Peranan Muzik Dalam Kehidupan (Ditulis: 2004)

Lagu 1Lagu 2Lagu 3Lagu 4

Perkara yang hebat dibincangkan anak-anak muda yang Sri kenal ialah mengenai Singapore Idol. Pada mulanya, Sri tak kisahkan sangat pasal ini tetapi kerana ia sering diperkatakan, sedikit sebanyak Sri nak juga tahu, maklum nak tumpang semangkuk dalam perbincangan mereka. Namun, seperti American Idol, banyak juga episod tidak Sri tontoni, kecuali sesekali tertonton bila menekan-nekan saluran televisyen. Rasa-rasa Sri hanya dua episod Singapore Idol yang Sri tonton dari mula hingga akhir iaitu episod minggu lepas, dan sebuah lagi beberapa minggu yang lalu. Namun, banyak juga Sri baca dan tahu mengenainya daripada anak-anak muda tadi dan akhbar.

Seperti beberapa orang, Sri juga tidak begitu gemar dengan format adu bakat seperti ini. Penilaian yang diberikan panel hakim kadangkala terasa over dan cara memilih melalui pesanan ringkas/SMS, tidak semestinya menampilkan kebolehan menyanyi seseorang. Ada yang terkeluar bukan kerana mereka tidak berbakat, tetapi kerana mereka tidak mendapat sokongan. Demikian juga mereka yang terpilih, kadangkala kerana disetujui oleh beberapa pihak, misalnya diberi wild card, walaupun ternyata memang tidak berbakat. Namun, terdapat beberapa orang yang benar-benar berbakat hingga ke pusingan-pusingan terakhir.

Mungkin Sri sedikit nostalgik terhadap cara penilaian adu bakat sebelum adanya format American Idol. Format begini, bagi Sri, lebih bersopan dan lebih menampilkan bakat. Walaupun di masa-masa lampau ada juga tengkarahnya, tetapi jika panel hakimnya benar-benar berwibawa dan mempunyai integriti, kita selalu akur dengan pilihan mereka. Akhir tahun 60-an dulu, ada kumpulan remaja yang menjadi juara, menggelarkan diri mereka “The Tit Bits” dalam peraduan Talentime RTS.

Dan dalam adu bakat-adu bakat yang lain, muncul nama-nama seperti Sugiman Johari, Othman Hamzah, Suliah Mahmood, The Vintage dan lain-lain sebagai juara. Adu bakat Melayu pula ada keistimewaannya; seseorang penyanyi itu boleh menyanyi bahagian langgam atau pun asli. Lantas nama-nama seperti R.Ismail, Rafeah Buang, M. Ismail, Sharifah Aini, Hasnah Kana dan lain-lain muncul. Adu bakat Malaysia pula lebih gah kerana bakat yang lebih banyak dapat ditampilkan kerana jumlah penduduk yang lebih besar. Muncul nama-nama yang besar dalam seni suara Melayu misalnya Rosmaria Abdul Hamid, Sudirman Hj Arshad, Jamal Abdillah dan lain-lain. Demikian juga tampilnya beberapa bakat baharu dalam dunia seni suara dan muzik kita kini.

Mengapa kita gemarkan lagu dan muzik, lantas rancangan seperti Singapore Idol ini mendapat perhatian yang luas?  Sri rasa, ada sebahagian daripada naluri kita suka kepada keindahan dan seni suara dan muzik dapat menyerlahkan keindahan tersebut. Lagu boleh meriakan hidup kita; begitu juga lagu yang baik boleh merangsang beberapa perasaan dan fikiran kita. Sebab itu ada sebilangan kita suka mendengar lagu-lagu lemah gemalai semasa memandu kerana ini boleh mengurangkan tekanan di jalan raya. Demikian juga sesetengah lagu yang terlalu rancak dan bingit boleh mengganggu ketenteraman kita. Bayangkan anda sedang bergegas nak pulang ke rumah dalam kesesakan jalan raya, tiba-tiba terdengar lagu rap atau heavy metal, alangkah terseksanya, terutama bagi mereka yang semakin lanjut usia. Bagi anak muda mungkin lagu-lagu begini semakin menggerakkan tenaga mereka semasa memandu!

Suara yang indah dapat menghablurkan pelbagai perasaan manusia, melalui detik-detik tertentu kehidupan seseorang. Suara Ummu Kalsoum dari Mesir, misalnya, pernah digunakan untuk menaikkan semangat nasionalisme orang-orang Arab semasa perang Arab-Israel 1967 dahulu. Demikian juga, Allahyarham Yasser Arafat sangat berharap penyanyi Lebanon, Fairuz/Fayrouz, dapat menyanyi di Baitulmuqaddis, suatu hari nanti. Suara beliau adalah lambang keindahan dan kebanggaan orang-orang Arab, memantulkan pelbagai kegembiraan dan keresahan mereka.

Dan apa kurangnya suara S. Effendy, Sam Saimun, Anneke Gronloh, Emilia Contessa, Alfian, Titiek Puspa, Lilis Suryani, Broery, Mus Mulyadi, Dewi Yull dan lain-lain dari Indonesia? Suara mereka menggetarkan kenangan dan ingatan kita mengenai sesuatu masa atau peristiwa dan kita terbawa-bawa menyanyi atau cuba-cuba menyanyi, kerana suara dan lagu mereka memberi makna kepada kita. Penyanyi-penyanyi lama dari Singapura dan Malaysia juga memusarkan kenangan kita. Bagi sebilangan kita lagu-lagu nyanyian P. Ramlee dan Saloma mungkin yang paling menyentuh hati dengan pelbagai kesan ria, hiba dan sebagainya.

Mendengar suara Saloma misalnya bagaikan mendengar seorang penyanyi yang tersenyum semasa menyanyi. Dan suara beliau juga unik. Demikian juga suara Momo Latiff, Jasni, Nona Asiah, Normadiah, Aziz Jaafar, R. Ismail, Abdullah Chik, S. Mariam dan lain-lain. Penyanyi-penyanyi yang menyusul selepas mereka, terutama zaman Pop Yeh Yeh dan seterusnya, terutama yang benar-benar berbakat, sehingga kini, lagu-lagu nyanyian mereka kita minati kerana lagu-lagu ini semua telah menjadi kenangan bersama (collective memory) kita.

Zaman Abbasiah (750 – 1258 Masihi), seorang khalifah pernah membina kolam kecil untuk seorang pemuzik kerana setiap kali dia membuat persembahannya yang bersungguh-sungguh, kolam itu akan benar-benar berapi dek sentuhan kecapinya. Elemen-elemen di sekelilingnya dibakar oleh penghayatan seninya yang mutlak.

Kita berharap, siapa pun yang menjadi juara dalam peraduan Singapore Idol ini, akan dapat menghayati dan mendalami seninya dan di masa hadapan, kita dapat menoleh ke belakang dan berkata: juara kita ini telah dapat menambahkan kenangan bersama kita melalui lagu-lagunya sebagaimana penyanyi-penyanyi malar segar kita baik dari dunia Timur mahupun Barat.

Ditulis: 25 November 2004
Tajuk Asal: Muzik Dan Lagu Dalam Kehidupan Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 28 November 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment