Archive | December 2019

Kata Mutiara – 31 Disember 2019

As a physician, I do not lose hope as long as the patient is alive. But when the patient’s condition is deteriorating, I need to be willing and creative enough to search for a new course of treatment. We all need to search for causes of our failure in the human journey to peace and discover why we are not happy, satisfied, and secure. The cause is inside us, not outside us – in our hearts and minds. Hate is a chronic disease, and we need to heal ourselves of it and work toward a world in which we eradicate poverty and suffering. If a free society cannot help the many who are poor, it cannot save the few who are rich from hating one another.

First, we must join together to fight our mutual enemy, which is our ignorance of each other. We must smash and destroy the mental and physical barriers within each of us and between us. We must speak and move forward as one to achieve our brighter future; we are all living in one boat, and any harm to some people in that boat puts us all in danger of drowning. We must stop blaming each other and adopt the values of our, us and we.

Talking is good, but it is not enough. We must act; people are suffering and dying every day. The smallest action is more resonant and crosses more boundaries than any words. As Martin Luther King Jr. said, “Our lives begin to end the day we become silent about things that matter. In the end, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends.”

………………………………………………………………………………………..

We all make mistakes and commit sins from time to time. I know that what I have lost, what was taken from me, will never come back. But as a physician and a Muslim of deep faith, I need to move forward into light, motivated by the spirits of those I have lost. I need to bring them justice.

There’s a story I have been telling in my speeches that sums up the potential of one small act in the face of a situation that seems insurmountable.

A man is walking along the seashore as the tide ebbs, revealing a multitude of stranded starfish. Soon he comes upon a young girl, who is picking up the starfish one by one and returning them to the sea. So he asks the girl, “What are you doing?” And she replies, “They will die if I don’t  get them back into the water.” “But there are so many of them,” the man says. “How can anything you do make a difference?” The girl picks up another starfish and carries it to the sea. “It makes a difference to this one.”

An Excerpt from:  I Shall Not Hate. A Gaza Doctor’s Journey on the Road to Peace and Human Dignity oleh  Izzeldin Abuelaish.  New York: Bloomsbury, 2012, pages 230-232.

1.Banyak yang telah kita lalui sepanjang tahun 2019 ini – sebilangannya tidak disangka-sangka, menjejas kehidupan dan ketenteraman kita. Yang membahagiakan juga turut kita alami, mengingatkan kita betapa dalam apa pun kegelapan, secercah cahaya sering dilimpahkan kepada kita. Semoga pengalaman-pengalaman pahit dan sukar yang kita alami pada tahun ini menjadikan kita lebih tabah dan teguh memegang prinsip hidup kita ketika mengharungi dugaan yang pelbagai ini, insya-Allah.

2. Namun, banyak lagi ciri-ciri kehidupan kita menceria dan membahagiakan kita. Melihat mereka yang kita sayangi membesar dan belajar bertanggungjawab serta meramahi manusia dan sekitar mereka, harapan kita mekar terhadap masa hadapan. Dan walaupun ada yang mengguris dan mencalar kehidupan kita, melihat mereka yang muda-muda atau mendekati mereka yang semakin berusia dan dilanda pelbagai penyakit dan kesukaran, kita semakin insaf, betapa dalam segala keterbatasan kita, kita bersyukur kita masih dapat bersama orang-orang ini – menyayangi dan menghormati mereka sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Dan kasih sayang itu mekar dalam apa pun suasana.

3. Dalam meningkatnya usia, sebilangan kita tiada daya dan masa untuk semakin meremehkan sisa-sisa waktu yang ada. Kita belajar memilih dan meluangkan masa hanya untuk beberapa hal dan lebih bijak untuk menghargai mereka yang kita benar-benar sayang dan hormati daripada kalangan kerabat dan sahabat. Kita menghargai mereka yang sudi bersama kita – dalam susah dan senang kehidupan kita – dan tidak pernah membataskan keprihatinan dan kasih sayang mereka kepada kita melalui apa pun kedudukan, pangkat, wang ringgit yang kita ada atau tiada. Allah sahaja membalas jasa baik sebilangan insan yang prihatin terhadap kita dan tawaduk dalam meramahi dan memudahkan kehidupan kita.

Semoga tahun baharu 2020 ini memberi kita visi/wawasan yang lebih jelas,  baik dan menyeluruh, meneguhkan persahabatan dan persaudaraan kita dengan mereka yang kita sayang dan memudahkan kita menjalani kehidupan ini dengan lebih tabah, aman dan penuh kesyukuran. Amin.

Salam
Rasiah Halil
31 Disember 2019.

5 Kuntum Sajak: ‘Beban’, ‘Habitatku’, ‘Seberkas Kasih’, ‘Sekam’ dan ‘Nota Bene Kepada Harapan’.

Beban

Dia pun dianggap beban
disisihkan pelbagai lingkungan.

Bersedih & kecewa
diseka air matanya
ditanam azam yang kalis duka
agar tidak bergantung kepada sesiapa.

Dia mula menjadi pohon
berbunga, berbuah, melindung.

Dia menjadi ikan
mengharungi sungai & lautan.

Dia bertukar menjadi burung
terbang di angkasa bebas.

Dia menjadi gumpalan awan
menerawang di kanvas alam.

Dia kemudian menjadi gunung
terpacak dengan keteguhan.

Seterusnya dia menjadi planet
berputar dalam galaksi tanpa sempadan.

Akhirnya dia menemui dirinya
tanpa menjadi beban kepada sesiapa
hanya bergantung kepada Pencipta.

