Archive | December 2017

Kata Mutiara: Untuk Renungan Kita – 16 Disember 2017

Di bawah ini tulisan-tulisan mengenai Rabi’a  al-‘Adawiyya, yang diambil daripada buku susunan dan terjemahan Charles Upton, Doorkeeper of the Heart, Versions of Rabi’a. New York: Pir Press, 2003.

Halaman 35:

One day Rabi’a* was sick,
And so her holy friends came to visit her, sat by her bedside,
And began putting down the world.

“You must be pretty interested in this ‘world’,” said Rabi’a,

“Otherwise you wouldn’t talk about it so mc:

Whoever breaks the merchandise
Has to have bought it first.”

Halaman 60:

After an all-night vigil, I prayed to God at dawn, and slept.

In my dream I saw a Tree: green, bright, vast, of indescribable beauty; on this Tree were kinds of fruits, such as I had never seen among all the fruits of this world. They shone like adornments of maidens, red, white, and yellow, they shone like globes and living suns in the green hollows of the Tree. I marvelled at them, and asked: “Whose Tree is this?”

A voice replied, “This is your Tree, sprung from the seed of your prayers.” When I began to walk around it, and as I did so I counted eighteen fruits the colour of gold, lying on the ground beneath it.

I said, “It would be better if these fruits hadn’t fallen, but were still on the Tree.”

And the voice answered, “They would be there still except for the fact that while you were praying you kept worrying: ‘Did I remember to add the yeast to the dough?’ And so they fell, and there they lie.”

*Rabi’a al-‘Adawiyya, ahli sufi dan penyair, lahir pada 717 (ada yang mencatat 713) Masihi  dan meninggal dunia pada 801 (ada yang mencatat 800) Masihi di Basra, Iraq.

 

Beberapa Catatan 16 Disember 2017

1.Maulid tahun ini diraikan di sana sini sejak 1 Disember 2017/12 Rabiul Awal 1439 Hijriah. Ada orang tidak bersetuju diadakan sambutan begini dan ada pula yang bersetuju. Ini bukan masalah pokok yang perlu dibahaskan tanpa henti.

Kita menyayangi Rasulullah s.a.w. dan menyanjung risalah yang dibawa Baginda. Kita menjadikan Baginda tunggak sumber contoh kita kerana Rasulullah s.a.w. menjadi pilihan Allah dan Allah menyuruh kita berselawat ke atas Baginda. Yang penting bukan sekadar menyambut hari kelahiran Baginda besar-besaran sahaja tetapi menghidupkan sunah Baginda dan semampunya mengamalkan apa yang disuruh Rasulullah s.a.w. dan menjauhi apa yang dilarang. Kita sendiri seharusnya cuba menjadi lambang walaupun hanya secercah, ‘rahmat sekalian alam’ sebagaimana Baginda dilambangkan sedemikian.

Saya membesar dengan orang-orang yang suka menyambut maulid. Semasa tinggal di Sims Avenue (antara Lorong 35 dan 37, Geylang, Singapura), sambutan maulid dibuat secara berkampung. Saya masih terlalu kecil ketika itu. Apabila keluarga berangkai saya berpindah ke Jalan Kobis, berdekatan Kampung Melayu, Kaki Bukit, pada awal tahun 60-an, sambutan maulid lebih kerap diadakan. Busu saya (Allahyarham Abdul Ghani bin Abdul Kadir), bersama kawan-kawan sekampungnya memulakan beberapa usaha untuk kampung tersebut, termasuk menyambut maulid. Selain berzanji beramai-ramai oleh orang-orang dewasa, ada acara sukan dan lain-lain untuk kanak-kanak. Usaha Busu saya diteruskan apabila berpindah ke rumah pangsa di Bedok North pada 1978. Beliau adakan acara maulid untuk keluarga terdekatnya dan jiran-jiran Muslim dalam blok rumah pangsanya turut dijemput. Busu saya mengadakan sambutan maulid sehinggalah beliau berpulang ke rahmatullah pada April 2003.

Saya tinggal bersama keluarga saya pada 1964. Bapa saya, setelah bertahun-tahun berniaga, akhirnya mempunyai syarikat logistik/perkapalan sekitar 1956/57. Pada akhir tahun tahun 50-an dan terutamanya pada awal tahun-tahun 60-an, perniagaan bapa saya semakin berkembang. Pada tahun-tahun tersebutlah bapa saya  mengadakan sambutan maulid untuk keluarga dan kakitangan syarikatnya dan beliau lebih dermawan ketika-ketika itu. Tradisi ini buat beberapa waktu diteruskan oleh abang sulung saya dan abang ipar saya, yang mengendalikan syarikat peninggalan bapa saya.

Acara-acara maulid diadakan bukan hanya untuk mengingatkan sirah dan risalah Nabi s.a.w., tetapi juga untuk mengeratkan hubungan sesama umat. Ada keluarga mengadakan maulid setiap minggu, tanpa menunggu bulan Rabiul Awal kerana inilah juga satu cara untuk terus mengingati Nabi s.a.w. dan mengeratkan silatulrahmi di kalangan anggota keluarga.

Mudah-mudahan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. akan menjadikan kita insan yang lebih baik kepada sesama Muslim, bukan Muslim dan makhluk Allah lainnya.

2. Berita yang tergempar dan meresahkan sebahagian besar dunia, terutamanya di Gaza, Tebing Barat dan lain-lain, tentunya pengiktirafan Donald Trump pada 6 Disember lalu, bahawa ibu kota Israel adalah Baitulmaqdis (Jerusalem) dan kedutaan Amerika yang sekian lama terletak di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis.

Dalam sejarah, ada yang disebut dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) dan secara purata kelompok manusia – baik dalam keluarga, suku, masyarakat, bangsa dan negara, selalu memerlukan ‘kambing hitam’ (scapegoat) untuk menyatukan mereka. Kadangkala tiada ‘musuh’ pun diada-adakan musuh agar kelompok sasaran mereka lebih bersatu. Dan ramai yang mempunyai agenda-agenda tertentu.

Trump mahu kononnya mengotakan janji kempen pilihan rayanya, mahu menyenangkan penyokong pelampau kanannya, golongan Kristian evangelikal, selain mahu Roy Moore menang dalam pilihan raya senat di Alabama (Roy Moore kalah kepada Doug Jones (Demokrat) pada  13 Disember lalu). Dia juga mahu mengalihkan tumpuan dunia ke arah lain, dan bukan kekurangan-kekurangannya sebagai pemimpin. Demikian juga Perdana Menteri Israel, Netanyahu, terkait dengan skandal rasuah. Jadi pengumuman Trump dijangka menguntungkan kedua-dua pihak ini.

Betapa meleset jangkaannya. Dan dunia semakin bergelora, resah dan berdarah.

Suatu masa dahulu di Singapura, David Marshall (lahir pada 12 Mac 1908 dan meninggal dunia pada 12 Disember 1995), menjadi Menteri Besar pertama Singapura pada 6 April 1955 sehingga 7 Jun 1956. Beliau lama terlibat dalam politik Singapura pada tahun-tahun 50-an sehingga 60-an itu.

Generasi datuk dan nenek saya serta orang tua saya, tahu siapa David Marshall. Mereka tahu beliau berketurunan Yahudi, dilahirkan di Singapura, dan keturunannya berasal dari Iraq. Isu bangsanya tidak menjadi masalah – malah ramai orang Melayu/Islam yang menyukai dan menyokongnya. Beliau juga terkenal sebagai peguam yang berwibawa dan berjiwa rakyat.

Saya bawakan kisah David Marshall ini kerana ada perbezaan seseorang yang berketurunan Yahudi tapi bukan Zionis dan mereka yang Zionis. Yang ditentang bukan orang-orang Yahudi secara umum tetapi mereka yang tegar, yang Zionis. Dan isu Palestin ini dibaluti unsur-unsur agama, sempadan dan negara, hak asasi manusia dan sebagainya. Dan Palestin bukan hanya dihuni oleh orang-orang Arab beragama Islam sahaja tetapi juga oleh orang-orang Arab beragama Kristian, sejak dahulu. Bagi orang Islam Masjidil Aqsa yang terletak Baitulmaqdis merupakan masjid ketiga terpenting, setelah Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Ikuti wawancara Dr Hanan Ashrawi ini agar lebih jelas beberapa gambaran yang diledakkan Trump:

Konsep mencari ‘kambing hitam’ dan mengalihkan tumpuan ini ternyata langkah yang akan terus mendarahi dunia. Dan ada pula, konon berkobar-kobar untuk membela Palestin, padahal sama seperti Trump, hanya mahu mengalihkan tumpuan. Dan yang pandai retorika juga ramai. Yang lempar batu sembunyi tangan, yang menjadi gunting dalam lipatan, yang menjadi talam dua muka juga semakin jelas kerana isu ini. Dan yang  kononnya ingin  ‘memartabatkan’ Islam dalam serpihan-serpihan kumpulan pengganas pun akan mengambil kesempatan kerana isu ini dan mereka yang kononnya memperjuangan ‘hak sejarah’ kaum Yahudi dan penyokongnya juga sama tegarnya menjadi-jadi.

Semoga huraian yang saksama dan adil melalui perundingan dan bukan bahasa peluru dan bom, akan kelak ditemui untuk daerah-daerah bergelora ini.

3. Sejak beberapa bulan ini dunia dikejutkan dengan pelbagai berita mengenai salah laku seks oleh orang-orang kenamaan dalam dunia hiburan dan lain-lain. Harvey Weinstein, penerbit besar di Hollywood bukan satu-satu nama yang berkelakuan demikian. Bahawa wanita dan ada juga lelaki boleh dimangsakan sesukanya oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh, mengaibkan tetapi tidak menghairankan kita. Yang mungkin mengejutkan, orang-orang begini tidak tahu makna rasa bersalah, sanggup menyogok, mengugut dan lain-lainnya untuk melenyapkan sejarah hitam mereka. Seolah-olah ia satu lakonan sahaja.

Dan kita mungkin terfikirkan mereka yang menjadi pelarian seperti kaum Rohingya. Bukan sahaja ada yang dibunuh dengan kejam, dibakar rumah mereka, malah ada wanita-wanita Rohingya dicabul berkali-kali oleh askar Myanmar. Apakah kita harus berdiam sahaja, sebagaimana Jepun tidak sebenarnya mengiktiraf kepada Korea dan banyak negara yang dijajahnya semasa Perang Dunia Kedua, bahawa mereka memaksa wanita-wanita tempatan menjadi hamba seks (comfort women) mereka?

Isu-isu begini semakin berleluasa sekarang – di Britain ada kumpulan yang dipanggil ‘grooming gang‘ yang berbuat baik dengan remaja melalui Internet dan sebagainya, dan kemudian, setelah mendapat kepercayaan mangsa, mencabuli mangsanya, selalunya dengan geng mereka.

Perkara-perkara begini akan berleluasa jika isu-isu pelarian, peperangan, pendidikan dan juga keselamatan kanak-kanak, remaja, wanita dan umum, tidak kita leraikan dengan sebaik mungkin.

4. Pada 15 November lalu, seorang sahabat karib saya menyambut hari lahirnya. Sahabat saya ini seorang yang penyayang dan baik hati serta seorang guru yang disenangi pelajar-pelajarnya. Beliau berbakat, terutama dalam bidang lakonan, walaupun bakatnya ini tidak diserlahkan. Saya dan kawan-kawan saya berasa beruntung kerana ‘Walrus’ (gelaran yang saya berikan kepadanya pada tahun 1978 dahulu) ini menjadi sahabat karib kami. Dan beliaulah orang pertama yang menggelarkan saya sebagai ‘Zookeeper’ kerana saya kerap memberi nama-nama haiwan (yang comel) kepada kawan-kawan karib saya. Saya gembira memaklumi sahabat saya ini bertambah bahagia dan tenang hidupnya.

Pada tarikh yang sama, hampir tengah malam pada 15 November 2017 itu, seorang cucu saudara saya, dilahirkan. Kelahirannya merupakan penantian yang lama oleh ibu bapanya. Saya menerima berita kelahirannya bayi lelaki ini pada 16 November lalu. Kelahirannya menggembirakan banyak pihak, terutama orang tuanya. Bapanya merupakan anak saudara saya.

Dalam hidup ini selalu macam roller coaster. Dua berita baik saya terima pada 15 dan 16 November, disisipkan juga berita menyedihkan.

Pada 16 November 2017, jiran saya Haji Md Salleh bin Md Yusof, meninggal dunia di hospital kerana penyakit barah. Allahyarham menghidap penyakit barah sejak Julai 2016. Allahyarham ditemani isterinya, Hajah Khatijah Bibi Mar bte A. Md Asanar semasa menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya memanggil mereka, Salleh dan Jah sahaja.

Salleh n Jah 30 July 2017Salleh n JahAllahyarham Hj Md Salleh  – lahir pada 13 Oktober 1949 dan meninggal dunia pada 16 November 2017.

[Gambar kiri, diambil pada Julai 2017 semasa majlis perkahwinan kerabat mereka di Singapura dan gambar kanan diambil pada Mac 2017, semasa mereka sempat bercuti ke Pulau Pinang]

Jiran-jiran saya ini telah 27 tahun berumah tangga tetapi tidak mempunyai zuriat. Rumah mereka sederet dengan rumah saya dan kami berjiran sejak awal tahun 90-an. Adik-beradik Khatijah, ramai yang tinggal berdekatan rumah pangsa kami, malah ada seorang yang tinggal satu blok dengan kami. Keluarga Allahyarham Salleh dan kerabatnya, yang kami panggil ‘Orang Bidai’, kerana pandai berniaga bidai, dulu menetap di Lorong H, Telok Kurau – saya dan ada saudara-saudara saya belajar agama dengan seorang jiran Allahyarham, yang dipanggil Pak Dol, suatu masa dulu. Kami dulu tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.

Saya tidak banyak bercakap dengan Allahyarham kerana saya segan tetapi prihatin bahawa jiran-jiran saya ini orang-orang yang menyenangkan.  Kalau bertembung pun saya hanya tersenyum atau bertanya sepatah dua; hanya apabila isterinya bersama, baru saya lebih selesa berbual dengannya. Bukan apa, Allahyarham baik orangnya dan bagaikan saudara tua kepada saya tetapi inilah cara saya berdepan dengan suami sahabat-sahabat dan jiran-jiran saya.

Allahyarham menyukai  kedua-dua kucing saya, Snowy (sudah meninggal dunia pada 21 Jun 2017) dan Ginger. Allahyarham pernah memberi saya daun misai kucing, yang ditemuinya semasa memandu teksi ke beberapa tempat di Singapura. Dan Allahyarham prihatin terhadap kerenah dan kebajikan kucing-kucing saya. Kedua-dua jiran saya tahu saya suka makan bubur masjid (bubur lambak) semasa Ramadan.  Semasa memandu dan juga tidak memandu lagi, mereka usahakan agar saya dapat memakan bubur masjid ini beberapa kali semasa bulan puasa. Dan perhatian mereka bukan sekadar pada bulan puasa sahaja – ada sahaja makanan yang mereka kongsikan dengan saya. Dan saya juga berkali  hadir dalam beberapa majlis di rumah adik-beradik Khatijah., selain rumah mereka, yang berselang satu rumah dengan rumah saya.

Satu-satu masa saya berbual lama dengan Allahyarham Salleh ialah pada awal tahun 2014. Saya diminta mengajar bahasa Melayu intensif kepada seorang mahasiswa NUS (Universiti Nasional Singapura) oleh Pusat Bahasa NUS. Masanya pagi, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu, selama sebulan lebih. Saya sering menempah teksi untuk ke tempat-tempat jauh tapi kali ini, memandangkan masa yang diberi lebih awal, saya meminta izin kedua-dua jiran saya agar Allahyarham menghantar saya ke NUS.  Itulah masanya kami berbual panjang, bukan soal-soal peribadi, tapi soal agama dan adakalanya soal keadaan semasa.

