Archive | August 2016

Catatan 28 Ogos 2016

1. Beberapa kejadian di dunia  seolah-olah semakin mengendurkan harapan kita. Yang paling menyedihkan mungkin bila kita melihat gambar kanak-kanak dari Syria ini yang bukan ‘a face that launch a thousand ships’ tetapi wajah yang menimbulkan sejuta keharuan.Aleppo Boy

Ada kesedihan mendalam yang tak dapat kita ucapkan – betapa dengan pelbagai peperangan, kekejaman, pengganasan dan kebencian merajalela, akhirnya yang akan mewarisi semua adalah anak cucu kita sebagaimana gambar kanak-kanak dari Aleppo, Syria ini. Bilakah perang, kezaliman, pengganasan, kebencian akan berakhir? Bilakah kita akan ‘give peace a chance’ – bukan sekadar lagu ‘The Beatles’? Siapakah saudagar-saudagar perang, permusuhan, pengganasan yang sebenarnya menangguk di air yang terlalu keruh ini?

Banyak gambar mereka yang dibaham perang dan sebagainya, termasuk bencana alam, menyayat hati kita. Salah sebuah gambar yang menimbulkan semacam kesedihan yang amat mendalam ialah gambar berikut:
IMG-20150615-WA0000
Kanak-kanak ini tidur dalam lukisan ibunya – dia kehilangan ibunya kerana perang. Hati saya luluh melihatnya dan ada lakaran-lakaran sajak yang saya tulis mengenainya tetapi belum menjadi. Ia terlalu menyayat hati.

Apakah yang bakal kita wariskan kepada kanak-kanak seperti ini? Ibunya hanya sebuah lukisan dan dia akan berasa kehilangan yang amat sangat ketika usianya semakin meningkat. Naluri saya dan ramai yang melihat dan membaca mengenai kanak-kanak pelbagai kaum, agama dan budaya yang menjadi mangsa sebegini, mahu saja saya memeluk dan mengambilnya sebagai anak angkat. Namun, bagi kebanyakan kita, keupayaan kita terbatas. Kita hanya boleh berusaha secara kecil-kecilan agar tragedi-tragedi sebegini tidak terus menerus melingkari kehidupan.

Dan di tengah-tengah ini semua, gempa bumi di Italy, Myanmar dan beberapa tempat tetap menyentak kita. Yang dapat kita bantu sebagai penghuni dunia, terbatas, namun harapan kita dengan pelbagai bencana alam dan buatan manusia ini membaham kita, mudah-mudahan kita semakin sedar bahawa nilai-nilai kemanusiaan kitalah yang menjaluri hubungan kita sesama manusia. Kalau kita semakin dipisahkan oleh kebencian dan kezaliman, betapalah akan terjadi kepada kanak-kanak dan mereka yang tidak berdaya?

2.         JS 1JS 2
Kisah Joseph Schooling banyak tersiar di media massa dan media sosial sejak beliau memenangi pingat emas di Sukan Olimpik baru-baru ini.

Memang beliau seorang yang boleh dijadikan contoh bagi anak-anak muda kita. Kesungguhan dan pengorbanannya serta ibu bapanya untuk membolehkan beliau menjadi juara boleh menjadi iktibar kepada kita, berapa pun usia kita.

Saya berharap dengan kemenangan beliau ini, Joseph akan lebih fokus dan melangkah lebih jauh dalam bidang sukan pilihannya. Dan saya juga berharap kemenangan Joseph akan membuka mata ibu bapa kita agar memberikan perhatian yang secukupnya untuk anak-anak mereka dan tidak menjadikan anak-anak mereka sekadar mengejar impian ibu bapa mereka sahaja atau diabaikan terus kehendaknya. Dan saya juga berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab akan lebih terbuka dan saksama memberi peluang-peluang yang lebih baik untuk anak jati Singapura menggilap bakat mereka – baik dalam dunia sukan atau bidang-bidang lainnya.

Joseph juga ada berkata: ‘The first one is always bloodied‘ – betapa benar ini berlaku dalam kehidupan seharian kita. Pemula atau perintis sesuatu yang baharu atau belum pernah difikirkan atau diteroka orang di sekelilingnya, selalu menerima ‘padah’nya. Orang-orang begini selalu menjadi ‘kelinci percubaan’ (guinea pigs) bagi masyarakat di sekeliling mereka bertindak selanjutnya. Dan bukan mudah menjadi ‘sang pemula’. Semoga kita sebagai masyarakat akan lebih terbuka dan saksama menghadapi banyak perkara baharu yang memanfaatkan semua dan orang-orang seperti Joseph tidak terlalu ‘terluka’ dalam proses ini.

3.           SR N 1SR N 2               SR 3

Baru-baru ini, presiden keenam Singapura, Encik S R Nathan meninggal dunia pada 22 Ogos lalu. Upacara persemadiannya diadakan pada 26 Ogos lalu. Banyak kisahnya telah pun dipaparkan di media massa dan media sosial. Saya tidak mengenali mendiang secara peribadi tetapi sebagai rakyat Singapura, saya tahu juga beberapa kisahnya yang boleh kita jadikan iktibar. Antaranya:

1. Kesungguhan mendiang memperbaiki kehidupannya setelah melalui zaman-zaman yang getir.

2. Mendiang tidak pernah lupa atau malu berasal daripada keluarga susah dan kerana itu, beliau prihatin terhadap mereka yang berkeadaan demikian. Ini bukan hanya cakap-cakap orang yang sekadar mahu tumpang semangkuk, tetapi keprihatinan mendiang bukanlah sesuatu yang dibuat-buat.

3. Kisah cintanya dengan isterinya, Cik Urmila Nandey, adalah contoh yang baik bagi mereka yang berumah tangga. Cintanya tidak berubah, walau dihalang kasta, kesukaran hidup dan lain-lain. Tidak semua orang dapat teguh mengasihi seorang sahaja sebagai pasangan hidupnya sehingga ke akhir hayat.

4. Yang paling kita terkenang mungkin keramahan Encik Nathan bersama pelbagai lapisan masyarakat dan kerendahan hati mendiang sekeluarga bersama orang lain. Ada orang berkata, mungkin mendiang sekeluarga ramah dan rendah hati kerana hidup mereka senang tetapi keadaan yang sama tidak berlaku kepada sebilangan orang yang berkedudukan serta hidup senang-lenang. Mendiang tetap orang yang sama terhadap keluarga dan orang di sekelilingnya sebelum, semasa dan setelah menjadi presiden. Kerendahan hati dan keramahan itu tidak boleh dibuat-buat; kalau kita berpura-pura terhadap hal-hal begini, akhirnya akan terhidu juga kepura-puraan kita.

Mungkin inilah antara beberapa hal yang boleh kita jadikan iktibar daripada kehidupan Encik S R Nathan. Kita doakan semoga keluarganya, terutama balunya, Cik Urmila, serta mereka yang terdekat dengan mendiang akan tabah menghadapi dugaan ini.

5. Singapura akan menyambut Hari Guru pada hari Jumaat mendatang ini (2 September 2016). Pada hari Khamis (1 September 2016), selalunya para pelajar membuat persembahan untuk para guru di sekolah-sekolah dan tiada pelajaran diadakan. Hari Jumaat pula, untuk para pelajar sekolah, guru serta kakitangan sekolah,  dijadikan hari cuti di sekolah-sekolah di Singapura.

Bagi saya, kerjaya guru ini, baik di peringkat apa pun, merupakan pekerjaan yang mulia. Sama tingginya pandangan saya terhadap mereka yang kerjayanya dalam bidang perubatan – baik sebagai jururawat, doktor mahupun kakitangan yang menceburi bidang yang berkaitan.

Banyak kenangan kita kepada sebilangan guru yang berperanan dalam kehidupan kita. Guru yang baik itu menjadi teladan bagi kita dan kita kenang sepanjang hayat kita. Dalam masukan blog saya yang lalu, saya menceritakan kisah guru-guru saya yang memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan saya dalam simpulan kerangka sebuah negara yang baru merdeka.  Masih banyak lagi guru saya yang baik hati, yang tidak saya sebutkan, walaupun ada juga saya menulis mengenai mereka dalam beberapa karya saya. Dan saya masih lagi menghubungi beberapa guru saya walaupun guru-guru saya ini sudah pun bersara.

Seorang guru bukan hanya mengajar kita tetapi guru yang baik itu mendidik kita dalam pelbagai hal. Kita beruntung bila bertemu guru-guru yang baik hati dan mempunyai integriti serta mahu melihat kita berjaya. Dikatakan seorang guru yang benar-benar baik tidak akan gusar apabila anak muridnya mendapat pendidikan yang lebih tinggi daripadanya atau lebih berjaya dalam hidupnya. Hatinya lapang dan terbuka terhadap anak-anak muridnya dan sebilangan insan yang luhur hati ini dapat melihat kebaikan dan kebolehan kita, lama sebelum kita mengesani hal-hal tersebut dalam diri kita.

Kepada semua guru – Selamat Hari Guru. Semoga anda dilimpahi keberkatan hidup dan semoga kebaikan yang anda semai dalam diri anak-anak murid anda akan merimbun menjadi ladang-ladang kebaikan untuk kemaslahatan semua.

6.  Banyak perkara akan merunsingkan kita dan menyelar-nyelar harapan kita. Dan banyak pula yang akan mengharukan kita dan membuat kita menitiskan air mata. Tetapi diselang-seli semuanya – obor harapan itu tetap menyala. Kita ingin percaya mereka yang menghamburkan kemusnahan, kezaliman, kebencian dan sebagainya tidak akan dapat melakukan ini selamanya. Percikan-percikan kemanusiaan bersama kita itu akan tetap menyala, walaupun sukar, demi menerangi perjalanan kita . Hanya sepercik harapan itu tetapi kita yakin lama-kelamaan ia tetap mencerahi kemanusiaan bersama kita.

Salam
Rasiah Halil
28 Ogos 2016.

Sajak: Darah

Darah
(Peristiwa 4 Mei 1799*)

Tidak pernah sia-sia
darah yang kautitiskan itu
walau kau kehilangan segala.
Kubu tidak dapat membentengi
rempuhan penjajah
tipu daya pembelotnya
& ketika sultanmu rebah
kerajaan Islam musnah
kautahu
telah kaucuba
pertahan maruah
bangsa
agama
walau gugur
sebagai panglima.

200 tahun setelah hancur kerajaan Islamiah
dalam arus peristiwa berbeza
darahmu merentasi lautan & benua
menanjapkan erti maruah
& tetap memusuhi
pembelot & penjajah
di bumi Allah.

Ditulis: 4 – 5 Mei 1999
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

*Mengenang datuk sebelah bapaku, yang terbunuh pada 4 Mei 1799 kerana mempertahankan negaranya.

Pupuk Golongan Intelektual Demi Kebaikan Semua [Tajuk Asal: Erti Pendidikan]

Beberapa tahun lalu Sri pernah mengajar secara sambilan di sebuah sekolah kejiranan. Salah seorang pelajar di sekolah itu banyak membuat Sri berfikir. Pelajar ini dari aliran normal, menengah lima. Bahasa Inggerisnya amat baik dan ketika komputer belum begitu berleluasa digunakan di sekolah dan rumah, dia mahir mengenainya. Selain itu, pelajar ini berpandangan jauh mengenai masa depannya baik pelajaran mahupun kerjaya. Dan pada usia 17 tahun itu, dia telah pun membuat kontrak dengan sebuah badan perniagaan komputer yang agak besar; tugasnya melakar permainan komputer. Pelajar ini dibantu oleh bapanya dalam urusan kontrak niaga dan sebagainya; dia hanya menyumbang dari segi kreatifnya. Dan beberapa minggu mengajarnya Sri dapati pelajar ini amat kreatif dan berlainan cara berfikirnya dibandingkan dengan rakan-rakan sebayanya.

Ramai di kalangan kita selalu menganggap pelajar aliran normal hanya boleh berfikiran tertentu atau pelajar aliran ekpres tentunya boleh cemerlang. Tetapi kenyataan hidup selalu menjungkar-balikkan tanggapan kita. Tiada siapa yang suka dianggap tidak ‘pandai’ dan aliran-aliran yang wujud dalam sistem pendidikan kita kadangkala mewajarkan semacam stereotaip sedemikian. Walaupun kita mungkin faham mengapa penyaluran pelajaran diadakan tetapi sesiapa yang berhubung dengan pelajar dan dunia pendidikan tentu terasa kongkongan dan kendala yang sedia ada dalam sistem sedemikian. Lantas, Sri membaca dengan penuh debar akan perubahan-perubahan yang bakal dilakukan dalam sistem pendidikan kita, demi masa depan anak-anak kita.

Pendidikan itu berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud ‘untuk mengembangkan potensi seseorang’. Dan potensi seseorang kadangkala mengambil masa yang lama untuk dikembangkan; mendidik bukan seperti menyiapkan mi segera yang ‘cepat dimasak dan sedap dimakan’ walhal ia mengandungi banyak monosodium glutamate (msg/bahan perisa) yang memudaratkan kita. Seperti semaian benih, kita terpaksa menunggu masa agar benih tadi menjadi tumbuhan, membesar, berakar tunjang, berbunga dan berbuah untuk kehidupan. Kita juga harus mengadakan prasarana yang memberangsangkan pertumbuhan; tanah yang baik, baja, air, sinar matahari, karbon dioksida dan perlindungan daripada pelbagai penyakit pokok dan serangga. Dan tiap benih itu berpontensi menjadi pohon yang teguh dan tegap kalau ia diberi masa dan dipupuk sedemikan.

Kini sering kedengaran bahawa kita harus berfikir ‘di luar kotak’: daripada kebiasaan-kebiasaan yang kita telah terbiasa, terutama dalam pendidikan. Meneruskan cara berfikir yang statis tidak akan membantu kita mengembangkan lagi potensi anak-anak kita. Tetapi kita harus pandai pula membezakan apa yang dianggap ‘tempelan’ dan apa pula yang dianggap ‘teras’ dalam pendidikan. Seandainya kita mudah tertawan dengan gimik (gimmick) tetapi terlupa tujuan sebenar sesebuah sistem pendidikan, manfaatnya tidak akan dinikmati oleh anak-anak kita. Perlumbaan terhadap gimik tadi bagaikan permainan tikus putih dengan roda: putarannya di situ saja dan kita masih terperangkap dalam kepompong lama dan tiada perubahan sebenar yang berlaku di kalangan kita.

Sri selalu teringat bahawa Albert Einstein, saintis yang mengemukakan teori relativiti yang banyak mempengaruhi dunia fiziks, tidak boleh bercakap sebaiknya sehinggalah umurnya 9 tahun. Dalam sistem pendidikan kita, seorang sepertinya akan kita anggap gagal dan disalurkan ke aliran tertentu, walhal potensinya akan terbantut jika perkara itu berlaku. Dan dalam kita gemar mengejar angka dan statistik dan mudah menganggap kejayaan dengan nombor wahid saja, kita seringkali terlupa dunia pendidikan itu amat berhubung rapat dengan manusia yang kita didik.

Manusia bukanlah mesin dan betapa mahir pun mesin nanti meresap ilmu-ilmu teras dalam bidang psiko-motor (pergerakan), afektif (perasaan) dan kognitif (pemikiran) tidak sama dengan manusia yang sering boleh menakjubkan kita. Sri rasa mendidik manusia bukanlah pekerjaan enteng dan sistem yang kita wujudkan juga perlu diteliti dari masa ke semasa kerana kenyataan hidup memerlukan kita berbuat demikian. Zaman Sri membesar, tahun 60-an dan 70-an, banyak penekanan dalam bidang sains dan teknikal dalam sistem pendidikan kita dan kini penekanannya berbeza pula. Namun di antara beberapa teras pendidikan yang baik: meresap sebilangan ilmu penting, menghargai pengetahuan, beradab dan menjadi insan yang baik dalam pergaulan sesama insan dan sebagainya, tidak harus pula diabaikan.

Sri bertemu dengan pelbagai jenis orang dalam kerjaya Sri. Ada yang begitu cemerlang dari segi pendidikan tetapi kurang adab berhubung dengan manusia lain dan tiada EQ (emotional quotient) langsung. Ada yang hanya mengejar ‘kertas’ tanpa menghargai ilmu atau benar-benar mahir dalam bidangnya. Dan tidak kurang pula yang tanpa ijazah atau pendidikan tinggi kerana sebab-sebab tertentu, tetapi pengetahuannya amat mendalam mengenai satu-satu bidang. Mahaguru Sri dulu ingatkan: ada perbezaan di antara inteligensia dengan intelektual. Sesiapa yang mendapat pendidikan dianggap inteligensia tetapi intelektual itu bukan sekadar orang yang ada ijazah saja. Dan sistem pendidikan kita, dalam memenuhi kehendak baharu zaman dan negara, harus pula membajai juga tumbuhnya golongan intelektual demi kebaikan semua.

Ditulis: 30 Januari 2002
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 10 Februari 2002
Tajuk Asal: Erti Pendidikan
Tulisan: Rasiah Halil.

Usah Lupa Adab Ketika Perluas Rangkaian [Tajuk Asal: Salahguna Rangkaian Dan lain-lain]

Dalam dunia perniagaan, para peniaga digalakkan membina rangkaian atau networking. Ini selari dengan amalan perniagaan bahawa tiap pertemuan itu mungkin melorong ke arah perniagaan. Ini tidak bermakna kita harus berhubung dengan cara yang tanpa adab atau integriti. Dilihat daripada perspektif yang positif, networking seharusnya memanfaatkan kedua-dua pihak yang menjalankan sesuatu perniagaan. Tapi jika disalahgunakan, ia boleh menimbulkan gejala-gejala negatif seperti ‘mengipas’, ‘mengampu’ dan sebagainya.

Senario ini mungkin telah anda temui. Anda bersama seorang rakan yang ada bisnes sendiri. Dia terjumpa seorang kenalan lama yang juga ada bisnes. Mereka bercakap dan melibatkan anda dalam percakapan mereka. Di akhir pertemuan itu, kenalan rakan anda tadi memberi kadnya bukan hanya kepada rakan anda malahan kepada anda juga, walaupun anda tak ada kena mengena dengan dunia niaga mereka atau dunia niaga secara umum. Dia melakukan itu kerana adab; anda telah bersamanya sejak tadi takkanlah diberi kadnya kepada rakan anda dan tidak pula kepada anda. Selain ini, secara tidak langsung dia juga meluaskan networkingnya. Yang ketara, orang ini tidak pula memandang ‘rendah’ kerana anda mungkin tidak akan memanfaatkannya dari segi bisnes.

