Archive | April 2019

Kata Mutiara – 7 April 2019

Picture 2Picture 3

Picture 4

Picture 6Picture 1

Semoga segala tragedi yang melanda manusia serta kemanusiaan dan segala sesuatu yang mendukakan kita memberi kita lebih ketabahan dan kesabaran. Semoga kita sentiasa yakin, apa pun tragedi dan penderitaan, ada peleraiannya dan betapa sedih dan sukar pun, kita tidak akan berputus harapan. Ini kerana kita yakin, Tuhan tidak akan memberati sesuatu jiwa  dengan apa yang tidak mampu ditanggungi jiwa tersebut.

Semoga kita selalu ingat  akan pesanan daripada  Surah Al-Insyirah: Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Dan kita selalu tabah memekarkan harapan menghadapi pelbagai dugaan kehidupan. Amin.

Salam
Rasiah Halil
7 April 2019.

6 Kuntum Sajak: ‘Rungkai’,’Tusukan’, ‘Suara Kita’, ‘Si Jalut’,’Kepedulian’ & ‘Makna Kasih’

Rungkai

Ikatan inikah semakin longgar
tanpa diduga
dianai-anaikan hal nisbi
yang dijadikan natijah –
terlihat semut di seberang
tak ternampak gajah di depan –
merungkai tali-temali
pengimbang layar kehidupan?

Bagaimana nanti semakin menipis
kepaduan yang semula jadi
dicantas hal-hal ranting
tanpa memahami yang pokok
& kita menganggap diri ulung
memilih jalan yang betul
tapi membiarkan lopak & kerikil
mengaspal perjalanan hidup?

Ditulis: 13 Mac 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Tusukan

Betapa nanti akan terus ditusuk
jantung kemanusiaan kita
dengan yang tegar
keangkuhan, penjajahan berkala –
& indahnya sebuah pencarian
tika tenang bersolat
atau meramahi manusia –
ditusuk sesukanya
oleh kebencian tanpa tara.

Racun itu telah lama merebak
bila mata dikaburi kasta
bila kebencian bertakhta
bila keramahan hanya sandiwara
tanpa memahami, menghayati
makna menjadi makhluk-Nya
yang melarang
pembunuhan merajalela
pembunuhan penyelesai segala
atau bersikap talam dua muka
di tengah petaka
dicengkam duka
kerana kemanusiaan itu besar
melebihi keterbatasan kita
& tiada sempadannya.

Ditulis: 17 – 19 Mac 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Suara Kita

Apakah suara kita akan didengar
dalam riuhnya kebencian
kuasa-kuasa disokongi dalang
bahawa kemanusiaan itu besar
meski sekadar remaja 17 tahun
bersuara dengan sebiji telur
atau seorang perdana menteri yang prihatin
tabah, tegas, ramah, simpati
bersama rakyat New Zealand & dunia
sama tersentak, sama memaklumi
yang berdegup adalah nurani
kemanusiaan yang sama diwarisi
bukan retorika, ketuanan
atau nista dihembur sesama insan.

Betapa besar sebuah kemanusiaan
bila keprihatinan itu ikhlas
bila setiap insan berharga
meski berlainan bangsa, agama, ideologinya
kerana ceritera kita tetap serupa
walau latar & plotnya sedikit berbeza
insan-insan yang ingin memenuhi kehidupannya
mencari bahagia
mencari makna
kadang tersadung
kadang terlencong
namun tetap bernama manusia.

Biarlah suara kita bergema
demi kesejahteraan
demi kebaikan
meleraikan kekusutan
peka, prihatin, saksama
untuk semua
tanpa membiakkan kebencian
tanpa menularkan yang songsang
tanpa menjadi si Kitul & dalang
berdegup satu detak
jantung kemanusiaan.

Ditulis: 21 Mac 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Si Jalut (iii)

Isytiharkan kepada dunia
perampasan itu halal
penindasan itu sejahtera
penyelewengan itu saksama
sesudah Baitulmuqaddis dijadikan ibu kota
& kini, Bukit Golan milik mutlak si Jalut
betapa adil Rumah Putih & sekutunya
memeta & memetak dunia
bila kuasa itu kebenaran
pengusiran bukan petaka
pengepungan wajar belaka
bila P.B.B. berkelu kata
bila saudagar perang menjadi wira
& kelicikan begitu memukau
dolar membius merata
melupus hak & sejarah sekabilah manusia.

Si Jalut di mana-mana
dengan bahasa kebencian
dengan tindakan biadab
dengan keserakahan berulang
berlagak Mafia
membuli si lemah
mencandui si pak turut
tanpa batasnya.

