanan dan kasih sayang yang sukar kulupakan:

Kasihnya ibu
membawa ke syurga
kasihnya saudara
masa berada
berkorban nyawa
tanda kasihnya
berkorban raga
rela binasa…

Bagaimanakah dapat kuucapkan terima kasihku kepadamu kerana telah memeliharaku sejak aku berumur 11 hari? Dan betapa dalam keadaan susah dan senang bersamamu, hidupku tidak pernah miskin daripada kasih dan sayang itu.

Masih kuingat segala suka-duka sewaktu kecil itu membesar dengan kau, datukku, dua orang ibu saudaraku, dan kemudian ditambahi oleh bapa saudaraku dan sepupu-sepupuku. Bagaimana dapat kulupakan segala kenangan semasa tinggal di Lorong G, Sims Avenue, dan Jalan Kobis, di Kampong Melayu?

Kau menjual kuih dan menjadi bidan dan setelah datukku meninggal dunia, pada usiamu 50 tahun, kau sanggup menjadi pembantu di rumah orang. Malah, lama sebelum aku dilahirkan, kau pernah mencuci kain baju orang dan menjual barang-barangmu, ketika kau dan datukku menghadapi saat-saat sukar. Kau sanggup membanting tulang empat kerat dan membuat apa pun kerja selagi halal, demi membesarkan semua yang kau pelihara. Apalah ada pada penjagaanku yang sebentar ini berbanding dengan apa yang telah kau lakukan untuk diriku dan semua yang kau besarkan dan pelihara?

Aku ingat, sejak kecil lagi, kau selalu berpesan bahawa seorang perempuan haruslah mempunyai kemahiran atau pendidikan, agar mudah dia berdikari, seandainya sesuatu terjadi padanya ataupun keluarganya. Dan engkau tidak mahu anak cucumu menghadapi zaman-zaman sukar seperti yang pernah kau lalui dahulu. Engkau yang pernah mencuri-curi cuba belajar di sekolah, amat kesal dinafikan pelajaran formal pada awal abad ke-20 itu. Zamanmu tidak membenarkan seorang perempuan Melayu mendapat pendidikan formal, baik dalam aliran Inggeris mahupun Melayu. Dan sebagai anak tunggal dan piatu; ayahmu orang dari jauh yang mati muda dan ibumu, juga sebatang kara kerana lari dari Semarang ke Singapura bersebabkan masalah kahwin paksa, bukanlah mudah bagi ibumu dan kau memecahkan tabu masyarakat pada zaman itu. Lantas ibumu mengajarmu membaca tulisan Jawi dan hal-hal perbidanan sebagai kemahiran asas. Dan kerana dinafikan pelajaran formal, hormat dan minatmu kepada ilmu pengetahuan sentiasa segar. Kau gemar membaca berbagai-bagai jenis tulisan dalam abjad Jawi, baik akhbar, kitab agama, sastera, isu semasa dan sebagainya. Malah kau boleh memahami sejumlah dialek Melayu/Indonesia, Cina dan India. Semangat berdikarimu dan sikapmu yang positif berhadapan dengan apa pun masalah serta jiwamu yang merdeka sering mengingatkan aku akan para pejuang dan pemikir Nusantara.

Betapa aku selalu menyusahkanmu semasa kecil itu. Aku sering sakit dan tidurmu terganggu dan wangmu terluak kerana penyakit-penyakitku. Dan walaupun kita tinggal jauh, kau akan membawaku ke Klinik Mattar di Kampong Jawa/Kampong Gelam, kerana aku serasi dirawat di sana walaupun bayarannya mahal. Bagaimana dapat kulupakan kecamuknya fikiranmu ketika aku ditahan di hospital selama 18 hari, pada usia 5 tahun dahulu? Selang beberapa hari aku tahan di hospital, datukku juga dimasukkan ke hospital. Beberapa hari setelah aku keluar dari hospital, datukku meninggal dunia. Kematiannya amat menjejas kehidupan kita.

