Archive | October 2013

Doa

Walau tanpa takbir
di Concord, California,
Kau maha besar, Tuhanku,
mengetahui segala
menggeraki semua
& mengilhami seorang perantau
di Aidiladha mulia.

Antara wukuf di Arafah
& gema takbir di Kaabah
di California, Vancouver atau Singapura
manusia tetap mengingati-Mu
biarpun sukar
atau nada berbeza
kerana Kaulah paksi
penentu segala.

Tuhanku
terangilah hati kami
dengan iman
hidayatilah hidup kami
dengan Islam
& berkatilah perjalanan kami
dengan ihsan.

Ditulis: 11hb Jun 1992, Aidiladha;
Concord, California, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Sebelum Menjelangnya Asar

Sebelum menjelangnya asar
marilah kita keluar sebentar
menghirup siang
memanaskan badan
mengeringatkan pekerjaan
agar hati, minda, jasad,
berpadu indah
memaknakan hayat.

Sebelum menjelangnya asar
marilah kita membuka tingkap
melontar arah
menikmati udara
menukar suasana
agar wawasan celaru
bingit rumah
angin pengap
tidak mudah memerangkap kita.

Saudaraku
asar pasti menjelang
& isyak memanjang
marilah kita pasang pelita
menyuluh hati yang lama purba
mencerahkan minda
memanjatkan doa
agar jiwa kita kembali perkasa
menerangi masa depan
anak-anak kita yang kian terpinggir
di balik pesona & getir.

Ditulis: 27hb Februari 2002;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Rahim Fatimah

(Buat ibu saudaraku Puteh & Rahijah)

Kita tidak lahir daripada rahim Fatimah
aku cucu & engkau anaknya
berwajah kacukan, berwajah cerah,
darah kita berbeza
keturunan tak serupa
membesar sebagai keluarga.

Ibuku bukan anak Fatimah
hanya anak saudara suami pertamanya
tapi Fatimahlah ibu kepada ibuku Halimah
sebagaimana engkau yang berasal daripada dua keluarga
& aku, cucu yang dijadikan anaknya
dialah tali pusat & tembuni
menghubungkan kita.

Apalah yang ada pada darah
kalau meminggir orang, dibangga,
manusia itu sama, kata Mak
meski berlainan bangsa, bahasa, agama,
kerana di balik apa pun warna kulit
darah kita tetap merah
perasaan & harapan tak jauh berbeza
manusia.

Kita tidak lahir daripada rahim Fatimah
tapi daripada rasa rahim di hati & nuraninya
yang membesarkan kita dengan teladan
menerima perbezaan
menerima seadanya
makhluk-makhluk Allah
kerana Dialah pencipta.

Kita tidak lahir daripada rahim Fatimah
tapi perasaan rahimnya membesarkan kita
menalikan kita sebagai keluarga
menertibkan kepedulian kita
& memberi hadiah terbesar
seorang ibu kepada anak-anaknya
kasih sayang
pendidikan
& mengenalkan kita kepada Allah & rasul-Nya.

Ditulis: 31hb Julai 2009;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Menjejak Nenek Moyang

Kalau ada semacam ‘mesin waktu’ yang membolehkan anda pergi ke zaman silam mahupun zaman hadapan, pada zaman manakah ingin anda singgahi? Bagi sesetengah kita, mungkin kita ingin berada di zaman Nabi s.a.w. dan menghayati kebesaran Islam dan Junjungan kita pada zaman itu. Atau mungkin kita mahu menjenguk ke zaman Khulafah Arrasyidin, atau singgah sekejap pada zaman-zaman kebesaran Islam di beberapa pelosok dunia, bertemu pemikir dan penggerak masyarakat pada zaman-zaman itu. Namun, kita tahu perkara ini tidak akan berlaku. Dalam novel The Time Machine tulisan H.G.Wells pada 1895, penulis membawa kita ke zaman hadapan apabila manusia dibahagi kepada dua kumpulan: Eloi dan Morlocks. Kedua-dua kumpulan ini berantakan kerana ketidak seimbangan dalam sistem yang merangkai kehidupan mereka. Sri teringat bagaimana filem daripada novel Wells ditayangkan di TV pada tahun 70-an dahulu. Setelah menonton filem itu, sejumlah besar adik beradik Sri duduk berbincang mengenai kesan filem itu, terutamanya mengenai mesin waktunya. Bagaimana, ya, kalau kita boleh ke zaman silam, dan bertemu dengan leluhur kita pada zaman-zaman tersebut?