Sekarang bayangkan senario yang sebaliknya. Anda bersama rakan anda yang mempunyai bisnes atau kedudukan tinggi. Dalam sibuk anda berbual, seseorang tiba-tiba mendekati rakan anda. Rupa-rupanya orangnya memang anda berdua kenal. Tetapi kerana rakan anda ada kedudukan yang boleh dimanfaatkan orang ini, dia hanya bercakap dan memberi kadnya kepada rakan anda dan berlagak seolah-olah tidak begitu mengenali anda. Yang difikirkan ialah membina rangkaian; yang dia lupakan ialah adab berhubung di antara manusia dan kesopanan. Dan anda teringat satu masa dulu ketika bidang kerja anda dianggap membawa semacam status, orang yang sama ini sanggup menyeberang jalan hanya untuk berkata ‘hai’ kepada anda! Ternyata makna sebenar membina rangkaian bagi orang sebegini hanya sekadar dorongan kepentingan; unsur kemanusiaan itu bagai terpinggir di tepi jalan.

Mengapa Sri berpanjang lebar pasal ini ? Kerana nampaknya gejala ini agak menonjol di kalangan kita kini. Networking banyak disalahgunakan sehingga tiap orang yang kita berhubung’ kita hanya melihat apakah manfaat yang boleh kita dapati daripada orang tersebut. Soal persaudaraan, persahabatan atau sekadar adab hubungan kemanusiaan boleh saja diketepikan atau dijadikan nilai dagangan. Semua bagaikan suatu transaksi. Kadangkala perbuatan orang-orang sebegini begitu tanpa segan silu. Ketika anda memegang sesuatu jawatan/kedudukan yang boleh memanfaatkan mereka, bukan main mereka mendekati anda tetapi bila anda diberi tugas yang berbeza, walaupun masih di dalam satu jabatan, tetapi mungkin kurang memanfaatkan mereka, dengan cepat tegur sapa mereka kepada anda menjadi semakin ringkas dan sedikit demi sedikit hilang. Dan bila tugas lama anda itu anda jawat kembali, mulalah mereka merapati anda.

Satu lagi gejala yang berhubung dengan gejala negatif ini disebut name-dropping. Memang dalam beberapa bidang pekerjaan, ada di antara kita tentunya mengenali ramai orang. Demikian juga mereka yang berpengalaman luas. Tetapi bezanya, orang yang suka lakukan name-dropping akan cuba menonjolkan ‘kehandalan’nya melalui siapa yang dia kenal, walaupun orang yang dikenal itu sekadar sepintas lalu. Lebih ramai orang ternama yang dia ‘kenal’ tentulah dia lebih hebat. Orang begini juga akan sedia menonjol-nonjolkan diri mengenai misalnya acara-acara yang telah dia libati, tempat-tempat yang dia lawati, buku-buku yang dia baca, tokoh-tokoh yang menjadi kawan-kawan rapatnya, segala ‘pencapaian’nya dan lain-lain. Bezanya orang-orang yang tiada kompleks begini, kalaupun dia berkata dia kenal si polan tokoh tertentu, atau menghujahkan idea ilmiah atau tempat-tempat yang dia terdidik atau lawati, semua disampaikan bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk menjelaskan fakta. Ilmunya mungkin lebih daripada kita tetapi lagaknya tidak seperti orang yang ada kompleks tadi.

Kawan-kawan Sri ada yang berkata, kadangkala tak tahan bekerja dengan orang yang berkompleks name-dropping/networking begini. Baru saja turun tanah misalnya dia anggap dia dah boleh jadi panglima. Baru sikit-sikit bantu misalnya bidang fotografi, dia anggap dia dah pakar. Semua soroton /angle dalam bidang fotografi tadi kononnya dia tahu walhal yang lebih tahu kadangkala segan nak membebelkan kepada khalayak tentang kebolehan mereka. Mungkin gejala ini ada kaitan dengan teknologi canggih – semuanya serba cepat dan sesiapa pun boleh mengisytiharkan ‘kebolehan’diri masing-masing walaupun apa yang sesetengah anggap ‘kebolehan’ itu sebenarnya seperti kata orang Jawa: tidak berbobot dan sekadar omong kosong saja.

Sri yakin masa nanti adalah penilai sebenar dan akan menunjukkan siapa sebenarnya ‘kaca’ dan siapa pula ‘permata’ walaupun networking dan name-dropping yang dilakukan sesuatu pihak begitu hebat sehingga tak tahan kita dibuatnya.

Ditulis: 12 Jun 2001
Tajuk Asal: Salahguna Rangkaian Dan Lain-lain
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 24 Jun 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Dua Karya Lelucon Terbaharu

Malay Folklore A Contemporary Retelling By D RuseEh! Wat Yu Talking Chronicles of Malay Humuor By Syed Ali Tawfik Al-Attas

Pengenalan

Sebilangan kita membesar dengan cerita-cerita jenaka, binatang dan pelbagai karya tradisional kita. Siapakah yang tidak akan teringat kisah-kisah Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang, Pak Kaduk, Si Tenggang selain kisah-kisah Sang Kancil, Bayan Budiman serta beberapa kisah purba seperti Singapura Dilanggar Todak, Badang, Raja Bersiung dan sejumlah cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam? Sebahagian cerita-cerita ini mengandungi lelucon tulen, tetapi ada juga diselitkan unsur ironi dan pelbagai pengajaran untuk pembacanya.

Selain terdapat beberapa komik, buku dan kajian mengenai kisah-kisah silam ini, terdapat juga filem, animasi dan telemovie yang berdasarkan cerita-cerita ini. Generasi demi generasi perulangan cerita-cerita ini selalu mencuit hati dan fikiran kita kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kenangan bersama kita. Dan cerita-cerita sebegini bukan hanya terbatas kepada masyarakat Melayu sahaja.

Dua Buah Karya Lelucon Yang Terbaharu

Baru-baru ini saya diberi dan terjumpa di perpustakaan dua buah buku yang merakamkan beberapa cerita purba kita, tetapi dengan sedikit pembaharuan. Buku yang pertama, Malay Folklore A Contemporary Retelling oleh D Ruse, terbit di United Kingdom pada 2007, mengandungi 10 cerita iaitu cerita-cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, ‘Bawang Putih, Bawang Merah’, ‘Puteri Gunung Ledang’, ‘Raja Bersiung’, ‘Si Tenggang’, ‘Pak Pandir’, ‘Si Luncai’, ‘Badang’, ‘Angan-angan Mat Jenin’ dan ‘Singapura Dilanggar Todak’. Cerita-ceritanya ditulis ringkas dan inti ceritanya umumnya sebagaimana yang diketahui. Bezanya, penulis buku ini, D Ruse, yang besar kemungkinannya ialah nama pena penulis Melayu atau Malaysia atau mungkin juga penulisnya orang Barat yang mendalami bidang kesusasteraan Melayu atau sekurang-kurangnya mengenali masyarakat Melayu, memberi ‘tafsiran kedua’ (second take) kepada cerita-cerita yang dimuatkannya. Lantas, terdapat dua versi cerita-cerita yang kita ketahui ini.

Misalnya cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, kita maklumi bahawa di akhir cerita si ibu ditelan batu belah batu bertangkup kerana terkilan dan merajuk tidak dapat makan telur ikan tembakul. Tetapi dalam second take cerita ini, D Ruse memberi versi yang begitu kontemporari. Ketika sang ibu hampir ditelan batu belah batu bertangkup, anak perempuannya menghalangnya kerana dia boleh mendapatkan telur ikan tembakul yang telah dimakan oleh adiknya dan dia. Bagaimanakah caranya? Senang sahaja, si anak tadi melalui SMS telefon bimbitnya telah mendapatkan telur yang lebih baik, caviar Beluga, dari sebuah pasar raya. Justeru, ibunya tidak jadi masuk ke batu belah batu bertangkup sebab akan mendapat telur tembakul yang lebih tinggi grednya!

Cerita ‘Raja Bersiung’ pula diberi second take yang tidak kita sangka-sangkakan. Sebagaimana yang kita ketahui, Raja Bersiung mendapat siungnya melalui makanan yang tercampur darah daripada luka jejari tukang masaknya. Kerana terbiasa dengan makanan sebegini, setiap hari makanannya terpaksa dicampur darah rakyatnya agar enak dimakannya. Ini menyebabkan sang raja itu bersiung (bertaring). Perbuatannya kemudian diketahui oleh rakyat jelata.

Dalam second takenya, Raja Bersiung lari daripada rakyat yang memberontak. Dia menaiki teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan berakhir di Eropah. Raja Bersiung kemudian mengikat kontrak sebagai pelakon gantian (stand-in) bagi Christopher Lee dalam filem ‘Count Dracula’. Walaupun filem-filem Dracula ini mencapai taraf box office, Raja Bersiung kecewa kerana dia hanya menjadi pelakon gantian dan tidak mendapat darah yang mencukupi untuk keperluannya. Lantas, dia memilih kerjaya baharu; mengunjungi bank-bank darah dan menjadi pembantu makmal bank darah secara sukarela. Dengan ini keperluan darahnya dipenuhi dan tiada siapa yang akan tahu jika sepaket dua darah hilang dalam simpanan bank darah!

Kisah budak bijak bernama Nadim dalam cerita ‘Singapura Dilanggar Todak’ juga diberi pembaharuan yang lucu. Nadim tidak jadi dibunuh kerana kepandaiannya menyelesaikan masalah serangan todak ke Singapura purba, sebagaimana yang kita ketahui. Tetapi kerana dia bijak, dia pun mengakalkan sultan agar menyetujui suatu cadangan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak, apa yang kini disebut sebagai ‘keadaan menang-menang’ (win-win situation). Nadim dan Raja Singapura membuka restoran bernama ‘The Royal Satay & Swordfish Steak House’ yang pada mulanya dibuka di Shenton Way. Pada tahun 2006, restoran ini terdapat hampir 10000 cawangan di Asia dan Eropah! Dan siapa kata Nadim tak bijak?

