Archives

Cerpen: Sirna (Ditulis Pada Januari 1990)

Tutuplah pintu itu, aku tidak akan mengetuknya lagi. Kau telah memanggakannya dan memagarinya dengan besi-besi tajam dan tangan-tanganku tidak lagi berdaya membuka itu semua. Tutuplah pintu itu.

Kau telah menyuruh aku pulang, pulang ke rumah yang sudah lama aku tinggalkan dan aku cintai, pulang ke pangkuan saudara dan sahabat yang aku rinudui selama ini, tetapi apabila aku tercegat di hadapan rumahmu, kau menghentak dengan kasar pintu itu di depan mukaku. Berapa kalikah harus aku pulang dengan cinta yang mendalam, yang tiba-tiba dicairkan oleh wajahmu yang dingin? Akukah yang harus berkata, bukalah pintu ini, aku lelah mengembara dan menimba pengalaman, sedangkan kau seolah-olah tuli akan segala keluhan?

Apakah rumahmu terlalu sempurna sehingga insan yang seakan-akan kurang sempurna seperti aku tidak akan lagi diterima? Apakah rumahmu hanya untuk penghuni yang seolah-olah pandai berkata tanpa makna, yang manis berhujah bagai tebu bertuba? Apakah kau bimbang, dengan kebebasan dan aneka pengalaman, aku bakal meracuni udaramu dengan cerita-cerita bahagia, indah dan penuh harapan? Atau kaukah sememangnya sedia memaklumi bukan aku orangnya yang akan sedia menari walau rentak zapin dan gamelan yang aku dengari?

Tutuplah pintu itu. Tutuplah. Aku tidak akan mengetuk lagi.

Apakah pada fikiranmu, hanya tiba-tiba saja aku mencintaimu, mencintai alam, taman dan muzik indahmu? Aapakah kaufikir bahawa aku mencintaimu kerana aku bakal mendapat kedudukan ala ningrat jika berada di dalam rumahmu? Sesungguhnya betapa singkat ingatan kau. Aku mencintaimu sejak dulu dan ketika 12 tahun, aku membuat keptusan untuk memberi kepada cintaku itu. Bukan kerana memasuki rumahmu baru aku mempelajari erti cinta itu. Bukan. Dan cintaku itu telah diobori oleh percikan-percikan daripada Nabi Muhammad (SAW), Md Iqbal, Jose Rizal, Raden Atjeng Kartini, Hamka, Gandhi. Martin Luther King dan ramai lagi, sebelum aku menapak ke mahligai indahmu. Apakah kini engkau enggan menerima aku kerana aku anak angkatmu, aku orang luar? Apakah kerana anak-anakmu yang lain heboh berhujah tentang dunia karyawan, tentang teknologi maklumat, tentang pertukaran mata wang, kau malu menerima aku yang hanya gemar bercakap tentang dunia seniman? Atau kaukah yang hanya menilai kesempurnaan mengikut kayu ukur tertentu dan betapa pun dapat kuhiasi rumahmu dengan lukisan-lukisanku, ia tetap bukan ciri-ciri peradaban dan kesempurnaan bagimu?

Berapa kalikah harus aku mendiri dan menegapkan gunung-gunung harapanku dengan janji-janji mulukmu dan kemudian satu persatu kauruntuhkan gunung-gunung itu, yang bertukar menjadi batu-batu besar dan kerikil-kerikil tajam, yang menyekat perjalananku? Berapa kalikah harus kau menceritakan keindahan suasana di mercu gunung dan apabila aku hamper sampai ke puncaknya, keindahan itu, katamu, bukan untuk seorang pendaki seperti aku? Kaukh raksasa seperti Hercules yang berupaya memikul dunia di pundaknya dan mempesonakan insan-insan biasa seperti aku dengan kehebatanmu? Engkaukah raksasa handalan yang begitu besar dan tinggi susuk jasmani, sehingga tidak lagi dapat melihat kaki sendiri? Kaukah raksasa yang sebenarnya berkaki lumpur?
Atau mungkinkah kau sebenarnya bukan raksasa tetapi sejenis bunglon? Reptilia yang licik menukar warna kulitnya mengikut perubahan suasana? Kaukah bunglon yang berlagak bijak dan akhirnya mengaku dirinya dinosaur di tempat yang hanya terdapat cicak-cicak? Kaukah yang begitu kancil mengunakan saktimu sepeti dalang menggerakkan watak-watak pada persembahan wayang kulit?