Kisah mesin waktu Sri fikirkan apabila membaca mengenai cerita adanya keturunan Hang Tuah di kalangan kita baru-baru ini. Memang menarik kisah itu, tetapi betulkah masih terdapat keturunan Hang Tuah sehingga zaman ini? Dalam buku Sejarah Melayu, kalau tak salah Sri, nama menantu Hang Tuah, Khoja Hassan, ada disebut. Khoja Hassan terlibat dalam skandal rasuah tetapi hukumannya diringankan kerana mengenangkan jasa-jasa Hang Tuah kepada Melaka. Kita tahu misalnya ibu bapa Hang Tuah bernama Dang Merdu dan Hang Mahmud tetapi anak cucu Hang Tuah tidak pula kita kenali. Kita lebih mengenali empat kawan bersaudaranya, selain para guru dan tindak tanduk Hang Tuah untuk Melaka daripada kisah keluarganya. Lantas cerita mengenai Hang Tuah itu, lebih banyak menimbulkan tanda tanya daripada menjawab apa pun kemusykilan kita mengenai Hang Tuah. Sri terfikir, kalau ada keturunannya selepas kejatuhan Melaka, dan setelah akhirnya berpindah ke Johor, pasti ini disebut dalam hikayat atau sejarah kita. Kemungkinannya sebilangan besar keluarganya meninggal tanpa memegang jawatan dalam kerajaan Melaka yang dalam buangan (setelah Melaka dijajah Potugis) dan kemudian di Johor. Atau mungkin, demi keselamatan dari terus diseksa penjajah Portugis, ada keluarga pembesar dan pendekar Melaka, sengaja melenyapkan kisah keluarga mereka. Lantas, jarang benar kita mendengar kisah-kisah begini berbanding dengan yang dari Eropah.

Setiap kita sedikit sebanyak mahu juga tahu mengenai keturunan kita kerana mungkin kita ingin mengetahui ‘perjalanan panjang’ keluarga kita sehingga kita berakhir di Singapura dan bekerja dan/atau berminat dalam bidang tertentu. Di Australia misalnya, penduduk Baratnya yang kebanyakannya berasal dari Britain, dan dihantar ke Australia pada zaman silam kerana melaku-kan jenayah, berbangga dengan kisah silam itu. Sedangkan di tempat-tempat lain, mempunyai leluhur penjenayah tentulah mengaibkan. Ada kelompok pula mengaku keturunan mereka orang baik-baik atau saudagar besar yang kaya raya, seolah-olah mewajarkan segala tindak tanduk mereka dan menjadikan ‘istimewa’ sesiapa yang ada hubungan kekeluargaan atau lainnya dengan mereka. Melalui konsep keturunan ini, entah berapa banyak orang telah diperdaya atau ditipu belit, walhal tingkah laku orang-orang ini tidaklah sebaik leluhur mereka yang baik-baik dan banyak berjasa kepada masyarakat. Kebanggaan kepada keturunan yang baik-baik tidak menjadikan kita orang-orang yang sebaik mereka. Bukan salahnya berbangga, tetapi akhirnya kitalah, selain Allah, yang mencorakkan hidup kita; kalau nenek moyang kita sudah pun berjasa dalam kehidupan mereka, kita tidaklah boleh tumpang semangkuk tanpa turut serta menabur jasa dalam kehidupan kita. Kalau keturunan kita adalah pendekar, saudagar besar dan pemikir, kita harus pula memberi lebih erti kepada kehidupan kita kerana telah ada contoh-contohnya.