*Jalut = Goliath; Baitulmuqaddis = Jerusalem; Bukit Golan  = Golan Heights; P.B.B. = Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu/ United Nations Organisations.
Ditulis: 22 – 23 Mac 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Kepedulian

Masihkah didengar suara-suara itu
atau ketulian semakin memburuk
pada jeritan si marhaen
pada keterasingan, derita
penghuni yang semakin mercup
pintu-pintu yang kian terbuka
jurang melebar
sengsara menusuk
menceruti si jelata?

Masihkah terlalu ghairah
menjadi tuan rumah yang pemurah
menjanjikan syurgaloka
menilai apa pun perdagangan
menyisihkan yang lumrah
tika ada yang terketar
ada yang mati dalam pangkuan
bila beruk di hutan disusukan
& betapa bestari
bermain kata
bermain angka
bermain emosi
yang kaku, hambar
& jurang-jurang berkubu
tanpa kepedulian bererti.

Kalau kepedulian ini semakin merudum
akankah ada ngauman
si jelata yang tak pandai berpura-pura
& lama berdiam?

Ditulis: 29 Mac 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Makna Kasih

Kalau kasih ini disukat
hanya untuk yang praktikal, bermanfaat
hati kita akan tertutup –
mendekati yang memerlukam
memahami yang tercalar
meluangkan masa, perhatian
kerana merekalah sebahagian kita
kadangkala keliru menjalani kehidupan
kadangkala memerlukan sokongan
suntikan keyakinan, pemahaman
meniti liku-liku terhampar.

Kasih itu bahagia & derita
batu prisma yang pelbagai warna –
kadangkala kita akan terluka
bila maknanya luntur
kesibukan membiak
kecelaruan menyesak
tapi jika kita ikhlas
yang kasih tetap rimbun
menyinari hidup
melarik & mengajar
bahawa ia boleh mencalar
menyantuni, mendamaikan
dengan sempadan yang diluaskan
& melihat mereka yang kita kasihi
semakin dewasa
bertanggungjawab, prihatin
kita faham tanpa melafazkan
erti kasih murni.

Hanya yang kasih
tahu makna terluka
& erti menyayangi
menerima, melepaskan
yakin akan rahmat-Nya
syukur
ikhlas.

Ditulis: 5 April 2019
Tulisan: Rasiah Halil.

Apakah Hanya Setaman Mawar Yang Boleh Bahagiakan Kita? (Ditulis: Februari 1999)

Rose 2Rose 1

Di mana-mana pun anda duduk atau berjalan, dalam sibuk berbincang pasal ekonomi gawat atau ha-hal peribadi, sesekali anda terdengar suara-suara mengenai kebahagiaan dan ertinya bagi hidup seseorang. Tentunya ia tidak disampaikan untuk memancing minat anda atau disengaja-sengajakan kerana datangnya selalu tanpa diundang, ketika anda bersarapan lontong, kuih atau perata di pusat penjaja dekat blok anda, yang juga dekat dengan pasar.

Lihatlah sekumpulan kakak/mak cik bila duduk bersembang selepas ke pasar. Apa erti bahagia bagi mereka? Bahagia ialah bila dapat beli ikan yang baik dengan murah atau sayur-sayur segar. Atau cakap pasal masakan yang bakal mereka hidangkan tengah hari nanti. Tidak ada falsafah besar-besar – sekadar ikan, sayur, belacan dan cili, dah mudah menimbulkan rasa bahagia mereka.

Ada juga di antara mereka yang tiba-tiba bercerita: ‘Gembiranya aku…garing…’ Anda ingat dia bercakap pasal keropok atau ikan garing, betapa terkejutnya anda, yang garing itu baju-baju yang dijemur – adanya terik matahari, bagi mereka yang mencuci kain baju, sudah cukup membahagiakan.

Ada beberapa lelaki juga selalu berkumpul di tempat makan yang sering Sri kunjungi ini. Mereka bercakap pasal berita-berita di akhbar dan kadangkala bila ada mood timbul, ada yang berhujah dengan hebat…kalah CNN atau BBC. Semuanya terkini. Inilah kebahagiaan mereka. Yang cakap pasal bola pun boleh tumpang sekaki, selain sesekali ada juga pasal bisnes dibincangkan.

Bagi yang sudah pencen, bahagia itu bererti berjumpa kawan-kawan lama di tempat makan dan bersembang kisah-kisah yang pernah mereka alami bersama. Ada mat rock pun turut campur; anda lihat dia begitu garang tetapi begitu bersopan dan ihsan terhadap kucing-kucing yang berkeliaran. Mungkin inilah erti bahagia baginya.