Betapalah remuk hatimu ketika pada usia 8 tahun, aku diambil balik oleh keluargaku. Dan kau, demi ingin selalu bersamaku, sanggup membantu di rumah keluargaku. Tidak dapat kulupakan, air mata yang kau titiskan dari Kampong Wak Tanjong ke Jalan Kobis, kerana suatu peristiwa yang menyayat hatimu. Hanya setelah kematianmu, baru kutahu mengapa demikian besar pengorbananmu bagi seorang cucu yang kau pelihara sebagai anakmu.

Aku bukanlah anak pertama yang kau pelihara dan kemudian dengan tiba-tiba diambil balik oleh keluarganya, lantas merentap kasih sayangmu. Sebelum Perang Dunia Kedua dahulu, semasa tinggal di Kallang Rokok dan Masjid Omar Kampong Melaka, dua kali peristiwa yang serupa berlaku. Dan kedua-dua peristiwa itu amat meremukkan hatimu. Kau tidak pernah memberitahuku tentang hal itu. Memahami sikap dan peribadimu, aku tahu mengapa peristiwa-peristiwa itu kau rahsiakan; kau tidak mahu aku menyayangimu kerana belas kasihan atau kerana tanggungjawab yang terpaksa kutunaikan. Dan tidak seperti kedua-dua peristiwa awal itu, peristiwa yang ketiga ini, yang menghubungkaitkan aku, kau bertindak tegas, walaupun ini memerlukan pelbagai pengorbanan.

Dapat kubayangkan perasaanmu apabila kedua-dua anak yang kau pelihara tiba-tiba diambil balik atau diputuskan kasih sayangnya kepadamu. Dan dapat kufahami deritanya seorang wanita yang sebatang kara, yang membidani orang, yang melahirkan hanya seorang zuriat yang meninggal semasa bayi dan tidak dapat lagi melahirkan zuriat untuk suami, yang menumpang kasih dan bersendiri. Dan dapat kumengerti bagaimana aku, cucumu, seolah-olah menjadi penjelmaan anak-anak yang tidak dapat kau terus pelihara dan anak yang selama ini kau nantikan kehadirannya.

Dalam erti kata yang paling mendalam, kau sebenarnya tidak pernah sebatang kara. Hatimu terlalu besar menerima semua manusia, tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Dan setiap seorang yang kau terima, menjadi istimewa di hatimu walaupun ada beberapa orang yang lebih kau sayangi, kasih yang kau beri kepada yang lain, cukup bagi mereka berasa istimewa dan dikasihi.

Aku masih ingat ketika ke Pasar Geylang atau Pasar Joo Chiat denganmu atau pergi berjalan-jalan denganmu. Kau sering ditegur sapa dan berbual mesra dengan pelbagai jenis manusia sehingga fikirku, seluruh Singapura ini adalah saudaramu. Daripada anak jiran Tionghoa di Duku Road, yang walaupun telah berpindah rumah masih tetap menziarah dan tidur di rumahmu, kepada beberapa orang yang datukku dan kau sering benarkan menumpang di mana pun kau menetap. Kepada aci yang menjual rempah di pasar, menjadi saudara kepada jiran-jiran di Masjid Omar Kampong Melaka, Kallang Rokok dan Kampong Jawa. Menjadi ibu angkat kepada nyonya yang tinggal di hadapan rumah, nenek kepada penduduk-penduduk di Lorong L, Telok Kurau dan nenek istimewa kepada wanita Inggeris yang mengahwini cucu sulungmu. Kau peramah dan mudah menerima manusia kerana yang kau lihat adalah kebaikan di hati manusia, walaupun kadangkala kau juga boleh menutup hatimu kepada seorang dua manusia jika mereka terus menerus menyeksa hidupmu. Dan sejak berusia muda sehingga saat-saat terakhirmu, dalam keadaan susah mahupun senang, kau menjadi tempat mengadu dan meminta nasihat, walaupun kadangkala yang dapat kau bantu hanyalah menjadi pendengar yang baik, memberi sedikit kasih dan keyakinan. Bagaimanakah dapat kulupakan segala pengajaran yang tidak langsung ini, yang kau siratkan dalam sebuah kehidupan?

