Archive | April 2015

Sajak: Bila

2 Snowy Almost In Dreamworld3 Ginger contemplating

Bila kubersihkan kau
atau kusuapi makanan, ubat
bila langkah-langkahku terbatas
& takdir bagaikan menjerat
aku berjeda, menjaluri perjalanan
kukenangkan kasih, ihsan, tanggungjawab
kasih & keadilan-Nya yang Maha Luas.

Bila kau berdua bermain, berlarian
terlupa sakit & kecacatan menghambat
bila kerenahmu penawar
& hadirmu bak bianglala
melenyapkan mendung
mewarnai suasana
aku semakin sedar
besarnya rahmat-Nya
melindungi, meliputi segala
& bila Dia sentiasa memperkayakan kita
dalam reda & serba sederhana.

Ditulis: 19 April 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Seekor Kucing Bernama Dewey

deweycover

Tajuk Buku: Dewey
Penulis: Vicki Myron dan Bret Witter
Penerbit: Grand Central Publishing, New York, 2008.

Anda pernah menyayangi kucing, arnab, hamster, ikan, burung dan sebagainya? Kalau pernah, anda tentu tahu betapa mudah hati anda tersentuh oleh segala gelagat haiwan ini. Bagaimana kalau haiwan ini tiba-tiba menjelma dalam hidup anda pada satu pagi yang dingin?

Demikian kisah seekor anak kucing berwarna oren, yang tiba-tiba menjelma dalam pelongsor buku sebuah perpustakaan pekan Spencer di barat laut Iowa, Amerika Syarikat. Anak kucing comot ini telah dibuang oleh tuannya; kurus, kelaparan dan kotor. Vicki Myron, yang bertugas di perpustakaan itu berasa hiba melihatnya dan membersihkannya. Vicki meminta izin pihak berkenaan untuk memelihara dan menanggung perbelanjaan anak kucing itu di perpustakaan kerana Vicki menghabiskan banyak masa di perpustakaan sebagai pegawai dan kemudian pengarah pustakawan di Spencer.

Lantas bermulalah kehidupan seekor anak kucing di perpustakaan tersebut. Kerana anak kucing itu ditemui dalam pelongsor buku, lantas ia dinamakan ‘Dewey’ bersempena sistem Dewey bagi buku-buku di perpustakaan. Dan kerana perpustakaan di pekan Spencer itu mahu menyemarakkan minat penghuninya agar gemar membaca dan meminjam buku, nama Dewey telah ditambah menjadi ‘Dewey Readmore Books’.

Dewey bukan sekadar kucing jalanan yang menginap di sebuah perpustakaan yang terpencil. Ia menjadi semacam ‘duta’ bagi pelbagai lapisan pengunjung perpustakaan itu. Dewey akan bersama kanak-kanak dalam program bercerita mereka, bersama orang-orang tua yang datang ke perpustakaan untuk membaca akhbar dan majalah, malah ia bersama sesiapa sahaja yang memerlukannya. Pekan yang sepi itu menjadi ‘hidup’ dengan pelbagai kegiatan baharu kerana adanya seekor kucing yang bijak dan manja.

Membaca buku ini anda akan tersentuh dengan gelagat Dewey; ia pandai mengambil hati dan memberi simpati kepada sesiapa yang memerlukan ‘pertolongan’nya; terutama mereka yang sedang sakit atau menderita. Dengan manjanya Dewey duduk mendengar cerita bersama kanak-kanak, menyentuh atau mengulit kaki pengunjung perpustakaan yang meminta perhatiannya, minta diriba bila ada yang memerlukan sentuhannya atau minta didukung bila ia tahu anda memerlukannya untuk menenangkan keresahan di hati, sebagaimana dialami Vicki dalam beberapa masalah kesihatan dan kehidupan yang dialaminya. Malah cerita Dewey ini juga adalah cerita penulisnya, Vicki Myron, yang mengalami pelbagai cabaran hidup tetapi tidak pernah berputus asa atau hilang kepercayaannya kepada kehidupan, malah masih boleh bersikap positif, mengharunginya segalanya, sebagaimana Dewey.

Buku ini bukan karya sastera besar tetapi ia besar dalam sentuhan kasih yang unik. Makhluk sekecil seekor kucing ini bagaikan ‘sentuhan ajaib’ yang memulihkan bukan hanya Vicki, sebuah perpustakaan, sebuah pekan, malah menjangkau ke beberapa daerah di luar pekan Spencer.

Kalau anda masih belum percaya makhluk kecil seperti seekor kucing boleh menyentuh kehidupan manusia atau kurang yakin bahawa keindahan kehidupan itu Allah tunjukkan dalam pelbagai cara – bacalah buku Dewey ini. Saya pasti anda akan temui pelbagai cerita dan iktibar membaca buku ini dan besar kemungkinan air mata anda akan turut menitis membaca buku Dewey.

Ditulis: 11 November 2009
Bedok, Singapura
Tersiar: Berita Harian, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tengok Ayam Saja Banyak Pengajaran Boleh Dapat

Salah satu peribahasa yang Sri dengar sewaktu kecil berakhir dengan ‘….dan kucing di dapur pening kepala’. Peribahasa ini menggelikan hati dan menimbulkan rasa ingin tahu – walaupun Sri dah terlupa sambungan depan peribahasa itu. Bayangkan jika kucing boleh pening kepala, apahal dengan tikus, ayam, itik, tupai, ikan, semut dan lain-lainnya?

Semua bangsa mempunyai peribahasanya sendiri walaupun terdapat juga peribahasa sesuatu bangsa ada persamaan dengan peribahasa bangsa lain. Peribahasa kita pula terdiri daripada simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah dan lain-lainnya. Ia dihasilkan daripada pengamatan dan renungan masyarakat silam, sama ada daripada kalangan arif budiman zaman itu mahupun rakyat jelata. Daripada renungan, timbul pengajaran agar masyarakat senang memahami sesuatu kejadian ataupun menjadikannya sempadan/teladan. Perkara yang dijadikan bahan peribahasa selalunya sesuatu yang sudah terbiasa dalam masyarakat itu. Dalam masyarakat orang Eskimo misalnya, tentu terdapat banyak peribahasa pasal salji dan jenis-jenisnya (salji bukan satu jenis saja), ikan, cuaca dan sebagainya kerana mereka selalu berdepan dengan hal-hal ini. Begitu juga jika anda bertanya dengan orang Arab – terdapat banyak peribahasa mereka mengenai padang pasir, pohon dan buah kurma, unta dan sebagainya. Untuk mengetahui flora dan fauna yang terdapat di alam Melayu, lihat saja peribahasa kita. Ada tumbuhan yang melambangkan sesuatu, demikian juga haiwan dan serangga.

