Archive | March 2022

Kata Mutiara: Februari – 1 Mac 2022

Ahli Ibadat Dan Seorang Tetamu

Dikisahkan, pernah tinggal di daerah Kurdistan seorang ahli ibadat yang sangat tekun dan pada suatu hari dia didatangi seorang tetamu. Penggiat ibadat itu menjamu tetamunya dengan buah kurma yang sangat manis dan lazat sementara itu sang tetamu itu memakan habis semua buah kurma seraya berkata: “Sungguh kurma-kurma ini terasa sangat manis dan lazat. Aku tidak pernah menemukan kurma seperti ini di negeriku. Ah…andai saja ada buah kurma seperti ini di negeriku, alangkah bahagianya aku.”

Selepas mengucapkan itu, si tetamu kembali meneruskan ucapannya: “Jika engkau berkenan untuk mencarikan benih-benih kurma jenis ini untukku, agar aku dapat menanamnya di negeriku, aku akan sangat berterima kasih. Aku sungguh tidak tahu banyak tentang tanam-tanaman di negerimu ini dan di manakah biji-biji kurma ini boleh aku dapatkan?”

Mendengar itu, si penggiat ibadat menjawab: “Keinginan tersebut akan memenat dan membebanimu sebab boleh jadi pokok itu tidak akan sesuai untuk tanah di negerimu. Bukankah di negerimu melimpah-ruah buah-buahannya? Aku dengar di sana kebanyakan buah-buahannya tidak boleh didapatkan di negeri lainnya? Apa yang engkau harapkan daripada kurma seperti ini dibandingkan kebanyakan buah-buahan di negerimu? Adalah bukan suatu kepintaran bila mencari sesuatu yang tidak ada, sebab engkau akan menemui nikmatnya kebahagiaan jika engkau berasa puas dengan apa yang engkau dapati serta mampu meninggalkan sesuatu yang tidak boleh engkau dapati.”

Si penggiat ibadat mengutarakan semua perkataannya dengan bahasa Ibrani yang memakai tutur kata yang baik, tatabahasa yang cantik dan penyampaian yang sempurna sehingga membuat sang tetamu berasa takjub akan kerapian dan keindahan tutur bahasanya. Kemudian si tetamu meminta kepada si penggiat ibadat agar sudi mengajarnya bahasa Ibrani dan dia tekun mempraktikkan setiap kosa katanya serta selalu menggunakan bahasa Ibrani dalam setiap percakapannya.

Sehinggalah pada suatu ketika, si penggiat ibadat berkata: “Bukan merupakan sebuah cerminan akhlak yang baik bila engkau tinggalkan bahasamu yang telah mendarah daging dalam dirmu dan menggantikannya dengan bahasa Ibrani. Sebab yang sedemikian itu samalah seperti apa yang terjadi pada burung gagak.”

“Bagaimana hal itu boleh terjadi, kawan?” tanya si tetamu.

“Dikisahkan,” kata si penggiat ibadat, “pada suatu hari ada seekor burung gagak melihat burung puyuh yang sedang merangkak dan berjalan. Sang gagak sangat takjub dengan cara berjalannya burung puyuh dan ingin meniru cara berjalan burung puyuh. Namun, walaupun ia berusaha terus melatih dirinya untuk merangkak dan berjalan seperti burung puyuh, ia tetap tidak dapat menirunya sehingga burung gagak berputus asa. Akhirnya si burung gagak berniat untuk kembali pada cara merangkak dan berjalannya seperti dahulunya. Namun ternyata ia mendapati dirinya sudah tidak boleh berjalan seperti sediakala kerana model jalannya merupakan campuran cara berjalan burung gagak dan burung puyuh. Akibatnya, cara berjalannya pun kelihatan lebih buruk berbanding gaya berjalannya pada mulanya.

Aku sengaja menjelaskan contoh ini kepadamu, kawan, sebab setelah kuperhatikan dan kucermati, engkau telah meninggalkan bahasa ibundamu yang merupakan wajah watakmu dan menggantikannya dengan bahasa Ibrani yang tidak sesuai dengan ciri-ciri bahasamu. Dan aku khuatir kalau engkau tidak lagi boleh memahami bahasa aslimu sehingga pudar bahasamu, dan akibatnya jika kelak engkau kembali ke negerimu, tutur katamu tidak sebaik yang dahulu, bahkan lebih buruk jika dibandingkan sebelum engkau mempelajari bahasa Ibrani. Bukankah ada pepatah yang mengatakan: “Adalah suatu kebodohan sesiapa sahaja yang membebani dirinya dengan sesuatu yang tidak sesuai dengan budaya dan wataknya. Dan juga adalah suatu kesombongan sesiapa sahaja yang membebani dirinya dengan pekerjaan yang bukan bidang dan keahliannya, terutamanya sesiapa sahaja yang melepaskan diri dan tercabut daripada akar sejarah yang telah diwariskan turun-temurun oleh nenek moyangnya.”

Ibn al-Muqaffa’, Kalilah Wa Dimnah, terjemahan Bahasa Indonesia [disesuaikan untuk entri ini], Yogyakarta: Pustaka Sufi, 2003, halaman 211 – 213.

Catatan 27 – 28 Februari 2022

1.Saya minta maaf kerana lama tidak menulis untuk blog ini. Saya agak penat, beberapa kali tidak begitu sihat dan memang saya jangkakan saya akan berehat sebulan dua sahaja. Tetapi sebulan dua itu berlanjutan pula. Kesihatan saya memang tidaklah sebaiknya tetapi alhamdulillah masih boleh melakukan beberapa perkara, asal tidak tergesa-gesa. Sudah senja-senja ini, semakin tak larat hendak membuat sesuatu cepat-cepat; terasa penat dan pendek nafas pula….

2.Kita begitu mengharap dan mengagak Covid-19 akan menyurut mulai tahun 2022; betapa melesetnya harapan dan jangkaan ini kerana Omicron menjelma. Ramai yang dijangkiti, termasuk kanak-kanak sekolah, cuma kita sedikit lega jumlah kematian berkurangan dan pesakit boleh dirawat di rumah dengan mengasingkan diri daripada mereka yang tidak dijangkiti. Mereka yang lebih terjejas sahaja akan dibawa ke hospital.

Namun dijangkiti Covid bukanlah perkara iseng-iseng, terutama jika rumah anda kecil, anggota keluarga anda ada tugas masing-masing atau anda warga senja yang tinggal berdua atau bersendirian yang tidak sesihatnya. Boleh gabra dan terasa tertekan anda dibuatnya.

Bagi sebilangan besar penduduk dunia selama lebih 2 tahun Covid ini melanda, menguji bukan sekadar kesihatan kita, malah perhubungan, rezeki, ketabahan dan banyak lagi perkara yang tidak kita jangkakan. Mudah-mudahan akan cepatlah berakhirnya zaman Covid ini atau ada penawarnya dalam bentuk pil dan lain-lain. Dan mudah-mudahan juga syarikat gergasi dan negara kaya pengeluar vaksin ini akan lebih berlapang dada dan berkongsi ramuan vaksin agar negara-negara yang kurang mampu dapat dibantu dengan lebih saksama. Tanpa kerjasama, seluruh dunia akan berlarutan dilanda musibah ini. Mungkin ini salah satu pengajaran virus Covid-19 ini.