Kadangkala anda terfikir, melihat anak anda belajar bertemankan muzik rock yang dibuka kuat – bolehkah dia belajar? Tetapi tanpa muzik, lagi dia tidak boleh belajar kerana itu salah satu punca bahagianya. Dan anda terkenang zaman remaja anda – sama juga, anda suka kumpulan-kumpulan Deep Purple, Creedence Clearwater Revival dan sebagainya. Masa itu pun ibu bapa anda marah sama seperti sekarang anda memarahi anak anda.

Bagi ibu bapa, kejayaan anak-anak mereka adalah kebahagiaan mereka, tetapi seperti dalam filem Siti Muslihat, ibu bapa sering sanggup berkorban untuk anak-anak mereka kerana itulah kebahagiaan mereka. Walaupun  anak anda tidak geliga cemerlang, wajahnya tetap menimbulkan kebahagiaan anda, sehingga timbul kata-kata: anak yang hanya seorang ibu boleh menyayangi, walau orang lain hanya melihat keburukan atau kekurangannya.

Apa erti bahagia bagi seseorang seperti Albert Einstein? Pastinya bila dia mendalami teori relativitinya dan bidang sains. Atau orang yang ‘gila’ komputer – tentunya mengenali selok-belok komputer sehingga ke ‘tali perut’nya – walau digelar nerd atau geek.  Bahagia bagi seniman ialah bila ilhamnya timbul, atau bagi seorang peniaga, bila bisnesnya laku. Pokoknya, bahagia itu menjelma dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa.

Mestikah kebahagiaan itu sesuatu yang besar? Misalnya memiliki rumah besar, kereta menjalar, berjawatan tinggi, gaji lumayan dan anak-anak di sekolah ternama? Atau memiliki ‘5 C’ (Cash, Car, Condominium, Credit Card dan Country Club), sebagaimana yang digembar-gemburkan? Ada seorang kawan Sri berkata, jangan sampai kita kejarkan ‘5 C’, kita jadi ‘si’ (mati) atau ‘obsesi’…Ramai orang yang kaya-raya dan berpangkat, tidak juga bahagia. Mungkin tepat ramalan kumpulan The Beatles mengenai wang: ‘Can’t buy me love…’

Kadangkala pertimbangan bahagia kita terlalu menjurus pada benda maujud, walhal benda hanya alat, bukan tujuan. P. Ramlee tidak pernah menimbun harta semasa hayatnya kerana kebahagiaannya ialah kerja seninya, yang kekal hingga kini. Tidak salah Sri rasa kalau kita mahukan yang besar-besar dan berjenama, asalkan kebahagiaan kita tidak terpacak pada hal-hal begini sahaja kerana kita mudah kecewa kerananya. Yang kecil-kecil itulah yang sering menghimpunkan kebahagiaan kita – seperti sentuhan seni P. Ramlee, yang nampak kecil, tetapi bermakna.

Ingatkah anda semasa kecil-kecil dahulu – apakah yang membahagiakan anda? Bukan barang-barang termahal, tetapi sekadar anak-anak patung buatan sendiri, guli, layang-layang yang dibuat sendiri dan bermain masak-masak. Anda bahagia bersama keluarga walau hidup anda mungkin tidak mewah.

Masa-masa sukar ini, mungkin ada baiknya kita fikir-fikirkan erti kebahagiaan yang sebenar bagi diri kita. Ada Sri dengar-dengar, bersyukur terhadap yang sedikit, selalu lebih daripada itu yang Allah kurniakan. Sebab yang kecil-kecil inilah yang selalu menambat: melihat wajah kanak-kanak, mendengar lagu merdu, lihat titis hujan, makan bersama keluarga, berbasikal dengan anak-anak di tepi pantai, bertemu kawan, bersendiri walau tidak keseorangan, hidup tenang dan tenteram, kesihatan yang kita miliki dan bermacam-macam lagi.

Seperti kata pepatah: mestikah hanya setaman mawar yang boleh membahagiakan kita, sedangkan sekuntum mawar, tidak? Tetapi kata Shakespeare, apa pun nama yang kita beri pada sekuntum mawar, ia tetap harum. Dan tetap mengharumi kehidupan kita. Demikian juga inti kebahagiaan itu bagi diri kita.

