Archive | August 2019

Dua Kuntum Sajak: ‘Impian’ dan ‘Belalang’

Impian

Ada impian begitu segar
berbanding kenyataan –
langkah-langkah yang pernah dilalui
jambangan yang memekarkan hati
bergumul dengan masa silam, cita-cita
murni bak menguntumnya bakawali
seharum melati, mawar
kiranya kejora di balik awan
pudar, dengan terbitnya fajar.

Ada kasih mendalam
pada ruang-ruang di hati
tempatnya terlalu istimewa
walau masa berlalu
hidup bergerak linear
kuncinya disimpan penghuni lama
meski hati semakin lapang
mentafsir erti kasih, pilihan
dengan syukur, reda
namun yang silam sesekali menjelma
memercikkan bunga apinya.

Yang silam sekadar impian
bak pelampung
memastikan kita prihatin, tabah
& tidak berterusan hanyut.

Ditulis: 26 Julai 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Belalang

Si belalang di mana-mana
mengerumuni bandar & taman
bertebaran di estet perumahan
pusat ilmu, ruang legar
sibuk merayapi sekitar
seolah-olah merekalah helang.

Bila belalang berhamburan
ramai yang tertarik & terkesima
tanpa bijak membeza
belalang dengan helang
lantas berasa bertuah
belalang di tengah-tengah mereka
menambah nilai suasana.

Betapa tidak dijangkau
kemusnahan yang dibawa
bila belalang licik memukau
& penghuni semakin muflis
tanpa pernah mengenal helang
dengan nurani & minda tinggal sifar.

Ditulis: 27 Julai 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Sejauh Manakah Anda Sanggup Berkorban? (Ditulis Pada 27 Februari 2002)

Makkah

Sesiapa yang pernah menunaikan haji atau umrah pasti terkenang-kenang akan Tanah Haram semasa perayaan Hari Raya Haji baru-baru ini. Tiap kali takbir bergema dan tiap kali dilaungkan : Labaikallahumma labaik, labaika lah syarika laka baik, innal hamda wannikmata laka walmulk, la syarikalak…lain pula perasaannya. Kita mungkin rasa terpanggil, bukan hanya untuk mengenang bahkan kalau boleh, ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci lagi. Dan kita mungkin, dalam sibuk mengerjakan ibadah korban dan kunjung-mengunjung, terkenang-kenang makna pengorbanan sebenar yang dituntut daripada kehidupan kita.

Memang Hari Raya Haji tidaklah semeriahnya disambut di daerah kita.  Tapi bagi sese-tengah kita, pengertiannya lebih mendalam jika dibandingkan dengan Hari Raya Puasa. Siapakah yang tidak akan tersentuh mendengar cerita Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. dan pengorbanan kedua-duanya. Bahawa tiada apa pun yang penting, dalam natijah terakhir, kecuali Allah, adalah satu pelajaran yang akan kita cuba contohi sepanjang hayat kita. Dan bukanlah mudah mencapai tahap seperti mereka, maklumlah kita manusia biasa. Banyak yang menghuni di hati kita dan paling sukar sebenarnya melakukan sesuatu benar-benar kerana Allah, walaupun lidah mudah mengatakannya. Banyak pengorbanan yang dituntut daripada kehidupan kita untuk menjadi  hamba Allah yang beriman dan melorongkan kehidupan kita ke jalan kebaikan-Nya.

Sri teringat lagu nyanyian P.Ramlee dalam filem Hang Tuah: ‘Berkorban apa saja/harta atau pun nyawa/ itulah kasih mesra/sejati dan mulia’.  Kita terpaksa berkorban, meluangkan masa, tenaga dan wang, demi membina keluarga yang baik dan bahagia. Demikan juga, tak dapat tidak, mesti ada rasa pengorbanan untuk memberi nilai-nilai hidup yang murni, pendidikan dan kemahiran untuk anak-anak kita agar mereka mudah melayari bahtera kehidupan mereka. Dan sebilangan kita juga terpaksa berkorban menggerakkan badan-badan kebajikan demi kesejahteraan masyarakat kita. Tetapi mungkin pengorbanan-pengorbanan lain juga dituntut daripada kita.

Ada di antara kita, besar sangat egonya, lantas seharusnya ini dikorbankan demi kemanfaatan diri dan semua. Tak kurang pula ada yang suka ‘korban’kan orang lain melalui politik di pejabat dan sebagainya kerana taasub dengan kedudukan dan pangkat; pakai nampak orang ini mestilah diberi tafsiran pengorbanan yang lebih sempurna. Ada orang pula suka sangat dengan publisiti dan ingin sangat digelar tokoh atau jaguh dan sanggup mengorbankan apa saja untuk mencapai maksudnya, orang demikian juga terpaksa belajar dari alif, makna pengorbanan yang dituntut agamanya. Tidak kurang pula ada di antara kita sanggup berkorban, asal dapat wang dan nama, dan meminggirkan soal-soal pokok dalam kehidupan kita. Banyak yang harus kita korbankan demi menjadi masyarakat madani, tapi biarlah yang kita korbankan itu perkara-perkara yang tak baik dalam diri dan masyarakat kita, seperti kata pepatah, yang baik buat teladan, yang buruk buat sempadan. Kadangkala dalam soal pengorbanan ini, sesetengah kita menggunakan peribahasa ini terbalik kot….