Buku lelucon kedua berjudul Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour, diterbitkan oleh MPH pada 2007 dan ditulis oleh Syed Ali Tawfik Al-Attas, pengarah besar Institut Kefahaman Islam Malaysia. Tidak seperti yang kita sangkakan, buku ini tidak berisi kisah-kisah agama; Syed Ali Tawfik menyerlahkan peribadinya yang lucu, dan bukannya yang serius sebagai seorang sarjana, seperti yang kita maklum mengenai diri beliau. Sebilangan cerita ini kita pernah membacanya walaupun cara penulisan Syed Ali Tawfik tetap mencuit hati kita.

Kisah seorang watak lucu yang pandai merakamkan pelbagai cerita suka duka kehidupan dan bijak pula memberi iktibar melalui kejahilan, kebijaksanaan dan kadangkala kerana keadaannya yang sedia ada, bukan pula terbatas kepada dunia kita sahaja. Dalam dunia kesusasteraan Arab ada watak sedemikian yang dipanggil ‘Johar/Juha’; di kalangan mereka yang berbahasa Parsi terdapat watak yang dinamakan ‘Mulla Nasruddin’ dan di kalangan orang berbahasa Turki watak sedemikian dinamakan ‘Hoca Nasruddin’. Syed Ali Tawfik memilih watak Pak Pandir dan kawan-kawannya seperti Pak Mat, Pak Him dan Pak Su untuk menyampaikan cerita-cerita yang pernah beliau dengari daripada keluarganya, yang kita sedia maklum daripada kisah-kisah Pak Pandir dan kisah-kisah lucu lainnya dan juga cerita-cerita baharu untuk tatapan kita. Cerita-ceritanya kelihatan biasa sahaja tetapi cara penceritaannyalah yang membuat kita selalu tidak gering gusi apabila membacanya. Beliau banyak ‘mengusik’ kita dalam 79 kisah yang dimuatkan dalam buku leluconnya ini. Terdapat juga ilustrasi yang menarik mengiringi sebahagian besar cerita-ceritanya. Ilustrasi-ilustrasi ini dilukis oleh E. Yu.

Salah satu ceritanya mengenai seorang lelaki yang menghadapi masalah botak di kepala. Pak Pandir memberi penyelesaian: larutkan dua teh sudu garam dalam air dan sapukan di tempat yang terjejas. Ini harus dilakukan sebanyak lima kali sehari selama seminggu. Orang tersebut mematuhi arahan Pak Pandir tetapi masalahnya tidak juga selesai. Rambutnya tetap gugur dan tempat-tempat yang disapu larutan garam itu semakin tegang dan gatal. Bila dia bertanya Pak Pandir mengapa penyelesaian sedemikian yang diberinya, jawapan Pak Pandir ternyata meleset: dengan menyapu air bergaram di tempat-tempat yang terjejas, pada pendapat Pak Pandir, akar anak-anak rambut itu akan menjadi ‘haus’ lantas keluar dan tumbuh di kepala lelaki tersebut!

Satu lagi cerita berkisar kepada soal kuali yang beranak. Pak Pandir meminjam kuali jirannya dan kemudian memulangkan kuali tersebut bersama sebuah kuali yang kecil. Bila jirannya bertanya mengenai penambahan jumlah kuali yang dipulangkan, Pak Pandir berkata bahawa kuali yang dipinjamkan kepadanya dahulu telah ‘beranak’, lantas kuali kecil itu adalah hak jirannya. Beberapa ketika kemudian, Pak Pandir sekali lagi meminjam kuali jirannya. Kali ini dia tidak memulangkannya. Apabila jirannya meminta kualinya dipulangkan, Pak Pandir hanya mengucapkan takziah. Mengapa digucapkan takziah, kerana kualinya jirannya sudah ‘mati’. Jirannya enggan menerima penjelasan Pak Pandir: jirannya boleh menerima kualinya ‘beranak’ (sesuatu yang menguntungkan) tetapi enggan menerima kualinya boleh ‘mati’ (sesuatu yang merugikan), menjelaskan dengan lucu betapa tabiat sesetengah kita sebenarnya.

Satu lagi kisah ialah mengenai jiran Pak Pandir yang bersungut kerana rumahnya begitu sempit dengan isteri, empat orang anak dan ibu mertuanya tinggal bersamanya, lantas meminta nasihat Pak Pandir. Penyelesaian Pak Pandir: masukkan tujuh ekor ayam peliharaannya ke dalam rumahnya. Pak Pandir tahu jirannya akan berterima kasih kerana penyelesaian yang diajukannya. Ini dilakukan oleh jirannya tetapi semua ahli keluarganya bersungut kerana rumah semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir seterusnya: masukkan pula kerbau peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhi arahannya dan semakin bersungut kepada Pak Pandir kerana rumahnya semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir selanjutnya: masukkan pula tiga ekor kambing peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhinya tetapi bersungut keesokan hari kerana keluarganya sukar melelapkan mata dan rumahnya menjadi teramat sempit. Dan kini Pak Pandir memberi penyelesaian yang terakhir kepada jirannya: keluarkan semua binatang peliharaannya daripada rumahnya. Keesokan harinya jiran Pak Pandir mengucapkan terima kasih kerana menyelesaikan masalahnya: rumah yang dihuni oleh isteri, ibu mertua, empat orang anak dan dirinya terasa luas dan selesa. Betapa berbeza sesuatu masalah, menurut Pak Pandir, jika dapat melihatnya daripada perspektif yang berbeza dan pandai memahami keadaan kita sebenarnya!

Satu lagi kisah yang ditulis Syed Ali Tawfik menceritakan bagaimana Pak Pandir berkebun di kebun semangkanya. Setelah beberapa jam berkebun, Pak Pandir berehat di bawah sebatang pokok kelapa. Dia terfikir dan seolah-olah berkata-kata kepada Allah: mengapa semangka yang begitu besar dan berat ditumbuhkan pada tanaman melata yang dahan dan rantingnya lembut sedangkan buah kelapa yang kecil ditumbuhkan pada pokok dan dahan yang kukuh? Tiba-tiba sebiji kelapa jatuh ke atas kepala Pak Pandir. Mengalami itu, barulah Pak Pandir faham akan kemahaluasan pengetahuan Allah. Andainya buah semangka yang terjatuh ke kepalanya, besar kemungkinan Pak Pandir kita tiada lagi di dunia!

Kesimpulan

Kedua-dua buku terbaharu ini memang boleh mencuit hati dan fikiran kita. Walaupun kisah-kisah lucu kita telah banyak dibukukan, termasuk buku Pak Pandir Moden tulisan penulis veteran kita, MAS, namun inilah kali pertama ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Anak remaja, selain mereka yang menggemari kisah-kisah begini, mudah mengikuti cerita-cerita ini. Ia merakamkan yang silam tetapi juga menjentik keadaan semasa dengan lucu dan sesekali penuh iktibar.

Selamat membaca.

Ditulis: 7 November 2007
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada November 2007
Tajuk Asal: Dua Karya Lelucon Terbaharu
Tulisan: Rasiah Halil.

13 -14 Ogos 2016 – Beberapa Catatan Tertunda


[Lagu daripada filem ‘Tere Ghar Ke Samne’ lakonan Nutan dan Dev Anand]

1. Saya ingin menulis dan memasukkan beberapa entri ini sebelum Hari Kebangsaan Singapura pada 9 Ogos lalu tetapi terhalang. Saya disibukkan oleh beberapa hal, terlalu penat dan kesihatan saya juga tidak sebaiknya.

2. Saya titipkan lagu daripada filem ‘Tere Ghar Ke Samne’ ini kerana beberapa sebab. Filem ini saya tonton mungkin pada tahun 1964 atau 1965. Ceritanya biasa-biasa sahaja tetapi saya gemari lagu-lagunya dan saya suka pelakon Nutan. Pada zaman itu, menonton filem Hindi menjadi sebahagian kegemaran masyarakat Melayu-Islam Singapura. Dan siaran Radio Singapura, bahagian Tamil, menyiarkan lagu-lagu Hindi setiap hari selama sejam pada jam 4 petang (sekarang, saya diberitahu, waktu siarannya di Singapura ditukar pada jam 2 petang). Walaupun sebilangan kita tidak memahami bahasa Hindi, tetapi kita suka mendengar lagu Hindi dan menonton filemnya. Saya hanya menonton wayang apabila dibawa oleh keluarga saya pada usia muda itu.

3. Pada 1964, ketika saya di Darjah 2, di Dunman Primary English School, berlaku apa yang dikatakan rusuhan kaum pada 21 Julai. Sebagai kanak-kanak saya tidak begitu faham istilah ini. Saya baru sahaja menetap dengan keluarga saya di Kampong Wak Tanjong ketika itu. Rumah kami rumah berek yang dihuni orang-orang Melayu dan ada tukang dobi yang terdiri daripada orang-orang Tionghoa. Di hadapan rumah berek kami ada rumah berek yang dihuni orang-orang Tionghoa. Seorang daripada mereka, membawa ‘pakwanca’ (kereta privet) yang membawa kami ke sekolah. Bertentangan rumah saya ada sebuah topekong (Chinese temple). Saminya tinggal bersendirian dan menyayangi kanak-kanak. Beliau membenarkan kami (kanak-kanak di daerah kampung itu) bermain-main di perkarangan topekongnya. Malah, beliau sesekali memberi kami yang bermain-main, buah-buahan – yang tidak disembahyangkannya.

