Archive | November 2021

Kata Mutiara: 16 November 2021

If you believe your health would benefit from reduced stress, you can find plenty of options if you open your wallet wide enough. Scented lotions, aromatherapy candles, stress-management books and music, guided-imagery CDS, bath products, electronic massagers, cushy chairs, herbs, room ionizers, and a new soft drink Drank – all are marketed as stress busters. As Mick Hume suggests, these products are at the core of the booming stress industry. Americans spent an estimated US$14 billion fighting stress in 2009, according to Market Data, up US$3 billion from the previous year.

But if spending money on stress relief will cause you, well, stress, other solutions are cost-free. Susan Smith Jones, whose newest book is called The Joy Factor, offers seven suggestions:

1.Get moving. Exercise is one of the best ways to reduce stress. At the University of Southern California, researchers had patients take a vigorous walk around a track, and found this one simple routine reduced the level of tension in their bodies by 20 percent.

2.Meditate and breathe deeply. Your first 40 minutes in the morning set the tone for your day. Combined with breath work, meditation can balance the flow of stress hormones.* [Bagi umat Islam, ada baiknya ‘meditation’ digantikan dengan bersolat sunat, berzikir dan membaca al-Quran kerana ini lebih sesuai dan juga menambahkan ketenangan.]

3.Eat a diet that takes stress off your digestive system. That means seven serving of colouful fruits and vegetables a day.

4.Keep your body hydrated. We need to maintain proper fluid balance to support our brain function and our kidneys’ ability to rid the body of waste and toxins.

5.Get enough sleep. Six or fewer hours of a sleep a night leaves you irritable and stupid. It also subtracts from your life span and adds pounds – talk about stressful!

6.Laugh. Laughter releases endorphins in the body that act as natural stress busters, and it gives the heart muscle a good workout.

7,Cultivate an ‘attitude of gratitude.’ Susan’s grandmother Fritzie told her to live thankfully each and every day – first and foremost by appreciating the beauty of nature: the sky, the trees, the animals. Keep a vase of fresh flowers in your bedroom, she recommended, so you can see them before going to sleep at night and first thing in the morning – even it’s just one rose. To keep that attitude constant, Fritzie also encouraged Susan to write down in a gratitude journal at least three things for which she was grateful just before bed, and to think about those things as she fell asleep. *[Juga bagi umat Islam, amalan-amalan sebelum tidur dan sewaktu bangun dari tidur boleh membantu, selain saranan nombor 7 ini.]

Rencana ‘Stresslessness’ oleh Susan Smith Jones, halaman 171 – 172 dalam buku The Secrets of People Who Never Get Sick oleh Gene Stone, New York: Workman Publishing, 2011.

Catatan 14 – 16 November 2021

1.Ada orang teruja kerana boleh bercuti di luar negara dan boleh boleh mengerjakan umrah tidak berapa lagi. Beberapa negara telah membuka sempadan mereka, termasuk Singapura tetapi jumlah yang benarkan ke tempat-tempat ini masih terbatas dan lebih tertumpu kepada perjalanan melalui penerbangan bagi mereka yang sudah divaksinasi. Yang diharapkan oleh orang-orang di Singapura misalnya, tentulah perjalanan darat ke Malaysia dibuka. Ini terutamanya bagi mereka yang terpaksa berada di satu-satu negara kerana bertugas dan sukar pulang ke negara asalnya. Bagi yang ada keluarga dan rumah di Malaysia tentunya pembukaan perjalanan darat, yang dijangka akan berlaku dalam beberapa minggu lagi, dialu-alukan. Rindu benar hendak keluar sekejap ke Johor Bahru. Dan mudah-mudahan akan dibuka juga sempadan dari Singapura ke Batam; bagi sesetengah orang Singapura, dapat ke Batam untuk membeli-belah, makan-makan dan bersantai begitu menyenangkan. Orang lain mungkin mahu ke tempat-tempat yang jauh tetapi bagi sebilangan orang, dapat bersantai atau bertemu keluarga di negara-negara jiran adalah harapan mereka.

Dahulu di Singapura hanya beberapa orang yang dijangkiti Covid-19 tetapi sejak sebulan dua ini, angka yang dijangkiti naik mendadak sehingga mencecah lebih 3000 orang. Walaupun angka ini semakin turun, bilangan mereka yang mati kerananya walaupun kecil, tetap menggusarkan kita. Banyak langkah telah diambil dan disesuaikan; semoga pihak-pihak berwajib akan lebih meneliti langkah-langkah seterusnya demi kesejahteraan rakyat dan penduduk Singapura serta jumlah pelancong yang dijangka bertambah ke Singapura. Kita resah dan merindukan kebiasaan hidup kita sebelum Covid-19 ini melanda tetapi kita hanya boleh menjaga kesihatan kita (termasuk divaksinasi) dan mengikut peraturan langkah-langkah pencegahan dari merebaknya virus ini. Saya berharap pada sekurang-kurangnya pertengahan tahun hadapan pandemik ini semakin reda. Pil yang masih diuji untuk jangkitan ini pada ketika itu telah diluluskan dan kita boleh meneruskan kehidupan dengan hanya memakan pil ini jika dijangkiti. Dan jumlah mereka yang tewas kerana Covid-19 ini juga diharapkan semakin berkurangan.

Berkaitan dengan merebaknya Covid-19 ini ialah masalah kesihatan mental warga dunia. Dengan terperap di rumah kerana jangkitan ini, ramai juga kerisauannya memuncak. Ada beberapa langkah yang dijalankan pemerintah dan pihak-pihak tertentu untuk berdepan masalah ini; semoga kita juga lakan lebih berusaha agar kesihatan mental kita tidak terlalu terjejas kerananya. Carilah alternatif untuk melakukan hal-hal yang biasa kita lakukan dahulu seperti berbual dengan keluarga dan kawan, walaupun kurang bertemu muka. Ini dugaan yang terpaksa kita hadapi dan dugaan ini pasti berakhir juga.

2.Di Glasgow, Scotland, telah diadakan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2021 yang ke-26, COP26 (The 2021 United Nations Climate Change Conference) dari 31 Oktober sehingga 12 November 2021. Persidangan ini yang melibatkan 200 negara kecil dan besar (ada negara besar yang tidak mahu terlibat), berbincang dan mencari huraian untuk menangani masalah perubahan iklim yang amat menjejas bumi dan kehidupan. Ia berharap dapat mengurangkan kehangatan bumi ke bawah atau ke paras 1.5 darjah Celsius sahaja pada 2030. Dan ke paras sifar (kosong) pada 2050. Bolehlah negara-negara yang terlibat, terutama negara-negara yang lebih maju, benar-benar komited untuk mengenepikan bahan api fosil dan memilih dan unsur-unsur yang lebih bersih untuk kegunaan dunia? Atau banyakkah lobi pihak-pihak tertentu di Glasgow dan dalam usaha-usaha begini sehingga pelbagai sasaran untuk menangani masalah perubahan iklim dan yang berkaitan dengannya bagai tersangkak sahaja? Iakah seperti kata aktivis perubahan iklim, Greta Thunberg, COP26 itu sekadar ‘blah, blah, blah’ sahaja?

Dan masalah kehangatan bumi ini bukan hanya mengenai perindustrian dan ekonomi yang maju, masalah peperangan, penghijrahan/pelarian, perampasan tanah puak-puak penduduk asli, penggondolan hutan dan sebagainya berkaitan dengan isu ini juga.

