Archives

Drama Radio: Setinggi-tinggi Tupai Melompat (Ditulis Pada Mei 1976)

Rancangan: Sandiwara, Radio Singapura (RTS/Radio Televisyen Singapura)

Para Pelaku

Safiah ………………………………..….Seorang gadis

Kamilah…………………………………Kawan Safiah

Steven Mackenzie (Mac) ………………Kekasih Safiah

Mak/Cik Tipah…………………………Ibu Safiah

Ayah/Encik Sahar…..………………… Bapa Safiah

BABAK PERTAMA

Gram: MUZIK PENGENALAN

Spot: Bunyi beberapa buah mesin taip diketuk. Telefon berdering.

Safiah:
Terima-kasih Ai Lin. Helo, Safiah bercakap di sini. Apa dia? Oh, you, Azad, ada apa hal?
Dah dekat pukul lima, masih nak cakap bisnes lagi? Kalau nak, biar I suruh Ai Lin sambungkan kepada bos I. Tidak, I bukan main-main. Apa I buat lepas kerja? Oh, itu mengikut keadaan. Apa you nak dari I? Tengok wayang? Sorrylah Azad, I ada datelah hari ini. You pergilah dengan orang lain. Apa? Apa you ambil kisah sangat I keluar dengan dia? Tak ganggu you, kan? Sorrylah Azad, lain kali boleh cakap banyak-banyak, okey? No hard feelings. Bye-bye.

Spot: Bunyi ganggang telefon dihempas.

Safiah:
Tak habis-habis. Dia, dia aja. Lain yang ditunggu, lain pula yang menelefon. (Diam sejenak). Huh, dah pukul lima pun. Baik aku balik lekas.

Spot: Bunyi orang berjalan dan berhenti.

Safiah:
Eh, Milah, (Milah masih menaip) kau ni loyal sangat pada bos. Dah pukul lima, tak nak balik?

Kamilah:
Bukan aku setia sangat pada bos kita tu, tapi kau tengok sendiri, kerja aku belum habis. Takkanlah nak tinggalkan begitu saja. Nanti dikata aku makan gaji buta pulak.

Safiah:
Kau sindir aku?

Kamilah:
Tidak. Cuma tugas kau dan tugas aku berlainan. (ketikan mesin taip dihentikan). Ah, aku pun dah selesai. Mari kita keluar.

Spot: Bunyi orang berjalan. Pintu dibuka dan ditutup.

Kamilah:
Apa hal tadi, aku nampak kau geram betul. Sampai habis ganggang telefon jadi mangsa.

Safiah:
(nada geram) Apa lagi kalau bukan si Azad tu. Dia ingat aku hard up dengan dia. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, menyampah!

Kamilah:
Menyampah? (ketawa) Dulu kau juga yang terkejar-kejarkan dia, tapi mentang-mentanglah dah dapat boyfriend mat salih, muka hidung Azad pun kau tak mahu kenal. Ai, dunia, dunia. (ketawa)

Safiah:
Itulah kau Milah, kau bodoh. Tak mahu menggunakan akal. Kalau aku kahwin dengan Azad, apa dia boleh belikan aku? Banyak-banyak satu unit rumah pangsa, berbilik empat atau lima. Lebih daripada itu, tak ada. Sebab itulah kita mesti pikat ikan paus, bukan ikan bilis. (ketawa) Tapi kau Milah, terlalu ikan bilis-minded, seolah-olah kau tak boleh pancing ikan paus. (ketawa) Hmm…bagaimana, nak ikut aku tak pergi parti malam ini?

Kamilah:
(suara mengalah) Ikan bilis-minded, ikan bilis-mindedlah, Piah. Aku…aku tak mahulah ke parti malam ini. Mana boleh tahan tiap-tiap malam ke parti, nanti kena hamun dengan mak aku, baru padan. Baik aku jangan cari bala …

Safiah:
Eh, kawan, ini bukan cari balalah. Kita kan muda hanya sekali, jadi mesti enjoy puas-puas. Kau fikir sendiri, satu hari kita penat bekerja, tentulah waktu malam jiwa dan otak kita harus direhatkan dengan berhibur. Kalau tak nak enjoy sekarang, bila lagi? Bila dah ganyut? (ketawa) Itu jam satu orang pun tak nak, ikan bilis pun tak ingin. (ketawa)

Kamilah:
Bukanlah tak nak enjoy, tapi…entahlah Piah, kau tak malukah orang cakap pasal kau nanti?