Allahyarham jatuh sakit pada Julai 2016, sesuatu yang memeranjatkan keluarganya dan jiran-jirannya. Badannya semakin susut dan saya sering mendengar batuk-batuknya lewat malam. Khatijah mengendalikan banyak hal berkaitan penyakit suaminya, adakalanya dibantu oleh beberapa ahli keluarga – ke hospital, ke Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS) dan lain-lain. Mereka sempat juga bercuti dan menyertai majlis perkahwinan keluarga terdekat, apabila penyakit Allahyarham kelihatan mengendur. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan isterinya, pada jam 1 lebih tengah hari, 16 November 2017 lalu.

Kita bertuah bila mendapat jiran-jiran yang baik. Rumah saya sederet dengan tiga rumah pangsa yang lain, diikuti ruang lapang dan  lif. Keempat-empat rumah ini dipisahkan dari rumah-rumah lain yang satu koridor dengan kami. Sejauh ini, dua jiran saya bukan orang-orang Melayu-Islam dan  mereka baik. Allahyarham Salleh dan Khatijah merupakan satu-satu jiran Melayu/Islam saya dalam kumpulan empat rumah pangsa sederet ini.

Jiran yang baik itu seperti saudara dan saya berasakan ini dengan pasangan Haji Salleh dan Khatijah serta keluarga berangkai mereka. Banyak yang dapat kami kongsikan – suka duka kehidupan dan hal-hal semasa dalam hidup seharian. Semasa peningkatan semula estet kami, semasa sakit pening, semasa hal-hal gembira-ria, jiran-jiran saya ada juga berkongsi masa dan resa. Dan menghadapi penyakit  dan kematian bukanlah mudah dihadapi sesiapa.

Saya doakan semoga Khatijah akan tabah menghadapi kehilangan suami yang dicintainya dan meneruskan kehidupan ini dengan tenang dan reda. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh suaminya,  Allahyarham Haji Salleh dan menempatkan Allahyarham di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Amin. Al-Fatihah.

5. Ada beberapa orang kawan sering menghantar berita-berita melalui WhatsApp mengenai sastera di Singapura. Banyak berita yang berkocak dan kadangkala menyebabkan kita geleng-geleng kepala.

Inikan zaman canggih, lantas terdapat sebilangan orang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan diri masing-masing, walaupun cara-cara mereka bercanggah dengan adab dan erti integriti. Ada orang bukan sekadar ‘pull strings‘ malah sanggup ‘pull cables‘ , melebihi pepatah kita, ‘angkat bakul sendiri’ untuk dianggap tokoh, jaguh dan penentu itu dan ini dalam sastera Melayu di Singapura.

Nasihat saya kepada kawan-kawan ini – biarlah, sampai bila ‘belalang-belalang’ yang menganggap diri mereka ‘helang’ ini akan berleluasa? Masyarakat tidak buta. ‘Permainan’ mereka akan dijebak juga. Dan saya yakin, masa itu jauhari sebenar, apakah karya-karya kita benar-benar baik atau sekadar dijulang orang-orang yang tiada integriti tapi menjadi ‘besar’ kerana hal-hal itu dan ini.

Akhirnya kita semua akan berdepan dengan nurani kita, selain berdepan dengan Allah. Siapa menipu, siapa tidak adil, siapa kaki ampu, siapa suka meminggir yang lain – jawablah di hadapan Pencipta, kalau nuraninya pun boleh dijualnya.

6. Seorang hero filem-filem Hindi, Shashi Kapoor meninggal dunia pada 4 Disember lalu. Bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga awal 80-an, mungkin terkenangkan filem, lagu dan pelakon Hindi yang turut mewarnai kehidupan kita. Kematian Shashi Kapoor seolah-olah menjadi penutup hero dan heroin zaman itu.

Raj KapoorShammi KapoorShashi Kapoor

[Tiga pelakon bersaudara, dari kiri: Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor]

Di Singapura dahulu ada kugiran-kugiran menyanyikan lagu-lagu Hindi tapi kini kugiran sebegini, untuk memeriahkan majlis-majlis perkahwinan semakin berkurangan. Mereka yang lebih dewasa mungkin terkenang zaman silam mereka apabila mendengar lagu-lagu Hindi lama dan menonton semula filem-filem lama dan kematian Shashi Kapoor semakin mengingatkan bahawa mereka semakin menjejak ke usia senja. Tiga Kapoor bersaudara, Raj, Shammi dan Shashi Kapoor ini memang berbakat besar dan mereka mempunyai ramai peminat. Dan lagu-lagu Hindi juga sering menjadi siulan anak-anak muda pada suatu masa dan ada lagu-lagu Hindi yang disadurkan menjadi lagu-lagu Melayu, dan bukan lagu-lagu dangdut.

Untuk mereka yang berminat, saya titipkan sebuah lagu Hindi lama yang mungkin membuai kenangan anda juga:

7. Semalam (15 Disember) merupakan hari lahir ibu saudara saya, Rahijah Syed Hussein, yang saya panggil ‘Kakak’. Kami memanggil ibu saudara saya ini ‘Tweety Birrd’ kerana beliau comel, becok dan amat penyayang orangnya. Dan ada bakat menggantikan pelakon Neng Yatimah kerana mudah menitiskan air mata – macam cerita Hindustan, dalam suka dan duka kehidupan. Saya telah menulis mengenai ibu saudara saya ini dalam blog ini sebelum masukan kali ini. Biarlah saya sebutkan sekali lagi, saya bertuah mendapat ibu saudara yang saya anggap sebagai kakak saya, dalam hidup ini. Kebaikan dan keluhuran hatinya, hanya Allah yang dapat membalas sebaiknya.

Hari ini, 16 Disember, merupakan hari meninggalnya nenek saya, yang membesarkan saya dan saya panggil ‘Mak’. Sudah 26 tahun nenek saya  berpulang ke rahmatullah tetapi bagi saya, ia bagaikan memalam. Tiada kata yang mencukupi untuk menyatakan betapa saya tetap mengenangnya dan betapa saya berasa amat bertuah dibesarkan, diasuh dan disayangi oleh seorang insan seperti Allahyarhamah. Semoga Allah sahaja membalas segala jasa baik dan pengorbanannya.

Al-Fatihah untuk nenek saya, Fatimah bte Abdullah dan juga datuk saya, Syed Hussein bin Syed Mohidin Abunu serta semua ahli keluarga, jiran dan sahabat kita yang telah berpulang ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin.

Bersama Nenda di Haw Par Villa, 1960 - RH ImagesBersama Kakak (Rahijah S Hussein), Haw Par Villa, 1960 RH ImagesRH Images Family 1987

[Dari kiri: Gambar saya bersama nenek dan ibu saudara saya, di Haw Par Villa pada 1960 . Dan gambar-gambar nenek dan ibu saudara saya serta tiga orang anak saudara saya yang diambil pada 1987 dan saya muatkan dalam bingkai yang terletak di meja tulis saya, di rumah saya di Brunei, semasa saya bertugas di Universiti Brunei dari Mac 1987 sehingga April 1990)

8. Semoga tahun mendatang ini akan lebih membahagiakan dan menenangkan kehidupan kita. Dan semoga kita diberi kesihatan, kesejahteraan, rezeki dan kebajikan dan  kita belajar untuk lebih reda dan bersyukur di atas apa pun yang diberi dan dinafikan kepada kita oleh Dia yang Maha Pengasih lagiMaha Penyayang. Amin.

Selamat Tahun Baharu 2018 yang menjelang.

Salam
Rasiah Halil
16 Disember 2017.

