Archive | January 2016

Catatan 30 Januari 2016

1. Banyak perkara yang meruangi suasana kita sejak kebelakangan ini. Isu keganasan seakan-akan menjadi-jadi – setelah berlaku di Jakarta dan beberapa tempat yang lain. Saya pernah menyentuh isu ini dan berharap kita akan lebih prihatin dan bukan sekadar mengeluarkan retorika menghadapi isu ini. Bahawa orang Islam yang benar-benar menghayati agamanya tidak akan melakukan hal-hal sebegini, sudah jelas untuk semua. Nabi s.a.w. mengajar kita pelbagai pedoman hidup, termasuk yang berhubung dengan sesama manusia, baik Muslim mahupun bukan Muslim. Dan sebagai orang Islam, kita juga dibendung oleh hal-hal haram, halal, wajib, sunah, makruh dan harus. Bahawa Islam mengajar kita makna ‘ibadah’, yang tidak terbatas kepada ibadah-ibadah riual semata-mata, hatta ini wajib dilakukan, memberi kita pertimbangan yang saksama bagaimana harus kita santuni sesama manusia dalam menjalani kehidupan ini. Semua ini jelas bagi mereka yang memahami Islam sebagai satu cara hidup, bukan tempelan semata-mata. Bila ini jelas, kita juga harus jelas mengapa sesetengah orang terpanggil untuk menyahut seruan kumpulan-kumpulan pengganas dan menimbulkan kacau-bilau di dunia. Perlu ada penyelongkaran hingga ke akar umbi mengapa gejala-gejala sebegini boleh muncul. Menggambarkan stereotaip dan perulangan yang hambar tidak akan menyelesaikan masalah ini. Nyawa manusia berharga, demikian ajaran Islam, dan dengan keterbukaan hati dan minda, mudah-mudahan gejala negatif seperti keganasan, dan berkait dengannya pelbagai gejala negatif yang lain dapat ditangani dengan saksama, insya-Allah.

2. Saya lampirkan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain serta ulasan sajak ‘Orang Bestari Kini’ tulisan A. Wahab Ali, untuk renungan kita bersama. Beberapa kejadian di persekitaran kita membuat saya melampirkan karya-karya ini. Kadangkala banyak perkara boleh berulang kerana mungkin kita kurang mencari iktibar daripadanya.

3. Saya juga lampirkan dua buah tulisan daripada ruangan ‘Sri Anggerik’ saya – sekadar menghiburkan kita. Saya titipkan juga sebuah sajak yang baru saya siapkan – sejak kebelakangan ini saya banyak terkenang yang silam, lantas lahir sajak ‘Kenangan Jalan Kobis (ii)’ ini.

4. Saya tidak sempat memulakan ruangan baharu, ‘Perca Kenangan’, sebagaimana saya uar-uarkan dalam entri yang lalu. Saya jatuh sakit pada petang 13 Januari lalu dan baru pulih dua tiga hari ini. Saya terkena ‘el-nino effect’ yang juga dialami sebilangan orang di Singapura dan Malaysia. Saya bukan sahaja demam, malah batuk kokol yang begitu menyakitkan dan juga sakit mata (conjunctivitis). Kerana saya ada alahan mengambil antibiotik biasa dan sistem keimunan (immune system) saya tidak sebaiknya, saya mengambil masa untuk sembuh. Banyak rancangan saya tergendala kerananya.

Kerana perubahan cuaca, saya mudah sakit pada bulan-bulan November dan Disember tetapi kali ini berlarutan hingga ke Januari, kerana virus kesan el nino. Dan baru-baru ini, ada pula virus baharu ‘Zika’ yang mula menjangkiti beberapa negara. Ia juga boleh menjejas janin/bayi dalam rahim dan mengakibatkan kecacatan bayi. Kematian juga boleh berlaku.

Saya tahu, negara saya, Singapura, akan amat berjaga-jaga mengenai hal ini, sebagaimana beberapa masalah sebegini dahulu melanda kita. Saya berharap kita sebagai warga negara masing-masing akan memainkan peranan agar jangkitan ‘Zika’ tidak menular di daerah kita. ‘Zika’ merebak melalui nyamuk, sebagaimana penyakit denggi.

5. Hidup ini amat berharga – semoga semua pihak akan memainkan peranan masing-masing untuk lebih mensejahterakan kehidupan ini dengan menanamkan perasaan muhibah sesama warga, tetangga dan manusia serta menjaga persekitaran dan kesihatan kita. Dan semoga pelbagai masalah yang melanda masyarakat – baik di sekitaran kita mahupun di pelosok mana ia berlaku, dapat dihadapi dan ditangani dengan adil, saksama dan rasa ihsan kita.

Akhirnya, yang banyak ditekankan Islam ialah erti akhlak (kepada diri dan sesama manusia) dan sikap adil dan saksama untuk semua manusia.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
29 – 30 Januari 2016.

Kata Mutiara: Sajak-Sajak Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain Untuk Renungan Bersama

Petikan sajak ‘ceritera yang ketiga puluh tiga (ii)’

Selama ia (Tun Fatimah) duduk dengan Sultan Mahmud, jangankan ia
tertawa, tersenyum pun tiada pernah
.”

ii
tiada manusia lain yang menjalani malam ini
seperti aku, dan aku sesedih melaka
yang menunggu di luar akan nafasnya,
di dalam hidup pendek ini
aku jadi saksi pada pembunuh ayah, suami
dan saudara yang berdarah dan berdaging bendahara,
aku melihat orang baik dijahatkan
dan orang yang pandai berkata dinobatkan.

melaka boleh dibeli dengan emas,
niat dikabulkan dengan bungkal pemberian,
rakus dagang dan pendatang
mudah menamatkan turunan keluarga.

tua negeri ini,
diketuai oleh umur di hujung usia,
akal nyanyuk dikekalkan
supaya pilihan berterusan,
kezaliman menjalar kepada anak muda,
wang merampas peraturan
pangkat menghalalkan perbuatan.

bagaimana mungkin senyuman datang ke bibir
kerana di negeri ini ada bau maut
yang bertiup dari kubur yang mengelilingi kota?

zalim bermaharajalela
apakah yang akan terjadi pada melaka?

**************************************************

Petikan sajak ‘ceritera yang ketiga puluh empat’

Maka Melaka pun alahlah, dinaiki oleh Feringgi di ujung balai, tiba-tiba lalu ke dalam.”

telah lama alah melaka ini
feringgi hanya pemecah terakhir
pada negeri yang diretakkan
oleh biaperi dan orang-orang besarnya.
bukit istana diusung ke parit oleh zalimnya
yang tak tertebus pada tujuh keturunan.

musuh kita ialah kita sendiri.
undang-undang dilenturkan untuk pilihan raja,
itulah peraturannya.
tanpa musuh luar, di laut atau parit
kita telah pun alah
oleh bahagian diri yang dibiarkan busuk.

negeri telah dirubahkan
untuk senang sebentar,
si rakus riang menjual tanah
kepada musuh yang menyediakan emas
dan akhirnya kita serahkan sejarah
kepada saudagar dan feringgi biadab.

***Kedua-dua petikan sajak tulisan Muhammad Haji Salleh, diambil daripada bukunya Sajak-Sajak Sejarah Melayu, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981***

*****************************************************

Dalam Kekusutan
(pesan untuk anak cucu)

Galilah kebenaran
Di bawah-bawah permukaan gelombang,
Antara belukar masalah,
Di dalam belantara persengketaan,
Di tengah-tengah kekusutan perasaan.

Setelah kau ketemukan,
Inti segala persoalan,
Kumpullah segala kekuatan,
Menegakkan kebenaran.

Tetapi insafilah akan segala dugaan,
Keris lembing dalam peperangan,
Tipu helah serta fitnah,
Bisa dan racun kata-kata,
Menyelinap bagai peluru dan panah,
Dari tempat-tempat yang tak beralamat,
Dari tangan-tangan yang tak bernama.

Perahlah akalmu di atas perasaan,
Pada ketika yang menuntut kebijaksanaan,
Tak ada siapa yang akan mengajarmu,
Tentang membilang dari esa,
Tentang membaca dari alif,
Engkau akan bersendirian,
Menghitung dan menimbang
Dengan mata keimanan.

Sajak tulisan Baha Zain diambil daripada bukunya Esei & Puisi Baha Zain, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

Pandai Masak Bukan Saja Berguna, Boleh Jadi Aktiviti Keluarga

Kata orang tua-tua, cara menambat hati keluarga ialah dengan memasak masakan kegemaran mereka. Mungkin itu sebabnya, masa dulu-dulu, ketika datuk/bapak kita kecil hati, ada sahaja nenek/mak kita yang memasak makanan kegemaran mereka dan tanpa berkata apa, masalah apa pun dapat terlerai. Masa sekarang agak sukar hendak buat hal yang demikian. Sesetengah kita adakalanya tidak ada masa hendak memasak sebab tuntutan kerja kita berlainan jadi terpaksalah kita membeli makanan walaupun ini mungkin tidak sesedapnya.