Keputusan peperiksaan GCE peringkat ‘O’ diumumkan minggu ini dan mungkin juga peperiksaan GCE peringkat  ‘A’ tak lama selepas itu. Tiap tahun ramai anak muda kita melanjutkan pelajaran tetapi ada juga yang terkandas cita-citanya kerana tidak dapat meneruskan pelajaran dalam bidang yang diminati. Ini berlaku kerana keputusan yang diperolehi tidak memenuhi kehendak bidang yang diminati atau kerana masalah kewangan. Dan kadangkala anda terpaksa ‘berjalan jauh’ untuk mencapai cita-cita anda kerana masalah-masalah sedemikian. Memang terdapat banyak lowongan di Singapura untuk anda mencapai cita-cita anda; pokoknya anda mesti pandai mencari dan membuat penilaian yang saksama. Jangan mudah terikut-ikut kawan, pada hal anda tak tahu ke mana arah tujuan anda. Seperti kata pepatah Inggeris: one man’s meat is another man’s poison.

Bila anda tahu arah anda, lebih mudah untuk melangkah, walaupun mungkin mengambil masa. Bila anda tak tahu arah, anda mungkin cuba semua dan terperangkap di lorong-lorong yang tak akan membawa anda ke mana-mana. Alangkah sedihnya jika satu hari nanti  anda hanya boleh berkata ‘kalaulah…’ padahal hidup anda boleh lebih positif jika tidak bersandarkan perkataan ‘kalau’. Dan dalam isu masa depan, anda juga mesti pandai berkorban. Memang syiok mengikut hati muda, tapi mungkin masa depan anda tergadai kerananya. Biarlah kita belajar berkorban, sama ada menceburi bidang lain bila tiada peluang kita dalam satu-satu bidang, tekun berusaha sama ada menelaah atau mencari nafkah demi cita-cita atau mencukupkan wang untuk persekolahan kita . Pokoknya, kita tidak mati semangat dengan apa pun keputusan yang kita perolehi dan terus menghidupkan semangat kita bagi menghadapi apa pun cubaan dan dugaan kehidupan.

Banyak jalan masih terbentang, kalau terpaksa bertatih, bertatihlah sementara orang lain berlari, tapi pengorbanan kita tak akan sia-sia; kita akan sampai juga walau terlambat sedikit berbanding dengan yang lainnya. Yang pentting kita masih berjalan walaupun jalannya penuh ranjau dan kita tidak hanya mengenang untung nasib dan bersedih saja……

Ditulis: 27 Februari 2002
Tajuk Asal: Kita Dan Pengorbanan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 3 Mac 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Terkenang Semasa Dulu (Ditulis Pada 6 Ogos 2003)

Lagu R. Azmi yang berbunyi: Terkenang semasa dulu/ hatiku terasa pilu… bagai dimain-mainkan sejak beberapa hari ini. Mungkin kerana terasa beberapa kepiluan yang dialami orang-orang yang Sri kenal, lagu ini seakan diputar-putarkan dalam benak Sri….

Masa lalu itu selalu kita terkenang, walaupun yang kita kenang itu bukan semuanya indah. Tetapi tarikan masa silam itu sama ada dalam bentuk lagu, filem, gambar, tempat-tempat kenangan, lukisan, buku, masakan tertentu dan lain-lain, sering menimbulkan nostalgia kita. Dan menyambut Hari Kebangsaan ke-38 ini juga menimbulkan pelbagai kenangan bagi sebilangan kita.

Bagi Sri sekeluarga, munculnya Hari Kebangsaan menimbulkan suatu kenangan yang memilukan, sebagaimana yang Sri catatkan setahun yang lalu dalam ruangan ini. Ibu kandung Sri meninggal dunia pada Hari Kebangsaan Singapura. Bagi Sri sendiri, pemergian ibu Sri menimbulkan banyak perkara emosi yang rasa-rasa Sri belum terlerai. Hanya masa dan kedewasaan memberi Sri pelbagai jawapan dan peleraian bagi isu-isu tersebut. Namun, setiap Hari Kebangsaan Singapura, tak dapat tidak, akan Sri terkenangkan ibu Sri.

Sri dibesarkan oleh datuk dan nenek Sri dan hanya dalam darjah dua (bulan Mei 1964), baru Sri menginap dengan keluarga Sri. Terasa bagai orang asing semasa tinggal dengan keluarga Sri, kerana hubungan kami pada mulanya tidaklah serapat hubungan Sri dengan keluarga berangkai nenek Sri. Keterasingan ini lebih terasa dalam hubungan Sri dengan ibu Sri. Banyak unsur psikologi menghambati hubungan yang lebih akrab di antara kami sehingga Sri pernah menganggap mungkin Sri bukan anak kandung ibu bapa Sri. Namun, pemergian ibu Sri dalam usia muda, amat memeranjatkan kami sekeluarga.