Safiah:
Apa nak dimalukan? Aku bukan sesuatu yang salah. Kau ni konservatiflah, Milah. Peduli sangat cakap orang. Bila kita susah, orang lain boleh tolong kita? Sedang kita senang, nak berhibur-hibur hati, banyak yang nak ambil tahu pasal kita. Hm…aku tahu kau bimbang perhubungan aku dengan Mac, kan…? Apa yang nak dibimbangkan, aku pandai-pandailah…

Kamilah:
Aku bukan saja bimbang perhubungan kau dengan Mac, tapi aku kesianlah pada si Azad tu. Kau seolah-olah membakul-sampahkan dia seperti kertas tak berguna lagi. Aku bukan nak nasihatkan kau, tapi si Azad tu…

Safiah:
Milah, Milah, kau tak faham-faham ke? Mana ada tapi-tapi lagi. Azad sudah lama aku kuburkan dalam hidupku. Dia seperti sejarah lama, tak berguna buat masa sekarang. Dan sekarang tujuan aku satu — Mac, bukan Azad. Aku dah umpan ikan paus, Milah, aku tak mudah mengingati ikan bilis yang mula-mula aku umpan dulu. Kalau kali ini melepas, habislah peluang aku.

Kamilah:
(nada jenaka bercampur serius) Ikan bilis ke, ikan paus ke yang kau umpan, aku tak peduli. Tapi aku khuatir, mata kail kau yang sesuai buat mengumpan ikan bilis akan habis dimusnahkan oleh ikan paus…

Safiah:
Ai, Milah, sampai ke situ pula fikiran kau. (ketawa) Eh, Milah, ini Safiah bukan sebarang Safiah. Safiah ini, kalau mengumpan ikan paus, dia gunakan mata kail first class! (kedua-duanya ketawa)

Spot: Bunyi bas berhenti.

Kamilah:
Hm…Okeylah Piah, aku balik dulu.

Safiah:
Okey, jumpa besok.

Spot: Bunyi orang menaiki bas, bas berlalu.

Gram: MUZIK SELINGAN

BABAK KEDUA

Mak:
Ai, Piah, dah tak ada baju lain yang boleh kaupakai? Apalah pakai baju macam ini, berlubang sana berlubang sini. Ah, tengok tu raut leher kau…, tukar sajalah baju kau tu, tak senonoh Mak lihat. Huh… kau bersiap-siap ni nak ke mana?

Safiah:
Alah Mak, pakai baju gini pun tak boleh. Bukannya tak senonoh, lubang-lubang ini cuma alat pemikat, macam ubat guna-guna, Mak tak faham? (ketawa) Yah nak ke partilah Mak, itu pasallah Yah pakai baju ni. Takkanlah ke parti nak pakai baju kurung!

Mak:
Hm… Piah, Piah. Ada aja alasan kau, alat pemikatlah, ubat guna-gunalah, ada-ada aja kau berdalih. Kau ni Mak tengok tiap-tiap malam keluar, apa nak jadi dengan kau, hah? Tak manis dipandang orang. Kau ingat kau keluar malam tak ada orang cakap?

Safiah:
Alah, Mak ni peduli sangat cakap orang. Yah nak berhibur-hibur hati, tak boleh?

Mak:
Bukannya Mak kata tak boleh, tapi mestilah ada batasannya. Ini tidak, tiap-tiap malam kau keluar, balik pulak jauh-jauh malam. Kau tu anak dara, Piah, jagalah nama mak bapak sikit. Aku ini malu, Piah, orang semua kata anak aku liar. Macam binatang jalang. Padahal kau Mak didik, Mak asuh dengan sempurna. Tapi kau tak pernah dengar cakap Mak.

Safiah:
Mak, Mak, itulah sebab Yah fed-up duduk di rumah. Mak asyik nak berleter aja. Dengar sangat cakap orang sampai Mak tak percaya lagi cakap Yah. (nada sedikit marah) Yah kata Yah tahu jaga diri, Yah tahulah. (nada lembut) Mak buat apalah bimbang-bimbang sangat, Yah bukan buat tak tentu. Ah, dahlah Mak, Yah dah lambat. Yah pergi dulu, Mak. Mak, jangan tutup pintu macam semalam, nanti Yah kena tidur dekat beranda (suara jauh)

Spot: Bunyi orang berjalan. Pintu dibuka dan ditutup.