Ditulis: 4 Disember 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Habitatku

Akankah habitatku diganggu lagi
demi keselesaanmu
flora & fauna yang menghuni di sini
digoncang tusukan MRT
terowong sedalam 70 meter
& kami digetar untuk sekian lama
hanya untuk menjimatkan wang
memendekkan 6 minit perjalanan
atau si kaya yang enggan MRT berdekatan?

Tahukah kau makna kehilangan
atau segalanya sekadar transaksi
wang = keselesaan = kemajuan
ke mana nanti harus kami pergi
setelah habitat-habitat dihapus, mengecil
segalanya mendera, bising
kenderaan, perumahan, bangunan
& kami akan terus terpinggir
kecuali di taman-taman haiwan
yang tidak sepenuhnya mensejahterakan.

Siapakah nanti akan menanggung
bila bencana melanda
sanggupkah kau membunuh secara ansuran
keturunan & habitat kami
kerana mahu dianggap maju, canggih
tapi enggan belajar dari alif
bahawa alam yang ditusuk tidak berdiam
walau bertahun ia senyap
tapi boleh bila-bila meledak
& memusnahkan sekitar.

Ini habitatku
belajarlah prihatin
untuk hidup bersama
atau kau sekadar mahu yang canggih
terkini,  menguntungkan
sedang tanah ini bukan orang tengah
mementingkan komisyen, upah
aku serta flora & fauna telah berkurun di sini
sebelum sebilangan kau ada
atau memahami erti alamiah, saksama.

Ditulis: 6 – 10 Disember 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Seberkas Kasih

Seberkas kasih itu tiadakan pudar
walau suasana & musim bertukar
ia membuka ruang-ruang baharu
kunci-kunci yang diberi dahulu
& kita melihat hamparan luas
untuk diisi, dikongsi
kerana seberkas kasih yang pernah dititipkan
mekar dalam pelbagai keadaan
menertipkan, memberi makna
kasih yang wujud ke akhirnya.

Ditulis: 16 – 18 Disember 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Sekam

Benua kecil itu memang terkenal
industri perfileman, sekular, demokrasi terbesar
kini ia bagaikan sekam
setelah Kashmir, Ayodhya
setelah BJP berkuasa
& lantangnya CAA*, NRC*
menjeblos asas perjuangan –
Gandhi, Nehru, Abul Kalam Azad
bila Assam menggelegak
200 juta Muslim bagai dijerat
& ramai yang turut bersuara
tika sejarah dinoda, diubah
demi kepentingan puak, siasah
& benua kecil itu seakan menyingkir
semua, kecuali puak-puak utama
kasta & dwitara bertakhta
bijaknya Modi mencontohi Xi & Hitler.

Sekam itu akan terus membara
menghangusi kemurniaan bersama
bila idea-idea songsang dijulang
meminggir & memperlekeh sesama insan.

*CAA – Citizenship Amendment Act /Akta Pindaaan Kerakyatan
*NRC – National Register of Citizens/ Daftar Rakyat Kebangsaan

Ditulis: 23 – 26 Disember 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Nota Bene Kepada Harapan

Kau sering menghilang bila diingini
lesap bagai berlegar ke lain galaksi
sedang kecelaruan semakin berbusa
kebencian, pembunuhan, kekejaman, petaka
merobek-robek secarik bahagia.
Di manakah akan kau kucari
dalam dunia yang canggih tapi bertatih
memaknakan kemanusiaan murni
dengan nurani tercalar, kepedulian merudum
& kehidupan diselubungi ilusi
tapi masih kunantikan dikau
memercupkan pelbagai tunjangan
akar-akar adab & kehidupan.

Betapa kau seakan menghilang
kau tetap diperlukan, menanjap,
di hati yang merindui damai, kesejahteraan.

Ditulis: 18 – 31 Disember 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Pinggir Tahun (Ditulis Pada Disember 2003)

Bird 1Bird 3

Bird 4Bird 5

Hari-hari terakhir tahun 2003 telah pun mendatangi kita. Terasa cepatnya masa berlalu; seolah-olah hanya baru semalam kita menyambut tahun baharu 2003. Dalam pelbagai tuntutan yang perlu kita penuhi, masih sempat sebilangan kita membeli-belah di sana sini sebagaimana kita saksikan kesesakan di tempat-tempat awam dan jalan-jalan raya. Yang masih ada cuti, tidak melepaskan peluang untuk bercuti atau berehat sahaja di rumah.

Berakhirnya tahun selalunya menimbulkan semacam kesedihan di hati kita. Kalau mereka yang muda dan remaja lebih bergembira menyambut tahun baharu, kita yang lebih dewasa sering terfikir-fikirkan mengenai masa-masa yang berlalu. Dulu kita juga demikian ceria menyaksikan beralihnya tahun lama ke tahun baharu tetapi kedewasaan dan tuntutan kehidupan memberi kita perspektif lain untuk tidak sekadar bersuka ria sahaja. Ini tidak pula bermakna kita harus bermuram durja. Kita mungkin lebih banyak terkenang masa lalu dan terfikirkan masa depan yang bakal menjelang berbanding dengan zaman-zaman remaja kita dahulu.

