Archives

Madah Manis & Manja 9

Manja menyepi tidak terpegun,

Manis menyelit di balik pintu;

Lama kami tidak berpantun,

Mak ‘pasang surut’ kami yang buntu.

___________________________________________

Kalau padi katakan padi,

Jangan difikir buah durian;

Banyak hal sudah terjadi,

Melanda manusia, bumi & haiwan.

___________________________________________

Manis tidur Manja mengigau,

Kicau burung tidak diendah;

Kalau hidup sering dikacau,

Hilanglah erti parah jadinya.

___________________________________________

Manja terbaring sesudah makan,

Manis terlelap di rak-rak buku;

Pelbagai kisah begitu meresahkan,

Nak buat apa pun kadang tak tahu.

___________________________________________

Kalau cicak tiba-tiba menjelma,

Kami agah sehingga menghilang;

Walau kami kecil usaha tak seberapa,

Dengan setotet ini dipanjatkan harapan.

_______________________________________

Kalau Manja bermain hujan,

Manis menuruti dengan gembira;

Selagi hidup tak lekang ujian,

Kuat lagi jiwa menghadapinya.

___________________________________________

Membeli makanan kami tidaklah susah,

Di dalam talian atau di pasar raya;

Tidak semua perkara dapat diubah,

Yang boleh diubah kesan & pandangan kita.

___________________________________________

Burung datang burung pergi,

Hinggap sebentar di bendul dapur;

Cabaran datang silih berganti,

Semangat pun teguh tidak akan undur.

___________________________________________

Sembunyi-sembunyi di tepi pintu,

Setelah itu di balik komputer;

Betapa raksasa pun dugaan itu,

Perkasa lagi usaha kita.

___________________________________________

Manis & Manja ke hulu ke hilir,

Penat bermain tidur berjam-jam;

Setitik air bukannya banjir,

Sekelip api bukannya kebakaran.

___________________________________________

Buah rambutan buah langsat,

Tidakkan sama si buah kuini;

Walau ujian datang berlipat,

Doa dipanjat usaha tak henti.

___________________________________________

Carik-carik si bulu ayam,

Anak itik di tepi longkang;

Setiap detik kita berazam,

Apa yang kusut kita leraikan.

___________________________________________

Terlompat-lompat Manis & Manja,

Di koridor menghidu daun & bunga;

Besar dugaan besar tantangannya,

Di dalam hati tiada putus asa.

___________________________________________

Tabah & tenang menghadapi dugaan,

Usah kecewa, gusar atau hampa;

Tiada perisai sebaik harapan,

Tiada pelindung sebaik Pencipta.

___________________________________________

Main guli & bulu ayam,

Hati tak senang serangga melintas;

Manja & Manis tak putus mendoakan,

Apa pun masalah berjaya kita cantas.

___________________________________________

Masih indah hidup ini,

Walau dicalar pelbagai cabaran;

Semoga kita bahagia & diberkati,

Teguhkan hati apa pun dugaan.

___________________________________________

Manis & Manja makan kibbles lagi,

wetfood tentunya enak dimakan;

Lapangkan dada tabahkan hati,

Yang terbaik akan Allah mudahkan.

___________________________________________

Ditulis: 18 Ogos 2023

‘Tulisan’ Manja & Manis dengan bantuan ‘mak’ mereka.

Madah Manis & Manja 8

  1. Makan kibbles bersama wetfood,
    Minum air tanpa gula;
    Ramadan menjelma semakin sibuk,
    Kucing-kucing pun tumpang gembira.
  2. Mak ke pasar membeli sayur,
    Dibeli juga gula Melaka;
    Mak bersahur kami bersahur,
    Tiba Subuh kami dah buka.
  3. Beli dacing daripada suasa,
    Tambah berat bercampur logam;
    Kalau kucing perlu puasa,
    Tikus berpesta sepanjang Ramadan.
  4. Manja terlihat orang berlatih,
    Manis terdengar orang terbatuk;
    Masa puasa selalu letih,
    Kalau dah letih lekas mengantuk.
  5. Manis tembam, Manja kurus,
    Kedua-duanya nakal sekali;
    Perut lapar semakin boros,
    Satu bazar hendak dibeli.
  6. Mak pulang hampir senja,
    Kami menunggu sejak tadi;
    Hati-hati bila berbelanja,
    Kalau sakan menyeksa diri.
  7. Di sana orang di sini orang,
    Di tengah-tengah kucing Parsi;
    Di sana makan di sini makan,
    Ai, Ramadan jadi pesta perut lagi?
  8. Roti perata roti canai,
    Manakan sama si roti jala;
    Masa berpuasa jangan lalai,
    Kalau tidak kurang pahala.
  9. Bersahur berbuka mengerat keluarga,
    Jagalah agar selamanya utuh;
    Raikan selalu masa bersama,
    Kerana semua terbatas & mudah rapuh.
  10. Pokok bidara di taman luar,
    Bunga melur mekar mewangi;
    Ramadan tiba ‘gear’ ditukar,
    Agar kita selalu diberkati.
  11. Manja & Manis suka berkejar,
    Mainan & tali terpontang-panting;
    Ramadan mengajar erti lapar,
    Mendidik kita selalu prihatin.
  12. Yang dibeli bukan sahaja kuih,
    Dibeli baju & perhiasan rumah;
    Kita gigih bertadarus, bertarawih,
    Agar Ramadan tak kosong semata.
  13. Zakat fitrah tak perlu Mak keluar,
    Untuk kami ‘anak-anak’ istimewa;
    Zakat harta pun tak perlu Mak bayar,
    Kerana bagi Mak kami ‘khazanah’nya.
  14. Bubur masjid air kathirah
    Masa berbuka bertukar juadah;
    Kita obori Ramadan mulia,
    Dengan yang baik-baik di sisi Allah.
  15. Manis & Manja puasa yok-yok,
    Sekejap-sekejap minum & makan;
    Masa Ramadan kita ‘buka periuk’,
    Berkongsi rezeki sesama insan.
  16. Masa berbuka tertib & sopan,
    Tidak disalut ego & bangga;
    Amal & ihsan kita tingkatkan,
    Puasa bukan hanya lapar dahaga.
  17. Hari-hari memakan telur,
    Telur direbus setengah masak;
    Jangan serik bila ditegur,
    Tugas Ramadan mendidik akhlak.
  18. Hendak usik Mak, Mak berpuasa,
    Hendak stunt-stunt Mak dah tidur;
    Puasa boleh menginsaf, merubah kita,
    Andai syaratnya dipenuhi sungguh-sungguh.
  19. Mak kata Ramadan menenangkan,
    Kami nakal pun Mak tak marah;
    Masa Ramadan selalu terkenang,
    Mereka yang berada di alam barzakh.
  20. Buah duku buah mangga,
    Mari dibeli di gerai Bedok;
    Usah termangu walau terluka,
    Berdepan masalah kita tak tunduk.
  21. Bulan Syawal diraikan orang,
    Bulan Ramadan menjadi pengawal;
    Susah senang kita usahakan,
    Agar hati bersih iman menebal.
  22. Walau kami sekadar kucing,
    Doa & harapan tak putus di jiwa;
    Berusaha sesungguhnya usah runsing,
    Semoga Allah memudahkan segalanya.
  23. Berbuka puasa memakan kurma,
    Diminum juga si air buah;
    Maafkan kami para permbaca,
    Jika terdapat silap & salah.
  24. Buah durian masak sebiji,
    Rasanya enak terkenang-kenang;
    Manja & Manis mengundur diri,
    Lain masa kami bertandang.

Tulisan Manja & Manis dengan bantuan ‘ibu’ mereka.
Ditulis: 25 – 26 Mac 2023 Masihi/3 – 4 Ramadan 1444 Hijriah.

Madah Manis & Manja 7

  1. Manja seperti Toothless the Dragon,
    Manis seperti kartun si Stitch;
    Membuat bising hingga Mak terbangun.
    Berlari, melompat, rasa nak lastik.

  2. Manis berdengkur bila tidur,
    Manja pula sesekali mengigau;
    Mak tak bagi bermain di koridor,
    Sebab hujan tiba-tiba turun & mengacau.

  3. Hujan turun mencurah-curah,
    Nak melihat tanaman kuyup nanti;
    Terperangkap kami di dalam rumah,
    Nak tangkap serangga tapi dah lari.

  4. Berbunyi sudah burung pekaka,
    Mencari makan sambil menyelam;
    Hujan lebat membawa petaka,
    Tanah runtuh, banjir & kapal karam.

  5. Bangun pagi kami makan,
    Selepas itu bertengkar pula;
    Ada terkorban disebabkan hujan,
    Pilu hati kami mendengar berita.

  6. Manja berani tak terduga,
    Manis becok malam & pagi;
    Alam ini mesti dijaga,
    Agar petaka tak mudah terjadi.

  7. Kalau Mak pergi ke kedai,
    Belikan kami wetfood & kibbles;
    Semua masalah boleh selesai,
    Jika bersatu hati & berani struggle.