Kau perdu kasih, tunjang harapan,
berakar kemanusiaan, ikhlas merimbuni
ketika langit gelap, sebatang kara, kau
menghubungkan insan, membesarkan anak-
anak terbiar, membina persaudaraan dari
persahabatan, & mewariskan inti ihsan
& cinta: tiada ‘orang luar’ di sisi manusia.

Kehidupanmu adalah lorong-lorong beraneka,
keramahanmu aspalnya, kau enggan membeza
kelainan bangsa, agama, usia, lalu menjadi
ibu angkat nyonya di depan rumah, nenek bagi
penduduk Lorong L, Sims Avenue, Jalan Kobis, Bedok,
bidan di Kampong Melaka, Kallang, Lorong G, Duku Road,
& dalam derita, bahagia, kau tetap percaya,
kebaikan manusia mengatasi keburukannya.

Penyakitmu yang seakan reda setelah hari Isnin itu, meliar ketika malam Khamis, 11 haribulan Disember. Doktor menelefonku pada pagi Khamis, 12 haribulan Disember itu. Dan petangnya, dibantu tangki oksigen, ambulans membawamu pulang ke rumah. Kau memesan seorang ibu saudaraku agar membeli kemenyan Arab di Geylang. Kau mahu pulang. Kau ingin bertemu anak cucumu, termasuk beberapa orang yang telah berhijrah dari Singapura.

Doktor peribadimu datang melawat di rumah. Juga seorang jururawat dari Hospice Care. Kau diberi cairan morfin untuk mengurangkan sakit yang merajalela. Seperti di hospital, segala urusan memberi ubat, makan, membersihkanmu dan mengajakmu sama bersolat dan berzikir, diuruskan oleh anak cucumu. Cucumu dari Brunei, yang sibuk dengan berbagai urusan guaman, menundakan segalanya dan pulang ke Singapura pada hari Jumaat itu. Begitu juga keluarganya. Cucu sulungmu di United Kingdom juga pulang ke Singapura pada hari Sabtu. Cicitmu yang bercuti di Jakarta dan sukar mendapat tiket pulang, akhirnya sampai ke Singapura pada hari Minggu. Panggilan telefon daripada keluargamu di Singapura, Malaysia, Vancouver dan United Kingdom serta orang-orang yang mengenalimu di Singapura, tidak putus-putus sejak kau pulang ke rumah dan terlantar di katil besar. Rumah kita menjadi tumpuan sanak saudara dan sahabat handai, yang turut berdoa dan membaca Surah Yasin, al-Quran, sehinggalah kau menghembuskan nafasmu yang akhir.

Perasaanku berkecamuk dan kurasai berbagai tekanan pada waktu-waktu itu. Antara perasaan kehilangan yang tidak mampu kuucapkan dan pelbagai urusan yang mesti dilaksanakan, kepiluanku hanya menimbulkan rasa bungkam. Tiada air mata dapat kutitiskan di hadapan sesiapa, kecuali apabila aku bersendirian denganmu atau ketika aku cuba melelapkan mata.

Suatu pagi ketika rumah ini lengang, kubacakan kau Surah Yasin. Kau terlantar di katil besar dan kusyuk mendengar bacaanku. Beberapa kali bacaanku tersekat dan air mata menitis di lembaran-lembaran al-Quran.

“Mak, Idah banyak dosa pada Mak,” air mataku berjurai, tidak lagi dapat ditahan-tahan.

Kau menggelengkan kepala. Bagimu aku tidak berdosa padamu.