Banyak yang telah berlalu setahun ini, secara peribadi mahupun sebagai warga dunia. Dunia kita semakin mengecil dengan berita dari seluruh dunia menerpa melalui televisyen ke ruang tamu kita 24 jam dengan berita-berita mutakhir. Kita menjadi gerun melihat dunia yang semakin kacau bilau dan diresahi sengketa yang semakin canggih dan mendalam. Dan dalam hiruk pikuk suara perang, permusuhan dan anasir-anasir yang songsang, masih kita dengari juga suara-suara  kemiskinan, kelaparan, pelarian, penghidap penyakit berbahaya, penindasan dan lain-lain. Terasa betapa tidak berdaya kita menyaksikan perlakuan-perlakuan yang menghiris nurani kita ini kerap terpapar di media massa. Seoalah-olah yang menggaris-bawahi kemanusiaan kita adalah tindakan-tindakan yang kurang wajar ini dan segala-galanya demikian gelap menghantui kita.

Ada di antara kita masih lagi menghadapi masalah kerana pembuangan kerja; ada masih terkenang mereka yang telah pergi, sama ada kerana SARS atau sebab lainnya, dan ramai juga masih belum tenteram mengenai isu- isu sandang pangan. Ada di antara kita terpaksa membuat perubahan mendadak kerana kenyataan baharu yang tiba-tiba melanda kita. Dan yang masih terkial-kial pun bukan sedikit jumlahnya. Yang goyah dan goyang banyak terjadi dan ada pula seolah-olah diingatkan pada tahun-tahun 50-an dan 60-an bila keadaan-keadaan yang hampir serupa melanda. Kegelapan terasa dalam pelbagai bidang kehidupan kita.

Memanglah suatu kelumrahan hidup untuk berlegar-legar dalam kemurungan.. Tapi seperti diingatkan oleh peribahasa kita: ikut hati, mati; ikut nafsu, lesu. Kita terpaksa keluar dari lingkaran kesedihan ini, walaupun hati kita masih terguris oleh pelbagai peristiwa yang menimpa kehidupan kita dan dunia. Kesedihan sahaja bukanlah jawapan bagi segala masalah kita kerana kita mungkin terbelenggu dalam lingkaran itu untuk selama-lamanya dan tertinggal jauh dari rentak kehidupan semasa. Kita terpaksa melangkah, walau hanya bersuluhkan harapan sepelita.

Sri teringat sebuah sajak berjudul The Darkling Thrush tulisan Thomas Hardy. Sajak ini meng-gambarkan seekor burung yang riang berkicau ketika musim salji di penghujung tahun. Keadaan di sekelilingnya begitu malap dan sejuk tetapi burung itu ceria menyambut bukan hanya tahun baharu, malah kurun baharu (kurun ke-20):

The Darkling Thrush

I leant upon a coppice gate
      When Frost was spectre-grey,
And Winter’s dregs made desolate
      The weakening eye of day.
The tangled bine-stems scored the sky
      Like strings of broken lyres,
And all mankind that haunted nigh
      Had sought their household fires.

 The land’s sharp features seemed to be
      The Century’s corpse outleant,
His crypt the cloudy canopy,
      The wind his death-lament.
The ancient pulse of germ and birth
      Was shrunken hard and dry,
And every spirit upon earth
      Seemed fervourless as I.
 
At once a voice arose among
      The bleak twigs overhead
In a full-hearted evensong
      Of joy illimited;
An aged thrush, frail, gaunt, and small,
      In blast-beruffled plume,
Had chosen thus to fling his soul
      Upon the growing gloom.
 
So little cause for carolings
      Of such ecstatic sound
Was written on terrestrial things
      Afar or nigh around,
That I could think there trembled through
      His happy good-night air
Some blessed Hope, whereof he knew
      And I was unaware. *

Kenapakah seekor burung dengan segala keterbatasannya boleh demikian ceria dan kita yang diberi potensi terbesar untuk berharapan dan berkebajikan sesama makhluk, seolah-olah hanyut daripada memegang tali harapan?

Sesiapa yang telah melalui ranjau dugaan dan masalah tahu bukan mudah menyemai benih harapan dalam keadaan-keadaan seumpama tanah-tanah gersang. Tetapi tanpa menapak ke arah ini, kekecewaan kita akan terus menggelapi kehidupan kita. Memang bukan mudah, tetapi untuk berharapan, terutama meniti tahun baharu ini, bukan pula sesuatu yang mustahil. Dan alternatifnya bukanlah pilihan kerana ia lebih pahit daripada hempedu dan jadam.

Kita mungkin banyak terkenang menjelang tahun baharu ini, tapi biarkan segala kenangan itu menjadi mangkin untuk membolehkan perubahan-perubahan yang lebih baik. Yang lepas tidak akan datang lagi, tetapi yang kini yang perlu kita jaga dengan rapi. Kadangkala kita terpaksa tutup buku mengenai perkara-perkara pedih kerana kalau tidak, kesannya akan berlarutan dalam kehidupan kita. Seperti kata Jean-Paul Sartre: kita tak boleh menukar masa silam tetapi kita boleh, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, merubah kesannya terhadap masa kini kita.

Yang ada hanyalah masa kini dan masa depan; yang berlalu tak akan lagi menjelang. Biarlah kita berperisaikan harapan menghadapi tahun yang mendatang kerana dengannya, insya-Allah, jiwa kita akan diperkasakan untuk menghadapi apa pun dugaan. Sebagai orang Islam, kita telah dipesan oleh Nabi saw agar jangan berputus harapan dan sebagai hamba-Nya kita harus bersyu-kur di atas segala yang telah diberikan-Nya dan juga segala yang Allah tidak berikan kepada kita. Dengan bersyukur dan berharapan, apa pun yang terhampar pada tahun baharu ini, insya-Allah dapat kita menghadapi dengan lebih tenang dan cekap,. Selamat Tahun Baharu 2004!