  8. Bunyi guruh berdentam-dentum,
    Sebelum hujan sediakan payung;
    Tahun depan ekonomi merudum,
    Ayuh bersedia, Mak kita tolong.

  9. Manis & Manja berkejar-kejaran,
    Serangga ditangkap bila ternampak;
    Bolehkah tangkapan kami niagakan,
    Pada kucing lain, nak bantu Mak?

  10. Cuaca ini sukar diubah,
    Sengketa pula di beberapa negara;
    Biar tabah, jangan sedih atau marah,
    Agar bahagia dikecapi jua.

  11. Manja tidur berhampiran TV,
    Manis tidur berdekatan telefon;
    Kalau kita berani & berdikari,
    Apa pun cabaran dapat dituntun.

  12. Hati nyamuk hati kuman,
    Permintaan Puteri Gunung Ledang;
    Biar kesejukan hati tenang,
    Sedia berdepan apa pun rintangan.

  13. Hujan bukan sebarang hujan,
    Hujan dibawa musim tengkujuh;
    Kita berserah kepada Tuhan,
    Terus melangkah, jangan kecoh.

  14. Tenung tingkap kami membilang,
    Burung bertenggek rasa nak cakar;
    Tahun baharu bakal menjelang,
    Semoga sejahtera walau mencabar.

  15. Di tengah Covid & pelbagai dugaan,
    Di tengah alam rebah diabai;
    Kucing tak pernah berputus harapan,
    Inikan manusia yang kuat & pandai.

  16. Manis bertapa di bawah sofa,
    Manja bersembunyi di balik meja;
    Masalah iklim, dunia, kami tak lupa,
    Kami yakin hidup ini masih indah.

  17. Manja suka makan, badan melidi,
    Manis makan sedikit, badan berisi;
    Kami hanya makan tidur setiap hari,
    Comel & nakal tetap Mak sayangi.

  18. Dua-dua menyibuk bila Mak bertugas,
    Lalu-lalang & mengiau, di hadapan komputer;
    Kami istimewa, anak Mak yang khas,
    Berbulu & tak tahu bercakap seperti manusia.

  19. Kucing hitam si kucing jingga,
    Mak jaga, belai, sayang & peluk;
    Selamat Tahun Baharu 2023,
    Semoga kita bahagia & kasih sesama makhluk.

Tulisan: Manja dan Manis dengan bantuan ‘ibu’ mereka.
Pada: 20 – 21 Disember 2022.

Madah Manis & Manja 6

1.Pokok melur di tepi rumah,
Mari menanam si pokok mawar;
Covid-19 bagai tak sudah,
Bilakah dapat ditemui penawar?

2.Sudah kelihatan si pokok cermai,
Buahnya sedap manis sekali;
Jaga kesihatan jangan cuai,
Moga tak lagi Covid menghantui.

3.Pagi-pagi bermain di taman,
Nampak tikus kita berlari;
Kita harap semua bertahan,
Jangan putus asa apa pun terjadi.

4.Manis sedih dunia sekarang,
Manja gerun apa yang terjadi;
Di sini sengketa, di sana perang,
Alam resah tumpang sekaki.

5.Adakah manusia semakin liar,
Kurang peduli & bertambah leka;
Kalau manusia kurang berikhtiar,
Benci-membenci menjadi biasa.

6.Manja mahu hidup yang permai,
Manis suka ada kerjasama;
Kalau kasih sayang tidak disemai,
Musnahlah alam, haiwan & manusia.

7.Menonton filem ada ikan jerung,
Manis & Manja terkejut tiba-tiba;
Semoga manusia bergotong-royong,
Sama berusaha menghilangkan duka.

8.Umur kucing tidaklah panjang,
Ada manusia menongkat langit;
Kalau manusia berhati lapang,
Sejahteralah hidup & kurang bingit.

9.Ada kibbles, ada wetfood,
Berkepit dengan Mak lagi enak;
Masa susah tak selamanya lanjut,
Masa senang tentu lebih banyak.

10. Manja & Manis merenung burung,
Mula ‘bercakap’ mengusik merpati;
Pacakkan harapan jangan termenung,
Segala yang sukar berakhir pasti.

‘Ditulis’ oleh Manis & Manja dengan bantuan ‘ibu’ mereka.
Ditulis: 28 Februari 2022.

Madah Manis & Manja 4

Kucing-kucing saya yang berusia 1 tahun 7 bulan lebih: Manja (berwarna hitam bercampur kelabu) dan Manis (berwarna perang bercampur hitam). Mereka adik beradik sebapa tetapi berlainan ibu.

1.Jala merah di tepi perigi,
Umpan menjadi sebesar timun;
Lama sudah kami menyepi,
Kesihatan Mak asyik naik turun.

2.Pokok peria di sebelah pagar,
Cempedak manis dimakan tupai;
Banyak cerita sudah kami dengar,
Semua ditulis kami tak pandai.

3.Ada dian di balik tangga,
Tali dibelit bukan kepalang;
Ada kejadian meruntun jiwa,
Apalah nasib mereka yang malang?

4.Buah zaitun & buah tin,
Mari dimakan sewaktu rehat;
Apa takdirnya orang Palestin,
Sering dimangsai sejak berabad.

5.Ada negara beretorik sahaja,
Memberi bantuan kiri dan kanan;
Orang Palestin terus menderita,
Dibuli Israel berwatak Frankenstein.

6.Burung helang burung punai,
Terbang bersama begitu jauh;
Walau gencatan, Palestin ditibai,
Haruskah dunia berpeluk tubuh?

7.Kita bersedih manusia dibaham,
Konflik, sengketa berkitar-kitar;
Hati pedih, wajah pun muram,
Dijepit segala, Covid meliar.

8.Covid-19 semakin tak reda,
Banyak cerita meruangi Internet;
Berita palsu, penipuan berleluasa,
Ceria hidup menipis & senget.

9.Mari kita menanam mempelam,
Di dalam pasu, di tanah belakang;
Covid-19 merebak & mengancam,
Lama terpisah, tak dapat berdepan.

10.Sempadan ditutup sempadan dibuka,
Semasa mengemop dibuka paip;
Orang kayangan disambut ria,
Orang jelata yang ditusuk Covid.

11.Banyak langkah telah dilakar,
Agar hidup normal kembali;
Kalau dasar sering ditukar,
Padah diterima tidak terperi.

12.Ramai peniaga hatinya bungkam,
Untung sedikit, banyak yang rugi;
Sekatan Covid tak kunjung hilang,
Boleh muflis atau setengah mati.

13.Hati-hati bersuara lantang,
Ada mendengar & memerhati;
Si jelatakah menanggung beban,
Orang kayangan dipuji, dilestari?

14.Tinjauan lucah baru tersebar,
Mahu ‘gangbang’ senarai ustazah;
Ke mana ilmu, adab & ikhtiar,
Sebegini rendah dipersenda wanita.

15.Jangan menangguk di air keruh,
Ada huraian Islam tersendiri;
Jalan songsang usah dipatuh,
Rosak masyarakat akhirnya nanti.

16.Banyak perkara sering menghambat,
Kemajuan masyarakat besar & kecil;
Kita beragama, beradab, beradat,
Tak perlu tunduk pada yang batil.

17.Tahun 2021, tak kendur duka,
Dengan Covid, konflik & tragedi;
Banyak perkara meresahkan jiwa,
Kita berusaha & tabah menangani.

18.Memang diharap kepada dahan,
Dahan teguh mayangnya ikal;
Apa dirisaukan dengan dugaan,
Tetap berusaha, tabah, tawakal.

19.Ombak laut pasang & surut,
Planet berlegar mengikut orbit,
Ufuk senja indah sekali;
Kekuatan kita tiadakan luput,
Di tengah petaka, di tengah Covid
Kita yakin Dia melindungi.

Ditulis: 3 – 4 Jun 2021/22 – 23 Syawal 1442
‘Tulisan’: Manja & Manis dengan ‘bantuan’ ibu mereka.

Madah Manis & Manja 3

1.Ada padi taruh dalam beras,
Ada kisah ingin kami ulas.

2.Taptibau puyuh padang,
Covid-19 bergentayang.

3.Anak lembu merah, tambat pokok asam,
Banyak jadi gundah, jangan muka masam.

4.Hujung bendul dalam semak.
Jangan lupa pelitup, walau sesak.

5.Buah kacang putat hilang satu-satu,
Bila boleh disuntik vaksin, jangan ragu-ragu.

6.Orang bestari mengangkat talam,
Bedak baiduri dalam cerana;
Benci-membenci asyik ke depan,
Ke manakah pergi ihsan & cinta.

7.Gunung Daik di Padang Bintan,
Tampak dari Bukit Setanda;
Adakah baik diapi-apikan,
Kemanusiaan kita musnah sama.

8.Kedondong batang sumpitan,
Batang padi saya lurutkan;
Kebencian & perang kita hapuskan,
Kemaslahatan makhluk kita utamakan.