Aku terkenangkan perkataan dan tingkah lakuku yang mungkin melukakan hatimu. Aku teringat semasa kecil dahulu, menonton filem ‘Si Tenggang’ bersamamu di Pawagam Queen. Aku teringat betapa takutnya aku jika menjadi gagak hitam seperti Jins Shamsuddin, yang menderhaka kepada ibunya. Tetapi katamu aku tidak akan menjadi seperti Si Tenggang atau menjadi gagak hitam sebab hatiku tidak seperti hati Si Tenggang. Namun setelah dewasa, walaupun aku tidak pernah membuang kau sebagaimana Si Tenggang membuang ibunya, dalam proses pendewasaanku, aku ada juga mengecilkan hatimu.

“Mak, maafkan semua dosa Idah.”

Kau menganggukkan kepala. Jika aku berdosa pun, telah lama kau memaafkannya.

“Mak,” kataku sambil mendakapmu, “Idah terima kasih Mak besarkan Idah.”

Dan kita sama-sama menangis ketika itu. Di saat-saat terakhir itu, betapa besar erti kasih sayang seorang ibu. Seperti Kahlil Gibran, aku terkenangkan tafsiran kasih ibu yang sukar kulupakan:

‘The most beautiful word on the lips of mankind, is the word ‘mother’. And the most beautiful call is the call of ‘my mother’. It is a word full of hope and love, a sweet and kind word, coming from the depths of the heart. The mother is everything – she is our consolation in sorrow, our hope in misery, our strength in weakness. She is our source of love, mercy, sympathy, and forgiveness. He who loses his mother, loses a pure soul who blesses and guards him constantly.’

Di saat-saat terakhir itu, kau meninggalkan beberapa pesan lagi untukku. Dan kau juga memberi saat-saat istimewa kepada anak cucumu agar tiap-tiap seorang daripada mereka berasakan dirinya istimewa dikasihi dan mengasihimu.

Aku selalu berdoa untukmu ketika itu. Aku berdoa agar kau berpulang ke rahmatullah dalam keimanan dan derita yang kau tanggung, tidak diperpanjangkan. Aku tidak sanggup melihat kau terus menderita kerana barah, sedangkan aku tidak berupaya menghilangkan atau mengurangkannya, kecuali membaca ayat-ayat suci dan berdoa.

Betapa saat-saat terakhirmu adalah seperti hidupmu – berjuang tiada hentinya. Dengan caramu sendiri, seluruh hidupmu kau berjuang dan menentang prasangka, diskriminasi, ketidakadilan, kekolotan berfikir, keangkuhan dan penghinaan sesama manusia. Bagaimanakah seorang seperti kau akan mengakhiri hidupnya dengan hanya sakit tua? Seperti hidupmu, matimu juga berakhir dengan berjuang – menentang barah yang tiada penawar.

Dua hari sebelum kau meninggal, kibisikkan ke telingamu bahawa kau sebenarnya menghidap penyakit barah, bukan sekadar semput sahaja. Kau cintakan kebenaran dan kejujuran dan telah mendidikku untuk mementingkan hal-hal sedemikian, lantas tidak mungkin kau mengakhiri hidupmu dengan suatu kebohongan tentang penyakitmu yang sebenar. Dan kubisikkan kepadamu, walaupun kau akan kalah menentang barah, kau akan berjaya di sisi Allah kerana kau wanita beriman dan berhati mulia.

Pada hari Isnin, 8:29 malam, 16 haribulan Disember 1991, masa seolah-olah terhenti untukku. Di kelilingi orang-orang yang kau sayang, diiringi lafaz syahadah dan zikrullah, berakhirlah riwayatmu. Tiada setitik pun air mata dapat kutitiskan untukmu ketika itu. Dalam masa yang tidak sampai pun sebulan, diserang semput, dimasukkan ke hospital, dibawa pulang, segala yang berlaku demikian memeranjat dan mengharukanku. Aku bukan hanya kehilangan seorang nenek dan ibu, aku kehilangan orang yang begitu menyayangiku, tanpa apa pun syarat, yang menerimaku, buruk dan baikku keseluruhannya, yang yakin dan percaya akan kebolehan dan kebaikan di hatiku. Dalam masa tidak sampai pun 6 bulan, setelah setahun pulang ke Singapura, aku kehilangan bukan hanya sebuah kerjaya secara tiba-tiba, malah insan yang amat kusayangi, yang kasih sayangnya memberanikan aku menghadapi segalanya. Tidak pernah aku berasakan diriku demikian keseorangan dan piatu, seperti waktu-waktu itu.