Ada orang ingat memasak itu perkara mudah. Tapi sesiapa yang sudah biasa ke dapur dan berbelanja di pasar tahu, tidak mudah menghuraikan soal sandang panggan ini. Adakala kita masak ikan, keluarga kita terus tidak tertenung ikan – mereka sanggup menggoreng telur – padahal penat betul kita memasak. Ada masanya anda berkobar-kobar masak ayam atau daging, tapi ada pula keluarga anda bertanya: ‘Tak ada lauk lain ke?’ Bila anda masak sayur kerana tahu ini penting untuk menambahkan serat dalam badan, ada pula keluarga anda yang macam tak geng dengan sayur itu – dia telan macam dia dipaksa telan racun. Pendek kata banyak kerenah kita bila berhadapan dengan masakan.

Kalau anda perhatikan, agak ‘ganas’ juga bahasa masakan kita. Misalnya, nenek atau ibu anda akan berkata: ‘Apalah susahnya masak – kau campakkan bawang, titik serai, tumbuk udang kering, tuangkan air….dah jadi lauk’. Bagi orang yang pandai memasak tentulah segalanya senang, tapi bagi yang tidak tahu, terpaksa juga bertanya: nak campak macam mana, titik berapa lama, tumbuk sebanyak mana dan sebagainya. Satu lagi keistimewaan kita ialah kurangnya keseragaman dalam sukatan bahan-bahan masakan kita. Dalam buku-buku masakan tentu ini disediakan tapi bila anda belajar memasak dengan keluarga sendiri, inilah yang sukar sedikit. Timbul istilah seperti ‘agak-agak’ bila hendak sukat bahan atau bila menyebut garam, selalu disertakan ‘secubit’ atau ‘secukup rasa’. Masalahnya ‘secubit’ bagi orang yang besar tinggi tentunya berbeza dengan orang yang kecil molek. Ini yang membuat orang asing yang mempelajari masakan kita agak pening – inilah yang berlaku pada seorang kakak ipar Sri. Beliau orang Inggeris dan berasal dari United Kingdom. Pada mula dia belajar memasak masakan kita daripada nenek Sri, betul-betul dia menghadapi masalah. Tetapi bila sudah faham konsep ‘agak-agak’dan ‘secubit/secukup rasa’ kita, masakannya dah ada umph.

Adakalanya orang meminta anda resipi, tapi anda beri dia resipi yang ‘sukar’ dipenuhi. Ini berlaku kepada seorang kerabat Sri. Gemar betul dia memakan kuah lodeh masakan mak cik Sri, lalu diminta resipi. Masalahnya, mak cik Sri beri resipi misalnya ditulis: tahu 2 keping, tempe 2 keping dan lain-lain tetapi bila bahagian kelapa ditulis: 30 sen. Kerabat Sri ini, seorang jururawat yang menginap bersama suaminya di Arab Saudi ketika itu, manalah hendak dicari kelapa 30 sen? Akhirnya dibuat juga lodeh, tetapi tidaklah sesedap seperti dirasai di Singapura.

Ramai juga wanita yang suka kumpul resipi. Disediakan buku dan digunting serta ditampalkan apa-apa resipi yang diminatinya, selain membeli buku-buku masakan. Selalu juga resipi-resipi ini ditukar-tukar dengan teman-teman, jadi ramailah ahli keluarga yang dapat menikmati masakan yang berbeza-beza kerananya.

Ada juga wanita yang gemar menyalin resipi melalui radio atau TV. Seorang lagi kerabat Sri mempunyai kelebihan dalam hal ini. Berusia 60-an, dia tidak pandai menulis, lantas apabila didengar resipi dari radio, dia buat ‘tulisan’ sendiri. Bila disebut berapa butir bawang harus digunakan, dia ‘lukis’ benda bulat-bulat – kalau empat bulatan itu, maknanya empat butir bawang. Demikian juga dengan bahan-bahan lain, baik sayur, daging, rempah-ratusnya. Kita sukar betul hendak faham resipi antiknya tapi bagi kerabat Sri ini tidak ada masalah pun. Yang penting, masakannya tetap sedap walaupun terpaksa ‘terjemahkan’ bahasa antiknya.

Kata orang, manusia yang paling pandai memasak ialah orang lelaki. Tengok sahaja beberapa cef yang ternama – jarang sekali terdapat cef wanita yang ternama. Sri tidak fikir mereka ini lebih baik, cuma kerana sebahagian besar wanita sering menjalankan tugas memasak, agaknya kita sudah tidak ada upaya hendak jadikan ini satu kerjaya, melainkan jika kita buka warung atau restoran sendiri. Ada orang bila memasak, malas betul dia hendak makan sebab sudah terhidu bau lauk-pauk sejak tadi, jadi malas pula bila hendak makan…..

Zaman dulu, wanita yang tidak pandai memasak dianggap ‘kurang sempurna’ sebab memang tugasnya wanita begitu. Zaman ini, anak-anak gadis kita lebih berulit dengan buku/komputer, kadangkala hendak pegang senduk pun tidak tahu apa lagi menggoreng ikan. Namun setinggi mana pun pelajaran kita, kalau tidak tahu memasak adalah satu kerugian yang besar….sebab memasak boleh menjadi kegiatan yang terapeutik dan dikongsi bersama keluarga termasuk anak-anak lelaki anda. Dan pelajaran sampingan ini tetap berguna bila-bila masa. Macam seorang kawan Sri. Pergi ke Amerika belajar sains dan menjadi saintis di sebuah universiti ternama. Akhirnya dia memilih kerjaya yang amat berbeza. Dia membuka restoran Melayu di California – minat sains dan masakan digabungkan untuk melahirkan bisnes yang berjaya. Melalui bisnesnya dia kenalkan masakan kita dan sekali gus menampilkan keunikan dan keindahan dunia Melayu kita…..

Ditulis: Pada Oktober atau November 1999
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 7 Nov 1999
Tajuk Asal: Perihal Memasak
Tulisan: Rasiah Halil.

Apabila Nama Yang Dah Sedap Jadi Tak Sedap Pula

Sedarkah anda sejak kebelakangan ini nama orang-orang Islam di sini agak canggih? Perhatikan nama-anam yang kita beri kepada anak kita atau ikuti nama-nama yang tersiar di akhbar atau radio. Kata William Shakespeare, apalah ada pada nama, sekuntum mawar tetap harum walaupun diberi nama yang lain. Namun bagi sebahagian kita memilih nama amat penting untuk menampilkan identiti dan kadangkala kecanggihan hidup kita.

Satu masa dulu kita gemar memberi nama sempena nama hari misalnya, Isnin/Senin, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ada pula nama sempena bulan Islam misalnya Ramadan, Syawal, Rejab, Muharam dan lain-lain. Juga dipilih nama berdasarkan warna iaitu Hitam, Putih, Kuning dan sebagainya. Ada orang pula beranggapan, ada nama terlalu ‘berat’ bagi seorang bayi, lantas nama itu ditukar untuk lebih berpadanan. Seorang ibu saudara Sri diberi nama ‘Ramlah’ lebih 60 tahun yang lalu. Tetapi kerana ibu saudara Sri selalu menangis, namanya ditukar kepada ‘Puteh’ kerana kebetulan ibu saudara Sri ini putih melepak.

Tahun 60-an dulu ada semacam ‘kelainan’ kita membubuh dua nama yang asing misalnya Tony Kassim, Sony Abdullah, Bob Khalil dan lain-lain. Dan ada di antara kita pula terjatuh cinta dengan nama-nama bintang Indonesia, lantas muncullah nama-nama Elly Kassim, Titiek Puspa, Alfian, Affendi, Lilis Suryani dan sebagainya.

Tahun-tahun 70-an dan 80-an terutamanya, kita nampaknya tukar trend lagi. Nama-nama kita lebih kearab-araban kerana kita mahu nam-nama yang diharapkan menjadi kenyataan dalam kehidupan anak kita. Ada keinginan untuk menggunakan nama Arab yang betul, misalnya ‘Syafikah’ dieja ‘Syafiqah’, ‘Ridhwan’ dieja demikian dan bukannya ‘Reduan’ dan diejek ‘Red-one’.

Dan nama-nama kita pun dah bertambah – kadangkala anak kita sampai ada dua atau tiga nama. Misalnya, bagi anak lelaki, kita memang gemar letakkan nama ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’ di permulaan nama, bersempena nama Nabi s.a.w.. Kemudian, diletakkan nama keduanya keduanya, misalnya ‘Faiz’, dan ditambah satu lagi nama, misalnya ‘An’am’.