9.Apakah riuh di luar kota,
Orang melihat kucing bersilat;
Ada pemimpin begitu bahaya,
Ada yang taasub, tidak melihat.

10.Terang bulan menetas pungguk,
Pungguk bersarang di tali temberang;
Dunia kacau banyak yang bobrok,
Tak satu hati, sengsara memanjang.

11.Alang mandi biar basah,
Kalau berkuasa jangan megah.

12.Mengkuang terbang tersangkut,
Air pasang menyapu lantai;
Bercakap benar jangan takut,
Pedoman kita kekal permai.

13.Catur gading baru dilarik,
Mahligai perak kemuncak intan;
Agama Islam jangan ditakik,
Konon berilmu, bercelaru fahaman.

14.Keris ini keris sempena,
Pakaian anak raja Kelanan;
Rasul mengajar indah sempurna,
Usah dicemar demi kepentingan.

15.Membuat negeri di Pulau Cempaka,
Digelar Pulau Indera Sakti;
Usah gusar masalah melanda,
Tetapkan iman tabahkan hati.

16.Merpati kepak bersilang,
Turun ke bendang makan padi;
Kekuatan kita melebihi logam,
Muncul masalah berani hadapi.

17.Terkelip api atas gunung,
Orang memerun atas balai;
Bila berusaha usah termenung,
Di akhir nanti hajat tercapai.

18.Tuku takal,
Muka pintu;
Kita tawakal,
Allah restu.

19.Congek cat dong,
Cak dong duku dakat;
Ramadan akan berkunjung,
Mari bermuhasabah & bersiap.

20.Gajah putih dalam kota,
Dan Kemayat lalu berlembu;
Kita berlatih membersih jiwa,
Agar amalan meneguh kalbu.

21.Goreng pisang goreng ubi,
Maafkan kami jika mengguris hati.

Bedasarkan beberapa pantun yang diambil daripada buku Kumpulan Pantun Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1983. Dua baris akhir atau baris akhir pantun-pantun ini diubah dan ‘ditulis’ oleh Manis dan Manja dengan bantuan ‘ibu’ mereka pada 21 Mac 2021.

Madah Manis & Manja 2

Tebu pisang ubi keladi.
Covid lenyap gembira kami.

Pucuk leban gading gajah,
Kerja tak segan, usaha gagah.

Ting ting nyak,
Giat berfikir, berkat banyak.

Congek, congek canggung,
Canggung duku daka;
Mengapa lagi termenung,
Sama-sama kuatkan jiwa.

Tarik api dalam rabuk,
Rabuk berisi katang-katang;
Api menyala dalam lubuk
Jiwa perkasa di tengah dugaan.

Buah remia dari Patani,
Mari dipilih masak muda;
Bagaimana dunia tak sunyi
Covid si degil masih ada.

Ijuk-ijuk tali perahu,
Buat pelampung tali rakit;
Esok-esok kalau nak tahu
Hilang waspada, jadi penyakit.

Si Rajawali menyambar merpati,
Habis luruh sekaliannya bulu;
Bagaimana hendak mencuci hati,
Disabuni iman berserta ilmu.

Pergi ke hulu mencari rebung,
Gulai bersama ikan tenggiri;
Kalau selalu tipu dan bohong,
Lama-lama pasti mencuri.

Telur itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Kasih berputik di Singapura,
Jasad berjauh di Langkawi.

Jika sungguh bulan purnama,
Mengapa tiada pagar bintang;
Jika sungguh seperti rencana
Sama-sama kita usahakan.

Kelapa gading di tepi mahligai,
Ketupat berisi padi;
Hancur daging tulang berkecai,
Belum tercapai belum berhenti.

Lekak-lekuk legun-legan,
Orang menjala di Kuala Linggi;
Katak batuk harimau demam
Manis dan Manja sakit gigi.

Penatlah sudah saya bergalah,
Orang bergalah di sungai tinggi;
Penatlah sudah Mak beralah,
Kami ‘seksa’ sejak tadi.

Sayang permata dibuat subang,
Akan kandang menanam padi;
Sedangkan harapan sudah sekian,
Tiba tahun 2021 apa lagi.

‘Madah’ ditulis oleh Manis dan Manja berdasarkan beberapa pantun yang diambil daripada buku Kumpulan Pantun Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1983. Dua baris akhir atau baris akhir pantun-pantun ini diubah oleh kedua-dua anak kucing dengan bantuan ‘ibu’ mereka pada 29 Disember 2020.

Kisah Kucing 3: Nama-Nama Si Meow Dan Lain-Lain

Dalam banyak-banyak nama kucing, nama apa yang paling anda sukai? Ini bergantung dengan siapa anda bercakap kerana nama-nama kucing kita juga pelbagai, mengikut zaman dan umur pemilik kucing tadi. Ada orang suka memilih nama-nama biasa seperti sejak zaman dahulu kita gunakan dan ada pula dipengaruhi oleh watak-watak filem, kartun dan tentunya watak kucing yang dipelihara.

Suatu zaman dahulu, orang sering menamakan kucing-kucing mereka mengikut warna dan perangai kucing tersebut. Nama-nama ini juga digunakan pada zaman ini. Lantas ada nama-nama seperti Hitam yang kadangkala dijadikan TamTam, Putih disebut Tih, Oteh atau Susu, Kuning digelar Ning atau NingNing. Kelabu boleh menjadi Labu atau Abu, Perang disebut juga Erang, Jingga menjadi JingJing atau Oyen, Merah menjadi Meme atau Erah. Tompok menjadi TomTom, PokPok atau Pok, Comot boleh juga dipanggil Momot atau Cimot. Ada kucing diberi nama Belang atau Sibelang atau LangLang, ada dinamakan Sepet, Bulat, Bontak, Buntat, Gemok atau MokMok, Belapok atau Apok atau Mama Apok, Panjang atau Anjang, Pendek atau Endek, Ketot atau TotTot, Kenet atau Net, Kontet dan Gembeng. Ada juga memberi nama Kucing atau Cing, Pussy, Sisi atau Pus.

Yang comel dipanggil Comel, Mel atau Mel-Mel, Manja atau Manje, Manis atau Nis dan yang matanya bagai memakai topeng, dipanggil Openg atau Zorro. Ada menamakan kucingnya Mummy atau Mami, Abang atau Bang, Kakak atau Kak dan ada menamakan kucingnya Adik.

Ada orang menamakan kucingnya dengan nama manusia, termasuk yang terkenal dalam bidang tertentu misalnya Aishah, Jamil, Ali, Abang Latiff, Zydan, Zoey, Leia, Becky, Muezza, Muaz, Pengboon, Bobby, Oskar, Sandrie, Jermaine/Jamain dan lain-lain. Ada pula sempena nama watak seseorang yang agak negatif kerana kucingnya nakal sangat. Seorang ibu saudara saya menamakan kucing yang nakal ini Mimi Wong semasa keluarganya tinggal di Jalan Kobis, berdekatan Kaki Bukit dahulu. Nama Mimi Wong begitu ‘tular’ pada 1970-an itu kerana dia membunuh isteri kekasihnya pada 1970 dan dihukum gantung pada 1973.

Terdapat kucing yang bijak, misalnya boleh menaiki lif atau tangga ke rumah jiran. Kucing seorang kawan saya dinamakan ‘Jingle’. Kucing betina ini sebenarnya kucing jirannya di tingkat 3 tetapi setiap hari Jingle akan ke rumahnya di tingkat 8. Pandai pula kucing ini menaiki lif dan tidak akan keluar melainkan telah sampai ke tingkat 8. Jingle menyayangi ibu kawan saya dan dijahit baju untuknya oleh pembantu rumah kawan saya. Rumah kawan saya sudah menjadi rumahnya. Apabila ibu kawan saya meninggal dunia pada bulan Syawal 2017, Jingle ke rumah kawan saya dan mengiau-ngiau, seolah-olah mengerti orang yang ia sayangi tiada bersama lagi. Jingle meninggal dunia pada bulan Syawal 2018. Inilah Abang Latiff dan Jingle:

Kucing keluarga saya semasa tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road dahulu dinamakan Midah. Masa tinggal di kampung dahulu atau d rumah berhalaman, kucing kita bebas masuk keluar rumah dan kita tidak perlu menyediakan pasir dan tempat membuang najisnya. Kita hanya menyediakan makan minumnya sahaja dan kalau sakit pun, diberi daun misai kucing sudah memadai. Kucing pun tidak dikembirikan dan bebas beranak-pinak. Kucing kami Midah, tentu ada ‘suami’nya yang sesekali datang ke rumah kami dan ia pun beranak-pinak. Anak-anaknya, kami namakan Bibi dan Baba, sempena jenama jeans buatan Singapura pada tahun-tahun 70-an itu. Baba merupakan kucing saya dan Bibi, kucing seorang kakak saya. Bibi dan Baba, entah siapa pula ‘suami’ mereka kemudian membesar dan melahirkan anak. Anak Baba, yang sama warna perang sepertinya, menjadi kucing terakhir saya semasa tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road. Dan saya menamakan kucing jantan ini Pepito, sempena nama siri kartun dari Amerika Selatan yang ditayangkan pada tahun-tahun 70-an itu. Inilah gambar kucing-kucing kami semasa tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road dahulu:

Ada seorang kawan saya menamakan kucingnya ‘Intan Terpilih’ kerana ia memang terpilih; kucing yang berwarna putih dan sedikit warna kelabu, tempang kaki kanannya dan kecil bentuk badannya. Intan Terpilih suka tidur di atas dada kawan saya, yang ketika itu berusia remaja dan di sekolah menengah serta tinggal di Jalan Perwira, Kaki Bukit.