Keturunan seseorang hanyalah satu faktor, bukan faktor utama apakah kehidupan seseorang itu membawa makna kepada sekelilingnya. Dan kayu ukur sumbangan seseorang dalam kehidupan yang dilalui bukan hanya diukur dengan banyaknya keterlibatannya dalam badan-badan tertentu. Membanggakan keturunan juga boleh membataskan kita kerana kita mungkin menjadi kurang peka bahawa orang lain dan daripada keturunan lain juga boleh melakukan sebaik leluhur kita. Sri rasa, kalau ada sumber-sumber contoh di kalangan keturunan kita, mungkin juga ada penyangak daripada kalangan yang sama. Bak kata pepatah kita, setangkai tak sebau. Banggalah, tapi biarlah berpada-pada dan bertempat.

Kisah keturunan Hang Tuah juga mengingatkan Sri akan kekurangan kita dalam mendokumen-tasikan orang-orang yang memberi makna kepada perjalanan sejarah masyarakat dan daerah kita. Misalnya, bila melalui Jalan Eunos, Sri selalu terfikirkan mengenai Encik Eunos bin Abdullah, pengasas Kesatuan Melayu Singapura, Utusan Melayu, ahli Majlis Undangan dan lain-lain. Selain kisah penempatan Melayu di Kaki Bukit, beliau juga telah mengusahakan agar orang Melayu diberi kemahiran pertukangan dan lain-lain, pada awal abad ke-20 dulu. Namun, hingga kini tidak banyak yang kita ketahui mengenai beliau atau keturunannya. Rasa yang sama terkilan muncul bila kita menjejaki pemikir-penggerak kita zaman dahulu misalnya Hamzah Fansuri, Cut Nyak Dhien, Dr Abdul Samad, Ambo Sooloh , Khatijah Sidek, Profesor Ahmad Ibrahim dan lain-lain. Kita pun bertuah memiliki mereka dalam cakerawala contoh kita dan mudah-mudahan ada banyak lagi dokumentasi mengenai mereka dan munculnya dorongan untuk menjadi seperti mereka, insya-Allah.

Ditulis: 12hb April 2006
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 16hb April 2006
Tajuk Asal: Hang Tuah Dan Kisah Keturunan

 

 

 

 

Iktibar daripada kehidupan Steve Jobs

Pemergian Steve Jobs baru-baru ini memusarkan beberapa pemikiran di hati peminat dan juga bukan peminat produk Apple. Dianggap seorang genius, pemikiran dan ciptaan Jobs begitu ke hadapan, sebagaimana pemikiran beberapa orang genius dalam peradaban manusia.

Namun, bukan setakat itu sahaja yang menarik perhatian kita terhadap kehidupan Jobs. Kebanyakan orang baru mengetahui bahawa bapa kandung Jobs, Abdul Fattah Jandali, seorang Muslim berbangsa Arab dari Syria yang menjadi warga Amerika Syarikat dan ibu kandungnya, Joanne Carole Schieble, berketurunan Swiss-Jerman dan beragama Kristian, warga Amerika Syarikat. Ibu bapanya hanya dapat berkahwin 10 bulan setelah Jobs dilahirkan. Mereka tidak membesarkan Jobs kerana sejak bayi Jobs diberi kepada Paul dan Clara Jobs yang berketurunan Armenia dan besar kemungkinan beragama Kristian Ortodoks, sebagai anak angkat.

Di kalangan orang Arab di Syria dan di Amerika Syarikat dan di beberapa tempat, timbul rasa bangga bahawa Steve Jobs yang masyhur dan genius ini adalah daripada kaum mereka. Kita fahami rasa bangga ini tetapi apakah keturunannya memainkan peranan yang penting bagi kejayaannya? Atau mungkin faktor-faktor lain yang turut membentuk seorang Steve Jobs?

Ibu bapa kandungnya langsung tidak memainkan peranan dalam pembesarannya kecuali memberi gen/DNA mereka. Steve menganggap Paul dan Clara Jobs sebagai ibu bapanya yang sebenar, walaupun beliau kemudian dapat menemui dan menerima ibu kandungnya, Joanne Schieble/Simpson sebagai ibunya. Dalam temuramah, Jobs ada menyebut bahawa bapa angkatnya, Paul Jobs, memainkan peranan penting dalam kejayaannya. Paul Jobs seorang jurumesin dalam syarikat yang mencipta laser, membenarkan anaknya bermain dan menggodeh mesin. Dan kasih sayang kedua-dua Paul dan Clara Jobs membolehkan anak mereka berasa selamat, berani mencuba dan berusaha mencapai impiannya.