Mak:
(mengeluh) Huh… boleh bingit kepala aku ni. Anak seorang, liar macam musang. Cakap dia, cakap dia saja yang dipakai, cakap orang tua sikit pun tak peduli. Hai Piah, Piah, apa nak jadi dengan kau…

Gram: MUZIK PENDEK – SELANG BEBERAPA WAKTU

Spot: Bunyi kereta berhenti. Orang berjalan menuju ke pintu. Loceng pintu dibunyikan beberapa kali.

Ayah:
Cik Tipah, oh Cik Tipah, bukalah pintu ini. Kenapa siang-siang dah kunci pintu, kan buat susah. Oh, Cik Tipah, oi!

Spot: Bunyi orang berlari-lari sedikit ke arah pintu.

Mak:
Yalah, yalah Encik Sahar. Kalau ya pun sabarlah sikit. (pintu dibuka) Macam nak pecah lubang telinga saya awak buat.

Ayah:
(sambil berlalu masuk) Kenapa awak kunci siang-siang lagi? Dah tahu saya balik mesyuarat pukul sepuluh, kenapa awak kuncikan pintu? (duduk)

Mak:
Sebab di rumah ini banyak hantu jembalang, sebab itulah saya kuncikan pintu. Biar hantu jembalang tu tak dapat masuk.

Ayah:
Awak ni merepeklah Cik Tipah. Hm… (diam sejenak, minum kopi) mana ada hantu jembalang zaman ini? (nada mengusik) Eh, awak tak tahukah, kan hantu takutkan karan?

Mak:
Tapi hantu yang saya maksudkan ini tak takut karan. Malah menjadi-jadi bila ada karan.

Ayah:
Awak ni nak berguraukah apa? Saya penatlah. Baru dua hari saya balik, penatnya belum hilang lagi. Hm… (mengeluh)

Mak:
Itulah awak tahu, penat, penat. Kenapa tak suruh si Karim menguruskan pekerjaan awak di luar negeri, ini tidak, sendiri cari penat. Awak pun hantu, macam si Piah. Tak bertimbang rasa. Tak berhati perut. Apa, awak saja yang kenal penat, saya ni tak tahu penat? Eh, Encik Sahar, saya ni lebih penat daripada awak, penat saya memikirkan soal Piah.

Ayah:
Si Piah? Oh, maksud awak si Piah?

Mak:
Yalah, si Piah anak kita. Si Piah mana lagi?

Ayah:
Kenapa dengan dia? Ah, mana dia?

Mak:
Si Piah tu, anak awak, buat memeningkan kepala saya. Ke mana lagi kalau tidak ke parti. Awak tak tahu Encik Sahar, anak awak tu jadi inspektor malam, jadi merambu sajalah kerja dia bila malam.

Ayah:
Anak saya kan anak awak juga? Kalau ya pun awak nak bombat si Piah tu, sabar-sabarlah sikit. Ini tidak, baru saya balik, awak dah memeningkan kepala saya. Hah, apa dah jadi dengan si Piah tu? Dia nak berkahwin dengan budak Azad tu? Kalau dia nak berkahwin, jangan susah-susah, saya boleh uruskan. Kan saya ayahnya?

Mak:
Orang tua ni, melalut ke situ pulak. Lain orang cakap, lain pula yang dia tanggap. Encik Sahar, anak awak tu, tiap-tiap malam keluar rumah, balik pula jauh-jauh malam. Bila saya tegur, ada-ada saja alasan yang dia buat. Dah berapa banyak orang mengadu pada saya dia keluar dengan orang putih. Asyik keluar masuk kelab malam dengan mat salih itu. Awak, sebagai ayah, cuba-cubalah nasihatkan dia. Janganlah awak sibuk sangat pasal kerja, sampai anak seorang tak terbela…

Ayah:
Yalah Cik Tipah, nanti saya nasihatkan dia. Minggu depan awak suruh dia duduk rumah, nanti saya akan cakap dengan dia. Saya pun dah dengar pasal dia dengan orang putih tu. Tapi buat apalah kita susah-susahkan hati, saya fikir, si Piah pun dah besar panjang. Tapi…. Entahlah sekarang … hm.. (mengeluh) awak suruhlah dia duduk di rumah, kalau tidak jangan harap saya dapat bercakap dengan dia.