Tutuplah pintu itu. Tutuplah. Apakah seperti cerita purba, akan terus kau menjatuhkan hukuman kepada seorang Hang Nadim kerana kelainan fikirannya? Apakah seorang Hang Nadim akan terus membiarkan betis-betis orang kampungnya ditembusi jongor todak? Kaukah akan terus merantainya dan melepaskannya ke laut, biar dia tenggelam hidup-hidup? Atau kaukah yang menyuruh sula seorang Dang Anum hanya kerana fitnah yang tidak kau usul periksa? Apakah nanti kesengsaraan itu juga ditanggung oleh seorang Sang Rajuna Tapa, disumpah menjadi batu, kerana keaibandan penghinaan yang terlalu itu, sedang kau sedia maklum, bukan dia orangnya yang akan membuka pintu kota, untuk Majapahit ataupun sesiapa? Atau kaukah seperti Raja Lear daripada drama Shakespeare, menyingkirkan kasih anak setia kerana mudah dimadui kata-kata dan mahkota? Apakah nanti di medan perang, terlambat kau mengetahui dalamnya cinta Cordelia?

Bukankah aneh, kau yang membeberkan kepada dunia, “lihat, lihat, anak angkatku telah berjaya”, tetapi tidak pula mencanangkan kepada dunia bahawa kejayaanku tidak diiktiraf sepenuhnya? Adakah segalanya seperti permainan layang-layang, dihulurkan talinya sedikit dan para penonton terpesona laying-layang itu mula terbang, tetapi ditariknya lebih banyak, agar layang-layang itu uterus menjunam? Dan para penonton semakin terpesona melihat berjenis-jenis layang-layang diterbangkan tanpa mengetahui muslihat permainan tali di belakang?

Kesempurnaan inikah bagaikan rumah kaca yang membuat rumahmu serba lengkap lalu tidak lagi kau mengerti segala yang alamiah dan mungkin kurang sempurna? Atau kaukah bagai sang matahari, mahu semua planet mengelilingimu walaupun planet-planet itu tidak termasuk dalam lingkungan tatasuria? Kaukah yang hanya boleh melihat segala-galanya daripada kaca mata persaingan, bukan ciri-ciri kerukunan yang menambah indah dan tenang gerak kehidupan?

Segala-galanya akhirnya bertolak kepada persoalan dan sikap. Segala-galanya adalah pintu-pintu yang ditutup rapat.

Simpanlah simpatimu, aku tidak memerlukannya. Aku bukan pengemis yang meminta-minta, yang harus dininabobokkan dengan simpati di bibir saja, sedang di belakangku, kau mengupah orang mengusirku. Simpanlah simpatimu. Aku bukan orangnya yang pandai menghargai sikap dwitara. Dan aku telah terlalu terseksa kerana tindak-tandukmu. Kau menjadikan aku seperti sebiji bola, yang jika perlu, ditendang ke mana saja, tanpa memikirkan akibatnya. Apakah kau lupa, aku juga manusia yang mempunyai fikiran, perasaan, dan nanti apabila suhu sengsara ini terlalu tinggi dan aku menjerit, apakah kau pula akan menuduh bahawa aku ini hanya pandai mengamuk? Kaukah yang enggan melihat kenyataan atau batu-bata hidup ini hanya mampu kaususun daripada kerikil-kerikil silam tanpa memaklumi pergeseran tanah dan batu-bata sekarang? Kaukah yang sering lupa, aku ini manusia, punya pendirian, punya maruah, punya pertyimbangan, punya harga diri dan tidak perlu mengemis sebarang simpati?
Tutuplah pintu, jangan lagi memanggilku pulang. Jangan lagi bersikap seperti jagoan di mata dunia sedang yang kau pentingkan hanyalah dirimu semata. Aku telah penat bersabar. Aku telah penat berdiam, sedang kau terus mengembangkan egomu. Dan kini, apakah layak kau menuduh, aku tiada ketabahan, tiada kegigihan, tiada semangat perjuangan? Adakah percubaan untuk membina keyakinan setelah satu demi satu janji-janji yang kauhamburkan kepada aku itu musnah, bukan ketabahan? Apakah belajar membina harapan setelah kaupusarkan aku dalam puing-puing pesimisme dan kecelaruan, kau kata bukan kegigihan? Apakah aku tidak berjuang kerana aku enggan memanjangkan nafasmu, kerana aku percaya akan pendirianku? Apakah tiap-tiap perjuangan itu disaluti keangkuhan, tiap penglibatan itu disampirkan cemuhan, dan apakah nilai-nilai murni itu hanya kata-kata usang yang tidak lagi perlu ditunjangkan pada phon-pohon pembaharuan?

Betapa benar kata penyair Robert Frost, terdapat dua lorong bercabang di persimpangan. Kau telah berjalan di lorong yang lumrah, lalu mudah sampai ke puncak. Aku hanya boleh melalui lorong yang berliku-liku, yang belum pernah dirintis, diteroka. Dan setelah aku bangkitkan azam dan kekuatan untuk merentasi jalan ke puncak, apakah lagi alasanmu untuk menutup sempadan itu dan melaungkan aku tiada kegigihan, tiada semangat?