Rumah berek tempat saya menginap dan topekong itu menjadi semacam garis sempadan – berdepa dari itu, terdapat rumah-rumah yang dihuni orang-orang Tionghoa. Menyeberang dari rumah berek kami, terdapat rumah-rumah Melayu, ada kedai kopi Tionghoa dan ada kedai kaka (kedai runcit kelolaan orang India Muslim dari India). Ada sebuah balai rakyat, ada masjid yang sedikit jauh dan ada sebuah lagi topekong.

Semasa rusuhan kaum 1964 itu, ibu bapa dan adik bongsu saya berada di luar negara. Ibu bapa saya menguruskan perkahwinan abang sulung saya, daripada perkahwinan pertama bapa saya. Ibu abang sulung saya meninggal dunia semasa beliau kecil dan beliau turut dibesarkan oleh ibu saya. Semasa rusuhan itu, nenek saya yang menetap di rumah keluarga saya untuk menjaga kami.

Kerana rasa takut, untuk beberapa waktu kami berulang-alik ke rumah seorang yang dianggap penghulu kampung – rumahnya rumah panggung yang besar – sehingga keadaan semakin selamat. Tiada apa-apa kejadian buruk yang berlaku; yang ada cuma huru-hara yang dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti golongan samseng di beberapa tempat. Tetapi di kalangan jiran-jiran kami – orang-orang Melayu dan Tionghoa, tiada apa-apa yang berlaku.

Di sekolah, kerana takut perintah berkurung (curfew) akan berlaku atau berlanjutan di masa-masa lain, para pelajar disuruh membawa makanan dalam tin untuk disimpan di sekolah. Kami juga diberitahu, ada kemungkinan kami harus bermalam di sekolah. Sebagai kanak-kanak kami tidak begitu faham apa sebenarnya berlaku tetapi begitu teruja kerana mungkin akan berkhemah dan bermalam di sekolah. Keinginan untuk bermalam di sekolah itu tidak berlaku pada 1964.

3. Pada 1965, semasa di Darjah 3, guru kelas saya bernama Miss Sally Tan, seorang kacukan Tionghoa-Serani. Wajahnya, bagi saya, seperti pelakon Nutan. Beliau bersahabat baik dengan guru bahasa Melayu saya, Cikgu Rafeah Hussein. Kami jangkakan mereka mungkin sudah lama bersahabat iaitu sejak di bangku sekolah. Miss Sally Tan menyayangi murid-muridnya, apa pun bangsa mereka. Beliau melantik saya sebagai pengawas kelas (monitress). Inilah gambar-gambar kelas saya pada tahun 1965: Ms Sally Tan (later Mrs Sally Chua) 1965With Ms Sally Tan (laer known asbMrs Sally Chua) and Cikgu Rafeah Hussein 1965
[Gambar-gambar Darjah 3, 1965, Dunman Primary English School bersama Miss Sally Tan dan Cikgu Rafeah Hussein.]

Pada 1965 itu, Miss Sally Tan jatuh sakit dan tidak dapat mengajar kami buat beberapa waktu. Ada juga guru-guru lain datang ke kelas saya untuk bantu mengajar dan ada masanya tiada guru yang hadir. Sebagai pengawas kelas, saya terpaksa menjaga kelas saya agar tidak membuat bising. Saya ingat ada seorang murid, namanya W., yang selalu membuat bising apabila guru tiada dalam kelas. Bingit saya terpaksa memikirkan cara agar W. tidak terlalu membuat bising. Umur saya baru 9 tahun, apalah yang saya tahu.

Setelah Miss Sally Tan pulih dan mula mengajar, baru beliau tahu bagaimana keadaan kelasnya dengan ketiadaannya. Beliau tahu kesukaran saya dan memanggil saya bertanyakan sama ada saya okey. Tentunya saya okey ketika itu. Dan saya ingat guru saya ini bergurau – kenapa saya tidak melawatnya semasa beliau sakit. Saya tidak tahu menjawab apa, hanya tersenyum dan gembira guru saya sudah sembuh dan dapat mengajar kami. Pada akhir tahun itu, guru saya menyuruh saya memilih sebuah buku dalam perpustakaan kelas kami dan beliau berikan buku itu kepada saya. Bukunya: The Pied Piper of Hamelin . Saya masih simpan buku ini dan inilah tulisan guru saya dalam buku tersebut:Book gift

4. Kenangan saya kepada Miss Sally Tan bukanlah kerana hal ini sahaja. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan diisytiharkan sebagai negara berdaulat pada 9 Ogos 1965, kemungkinan ketegangan kaum dan rusuhan boleh berlaku, walaupun ia tidak berlaku. Terdapat juga guru-guru dan para pelajar yang dikocakkan ketegangan tersebut. Di kalangan kanak-kanak, kalau mereka bercakap hal perkauman, tentulah mereka sendiri tidak begitu tahu. Tetapi terdapat segelintir guru lelaki yang menjadikan murid-murid bahan sasaran mereka – mengata, malah menghina, murid-murid ini yang bukannya satu kaum dengan mereka. Di tengah-tengah ini semua, terdapat guru-guru yang lebih prihatin. Miss Sally Tan merupakan guru yang paling mengambil berat mengenai isu perkauman ini dalam kelas saya. Dengan pelbagai cara beliau menunjukkan isu itu tidak perlu dibesar-besarkan dan kerana beliau ternyata menyayangi kami, selaran-selaran yang melukai itu dapat dirawat sebaiknya.

Pada akhir 1965, guru saya berumahtangga dan menjadi Mrs Sally Chua. Kami telah berkali-kali bertemu suaminya, ketika itu mereka belum berumahtangga, membawa guru kami pulang dengan skuter Vespanya. Kami merupakan pelajarnya yang terakhir kerana setelah berumahtangga, guru saya tidak lagi mengajar (setahu saya).

Bila ada isu-isu perkauman diluap-luapkan, saya selalu terkenangkan guru saya ini. Dan Nutan akan selalu mengingatkan saya kepadanya. Selain nenek saya dan beberapa orang yang lain, Miss Sally Tan akan selalu mengingatkan saya bahawa memahami dan menyayangi itu lebih bermakna dan hal-hal perkauman yang menyelar akan hanya menghangusi segala kebaikan yang ada.

5. Selain Miss Sally Tan, terdapat beberapa orang guru lagi dalam hidup saya yang menunjukkan teladan yang baik bagi isu keharmonian kaum dan keprihatinan terhadap sesama insan. Dari sekolah rendah, menengah,posmenengah dan universiti , saya temui insan-insan yang berhati mulia ini,  di tengah-tengah mereka yang suka memilih bulu dan kasih. Membaca beberapa tulisan saya mengenai zaman persekolahan saya, anda pasti terbaca mengenai mereka – yang terdiri daripada pelbagai kaum. Demikian juga dalam kalangan saudara dan sahabat saya.

Salah seorang yang sukar saya lupakan ialah guru Sastera Inggeris dan Kertas Am saya semasa saya menuntut di kelas praUniversiti di Tanjong Katong Girls School/TKGS. Kerana beberapa masalah yang saya hadapi (bukan masalah pelajaran atau cinta), saya ingin berhenti sekolah. Surat pemberhentian sekolah sudah pun saya dapatkan ketika itu. Guru saya, Miss Tan Siok Hoon, yang ketika itu tidak lagi menjadi guru kelas saya (form teacher), agak terkejut mendengar berita saya. Beliau menelefon saya dan memujuk saya berjumpanya di TKGS, Domestic Science Block. Miss Tan meluangkan masa yang lama bercakap-cakap dengan saya agar saya meneruskan pelajaran saya. Saya tersentuh dengan keprihatinannya dan akhirnya, setelah menimbangkan pelbagai hal, saya meneruskan pelajaran saya di sekolah lain. Saya kemudian menulis sebuah sajak sebagai ucapan terima kasih saya kepada guru saya ini dan ia disiarkan dalam akhbar petang berbahasa Inggeris, New Nation, pada 1974.

Ms Tan Siok Hoon (later known as Mrs Fernando) 1974
[Guru saya di TKGS, 1974, Miss Tan Siok Hoon/S.H.Tan, yang kemudian menjadi Mrs Fernando.]

Arigato
(For S.H.T.)
Once I thought I could
revolutionise my little world
with a semi-naked ideology:
opt out of this materialistic lane
& seek solace in socialistic avenues.

Once too I almost lost
my convictions & hopes in living
because external forces were more caustic
than my dilapidated dreams & beliefs.

But like a saviour, you’ve incisively
compelled me to confront reality
armed with cogent reasoning
& a little understanding
you convinced me several times that:
“Life is worth trying.”

Now, after those shots of the present
& doses of reality
you’ve revived my dreams
armoured my convictions & beliefs
therefore in gratitude
I want to say this again:
arigato
for everything.

Written: 3 October 1974
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapore
Published: New Nation (Newspaper), October 1974
Written By: Rasiah Halil.