Sajak: ‘Ikan Tembak Timun’, ‘Tiada’, ‘Membelah Semangka’ dan ‘Bangku Bipang’

‘Ikan Tembak Timun’
(Untuk Hamzah, Aisha & cucu-cucu saudaraku yang lain)

Suatu hari, Hamzah, 3 tahun, menyanyi lagu kanak-kanaknya,
menukar seni kata yang sedia ada, walau diperbetuli ibunya –
‘Oh bangau, oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
ikan tembak timun.’

Ikan begitu besar, berkuasa, menurut Hamzah,
melebihi timun, menembak bila tak timbul,
& timun boleh bersuara, bermain dengan kata,
rima, rentak, seperti ikan, bangau, ayam, itik, ulat,
kucing, siput, arnab, kambing, lembu, gajah, kuda,
tikus, penyu, anjing, musang, beruang, tupai, singa,
bermukim dalam dunia kecilnya, indah, penuh sakti,
menakjubkan, menghairankan, menyimpul pertanyaan.

Dan dunia hidup-hidupan laut sama menakjubkan
bagi Aisha, 7 tahun, kerana air, arus & gelombang,
menampilkan kelainan – ikan, udang, obor-obor, ketam,
sotong, terumbu karang, siput, rumpai, tumbuh-tumbuhan,
pelbagai jenis hidup-hidupan, & dalam pelbagai buku
cereka, bukan cereka, Aisha menemui pesona –
kisah sungai, tasik, laut, lautan, aneka ciptaan,
kisah pelbagai negara, bangsa, budaya, keluarga,
kisah para rasul, sirah Nabi, cerita agama,
yang menyemai kasih, adab, & memperkaya,
taman kehidupan kanak-kanaknya.

Dunia mereka indah – apabila ikan bukan sekadar
haiwan kecil, timun tidak bergolek sahaja, & bangau
boleh menyanyi & pandai berkata-kata, kadangkala
menimbulkan musykil, seribu tanda tanya –
‘Apasal bangau kurus, Mama? Apasal..apasal..’
seribu satu soalan Hamzah, cuba memahami sekitarnya,
& Aisha turut bertanya, lebih memaklumi, kerana rasa
hairannya semakin membentuk, betapa nanti pertanyaan-
pertanyaan ini menimbulkan senyuman & gelak kita,
dengan berpusarnya waktu, & dunia mereka kini masih
dilukisi keluarga, sahabat, sekolah, buku, sekitar,
yang memerlukan calitan-calitan segar, permai,
selamat, kasih sayang, ketakjuban, saksama,
agar nanti muncul lukisan-lukisan meredupkan mata.

Kalau timun itu raksasa,
& ikan boleh menembaknya,
kalau hidup-hidupan laut boleh berkata-kata,
& cerita, lagu kanak-kanak, meluaskan minda,
betapa semakin kaya mereka dibentuk oleh
kasih, ihsan, buku, kebaikan, kebajikan,
melihat dunia semakin terbuka, luas terbentang,
pelbagai haiwan, tumbuh-tumbuhan, segala ciptaan,
kisah sakti, kisah benar, kisah agama, budi,
membajai jiwa & minda mereka,
berakar, menanjap, merimbun,
seperti zaman kanak-kanak dahulu,
akhirnya mengitar semula,
makna kasih, ihsan, ilmu, santun.

Ditulis: 20 Oktober – 11 November 2017
Tulisan: Rasiah Halil.

Tiada

Tiada kelebihan pada keangkuhan
& ego sebesar benua
tiada kebaikan pada kebanggaan
segala pencerahan milik mereka
bulan, bintang, bertukar tempat
planet tergelincir dari orbitnya
namun paksi itu tidak berubah
walau kita berlagak bijak laksana
mahir, canggih, berpengaruh,
terhakis segala
fatamorgana semata
apa pun darjatnya.

Ditulis: 21 Oktober 2017
Tulisan: Rasiah Halil.

Membelah Semangka*

Setelah 100 tahun
mereka meraikan penjarahan
mengusir penghuni asal
meniadakan peta permai
& setelah Eropah bertelingkah, membelasah,
seakan segala boleh diubah
dengan Deklarasi Balfour*
Perang Dunia Pertama, Kedua,
Perang Enam Hari, 1967
menyokong si mafia
menghapus, menindas, segolongan manusia.

Betapa buta si penyokong
atau sekadar berpura rabun
bagai membelah semangka
pada abad ke-19 di China
mengelar Jazirah Arab, sekitarnya
mencipta negara baharu
seolah di sanalah pogrom, holocaust berleluasa
bukan di Barat, Eropah,
untuk bangsa konon pilihan-Nya.

Betapa wang & kecanggihan
menimbulkan amnesia
semangka-semangka yang dibelah
diratah sesuka
menegakkan neo-empayar
& kezaliman merajalela
merata-rata.

*Membelah semangka (Cutting the Melon) – istilah yang digunakan ketika kuasa-kuasa Barat ‘membelah’ bahagian-bahagian negara China sebagai wilayah-wilayah jajahan mereka pada abad ke-19.
*Deklarasi Balfour (Balfour Declaration) ditinta pada 2 November 1917.

Ditulis: 2 – 4 November 2017
Tulisan: Rasiah Halil.

Bangku Bipang

Melihat bangku kecil ini
yang lama tersimpan
buatan kayu, divarnis coklat hitam
pengalas kuih bipang
tika masih panas, dituang, dipotong Nenek
buat cemilan, makanan petang
anak cucu yang disayang.

Dengan gula pasir dimasak
kacang digoreng tanpa minyak
digaul dengan sira menggelegak
dituang ke atas bangku
dipotong kecil-kecil, secepat mungkin
di atas bangku bipang yang kini kusimpan.

Masih kukenang masa-masa itu
menjual epok-epok, abuk-abuk
atau bersama Nenek membuat kuih kacau
dalam panas, penat,
menambah jatah kehidupan
atau bersamanya membuat dodol, wajik, agar-agar laut
untuk Hari Raya atau makanan masa senggang
& betapa Nenek menertibkan
menganyam ketupat, mengelim epok-epok
menyepit kuih makmur, kuih tart
memotong baju kurung, menjahit tulang belut
dengan perhatian, kesungguhan
bukan sambil lewa, ketergesaan.

Hanya sebuah bangku kecil
tempat memotong kuih bipang
lama dulu disimpan ibu saudaraku
berjaya memusarkan
pelbagai kenangan, keharuan
pada Nenek yang kusayang
usahanya mengajar sebahagian budaya
menitipkan erti berdikari, berusaha
& kesungguhan dalam apa pun yang dihidangkannya
demi kasihnya yang tiada terhingga.

Ditulis: 26 November – 16 Disember 2017
Tulisan: Rasiah Halil.

Jadikan Harapan Perisai Hadapi Apa Jua Dugaan (Ditulis Pada 25 Disember 2003)

Hari-hari terakhir tahun 2003 telah pun mendatangi kita. Terasa cepatnya masa berlalu; seolah-olah hanya baru semalam kita menyambut tahun baru 2003. Dalam pelbagai tuntutan yang perlu kita penuhi, masih sempat sebilangan kita membeli-belah di sana sini sebagaimana kita saksikan kesesakan di tempat-tempat awam dan jalan-jalan raya. Yang masih ada cuti, tidak melepaskan peluang untuk bercuti atau berehat sahaja di rumah.

Berakhirnya tahun selalunya menimbulkan semacam kesedihan di hati kita. Kalau mereka yang muda dan remaja lebih bergembira menyambut tahun baharu, kita yang lebih dewasa sering terfikir-fikirkan mengenai masa-masa yang berlalu. Dulu kita juga demikian ceria menyaksikan beralihnya tahun lama ke tahun baharu tetapi kedewasaan dan tuntutan kehidupan memberi kita perspektif lain untuk tidak sekadar bersuka ria sahaja. Ini tidak pula bermakna kita harus bermuram durja.. Kita mungkin lebih banyak terkenang masa lalu dan terfikirkan masa depan yang bakal menjelang berbanding dengan zaman-zaman remaja kita dahulu.