[*Hanya bahagian akhir sajak ‘The Darkling Thrush’ ini (yang saya gelapkan dalam rencana di atas in), saya sertakan dalam rencana Sri Anggerik terbitan Berita Minggu dahulu kerana ruangan Berita Minggu yang terbatas. Namun, dalam blog ini, saya sertakan keseluruhan sajak Thomas Hardy ini untuk renungan kita.]

Ditulis: 25 Disember 2003
Tajuk Tersiar: Lebih kurang seperti tajuk yang saya beri di atas.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada akhir 2003.
Tulisan: Rasiah Halil.

Ekonomi Gawat Tapi Usah Mati Akal… (Ditulis Pada Februari 1999)

Gawat 1Gawat 2

Gawat 3Gawat 4

Di mana-mana anda pergi tak habis-habis orang berbicara pasal gawat, betul tak? Memang ini isu penting dan menjejas kehidupan kita, lantas dibualkan di mana-mana saja, baik di kedai kopi, pusat membeli-belah, pasar malah bila bertemu masa beraya. Dan seperti kita terbaca di akhbar-akhbar, tahun ini kegawatan ekonomi dunia dan rantau kita mungkin tidak akan pulih sepenuhnya. Kata orang, masa-masa sukar menjengah dan menanti kita, jika kita belum lagi mengalaminya. Dan masa-masa begini kita mungkin terkenangkan kisah-kisah lama.

Bagi mereka yang telah melalui Perang Duania Kedua dan zaman-zaman sebelum dan sesudahnya, pasti lebih maklum makna kegawatan ekonomi. Kalau anda tak percaya tanyalah orang-orang tua kita. Kata pepatah, keperluan itu ibu (asas) bagi penciptaan. Betapa benar pepatah ini semasa zaman-zaman sukar yang pernah kita alami.

Masa zaman Jepun, kata nenek Sri, orang kita pandai membuat baju sendiri, buat sabun, tayar, malah mempelbagaikan jenis makanan daripada bahan-bahan yang amat terbatas. Bagaimana ini boleh berlaku? Sebab, manusia itu kaya dengan kekuatan diri untuk menghadapi apa pun rintangan yang dialami, seperti kata penulis Ernest Hemingway: ‘Manusia tidak boleh dikalah (oleh keadaan)’. Zaman tetap melahirkan masa-masa senang dan sukar, seperti dinyanyikan P. Ramlee: ‘Oh dunia ibadratnya roda/naik turun tiada hentinya…’ tapi Sri yakin kita ada keupayaan untuk menghadapi kesukaran sedemikian.

Mungkin anda akan berkata Sri ini tak realistik, maklum, mungkin Sri ini tak pernah mengalami kesusahan. Tapi tiap kita Sri pasti pernah mengalami kesukaran, baik dalam bentuk kecil atau besar. Ingatkah anda pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an dulu? Apa yang ibu bapa anda lakukan bila gaji bulanan tak mencukupi? Ada di kalangan ibu bapa kita berjualan – pisang goreng, nasi lemak, epok-epok, sate dan lain-lain. Malah ada yang mengambil upah membasuh dan menggosok kain baju orang, jadi pekebun, pemandu ‘pak wan ca’ (teksi ‘privet’/sapu zaman itu) secara sambilan, selain melakukan kerja-kerja tetap.

Bila terpaksa, Sri percaya, kita berupaya melakukan apa saja yang halal untuk menampung kehidupan kita dan keluarga. Itulah Sri rasa antara kelebihan kita sebagai manusia. Kita berani keluar dari keterbatasan kita; kalau kita tak pandai berbahasa Inggeris, kita berupaya mempelajarinya, kalau tak tahu pasal komputer, kita sanggup mengikuti kelas, walaupun kata orang otak kita dah berkarat, tapi sekarat-karatnya otak kita, bukan karatnya besi tapi karat ubi, ya kan? Dan bila ada peluang untuk meningkatkan diri dalam pekerjaan, kita sahut cabaran demikian walaupun ini bermakna kita terpaksa banyak berkorban, tapi pengorbanan untuk tujuan yang baik, tentu tak sia-sia, kan?

Teringat Sri zaman dulu-dulu. Nenek dan datuk Sri pernah juga hidup sedikit senang. Dikatakan kain batik lepas nenek Sri sahaja harganya berpuluhan dolar pada zaman kain batik lepas tak sampai lima ke sepuluh dolar pada tahun-tahun 40-an dan 50-an. Tapi perniagaan datuk Sri merosot kerana dijejas beberapa hal dan beliau tidak dapat lagi berniaga. Apa yang nenek Sri lakukan? Beliau menjual kain-kain batiknya yang wangi dan mahal, dijadikan modal dan berniaga kecil-kecilan. Inilah yang membantu menghidupkan keluarganya dan menyalakan semangat datuk Sri agar tabah menghadapi dugaan.

Demikian juga ibu bapa Sri. Bapa Sri juga berniaga pada zaman 1940-an sehingga 1960-an itu. Satu masa beliau ditipu seseorang dan perniagaannya tak dapat diteruskan. Tapi bapa Sri tak mati semangat, sebab beliau yakin, selagi berusaha, Allah tetap memberi rezeki. Bapa dan ibu Sri terpaksa berjualan kuih-muih, mi siam, air dan lain-lain untuk menampung keperluan kehidupan dan menyimpan modal. Dan dengan modal itu dan kearifannya mengetahui seluk-beluk perniagaan, perniagaan lamanya dapat dihidupkan semula dan alhamdulillah dapat berkembang pada zaman itu.

