Archives

Ulasan Album Lagu: Soulful Within Azman (Ditulis 1998)

Azman

Pendahuluan

Okarina ialah sejenis alat muzik berbentuk telur ataupun keledek yang dikatakan berasal dari bandar Budrio, Itali, pada 1860. Alat muzik tiupan ini dinamakan “angsa kecil” dalam bahasa Itali dan diperbuat daripada tanah liat ataupun logam. Ia menjadi popular pada tahun 1930-an apabila okarina ini dibuat dalam pelbagai bentuk dan dimainkan mengiringi lagu-lagu popular zaman itu di Amerika Syarikat.

Sejarah juga menunjukkan bahawa okarina, walaupun dimasyhurkan di Itali, alat muzik ini dalam bentuk yang lebih awal telah dicipta beberapa zaman sebelum 1860. Di negara China, sejenis alat muzik menyerupai okarina yang dipanggil “hsuan” telah digunakan pada tahun 3000 sebelum Masihi. Demikian juga ditemu alat yang hampir serupa di zaman awal Afrika Selatan dan di Lembah Mexico, di kalangan kaum Aztek. Namun, di Italilah alat muzik ini menjadi terkenal ke seluruh dunia.

Apakah keistimewaan alat muzik ini? Seperti kebanyakan alat muzik tiupan, ia mengeluarkan bunyi yang mendayu. Lebih daripada tiupan seruling, tiupan okarina amat lembut dan menenangkan sesiapa yang mendengarnya, terutamanya setelah sehari suntuk bekerja keras dan menginginkan kerehatan fikiran.

Album Okarina Azman

Azman, peniup okarina album, kali pertama diperkenalkan kepada alat muzik ini pada 1988. Iramanya demikian meruntun jiwanya sehingga beliau sanggup mendalami ilmunya dalam bidang ini di Budrio, Itali pada 1991. Dan beliau juga telah membuat beberapa persembahan dalam Pesta Seni Singapura dan beberapa konsert untuk mengetengahkan alunan muzik dari okarinanya.

Album ini memuatkan 16 buah irama; 13 daripadanya lagu Inggeris, 1 lagu Melayu,  lagu Thai dan 1 lagu Jepun (untuk lagu Jepun, digunakan alat muzik alto recorder). Lagu-lagu ini dikenali ramai dari zaman 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Lagu-lagu tersebut ialah: All Kinds Of Everyting (dipopularkan oleh Dana), Those Were The Days (Mary Hopkin), Melody Fair, Morning Has Broken (Cat Stevens), Edelweiss (Vince Hill- dipopularkan dalam filem The Sound Of Music), Diamond & Rust, (Joan Baez), Amazing Grace (Judy Colins), Blowing In The Wind/Where Have All The Flowers Gone (Bob Dylan), Norwegian Wood (The Beatles), Don’t Cry For Me Argentina, Sundown (Gordon Lightfoot), 500 Miles (Bobby Bare), Both Side Now, Di Tanjong Katong (Saloma), Loy Kratong dan Kojo No Tsuki.

Kebanyakan lagu ini berentak perlahan dan ada pula diperindahkan dan “dimelayukan” dengan menyisipkan alunan gambus dan arkordian, misalnya lagu Those Were The Days dan Norwegian Wood. Demikian juga dengan lagu Di Tanjong Katong yang sedia membelai rasa seni kita dan semakin menarik dihidupkan oleh tiupan okarina. Kerana kebanyakan lagu yang dipilih sememangnya indah, tiupan okarina Azman dan penyusunan muziknya semakin menyegarkan ingatan kita kepada lagu-lagu yang malar segar ini dan sekali gus mendamaikan perasaan. Malah tidak terasa oleh kita bahasa asal lagu-lagu ini kerana alunan okarina Azman telah seolah-olah menghilangkan sempadan bahasa lagu asalnya dan membawa kita ke daerah baharu: muzik tenang yang tanpa sempadan kata.

Penutup

Album Okarina : Soulful Within Azman ini kita alu-alukan dan berharap langkah sulung Azman adalah tapak pertama untuk beliau terus melangkah jauh ke alam seni okarinanya. Dan kita menanti lahirnya album-album beliau seterusnya, terutama yang memuatkan lagu-lagu Melayu yang malar segar.

Ditulis: 2 Januari 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 1998
Tulisan: Rasiah Halil.