Terdapat seorang lagi kawan saya yang tinggal di Malaysia, seorang penulis dan kerjayanya dahulu (sekarang sudah bersara) dalam bidang penulisan, seni dan sastera. Nama kucing-kucingnya agak klasik misalnya Jiwa, Juwita, Putra, Putri, Wulan, Sutra, Aduka, Arjuna, Ganu, Indai, Ica Rawana, Wira, Satria, Jebat, Tuah, Maya, Indera, Andika, Mega, Suria, Kencana, Intan dan Cik. Selain nama-nama klasik ini, ada juga kucing-kucingnya yang diberi nama biasa misalnya Bobo, Bubu, Tintan, Tintun, Tintin, Lila, Lala, Tata, Titi, Tutu, Nina, Nini, Nunu dan Nana.

Anak-anak saudara saya kebanyakannya meminati kucing dan beberapa haiwan peliharaan yang lain dan sehingga dewasa, sebilangan besar mereka masih meminati haiwan comel ini. Seekor kucing yang dipelihara keluarga dua orang anak saudara saya pada awal tahun-tahun 80-an dahulu dinamakan Minu – saya tidak tahu mengapa kucing ini dinamakan sedemikian, mungkin kerana kucing ini suka minum….

Ada kucing yang kita namakan sempena warna atau corak bulu mereka tetapi kita gunakan selalunya dalam bahasa Inggeris misalnya Blackie/Black, Panther, Tuxedo, Ginger/Jer, Snow, Snowy, Snowball, Snow White, Marble, Vanilla, Luna atau Cotton. Ash, Grey, Smoke atau Smokey, Cherry, Reddy, Goldie, Blue, Socks (warna kakinya putih macam memakai stoking), Brownie, Brown, Chai dan Oreo.

Terdapat juga nama-nama yang kita ambil daripada filem misalnya Tony dan Pepper daripada filem ‘Iron Man’ atau daripada buku kanak-kanak Winnie the Pooh, Tiger atau Tigger, Nemo daripada filem ‘Finding Nemo’, Simba, Nala, Timon dan namanya yang diterbalikkan, Monti daripada filem ‘The Lion King’. Mickey dan Minnie daripada siri kartun ‘Mickey & Minnie Mouse’, Stitch dan Lilo daripada filem ‘Lilo & Stitch’ dan Alfy daripada siri komedi ‘Alf’. Popeye and Olive daripada siri kartun ‘Popeye’ dan Mr Bean daripada filem-filem ‘Mr Bean’. Atau kita meletakkan latar tempat kucing kita dibesarkan dan disambung dengan nama keluarga suami, misalnya Cuddles Temasek Nicholson dan Freckles Temasek Nicholson.

Ada nama yang agak lain juga kita berikan kepada kucing yang turut kita jaga di estet perumahan kita. Seekor anak kucing yang saya jumpai di bawah blok saya, dalam perjalanan saya ke pasar pada tahun-tahun 2000 dahulu, kelihatan buta. Setelah beberapa hari di rumah saya, selaput sebelah matanya terbuka. Yang sebelah lagi, terpaksa dibuka dalam satu pembedahan di klinik doktor haiwan. Anak kucing ini saya namakan ‘TT’ yang bermakna ‘Tupai Tail’ kerana ekornya seperti tupai. Ia kemudian dibesarkan oleh dua ekor ibu kucing di estet perumahan saya. Setelah besar sedikit, TT kami kembirikannya kerana kucing jalanan di Singapura yang tidak dikembirikan akan ditangkap oleh pihak berwajib. TT begitu ceria dan mudah mendekati sesiapa dan inilah yang menimbulkan angkara – ia tiba-tiba hilang, diambil orang atau dipengapakan dan puas kami mencari tetapi tidak dijumpai anak kucing ini. Kalau diambil orang, walaupun sedih tidak mengapa, asalkan TT selamat tetapi kalau dipengapakan, hiba hati kami hanya Tuhan yang tahu.

Seorang jiran saya, Kak Esah (kini telah berpindah ke estet perumahan yang lain tetapi masih di kawasan timur Singapura), sering menamakan kucing-kucing di bawah blok kami dengan pelbagai nama misalnya Cantik, Betina, Samseng, Bujang, Terselit dan lain-lain. Bujang atau Ujang kucing jantan lantas itulah namanya. Dan Terselit atau Ulit, betina, dinamakan demikian kerana ia dibuang orang pada usia 2 atau 3 minggu dan setelah kami menyelamatkan ia dari terjuntai-juntai di tiang-tiang paip di kolong blok kami, ia asyik terselit di bawah kembes basikal beroda tiga.

Ujang sudah meninggal tahun lalu (2019) dan Ulit masih ada dan suka tidur dalam bakul basikal di kolong blok saya. Selalunya setelah memberi dan menunggunya makan (Ulit takut pada burung-burung yang mengacau makanannya dan tentunya orang-orang yang tidak dikenal, jadi saya harus menemaninya makan), saya akan beredar untuk membuat kerja-kerja lain pula. Ulit selalu mengejar saya kerana ‘makanan’nya belum mencukupi. ‘Makanan’ yang Ulit minta daripada saya – mesti mendukung dan mengusapnya. Saya seorang yang diminta kemanjaan begini, jiran saya dahulu, Kak Esah, jiran sebelah blok yang juga memberinya makan, Ms Ong, dan jiran seblok saya yang sesekali memberinya makan, Maggie, tidak dipinta dimanjakan sedemikian. Inilah gambar TT, Ujang dan Ulit:

Ada juga nama kucing dipilih secara spontan kerana jenama sesuatu barang, kereta atau majalah misalnya Gucci, Prada, LV (Louis Vuitton), Chanel, Toyota, Suzuki, Mercedes, Cleo dan Oluv. Tidak kurang yang memilih nama-nama yang sekadar disuka, mungkin sesuai dengan harapan anda terhadap kucing anda atau memang itu sebahagian gambaran kucing anda misalnya Chokdee (maknanya bernasib baik atau good luck dalam bahasa Thai), Onni (dalam bahasa Korea bermakna kakak) atau ‘only’ (satu-satunya) dan Oppa (dalam bahasa Korea bermakna abang). Terdapat juga nama-nama seperti Brave, Whiskers, Furry, Fluffy, Daisy, Tabby, Taffy, Princess, Diva, Sweetie, Sweetly, Nugget, Dog, Purrson, GirGirl, Paris, Mirababy, Socrates, Spartacus, Queenie, Pumpkin, Kash, Dash, Handsome Boy, Hansom, Baby Gaga, Wrestler, Sardine, Stunt, Kapet, Paw, Rocket, Mommy Cat, Mochi dan Jinggo.

Sebilangan besar nama kucing kita diulang, diakhiri dengan abjad ‘I’ atau ‘E’ dan juga vokal-vokal lain seperti ‘U’, ‘O’ dan ‘E’. Selalunya nama-nama yang dipilih ini mempunyai dua suku kata sahaja misalnya TutTut, Jeijei, Yuki, Loki, Zugee, Jino, Genie, Jojo, Jojie, Chubi, Chibi, Olie, Poppy, Kiki, Koko, Yiyi, Yoyo, Yoyi dan lain-lain. Apa pun nama kucing kita, kita gembira apabila mereka ‘menyahut’ apabila kita memanggil mereka.

Namun tidak pernah saya mendengar nama kucing seperti yang dikongsikan oleh seseorang kepada saya. Pemilik kucing-kucing ini namanya Wan W..d..h. Dan nama kucing-kucing juga ada ‘Wan’ dan nama mereka unik iaitu Wan Hassan Takeshi Antonio@Sarjan Hassan, Wan Seri Ayumi Michelle @Purrincess Seri, Wan Adam Sufian@ChoMel dan Wan Zahra Sakura @BoonTat. Kalaulah kucing-kucing ini boleh bertukar menjadi manusia, betapa ‘terseksa’ guru yang memanggil nama mereka setiap hari – boleh terseliuh lidah dibuatnya.