Mungkin guru saya tersentuh membaca sajak tersebut. Beberapa buah sajak berbahasa Inggeris saya tersiar di akhbar New Nation ketika itu dan juga di Prospect Magazine (terbitan Kementerian Pelajaran Singapura). Miss Tan Siok Hoon mengambil salah sebuah sajak saya yang tersiar di New Nation, berjudul ‘For Father’ dan menyiarkannya dalam buku tahunan TKGS 1974 atau awal 1975, ketika itu saya tidak lagi bersekolah di TKGS.

Saya dengar khabar guru saya ini telah berhijrah tetapi saya yakin, di mana pun beliau berada, beliau seperti insan yang saya kenal dahulu – seorang yang terbuka menerima orang lain walaupun orang tersebut berlainan bangsa dan agama daripadanya.

6. Anda telah banyak membaca mengenai nenek yang membesarkan saya – beliaulah guru pertama saya yang mengajar saya agar berbangga secara sihat dan positif terhadap warisan dan keturunan saya (saya berdarah kacukan) dengan tidak merendahkan warisan dan keturunan orang lain. Hidupnya sendiri adalah lambang keterbukaan hati dan penerimaannya terhadap orang lain – daripada membesarkan anak-anak angkat berketurunan Tionghoa, ahli keluarga yang berketurunan berlainan, sehingga sahabat dan jiran tetangga yang sedemikian. Nenek saya boleh berbahasa dalam beberapa dialek Tionghoa dan boleh juga berbahasa Tamil dan sahabat handainya berbilang kaum. Beliau menyayangi orang dan berhati lapang dan walaupun melalui pelbagai liku hidup, beliau tetap melihat kehidupan dengan harapan tanpa menjadi sinis atau pahit terhadap manusia dan kehidupan.

Di tengah-tengah kehidupan kita kini yang diancam pengganasan, isu perkauman tegar, peperangan, kezaliman, penganiayaan, orang-orang seperti nenek saya, guru-guru saya dan orang-orang berhati mulia seperti itu akan selalu menjadi semacam kompas untuk meneruskan pelayaran hidup kita dengan sebaiknya. Memang mudah membina tembok dan betapa sukar membina jambatan tetapi sebilangan guru saya, nenek saya, kaum keluarga dan sahabat handai yang saya kenal telah menunjukkan iktibar yang baik . Demikian juga anda dengan pelbagai kenangan anda menghadapi isu-isu sebegini.

Ketika banyak perkara bagaikan menyelar-nyelar harapan kita, akhirnya kita mencari kekuatan dalam sejarah dan orang-orang yang kita kenal dan sayang. Kita tidak perlu retorika kerana ia tidak membantu. Yang kita perlukan adalah hati yang luhur, terbuka dan sedia dipenuhi dengan unsur-unsur kebaikan yang menjadikan kita insan dan makhluk yang sebaiknya dengan sesama insan dan makhluk – apa pun bangsa, agama, negara dan warisan mereka. Akhirnya antara warisan terbesar kita ialah warisan kemanusiaan bersama kita.

Salam
Rasiah Halil
13 -14 Ogos 2016.

Catatan 13 Ogos 2016: Joseph Schooling Kebanggaan Kita

JS 1JS2

Pagi tadi saya tundakan ke pasar kerana ingin menyaksikan Joseph Schooling bertanding dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu dalam Sukan Olimpik di Rio. Waktunya: 9:12 pagi, waktu Singapura. Seperti kebanyakan warga dan penghuni Singapura, saya berdebar-debar bila acara ini dimulakan. Dan seperti kebanyakan mereka, walaupun tidak didengari Joseph, saya asyik berkata ‘come on, Joseph’ berkali-kali. Dan bila beliau sampai di garis penamat, mencatatkan masa 50.39 saat, memecahkan rekod Olimpik  dan diisytiharkan sebagai pemenang pingat emas – yang pertama bagi Singapura, air mata saya berlinang. Saya terkenangkan lagu ‘Semoga Bahagia’ ciptaan Pak Zubir Said:

‘Capailah lekas cita-cita
pemudi pemuda
supaya kita ada harga
di mata dunia…’

Hari ini, Joseph Schooling telah memberi rasa harga diri itu untuk kita di mata dunia.

Saya bangga dengan pencapaiannya sebagaimana saya bangga dengan kesungguhan para atlet kita yang lain. Dan saya turut bangga, buat pertama kalinya seorang warga Singapura, Sayidah Aisyah, bertanding dalam acara mengayuh (rowing) dalam Sukan Olimpik.

Dan saya turut tersentuh dengan ucapan bapanya, Colin Schooling – begitu merendah dan terbuka – bahawa Joseph hanya seorang anak yang biasa yang mencintai sukan. Ternyata beliau amat menyayangi anaknya tetapi beliau tidak bangga sekeluarga sahaja, malah melibatkan rasa gembira itu dengan semua rakyat Singapura. Beliau berharap kejayaan Joseph akan menjadi semacam harapan kepada anak-anak muda Singapura lainnya.

Yang tidak dinyatakan ialah pelbagai pengorbanan beliau dan isterinya bukan sahaja dengan wang ringgit, malah terpaksa berjauhan daripada anak mereka, demi cintanya kepada sukan renang, sejak awal remaja anaknya. Joseph merupakan satu-satunya anak pasangan ini tetapi kerana kasih mereka yang mendalam, mereka sanggup melakukan pelbagai pengorbanan demi kejayaan anak mereka.

Semoga kejayaan Joseph Schooling hari ini hanyalah langkah pertama bagi kejayaan-kejayaan selanjutnya. Pada usia 21 tahun dan dengan kebolehannya untuk menumpukan perhatian kepada matlamatnya, tidak mustahil banyak lagi kejayaan akan diraihnya.

Saya bangga dengan kejayaannya kerana usahanya bukan tiba-tiba tetapi telah dimulakan sejak bertahun lamanya. Sama seperti bangganya saya dengan ramai atlet kita dahulu dalam pelbagai bidang misalnya Majid Ariff, Quah Kim Song dan adik-beradiknya, Osman Merican, Heather Merican, C. Kunalan, Nor Azhar Hamid, Patricia Chan, Chee Swee Lee, Glory Barnabas, K. Jayamani, Hassan Bohari, Zainal Abidin Malek, Ang Peng Siong, Syed Abdul Kadir, Junie Sng, Zarinah Abdullah, Samad Allapitchay, Dollah Kassim, Fandi Ahmad dan lain-lain dan adanya orang-orang seperti Uncle Choo, Jita Singh, N. Ganesan, Patrick Zehnder dan sebagainya yang bersungguh-sungguh menghidupkan arena sukan kita tanpa banyak ganjaran yang diterima.

Kita bangga kerana mereka bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing tanpa banyak diberi itu dan ini dan kita tahu mereka benar-benar mewakili kita sebagaimana Joseph Schooling. Sukar pula kita terima, walaupun ini tidak semestinya bererti kita membenci orang lain, orang-orang yang tiba-tiba dimasukkan dalam ‘Team Singapore‘ hanya kerana mereka boleh menambahkan bilangan pingat dan dipermudahkan segala urusan mereka ke arah itu.

Sebab itu sebilangan kita selalu terkenang atlet kita dahulu – yang mengakar dalam denyut nadi rakyat Singapura – apa pun bangsa dan agama atlet kita dan kita menggemari mereka. Dalam konteks ini, kejayaan Joseph Schooling sememangnya patut kita banggakan dan kita tabik kepada segala pengorbanan ibu bapa dan dirinya untuk menjadikan kenyataan impian Olimpiknya. Syabas, Joseph!

2 Kuntum Sajak: ‘Suara-Suara’ Dan ‘Mencari Pulau’/ ‘In Search of the Island’

Suara-Suara

Kudengari suara-suara itu lagi, ketika
asar meremangi hari, riang dalam permainan
di taman, gelanggang, bola sepak, bola jaring,
bola keranjang, badminton atau bermain
kejar-kejar, berteriak, bergurau, dalam tergesa,
duduk-duduk di taman, luar koridor,
suara-suara itu tak henti bergema
bagai memantul kenangan silam kita.

Bagaimana nanti jika tiada lagi suara-suara itu
kudengari, sunyi, bagai tanah tanpa penghuni,
tanpa mengiaunya kucing, gonggongan anjing,
burung berkicau, terbang, atau manusia bercakap,
bertengkar, terpekik, ketawa, bisingnya bunyi radio,
Internet, telefon, TV, segalanya sepi di perumahan ini,
& yang tertinggal hanya senyap & kesedihan, bagai
cerita bandar Hamelin & peniup serunai?

Suara-suara ini meriakkan kehidupan, anak-anak kita
yang teruja, terbiar, orang-orang dewasa yang sepi,
tenang, insan-insan disibuki keadaan, mengakrabi
persekitaran, dalam pusaran:  sebuah rumah, perumahan,
kawasan, daerah, negara, benua, dunia, galaksi, alam
semesta, yang kian berkait & berentetan.

Suara-suara yang kudengari ini, beraneka bahasa &
bunyinya, riang, sedih, marah, teruja, atau biasa-biasa,
menyatakan kehadiran, mententerami kebiasaan,
kepelbagaian & kekayaan kehidupan.

Ditulis: 16 – 17 April 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Mencari Pulau

Telah kulihat banjaran gunung itu,
tika senja, saujana & sepi terasa,
betapa permainya sebuah danau,
pesta itik & angsa liar, atau
mesranya tupai-tupai di Puncak Diablo,
betapa keindahan itu tak mampu diucap,
menyaksi alam, memberi, tanpa kata,
bagai kehidupan yang reda menerima,
membuat kita tertegun, mencari pulau,
dalam pelayaran yang perlu diteroka.

