Archive | February 2024

Kata Mutiara: Januari – Februari 2024

Allah Loves Those Who Act Justly

During the truce effected by the Treaty of al-Hudaybiyyah, Qutaylah bint ‘Abdil ‘Uzza visited her daughter Asma’ bint Abu Bakr (RA), in Madinah. Asma’ says, ‘My mother came to me, hopeful (for financial support) during the time of the Prophet (SAW), so I asked the Prophet (SAW), “Should I uphold ties with her?” He said, ‘Yes’”*

Though this may seem unremarkable, the Prophet (SAW) was allowing a pagan woman, from an enemy tribe, to stay in the home of two high-profile men of state, for Asma’ (RA) was the daughter of Abu Bakr as-Siddiq (RA) and the wife of az-Zubayr ibn al-‘Awwam (RA). This may have been why she hesitated about admitting her mother into the home, lest her mother assassinate either of these personalities or gather some sensitive information. Ibn ‘Uyaynah, a sub-narrator of this hadith, said that it was regarding her that Allah revealed, ‘Allah does not forbid you regarding those who do not fight you because of religion and do not expel you from your homes for being righteous toward them and acting justly toward them. Indeed, Allah loves those who act justly.’ (Quran: al-Mumtahanah: 60:8)

*Collected by al-Bukhari (801) and Muslim (2194)

Daripada: Mohammad Elshinawy & Omar Suleiman, 2022. The Prophet of Mercy. United Kingdom: Kube Publishing Ltd, halaman 64.

I Love You More

The more I fight for you, the more I love you!
What land except this land of musk and amber?
What horizon but this one defines my world?
The branch of my life turns greener when I uphold you
And my wing, Oh Palestine, spreads wide over the peaks.

Has the lemon trees been nurtured by our tears?
No more do birds flutter among the high pines,
or stars gaze vigilantly over Mt. Carmel.
The little orchards weep for us, gardens grow desolate,
the vines are forever saddened.

Whenever your name sounds in my ears, my words grow more poetic
planting desire for you on every stoop.
Is it possible these words could be torches
lighting each desert and place of exile?
Oh Palestine! Nothing more beautiful, more precious, more pure!
The more I fight for you, the more I love you.

Ditulis dalam bahasa Arab oleh: Abu Salma (nama pena Abd al-Kareem al-Karmi)
Diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh: Sharif Elmusa dan Noami Shihab Nye.

From the Diary of an Almost-Four-Year-Old

Tomorrow, the bandages
will come off. I wonder
will I see half an orange,
half an apple, half my
mother’s face
with my one remaining eye?

I did not see the bullet
but felt its pain
exploding in my head.
His image did not
vanish, the soldier
with a big gun, unsteady
hands, and a look in
his eyes
I could not understand.

If I can see him so clearly
with my eyes closed,
it could be that inside our heads
we each have one spare set
of eyes
to make up for the ones we lose.

Next month, on my birthday,
I’ll have a brand new glass eye,
maybe things will look round
and fat in the middle –
I’ve gazed through all my marbles,
they made the world look strange.

I hear a nine-month-old
has also lost an eye,
I wonder if my soldier
shot her too – a soldier
looking for little girls who
look him in the eye –
I’m old enough, almost four,
I’ve seen enough of life,
but she’s just a baby
who didn’t know any better.

June 1988.

Ditulis dalam bahasa Inggeris oleh: Hanan Mikha’il ‘Ashrawi.

Kedua-dua puisi diambil daripada Salma Khadra Jayyusi (editor), 1992. An Anthology of Modern Palestinian Literature. New York: Columbia University Press, halaman 97, 340 – 341.

Catatan Januari – Februari 2024

1.Permulaan tahun baharu 2024 yang baru berlalu bukanlah sesuatu yang terlalu menggembirakan kita. Banyak kegusaran dan kesedihan yang melanda dunia dan manusia, baik secara sarwajagat mahupun peribadi. Namun, sebagai manusia biasa, kita tetap berharap tahun 2024 ini akan bertambah baik dari pelbagai segi walaupun tidak semua kelihatan cerah di ruang-ruang kehidupan ini. Keadaan ekonomi bagi sesetengah negara tidak sebaiknya dan bagi sesetengah orang pula, masalah ekonomi bercambah ke masalah-masalah lain yang menyukarkan kehidupan. Harapan itu tetap ada tetapi kita memerlukan semangat dan kekuatan jiwa agar obor harapan itu tetap menyala di hati kita.

2.Beberapa kali saya tersangkak semasa ingin menyiapkan masukan-masukan bagi blog kali ini. Pada mulanya saya berharap dapat menyiapkannya sebelum Disember 2023 tetapi terhalang oleh beberapa kendala. Kendala-kendala ini termasuklah kesibukan hal-hal peribadi seperti tuntutan kehidupan, kesihatan yang tidak sebaiknya, hal-hal keluarga, termasuk dua orang ahli keluarga saya, kakak kedua dan sepupu saya dijengah sakit berat dan dimasukkan ke hospital dan sepupu saya meninggal dunia pada 18 Oktober lalu serta beberapa isu semasa yang begitu meruntun jiwa.

3.Salah satu perkara yang merusuhkan kita tentulah keadaan di Palestin. Perang di Gaza masih belum terlerai walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice/ICJ) sudah pun mengeluarkan keputusan. Malah keadaannya semakin meruncing seolah-olah ada sepakatan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan apa pun usaha gencatan senjata dan perdamaian. Keadaan ini diburukkan lagi apabila keputusan ICJ diumumkan dan serentak dengan itu, ada tuduhan bahawa 12 pekerja UNRWA (United Nations Relief and Works Agency/Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) terlibat dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 lalu. Tiada pembuktian, malah ada yang dituduh sudah meninggal, tidak bekerja dengan UNWRA dan sebagainya, namun dana untuk keperluan asas orang-orang Palestin dihentikan oleh pihak-pihak tertentu. Kebetulan atau dirancang? Perang ini benar-benar ingin menghukum Hamas atau melenyapkan orang-orang Palestin dan apa pun yang masih wujud sebagai tanah air, sejarah, budaya dan warisan mereka? Betapa berat sebelah pelbagai sorotan mengenai perang ini dan betapa hebatnya sikap dwitara kuasa-kuasa tertentu bermaharajalela.

Bagi sebilangan kita, perang di Gaza dan kini merebak ke Tebing Barat dan semakin meledak di Rafah, bukannya perang agama antara agama Islam dan Yahudi, walaupun sebilangan besar orang-orang Palestin beragama Islam. Ia juga bukan suatu penentangan melulu terhadap orang Yahudi dan agama mereka tetapi penentangan terhadap golongan Zionis dan polisi tegar mereka. Ia lebih kepada perang kemanusiaan. Yang terbunuh bukan hanya orang-orang Islam tetapi juga orang-orang Kristian dan Yahudi. Penghuni Palestin sejak dahulu dihuni oleh orang-orang daripada pelbagai agama terutamanya orang-orang Islam, Kristian dan Yahudi, walaupun majoritinya orang Islam. Kita bukan sekadar bersuara kerana orang-orang Islam terbunuh tetapi kerana dalam keadaan hidup yang semakin canggih, nilai kemanusiaan itu begitu menipis sehingga kekejaman yang dahsyat ini boleh dilakukan. Dan naratif dan persepsi yang penuh hipokrasi dan kebohongan begitu berleluasa disebarkan. Ke manakah perginya nurani (conscience) kita? Dibeli wang dan kuasa? Dikaburi segala yang sementara sehingga nyawa kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang awam, selain pekerja bidang kesihatan, wartawan dan seumpama itu, tiada nilainya? Begitu muflisnya sesetengah pihak dari segi nuraninya terhadap kemanusiaan bersama kita sehingga tempat-tempat yang dianggap selamat – rumah, hospital, masjid, gereja, sekolah, pejabat UNWRA, selain prasarana-prasarana yang sedia ada diruntuhkan sesukanya. Benar-benar golongan-golongan ini tidak berhati perut; seolah-olah membunuh sewenang-wenangnya itu ‘halal’ dan merekalah ‘si mangsa’.

Ramai telah bersuara, termasuk mereka daripada kalangan orang-orang beragama Islam, Kristian, Yahudi, penganut agama lain, malah mereka yang tidak beragama juga. Kita semua mungkin ada perbezaan tertentu dari segi menyingkapi agama atau kehidupan tetapi nilai-nilai kemanusiaan seharusnya menyatukan kita untuk bersuara apabila ketidakadilan, kekejaman, pembunuhan dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Kita tidak boleh bertindak seperti kisah si Luncai apabila terjun dengan labu-labunya, kita hanya sanggup berkata ‘biarkan…biarkan..’ Dan yang jeleknya, selain sikap dan tindakan dwitara kuasa-kuasa tertentu, negara-negara serumpun, yang kaya dan berupaya, sebilangannya hanya pandai mengikut telunjuk dalang-dalang yang semakin perkasa. Inikah kemanusiaan kita? Si koboi, bajingan, pembunuh tegar, perakus harta, si gila kuasa yang menjadi penentu kebajikan kemanusiaan bersama? Di manakah nurani kita melihat manusia, terutamanya kanak-kanak musnah hidupnya, menjadi yatim piatu dan gelita masa hadapannya kerana ketamakan, dendam dan kekejaman yang tiada penghujungnya ini? Di manakah nurani kita apabila keperluan-keperluan asas seperti makanan, minuman, elektrik, ubat-ubatan, Internet, keselamatan, kebersihan asas dan sebagainya semakin menjadi bahan mewah? Berapa ramai lagi orang-orang yang si tegar menamakan ‘separuh haiwan’ (half animals) akan dikorbankan demi ‘pertahanan’ mereka? Dan orang-orang yang mempertahankan si Jalut ini boleh sahaja didatangkan dari luar dan tidak dianggap pengganas tetapi jika sebaliknya berlaku, semua dianggap pengganas belaka. Betapa nyawa manusia di Palestin itu bagai tiada nilainya. Sebilangan kita amat terjejas membaca dan menonton hal-hal sebegini kerana tidak pernah melihat manusia dihancurkan sewenang-wenangnya di depan mata dan nilai kemanusiaan bersama kita bagai tiada lagi maknanya.

Dalam Islam, kita ada konsep ‘kifarah’ dan di kalangan orang bukan Islam, ada konsep ‘karma’. Isaac Newton walaupun membincangkan mengenai sains graviti menegaskan dalam undang-undang ketiga gravitinya bahawa: ‘to every action there is an equal and opposite reaction’. Ini boleh diguna pakai di luar bidang sains juga – bahawa setiap perbuatan itu ada balasan yang setimpal dengannya. Kita yakin tiada yang sia-sia; perbuatan yang zalim atau kejam itu lambat laun akan ada balasan yang setimpal. Dan doa orang-orang yang dianiaya, sebagaimana Rasulullah (SAW) bersabda, makbul – tunggulah sahaja, cepat atau lambat terkabul doa mereka yang dianiaya ini.

4.Kematian selalu memeranjat dan mendukakan kita, terutama kematian orang-orang yang kita sayang dan kenal. Dalam kehibaan kita mengikuti keadaan di Palestin dan beberapa daerah, ada di kalangan kita didukakan oleh pemergian orang-orang yang akrab dengan kita. Beberapa kali kita tersentak mendapat berita kerabat, sahabat serta keluarga yang meninggal, kadangkala dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Pemergian dua orang penulis dan penyair pada Disember lalu turut mendukakan sebilangan kita.

Saya menerima beberapa berita melalui WhatsApp mengenai pemergian penulis dan penyair Singapura, Noor Hasnah Adam pada waktu pagi, 11 Disember 2023. Hasnah berpulang ke rahmtullah sekitar jam 11 malam, 10 Disember 2023, di rumahnya di Jelapang Road, Singapura. Beliau berusia 49 tahun. Saya tidak dapat hadir semasa pengkebumiannya pada pagi tersebut kerana ada janji temu di hospital. Saya kemudian menghubungi anak sulung Allahyarhamah, Nur Aisyah Lyana dan menyampaikan salam takziah saya.

Saya membaca tulisan-tulisan Hasnah sejak karyanya mula tersiar dan beberapa kali bertemunya dalam acara-acara sastera di Singapura. Orangnya ramah tetapi sembang kami hanya setakat pertemuan-pertemuan singkat acara sastera sahaja. Saya lebih mengetahui mengenainya daripada beberapa orang yang lebih akrab dengannya.

Hasnah merupakan gelombang penulis-penulis muda yang muncul pada akhir tahun-tahun 1990-an dan walaupun Allahyarhamah termasuk dalam golongan penulis muda ini, cara penulisan dan penglibatan seninya lebih tersendiri. Allahyarhamah bukan hanya menulis cerpen, malah puisi, esei, drama serta boleh berlakon dan memainkan alat muzik. Minatnya pada seni dan masyarakat Melayu-Islam mendalam.

Seorang guru dan ibu kepada empat orang anak ini banyak melalui dugaan dalam kehidupannya tetapi cekal hatinya menghadapi dugaan-dugaan tersebut. Tulisan-tulisannya, terutama cerpen-cerpennya bernas dan esei-esei budaya dan sasteranya turut mewarnai dunia sastera kita. Suaranya tegas tetapi boleh sahaja lunak pada ketika-ketika tertentu. Dan walaupun ada yang kurang senang dengan beberapa hal yang dikemukakan dalam tulisan-tulisannya, namun tiada penilai sastera yang saksama akan berkata tulisannya tidak bermutu atau hambar. Saya memiliki buku-bukunya, sebilangannya dikirimkannya kepada saya.

Setelah menjadi ibu, Hasnah melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya dan Allahyarhamah terkenal kerana berulang-alik ke Universiti Malaya dengan menunggang motosikalnya. Malah pernah juga beliau menjelajah ke beberapa tempat dengan motosikalnya dan menulis mengenai hal tersebut. Jarang benar seorang penulis wanita Melayu melakukan ini. Satu yang saya selalu maklum mengenai Hasnah, Allahyarhamah tidak bermuka-muka dan komited terhadap penglibatan seninya. Caranya kadang kelihatan tidak begitu konvensional tetapi di sebalik apa yang dipamerkan, ternyata hatinya padu terhadap masyarakat Melayu-Islam yang dicintainya.

Sekitar tahun 2009 saya ada menghubungi Hasnah dan beberapa orang penulis wanita Melayu Singapura kerana ingin mengumpulkan sejumlah karya mereka. Hal ini berputik kerana saya menulis kertas kerja mengenai ‘Penulis Muslimah Singapura’ dalam satu seminar sastera di Malaysia pada tahun 2009. Hasrat ini kemudian terpendam kerana beberapa kendala yang saya hadapi, termasuk kesihatan saya. Pada tahun 2015, saya diundang menyampaikan kertas kerja dan membaca puisi dalam sebuah seminar sastera di Malaysia. Hasnah juga turut diundang bersama dua orang lagi penulis Singapura. Semasa saya menyampaikan kertas kerja tersebut, ada seseorang yang menggunakan kata-kata kesat terhadap saya dalam Facebooknya ketika itu. Saya tidak tahu menahu mengenai hal tersebut – Hasnah yang memberitahu saya. Dan setahun dua kemudian, Hasnah menghubungi saya kerana orang yang sama menghinanya pula. Saya menasihatkan Hasnah apa yang patut kerana orang-orang sebegini, bagi saya, dipacu oleh faktor-faktor yang kita sedia maklum. Dan dari masa ke semasa, saya akan memesan seorang dua kawan seangkatannya, menasihatkan Hasnah agar tabah dalam menghadapi beberapa hal kerana bertindak terlalu spontan akan hanya mengundang penyesalan.

Pada 2018 Hasnah mula menghidap penyakit barah rahim. Saya mendapat tahu daripada kawan-kawan seangkatannya, beliau pada mulanya berubat secara kampung dan kemudian berubat secara konvensional. Kemudian, Hasnah ada ketumbuhan di otak dan menjalani pembedahan. Akhirnya barahnya merebak ke hati. Kami berhubung secara WhatsApp walaupun tidak kerap. Saya akan memberitahunya apabila ada entri-entri baharu blog saya atau sesekali menghantar ucapan tertentu (quotes) yang turut saya kongsikan dengan beberapa orang. Saya dapati sejak beberapa waktu sebelum pemergiannya, Hasnah lebih terbuka kepada saya – menghantar emoji-emoji yang menggambarkan rasa kasih dan syukurnya.

Masyarakat Melayu-Islam Singapura khususnya kehilangan seorang penulis yang berbakat dengan pemergian Noor Hasnah Adam. Mudah-mudahan karya-karyanya akan tetap menyentuh hati dan minda masyarakat kita pada masa-masa mendatang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di Jannah. Dan semoga keluarga yang ditinggalkan akan tabah menghadapi dugaan perpisahan ini. Amin. Al-Fatihah.

Saya menerima berita pemergian Puan Salmi Manja (Datin Seri Saleha Abdul Rashid), 86 tahun, sekitar Isyak pada 26 Disember lalu. Penyampai berita sedih itu merupakan isteri kepada anak saudara Pak A. Samad Said, suami Puan Salmi Manja. Menerima berita itu menyedihkan saya dan saya terkenangkan beberapa perkara.

Salmi Manja yang berasal dari Singapura, merupakan antara penulis wanita generasi selepas Perang Dunia Kedua yang menyerlah. Allahyarhamah bergiat aktif dalam persatuan sastera, Angkatan Sasterawan ’50, sejak tahun-tahun 1950-an dahulu. Terdidik di Madrasah al-Maarif al-Islamiah dan Tong Chai English School, kedua-duanya di Singapura, Salmi Manja pada mulanya bertugas sebagai guru di sekolah lamanya, Madrasah al-Maarif al-Islamiah dan kemudian beliau meneruskan kerjanya sebagai wartawan. Allahyarhamah menulis puisi, cerpen, rencana/esei dan novel.

Saya mula membaca karya-karya Salmi Manja ketika saya berusia 13 atau 14 tahun. Walaupun terdidik di sekolah Inggeris, saya juga pernah menuntut di Madrasah Geylang Serai (kini telah tiada), cawangan Madrasah al-Maarif al-Islamiah, yang ketika itu terletak di Jalan Pasir. Di madrasah tersebut ada perpustakaan kecil di Bilik Guru. Terdapat beberapa buah novel selain Majalah Dewan Bahasa (ketika itu dimuatkan juga karya-karya kreatif), Majalah Dewan Pelajar, Majalah Dewan Masyarakat dan kemudiannya, Majalah Dewan Sastera di perpustakaan tersebut. Melalui perpustakaan madrasah inilah saya mengenali tulisan Salmi Manja dan sebilangan penulis Melayu-Indonesia ketika itu. Madrasah saya terletak di kawasan Geylang Serai, lantas saya selalu singgah di Kedai Haji Hashim dan Toko Wijaya untuk membelek-belek serta sesekali membeli buku dan majalah Melayu dalam tulisan Rumi dan Jawi di kedai-kedai buku tersebut. ‘Pengenalan’ saya mengenai dunia sastera Melayu-Indonesia juga dibantu kerana di rumah saya terhadap dua akhbar, The Straits Times dan Berita Harian serta perpustakaan yang memuatkan pelbagai jenis buku dan majalah dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris. Novel-novel Salmi Manja selain beberapa penulis lain, turut termuat di perpustakaan rumah saya.

Saya mendapati tulisan Salmi Manja dan penulis-penulis seangkatannya begitu mengilhamkan pada zaman itu, walaupun di peringkat awal remaja itu saya tiada cita-cita menjadi seorang penulis. Tulisan-tulisan Salmi Manja, Anis Sabirin, Adibah Amin, Zaharah Nawawi dan lain-lain tidak berlegar pada isu-isu remeh, walaupun yang diketengahkan kelihatan berpusar juga pada dunia peribadi dan wanita. Ada perkara-perkara dasar dan jitu yang diketengahkan dan mereka turut melorongkan penglibatan saya dalam bidang sastera – kerana mereka menulis dengan baik, saya tahu saya boleh berusaha untuk mencapai taraf penulisan mudah-mudahan hampir sebaik atau sebaik mereka. Bagi saya Salmi Manja dan sebilangan besar penulis angkatan dan penerus mereka berbobot dan mengesankan. Saya dapati dunia saya turut diperkaya dan diluaskan kerana membaca karya dan penglibatan seni mereka.

Saya membaca misalnya novelnya Rindu Hilang Di Tapak Tangan, Sayang Ustazah Sayang, Entah Mengapa Hatiku Duka, Hendak Hujan Hujan Sekali, buku cerpennya Badan Piatu Di Rantau Orang, buku puisi bersama suaminya A. Samad Said, Daun-daun Berguguran serta sejumlah tulisannya yang tersiar dalam antologi bersama, akhbar dan majalah.

Beliau saya temui pada bulan April 1977 (kalau tak silap saya) di rumah Pak Hamzah Hussin di Kuala Lumpur. Ketika itu saya baru selesai menduduki peperiksaan tahun pertama di Universiti Singapura dan belum mendapat keputusannya. Saya bersama beberapa orang kawan dari Universiti Singapura, salah seorang daripadanya merupakan anak Pak Hamzah Hussin, mengembara tumpang (hitchhike) dari Singapura dan berakhir di rumah Pak Hamzah di Kuala Lumpur. Kami menginap beberapa hari di rumah Pak Hamzah. A Samad Said dan Salmi Manja merupakan kawan-kawan rapat Pak Hamzah dan isterinya, H. Hanim, lantas Pak Hamzah menjemput mereka ke rumahnya. Salmi Manja dan A. Samad Said datang ke rumah Pak Hamzah bersama anak mereka, Helmy.

Sekitar tahun-tahun 2000-an (saya sudah lupa tarikhnya, tetapi saya pasti ini sebelum tahun 2013), Pak Md Gani Ahmad, Md Latiff Mohamed dan saya cuba mengumpulkan sejumlah tulisan penulis-penulis Singapura sejak Perang Dunia Kedua sehingga zaman mutakhir. Kami membahagikan tugas untuk menghubungi penulis tertentu selain mendapatkan sejumlah tulisan mereka dari buku simpanan peribadi dan perpustakaan. Saya ditugaskan untuk menghubungi Salmi Manja. Saya dapat menghubungi beliau tetapi ternyata setelah agak lama meninggalkan dunia sastera, beliau tidak begitu berminat. Saya rasa terkilan jika tulisan Salmi Manja tidak dimasukkan dalam projek tersebut. Sayangnya projek tersebut pun tidak dapat diteruskan kerana beberapa kendala.

Saya selalu terfikir, alangkah baiknya jika karya-karya sastera kita yang lebih awal, daripada penulis-penulis yang baik, diterbitkan semula. Dilambaki tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bertaraf picisan, membaca karya-karya sastera kita yang berbobot tentu akan meningkatkan pemikiran dan ilmu kita dalam bidang penulisan. Ini yang turut saya fikirkan mengenai karya-karya Salmi Manja apabila mendengar berita pemergiannya.

Saya berharap ada usaha dijalankan untuk menerbitkan semula tulisan-tulisan Salmi Manja dan juga mengumpulkan sejumlah tulisannya, terutama yang berbentuk rencana atau esei di dalam akhbar dan majalah sejak zaman 1950-an lagi. Sayang rasanya masyarakat kita semakin tidak mengenali adanya permata seni seperti Salmi Manja di kalangan kita kerana sebilangan karya Allahyarhamah tidak diterbitkan semula atau dikumpulkan. Pada 26 Disember 2023 lalu, salah sebutir bintang nan indah di langit sastera Melayu, tidak lagi kelihatan. Namun saya yakin sumbangan Allahyarhamah Salmi Manja kepada dunia sastera kita akan tetapi dikaji dan dikenang selagi ada yang meminati dunia kesusasteraan Melayu/Nusantara kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di Jannah. Dan semoga Allah memberi ketabahan dan ketenangan kepada keluarga yang ditinggalkan Allahyarhamah dalam menghadapi dugaan besar ini. Amin. Al-Fatihah.

Profesor Dr Vladimir I Barginsky, berbangsa Rusia, seorang pengkaji, sarjana dan penterjemah terutamanya dalam bidang kesusasteraan tradisional Melayu-Indonesia serta pengaruh-pengaruh yang membentuk kesusasteraan tersebut, meninggal dunia pada 2 Februari lalu pada usia 79 tahun. Mendiang mulanya bertugas di Moscow dan kemudiannya lama bertugas di SOAS/School of Oriental and African Studies, Universiti London. Kemahirannya dalam pelbagai bahasa membolehkan Prof Braginsky menimba sebanyaknya daripada bahasa-bahasa tersebut dan menyerlahkan dengan teliti, keindahan-keindahan kesusasteraan tradisional kita dalam kajian dan tulisannya. Selain Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang merupakan salah seorang sarjana terawal mengetengahkan dengan terperinci sumbangan Hamzah Fansuri, penyair sufi dan pemikir Islam pada abad ke-16/17 di Aceh, Sumatera, dalam tesis kedoktorannya, The Mysticism of Hamzah Fansuri (1962, diterbitkan dalam bentuk buku, 1970), Prof Braginsky juga ada mengkaji mengenai Hamzah Fansuri dan pengaruh tasawuf/Islam dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia.

Saya tidak pernah bertemu atau belajar dengan Prof Braginsky tetapi pernah juga membaca beberapa tulisannya kerana saya turut meminati kesusasteraan tradisional kita. Kesusasteraan tradisional kita bagi saya begitu kaya dan berwarna-warni dan saya menggemari tulisan-tulisan Hamzah Fansuri serta karya-karya yang dipengaruhi Islam/tasawuf sejak dahulu lagi. Pada 2006, Pak (Dr) Liaw Yock Fang, mantan pensyarah kesusasteraan klasik saya di Universiti Singapura/Universiti Kebangsaan Singapura, menghadiahkan saya buku Prof Braginsky iaitu The Heritage of Traditional Malay Literature (terbit 2004). Kajian dan tulisan sebeginilah, bagi saya, yang akan memartabatkan lagi kesusasteraan yang kita warisi. Membaca sebilangan buku Prof Braginsky dan mereka yang mendalami bidang ini misalnya tulisan sarjana-sarjana seperti Abu Hassan Sham, Siti Hawa Salleh, Mumammad Haji Salleh, Noriah Taslim, Jelani Harun dan lain-lain, membuat kita lebih maklum akan pelbagai kekuatan dan keindahan kesusasteraan traditional kita. Orang-orang beginilah yang diperlukan dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dalam jalur ini, sumbangan Prof Dr VI Barginsky dalam bidang kesusasteraan tradisional kita tidak mudah dilupakan mereka yang terbuka dan tulus sebagai sarjana, pengkaji atau peminat kesusasteraan tradisional kerana yang silam itu boleh menjadi cerminan apa yang harus dihargai dan dijadikan iktibar dalam kehidupan masa kini.

5.Sejak beberapa hari yang lalu, tersiar berita di Berita Harian (Singapura) bahawa dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Peringkat Biasa (GCE ‘O’ Level) mulai 2024, bahagian ‘Peribahasa’ akan ditiadakan. Ini bermakna para pelajar sekolah menengah di Singapura, baik mereka yang akan mengambil Bahasa Melayu Biasa atau Lanjutan bagi peperiksaan GCE ‘O’ tidak perlu lagi menghafal sebilangan peribahasa Melayu, yang memberi 10 markah dalam peperiksaan tersebut. Ada yang bersetuju dengan perubahan ini kerana menganggap memahami peribahasa itu menyukarkan pembelajaran. Namun terdapat ramai juga yang kurang bersetuju dengan perubahan tersebut.

Saya tidak bersetuju bahagian ‘Peribahasa’ ini ditiadakan; bukanlah susah sangat menghafal atau mengajar bahagian ini dan lebih besar manfaatnya kepada pelajar jika bahagian ini dikekalkan. Para pelajar kita telah didedahkan kepada peribahasa sejak mereka di Darjah 3, di sekolah rendah. Jumlah peribahasa yang perlu difahami juga bukannya banyak sangat. Dengan mengajar peribahasa, para pelajar bukan hanya mengenal kebijaksanaan orang-orang dahulukala, malah didedahkan kepada aneka resam manusia dan kehidupan serta pelbagai tumbuhan, haiwan dan alam sekeliling masyarakat kita. Zaman tercipta peribahasa-peribahasa itu tentunya berbeza dengan zaman sekarang tetapi pokok bicaranya tetap sama – manusia dengan segala permasalahan yang dikaitkan dengan kehidupannya. Bahasa yang digunakan dalam peribahasa kita seringkali padat; bahasanya berlenggok serta mudah diingati. Tanpa peribahasa, akankah anak-anak kita mengetahui sebahagian keindahan bahasa dan budaya Melayu?