Kita tidak menafikan keturunan ada kepentingannya dalam kehidupan seseorang. Kedua-dua ibu bapa kandungnya berpendidikan tinggi. Abdul Fattah Jandali, seorang professor dalam bidang sains politik dan Joanne Schieble/Simpson, seorang terapis pertuturan. Anak mereka seorang lagi, Mona Jandali/Simpson, merupakan novelis yang berjaya di Amerika Syarikat. Namun keturunan bukanlah segala-galanya bagi kejayaan seseorang, menjadikannya pandai atau insan yang mulia.

Ada orang berasal daripada keturunan baik-baik atau bijak tetapi dia tidak sedemikian. Begitu juga sebaliknya. Lebih daripada gen/DNA yang kita warisi daripada ibu bapa kita, soal cara pembesaran atau sosialisasi, nilai-nilai yang ditanamkan dalam diri anak, pendedahan kepada hal-hal yang membangun atau mematikan semangat juang dan mencubanya, teladan dan sumber contoh yang kita paparkan kepada anak tersebut serta rasa selamat dan kasih sayangnya dibesarkan dalam keluarganya dan lain-lain, juga turut membentuk anak tersebut. Demikian juga dengan Steve Jobs. Kalau ibu bapa angkat Jobs tidak mendedahkannya kepada beberapa hal atau memberi sokongan kepada usaha dan pencariannya semasa muda, besar kemungkinan perjalanan hidupnya tidak seperti yang kita ketahui kini.

Dan mungkin juga kerana Jobs daripada golongan minoriti iaitu kaum Armenia ibu bapa angkatnya dan sebenarnya anak kacukan Arab-Amerika, selain mengetahui ibu bapa kandungnya tidak dapat bernikah sebelum Jobs dilahirkan, rasa ‘terbuang’ kerana dibesarkan oleh keluarga lain dan ‘terpinggir’ kerana bukan warga daripada arus utama masyarakat Amerika, turut memacunya
untuk membuktikan kebolehannya di mata dunia. Benar, tidak semua orang yang dikemelutkan masalah identiti akan memilih jalan hidup seperti Jobs, yang berani mencuba dan mendera dirinya untuk bersungguh-sungguh dalam bidang pilihannya.

Yang utama bagi kita, apakah kita setakat memberi gen/DNA kita tanpa menghiraukan isu-isu lain yang turut membentuk kehidupan anak-anak kita? Keturunan sahaja tidak menjamin anak-anak kita menjadi orang yang mulia ataupun berjaya. Apa pun keturunan kita, tidak perlu kita berasa malu atau bangga melulu kerananya. Yang penting, apa pun keturunan dan kedudukan kita,  dengan sedikit usaha, kita boleh mengadakan sekitaran yang selamat dan baik untuk anak-anak kita. Kita boleh menyayangi anak-anak kita tanpa bersyarat (ini tidak bermakna anak-anak kita boleh berbuat sesuka hati) dan memupuk nilai-nilai yang baik untuk kehidupan mereka. Kita juga boleh mendedahkan anak-anak kita kepada beberapa hal yang meningkatkan semangat juang, berani mencuba, mencintai ilmu dan menghargai makhluk Allah dan kehidupan yang diberi-Nya. Anak-anak kita mungkin tidak menjadi seorang Steve Jobs tetapi sekitaran dan pemupukan hal-hal yang memberangsangkan nurani dan mindanya akan menjadikan anak-anak kita manusia-manusia yang berguna dan bermakna dalam kehidupan yang mereka lalui.