Kitakah yang menrindui banjaran gunung itu,
atau ada andaian yang tak terkata,
memaklumi keterasingan, dipenjara keadaan,
hutan-hutan konkrit, kejang & kasar,
mungkinkah kerinduan itu lambaian pohon-
pohon ru, tasik & kolam, lautan bebas,
burung-burung camar, atau sekadar insan,
riang, bebas, & tidak digesa kesibukan?

Apakah kau turut mengalami, perjalanan
yang seakan tidak putus ini, dari kota
ke kota, dari lapangan ke suatu lapangan
terbang, kerana ketenteraman adalah penawar,
antara tindihan kisah-kisah lama, tuntutan
hari ini & harapan hari muka, kita mula
melakar peta, mencari pulau, dalam hebatnya
pukulan gelombang.

Kita akan tinggalkan perairan ini,
mencari pulau, menuju tanjung & lautan,
& secebis harapan membenih di jiwa,
berakar di minda, sukar diraguti segala,
seharusnya tidak kita perdui sebuah cinta,
pada mereka yang terbiar & tidak terbela,
kerana pagar-pagar terlalu memenjara,
pada keikhlasan yang lain pengucapannya.

Tidak kuketahui apa kesudahannya,
menghadami segala, bagai tiram yang
sabar sentiasa, apakah nanti bagai
Fansuri, Chairil, Amir Hamzah atau Pramoedya,
langkah ini dibina, kemudian tersisih,
terseksa, & tiada yang turut mengerti
kepedihan derita.

Apakah pertemuan ini soalan-soalan
terjawab, kau yang mencari pulau,
aku yang tersadai di pantai, atau
nanti kita bersama temui, sebuah
pulau, jauh dari Khatulistiwa, &
kita maklumi segala & reda?

Sesekali mendengar berita & suaramu,
aku semakin yakin, tentang takdir,
ihsan, cinta, keikhlasan & pengorbanan,
betapa hidup berkesinambungan, antara
kepayahan & kegirangan, & bagai phoenix,
kita belajar hidup kembali, setelah
kegagalan & kekecewaan menghangusi.

Aku tahu kita akan sampai ke pulau itu,
sahabatku, bagai al-Tariq yang yakin
akan pelayarannya, & kalau nanti kita
terlambat ke sana, bumi meledak, Ishtar
terluka, & merpati patah sayapnya,
kau akan tahu, tidak sia-sia kita
melakar peta, mencari pulau, walau
Tanjung Harapan bertukar nama.

Ditulis: 8 Februari – 19 Mei 1993
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

In Search of the Island (Translation)

I have seen the mountain range
at dusk, distant & desolate,
how magnificent the lake,
the festivities of wild ducks & swans,
the friendly squirrels at the mountain peak,
how such beauty can never be expressed;
witnessing nature, giving, speechless,
like life that readily accepts,
astounding us, making us seeking the island,
on a compulsive journey.

Are we longing for this mountain range,
or is there an unspoken metaphor,
acknowledging this alienation, within this
situational prison, concrete jungles, stiff
& rough; or is this a yearning for the casuarinas,
the lake & pond, the limitless ocean,
seagulls, or just man,
joyous, free, & unhurried by busyness?

Do you experience, too, this seemingly
unending quest, from city
to city, from one airport to another,
because tranquillity is an antidote,
betwixt the burdens of the past, the
present’s demands & the future’s promise, we
begin to sketch a map, in search of the isle,
amidst the ferocity of the waves.

We will leave this waterway,
in search of the isle, toward the cape & ocean,
& a speck of hope implanted in the soul,
rooted in the mind, utterly irremovable,
we should not buttress a love,
for those who are neglected, undefended,
because the borders are too confining,
to a selflessness that’s different in articulation.

I know not the ending,
digesting everything, like the
ever-patient oyster, whether it will turn out like
Fansuri, Chairil, Amir Hamzah or Pramoedya*
all those steps taken & then isolation,
torment, no one to comprehend
the agony of suffering.

Is this enounter an answer –
you who are searching for the island,
& I marooned on the shore – or
might both of us, afterwards, find an
island, far from the Equator,
one we will understand & accept?

At times, upon hearing your voice or news,
I am more convinced about fate,
compassion, love, selflessness & sacrifice,
how life is a continuum, between
misery & mirth, & like the phoenix,
despite the searing failures & disappointments,
we learn to be alive.

I know we will reach the island,
my friend, like Al-Tariq*, confident
of his voyage. And should we then
be delayed – the earth erupts, Ishtar
injured, & the dove break its wings –
you will know it wasn’t in vain: we
sketched the map, in search of the island,
though the Cape of Good Hope changes its name.

Original Malay Poem By: Rasiah Halil
Written: 8 February – 19 May 1993
Bedok, Singapore
Translated By: Bohari Jaon with the assistance of Rasiah Halil.

*Fansuri [Hamzah Fansuri], Chairil [Chairil Anwar], Amir Hamzah and Pramoedya [Pramoedya Ananta Toer]: poets and writers (16th – 21st century) from Indonesia/Malay Archipelago
*Al-Tariq [Tariq bin Ziyad]: 8th century Arab voyager/conqueror who gave his name to the Straits of Gibraltar.

Keindahan Di Sebalik Hari Kebangsaan

Anda mungkin sudah menonton perbarisan Hari Kebangsaan kita dan pembukaan sukan Olimpik di Greece baru-baru ini. Kalau tak menonton keseluruhannya, mungkin sedikit-sedikit gambaran kedua-dua acara itu dapat juga anda saksikan. Dan perasaan kita terbaur menyaksikan kedua-duanya. Satu, mengakarkan kita sebagai warga sebuah negara, dan satu lagi meng-ingatkan kita persamaan kita sebagai warga dunia, walaupun dari negara mana kita berasal.

Mengapa sesetengah kita suka menyaksikan sukan Olimpik? Banyak sebabnya, tapi mungkin salah satu sebabnya ialah kita ingin melihat keupayaan manusia merentas halangan-halangan biasa, sama ada untuk menjadi lebih cepat, tangkas, bekerjasama dalam pasukan dan sebagainya demi mencatatkan rekod yang lebih baik bukan hanya untuk dirinya, malah negara dan dunia. Tapi mungkin lebih daripada segala-galanya, kita mahu sukan seperti Olimpik ini menyatukan kita sebagai manusia, walaupun bersaing, dan yang lebih penting bukanlah pingat, tetapi semangat kesukanan yang baik.Sayangnya, ini kadangkala terpinggir bila terdapat ahli sukan yang mengambil dadah/steroid untuk memberi mereka ‘kekuatan’ segera, atau ada perangai ahli sukan dan penyokong mereka yang tak ubah macam samseng.

Olimpik diwujudkan di Greece (Yunani purba) untuk menyatupadukan kelompok negara-bangsa Greece buat seketika, kerana mereka sering berperang. Jadi, semasa sukan Olimpik itu, gencatan senjata berlaku dan tenaga perang terutama dari Athens dan Sparta, dapat disalurkan ke arena sukan. Ini semacam berlaku di Makkah sejak zaman sebelum Nabi s.a.w. Walaupun ia tidak disalurkan ke bidang sukan, pada bulan-bulan tertentu kabilah-kabilah dagangan tidak lagi berperang tetapi bebas melakukan dagangan dan beribadat. Musuh hilang taring kerana yang diutamakan ialah keamanan dan kesejahteraan bersama. Betapa dunia kita hari ini memerlukan masa-masa jeda seperti itu; walaupun ini terlalu unggul, tetapi betapa indahnya jika buat seketika segala keburukan, prasangka, kesongsangan penghuni dunia ini dapat berhenti dan kita bersama menghargai keinsanan kita dalam jalur keihsanan kita mengaitkan segala-galanya.

Perbarisan Hari Kebangsaan meriakkan perasaan yang hampir serupa, tapi tak sama seperti sukan Olimpik. Kita bangga menyaksikan perbarisan tersebut dan terhibur dengan pelbagai pertunjukan, termasuk mercupnya bunga api. Nenek saudara Sri, yang lama menginap di luar negara, sering mengungkapkan ‘tak macam Singapura’ bila hari kebangsaan negara tersebut diraikan. Walaupun sering tak dapat menyaksikan penyambutan Hari Kebangsaan di sini, yang pernah ditontonnya sejak tahun 60-an, membanggakannya. Ungkapan ‘tak macam Singapura’ itu sebenarnya bukan bererti menghina negara tempatnya bermastautin tetapi menggambarkan kebanggaan positifnya terhadap negara kelahirannya. Dan kita berharap ‘tak macam Singapura’ itu tidak pula bercambah ke ruang-ruang kehidupan yang lain misalnya ‘tak macam Singapura’ dalam sikap kiasu, terlalu berkira, bongkak, ingat kita saja betul, sanggup beratur berhari-hari, malah ‘merusuh’ untuk mendapatkan anak patung ‘Hello Kitty’, sesuatu peraduan, rumah, dan sebagainya…

Bagi Sri, yang lebih menarik pada perbarisan Hari Kebangsaan, ialah apa yang berlaku di balik tirai. Melihat anak-anak kita bersungguh-sungguh berlatih, hingga muka naik merah padam atau berkilat, menyaksikan semangat gotong royong mereka yang terlibat menjayakan hari tersebut, daripada mereka yang sukarela menghiaskan wajah peserta-peserta, mengipaskan seorang kawan yang kepanasan, melentuk-liuk dan bahu-membahu dalam kepenatan, menyelaraskan setiap segmen persembahan, mengajak penonton membuat ‘Ombak Kallang’ (Kallang Wave), mengarahkan lalu lintas, selain muzik dan sebagainya. Inilah keindahan sebenar Hari Kebangsaan bagi Sri, kerana sebilangan besar kekurangan kita mencorot berhadapan tugas bersama yang lebih besar. Dan kita spontan dalam keikhlasan dan kebersamaan kita.