Dan hanya beberapa jam sebelum beliau meninggal, ibu Sri sempat duduk di sebelah Sri dan berbual-bual serta meletakkan tangannya di belakang kerusi yang Sri sandar, sesuatu yang tak pernah beliau lakukan kepada Sri sebelum ini. Beliau juga menggunakan tuala Sri untuk bermandi pada malam itu. Dan ketika jenazah beliau dibawa pulang pada pagi Hari Kebangsaan itu, ia diletakkan di atas katil Sri. Adik Sri yang  turut membawa jenazah ibu kami, terasa bagaikan Sri yang dibawa pulang, kerana wajah Sri, berbanding dengan adik-beradik Sri yang lain, paling mirip wajah ibu Sri kecuali mata kami yang berlainan warna dan badan Sri yang lebih tinggi dan besar. Betapa banyak persamaan kami dan terasa betapa sedikitnya Sri benar-benar mengenali wanita yang semasa hayatnya mengalami pelbagai dugaan hidup, yang mewariskan bukan sekadar mirip wajahnya bagi kehidupan seorang anak….

Sebuah negara juga bagaikan seorang ibu: kadangkala kita kurang mengenalinya melainkan kita turut sama dalam pelbagai ranjau duri perjalanan kedewasaannya. Ada di antara kita pernah menyanyi beberapa lagu kebangsaan misalnya: God Save The King/Queen, Kimigayo, Majulah Singapura, Negaraku dan akhirnya Majulah Singapura sekali lagi. Ramai yang masih ingat pelbagai kesukaran yang pernah kita alami dan atasi dan ramai pula yang terkenang zaman-zaman yang lebih sederhana itu. Kebanggaan sesetengah kami pada masa itu bukanlah seperti pertunjukan-pertunjukan canggih dan penampilan selebriti yang diadakan kini. Bagi kami, dapat pergi ke Padang atau menyaksikan kontinjen-kontinjen yang berlalu dari Padang, sudah menyenangkan. Demikian juga, suatu kebanggaan kami ketika awal-awal tahun itu: adanya kumpulan bag-pipers yang kehadirannya selalu kami nantikan-nantikan. Tanpa sebarang cenderahati, Hari Kebangsaan seolah-olah membawa lebih makna kerana yang hadir benar-benar mahu menyaksikannya.

Ada juga orang terasa, mungkin dalam masa-masa sederhana dan sukar itu, rasa kebersamaan kita lebih padu dan kukuh. Kerana kebanyakan kita hidup secara sederhana dan bilangan yang kaya segelintir saja, cita-cita untuk sama-sama berusaha bagi masa depan bersama lebih dapat dipacu dengan saksama. Keadaan hidup yang serba berubah dan canggih, dengan taraf hidup yang berbeza-beza, sedikit menyukarkan rasa kebersamaan yang pernah kita alami dulu. Dan mendung-mendung yang meruangi angkasa kita sejak beberapa tahun ini juga semakin memuramkan sekitaran dan keceriaan kehidupan sesetengah kita, terutama dalam meraikan Hari Kebangsaan kita.

Seorang yang Sri kenal, pernah bergenang air matanya semasa menyanyikan lagu Count On Me Singapore, ketika beliau menginap di luar negara dan meraikan Hari Kebangsaan Singapura di Suruhanjaya Singapura di negara tersebut. Katanya, dia terasa asing menyambut Hari Kebangsaan kerana suasananya berlainan dan hatinya sedih mengenangkan apakah dia dan ramai lagi akan ‘be counted’ atau menyanyi untuk bersuka-suka sahaja. Apakah dia dapat turut menyumbang dalam bidangnya atau nanti, dia sekadar di pinggiran, menyaksikan negaranya berubah dan bertukar dan dia sekadar penyaksi, kerana yang mahu ke depan itu terlalu ramai tak terperi? Aku bukan burung yang singgah sebentar atau semut yang hanya mencari gula tanpa pertautan dengan bumi yang kupijak, demikian antara kata-kata kawan Sri.  Dan Hari Kebangsaan sering menimbulkan nostalgia dan perasaan-perasaannya yang begini.

Apa pun yang dialami, seorang anak tetap menghargai dan mendoakan ibunya serta memaafkan kisah-kisah silam yang pernah menghambatinya kerana dia tidak akan melupakan jasa seorang ibu yang melahirkannya. Mudah-mudahan sebuah ibu pertiwi juga akan memberikan semacam kelapangan untuk anak-anaknya agar sama-sama berasa kasih sayangnya serta menghayati  rasa kebersamaan yang jati walau betapa berlainan dan berbezanya anak-anak kelahirannya…..