Seperti kehilangan rasa, aku membacakan kau Surah Yasin dan beberapa doa. Membantu membersihkan jasadmu. Menutup wajahmu dengan sehelai selendang putih yang kubelikan kau di Makkah, sebagaimana pesananmu kepada salah seorang ibu saudaraku. Kuciumi kakimu dan memeluk serta menciummu, dan kuucapkan, tanpa kata, selamat berpisah.

Tidak dapat kulelapkan mata, walaupun seketika, kerana dijagakan oleh berbagai urusan dan kecamuknya rasa. Aku terkenang bagaimana kau berdikit-dikit menyimpan wang untuk membelikan aku mesin taipku yang pertama. Sebelum itu aku hanya menggunakan mesin taip terpakai yang kecil, yang hampir dibuang dari pejabat bapaku. Dan beberapa tahun kemudian, kau membelikan aku sebuah lagi mesin taip apabila mesin taip pertamaku tidak boleh lagi digunakan. Dan kau membelikanku sebuah jam tangan, yang aku gunakan bertahun-tahun lamanya. Tanpa banyak berkata, kau menyokong minatku terhadap ilmu pengetahuan dan sastera dan mahu aku mencintai kedua-duanya. Bagaimanakah dapat aku melupakanmu setiap kali minatku dalam kedua-dua bidang ini mekar? Jauh ke dinihari itu, aku membaca kembali cerpen-cerpenku bertajuk ‘Pemergian’ dan ‘Ma’ dan mengingati semula peristiwa-peristiwa yang membadai kehidupan kita.

Selamanya aku kukenang, doa dan air matamu yang mengiringiku ke Brunei. Dalam usia yang hanya tinggal sisa dan amat memerlukan aku di sisi, kau rela melepaskan aku pergi. Kau tidak mahu aku terus diseksa oleh sikap-sikap dwitara dan mahu aku memanfaatkan ilmu pengetahuanku, walaupun ini bermakna aku akan selalu jauh dari mata. Dan betapa tabahnya engkau selama tiga tahun lebih itu, hanya sesekali bertemu denganku kerana penyakit-penyakitmu tidak membolehkan kau menaiki kapal terbang lagi dan menziarahiku dan aku pun tidak dapat pulang selalu. Dan betapa waktu-waktu itu dan semasa aku menghadapi pelbagai dugaan, kau selalu mengingatkanku akan Surah al-Baqarah: Allah tidak akan memberati seseorang hamba-Nya melainkan apa yang sanggup ditanggungi hamba tersebut.

Bagaimana dapat kulupakan ketika kerjayaku musnah tiba-tiba, walaupun baru setahun pulang ke Singapura? Keyakinan padumu padaku yang banyak mengendurkan rasa kecewaku dan hampa. Kau tidak mahu aku terus ditenggelami laut duka. Seperti pahit getir yang berkali kau alami, kau tidak mahu aku hanya menitiskan air mata. Setelah segala tangisan, katamu, aku harus meneruskan kehidupan, yang kau yakin tetap terbentang luas dan indah. Kau mahu aku yakin kepada diriku dan kekuasaan Allah. Kau mahu selalu ingat bahawa berapa banyak pintu pun yang ditutup di hadapanku oleh sesetengah manusia, kalau Allah tidak mengizinkannya, ia tetap terbuka.