Kenapa Sri berpanjang lebar pasal ini? Sebab Sri lihat ada di ka;langan kita macam sudah hilang semangat kerana ekonomi yang gawat. Kita geram, marah-marah dan semakin rasa tertekan dan menimbulkan suasana yang semakin kurang tenang dalam keluarga kita. Memanglah tak salah berasa marah, geram dan sebagainya dan semua anggota keluarga haruslah saling memahami dan membantu keadaan sedemikian. Tapi akhirnya kita terpaksa berbalik kepada diri sendiri – apakah yang perlu kita lakukan agar peristiwa begini tidak berulang? Cukupkah kemahiran kita? Pengetahuan kita? Persiapan pekerjaan kita? Jika tidak, mungkin masa-masa gawat inilah masa terbaik untuk kita menimba ilmu dan menambah kemahiran. Dan kemahiran itu tak semestinya yang besar-besar; belajar memandu kren, kenal komputer, bahasa Inggeris, tahu menjahit langsir, buat kuih, jaga anak orang, mengajar sambilan  dan sebagainya, semuanya boleh menambahkan pendapatan, kalau kita sanggup belajar dan meluangkan masa untuk melakukannya.

Sebab kadangkala, walaupun sukar, gawat itu menimbulkan semacam pembaharuan dalam kehidupan agar kita lebih bijak, cermat, jimat dan pandai mensyukuri nikmat yang diberikan kepada kita. Ini sebagaimana yang dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Saloma dalam lagu berjudul ‘Manusia’:

Tetapi manusia
seharusnya berusaha
bahagia takkan datang sendiri
jika manusia tiada cari…

Ditulis: 3 Februari 1999
Tajuk Asal: Gawat Dan Syukur Nikmat
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 7 Februari 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Album Lagu: Soulful Within Azman (Ditulis 1998)

Azman

Pendahuluan

Okarina ialah sejenis alat muzik berbentuk telur ataupun keledek yang dikatakan berasal dari bandar Budrio, Itali, pada 1860. Alat muzik tiupan ini dinamakan “angsa kecil” dalam bahasa Itali dan diperbuat daripada tanah liat ataupun logam. Ia menjadi popular pada tahun 1930-an apabila okarina ini dibuat dalam pelbagai bentuk dan dimainkan mengiringi lagu-lagu popular zaman itu di Amerika Syarikat.

Sejarah juga menunjukkan bahawa okarina, walaupun dimasyhurkan di Itali, alat muzik ini dalam bentuk yang lebih awal telah dicipta beberapa zaman sebelum 1860. Di negara China, sejenis alat muzik menyerupai okarina yang dipanggil “hsuan” telah digunakan pada tahun 3000 sebelum Masihi. Demikian juga ditemu alat yang hampir serupa di zaman awal Afrika Selatan dan di Lembah Mexico, di kalangan kaum Aztek. Namun, di Italilah alat muzik ini menjadi terkenal ke seluruh dunia.

Apakah keistimewaan alat muzik ini? Seperti kebanyakan alat muzik tiupan, ia mengeluarkan bunyi yang mendayu. Lebih daripada tiupan seruling, tiupan okarina amat lembut dan menenangkan sesiapa yang mendengarnya, terutamanya setelah sehari suntuk bekerja keras dan menginginkan kerehatan fikiran.

Album Okarina Azman

Azman, peniup okarina album, kali pertama diperkenalkan kepada alat muzik ini pada 1988. Iramanya demikian meruntun jiwanya sehingga beliau sanggup mendalami ilmunya dalam bidang ini di Budrio, Itali pada 1991. Dan beliau juga telah membuat beberapa persembahan dalam Pesta Seni Singapura dan beberapa konsert untuk mengetengahkan alunan muzik dari okarinanya.

Album ini memuatkan 16 buah irama; 13 daripadanya lagu Inggeris, 1 lagu Melayu,  lagu Thai dan 1 lagu Jepun (untuk lagu Jepun, digunakan alat muzik alto recorder). Lagu-lagu ini dikenali ramai dari zaman 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Lagu-lagu tersebut ialah: All Kinds Of Everyting (dipopularkan oleh Dana), Those Were The Days (Mary Hopkin), Melody Fair, Morning Has Broken (Cat Stevens), Edelweiss (Vince Hill- dipopularkan dalam filem The Sound Of Music), Diamond & Rust, (Joan Baez), Amazing Grace (Judy Colins), Blowing In The Wind/Where Have All The Flowers Gone (Bob Dylan), Norwegian Wood (The Beatles), Don’t Cry For Me Argentina, Sundown (Gordon Lightfoot), 500 Miles (Bobby Bare), Both Side Now, Di Tanjong Katong (Saloma), Loy Kratong dan Kojo No Tsuki.

Kebanyakan lagu ini berentak perlahan dan ada pula diperindahkan dan “dimelayukan” dengan menyisipkan alunan gambus dan arkordian, misalnya lagu Those Were The Days dan Norwegian Wood. Demikian juga dengan lagu Di Tanjong Katong yang sedia membelai rasa seni kita dan semakin menarik dihidupkan oleh tiupan okarina. Kerana kebanyakan lagu yang dipilih sememangnya indah, tiupan okarina Azman dan penyusunan muziknya semakin menyegarkan ingatan kita kepada lagu-lagu yang malar segar ini dan sekali gus mendamaikan perasaan. Malah tidak terasa oleh kita bahasa asal lagu-lagu ini kerana alunan okarina Azman telah seolah-olah menghilangkan sempadan bahasa lagu asalnya dan membawa kita ke daerah baharu: muzik tenang yang tanpa sempadan kata.