3.Anak cucu kita akan menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (Primary School Leaving Examinations/PSLE) tidak lama lagi. Keputusan peperiksaan ini penting kerana ia menentukan sekolah menengah mana yang akan dapat dipilih anak cucu kita atau mereka terpaksa mengulang pelajaran Darjah 6 mereka. Mudah-mudahan ibu bapa kita lebih menjejak ke bumi semasa memilih sekolah-sekolah menengah untuk anak mereka. Pilihlah sekolah yang sesuai dengan keperluan anak anda, yang boleh membantu pembangunannya sebagai seorang pelajar dan individu bertanggungjawab serta turut membahagiakan zaman persekolahannya. Setiap anak itu suatu anugerah, yang ada kelebihan dan kekurangannya – mudah-mudahan dengan lebih memahami ini, pilihan sekolah yang terbaik bagi anak kita menjadi keutamaan kita.

4.Sebilangan besar kita menggemari sumbangan seni P.Ramlee. Jasa beliau kepada dunia seni kita memang besar dan Allahyarham masih ‘hidup’ di hati kita sehingga kini. Membaca tulisan-tulisan saya dalam blog dan di tempat-tempat lain, anda tahu saya menghormati, menyanjungi dan menyayangi P.Ramlee dan juga Saloma. Sumbangan seni mereka turut memperkayakan hidup dan penglibatan seni saya. Namun ada dua hal baru-baru ini yang memusykilkan saya.

Satu, pada 28 Julai 2021 lalu, dalam ‘Malam Puisi Gurindam Jiwa Tan Sri P. Ramlee’ di Malaysia, P. Ramlee telah diangkat sebagai ‘Pemuisi Legenda’. Sejak bila P.Ramlee menjadi pemuisi; seni kata lagu bukannya sajak kerana kedua-duanya ada perbezaannya. Dan sebilangan lagu P. Ramlee seni katanya ditulis juga oleh orang lain, termasuk Jamil Sulong, H.M.Rohaizad, S. Sudarmaji dan lain-lain. Allahyarham memang seniman serba boleh tetapi janganlah kerana takjubnya kita akan kebolehan Allahyarham, kita mengelirukan orang. Apakah nanti penggubah-penggubah lagu yang lain juga dianggap ‘pemuisi’? Saya tahu niat penganjur baik iaitu untuk memberi penghormatan kepada sumbangan Allahyarham; mudah-mudahan apa yang kita lakukan itu tidak pula menimbulkan semacam kekeliruan kepada masyarakat.

Dua, pada 29 Oktober lalu, KFC Malaysia memperkenalkan ‘Burger P.Ramlee dengan Kuah Kari Kandar’ dalam menunya. Kenapa kuah kari kandar – kerana P.Ramlee berasal dari Pulau Pinang dan suka makan nasi kandar. Yang kita musykilkan, kenapa ‘diperdagangkan’ nama P. Ramlee sebegini? Keluarga Allahyarham masih ada, apakah dengan mudah namanya boleh dipergunakan sebegitu rupa? Kalau kita fikirkan contoh yang ekstrem sikit, apakah kita boleh menerima ada burger atau makanan lain, dinamakan ‘Burger Tunku Abdul Rahman’, ‘Burger Tun Razak’, ‘Burger Lee Kuan Yew’ berkuahkan kuah kegemaran mereka?

Benar, kita meminati P. Ramlee dan lagu, filem dan gaya lakonannya mencambahkan pelbagai ilham kepada dunia seni kita. Tetapi berpada-padalah menggunakan nama Allahyarham. Pada akhir tahun-tahun 60-an dan 70-an di Singapura, ada kuih Raya yang dinamakan ‘Bantal Peluk Saloma’ yang dijual di Geylang Serai. Saya rasa Biduanita Saloma tahu mengenai hal ini kerana beliau ada saudara-mara di tanah kelahirannya. Dan mungkin beliau terciut rasa kerananya. Penjualan kuih ini secara kecil-kecilan dan tidak dibuat di kilang. Mungkin pembuatnya meminati Biduanita Saloma. Tetapi penjualan makanan dan sebagainya secara besar-besaran dan dikaitkan dengan P.Ramlee itu, satu hal yang lain pula. Bagaimana nanti, melalui aplikasi ‘deepfake’ ada yang mempergunakan P. Ramlee dalam iklan untuk menjual barangan mereka, memancing sokongan dan lain-lain?

5.Baru-baru ini kes ‘nabi’ palsu yang bernikah batin dengan beberapa wanita di Singapura, akhirnya diadukan kepada pihak polis. Kes ini mula diberitahu kepada pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 2015. Ia mercup semula pada tahun lepas (2020) dan akhirnya aduan dibuat kepada pihak polis. Perkara-perkara begini seharusnya dipercepatkan tindakannya kerana kesannya buruk kepada masyarakat. Dan kini banyak lagi penyelewengan-penyelewengan seumpama ini; orang yang mengaku mendapat ‘wahyu’ dan tiba-tiba memulakan ‘agama’ baharu, yang ada ilmu ‘laduni’ dan ‘kasyaf’ dan lain-lain. Yang hairannya, ada pula pengikut mereka.

Dan dengan ‘keterbukaan’ yang luar biasa sekarang, adanya ‘gender fluid’, jantina boleh ditulis ‘X’ kalau seseorang itu tidak menganggap dirinya berjantina perempuan atau lelaki dan gaya hidup sebegini semakin dianggap biasa dan ‘boleh diterima’, ada juga penyebar dan pengikutnya di negara kita dan beberapa tempat yang lain. Yang anehnya ada sebilangan orang daripada golongan ini mengaitkan gaya hidup mereka sebagai boleh diterima Islam, mentafsir agama sesukanya seolah-olah mereka pakar dalam bidang agama. Kita memaklumi ada sesetengah orang masih dalam pencarian dari segi agama atau bergelut dengan orientasi seksual mereka. Mudah-mudahan Allah menunjukkan jalan yang benar. Tetapi golongan ini berbeza, sedikit ‘atas’ dan begitu ‘besar’ menyusup dan menentukan dalam hal-hal pertubuhan dan kebajikan masyarakat dan merekrut orang. Bagaimana nanti anak cucu kita, yang digoda dan dilalaikan hal-hal seumpama ini, konon orang-orang beginilah suara masyarakat Melayu dan Islam sebenar? Fikirkanlah akibatnya gejala-gejala songsang yang semakin menular dan hanya akan meruntuhkan masyarakat.

6.Seekor penguin jenis Adelie dari Antartika tersesat berenang sejauh 3000 kilometer ke pantai New Zealand baru-baru ini. New Zealand bukanlah tempat persinggahan penguin itu. Inilah kali ketiga, penguin setinggi 70 sentimeter itu terdampar di sana. Kali pertama dan kedua penguin dari Antartika terdampar di pantai New Zealand ialah pada 1962 dan 1993. Penguin itu kelihatan bingung dan dibantu oleh penduduk setempat dan pihak berwajib. Ia kemudian di lepaskan di pantai yang selamat, agar dapat berenang balik ke habitat.

Comel bila melihat penguin ini tetapi yang menjadi tanda tanya, mengapa ia boleh tersesat sebegitu jauh? Kalau ini ada kena mengena dengan kehangatan bumi yang mengganggu pelbagai ekosistem yang ada, ini tentu merisaukan. Betapa sikap dan tindakan kita terhadap isu-isu begini boleh menjejas bukan hanya seekor penguin.

Di Singapura, ada orang begitu terganggu dengan bunyi burung sewah tahu/burung tuwu (koels) sehingga membuat pengaduan kepada pihak-pihak berwajib. Mereka menganggap burung yang berkicau mendayu-dayu seawal subuh ini begitu tidak menyenangkan. Burung jantan sewah tanah ini sering lantang berkicau dari bulan Okober sehingga bulan Disember kerana inilah musim mengawan burung-burung ini.

Sekadar bunyi burung pun ada yang rasa terganggu. Saya bayangkan kalau orang-orang begini tinggal di kampung, yang ayam-ayam jantannya berkokok pada waktu subuh, mahu rasanya disesah ayam-ayam tersebut. Takkanlah kita menjadi begitu ‘kaku’ dan ‘konkrit’ sehingga bunyi kicauan burung pun kita anggap mengganggu?

7.Tiga orang ahli seni berpulang ke rahmatullah baru-baru ini: Sarkasi Said, Azizfakir (Abdul Aziz Pakker Mohamed) dan Kemala (Sasterawan Negara Dato’ Dr Ahmad Kamal Abdullah).

Pak Sarkasi Said (27 Mac 1940 – 14 Oktober 2021) memang terkenal sebagai pelukis batik. Batik-batiknya, baik lukisan, busana dan sebagainya memang menarik perhatian. Dan saya meminati batik walaupun tidak boleh melukisnya. Saya ‘mengenali’ Pak Sarkasi melalui kawan-kawan penulis yang lebih dewasa, yang bertugas sebagai guru, pada akhir tahun-tahun 70-an dan awal 80-an dahulu. Persahabatan mereka dengan Pak Sarkasi yang membolehkan saya mengetahui lebih sedikit mengenai dunia Pak Sarkasi. Saya bertemu Allahyarham beberapa kali dan sempat berbual-bual ringkas. Yang saya terkilan, Pak Sarkasi hanya diberi anugerah Pingat Budaya pada tahun lepas (2020) ketika usianya 80 tahun. Beliau telah mengharumkan nama Singapura dan lukisan-lukisannya bukan hanya dibeli sebagai lukisan tetapi dijadikan baju yang dipakai orang-orang ternama sebagai lambang keSingapuraan. Ingin benar saya membaca tulisannya mengenai sejarah batik di Singapura dan penglibatan seninya dalam buku yang sedang diusahakan setelah diberi anugerah Pingat Budaya. Malangnya, kerana anugerah Pingat Budaya itu diberi kepadanya pada usia yang lanjut, tidak sempat diterbitkan tulisan dan kenangannya. Alangkah baiknya kalau Pak Sarkasi diberi anugerah Pingat Budaya itu lebih awal lagi, misalnya pada usianya 70 tahun ke bawah agar usaha pembukuan penglibatan dan kajiannya dalam dunia batik tidak terhalang? Sumbangan Allahyarham besar dan kita seakan-akan terlambat memberi pengiktirafan kepadanya. Rasa terkilan ini juga saya terasa kerana Kassim Masdor misalnya, tidak pernah diberi anugerah Pingat Budaya dan dengan itu kenangan dan penglibatannya tidak dapat ditinta dan dibukukan. Kita rugi kerana khazanah daripada orang-orang seperti Pak Sarkasi dan Pak Kassim Masdor tidak lebih dikekalkan semasa mereka masih ada, walaupun ada juga tulisan/rakaman video mengenai mereka.

Pak Azizfakir (21 Oktober 1940 – 14 Oktober 2021) merupakan penulis dan penyair Singapura sejak tahun-tahun 70-an lagi. Saya mengikuti tulisan Allahyarham, dan isterinya, Rubiah Abu, sejak tahun-tahun 70-an lagi dan menyimpan beberapa buku tulisan dan selenggaraan Pak Azizfakir. Dan saya ada berbual-bual dengan beliau dalam majlis-majlis kesenian di Singapura. Seingat saya, saya berbual sedikit panjang dengan beliau pada Mac atau April 2013; saya ingin beliau menggantikan tempat saya sebagai pengajar sambilan di sebuah pusat tuisyen di kawasan timur Singapura. Saya diserang barah dan perlu menjalani pembedahan ketika itu dan anak-anak murid saya akan menduduki peperiksaan bahasa Melayu peringkat ‘O’ (GCE ‘O’ level) mereka pada akhir bulan Mei atau awal Jun 2013. Pak Azizfakir, yang tinggal jauh di Woodlands keberatan menggantikan saya dan akhirnya seorang kawan saya mengenalkan guru lain untuk menggantikan tempat saya di pusat tuisyen tersebut.

Semasa menulis buku Geylang Serai Dalam Terowong Masa pada tahun ini (2021) saya terkenangkan beberapa orang penulis yang membesar di kawasan Geylang Serai dan sekitarnya, termasuk Pak Azizfakir. Allahyarham membesar di Lorong Engku Aman dan ada menulis sajak mengenainya. Sayangnya semasa menulis buku tersebut, saya beberapa kali kurang sihat, lantas langkah saya terbatas dan buku santai itu tidak sesuai saya memasukkan sajak. Namun, sumbangan Pak Azizfakir tidak dapat dinafikan dalam perkembangan sastera Singapura bukan sahaja sebagai penulis dan penyair tetapi juga sebagai pengumpul karya penulis-penulis muda dalam buku selenggaraannya misalnya yang berjudul Jamu.

Kemala (30 Januari 1941 – 27 Oktober 2021) pula merupakan penyair dan penulis Malaysia yang tersohor. Saya mengikuti tulisan-tulisannya pada akhir tahun-tahun 60-an/awal 70-an apabila membaca majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera. Dan di akhbar Berita Harian/Berita Minggu sebelum 1972, akhbarnya sama seperti di Malaysia, lantas ruangan sasteranya boleh sahaja dipenuhi oleh karya-karya penulis Malaysia. Saya mendapati tulisan-tulisan Kemala lembut lagi puitis dan isu-isu semasa pun beliau utarakan dengan kelembutannya.

Saya menukil seperenggan sajak Kemala, ‘Universiti Di Hatiku’ dalam cerpen saya, ‘Kenangan Seorang Siswazah’ yang ditulis pada Jun 1979, walaupun saya tidak pernah bertemu beliau. Pada 1981, Kemala mengambil dan menerbitkan sebuah puisi saya, ‘Selepas Kuliah Sejarah’ dalam antologi Puisi-Puisi Nusantara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1981, mungkin kerana karya-karya saya ada juga tersiar di Dewan Sastera sejak 1974 dahulu. Walaupun ada juga acara-acara sastera di Singapura dan Malaysia saya ikuti pada tahun-tahun 80-an, saya tidak pernah bertemu atau berbual dengan beliau. Hanya pada 1993, ketika saya terlibat dalam penilaian Anugerah Persuratan (bahagian Anugerah Tun Seri Lanang dan acara pertandingan menulis sajak), saya bertemu Allahyarham. Allahyarham mewakili Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dalam acara tersebut. Setelah pertemuan itu, Allahyarham ada menghubungi saya dan memberi buku-bukunya. Saya juga diundang beberapa kali ke Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dalam acara-acara anjuran mereka, termasuk menyampaikan kertas kerja. Dan Allahyarham pernah membincangkan puisi-puisi saya, Zurinah Hassan dan seorang penyair wanita Indonesia (saya terlupa namanya) dalam satu seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1996 atau 1997, kalau tidak silap. Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah pada 2015, ketika menyampaikan kertas kerja dan membaca sajak dalam acara yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara Malaysia. Saya mengikuti tulisannya dalam Dewan Sastera dan tahu mengenai kumpulan seninya ‘Numero’ tetapi saya tidak terlibat dalam kumpulan seni itu. Sumbangan Allahyarham Kemala ternyata besar bagi kesusasteraan Melayu dan saya yakin karya Allahyarham akan tetap dibaca dan dikaji dari zaman ke zaman.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampunkan silap dan salah ketiga-tiga orang seni kita – Pak Sarkasi, Pak Azizfakir dan Kemala – dan menempatkan mereka di kalangan hamba pilihan-Nya. Dan semoga keluarga yang ditinggalkan tabah menghadapi ujian kehilangan ini. Amin. Al-Fatihah.