Peribahasa dalam apa bahasa pun menggambarkan masyarakat tempat ia tercipta. Bagi masyarakat Melayu dan Tionghoa silam misalnya, yang rata-rata merupakan masyarakat pertanian, tentu ada peribahasa mengenai tanaman, musim yang bergilir, haiwan perosak dan juga hasil pertanian mereka. Dalam bahasa Melayu ada peribahasa yang berbunyi: ‘nasi sudah menjadi bubur’ yang bererti suatu keadaan yang terlanjur dan tidak boleh ditarik balik. Bagi masyarakat Tionghoa, ada peribahasa yang maknanya serupa dengan peribahasa Melayu tadi iaitu ‘beras yang belum dimasak (ditanak) sudah menjadi nasi’. Saya yakin pasti ada peribahasa Tamil misalnya yang menggambarkan hal yang sama. Itulah keadaan peribahasa – mengajar kita merangkaikan sesuatu idea dengan dengan kata-kata yang kelihatan bersahaja tetapi bernas.

Suatu zaman di Singapura sebelum tahun-tahun 1990-an, pelajar-pelajar sekolah menengah dalam aliran Inggeris, hatta mereka yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Pure Science) pun harus belajar kesusasteraan Inggeris, termasuk mempelajari karya-karya William Shakespeare. Berbanding peribahasa, mempelajari karya-karya Shakespeare bukanlah mudah. Bahasa yang digunakan bukan bahasa Inggeris moden. Namun kesukaran inilah akhirnya membuahkan sesuatu yang baik – pelajar boleh memahaminya dan semasa dewasa, kata-kata Shakespeare dalam drama-dramanya yang dianggap sukar itulah yang menghias dan menyusun penggunaan bahasa Inggeris kita agar tidak menjadi beku dan kaku. Demikian juga dengan pendedahan pelajar-pelajar kita kepada peribahasa, simpulan bahasa, pantun, syair serta sejumlah cerita rakyat dan jenaka kita. Inilah rempah-ratus yang membangkitkan aroma dan cita rasa dalam hidangan yang kita namakan ‘bahasa’.

Apalah ada pada bahasa jika maknanya hanya selari sahaja – mungkin nanti kita bercakap bagaikan koboi bertembung dengan Peribumi Amerika sahaja. Dan bayangkan jika pelawak kita tidak pandai bermain kata kerana pengetahuan bahasanya setakat cukup makan sahaja? Tidak akan ada kebolehan bermain kata seperti P. Pamlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Wahid Satay, A R Tompel, Alias Congo dan geng mereka, Hamid Gurkha, Jamali Shadat, kumpulan Senario, geng Sepahtu, Ishak Ahmat, Alias Kadir, Husin Saaban, Ahmad Stokin, Zainal Ihim, Suhaimi Yusof, Khairudin Samsudin dan lain-lain jika penggunaan bahasa yang dipelbagaikan oleh peribahasa dan unsur sastera kita, tidak dihadami mereka. Ini baru sahaja pelawak, bagaimana pula dengan penulis skrip filem dan drama serta penulis seni kata lagu kita?

Semuanya bermula dengan mengenalkan bahasa dan kepelbagaiannya kerana sesuatu bahasa itu walaupun kelihatan statik, ia harus suburkan dengan tanah yang sesuai, dibajai, diberi air, dibenarkan menyedut karbon dioksida dan menyerap sinar matahari agar proses fotosintesis boleh berlaku dan daun-daun pokok itu boleh mencipta klorofil. Kalau satu per satu dicantas untuk memudahkan, lambat laun yang tinggal hanya pohon-pohon bahasa yang semakin bantut dan berpenyakit.

6.Sebuah kumpulan muzik yang memuncak kemasyhurannya pada tahun-tahun1970-an, Bread, dengan penyanyi utamanya David Gates, pernah mengalunkan lagu ‘If’ yang antara seni katanya berbunyi: If a picture paints a thousand words/ then why can’t paint you/ the words will never show/ the you I’ve come to know…. Betapa lukisan atau gambar itu boleh merakamkan seribu kata tanpa menggunakan kata-kata.

Saya meminati bidang lukisan dan fotografi tetapi tidak berbakat dalam kedua-dua bidang seni ini. Saya menghargai adanya lukisan dan gambar yang seakan menjadi perakam sesuatu keadaan, sebagaimana dunia filem, penulisan dan seumpama itu juga boleh berperanan sedemikian.

Yip Yew Chong, 54 tahun, seorang akauntan yang menjadi pelukis mural, telah mengadakan pameran ‘I Paint My Singapore’, yang panjangnya 60 meter dan terdiri daripada 27 panel, di Raffles City Convention Centre, Singapura, dari 30 November 2023 sehingga 1 Januari 2024. Lukisan-lukisannya menggambarkan keadaan Singapura pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, zaman beliau membesar. Saya ingin menghadiri pameran Yip tetapi tidak kesampaian. Saya hanya sempat membaca dan ‘melihat’ lukisan-lukisannya di akhbar dan media sosial. Betapa indah dan nostalgik lukisan-lukisan muralnya, seolah-olah Singapura silam itu masih wujud lagi. Dan Yip pandai bercerita melalui lukisan-lukisannya. Saya berharap Yip akan meneruskan penglibatan seninya dan menggambarkan nostalgia-nostalgianya untuk tatapan generasi mendatang. Dan semoga Yip juga mendapat peluang membukukan lukisan-lukisannya selain diberi peluang dalam bentuk geran dan seumpama itu untuk meneruskan minatnya dalam bidang lukisan mural.

Mengikuti kisah Yip Yew Chong, saya teringatkan Pak Idris Mohd Ali, 79 tahun, pelukis cat air dan beberapa bahan media lainnya. Pak Idris telah lama berkecimpung dalam bidang lukisan dan lukisan-lukisannya juga menjadi perakam semasa dan zaman silam kita. Beliau juga telah mengadakan beberapa pameran. Pak Idris menjadi pelukis utama, selain Iffah Qistina Irwan, bagi buku-buku mengenai Geylang Serai yang diterbitkan oleh pihak Wisma Geylang Serai sejak 20221. Memandangkan sumbangannya yang bererti, tekal dan lama dalam bidang seni lukis, saya berharap Pak Idris akan diberi sokongan dalam membukukan karya-karya lukisannya selain mungkin menulis kenangan hidupnya. Selain itu, besar harapan saya agar Pak Idris Ali diberi pengiktirafan iaitu pemberian Pingat Budaya, sebelum terlambat. Jangan nanti kita terkilan, sumbangannya hilang bersama masa kerana kita tidak memberinya penghargaan yang sewajarnya bagi memudahkan perjalanan seninya, sebagaimana yang berlaku kepada Pak Sarkasi Said.

7.Sambutan Tahun Baharu Cina tinggal beberapa hari sahaja kerana perayaan ini boleh disambut sehingga ‘Chap Goh Mei’ iaitu hari ke-15 Tahun Baharu Cina dan saya yakin anda pun ‘sibuk’ semasa hari-hari perayaan begini. Yang membeli-belah sebelum Tahun Baharu Cina memang ramai, yang pergi bercuti atau bersantai dengan keluarga dan sahabat semasa hari-hari perayaan ini juga seramainya. Dan seperti sebilangan orang, kita bertukar-tukar ucapan dan hadiah dengan jiran-jiran Tionghoa kita serta sahabat dan kerabat yang menyambut Tahun Naga kali ini. Walaupun mercun sudah lama tidak berdentum, mendengar lagu-lagu malar segar bagi menyambut Tahun Baharu Cina, sebagaimana lagu-lagu semasa menyambut Krismas dan Deepavali di pusat beli-belah, kawasan perumahan atau di pusat-pusat penjaja, pasti menyenangkan kita. Tanpa memahami seni kata sebilangan lagu ini, kita juga turut teruja dan kadangkala tersentuh mendengarnya dan mungkin juga terkenang kawan-kawan lama yang dulu tinggal sekampung atau belajar satu sekolah dengan kita, meraikan hari-hari kebesaran ini bersama.

Dan bagi umat Islam, kita sudah pun melangkah ke bulan Syaaban dan tidak lama lagi Ramadan 1445 Hijriah akan menjelma. Sambutan Ramadan di Tanah Suci kali ini akan diadakan beberapa perubahan. Sebilangan kita musykil dengan perubahan-perubahan sebegini kerana pihak-pihak tertentu Tanah Suci seolah-olah mahu menghilangkan hal-hal yang terbiasa, malah digalakkan oleh agama kita iaitu bersifat dermawan, meluangkan lebih banyak masa beribadat, beriktikaf di masjid, bertadarus, menyantuni mereka yang memerlukan semasa berbuka dan sebagainya. Dan ini pula diajukan di tengah-tengah ‘pembaharuan’ yang semakin dilaksanakan misalnya membenarkan sebahagian Tanah Suci dikunjungi orang-orang bukan Islam, mengadakan konsert besar-besaran, membina pusat beli-belah terbaharu yang bentuknya seakan Kaabah, mengizinkan kedai arak dibuka, selain seakan meniadakan demi sedikit warisan Islam yang sedia ada. Pembaharuan atau penghakisan? Kita mengurut dada membaca beberapa langkah dan tingkah pihak di sana.

Semoga ketibaan Ramadan kali ini kita akan lebih bersedia, bukan setakat menghias rumah dan menyaipkan yang terbaharu dan termahal tetapi bersedia dalam erti yang sebenar iaitu menghidupkan malam dan siang Ramadan sebagaimana dianjurkan Rasulullah (SAW) dan al-Quran.

8.Apa pun akan terhampar bagi kita dan penghuni dunia pada tahun 2024 ini, kita berharap biarlah ia lebih baik daripada tahun-tahun kebelakangan ini. Kebobrokan dan kekejaman pasti masih bermaharajalela tetapi saya yakin masih ada nilai-nilai kebaikan dan kejujuran yang tetap meruangi sebilangan besar hati penghuni dunia. Kita tidak boleh merubah semua keadaan tetapi ini tidak bermakna kita berlepas tangan. Kita akan tetap berusaha dan belajar bertawakal. Daripada golongan yang tabah, tidak mudah berputus asa, berusaha sesungguh-sungguh demi kebaikan sesamanya inilah nanti percikan dan pelita kemanusiaan kita akan tetap menyala. Pelbagai masalah dan kesukaran itu tidak akan tiba-tiba menghilang tetapi cara kita menyingkapi hal-hal sedemikian boleh kita perbetulkan lagi agar meningkatkan lagi ketahanan dan jiwa kita.

Bak kata-kata yang ditemui di sebuah rumah dalam sebuah daerah di Britain, yang hampir musnah keseluruhannya kerana dibom semasa Perang Dunia Kedua:

There is not enough darkness in the whole world to put out the light of one small candle. (Tiada kegelapan secukupnya dari seluruh dunia untuk memadamkan cahaya pada sebatang lilin nan kecil.)

Cahaya sebatang lilin itu akan tetap menyala selagi kita tabah, yakin, berusaha dan berlapang dada dalam menyantuni sesama makhluk dan kehidupan ini serta menghayati makna sebenar bertawakal kepada Sang Pencipta, insya-Allah.

Salam Sejahtera
31 Januari – 14 Februari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

13 Kuntum Puisi: ‘Halilintar Perang’, ‘Terbatas’,’Wayang’, ‘Ke Mana Menghilangnya’,’Kehaiwanan’, ‘Belajarlah’, ‘Jalur Waktu’, ‘Sirnakan’, ‘Pembuangan’, ‘Tabik’, ‘Si Beluncas’, ‘Setitis Samudera’ dan ‘Terhijab (ii)’.

Halilintar Perang

Bergema lagi halilintar perang
di bumi bertuah
Gaza, Palestin, semakin luput
si Jalut kemarukkan darah
hapuskan mereka
musnahkan prasarana
bersekongkollah kuasa-kuasa besar
yang tuli
bisu
buta
ligatlah si Jalut membaham
membunuh yang tiada berdosa
mengelar secarik ihsan
demi pertahanan negara
demi warisan, sejarah
sedang kemanusiaan kita berkecai
dibedil bom, propaganda, wang.

Ditulis: 8 – 9 Oktober 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Terbatas
(Mengenang sepupuku Rokiah/Rogayah Abdul Wahab.
Lahir: 1 Mac 1954 – Meninggal: 18 Oktober 2023)

Terbatasnya segala upaya
bila maut menjelma
hilang kelumrahan
terputus kebersamaan
berjeda saat-saat bermakna
tak terungkap si air mata
kepiluan yang meruntun jiwa.

Tiada lagi kesakitan itu menyeksamu, Kiah
tiada lagi kesedihan menyelubungi segala
betapa bercelarunya masa
antara musykil, gusar, tawakal
yang kelihatan biasa, sukar
yang boleh dirawat, muncul, hilang
hingga yang ada hanyalah doa
ayat-ayat suci peringan derita.

Betapa segalanya terbatas
bila sakit yang aneh menjengah
tanpa penawar, walau diusaha
& kita belajar berserah, reda
melihat surutnya masa
kasih dilambung gundah
kebaikanmu bagai ditayang semula
kerana kaulah salah seorang penyambung
pembuhul keluarga besar kita
tetapi semakin menderita, sepi, lemah
sehingga menyentap 18 Oktober
kau berpulang kepada-Nya.

Yang terbatas hanyalah hayat
yang dicatu hanyalah usaha
yang merimbun adalah kenangan
yang pasti adalah janji-Nya
semoga kau selamat di sana, Kiah
semoga Allah menempatkan kau di Jannah
semoga kau bersama yang kaucinta di Barzakh
& betapa pun hiba, kehilangan
tidak putus doa dipanjatkan
& selamanya kau di hati kita, Kiah
sehingga akhirnya.