Ditulis: 6 Ogos 2003
Tajuk Yang Tersiar: Berlainan Sedikit Daripada Tajuk Yang Tertera Di Atas.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 10 Ogos 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Kenangan Mengusik Jiwaku: Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura

RH Images LLTK1RH Images LLTK2RH Images LLTK4RH Images LLTK5

RH Images Lorong L Telok Kurau

[Gambar-gambar berwarna yang saya ambil pada tahun ini (2019)  dan gambar hitam putih yang diambil pada 1966. Inilah rumah saya, di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Wanita yang sedang duduk itu ibu saya, Halimah bte Md Dali/Kassim. Rumah ini, setelah 1966, ditambah dengan sengkuap (awnings) dan lain-lain. Pokok-pokok bunga  lebih banyak ditambah di ruang depan rumah dan juga pokok-pokok ru serta buah ditanam di halaman depan dan belakang rumah.]

Kadangkala sebuah rumah memberi makna yang mendalam bagi kehidupan kita. Lama setelah meninggalkan rumah tersebut, kenangan kita masih berpusar kepada belahan-belahan kehidupan kita yang pernah meruanginya. Demikianlah rumah saya dulu di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.

Daerah Telok Kurau dan sekitarnya merupakan sebuah perkampungan yang tenang. Terdapat pelbagai kaum yang menghuni daerah tersebut. Selain orang Melayu, terdapat juga orang Baba Peranakan, Tionghoa, Peranakan India, India, Serani, Arab dan sebagainya. Tiada rumah-rumah tiga tingkat atau kondominum, malah rumah teres pun hanya wujud pada tahun-tahun terakhir 70-an. Terdapat rumah sebuah yang setingkat dan dua tingkat dan terdapat juga rumah-rumah panggung Melayu, selain rumah-rumah sewa.

Pada mulanya terdapat  dua buah kedai runcit di Lorong L, Telok Kurau, yang kemudian tinggal sebuah sahaja. Kedai runcit yang sebuah ini, berdepan rumah saya,  dipisahkan oleh sebatang lorong. Dan di sebelah kedai runcit ini, terdapat sebilangan rumah Melayu kepunyaaan keluarga berangkai Tok Din Tairu (Khairuddin) dan Miss Tijah Bangsawan, termasuk keluarga menantu mereka, S. Kadarisman. Terdapat juga keluarga berangkai Tok Din dan Miss Tijah Bangsawan di bahagian permulaan jalan Lorong L, Telok Kurau Road ini. Sebilangan kerabat keluarga Tok Din dan Miss Tijah Bangsawan inilah merupakan kawan-kawan sekampung saya.

Kedai runcit yang tinggal satu itu, sebuah kedai ‘Kaka’ (kepunyaan orang India Muslim) ini kemudian disewa oleh sekeluarga orang Tionghoa – yang kedua-dua anaknya berkawan dan dikenali orang-orang kampung . Nyonya kedai ini yang menguruskan kedai runcit tersebut kerana suaminya sakit. Beliau juga mengajar menjahit kepada orang-orang kampung. Nyonya ini menjadi semacam anak angkat kepada nenek saya – dengan nenek sayalah tempat beliau mengadu dan nenek saya pula, bila memasak masakan tertentu, memberi nyonya masakan tersebut.

Di sebelah kanan rumah saya, terdapat rumah-rumah sewa – rumah bawah dan ada juga semacam rumah panggung. Kebanyakan penghuninya orang Tionghoa. Hampir setiap petang/ malam, akan kedengaran seseorang meniup seruling.  Sayu terdengar pada waktu petang atau malam.

Di sebelah kiri rumah saya, juga terdapat beberapa rumah sewa, ada yang berbentuk seperti rumah panggung Melayu. Salah seorang jiran saya ini, nyonya peranakan, yang kami panggil ‘Bibik’, mempunyai seorang anak bernama Lai Neo. Lai Neolah menjadi sahabat saya dan beberapa orang. Berdekatan rumahnya ada pokok dakwat yang tinggi. Di sanalah kami bermain buai. Apabila Bibik sekeluarga dan jiran-jiran lain berpindah, kerana tanah mereka dibeli pihak kuil, sebelah kiri rumah saya dijadikan Toh Peh Kong. Setiap Disember, di depan kuil ini diadakan persembahan wayang/opera Cina untuk beberapa malam. Saya ingat saya dan nenek saya serta ada juga kawan-kawan sekampung menonton opera Cina ini, yang sering dipersembahkan pada waktu petang hingga malam. Berwarna-warni segala-galanya, termasuk pelakon-pelakon opera ini yang berhias di belakang tirai tetapi masih sempat kami intai.

Dan di halaman depan rumah saya, yang berumput dan kemudian ditumbuhi pohon-pohon ru, ada saudara tua saya sesekali memainkan filem/wayang Hollywood (macam wayang terbuka) untuk ditonton orang-orang kampung. Riuhnya bukan main. Demikian juga riuhnya semasa beberapa majlis seperti berkhatan, perkahwinan dan sebagainya diadakan di rumah dan perkarangan rumah saya di Lorong L itu.

Bersebelahan Lorong L, yang boleh ditembusi dari rumah-rumah kerabat Tok Din, terdapat sebuah masjid, ketika itu lebih luas perkarangannya, Masjid Abdul Aleem Siddique, terletak di Lorong K, Telok Kurau Road.  Setiap kali azan dan orang bertarhim sebelum subuh, boleh kedengaran dari rumah saya. Masjid ini menjadi juga tumpuan orang-orang kampung, kerana mudah ke sana. Ada aktiviti kelas agama, syarahan serta belajar bermain kompang di sana.  Dan tidak jauh dari Masjid Abdul Aleem Siddique, terdapat gelanggang tenis, milik Persatuan Tenis Melayu Singapura.