8.Kanak-kanak selalu mencuit hati kita dengan karenah mereka. Ada yang begitu berterus terang kerana mereka tidak pandai berbohong. Dan pandangan mereka terhadap sesuatu cerita juga kadangakala berbeza. Seorang kawan saya membacakan kisah Batu Belah Batu Bertangkup kepada cucu kembarnya, seorang lelaki dan seorang perempuan, berumur 5 tahun. Mendengar ibu Melur dan Pekan ditelan gua Batu Belah Batu Bertangkup, cucu perempuan kawan saya bersedih. Pekan dan Melur sudahlah anak yatim (bapa mereka meninggal di hutan), kini ibu pun tiada. Cucu lelaki kawan saya pula, lain pandangannya. Dia tidak bersedih tetapi bertanya neneknya: mereka tak ada nenek dan datukkah?

Dan seorang lagi kawan saya memberitahu, satu cara menilai faham atau tidaknya kanak-kanak akan abjad/huruf, ialah melalui kebolehan mereka mengeja nama mereka. Ini untuk kanak-kanak peringkat tadika yang hampir masuk ke darjah satu. Tetapi menurut kawan saya, cara penilaian sebegini tidak boleh lagi digunakan kepada kanak-kanak Melayu-Islam di Singapura sekarang kerana nama-nama mereka di sini (dan juga di beberapa negara lain) begitu ‘canggih’ dan ada pula ejaannya dibeza-bezakan. Kalau nama-nama yang dahulu sering digunakan misalnya Ahmad, Hamzah, Hafsah, Fatimah, mudah untuk dieja kanak-kanak dan dinilai kebolehan mereka mengenali abjad. Tetapi nama anak cucu kita kini panjang, kadangkala ejaannya tidak seperti biasa dan aneh. Dan kadangkala nama anak cucu kita begitu ‘berat’…….

9.Baru-baru ini saya menulis sebuah buku santai bertajuk Geylang Serai Dalam Terowong Masa. Saya kemudian menterjemahkannya ke bahasa Inggeris dengan tajuk Geylang Serai Through the Tunnel of Time. Kedua-dua versi bahasa Melayu dan bahasa Inggerisnya diterbitkan dalam sebuah buku, yang disisipkan ilustrasi oleh Pak Idris Ali dan Iffah Qistina Irwan. Buku ini diusahakan oleh Wisma Geylang Serai (WGS) selaku penganjur dan penerbit. Badan yang ditugaskan menyiapkan buku ini ialah Seni & Budaya Kreatif Melayu (Creative Malay Arts & Culture/CMAC). Ia dilancarkan di Wisma Geylang Serai pada 26 September 2021.

Saya berterima kasih kepada semua di CMAC dan WGS kerana melibatkan saya dengan projek ini dan bersyukur buku santai dan kecil ini akhirnya menjadi kenyataan.

Ada dua perkara yang ingin saya sentuh berkaitan dengan buku ini.

Satu, saya diwawancara dalam talian oleh pihak radio/podcast Warna 94.2 pada 20 Sepember 2021. Beberapa minit sebelum diwawancara secara langsung, baru saya mendapat tahu, podcast itu menguarkan-uarkan nama saya sebagai ‘Dr Rasiah Halil’. Saya memberitahu Ck Noreha Bajuri, juruhebah yang bertugas mewawancara saya, bahawa saya tiada ijazah kedoktoran (Phd) dan jangan memanggil saya Dr Rasiah. Namun kapsyen yang ditayangkan dalam podcast tersebut tidak dapat ditukar. Pada 26 September, dalam siaran televisyen Suria, sekali lagi nama saya disebut sebagai ‘Dr Rasiah’ walaupun dalam acara pelancaran buku, diwawancara pihak akhbar Straits Times dan Berita Harian, saya tidak dipanggil sedemikian. Begitu juga dalam biodata saya yang tertera dalam buku tersebut tidak ada langsung disebut pasal ijazah Phd itu.

Saya tidak pernah sekali pun berkata saya memilki ijazah Phd atau diberi ijazah kehormat sedemikian. Dan saya bukan orangnya yang akan ‘membeli’ ijazah sebagaimana ada juga orang melakukan hal demikian. Kerana hal ini, ada beberapa orang menghubungi saya; malu saya dibuatnya. Mudah-mudahan hal sebegini tidak akan berulang.

Kedua, semasa diwawancara oleh Radio Warna 94.2 pada 20 September 2021 lalu, saya tidak tahu menahu bahawa buku Geylang Serai Dalam Terowong Masa tidak dijual kepada orang ramai dan hanya 500 naskhah yang dicetak. Saya berpesan kepada pihak CMAC, melalui pengurusnya, Tini Suriany, saya ingin membeli beberapa naskhah buku tersebut. Tini datang ke rumah saya pada 23 September, membawa 6 naskhah buku yang akan diberi kepada orang tertentu, untuk saya tandatangani. Beliau juga membawa naskhah-naskhah buku yang saya pesan, diberi percuma oleh pihak WGS. Saya amat berterima kasih kerana ini.Tetapi saya tahu ramai orang telah menghubungi saya dan orang-orang saya kenal, setelah wawancara Radio Warna tersiar, juga beritanya dalam televisyen dan akhbar Melayu dan Inggeris, ingin membeli buku ini.

Mudah-mudahan pihak WGS akan mencetak lagi buku ini, kulit buku ini tidak perlu berkulit tebal, jika ia boleh menjimatkan kos dan dijual kepada khalayak ramai. Saya tahu saya akan membelinya dan memberi kepada beberapa orang kerabat dan sahabat yang tidak dapat saya beri dahulu. Sayang betul jika buku yang menggambarkan kenangan sebilangan orang yang pernah tinggal atau menyayangi Geylang Serai hanya dapat ditatap oleh segelintir orang sahaja. Saya juga ingin membeli empat lagi buku mengenai Geylang Serai yang akan disiapkan setahun dua ini, sebagai rangkaian buku mengenai ‘Jalur Budaya Geylang Serai’ yang diusahakan pihak WGS. Dan saya pasti ramai yang lain juga berminat membeli buku-buku ini.

Kenangan itu seharusnya dikongsi dan banyak manfaat yang boleh kita dapati jika sebuah buku misalnya, menjadi jambatan yang menghubungkan satu generasi kepada satu lagi generasi.