3.Dengan resahnya dunia kerana Covid-19, yang amat menjejas kehidupan, ekonomi dan perhubungan di antara insan, kita digusarkan lagi oleh pelbagai penipuan (scam) dalam talian. Melalui phishing (pancingan data), pelanggan bank OCBC Singapura ditipu sebanyak S$13.7 juta dolar. Penipuan ini dilakukan begitu cepat dan walaupun beberapa langkah kemudiannya diambil oleh pihak bank dan mereka yang berkepentingan (termasuk pihak bank menggantikan wang pelanggan yang hilang kerana scam ini), ia begitu memeranjatkan. Sindiket ini bukan kecil dan ia semakin berleluasa semasa pandemik ini. Anda yang sekadar duduk di rumah dan tidak lagi bekerja pun ada sahaja yang mengganggu hendak menipu anda melalui panggilan telefon, pesanan ringkas, emel dan sebagainya. Dan dengan kita di Singapura dan di beberapa pelosok dunia semakin diruangi hal-hal digital, akankah lebih menjadi-jadi penipuan ini? Kitakah yang perlu berhati-hati dan berjeda sebentar dalam proses pelbagai pendigitalan ini kerana mungkin ia boleh lebih menyerabuti kehidupan? Yang kita anggap menyenangkan boleh menyukarkan kehidupan kita nanti? Sekadar contoh, suatu masa dahulu bila ke pasar, ke kedai/gerai membeli barang atau makanan, barang-barang itu dibungkus dengan surat khabar lama, upih, bekas yang dibawa pembeli dan lain-lain. Kemudiannya muncul pula plastik dalam pelbagai bentuknya. Kita begitu gembira kerana adanya plastic tetapi ternyata yang memudah dan menggembirakan kita itu, kini menimbulkan masalah yang berentetan pula.

Bencana alam pun tidak putus bertandang – banjir di Malaysia, gempa bumi di Indonesia, kebakaran hutan, ribut taufan di beberapa pelosok dunia seolah-olah manusia belum puas dilambung nestapa. Dan di tengah-tengah ini, Ukraine diserang Rusia. Kesatuan Eropah (EU), NATO, UK dan Britain pun mula berdendang perang. Kuasa nuklear menabir ancaman. Dan di Yaman, Syria, Palestin, Afghanistan, kaum Rohingya masih digelegak pelbagai kesukaran. Aung San Suu Kyi yang percaya tentera Myanmar dan sekutunya tidak melakukan kezaliman kepada kaum Rohingya, sudah setahun dibaham junta. Junta ini singa-singa lapar yang tentunya tidak semudahnya melepaskan kuasa rimba mereka.

Saya resah membaca mengenai Afghanistan yang kini dikuasi Taliban. Saya tidak setuju cara Taliban kononnya mengamalkan cara pemerintahan Islam. Sama tidak setujunya saya apabila Amerika menyerang Afghanistan setelah peristiwa 11 September 2001. Apalah nasib rakyatnya yang diperkotak-katik pelbagai kuasa, termasuk ketua-ketua puak (warlords) mereka? Dan dengan aset negara Afghanistan terus dibekukan, apa lagi yang akan terus disengsarai rakyat jelatanya? Sebuah novel yang telah lama saya beli dan belum sempat membacanya, saya baca semasa resah-gelisah ini. Ia bukan jawapannya tetapi sekurang-kurangnya ada sedikit gambaran rakyat Afghanistan sebelum diserang Amerika pada 2001. Suara rakyat jelata itulah yang ingin saya dengar apabila membaca novel Khaled Hosseini, A Thousand Splendid Suns (2007).

Saya juga membaca novel The Inheritance of Loss (2006) baru-baru ini, walaupun buku ini berada dalam perpustakaan saya sudah sekian lama. Mungkin latar novel tersebut, keadaan dan rusuhan di Himalaya pada awal 1980-an, membuat saya cuba mencari sesuatu dan membandingkannya dengan keadaan sekarang di India.

Keadaan di India sejak beberapa tahun ini turut menimbulkan kegerunan. Demokrasi terbesar dunia ini semakin ditenggelami nasionalisme Hindu (Hindutva) dan kaum-kaum minoritinya iaitu orang-orang Islam, Kristian dan kasta yang mereka anggap paling rendah ‘Dalit’, dimangsakan. Ada yang ingin melelong wanita Islam, ada ‘parlimen’ tertentu yang menganjurkan penghapusan/genosid orang-orang Islam, selain menjadikan isu hijab yang dipakai Muslimah, adanya pemerkosaan, pembunuhan, perlekehan oleh golongan tegar (vigilante) dan sebagainya. Sekadar 200 juta orang Islam di tengah-tengah 1.4 bilion penduduk India, dan ini menimbulkan pelbagai ketegangan dan masalah. Saya teringat sebuah lagu lama ‘Chhalia Mere Naam’ daripada filem ‘Chhalia’ (1960) yang dibintangi Raj Kapoor dan Nutan. Ada seni katanya yang berbunyi: ‘Hindu, Muslim, Sikh Isaai sabko mera salaam’ yang lebih kurang bermakna: ‘Hindu, Muslim, Sikh, Kristian aku kirimkan sejahtera/salam’. Ke mana menghilangnya rasa kebersamaan rakyat di India yang berbilang agama dan budaya? Ke mana lenyapnya semangat perjuangan dan kebersamaan pejuang kemerdekaan India seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru dan Abul Kalam Azad? Si pembunuh Mahatma Gandhi, Nathuram Godsekah, yang diagung-agungkan sesetengah orang- berkepentingan di benua kecil itu kini? Dan kematian penyanyi latar filem-filem Bollywood, Lata Mangeshkar pada 6 Februari lalu juga, dengan cepat diputar-belit sesetengah pihak seolah-olah mendiang penyokong tegar Hindutva. Lata Mangeshkar mempunyai hubungan yang akrab dengan beberapa orang seni, termasuk mereka yang beragama Islam seperti Allahyarham Dilip Kumar (Yusuf Khan) yang dipanggil ‘Yusuf Bhai’ kerana saling menganggap satu sama lain sebagai abang dan adik, wajarkah hal-hal tegar begini dikaitkan dengannya?

Saya rasa apabila orang-orang berkuasa semakin korup dan muflis idea-idea bernas dan wajar, pelbagai cara akan dilakukan untuk mengekalkan kedudukan mereka dan menyebarkan huru-hara serta ketegangan boleh sahaja menjadikan mereka ‘wira’ dan sekali gus mendapat sokongan. Mereka mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) sebagaimana dasar penjajah dahulu, asal sahaja mereka terus bertakhta dan masyarakat terus dicalar sesukanya.

Kita juga gusar apabila isu kanak-kanak dan remaja yang menjadi mualaf di Malaysia baru-baru ini bagai sengaja diapi-apikan pihak-pihak tertentu. Dengarlah semua pihak dan nilailah dengan akal yang berimbang. Kalau percikan-percikan api ini sering dilepaskan sesuka hati, besar kemungkinan ia akan merebak dan menghangusi semua. Ke mana perginya rasa kebersamaan sesama manusia senegara? Mencintai agama dan bangsa seseorang itu bukanlah suatu ‘zero sum game’ – kerana kita mencintai agama dan bangsa kita, kita mesti memandang rendah agama dan bangsa orang lain. Kita boleh sahaja berbangga secara bertempat apa pun yang kita warisi tetapi ini tidak bermakna warisan bangsa dan agama orang lain itu seharusnya kita pandang rendah. Percikan dan api kebencian ini pasti merentungkan semua.