Steve Jobs mencipta Apple dan dikenali seantero dunia, tidak mustahil suatu hari nanti ada anak-anak kita akan mencipta durian, cempedak, biji saga, benih/tangkai padi, buah keranji dan sebagainya sebagai aplikasi komputer dan ciptaan-ciptaan lain untuk kegunaan manusia sejagat, seandainya kita bijak memberi sekitaran, pendedahan dan dorongan yang diperlukan anak-anak
kita.
Ditulis: 12 Oktober 2011
Tersiar: Oktober 2012, Berita Minggu (Singapura).

Nota: Rencana ini ditulis beberapa hari setelah kematian Steve Jobs pada Oktober 2011. Saya mengirimkannya kepada pihak akhbar di Singapura dan diberitahu ia ‘akan diusahakan untuk diterbitkan’. Rencana itu tidak pun diterbitkan kerana sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pihak akhbar. Hampir satu tahun berlalu dan saya menghantar rencana yang sama kepada seorang rakan wartawan yang mengunjurkannya kepada pihak tertentu. Saya tidak menukar apa-apa dalam rencana ini kecuali pada ayat pertama rencana iaitu ‘Pemergian Steve Jobs baru-baru ini’ kepada ‘Pemergian Steve Jobs hampir setahun yang lalu’. Saya tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak akhbar sehinggalah hampir sebulan setelah mengirim rencana ini buat kali keduanya. Ia disiarkan di Berita Minggu (Singapura) pada bulan Oktober 2012.

Haji: Apa yang kita niatkan, itulah yang kita dapat

Jemaah haji kita yang terakhir sudah pun pulang ke tanah air. Seperti biasa, lapangan terbang serta rumah jemaah sering dipenuhi handai dan taulan semasa kepulangan dan pemergian mereka. Jarang sekali terdapat orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan tiada siapa yang mempedulikan kebajikannya sama ada semasa di Tanah Suci ataupun yang ditinggalkan di Singapura. Inilah salah satu sikap bantu-membantu dan dermawan masyarakat kita sejak dahulu kala. Terdengar sahaja ada yang ingin mengerjakan haji, hati kita mekar ingin membantunya, walaupun hanya dengan berdoa untuknya. Dan ramai yang menghulurkan bantuan tenaga, masa, hadiah serta wang.

Yang dapat kain ihram atau telekung, jangan dicakap lagi; tidak kurang pula yang sanggup membelikan pelbagai keperluan semasa di Mina, misalnya, atau sedaya upaya membantu urusan-urusan jemaah tadi semasa ketiadaannya di Singapura. Kita tersentuh menyaksikan dan mendengar kisah-kisah begini dan semakin diteguhkan hati kita mengenai unsur kebajikan dan ihsan sesama manusia di kalangan kita. Sri yakin ramai jemaah yang menarik nafas lega kerana bantuan-bantuan tadi dan sering berdoa semoga Allah membalas jasa baik orang-orang tadi kerana kemuliaan hati mereka.

Zaman ini menunaikan fardu haji, dari segi teknikalnya, tidaklah sesukar satu zaman dahulu. Dahulu pergi haji bagaikan berjuang dengan maut kerana anda terpaksa menaiki kapal laut yang memakan masa berbulan-bulan lamanya. Makanan juga terpaksa anda siapkan dan tempat penginapan juga sederhana sahaja. Kalau anda jenis mabuk laut, sepanjang pelayaran ke Makkah menjadi suatu ujian yang besar bagi anda. Dan perhubungan anda dengan keluarga yang ditinggalkan semakin dicerutkan oleh alat komunikasi yang amat terhad. Pelayaran ke Tanah Suci dari Singapura, Sri rasa kali terakhirnya berlaku pada awal tahun 70-an. Kini menunaikan haji bagaikan pergi berwisata bagi sesetengah orang. Anda boleh pilih hotel lima bintang; makan minum anda diatur, malah dalam pelbagai hal semasa mengerjakan rukun dan wajib haji, ada sahaja pegawai yang membantu anda. Pendek kata, dari segi teknikal,
memanglah menunaikan haji itu semakin dimudahkan untuk jemaah. Ini terutamanya bagi jemaah dari Singapura, Malaysia, Brunei dan beberapa negara yang agak mewah.