Kadangkala kita mendapat anak kucing tanpa disangka-sangka. Ada kerabat saya memelihara beberapa ekor kucing dan kucing-kucingnya melahirkan banyak anak kucing, lantas diberikan kepada kerabat dan kawannya. Apabila saya diberitahu, saya memilih untuk mendapatkan seekor anak kucing betina dan seekor jantan, daripada berlainan ibu. Saya sudah memilih nama untuk anak-anak kucing ini; yang jantan akan saya namakan ‘Omid/Umid’ yang dalam bahasa Parsi/Persia bererti ‘harapan’ dan yang betina akan saya namakan ‘Manis’. Jadi anak-anak kucing saya akan insya-Allah membawa ‘harapan yang manis/baik’ (sweet hopes) bagi kami. Tetapi anak-anak kucing jantan kerabat saya ada orang lain yang lebih awal mendapatnya, lantas saya mendapat kedua-dua anak kucing betina.

Tanpa ‘Omid/Umid’, saya menamakan seekor lagi anak kucing betina saya ‘Manja’. Kedua-dua kucing ini adik-beradik daripada bapa yang sama tetapi berlainan ibu. Manis lebih tua 8 hari daripada Manja tetapi ukuran badan mereka agak berbeza. Saya berasa bertuah dapat memelihara mereka kerana walaupun sesekali penat, keberadaan dan kerenah mereka menghiburkan saya. Dan mereka sering ‘sibuk’ ketika saya menaip di komputer meja saya atau sedang membaca dan menulis. Tapi senakal-nakalnya Manja dan Manis, manakan boleh lawan si Oyen/Garfield yang setiap hari saya membaca ceritanya di dada akhbar….

Banyak lagi nama si bulus yang kita sayang ini. Nama-nama yang saya terakan di atas, sebilangannya diberi oleh kawan-kawan saya melalui whatsapp apabila saya meminta mereka kongsikan nama-nama kucing milik mereka atau kawan/keluarga mereka.

Apa pun nama kucing kita, yang pasti kita menyayangi mereka – apa pun jenis kucingnya baik kucing yang ‘berjenama’ atau kucing jalanan/tempatan. Bagi pencinta kucing, nama kucing mereka mungkin berbagai-bagai tetapi satu perkara selalu menautkan mereka kepada kucing-kucing ini – rasa kasih, belas dan mahu melindungi haiwan-haiwan kecil yang kerenahnya sering mencuit hati dan menghiburkan.

Ditulis: 4 – 5 November 2020

Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Kucing 2: Bila Kucing Kita Tiada Lagi Di Sisi Kita

Apakah anda juga terkenang bila kucing anda tiada lagi di sisi anda? Ramai mungkin sesekali terkenang kucing atau haiwan peliharaan lain yang mesra dengan mereka tetapi tiada lagi bersama. Dan masa lockdown ini, mereka yang terkandas di mana-mana dan tidak dapat bersama orang-orang yang disayangi dan juga haiwan peliharaan yang turut disayangi, pasti teringat yang dikasihi ini. Kalau kita terpisah dengan manusia, kini boleh juga kita hubungi melalui telefon bimbit dan sebagainya, selagi alat-alat canggih ini dapat digunakan di tempat-tempat yang dimaksudkan. Bagaimana pula dengan haiwan yang terpaksa dibiarkan kerana terpisah oleh lockdown?

Seorang anak saudara saya, ibu tiga orang anak, terpaksa sekeluarga bekejar ke Singapura pada Mac 2020 lalu kerana lockdown di Malaysia. Dan Singapura pun tidak membenarkan rakyatnya serta mereka yang berulang-alik antara Singapura dan Malaysia, meneruskan langkah sebegini kerana penularan Covid-19. Anak saudara saya sekeluarga merindukan kucing yang mereka tinggalkan, Vanilla – nasib baik ada kawan-kawan anak saudara saya di Shah Alam, menjenguk-jenguk kucing dan rumahnya dan memberi Vanilla makan dan minum. Dapat tengok gambar/video Vanilla kiriman kawan-kawannya sudah membahagiakan mereka sekeluarga, namun bak dinyanyikan P.Ramlee, rindu hatiku tidak terkira…….

Tapi bagaimana jika kucing yang anda sayang sejak ia atau anda kecil/muda, meninggal dunia, terutama di sisi anda? Seorang lagi anak saudara saya, seorang pemuda bujang, yang tinggi dan agak kacak, begitu terharu apabila kucing keluarganya, Daisy, meninggal dunia pada 22 Ogos 2020 lalu. Daisy berusia 14 tahun, berasal dari Malaysia dan dibawa ke Singapura oleh kakaknya yang ketika itu menuntut di sana. Daisy meninggal kerana nodus limfa (lymph node)nya pecah dan cairan itu memasuki 95 peratus paru-parunya dan membuat Daisy amat sukar bernafas. Selain itu Daisy juga ada masalah ginjal.

Kucing keluarga anak saudara saya di Shah Alam pula, Brownie, baru berusia 3 tahun lebih, tiada menghidap sebarang penyakit tetapi tiba-tiba sakit kerana termakan racun tikus atau tikus yang terkena racun di luar kawasan rumahnya. Brownie sering di luar kawasan rumah (rumah jenis berhalaman) pada waktu malam dan pergi ‘memburu’ haiwan-haiwan kecil agaknya. Anak saudara saya amat sedih kerana itu dan anak perempuan sulungnya lebih sedih lagi kerana masih kecil untuk memahami mengapa Brownie meninggal dunia.

Pencinta kucing sering menyisihkan banyak masa, wang, tenaga selain perasaan sayang kepada haiwan kesayangan mereka, terutama apabila kucing mereka sakit. Ada yang mengeluarkan  beribu-ribu dolar dan berusaha pelbagai cara agar kucing kesayangannya dapat dipulihkan. Kalau cara perubatan konvensional untuk kucing tidak berkesan, dicuba cara alternatif, sebagaimana dilakukan oleh seorang kawan saya tidak berapa lama dahulu. Kalau kita sudah sayang, mana mungkin kita membiarkan kucing-kucing kesayangan kita merana kerana penyakit atau musibah yang dihadapi, sedangkan masa sihat pun banyak yang cuba kita berikan kepada kucing-kucing kita. Kadangkala makanan dan permainan mereka lebih mahal daripada apa-apa yang kita beli untuk diri kita.

Namun seperti manusia apabila ketiadaannya sering megingatkan masa-masa kita bersama mereka, demikian juga jika kucing-kucing kita telah berpulang kepada-Nya. Kita terkenangkan segala gelagat dan kenakalan mereka yang mencuit hati kita. Ada kucing bagaikan seorang anak kecil yang suka dibelai dan sering menyorok dekat kita semasa kita berbaring, menggunakan komputer atau sibuk menjalankan tugas. Ada yang suka dan amat bersabar ‘dikerjakan’ anak cucu kita. Ada pula menghadiahkan pelbagai ‘habuan’ tangkapan di luar rumah seperti Brownie yang gemar melakukan itu untuk keluarga anak saudara saya di Shah Alam.  Dan Daisy pula, walaupun menyayangi keluarga anak saudara saya yang satu lagi, tapi yang paling disayanginya, ibu anak-anak saudara saya, kakak sulung saya. Sayangnya sedemikian, jika kakak saya mahu pergi bercuti atau mengerjakan umrah, bukan hanya harus memberitahunya malah terpaksa meninggalkan telekung atau tuala terpakainya. Daisy akan bergumul dengan telekung atau tuala kakak saya jika dia merindukan kakak saya. Dan yang paling pelik, kakak saya akan menelefonnya dan Daisy dibawa ke telefon bimbit anak-anak saudara saya untuk mendengar suara kakak saya yang berbual – berbual sehalanya nampaknya – dengannya. Tak boleh diberi rakaman suara kerana ia tahu agaknya…

Sebilangan besar keluarga besar saya gemarkan haiwan peliharaan terutamanya kucing. Pelbagai cerita mengenai kucing yang saya dengar dari masa ke semasa sejak dahulu lagi. Kita tersentuh haiwan yang kecil ini boleh menggembirakan kita walaupun kita kadangkala memarahi mereka. Mungkin ada di dalam jiwa kita untuk melindung dan menyayangi haiwan yang kecil dan seringkali tidak sepandainya mempertahankan dirinya berdepan haiwan-haiwan yang lebih besar atau lebih garang. Mungkin ini tindakan naluri kita. Atau memang kita ini jenis senang menyayangi kucing tanpa apa-apa syaratnya.

Bila kucing kita berpulang kepada-Nya, kenangan kita sering berlegar-legar kepadanya bila terlihat kucing-kucing lain atau mainan dan sebagainya yang bersangkut-paut dengan kucing kita, walaupun kita mungkin ada kucing yang lain di rumah. Ada semacam rasa kekosongan terutama apabila kucing itu lama hidup bersama anda atau ia telah meluangkan banyak masa bersama anda dan menceriakan hidup anda meskipun jangka hayatnya tidak begitu panjang. Kita berasa sedih dan gembira bersilang-seli; sedih kerana haiwan yang kita sayang tidak lagi bersama kita buat selama-lamanya dan gembira kerana masa-masa kita masih dapat ditambah bahagia kerana pernah adanya kucing tadi. Memang kucing kita tidak boleh bercakap tetapi dengan hanya mengiau dan tingkah mereka, kadangkala mereka ‘bercakap’ seribu bahasa tanpa sepatah kata manusia. Betapa besar keistimewaan-keistimewaan kecil ini Allah titipkan kepada kita.