Yang perempuan pula ada yang suka meletakkan ‘Siti’ di permulaan nama anak, tapi ada kerana yang tersalah eja, dari ‘Siti’ dieja ‘City’. Jadi. Ada juga yang nama adik-beradiknya bersiti, misalnya ‘Siti Aminah’, ‘Siti Sarah’, ‘Siti Mariam’, dia seorang yang terjadi ‘City Hall’ dan tak jadi ‘Siti Hawa’…. Ada juga orang yang suka anaknya mempunyai nama ‘Nur’ di pangkal nama, misalnya ‘Nurdiana’, ‘Nurliana’, tapi adakalanya juga nama pangkal ‘Nur’ ini dieja berlainan – ada ‘Noor’, ‘Nuur’ dan pula ‘Nor’. Tak kurang pula nama ‘Nur’ ini bercahaya dua kali misalnya, ‘Nur Cahaya’…

Sri dengar juga ada orang gemar mencantumkan nama suami isteri sebagai nama pangkal semua anak. Kadangkala agak ganjil juga nama-nama ini dan selalunya nama-nama ini tidak ada apa-apa makna. Selain ini, ada juga yang mahu semua anaknya mempunyai nama yang berabjad sama, misalnya ‘A’. Atau memilih nama-nama bunga bagi anak-anak perempuan. Misalnya ‘Melur’, ‘Melati’, ‘Kekwa’, ‘Ros’, ‘Orkid’ dan sebagainya. Tetapi tidaklah sampai hendak beri anak nama bunga keembung atau bunga tahi ayam, ya?

Sri dengar juga ada orang hendak lain sedikit, pilih nama yang jarang digunakan orang , misalnya ‘Muhammad Danial’, ‘Ahmad Matin’ dan ‘Ahmad Jibrail’. Ada sesetengah nama memang kita tidak boleh gunakan dan ada nama Allah yang seharusnya kita letakkan ‘Abdul’ (ertinya ‘hamba’) bila menggunakannya. Sayangnya ada di kalangan kita, nama sudah sedap-sedap, kita sebut pula yang tak sedap…Misalnya dah indah nama ‘Aishah’, kita panggil ‘Esah’, ‘Jamal’ jadi ‘Jam’, ‘Faradibah’ jadi ‘Debab’, ‘Hafiz’ jadi ‘Apis’, ‘Bakhtiar’ jadi ‘Bak’ dan ‘Rasyidah’ adakalanya disebut juga ‘Syid’ – tapi taklah semacam novel Shahnon yang berdekatan sebutan ini…

Nenek Sri pula suka menamakan anak cucunya kadangkala sempena nama daripada hikayat. Seorang sepupu Sri dinamakan nama seorang tuan puteri daripada Hikayat Malik Saiful Lizan kerana ketika itu nenek Sri sedang membaca hikayat tersebut. Nama Sri (nama sebenar Sri tersalah ditulis oleh kerani semasa pendaftaran sijil kelahiran oleh ibu Sri dan jauh menyimpang daripada nama yang diberi oleh datuk dan nenek Sri) mulanya nenek Sri hendak beri nama seorang permaisuri dari Mesir, nasib baiklah tak jadi. Dan Sri pernah mengusik nenek, andainya masa Sri lahir, nenek Sri sedang membaca Sejarah Melayu, pakai Nampak nama Sri mungkin diberi sebagai ‘Tun Teja Ratna Benggala’. Nasib baik semasa Sri dilahirkan, nenek yang membidani ibu Sri, selain ada lagi seorang bidan, jadi tak sempatlah nenek hendak tenung-tenung hikayat…

Zaman sekarang mudah hendak tahu jantina bayi melalui alat imbasan/‘scanning’, jadi mudah juga kita menyiapkan nama. Tidaklah macam orang dulu-dulu, kadangkala bila tengok-tengok bentuk perut isteri, dia pilih nama perempuan, alangkah kalang-kabut yang lahir itu anak lelaki dan taka da nama disediakan.

Ini terjadi kepada seorang kawan Sri. Bapanya minat betul dengan P.Ramlee dan diberitahu oleh orang-orang tua, anaknya tentu anak lelaki. Tapi yang lahir, perempuan. Dia tergamam. Tak bolehlah nama P.Ramlee, lantas dipilih nama yang terdekat, campuran nama P.Ramlee dan Saloma, bukan ‘Saloram’ tapi ‘Ramlimah, yang juga lunak suaranya bila dewasa.

Beberapa nama kegemaran Sri telah Sri beri dan digunakan oleh saudara dan sahabat Sri untuk menamakan anak-anak mereka. Tetapi sejauh ini taka da orang yang nak gunakan nama ‘Azad’, yang dalam bahasa Parsi bererti ‘kebebasan/kemerdekaan’, kerana kata mereka salah-salah hemat, nanti ‘azab’…

Ditulis: 2 Ogos 1999
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 8 Ogos 1999
Tajuk Asal: Pasal Nama
Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak: ‘Kenangan Jalan Kobis (ii)’

Ketika hujan ini turun, masihkah kauingat, kita duduk
duduk di ruang tamu, terperangkap, memerhati hujan,
kelaparan, sehingga Mak & Ucu menghidangkan teh-o,
cemil-cemilan, & hujan meningkah di bumbung, bagai
berdendang, seperti lagu-lagu Radio Singapura di waktu petang.
Dan kita ingin sekali bermain hujan, sementara menanti Nenek
& Bak pulang – Nenek bertukar bas di Jalan Eunos, berpayung
dari Jalan Ladang, berdedai ke Jalan Kobis, & Bak meredah hujan,
dengan skuternya, dari Bukit Timah, lencun & kesejukan.

Betapa riang & seronok kita dalam serba kekurangan, sederhana,
bahagia diramahi kehidupan, keluarga, jiran, perkampungan,
& dalam titis-titis hujan, yang mengalir adalah kasih sayang,
teh-o, cemilan, cerita-cerita kita, Nenek, & TV hitam putih,
kita mudah menerima & terhibur dengan kisah-kisah kecil,
tingkah tetangga, haiwan, & penghuni Jalan Kobis,
& tidak terasa bahawa dalam terbatasnya prasarana –
lampu pam, tandas kampung, paip munisipal & jiran sebelah,
hujan bagaikan pacakan khemah, meruangi pergerakan kita,
untuk berjeda seketika & menghargai apa yang ada.

Betapa masa-masa mengalir, dalam kenangan bertindih,
& ketika hujan menitis, aku masih melihat kau yang masih
kecil, bersamaku, dalam masa-masa bersilang, terbatas,
& betapa ingin kusaksikan sekali lagi – Nenek, Mak, Bak, Ucu
& kau berlima, bahagia dalam segala keterbatasan kita,
kerana yang kaya itu bukan pada harta,
yang miskin itu bukan pada hati, bahasa,
dalam sebuah rumah berek di Jalan Kobis
kampung & kasih yang tak pernah terhakis.

Dalam hujan-hujan begini, betapa kumaklumi,
masa-masa menghilang – berpindah, menemui-Nya,
Nenek, Bak, Mak & jiran-jiran lama,
& di suatu daerah di timur Singapura,
Jalan Kobis tidak lagi berpeta,
kecuali rimbun di hati kita,
& kasih yang mudah-mudahan tertanjap selamanya.

Ditulis: 7 – 29 Januari 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Sajak ‘Orang Bestari Kini ‘ Oleh A. Wahab Ali

Pengenalan

Membaca sajak ‘Orang Bestari Kini’ oleh A.Wahab Ali, yang tersiar di Dewan Sastera, Februari 1988, memikat kita untuk mentafsir maksud sajak beliau. Sajak ini sarat dengan perlambangan dan sindiran dan boleh dianggap sebagai sajak yang menyerlahkan jeritan hati penyairnya. Ia merupakan kecaman A. Wahab Ali terhadap keadaan sekeliling yang tidak sihat, khususnya golongan akademik di Malaysia. Namun, sajak ini boleh juga ditujukan kepada golongan-golongan lain di mana-mana, misalnya golongan ‘seniman’ dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Latar Belakang A. Wahab Ali

A.Wahab Ali terkenal sebagai seorang penyair yang banyak mengungkapkan persoalan-persoalan semasa dalam bahasa yang lembut dan sederhana. Sajak-sajaknya juga kaya dengan daya renungan dan fikiran. Antologi-antologinya seperti Penemuan, Sajak-Sajak Orang Berdosa dan antologi-antologi bersamanya seperti Laungan, Puisi-Puisi Nusantara, Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia, Di Penjuru Matamu dan lain-lain jelas menunjukkan keistimewaannya ini.

Tidak seperti kebanyakan penyair lain yang mudah meminjam kata-kata asing, A. Wahab Ali lebih gemar memilih kata-kata, lambang-lambang dan imej-imej daripada dunia Melayu yang beliau kenali. Menurut Muhammad Hj Salleh, A. Wahab Ali ‘memasukkan kita ke tengah dilemma manusia Melayu yang terhimpit oleh dua dunia yang tidak boleh disatukan.’ (Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia: hal. 64) Walaupun yang disampaikan itu adalah perkara-perkara yang berat, seperti masalah masyarakat peralihan, masalah kehilangan identiti, keruntuhan maruah dan lain-lain tetapi jarang sekali beliau menggunakan kata-kata yang bombastik bagi menyampaikan maksudnya. Kelembutan bahasanya mengingatkan kita kepada kelembutan bahasa penyair kita, A. Ghani Hamid.