Apakah benar kau memahami erti perjuangan, kegigihan, ketabahan? Apakah benar kau mempunyai empati, sedang segala-galanya serba lengkap di rumah kaca ini? Engkaukah yang akan terus melihat mereka di lembah dengan keterasingan dan menggunakan terop[ong berlainan? Apakah manusia seperti aku tiada ketabahan, tiap kali kau menghancurkan impianku, dan bagai burung phoenix, aku harus membangkitkan semangatku daripada abu-abu kekecewaanku dengan ketabahan yang lebih jitu? Apakah kau akan selamanya menjadikan aku, seperti kata penyair Amir Hamzah, ‘mangsa aku dalam cakarmu’?

Tutuplah pintu itu, tutuplah rapat, jangan nanti kesempurnaan rumah kacamu terjejas oleh kehadiranku. Aku ini anak angkat, bukan anakmu. Kau lebih rela menerima pengunjun-pengunjung lain daripada aku yang pernah makan sepinggan denganmu. Tutuplah pintumu. Kau hanya leka dengan bunga-bunga mawarmu yang mekar di rumah kaca dan memandang rendah bunga anggerikku yang belajar hidup di belantara. Benar, bunga anggerikku tidak semerbak mawar, tetapi anggerikku tahu erti penakatan dan tdak memerlukan anasir-anasir buatan untuk membolehkannya mekar. Dan kalua kaumenyuruh aku masuk ke rumah kaca, apakah sebagai bahan pameran sahaja? Apakah nanti orang akan berkata, sesungguhnya kau saksama dan sekali gus dapat kaukawali aku daripada terus menyayangi bunga dan tumbuhan di belantara?

‘Sekali bererti, sudah itu mati’, demikian pesanan penyair sanjunganku, Chairil Anwar. Aku telah dan sedang mencari pengertian itu walaupun pada penilaianmu, aku tetap gagal. Berapa lamakah harus kau mengamalkan sikap berkasta untuk selamanya melihat aku kecewa? Betapa mudah kaulupa, aku mungkin melinangkan air matatetapi setelah itu aku tetang berdiri tegak dengan azam dan semangat. Aku mungkin kadangkala begit lemah, bagai seorang Siti Salina dalam novel Salina A. Samad Said, yang buntu didesak keadaan, yang hanyut oleh arus kenangan. Tetapi selemah-lemah Salina, dia tahu mencintai kehidupan dan manusia, tahu menghargai Hilmy, Bulat, Nahidah dan Mak Jah, walaupun lemahnya akidahnya tidak perlu aku teladani. Dan kaulupa, aku juga bersikap seperti Mazni dalam novel Badai Semalam Khadijah Hashim, walau sebatang kara, aku dapat melupakan Zaki, Karim dan kehidupan mewah demi mencapai apa yang aku anggap tugas dan cita-cita? Tidak terfikirkah kau aku adalah pembauran watak-waak Salina dan Mazni dan tidak akan menjadi watak Corrie dalam novel Salah Asuhan Abdul Muis, seperti yang kauingini? Apakah kau mahu aku meletakkan perasaanku di luar rumah kacamu, masuk ke dalamnya dengan hanya menggilap fikiranku saja? Apakah kau hanya mahu aku menjadi sebutir punat di mesin raksasa, yang tiada lagi peribadi dan nilai-nilai kemanusiaannya?

Tutuplah pintumu, tutuplah rapat-rapat. Kau mahu aku percaya kekecewaan dan kegagalan adalah warisanku sedangkan aku tidak pernah menerima pertimbanganmu. Simpanlah di arkib-arkib tentang siapa sebenarnya aku, sejuta manusia mungkin mempercayaimu. Aku tahu sejarah sentiasa bergeser bagai tanah walaupun sejarah juga boleh berubah tanpa berdusta. Dan biarpun beribu tahun, aku pasti kebenaran akan tetap menyerlah.

Tutuplah pintumu, aku tidak akan lagi mengetuk. Mungkin rumahmu hanyalah tempat untuk aku belajar menjadi dewasa, bukan tempat untuk aku menginap buat selamanya. Tutuplah pintu itu, tutuplah rapat-rapat. Mungkin dengan menutup pintu itukau beranggapan kau telah berjaya mematikan semangatku, menjadikan aku sedih dan kecewa. Tetapi kaulupa, aku ini seorang survivor. Dan betapa pun aku berlinangan air mata, aku tetap yakin tiap kejadian itu ada hikmah dan rahmat-Nya.

Tutuplah pintumu, tutuplah rapat-rapat. Tidak akan aku membiarkan penilaian-penilaianmu menentukan langkah-langkah dalam hidupku. Dan langkah-langkahku akan tetap jauh meski pintumu terus tertutup.

Disiapkan: 12 Januari 1990
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 11 Februari 1990 dan Dewan Sastera (Malaysia) pada Mei 1990.
Tulisan: Rasiah Halil.