Sejak kucing saya Snowy meninggal dunia pada 21 Jun 2017, saya sering menonton video kucing yang berwarna putih seperti Snowy. Dan saya juga akan tersentuh bila menonton video kucing atau haiwan lain yang lumpuh atau separuh lumpuh. Snowy lumpuh setelah setahun sebulan atau dua bulan saya memeliharanya. Ia terjatuh dari tingkap yang dibuka sedikit sahaja dari rumah pangsa saya di tingkat 10. Kemudian, Snowy terhentak besi geriji yang menutup pengaliran air di bawah blok rumah saya. Kedua-dua kaki belakangnya menjadi lumpuh; satu memanjang dan tidak boleh dibengkokkan dan satu lagi membengkok. Pembuangan najis kecil dan besarnya harus dibantu. Snowy hidup lebih 16 tahun selepas menjadi lumpuh. Dan ia makan ubat sejak lumpuh, hanya pada tahun-tahun terakhir hidupnya ada komplikasi lain yang menyukarkan hidupnya. Snowy meninggal dunia dalam dukungan saya. Saya kerap menonton video-video kucing berwarna putih, terutama kucing Persi berwarna putih yang mirip Snowy setelah Snowy tiada alagi di sisi saya.

Kucing saya Ginger meninggal dunia pada 20 Julai 2019. Ginger ini jenis kucing yang sering beralah kepada Snowy kerana mungkin dia tahu Snowy lumpuh dan kurang sihat. Dia juga jenis yang suka ‘menghadiahkan’ saya sesuatu yang dijumpai di koridor atau rumah saya. Seperti Snowy, Ginger penyayang dan walaupun suka dimanjakan ia malu menghimpit seperti Snowy. Tapi Gingerlah yang sering berjaga-jaga bila terdengar bunyi tapak kaki di luar rumah saya, mengejut saya sewaktu besahur dan menemani, dengan duduk di sebelah sejadah saya semasa saya bersolat. Kerenah kedua-dua Ginger dan Snowy begitu menghiburkan saya yang tidak mempunyai kucing selama hampir 21 tahun, setelah kucing terakhir peliharaan saya, Pepito, meninggal dunia pada 1979 ketika saya menginap di Lorong L, Telok Kurau Road. Saya hanya memelihara kucing semula pada tahun 2000.

Ginger mulai sakit pada tahun 2010 tetapi sakitnya masih dapat dikawal. Ia kemudian jatuh sakit lagi; pankreasnya ada masalah. Ginger mula diberi ubat dan harus disuntik. Ia pernah dimasukkan ke hospital kucing dan dibedah kerana penyakitnya tapi umurnya masih dipanjangkan – lebih daripada yang dijangkakan doktor haiwan. Namun, suntikan terpaksa dilakukan setiap hari dan ubatnya ditambah. Ginger juga meninggal dunia dalam dukungan saya.

Bila terkenangkan Ginger, terutama tahun-tahun terakhirnya, saya selalu menonton video ‘Diary of an Old Cat Nana’  yang kucingnya, Nana, berwarna jingga dan menghidap pelbagai penyakit. Tetapi bila terkenangkan masa-masa sihat Ginger dan Snowy, saya kini suka mengikuti video-video mengenai ‘Hosico Cat’ yang tinggal di Rusia dan ‘Haru & Miru’ yang tinggal di Korea. Dan seperti beberapa orang yang saya kenal, saya suka menonton video-video kucing dan haiwan-haiwan lain, terutamanya haiwan jenis mamalia.

Sekadar kucing-kucing yang kita sayang dan betapa ketiadaan mereka sedikit sebanyak menjejas kehidupan kita. Sesekali kita akan berduka dan sesekali dia berasa gembira bahawa kucing-kucing yang kita sayang ini pernah menyantuni kehidupan kita. Dan kadangkala kata-kata tidak mampu menggambarkan apa ertinya haiwan peliharaan bagi hidup kita walaupun kita menyayangi anak/anak saudara serta cucu/cucu saudara kita. Orang yang dianggap sasa dan macho pun boleh bertukar tingkahnya berhadapan haiwan peliharaannya, inikan pula sebilangan kita yang sederhana-sederhana sahaja.

Saya yakin, hati kita besar untuk menyayangi bukan hanya keluarga dan kawan kita tetapi manusia lain dan haiwan-haiwan yang meruangi dunia kita, cuma darjah kasih itu mungkin berbeza bagi setiap makhluk. Dan menyayangi seekor kucing atau beberapa ekor kucing bukan pula seperti zero-sum game – bila sayangkan kucing, akan kurang pula sayang kita kepada keluarga dan kawan kita. Ia sebenarnya lebih melengkapi. Hati yang besar dan lapang itu boleh sahaja menyayangi manusia dan haiwan serta setiap ciptaan Tuhan kerana setiap satu itu ada tempat dan peranannya di hati kita untuk mensyukuri anugerah sebuah kehidupan.

Biarlah saya kongsikan gelagat Haru dan Miru ini (mereka adik beradik) dalam video berikut untuk hiburan anda:https:

Ditulis: 22 Ogos 2020;
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Kucing – Satu

Ujang 1Ujang 3

Ujang 4Ujang 5

[Ujang (berwarna putih dan kelabu) bersama adik-beradiknya, Tih (berwarna putih campur tompok kecil oren dan hitam) dan Tina (berwarna kelabu).]

Anda mungkin sudah terbiasa dengan ini – ada orang yang gemar betul dengan kucing dan beberapa haiwan lain, sehingga kadangkala hidup mereka seolah-olah berpusar pada haiwan-haiwan ini. Ada yang memelihara beberapa ekor haiwan di rumah atau kalau tidak pelihara pun, mereka adakan masa untuk memberi makan atau mengusap-gusap kucing jalanan (stray cats). Kerenah mereka dan kucing-kucing yang mereka dekati boleh ditulis beberapa kitab!

Dahulu di bawah blok saya, ada beberapa orang yang suka duduk-duduk dan bercakap dan melayan kucing. Kumpulan ini terdiri daripada wanita-wanita yang pertengahan dan lanjut usia dan agak berbilang bangsa. Mereka bertemu secara tidak formal – kebetulan turun ke bawah untuk membeli barang, hendak ke pasar atau mahu duduk-duduk ambil angin pada waktu pagi. Dan ada beberapa orang lain, adakalanya anak-anak muda, bertegur sapa dengan mereka dan juga mungkin tercuit dengan perbualan mereka dan kucing-kucing jalanan yang turut bersama mereka.

Semasa tinggal di kampung-kampung di Singapura dahulu, memang hubungan manusia dengan kucing serta beberapa haiwan lain lebih akrab. Kini hanya beberapa jalur keakraban itu masih ada kerana rumah dan kehidupan yang berbeza bagi sebilangan kita, sukar menghidupkan keakraban dahulu dengan haiwan-haiwan sejinak kucing. Namun, kisah-kisah kucing ini masih meruangi kehidupan sebilangan kita.

‘Kumpulan Kucing’ Dan Cerita-Cerita Berkaitan

Di kalangan ‘kumpulan kucing’ di bawah blok saya dahulu, ada seorang mak cik yang boleh juga digelar nenek kerana mempunyai beberapa cucu dan usianya juga agak lanjut. Mak cik ini akan turun ke bawah blok sekitar jam 7 lebih pagi dan duduk di bangku di hadapan blok kami yang dihiasi pokok dan rumput. Dia membawa makanan untuk kucing dan surat khabar lama. Kucing-kucing akan menanti di bawah blok semasa mak cik tersebut menuruni tangga dari tingkat 2 rumahnya. Dia akan meletakkan makanan tersebut di atas surat khabar lama dan kucing-kucing akan datang dan memakannya. Setelah selesai makan, mak cik itu akan membersihkannya dan duduk-duduk lagi untuk melayan kucing-kucing. Dia begitu bahagia dan ceria bersama kucing-kucing tadi – dan inilah rutin mak cik tersebut kecuali apabila dia sakit.