  1. Tiga orang seni yang dikenali dunia meninggal dunia pada akhir tahun 2021 dan awal bulan-bulan 2022.

Betty White (17 Januari 1922 – 31 Disember 2021) memang seorang pelakon dan pelawak yang menyenangkan kita. Lawaknya berkesan mencuit hati kita, baik sebagai Rose Nylund dalam siri ‘The Golden Girls’ (1985 – 1992) atau Elka Ostovsky dalam siri ‘Hot In Cleveland’ (2010 -2015).

Saya suka menonton siri dan filem komedi kerana selalunya komedi yang baik, penulis dan pelakonnya pandai memilih kata dan lakonan lucunya tepat dan tidak dibuat-buat. Kadangkala siri atau filem komedi yang baik berulang kali kita sanggup menontonnya; lihat sahaja filem-filem komedi P.Ramlee, berpuluh tahun masih ‘tetap menjadi pujaan hatiku’(memetik kata-kata Aziz Sattar dalam adegan ujian skrin filem ‘Seniman Bujang Lapok’).

Sydney Poitier (20 Februari 1927 – 6 Januari 2022) merupakan pelakon yang berbakat. Mendiang menaikkan nama pelakon dan orang berketurunan Afrika-Amerika kerana watak-watak yang dibawanya bukan lagi yang stereotaip. Beliau juga berpendirian teguh tidak mahu diremehkan kerana keturunan atau warna kulitnya. Filemnya yang sukar dilupakan oleh orang-orang generasi saya tentunya ‘To Sir With Love’. Lagu yang bertajuk sama, nyanyian Lulu, menjadi nyanyian anak-anak muda tahun-tahun 60-an dan awal 70-an itu serta mengingatkan mereka kepada zaman persekolahan mereka. Dan Sydney Poitier sebagai Cikgu Mark Thackeray dalam filem tersebut sukar pula dilupakan pada zaman kanak-kanak dan remaja itu. Dan kekuatan Sydney Poitier sebagai pelakon saya nampak dilanjutkan pada diri pelakon Denzel Washington. Inilah petikan filem dan lagu yang sentiasa malar segar:


Lata Mangeshkar (28 September 1929 – 6 Februari 2022) menyerikan filem-filem Bollywood dan filem-filem bukan Bollywood melebihi 7 dekad. Mendiang dibantu, disokong dan disayangi oleh pelbagai orang – baik yang seagama dengannya atau sebaliknya, sepanjang kerjaya dan hayatnya.

Suaranya lunak dan dialunkan dalam pelbagai bahasa (termasuk juga bahasa Melayu) dan bagi penggemar filem-filem Bollywood tentunya suaranya merakamkan sebahagian kenangan hidup mereka juga. Bagi masyarakat Melayu-Islam di Singapura, terutama mereka yang berusia 50 tahun ke atas, akan terkenang, semasa hidup berkampung, sering mendengar lagu-lagu Hindustan, terutama jam 4 petang dari RTS Bahagian Tamil. Kita turut mendengar suara Md Rafi, Mukesh, Asha Bhosle, Shamsad Begum, Noor Jehan, Talat Mahmood, Kishore Kumar dan lain-lain. Tanpa mengetahui sebahagian besar makna lagu, kita turut menyanyi sama. Dan Lata Mangeshkar merupakan suara yang paling lama bergema sejak tahun-tahun 1940-an lagi. Benarlah mendiang Lata Mangeshkar seorang ‘burung bulbul’ (nightingale) tetapi bukan sekadar untuk benua kecil India sahaja. Ikuti dua versi lagu nyanyiannya.

Sebuah lagu yang indah dinyanyikan mendiang Lata dalam filem ‘Taj Mahal’ (1963) ketika usianya 34 tahun, bersama Md Rafi. Ia menggambarkan kedalaman cinta di antara Shah Jahan, bertakhta dari 1628 sehingga 1658 Masihi (lakonan Pradeep Kumar) dan Mumtaz Mahal (lakonan Bina Rai), dalam kerajaan Mughal di India dahulu [1526 -1858]:

Lagu yang sama dinyanyikan mendiang dalam satu konsert pada 1997 di Mumbai (Bombay), ketika usianya 68 tahun, 34 tahun setelah merakamkan lagu ‘Jo Wada Kiya Who Nibhana Padega’ untuk filem ‘Taj Mahal’ (1963):

  1. Walaupun sedikit kurang sihat, saya sempat meluangkan masa dengan beberapa orang yang memang ingin saya temui misalnya balu Pak A. Ghani Hamid, jiran lama orang tua saya, membawa kerabat saya bertemu ibu seorang kakak ipar saya, bertemu kawan dan kerabat lama serta meluangkan masa dengan sanak saudara, terutama yang masih kanak-kanak/remaja, yang saya gelarkan ‘urchins’. Puas rasanya dapat bersama sebilangan orang ini:

Inilah gambar jiran lama orang tua saya, Mami Sarah dan anakya, Beevi Ayoob. Orang tua saya berjiran dengan Mami Sarah dan suaminya Ayoob, di Broadrick Road, Singapura pada tahun-tahun 50-an dahulu. Saya tidak tinggal serumah dengan keluarga saya ketika itu kerana dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Hubungan jiran sekampung ini diteruskan walaupun kedua-dua keluarga sudah berpindah dari Broadrick Road. Mami Sarah dan suaminya menganggap ibu bapa saya bagaikan saudara tua mereka. Apabila ibu bapa saya berpisah pada Jun 1968, rumah Mami Sarah merupakan rumah yang sesekali ibu saya kunjung. Dan beberapa hari sebelum ibu saya meninggal dunia pada 1975, ibu saya berpesan kepada Mami Sarah agar memasakkannya kuah asam pedas ikan pari – kerana ibu saya akan mengunjungi rumah Mami Sarah Sabtu itu. Mami Sarah seorang yang pandai memasak dan mula menyediakan masakan untuk majlis-majlis perkahwinan sejak tahun-tahun 60-an lagi. Kini bakatnya diteruskan oleh anaknya, Cik Beevi, yang ada beberapa restoran beriani dan lain-lain di Singapura dan luar negara.

Mami Sarah memasakkan kuah asam pedas seperti permintaan ibu saya tetapi beliau tidak sempat menjamahnya. Pada 8 Ogos 1975, ibu saya menziarahi kami di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Beliau akan bermalam di rumah kami (rumah kami ketika itu sebuah rumah privet 2 tingkat, dan walaupun ibu bapa saya sudah berpisah, ibu saya boleh mengunjungi dan bermalam di rumah tersebut, tanpa bertembung dengan bapa saya). Kesihatan ibu saya okey-okey juga ketika itu walaupun beliau sering menghidap migrain sejak dahulu, tetapi beliau tiba-tiba diserang aneurysm ketika hendak ke bilik mandi. Ibu saya kemudian dibawa ke hospital dan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada dinihari, 9 Ogos 1975, hari kebangsaan Singapura yang ke-10. Mami Sarah menanti kedatangan ibu saya ke rumahnya pada Sabtu, 9 Ogos 1975 itu untuk makan asam pedas ikan pari bersama keluarganya. Sayangnya berita yang diterima ialah bepulangnya ibu saya ke rahmatullah. Saya ingin saya bertemu Mami Sarah sejak akhir-akhir ini, lantas jiran-jiran seblok saya yang mengenali anak Mami Sarah, Cik Beevi, mengaturkannya. Kami bertemu di restoran Cik Beevi, Saffrons, di Tampines, Singapura. Senang hati saya bertemu Mami Sarah – 46 tahun setelah ibu saya meninggal dunia, bagi Mami Sarah dan keluarganya, kenangan bersama ibu saya bertempat di hati mereka.