Drama Ringkas Radio: ‘Pulau Harapan Kucita Juga’ (Ditulis Pada April 1976)

Rancangan: ‘Coretanku’, Radio Singapura (RTS, 1976)

Pelaku: Melati (berumur 18+ tahun, seorang penuntut)
Huzaimah (kawan karib Melati, 18+ tahun, seorang penuntut)
Abang Sani (abang Melati)

PERTAMA

Pencerita:
Saudara, kisah yang akan kubentangkan ini adalah kisah benar yang telah terjadi ke atas diri sahabatku, Melati. Kuharap dengan terlukisnya kisah ini dapat memberikan suatu pandangan atau penyelesaian bagi mereka yang turut menghadapi nasib yang sama.

Melati yang kukenal sebagai seorang yang peramah, berbudi pekerti dan tekun dalam pelajaran, telah menghadapi peperiksaan bersamaku tahun lepas. Apa yang membimbangkan aku ialah perubahan sikapnya sejak kebelakangan ini. Dia yang selalu begitu tenang menghadapi sebarang masalah ataupun peperiksaan, kini seolah-olah diganggu oleh suatu perasaan yang kurang menyenangkan. Di sebalik ketenangan yang dia cuba pamerkan, aku dapat berasakan ombak keresahan yang melanda hatinya. Kucuba seberapa boleh menghiburkan hatinya tetapi aku terasa gagal, terutama sekali hari terakhir peperiksaan. Perasaan yang selama ini disimpannya, terluah juga kepadaku …

Gram:
Lagu pengenalan ‘Rancangan Coretanku’.

Latar:
Suara pelajar-pelajar berjalan dan bercakap.

Spot:
Suara orang meneriak dari jauh dan berlari.

Huzaimah:
(berlari dan termengah-mengah)
Ati! Oh Ati! Nantilah dulu. Ai, dah tak boleh tunggu lagi ke? Mentang-mentanglah dah habis periksa, kawan pun kau lupa (nada merajuk).

Melati: (nada ketawa) Bukan begitu Zai, aku cari kau tadi di bilik periksa, kat bilik mandi, di kantin pun kau tak ada. Aku ingat kau dah balik, jadi aku jalanlah dulu. Marah?


Huzaimah:
Hm…aku tak pernah marah, orang baik-baik macam aku ini mana pernah marah, cuma geram aja! (ketawa) Bagaimana dengan kertas tadi, senang?

Melati:
Bolehlah tahan. Tapi aku risaukanlah jawapanku macam tak kena berkenaan soalan nombor tiga. Hm… seram juga…

Huzaimah:
Ati, Ati, buat apalah difikir pasal itu. Jangan takutlah, kau tentu lulus, buat apa susah-susahkan hati? Lagipun, kau ingat tak pesan Cikgu Imran? Katanya, lepas periksa jangan ingat-ingat lagi tentang peperiksaan. Kalau diingat juga, cikgu pengarang jantung kau tu kata, pendek kata botaklah kepala kau macam Kojak. (ketawa)

Melati:
Alah, kau ni Zai, aku bercakap serius, kau berjenaka pulak. (mengeluh) Kadangkala Zai aku rasa aku hanya mengejar bayang-bayang, penat saja, tapi tak pernah tertangkap.

Huzaimah:
Mengejar bayang-bayang? (ketawa) Ai, simboliknya bahasa, manalah aku faham. Cuba kau terangkan dalam bahasa bumi, bukan bahasa kayangan, bolehlah aku faham. Hm… susah berkawan dengan orang gila sastera…

Melati:
Ginilah Zai (diam sejenak) aku selalu berpegang pada harapan kerana aku tahu putus harapan bererti hidupku terumbang-ambing macam layang-layang putus tali. Tapi, sejak kebelakangan ini keadaan seolah-olah ingin memutuskan harapanku. Entahlah Zai, apakah ini akan berlaku atau tidak, hanya masa yang dapat menentukan …

Huzaimah:
(mengeluh) Kau ni pesimistik sangatlah Ati. Siapa yang berhak memutuskan harapan kau, kecuali kau sendiri? Kau baik dalam pelajaran kau, mampu ke universiti, apa lagi yang kau bimbangkan? Lagipun, kan Abang Sani kau dah berjanji nak hantar kau ke universiti, bila kau lulus nanti. Apa lagi yang kau runsingkan? Hm… tulah suka baca sajak Thomas Hardy, sebab itulah kau selalu pesimistik…

Melati:
Entahlah Zai, sebab abang akulah aku bimbang. Dia bukan lagi abang yang pernah aku kenal. Dia telah banyak berubah. Sekarang dia berani luahkan kata-kata yang pedas terhadap kami sekeluarga. Dah banyak kali dia bangkitkan soal pertolongannya kepada kami. Malah, dia pernah menyuruh aku bekerja selepas keputusan peperiksaan GCE ‘A’. Aku bimbang Zai, takut apa yang dikatakan akan kotakan…cita-citaku akan terkandas…

KEDUA

Spot:
Bunyi orang mengetuk pintu dan seorang lagi datang membuka pintu.