Dan semakin kita dewasa, melalui berbagai-bagai liku hidup, Sri yakin, kita semakin bersyukur mernghadapi apa pun cabaran dan akan sentiasa berterima kasih kepada manusia-manusia pertama yang menyuburkan erti dan inti kebahagiaan itu di jiwa kita. Ini seperti yang dilagukan M.Nasir:

Bonda (dan ayahanda)
Akhirnya
Terbongkar jua rahsia
Tangisan dan gurindam
Keramat kasih sayangmu

Ditulis: Februari 1999
Tajuk Asal: Erti Bahagia
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 21 Februari 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Wanita Solo: Perubahan Perlu Dilakukan (Ditulis: Februari 2001)

Gambar 1Gambar 2

Isu wanita yang masih solo mendapat tempat di akhbar baru-baru ini. Isu ini bukanlah isu baharu. Dan tidak menghairankan bila kita ketahui purata jumlah wanita terpelajar yang belum berkahwin meningkat, demikian juga mereka yang berpendidikan rendah. Apakah ertinya ini semua bagi kita dan masyarakat?

Sebelum melanjutkan ini, biarlah Sri terangkan sudah lama Sri hendak menulis mengenai topik ini tetapi tersangkak kerana tidak mahu disalah-anggap. Kini, dengan kedewasaan usia dan mudah-mudahan fikiran, ingin pula Sri sentuh sikit hal yang agak kompleks ini. Ketika ‘The Great Marriage Debate’* usulan pemerintah [*dimulakan pada 1984, apabila wanita siswazah/terpelajar dan anak mereka khususnya, mendapat sejumlah peruntukan dan sokongan pemerintah kerana mempunyai anak] menjadi topik hangat pada tahun 80-an di Singapura, Sri tidak menyetujuinya kerana pendidikan dan kajian Sri menunjukkan bukan sekadar sepasang siswazah sahaja yang dapat melahirkan anak-anak yang bijak. Walaupun demikian, Sri akur suami isteri yang terpelajar mungkin dapat mengadakan prasarana yang lebih baik untuk anak-anak mereka kerana pendapatan bulanan yang lebih besar dan yang lebih penting, mereka mungkin lebih memahami sistem pendidikan yang dilalui anak-anak mereka. Tetapi cemerlang atau tidaknya anak tadi bergantung kepada banyak faktor lain bukan setakat tingginya pendidikan ibu bapanya sahaja.

Kenapa pula berlaku ramai wanita terpelajar kita masih membujang? Besar kemungkinan ini berlaku kerana nisbah lelaki dan wanita yang melanjutkan pelajaran tidak seimbang. Tiap tahun di pusat-pusat pengajian tinggi, lebih ramai anak gadis kita yang melanjutkan pelajaran. Ini sebenarnya bermula lebih awal lagi. Ada kajian menunjukkan ketika di peringkat sekolah rendah, anak-anak lelaki kita cemerlang tetapi prestasi mereka merosot ketika di sekolah menengah. Ini berbeza pula dengan anak perempuan kita. Kita yang sering takut anak perempuan kita akan ‘mencontengkan arang’ lebih menjaga dan mendisiplinkan mereka berbanding dengan anak lelaki kita. Kesannya, ramai anak perempuan kita lebih tekun belajar sedangkan anak lelaki kita ‘terbiar’.

Sekolah menengah adalah masa peralihan (baligh) dan jika tidak ditangani dengan baik, pelajaran dan apa-apa pun disiplin hidup akan terbengkalai begitu sahaja. Selepas politeknik atau maktab rendah anak-anak lelaki kita menjalani perkhidmatan negara pula. Sesetengahnya, setelah mendapat gaji yang agak lumayan selepas perkhidmatan negara, tidak mahu meneruskan pelajaran dan ini berbeza dengan pelajar-pelajar perempuan kita.

Jika nisbah yang melanjutkan pelajaran tidak seimbang bagaimana pula dapat akhirnya diseimbangkan? Benar, perkahwinan adalah isu peribadi, tetapi banyak perkara yang bersangkut-paut dengan isu ini. Purata lelaki mahu mengahwini wanita yang setaraf atau lebih rendah daripadanya. Wanita pula mahukan lelaki yang setaraf atau lebih baik daripadanya sama ada dari segi pelajaran, pendapatan, akhlak dan sebagainya. Dalam banyak hal, sejumlah kemahuan kedua pihak ini tidak bertembung lantas tiadalah perkahwinan.

Sebagai orang Islam kita digalakkan berkahwin. Dan Nabi s.a.w. mengajar kita, untuk berkahwin, selain beberapa faktor, soal sekufu/compatibility itu penting. Sekufu atau tidaknya anda dengan seseorang bergantung kepada banyak faktor. Ada lelaki tidak sanggup memperisterikan wanita yang lebih bijak kerana ini memerlukan banyak tolak-ansur dan mungkin menjejas ego kelakiannya. Ada wanita pula tidak mahu mengahwini lelaki yang tarafnya terlalu rendah daripadanya. Dan soal sekufu ini bukan sekadar soal ijazah atau gaji lumayan sahaja. Ia bagaikan faktor ‘X’­ – anda tahu sama ada boleh atau tidaknya  anda meneruskan sesuatu perhubungan yang berakhir dengan perkahwinan.