Ditulis: 18 – 21 Oktober 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Wayang

Wayang itu pun semakin diputar
disambut sorak-sorai
konon merekalah paling prihatin
penyokong tegar Gaza, Palestin
tika diulang naratif dangkal
berdolak-dalik, dihulur-tarik
sedang derita yang melanda Gaza
bak lakon layar
sukar dihadami sebilangan kita
namun merekalah pejuang sebenar
bergema, di konsert besar.

Wayang itu pun memudarkan
layar sebuah kemanusiaan
bila Kitul-Kitul bersandiwara
dalang-dalang dirasuk kuasa
Gaza bertubi dibanjiri darah
kesumat si Jalut bak armada
& mereka berpesta-pora.

Ditulis: 24 – 24 Oktober 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Ke Mana Menghilangnya?

Ke mana menghilangnya
secebis kemanusiaan
bila kehancuran menghunjam
peluru & bom bertubi meledak
fosforus putih menghujan
kanak-kanak trauma, piatu
penduduk Gaza bagaikan debu
bertempiaran, walau dikandang
hanya menanti giliran
disembelih
dijadikan bidak
dipercatur aparteid, genosid.

Ke mana menghilangnya
sepercik kemanusiaan
bila si pemangsa dinobat
si mangsa dipertikai
& nyawa orang Palestin tiada nilai?

Ditulis: 11 – 15 November 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Kehaiwanan

Kehaiwanan itu pun merajalela
tanpa jeda
dengan sikap dwitara
dengan kerakusan menggila
dendam yang menggelapi prasangka
biar semua punah
kaulah penjajah, pembina empayar
sejak Balfour, purba.

Betapa kaubungkusi kehaiwanan itu
dengan tindakan bacul, sewenang-wenang
bila digetis, jeritanmu memekak dunia
diulang-ulang sehingga dipercaya
tetapi mereka kaumusnahkan
kanak-kanak, orang tua, wanita, orang awam
hospital, masjid, prasarana tinggal runtuhan
kerana segala-galanya begitu murah
terutamanya di Gaza.

Kau lebih kehaiwanan daripada haiwan
binatang pun ada perasaan ihsan
tetapi kau begitu beradab
terpilih & memilih
penentu ceritera dunia
& terlupa
manusia itu ada nurani & maruahnya.

Ditulis: 10 Disember 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Belajarlah
(Untuk Halimi & anak-anak saudaraku yang lain)

Belajarlah mentafsir kehidupan
tika ia berencam
mencalar perjalanan
memilukan pengalaman
kerana kau lebih perkasa
bersandarkan Allah, Rasul
mereka yang menyokongmu
untuk hamparan hidup baharu.

Belajarlah erti yakin
tika banyak yang menggugat jiwa
kau telah diasuh sebaiknya
kau telah ditunjuk teladan sempurna
kerana jiwamu lebih teguh
daripada besi waja
menghadapi segala dugaan
menentang kecelaruan
untuk bangkit, bererti, berbakti
kepada semua yang kausayang.

Belajarlah sentiasa berharapan
tika mendung menggelapi sekitar
yakin kegelapan akan lenyap
mentari tetap bersinar
dugaan & ujian yang menjelma
ditepis, mengaspal jalan raya
& kau teguh berdiri
memijak bumi
mengukuh harga diri
menghidupi masa kini
memeta masa depan bermakna
kerana kau bijak, berupaya
mencorak kanvas hidupmu seterusnya.

Belajarlah yang bermanfaat
demi kebaikan, kesejahteraan
usah mudah kecewa
agar akhirnya kaufaham
tiada yang sia-sia
yang buruk, yang baik, membentuk jiwa
menjadikan kita lebih berbudi, belas
menjadikan kita lebih teguh, ikhlas
menjalani hidup ini
dengan syukur, reda
tanpa batas.

Ditulis: 13 Disember 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Jalur Waktu
(Mengenang pemergian penulis & penyair Salmi Manja
[Lahir: 24 Julai 1937 – Meninggal: 26 Disember 2023]
& Noor Hasnah Adam [Lahir: 1 Disember 1974 – Meninggal: 10 Disember 2023]).

Jalur waktu ini memang terbatas
melingkari kehidupan
kita hidup, membesar, menyumbang, meninggal
mengharap ada manfaat dikongsikan
dengan upaya & kesungguhan yang ada
kecil atau besar
diiktiraf atau tiada
itulah yang dapat ditimba
dari telaga kehidupan kita.

Kalau ilham itu bermakna
kalau ada yang menyentuh jiwa
membentuk iltizam, semangat
biarlah ia menjadi jariah
untuk ladang kita di akhirat.

Gugur permata-permata indah
dari dua zaman berbeza
bak bintang di langit Nusantara
mencalit dengan sentuhan unik mereka
mewarnai kanvas sastera
didorong sebuah cinta
pada agama, bangsa, negara
melorongkan jalan-jalan baharu
teguh, jujur, berseni, berilmu
demi cinta yang mendalam itu.

Ditulis: 26 – 27 Disember 2023
Tulisan: Rasiah Halil.

Sirnakan

Sirnakanlah derita ini, Tuhanku
tika perang bergolak di bumi
kebencian bak sinar mentari
kezaliman membadai kencang
sikap dwitara menyalut tindakan
si rakus, si durjana, bergegak gempita
si miskin, si lemah, semakin didera
keadilan hanyalah kata-kata
& kemanusiaan bernafas lelah
menanti rebah.

Segarkan semangat baharu, Tuhanku
untuk sentiasa berharapan
untuk tidak mudah kecewa
apa pun tingkah si durjana
kerana kecekalan hati itulah tunjang
melorongkan kebersamaan
merapikan kemanusiaan
agar tidak mudah kami tersungkur
ke tahap tohor.

Sirnakanlah semua yang buruk, Tuhanku
hamparkan yang muluk
tika ramai tidak peduli, bersekongkol
tika si lemah semakin dibius
berilah keyakinan, kekuatan
tanjapkan kemanusiaan luhur
agar kami lebih sejahtera, damai
menjadi insan-insan prihatin, tawaduk
mengharungi hidup.

Ditulis: 31 Disember 2023 – 1 Januari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Tabik

Suara kemanusiaan itu kan tetap didengar
meski semesta alam memengapkannya
& suara itu bijak berhujah
di Mahkamah Keadilan Antarabangsa
diajukan Afrika Selatan & penyokongnya
dituturkan peguam-peguam berwibawa
dibantu ramai yang prihatin, berilmu –
apakah kita buta, tuli, bisukan indera
apakah kita termakan pelbagai propaganda
apakah kita didodoi sikap dwitara
sedang kemanusiaan itu meraung
di Gaza & pelbagai daerah
diributi aneka senjata, bom
& tanpa peduli, ihsan
mereka menyulap fakta
angkuh mendabik dada
adilnya merampas tanah pusaka
didempir kuasa-kuasa raksasa.

Tabik hormat & doa kita
untuk Afrika Selatan & penyokongnya
untuk semua pejuang kemanusiaan
menegakkan keadilan, kepedulian
walau daif, diperlekeh
diledaki kehancuran yang belum berakhir.

Ditulis: 11 – 12 Januari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Pembuangan

Kau boleh hapuskan semua
negara, sejarah, warisan, bangsa
kau boleh tukarkan fakta semahunya
seolah kami pelarian sejak bahari
persenjatakan yang tercanggih, terkini
kaburi dunia dengan dolar, persepsi
bedillah kami yang dikepung, dikandang
kerana kaulah orang-orang pilihan
boleh mentafsir erti zalim, etika
boleh menakik kemanusiaan sebenar
kerana apa pun yang kaulakukan tetap kosher
dari sungai ke laut
meluaskan Judea & Samaria.

Betapa kehidupan ini berputar
penganiayaan tetap dibalas setimpal
masanya pasti tiba
tanah airku kembali berdaulat
bangsa & warisanku bertempat
sejarahku difahami, diiktiraf
kami bukan lagi pelarian, bidak
& kau akan benar-benar mengerti
makna pembuangan ini.

Ditulis: 19 Januari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Si Beluncas

Kutahu kau bernama ulat bulu sejak dahulu
rupanya ulat beluncas juga adalah namamu
begitu asyik kau memamah segarnya daun
hingga bergerigi daun-daun si limau purut
fikirku itulah santapan burung-burung
kiranya dalam kehijauan itu kau berselindung
terhenti seketika bila aku menjengah
kemudian kau kembali ghairah mengunyah
bagaikan aku ini orang-orang atau tiada
taman koridor ini sering disinggahi kupu-kupu
burung bertenggek, mencicip bunga & madu
sesekali terdapat semut, cicak, labah-labah
melintas atau bersembunyi di pasu bunga
gentar dikejutkan aku, Manis atau Manja
& tanaman-tanamanku pun membesar
bunga-bunga berputik, memekar
aku riang menghirup udara nyaman
terkenangkan zaman silam
tika kehidupan lebih diakrabi alam.

Kubiarkan kau melahap daun-daun
ia akan kembali bertunas, merimbun
hidup ini berkitar
kau perlu membesar
dari telur, ulat beluncas, menjadi kepompong
bertapa hingga tubuhmu sempurna, teguh
& akhirnya lahirlah kau sebagai kupu-kupu
cantik, unik, bagai lukisan tersohor
berterbangan ke mana-mana
mungkin singgah lagi ke koridorku
& memulakan kitaran baharu.

Ditulis: 25 Januari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Setitis Samudera

Yang setitis bagaikan samudera
melayarkan perahu senja
Kautitipkan yang kecil-kecil
berat timbangannya di mata dacing
penilaian-Mu sentiasa adil
rahmat-Mu meliputi semesta
bagaimana dapat kuhayati semua
titis-titis air yang Kaujadikan samudera?

Yang Kauberi tiada terhingga
yang kelihatan kecil, besar maknanya
kasih-Mu menghampari segala
keadilan-Mu tiada tara
& perahu ini mahu kusaratkan muatan
walau dibadai ombak-ombak ganas
agar lebih tabah, tawakal
menuju pelabuhan damai.

Ditulis: 30 – 31 Januari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Terhijab (ii)

Selamanya akan mereka terhijab
kalau pertimbangan kesasar
yang berpura-pura, ketara, diutamakan
yang ikhlas, sederhana, disisihkan
biar indah segala gambaran
terlaksana kepiawaian
usah berasa gusar, mempersoal
inilah natijah sempurna
tasik bertakung dianggap segara.

Selaput itu terlalu tebal
menutupi sanubari, akal
mereka pula teramat bijak
melebihi pujangga, pakar
lalu dijulang aneka kaca
dipinggir pelbagai permata
kerana mereka bukan jauhari
walau berpangkat, berharta, berilmu
apalagi memiliki hati tawaduk.

Ditulis: 10 Februari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Berpisah Juga Kita Akhirnya – Berpulangnya Sepupu Saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab Ke Rahmatullah Pada 18 Oktober 2023 Di Ampang, Selangor, Malaysia

Mukadimah

Bukan mudah menulis rencana ini kerana saya seakan tidak boleh menulisnya. Melihat gambar-gambar lama, mendapatkan beberapa fakta daripada anak-anak saudara saya di Selangor, merenung masa-masa yang berlalu, terasa cepatnya berputar roda kehidupan kita. Dan walaupun kami sedia maklum hidup ini lawannya mati dan reda akan takdir Allah, bagi sebilangan ahli keluarga saya, pemergian sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab pada 18 Oktober 2023 lalu tetap menyentak dan menimbulkan rasa hiba.

Keluarga Besar Saya

Ibu Rokiah/Rogayah merupakan adik kandung ibu saya, yang kami panggil ‘Mak Busu’atau ‘Mak Busu KL’. Allahyarhamah Mak Busu saya membesar di Singapura tetapi berpindah ke Selangor, Malaysia, setelah berkahwin dengan orang Malaysia, yang kami panggil ‘Pak Busu’. Adik-beradik ibu saya pada tahun-tahun 1940-an/1950-an itu bukan hanya berada di Singapura, malah di Johor, sebelum Mak Busu saya menetap di Selangor. Mak Busu dan Pak Busu saya dikurniakan dua anak perempuan, Rogayah dan Zainah. Bagi keluarga berangkai saya di Singapura, kedua-duanya diberi nama panggilan yang lain iaitu Kiah atau Rokiah dan Nab atau Zainab. Di Malaysia, sepupu saya dipanggil dan membahasakan dirinya Gayah atau Rogayah.

Kami kerap juga bertemu pada tahun-tahun 1960-an dahulu, terutama apabila keadaan keluarga kami lebih selesa. Ibu bapa saya akan membawa kami ke rumah Mak Busu dan Pak Buku saya di Kampung Puah, dengan menaiki kereta stationwagon berjenama Holden. Bapa saya ketika itu memiliki syarikat pengangkutan perkapalannya yang terletak di Telok Ayer Basin tetapi beliau tidak pandai memandu lantas mempunyai seorang pemandu yang digajikannya. Dengan kereta stationwagon itulah bapa saya pergi ke pejabatnya dan ia juga membawa keluarga kami ke beberapa tempat, termasuk ke Kuala Lumpur. Semasa cuti sekolah dan jika ada pertandingan bola sepak di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, akan menyusurlah kami ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta tersebut kerana bapa saya berminat betul dengan bola sepak dan mendapat kerabat yang sama berminat, iaitu Pak Busu saya. Disebabkan hal-hal begini, keluarga Mak Busu KL saya dan kami begitu akrab. Ada gambar-gambar kami yang diambil di studio pada zaman 1960-an itu dan ini masih dalam simpanan kami. Keakraban berulang-alik ke Malaysia – Singapura terutama semasa cuti sekolah ini seakan-akan terhenti apabila ibu bapa saya berpisah pada bulan Jun, 1968.Tiada lagi peluang kami ke rumah Mak Busu KL saya dengan menaiki kereta sendiri. Hanya pada awal tahun-tahun 1970-an sebilangan kami yang lebih muda, sudah berani ke KL dengan menaiki bas atau kereta api. Namun perubahan cara berkunjung ini tidak menjejas hubungan kedua keluarga kami.

Setelah perpisahan ibu bapa saya, keluarga kami di Johor amat jarang sekali menjengah kami kerana berasa segan ibu saya tiada di rumah kami. Hanya dua buah keluarga di Singapura – keluarga sebelah ibu saya dan keluarga sebelah bapa saya yang masih kerap berkunjung dan bersama kami. Dan di Kuala Lumpur, keluarga Mak Busu saya tidak pernah melupakan kami, lantas bersambung lagi kemesraan kedua-dua keluarga kami.