Melati:
Oh, Abang Sani, masuklah Abang.

Spot:
Bunyi orang berjalan dan duduk.

Abang Sani:
(suara mendatar) Mana Ayah?

Melati:
Ayah ke rumah Pak Busu. Malam nanti Ayah balik. Abang duduklah dulu, biar Ati buatkan air.

Abang Sani:
Tak payahlah Ati. Aku datang ini pun sekejap saja. Ha, terlanjur Ayah tak ada, kaubaca ini dan sampaikan kepada Ayah.

Melati:
(diam sejenak membaca)

Jabatan Imigresen Australia:

Encik Sani Salam,
Saudara dan isteri saudara telah diterima untuk berhijrah ke Australia dengan syarat Saudara dan isteri saudara harus …

Apa maksud ini, Abang Sani? (nada ragu)

Abang Sani:
Aku dan isteriku akan menetap di Australia buat selama-lamanya. Kau beritahu Ayah aku akan berangkat cukup bulan ini.

Melati:
Habis, bagaimana dengan kita, Bang? Takkanlah Abang sanggup berlepas tangan begitu sahaja? Bagaimana dengan Ayah? Abang mahu sakit Ayah bertambah teruk? Abang, kenapa jalan ini yang harus Abang pilih? Bagaimana dengan kita jika Abang pergi dan tidak mahu mambantu? (nada tangis)

Abang Sani:
Apa nak jadi dengan kau semua, kau punya pasal, aku tak mahu masuk campur. Apa, duit pencen Ayah tak cukup buat kau orang? Eh, dengar sini, aku ni dah bosan menanggung kau orang, bosan dengan gangguan kau orang. Bukan pasal Kak Liza aja, tapi banyak lagi. Apa kau ingat aku ni tukang cap duit? Mesti tanggung kau semua seumur hidup? Sejak aku graduate sampai sekarang, aku tanggung kau orang, tapi kau semua tak pernah mengenang jasa. Malah, isteriku tak pernah kau endahkan!

Melati:
Abang, Abang tak patut cakap macam tu. Bila pernah kita tak endahkan Kak Liza? Abang sendiri yang menyangka bukan-bukan … (nada tangis)

Abang Sani:
Sudah, aku tak mahu dengar lagi cakap kau. Mentang-mentang isteriku moden, orang Serani, kau semua tak suka. Huh! beritahu Ayah.

Spot:
Bunyi orang berjalan dan pintu ditutup dengan kuat.

KETIGA

Pencerita:
Saudara, orang tidak selalu di bawah awan yang kelam, sekali-sekala cahaya matahari terserlah juga. Begitu juga dengan diri Melati. Walaupun rancangan abangnya sungguh mengecewakan harapannya, namun, masih ada waktu dan kesempatan baginya menikmati rasa kebahagiaan. Dan apakah yang paling menggembirakan hati seorang pelajar selain daripada segala usahanya selama ini membuahkan kejayaan?

Spot:
Bunyi pintu diketuk bertalu-talu.

Huzaimah:
Ati, O, Ati, bukalah pintu ni. Ati, lekaslah. Hm… baik aku buka saja, pintu pun tak berkunci. Huh! Penat-penat orang datang dia tidur pulak. Ati, Ati, (mengejutkan Melati) Oi Tuan puteri Shehrezad, macam unta kena jerat, dari negeri lamunan khayalan (telor Arab) bangunlah dari beradu. Ai, tak nak bangun ke? Ya Allah, seksanya nak kejut kau. Oi, bidadari yang tidur tengah hari, bangunlah, ini hamba putera….ops cop night… puteri diraja datang membawa berita yang baik buat tuan hamba. Bangunlah tuan puteri.

Melati:
(menggeliat dan suara seolah-olah orang selepas menangis) Ah… oh, kau Zai, aku ingat siapa tadi. Ada apa ni kejut orang sedang sedap-sedap tidur?

Huzaimah:
Jadi, kau ingat yang kejutkan kau Cikgu Imran? (ketawa dan menjerit apabila Melati mencubitnya) Okey, maaf tuan puteri, hamba tak usik lagi. Eh? Bengkaknya mata kau. Terkenan orang outer space ke baru lepas menangis? Ah, tak apalah, ini ada berita baik. (Berbisik) Kau berjaya!

Melati:
Berjaya? Apa yang kau cakapkan ni?

Huzaimah:
Alah, buat-buat tak faham ke tak baca surat khabar? Kan hari ni (sengaja dilambatkan) keputusan Sijil Am Pelajaran Peringkat Tinggi diumumkan? Tak faham lagi, tuan puteri? Aku ingat tadi kau ke sekolah, muka hidung mancung kau pun tak nampak. Jadi, aku datanglah ke mari, ingatkan kau sakit. Dan, ini ada satu lagi berita baik, cikgu pengarang hati limpa jantung kau tu suruh sampaikan salam pada kau dan suruh ucapkan tahniah. Hm… tak faham lagi? (Ketawa)

Melati:
(Gembira) Aku berjaya? Betul aku berjaya Zai?