Wahab Ali terdidik di sekolah Melayu sehingga ke Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau kemudian meneruskan pembelajarannya secara persendirian sehingga melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya untuk mendapatkan ijazah sarjana muda sastera dan sarjana sastera. Setelah beberapa tahun menjadi pensyarah di Universiti Malaya, beliau melanjutkan pelajarannya di Australia, dalam pengajian sastera Melayu dan memperolehi ijazah doktor falsafahnya. A.Wahab Ali kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Beliau telah menulis sejak tahun 50-an lagi, tetapi kehadirannya lebih terserlah pada tahun-tahun 60-an. Selain daripada puisi, beliau juga menulis cerpen, novel dan esei.

Dipeturunkan kini keseluruhan sajak beliau:

Orang Bestari Kini

Siapakah yang bestari kini
apakah mereka itu sarjana
menghabiskan hidupnya
bagai padi berisi
dengan penyelidikan
dan suara kebenarannya
syahdu
lewat ilmu.

Siapakah bestari kini
apakah mereka itu
sekelompok mafia
membina kelompok-kelompoknya
lalu berdiri bagai lalang
riuh bagai kompang
popular bagai bintang filem
mengelapai organisasi
mengalatkan siapa saja
dengan hubungan dan wang.

Zaman sekarang zaman rakyat
suara daripada rakyat
pengangkatan daripada rakyat
tetapi keputusan daripada mafia
maka lalanglah menjadi padi
kerana setiap bunga lalang terbang
diikuti bunyi kompang
dengan gambar-gambar terpampang
gamat media massa
cepat jadi legenda.

Benar kau perlu pandai
tapi yang lebih penting
sejauh mana kepandaianmu
diketahui oleh ketua mafia
dan sejauh mana kau pintar
menggosok kepala orang lain
bakal menjadi kerusimu.

Kau tidak perlu jadi sarjana jempolan
hatta dalam dunia akademik
kau bisa memitoskan minda
kecemerlangan akademik
dengan cakap-cakap
kau bisa jadi profesor agung
cukup tayang tampang
di setiap penemuan sarjana tulen
yang kau hina kerana iri.

Siapakah bestari kini
padi atau lalang?

Apabila kebijaksanaan bukan di tangan yang hak
tunggulah di padang terbuka
tanah subur menjadi padang ilalang
air jernih menjadi racun serangga.

Ulasan

Membaca sajak ini mengingatkan kita kepada sajak-sajak tulisan Aliman Hassan. Seperti Aliman Hassan, A. Wahab Ali menulis apabila ada sesuatu yang menggangu suasananya. Dan seperti Aliman juga beliau lebih mesra dengan dunia keMelayuannya dan menonjolkan lambang-lambang dan imej-imej khusus daripada dunia tersebut. Walaupun sajak ini menggambarkan suasana akademik di Malaysia, ia boleh ditafsirkan dari segi dunia seni dan kemasyarakatan, misalnya. Jika tafsiran ini kita luaskan, kerana masalah akademik ini belum ketara dalam masyarakat kita, kita akan dapati betapa relevan dan bernas pandangan-pandangan A. Wahab Ali terhadap munculnya golongan ‘padi’ dan ‘lalang’ dalam masyarakatnya.

Dalam masyarakat Melayu istilah ‘padi’ dan ‘lalang’ memantulkan berbagai gambaran. ‘Padi’ membawa gambaran orang yang tinggi pengetahuannya, tetapi tidak sombong dengan ilmu yang dimilikinya. Mencontohi resmi padi adalah suatu teladan yang baik. Peribahasa kita mengingatkan:

‘Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.’

Padi juga adalah suatu keperluan asasi masyarakat Melayu. Tanpa padi orang-orang Melayu tradisional tidak betah, dan keperluan ini juga kita rasai kini. Padi selalu mengingatkan kita kepada para petani: tanpa kerja kuat para petani, kita tidak mungkin menikmati beras yang kita makan dan padi menjadi lambang harapan para petani setelah bertungkus-lumus mengerjakan sawah.

Lalang pula memberi gambaran yang sebaliknya. Ia bukanlah sesuatu yang perlu diteladani tetapi sesuatu yang harus disempadani. Kehadiran lalang tidak perlu dengan tungkus-lumus para petani; malah ia dianggap sebagai perosak dan pengacau kepada tumbuh-tumbuhan yang ada. Ia angkuh, berbeza dengan padi yang sentiasa tunduk disarati biji-biji padi. Lalang juga mudah dilentuk; di mana angin kencang di situlah ia melentuk. Kalau padi adalah lambang orang yang rendah hati walau betapa dalam ilmunya, lalang pula adalah lambang orang yang gemar menunjuk-nunjuk walaupun ilmunya sedikit. Lalang pula tidak tetap pendiriannya; siapa atau angin mana yang meniup yang boleh mendatangkan keuntungan bagi dirinya, ia pasti menuruti.

Wahab Ali sebenarnya berasa sedih dan risau melihat sekelilingnya yang begitu kekurangan dengan orang-orang jenis padi. Dan beliau pula begitu gusar melihat kehadiran orang-orang jenis lalang yang dianggapnya sebagai gerombolan mafia yang sentiasa mengancam ketenteraman orang lain. Orang-orang ini juga, menurut A. Wahab Ali tidak berasa bersalah memperalatkan orang lain dan begitu heboh bila melakukan sesuatu (‘riuh bagai kompang’) dan tidak segan silu menjadikan diri mereka seakan legenda, walau mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada alam di sekeliling mereka. Mereka juga selalu bising dan ingin ke depan mengelapai persatuan-persatuan, sekadar untuk menjadikan batu loncatan bagi diri mereka.

Sayangnya orang-orang jenis lalang ini yang sering mendapat perhatian dan mata masyarakat pula mudah digabui untuk menganggap mereka sebagai pejuang, walhal mereka adalah golongan mafia. Mereka juga tidak berasa bersalah membohongi dunia, bahawa merekalah orang jempolan dan semua ini dilakukan dengan hanya ‘cakap-cakap’ tanpa bukti dan amalan yang konkrit. Begitu mudah pula golongan lalang ini, kerana pandai ‘menggunakan hubungan dan wang’ dianggap sebagai orang penting dan berwibawa.

Apakah kemungkinannya bagi masyarakat jika hal-hal sedemikian terus berlaku? Kemungkinannya terlalu hodoh, menurut A. Wahab Ali (‘tanah subur menjadi padang lalang/air jernih menjadi racun serangga’). Kerana apabila sistem nilai kita rapuh, kita akan mengkedepankan orang-orang yang korap moralnya (‘apabila kebijaksanaan bukan di tangan yang hak’) dan ini pasti menimbulkan malapetaka bagi masyarakat tersebut. Akhirnya orang-orang jenis lalang ini, yang lebih mementingkan diri sendiri, yang korap moralnya, rapuh sistem nilainya serta mempunyai pembawaan seperti golongan mafia yang akan menjadi penentu masyarakat dan masyarakat akan terus diracuni, walaupun mungkin tanpa sedar, oleh kehadiran mereka.

Siapakah orang bestari kita kini, A. Wahab Ali terus menyoal. Apakah dunia kita harus terus diisi oleh rumpun-rumpun lalang atau rumpun-rumpun padi? Apakah benar kita mempunyai lebih ramai golongan lalang daripada padi di kalangan kita? Jika benar demikian, apa pula tindakan kita? Walaupun soalan-soalan ini tidak dinyatakan oleh A.Wahab Ali dengan berterus-terang, namun dapat juga kita menangkap maksud beliau yang tersirat. Dan kita juga mungkin terfikirkan suatu keadaan yang jungkar-balik: si lalang dianggap padi tapi di padi pula dianggap lalang dan hampas. Apa pula akibatnya jika keadaan padang yang subur terus-menerus hanya ditumbuhi oleh lalang? Ini pasti merombak sistem nilai dalam masyarakat kerana masyarakat nanti akan terpengaruh dengan pendirian lalang yang tidak tetap dan tuntutan-tuntutan mafia yang diamalkan oleh golongan ini. Mungkin dapat kita beri sebuah contoh.

Sistem nilai sesebuah masyarakat itu mestilah utuh agar sukar orang-orang seperti jenis lalang muncul. Contohnya dapat kita ambil daripada dunia seni, misalnya dunia seni lukis. Kayu ukur dan sistem nilai kita perlulah teguh agar tidak sembarangan orang dianggap pelukis, hanya kerana dia pandai membuat bising dan dari segi luaran kelihatan seperti seorang pelukis. Tentunya ada faktor-faktor yang membolehkan kita menganggap seseorang itu seorang pelukis sejati, bukan sekadar keriuhan dan taktik mafianya. Dia pastilah seorang yang dalam/tinggi atau sedang memperdalami ilmunya dalam bidang lukisannya. Dia tidak akan berhenti pelajaran informal atau formalnya walaupun betapa lanjut usia. Dan dia juga akan sedia memimpin persatuan jika diperlukan, bukan kerana ingin menangguk keuntungan atau menambah kemasyhuran, tetapi sekadar suatu tugas yang perlu dilakukan. Dan dia juga tidak seperti ketua mafia, mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri atau menyekat pertumbuhan tunas-tunas baharu dalam persatuan seni lukisnya. Dia kita harapkan adalah seorang pelukis Melayu yang tulen, jujur terhadap diri dan masyarakatnya dan tidak dianggap besar sekadar ‘cakap-cakap’ dan pandai mencari publisiti (‘tayang tampang’). Inilah bestari yang kita ingini dalam dunia seni kita, dan kita percaya ada beberapa orang daripada dunia seni lukis atau seni-seni lainnya mahupun dalam kalangan tunggak-tunggak persatuan yang memenuhi syarat-syarat ini. Bukanlah terlalu sukar memunculkan golongan padi di antara kita, cuma kita perlulah bekerja keras dan bersungguh-sungguh melahirkan golongan itu dan mula menggunakan sistem nilai yang lebih baik dan wajar.

Kesimpulan

Sajak ‘Orang Bestari Kini’ sesungguhnya memberi kita tafsiran yang berbagai mengenai golongan-golongan tertentu yang wujud dalam masyarakat. Seandainya kita takut ‘tanah subur menjadi padang ilalang/air jernih menjadi racun serangga’, adalah menjadi tugas kita untuk mewujudkan iklim yang lebih baik agar padi-padi yang kita harapkan akan menjadi dan lalang-lalang tidak akan terus hidup dengan suburnya. Kalau sistem nilai kita tidak goyah, pandangan kita jujur dan sensitiviti kita tidak hanya terbatas kepada sensitiviti perasaan, tentunya kita tidak akan membenarkan orang-orang jenis lalang meyakinkan kita bahawa mereka adalah padi. Dan masalah yang mensarati sajak ‘Orang Bestari Kini’ pasti terjawab dengan sendiri.

Disiapkan : 26 Mei 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), Jun 1988. Continue reading

12 Januari 2016 – Catatan Ringkas

Saya sertakan beberapa tulisan untuk entri kali ini yang lama bergema di hati saya – mengenai mengadakan perpustakaan kecil di dalam rumah kita dan pentingnya menghidupkan budaya membaca. Dua tulisan mengenai ini, yang juga disalut dengan kisah buku-buku yang dijadikan filem, dilampirkan. Semoga kita semakin teruja untuk membaca, menghargai buku dan ilmu pengetahuan serta membantu keluarga kita sama mencintai buku. Buku-buku yang baik yang kita kenalkan kepada keluarga kita dan kita turut membaca bukan hanya merimbunkan pelbagai perkara yang baik, malah turut membentuk dan meluaskan jendela kehidupan kita.

Saya juga sertakan sebuah rencana mengenai mendepani masalah. Rencana ini tidaklah panjang dan semoga ada juga manfaatnya bagi kita. Saya turut lampirkan lagu ‘Manusia’ nyanyian P.Ramlee dan Saloma kerana lagu ini seolah-olah mengajak kita memulakan pandangan dan renungan baharu, setelah melepaskan tahun yang lalu berserta segala masalah yang mungkin meranjaui kehidupan kita.

Insya-Allah pada masa terdekat ini saya akan memulakan satu ruangan baharu dalam blog ini. Saya tidak sempat memasukkannya dalam entri kali ini kerana terhambat oleh waktu. Ruangan ini akan berjudul ‘Perca Kenangan’. Banyak yang ingin saya tulis dan rakamkan dalam ruangan baharu ini dan saya juga perlu mengambil beberapa gambar melalui kamera dan/atau kamera telefon bimbit saya. Kamera saya bukanlah kamera yang mahal dan canggih, begitu juga dengan telefon bimbit saya tetapi memadai untuk tujuan rakaman saya.

Semoga kita dapat sama-sama fikir-fikirkan pentingnya peranan buku bagi kehidupan kita dan seandainya kita berdepan dengan masalah, semoga kita tabah dan tekal menghadapinya, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
12 Januari 2016.

Perpustakaan Kecil Untuk Keluarga

About-NL-Building2[1]MAIN-BEPL-cropped[1]

Pendahuluan

Kata-kata yang sering kita baca dan dengar sejak kebelakangan ini ialah ‘Ilmu itu kuasa/ Knowledge is power’. Tiada siapa dapat menafikan kewajarannya pernyataan ini, terutama dalam zaman teknologi maklumat ini. Dalam salah sebuah pepatah puak Peribumi Amerika yang pernah saya baca, tertulis: Give me knowledge, so I may have kindness for all. Tanpa pengetahuan, segala jerih-payah kita dalam melalui kehidupan hanya tinggal sebuah kenangan, yang mungkin hilang ditelan zaman. Pengetahuanlah, antara beberapa faktor penting bagi pengukuhan diri peribadi mahupun sesuatu kelompok manusia.

Pentingnya Diadakan Perpustakaan Di Rumah

Bagaimanakah caranya kita menjadikan ilmu pengetahuan sebagai salah satu acara kehidupan harian kita? Saya rasa satu perkara yang amat penting, terutama bagi ibu bapa ialah menyediakan buku-buku bacaan yang mencukupi serta mengadakan perpustakaan kecil di rumah untuk semua penghuni rumah, termasuk anak-anak kita. Apa pentingnya buku-buku ini, terutama bagi anak-anak yang belum tahu membaca?

Persekitaran yang memberangsangkan bagi penumbuhan dan pemupukan ilmu pengetahuan adalah penting, terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Lantas, adanya ruang untuk perpustakaan kecil di rumah, membantu ke arah itu. Walaupun belum boleh membaca, adanya buku-buku, terutamanya yang bergambar memberi maklumat dan pengetahuan kepada anak-anak kita. Dan kanak-kanak terutamanya, mudah meresap pengetahuan (lebih kurang 75 peratus) jika ia disampaikan dalam bentuk visual yang indah. Dan ini dibantu lagi jika cerita-cerita disampaikan dengan menarik oleh orang tua.

Perkara yang hampir sama juga dapat disampaikan dengan menggunakan sofwe pendidikan yang dicipta khas untuk pembelajaran. Namun, keenakan semacam perpustakaan kecil di rumah, memang banyak faedahnya bagi ahli keluarga, selain adanya komputer dan sofwe-sofwe yang membantu.

Pada tahun 60-an dan 70-an, satu ‘kelainan’ yang terdapat dalam rumah-rumah kita dulu ialah adanya semacam almari di ruang tamu, yang diisi dengan berbagai jenis pinggan dan mangkuk, selalunya yang terbaru. Rumah kita juga dihiasi dengan set hi-fi, TV dan perhiasan-perhiasan yang lain. Jarang sekali terdapat rumah Melayu yang tidak pandai dihias, walaupun hiasannya mungkin tidak terlalu mahal. Kreativiti orang Melayu selalu terserlah dalam rumahnya, kerana rumah bagi kita bukan sekadar tempat tidur sahaja.

Zaman telah banyak berubah dan merubahkan cara hidup kita. Kini, dengan kuasa membeli yang lebih, kita sanggup menghiasi rumah kita dengan belanja berpuluh-puluh ribu. Sebuah rumah pangsa, boleh kelihatan lebih indah daripada rumah panggung atau banglo yang mungkin pernah kita diami dalam zaman awal-awal itu. Keinginan untuk mempamerkan pinggan-mangkuk dengan lebih berseni masih dikekalkan. Namun, pembelian barang-barang ini bukan hanya dari Robinson’s seperti pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu. Sesuatu yang jarang ditemui pada zaman awal itu, masih juga jarang ditemui kini: ruang kecil perpustakaan untuk bacaan ahli keluarga.

Kurangnya ‘Peruntukan’ Kita

Apakah kesimpulan ringkas yang boleh kita dapati daripada gambaran ini? Buku-buku, yang tidak pun berharga berpuluh ribu itu, kurang ‘diperuntukan’ dalam kita sibuk menghias rumah baharu dan ligat mengecapi keselesaan hidup moden yang serba maju. Mungkin yang kita utamakan hanyalah buku-buku sekolah dan tidak mengadakan semacam ‘prasarana’ tambahan untuk ahli keluarga selesa dengan budaya ilmu dan buku. Mengadakan ‘perpustakaan’ ini bukanlah mahal, hanya memerlukan sebuah almari buku, buku-buku utama untuk bacaan semua dan ruang kecil, untuk sedikit selesa membaca buku-buku tersebut. Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, mungkin senarai buku yang ‘wajib’ untuk anak-anak kita membaca, buku-buku pengetahuan umum untuk ahli keluarga dan lain-lain. Senarai ‘wajib’ ini dapat kita kumpulkan melalui pencarian kita sendiri di perpustakaan ataupun membaca buku-buku panduan mengenainya. Kita juga boleh melanggan majalah-majalah yang baik untuk anak-anak kita, selain meminjam buku-buku di perpustakaan umum untuk ditempatkan (walaupun beberapa minggu sahaja) dalam perpustakaan kecil kita. Dan kita boleh adakan aktiviti-aktiviti keluarga yang berpusar dengan dunia buku, bersama anak-anak kita di rumah. Juga, boleh diadakan semacam rangkaian menukar-menukar buku dengan sahabat-handai lain, yang turut mempunyai anak-anak kecil.

Apakah faedahnya usaha begini? Yang utama, anak-anak kita didedahkan kepada sekitaran ilmu pengetahuan yang baik sejak kecil lagi. Perhubungan yang akrab dalam keluarga melalui aktiviti bersama ini akan mengukuhkan lagi jalinan kekeluargaan dan juga membentuk peribadi yang cintakan ilmu. Anak-anak akan belajar mencari buku-buku yang baik dan meningkatkan pengetahuan mereka, bukan sekadar kerana ingin lulus periksa. Pendedahan kepada sekitaran ilmu ini akan membolehkan mereka ‘meneroka’ ke berbagai cabang ilmu pengetahuan, baik dalam sains, agama, sastera dan lain-lain. Dan usaha awal kita ini mungkin membolehkan anak-anak kita untuk menjadi lebih yakin akan diri dan kebolehan mereka, tahu menghargai ilmu pengetahuan, dan mudah-mudahan tabiat ini akan membesar bersama mereka hingga ke akhir hayat. Dan menurut kajian, sekitaran baik yang kita adakan untuk anak-anak (tidak semestinya mahal) amat membantu perkembangan mereka, dan sekitaran itu termasuklah buku-buku, lawatan-lawatan ke dunia luar rumah, perhubungan dengan orang lain, nilai-nilai murni yang disemai dan sebagainya. Kita adakan semacam ‘pelaziman’ (‘conditioning’) melalui sekitaran yang boleh kita bentuk dan ubah, dan adanya berbagai buku yang baik untuk pembacaan anak-anak kita memahami diri dan dunianya, juga paksinya dalam proses perkembangan dan pembangunannya. Seandainya kita lakukan ini dengan bijak, anak-anak kita tidak akan bongkak atau angkuh dengan ilmu pengetahuan yang mula ditimba dan dimilikinya.

Pengetahuan itu memang dapat diperolehi daripada berbagai sumber dan kita tidak tahu bila sesuatu ilmu pengetahuan yang mungkin kita perolehi daripada sesebuah buku itu akan membantu kita memahami sesuatu fenomena atau masalah yang kita temui. Dan banyak kajian dan biografi orang-orang yang memberi sumbangan bermakna dalam bidang sains, agama, sastera, ekonomi, teknologi dan sebagainya menunjukkan, mereka adalah orang-orang yang rajin membaca sejak kecil lagi. Seorang Stephen Hawking, Ibn Arabi, Toni Morrison, Bill Gates, Pramoedya Ananta Toer dan lain-lain tidak akan lahir dengan begitu cemerlang, seandainya ilmu pengetahuan/buku tidak menjadi ‘rakan karib’ mereka, walaupun sebahagian besar nama-nama yang tertera di atas bukan pula daripada keluarga yang senang. Yang penting, mereka telah menjadikan buku-buku sebagai perangsang untuk menjana pemikiran dan penglibatan mereka dalam bidang masing-masing.

Kesimpulan

Di Singapura, perpustakaan di estet-estet perumahan dan juga di sekolah-sekolah, bukanlah sesuatu yang luar biasa berbanding dengan beberapa negara di Asia. Malah, bagi orang Melayu/Islam, agama kita selalu menegaskan pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan kita. Kerajaan-kerajaan Islam silam, sama ada kerajaan, Aceh, Mughal, Sepanyol mahupun Baghdad, bukan hanya terkenal dengan sistem pentadbiran dan berbagai peninggalan mereka, bahkan kerana cintanya mereka akan ilmu pengetahuan, dengan didirikan perpustakaan-perpustakaan bagi mengembangkan ilmu pengetahuan dan dikumpulkan para cerdik-pandai di kota-kota besar mereka untuk tujuan pengajaran, penulisan dan terjemahan. Semua ini berlaku serentak dalam mereka mengejar kemajuan kehidupan harian.

Ketika kita sibuk menyelesakan hidup dengan membeli atau menukar rumah baharu, mungkin soal mengadakan perpustakaan kecil di rumah, boleh juga kita fikirkan bersama. Mengadakannya bukan bererti kita menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebagaimana ada orang mempamerkan buku-buku klasik, sebagai lambang kemegahan bukan untuk dibaca. Tetapi mengadakan ruang kecil perpustakaan di rumah ini bererti kita sama-sama membimbing dan membentuk keluarga yang cintakan ilmu pengetahuan dan kita turut bertanggungjawab menangani sebahagian daripada pembelajaran anak-anak kita. Dan permulaan awal ini, insya- Allah akan membuka ruang lingkup yang lebih luas, selamat dan bahagia untuk masa depan anak-anak kita. Seperti kata pepatah: Perjalanan seribu batu, bermula dengan tapak yang satu.

Disiapkan : 10 Oktober 1996
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Malaysia
Tersiar : Berita Harian/Minggu Singapura, 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Daripada Buku Ke Filem

Frontispiece_of_a_Jawi_edition_of_the_Malay_Annals[1]220px-DrZhivago_Asheet[1]220px-Kite_Runner_film[1]

Apakah sebuah buku yang baik boleh dijadikan filem yang baik juga? Jawapannya tergantung kepada beberapa faktor, termasuk bagaimana buku tadi diolah menjadi adegan-adegan filem, sejauh mana ‘kekayaan’ buku tadi diterapkan dalam filem, lakonan dan arahan filem tersebut, selain wang yang diperuntukkan bagi pembuatan sesebuah filem. Ada buku yang kurang baik dari segi sastera tetapi dijadikan filem-filem yang diminati ramai dan sebaliknya juga boleh berlaku.

Dunia buku dan dunia filem walaupun tergolong dalam dunia seni, ditunjangi media dan khalayak yang berbeza. Filem meninggalkan kesan visual yang boleh mengesankan; setiap kali kita ternampak sesuatu tempat atau kejadian seperti dalam filem-filem P.Ramlee, kita akan terkenangkan filem-filem beliau. Adegan tertentu dalam filem; baik cara Haji Bakhil (Udo Omar) beraksi atau P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Samsuddin berkomedi akan sentiasa terakam dalam pita kenangan kita. Demikian juga dengan adegan-adegan tertentu oleh pelakon-pelakon lain dalam filem Melayu dan juga bukan Melayu lainnya.

Buku meninggalkan kesan yang berlainan pula. Setiap seorang yang membaca buku akan menampilkan gambaran yang sedikit berbeza daripada orang yang lain yang sama membaca buku tersebut kerana banyak penambahan gambaran tadi dibayangkan oleh pembaca sendiri walaupun kerangkanya telah ditentukan oleh penulis buku. Unsur khayalan boleh lebih terangsang seandainya kita sebagai pembaca juga dibantu oleh pelbagai ilmu bantu semasa membaca buku tadi. Gambaran kita bukan sekadar monokrom tetapi diperkayakan oleh pelbagai warna kehidupan yang turut mewarnai adegan-adegan dalam buku tersebut. Walaupun filem mempercepatkan kita menangkap urutan ceritanya, buku mengambil masa untuk ditelusuri tali-temali yang merangkai sesebuah cerita. Kesannya tentulah berbeza.

Karya-karya Shakespeare telah dijadikan filem beberapa kali dengan versi yang berbeza-beza, misalnya bagi karya-karyanya yang lebih terkenal seperti Romeo and Juliet. Demikian juga pelbagai buku klasik daripada pelbagai kesusasteraan telah difilemkan misalnya Hikayat Seribu Satu Malam (dengan pelbagai cerita rantingnya dalam filem pelbagai bahasa), Gulliver’s Travels (Jonathan Swift), The Odyssey dan The Iliad (Homer – dengan beberapa cerita rantingnya), Oliver Twist (Charles Dickens), Wuthering Heights (Emily Bronte), Anna Karenina (Tolstoy), Moby Dick (Herman Melville), Frankenstein (Mary Shelley), The Hunchback of Notre Dame (Victor Hugo), The Wizard of Oz (L. Frank Baum), The Adventures of Huckleberry Finn (Mark Twain), The Time Machine (H G Wells), The Old Man and the Sea (Ernest Hemingway), My Fair Lady (daripada buku Pygmalion tulisan G B Shaw), In The Name of the Rose (Umberto Eco), The Remains of a Day (Kazuo Ishiguro), trilogi The Lord of the Ring (J.R.R.Tolkien), Charlie and the Chocolate Factory (Roald Dahl), The English Patient (Michael Ondaatje), 84, Charing Cross Street (Helene Hanff) siri Harry Potter (J.K.Rowling) dan sebagainya.