Mak cik ini pernah memberitahu kami bahawa semasa dia kecil dan tinggal di Melaka, dia ada memelihara kucing. Kehidupannya susah dan semasa Hari Raya pun kadangkala tiada makanan yang sedap-sedap seperti daging dan ayam. Suatu hari, sehari dua sebelum Hari Raya, kucingnya menghilang. Puas dicari tetapi tidak juga dijumpa. Mak cik ini, yang masih kecil, amat bersedih kerana terfikir mungkin kucingnya sudah mati. Pada malam Hari Raya, kucing iti pulang ke rumah. Ia menyeret bungkusan daging – rupa-rupanya ia ke pasar – seorang penjual daging, yang mungkin belas kepadanya yang memerhati dan ternanti-nanti cebisan daging, telah memberi bungkusan itu kepadanya untuk dibawa pulang. Mak cik itu begitu gembira menceritakan hal ini – bukan hanya dia sekeluarga mendapat makanan berdaging yang dimasak ibunya tetapi gembira dapat bertemu kembali kucing kesayangannya dan terharu dengan tindakan kucingnya terhadap kesusahan keluarganya. Mungkin kerana kisah ini, berpuluh tahun berlaku di Melaka, mak cik di blok saya ini, begitu sayangkan kucing dan kucing-kucing jalanan di estet perumahan saya juga menyayanginya.

Bila kita tanya kucing-kucing ini, ‘Mana nenek?’, mereka akan melihat ke atas – ke tingkat 2 blok saya. Bila mak cik ini tidak turun, mereka tahu mungkin mak cik tersebut sakit atau tiada di rumah kerana beberapa hal (walaupun ini jarang berlaku). Suatu hari, mak cik ini sudah beberapa hari tidak turun ke bawah blok. Untuk makanan, ada juga orang lain yang memberi makan kepada kucing-kucing ini tetapi mereka seakan-akan rindukan mak cik tersebut. Rupa-rupanya mak cik tersebut sudah beberapa hari sakit. Selang beberapa hari, kucing-kucing jalanan itu bagaikan berpakat dan menaiki tangga serta berdiri dan mengiau di hadapan pintu rumah mak cik itu. Setelah ‘diberitahu’ nenek mereka sakit, baru mereka turun ke bawah blok.

Saya rasa mereka tahu mak cik tersebut sakit tenat dan mereka tidak lagi dapat bermanja dengannya. Soal makanan, ada yang memberi juga tetapi jalinan perhubungan istimewa mereka hanya mak cik tersebut yang dapat memberinya. Kata orang, kucing sering tahu keluhuran hati seseorang manusia. Mereka tahu, mak cik ini bukan orang berada namun tetap menyediakan makanan untuk mereka serta meluangkan masa untuk bermain-main dengan mereka. Dan saya rasa mereka tahu apabila mak cik tersebut meninggal dunia. Setelah mak cik ini meninggal, apabila ditanya ‘Mana nenek?’  mereka tetap mendongak ke tingkat dua – rumah pangsa nenek yang mereka sayangi.

Seorang lagi mak cik yang tinggal di hadapan blok saya, jarang duduk bersembang mengenai kucing tetapi dia menyayangi kucing. Selain mempunyai kucing di rumah, dia akan keluar rumah setelah subuh – memberi kucing-kucing sedikit makanan dalam perjalanannya. Walaupun mak cik ini kelihatan ‘garang’ namun kucing-kucing jalanan itu tahu isi hatinya dan suka mendekatinya. Dan dialah yang selalu memberitahu kami apabila ada kucing atau haiwan lain yang terbiar atau sakit. Bila mak cik ini meninggal dunia, saya rasa kucing-kucing yang sudah biasa dia santuni pada subuh hari, pasti juga terasa.

Jiran Saya Dan Kucing Cacatnya

Ada seorang lagi jiran saya yang gemarkan kucing – ada sahaja kucing yang dijaganya kerana kasihankan mereka. Kisahnya, ada kucingnya melahirkan anak kucing yang sedikit cacat – kedua-dua kaki depannya melengkung, lantas kucing ini sukar berjalan dengan betul atau menguis makanan. Ibu kucing itu tidak pedulikan anaknya yang cacat ini tetapi melayan anaknya yang lain. Jiran saya ini yang memberi banyak perhatian dan kasih sayang kepada anak kucing yang cacat ini sehinggalah ia dewasa. Kucing ini masih cacat tetapi ia menjadi kucing yang ceria dan begitu disayangi jiran saya. Mungkin kucing ini tidak terasa kecacatannya sebagai penghalang hidup bahagianya. Satu keanehan kucing ini, sejak ia kecil dan dipinggirkan oleh ibu dan adik-beradiknya – jiran saya selalu lebih rapi menjaga tempat tidur dan makan minumnya. Keanehan itu berlaku selang beberapa waktu – pada waktu pagi, setiap minggu, ketika jiran saya memberi makan kucing cacatnya, dia dapati ada duit syiling di tempat tidur kucing tersebut. Ini berlaku hampir setiap minggu sehingga kucing itu dewasa dan jiran saya mengumpulkan duit-duit itu untuk membeli keperluan kucing tersebut. Saya terharu mendengar berita ini – jiran saya ini bukan orang senang – dia menjaga ibu bapa dan anaknya sebagai ibu tunggal. Dia tidak pandai menulis dan membaca dan bekerja sebagai seorang pembersih. Tapi dengan serba kekurangannya, hatinya bersih untuk membantu haiwan dan orang lain – apalagi haiwan yang cacat. Mungkin ini cara Allah membalas kebaikannya semasa di dunia lagi. Jiran saya ini sudah pun berpindah ke Bedok North, mengikut kehendak anaknya. Dia tidak lagi bekerja tetapi saya yakin, dia masih menjaga kucing atau sekurang-kurangnya mengambil berat terhadap kebajikan kucng-kucing jalanan di estet perumahan baharunya.

Perihal si Ujang, si Tina Dan si Tih

Banyak kisah kucing yang telah dan akan kita dengari dari waktu ke waktu. Ada orang suka memelihara kucing yang mahal atau ‘berjenama’ dan ada pula suka mengambil kucing di daerah perumahan mereka atau mengambil daripada rumah-rumah tumpangan kucing. Apa pun, tujuannya adalah sama – untuk berkongsi sedikit rasa bahagia bersama haiwan-haiwan yang comel dan nakal ini. Bak kata seorang kawan saya, yang tinggal di luar negara – ‘They are my babies’ – bila kami berhubungan melalui telefon. Kalau anda tiba-tiba terdengar perbualan kami, anda akan menyangka dia bercakap pasal anak-anaknya. Kawan saya ini orangnya begitu praktikal, terdidik dalam bidang sains dan pernah menjadi guru sains di sebuah sekolah menengah yang agak ternama di Singapura. Dia bertemu jodoh semasa melanjutkan pelajaran sainsnya di California. Suaminya, seorang mualaf, juga menyayangi haiwan. Tetapi betapa praktikal pun kawan saya ini, bila bercakap pasal kucing dan haiwan-haiwan yang disayanginya, dia menjadi ‘lembik’ – perasaannya begitu mencair dan dilarutkan oleh rasa kasihnya yang bukan calang-calang!

Anda yang meminati kucing tahu ada pelbagai kerenah mereka. Dahulu ada beberapa kucing jalanan – 3 beradik, dua daripadanya sempat kami kembirikan dan seekor susah ditangkap. Di Singapura, kucing-kucing jalanan ini harus dikembirikan dan telinga mereka dipotong sedikit (potong yang sedikit ini menurut doktor haiwan, tidak menyakitkan atau menimbulkan mudarat) sebagai tanda mereka telah dikembirikan. Ini dilakukan untuk mengurangkan pembiakan kucing di Singapura – bermula mungkin pada akhir tahun 1970-an atau awal 1980-an. Kalau tidak dikembirikan, pihak berwajib boleh menangkap kucing-kucing jalanan ini dan dibunuh. Persatuan Kebajikan Kucing (Cat Welfare Society) dan orang awam sering juga membantu dalam usaha mengembirikan kucng-kucing jalanan ini. Di estet perumahan saya juga begitu – ada individu-individu tertentu membantu dalam hal ini dengan mengeluarkan wang mereka sendiri untuk tujuan tersebut.

Ketiga-tiga ekor kucing jalanan ini jiran saya menamakan Ujang/Bujang (jantan, warna putih dan kelabu), Tina/Betina (betina, warna kelabu) dan Tih/Putih (betina, warna putih, ada tompok kecil berwarna oren dan hitam) memang diberi makan setiap hari. Si Tina tidak boleh disentuh langsung, lantas tidak dapat dikembirikan. Si Tih juga begitu pada mulanya. Hendak tangkapnya pun agak sukar. Si Tih ini menjadi ibu sebanyak dua kali – sayangnya ia kucing yang tidak tahu menjadi ibu – menggelinjang sahaja setelah melahirkan anak dan anak-anaknya terbiar dan mati. Kali keduanya ia menjadi ibu pun sama. Dalam hujan, si Tih, tidak sorokkan anak-anaknya. Anak-anak mati lemas dalam air bertakung di tanah lapang yang berumput di hadapan blok saya. Apalagi, saya dan seorang jiran saya tak kasi chance lagi kepada si Tih. Kami bersungguh-sungguh mencari dan menangkapnya, walaupun si Tih meronta dan menggigit. Kami membawanya ke doktor haiwan dan kembirikannya. Kesian anak-anaknya yang mati kerana si Tih jenis tak tahu jadi ibu kucing – kerana mungkin si Tih menganggap ia kucing muda belia dan menawan (si Tih memang cantik) sepanjang masa!