Banyak yang telah berlalu setahun ini, secara peribadi mahupun sebagai warga dunia. Dunia kita semakin mengecil dengan berita dari seluruh dunia menerpa melalui televisyen ke ruang tamu kita 24 jam dengan berita-berita mutakhir. Kita menjadi gerun melihat dunia yang semakin kacau bilau dan diresahi sengketa yang semakin canggih dan mendalam. Dan dalam hiruk-pikuk suara perang, permusuhan dan anasir-anasir yang songsang, masih kita dengari juga suara-suara  kemiskinan, kelaparan, pelarian, penghidap penyakit berbahaya, penindasan dan sebagainya. Terasa betapa tidak berdaya kita menyaksikan perlakuan-perlakuan yang menghiris nurani kita ini kerap terpapar di media massa. Seoalah-olah yang menggarisbawahi kemanusiaan kita adalah tindakan-tindakan yang kurang wajar ini dan segala-galanya demikian gelap menghantui kita.

Ada di kalangan kita masih lagi menghadapi masalah kerana pembuangan kerja; ada masih terkenang mereka yang telah pergi, sama ada kerana SARS atau sebab lainnya, dan ramai juga masih belum tenteram mengenai isu- isu sandang pangan. Ada sebilangan kita terpaksa membuat perubahan mendadak kerana kenyataan baharu yang tiba-tiba melanda kita. Dan yang masih terkial-kial pun bukan sedikit jumlahnya. Yang goyah dan goyang banyak terjadi dan ada pula seolah-olah diingatkan pada tahun-tahun 50-an dan 60-an bila keadaan-keadaan yang hampir serupa melanda. Kegelapan terasa dalam pelbagai bidang kehidupan kita.

Memanglah suatu kelumrahan hidup untuk berlegar-legar dalam kemurungan.. Tapi seperti diingatkan oleh peribahasa kita: ikut hati, mati; ikut nafsu, lesu. Kita terpaksa keluar dari lingkaran kesedihan ini, walaupun hati kita masih terguris oleh pelbagai peristiwa yang menimpa kehidupan kita dan dunia. Kesedihan saja bukanlah jawapan bagi segala masalah kita kerana kita mungkin terbelenggu dalam lingkaran itu untuk selama-lamanya dan tertinggal jauh dari rentak kehidupan semasa. Kita terpaksa melangkah, walau hanya bersuluhkan harapan sepelita.

Sri teringat sebuah sajak berjudul The Darkling Thrush tulisan Thomas Hardy. Sajak ini meng-gambarkan seekor burung yang riang berkicau ketika musim salji pada penghujung tahun. Keadaan di sekelilingnya begitu malap dan sejuk tetapi burung itu ceria menyambut bukan hanya tahun baharu, malah kurun baharu (kurun ke-20). Keceriaannya membuat Hardy terfikir mungkin:

Some blessed Hope, whereof he knew
And I was unaware.

Kenapakah seekor burung dengan segala keterbatasannya boleh demikian ceria dan kita yang diberi potensi terbesar untuk berharapan dan berkebajikan sesama makhluk, seolah-olah hanyut dari memegang tali harapan?

Sesiapa yang telah melalui ranjau dugaan dan masalah tahu bukan mudah menyemai benih harapan dalam keadaan-keadaan seumpama tanah-tanah gersang. Tetapi tanpa menapak ke arah ini, kekekecewaan kita akan terus menggelapi kehidupan kita. Memang bukan mudah, tetapi untuk berharapan, terutama meniti tahun baharu ini, bukan pula sesuatu yang mustahil. Dan alternatifnya bukanlah pilihan kerana ia lebih pahit daripada hempedu dan jadam.

Kita mungkin banyak terkenang menjelang tahun baharu ini, tapi biarkan segala kenangan itu menjadi mangkin untuk membolehkan perubahan-perubahan yang lebih baik. Yang lepas tak akan datang lagi, tetapi yang kini yang perlu kita jaga dengan rapi. Kadangkala kita terpaksa tutup buku mengenai perkara-perkara pedih kerana kalau tidak, kesannya akan berlarutan dalam kehidupan kita. Seperti kata penulis dan ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre: kita tak boleh menukar masa silam tetapi kita boleh, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, merubah kesannya terhadap masa kini kita.

Yang ada hanyalah masa kini dan masa depan; yang berlalu tak akan lagi menjelang. Biarlah kita berperisaikan harapan menghadapi tahun yang mendatang kerana dengannya, insya-Allah, jiwa kita akan diperkasakan untuk menghadapi apa pun dugaan. Sebagai orang Islam, kita telah dipesan oleh Nabi s.a.w. agar jangan berputus harapan dan sebagai hamba-Nya kita harus bersyukur di atas segala yang telah diberikan-Nya dan juga segala yang Allah tidak berikan  kepada kita. Dengan bersyukur dan berharapan, apa pun yang terhampar pada tahun baharu ini, insya-Allah dapat kita hadapi dengan lebih tenang dan cekap. Selamat Tahun Baru 2004!

Ditulis: 25 Disember 2003
Tajuk Asal: Di Pinggir Tahun
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 4 Januari 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Filem Hindi – Antara Fantasi Dan Kenyataan*

Mother IndiaJungleeSangam

Bilakah kali terakhir anda menonton cerita Hindustan? Ramai di kalangan kita mungkin masih menonton filem-filem Hindi sama ada di pawagam mahupun  saluran TV seperti bahagian Tamil TV Singapura, Zee TV dan lain-lain. Ada semacam tarikan dalam cerita-cerita Hindi ini; kita mungkin terhibur dengan lagu-lagu yang didendangkan (walaupun kita tak faham), pemandangan yang kadangkala indah, watak-watak utama yang selalunya kacak dan jelita serta jalan cerita yang tidak terlalu sukar. Sebagaimana cerita-cerita penglipur lara kita pada satu zaman silam, filem-filem Hindi memberi semacam ‘pelarian’ (eskapisme) dalam kehidupan seharian kita. Di tengah-tengah kecamuk pelbagai masalah, mungkin ada di kalangan kita mendapat hiburan serta ‘peleraian’ selain pelarian daripada masalah-masalah yang dihadapi dengan menonton filem-filem Hindi.

Bagi orang-orang lama, filem Hindi membawa pelbagai kenangan; menonton filem Hindi pada zaman itu menjadi semacam kemestian bagi sebilangan kita. Kita selalunya berpakaian indah semasa menonton sama ada di Garrick/Taj mahupun panggung Queen dan Singapura. Air mata kita mudah menitis misalnya bila menonton filem Mother India, Dosti, Khandan  dan lain-lain. Dan kita mudah terbawa-bawa menyanyi lagu-lagu filem Hindi, misalnya ‘Yahoo…chahe koye mukhe junglee kahe’ daripada filem Junglee atau ‘Dost dost rena raha…’ daripada filem Sangam. Tanpa memahaminya, kita tahu melodinya indah dan bahasa Hindi, campuran Parsi dan Arab, adalah sebuah bahasa yang puitis, lantas mudah menyentuh hati kita. Ini diperteguhkan lagi dengan lagu-lagu Hindi dimainkan tiap hari jam 4:00 petang di stesen radio Singapura (bahagian Tamil) lantas sering diikuti dan dinyanyikan (katanya sehingga kini lagu-lagu Hindi diputarkan jam 4:00 petang). Sementara kita berehat-rehat di waktu petang, pada zaman 50-an sehingga 70-an itu, lagu-lagu Hindi ini menemani dan mewarnai perbualan kita, lantas timbul pula lagu Melayu pasal Dev Anand atau ada yang ingin suaranya seindah Mohammed Rafi, Mukesh, Lata Mageshkar dan Asha Bhosle.