Kadangkala sebuah buku yang baik membuat kita mahu menonton karya tersebut dalam bentuk filem. Ada di kalangan kita pernah membaca novel To Kill a Mocking Bird dalam usia remaja dan walaupun ada babak tertentu sukar bagi kita memahami keseluruhan persoalan yang diketengahkan oleh penulisnya, Harper Lee, namun rata-ratanya buku ini mengesankan kita. Bila menonton filemnya yang dilakonkan oleh Gregory Peck, kita lebih mudah merungkai persoalan seperti masalah perkauman di Amerika Syarikat, hak asasi orang Kulit Hitam, makna keadilan dan sebagainya yang seakan-akan samar ketika membaca buku tersebut pada usia yang muda belia. Dan lakonan yang baik watak-watak daripada filem ini memudahkan kita menghayati teks tersebut.

Demikian juga dengan filem Dr Zhivago. Saya diberi buku The Poems of Dr Zhivago tulisan Boris Pasternak pada 1973. Terangsang membaca puisi-puisi indah Pasternak yang diambil daripada novelnya (kononnya ditulis oleh watak utama novelnya, Yury Zhivago), saya kemudian membaca novel Pasternak berjudul Dr Zhivago. Tidak semua yang saya fahami ketika membaca novel tersebut kerana ilmu bantu dalam bidang sejarah dan kebudayaan Russia saya ketika itu amat terhad, walaupun demikian, kekuatan dan keindahan novel ini dapat juga saya hayati apabila membaca novel tersebut. Setelah lama membaca novel ini, barulah saya menonton filemnya, yang dilakonkan oleh Omar Sharif, Julie Christie, Geraldine Chaplin dan lain-lain, dalam bentuk video (filemnya terbit pada 1965). Menonton filem itu memperkayakan pemahaman saya terhadap novel tersebut. Dan dengan arahan David Lean, lakonan dan set yang baik serta muzik ciptaan Maurice Jarre yang indah menawan, terutamanya instrumental Lara’s Theme, menjadikan filem tersebut demikian ‘hidup’ dalam pemikiran saya. Buku dan filem Dr Zhivago lah yang merangsang saya untuk membaca hampir kesemua karya Pasternak dan kemudian buku-buku tulisan penulis-penulis Russia seperti Tolstoy, Dostoyevsky, Turgenev, Chekhov dan lain-lain.

Dunia filem Melayu juga tidak sepi daripada mengambil cerita daripada buku sastera. Sebahagian besar cerita-cerita berlatarkan zaman purba kita diambil atau disadur daripada buku Sejarah Melayu dan karya-karya sastera rakyat yang berbentuk lipur lara, cerita jenaka dan cerita binatang. Ada juga novel moden yang dijadikan filem. Novel Ranjau Sepanjang Jalan tulisan Shahnon Ahmad telah difilemkan (1983) tetapi ceritanya diubah sedikit. Kerana ceritanya terlalu diwarnai kesukaran hidup dan hilangnya harapan manusia, dengan kematian Lahuma (lakonan Ahmad Mahmud) dan Jeha (lakonan Sarimah) menjadi gila, skrip filem tulisan dan arahan Pak Jamil Sulong ini diubah sedikit kemudiannya. Rentetan pesimisme itu tidak mahu dilarutkan sebagaimana dalam buku Shahnon, lantas watak Jeha di akhir filem ini dibayangkan sebagai sudah siuman (dalam buku Shahnon dia masih tidak siuman) kerana beberapa sebab (lihat buku Kaca Permata, tulisan Pak Jamil Sulong, KL: DBP, 1990, halaman 306-307). Namun perubahan yang kecil ini tidak menjejas malah menguatkan lagi filem daripada buku Shahnon tersebut.

A. Samad Said pernah membenarkan novelnya, Langit Petang, dijadikan filem dan dibintangi oleh Azean Irdawaty , Dharma Harun Al-Rashid dan Mahmud June. Novel Pak Samad memang kaya dengan pelbagai masalah manusia ditampilkan dengan bijak dan berketerampilan, namun apabila difilemkan, Pak Samad berasa kecewa dengan penampilan filem tersebut. Apa yang tertulis dan dikembangkan dalam buku tidak dibuat demikian atau dapat digambarkan sebaiknya dalam filem. Lantas tidak hairanlah setelah Langit Petang, Pak Samad tidak membenarkan buku-bukunya difilemkan, walaupun dijadikan drama pentas, kecuali bagi novelnya berjudul Salina tetap beliau benarkan untuk dipentaskan. Tidak semua buku dapat dijadikan filem sebaiknya dengan memenuhi cita rasa penulis sebagaimana sepatutnya.

Baru-baru ini saya menonton filem The Kite Runner berdasarkan novel yang ditulis oleh Khaled Hosseini, dengan judul yang sama. Buku Khaled, seorang doktor perubatan berketurunan Afghanistan yang kini menjadi rakyat Amerika dan menetap di California, terbit pada 2003. Buku ini menampilkan kisah di Afghanistan pada tahun 1970-an, pencerobohan Russia ke negara tersebut, berkuasanya pihak Taliban setelah Russia dikalahkan dan Amerika Syarikat mengabaikan negara tersebut setelah tiadanya Russia. Kisahnya berkisar pada keluarga watak utama novel ini, Amir, seorang kanak-kanak daripada puak Pashtun dan hubungan Amir dengan pembantunya, Hassan, juga seorang kanak-kanak tetapi daripada puak Hazara (orang Afghan campuran Mongol, yang dipandang rendah oleh masyarakat Afghanistan dan beberapa negara di sekitarnya), bapanya yang dipanggil Baba, bapa Hassan bernama Ali, Rahim Khan, sahabat dan rakan kongsi bapanya, Asef dan kawan-kawannya, Soraya, General Taheri dan lain-lain.

Salah satu bentuk permainan yang digemari di Afghanistan, Pakistan dan negara-negara Asia Tengah ialah permainan layang-layang. Bapa Amir pernah menjadi juara mengalahkan 12 layang-layang yang dapat dihanyutkan dalam satu pertandingan. Amir, yang selalu mahukan perhatian bapanya kerana menganggap dirinya tidak disayangi bapanya, mahu menjadi juara dalam pertandingan layang-layang tersebut. Orang yang mengejar layang-layang lawan yang dihanyutkan Amir ialah Hassan – si pengejar layang-layang (the kite runner). Hassan juga merupakan orang yang mahir mengenai hal layang-layang dan pandai bermain lastik. Dalam pertandingan layang-layang itu, Amir menang dan layang-layang yang dihanyutkan, dikejar oleh Hassan. Tetapi suatu kejadian yang tragis berlaku semasa Hassan mendapatkan layang-layang itu. Tragedi ini, yang kemudian menghantui hidup Amir, yang dewasanya menjadi seorang penulis, merangkaikan pelbagai peristiwa yang dialami Amir dan bapanya, yang akhirnya membawa mereka ke Amerika setelah Afghanistan diceroboh Russia. Sejarah, politik, selain budaya dan manusia yang dibelenggu prasangka dan masalah disulam indah oleh Khaled Hosseini dalam novelnya. Ada bahagian-bahagian tertentu novel ini akan membuat anda begitu tersentuh dan mungkin menitiskan air mata, walaupun anda bukan jenisnya yang mudah mengalirkan air mata.

Filem yang saya tonton juga menyentuh hati dengan penampilannya selain landskap Afghanistan yang pada mulanya indah dan kemudian bertukar (difilemkan di Xinjiang, China), malah turut membuat kita memikirkan makna kedamaian yang pernah wujud sebelum 1979 tetapi hancur setelah itu. Muzik oleh Alberto Iglesias serta nyanyian latar oleh Sami Yusuf dalam salah satu adegan filem ini akan menenangkan dan juga mengharukan anda. Zaman kanak-kanak Amir dan Hassan akan mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak kita dan anak-anak kita. Namun, setelah selesai menonton filem ini, perasaan lain pula yang berbaur di hati saya. Saya terasa bagaikan baru bersantap, tapi tidak kenyang. Walaupun watak-watak dalam filem ini memenuhi sebahagian besar gambaran saya mengenai mereka semasa membaca novel Khaled Hosseini, namun kedalaman pelbagai peristiwa dalam novel Khaled tidak saya jumpai dalam beberapa peristiwa filem tersebut. Ada bahagian-bahagian tertentu yang diringkaskan, ditiadakan atau diubah tetapi kedalaman hubungan Amir dan Hassan, yang melatari novel ini, tidak digambarkan sedalamnya dalam novel tersebut. Begitu juga peristiwa tragis yang mewarnai kehidupan mereka dan menghantui kehidupan Amir. Tentunya filem ini tidak sia-sia ditonton; anda akan lebih mengetahui masyarakat dan budaya Afghanistan selain kelencongan-kelencongan pihak tertentu di sana tetapi novelnya, saya rasa lebih kaya dan meruangi hati dan fikiran kita lama setelah kita selesai membacanya.