Penutup

Album Okarina : Soulful Within Azman ini kita alu-alukan dan berharap langkah sulung Azman adalah tapak pertama untuk beliau terus melangkah jauh ke alam seni okarinanya. Dan kita menanti lahirnya album-album beliau seterusnya, terutama yang memuatkan lagu-lagu Melayu yang malar segar.

Ditulis: 2 Januari 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Penilaian Dan Habuan Sastera Serta Integriti

Buku 3Buku 2

Pendahuluan

Dalam akhbar The Straits Times (12 Disember 2008), dinyatakan bahawa Singapura akan mengadakan dua hadiah baharu dalam bidang sastera. Satu, hadiah yang khusus untuk sastera kanak-kanak yang isinya harus bercorak Singapura atau Asia. Dan yang kedua, diadakan Anugerah Buku Asia, semacam Man Asian Literary Prize di Hong Kong. Selain itu, dalam rencana tulisan Stephanie Yap itu, disentuh juga perubahan-perubahan yang dipertimbangkan oleh pihak Majlis Buku Kebangsaan Singapura bagi Hadiah Sastera Singapura untuk tahun-tahun seterusnya  iaitu:

  1. Pemenang berturut-turut bagi Hadiah Sastera Singapura tidak lagi dibenarkan kerana mahu memberi peluang kepada penulis-penulis yang baru muncul.
  2. Bahawa sejumlah besar isi kandungan karya yang menang mestilah karya yang belum diterbitkan di mana-mana.
  3. Pemenang harus menjalankan bengkel sastera dan terlibat dengan program membimbing penulis-penulis baharu.

Beberapa Perkara Yang Perlu Difikirkan

Saya ingin menyentuh mengenai Hadiah Sastera Singapura dahulu sebelum membincangkan hal-hal lain. Sekali pandang, apa yang dipertimbangkan oleh Majlis Buku Kebangsaan itu memang kelihatan baik, namun setelah mendalaminya, beberapa perkara perlu juga difikirkan oleh pihak Majlis Buku Kebangsaan. Ada beberapa isu timbul kerana terdapat maklum balas bahawa ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati kerana orang yang sama, Md Latiff Md, memenangi Hadiah Sastera Singapura sebanyak tiga kali berturut-turut. Dan isu ini pula berkaitan dengan soal penilai dan penilaian serta beberapa perkara lain.

Tujuan Hadiah Sastera Singapura yang diadakan dua tahun sekali adalah untuk memartabatkan sastera Singapura dalam keempat-empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris, seharusnya dipuji. Sebagai peminat dan penggiat sastera, kita mahu karya-karya terbaik kita mendapat pengiktirafan. Tetapi, adakah dengan tidak membenarkan mereka yang pernah mendapat hadiah ini daripada mendapatnya pada tahun-tahun mendatang, lebih memanfaatkan sastera Singapura?

Saya rasa tidak; apa yang mungkin berlaku adalah sebaliknya. Hadiah ini adalah untuk karya terbaik Singapura, tidak kira penulis itu adalah penulis baharu atau veteran. Yang dinilai adalah karyanya bukan penulisnya. Kalau penulis muda ingin digalakkan dalam bidang penulisan, dan ini seharusnya dilakukan, bukan dengan membataskan siapa pemenang hadiah ini, hadiah-hadiah lain boleh dan telah juga diadakan. Sekadar contoh, ada hadiah-hadiah dalam bahasa Inggeris (di luar Singapura) untuk buku pertama tetapi Hadiah Booker terbuka untuk semua penulis. Dan orang yang sama juga boleh diberi Hadiah Booker lebih sekali, walaupun sejauh ini belum ada penulis yang memenangi Hadiah Booker berturut-turut.

1.’Berpantang’

Apa yang mungkin boleh difikirkan ialah, seseorang yang baru memenangi Hadiah Sastera Singapura tidak harus menerima hadiah yang sama, dua tahun atau empat tahun akan datang apabila penilaian dibuat oleh Majlis Buku Kebangsaan, tetapi dia boleh sahaja mendapat hadiah itu selepas ’waktu pantang’ itu. Ini tidak menjamin bahawa karya-karya terbaik Singapura mendapat hadiah tertinggi itu kerana penulis yang dalam pantang itu mungkin sahaja menulis karya-karya terbaik dalam tempoh dia ’tidak dibenarkan’ daripada mendapat Hadiah Sastera Singapura itu, tetapi sekurang-kurangnya peluang yang lebih luas dapat juga dikecapi oleh penulis-penulis lain. Penulis berbahasa Melayu tadi boleh sahaja memenangi hadiah-hadiah tertentu dalam pembahagian anugerah dalam Majlis Bahasa Melayu/Anugerah Persuratan dalam tahun-tahun dia ’berpantang’.

Satu fakta yang kita perlu akur, seseorang penulis itu mengambil masa yang lama untuk ’menjadi’. Kalau kita membataskan sesebuah hadiah untuk penulis yang baru muncul sahaja, kita sebenarnya tidak memberi pengiktirafan yang seharusnya kepada mereka yang baik dan lama berkecimpung dalam bidang penulisan. Sekadar contoh, Suratman Markasan melahirkan novel Tak Ada Jalan Keluar (terbit 1962) ketika menyertai peraduan menulis novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1958. Beliau berusia 28 tahun ketika mencipta novel pertamanya. Tentunya novel tersebut terdapat banyak kekurangan kerana Pak Suratman ketika itu belum lebih menguasai bidang karyanya. Tetapi novel-novelnya dalam usia yang meningkat seperti Subuh Hilang Senja, Penghulu Yang Hilang Segala-galanya, Tiga Lelaki dan sebagainya ternyata kekuatan teknik dan isi kandungan karya lebih dapat dikuasainya. Sekadar contoh sahaja, apakah Pak Suratman akan dinafikan hadiah-hadiah tertentu kerana beliau adalah penulis veteran, padahal karya-karya terbaiknya hanya muncul dalam usia yang lebih matang?