Ada orang gilakan hero (wira)/heroin (wirawati) filem-filem Hindi sehingga sanggup ‘menyerbu’ mereka ketika mereka tiba di negara kita misalnya hero-hero seperti Shammi Kapoor (datang ke Singapura untuk berlakon dengan Maria Menado dalam filem Singapore, pada 1960) dan lain-lain. Anak-anak kita kini tergila-gilakan Shah Rukh Khan, misalnya, semasa dia mengunjungi dan membuat persembahan di Singapura tidak berapa lama dulu. Dan orang pula sangggup membeli tiket ‘black market’ kerana ingin sangat menonton filem Hindi tersebut dan sukar pula mendapatkan tiketnya. Tiap kali filem baharu ditayangkan, ada saja yang mengikut gaya hero/heroin pujaan mereka, sama ada dari segi pakaian, hiasan rambut mahupun tingkah laku.

Hero dan heroin Hindi menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, malah ada kalanya kita lebih mengenali mereka daripada sesetengah saudara-mara kita. Anda masih ingatkah majalah Indian Movie News? Inilah  satu-satu  majalah filem Hindi ketika itu, walaupun yang didatangkan  dari India, misalnya Filmfare dan lain-lain memang ada. Ada pula yang sanggup melanggan majalah-majalah ini dari luar negara. Hebatnya filem-filem Hindi ini sedemikian, sehingga negara-negara yang tidak mengetahui bahasa mereka juga mengikuti perkembangan mereka, selain rantau kita.

Penulis Vikram Seth pada akhir tahun 80-an misalnya, pernah terkandas di sebuah negara Komunis dan pasportnya ditahan. Dalam keadaan bingung itu, dia menghiburkan hati dengan menyanyi lagu Awaara (filem yang dibintangi Raj Kapoor dan Nargis pada tahun 1951). Nyanyiannya didengari oleh beberapa pegawai – rupa-rupanya mereka meminati Raj Kapoor, lantas Vikram segera diberi pasport dan dibenarkan mengunjungi negara tersebut. Siapalah sangka Raj Kapoor yang ketika itu telah meninggal dunia boleh ‘membantu’ seorang penulis yang terkandas!

Namun, tidak semua orang terus menerus menonton filem Hindi, walaupun mungkin meminatinya semasa muda. Salah satu sebabnya mungkin cerita Hindi mudah dijangkakan, meleret-leret dan terlalu dramatik. Segala-galanya begitu ‘over’ kata orang sekarang. Dan ada babak-babak tertentu mungkin lebih ‘selamat’ jika kita menonton filem Inggeris, kalau bukan pun filem Melayu.

Sri di antara orang sedemikian. Sejak  akhir 60-an, amat jarang Sri menonton filem Hindi di pawagam, walaupun Sri meminati lagu-lagu lama filem Hindi mahupun beberapa filem Hindi zaman tersebut. Filem dan lagu Hindi zaman tersebut banyak mengingatkan Sri akan zaman kanak-kanak serta keluarga Sri kerana sering diajak menonton dan piring hitam Hindi, selain Melayu, Inggeris dan lain-lain sering diputarkan di rumah. Tapi sukar bagi Sri menonton filem-filem Hindi yang terkini sekarang kerana terasa benar ‘keasingan’nya. Selain itu, Sri dapati ada filem-filem ini seolah-olah mengajar kita untuk tidak menjejak ke bumi dan melihat manusia serta kehidupan dengan gambaran fantasi. Bukan salah adanya fantasi dalam kehidupan tetapi selalu dibumbui cerita-cerita yang ‘happy ending’ atau dikobarkan cara-cara ‘dramatik’ dalam perhubungan atau menjalani kehidupan mungkin juga mendorong kita melihat kehidupan sedemikian.

Ini tidak bermakna semua filem Hindi itu buruk, terdapat filem-filem yang baik dan menghiburkan misalnya filem-filem lama seperti Anarkali, Taj Mahal, Mother IndiaHariyarli Aur Rasta, Pakeezah, Guide, Jab Jab Phool Khile, Tera Ghar Ke Samne, Sangam dan lain-lain tapi sebahagian besar filem-filem Hindi, terutama yang terkini mungkin meninggalkan kesan yang di luar jangkaan kita.

Antara filem-filem terlalu tidak menjejak bumi dan berteraskan fantasi dan sebagainya, bilakah anak-anak kita akan lebih mengenali kenyataan hidup yang dilalui?

*Tiada salahnya menonton filem-filem Hindi atau apa pun filem. Dan terdapat juga filem-filem Hindi yang baik sehingga kini. Persoalannya timbul apabila sebilangan kita terlalu asyik/obsesif mengenainya dan menganggap apa yang berlaku dalam filem seperti hidup sebenar serta leka dengan hal-hal sedemikian. Ini sama seperti kegilaan sebilangan kita terhadap filem dan drama bersiri Korea kini.

Ditulis: 1 April 1999
Tajuk Yang Disiarkan BM: Terasing Bila Tonton Filem Hindi Terkini
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 4 April 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Dengarlah Suara Anak Anda Sebelum Terlambat… (Tajuk Asal: Sumbang Mahram Dan Lain-lain, Ditulis Pada Mei 2002)

Novel-novel Hamzah

Novel Rumah Itu Dunia Aku tulisan Hamzah Hussin pada 1951 dan difilemkan pada 1963, mengenengahkan watak Lin, seorang anak gundik. Lin dianggap sebagai anak angkat dan mengalami pelbagai peristiwa pahit setelah kematian ibunya, orang gaji keluarga kaya tersebut. Keluarga dan rumah yang seharusnya menjadi syurganya sebenarnya memusarkan lingkaran fitnah, seksa dan perkosa sehingga kematian Lin secara tragis di akhir cerita.

Rumah adalah syurga bagi kebanyakan kita, terutamanya kanak-kanak. Di rumahlah kita seharus nya diasuh dengan nilai-nilai murni, adab sopan dan dibaja dengan kasih sayang. Tetapi tidak semua orang dapat merasakan syurga sedemikian. Membaca akhbar sejak kebelakangan ini terpampang berita-berita yang kurang elok atau manis dibincangkan: kisah sumbang mahram, perkosaan, pencabulan, paedophile dan perkara-perkara seumpama itu yang semakin berleluasa kini. Kita jadi malu membacanya, dan malu pula membincangkannya. Lebih daripada itu, sebagai orang tua, timbul rasa takut dan benci terhadap gejala ini kerana siapalah tahu anak cucu kita juga ( nauzubillah) boleh jadi mangsa gejala ini kalau kita kurang berhati-hati.

Memang gejala ini telah lama wujud dalam peradaban manusia. Tetapi bezanya, kini ia terasa semakin berleluasa mungkin kerana teknologi canggih memungkinkan berita-berita begini mudah tersebar dan mungkin pula kita lebih terbuka untuk mendedahkan hal-hal sedemikian, berbanding dengan suatu zaman silam. Kenapa hal begini berlaku?  Ada orang salahkah Internet yang membolehkan sesiapa pun menyusur ke halaman-halaman yang tak baik; ada salahkah berleluasanya filem dan video lucah; ada salahkah cara hidup yang dianggap moden yang banyak menyimpang; ada salahkan keadaan rumah yang sempit; kurangnya didikan agama; sikap anggota keluarga terhadap gejala ini; masalah pengangguran; nafsu syahwat yang tiada terkawal; anak-anak kita yang berpakaian liar; gejala bekerja giliran malam; mudah percaya kepada orang- kerana kedudukan mereka dalam masyarakat  dan sebagainya.

Memang puncanya pelbagai tetapi ia banyak berpusar kepada psikologi si pembuat dan keadaan si mangsa tadi. Sebagai contoh, Sri percaya sebilangan kita pernah membesar di rumah yang agak sempit dalam keluarga berangkai tetapi gejala ini tidak pun timbul. Benar, Nabi s.a.w. pernah nasihatkan agar kita pisahkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan kita terutama bila mereka dah meningkat 7 tahun. Anjuran Nabi tadi untuk pencegahan, tetapi dalam keadaan tidur yang terpisah pun gejala ini boleh berlaku kalau si pembuat mahu melakukannya dan dia berasa selamat bahawa si mangsa tadi tidak pandai mengadu atau terlalu takut untuk bersuara.