Satu perkara yang kita tahu mengenai Hari Kebangsaan, sehabis saja hari tersebut, pihak penyelaras akan berbincang mengenai sambutan hari kebangsaan pada tahun berikutnya. Sedang kita masih bercakap-cakap pasal persembahan NDP 2004, pihak penyelaras dah pun fikirkan NDP 2005. Kerana ini acara tahunan dan melibatkan ramai orang, persiapannya tak boleh dibuat sambil lewa. Kalau buat tak tentu, buat malu saja.

Mungkin perkara ini boleh menjadi iktibar kepada pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan kita. Ada yang mengadakan acara-acara tahunan tetapi persiapan untuk acara-acara itu dibuat secara ad hoc. Kerana setiap tahun acara yang sama diadakan, Sri kurang pasti mengapa perbincangan, lakaran dan tugas kerja tidak boleh dibuat lebih awal, sebagaimana persiapan penyambutan Hari Kebangsaan kita. Yang sedihnya, kita selalu disuguhkan dengan kata-kata ‘tak cukup masa/ orang/ bahan’ dan lain-lain padahal ini semua adalah alasan-alasan yang lemah. Masanya lebih daripada mencukupi, orang dan bahan boleh dicari atau didapatkan, tetapi kerana kita bekerja pada saat-saat terakhir, banyaklah tak dapat dibuat dengan sempurna.

Dan kadangkala kita berkitar daripada kumpulan yang sama, lantas tidak hairanlah beberapa acara yang melibatkan orang-orang Melayu-Islam Singapura, kumpulan yang sama juga dikedepankan. Dan orang-orang yang sama juga kadangkala mewakili kita dalam pertemuan dan seminar di luar negara. Akibatnya, kita tidak akan memperbaiki kekurangan kita, kerana segala-galanya asyik ‘berkitar’. Kerana kurang persiapan awal, dan ini kadangkala diburukkan lagi bila terdapat orang-orang yang asyik mahu dianggap ‘pakar’ dan gila nama, nanti yang kita lebih utamakan ialah ‘bentuk’ bukan ‘isi’ sesuatu kegiatan yang kita adakan untuk khalayak ramai. Betapa ruginya kita.

Ditulis: 19 Ogos 2004
Tajuk Asal: Iktibar Daripada Hari Kebangsaan, Olimpik
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 22 Ogos 2004
Tulisan: Rasiah Halil

Enaknya Kalau Dapat Bercucuk Tanam…

Salah satu impian hidup Sri ialah memiliki rumah yang berhalaman. Bukan, bukan Sri tiba-tiba nak terikut-ikut sesetengah masyarakat Singapura yang mahukan rumah privet dan sebagainya. Impian ini juga tidak timbul dengan sekelip mata. Sri dibesarkan di beberapa kampung di daerah Timur Singapura. Rumah kampung tahulah, sekecil-kecilpun ada halaman untuk bercucuk tanam. Ketika Sri di sekolah rendah, bapa Sri membeli sebidang tanah yang luas dan mendirikan rumah banglo dua tingkat. Halamannya luas bukan hanya di bahagian hadapan rumah, malah lebih besar di belakangnya. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga dan pokok buah-buahan. Selain kadangkala membantu nenek dan ibu Sri menanam pokok, salah satu kegemaran Sri ialah menyiram air pokok pada waktu pagi atau petang. Ada beberapa pokok di halaman belakang rumah Sri menjadi tempat Sri ‘bersembunyi’. Berbekalkan kerusi malas, buku-buku, pena, sedikit makanan dan minuman, Sri kadangkala menelaah, menulis dan membaca di bawah pokok mangga misalnya. Tenangnya bukan main. Sri suka melihat pokok membesar, berbunga, berbuah atau sekadar teguh berdiri dan memberi semacam perlindungan. Bila menyirami air menggunakan getah (hose) dan berjalan di atas rumput memancutkan air tersebut, Sri selalu berasa riang, walaupun Sri mungkin bermasalah ketika itu. Berdekatan dengan pokok-pokok tadi, memijak rumput dan tanah, menimbulkan semacam ketenangan jiwa.

Sri hanya berpindah ke rumah pangsa pada tahun 80-an. Nenek Sri paling tidak selesa tinggal di rumah pangsa kerana dia tak dapat bercucuk tanam seperti dulu dan dia juga tak dapat memijak tanah. Demikian juga perasaan Sri dan Sri yakin sesetengah masyarakat kita juga berperasaan sedemikian kerana suka rumah berhalaman. Bila ada sahabat dan saudara Sri membeli rumah pangsa jenis mansionet, kondominium dan rumah privet yang halamannya amat kecil atau disimen, hati Sri tak tertawan. Impian Sri bukan rumah sedemikian kerana yang penting bagi Sri, rumah Sri harus selesa (tidak semestinya besar), ada halaman untuk bercucuk tanam dan kalau boleh, tidak terlalu diriuhi jiran. Rumah kampung dengan ciri-ciri ini pun akan menyenangkan Sri.

Walaupun Sri akur, di Singapura sebahagian besar kita terpaksa menginap di rumah pangsa kerana masalah kekurangan tanah, tetapi ia tidak bermakna keadaan serba konkrit ini menyelesakan kita. Lantas tidak hairanlah sebahagian besar kita suka bercucuk tanam di koridor dan menghiasi rumah kita dengan pokok-pokok dalam rumah. Kehadiran pokok-pokok tadi bukan sekadar menenangkan bahkan mengingatkan kita kepada apa yang pernah kita alami semasa hidup berkampung. Dan bagi yang muda-muda pula, ia mendekatkan mereka pada alam semula jadi dan hubungan kita dengan alam tersebut.

Salah satu harapan Sri ketika estet perumahan Sri dipertingkatkan ialah adanya semacam kebun untuk penghuni estet Sri bercucuk tanam walaupun ini tidak termasuk dalam lakaran mereka. Sri pernah membaca ada estet perumahan mencuba berkebun dan baru-baru ini, ada pula kisah perkebunan hidrofonik di estet perumahan Choa Chu Kang. Apa maknanya ini? Bagi estet-estet yang penghuninya rata-rata orang-orang muda yang baru berumahtangga wujudnya perkebunan begini mungkin tidak terlalu penting. Tapi bagi mereka yang meningkat usia, aktiviti begini bukan sekadar menyenangkan mereka kerana dapat ‘turun tanah’ malah dapat merapatkan lagi hubungan di antara penghuni estet tersebut. Walaupun penghuni di satu-satu estet perumahan itu mungkin bertegur sapa bila bertembung, namun tidak ramai yang gemar mengikuti kegiatan-kegiatan di estet perumahannya, terutama jika kegiatan-kegiatan itu tidak menimbulkan kecenderungan mereka dan ada pula menganggapnya tidak menyenangkan. Aktiviti berkebun dan kalau boleh memelihara haiwan ternakan, dapat pula membuka ruang yang lebih neutral bagi penghuni-penghuni tadi. Manfaat jangka panjangnya lebih besar berbanding dengan sebahagian tanah yang kita ketepikan untuk kegiatan ini.

Dan menanam pokok banyak pula kiasannya bagi kita. Walaupun ada pokok boleh hidup dengan hanya ‘dicampak lempar’, tapi bagi pertumbuhan pokok yang sihat, kita mestilah ambil berat mengenai tanahnya, baja, air dan sinaran matahari serta serangga yang mungkin memusnahkan pokok tadi. Dikatakan pokok-pokok yang ‘dibelai’ dengan kasih dan kelembutan ketika kita menyirami air, membaja dan menggembur tanah dan sebagainya akan tumbuh dengan sihat. Tapi pokok yang terlalu diteriki sang matahari tanpa dilindungi dan diperkuatkan oleh tanah, baja dan air pula, tidak akan membesar dengan sempurna. Demikian juga perhubungan di antara penghuni estet perumahan, kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan, pekerjaan dan lain-lain. Sebagaimana pokok harus diseimbangi dengan unsur-unsur tadi, demikian juga hubungan kemanusiaan. Premis utamanya ialah menghormati satu sama lain, kemudian unsur ‘tanah’, ‘baja’, ‘air’, ‘cahaya matahari’ dan lain-lain boleh diseimbangkan. Barulah pohon perhubungan kita membesar dan insya-Allah, berbunga, berbuah dan memberi perlindungan bagi manusia.

Bercucuk tanam banyak pengertiannya bagi kehidupan kita. Dan ini dengan indah dikiaskan oleh penyair Lee Tzu Pheng dalam sajaknya ‘My Country and My People’:

Yet, careful tending of the human heart
may make a thousand flowers bloom…….

*Kini (tahun 2016) dan beberapa tahun sebelum tahun ini terdapat sejumlah kemudahan bercucuk tanam, beriadah dan sebagainya dalam sebilangan estet perumahan di Singapura. Di estet perumahan saya juga sedemikian.

Ditulis: 2 Mei 2001
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 6 Mei 2001
Tajuk Asal: Lagi Kisah Pokok
Tulisan: Rasiah Halil.