Rumah saya di Lorong L ini membawa banyak kenangan bagi kehidupan saya dan mereka yang turut menghuni dan membesar di sana. Bapa saya membeli sebidang tanah di tempat tersebut pada 1965 dan kemudian mendapatkan khidmat  seorang arkitek untuk membina rumah  kami sekeluarga. Kami mula menginap di rumah tersebut pada 1966. Banyak kenangan saya di sana – yang baik dan yang kurang baik – tetapi tempat inilah, selain Jalan Kobis, berdekatan Kaki Bukit, Sims Avenue, Kampong Wak Tanjong dan satu dua tempat lagi – mengingatkan saya kepada erti berkampung halaman, berkerabat dan bersahabat.

Saya tidak lagi menghuni di rumah Lorong L itu  sekitar Jun 1980 dan pada awal 1982, rumah peninggalan bapa saya ini dijual. Namun, dalam mimpi dan pelbagai kenangan saya, saya selalu ‘pulang’ ke rumah saya di Lorong L, Telok Kurau Road ini. Betapa bermakna kelihatan segalanya dan terdapat jalur-jalur bahagia pada zaman membesar itu dan dalam ‘kepulangan’ saya ke masa silam itu, rasa gembira saya sering dibaurkan kesedihan kerana saya sering terkenangkan mereka yang telah tiada.

Hanya sebuah rumah dan sebuah kampung, betapa ia mengukir tapak-tapak kenangan kita sepanjang hayat…….

Hujan Di Kala Senja

Hujan di kala senja
menyambut mesra kawan-kawan dari sekolah
kakak dan abang dari pejabat
sambil ia terus berirama
dalam kesepian menanti malam.

Ia terus mencium
Lorong L, dengan lampu-lampu terang-benderang
payung-payung & baju-baju hujan
& kilat turut menyambar
seolah, ingin memulakan suatu drama.

Hujan ini menari
di tepi-tepi longkang & rumput
bila cahaya kereta menerang
di tengah jalan.

Turun hujan ini
dalam kesibukan menanti azan
& malam
irama Ilahi berkumandang
menyeru pada jalan kemenangan.

Semakin hilang cahaya  senjamu
hujan, hatiku dengan seribu kenangan
semalam, kami putarkan rekod (pemberian Abang)
& dengan stokin-stokin panjang, kami
seolah bermain salji & ski
bersama Abang di RAF Cottesmore
membuat beribu-ribu snowman.

Di kala itu kami tidak berbanglo
hanya sebuah rumah yang buruk & tua
tapi dalam kesederhanaan
kami mengenal rasa cinta
& bahagia.

Di tepi jendela ini
hujan semakin reda
seperti redanya hatiku
menanti esok.

Dan Lorong L, yang sebentar tadi lengang
kini sibuk kembali
mengejar & mengejar
seperti derasnya hujan tadi
terdengar & terpandang:
yang bersiul, yang bercakap, yang berjalan,
yang mengayuh, yang memandu
slesy…slesy…slesy…roda menyapa jalan
air hujan berpercikan.

Bunyi seruling sayu & merayu
di belakang rumah
seperti sayunya titis hujan
di kala senja.

Senja di bibir malam
kehilangan intan-mutiaranya
& hujan terus berbakti sayu
membawa kenangan
padaku di tepi jendela.

Hujan di kala senja
adalah kenangan semalamku bersama keluarga
adalah kehadiran sekarangku dari masa hingga masa.

Ditulis: 19 Oktober 1973
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar: Radio Televisyen Singapura (RTS/ Sekarang diberi nama Radio Warna 94.2FM), 1973
Tulisan: Rasiah Halil.

Ditulis: 10 Ogos 2019
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi (Ditulis: 1974)

Muka Depan ATSPL

Benar-benar dia geram kali ini.  Dirasanya tidak ada apa yang harus dipertunggu lagi.  Biar dia pergi.  Biar dia pergi meninggalkan ayahnya.  Kalau dia pergi, akan kehilangankah Ayah seorang anak?  Tidak!  Tentu tidak!  Ayah dan dunia tuanya telah mati.  Benar-benar telah mati dalam hati Ashraf.

“Kau memang bodoh Ashraf!  Bodoh!  Mengapa mesti kau memilih aliran sastera?  Apa yang ada dalam aliran itu?  Mengapa kau tolol benar, mengapa?”  kata-kata bangkang terhembur daripada mulut pengurus minyak ini.  Pak Cik Jaafar memang naik radang di atas ketololan anak bongsunya.  Diberi peluang memilih aliran sains, Ashraf telah memilih aliran sastera.  Dan ini semua berlaku tanpa pengetahuannya.  Dia benar-benar naik berang di atas pilihan anaknya itu.  Disedutnya paipnya dengan lebih mendalam.  Ingin dilontarkan paip itu ke muka Ashraf agar dia sedar di rumah ini tidak boleh diduduki oleh orang-orang tolol seperti Ashraf.  Di rumah ini orang-orang yang tidak praktikal harus dibunuh hidup-hidup.  Harus mati dipanggang!