Dan aku terkenang betapa bahagianya kau menyaksikan sebuah video dokumentari keluarga, ‘The Journey Home’, yang aku dan seorang sepupuku siapkan hanya lima bulan sebelum pemergianmu. Kau seakan dapat menyaksikan semula anak cucumu melalui dokumentari hampir dua jam itu walaupun sebilangan mereka tinggal jauh dari Singapura. Dan ada bahagian istimewa yang aku siapkan untukmu bertajuk ‘A Very Special Someone’, dan kau dirakamkan oleh sepupuku sedang merenung tingkap, berjalan dan kemudian duduk di kerusi, diiringi muzik instrumental sebagai latar dan suaraku menerangkan mengapa kau begitu istimewa bagi keluarga besar kami. Dan betapa bahagian itu kelak setelah pemergianmu sering mengalirkan air mata ke pipi.

17 haribulan Disember 1991 – bersama beberapa orang anak cucu perempuanmu, aku memandikan kau dan membantu mengafankanmu. Kutaburi pacai dan buat kali terakhir, menciumimu. Aku mensolatkanmu. Jenazahmu diusung ke luar. Kenderaan Khairat Kematian Telok Kurau, yang kau dan arwah datukkku dahulu menjadi anggotanya, menanti di bahagian bawah rumah. Anak cucu dan sahabat handai lelakimu mengiringi jenazahmu ke Pusara Aman, di Jalan Bahar/Choa Chu Kang. Kulepaskan jenazahmu dan kenderaan itu berlalu tanpa berupaya mengucapkan apa-apa kepada sesiapa atau menitiskan air mata.

Setelah lebih sejam berlalu, ketika mencuci pinggan mangkuk di dapur, air mataku satu-satu jatuh. Ketika itu, dalam hujan renyai kau disemadikan ke liang lahad. Aku teringatkan kau, duduk-duduk di dapur, memetik tauge, makan ubat, minum teh atau makan dan berbual bersama ibu saudaraku dan aku. Aku terkenang bagaimana kau suka berdiri di tingkap dapur, memerhatikan aku pergi dan pulang dari kerja atau sekadar melihat kanak-kanak bermain, manusia berjalan dan berbual, kenderaan bergerak cepat. Aku terkenangkan gurauanmu, perbualanmu, kerenah, nasihat, dan kemesraanmu. Betapa jaraknya di antara New Upper Changi Road dengan Pusara Aman dan dunia yang nyata dengan alam barzakh, dan laluan yang tersedia hanyalah anak yang saleh yang mendoakan, amal jariah dan ilmu bermanfaat yang ditinggalkan.

“Idah, tengok tu,” katamu menunjukkan bunga gul bakawali yang mekar di taman lewat jam dua belas malam.

“Inilah tempat tuan puteri tinggal, dan itu katilnya,” lagi tambahmu. Bunga gul bakawali itu berwarna merah jambu keputih-putihan, besar, dan di dalamnya ada untaian-untaian putih, seakan ambal atau katil tuan puteri.

“Nanti Idah tengok, ada jin afrit dan putera diraja datang.” Bunga gul bakawali itu demikian menarik daya khayalku. Aku teringatkan kayangan, pari-pari, putera dan puteri diraja, nenek kebayan, jin afrit, ambal terbang dan dunia yang penuh dengan keindahan dan kesaktian. Sepanjang penantian kita di sisi bunga gul bakawali yang mula mekar, yang berkali diulang semasa zaman kanak-kanak dan awal remajaku, tidak sekalipun jin afrit atau putera diraja itu datang. Kau membuat aku melihat bahawa gul bakawali bukan sekadar sekuntum bunga dan Hikayat Gul Bakawali bukan sekadar sebuah cerita.