Beberapa orang yang Sri kenal pernah mengalami pengalaman yang mengaibkan ini. Ada itu dihendap semasa mandi, disentuh pada tempat-tempat yang tidak seharusnya disentuh dan ada pula dicabul berulang kali oleh orang-orang yang sama dalam beberapa peringkat hidupnya. Adakalanya perbuatannya memang memperkosa dan ada pula, kecuali si mangsa berpakaian misalnya ketika tidur atau dalam salah satu permainan kanak-kanak, perbuatan orang-orang begini tak ubah seperti merogol. Sebilangan mangsa ini tidak dapat bertindak kerana kejadian berlaku ketika mereka tidur, atau kalau sedar pun, mereka terlalu terperanjat dan takut kepada si pembuat. Dan banyak kajian juga menunjukkan jarang pula pencabulan dilakukan tanpa dirancang oleh si pembuat. Ini menyanggah alasan sesetengah pihak bahawa nafsu mereka tiba-tiba terangsang; padahal banyak perancangan dibuat lebih awal.

Kadangkala sesetengah  kita menyalahkan si mangsa bila kejadian begini berlaku. Ada kawan Sri bukan sahaja tidak dibela nasibnya kerana dimangsai malah dicemuh pula oleh ibunya dengan soalnya: “Apa kau ingat kau cantik sangat sampai orang nak kacau?”. Benar, ada kanak-kanak suka berbohong tetapi memerhatikan watak mereka yang dimangsai kita tahu sama ada mereka berbohong atau sebaliknya. Dan jarang pula orang mahu berbohong mengenai sesuatu perkara yang amat mengaibkannya. Sesetengah kita pula mudah menafikan wujudnya gejala ini dalam keluarga kerana  mahu kekalkan imej kononnya keluarga kita ‘orang baik-baik’ lantas perkara ini mustahil berlaku. Kita kurang bertindak sewajarnya terhadap si pembuat atau membela si mangsa. Dan adakalanya kita mudah mempercayai orang terutamanya bila dia tampilkan imej baik di depan kita lantas secara tak langsung ‘mengizinkan’ berlakunya kejadian buruk itu.

Kalau si pembuat diberkas, mungkin dia dipenjarakan. Tapi bagaimana pula kehidupan si mangsa? Dia mungkin akan mengalami trauma, menyalahkan dirinya, kecewa, tak mahu mempercayai sesiapa, berasa berdosa, hilang keyakinan diri, menghadapi pelbagai penyakit psikosomatik, membenci lelaki (kalau si pembuat itu lelaki), mahu membunuh diri atau mengamalkan gaya hidup tak sihat dan sebagainya. Kesannya berpanjangan, terutama jika perbuatan si pembuat bukan sekadar mengendap sahaja. Seperti kata seorang kawan Sri: “Aku benci dia Sri dan aku tak maafkan dia sampai bila-bila”. Dan sesetengah si pembuat tak pernah meminta maaf kerana ketelanjurannya bahkan menganggap semacam ‘hak’nya untuk terus mencabuli si mangsa dan seolah-olah menunjukkan yang jahat sebenarnya si mangsa bukan dia.

Selain membuat semacam sempadan dan tatasusila keluarga serta pengajaran agama, kita haruslah mengajar anak-anak kita cara mencegah atau bertindak jika keadaan tidak baik ini berlaku. Anasir-anasir luaran memang sukar kita kawal, tetapi anasir-anasir di dalam masih boleh kita kawal. Lebih daripada itu, dengarlah suara anak atau adik/kakak anda sebelum terlambat kerana kesan pencabulan itu kadangkala menjejas sepanjang hayat jika tidak dirawat. Dan benarkanlah anak-anak kita membesar dengan rasa selamat dan kepercayaan sesamanya serta keyakinan bahawa rumah kita itu adalah syurga baginya.

Ditulis: 14 Mei 2002
Tajuk Asal: Kisah Sumbang Mahram Dan lain-lain
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 19 Mei 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Pembelajaran Dan Usaha Keluarga

Savings

Prakata

Seorang pelajar ingin melanjutkan pelajarannya di luar negara tetapi cita-citanya terkandas kerana tiada biasiswa untuk menampung pembelajarannya. Jika adapun biasiswa dan dermasiswa, jumlahnya mungkin tidak mencukupi bagi mengongkosi biayanya walaupun untuk masa setahun pelajaran.  Apakah yang mungkin terjadi kepada pelajar tersebut?  Mungkin cita-citanya terkubur buat selama-lamanya dan dia terpaksa menyalurkan cita-citanya dalam bidang yang lain.  Atau mungkin dia harus bertungkus-lumus mengumpulkan wang dan menunda dahulu tercapainya cita-citanya buat suatu jangka masa yang lama.  Senario ini bukanlah sesuatu yang mustahil; tiap tahun ada di kalangan pelajar kita yang terus dihadapkan masalah sedemikian.

Benar, terdapat pertubuhan-pertubuhan seperti Yayasan MENDAKI, LBKM, MUIS, Jamiyah dan lain-lain yang memberi biasiswa/dermasiswa kepada para pelajar kita.  Begitu juga ada biasiswa ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta dan berbilang negara, selain Perkhidmatan Awam Singapura.  Tetapi bilangan mereka yang menerima biasiswa demikian amat terbatas.  Lantas, sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini harus mencari jalan lain bagi menampung biaya pelajaran mereka.

Pentingnya Pelajaran

Dalam bahasa Latin, pendidikan (education) bererti mengembangkan potensi seseorang.  Dan pengembangan potensi ini adalah proses dan komitmen sepanjang hayat; ia tidak berhenti setakat memperolehi sijil, diploma atau ijazah.  Malah konsep pendidikan dalam Islam itu sendiri bermula lama sebelum lahirnya seseorang ke dunia dan berakhir hanya di liang lahad.  Bagi negara kecil seperti Singapura yang tidak dianugerahi kekayaan bumi ataupun sumber alam, aset terbesar negara tetap bertunggak kepada rakyatnya.  Dan rakyat Singapura yang terdidik atau mempunyai kemahiran dapat memberi sumbangan yang lebih bererti kepada pertumbuhan dan pembangunan negara ini.

Dari segi makro, sesebuah negara yang ingin terus maju, mengekalkan daya saingnya serta mengecapi taraf hidup yang tinggi, perlu memberi pendidikan sebaik mungkin bagi setiap anggota rakyatnya. Dan rakyat juga harus diberi peluang-peluang memaju dan memahirkan diri mereka dari masa ke semasa.  Tanpa peluang yang terbuka luas, aset negara, iaitu rakyat negara tersebut, akan terabai.  Ini bakal menimbulkan masalah dalam jangka waktu panjangnya. Tetapi bagaimana pula kita bertolak dari segi mikronya?  Bagaimanakah kita memastikan anak-anak kita tidak terputus pelajarannya separuh jalan atau dihancurkan cita-citanya hanya kerana masalah kekurangan wang?

Unit terpenting sesebuah masyarakat ialah keluarga.  Walaupun ada individu boleh berjaya tanpa sokongan atau bantuan keluarga, tetapi ini bukanlah suatu kelumrahan.  Bagi kebanyakan masyarakat, keluarga memainkan peranan yang penting bagi menentukan peluang-peluang yang diperolehi seseorang.  Benar, telah lahir ramai pemikir dunia dan golongan inteligensia yang kerana tidak mendapat peluang-peluang tertentu semasa kecil dan remaja, telah mendera diri mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.  Tetapi adakalanya usaha memajukan diri, terutama dalam bidang pendidikan, tidak boleh ditentukan oleh ‘nasib’ sebegini sahaja.  Kalau kita melihat kehidupan bermasyarakat sebagai suatu kontinuum atau organisme yang melalui fasa-fasa tertentu, kita tiada pilihan lain melainkan mengambil langkah-langkah yang wajar agar kontinuum itu tidak bercelaru dengan kegagalan.