Menampilkan buku yang baik dalam bentuk filem bukanlah perkara yang mudah tetapi di tangan mereka yang mahir dan kuat penghayatannya, kita ada terasa kekuatannya dan saling melengkapi pemahaman kita bagi buku dan filemnya. Mungkin filem The Kite Runner boleh membuat penonton yang belum membaca buku tersebut terus membacanya dan secara tidak langsung mengajak penonton lebih cuba memahami sejarah, pergolakan, budaya, tragedi, kelencongan dan kekayaan kehidupan di Afghanistan pada suatu zaman dan kini, sebagaimana digambarkan oleh Khaled Hosseini dalam novel sulungnya. Sekurang-kurangnya suatu dokumentasi mengenai masyarakat Afghanistan yang jarang kita ketahui kecuali dalam tragedi perang, dapat kita temui dalam filem The Kite Runner. Bukunya merupakan jamuan malam yang saling melengkapi filemnya tetapi ditambahi banyak lagi hidangan yang enak dan memperkayakan cita rasa kita.

Ditulis: 4 Mac 2008
Tersiar: Ruangan ’Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura), Mac 2008
Tulisan: Rasiah Halil.

Berdepan Dengan Masalah

Punca Masalah

Jean-Paul Sartre, seorang ahli falsafah Perancis pernah menulis: ‘Kita tidak dapat merubah masa silam kita, tetapi kita boleh, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, mengurangkan kesannya terhadap masa kini kita.’

Kebanyakan masalah yang muncul berasal daripada bibit-bibit yang ditanam pada masa silam. Misalnya masalah keciciran dalam pelajaran mungkin terjadi kerana kecuaian pelajar itu sendiri di masa lampau, sikap sambil lewa ibu bapanya terhadap pelajaran, keadaan keluarga yang kucar-kacir, guru-guru yang tidak mengambil berat ataupun kurang semangat perjuangan dalam diri pelajar itu sendiri. Seandainya pelajar terseut hanya menyalahkan masa silamnya kerana masalah yang dihadapi, dia tidak akan mungkin benar-benar berdepan dengan masalah itu, apatah lagi merubah keadaannya. Masa silam seseorang hanya boleh memainkan peranan dalam beberapa hal sahaja; selebihnya ialah sikap individu tersebut apabila dihadapkan dengan berbagai ranjau masalah dalam kehidupan.

Manusia Dan Masalah-Masalahnya

Manusia sebagai individu dan kelompok sering berhadapan dengan masalah-masalah yang harus dihadapi, ditangkis, diubah-suai dan sebagainya demi kewujudan dan penakatannya. Apa yang sering dianggap sebagai masalah oleh kelompok ‘A’ mungkin tidak dianggap sedemikian oleh kelompok ‘B’. Perbezaan ini muncul kerana tiap kelompok mempunyai tanggapan yang berlainan dari segi pengamatan apa yang dianggap masalah. Pengamatan kita terhadap sesuatu yang dianggap masalah serta sikap kita boleh menentukan sama ada sesuatu itu hanya tinggal masalah ataupun ditukar menjadi cabaran yang memanfaatkan kita.

Terdapat sejenis ular, ular orok-orok (rattle snake) jika ia dikepung dan tiada peluang bagi memusnahkan seterunya akan menggigit ekornya sehingga ia mati. Perbuatan sepuku yang aneh ini kadangkala menjadi ikutan sesetengah kita sebagai manusia. Selalunya ada dua cara kita bertindak apabila dihadapkan dengan masalah: kita menjadikannya satu cabaran yang perlu diatasi ataupun kita berundur diri daripada memikirkan masalah itu, seperti burung kasawari, dengan anggapan bahawa masalah itu akan hilang dengan sendirinya. Sebagai contoh, seorang pelajar diberi jolokan ‘bodoh’ oleh rakan-rakan dan guru-gurunya; dia tentunya marah tetapi bagaimanakah harus dia bertindak menghadapi masalah itu? Menurut cara pertama, dia akan belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada khalayak tertentu bahawa dia sebenarnya tidak ‘bodoh’. Tindakan begini tentunya mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil, kerana dia harus sabar membajakan dirinya dengan ketekunan, pengorbanan dan kebijaksanaan. Kejayaan beberapa orang anggota masyarakat kita, setelah berjuang dalam bidang masing-masing kerana jolokan tertentu ataupun cabaran tertentu sering membuktikan langkah ini banyak manfaatnya. Sebaliknya, kemarahan pelajar tadi mungkin membuat dia memilih cara bertindak kedua; dia setakat marah tetapi tidak melakukan sesuatu bagi merubah jolokan buruk itu terhadap dirinya. Dia mungkin pula memilih jalan mudah untuk menjauhkan diri daripada diejek; dia enggan meneruskan pelajarannya. Tentunya tindakan kedua ini amat merugikan diri dan masyarakatnya.

Sejarah seringkali membuktikan bahawa masyarakat yang berani berdepan dengan masalah-masalahnya akan dapat meneruskan penakatannya. Sebagai contoh, dapat kita kaji bangsa Yahudi dari segi sejarah; pilihan ini dibuat bukan kerana kita memihak kepada mereka dari segi politik dan sebagainya. Bangsa Yahudi ini satu ketika dulu, tidak dipandang tinggi oleh masyarakat Eropah, malah sering dihina kerana beberapa amalan mereka. Pandangan rendah ini tercatat misalnya pada watak Shylock dalam drama terkenal Shakespeare, The Merchant of Venice sehinggalah zaman Nazi Hitler di Jerman. Namun, kerana tekanan-tekanan demikianlah, sama ada dihina, dianiaya mahupun diusir dari negeri ke negeri (diaspora) mereka, ada orang berpendapat bangsa ini terpaksa menjadi lebih mahir dan bijak daripada masyarakat di sekeliling mereka. Kerana sering diusir dan terpaksa melarikan diri dalam masa ‘dibawa lari’. Lantas, menurut pendapat beberapa orang ini, bangsa Yahudi ini mencebur dan memahirkan diri dalam dua bidang yang ‘kelengkapannya’ dengan cepat dapat dilarikan jika mereka diusir: iaitu bidang intelek, di mana ‘harta’ mereka adalah otak mereka sendiri dan bidang niaga intan-berlian, di mana ‘harta’ mereka mudah dimasukkan ke kocek jika mereka terpaksa melarikan diri. Kita tidak tahu sama ada pandangan-pandangan ini seratus peratus benar tetapi apa yang penting bagi kita, bangsa Yahudi ini telah cuba menghadapi masalahnya dengan memahirkan diri dalam dua bidang penting: intelek dan perdagangan.

Beberapa tokoh yang kita kenali juga menunjukkan bahawa berani berhadapan dengan masalah lebih memanfaatkan daripada berundur diri ataupun berdiri di atas pagar. Masalah-masalah yang mereka hadapi secara peribadi ataupun sebagai sebuah masyarakat telah mereka jadikan ‘mangkin’ (catalyst) bagi menggerakkan perubahan diri mahupun masyarakat mereka ke taraf yang lebih baik. Tidak akan timbul perubahan sikap tentang perhubungan kaum di Amerika Syarikat, misalnya, jika tokoh-tokoh seperti W.E.B. Du Bois dan Martin Luther King Jr tidak berani menangkis masalah yang dihadapkan kepada masyarakat mereka. Seorang Iqbal, dengan keanggunan falsafah dan puisinya tidak akan terserlah di mata dunia seandainya beliau gagal berdepan dengan masalah penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam ketika itu. Raden Atjeng Kartini hanyalah akan menjadi nama seorang puteri silam seandainya tokoh ini tidak berani berhadapan dengan masalah tanggapan umum terhadap masyarakatnya, terutamanya kaum wanita pada zamannya.

Akhir Kalam

Sesuatu masalah itu boleh terus menjadi musibah ataupun manfaat bergantung kepada pengamatan, sikap dan tindakan kita terhadapnya. Kita tidak berupaya bertindak seperti burung kaswari, dengan menyembunyikan kepalanya ke dalam tanah, ia menganggap sesuatu masalah itu telah tiada. Kita sering memerlukan keutuhan tekad, kesabaran dan kebijaksanaan untuk merubah sesuatu masalah menjadi manfaat. Seperti kata-kata yang tertulis pada sebuah poskad:

Tuhanku,
Berilah aku ketenangan menerima perkara-perkara yang tidak dapat aku ubah;
Keberanian merubah perkara-perkara yang boleh aku ubah;
Dan kebijaksanaan untuk membezakan keduanya.

Disiapkan : 4 – 13 Ogos 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), Ogos 1989
Tulisan: Rasiah Halil.