Dan sejak kecil kau mengenalkanku kepada Sang Kancil, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Musang Berjanggut, Mat Jenin, Ikan Nun, Tuan Puteri di bulan, Abu Nawas, Si Luncai, Pak Belalang, cerita-cerita hantu. Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang, Bawang Putih Bawang Merah, Dang Anum, Hang Tuah lima bersaudara, Puteri Gunung Ledang, Badang, Hang Nadim, Panji Semirang. Siti Zubaidah Perang China, Bidasari, Iskandar Zulkarnain, Muhammad Hanafiah, Saiyidina Ali, Siti Fatimah, Malik Saiful Lizan, Puteri Nahidah. Shehrezad, Tajul Muluk, Hatim Tai, Laila Majnun. Cerita-cerita haiwan, Sang Nila Utama dan raja-raja Melayu, Puteri Hang Li Po dan Maharaja China, Abdullah Munshi, Stamford Raffles, Tun Fatimah, Kartini, Shafik Affandi, Faridah Hanum. Kisah-kisah Nabi dan para anbia, Khulafar ar-Rasyidin, dinasti Umayyah, Abasiyah. Cerita Seri Rama dan Hanuman, Arjuna dan Bayan Budiman, kisah wali ‘go head go stand’, cerita-cerita wayang kulit, bangsawan. Cara penceritaanmu membuat aku terasa, watak-watak ini sebahagian besarnya kau kenal; hanya setelah meningkat usia baru kutahu, sebahagiannya adalah watak sebenar dan daripada sejarah dan yang lain sekadar rekaan sastera.

Kau juga mengenalkanku kepada keindahan pantun, peribahasa dan syair, lagu-lagu tradisional Melayu. Cantiknya seni tekat, batik, songket, indahnya tenunan, ukiran, tulisan khat. Kau mengajakku mengikuti bangsawan di udara, opera Cina, lagu, siri televisyen dan filem Melayu, Hindi, Tamil, Arab, Inggeris. Bagimu kehidupan adalah anugerah Allah yang terbesar dan seni kadangkala dapat menggambarkan anugerah itu sebagai pusaka manusia yang kekal.

Beberapa bulan setelah kau meninggal dunia, aku masih digenangi laut sengsara. Selain menyiapkan puisi ‘Perdu Kasih’ dari 16 Disember 1991 sehingga 2 Januari 1992, aku tidak dapat melahirkan secebis pun karya dan diruntuni rasa kehilangan yang pelbagai dan mendalam. Ku cari diriku di Vancouver dan California, bertemu keluarga dan sahabat. Kupersoalkan erti hidup, makna harga diri, maruah, dan ingin pergi jauh dari Singapura.

Akhirnya aku tidak jadi meninggalkan bumi yang turut mengguris dan menghiris tangkai hati. Kutemui juga makna hidup dan jati diriku di sini, betapa pun kepiluan berada di sisi dan aku sering dijadikan halimunan dalam pelbagai lapangan dan segi. Kau bersemadi di negara ini dan sebilangan besar orang yang kusayang dan kenanganku berpusar di tempat ini. Dan kau juga telah mengajarku agar berani berhadapan dengan masalah, usah melarikan diri, biar betapa pedih dan menyeksa ia menerjah kehidupan yang dilalui.

Kuredahi padang ini dan memerhatikan pokok-pokok besar. Kau pernah datang ke sini semasa aku menjadi mahasiswi dan kau tertarik melihat padang, pokok-pokok besar, bangunan-bangunan lama serta riuhnya para siswa belajar dan bersuka ria dalam menimba secercah ilmu. Dan betapa, pernah kau berkata dahulu, mencintai ilmu pengetahuan itu memartabatkan insan, membezakan kaca dan manikam.

Ketika aku membaca, menulis, menjalankan pelbagai tugas dan meramahi kehidupan dan manusia dengan hati yang lapang dan reda, sebagaimana doamu sentiasa, aku tahu dari satu segi yang amat mendalam, engkau sebenarnya hanya berpindah ke alam lain, alam barzakh, dan bukannya meninggal dunia sahaja. Dan dengan menghayati dan menjadikan kenyataan harapanmu dan doa, aku tahu, kau tetap hidup di hatiku, selamanya.

Ditulis: 1 Julai – 16 Ogos 1994
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.