Saya juga sempat membawa seorang kerabat saya, Saijah, bertemu jiran lamanya dan kerabat kami, yang juga merupakan ibu kepada seorang kakak ipar saya. Inilah gambar mereka:

Dan dapat juga saya keluar beberapa kali dengan keluarga berangkai saya – ini merupakan salah satunya – kami makan di Bedok Point, setelah lama ibu saudara saya, Rahijah, tidak makan bersama anak buahnya:

Beberapa orang lain yang sempat saya bertemu 2 – 3 bulan ini, tidak pula semua saya rakamkan dalam bentuk gambar. Dan sempat juga saya bertemu kawan-kawan lama dalam majlis-majlis perkahwinan serta acara-acara yang lain, termasuk keluar menjamu selera atau mengeteh dengan mereka.

7.Bertemu kawan-kawan lama – kawan sekampung, sama membesar ketika remaja, kawan sekolah, kawan sekampus, rakan sekerja dan sebagainya boleh juga menimbulkan semacam ‘kegenjotan’. Ternyata banyak yang telah berubah baik wajah atau penampilan mereka. Tidak semua orang dari zaman silam itu mahu kita temui lagi dan masa menjadi penyaring yang baik untuk kita memilih kawan-kawan yang kita benarkan akrab dan menginap di hati. Semakin kita meniti usia senja, semakin tidak larat kita melayan kerenah yang disalut kepura-puraan atau suka mengambil kesempatan sahaja. Kita memilih yang ‘teruji bandingan’ seperti disajakkan oleh penyair Muhammad Haji Salleh kerana kita tahu yang jumlahnya kecil dan teruji itulah sanggup sedia dan setia bersama kita dalam pelbagai gelombang susah dan senang yang melanda kehidupan kita.

Dan bersama mereka yang akrab ini, sesekali kita terkenangkan mereka yang tiada, yang dahulu bersama kita dengan orang-orang yang kita sayang ini. Cepatnya masa berlalu dan seakan semalam mereka di depan mata kita. Dan ada ketikanya, ternampak sesuatu, terhidu bau tertentu, membaca, menonton atau mendengar percakapan tertentu, kita terkenangkan mereka yang bermakna bagi hidup kita walaupun kini mereka tiada lagi di sisi kerana telah berpulang kepada-Nya.

Adakalanya satu adegan sebuah siri atau filem, boleh sahaja menyentuh hati anda dan mengingatkan anda kepada orang-orang yang anda sayang, walaupun konteksnya mungkin berlainan. Air mata anda mungkin tiba-tiba menitis menonton misalnya adegan terakhir filem Equalizer 2; apabila filem ini menyorot kepada seorang wanita separuh umur, yang berhijab, melihat lukisan di tembok yang dibersihkan dan ditambah, pokok-pokok di sekitar tembok itu yang dijaga, dahulu sering dicantas tetapi kini rapi dipelihara. Dan di tembok yang berdekatan tembok yang dipenuhi lukisan itu, tercatat kata-kata dalam huruf besar: ‘I LEAVE YOU THE BEST OF MYSELF’.

Dan air mata anda mengalir, terkenangkan orang-orang yang anda sayang, yang telah membentuk kehidupan anda seadanya dan walaupun mereka kini jauh atau di alam barzakh, mereka tetap berada di hati anda selamanya…

Salam
Rasiah Halil
27 – 28 Februari 2022.

11 Kuntum Puisi: ‘Paus & Bilis’, ‘Detik-Detik Itu’, ‘Sempadan’, ‘Harapan (iv)’, ‘Nilai (ii)’, ‘Ketika (ii)’, ‘Kerana (ii)’, ‘Tanah’, ‘Kain Seperca’, ‘Hati’ dan ‘Pelayaran’

Paus & Bilis

Paus-paus pun berpesta
menganggap diri raja segara
cepat menentu daerah
melibas yang tidak sekata
hingga hidup-hidupan laut gentar
gerun akan kuasa si mamalia.

Bilis-bilis pun tercerut
bila silap, diaib, dituduh
biar kumpulan bilis goyah
biar pertautan mereka musnah
& suara-suara semakin serak
di perairan sempurna.

Bila paus dianggap adiwira
bilis semestinya adibajingan
& sandiwara itu pun berulang
mengalih naratif
mengaburi sekitar
memusnah kebersamaan
demi paus-paus sakan.

Ditulis: 12 Disember 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Detik-Detik Itu

Detik-detik itu sering berulang
tiap ulang tahunmu, tika-tika tertentu
segalanya bagai tertayang
walau aku maklum masa beredar
pelbagai kisah mencorak kehidupan
tapi detik-detik itu
bagai semberani
menarikku ke suatu zaman –
bahawa banyak yang belum terlerai
banyak lagi yang belum kuhadam
makna kewujudan, kematian
memeta kehidupan.

Betapa bersyukurnya aku
kau mewarnai kanvas hidupku
dengan calitan ikhlas, tabah, reda
kasih sayang, keprihatinan
bahawa di mana pun kita bermula
secarik makna boleh ditempa jiwa
kerana harapan tetap mekar
dalam kegelapan yang berlegar
& jiwa manusia itu besar
menongkah arus
mendayung ihsan
melayari penglibatan
dalam kapal kehidupan
bersauhkan kemanusiaan.

Setelah 30 tahun
masih kurasai kehadiranmu
dalam detik-detik tertentu
keluarga & mereka yang kausayang
nilai & kepedulian yang kausemai
& dari alam barzakh itu
doa & kasihmu tetap mengobori hidupku.

Ditulis: 16 Disember 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Sempadan

Kaucipta sempadan
untuk menertibkan kehidupan
simpang-siur desakan, naluri
agar mengenal diri
kerana sempadan bukan penghalang
sekadar peringatan
hidup ini dibentur nilai.

Bukan kebencian yang ditabur
Maha Pengasih, Maha Penyayang Engkau
sempadan itu untuk manusia
mengatur hidup
membina keluarga, masyarakat
menyumbang pelbagai makna
bagai nukleus
pada atom-atom hayat.

Jika tiada sempadan
bebaslah insan
atau ditipu zaman
nilai dihapus, diubah
naluri & akal tunjangan semata
& kata-kata-Mu nan abadi
disisih sesedap ego, hati.

Sempadan itu keluasan
mengerti batasan
memahami siapa penentu segala
dalam dunia yang ligat berputar
kecelaruan merajalela
keikhlasan Pesuruh-Mu tetap bergema
saratnya rahmat-Mu tiada terhingga
bagi yang mengerti, tawaduk
bagi si pencari yang tiada berputus asa
mengenali sempadan-sempadan itu
& dirinya sekadar hamba.

Ditulis: 24 Disember 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Harapan (iv)

Apakah dengan renyainya hujan
hati kau turut sayu
menanti mendung-mendung berlalu
atau digigil bencana, kesukaran
menunggu terhapusnya Covid-19
& kehidupan yang semakin disesah
tidak lagi dikusutkan pengabaian
penindasan, pertikaian, keserakahan
& mentari bakal menjelma
mencerah angkasa?

Harapan inikah terlalu tinggi
tidak terjangkau si marhaen
bila kehidupan menyebak
bila nafas sesak
& cuaca sering bertukar
kadang merudum kasih, ikhtiar.

Menjelmalah kau wahai harapan
segarkan jiwa kami yang luruh
hidupkan hati kami yang kian lusuh
dengan sinarmu yang kekal menyeluruh.