Kerana nisbah yang tidak seimbang, jumlah wanita yang masih bujang bertambah dan lelaki pula lebih mudah memilih dan menukar pasangan kerana banyak pilihan. Ini semua menjejas potensi berumah tangga wanita tadi. Ramai wanita Melayu yang terpelajar ingin mengahwini lelaki Melayu-Islam (melainkan dia ‘Sarong Party Girl’ yang mahukan lelaki Mat Salleh sahaja) tetapi jika ini tidak berlaku, mereka berakhir dengan pasangan bukan Melayu-Islam tetapi sanggup memeluk Islam. Dan trend ini akan bertambah melainkan suatu injakan paradigma berlaku di kalangan lelaki terpelajar kita dan juga cara kita membesarkan anak-anak lelaki kita serta nilai-nilai yang kita semaikan di kalangan anak-anak kita (lelaki dan perempuan). Terdapat juga wanita kita yang membujang kerana putus cinta atau lelaki yang mereka cintai enggan memeluk agama Islam atau mereka enggan pula menjadi isteri kedua tanpa alasan kukuh.

Sri rasa banyak perkara harus kita ubah, bukan setakat pandangan lelaki dan wanita terpelajar sahaja. Istilah ‘tak laku’ misalnya tidak harus ditujukan kepada wanita bujang kerana ia seolah-olah menggambarkan wanita itu suatu komoditi yang ada tarikh luputnya. Demikian juga kata-kata seperti: ‘Buat apa belajar tinggi-tinggi nanti ke dapur juga/nanti tak kahwin’, seharusnya kita tiadakan. Pelajaran dan kemahiran adalah aset bagi sesiapa pun, termasuk wanita kita. Peluang ini tidak harus dikesampingkan hanya kerana kita takut anak-anak perempuan kita tidak akan berumah tangga kerana tanpa pelajaran tinggi pun tiada jaminan dia akan berumah tangga.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan tetapi kita, demi kebaikan semua, harus secara jujur melakukan beberapa perubahan.

Ditulis: 21 Februari 2001
Tajuk Asal: Perihal Jodoh
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 25 Februari 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Peranan Muzik Dalam Kehidupan (Ditulis: 2004)

Lagu 1Lagu 2Lagu 3Lagu 4

Perkara yang hebat dibincangkan anak-anak muda yang Sri kenal ialah mengenai Singapore Idol. Pada mulanya, Sri tak kisahkan sangat pasal ini tetapi kerana ia sering diperkatakan, sedikit sebanyak Sri nak juga tahu, maklum nak tumpang semangkuk dalam perbincangan mereka. Namun, seperti American Idol, banyak juga episod tidak Sri tontoni, kecuali sesekali tertonton bila menekan-nekan saluran televisyen. Rasa-rasa Sri hanya dua episod Singapore Idol yang Sri tonton dari mula hingga akhir iaitu episod minggu lepas, dan sebuah lagi beberapa minggu yang lalu. Namun, banyak juga Sri baca dan tahu mengenainya daripada anak-anak muda tadi dan akhbar.

Seperti beberapa orang, Sri juga tidak begitu gemar dengan format adu bakat seperti ini. Penilaian yang diberikan panel hakim kadangkala terasa over dan cara memilih melalui pesanan ringkas/SMS, tidak semestinya menampilkan kebolehan menyanyi seseorang. Ada yang terkeluar bukan kerana mereka tidak berbakat, tetapi kerana mereka tidak mendapat sokongan. Demikian juga mereka yang terpilih, kadangkala kerana disetujui oleh beberapa pihak, misalnya diberi wild card, walaupun ternyata memang tidak berbakat. Namun, terdapat beberapa orang yang benar-benar berbakat hingga ke pusingan-pusingan terakhir.

Mungkin Sri sedikit nostalgik terhadap cara penilaian adu bakat sebelum adanya format American Idol. Format begini, bagi Sri, lebih bersopan dan lebih menampilkan bakat. Walaupun di masa-masa lampau ada juga tengkarahnya, tetapi jika panel hakimnya benar-benar berwibawa dan mempunyai integriti, kita selalu akur dengan pilihan mereka. Akhir tahun 60-an dulu, ada kumpulan remaja yang menjadi juara, menggelarkan diri mereka “The Tit Bits” dalam peraduan Talentime RTS.