Pernahkah anda terfikir, dalam banyak-banyak haiwan, ayam seolah-olah menimbulkan perasaan ‘benci tapi rindu’ kita ?. Semua haiwan tidak memakai kasut, tapi hanya si ayam yang terkena ‘kaki ayam’. Tulisan yang tak cantik disebut pula ‘cakar ayam’, tidur yang tidak terlalu lelap dipanggil ‘tidur-tidur ayam’, kalau tak nampak jelas waktu malam disebut ‘rabun ayam’ – agaknya haiwan lain tak rabun ke ? Orang yang pucat, kurang darah disebut sebagai ‘bagai ayam mabuk tahi’ atau ‘bagai ayam berak kapur’. Orang yang susah bernafas dikata ‘seperti ayam termakan rambut’. Orang yang resah gelisah disebut sebagai ‘anak ayam kebasahan bulu’ sedangkan ibu yang memarahi anaknya untuk mengajar adalah ‘seperti ayam mematuk anaknya’. Bila kita ke rumah orang dan tidak diberi makan, kita sebenarnya ‘bagai ayam naik ke surau’ dan orang yang dapat kesenangan pula disebut ‘ayam bertelur di atas padi’. Kita juga diingatkan bahawa ‘jika memelihara ayam, musang jangan dijinakkan; setidak-tidaknya bertempiaran kelak’ dan bagi yang arif, ‘berketak ayam, tahu akan bertelur atau tidak’. Banyak juga pasal ayam yang tak baik misalnya ‘hangat-hangat tahi ayam’, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelimang tahi’, ‘seperti meminta susu kepada ayam’, ‘ibu ayam’ dan ‘bapa ayam’. Peribahasa pasal ayam ini banyak, terpaksalah Jalil Hamid buat lagu ‘ayam’ yang baharu.

Sejenis serangga pula melambangkan sesuatu yang negatif baik semasa kecil mahupun besarnya. Pertama, ia jadi ‘ulat bulu’, bila dah besar, jadi ‘kupu-kupu malam’ pula ! Katak pula selalu melambangkan sesuatu yang tak baik atau kurang, misalnya ‘katak di bawah tempurung’, ‘alim bagai katak di tepi air’, ‘katak mahu jadi lembu’, ‘katak ditimpa kemarau’. Agaknya katak bila riang menanti hujan akan sering menguang dan melompat, lantas anda yang riang berbelanja disebut pula ‘joli katak’. Tupai pula sejenis haiwan yang comel, tapi bagi masyarakat Melayu ia sering merosakkan dusun, lantas timbul peribahasa ‘kelapa ditebuk tupai’ dan ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’ dan yang positif, ‘tua-tua tupai tidak tidur atas tanah’.

Harimau, ular dan gajah misalnya selalu melambangkan kekuasaan dan orang-orang besar sedangkan pelanduk/kancil pula lambang orang kecil. Tapi anda tak perlu jadi besar kerana cukuplah jika anda punya ‘akal kancil’. Beberapa peribahasa menggambarkan kedudukan gajah dalam masyarakat: ‘gajah masuk kampung, kalau kayu tak tumbang, rumput layu juga’, ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’, ‘gajah empat kaki lagi tersaruk’, ‘gajah mati kerana gadingnya’, ‘gajah harimau di hutan hendak diburu, pijat-pijat di bantal tak dapat hapuskan’ dan ‘gajah rompong belalai’. Adakalanya bila ‘gajah naik minyak’, habis orang dan kampung dimusnahkannya.

Anjing pula dilambangkan dengan perkara-perkara yang negatif dalam masyarakat kita. Misalnya: ‘bagai anjing buruk kepala’, ‘melepaskan anjing tersepit’, ‘anjing diberi makan nasi takkan kenyang’, ‘anjing bercawat ekor’, ‘anjing biasa makan tahi, jika tak makan mencium pun ada’, ‘habis minyak sepasu, ekor anjing diurut tiada lurus’, ‘anjing itu, kalau dipukul sekalipun, berpaling juga ia ke bangkai yang banyak tulang’ dan lain-lain lagi. Dan anjing, walaupun boleh buat heboh, tapi ‘anjing menyalak bukit, takkan runtuh’.

Cacing/ulat juga menggambarkan unsur-unsur negatif misalnya ‘bagai cacing kepanasan’, ‘menggelitik bagai ulat nangka’, ‘ulat melupakan daun’ dan ‘cacing menjadi ular naga’. Anda pernah lihat kunang-kunang atau disebut juga kelip-kelip ? Rahsia yang tak dapat disembunyikan dikatakan: ‘bagai kelip-kelip terbang malam’ dan orang yang tak pedulikan bahaya dikatakan ‘seperti kelkatu masuk api’. Biawak pula lambang beban ‘memangku biawak hidup’ tapi ‘macam buaya [darat]’ lain pula bebannya…

Silalah ke rumah Sri kalau sudi, hm…hm… tapi anda tahu itu hanya ‘ajak-ajak ayam’!

Ditulis: 8 Februari 2001
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu, Singapura, 11 Februari 2001, dipotong beberapa bahagian oleh pihak Berita Minggu kerana kesempitan ruang.
Tajuk Asal: Haiwan Dan Serangga Dalam Peribahasa Kita.

Catatan 5 – April 2015

Naim  1 1987 RH PhotoNaim 2

Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi: 27 Jun 1950 – 13 April 2015

Prolog

Pagi semalam (13 April 2015) ketika subuh, saya terkenangkan Pak Ghani Hamid kerana genap setahun beliau berpulang ke rahmatullah. Dan 13 April juga merupakan hari lahir Allahyarham Pak Ghani.

Saya baru selesai solat subuh dan masih berada di tikar sembahyang apabila saya menerima pesanan whatsapp yang menyatakan pemergian seorang lagi yang saya kenal, Cikgu Mohamed Naim Daipi. Beberapa hari sebelum ini ada berita di akhbar menyatakan beliau dimasukkan ke hospital di Brunei semasa menghadiri seminar bahasa di sana sebagai wakil Majlis Bahasa Melayu Singapura. Namun menerima pesanan whatsapp itu tetap mengejutkan saya. Setelah memastikan berita itu sahih, saya mengunjurkan berita yang saya terima kepada beberapa orang yang mengenali Allahyarham.

Zaman Muda Dahulu

Cikgu Naim saya kenali sejak tahun-tahun 70-an dahulu. Beliau, bersama Mohamed Latiff Mohamed, Suraidi Sipan, Mohamad Gani Ahmad, Noor Hidayat dan beberapa orang lagi aktif dalam bidang sastera pada tahun-tahun tersebut. Saya masih di bangku sekolah dan karya-karya saya baru diterbitkan bermula 1972. Saya tidak terlibat dalam mana-mana persatuan sastera walaupun pernah diundang untuk menghadiri perbincangan sastera semasa usia remaja itu. Allahyarham Naim dan kawan-kawannya ketika itu sudah pun bekerja, hampir semuanya guru dan banyak melahirkan karya-karya mereka di akhbar. Mereka juga aktif berpersatuan, terutama dalam Asas ’50. Walaupun saya bukan anggota Asas ‘50, saya sesekali turut serta acara sastera anjuran Asas ‘ 50 dan pernah juga bersembang dengan Allahyarham dan kawan-kawan seangkatannya. Kerana saya masih muda dan jarang dapat bertemu rakan-rakan penulis serta tidak terlibat dalam mana-mana pertubuhan sastera ketika itu, pertemuan-pertemuan saya dengan Allahyarham dan kawan-kawannya jarang berlaku. Dan saya juga sedikit berat mulut ketika itu. Hanya semakin dewasa lebih mudah saya bercakap dengan Allahyarham dan kawan-kawan seangkatannya. Mereka rata-ratanya menganggap saya sebagai rakan muda atau adik dan di kalangan tiga orang sahabat karib ini – Allahyarham, Suraidi Sipan dan Mohamed Latiff Mohamed, keakraban mereka terserlah bagaikan abang-abang kepada saya yang masih menuntut ketika itu.

Saya hanya menjadi anggota Asas ’50 selama setahun, pada 1977, kalau tidak silap saya dan saya tidak memegang apa-apa jawatan tetapi kemudian tidak lagi menjadi anggota Asas ’50, walaupun ada juga membantu Asas ’50 misalnya dalam seminar yang mereka anjurkan. Saya sibuk belajar, berpersatuan dan aktif dalam pelbagai kegiatan di kampus Universiti Singapura, di Bukit Timah, mulai 1976 dan sebenarnya tidak banyak masa yang dapat diluangkan di luar kampus. Perkembangan sastera begitu mercup pada tahun-tahun tersebut dan Allahyarham serta rakan-rakannya aktif menggiatkan sastera Melayu ketika itu.

Bantuan Allahyarham Untuk Jurnal Jejak Kembara Universiti Singapura

Pada 1978, bersama beberapa orang rakan, kami mengusahakan sebuah jurnal sastera bernama Jejak Kembara. Idea ini timbul ketika saya di tahun pertama di Universiti Singapura pada 1976. Tetapi idea ini terpaksa saya tangguhkan kerana tiada sesiapa yang benar-benar komited untuk menjayakannya. Malah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura pun tercungap-cungap dan hampir dibubarkan ketika saya menjejakkan kaki ke Universiti Singapura pada Jun/Julai 1976. Setelah melakarkan apa yang kami ingini bagi jurnal ini dan mendapatkan bahan untuk mengisinya serta kata-kata aluan daripada Prof. Syed Hussein Alatas, Ketua Pengajian Melayu, Universiti Singapura pada 2 Disember, 1978, barulah kami mencetak, ketika itu dengan menggunakan mesin saiklostail. Orang yang paling banyak membantu kami adalah Allahyarham dan Rauzani Ahmad serta Suraidi Sipan yang melampirkan lukisannya untuk beberapa karya mahasiswa dan kajian yang kami buat.

Allahyarham Naim begitu gembira dan terbuka untuk membantu kami. Kami terkial-kial mencari dana, konsep jurnal, bahan, malah cara menyiapkan dan mengedarkan jurnal kami. Dan yang paling mendesak, mesin saiklostail di kampus boleh digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Kami membuat saiklostail di kampus tapi tidak semua dapat disiapkan. Pada 31 Disember 1978, saya dan seorang ahli jawatankuasa penerbitan Jejak Kembara pergi ke rumah Allahyarham di Marine Parade dan mencetak jurnal kami dibantu oleh Allahyarham dan Rauzani Ahmad. Mesin pencetak/saiklostail Asas ’50 terletak di rumah Allahyarham Naim. Kami menyambut tahun baharu 1979 di rumah Allahyarham Naim dengan menyelesaikan semua cetakan pada dinihari itu. Bantuan dan sokongan Allahyarham, Suraidi Sipan dan Rauzani Ahmad kepada idea menerbitkan jurnal sastera Melayu pertama di kampus Universiti Singapura itu sukar saya lupakan sehingga kini.

Usaha Penerbitan Dan Membantu Ruangan Sastera Berita Minggu

Pada tahun-tahun 1979 dan 1980, ketika Allahyarham mengendalikan Majalah Sasterawan Asas ’50, saya diminta menyumbang karya dan terjemahan, walaupun saya bukan anggota Asas ’50. Saya dan seorang rakan menterjemahkan cerpen Allahyarham ke bahasa Inggeris, selain saya menulis esei sastera dan menterjemahkan puisi-puisi berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu dalam Majalah Sasterawan. Ketika itu saya menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, yang tidak jauh dari Marine Parade, tempat Allahyarham menginap, jadi mudahlah saya menghantar karya-karya saya dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal ke rumahnya.

Satu perkara yang saya rasa besar sumbangan Allahyarham ialah ketika beliau membantu Encik Yatiman Yusof, ketika itu editor Berita Harian/Berita Minggu dan beberapa orang yang mengetuai Berita Harian/Berita Minggu atau bahagian sasteranya. Allahyarham ternyata lebih adil dan memberi peluang ramai menulis mendapat tempat di dada akhbar dengan saringan yang agak baik. Allahyarham Naim sepanjang bantuannya untuk ruangan sastera Berita Minggu, bukan hanya lebih terbuka dan baik saringan karya-karya yang disiarkan, bahkan beliau tidak menonjol-nonjolkan dirinya. Allahyarham mencintai bahasa dan sastera Melayu dan kerana itu menghidupkan kedua-duanya sebaik yang boleh, menjadi tumpuannya. Soal menggilap ego tidak timbul dalam usahanya menghidupkan sastera Melayu dalam akhbar Berita Minggu ketika itu.

Dan satu perkara lagi yang saya tabik kepada Allahyarham Naim dan kawan-kawannya seperti Suraidi Sipan, Mohd Gani Ahmad, Mohd Latiff Mohd dan seorang dua kawannya yang lain, apabila mereka mengusahakan sesuatu untuk Asas ’50, misalnya menerbitkan buku, menganjurkan acara sastera dan sebagainya, mereka tidak menonjol-nonjolkan nama mereka sebagai orang yang mengusahakannya tetapi meletakkan nama Asas ’50 sahaja. Mereka lebih mementingkan produk yang dihasilkan dan tidak menjadikan persatuan sebagai batu loncatan untuk menjulang nama mereka sebagai individu.

Hadiah Sastera Dan Kegembiraan Allahyarham

Pada 1983, majlis Hadiah Sastera diadakan di Perpustakaan Marine Parade bagi penilaian karya-karya tahun 1981/1982. Saya membawa beberapa ahli jawatankuasa Jejak Kembara pusingan kedua, ke rumah Allahyarham di Marine Parade. Kami tumpang bersolat di sana dan kemudian bersama-sama beredar ke Perpustakaan Marine Parade. Masa itu calon pemenang tidak diuar-uarkan terlebih dahulu dan jumlah hadiah (wang) juga tidak sebanyaknya. M. Nasir diundang untuk menghiburkan khalayak dan tetamu terhormat majlis tersebut ialah Prof. Syed Hussein Alatas. Saya terkejut diberi hadiah penghargaan bagi puisi saya, ‘Pengertian’ (tahun itu tiada hadiah sastera bahagian puisi) dan Allahyarham menerima hadiah sastera bagi esei sasteranya. Allahyarham, selain Prof. Alatas dan beberapa orang rakan benar-benar gembira saya menerima hadiah tersebut setelah terlibat dalam bidang penulisan sejak 1972.

Pada 1983 juga saya mewawancara Allahyarham Naim (dan juga beberapa orang penggiat sastera Singapura dan Malaysia) untuk tesis sarjana saya mengenai novelis-novelis Melayu Singapura dan Malaysia, selepas Perang Dunia Kedua. Pada 1985, Allahyarham mengusahakan antologi cerpen, Kehilangan, yang turut memuatkan cerpen saya. Pada Febrari 1987, Allahyarham tumpang gembira saya dapat mengajar di Universiti Brunei dan saya sekali lagi saya mewawancara Allahyarham (dan beberapa penggiat sastera Singapura) pada Ogos 1987 kerana saya memulakan kursus baharu mengenai kesusasteraan Singapura di universiti tersebut.

Pada tahun-tahun 80-an itu Allahyarham ada meminta pandangan saya mengenai cara-cara merancakkan sastera Melayu dan saya menulis secara ringkas dan memberinya kepada Allahyarham. Tujuannya ingin memulakan beberapa acara agar sastera Melayu Singapura semakin rancak tetapi niat baik ini tidak dapat lepas landas (take off) kerana beberapa hambatan. Dan mungkin kerana beberapa kendala, Allahyarham kemudian tidak lagi bergiat dalam Asas ’50 dan lebih menumpukan perhatian kepada kegiatan-kegiatan di balai rakyat, Majlis Bahasa Melayu Singapura dan sebagainya.

Tahun-Tahun 1990-an Dan Seterusnya

Mulai 1991, saya mengajar secara sambilan di Institut Pendidikan Nasional/NIE yang terletak di kampus Universiti Singapura dahulu. Allahyarham serta beberapa kawan saya, termasuk Suraidi Sipan dan Mohd Latiff Mohd, bertugas sebagai penulis pakar di Institut Pengembangan Kurikulum Singapura, yang juga terletak di perkarangan kampus Universiti Singapura dahulu. Justeru ada lebih banyak masa untuk sesekali bertemu rakan-rakan penulis dan Allahyarham juga ada mengajar secara sambilan di Institut Pendidikan Nasional/NIE.

Dari tahun 1987 sehingga 1990, tiada sebarang penilaian sastera dibuat bagi karya-karya sastera Singapura kerana Jawatankuasa Hadiah Sastera dibubarkan. Pada 1993, satu jawatankuasa penilaian baharu ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Anugerah Persuratan dengan adanya beberapa kategori baharu bagi penilaian karya sastera. Jawatankuasa Hadiah Sastera yang mula menilai karya 1974 pada tahun 1975 dan diteruskan setiap 2 tahun sekali sehingga 1986, disokong oleh sejumlah pertubuhan Melayu-Islam di Singapura tetapi Jawatankuasa Anugerah Persuratan pula ditaja oleh pemerintah Singapura.

Pada 1993, Allahyarham bersembang dengan saya dan mengajak saya terlibat dalam penilaian sastera dalam Jawatankuasa Anugerah Persuratan. Satu kategori baharu (yang kemudian ditiadakan selepas tahun 1993) diadakan iaitu kategori ‘Peraduan Menulis Sajak’ untuk golongan remaja dan dewasa dan Allahyarham meminta saya mengendalikannya. Saya sedia menerimanya. Allahyarham juga ingin saya terlibat dalam beberapa jawatankuasa kecil bagi penilaian karya sastera bagi tahun 1991/1992 itu. Saya menolaknya kerana saya masih menulis sajak, cerpen, esei sastera dan juga menerbitkan buku – tidak adil jika saya menjadi anggota jawatankuasa satu-satu genre sastera sedangkan saya juga menulis dalam genre tersebut kerana ini akan menimbulkan ‘conflict of interest’. Allahyarham bersetuju tetapi mahu saya terlibat dalam penilaian kategori ‘Tun Seri Lanang’ dan saya bersetuju. Namun, setelah melihat perisian dan cara bekerja jawatankuasa kategori Anugerah Tun Seri Lanang serta beberapa kategori lain untuk dua tahun Anugerah Persuratan iaitu 1993 dan 1995, saya akhirnya menarik diri dan tidak lagi terlibat dalam mana-mana jawatankuasa penilaian Anugerah Persuratan/Anugerah Tun Seri Lanang selepas 1995 dan saya memberitahu Allahyarham mengenai hal itu. Mungkin Allahyarham Naim sedikit kecewa dengan keputusan saya tetapi Allahyarham tetap bersikap seperti biasa terhadap saya. Bagi saya Allahyarham seorang yang bekerja bersungguh-sungguh dalam Jawatankuasa Anugerah Persuratan tetapi tidak semua orang bekerja seperti Allahyarham atau saksama dalam penilaian mereka.

Pada akhir Ogos 1995, saya berlepas ke Iowa untuk mengikuti Kursus Penulisan Antarabangsa/International Writing Programme di Universiti Iowa, Iowa, Amerika Syarikat. Berita mengenai pemergian saya ke sana tersiar di Berita Harian Singapura. Saya pulang pada bulan Disember 1995. Pada akhir Disember 1995, saya bersama keluarga seorang saudara saya menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka di sebuah restoran. Allahyarham juga hadir di restoran itu bersama rakan-rakan bukan Melayunya yang mungkin ahli jawatankuasa balai rakyat Tampines. Dengan spontan Allahyarham menyapa saya dan mengucapkan tahniah kerana saya dapat ke Iowa. Allahyarham juga memberitahu rakan-rakannya mengenai saya. Rasa gembira dan bangganya jelas kelihatan dan saya terharu. Saya menutup rasa terharu saya dengan mengusik Allahyarham: “Naim, buncitnya,” dan saya ‘mencucuk’ perutnya serta ketawa. Allahyarham dan kawan-kawannya turut ketawa. Allahyarham Naimlah satu-satu rakan seni yang saya boleh lakukan ini – ‘mencucuk’ perutnya dengan jari telunjuk saya sebab saya yakin seratus peratus tiada perasaan apa-apa di antara kita, kecuali sebagai rakan penulis dan sikap keabang-abangannya.

Setelah 1995 itu saya jarang bertemu Allahyarham kecuali dalam beberapa majlis kesenian/sastera sahaja kerana penglibatan seni Allahyarham dan rakan-rakan karibnya serta penglibatan saya sendiri menuju hala tuju masing-masing. Namun saya tetap mengikuti penglibatan sastera Allahyarham serta perkembangan sastera Singapura. Sesekali bila bertemu kawan yang mengenalinya, saya berkirim salam. Bila terdengar berita Allahyarham ada masalah jantung, saya, seperti kawan-kawan seangkatannya dan mereka yang mengenali turut bersedih dan mendoakan yang terbaik buatnya.

Kali Terakhir Bertemu Allahyarham

Kali terakhir saya bertemu Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi ialah pada hari Khamis, 5 Februari 2015. Saya baru mengendalikan kursus kreatif di Tanjong Katong Secondary School. Saya kemudian ke Geylang Serai untuk bertemu seorang rakan sekampus yang sedang bercuti di Singapura. Ini sekitar jam 4 lebih petang. Kami beredar ke Restoran Hajah Maimunah untuk makan petang dan duduk di bahagian dalam restoran tersebut. Sejurus kemudian, saya terlihat Allahyarham Naim, Nadiputra, Mohammad Ashik dan Yusof Ahmad masuk ke restoran dan duduk di bahagian depan restoran. Pada mulanya mereka tidak melihat saya dan bila terlihat, kami melambai. Kemudian mereka datang ke meja saya untuk bertegur sapa. Allahyarham memberitahu saya beliau mengalami masalah jantung sekali lagi pada tahun lepas dan bertanyakan hal kesihatan saya. Dalam ingat-mengingatkan hal kesihatan ini, saya bertanya Allahyarham mengenai tulisan-tulisannya – sudahkah dikumpulkan untuk diterbitkan? Allahyarham menjawab beliau telah menghantarnya ke pihak penerbitan. Saya gembira mendengarnya.

Setelah selesai makan, saya dan kawan saya pergi ke meja Allahyarham. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dan saya berdiri di sebelah Allahyarham. Kerana saya menganggapnya bagaikan saudara tua, saya tersenyum dan menepuk bahunya dan berkata: “Naim, kumpulkan karya-karya you dan take care, ya?” Itulah kali terakhir saya bertemu Allahyarham.

Pada 13 April 2015, saya menonton rancangan ‘Berita’ di Mediacorp untuk mengikuti berita terkini mengenai Allahyarham selain mendapat pesanan whatsapp daripada beberapa orang. Saya pergi melawat pada 14 April, selepas jam 10 pagi, terlambat sedikit dan jenazah Allahyarham baru berlepas ke Masjid Ba alawi untuk solat jenazah dan kemudian ke Pusara Abadi, di Choa Chu Kang. Saya berada selama lebih satu jam di rumah Allahyarham di Tampines, berbual dengan balu, keluarga dan sahabatnya. Saya sempat juga melihat beberapa gambar Allahyarham bersama keluarga dan orang-orang tertentu dalam ruang tamu rumahnya. Melihat gambar-gambar yang menunjukkan saat-saat istimewa bagi Allahyarham dan keluarganya, rasa hiba semakin menyelinap – berakhir sudah riwayat seorang rakan seni yang saya kenali.

Epilog

Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi seorang yang bersungguh-sungguh dalam beberapa bidang yang beliau ceburi. Cintanya kepada bahasa dan kesusasteraan Melayu bukan sesuatu yang tempelan atau untuk mengejar nama. Sejak novelet Tumpas sehingga pelbagai usahanya untuk mempertingkatkan penggunaan dan penghayatan bahasa Melayu baik di pentas majlis-majlis bahasa dan sastera ataupun di alam siber, walaupun kurang sihat, Allahyarham tidak pernah kendur semangat.

Dalam masa terdekat ini, tiga orang penulis pelapis telah meninggalkan kita iaitu Noor Hidayat, Iswardy, dan kini, Mohamed Naim Daipi. Setiap seorang daripada mereka memberi pelbagai daun dan bunga bagi merimbunkan pohon sastera kita. Dunia bahasa dan sastera kita beruntung kerana ketiga-tiganya bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam penglibatan seni mereka.

Sahabat-sahabat saya seperti Suraidi Sipan dan Mohamed Latiff Mohamed serta beberapa rakan seangkatan dan akrab dengan Allahyarham Mohd Naim, akan selalu terkenang masa-masa mereka, terutama masa-masa muda mereka bersama Allahyarham. Keluarga terdekat dan keluarga besar Allahyarham tentunya masih sedih dan dibuai pelbagai kenangan bersama Allahyarham untuk suatu jangka masa yang lama. Saya akan selalu terkenang seorang rakan seni berpangkat seperti saudara tua, yang walaupun pandangan kami boleh berbeza mengenai sesuatu hal, orangnya tetap sopan (decent) dan berlapang dada terhadap saya.

Semoga Allah memberi ketabahan dan ketenangan kepada keluarga, kerabat, handai dan taulan yang Allahyarham tinggalkan. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh sahabat saya, Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi, dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang solihin. Amin. Al-Fatihah.

Diulis: 13 – 15 April 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil. Continue reading

Hargai Hidup Yang Singkat Ini

album (1)album

Kita sering takut menerima panggilan telefon lewat tengah malam, kerana seringkali beritanya buruk. Dan kematian yang tiba-tiba menjenguk teman dan taulan selalu menimbulkan kegenjotan dalam kehidupan.

Belum pun setahun yang lalu, saya menerima berita kematian seorang kawan. Dan baru-baru ini seorang lagi kawan saya menemui ajalnya dalam sebuah kemalangan. Antara kedua berita kematian ini, terdengar kematian adik seorang sahabat dan kematian-kematian lainnya dan juga berita mengenai kawan dan saudara yang ditimpa panyakit barah serta ginjal. Kebanyakan mereka dalam linkungan umur 20-an dan 30-an tahun.

Bagi kawan saya yang pertama (Aishah Abdul Aziz) yang meninggal ketika menjalani pembedahan, berita kematiannya amat sukar dipercaya. Untuk beberapa waktu, saya terkenangkannya dan terkenangkan makna kematian bagi diri saya. Beliaulah sahabat saya yang pertama dari kampus Universiti Singapura yang meninggal dunia. Allahyarhamah tidaklah berpenyakit, sekadar menjalani pembedahan bagi membantunya hamil. Tetapi beberapa pembedahan terpaksa beliau jalani kerana telah berlaku kesilapan teknikal dan mungkin faktor ini juga menjadi penyebab kematiannya.

Saya terkenangkan masa-masa lalu ketika dia, saya dan dua orang sahabat yang lain menyewa sebuah bilik di Kheam Hock Road pada tahun akademik 1976-1977. Bagaimana pagi-pagi lagi kami berdedai ke kampus Bukit Timah dan pulang bersama-sama, lewat malam setelah perpustakaan ditutup. Dan sepanjang perjalanan pulang, kami dan beberapa kumpulan yang juga menyewa bilik kawasan lain di Kheam Hock Road, akan berbual, menyanyi, bergurau, terutama apabila melalui kawasan jirat Cina dan tempat-tempat lain yang sunyi. Dan ketika sampai sahaja di rumah mak cik tumpangan kami, kami sering makan bersama, mencuci baju atau tidur. Sering juga kami berborak sehingga ke larut malam.

Kawan saya tidak meneruskan pelajarannya setelah tahun pertama. Beliau kemudian berumah tangga dan menetap di Kuala Lumpur. Perhubungan kami semakin terputus walaupun sesekali saya terdengar juga berita mengenainya. Sayangnya, beritanya yang saya dengari ketika baru juga pulang dan bertugas di Singapura ialah mengenai kematiannya.

Kawan saya yang seorang lagi (Hadijah Ali) adalah seorang senior tahun ketiga ketika saya menjejakkan kaki di Universiti Singapura. Apa yang boleh saya ingat kini ialah ‘kekecohan’ dan kegemaran beliau berjenaka, terutama apabila kami bertemu di Masjid Kebun Bunga, terletak di belakang kampus, yang kini telah tiada. Dengan senda guraunya dan wajahnya yang sentiasa girang, siapakah yang akan menyangka maut akan mengakhiri segala-galanya?

Kematian sering membuat kita insaf, terutama apabila mereka yang meninggal adalah orang-orang yang masih muda dan pernah menjalani secebis daripada kehidupannya di hadapan atau bersama kita. Kita selalu menganggap kawan yang kita kenal atau sahabat yang kita sayang akan kita temui atau dengar beritanya dari masa ke semasa, sehingga ke usia tua. Tetapi itu hanyalah sangkaan kita. Seringkali setelah menerima berita buruk mengenai seorang sahabat atau saudara, kita menyesal. Menyesal kerana kita sering terlalu sibuk dan tidak meluangkan sedikit masa, untuk mengukuhkan lagi silaturrahim yang sedia ada.

Selain memperbanyakkan amalan dan berdoa, kematian mereka yang kita kenal seolah-olah mengingatkan: hargailah kehidupan yang singkat ini dan mereka yang kita kenal, terutama mereka yang kita anggap rapat dan sayang. Kerana kita tidak tahu bila telatah dan senda gurau sahabat atau saudara kita itu tidak akan lagi kita lihat dan dengar.

Ditulis : 2- 3 April 1991
Tersiar : Ruangan Pendapat, Berita Minggu, Singapura
Tajuk Asal: Erti Sebuah Kehilangan
Tulisan: Rasiah Halil.

If You Are Caught Up in the Here and Now, You Lose Sight of the Future

MK 1MK 3

Napoleon returned home in triumph after successive victory over Italy and Austria. The people welcomed him in a frenzy of jubilation, with illuminations, parades and banners, torches and bells, and gun salutes.

One of Napoleon’s men offered him respectful congratulations: “Sire, it must gratify you to receive such a rousing welcome.”

To his surprise, Napoleon answered coolly, “Don’t talk nonsense. It is a great mistake to enjoy such a superficial fuss. If circumstances were slightly different, these same people would be clamouring ‘To the guillotine!’ just as loudly. Nothing is so unreliable as the welcome of a mass of blind followers.

****************************************************************************************

The great swordsman, Chiba Shusaku (1794 – 1855) went fishing one night with several of his followers. They set out with torches, heading farther and farther to sea in search of fish, until they lost all sense of direction. Which way was the shore?

Shusaku himself grew flustered and had a series of torches lit while he peered in vain into the gloom. As they roamed the sea with mounting panic, the last of the torches burnt out. The situation seemed hopeless. But lo and behold, as darkness settled in, there in the distance was the outline of land, looming darker still. The men whooped in relief and joy.

Days later, Shusaku recounted the incident to a fisherman friend of his. The friend said smilingly, “That wasn’t like you. You should know that you can’t see the shore with torches. Torches are used to light up your immediate surroundings. If you want to see into the distance, they only get in the way. When we want to look far off, we douse them on purpose.”

As long as you rely on torches, you cannot make out the distant shore.

If you are caught up in the here and now, you cannot look ahead into the future.

Daripada: Kentetsu Takamori, Something You Forgot … Along the Way, 2009.

Lima Sajak : Alkisah/Cordelia/Dang Anum/Gunung Ledang/Cakerawala & Kita

Alkisah

Kerana esok hanya menjanjikan kehilangan,
kita pun berpaut kepada semalam, terapung
bersama jerami-jerami waktu, yang bakal
menghanyutkan masa kini & masa depan.
Terlalu ghairah menjaga, pusaka ini
tidak pernah kita nilai, & terlupa menyoal,
betapa tiba-tiba timbul si penglipur lara,
mengajar kita bahasa ketawa & alpa,
sedang hikayat kita belum pernah selesai.

Pentas ini pernah dihidupi seorang Fansuri,
ahli-ahli falsafah, sarjana, ahli seni,
apakah dengan adegan-adegan longgar &
watak-watak lemah,
bakal kita teguhkan sebuah tragedi?

Ditulis: 19 Oktober 1982
Panggung Victoria, Singapura – Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Cordelia

Lear tidak pernah mendengar
sayupnya suara kejujuran
kerana kepura-puraan itu lantang
& kau ditakdirkan pendiam.

Betapa terbatas keupayaan
bila kasihmu disalah-ertikan
menghukum tanpa keadilan
membelenggu dalam kesengsaraan
kerana makna cinta Raja Lear
digadai kata-kata & mahkota.

Kau tidak sepetah Goneril, Regan,
atau mahir memadui kata
lalu kejujuranmu menjadi pedang
memutuskan kasih Lear
menghunus kau keluar dari istana.

Inilah kepedihan
tika Lear menyingkir kasih anak setia
& Regan & Goneril memperbudak
cinta seorang bapa
dilucuti maruahnya
terbuang di padang terbuka
& jiwa Lear hancur diributi tanda tanya.

Di medan perang membela Lear
terlambat seorang bapa memahami
dalamnya cinta Cordelia.

Ditulis: 26 April 1985
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dang Anum

Kerana senjata wanita bukan hanya parasnya
kau diperbesarkan dengan nilai-nilai
dibendung oleh adat
diajar mengenal batil & hak
agar menjadi permata
berkilau untuk bangsa.

Kejelitaan wanitalah belatinya
tika raja memandang wanita
bagai perhiasan peribadi
& terlupa
seorang wanita pintar
adalah srikandi
dalam jagat raya lelaki.

Betapa ranum buah-buah fitnah
di taman Iskandar Shah
& seorang wanita menjadi embun
sirna ditelan mentari purba.

Tak tertanggung keaibanmu
diarak ke hujung pasar
dihina bagai perempuan murah
disula
kerana raja dimabuki buah fitnah.

Akankah terdengar kesengsaraanmu, Anum,
& pintu kota dibuka
kerana keadilan tidak pernah bertakhta
di hati raja?

Ditulis: 15 November 1987
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Gunung Ledang

Di pinggir kakimu
pernah Hang Tuah, Sang Setia, Tun Mamat, ke situ
membawa pinangan Sultan Mahmud
buat tuan puteri luarbiasa, jelita,
untuk dijadikan Raja Perempuan Melaka.

Tidak kulihat balai berbumbung rambut,
bertiang tulang, pelbagai burung bersiul
atau bunga-bunga berpuisi silam
tiada juga Dang Raya Rani,
dayang-dayang, perempuan bongkok tiga
walau puncakmu masih bertaman
mungkin dilihat Tun Mamat
& tidak pula kudengar
tuan puteri menerima pinangan bersyarat.

Tiada kulihat hati nyamuk, kuman, air mata,
air pinang, darah, jambatan emas, perak,
atau menjejaki langkah purba itu
setelah serba terasing
di kaki gunungmu
& di tingkat-tingkat air terjun
keindahan silammu semakin tercemar
dengan kebisingan pesta
dengan pedagang murah
& di peta Sejarah Melayu
kau diarah Ali Baba
& mudah terjual
bagai saham termurah.

Tuan Puteri Gunung Ledang
betapa bijaksana kau meningkah Sultan
betapa pintar kau memberi tamsilan
makna maruah & jati diri
ketika ia terlalu murah
di dunia dagang kini.

Ditulis: 20 Mei 1999
Gunung Ledang, Johor, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Cakerawala & Kita

Cakerawala seluas ini
gugusan galaksi, planet, asteroid,
meteorit, komet melintasi
Lubang-lubang Gelap, Bima Sakti
sistem matahari, berbilang bulan
bintang-bintang bagaikan kunang-kunang
namun hanya Bumi, daratan secarik
kebanggaan kita berpaksi.

Benarkah teori Letupan Besar
atau sekadar ‘Jadi, maka jadilah’
di manakah Arasy, Kursi Allah
sebutir zarah kita berlagak
seseni debu kita bercongkak
akulah,akulah,
terulung di mayapada
sedang pohon sejarah
daun-daunnya gugur
tertulis di Lohmahfuz
tanpa kemegahan ini dapat dibawa
menghuni alam-alam yang nyata segala.

Ditulis: 19 November 2005
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

*Lubang Gelap – Black Hole; Bima Sakti – Milky Way; Teori Letupan Besar – Big Bang Theory.

Apakah Keihsanan Kita Berwarna?

Esei 1Esei 2

Beberapa tahun dahulu seorang kenalan Sri mempelawa Sri mengambil anak Bosnia sebagai anak angkat. Memanglah hati Sri terharu mendengar tragedi yang berlaku di Bosnia pada tahun-tahun 90-an itu tetapi ajakan kenalan Sri itu sukar pula Sri penuhi. Ajakannya bersalut kata-kata yang kurang menyenangkan Sri: ambillah, kanak-kanak ini putih dan comel. Dalam diam, Sri terfikir, apakah kenalan Sri akan seghairahnya terhadap kanak-kanak berkulit hitam dari Afrika atau kanak-kanak berkulit sawo matang dari Nusantara. Apakah keihsanan kita tercuit kerana mangsa sesuatu tragedi atau bencana itu orang-orang yang lebih cerah, cantik atau berada?

Fikiran yang sama bermain-main dalam otak Sri bila mengikuti bencana taufan Katrina yang melanda New Orleans, Alabama dan Mississippi. Seperti kebanyakan orang, Sri tertanya-tanya mengapa bantuan yang didatangkan begitu lambat, tiadanya penyelarasan yang lebih jitu dan mengapa dengan pelbagai amaran mengenai taufan ini, empangan-empangan tidak diperkukuhkan di tempat-tempat yang terdedah pada pukulan taufan itu? Tentunya banyak punca yang menyebabkan kecelaruan di ketiga-tiga tempat ini, cuma soalan kebanyakan orang, seandainya bencana ini berlaku di negeri-negeri yang lebih kaya di Amerika Syarikat, akankah kecelaruan sebegini berlaku?

Dan dalam mengikuti perkembangan taufan Katrina, kita maklumi juga beberapa nahas udara di Medan dan beberapa tempat, kebakaran di Perancis dan Mesir, selain satu lagi taufan besar yang kini melanda Jepun, iaitu taufan Nabi (kupu-kupu dalam dalam Korea), tragedi runtuhan lombong di China, perang saudara dan perang di beberapa pelosok dunia. Kadangkala membaca akhbar atau mendengar berita, kita mula kecut perut. Bencana dan nahas seolah-olah menjenguk di mana-mana.

Memang sebagai manusia biasa kita lebih mudah tersentuh bila mangsa itu lebih menyerupai kita atau kadangakala memenuhi impian kesempurnaan kita. Tetapi mangsa apa pun tragedi tidak pernah memilih untuk menjadi mangsa. Dengan keadaan dunia yang semakin dihubungkait, sukar bagi kita bertindak seperti burung kasuari; menyembunyikan kepala dalam tanah dan menganggap selagi kita tidak melihat sesuatu masalah, masalah itu sebenarnya tidak wujud. Bencana Katrina ini sebenarnya menyelongkar beberapa masalah dan lingkaran musibah yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib di sana, sejak dulu lagi. Bak kata seorang pakar bencana dari rancangan televisyen yang Sri ikuti: bencana ini menampilkan wajah sebenar ketiga-tiga negeri Teluk itu; bahawa yang hidup susah, terutamanya orang-orang kulit hitam, bagaikan terabai begitu lama. Dan kita, sebagai orang luar, yang mengikuti filem dan siri dari Hollywood, sering didodoikan dengan yang indah-indah di sana dan kegemilangan apa yang disebut sebagai ‘Impian Amerika’. Ternyata impian ini boleh juga memandang bulu dan warna. Melihat tragedi di New Orleans terutamanya, Sri terfikirkan perjuangan Martin Luther King dan Malcolm X pada tahun-tahun 60-an dulu – apakah kata-kata Dr King ‘I Have a Dream’ untuk sebuah Amerika impian untuk semua semakin berkecai sebagaimana yang tergambar dalam bencana Katrina ini – bahawa orang-orang kulit hitam masih jauh daripada apa yang diimpikannya dan rakan-rakan seperjuangannya?

Apakah keihsanan kita ‘berwarna’ mungkin menyentuh kita dari segi lain di Singapura? Misalnya, adakah kita berasa ihsan atau mengambil berat terhadap seseorang itu apabila orang tersebut memberi ‘warna’ kepada kita dalam bentuk wang. Dalam keadaan hidup kita yang semakin rancak, terdapat juga sebilangan anggota masyarakat kita tertinggal jauh. Wang gajinya tidak dapat menampung keperluan keluarganya. Kadangkala kita menyuruh mereka meningkatkan diri, sebagaimana orang-orang New Orleans disuruh meninggalkan kediaman mereka sebelum taufan Katrina melanda, tetapi sebagaimana mereka, kita terlupa orang-orang ini mungkin tiada wang tambang, kereta atau terlalu dikendala oleh pelbagai masalah sehingga sukar baginya meninggalkan New Orleans, atau bagi kita, mengikuti kursus-kursus yang kita anjurkan. Adalah penting badan-badan yang terlibat tidak hanya menganjurkan sesuatu untuk golongan yang tertinggal ini tetapi yang lebih utama, mencari punca-puncanya bila sesuatu kelompok sukar menyahut seruan peningkatan atau perubahan yang cuba kita anjurkan. Tanpanya, sebagaimana yang berlaku di ketiga-tiga negeri Teluk di Amerika, ramai yang akan terkandas atau terus dalam lingkaran musibah yang sukar diputuskan untuk beberapa generasi.

Keihsanan yang ‘berwarna’ juga kita temui dalam beberapa kejadian terhadap golongan tua kita. Di estet perumahan Sri ada seorang lelaki tua yang tiap pagi duduk di salah sebuah bangku dekat rumah pangsa Sri. Dia bertongkat kaki empat seperti kereta bayi, dibawa makanan dalam plastik yang diikat pada tongkatnya. Dari awal pagi sehingga larut malam dia akan duduk dan tidur di beberapa buah bangku di situ, malah kadangkala dia buang air kecil juga di sana. Anaknya hanya membenarkannya pulang ke rumah pada larut malam. Di sebuah lagi estet perumahan, kejadian yang hampir serupa berlaku; seorang wanita tua dibiarkan duduk di kolong rumah pangsa dari pagi sehingga anak dan menantunya pulang. Dia tidak diberi makanan atau wang; hanya jiran-jiran yang kasihankannya memberinya makanan. Kedua-dua warga senja ini terbiar kerana mereka bukan orang senang. Seandainya mereka orang-orang senang atau dianggap tidak membebankan, tentunya rasa ihsan anak-anak mereka akan berubah. Dengan ‘warna’ nya wang, yang terbiar pun boleh disenangi. Adalah penting rasa ihsan kita tidak dikelabui warna sama ada warna kulit atau wang. Orang yang dilanda petaka, yang terbiar hidupnya dan sebaginya, tidak memerlukan kata-kata, tetapi kesungguhan semua pihak untuk menyelesaikannya. Dan biarlah kita, sebagaimana kata Nelson Mandela menjadi bagaikan warna pelangi; indah dalam kelainan warna tetapi tetap satu dalam warna kemanusiaan kita.

Ditulis: 7 September 2005
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu, Singapura, 18 September 2005
Tajuk Asal: Apakah Keihsanan Kita Berwarna?