Huzaimah:
Eh, betullah, takkanlah aku bohong. Kalau tak percaya ambil pisau, belah mulut aku. Ah, dah terbelah pun.

Melati:
Kita berjaya Zai! (kedua-duanya ketawa) Kita akan ke universiti seperti yang kita mimpikan. Oh, Zai, aku sungguh gembira. Tak sia-sia rupanya penat lelah kita selama ini. Aku mesti beritahu Ayah tapi (diam sejenak) dapatkah aku ke universiti seperti yang kita harapkan… aku… aku … (menangis)

KEEMPAT

Pencerita:
Walaupun Melati bersedih kerana mungkin harapannya selama ini akan putus di tengah jalan, namun dia cekalkan hati untuk berjumpa dengan Abang Saninya. Melati berharap pertemuan ini kelak dapat melembutkan hati abangnya atau sekurang-kurangnya mengubah sedikit rancangan abangnya.

Abang Sani:
Ah, Melati, apa hal, kau tak nampak aku sibuk?

Melati:
(teragak-ragak dan bernada sedih) Ati, Ati tahu Abang, tapi ini perkara penting.

Abang Sani:
Hm… baiklah, mari duduk sana.

Melati:
Abang, Ati ke mari kerana nak minta pertimbangan Aabang, mengenai rancangan Abang. Ati dah lulus GCE ‘A’, Ati ingin kalau boleh, melanjutkan pelajaran Ati. Tapi kalau Abang bertindak mengikut rancangan Abang, Ati tak dapat berbuat apa-apa…

Abang Sani:
Hm…jadi kau mahu aku mengubah rancanganku? Sudah terlambat. Dua minggu lagi aku akan bertolak.

Melati:
Tapi sekurang-kurangnya Abang dapat memberi kita wang tiap-tiap bulan walaupun Abang di Australia. Abang fikir sendiri, dengan baki wang pencen Ayah berapa lamakah kita dapat hidup? Abang cubalah fikirkan …

Abang Sani:
Ah…! Aku tak mahu ikut rancangan kau. Apa selama ini tak cukupkah aku menanggung kau orang? Ati, kau dah besar, dah patut bekerja dan tak harapkan duit aku!

Melati:
(sedih) Tapi Abang, tindakan Abang itu menyusahkan kita semua. Timbangkanlah Bang, baki wang pencen Ayah berapa aja jika dibandingkan dengan gaji Abang. Lagipun kita semua masih bersekolah, sepatutnyalah Abang menanggung kita. Ayah telah bersusah-payah menghantar Abang ke universiti, inikah balasan Abang kepada ayah?

Abang Sani:
Melati, kalau kau nak cakap macam itu, lebih baik kau balik saja. Aku tak perlu nasihat daripada kau. Kau ingat dengan Ayah menghantar aku ke universiti aku mesti tanggung kau semua selama-lamanya?

Melati:
Tapi bukankah Abang telah berjanji dengan Ayah untuk menanggung kita hingga tamat persekolahan kita? Abang lupakah dengan wang gaji Ayah juga Abang ke universiti? Kenapa, kenapa Abang mesti buat begini?

Abang Sani:
Kerana aku bosan! Bosan! Kau tak mengerti lagi?

Melati:
(nada tangis) Dulu, Abang tak pernah bosan. Kenapa sejak Abang berumah tangga, Abang benci pada kita? Seolah-olah kita musuh Abang. Baru beberapa tahun Abang tanggung kita, Abang dah berasa bosan. Apa, Abang kena hasut dengan Kak Liza ke?

Abang Sani:
Ati, jangan terlalu celopar mulut kau. Tutup mulut kau sebelum aku tampar.

Melati:
Ati takkan menutup mulut selagi Abang tidak mahu sedar akan perbuatan Abang. Abang sebagai seorang siswazah, orang yang dianggap berpelajaran tinggi, seharusnya tahu menghargai jasa orang yang telah menolong Abang. Tapi Abang lebih mementingkan diri sendiri! Di mana sifat perimanusiaan Abang? Di mana janji Abang dulu ingin melihat adik-adik Abang berpelajaran tinggi? Mengapa Abang harap-harapkan hati Ati, nak hantar Ati ke universiti, tapi tiba masanya, Abang melupakan? Tak guna Ayah beri Abang pelajaran tinggi, sedangkan Abang tidak menggunakan fikiran Abang dan sanggup mendengar hasutan yang tidak berasas. Abang pembelot, pembelot kepada Ayah dan kami, Abang pembelot kerana seorang perempuan!