“Tapi Ayah, Ash lebih suka dalam aliran sastera.  Ash lebih minat …”

“Minat! Minat pada sesuatu yang tidak mendatangkan hasil?  Minat kata kau, Ashraf?  Sudah, minta tukar saja ke aliran sains.  Aku, ibu kau, kakak kau, dan abang kau semuanya dari aliran sains dan aku mahu kau juga dari aliran yang sama.  Ingat Ashraf, aku ini ayah kau, tahulah aku mana yang baik buat masa depan kau …”

“Tapi Ayah …”

“Tidak ada tapi-tapi lagi, Ashraf.  Kau mesti memilih aliran sains.  Masa depan kau terjamin.  Kau ingat hanya dengan melukis dan menulis kau boleh hidup?  Mana pergi otak kau?  Aku tak mahu anak aku merempat sana sini macam pengemis.  Aku mahu kau masuk universiti, dapatkan ijazah kelas pertama supaya hidup kau senang.”

“Tidak, Ash tak mahu!  Ash tak mahu menjadi apa yang Ayah inginkan untuk diri Ash.  Ash benci dengan kepura-puraan Ayah yang menilai segala-galanya dengan sijil.  Segala-galanya dengan duit.  Ash benci dengan dunia sains keagungan Ayah.”

“Biadab, kau benci pada dunia keagungan aku?  Sini aku ingin menolong kau, kau menempelak aku pula.  Kau ingat kau boleh hidup dalam dunia sastera kau?  Nanti dah merempat baru kau sedar.  Jangan kau harap aku akan membiayai  persekolahan kau selagi kau di aliran sastera.   Selagi kau tidak minta tukar, selagi itu jangan kau harapkan apa-apa daripada aku.  Pergi, sebelum aku naik radang.”  Pak Cik Jaafar telah benar-benar dirasuk syaitan.  Rasanya ingin dia memulas kepala Ashraf yang kini sudah berisi idea-idea yang serba singkat.  Ingin dia membelasah badan Ashraf yang kini menampakkan kedewasaannya.  Pak Cik Jaafar benar-benar ingin menjahit mulut Ashraf yang kini semakin celupar.

 

Suasana di bilik tamu itu tiba-tiba menjadi tenang.  Ashraf sudah pun berlari ke biliknya.  Muka Pak Cik Jaafar yang sebentar tadi merah padam kini beransur-ansur pulih seperti biasa.  Diambil buku rekod Ashraf yang terletak di atas meja bersama borang kemasukan praUnya.  Dibacanya laporan daripada guru Ashraf:

“Ashraf sangat baik dalam mata pelajaran Sains, Ilmu Hisab, Bahasa, dan Lukisan.  Teruskan berusaha.  Keputusan keseluruhannya sungguh memuaskan.”

Mata Pak Cik Jaafar masih memerhatikan kata-kata yang tertulis dalam buku rekod Ashraf itu.  Hatinya semakin resah.  Mengapa Ashraf berminat sangat dalam bidang lukisan dan kesusasteraan sedangkan dia di dalam aliran sains?  Menyesal Pak Cik Jaafar membenarkan anaknya mengambil lukisan sebagai salah satu mata pelajaran walaupun dia di dalam aliran sains.  Mengapa mesti aliran sastera menjadi pilihan kau, Ashraf?  Mengapa?  Bingung fikiran Pak Cik Jaafar seketika.  Memikirkan soal Ashraf lebih membingitkan daripada memikirkan soal krisis tenaga.

Sedang dia berfikir-fikir panjang itu, Mak Cik Zahrah datang membawa dua cawan nescafe panas.  Nescafe panas itu diletakkan di atas meja bersama kuih-muih yang senantiasa ada buat makanan petang.  Mak Cik Zahrah telah mendengar segala-galanya.

“Abang masih hendak memaksa dia?”

“Abang tidak hendak memaksa, Abang mesti desak dia.  Kalau dia tidak mahu, pandailah Abang mengajarnya!”

“Abang salah, Bang.  Kalau Ashraf sudah berminat, buat apalah dimasukkan di aliran yang lain.  Biarlah dia merancang masa depannya sendiri.  Kan dia tu dah besar panjang…”

“Merancang masa depannya sendiri?  Dia? Tidak Zahrah, Abang tidak mahu dia terikut-ikut kawan-kawannya.  Bukan dia tu bodoh.  Markah sains dan ilmu hisabnya bagus benar.  Apa lagi yang dia mahu?  Kalau di aliran sains kan masa depannya lebih cerah sikit … Boleh jadi doktor seperti yang kita harap-harapkan,” Pak Cik Jaafar menerangkan satu persatu.  Dia benar-benar tidak faham di atas tindakan anaknya itu.  Benar-benar dia tidak mengerti.