Mak:
Baiklah Encik Sahar. Ah, marilah kita ke dapur, saya dah siapkan makanan awak.

Spot: Bunyi kedua-duanya berjalan menuju ke dapur.

Gram: MUZIK SELINGAN

BABAK KETIGA

Gram: Lagu rancak dipermainkan (lagu Inggeris).

Spot: Orang bercakap. Fokus kepada perbualan antara Safiah dan Mac.

Safiah:
(mengeluh) Hm… penatlah I menari sampai badan I naik panas. Ah, you kalau nak menari dengan gadis lain, menarilah, I tak marah. I dah tak tahan lagi menari.

Mac:
I tak mahu menari dengan gadis lain, nanti pipi you bengkak (ketawa). Kalau you panas, apa kata kalau you hilangkannya dengan minuman?

Safiah:
I dah banyaklah minum malam ni. Nanti kalau I balik mabuk, habis I kena seranah dengan mother I.

Mac:
Okeylah, jangan minum lagi. Mari kita ke sana. Ada yang I nak cakapkan pada you.

Spot: Bunyi orang berjalan. Muzik rancak terdengar dari jauh.

Safiah:
Okey, sweetheart, apa yang you nak cakapkan?

Mac:
Hm… I rasa you tahu apa yang I nak cakapkan. Bukankah you juga menanya I tentang itu beberapa kali? Ingat tak?

Safiah:
Kalau ya pun, terangkan pada I. You asyik …. Mana I boleh ingat apa yang I tanyakan pada you. Hm… (menarik nafas) apa dia?

Mac:
Pasal kita. Kan you juga yang mendesak I supaya lekas-lekas buat keputusan?

Safiah:
I bukan mendesak you, Mac, cuma I tak mahu kita begini selamanya. You tahukan famili I masih ortodoks, masih mengikut adat-adat lama. Kalau mereka tahu perhubungan kita selama ini…

Mac:
Kan you sudah dewasa, sudah mempunyai kewarasan untuk bertindak buat diri you sendiri, apa yang you takutkan pasal famili you? Mereka approvekah tak approvekah perhubungan kita selama ini, tak mengapa. Yang pentingnya you, bukan mereka. Bagaimana, you setuju?

Safiah:
I setuju, tapi tak adakah cara lain? Cara you itu mungkin tak dipersetujui oleh famili I

Mac:
Lagi-lagi you fikirkan itu. Yang nak berkahwin kita, bukan mereka. You tahu I cintakan you, I ingin membahagiakan hidup you dan satu cara untuk membuktikan ini semua ialah dengan kita berkahwin. Dengan cara yang I cadangkan. Ini tidak akan mengganggu pihak you mahukan pihak I.

Safiah:
I tahu ini tidak akan mengganggu, tapi I takut kita menyesal nanti…

Mac:
Apa yang nak kesalkan, Sophia? Yang penting dalam hal ini I cintakan you, bukan perbezaan-perbezaan kita. You setuju dengan cadangan I?

Safiah:
(teragak-agak) II setuju Mac.

Mac:
Ah, that’s my girl. Kita selesaikan semuanya sebelum kontrak I habis, okey? Itu pun Andy memanggil kita, mari kita ke sana.

Spot: Bunyi orang berlalu. Muzik rancak tadi kedengaran dekat.

Gram: MUZIK SELINGAN

BABAK KEEMPAT

Safiah:
(bercakap seorang diri) Bagaimana harus aku beritahu Mak dan Ayah? Kalau aku beritahu, tentu mereka tak setuju, kalau aku tak beritahu … Tapi aku mesti bertindak tegas, bukankah ini satu-satunya cita-citaku? Kenapa aku mesti takut menghadapi kenyataan? Ini kurun kedua-puluh…. Perkara-perkara seperti itu tak penting lagi… aku mesti bertegas.

Mak:
(suara jauh) Piah, keluar kejap. Ayah kau nak cakap sikit.

Safiah:
Baiklah Mak. (sendirian) Aku harus berterus-terang dengan Ayah.

Spot: Kedengaran Safiah berjalan ke luar.

Ayah:
Ah, Piah, duduk depan Ayah. (Safiah duduk) Ayah nak cakap sikit dengan kau.

Safiah:
Baiklah Ayah.

Ayah:
Ayah mahu kau berterus terang pada Ayah, dah banyak Ayah dengar pasal kau. Ayah dengar, kau selalu keluar malam dan balik jauh-jauh malam pula. Kalau benar, beritahu Ayah apa sebabnya kau berbuat begitu, biar Ayah faham keadaan kau.

Safiah:
(teragak-agak) Yah… Yah cuma berhibur hati, Ayah. Lagi pun Yah risau duduk di rumah. Bukannya ada apa-apa. Lebih baik Yah di luar, sekurang-kurangnya terhibur juga hati Yah. Ayah dan Mak janganlah bimbang sangat, Yah tahulah jaga diri.

Mak:
Mana Mak tak bimbang, kau tu perempuan, kalau laki-laki, lainlah.

Ayah:
Ayah pun setuju dengan cakap Mak kau. Kau perempuan, tempat kau di waktu malam di dalam rumah, bukan di luar. Ayah tahu kau pandai menjaga diri, tapi kalau tiap-tiap malam kau keluar, bukankah tak manis?

Safiah:
Tapi Mak, Ayah, Yah tak buat apa-apa.

Mak:
Ya, Mak tahu kau tak buat apa-apa, tapi perbuatan kau tu salah, Piah.

Ayah:
Ya, Piah, salah, kerana kau menyebabkan orang lain berdosa. Sebab kau selalu keluar malam, sudah berapa banyak orang yang mengumpat hal kau. Kau dah terpengaruh, Piah, terpengaruh dengan cara-cara barat. Kau salah tanggap, kau ingat semua dari barat itu baik untuk kita. Yang pentingnya, kau harus menjadi seorang yang moden, bukan kebaratan-baratan. Dulu lagi Ayah dah pesan, tapi kau tak pernah ingat.

Safiah:
Tapi Ayah, Yah tak buat apa-apa, apa kita peduli sangat cakap orang? Mereka sengaja nak mengumpat, agaknya dah tak ada kerja lain. Yah dah bilang, Yah tak buat yang tak tentu. Yah cuma suka bergaul dengan orang-orang barat, salahkah Ayah? Ini hidup kita, kita punya sukalah cara apa kita jalaninya.

Ayah:
Betul, Piah, ini hidup kita tapi kita tak boleh ikut resam hati kita bila menjalaninya. Ikut suka hati kita. Kita hidup bermasyarakat, takkanlah kita terus-menerus tak mahu mempedulikan orang? Ayah nampak kau dah banyak berubah sekarang, Piah. Kau tidak segan silu lagi, berpoya-poya dengan boyfriend mat salih kau!

Safiah:
Ayah!

Ayah:
Jangan buat-buat terperanjat. Dah berapa banyak orang yang nampak kau keluar masuk kelab malam dan hotel bersamanya. Piah, kau ingat Ayah selalu tak ada di rumah, Ayah tak tahu hal kau?

Safiah:
(masih dalam keadaan terperanjat) Tapi Ayah, Ayah yang sangka yang bukan-bukan, Yah tak buat apa-apa…

Mak:
Tak buat apa-apa, tak buat apa-apa, kalau tak buat apa-apa takkanlah orang bercakap. Kau di pejabat, dua puluh empat jam di luar, tentulah tak berasa malu. Tapi Mak yang duduk di rumah berasa malu, Piah. Dah berapa banyak orang menuduh yang bukan-bukan tehadap kau, depan Mak. Kau ingat Mak tak malu dibuat begitu? Dahlah telinga aku sakit mendengar berita-berita itu, hati aku bertambah-tambah pedih melihat perangai kau. Dan kau tak mahu melakukan sesuatu untuk menghentikan ini semua.

Ayah:
Piah, memang ada benarnya cakap Mak kau. Dari hari ini Ayah mahu kau hentikan tabiat kau suka keluar malam. Putuskan hubungan kau dengan mat salih itu.

Safiah:
(bercakap dalam keadaan takut-takut) Tapi Ayah, Mak, Yah tak boleh putuskan hubungan Yah dengan dia. Sebab…sebab dia bercadang nak ambil Yah sebagai isteri.

Mak:
(geram dan terperanjat) Apa? Dah tak ada lain pilihan kau? Kau ni dah kenapa, Piah, dah gila nak berlaki dengan orang putih, sampai tak bersempat-sempat lagi?

Ayah:
Bertenang Cik Tipah, bertenanglah. Piah, Ayah mahu kau terangkan pada Ayah satu persatu, supaya Ayah mengerti dan tidak terperanjat macam Mak kau.

Safiah:
Mak, Ayah, sebenarnya Yah dalam lama kenal dengan dia. Namanya Steven Mackenzie, seorang pengurus yang mengikat kontrak di sini. Dia akan mengambil Yah sebagai isterinya, cukup bulan ini, kerana kontraknya pun akan tamat cukup bulan. Dia akan bawa Yah ke London…

Mak:
(terperanjat dan sedih) Apa, Piah, kau nak ikut dia ke London? Kau tak sayang pada Mak, sampai kau sanggup buat begini…?

Safiah:
Mak, ini bukan soal sanggup tak sanggup. Yah sayangkan Mak, tapi Yah terpaksa berbuat begini, Mak.

Ayah:
Nanti dulu Cik Tipah, Piah. Ayah tak marah kau nak berkahwin dengan sesiapa pun, tak kira dia penguruskah atau yang berpangkat rendah. Kau nak tinggal di luar negeri atau tinggal di sini, Ayah tak susahkan. Tapi yang penting sekali, mahukah dia memeluk agama kita?

Safiah:
Dia…dia tak mahu.

Mak dan Ayah:
Apa?!!!

Mak:
Macam begini kau tak boleh berkahwin dengan dia, Piah. Selagi dia tak mahu memeluk agama kita, selagi itulah kau tak boleh berkahwin dengan dia.

Ayah:
Ya, Piah, selagi dia tak mahu masuk Islam, kau tak boleh berkahwin dengannya. Berkahwin dengan dia bererti kau berdosa…

Safiah:
(nada sedih) Tapi Mak, Ayah, dia tak mahu. Lagipun bukankah Quran ada menyatakan, orang-orang Islam dibenarkan berkahwin dengan orang-orang ahli kitab iaitu orang Yahudi dan Kristian?

Ayah:
Benar, Quran ada menyatakan, tapi tanggapan kau salah. Yang dimaksudkan bukanlah orang-orang Yahudi dan Kristian sekarang tapi orang-orang Yahudi dan Kristian zaman Nabi. Yang alim dan percaya akan kerasulan Nabi Muhammad. Merekalah yang dibenarkan berkahwin dengan orang-orang Islam. Baik kau putuskan saja perhubungan kau dengan dia, kerana dengan dalih apapun dia tak boleh berkahwin dengan kau. Selagi dia tak mahu memeluk agama Islam.

Safiah :
Tapi Yah cintakan dia…

Mak :
Cinta? Kalau dia benar-benar cintakan kau, dia sanggup masuk Islam.

Safiah:
Dia tak mahu, apa Yah nak buat? Biarlah Yah berkahwin register aja, macam ini tak menyusahkan Mak dan Ayah…

Mak:
Apa? Berkahwin register? Kau mahu mencemarkan nama baik kita, Piah? Tak ada jalan lain yang boleh kau pilih? Si Azad tu, yang sikit hari kau gila-gilakan, kenapa kau tak pilih dia? Dia kan lelaki juga, bergaji besar, seperti yang kau kehendaki, kenapa kau mesti pilih orang asing, yang belum tentu dapat membahagiakan hidup kau?

Safiah:
Kerana Yah cintakan dia Mak, bukan Azad.

Ayah:
(naik radang) Cinta, cinta, cinta. Apa kau ingat cinta saja cukup bagi sesebuah rumah tangga? Bila kau berkahwin dengan seseorang kau bukan saja berkahwin dengan dia, malah keluarganya sekali mesti menerima kau sebagai anggota keluarga mereka. Tapi penerimaan mereka bukanlah semudah yang kau sangkakan. Kau mungkin akan disingkirkan, Piah, sebab kau orang asing. Cara hidup mereka berbeza dengan cara hidup kau. Kau dah fikir ini semua dengan semasak-masaknya? Jangan ikut resam hati muda, tergopoh-gapah, nanti kau sendiri yang menyesal.

Mak:
Mak pun berharap kau berfikir dulu, Piah. Kalau ya pun dia sayangkan kau suruh dia peluk agama Islam.

Safiah:
Balik-balik Mak dan Ayah cakap pasal agama. Agama perkara peribadi, Mak, Ayah, Yah tahulah apa yang Yah buat. Air dan minyak tak akan bercampur; kalau Yah Islam, Yah tetap Islam, walaupun Yah bersuamikan orang Kristian. Agama bukanlah perkara yang penting dalam kerukunan sebuah rumah tangga, tapi cinta, cinta. Apa lagi yang perlu? Mak dan Ayah terlalu ortodoks, padahal pada zaman ini agama tidaklah memainkan peranan yang penting…

Ayah:
Safiah! Berani kau bercakap macam itu! Sia-sia aku beri kau pelajaran tinggi kalau kau tak tahu menilai sesuatu yang tinggi dengan sesuatu yang rendah mutunya. Aku cuba memahami keadaan kau, tapi kau nampaknya tak mahu difahami. (naik radang) Kalau kau bercakap sedemikian lagi, kau jangan panggil aku Ayah. Pergi! Pergi kau dari sini…

Spot: Safiah berlari dan menangis.

Gram: MUZIK SELINGAN

BABAK KELIMA

Mak:
Piah, kau tak keluar hari ini?

Safiah:
(nada sedih) Tidak, Mak.

Mak:
Baguslah. Kau duduk di rumah biar Mak ke rumah mak cik kau. Katanya hari itu, Kak Ijah kau dah bersalin. Mak balik lambat, Piah, Ayah kau pun lepas kerja akan ke sana. Jadi, kau jangan ke mana-mana sampai Mak dan Ayah balik, ya?

Safiah:
Baiklah Mak. Mak… Yah sayangkan Mak. (menangis)

Mak:
(nada sedih) Mak pun sayangkan kau, Piah. Sebab sayanglah Mak dan Ayah tak mahu ikutkan kehendak kau itu. Dahlah, Piah, jangan dikenangkan perkara yang sudah. Mak pergi dulu, Piah, jangan ke mana-mana.

Gram: SELINGAN MUZIK PENDEK

Spot: Suara ramai orang bercakap. Kedengaran bunyi kapal terbang. Telefon berdering.

Safiah:
Helo, Kamilah ya? Ini Piahlah, Milah. Aku nak minta tolong sikit, boleh? Baguslah. Kau tolong beritahu Mak dan Ayahku aku akan berangkat ke London dalam masa tiga suku jam. Aku tahulah apa yang kubuat. Di Lapangan Terbang. Ya, ya, aku tahu, Milah. Kau boleh tolong ke tidak? Tapi aku tak mahu beritahu mereka sendiri. Ya…

Spot: Suara juruhebah lapangan terbang kedengaran memanggil penumpang-penumpang yang akan berangkat ke London agar menuju ke terminal perpisahan.

Safiah:
(sambungan) Okeylah Milah, aku terpaksa pergi sekarang. Milah…terima kasih. Jangan lupa sampaikan kepada Mak dan Ayahku…

Gram: SELINGAN MUZIK PENDEK

Mak:
(terperanjat dan sedih) Apa Milah? Betulkah cakap kau ni?

Kamilah:
Betul Mak cik. Saya menerima panggilan telefon tiga suku jam sebelum Piah menaiki kapal terbang. Saya cuba menahan tapi tak berjaya. Saya menelefon Mak cik, tak ada orang jawab. Lalu saya ke mari, Mak cik dan Pak cik belum balik lagi. Lepas itu saya terus ke Lapangan Terbang. Tapi saya terlambat…

Mak:
Piah… sampai hati kau…

Ayah:
Dia ada beritahu Milah sama ada mat salih itu masuk agama kitakah tidak?

Kamilah:
Dia… dia cuma bagi tahu dia berkahwin register, Pak cik…

Ayah:
Astaghfirulllah…

Mak:
Allah Encik Sahar, apa dah nak jadi dengan anak kita…rosak anak kita…rosak… (menangis)

Ayah:
Budak bertuah! Saya tak mahu ambil tahu lagi pasal dia!