Semoga kita tabah mengharungi pelbagai dugaan, terutama kerana pandemik Covid-19 ini. Kekuatan itu ada bersama kita, kalau kita berusaha untuk mencari dan menggalinya dalam sanubari kita. Yang kuat itu bukan sekadar bentuk luaran atau fizikal sahaja. Banyak kekuatan yang kita miliki dan masih banyak cara untuk melangsungkan kehidupan ini dengan lebih bermakna lagi. Dan dalam apa pun kesukaran, akan ada kesenangannya nanti. Kita tabah, berusaha dan terus menjalani hidup ini dengan reda dan kecekalan di hati.

Salam
Rasiah Halil
Ditulis: 14 – 16 November 2021.

7 Kuntum Sajak: ‘Luasnya’, ‘Buih-buih’, ‘Pagar’, ‘Jalan Itu’, ‘Bius’, ‘Amben’ dan ‘Surut’

Luasnya

Luasnya rahmat yang Kautebar
sekecil atom, seluas semesta
dalam galaksi pelbagai
bulan & bintang menghiasi alam
lautan, daratan, beraneka kehidupan
namun pada insan yang Kaucipta
dari Nabi Adam sehingga ke akhirnya
tertancap sejalur cahaya
hidayah-Mu penjelas segala.

Betapa terbatas semua
betapa rahmat-Mu luas merata
pada kehidupan yang Kauatur
dalam susah & senang
dalam silap & kelekaan
dalam ujian & dugaan
hanya untuk meluaskan jalan
mengikhlaskan kewujudan
untuk aku melihat & menghayati
adilnya Kau mengatur hidup ini.

Dengan linangan air mata
dengan langkah-langkah silap, goyah
tetap Kaubimbing aku yang sering musykil
tidak melihat perancangan-Mu
tidak menghadami pengajaran-Mu
bahawa dalam Sahara terhampar
& Antartika di Kutub Selatan
dalam taufan & mentari mencengkam
tidak pernah Kaunafikanku
hari-hari nyaman.

Tuhanku
luasnya rahmat-Mu
menutup aibku
meluruskan langkahku
menetapkan hatiku
agar tabah, reda
yang diberi, yang dinafi
kerana Kau pengatur terulung
perencana kehidupan
Maha Pengasih, Maha Penyayang
padaku yang sering berdosa & silap.

Ditulis: 19 – 21 September 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Buih-buih

Buih-buih itu merata
mempesona dengan keindahan
tapi ia sekadar serpihan
dipukul ombak
dihanyut arus
pecah & hilang
di perairan.

Kitakah digoda buih-buih
& terlupa lautan itu luas
yang indah bukan pesona
yang bererti bukan suguhan
di lautan tiada sempadan
perahu & pelayaran
berdayungkan yang lebih kekal.

Ditulis: 28 – 29 Sepember 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Pagar

Pagar-pagar semakin terpacak
mengelilingi daerah permai
estet perumahan, ruang legar
semua dipagari teguh
diperhati alat kawalan jauh
biar teratur, selamat, sempurna
demi sejahtera.

Di daerah sekangkang kera
segalanya rinci ditapis
demi kemaslahatan
demi keselamatan
& si kayangan semakin riuh
dengan cemeti yang diperkukuh
bila pagar-pagar semakin membelit
dikawali satelit.

Betapa pagar-pagar semakin teguh
si marhaen dipengap, dilumpuh.

Ditulis: 5 – 6 Oktober 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Jalan Itu

Jalan itu semakin terhampar
tika kaki memulakan jalan pulang
pohon & semak bersimpang-siur
batu-bata, onak merimbun
serangga, mergastua muncul
sesekali timbul mata air, sungai
tanah lapang, bukit-bukau
mentari bersinar, mengambang bulan
indahnya langit yang dihias
walau sesekali dilanda banjir, halilintar
namun pada langkah-langkah itu
pasti ditemui damai.

Jalan itu semakin jelas
& akulah atom yang lama terpanar
dijerlus kesangsian
digoda kesementaraan
namun rahmat-Mu luas terbentang
mengaspalkan perjalanan
langkah awal, langkah akhir
tika ufuk menjinggai malam.

Ditulis: 22 Oktober 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Bius

Kita tidak pernah belajar menjadi besar
dibiuskan kelalaian
boneka-boneka yang dijulang
belalang mengaku helang
& media ditoksik yang tohor
usah capai mercu
usah berfikiran jitu
telan & hayatilah
kedunguan yang dikitar-kitar
seolah kita tiada sejarah, peradaban.

Kita bahagia dengan yang remeh
memalapkan jiwa, minda
bersuara bagai kakak tua
berdecit sekali-sekala
& ceria berenang di longkang
mengaku juara, pejuang
sedang di sungai & lautan
kita sekadar bilis
terkapai dilambung arus
tetapi masih mengaku paus
di tengah khalayak yang semakin dibius
asalkan kita tetap jaguh, betul.

Ditulis: 2 November 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Amben

Amben itu pernah kita duduki
ketika petang, menunggu Nenek pulang
setelah berhari-hari bekerja di Katong
& kita menanti penuh sabar
Nenek akan bersama keluarga
menghilangkan penat & sunyinya
setelah menjadi balu, & turut membesarkan kita.

Amben itu tempat penantian
Nenek dengan ceritanya & kasih sayang
membawa kita jauh, di tengah sibuk
tika Jalan Kobis diriuhkan Sabtu petang
penduduk kampung beristirahat, bersantai
& kita yang kecil-kecil, ceria & cepat bersedia
duduk di amben, menanti Nenek pulang.

Ada amben di sesetengah rumah
menjadi meja makan, tempat tidur
tempat membuat kerja sekolah, kerja dapur
tetapi amben yang satu ini lain
berdekatan pokok jambu, durian belanda, mangga
rumah Mak Yah Padang, Mak Mon, 2 kedai Kaka
bagai balai menghadap istimewa
dengan Mak & Ucu di rumah berek di belakangnya
Bak balik lebih awal menunggang Vespa
& kita menanti penuh harap Nenek tiba
menuruni bas dari Jalan Eunos, melepasi Central
berhadapan kilang roti, Nenek menyusuri
Jalan Ladang yang panjang, melepasi Jalan Hassan
Jalan Petai, Jalan Silat Gayong, rumah Nek Nyonya
menghampiri Jalan Kobis & amben kita
bagai bayu segar, harum berlegar
& bersama kita di 1A, Jalan Kobis
mesra melayani kita yang lama merindu
setelah hampir seminggu tidak bertemu.

Ditulis: 4 – 5 November 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Surut

Ketika kenangan itu semakin surut
& kita dialpakan ketika
meninjau yang tersurat
kadang mencampur-adukkan segala
& sukar menghadam
makna sebenar sejarah –
pohon, syajarah, dalam bahasa Arab
tawarikh, seperti yang pernah kita telaah
semua membenih, membesar
berputar pada zaman-zamannya
tapi kau membaca hanya yang tercatat
tidak semestinya benar
tidak semestinya tepat
pada kanvas masyarakat.

Apakah semakin surut
segala yang pernah ada
alur dibentuk yang beragenda
atau digores percaturan semasa
sedang sebuah kampung halaman
penghuninya & kehidupan
masih berpeta di jiwa
mendenyutkan nostalgia
meresahkan rasa
menyalakan yang terbaik
sebelum semua disurut masa.

Ditulis: 8 November 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Madah Manis & Manja 5

Manja (warna hitam dan kelabu/putih) dan Manis (warna hitam, perang, putih) yang baru berusia 2 tahun pada Oktober 2021.

1.Kok komit-komit,
Kita masih dilanda Covid.