“Siapalah tahu masa depannya akan lebih cerah dalam aliran sastera?”

“Tidak Zahrah, kalau dia boleh jadi Leonardo da Vinci atau William Shakespeare tak apa.  Ini baru melukis sebuah dua, baru mengarang sebuah dua cerita, dah taruh minat.  Padahal ilmu hisab dan sainsnya begitu handal sekali.  Abang tak mahu dia menyesal nanti …” Pak Cik Jaafar mengeluh.  Dilemparkan pandangan yang jauh sekali.

 

Mak Cik Zahrah masih merenung suaminya tanpa berkata apa-apa.  Dia tahu suaminya hanya akan menyayangi anaknya selagi Ashraf di aliran sains.  Dia tahu juga, suaminya menghargai seseorang itu hanya apabila orang-orang itu berpangkat dan mempunyai kemahiran tinggi.  Bahkan semasa dia bernikah dengan suaminya dulu, Encik Jaafar memilihnya kerana kelulusannya selain daripada budi bahasa dan kecantikannya.  Manusia ‘moden’, pandangan hidup mesti ‘moden’.  Nilai seseorang pun mesti mengikut pengukuran yang ‘termoden’.  Nilai sijil.

Mak Cik Zahrah yang terduduk di sofa lembut itu tidak mahu berfikir panjang-panjang pasal anaknya.  Jenuh sudah dia berfikir akan urusan persekolahannya, akan persatuan-persatuan wanitanya, akan urusan-urusan luarnya.  Buat apalah difikirkan perkara yang dengan senang dapat diselesaikan?  Mak Cik Zahrah tidak sedikit pun runsing di atas tindakan Ashraf.  Bahkan urusan-urusan rumahnya tidak pernah merunsingkannya.  Dia lebih runsing kalau persatuan wanitanya tidak berjalan dengan teratur.  Guru separuh umur ini sekejap-kejap menjenguk keluar kalau-kalau kereta Alfa Romeo Ashril dan Colt Gallant Ashriah sudah kedengaran mendekati pagar rumah mereka.

 

Ashraf yang teringat-ingat peristiwa tadi, berulang-alik di dalam biliknya.  Dia runsing dengan rancangan ayahnya, runsing dengan sikap endah tak endah ibunya.  Ashraf telah mendengar segala apa yang diperbincangkan oleh kedua-dua orang tuanya.  Kalau boleh ingin dipekakkan telinganya.  Tapi perkataan itu berulang-ulang dalam telinganya.  Sijil dan wang!  Ayahnya menilai seseorang hanya dengan sijil dan wang.  Dan dia, Ahmad Ashraf bin Jaafar ingin, mahu, dan benar-benar akan menentang dunia kepura-puraan ayahnya.  Dulu ayahnya adalah sanjungannya, tapi kini sanjungannya telah jatuh tersungkur.  Kerana Ayah yang disangkanya orang yang paling baik sekali di dalam dunia ini kini berkaki lumpur.  Ayahnya berhati kotor.  Kotor daripada segala-gala yang kotor.

“Aku tak mahu pergi ke rumah kau,” demikian kata Kassim semasa dipelawa ke rumah Ashraf.

“Ngapa?” tanya Ashraf kehairanan.

“Aku segan… aku takut pada ayah kau.” Jawapan itu sudah cukup menjelaskan segala-galanya.  Ayahnya memandang benar terhadap kawan-kawannya.  Kalau yang datang tidak berjam tangan, tidak berlencana ketua murid atau tidak bermuka sofistikated, ayahnya tidak akan menunjukkan wajahnya yang jernih.  Akan mencukalah wajah Pak Cik Jaafar sehingga kawan-kawan Ashraf balik.  Dan setelah itu, Ashraf terpaksa pula mendengar leteran daripada ayahnya.

“Mengapa tidak kau bawa Kamal, anak eksekutif itu, atau Ibrahim anak jurutera jiran kita tu atau bawa saja David anak Dr. Chua?  Mengapa mesti kau bawa kacang-kacang hantu ke rumah ini?”  Demikian satu leteran lumrah Pak Cik Jaafar tiap-tiap kali anaknya membawa pulang kawan-kawan yang berbapakan orang-orang daripada peringkat hidup yang rendah.  Ashraf kini faham segala tindak-tanduk ayahnya.  Ayahnya ingin dia menjadi bongkak sepertil dirinya.  Ayahnya ingin dia berhati duitan, bertuhankan sijil dan berarahkan universiti.  Itu saja yang ayahnya mahu daripadanya.  Ayahnya ingin merosakkan hidupnya sebagaimana ayahnya telah merosakkan hidup kedua-dua abang dan kakaknya.  Kedua-duanya sekarang hanya menilai seseorang daripada kaca mata ayahnya. Ashraf tidak mahu menjadi sombong dan bongkak seperti mereka.  Dia benar-benar tidak mahu!

 

“Tok!  Tok!  Tok!  Ash, kau tak mahu makan, Nak?”

“Ash kenyang, pergilah Mak makan dulu.”