Dan dalam adu bakat-adu bakat yang lain, muncul nama-nama seperti Sugiman Johari, Othman Hamzah, Suliah Mahmood, The Vintage dan lain-lain sebagai juara. Adu bakat Melayu pula ada keistimewaannya; seseorang penyanyi itu boleh menyanyi bahagian langgam atau pun asli. Lantas nama-nama seperti R.Ismail, Rafeah Buang, M. Ismail, Sharifah Aini, Hasnah Kana dan lain-lain muncul. Adu bakat Malaysia pula lebih gah kerana bakat yang lebih banyak dapat ditampilkan kerana jumlah penduduk yang lebih besar. Muncul nama-nama yang besar dalam seni suara Melayu misalnya Rosmaria Abdul Hamid, Sudirman Hj Arshad, Jamal Abdillah dan lain-lain. Demikian juga tampilnya beberapa bakat baharu dalam dunia seni suara dan muzik kita kini.

Mengapa kita gemarkan lagu dan muzik, lantas rancangan seperti Singapore Idol ini mendapat perhatian yang luas?  Sri rasa, ada sebahagian daripada naluri kita suka kepada keindahan dan seni suara dan muzik dapat menyerlahkan keindahan tersebut. Lagu boleh meriakan hidup kita; begitu juga lagu yang baik boleh merangsang beberapa perasaan dan fikiran kita. Sebab itu ada sebilangan kita suka mendengar lagu-lagu lemah gemalai semasa memandu kerana ini boleh mengurangkan tekanan di jalan raya. Demikian juga sesetengah lagu yang terlalu rancak dan bingit boleh mengganggu ketenteraman kita. Bayangkan anda sedang bergegas nak pulang ke rumah dalam kesesakan jalan raya, tiba-tiba terdengar lagu rap atau heavy metal, alangkah terseksanya, terutama bagi mereka yang semakin lanjut usia. Bagi anak muda mungkin lagu-lagu begini semakin menggerakkan tenaga mereka semasa memandu!

Suara yang indah dapat menghablurkan pelbagai perasaan manusia, melalui detik-detik tertentu kehidupan seseorang. Suara Ummu Kalsoum dari Mesir, misalnya, pernah digunakan untuk menaikkan semangat nasionalisme orang-orang Arab semasa perang Arab-Israel 1967 dahulu. Demikian juga, Allahyarham Yasser Arafat sangat berharap penyanyi Lebanon, Fairuz/Fayrouz, dapat menyanyi di Baitulmuqaddis, suatu hari nanti. Suara beliau adalah lambang keindahan dan kebanggaan orang-orang Arab, memantulkan pelbagai kegembiraan dan keresahan mereka.

Dan apa kurangnya suara S. Effendy, Sam Saimun, Anneke Gronloh, Emilia Contessa, Alfian, Titiek Puspa, Lilis Suryani, Broery, Mus Mulyadi, Dewi Yull dan lain-lain dari Indonesia? Suara mereka menggetarkan kenangan dan ingatan kita mengenai sesuatu masa atau peristiwa dan kita terbawa-bawa menyanyi atau cuba-cuba menyanyi, kerana suara dan lagu mereka memberi makna kepada kita. Penyanyi-penyanyi lama dari Singapura dan Malaysia juga memusarkan kenangan kita. Bagi sebilangan kita lagu-lagu nyanyian P. Ramlee dan Saloma mungkin yang paling menyentuh hati dengan pelbagai kesan ria, hiba dan sebagainya.

Mendengar suara Saloma misalnya bagaikan mendengar seorang penyanyi yang tersenyum semasa menyanyi. Dan suara beliau juga unik. Demikian juga suara Momo Latiff, Jasni, Nona Asiah, Normadiah, Aziz Jaafar, R. Ismail, Abdullah Chik, S. Mariam dan lain-lain. Penyanyi-penyanyi yang menyusul selepas mereka, terutama zaman Pop Yeh Yeh dan seterusnya, terutama yang benar-benar berbakat, sehingga kini, lagu-lagu nyanyian mereka kita minati kerana lagu-lagu ini semua telah menjadi kenangan bersama (collective memory) kita.

Zaman Abbasiah (750 – 1258 Masihi), seorang khalifah pernah membina kolam kecil untuk seorang pemuzik kerana setiap kali dia membuat persembahannya yang bersungguh-sungguh, kolam itu akan benar-benar berapi dek sentuhan kecapinya. Elemen-elemen di sekelilingnya dibakar oleh penghayatan seninya yang mutlak.