Dalam banyak hal dan keadaan, orang yang mempunyai kemahiran ataupun pendidikan adalah orang-orang yang terkhir akan ‘jatuh’ apabila sesuatu malapetaka menimpa sesebuah negara. Kalaupun mereka ‘jatuh’ bagai keping-keping domino, peluang mereka untuk membangun kembali adalah cerah.  Kita mungkin boleh fikirkan keadaan-keadaan di Eropah, Vietnam, Amerika Syarikat dan lain-lain.  Kelebihan kemahiran atau pendidikan selalunya menjadikan seseorang itu lebih versatil untuk memanfaatkan apa pun keadaan yang menimpa hidupnya ataupun negaranya.  Memandangkan hal demikian, adalah penting, setiap keluarga memastikan bahawa tiap-tiap anggotanya mendapat peluang-peluang pelajaran dan kemahiran diri yang dasar.  Ini bererti, anak-anak kita haruslah memperolehi sijil GCE ‘O’ ataupun yang seumpamanya itu, sekurang-kurangnya.  Jika anak-anak kita tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat ‘O’, berilah dia kemahiran yang setaraf dengan itu untuk terus memajukan diri dan hidupnya. Satu lagi perkara yang boleh difikirkan ialah membentuk sebuah dana untuk keluarga.

Dana Keluarga

Secara amnya pembentukan dana keluarga bertujuan untuk membantu anggota keluarga yang menghadapi masalah kewangan dalam bidang pendidikan.  Mungkin skim insuran pendidikan boleh dibeli oleh sesebuah keluarga, tetapi tujuan diadakan dana ini boleh menjurus kepada keluarga berangkai yang pengumpulan wang secara beramai lebih mendatangkan manfaat.  Pembentukan dana tersebut dapat membantu anggota keluarga menambahkan pendidikan dan kemahiran keluarga dengan menyediakan ongkos bagi pembiayaan pelajaran.  Pembiayaan ini pula tidak terbatas kepada anggota keluarga yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti ataupun politeknik sahaja; anggota yang ingin memahirkan dirinya dalam bidang fotografi ataupun juruterbang misalnya, juga akan diberi pembiayaan.  Lantas pemberian dermasiswa dari dana keluarga ini tidak terbatas di bidang akademik sahaja tetapi meliputi apa pun bidang yang mendatangkan manfaat kepada individu tersebut, keluarganya, bangsa dan juga negara.

Bagaimanakah Dana Keluarga Ini Dibentuk?

  • Pertamanya, setiap anggota keluarga perlu yakin dana tersebut akan mendatangkan manfaat kepada keluarga mereka dan perlu memberi komitmen yang sepenuhnya. Setiap anggota juga harus sanggup bekerjasama demi kemajuan keluarga dan mereka yang diberi bantuan adalah mereka yang benar-benar memerlukannya.  Pemberian dermasiswa ini berdasarkan keperluan, bukan kemestian.  Ia juga tidak bermakna dengan adanya dana keluarga, para ibu bapa tidak lagi memainkan peranan mereka terhadap pendidikan anak-anak atau bersikap sambil lewa terhadap pembiayaan pembelajaran keluarga.
  • Kedua, perlu dilantik salah seorang anggota keluarga yang ternyata adil dan mahir sebagai pengamanah dana tersebut. Sebaik-baiknya orang yang dilantik ini mempunyai kemahiran dalam ehwal perundangan, pendidikan dan pensyarikatan dan sebagainya.
  • Ketiga, setiap anggota keluarga dimestikan memberi sumbangan yang tetap setiap bulan dan jumlah wang yang dikumpulkan dimasukkan ke dalam bank. Kadar sumbangan ini boleh ditetapkan secara minimum, misalnya $50 bagi satu anggota keluarga ataupun mengikut peratus gaji bersih keluarga iaitu di antara 5 hingga 10 peratus ataupun cantuman di antara kedua saranan ini. Mungkin andaian ini lebih boleh menjelaskan keadaan.

Misalnya sebuah keluarga terdiri daripada Encik Ali dan Cik Aminah yang telah lanjut usia.  Mereka mempunyai 5 orang anak yang telah berkeluarga. Kelima-lima orang anak ini dan/atau isteri/suami mereka (jika bekerja) dianggap penyumbang utama kepada dana keluarga.  Setiap bulan jumlah yang dikumpulkan ialah $500.00, (daripada 10 penyumbang) adakalanya jumlah ini bertambah pada bulan yang lain tetapi tidak sebaliknya.  Seandainya kelima beradik ini dan pasangan hidup mereka mempunyai anak-anak yang telah bekerja, sumbangan mereka dianggap sumbangan ke-11, 12, 13 dan sebagainya.  Rangkaian ini tidak terhad kepada satu generasi sahaja, tetapi dapat diteruskan oleh generasi-generasi lainnya selagi mereka adalah keturunan Encik Ali dan Cik Aminah atau dianggap sebagai anggota keluarga yang sah, misalnya anak angkat yang diterima secara rasmi oleh anggota keluarga.

  • Keempat, wang dana ini tidak boleh dikeluarkan untuk tujuan-tujuan lain kecuali untuk pelajaran atau yang bersangkut-paut dengannya. Misalnya, wang boleh dikeluarkan untuk menambahkan dana bagi melabur, memberi saguhati bagi anggota yang berjaya memahirkan dirinya dan tentunya untuk pembiayaan pelajaran. Jika dana ini telah mantap, mungkin dapat difikirkan berbagai cara bagi lebih memanfaatkannya dan merapatkan hubungan keluarga.

Bilakah pula wang ini boleh digunakan sebagai dermasiswa untuk anggota keluarga?  Ia hanya boleh diberi apabila seseorang anggota itu telah menamatkan pelajaran dasarnya, misalnya GCE ‘O’ atau memiliki kemahiran yang seumpama itu.  Dana ini boleh menampung pembelajarannya sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya, bergantung kepada beberapa faktor.  Anggota keluarga tersebut juga harus digalakkan mendapat biasiswa-biasiswa yang sedia ada, agar wujudnya dana keluarganya tidak pula dianggap sesuatu yang semestinya menampung pembelajarannya.  Penerima dermasiswa dari dana keluarga ini juga dimestikan memberi sumbangan yang lebih dari kadar minimum setelah dia berjaya kelak.  Pada natijahnya, yang diutamakan di sini ialah setiap anggotanya dan mereka yang berjaya akan bersama memikul tugas membantu anggota keluarga yang lain pula.

Saranan ini membuat andaian anggota keluarga itu sedia bekerjasama, berkasih sayang, mengamalkan sikap gotong-royong dalam kebanyakan hal dan tidak pula dibelenggui perasaan iri atau cemburu terhadap kejayaan anak siapapun dalam keluarga tersebut.  Kejayaan seseorang anggota keluarga dianggap melambangkan kejayaan semua keluarga Encik Ali dan Cik Aminah, misalnya.

Kesimpulan

Membentuk dana keluarga bukanlah suatu idea yang baharu ataupun di luar jangkauan kita.  Pandangan-pandangan ini boleh diperhalusi lagi agar lebih memanfaatkan keluarga yang ingin menubuhkannya.  Mungkin adalah perlu kita memikirkannya sekarang, sementara kita baru juga menjejaki tahun 1993.  Hanya 7 tahun lagi akan kita memasuki abad ke-21.  Dunia kita semakin canggih dan penghuninya perlu memiliki pelbagai kemahiran, jika mahu terus mengecapi hidup yang selesa, aman dan damai.  Pendidikan dan kemahiran tetap menjadi aset bagi seseorang insan di dalam apa pun zaman.  Dan adalah amat menyedihkan jika di tahun-tahun mendatang, anak-anak kita terpaksa menguburkan cita-cita mereka hanya kerana masalah kekurangan wang.

Ditulis: 1 Jan 1993
Tajuk Yang Disiarkan: Lebih kurang tajuk yang saya beri – potongan akhbarnya saya tersalah simpan entah di mana.
Tersiar: Ruangan Pendapat/Isu Semasa, Berita Minggu (Singapura) pada Januari 1993
Tulisan: Rasiah Halil.