Walaupun hanya sepupu, hubungan kami dengan Kiah dan Zainab bagaikan adik-beradik. Suatu panggilan yang saya selalu kaitkan dengan Kiah ialah cara Arwah mengenalkan kami kepada seseorang di KL. Kiah akan berkata: Ini abang/kakak sepupu saya atau dalam bahasa Inggeris: This is my cousin-brother or cousin-sister. Sejauh yang saya tahu ketika itu, tiada sesiapa yang menggunakan istilah sedemikian dalam kalangan keluarga saya. Namun itulah gambaran perhubungan kami.

Cerita Kiah

Kiah dilahirkan pada 1 Mac 1954 di Kuala Lumpur. Arwah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin dan juga Air Panas Girls’ School, kedua-duanya dalam wilayah KL. Setelah lulus SPM/Form Five, Kiah bekerja di pejabat di sekitar KL. Pada zaman pembesaran itu, Kiah sekeluarga dan kami di Singapura lebih kerap saling mengunjungi, walaupun ibu saya meninggal dunia pada 1975. Bapa saya terbuka menerima bekas adik iparnya sekeluarga dan ini tidak terjejas kerana perpisahan ibu bapa saya atau kematian ibu saya.

Hubungan Kiah paling akrab dengan kakak kedua saya, yang hanya setahun lebih muda daripadanya. Mereka sama ringan mulut, mula bekerja pada tahun-tahun 1970-an dan mendirikan rumah tangga juga pada tahun-tahun 1970-an – kakak saya berumah tangga pada Disember 1975 dan Kiah pada Disember 1976. Suami mereka juga rapat antara satu dengan lain; mereka bagaikan dua pasang adik-beradik, yang happy couple, yang dapat berkongsi susah senang kehidupan dan hidup berumah tangga. Kedua-duanya juga mendapat anak pertama pada tahun-tahun 1970-an itu. Kiah dan suaminya Zainuddin dikurniakan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Kakak dan abang ipar saya pula dikurniakan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Selain bekerja di pejabat, Kiah juga kemudiannya bersama suami dan adiknya mengusahakan perniagaan alat tulis/barang-barang pejabat sementara kakak dan abang ipar saya membantu dalam perniagaan keluarga kami ketika itu. Anak-anak mereka membesar bersama dan hubungan yang akrab ini menghubungkaitkan juga anak-anak adik beradik saya yang lain. Acara-acara perkahwinan dan majlis-majlis tertentu atau sekadar pergi bercuti dan berkunjung kerap diadakan. Sebagaimana kami dengan Kiah dan Zainab rapat, begitu juga anak-anak saudara saya, malah mereka ada ‘geng’ tertentu dalam keluarga besar kami.

Pada tahun-tahun 1980-an keluarga saya mula ‘bertebar’ di beberapa pelosok dunia; ada yang menetap di United Kingdom, Brunei dan Canada namun hubungan kekeluargaan itu, tanpa adanya Internet secanggih sekarang atau telefon bimbit masih teguh diramaikan oleh pelbagai kisah dan kerenah anak-anak dan anak-anak saudara keluarga besar kami. Kiah menjadi jambatan penghubung keluarga di KL dan kakak saya pula berperanan sama di Singapura. Malah melalui Mak Busu saya dan kemudian Kiah, keluarga berangkai saya di Johor dapat dipertalikan kembali, walaupun sebilangan besar ibu dan bapa saudara saya di Johor semakin uzur atau telah meninggal dunia ketika itu. Keluarga Kiah agak kecil; Mak Busu saya hanya seorang yang tinggal di KL dan Pak Busu saya pula tiada keluarga rapat di KL. Kiah pula hanya mempunyai seorang adik. Apabila Kiah berumah tangga, suaminya pula merupakan anak tunggal dan adanya keluarga berangkainya pun agak jauh dan tidak seakrabnya, iaitu di Perak. Ini memungkinkan lagi hubungan kekeluargaan kami lebih akrab pada zaman-zaman itu semasa Kiah sekeluarga tinggal di Gombak dan kemudian Kampung Bahru. Dan walaupun orang tua kami satu-satu meninggal dunia – ibu saya pada Ogos 1975, bapa saya pada Mac 1977, Mak Busu saya pada Mac 1993, Pak Busu saya pada Disember 1996 dan nenek kami pada Disember 1991 – keluarga kami ditautkan lagi oleh generasi saya dan generasi anak buah saya. Saya tidak fikir pertautan ini akan kukuh tanpa keadaan-keadaan yang memungkinkan Kiah sekeluarga dan kami sekeluarga menjalin hubungan yang akrab, melangkaui generasi ibu bapa kami.

Selain berniaga, Kiah juga bergiat dalam Wanita Umno pada zaman itu. Saya pernah menginap selama setahun di KL dan pernah juga menjenguk ke Perhimpunan Umno pada 1996 atau 1997, kerana harus berjumpa dengan Kiah. Saya tidak berlama di perhimpunan tersebut kerana itu bukan tujuan saya. Kiah terpanggil untuk terlibat dalam Wanita Umno ketika itu kerana percaya akan perjuangan mereka.

Yang Tidak Disangka-sangka

Seperti kebanyakan keluarga, keluarga besar saya juga ada mengalami kegenjotan dalam kalangan anggotanya. Itu bagi saya hanyalah perkara biasa. Berpulangnya nenek dan ibu bapa kami, walaupun memilukan, sesuatu yang terpaksa kami terima dan meneruskan kehidupan ini seadanya. Yang tidak disangka-sangka yang sering menyentak jiwa.

Dalam keadaan yang kelihatan sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan, kakak saya tiba-tiba dijengah barah payudara pada September 1999. Ini amat memeranjatkan kami. Kiah juga turut terperanjat kerana kakak saya bukan sekadar sepupunya, malah sahabat karib dan keluarga terdekatnya. Mereka sering berhubungan dan banyak cerita dan masalah yang mereka kongsikan bersama. Kakak saya menjalani pembedahan mastektomi tetapi tidak menjalani kemoterapi kerana dipulihkan dengan cara memakan ubat yang diberi pihak hospital. Melalui peristiwa ini, kami difahamkan ada ahli keluarga sebelah ibu saya juga dijengah barah dan meninggal dunia kerananya – barah payudara dan barah pangkal rahim ketika itu. Ia menjadi semacam kejutan bagi ahli keluarga lain agar lebih berhati-hati mengenai isu kesihatan.

Apabila kakak saya pulih, kami gembira bukan kepalang dan segala-segala dalam kehidupan keluarga besar saya berjalan seperti sediakala. Diselang-selikan acara yang menggembirakan seperti melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik, perkahwinan, mendapat cucu dan sebagainya, satu lagi peristiwa ngeri menjengah keluarga besar saya – Kiah dijengah barah payudara pada Mei 2001. Kiah menjalani kemoterapi, rambutnya yang lebat dan panjang gugur dan Kiah lemah menghadapi ini. Ketika itulah Kiah tidak lagi bergiat dalam Wanita Umno dan suaminya, Zainuddin, tidak menggalakkan Kiah bekerja lagi. Itulah dua kejutan yang cukup memeranjatkan dan sukar dilupakan. Dan selepas tahun 2001 itu, ada juga ahli keluarga besar saya dijengah barah tetapi ia tidak membawa maut.

Kedua-dua Kiah dan kakak saya kembali sihat dan aktif dalam bidang pilihan masing-masing. Kiah tidak lagi bergiat dalam Wanita Umno tetapi memilih untuk terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan yang membantu pesakit barah misalnya Breast Cancer Foundation, Pink Unity, National Cancer Society Malaysia, menjadi sukarelawan di Institut Kanser Negara serta melakukan lawatan ke hospital untuk menasihati pesakit yang baru dijengah barah. Kehidupan seakan berjalan dalam temponya yang biasa.

Pada 3 Mac 2010, tanpa disangka-sangka, anak saudara kami, anak adik Kiah, bernama Hezairul, meninggal dunia kerana masalah jantung. Hezairul rapat dengan sepupu-sepupunya di KL, anak-anak Kiah. Allahyarham baru berusia 31, satu-satunya anak sepupu saya yang bernama Zainab, menyayangi dan menyara kehidupan ibunya, yang membesarkannya sebagai ibu tunggal. Belum pun lama kami menghadami kehilangan Hezairul, yang turut disayangi sepupu-sepupunya di luar Malaysia, adik Kiah, yang setelah kematian anaknya tinggal bersama Kiah sekeluarga di Ampang, meninggal dunia kerana masalah jantung pada 15 Mac 2013. Zainab baru berusia 54 tahun dan telah lama menghidap beberapa masalah kesihatan.

Tidak berapa lama kemudian, suami Kiah, Zainuddin, pula dijejas barah prostat pada 2013. Ini kemudian bercambah kepada barah sarkoma pada 2014. Allahyarham juga menghidap 2 penyakit kronik iaitu darah tinggi dan kencing manis. Ada anggota keluarga saya berulang-alik ke KL apabila mengetahui berita-berita sedih ini. Kakak dan abang ipar saya, yang akrab dengan Kiah dan Zainuddin pula semakin meluangkan masa berkunjung dan bertanya khabar melalui telefon. Sepupu saya, Kiah, menjadi balu apabila suaminya, Zainuddin, meninggal dunia pada 23 Januari 2014. Dalam masa yang purata singkat, Kiah kehilangan suami, adik dan anak saudaranya dan kedua ibu bapanya pula telah lama meninggal dunia. Yang ada hanyalah anak-anak dan cucunya serta kami, keluarga berangkainya yang jauh di mata.

Kehidupan Kiah Selepas 2014

Selepas kematian suaminya, seperti kebanyakan pasangan yang lain, Kiah mengalami kesunyian yang mendalam. Mereka sekeluarga lebih kerap ke Singapura dan hubungan Kiah dengan keluarga besar saya, terutama keluarga kakak saya dan juga keluarga adik lelaki saya di Brunei lebih diperteguhkan lagi. Kami meraikan perkahwinan-perkahwinan atau majlis-majlis kekeluargaan dengan lebih meriah lagi dan ada yang semakin meluangkan masa untuk bersantai atau bercuti bersama kerana memaklumi kami sudah mula kehilangan beberapa anggota keluarga seperti Hezairul, Zainab dan Zainuddin serta suami salah seorang anak saudara saya, anak kakak sulung saya, pada usianya 30-an tahun.

Dengan bertambahnya usia sebilangan ahli keluarga segenerasi saya mula dijengah pelbagai penyakit. Seperti suami Kiah, abang ipar saya, sahabat dan kerabat karib Zainuddin, juga dijengah barah prostrat pada tahun 2020. Tetapi bezanya, barah tersebut dapat dicantas lebih awal dan abang ipar saya pulih.

Tahun lepas, 2023, yang bermula dengan keceriaan bertukar kepada semacam rasa hiba yang tidak berkesudahan. Anak sulung kakak dan abang ipar saya, sekeluarga berhijrah ke negara lain pada bulan Jun 2023. Kiah sekeluarga beberapa kali berkunjung ke Singapura kerana mahu menyambut Hari Raya bersama-sama dan berjumpa anak saudara saya dan keluarganya, sebelum mereka berhijrah. Kiah, anak-anak, menantu dan cucu-cucunya serta kakak dan abang ipar saya dan juga adik saya di Brunei serta isterinya sempat bercuti ke Pulau Pinang pada awal Februari 2023 lalu. Semua kelihatan sihat-sihat belaka. Tetapi sejak awal 2023, Kiah semakin susut tubuhnya dan Allahyarhamah tidak sebecok dan seceria selalu.

Kali terakhir saya melihat Kiah di Singapura, dengan keceriaannya yang semakin terbatas tetapi kelihatan tidak menghidap apa-apa penyakit ialah pada bulan Jun 2023. Pada bulan Julai 2023, secara tiba-tiba, kedua-dua Kiah dan kakak saya dibawa ke hospital. Kakak saya disahkan Hospital Changi, di Singapura, sebagai penghidap penyakit barah usus. Kiah pula, walaupun dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi, di Hospital Ampang, masih belum dapat disahkan penyakit yang melandanya. Dan walaupun kemudian dipindahkan ke hospital swasta, Hospital Gleneagles, banyak perkara yang belum dapat dipastikan mengenai penyakit Kiah dan cara merawatnya. Yang pasti, Kiah tidak boleh dibius (general anesthesia) kerana ini boleh membawa maut. Jantung serta paru-parunya dipenuhi air dan cara mengeluarkan air tersebut rumit dan boleh lebih memudaratkannya.

Mulai Julai tahun lepas sebilangan ahli keluarga berangkai saya dari beberapa pelosok negara mengunjungi atau menghubungi Kiah dan juga kakak saya. Saya sempat mengunjungi Kiah mulai 21 Julai lalu, berbual-bual dengannya, membacakannya ayat-ayat syifa dan memberi ayat-ayat tersebut kepada anak-anaknya untuk diamalkan untuknya sebagai salah satu langkah rawatan. Demikian juga saya berikan ayat-ayat tersebut kepada anak saudara saya di Singapura dan ibunya, kakak saya. Usaha rawatan menggunakan ayat-ayat Quran ini juga diusahakan oleh kerabat saya di Bogor, Indonesia, untuk kedua-dua Kiah dan kakak saya.

Setelah Julai itu keadaan Kiah tidak bertambah baik. Kakak saya pula menjalani pembedahan bagi penyakit barah ususnya. Setelah beberapa ketika dirawat di hospital, kakak saya dibenarkan pulang dan menjalani kemoterapi pada hari-hari tertentu, mengikut pusingan rawatan barah ususnya. Kiah akhirnya dibawa pulang ke rumah, kerana tiada apa-apa yang dapat dilakukan para doktor. Jururawat bahagian hospis sesekali datang ke rumahnya dan ada ketika-ketikanya keadaan Kiah bertambah merudum dan terpaksa dikejarkan ke hospital, tetapi selain itu tiada apa yang dapat dilakukan lagi.

Sepupu saya semakin kurus, lemah dan tidak bermaya. Allahyarham tidak lalu makan dan tidak boleh makan apa-apa ubat. Kiah juga bercakap sepatah dua dan banyak tidur. Anggota dalamannya satu-satu mulai tidak berfungsi. Kami bagai menanti meletupnya bom jangka – tidak tahu bila sesuatu itu akan lebih meruncingkan kesihatannya. Sebilangan anggota keluarga saya, dari Singapura dan Brunei, berkejar antara KL dan Singapura, kerana menziarahi Kiah dan kakak saya. Kakak saya pula, apabila berasa pulih sedikit dan berselang masa kemoterapinya, mengunjungi Kiah di rumahnya. Walaupun lemah dan semakin kurus, Kiah menggagahkan diri dan ceria menyambut kedatangan kakak saya dan beberapa anggota keluarga saya.

Pada 17 Oktober 2023 lalu kami mendapat berita keadaan Kiah semakin membimbangkan. Anak-anak saudara saya sekeluarga dan kerabat taulan yang ada, mengusahakan apa yang termampu mengurangkan kesakitan Kiah dengan membaca ayat-ayat Quran dan berzikir untuknya. Pada pagi 18 Oktober 2023, sekitar jam 9:20 pagi, sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, tanah perkuburan yang juga menjadi tempat persemadian suaminya, Zainuddin, adiknya Zainab dan anak saudaranya, Hezairul.

Akhir Kalam

Walaupun hampir 4 bulan pemergian sepupu saya, dalam fikiran saya masih sesekali terlintas bahawa jika saya pergi ke KL, saya akan berjumpa dengan Allahyarhamah. Kiah dan saya berkongsi bintang Zodiak yang sama dan sama-sama meminati lagu-lagu nyanyian Sharifah Aini. Seperti kebanyakan orang zaman kami, minat kepada lagu dan filem serta buku cerita bukan pula sesuatu yang aneh tetapi menambahkan warna kepada kehidupan kami yang biasa-biasa ini. Saya masih ingat bagaimana Kiah ada cerita-cerita tertentu mengenai dunia seni lagu, filem, drama dan sebagainya kerana beliau mempunyai rangkaian kawan dan kenalan serta ada cerita daripada ‘orang dalam’. Ada sahaja cerita Kiah, dan dalam zaman yang yang belum ada media sosial seperti sekarang, cerita-cerita Kiah menghiburkan dan seringkali pula lucu. Saya tidak sekerapnya bercakap dengan Kiah berbanding beberapa orang adik-beradik saya tetapi jika kena dengan topik tertentu, kami rancak berbual. Kami berhubungan melalui WhatsApp, sesekali menghantar berita, lagu, nasihat agama dan sebagainya. Kiah juga membaca tulisan-tulisan di blog saya.

Semasa saya menghadiri acara-acara sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, menghadiri seminar sastera atau menyampaikan kertas kerja di KL, Kiah sempat juga bertemu saya diselang-seli hal-hal tersebut. Allahyarhamah dan Allahyarham suaminya menyayangi keluarga besar kami dan kedua-duanya tulus dalam hubungan kekeluargaan. Rumah mereka sentiasa terbuka kepada keluarga besar saya dan mereka tidak berkira menghantar sanak saudara ke stesen kereta api, terminal bas atau lapangan terbang. Seperti Allahyarham Mak Busu dan Pak Busu saya yang menyayangi keluarga dan anak buahnya di Singapura, begitu juga dengan Kiah dan Zainuddin. Yang saya kenang ialah penerimaannya terhadap saya dalam apa pun kedudukan saya – Allahyarhamah tetap bagaikan seorang kakak kepada saya.

Sebulan lebih setelah Kiah meninggal dunia, saya memimpikannya walaupun tidak dapat melihat wajahnya. Dalam mimpi tersebut, Kiah menelefon saya dengan berkata: ‘Idah, ini Kiah. Nurul nak nikah pada 24 Disember ini. Idah jangan lupa datang, ya?’ Saya menjawab; ‘Ya, Kiah, Idah akan datang’. Suara Kiah ceria menelefon saya. Dan dalam mimpi tersebut saya mendapat tahu kakak saya dan anak perempuannya juga sudah ditelefon Kiah agar jangan lupa hadir semasa pernikahan anaknya.

Saya hadir semasa pernikahan anak saudara saya pada 24 Disember 2023 lalu. Dan semasa pernikahannya, saya dan beberapa orang keluarga besar saya menitiskan air mata terkenangkan Kiah. Semasa Kiah sakit, Allahyarhamah telah berpesan kepada anaknya agar meneruskan pernikahannya apa pun kesudahan kesihatannya. Kiah begitu gembira anak sulungnya akan kembali bahagia setelah lama menjalani hidup sebagai ibu tunggal dan membesarkan satu-satunya anaknya.

Saya terkenangkan juga ketiga-tiga anak saudara saya dan keluarga mereka di KL – tanpa ibu dan ayah dan saudara-mara terdekat, terasa juga bagaikan piatu. Namun saya bersyukur, Allahyarhamah sepupu saya akrab dengan beberapa orang sahabat yang bagaikan saudara sejak usia muda dan anak-anak saudara saya juga demikian. Dan mereka tahu, walaupun kami tidak tinggal berdekatan, kejauhan itu hanyalah jarak geografi sahaja bukannya jarak perasaan atau jarak tidak mahu mengambil berat.

Sepupu saya dan suaminya telah membesarkan anak-anak mereka dengan sebaik mungkin, semampu yang boleh. Saya berdoa semoga anak-anak saudara saya sekeluarga akan sentiasa menghidupkan nilai-nilai kebaikan yang disemai oleh ibu bapa mereka dan meneruskan kebaikan yang dipelopori orang tua mereka kepada sesama mereka dan keluarga besar kita serta orang-orang yang mengakrabi kehidupan mereka.

Banyak kenangan bersama sepupu saya masih segar berlegar dalam fikiran saya. Biarlah pemergiannya mengingatkan saya dan kita bahawa kita boleh dijemput ke alam barzakh pada bila-bila masa, baik diterjah penyakit berat atau sebaliknya. Dan ikhlasnya kebaikan yang kita suburi semasa hayat kita tetap akan merimbun dan memanfaatkan kita di alam yang kekal selamanya.

Semoga Allah mengampuni segala kesilapan sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di Jannah. Begitu juga didoakan untuk suaminya, Zainuddin Habib, adiknya Zainab/Zainah Abdul Wahab, anak Zainab, Hezairul Abdul Hamid, dan kedua orang tuanya, Fatmah/Fatimah Hussin/Md Dali dan Abdul Wahab Md Shariff. Dan semoga anak-anak saudara saya sekeluarga tetap tabah menerima takdir Allah ini dan yakin perpisahan itu hanya sementara dan ibu bapa mereka serta semua yang mereka sayang yang telah berpulang ke rahmatullah, tetap bersama mereka, menghuni di hati mereka, selamanya. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 13 – 15 Februari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Projek ‘Orang Singapura Pak Zubir Said’ Yang Dilancarkan Oleh MLLPC, Kementerian Pendidikan Singapura Pada 28 Oktober 2023

Kata Pengantar mengenai Pak Zubir yang saya tulis untuk ‘Projek Orang Singapura’, dimuatkan dalam sebuah buku kecil yang mengandungi 10 buah lagu ciptaan beliau selain disertakan persembahan terkini lagu-lagu tersebut dalam pemacu jari. Ia diedarkan ke semua sekolah di Singapura.

Prolog

Setiap kali menyanyi atau mendengar lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, hati kita berdetak sedikit. Kita teringat masa silam kita dan juga masa hadapan, bukan sahaja mengenai diri dan orang di sekeliling kita tetapi juga negara yang kita cintai, Singapura. Demikian juga perasaan kita apabila lagu ‘Semoga Bahagia’ beralun; semangat kita seakan dikobarkan agar kita lebih tabah dan tidak mengenal putus asa dalam mencapai cita-cita. Kita juga diingatkan bahawa dalam usaha-usaha sebegini, kita harus bersungguh-sungguh agar ‘kita ada harga di mata dunia’. Dan orang yang mengingatkan kita akan hal-hal murni ini ialah penggubah lagu-lagu tersebut, Pak Zubir Said.

Latar Pak Zubir Said

Pak Zubir bin Mohamad Said lahir di desa Tilatang, Bukittinggi, Sumatera pada 22 Julai 1907. Berketurunan Minangkakau, beliau merupakan abang sulung kepada dua orang adik lelaki dan tiga orang adik perempuan, setelah abang sulungnya meninggal dunia semasa kecil. Bapanya seorang pegawai Belanda yang bekerja sebagai konduktor kereta api dan juga penghulu empat buah desa di Bukittinggi.

Pak Zubir mendapat pendidikan di sekolah Belanda selama 11 tahun sehingga peringkat sekolah menengah; bapanya ingin beliau bekerja sebagai askar atau pegawai dalam pentadbiran Belanda dan mewarisi tugasnya sebagai penghulu dan mengusahakan ladang mereka sendiri. Namun, Pak Zubir mempunyai cita-cita yang berbeza.

Sejak dari sekolah rendah Pak Zubir meminati muzik yang didorong guru muziknya. Beliau mula bekerja sebagai pembuat batu-bata dan kemudian sebagai seorang jurutaip selepas meninggalkan bangku sekolah. Pada usia 19 tahun, Pak Zubir terlibat dalam kumpulan keroncong dan menjadi ketuanya. Kumpulan ini menjelajah ke beberapa tempat di Sumatera. Beliau rajin belajar dan pandai bermain beberapa alat muzik semasa di Sumatera dan juga di Singapura iaitu gitar, seruling, dram, biola, piano dan lain-lain. Dan pada usia muda itulah, ketika terlantar di hospital, Pak Zubir membuat keputusan meninggalkan kampung halamannya dan mencuba nasib di Singapura.

Tarikan Singapura dan Kerjaya Pak Zubir

Singapura terkenal sebagai tempat tumpuan pelbagai bidang kehidupan – pendidikan, perniagaan, pusat penerbitan, kesenian dan sebagainya. Ramai yang berhijrah ke Singapura semasa zaman pemerintahan British untuk memulakan penghidupan baharu. Demikian juga dengan Pak Zubir. Terpanggil untuk melestarikan kehidupan dan minat seninya, pada 1928 ketika berusia 21 dengan hanya sedikit bekalan, dari Pekanbaru, Sumatera, Pak Zubir belayar ke Singapura dan berlabuh di Tanjong Pagar. Dari sana Pak Zubir menetap di daerah Kampong Jawa/Kampong Gelam. Beliau mendapat peluang bekerja dalam orkestra Bangsawan dengan bermain biola. Kemudian, Pak Zubir menjadi ketua orkestra Bangsawan tersebut dengan 14 ahli muzik dibawah pimpinannya. Dalam kumpulan Bangsawan inilah Pak Zubir banyak didedahkan kepada muzik pelbagai bangsa iaitu Cina, India, Arab, Eropah dan lain-lain kerana cerita-cerita Bangsawan ketika itu tidak tertumpu kepada cerita-cerita dari daerah Melayu sahaja. Dan beliau juga dapat menjelajah ke Malaya (sekarang Malaysia).

Setelah menyertai orkestra Bangsawan, Pak Zubir mendapat peluang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat rakaman piring hitam, HMV (His Master’s Voice) pada 1935. Ini membolehkan Pak Zubir bertemu dan merakamkan lagu-lagu nyanyian ramai penyanyi dari pelbagai bangsa, baik dari dalam mahupun luar Singapura. Lagu-lagu yang dirakamkan merupakan lagu-lagu Melayu, Cina dan Inggeris dan Pak Zubir terpaksa memahirkan dirinya melatih para pemuzik dan penyanyi dalam tugas tersebut. Pak Zubir berkhidmat dengan HMV sehingga Perang Dunia Kedua meletus. Apabila Singapura dibom dan pegawai-pegawai atasan HMV ditangkap, dibunuh dan ada yang meninggal dunia, Pak Zubir berserta keluarganya meninggalkan Singapura buat sementara waktu dan pulang ke Sumatera untuk melindungkan diri. Beliau sekeluarga pulang semula ke Singapura pada 1947.

Pak Zubir bekerja sebagai jurugambar setelah pulang ke Singapura dan ternyata beliau berbakat dalam bidang ini; gambar-gambarnya digunakan oleh akhbar seperti Utusan Melayu dan lain-lain. Pada 1949, bermulalah penceburan Pak Zubir dalam dunia filem Melayu apabila beliau berkhidmat dengan Shaw Brothers yang menerbitkan filem-filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura. Beliau mencipta lagu untuk filem-filem Shaw Brothers dan mengenalkan suara latar (dubbing) untuk filem-filem Melayu. Pak Zubir kemudian lama berkhidmat dengan Cathay-Keris, sebuah badan penerbitan filem-filem Melayu, dari 1950 sehingga 1964. Lagu-lagu ciptaannya semasa berkhidmat dengan Cathay-Keris mendapat sambutan ramai. Dan Pak Zubirlah yang mengenalkan muzik latar (background music) untuk filem-filem Melayu. Pak Zubir telah melibatkan diri sebagai penggubah lagu filem-filem Melayu mungkin melebihi 33 filem Melayu. Setelah bersara dari Cathay-Keris pada 1964, Pak Zubir bertugas sebagai guru muzik sepenuh masa sehingga ke akhir hayatnya pada 1987.

Pak Zubir, Lagu-lagu Patriotik dan Falsafah Seninya

Seorang insan yang kuat disiplinnya, bersungguh-sungguh, selalu berminat meningkatkan ilmu pengetahuan, rendah diri dan ramah, Pak Zubir tidak terpanggil untuk mencipta lagu-lagu yang kontang nilai-nilai budaya yang murni. Lantas, lagu-lagu patriotik, lagu-lagu kanak-kanak, malah lagu-lagunya untuk khalayak ramai pun disulami kata-kata dan nilai-nilai indah selain iramanya yang memikat. Beliau melihat muzik berperanan dan turut membentuk watak manusia demi kehidupan yang lebih baik.

Lagu Kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, dicipta pada 1958 untuk Bandar Raya Singapura (Singapore City Council). Pak Zubir diundang pihak Bandar Raya Singapura untuk mencipta sebuah lagu patriotik. Lagu ‘Majulah Singapura’ kemudian dimainkan semasa pembukaan rasmi Dewan Peringatan Victoria (Victoria Memorial Hall) pada 6 September 1958.