2.Buai laju-laju,
Sampai balik sana;
Jangan risau & pilu,
Pasti Covid berakhir jua.

3.Hujung bendul ada lemak,
Manis gemuk banyak lemak.

4.Cak gelucuk,
Gali-gali ubi;
Dari mana pun tengok,
Manja tetap melidi.

5.Tarik api dalam rabuk,
Rabuk berisi katang-katang;
Cicak bersembunyi di balik tembok,
Merpati & tiung bermain di taman.

6.Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa salah kami,
Kami suka tidur.

7.Padi merbuk padi di Aceh,
Hendak dijual di tengah pekan;
Gemuk, kurus, hati kan kasih,
Kucing cantik tak boleh dimakan.

8.Pisau wali buat peraut,
Camca jatuh patah berdengung;
Cicak terjatuh ke atas selimut,
Mengacah kami, nanti melolong.

9.Wau lah wau bulan,
Walau bulan teraju tiga;
Manja & Manis berani bertahan,
Beradu silat dengan serangga.

10.Orang makan rojak,
Dia makan kapur;
Burung asyik bertandak,
Manis & Manja ‘bertutur’.

11.Temilang dua berselang,
Penggali urat si jemertas;
Suka memanjat, berkejar-kejaran,
Tenung-menenung nak baham lipas.

12.Jikalau lengang dalam negeri.
Marilah kita pergi ke kota;
Hairan & aneh kucingku ini,
Bertemu catnip mabuk segala.

13.Ayam denak deni,
Makan pucuk kacang;
Nak terkam burung dari tadi,
Tingkap kaca jadi penghalang.

14.Anak angsa mati lemas,
Mati lemas di air masin;
Kami tak pandang wang & emas,
Pokok bunga Mak yang kami sunting.

15.Masuk ke taman Puspa Berenta,
Menyambar bunga dalam jambangan;
Manja & Manis disayang sama,
Bak minyak penuh yang Mak tatang.

‘Ditulis’ oleh Manis dan Manja dengan bantuan ‘ibu’ mereka. Baris pertama atau baris pertama dan kedua pantun-pantun ini diambil daripada buku: Kumpulan Pantun Melayu, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.
Ditulis: 14 – 15 November 2021.

Masa- Masa Yang Berlalu…..

Adakah anda, seperti saya, terasa betapa cepatnya masa berlalu? Diam tak diam hari-hari biasa kita sudah mencecah hujung minggu. Tahun 2021 juga hampir sampai ke penghujungnya. Terasa baru kita memulakan bulan Januari 2021 tetapi Januari 2022 pula akan menjengah dalam beberapa minggu lagi. Dan Covid-19, yang meresahkan seluruh dunia, masih bersama kita – naik turunnya bagai degupan yang boleh menyentak jantung kita.

Semasa kita kecil, masa itu terasa panjang terutama apabila kita menanti orang tua kita pulang dari bekerja atau pergi ke sesuatu tempat. Kini, bagi mereka yang meningkat usianya, masa terasa singkat; baru kita bersibuk-sibuk di dapur atau menjalankan tugas, masa sudah hampir ke Asar. Baru kita hendak berehat-rehat, ada sahaja yang perlu dibereskan kerana masa bagai berputar kurang daripada 24 jam bagi sesetengah kita.

Mungkin masa itu relatif sifatnya. Apabila kita bergembira dan bersantai, masa berlalu cepat tetapi apabila kita bersedih dan menghadapi tekanan, masa bergerak lambat. Bagai cerita arnab dengan kura-kura, kita boleh dari masa ke semasa bergerak cepat seperti arnab atau seperti kura-kura lambat bergerak. Dan kadangkala kita mahu masa ‘berhenti’ kerana terasa putarannya semakin pantas.

Ada kawan-kawan kita terasa cepatnya masa berlalu terutama semasa hari lahir mereka. Menayangkan video ringkas gambar-gambar lama dalam media sosial seolah-olah meyakinkan bahawa usia kita meniti senja – wajah yang diubah masa, penampilan yang diwarnai usia dan kesihatan yang mula mengendur – kadang membuat kita berhenti sejenak dan bertanya apa yang telah kita lakukan dalam hidup kita sejauh ini. Ya, kita mungkin ada anak cucu, kerjaya, sudah bersara atau selesa di rumah sebagaimana dahulu semasa muda-muda kita membesarkan keluarga. Tetapi dengan cepatnya masa berlalu, kita bagai tidak sempat bertanya, ke mana pergi masa-masa kita?

Masa itu boleh diabadikan dengan pelbagai cara – gambar, video, tulisan, kenangan bersama dan sebagainya. Tetapi yang sering berputar ialah rakaman dalam fikiran kita bahawa pada suatu masa dahulu kita berkampung di tempat ini, berkawan dengan orang ini, bersekolah di sini, berkasih dengan orang ini, bekerja, berkeluarga, melihat anak atau anak buah membesar dan kini kita menyaksikan pula cucu-cucu membesar. Cepatnya masa berputar.

Ada beberapa hal yang boleh merisaukan mereka yang meniti senja, antaranya soal kesihatan, kewangan, kesunyian dan masa-masa yang semakin terbatas di dunia. Betapa sedihnya apabila kita melihat orang-orang yang dikatakan warga emas terpaksa bertungkus lumus bekerja demi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Dan jumlah orang-orang yang kesunyian semasa lanjut usia, walaupun berkeluarga, juga meningkat. Kesihatan pula selalu menjadi kerisauan golongan ini dan berkait dengannya tentulah masa-masa kita di dunia ini yang terbatas bilangannya.

Beberapa orang yang saya kenal diresahkan hal-hal kesihatan, bukan hanya terhadap apa yang mereka alami tetapi juga apa yang dialami orang-orang yang akrab dengan mereka.

Seorang kawan saya mendengar berita daripada rakan sekerjanya yang menjadi kawan rapatnya, bahawa dia diterjah amnesia. Kawannya ini sedang berenang di kolam renang awam tetapi tiba-tiba ingatannya hilang – dia tidak tahu di mana dia berada, apa yang sedang dan harus dilakukan dan sebagaiya. Nasib baik nombor telefon adiknya tertera dalam telefon bimbitnya dan dia dapat menelefon adiknya, yang membawanya ke hospital. Kalau dia mengalami amnesia dan benar-benar tidak dapat menghubungi sesiapa, bagaimana pula kesudahannya? Rakan kerja kawan saya ini menangis semasa menceritakan hal ini.Timbul rasa takutnya, bagaimana kalau amnesia ini berulang?

Dan kawan saya ini mengalami satu lagi kejutan – adik lelakinya yang menginap di luar negara juga mengalami amnesia bukan semasa berenang tetapi semasa bertugas. Nasib baik semasa bertugas amnesianya tidak menjejas sesiapa kecuali dirinya. Kawan saya dan keluarga berangkainya menangis menerima berita adik bongsu mereka. Kalau tidak kerana Covid-19, mungkin kawan saya dan seorang dua keluarganya akan bersama adik mereka di negara barat itu.

Siapalah sangka, dalam usia yang belum lanjut, dua insan yang akrab dengan kawan saya boleh tiba-tiba diterjah amnesia? Betapa segala in menggerun dan menginsafkan – bahawa segala-galanya boleh ‘menghilang’ dengan sekelip mata dan kita mungkin tidak dapat menghubungi atau dibantu sesiapa. Nauzubillah.