Kita berharap, siapa pun yang menjadi juara dalam peraduan Singapore Idol ini, akan dapat menghayati dan mendalami seninya dan di masa hadapan, kita dapat menoleh ke belakang dan berkata: juara kita ini telah dapat menambahkan kenangan bersama kita melalui lagu-lagunya sebagaimana penyanyi-penyanyi malar segar kita baik dari dunia Timur mahupun Barat.

Ditulis: 25 November 2004
Tajuk Asal: Muzik Dan Lagu Dalam Kehidupan Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 28 November 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

‘Mempopularkan’ Novel Tersohor Kita

Novel Salah AsuhanNovel Angin Timur LautDebu Cinta BerterbanganNovel Urih PesisisrNovel Batas LangitPengenalan

Ketika bercakap-cakap mengenai dengan beberapa kumpulan anak muda, saya dapati sebilangan besar mereka tidak membaca karya-karya terbaik sasterawan berbahasa Melayu. Ada yang langsung tidak pernah mendengar nama sasterawan-sasterawan ini yang merangkumi penulis-penulis dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Mereka yang mengambil mata pelajaran bahasa Melayu lanjutan mungkin mengetahui sedikitnya mengenai penulis/ karya tersohor dari Nusantara tetapi sebilangan besar anak-anak muda kita tidak terdedah kepada penulis-penulis terbaik dari Nusantara. Bagaimanakah kita boleh mengenalkan mereka kepada karya-karya terbaik ini?

Penjelasan

Satu cara yang baik untuk mengenalkan penulis-penulis tersohor Nusantara dan dengan itu membuka ruang lingkup pandangan sastera anak-anak muda kita dan memperkayakan lagi minat dan kehidupan sastera mereka ialah dengan memasukkan beberapa petikan karya-karya terbaik ini dalam kurikulum kita. Perkara ini telah juga dilakukan dalam buku teks bahasa Melayu kita tetapi jika bilangan ini tidak mencukupi kerana pihak kurikulum buku teks perlu memasukkan teks-teks bukan sastera juga, mungkin kesinambungan tugas ini boleh dilakukan oleh para guru.

Selain mengenalkan secara fizikal novel penulis-penulis tersohor Nusantara misalnya Marah Rusli, Armijn Pane, Hamka, Nur Sutan Iskandar, Pramoedya Ananta Toer, Achdiat K. Miharja, Mochtar Lubis, Syed Sheikh Alhadi, Ahmad Murad Nasaruddin, Harun Aminurrashid, Arena Wati, A. Samad Said, Salmi Manja, Adibah Amin, Khadijah Hashim, Aziz Jahpin, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan, Muslim Burmat dan lain-lain kepada pelajar mereka dengan mengadakan pameran buku, perbincangan buku dan sebagainya, ada cara-cara lain juga boleh difikirkan. Seandainya buku-buku ini sukar didapatkan, walaupun dengan kerjasama pihak Perpustakaan Negara Singapura, para guru boleh menggunakan buku mereka sendiri atau meminjamnya daripada para peminat sastera, guru pesara atau penulis tempatan, waris penulis kita yang telah tiada dan lain-lain untuk meminjamkan buku-buku tersebut. Bagi buku-buku lama dari Indonesia, beberapa badan penerbitan kita boleh diminta kerjasasama mereka untuk membelinya dari sana. Yang lebih terbaharu dari Malaysia dan Brunei, selain Singapura, tiada masalah besar untuk mendapatkannya bagi mengadakan semacam pameran mini buku-buku tersohor ini.

Satu lagi cara, selain cadangan di atas, guru mungkin mengenalkan sesebuah buku atau seseorang penulis, lengkap dengan biodata serta beberapa petikan karyanya serta ringkasan novelnya untuk dibaca dan dibincangkan dalam kelas. Ini dapat dilakukan semasa dalam kelas bahasa Melayu atau dalam kelas pengayaan bahasa Melayu. Perbincangan-perbincangan ini diharap dapat menarik minat para pelajar untuk membaca seluruh buku tersebut. Acara-acara susulan misalnya mentafsirkan novel tadi dalam bentuk pantun, syair, puisi, tablo dan lain-lain, terpulang kepada kebijaksanaan guru tersebut. Dengan ini, para pelajar dapat juga mengenal karya-karya Melayu yang terbaik. Namun, adalah penting memilih karya-karya yang sebenarnya baik, bukan picisan atau popular, sebagaimana dibincangkan dalam Majalah Dewan Sastera keluaran bulan Februari 2007.  Yang picisan dan popular itu boleh sahaja laris terjual seperti goreng pisang panas, sebagaimana dijelaskan dalam Dewan Sastera, tetapi nilai-nilai yang diterapkan dan makna sastera yang sebenar turut terpinggir di dalamnya. Kenalkanlah yang terbaik daripada khazanah kesusasteraan Melayu di seluruh Nusantara kerana sastera, dalam apa bahasa pun, tiada sempadan geografi dan negara bangsa, sebagaimana kesusasteraan berbahasa Inggeris bermula dengan teks-teks yang tersohor dari Britain dan kemudian bercambah ke lain-lain negara. Kalau kita hanya mengenalkan penulis Singapura kepada para pelajar kita, besar kemungkinan yang terbaik dalam kesusasteraan berbahasa Melayu tidak turut terhidang sama. Jadi guru terpaksalah lebih saksama dalam pilihan teks mereka untuk dikongsikan bersama pelajar.