Orang-orang alim pernah berkata, menunaikan fardu haji itu dijelaskan oleh niat kita. Benar, hampir semua yang menunaikan haji melakukannya kerana ia adalah rukun Islam yang kelima. Tetapi di sebalik ini, terselit juga niat kita masing-masing. Sejumlah besar jemaah dari seluruh dunia menunaikan fardu haji kerana ingin mendapatkan keampunan dan keredaan Allah tetapi terdapat juga orang menunaikan fardu haji kerana inginkan nama, kemasyhuran, kedudukan, dan lain-lain. Sri yakin apa yang kita niatkan, itulah yang kita dapat. Sedangkan lintasan-lintasan hati kita di Tanah Suci seakan-akan terjawab, inikan pula niat kita yang tak mungkin dapat kita sembunyikan daripada Allah yang Maha Tahu!

Banyak cerita yang kita dengar daripada para jemaah yang baru pulang; demikian juga daripada jemaah-jemaah dahulu. Walaupun menunaikan fardu haji itu satu-satu ibadah kita kepada Allah, tetapi setiap ibadah itu tidak terlepas daripada bersangkut-paut dengan manusia lain. Misalnya, ketika bertawaf dan bersai kita mungkin melakukannya secara sendiri-sendiri, namun kita tetap
harus berhubung dengan manusia lain: apakah kita mengambil hak manusia lain semasa melakukan ibadah-ibadah ini; apakah kita mudah menyegel orang hanya untuk cepat mencapai tujuan kita atau kitakah yang bertimbang rasa terhadap manusia lain semasa kita melakukan ibadah-ibadah ini kerana mengingati kata-kata hablu minallah, hablu minannas (cinta kepada Allah, cinta kepada manusia).

Sri yakin, betapa mudah pun menunaikan fardu haji dari segi teknikalnya, dugaaan Allah tetap dirasakan oleh para jemaah dalam apa pun zaman. Dan dugaan itu dialami dalam pelbagai bentuk dan hal; apakah kita sabar, tabah, reda, atau kita mudah melenting dan bertingkah seolah-olah kita bukan dalam ibadah? Pelbagai kerenah manusia dapat kita saksikan di sana, kata para
jemaah. Malah di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pun yang terbawa-bawa perilakunya yang kurang sopan juga masih terdapat. Ada yang boleh bersabar dan beristighfar, kerana kalau dikatakan manusia itu, memanglah ada kekurangannya. Tetapi seperti ramai mengatakan, di Tanah Suci juga anda mudah tersentuh dengan kebaikan manusia membantu sesamanya, misalnya bersusah payah agar anda dapat masuk saf, berkongsi makanan walaupun yang dimilikinya hanya sedikit, menolong sesamanya bila ada yang memerlukan pertolongan. Ada yang menggunakan bahasa isyarat kerana saling tidak memahami bahasa satu sama lain tetapi pandai berkomunikasi tentang rasa terima kasih dan kesyukuran kerana Allah memudahkan rasa kebersamaan sebagai tetamu-Nya di sana. Dan tidak kurang yang amat terharu akan kebesaran Allah dalam perhimpunan demikian antarabangsa dengan pelbagai bangsa dan bentuk manusia yang apa pun bahasanya tetap bersolat dan mengucap dalam bahasa dan gerakan yang sama.

Mungkin terlalu banyak yang dialami para jemaah kita. Ramai yang masih terkenang-kenang dan berharap agar dapat lagi ke sana. Lebih daripada itu, keampunan Allah lah yang menjadi titik tolak para tetamu-Nya. Setelah ke sana, apa pun dosa dan kesilapan yang pernah anda lakukan, Sri yakin, anda mahu menjadi hamba dan insan yang lebih baik, insya-Allah. Dan yang penting, bak disajakkan Chairil Anwar:

Tuhanku
di pintu-Mu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling.

Ditulis : 03hb Mac 2004
Tersiar : Ruangan Sri Anngerik, Berita Minggu (Singapura), 21hb Mac 2004
Tajuk Asal: Kenangan Yang Sukar Dilupakan.