Spot:
Terdengar satu tamparan dilepaskan dan Melati menjerit dan menangis kesakitan.

Abang Sani :
(geram) Kurang ajar! Berani kau cakap begitu depan aku. Keluar kau! Keluar dari rumahku! Keluar!

KELIMA

Melati:
Jadi Zai, aku tak dapat meneruskan pelajaranku buat masa ini. Aku harus bekerja, sebab kau tahu kan Ayahku dah uzur, jadi tanggungjawab itu terletak di bahu aku untuk dipikul. Abang Sani dah lepas tangan… Adik–adikku perlu bersekolah … Hm… nampaknya kaulah masuk universiti dulu (mengeluh). Walau bagaimanapun aku pasti melanjutkan pelajaranku, Zai. Bagiku ini adalah satu cabaran yang tak mungkin mematahkan harapan dan cita-citaku. Kau ingat tak Zai serangkap pantun yang ditulis oleh Cikgu Imran dalam buku autograf aku?

Huzaimah:
Ya, aku ingat:

Cita-cita terletak di puncak gunung,
Jalan ke gunung berlurah bukit;
Di tengah jalan jangan termenung,
Teruskan – walaupun sakit.

Melati:
Aku akan teruskan, Zai, satu hari kelak, walaupun sakitnya kuhadapi sekarang.

Huzaimah:
Baguslah begitu Ati, aku harap dan doakan kau berjaya dalam mencapai cita-citamu.

Pencerita:
Saudara, kita sering ditimpa masalah tetapi ini tidak bererti harapan dan impian kita akan musnah bila berhadapan dengannya. Cita-cita, kata Shakespeare, harus dibentuk daripada bahan yang teguh dan utuh yang tidak mudah dibinasakan. Manusia harus berpegang kepada harapan dan cita-cita, kerana dengan itu dia berani menghadapi segala rupa masalah dan bencana. Begitulah dengan Melati. Cita-citanya diletakkan jauh di hujung laut, semoga tiba masanya kelak dia akan berenang ke matlamatnya dan mencapai cita-citanya selama ini, aku pasti. Seperti kata pujangga:

Bila kau mengetahui apa yang kau cita-citakan, bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-citamu, kau tidak akan mengenal sebarang halangan atau ketidakmungkinan. Satu hari kelak kau pasti mencapai cita-citamu sepastinya siang menggantikan malam.

Drama diakhiri dengan dimainkan lagu tradisional ‘Dondang Sayang’ ciptaan Zainal Abbas (Pustaka Muzik EMI) nyanyian Sharifah Aini. Di antara seni kata lagu ini termasuklah:

Anak peladang pergi ke surau,
Memakai baju butangnya tiga;
Ribut dan taufan tidak kuhirau,
Pulau harapan, harapan, kucita juga
.

Disiapkan: 14 April 1976, Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Untuk Rancangan: ‘Coretanku’, Radio Singapura (RTS) [Sekarang Radio Warna, Singapura]
Tersiar : Tidak jadi dihantar untuk siaran kerana beberapa sebab
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Antara Dua Kasih (Ditulis Pada 1972)

Tidak ada apa yang harus diperbuat di sekolah melainkan kembali segera ke rumah. Tapi hati Hana begitu cemas; dia tidak mahu balik dahulu. Dia mahu duduk sahaja di sekolah walaupun hari Sabtu tidak ramai pelajar di sini. Biarlah dia isikan masa ini dengan menyaksikan permainan softbol* di padang. Biarlah ditenangkan dirinya sebelum kembali ke rumah.

Hana memerukkan dirinya di koridor, sementara matanya menjalar ke padang, melihat kawan-kawannya bergaya dalam permainan sofbol. Dia cuba menumpukan fikirannya pada permainan yang telah bermula itu tetapi otaknya seolah-olah merayu minta kedamaian. Hana hanya dapat mengecap kedamaian dengan menangis. Dia menangis sepuas-puas hati tanpa malu. Dapatkah tangisan menyelesaikan masalahnya? Entahlah. Hana jarang menangis kerana dia menganggap orang yang menangis hanyalah orang-orang yang lemah. Tetapi dengan masalah begini siapa yang tidak akan menangis? Kesedihannya ditambah pula bila mengingati kawan-kawannya. Seorang pun tidak bertanya mengapa matanya bengkak pagi tadi ketika berbincang dalam Persatuan L.D.D.S*. Begitulah kawan selalunya, hanya waktu tertawa sahaja. Hana berdoa kepada Tuhan semoga ditenangkan fikiran dan debaran jantungnya. Namun isakannya masih meninggi dan dia teringat akan kisah semalam malam …

Ayah Hana sedang duduk di berandah ketika dia kembali dari sekolah, petang semalam. Adik-adiknya masih bermain-main di perkarangan rumah. Hana terus berlari ke bilik ibunya. Mak Mah terlantar di atas katil, penyakit bronkitisnya berulang kembali.