Dua Cara

Ada dua lagi cara boleh difikirkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendekatkan para pelajar dan anak-anak muda kita kepada karya-karya terbaik kita. Satu, terbitkan semula karya-karya baik ini, dengan kerjasama penulis tersebut atau jika penulis itu telah tiada, dapatkan keizinan daripada warisnya untuk menerbitkan karya-karya mereka semula. Dari Singapura misalnya, boleh kita dapatkan waris-waris Harun Aminurashid dan Jymy Asmara untuk menerbitkan semula karya-karya terbaik mereka. Demikian juga dengan beberapa penulis tersohor Nusantara.

Kedua, adakan usaha untuk ‘meringkaskan’( versi abridged ) karya-karya tersohor ini agar mudah dihadami pembaca muda dan besar kemungkinan akan terpanggil untuk membaca karya aslinya nanti. Buat masa ini ada usaha-usaha dari Indonesia untuk membuat sinopsis novel-novel dari sana, demikian juga di Malaysia oleh penulis-penulis seperti Ilias Zaidi, Rahman Shaari serta beberapa pengkaji yang menulis mengenai sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu. Tetapi membuat semacam ringkasan, tanpa menggadaikan jalan cerita dan sejumlah keindahan sesebuah novel Melayu, belum pula diusahakan.

Di Barat usaha ini telah lama dijalankan. Karya-karya Shakespeare, Chaucer, Alexander Dumas, Homer dan lain-lain terdapat versi-versi ringkasannya. Ada orang mungkin terlalu takut hendak membaca novel-novel  The Source oleh James Michener, War and Peace oleh Leo Tolstoy atau Alice In Wonderland oleh Lewis Caroll, tetapi kerana adanya versi-versi ringkasannya, ramai juga yang mula mendekati karya-karya yang tebal dan besar ini melalui ringkasannya dahulu. Selain itu, kini terdapat pula usaha-usaha membaca dan merakamkan karya-karya tersohor daripada khazanah sastera Inggeris, yang memudahkan seseorang itu mendekati kesusasteraan ketika dia berada di dalam kenderaan dan sebagainya. Semua usaha ini bukan pula untuk menggantikan pembacaan buiku yang asli; ia sekadar usaha permulaan, bagai mengadakan beberapa titian kecil sebelum sampai ke titian yang lebih besar dalam menyeberangi sungai sastera sesuatu masyarakat.

Kesimpulan

Banyak usaha boleh kita fikirkan untuk mendekatkan para pelajar dan anak muda kita mengenali karya-karya tersohor dalam dunia kesusasteraan Melayu. Seandainya banyak yang baik telah kita perkenalkan, tidak mustahil asatu atau dua akan ‘singgah’ juga di sanubari anak-anak muda kita dan mereka pula terpanggil untuk menjadi pembaca, peminat dan penggiat sastera kita.

Mempopularkan karya-karya sastera yang tersohor bukan pula bermakna karya-karya picisan dan popular, sebagaimana dijelaskan dalam Dewan Sastera keluaran Februari 2007, kita popularkan. Anak-anak muda kita perlu juga mengetahui khazanah kesusasteraan Melayu, baik karya Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji, mahupun penulis-penulis tersohor Melayui abad ke-20. Dan yang terbaik itu, baik dibuat versi ringkasan atau sepenuhnya, bak rumput, dan bukannya kertas, akan memberi khasiat dan meningkatkan cita rasa kesusasteraan kita.

Ditulis: Mungkin sekitar 2006/2007; keratan akhbarnya hilang dalam simpanan saya.
Tersiar: Ruangan ‘Tun Faitmah’, Berita Minggu (Singapura).
Tulisan: Rasiah Halil.