Semasa Singapura berkerajaan sendiri pada 1959, lagu ‘Majulah Singapura’ dipilih sebulat suara oleh Dewan Perundangan Singapura (Singapore Legislative Assembly) sebagai lagu kebangsaan Singapura pada 11 November 1959. Pilihan ini amat mengharu dan membanggakan Pak Zubir. Beliau menolak apa pun pemberian kewangan kerana sumbangannya ini dan menganggapnya sebagai hadiahnya untuk sebuah negara yang dicintainya. Lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ ini bagi Pak Zubir adalah semacam doa dan harapan untuk negara dan masyarakat Singapura bukan hanya semasa ia diciptanya tetapi sepanjang masa.

Pada 1957 Pak Zubir mengadakan satu acara yang dipanggil ‘Kalendar Lagu-lagu Nasional’, mengundang mereka yang berminat untuk menyumbang lagu-lagu nasional. Acara ini bukanlah sebuah peraduan tetapi satu acara bersama untuk menambahkan lagi lagu-lagu nasional kita. Lagu-lagu yang dipilih kemudian dipersembahkan kepada khalayak ramai di Dewan Peringatan Victoria pada 7 Julai 1957. Pak Zubir juga sempat menulis dua buah buku mengenai muzik selain menyampaikan sebilangan kertas kerja dan ceramah mengenai muzik Melayu, muzik dan peranannya dalam kehidupan manusia. Beliau cuba mengetengahkan cara belajar muzik menggunakan angka, yang dipanggil sistem ‘Solmisasi’. Sistem ini memberi angka 1 sehingga 7 untuk nota ‘do, re, mi, fa, so, la, ti, do’. Melaluinya lebih mudah seseorang ‘membaca’ lagu dan menyanyi. Buku-buku yang ditulis Pak Zubir berjudul Pelajaran Menyanyi Sistem Solmisasi dan Membaca Muzik. Sayangnya harapan Pak Zubir agar sistem Solmisasi ini lebih menyeluruh diterima oleh khalayak ramai dan diperkenalkan kepada kanak-kanak tidak begitu kesampaian.

Pada pendapat Pak Zubir, seni muzik ada peranannya dalam kehidupan dan peradaban manusia. Seperti pujangga silam kita, beliau yakin bahawa seni bukan hanya untuk menghibur tetapi juga mengajar. Dalam satu wawancara pihak Jurnal Jejak Kembara dengan Pak Zubir, yang diadakan di rumahnya, di 190A, Joo Chiat Place, pada 19 Oktober 1984, Pak Zubir menegaskan bahawa kajian menunjukkan muzik juga boleh digunakan dalam bidang pertanian dan perubatan. Dan muzik itu bukanlah sesuatu yang melewakan atau menghilangkan tatasusila sesuatu bangsa atau masyarakat. Banyak yang perlu dipelajari dan didokumentasikan agar khazanah muzik kita tidak hilang begitu sahaja, menurut Pak Zubir.

Dan Pak Zubir juga berpesan bahawa walaupun angin perubahan itu akan muncul, bak kata pepatah, ‘sekali ombak melanggar pantai, sekali tepian berubah’, seseorang itu harus pandai menimbang dan memilih yang terbaik, seperti katanya dalam wawancara tersebut: “Begitu juga halnya dengan seorang pemain muzik, pencinta muzik, keadaan sekitar mungkin akan membantu pembentukan seorang ahli muzik, sama ada yang berfaedah atau yang merugikan. Hanya tepian atau pantai yang tahan lasak yang dapat menangkis gelombang yang datang. Dengan begitu proses perkembangan muzik akan ikut berubah. Pengaruh dan perubahan akan tetap ada. Pokoknya, bagaimana kita memakai dan menggunakan perubahan itu. Ini mengkehendaki ketelitian dan kewarasan fikiran dan pertimbangan.”

Seni bagi Pak Zubir bukan perkara remeh tetapi sesuatu yang boleh memperkayakan kehidupan dan menjadikan manusia dan masyarakatnya lebih harmoni, bersatu-padu dan saling menghormati, sebagaimana diserlahkan dalam sebilangan besar lagu ciptaannya. Beliau dibenturkan oleh budaya Minang dan Nusantaranya yang kaya dan disulami lagi oleh pelbagai budaya dan pengaruh yang ditemui dan dikajinya. Melalui ini dan meneliti kehidupan Pak Zubir, kita temui semangatnya yang gigih mencuba sesuatu yang baharu, keinginanannya untuk berani belajar dan meningkatkan ilmu, ketulusannya kepada semua yang diakrabi dan ditemuinya serta kerendahan hati dalam memberi sumbangan seninya kepada masyarakat.

Epilog

Pak Zubir telah diberi beberapa penghargaan kerana sumbangan seninya misalnya:

  1. Sijil Penghargaan dan Bintang Perkhidmatan Awam pada 1962 kerana menjadi Penggubah Lagu Kebangsaan Singapura
  2. Sijil Kemuliaan dan Bintang Bakti Masyarakat pada 16 Mac 1963, daripada Yang Di Pertuan Negara Singapura, Encik Yusof bin Ishak
  3. Jasawan Seni, yang diberi oleh lapan pertubuhan budaya Melayu Singapura iaitu Persatuan Kebudayaan Melayu Singapura (PKMS), Perkumpulan Seni, Sriwana, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Persatuan Wanita dan Teruna (Perwanit), Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50), Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD), Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) Dan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura pada 1971
  4. Anugerah Sangeetha Kalabooshan diberi oleh Singapore Indian Film, Arts and Dramatic Society, pada 30 Mac 1974
  5. Anugerah Sri Budiman diberi oleh Sriwana pada 20 Disember 1980
  6. Anugerah Kebudayaan dan Komunikasi ASEAN pada 24 Ogos 1987
  7. Sebuah jalan dinamakan ‘Zubir Said Drive’ dan di nombor 1, Zubir Said Drive didirikan Sekolah Seni Singapura.
  8. Anugerah Sepanjang Hayat daripada Compass (Persatuan Penggubah dan Penulis Singapura) diberikan setelah ketiadaan Pak Zubir, pada 17 April 1995.
  9. Dan sejumlah buku dan dokumentari mengenai Pak Zubir yang diterbitkan di Singapura dan Malaysia.

Semasa hayatnya Pak Zubir telah mencipta lebih 1000 lagu tetapi sebahagian besarnya telah hilang dan tidak didokumentasikan. Beliau juga, seperti kebanyakan seniman silam kita dahulu, tidak mendapat royalti daripada sebilangan besar karya ciptaannya. Dan Pak Zubir tidak pernah menjadi kaya kerana penglibatan seninya tetapi menjadi ‘kaya’ dalam berkongsi ilmu, mendidik dan menyumbang dalam menambahkan khazanah seni kita. Ketulusannya dalam bidang seni serta keinginan teguhnya untuk melihat masyarakat, terutamanya anak-anak kita membesar dengan sopan, berani, berseni dan tidak melupakan budaya dan jati diri serta tidak mengenal erti putus asa, sering membumbui karya-karyanya.

Sebagaimana Pak Zubir Said melagukan dalam lagu ‘Budi Yang Baik’, yang diambil daripada pantun tradisional kita:

          Pulau Pandan jauh di tengah
         Gunung Daik bercabang tiga
         Hancur badan dikandung tanah
         Budi yang baik dikenang juga.

Pak Zubir Said meninggal dunia pada 16 November 1987 di 190A, Joo Chiat Place, Singapura. Namun, jasa dan budi baik beliau akan tetap dikenang bukan hanya untuk generasi ini tetapi generasi-generasi mendatang di Singapura dan daerah-daerah lainnya.

Rujukan:

  1. Ahmad Sarji, 1999. P. Ramlee. Erti yang Sakti. Selangor: Pelanduk Publications.
  2. Azlan Mohamed Said, 2013. Malaya’s Early Music Scene Musika. Arena
    Muzik Silam di Malaya. Singapura: Azlan Mohamed Said.
  3. Perkamus, 2002. 7 Magnificient Composers. 7 Tokoh Muzik. Singapura: Perkamus.
  4. Rohana Zubir, 2012. Zubir Said. The Composer of Majulah Singapura. Singapura: ISEAS.
  5. Times Books International, 1990. Zubir Said. His Songs. Singapura: Times Books International.
  6. Wawancara Rasiah Halil dengan Pak Zubir Said pada 19 Oktober 1984 berjudul ‘Seni, Muzik dan Masyarakat’, tersiar dalam Jurnal Jejak Kembara, Jilid 2, Bilangan 2, November 1984/1985, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura.
  7. Sejumlah tulisan mengenai Pak Zubir Said dan lagu-lagu ciptaan beliau di Internet.

Tulisan: Rasiah Halil
13 Oktober 2023.

Penerangan Dan Pembacaan Sajak Serta Nukilan Beberapa Lagu Ciptaan Pak Zubir Yang Disampaikam Semasa Pelancaran ‘Projek Orang Singapura Zubir Said’ Pada 28 Oktober 2023, Di Singapura

Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada tetamu terhormat majlis ini, Dr Mohd Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan juga Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Encik Ong Kong Hong, Pengarah Divisyen, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kirikulum, Puan Salbiah Abas, Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Puan Noor Azimah Md Haad, Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Puan Zurainee Zainal, Sekretariat MLLPC (Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu)), Encik Suhaimi Sahmat, anggota Sekretariat MLLPC, jawatankuasa penganjur lainnya, tuan-tuan dan puan-puan.

Mengapa sajak ini dipilih dan penerangan selanjutnya:

  1. Kesamaan pengalaman sebilangan seniman silam kita
  2. Pak Zubir dan P Ramlee serta Saloma mengenali satu sama lain, malah Pak Zubir turut membimbing dan merakamkan lagu-lagu nyanyian Saloma

Sajak yang dibacakan:

Mengenangmu
(Mengenang 40 tahun pemergian P. Ramlee:
Lahir: 22 Mac 1929 – Meninggal Dunia: 29 Mei 1973)

Betapa kau mempelitai kami
bersumbukan seni
dengan corong ikhlas
keterampilan
bahawa hidup ini khazanah
kaya dengan kepelbagaiannya
dalam lagu, lakon, skrip, mengarah
pejal bagai batu prisma
memantul & mendokumentasi
warna-warni perjalanan bangsa.

Betapa kau mengilhami
makna penglibatan seni
tika ‘seniman’ mudah tergoda
tika namamu dijejer sesukanya
sedang semasa menderita, sepi
kau & Saloma bagai tersingkir
yang heboh meminggir
& bakat besar yang seharusnya mengawan
terjerlus oleh kepicikan wawasan.

Teuku Zakaria, P. Ramlee
Allah sahaja membalas
jasamu pada bangsa & seni.

Ditulis: 29 Mei 2013
Tulisan: Rasiah Halil.

Beberapa nukilan lagu ciptaan Pak Zubir dibaca dan ‘dinyanyikan’ bersama para peserta yang hadir dalam majlis tersebut:

Cantik Menghijau

Dengarlah burung berkicau-kicau
Seakan berdendang menghilangkan risau
Lihatlah lembah-lembah luas cantik menghijau
Menggambarkan wajah musim kemarau

Hatiku senang kubawa berdendang
Lagu gembira riang
Rama-rama serta bunga ikut girang
Semua bergembira bersentosa
Di musim kemarau.

Filem: Yatim Mustapha (1961) nyanyian Nona Asiah

Sayang Disayang

Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu kuburan
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang

Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari kenangan
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan kawan/abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang disayang.

Filem: Racun Dunia (1950) nyanyian Rubiah dan kemudiannya Kartina Dahari

Setangkai Kembang Melati

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Mekar dalam taman
Taman hati muda remaja

Kusunting kembang melati
Dalam sanubari
Sebagai kenangan
Untuk dewi yang kupuja-puja
Bahagialah melati
Pujaan abadi
Kusanjung dengan kasih
Asmara yang suci
Semoga hidup subur setiap masa
Dimandikan embun pagi

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Di dalam rangkaian
Asmara yang sakti.

Filem: Buluh Perindu (1953) nyanyian Jamaliah Shariff dan Abdullah Chik

Sirih Pinang

Burung dara terbangnya tinggi
Hinggap sebentar di kayu rendah
Ampunkan kami tegak berdiri
Wujudnya duduk menghidang sembah

Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah bersusun jari sepuluh

Dendanglah nyanyi-nyanyi nan meresap
Dalam hati dengan lagu
Lagu nan berseri-seri
Hidanglah tari-tari nan menghibur
Sanubari dengan langkah
Lenggang lenggok nan sejati.

Filem: Bawang Putih Bawang Merah (1959), nyanyi Norma Mam dan dinyanyikan oleh beberapa penyanyi lain, termasuk Sharifah Aini.

Kaparinyo

Orang berinai berhitam kuku
Mandi dijirus si air mawar
Jikalau sampai hasrat hatiku
Racun kuminum jadi penawar

Belum tersurat dalam hikayat
Ayam keluar mencari musang
Belum tersirat di dalam adat
Bunga keluar mencari kumbang

Semenjak lembah bertambah dalam
Nampaknya gunung tinggi bertuah
Semenjak sejarah Hawa dan Adam
Alam berkembang berubah-ubah

Cincin bernama cincin pusaka
Takkan sesuai sebarang jari

Hasrat nak beli dulang bertepi
Barulah molek untuk hidangan
Hajat nak cari yang sama sehati
Barulah molek makan sepinggan

Sungguhlah harum si bunga tanjung
Hati nak petik si bunga mawar
Rindu dan dendam tidak tertanggung
Budi setitik jadi penawar

Sungguh melati senang dipetik
Harumnya masyhur seluruh alam
Sungguhpun budi hanya setitik
Langit dan bumi ada di dalam.

Filem: Tunang Pak Dukun (1960) nyanyian Saloma, Rahmah Ali dan Abdullah Chik

Akhir kalam

Pantun ringkas mengenang Pak Zubir:

Makan sirih bercampur gambir,
Makan di atas daun talas;
Tetap dikenang jasa Pak Zubir,
Hanya Allah yang boleh membalas.

Sekian, salam hormat dan terima kasih.

Tulisan: Rasiah Halil
28 Oktober 2023.

Mengimbau Kenangan Silam Di Universiti Singapura/Universiti Kebangsaan Singapura: Sri Anggerik IX (Ditulis Pada 1981).

Apakah anda, seperti Sri, begitu gabra kerana ditimpa demam periksa? Apatah lagi ketika ini bila ramainya ‘orang-orang asing’ (martians?) mula terjelma di sana sini, sehingga mengakibatkan ramai ‘orang bumi’ menjadi pucat lesi. Anda lihat saja di Red Spot dan Main Library, kadangkala begitu sukar mendapatkan tempat dan orang dah mula cop-cop tempat, hati mana yang tak gelabah dan bimbang? Mana tak takut ya, kerana masa yang singkat ini kita harus betul-betul menelaah dan bertungkus-lumus, seperti dinyanyikan Elvis, ‘It’s now or never…’

Tapi sementara anda betul-betul all out tu, jangan pula tak ada masa untuk tersenyum dan berkelakar. Tumpuan yang penuh terhadap pelajaran bukan bererti kita harus berwajah masam dan membaca nota buku ‘bagai nak telan’. Kalau membaca, kita jangan terlampau tenung sangat, nanti kutubkhanah terbakar, kata orang (sudah tentu ‘orang bumi’). Jangan pula anda terlupa makan, bersolat atau berehat sebentar, ingat, jasad anda bukan jentera, kalau terlalu banyak digunakan tanpa batas keseimbangan nanti timbul pula ‘pulangan berkurangan’ (diminishing returns). Kita seharusnya all out sekarang, pandai-pandailah membahagi masa, bekukan segala kegiatan lain, kalau boleh, agar tiba masa keputusan, kita tidak menyesal. Seperti kata Jay-lay dalam lagu ‘Menyesal Tak Berguna’:

‘Ingatlah segala pesanan
Awaslah dan waspada
Masa depanmu kaufikirkan
Menyesal tak berguna’


Baiklah, sementara anda mula ‘marathon’ dengan buku-buku pelajaran, kita cuba tenang-tenangkan perasaan, ya? Kita jenguk sekejap ke ‘Jabatan lstilah Dan Gila-Gila’ untuk memberi sedikit ilham buat memenuhi ruangan kali ini. Dan nampaknya, istilah yang agak menonjol-nonjolkan diri untuk ditafsirkan tidak lain dan tidak bukan ialah istilah ‘persahabatan’. Sri pilih istilah ini kerana ia begitu penting dalam kehidupan seseorang. Marilah sama-sama kita menimba dan mendalami lautan ‘persahabatan’ ini.

Persahabatan boleh diertikan dengan berbagai makna dan mempunyai nilai yang berbeza bagi setiap manusia. Kita menyayangi ‘A’ kerana satu-satu sebab dan ‘B’ juga kerana satu-satu sebab, dan darjah persahabatan kita mungkin berbeza bagi kedua insan ini. Kenalan pula adalah seseorang yang dengannya kita hanya mengadakan perbualan yang remeh seperti ‘Hai’, ‘Helo’ dan sebagainya, setelah itu, suatu apa pun kita tak pedulikan dia. Dia tidak termasuk dalam lingkungan dunia kita. Sedangkan seorang sahabat pula, adalah orang yang kepadanya kita berani meluahkan rahsia hati, kerana kita tahu, dia pasti menerima baik dan buruknya kita, keseluruhannya. Ada orang agak ‘mampu diri’ iaitu mempunyai seorang dua sahabat sudah cukup baginya. Ada pula memerlukan ramai kawan. Adakalanya persahabatan kita boleh membuahkan persaudaraan, dan ada juga, saudara kita menjadi lebih daripada seorang sahabat.

Persahabatan juga menjangkau batas usia, kedudukan, bangsa, dan agama. Sri percaya anda pernah melihat atau mengalami persahabatan seperti ini. Kadangkala, persahabatan yang teguh boleh terbina antara dua insan yang berlainan jenis, tanpa dicampuri oleh unsur cinta. Kita menerimanya kerana dirinya, dan perbezaan jantina hanya secara kebetulan sahaja — unsur cinta dan nafsu tiada terdapat dalam persahabatan sebegini, apa yang disebut sebagai persahabatan platonik.

Persahabatan sewaktu kecil, semasa bermain tingting atau guli lebih mudah didirikan kerana kita belum dihantui oleh berbagai prasangka, kayu ukur tertentu dan sebagainya. Berbeza pula apabila kita meningkat dewasa, kita lebih memilih sahabat-sahabat kita. Hai, nampaknya tak habis-habis Sri menulis, nanti marah pula kawan yang bakal membuat latihan ilmiahnya berkenaan ‘The Sociology of Friendship’. Biarlah Sri perturunkan petikan-petikan berkenaan sahabat dan persahabatan, ya?

Pentingnya seorang sahabat, ditegaskan oleh Rod McKuen, seorang penyair, dalam bukunya Looking For A Friend:

You can widen your life by yourself, but to deepen it you need a friend. Each encounter that becomes a friendship turns into a lifeline. One can never have too many, only too many to properly take care of’.

P. Ramlee pula pernah melagukan:

‘…tempat kawan berduka, menangis, bersama, selama-lama…’

Petikan Lagu: ‘Di Mana Kan Kucari Ganti’.

Akrabnya sebuah persahabatan diketengahkan oleh Kahlil Gibran sebagai:

He who understands you is greater kin to you than your own brother. For even your own kindred may neither understand you nor know your true worth.’

Menurut Ralph Waldo Emerson pula:

A true friend is somebody who can make us do what we can.’

Pepatah Arab pula mengistilahkan sahabat sebagai:

‘Kawan adalah sesiapa yang menentang bukan yang mengikut cakap kamu.’

Persahabatan antara wanita dan lelaki berbeza. Wanita lebih ‘berpuak’ dan agak ‘memiliki’ dalam persahabatan berbanding dengan lelaki. Muhammad Hejazi pernah menulis:

Woman reaches love through friendship
Man reaches friendship through love
.’

Sebuah madah yang pernah Sri dengar, mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam persahabatan:

‘Kasihlah kawanmu berpada-pada,
siapa tahu dia akan menjadi musuhmu di suatu masa;
bencilah musuhmu berpada-pada,
siapa tahu dia akan menjadi sahabatmu di suatu ketika.’

Dan anda juga mungkin mempunyai satu dua sahabat yag benar-benar akrab, justeru itu anda mungkin faham mengapa tulisan ini paling Sri minati:

You argue ‘like mad’, tell each other off mercilessly, criticise each other’s work with honesty born of respect and concern. You can talk about anything under the sun and beyond, from politics to Penang Laksa, from Picasso to pop art. You never have to explain a thing to her, for her mind works in the same crazy way yours does, and an hour with her feels like just a minute. When you are depressed and wonder what on earth you are living for, she yanks you out of it with some hilarious tale or a pep talk or just her infectious laugh and a brisk but affectionate “Oh come off it”. And when she is dejected and loses confidence in herself you do the same for her and you get the gratification of seeing the colour and light come back to her face. You delight in her individuality, in that unique combination of characteristics that makes her what she is. And you know she accepts you exactly as you are, faults and all. When you find such a friend, the loneliness in you, the basic loneliness in every human being, is a little lessened. Her warmth and brightness are in your for ever and nothing — not distance, nor death even — can really take her away from you.’

Petikan daripada: As I Was Passing, Vol. I,
Tulisan: Sri Delima (Adibah Amin).


Baru sebulan lebih berlalunya upacara sukan tahunan. Satu peristiwa masih berlegar-legar di otak Sri. Kalau anda menyaksikan permainan bola jaring peringkat akhir, anda pasti mengetahuinya. Dalam pertandingan itu pasukan lawan adalah dari Ngee Ann, pemainnya begitu kecil-kecil belaka berbanding dengan pasukan kita. Mereka pula tidak bertanding dan terus masuk ke peringkat akhir, apakan tak berdegap-degup melihat pemain-pemain kita yang seakan ‘gergasi’. Yang paling menggelikan hati ialah telatah seorang pemain Ngee Ann. Orangnya begitu candi, dan bila dikepung oleh pasukan kita dan dia pula passing secara dekat, kerana gengnya semua bercempara, dia menjerit:

“Eh, apa ini, aku pass kau, kau pass aku, aku pass kau, kau pass aku saja …”


Pernahkah anda fikirkan, bahawa lagu-lagu kita kini sering juga berpangkalkan nama seseorang? Bayangkan nama anda diabadikan oleh seorang pencipta atau penyanyi dan menjadi siulan dan nyanyian semua orang… tak terkata keindahannya. Lebih banyak lagu yang memuja wanita daripada lelaki, maklum, takkan seorang penyanyi wanita nak memuja-muja nama insan kesayangannya, ya? Antara lagu-lagu yang berpangkalkan nama lelaki ialah ‘Dino’ dan ‘Sani’ oleh Uji Rashid, ‘Benjy’ oleh Azean, ‘Ya Mustapha’ oleh Anita, dan lagu yang agak istimewa, ‘Mady’ nyanyian Broery untuk Ahmad Nawab.

Lagu-lagu yang berjudulkan nama wanita pula terlalu banyak. Misalnya, P. Ramlee dengan ‘Hamidah’ dan ‘Azizah’. A. Ramlie dengan ‘Oh Fatimah’, Jeffrydin dengan ‘Siti Haida’, Ismail Haron diilhami nama ‘Junainah’ dan ‘Wati’. D.J. Dave mengabadikan ‘Nora’. Sudirman mengingati ‘Mama’ (untuk Saloma) dan ‘Maya’. Terdapat juga ‘Zuraidah’, ‘Siti Zubaidah’, ‘Zuraini’, ‘Zakiah’, ‘Kamelia’ dan ‘Juliana’. Dua buah lagu yang bagi Sri adalah benar-benar indah, sama ada muzik mahupun seni katanya ialah lagu-lagu nyanyian Bob Tutupoly, ‘Kartini’ (mengingati perjuangan Raden Atjeng Kartini) dan ‘Widuri’. Kalau nak diteruskan, senarai ini masih boleh dipanjangkan lagi…

Bila, oh bila orang nak mengabadikan (atau mengabdikan) nama Sri selain daripada ‘Anggerik Merah?’


Biarlah Sri beralih kepada suatu hal yang sedih sedikit. Kematian seseorang yang dikasihi amatlah memeranjatkan, lebih-lebih lagi bila pemergiannya tidak dikesan terlebih dahulu dengan adanya penyakit dan sebagainya. Begitu sukar menerima kenyataan bahawa dia tiada lagi di sisi, untuk selama-lamanya. Pukulan hebat ini amat terasa apabila orang yang meninggal adalah ayah atau ibu kita dan kita begitu manja dengannya. Tapi, jika kita benar-benar sayangkan arwah ayah kita misalnya, kita haruslah cuba sedaya upaya agar tidak menghampakan cita-cita beliau untuk melihat kita berjaya. Kita harus cuba mengurangkan, jika tidak menghilangkan, kesedihan kita demi menjadikan kenyataan segala harapan dan impian hidupnya untuk kita.

Anda mungkin berkata Sri terlalu berfalsafah, tak punya perasaan atau berpijak di bumi nyata. Sebenarnya apa yang Sri catatkan ini telah pernah Sri alami … Ketika di tahun pertama, semasa menghadapi peperiksaan, bapa Sri meninggal dunia. Bukan saja ini memeranjatkan bahkan merupakan suatu tamparan hebat bagi hidup Sri.

Bapalah satu-satu orang tua Sri yang masih hidup dan beliau adalah lambang hidup berkeluarga Sri. Tanpanya, seolah-olah satu ikatan teguh dalam hidup berkeluarga Sri telah putus. Sri begitu sedih, kerana beliau tidak akan melihat Sri lulus periksa, apatah lagi berjasa kepadanya. Tapi, Sri cuba melupakan kesedihan Sri ketika menghadapi peperiksaan (bapa meninggal hari ini, esoknya Sri menghadapi kertas kedua peperiksaan Sri) kerana Sri tahu kalau bapa Sri masih hidup, beliau pasti ingin Sri bersungguh-sungguh dan berjaya dalam peperiksaan. Maaf, Sri terpaksa mencatatkan dengan panjang lebar, ini adalah khusus buat tatapan seorang kawan/adik, agar dia tabah dan tenang ketika mengulang kaji pelajaran di Eusoff College.


Sampai sini sajalah, Sri terpaksa mengucapkan selamat berpisah. Kita akan bertemu lagi buat kali terakhir (kali ini keputusan muktamad) dalam keluaran ketiga ‘Gempur’ kelak.

Untuk adik-adik dan juga Sri sendiri, belajarlah bersungguh-sungguh. Bagi adik-adik di tahun pertama, peperiksaan tahun ini sangat penting; ia menentukan sama ada boleh atau tidaknya anda diisytiharkan sebagai penghuni ‘sah’ Universiti Kebangsaan Singapura. Yang di tahun tiga pula, keputusan peperiksaan mempunyai pengaruh yang besar bagi mencorakkan warna masa depan hidup anda. Begitu juga dengan tahun-tahun lainnya.

Sebagaimana adik-adik dan kawan-kawan, sama-samalah kita berdoa semoga memperolehi kejayaan di medan peperiksaan kelak. Semoga Tuhan memberkati usaha kita dan memberi ketabahan dan keyakinan menghadapi pahit-getir musim periksa.

Bagaimana lagikah dapat Sri lukiskan besarnya harapan kami bagi kejayaan kita semua? Kadangkala lebih mudah melahirkan perasaan melalui lagu, kerana seni kata lagu dapat mewakili perasaan kita buat ketika-ketika tertentu. Biarlah Sri akhiri dengan petikan sebuah lagu asli yang indah dan puitis alunan Biduanita Saloma:

‘Sekapur sirih, sekapur sirih seulas pinang,
diberi bekal, diberi bekal buat perangsang,
pergilah intan, pergi intan pergilah sayang,
ke tengah medan, ke tengah medan pergilah berjuang …’

Petikan Lagu : Sekapur Sirih Seulas Pinang
Gubahan : P. Ramlee
Seni kata : Jamil Sulong

Sekian, hingga bertemu lagi.

Ditulis: Januari 1981, Asrama Nanyang, Singapura
Tersiar: Januari 1981, Majalah Gempur, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura, Bilangan 2, Tahun Akademik 1980/1981
Tulisan: Rasiah Halil.