Ditulis: 1 Januari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Nilai (ii)

Bila nilai-nilai begitu goyah
apa pun boleh diwajarkan, ditukar
dipacu ego, kesempatan
demi kesejahteraan
demi kebaikan
yang heboh diputar-putar
yang picik dijulang-julang
kerana mata hati itu buta
disilau dolar.

Hanya kaca-kaca bersalut
diisytihar permata
dengan nilai rapuh
dengan nurani tohor
sedang manikam disisih
bersama jauhari yang lama dipinggir.

Ditulis: 13 Januari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Ketika (ii)

Ketika zaman membesar itu
sarapan kita apa yang ada
roti, biskut, dicelup
teh, kopi, dihirup
sesekali makan nasi lemak, perata
nasi goreng, nasi bungkus, lontong
roti kaya, tose, kacang phool
& kita berkongsi air batu kepal
bahagia dapat minum cendol, cincau
air kelapa, air tebu, air batu Malaysia
gula-gula, coklat, cemilan yang dibeli
menambah kebahagiaan kita sehari.

Kini ketika memakan yang enak
di restoran mahal, canggih
dalam suasana indah, terpilih
sesekali kita tetap terkenang
ketika-ketika itu
bila makanan tidak semuainya
kita memakan apa yang ada
tetapi berkat air tangan nenek, ibu, ibu saudara
titik peluh datuk, bapa, bapa saudara
yang sedikit itu mencukupi
lazatnya lebih bererti
& dalam suasana yang lebih mewah
yang lebih mengenyang & mengesankan
hanya yang sedikit, kecil-kecilan
semasa zaman membesar.

Ditulis: 28 Januari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Kerana (ii)

Kerana kau tidak pernah berasa
dipinggir semasa bersama
ditombaki kekerasan, cerca
disisih tika muda belia
tanpa tempat berlindung, wang
masa depan berombak, suram
& sering diperlekeh
mengikut rencamnya musim.

Kerana hidupmu serba sempurna
semua dilindungi, tersedia
tidak pernah kau digusari
rezeki yang tinggal secupak
pintu-pintu yang kerap ditutup rapat
sikap dwitara yang melonglai
berkali hancurnya harapan secarik
& mencari makna di tengah terik.

Kerana kau tidak pernah peduli
dibius sekitar penghakis nurani
tidak pernah wujud di hatimu
makna berlapang dada
erti sama sejahtera
atau perkongsian dari jiwa
bila angka & sokongan
merudum keikhlasan yang ada.

Ditulis: 31 Januari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Tanah

Kau boleh robohkan rumah kami
usir kami dari tanah milik berzaman
kau boleh bawa kaum-puak di penempatan
menjadikan kami gelandangan
menghancurkan keluarga
memusnah niaga
kerana bahasamu bahasa senjata
hukummu undang-undang rimba
& aparteid serta genosid
tiada dalam jiwamu sejak mula.

Kukuhkan terus undang-undang rimba
haramkan segala dengan media, dolar
halalkan segala atas dasar anti-semitik
& pukau dunia dengan cerita berulang –
kaulah mangsa pogrom, holocaust
orang-orang yang harus selamanya disokong
apa pun tindakan
kerana si Palestin itu tidak setaraf
berbanding kau, orang-orang pilihan
nyawa mereka murah
masa depan gelap belaka
& tanah mereka serta segalanya
engkaulah pemilik mutlak
halal dilakukan sesuka hati
hingga abadi.

Ditulis: 3 Februari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Kain Seperca

Kain seperca begitu meresahkan
hati-hati yang beronar
melihat dari mata sengketa
menyorok kesumat agenda
menghukum apa pun durjana
kolot
ditindas
konservatif
mundur
tiada toleransi
tidak inklusif
dalam canggihnya dunia.

Hanya kain seperca
di tengah lautan penyanggah
ahli politik & samsengnya
di tengah demokrasi terbesar
Hindutva* menyeringai taringnya
& di merata, laicite* & liberalisme
menjadi hakim adil lagi bijaksana
penentu pakaian & aurat Muslimah
‘pembebas’ kekolotan purba
‘pejuang’ kesejahteraan wanita
tanpa mempeduli
tuntutan agama
makna maruah
erti kain seperca
bagi peribadi & pendirian Muslimah.

*Hindutva: nasionalisme Hindu di India
*Laicite: sekularisme; pemisahan agama daripada kerajaan yang dimulakan di Perancis

Ditulis: 12 – 14 Februari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Hati

Tidak pernah kau memiliki hati
lapang, insaf, murni
segalanya dipacu jual-beli
siapa yang boleh meguntungkan
siapa yang sanggup berdiam
kerana wang & kuasa itu penting
melebihi nurani, prinsip.

Selamanya tidak akan kauhayati
makna kesucian hati, jujur
menjadi mewah tanpa takbur
& sejuta kesenangan
selautan angguk-anggukan
tidak pernah menjadikan kau insan
beradab, prihatin, ikhlas
kerana segumpal hati tidak pernah wujud
dalam jiwamu yang bongkak, kosong.

Ditulis: 17 Februari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Pelayaran

Dalam mayapada nan luas
ciptaan berwarna-warni, pelbagai
di tengah benua, lautan
dari sudut terpencil, di negara kecil
aku memanjatkan doa:
berkatilah daku selamanya
dalam melayari hidup
tika laut kadangkala mengamuk
perahuku hampir musnah, hanyut
hanya rahmat-Mu, Tuhanku,
berkali mengemudikan perahuku
ke perairan tenang, ke rantau teduh
agar aku belajar menghargai
pelabuhan-pelabuhan yang pernah kusinggahi
muatan suka-duka yang perlu kusaringi
demi menjadikan aku nakhoda sejati
meneruskan pelayaran yang ada
ke negeri abadi.

Ditulis: 26 Februari 2022
Tulisan: Rasiah Halil.

Madah Manis & Manja 6

1.Pokok melur di tepi rumah,
Mari menanam si pokok mawar;
Covid-19 bagai tak sudah,
Bilakah dapat ditemui penawar?

2.Sudah kelihatan si pokok cermai,
Buahnya sedap manis sekali;
Jaga kesihatan jangan cuai,
Moga tak lagi Covid menghantui.

3.Pagi-pagi bermain di taman,
Nampak tikus kita berlari;
Kita harap semua bertahan,
Jangan putus asa apa pun terjadi.

4.Manis sedih dunia sekarang,
Manja gerun apa yang terjadi;
Di sini sengketa, di sana perang,
Alam resah tumpang sekaki.

5.Adakah manusia semakin liar,
Kurang peduli & bertambah leka;
Kalau manusia kurang berikhtiar,
Benci-membenci menjadi biasa.

6.Manja mahu hidup yang permai,
Manis suka ada kerjasama;
Kalau kasih sayang tidak disemai,
Musnahlah alam, haiwan & manusia.

7.Menonton filem ada ikan jerung,
Manis & Manja terkejut tiba-tiba;
Semoga manusia bergotong-royong,
Sama berusaha menghilangkan duka.

8.Umur kucing tidaklah panjang,
Ada manusia menongkat langit;
Kalau manusia berhati lapang,
Sejahteralah hidup & kurang bingit.

9.Ada kibbles, ada wetfood,
Berkepit dengan Mak lagi enak;
Masa susah tak selamanya lanjut,
Masa senang tentu lebih banyak.

10. Manja & Manis merenung burung,
Mula ‘bercakap’ mengusik merpati;
Pacakkan harapan jangan termenung,
Segala yang sukar berakhir pasti.

‘Ditulis’ oleh Manis & Manja dengan bantuan ‘ibu’ mereka.
Ditulis: 28 Februari 2022.