“Mari makan, Nak.  Jangan runsingkan sangat cakap Ayah kau tu.  Mari, abang dan kakak kau dah pun balik.”

“Ash kenyang Mak, nanti kalau lapar tahulah Ash makan.”

“Suka hati kaulah Ash,” Mak Cik Zahrah terus berlalu. Dia tidak mahu menganggu anaknya.  Biarlah Ashraf sendiri menyelesaikan masalahnya, kalau bolehlah dipanggil masalah.  Di dalam bilik yang terkunci itu, Ashraf berjalan berulang-alik.  Lapar! Pandai emaknya pertanyakan lapar-kenyangnya, tapi laparnya jiwanya akan nilai-nilai yang suci murni tidak pernah emaknya pertanyakan. Tidak pernah!

 

Mata Ashraf yang dari tadi memandang ke bawah, kini memerhatikan lukisannya yang tergantung di dinding.  ‘Di atas buih-buih aku berdiri’ demikianlah tajuk lukisan tersebut.  Inilah hidup Ashraf.  Hidupnya seperti buih-buih sabun yang akan hilang dengan serta-merta.  Akan hilang juga segala harta benda ayahnya seperti hilangnya buih-buih tadi.  Dan Ashraf yakin, kalau dia bertindak cepat, buih-buih hidupnya tidak akan memecah sebelum dia sempat meninggalkan sesuatu yang indah.  Dia juga yakin, hanya dengan bertindak beginilah, buih-buih kepura-puraan daripada nilai hidup yang kepura-puraan ayahnya tidak akan memecah di hadapan matanya.  Inilah satu sebab mengapa dia memilih aliran sastera.  Dan ayahnya memandang hina? Biarkan ayahnya memandang rendah terhadap minatnya.  Ayahnya berkata dia tidak boleh menjadi seperti Leonardo da Vinci ataupun William Shakespeare, memang dia tidak boleh menjadi seperti mereka.  Tetapi dia akan menjadi dia: Ahmad Ashraf bin Jaafar, dengan segala kelemahannya.  Dia akan menjadi dirinya dalam melukis warna dan mencatat rasa.  Dia adalah dia!

Ashraf terdengar bunyi batuk ayahnya.  Dan hatinya tiba-tiba menjadi sedih apabila bunyi batuk ayahnya berlarutan.  Kasihan juga dia kepada Ayah yang selalu dibangkangnya sejak kebelakangan ini.  Kalau boleh, ingin dia menerangkan kepada ayahnya bahawa dia adalah dia dan dia tidak suka hidup berpura-pura.  Tetapi seperti datangnya tiba-tiba, simpatinya terhadap ayahnya tiba-tiba juga menghilang.

 

Dicarinya sebuah beg, lalu diisikan beberapa helai pakaian, buku-buku dan dibawa beberapa keping lukisan.  Ashraf menunggu.  Bunyi batuk ayahnya semakin lama semakin berkurangan.  Mungkin ayahnya sudah masuk ke bilik tidur.  Mungkin keluarganya semua sedang tidur.  Suasana rumahnya semakin lengang.  Ashraf dengan perlahan membuka pintu biliknya lalu menuju ke ruang tamu.  Diambilnya buku rekod yang terletak di atas meja.  Ayahnya belum lagi membubuhkan tanda tangannya ke atas borang kemasukan kelas praUnya.  Ayahnya benar-benar tidak mahu dia menuntut dalam aliran sastera.  Aliran sains.  Aliran sains yang ayahnya mahu! Tapi sekarang dapatkah dia meneruskan persekolahannya ke kelas praU di dalam aliran yang diminatinya?  Ayahnya tentu tidak ingin membiayai persekolahannya.  Dan dia sendiri tidak mahu menunggu pembiayaan ayahnya.  Malam ini, saat ini, detik ini, ayahnya telah tidak lagi menjadi orang yang paling disayanginya kerana Ashraf tahu dia tidak akan disayangi selagi dia memilih aliran sastera.  Dia akan ke kelas praU tapi bukan dengan wang ayahnya.  Biarlah ayahnya menyimpan wang itu untuk orang-orang yang tahu menilainya. Orang-orang yang akan menilai segala-segalanya dengan wang.

Dengan perlahan Ashraf membuka pintu depan rumahnya.  Sanggupkah dia meninggalkan orang-orang yang pernah disayanginya satu ketika dulu?  Dia …. tangannya sudah pun memanggakan pintu itu.  Ashraf dengan hati yang separuh sedih meninggalkan rumah banglo ayahnya.  Dia berjalan dan berjalan.  Dia tahu pada malam ini, orang yang paling disayanginya, lebih daripada ibunya, sajak-sajaknya dan lukisan-lukisannya, telah mati.  Mati di dalam hati kecil Ashraf.

“Ayah tidak sayang padaku lagi.  Ayah tidak sayang padaku lagi,” kata-kata itu menemani Ashraf dalam perjalanannya entah ke mana.

Ditulis : 1974, Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar : ‘Ruangan Remaja’, Radio Televisyen Singapura (RTS/Kini dinamakan Radio Warna 94.2FM), 1974
Tulisan: Rasiah Halil.