2.Penilai dan Penilaian Sastera

Saya rasa perkara yang lebih penting, bukan ’pengharaman’ seseorang penulis mendapat Hadiah Sastera Singapura atau hadiah-hadiah lain anjuran badan-badan lain, tetapi pada penilai dan penilaian yang dibuat terhadap sesebuah karya yang diberi hadiah tertinggi. Secara etika, seseorang yang menulis prakata atau kata pendahuluan bagi sesebuah karya seharusnya tidak menjadi penentu pemenang Hadiah Sastera Singapura atau lain-lain hadiah. Dia boleh sahaja menjadi tukang kumpul karya yang amanah tetapi dia seharusnya tidak dibenarkan menjadi ketua hakim atau penilai karya tersebut. Penilaian adalah perkara subjektif tetapi sebagai badan-badan yang memberi hadiah, pengiktirafan dan habuan sastera, kita seharusnya harus mengurangkan unsur-unsur subjektif ini; tidak membenarkan mereka yang menulis prakata atau kata pendahuluan sesebuah karya menjadi penilai karya dan yang penting lagi, ketua hakim, dapat membantu hal ini.

Berkaitan dengan hal ini, mereka yang terlibat dalam pembikinan sesebuah buku sama ada sebagai editor, konsultan, penerbit, duduk dalam jawatankuasa pemberi geran penerbitan dan sebagainya  seharusnya juga tidak terlibat dalam penilaian sesebuah karya yang diberi oleh Majlis Buku Kebangsaan, Majlis Bahasa Melayu dan lain-lain. Tanpa mengurangkan unsur subjektiviti ini, setiap kali sesebuah buku mendapat pengiktirafan, akan ada di kalangan khalayak sastera yang merungut dan tidak berpuas hati.

3.Jumlah Karya Yang Pernah Dan Belum Tersiar

Satu lagi perkara yang dipertimbangkan Majlis Buku Kebangsaan ialah soal karya-karya yang menang, sejumlah besarnya harus belum tersiar di mana-mana. Masalah ini mungkin tidak menjejas mereka yang menulis dalam bahasa Inggeris kerana tiada ruangan sastera di Sunday Times untuk puisi, cerpen dan esei dalam bahasa Inggeris sebagaimana terdapat ruangan-ruangan sastera di Berita Minggu, akhbar-akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil. Mereka yang menulis dalam bahasa Inggeris boleh menghantar karya-karya mereka ke jurnal-jurnal sastera antarabangsa tetapi sebilangan besar mungkin menerbitkan antologi puisi atau cerpen yang belum tersiar di dada akhbar kerana tiada ruangan sastera untuk mereka di sini. Kemungkinan karya-karya yang belum pernah tersiar itu dibukukan, dalam bahasa Inggeris bukanlah suatu kemustahilan.

Bagaimana pula mereka yang menulis dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil? Kecuali novel, yang jarang dapat disiarkan secara bersiri, lantas lahirnya sesebuah novel itu adalah karya baharu, lain-lain genre sastera, yang dibukukan, mungkin tidak lagi dianggap ’karya baharu’ kerana sebilangan besarnya telah pun lahir di akhbar atau jurnal sastera. Karya-karya yang tidak disiarkan sebilangannya kerana tidak diterima untuk penerbitan (kerana kelemahan karya itu sendiri atau ruangan sastera yang terbatas) atau penulis sengaja tidak mahu menghantarnya kerana beberapa sebab. Lantas, kalau sebilangan besar karya-karya yang belum pernah terbit (kecuali novel) dipentingkan oleh pihak penilai hadiah, besar kemungkinan karya-karya terbaik kita akan diketepikan kerana yang tidak pernah tersiar, yang mungkin bukan yang terbaik daripada seseorang penulis itu yang dipentingkan.

Bagi karya-karya berbahasa Melayu, mungkin satu dua perkara lain boleh difikirkan, apabila kita memberi Hadiah Sastera Singapura atau hadiah-hadiah pemberian Majlis Bahasa Melayu dan sebagainya. Apa pun buku yang diulang-cetak tidak akan dipertimbangkan untuk mendapat hadiah sebegini kerana penilaian terhadap karya-karya begini seharusnya dilakukan lebih awal lagi. Bagi karya-karya yang pernah disiarkan tetapi belum dibukukan, ia seharusnya boleh dinilai untuk sesuatu hadiah. Kalau sebahagian karya itu telah pun dibukukan dan sebagiannya belum, walaupun sudah disiarkan di akhbar dan jurnal, jumlah yang munasabah di antara karya yang pernah dibukukan dan yang belum dibukukan  sama ada 50% karya yang pernah dibukukan dan 50% belum dibukukan , 40%  dengan 60% atau 60% dengan 40%  dan sebagainya boleh dipertimbangkan. Bagi puisi, cerpen, esei, drama dalam bahasa Melayu yang belum dibukukan, yang langsung belum pernah disiarkan di mana-mana, hatta di lelaman web pun, adalah sesuatu yang agak mustahil juga. Lantas, kayu ukur ini seharusnya difikirkan semula oleh pihak Majlis Buku Kebangsaan dan lain-lainnya. Kita akan ’kehilangan’ karya-karya yang baik jika kita tidak berhati-hati; antologi puisi Perahu Melayu Di Lautan Khulzum karya Johar Buang tidak akan mendapat Anugerah Persuratan anjuran Majlis Bahasa Melayu tahun 2007 kalau kriteria Majlis Buku Kebangsaan digunakan kerana sejumlah besar puisi dalam antologi tersebut telah tersiar dalam antologi-antologi terdahulu Johar dan juga akhbar Berita Minggu. Jadi, biarlah kita lebih adil dan saksama dalam penilaian karya-karya yang dibukukan.