Pengajaran Daripada Kisah National Kidney Foundation/NKF (Ditulis Pada Disember 2005)

Laporan firma audit KPMG mengenai Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (National Kidney Foundation/NKF) tentunya memeranjat dan menimbulkan kemarahan masyarakat Singapura. Walaupun kita memaklumi terdapat beberapa hal yang janggal sebelum ini, misalnya mengenai kisah sebahagian tandas di NKF yang bersalut emas, tiket kelas pertama untuk pegawai eksekutif dan sebagainya, tidak sesiapa menjangka penyelewengan yang berlaku demikian mendalam.

Mungkin yang paling menyedihkan ialah hanya 10 sen bagi setiap 1 dolar derma yang diterima NKF dahulu, disalurkan kepada pesakit ginjal. Walhal kerana para pesakitlah sebilangan besar orang di Singapura sanggup menderma, walaupun kita bukan orang senang.

Episod NKF ini bagi Sri adalah satu pengajaran kepada kita, baik sebagai individu, anggota persatuan atau aktivis masyarakat. Tiada seorang pun boleh bertindak seolah-olah dia di atas undang-undang walaupun tujuannya kelihatan baik. Memang hati kita tesentuh mendengar penderitaan orang lain, lebih-lebih lagi cara pemaparan penderitaan tadi demikian realistik. Tetapi dalam era perdagangan ini, kadangkala penderitaan orang lain pun boleh ‘diperdagangkan’ pihak-pihak tertentu bak menangguk di air yang keruh.

Dan kisah NKF ini juga mengingatkan bahawa adalah perlu mementingkan ketelusan dalam mana-mana pertubuhan, syarikat dan badan-badan kebajikan, sivil dan sebagainya. Tanpa ketelusan, sebagaimana kisah NKF ini, perkara-perkara yang buruk disorok dan mereka yang cuba memaparkan keburukan tadi disaman atau disisihkan, lantas masyarakat umum tidak tahu kisah sebenar sehinggalah laporan KPMG yang baru lalu. Kesannya ialah hilangnya kepercayaan sesetengah kita terhadap badan tersebut dan satu lagi kesan, mungkin jumlah mereka yang dapat dibantu NKF juga berkurangan.

Ketelusan itu amat penting dalam menggerakkan hal-hal kemasyarakatan. Tanpanya banyak penyelewengan, baik dari segi kewangan mahupun mendapat habuan tertentu akan berlaku. Kalau sesebuah pertubuhan itu telus dan orang-orang yang mengerakkannya bersikap sedemikian serta amanah dan bertanggungjawab, tiada apa yang harus ditakutkan. Masalahnya, ada sesetengah orang yang diamanahkan menggerakkan sesuatu pertubuhan atau syarikat kadangkala menganggap dialah penentu segala dan tiada siapa boleh menyentuhnya, sebagaimana yang berlaku dalam NKF dahulu.

Banyak tindakan tidak melalui saluran-saluran yang betul dan perkara-perkara yang becanggah dengan prinsip-prinsip tertubuhnya NKF pula disorok-sorok. NKF bagai sebuah empayar ketua eksekutifnya. Bagi Sri, tiada suatu persatuan, yayasan atau syarikat pun boleh bergerak dengan hanya ada ketua eksekutifnya. Dengan adanya kuasa yang diberi kepada seseorang, beriring juga makna tanggungjawabnya.

Apa pun pertubuhan adalah sebuah pasukan sebagaimana olahragawan kita dalam Sukan SEA yang baru berlalu; kita pentingkan ‘Pasukan Singapura’ kerana semua olahragawan memainkan peranan jaya atau gagalnya mereka dalam pertandingan sukan tersebut. Demikian juga dalam persatuan, yayasan dan syarikat. Sri berharap kita akan lebih mengemaskinikan pertubuhan-pertubuhan yang kita terajui dengan mementingkan ketelusan dan sikap amanah dan tangungjawab. Episod NKF ini banyak mengajar kita bahawa setakat hendak berbuat baik sahaja belum mencukupi kalau perkara-perkara yang salah dilakukan.

Apakah kita mementingkan geng sendiri, apakah kita suka benar menonjol-nonjolkan diri dan sekali gus menyatakan kepada masyarakat yang kita lakukan adalah untuk kebaikan mereka sebagaimana kisah NKF ini? Perkara-perkara inlah harus kita jernihkan agar pertubuhan yang kita gerakkan benar-benar memanfaatkan masyarakat.

Ketelusan juga kita perlukan dalam menangani bencana dan musibah seperti bencana tsunami. Sebagai negara kecil, tidak dapat tidak kita harus bersedia menghadapi apa pun kemungkinan, baik bencana alam ataupun sebaliknya. Mungkin ada baiknya orang Singapura diberi latihan menghadapi bencana seumpama ini agar kita bersiap-siaga.

Orang-orang seperti Sri pernah melalui zaman perintah berkurung (curfew), banjir dan sebagainya. Anak-anak kita yang terbiasa dengan keselesaan mungkin menganggap persediaan itu tidak perlu. Tetapi adalah lebih baik kita bersedia daripada menyesal dan merintih suatu masa nanti. Kalau bukan pada zaman hidup kita, mungkin pada zaman lain, tsunami atau bencana seumpama itu akan menjelma dan kita harus bersedia.

Keharuan tsunami sukar kita lupakan, apalagi bagi mereka yang hidupnya masih tergapai-gapai setelah bencana ini. Bagi masyaraklat Islam sedunia, Sri berharap OIC (Organisation of Islamic Countries/ Pertubuhan Negara-negara Islam) dan sebagainya akan mengadakan lebih banyak latihan untuk masyarakat menangani masalah bencana, tenaga kemahiran yang diperlukan serta rangkaian bantuan yang boleh diharapkan untuk menangani masalah ini.

Sebahagian besar mangsa bencana alam adalah orang Islam dan kita tidak boleh sekadar menghulurkan derma sahaja tanpa turut mengadakan rangkaian bantuan, termasuk pekerja mahir yang diperlukan bagi menghadapi masalah-masalah sebegini. Rangkaian bantuan yang telus inilah ‘rahmatan lil alamin’ kerana kita, bersama-sama seluruh penduduk dunia cuba mengurangkan kesusahan orang lain, insya-Allah.

Ditulis: 21 Disember 2005
Tajuk Asal: Ketelusan, NKF Dan Bantuan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 1 Januari 2006
Tulisan: Rasiah Halil.

Bahagian Akhir: Penulis Peribumi Amerika (Ditulis Pada 1996)

Pengenalan

Golongan peribumi Amerika terdiri daripada beberapa puak, di antaranya: Blackfeet, Ojibway, Anishinabe, Hopi, Laguna Peublo, Mohawk, Kiowa, Navajo, Cherokee, Sioux, Omaha, Apache dan lain-lain. Golongan ini tidaklah besar berbanding dengan rakyat Amerika umumnya, lebih kurang 2 juta orang sahaja. Karya-karya yang mereka terbitkan pula mula muncul sejak akhir kurun ke-18.