Spot: Bunyi orang berjalan dengan cepat.

Mak:
Milah, apa nak jadi dengan Piah? Agaknya dia tak sayangkan kami lagi sampai dia sanggup berbuat begini (menangis) Piah…Piah…

Kamilah:
Sabarlah Mak cik. Mungkin satu hari nanti dia akan sedar. Kita tak berdaya untuk berbuat apa-apa sekarang, Mak cik…Kita hanya boleh berdoa, semoga Tuhan membukakan pintu hatinya kembali…

Gram: MUZIK SELINGAN

BABAK KEENAM

Spot: Bunyi loceng di bunyikan beberapa kali.

Mak:
Hm…posmen. Entah-entah ada surat daripada Safiah. Dah lima bulan dia pergi, tak dengar pun khabar berita. Hm…setem England…Safiah?

Spot: Bunyi sehelai kertas dibuka dari lipatan. Mak Tipah tersedu. Surat dibacakan dengan menggunakan suara Safiah.

Safiah:
(nada tangis) Kehadapan Mak yang dikasihi,
Mak, kedatangan surat Yah ini ke pangkuan Mak adalah kerana desakan jiwa Yah. Yah tak tahan hidup di sini, Mak. Yah disingkirkan kerana keluarga Steven masih tidak mahu menerima Yah. Walaupun Yah cuba mengikut cara-cara hidup mereka, mereka tetap menganggap Yah sebagai orang asing. Malah ada di antara keluarga Steven yang terang-terang menuduh Yah berzi….Oh, Mak, Yah tak tahan menerima cacian dan kejian mereka.

Yah, Yah benar-benar menyesal sekarang, Mak, kerana tak mahu mendengar cakap Mak dan Ayah. Sekarang Yah terasa betapa keseorangannya Yah di rantau orang. Rumah tangga Yah sekarang sudah mula tidak selesa. Steven selalu benar menyebelahi keluarganya, walaupun mereka yang bersalah. Bahkan, atas desakan keluarganya, kami telah bernikah sekali lagi di gereja Roman Katolik. Yah tak dapat membangkang. Mak, Yah ingin balik ke pangkuan Mak, tetapi Steven tidak membenarkan. Malahan duit belanja pun disekat dan dia tidak membenarkan Yah bekerja, kerana dia takut Yah akan kembali ke Singapura.

Mak, Yah harap Mak maafkan semua kesalahan Yah selama ini. Yah menyesal sekarang Mak, tapi Yah tak berupaya untuk membuat sesuatu. Kalau Yah tahu dulu, Yah terima Azad, tapi sekarang semuanya sudah terlambat. Yah menyesal kerana terlalu membangga-banggakan cara-cara barat, padahal apa yang ada pada kita lebih bernilai daripada apa yang mereka ada. Yah harap Mak akan memberitahu Ayah, Yah mohon ampun dan maaf daripada Ayah. Yah, Yah telah berdosa pada Mak dan Ayah kerana mementingkan sesuatu yang belum tentu dapat membahagiakan hidup Yah. Mak…maafkan Yah Mak…

Mak:
Piah, Piah, (menangis) kau tak bersalah pada Mak dan Ayah, Piah, tapi pada Tuhan, pada Tuhan… (menangis)

Gram: MUZIK PERPISAHAN – SELESAI.

*Berkahwin register: perkahwinan secara sivil.
** Gejala berkahwin lari dan sivil dengan orang barat ini lebih ketara pada akhir tahun-tahun 60-an dan awal tahun-tahun 70-an di Singapura ketika drama radio ini ditulis.

Disiapkan: 30 Mei 1976
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.
Diterima oleh pihak penerbit RTS (Radio Televisyen Singpura) untuk disiarkan dengan syarat ibu Safiah harus digambarkan lebih tipikal iaitu lebih banyak menangis. Saya enggan membuat perubahan sedemikian kerana ini bukanlah gambaran tipikal ibu-ibu Melayu/Islam yang saya kenal, lantas drama ini tidak dapat disiarkan.
Diterbitkan dalam buku cereka zaman muda saya (1972 – 1980), Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, Singapura: Pustaka Nasional, 2007.