Seorang kawan saya bertandang ke rumah saya baru-baru ini. Kami berkawan sejak awal remaja dan kawan saya ini mempunyai beberapa orang anak dan cucu. Selain kami makan-makan, terkenang-kenang kisah silam dan bercakap sedikit hal-hal semasa, perkara yang mengharukan kawan saya ini ialah kematian seorang kawan yang kami kenal. Kawan yang meninggal dunia ini lebih berusia daripada kami dan dahulu sama-sama belajar agama dengan Ustazah Habsah Senin dan guru-guru agama yang lain. Lama tidak bertemu, silaturahim mereka terjalin semula kerana cucu-cucu mereka yang masih kecil menaiki kenderaan yang sama ke sekolah. Dan apabila kawan yang lebih berusia ini dimasukkan ke hospital, kawan saya memakluminya. Malah hanya beberapa hari sebelum meninggal dunia, kawan saya dihubungi Allahyarhamah. Dalam sekelip mata, orang yang dikenal sejak remaja telah tiada lagi di dunia.

Isu ini yang banyak mendapat perhatian kami hari itu. Apabila kawan atau ahli keluarga seangkatan anda satu-satu berpulang ke rahmatullah, anda akan terasa cepatnya masa-masa berlalu dan terbatasnya usaha anda untuk melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat bagi masa-masa anda yang masih tersisa. Anda akan bertanya – cukupkah persiapanku ke negeri akhirat? Saksamakah aku menunaikan segala tanggungjawab? Masihkah ada masa untuk aku luangkan dengan mereka yang kusayang? Membantu apa yang termampu demi kesejahteraan mereka yang akrab? Bermaknakah hidupku sejauh ini atau kehadiranku bagai angin berlalu pergi? Dan yang paling meresahkan anda tentunya terbatasnya persiapan anda untuk ‘berpindah’ ke alam bazakh dan alam akhirat seterusnya.

Betapa cepatnya masa-masa berlalu. Orang yang kita kenal dahulu semakin diubah masa tetapi keikhlasan seseorang itu juga terserlah dengan berputarnya masa. Yang jujur dan ikhlas itu, baik dalam perhubungan peribadi, kerjaya atau penglibatan-penglibatan lain dalam kehidupan kita, tetap bermakna dengan berlalunya masa. Yang sebaliknya, jika kita prihatin, juga menampakkan wajah-wajah sebenar mereka dengan pelbagai cara dengan beredarnya masa. Kita kadangkala menjadi lebih memahami keadaan dan belajar membezakan kaca dan manikam dengan masa yang berputar. Dan kita menginsafi kesilapan kita dan keterbatasan masa yang dipinjamkan kepada kita.

Masa-masa yang berlalu akan membuat kita menoleh ke belakang dan mengenang. Ia tetap membuat kita prihatin terhadap hal-hal semasa yang meruntun jiwa, walaupun kita semakin maklum apa yang mampu kita buat dan ubah dan apa yang di luar sempadan kemampuan kita. Dan ia juga membuat kita cuba meninjau-ninjau ke masa hadapan. Bukan, bukan untuk meninggalkan legasi, nama atau mahu disebut-sebut orang setelah kita berpulang tetapi masa hadapan yang lebih kekal.

Terasa terbatasnya usaha kita kerana usia, kesihatan dan kemampuan yang ada tetapi kita semakin memahami makna sebenar kehidupan dan memenuhi tuntutannya. Dan lebih daripada segala-galanya, kita maklumi kekurangan dan kesilapan kita dan mahu melayarkan perahu hidup kita dengan tabah dan tenang, bersauh dan berdayungkan Islam. Muatan kita semakin terbatas dan banyak yang terpaksa kita tinggalkan demi memudahkan sebuah pelayaran.

Dan masa-masa itu pun berlalu sehingga suatu ketika perahu hidup kita berlabuh di sebuah pulau nan jauh – mudah-mudahan sezarah amalan dan kebaikan yang pernah kita lakukan, Allah terima sebagai ikhlas dan kehidupan kita di alam lain itu ternyata bahagia, sejahtera dan damai.

Ditulis: 13 – 14 November 2021
Tulisan: Rasiah Halil.

Penulis-Penulis Afrika- Amerika [Sambungan; Ditulis Pada 1996]

B: AFRIKA-AMERIKA

Memang sejak dahulu lagi saya tertarik dengan perjuangan dan pergerakan golongan minoriti Afrika-Amerika. Ini dibumbui oleh keadaan zaman 60-an, bila saya membaca dan menonton mengenai ‘civil rights movement’ yang ditunjangi oleh Martin Luther King dan Malcolm X (Malik El-Shabazz). Pada zaman desegregasi dan Ku Klax Klan itu, kita temui idealisme yang dicetuskan John dan Robert Kennedy serta Dr King dan Malcolm X; idealisme yang ingin melihat manusia lebih daripada warna kulitnya iaitu insan yang mempunyai harga diri dan maruah.

Amat berbeza dengan golongan Asia-Amerika, sebahagian terbesar golongan ini datang ke Amerika kerana jaringan perhambaan. Dari benua Afrika, sama ada rakyat jelata atau golongan atasan, orang-orang ini didera dan dipaksa menjadi sahaya dalam ‘Dunia Baru’ (New World), iaitu Amerika Syarikat, menggerakkan ladang-ladang kapas serta sektor ekonomi lainnya. Siratan sejarah golongan ini amat jelas tergambar dalam novel Roots tulisan Alex Haley.

Dan sebagaimana golongan Asia-Amerika, mereka juga tidak sepi daripada dikemukakan dalam citra stereotaip, yang kurang adil mahupun munasabah. Penulis Afrika-Amerika ini wujud lebih awal, misalnya telah ada dokumentasi tulisan mereka sejak abad ke 17, namun yang lebih terserlah ialah pada abad ke 20. Satu pertubuhan yang menonjol mengungkapkan masalah golongan ini ialah NAACP: National Association for the Advancement of Colored People. Dan satu perisitiwa besar yang berlaku pada 28 Ogos 1968 ialah ‘March on Washington’, di Lincoln Memorial, Washington D.C, yang dihadiri oleh 200,000 orang. Dalam perhimpunan inilah Dr Martin Luther King, yang banyak dipengaruhi konsep perjuangan tanpa kekerasan Mahatma Gandhi, memberikan ceramahnya yang amat berkesan berjudul ‘I Have a Dream’. Walaupun sebahagian impian indah buat masyarakat Amerika dan dunia ini seakan terkubur dengan terbunuhnya John Kennedy, Martin Luther King, Malcolm X dan Robert kennedy, namun sebahagian kecil ciri-ciri impian ini masih tetap ditemui dalam sastera dan masyarakat Amerika sehingga kini.

Siapakah sasterawan Afrika-Amerika? Di antara nama yang kita temui ialah: W.E.B. DuBois, Frederick Douglass, Philis Wheatley, Langston Hughes, Frances Harper, Ralph Ellison, Richard Wright, James Baldwin, Zora Neale Hurston, Toni Morrison, Alice Walker, Ishmael Reed, Maya Angelou dan lain-lain. Dan seperti sasterawan awal Melayu, sasterawan Afrika-Amerika juga amat prihatin terhadap masalah membangunkan minda masyarakat dalam tulisan dan karya sastera mereka. Ini kita temui dalam tulisan-tulisan W.E.B. Dubois, Zola Neale Hurston dan lain-lain.

Satu pergerakan sastera yang agak berpengaruh pada abad ini ialah ‘Harlem Renaissance’ yang bermula pada 1917 dan berakhir pada 1935. Pergerakan ini banyak menimbulkan minat dan keterlibatan seniman Afrika-Amerika dan menampilkan lagi kewujudan mereka di bumi Amerika Syarikat. ‘Kebangkitan’ ini kemudian berpusar dengan pergerakan ‘civil rights’ pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Yang penting, pergerakan ini banyak mempersoalkan martabat masyarakat Afrika-Amerika, halangan-halangan yang membendungi kejayaan mereka dan juga semacam harga diri yang perlu terus dipupuk dan ditunjangkan.

Saya cukup tertarik dengan tulisan beberapa orang penulis Afrika-Amerika ini. Frances Harper (1825-1911) misalnya, bukan hanya menulis sajak dan esei malah menjadi pensyarah wanita profesional yang pertama bagi golongan ini. Dia banyak memberi kuliah mengenai isu-isu anti-perhambaan, pergerakan ‘civil rights’, kedamaian dan lain-lain. Antara karyanya termasuklah Forest Leaves (1845), Poems on Miscellaneous Subjects (1855) dan lain-lain.

Langston Hughes (1902-1967) adalah seorang penyair yang berbakat. Sajaknya berjudul ‘The Negro Speak of Rivers’ bukan hanya mengingatkan golongan Afrika-Amerika akan asal-usul mereka, bahkan mengingatkan akan kekayaan kebudayaan mereka sebelum mereka dijajah dan dijadikan hamba oleh orang-orang Eropah dan sebagainya. Selain puisi, Hughes juga menulis esei, novel, drama dan lain-lain. Dia adalah di antara penulis awal Afrika-Amerika yang menyara hidupnya sepenuh masa sebagai penulis. Antara karyanya termasuklah The Weary Blues (1926), Fine Clothes to the Jew (1927) dan Not Without Laughter (1930).

Ishmael Reed (1938 – ) pula adalah di antara penulis Afrika-Amerika yang terbaik. Beliau suka menggunakan unsur satira dalam tulisannya dan gemar ermain-main dengan bahasa untuk menyindir sesuatu keadaan. Beliau menulis puisi, novel, esei dan juga boleh berlakon. Di antara karyanya termasuklah The Freelance Pallbearers (1967), Mumbo Jumbo (1973), Flight to Canada (1976), The Terrible Twos (1989), Japanese by Spring (1993) dan lain-lain. Pandangan beliau terhadap sejarah amat terbuka, dan pandangan ini sekali sekala mengingatkan saya kepada tulisan-tulisan novelis Singapura, Suchen Christine Lim, yang telah menghasilkan novel Rice Bowl, A Fistful of Colours dan lain-lain.

Siapakah di antara penulis wanita moden Afrika-Amerika yang saya minati? Dua orang ini amat terserlah: Alice Walker (1944 – ) dengan novelnya The Colour Purple (1982) yang memenangi Hadiah Pulitzer, berjaya dilayarperakkan, dan Toni Morrison (1931 – [semasa esei ini ditulis Toni Morison masih hidup; beliau meninggal dunia pada5 Ogos 2019] ) yang dianugerahi Hadiah Nobel Bagi Kesusasteraan pada 1993. Kedua-duanya, dengan cara mereka senddiri, banyak menyiratkan masalah, perjuangan dan harapan golongan Afrika-Amerika dengan begitu terperinci dan indah sama ada dalam novel, esei mahupun puisi mereka.

Di antara karya-karya Alice Walker, termasuklah: Once (1968) The Third Life of Orange Copeland (1970), Revolutionaries, Petunias & Other Poems (1973), In Love & Trouble (1973), You Can’t Keep a Good Woman Down (1981), In Search of Our Mother’s Garden (1983), The Temple of My Familiar (1989), Possessing the Secret of Joy (1992) dan lain-lain. Toni Morrison pula telah melahirkan beberapa novel yang dianugerahi hadiah terbaik di Amerika. Di antara novelnya termasuklah: The Bluest Eye (1970), Sula (1975), Song of Solomon (1978), Beloved (1988), Jazz (1993) dan lain-lain.

Mereka (Alice dan Toni) amat prihatin terhadap masalah wanita, terutama wanita Afrika-Amerika. Seperti Frances Harper sebelum mereka, seni mereka menjadi cabang daripada erti kewujudan diri dan masyarakat, walaupun ini jarang ditampilkan dalam gambaran propaganda. Toni Morrison, misalnya, banyak diilhami oleh tradisi pencerita dalam keluarganya dan juga muzik, sedangkan Alice Walker pula, yang buta sebelah matanya, mempunyai visi yang tajam terhadap keindahan kehidupan. Masalah perkauman diserlahkan tanpa perasaan bangga tidak menentu atau rendah diri yang tidak berpedoman. Seperti mana yang dikatakan Toni Morrison: ‘I simply wanted to write literature that was irrevocably, indisputally Black.’

Apakah kesimpulan yang ditemui dalam tulisan sasterawan golongan ini? Kita dapati sasterawan yang ulung itu jujur dalam penglibatannya, tidak mudah dihanyuti anugerah atau masalah, bijaksana menampilkan keseniannya dan walaupun hatinya terhiris mendepangi pelbagai hambatan diri dan golongannya, sebahagian besar hasil kesenian mereka bukanlah omong propaganda semata. Walaupun tiap penulis itu harus melalui fasa-fasa tertentu, kecintaannya pada golongannya tidak pula bererti kebencian kepada golongan lain, seperti suatu ‘zero-sum game’. Yang tidak disetujui adalah sikap-sikap perkauman dan dwitara tetapi yang diterima adalah manusia dan keindahan keinsanan manusia. Sebagaimana kata Frances Harper: ‘We are bound up together in one great bundle of humanity.’

Maya Angelou (1928 – [semasa esei ini ditulis beliau masih hidup; Maya Angelou meninggal dunia pada 28 Mei 2014]) seniman berbakat yang telah melahirkankarya-karya: I Know Why the Caged Bird Sing, I Shall Not Be Moved, Wouldn’t Take Nothing for a Journey dan lain-lain, telah mencipta puisi yang indah bertajuk ‘On the Pulse of the Morning’ semasa majlis sulung perlantikan Presiden Bill Clinton pada 1993, yang natijahnya menggambarkan bukan hanya harapan rakyat Amerika, bahkan golongan Afrika-Amerika khususnya. Saya nukil sebahagiannya:

……………………………………………………
Here, root yourselves beside me.
I am that Tree planted by the River,
Which will not be moved.
I, the Rock, I, the River, I, the Tree
I am yours – your passages have been paid.
Lift up your faces, you have a piercing need
For this bright morning dawning for you.
History, despite its wrenching pain
Cannot be unlived, but if faced
With courage, need not be lived again.

Lift up your eyes upon
This day breaking for you.
Give birth again
To the dream.

Women, children, men,
Take it into the palms of your hands,
Mold it into the shape of your most
Private need. Sculpt it into
The image of your most public self.
Lift up your hearts
Each new hour holds new chances
For a new beginning.
Do not be wedded forever
To fear, yoked eternally
To brutishness.

……………………………………………………………….
Here, on the pulse of this new day
You may have the grace to look up and out
And into your sister’s eyes,
And into your brother’s face,
Your country
And say simply
Very simply
With hope –
Good morning.

Disiapkan: 9 Mac 1996
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) dalam beberapa siri berlainan tajuk pada 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Bersambung…..