Keutamaan Karya Mereka

Apakah yang diutamakan dalam karya-karya mereka? Penulisan mereka banyak menerapkan unsur tradisi lisan dan penceritaan mereka yang amat kaya, juga dibantu oleh mitos serta alam semula jadi. Mereka adalah di antara masyarakat Amerika yang mencintai alam, lama sebelum gerakan ‘Bumi Hijau’ dan sebagainya menyerlah di sekitaran kita. Sebagai satu golongan, berbanding dengan golongan Asia-Amerika dan Afrika-Amerika, mereka banyak menerima akibat buruk daripada penjajahan Barat di bumi mereka. Ada golongan dibunuh beramai-ramai, ada dihapuskan melalui pelbagai polisi dan sistem pendidikan, dan tidak kurang pula direndahkan martabatnya sebagai manusia bermaruah dengan budaya dan agama mereka seolah-olah diarkibkan melalui tanah rizab (reservation).

Apakah yang telah mengekalkan kewujudan golongan ini, walaupun hampir dilenyapkan melalui pelbagai peperangan dan polisi? Ada sarjana menganggap golongan ini dapat terus kekal melalui hubungan kekeluargaan yang tradisional, keakraban hubungan dengan tanah tumpah darah serta semua makhluk di dunia, serta kekuatan kepercayaan, bahasa, pendidikan dan cerita-cerita mereka. Seperti masyarakat Melayu yang terkenal dengan peribahasa dan ciri-ciri sastera lisan lainnya, Peribumi Amerika juga memiliki keistimewaan sedemikian.

Penulis Peribumi Amerika

Di antara sasterawan mereka termasuklah John Rollin Ridge, George Copway, Samson Occum, Mourning Dove, D’Arcy McNickle, N.Scott Momaday, James Welch, Gerald Vizenor, Linda Hogan, Joy Harjo, Louise Erdrich, Simon J. Ortiz dan lain-lain. Sebahagian besar penulis-penulis Peribumi Amerika ini berdarah kacukan: campuran Eropah dan Peribumi tetapi mereka tetap menganggap diri mereka Peribumi dengan segala rintangan yang dikaitkan dengan istilah itu.

Sebahagian besar penulis golongan ini digerakkan untuk menulis kerana unsur tanggungjawab sosial yang mendalam yang sehebat unsur individualiti mereka. Mereka mempergunakan mitos dan legenda Peribumi Amerika sebagai perisai untuk membentengi penyakit sosial dan keyakinan yang melanda masyarakat mereka terutama dalam abad ke-20 ini. Kita dapati dalam tulisan-tulisan mereka, terserlah unsur-unsur kemarahan, keterasingan, kehilangan dan lain-lain tetapi ini dibendungi oleh keyakinan padu untuk meneruskan kehidupan dengan menggunakan apa pun sumber yang boleh memanfaatkan. Ada semacam ‘penawar’ dalam tulisan-tulisan mereka kerana kemarahan itu disalurkan untuk meledakkan khasiat bak lahar gunung berapi, dan mereka juga menekankan unsur pembangunan individu dan keupayaan penakatan masyarakat. Dan ini tidak pula dijalinkan dengan siratan propaganda yang hambar.

N. Scott Momaday

Salah seorang sasterawan golongan Peribumi yang amat berbakat ialah N. Scott Momaday. Beliau berdarah kacukan Peribumi Kiowa dan Eropah dan lahir pada 27 Feb. 1934 di Oklahama. Di antara karyanya termasuklah: House Made Of Dawn (1969), The Way To The Rainy Mountain (1969), The Ancient Child (1989) dan lain-lain. Momaday mendapat pendidikan tinggi dan melibati dunia seni dalam pelbagai bidang, selain menjadi profesor Jabatan Inggeris di Amerika Syarikat.

Salah sebuah karyanya, The Way To The Rainy Mountain, mencatatkan semacam autobiografinya: kehidupannya semasa kecil dan sejarah puak Kiowa yang diceritakan oleh neneknya. Ungkapannya amat puitis dan diselangi oleh lukisan oleh bapanya, Al Momaday. Melalui buku yang menarik ini, bukan sahaja dapat kita ketahui kekayaan sejarah dan budaya golongan Peribumi tetapi juga menemui carik-carik kekuatan mereka, walau dirintangi pelbagai halangan.

Novel pertamanya, House Made Of Dawn pula telah dianugerahi Hadiah Pulitzer pada 1969 dan sekali gus mengangkat martabat sastera dan seniman Peribumi Amerika ke persada ‘arus nasional’ kerana Amerika sebelum ini seolah-olah tidak mengenali penulis-penulis golongan Peribumi. Seperti golongan Asia-Amerika dan Afrika-Amerika, terlalu banyak stereotaip yang telah berlaku terhadap golongan ini sehingga masyarakat Amerika keturunan Eropah hanya lebih mengenali apa yang dianggap negatif sahaja daripada golongan ini.

Novel ini berkisar kepada watak Abel yang pulang ke tanah airnya pada 20 Julai 1945 setelah berkhidmat sebagai askar dalam Perang Dunia Kedua. Abel adalah watak yang mengalami keterasingan yang mendalam: tidak memahami warisan bangsanya dan tidak pula diterima oleh masyarakat moden abad ke-20. Abel pulang kepada puak Jemez Peublo; datuknya menjadi semacam ketua di sana. Tarikh 20 Julai itu sengaja dipilih oleh Momaday kerana pada 20 Julai 1692, Diergo de Vargas telah memulakan kempen menghapuskan puak Jemez Peublo dan pada 20 Julai 1863, puak Navajo pula terpaksa menyerah diri di Fort Defiance. Lantas, Abel juga harus mensebatikan tarikh-tarikh yang amat bermakna bagi golongannya.

Untuk mencapai kefahaman dan hikmah dari kewujudannya, Abel terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Dia harus melalui lingkaran nasibnya: berperang dalam Perang Dunia Kedua, dipenjarakan setelah pulang, bertapak di Los Angeles dan akhirnya pulang semula ke daerah Jemez Peublo. Semuanya mengambil masa 7 tahun: angka yang sama ajaibnya dalam kesusasteraan tradisional kita. Abel akhirnya menjadi salah seorang ‘pelari’ dalam ritual puaknya setelah kematian datuknya. Dan ‘pelari’ ini bukan pelari biasa; orang-orang ini harus berlari pada waktu subuh untuk berdepan dengan ‘kejahatan’ dan menyisihkannya daripada kehidupan masyarakatnya. Ritual ini pula, yang sama pernah dilakukan oleh datuknya, mempunyai implikasi budaya yang serius. Dan bagi Abel sendiri, masa dan dugaan hidup telah membolehkannya menemui dirinya. Novel ini banyak menyisipkan unsur tradisi lisan golongan Peribumi Amerika, yang demikian kaya dengan unsur alam dan haiwan-haiwan yang menghuni di dalamnya.

Peribahasa Peribumi Amerika

Membaca karya-karya sasterawan Peribumi Amerika amat memberangsangkan. Keindahannya bukan hanya terletak pada lanskap minda yang digambarkan, bahkan juga kepelbagaian khazanah sastera dan budayanya. Seperti pantun dan peribahasa kita, golongan ini amat akrab dengan alam dan penghuninya. Ini dapat dilihat sebagaimana diungkapkan dalam peribahasa mereka:

I have been to the end of the earth.
I have been to the end of the waters.
I have been to the end of the sky.
I have been to the end of the mountains.
I have found none that are not my friends.

The words of God are not like the oak leaf which dies and falls to the earth,
but like the pine tree which stays green forever.

The soul would have no rainbow if the eyes had no tears.

Kesimpulan: Suatu Pencarian Panjang

Apakah kesimpulan yang dapat saya perolehi selama lebih 3 bulan di Amerika Syarikat mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Programme/IWP) dan membuat kajian ringkas mengenai penulis minoritinya serta menghayati kehidupan di sana?