4.Menganjurkan Bengkel Sastera Untuk Pemenang Hadiah Sastera

Pertimbangan ketiga pihak Majlis Buku Kebangsaan memang baik tetapi ia harus diperhalusi. Bagaimana seseorang dapat menjalankan bengkel sastera atau menjadi pembimbing sastera bagi penulis-penulis muda, kalau dia baru menceburi bidang ini? Sekadar mendapat sesuatu hadiah, bagi penulis baharu atau yang telah lama bergiat tidak menjamin dia boleh menjalankan bengkel sastera atau menjadi pembimbing bagi penulis muda. Ada penulis memang boleh menulis tetapi tidak boleh menjalankan bengkel sastera. Dan ada penulis muda masih mencari tukikan mereka dan mungkin perlukan galakan daripada penulis-penulis lama, bagaimana pula dia akan disuruh menjadi pembimbing? Mungkin yang boleh difikirkan ialah sesuatu yang boleh diterima atau ditolak oleh penerima Hadiah Sastera Singapura iaitu pemenang tersebut digalakkan berkongsi pengalamannya mencipta karyanya atau hal-hal seumpama itu dan bagi mereka yang bersedia, menjalankan bengkel atau menjadi pembimbing kepada penulis lain. Saya rasa lebih banyak perkara yang boleh diperhalusi agar penerima Hadiah Sastera Singapura dapat memanfaatkan sastera Singapura tanpa membebankan penerima tadi, jika dia berasa demikian.

Akhir Kata

Mengenai adanya hadiah untuk Hadiah Sastera Kanak-kanak dan juga Hadiah Sastera Asia, tentunya ini boleh memanfaatkan sastera Singapura khususnya dan sastera Asia umumnya. Tetapi seperti hadiah-hadiah yang diberi Majlis Bahasa Melayu, badan-badan sastera dan penerbitan, pemberian geran, hadiah dan habuan oleh Majlis Seni Kebangsaan, hatta pemilihan karya untuk program ’Baca Singapura” dan sebagainya, yang terlebih penting ialah soal integriti dalam penilaian-penilaian yang dibuat terhadap karya-karya yang dipilih dan juga sumbangan sebenar seseorang itu.  Kalau sesuatu hadiah, habuan dan pengiktirafan itu hanya berlegar di kalangan orang-orang yang sama, dan orang-orang lain seolah-olah tidak wujud, atau kita ’menyeranai-hitamkan’ orang-orang tertentu dan membenarkan ’mutual admiration club’ berleluasa serta menjadikan bidang sastera untuk  ’para pelobi’ atau ’geng-geng’ tertentu sahaja, besar kemungkinan sastera kita akan semakin malap dalam erti kata sebenar. Soal subjektiviti itu akan sentiasa wujud tetapi menjadi tanggung jawab pihak-pihak tertentu, termasuk jawatankuasa pemilihan dan penilaian karya sastera untuk mengurangkan unsur ini dalam usaha kita untuk menghidup dan mengembangkan sastera kita.

Sekadar contoh, dalam penulisan berbahasa Inggeris, penulis-penulis Robert Yeo, Suchen Christine Lim dan Kirpal Singh adalah penulis-penulis yang baik dan karya-karya mereka dikaji di Jabatan-jabatan Inggeris di banyak negara. Tetapi tiada seorang pun mereka diberi anugerah SEA Write Award dan sebagainya walaupun Suchen Christine Lim pernah diberi Hadiah Sastera Singapura kerana novelnya* (*Robert Yeo hanya diberi Anugerah SEA Write Award pada 2011 dan Suchen Christine Lim pada 2012.) Sebagai penggiat seni sebilangan kita tahu ketiga-tiga penulis ini tidak disukai oleh orang-orang tertentu, lantas orang-orang lain, yang adanya baru menyumbang dan belum sebaiknya, yang diberi habuan itu dan ini, bukan mereka. Demikian juga dalam soal pemilihan dan penilaian karya sastera dan penyumbang sastera Melayu. Kalau soal integriti tidak kita pentingkan, hanya orang-orang tertentu yang akan mendapatnya dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan mendapat pelbagai habuan berkaitan dengan sastera. Demikian juga apabila kita menulis buku atau entri mengenai perkembangan sastera Melayu Singapura, kita akan membesar-besarkan diri dan kawan-kawan kita sahaja, seolah-olah kita dan kawan-kawan kitalah penyumbang terbesar sastera Singapura. Bagaimana pula perkembangan sastera kita kalau perkara-perkara begini terus berlaku; nanti yang terbaik dipinggirkan dan yang pandai melobi dan angkat-mengangkat sesama sendiri yang mendapat pelbagai pengiktirafan. Betapa ini semua mendaifkan sastera kita.

Ditulis: 16 Disember 2008
Tersiar: Ruangan ’Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada Dis. 2008  atau Jan. 2009.
Tajuk Yang Disiarkan:  Berbeza sedikit daripada tajuk yang diterakan di atas.
Tulisan: Rasiah Halil.