Yang kelakarnya, Si Ujang. Kucing ini manja dan mudah ditangkap dan dikembirikan. Ujang manja dengan beberapa orang dan sebilangan kami bukan sahaja boleh mengusap, malah mendukungnya. Ujang ini pernah menghilang dan bila muncul, ia amat kurus – rupa-rupa dibelasah haiwan lain. Ia juga pernah menghilang – beberapa kali dipanggil tidak menjelma – rupa-rupanya termasuk dalam longkang yang ditutup besi yang berlubang. Ujang bersuara tetapi sukar didengar – cari punya cari, akhirnya saya mengagak Ujang termasuk longkang – seksalah terjongkok-jongkok, mengangkut penutup besi longkang tersebut dan mengeluarkannya. Ujang kurus dan comot bila dikeluarkan tetapi melihatnya dan melihat kesihatannya bertambah baik selepas itu – usaha itu benar-benar bermakna.

Ujang memang manja dan dalam banyak hal bagaikan seorang ‘gentleman’ – selalu beralah kepada adik-beradiknya, si Tih dan si Tina, malah kepada Ulit yang kecil. Bila ada kucing jantan yang jahat, yang kami panggil si Gangster, Ujanglah selalu melindungi kucing-kucing lain, walaupun ia kecil berbanding si Gangster. Hero kucinglah agaknya si Ujang ini.

Beberapa tahun lalu, Ujang menghilang sekejap, dan bila menjelma, kaki hadapannya, yang kanan,  dinaikkan ke atas – mungkin Ujang terpelecok. Ia berjalan menggunakan tiga kaki. Saya pun mengurut dan kemudian menyapu ubat dan Ujang sembuh. Dalam seminggu dua selepas itu Ujang datang ke tempat makannya, dan kaki kirinya pula terpelecok. Saya perhatikan ia – nampak sah si Ujang ini berlakon – saya mengusiknya –‘Oi, Ujang, belajar berlakon dengan P.Ramlee dalam ‘Madu Tiga’ ke?’ Agaknya Ujang tahu ia nak kenakan saya, ia bagai tersipu-sipu dan dalam sekelip mata kaki kirinya dah okey. Sayang, Ujang tak hidup zaman P.Ramlee, kalau tidak ia dah jadi pelakon!

Ujang ini kucing yang manja dan suka duduk bersama saya, malah di pangku saya, bila saya duduk di bawa blok setelah memberinya dan kucing-kucing lain makan. Bila saya pulang malam kerana tugas atau ke kedai/pasar raya dan sebagainya, Ujang selalu menanti dan ‘menemankan’ saya sehingga saya naik lif. Ujang menanti bukan kerana ia mahu makan – makanan sudah pun diberi lebih awal – ia seolah-olah gembira bertemu saya. Bila berjalan ke blok saya, ternampak kelibat saya, Ujang akan terlari-lari, sama seperti Ulit sekarang ini.

Ujang meninggal pada Ramadan tahun lalu (2019). Berhari saya mencarinya tetapi tidak bertemu. Saya kemudian diberitahu oleh jiran di blok lain, yang sering memberi Ujang biskut sewaktu pagi, sebelum dia ke tempat kerja – Ujang dilanggar kenderaan dan berehat di blok berdekatan dan kemudian mati. Saya sedih mendengar berita ini – sedih kerana Ujang tentunya kesakitan semasa dilanggar dan saya tidak dapat membantu dan berjumpanya buat kali terakhir. Dan pilu buat beberapa ketika kerana semasa memberi makan atau balik pada waktu malam, Ujang tidak lagi ‘menyambut’ saya.

Kematian kucing yang kita sayang tentunya mengharukan kita. Saya melihat sendiri seorang anak saudara saya, semasa remaja, terisak-isak semasa kucingnya meninggal dunia. Dan kini, anaknya pula terisak-terisak dan tidak faham mengapa kucingnya dijemput maut. Ada seorang lagi anak saudara saya, lelaki bujang yang tinggi, agak tampan dan macho, juga terharu dengan mata berbecak, menceritakan kematian kucing yang dipelihara keluarganya.

Si Manis Di Bawah Blok Dan si Gangster

Kadangkala yang mengharukan kita adalah perkara yang paling tidak disangka-sangka. Ada seekor kucing jalanan di estet perumahan saya yang saya namakan ‘Manis’. Ia kucing betina berwarna oren, hitam dan putih. Memandangkan ia semakin besar, saya dapat menangkapnya dan membawanya ke doktor haiwan untuk dikembirikan. Sebelum dikembiri, seperti kucing-kucing lain, Manis harus diasingkan dan tidak diberi makan dan minum. Saya memberi Manis makan dan minum dahulu dan setelah memberinya masa, saya menangkapnya. Saya memasukkan Manis ke dalam kandang (sangkar?) kucing yang besar di rumah saya pada waktu malam. Ketika itu saya mempunyai dua ekor kucing di dalam rumah, Snowy dan Ginger. Pada waktu pagi, saya membawa Manis ke kilinik doktor haiwan. Saya hanya mengambil Manis pada waktu petang dan membenarkannya makan dan berehat dahulu dan setelah itu saya melepaskannya di bawah blok. Malam itu semua okey semasa saya memberi makan kucing-kucing di bawah blok dan Manis bersama mereka.

Lusanya, pada waktu petang, ada kucing mengiau-ngiau – Manis tercongok di hadapan pintu rumah saya dan mengiau kuat. Rupa-rupanya bahagian saluran air kencingnya luka – saya membersihkan lukanya dan menaruh ubat yang memang ada untuk luka tersebut. Saya membiarkannya duduk di rumah saya dahulu, sebelum melepaskannya ke bawah blok. Manis, seperti kucing-kucing jalanan yang lain, tak betah duduk di rumah saja dan mereka selalu tidak selesa kerana mereka tidak bebas dan saya pula ada dua ekor kucing yang tak suka sempadan rumah mereka dikongsi kucing lain. Untuk beberapa hari setelah itu, saya akan menangkap Manis, menaruh ubat pada lukanya. Rupa-rupanya si Gangster yang jahat itu yang melukakannya sehingga darah Manis meleleh. Kucing gangster ini sukar betul ditangkap, walaupun berkali-kali dicuba oleh jiran saya dan saya tapi akhirnya ia juga menghilang dari estet perumahan saya – mungkin ditangkap pihak berwajib atau mati di tempat lain. Dan kucing-kucing jalanan yang ada ketika itu mungkin hidup lebih aman tanpanya.

Mengenai si Manis ini saya terperanjat dan begitu terharu – ia yang sakit dan berdarah, tiba-tiba tercongok di hadapan pintu rumah saya. Manis tidak pernah ke rumah saya, kecuali semasa ia akan dibawa ke klinik doktor haiwan. Rumah saya di tingkat 10 – anda harus menaiki lif untuk ke rumah saya. Manis dalam sakit dan berdarah, menaiki tangga sampai ke tingkat 10 dan tahu mana satu rumah saya – saya terharu, haiwan ini ada keluatan menaiki tangga dalam keadaan sakit dan yakin saya akan membantunya. Air mata saya berlinang semasa membersih dan menaruh ubat pada lukanya petang itu – kadangkala kita berasa apalah yang kita dapat lakukan dalam hidup ini – kita bukannya ada kekuatan, wang melimpah-ruah, kedudukan dan sebagainya. Tetapi bagi sesekor kucing – dalam saat-saat genting dan lukanya, ia tahu kita menyayangi dan boleh membantunya. Betapalah tidak terharu kita dibuatnya.

Dan Selanjutnya…

Banyak lagi kerenah kucing yang akan saya kongsikan dengan anda dan mungkin juga anda ingin kongsikan dengan saya. Ada yang berkata, kucing ini memilih betul siapa yang mahu disayanginya. Anda mungkin memberinya makan tetapi ia tidak semestinya memilih anda untuk disayang, walaupun tidak membenci anda. Kucing sendiri memilih siapa yang mahu disayang dan dibenarkan untuk mengusap dan memanjakannya. Macam si Ulit di bawah blok saya. Tetapi itu cerita untuk masukan blog pada lain ketika. Buat masa ini, kucing-kucing saya, yang berumur hampir 10 bulan, sudah meminta perhatian. Kalau anda ada kucing, anda sedia maklum – masa anda sedang sibuk, terutama tengah menaip di komputer, masa itulah kucing-kucing anda ‘mengacau’ dengan pelbagai cara, termasuk tiba-tiba berlalu-lalang di hadapan monitor komputer anda atau mengiau-ngiau minta perhatian, seolah-olah anda begitu membiarkan mereka dan asyik tertumpu kepada minat atau tugas anda sahaja……

Ditulis oleh: Penyair senteng penggemar kucing @ Rasiah Halil
11 Ogos 2020.