Bagai menyusuri sungai yang dalam dan panjang, terlalu banyak pelajaran yang saya perolehi secara langsung mahupun tidak langusng, bagai muatan sarat, yang membolehkan saya untuk terus belayar menuju lautan. Bukan semua yang indah di sana; dalam IWP, terdapat juga individu yang prejudis, bersikap dwitara, malah mudah digulai oleh keadaan tertentu. Begitu juga akan kita temui dalam mengkaji karya beberapa orang penulis minoriti Amerika. Tetapi di sebalik beberapa kekurangan ini, keindahan dan keistimewaannya terlalu banyak untuk disenaraikan.

Saya rasa saya banyak belajar dan mendapat iktibar daripada penulis-penulis yang saya temui, karya-karya yang dikaji mahupun menghayati kehidupan sehari-hari di sana. Amatlah mudah untuk menjadi ‘besar’ dan mencipta sastera jenis mi segera tetapi pembabitan saya dalam IWP dan kajian ringkas menunjukkan bahawa melahirkan sebutir manikam itu mengambil masa dan perlu disaksanakan dengan penglibatan yang jujur dalam bidang yang diceburi, kebijaksanaan dan hikmah sebagai manusia yang peka dan berani menentang arus, jika perlu, dan ‘berkorban apa saja’, demi mencipta sesuatu yang benar-benar indah dan bermakna.

Amerika yang saya temui bukan lagi Amerika zaman John Kennedy dan Martin Luther King, semasa zaman kanak-kanak saya dahulu. Ia telah amat berubah; tiap hari boleh kita tontoni ‘Talk Show’ yang kadangkala terlalu terbuka, membaca mengenai anak-anak remaja dengan masalah mereka, adanya majalah dan gaya hidup yang di luar batas kesopanan kita, manusia yang prejudis terhadap kelainan budaya, bangsa dan agama dan lain-lain.

Tetapi di Amerika juga saya temui orang-orang yang amat menghargai seni dan dunia keilmuan, dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha dalam kedua bidang ini. Di antara manusia yang prejudis sama ada orang Amerika sendiri mahupun peserta IWP, lebih ramai yang saya temui itu bersopan-santun, di tempat-tempat awam, seperti bas, restoran, pejabat pos, pasar raya, dewan konsert, kedai buku mahupun berpapasan di tengah jalan dan di rumah kawan-kawan. Mereka juga menghargai nilai-nilai keluarga walaupun banyak kepincangan yang mereka hadapi. Dan terdapat pelbagai buku dan majalah yang demikian baik di sana, seperti mana adanya rancangan televisyen yang bukan sekadar memenuhi ruang tetapi berbobot, misalnya dokumentari alam, seni, dan perbincangan isu-isu semasa.

Ada dua perkara berlaku di sana, yang banyak mengingatkan saya pada tahun 60-an, zaman idealisme Amerika dulu: isu perkauman, yang disirati Colin Powell yang diura-urakan menjadi calon presiden, hingga kepada keputusan mahkamah O. J. Simpson dan akhirnya perhimpunan besar golongan lelaki Afrika-Amerika di Lincoln Memorial pada Oktober 1995, yang disebut ‘Million Man March’, yang ditunjangi Louis Farakhan. Dalam keselarutan tiga perisitiwa yang berangkai ini, yang saya tanyai ialah apakah perubahan dan idealisme yang ditunjangi Martin Luther King dan Malcolm X/Malik el Shabazz itu masih bererti atau tidak lagi menjadi impian yang perlu dicapai, sebaliknya igauan yang mengerikan? Dan satu lagi peristiwa, ialah ‘pengumpulan semula’ kumpulan The Beatles yang ditayangkan pada November 1995. Bagi saya, ini bukan hanya suatu kumpulan muzik tetapi kewujudan dan pencarian mereka melambangkan juga pencarian orang muda ketika itu, dengan semangat idealismenya. Apakah kita kini ‘Free As A Bird’, (lagu gubahan kumpulan The Beatles) sebagai warga dunia atau terlalu dibelenggui masalah peperangan, perkauman, kebencian yang menular kepada segala yang sedikit asing dan lain?

Bagi saya, Amerika akan tetap mempunyai permasalahannya dan sebagai manusia biasa saya tidak perlu menyetujui segala tindak tanduk negara tersebut mahupun rakyatnya. Tetapi keterbukaannya dalam pelbagai bidang yang baik dan keprihatinan sebilangan rakyatnya untuk menggerakkan perubahan dalam hidup sivik mereka, menyuburkan harapan saya. Di Amerika seseorang itu boleh dikorupkan oleh budaya songsang serta gaya hidup yang amat kurang sopan tetapi di sana juga, seseorang boleh membuat pilihan dan mengejapkan apa pun pandangan baik dalam kehidupannya. Dan sama ada seseorang itu rakyat biasa atau penulis minoriti, dengan apa pun campuran darah yang diwarisinya, akhirnya yang penting adalah kehidupan yang dipilih dan dilaluinya dan makna yang diberi kepada kehadirannya di muka bumi ini.

Di suatu sudut dalam hati saya, Amerika yang mula saya kenal bukan sekadar lintasan filem-filem atau sitkom Hollywood yang dapat saya tontoni atau buku-buku popular yang dibaca. Amerika adalah pelbagai musim kehidupan yang seolah-olah telah dipadatkan untuk saya. Dan Amerika bukan sekadar kenangan saya mengalami tiga musim di sana atau enaknya minum coke dan makan pai labu serta kentang goreng. Seperti Abel dalam novel N.Scott Momaday, saya tahu, saya harus meneruskan ‘pelarian’ saya. Dan apa pun warisan yang saya miliki, ia adalah sumber kekuatan, bagai akar-akar tunjang dalam pohon kehidupan saya. Dan saya tahu, warisan terbesar saya ialah menjadi makhluk Allah yang diwujudkan sebagai manusia yang meminati seni. Dan dunia seni ini adalah pencarian dan pelayaran saya yang panjang untuk akhirnya menemui lautan. Seperti kata penulis N.Scott Momaday:

Writing, giving expression to my spirit and my mind,
that’s the way of surviving, of ordering one’s life…….
that’s a way of making life acceptable to oneself
”.

Dan saya akan selalu berterima kasih kerana dianugerahi kesempatan menginap, mengikuti IWP dan membuat kajian di Amerika melalui biasiswa Fulbright ini. Antara IWP dan kajian, manusia yang saya temui dan pelbagai pengalaman dan kenangan, saya tahu, sebuah peta dunia bukan lagi barang maujud yang hanya penting untuk ilmu alam. Sebaliknya, di suatu sudut di Iowa, Mesir, Belanda, Chile, Senegal, Fiji, Tebing Barat atau New Zealand, ada seorang manusia yang saya kenal dan saya panggil sahabat. Dan apa pun bahasa yang kami gunakan, betapa pun jarak antara seseorang, dunia ini menjadi semakin kecil kerana di beberapa tempat dalam peta dunia ini, ada seorang kawan saya menginap di sana. Dan dalam dunia yang semakin mengecil ini, di tengah-tengah peperangan dan kesedaran etnik yang songsang, yang terlebih bermakna dan besar, ialah suara kemanusiaan yang dapat kami bisik dan ucapkan bersama dalam suara kesenian.

Dan akan saya bisikkan ini bersama desir angin, dalam pelayaran seni yang masih terlalu jauh dan panjang, menyusuri samudera kehidupan, insya-Allah.

Disiapkan: 9 March 1996
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) dalam beberapa siri dan tajuk berlainan pada 1996
Tulisan: Rasiah Halil.