“Doktor dah datang, Bu?” tanya Hana sambil mendampingi ibunya. Dia memicit-micit tangan, kaki, dan kepala ibunya walaupun bukan tempat itu yang sakit. Hana terlalu sayang kepada ibunya. Hatinya terusik melihat ibunya yang sering ditimpa penyakit. Tak habis satu penyakit satu lagi yang menyerang. Mak Mah mengangguk lesu menjawab pertanyaan anaknya. Dia tersenyum. Memang dia sayang kepada anak sulungnya ini. Pandai mengambil hati.

“Hana dah makan, Nak?” tanya ibunya sejurus kemudian.

“Belum,” jawab Hana pendek sambil tangannya giat menjalankan tugas.

“Hana pergilah makan, sembahyang, dan pergi tuisyen. Ibu dah sihat. Pergilah …”

“Alah, Bu, satu hari tak pergi tuisyen tak apalah. Hana pun bukan nak apa-apa, cuma nak jaga ibu. Tapi ibu halau Hana pulak …” nada suaranya merendah. Dia seolah-olah berkecil hati. Tapi sebenarnya tidak. Dia memang pandai merajuk dan lekas pula ketawa bila dipujuk. Mak Mah sudah masak dengan tabiat anaknya.

“Ibu bukan menghalau, kan Ibu dah sihat. Buat apalah Hana susah-susah pasal Ibu. Hana pergilah tuisyen. Pergilah Nak. Belajar rajin-rajin …”

“Baiklah,” kata Hana dengan senyuman yang tak pernah luak. Memang Hana paling murah dengan senyuman. Dia terkinja-kinja ke bilik mandi. Hatinya begitu gembira. Dia tidak akan menghampakan cita-cita ibunya yang menyuruhnya belajar bersungguh-sungguh. Selepas mandi, bersembahyang dan makan, Hana hendak segera ke kelas tuisyennya tetapi terpaksa duduk dahulu kerana ayahnya memanggilnya.

“Hana,” kata ayahnya sambil asap paipnya terkepul-kepul keluar dari mulutnya.

“Duduk dulu. Ayah ada satu hal penting nak Ayah cakapkan pada kau. Ayah mahu kau pertimbangkan betul-betul. Apa yang Ayah suruh kau lakukan adalah untuk kepentingan kita bersama. Jadi, Ayah harap kau akan menerima cadangan Ayah dengan sepenuh hati, tanpa rasa kesal. Ayah … Ayah mahu kau duduk saja di rumah selepas GCE*. Ibu kau selalu sakit dan perlukan rawatan di hospital. Ayah tak boleh menjaga dan mendidik adik-adik kau sebab bila kapal Ayah belayar, Ayah mesti ikut sama. Cuma kaulah harapan Ayah. Nenek kau pun dah tua, dia takkanlah mesti di rumah kita aja. Sekali-sekala dia ke rumah Mak cik Ijah kau. Jadi, Ayah harap kau fahamlah tindakan Ayah ini. Berhenti saja sekolah selepas GCE…” Pak Ali menamatkan kata-katanya. Bagi Hana kata-kata ayahnya seperti sebuah bom yang meledak di telinganya. Inilah yang ditakutkan selama ini. Dia keluar dari rumah dengan langkah seribu menuju ke kelas tuisyennya. Berapa ribu titisan air mata yang mengalir dari matanya tidak pula dikira. Hana menjadi serba salah mengenangkan kata-kata ayahnya tadi.

Jam berdenting sepuluh kali semasa Hana melangkahkan kaki ke kamarnya. Adik-adik dan ibunya sudah lama tidur. Ayahnya telah keluar. Mungkin ke rumah jirannya, Pak Ghani dan Mak Puteh. Hana meletakkan buku-bukunya di atas meja, menutup pintu biliknya lalu merenung langit dari tingkap biliknya. Dia cuba melepaskan resahnya dengan melihat cakerawala yang indah itu. Bulan dan bintang-bintang seolah-olah tersenyum kepadanya. Keindahan cakerawala mengingatkan dia akan erti hidup. Apakah bakti yang telah aku perbuat dalam hidupku? Bagaimana hari-hari esokku jika aku turutkan juga kehendak ayah? Tidak … aku tidak mahu. Aku tidak mahu usia mudaku dipersia-siakan begitu sahaja. Aku perlu meneruskan persekolahanku, jerit hati Hana penuh bimbang. Air matanya sudah mula menghujan. Tapi bagaimana dengan Ibu jika aku teruskan juga persekolahanku? Mestikan adik-adikku terbiar tanpa didikan yang sempurna? Segalanya terlintas di kepala Hana. Ibunya tidak larat lagi untuk menjaga adik-adiknya dan tugas ini sekarang terletak di atas bahu Hana untuk dipikul.

Oh Tuhan! Tunjukkanlah hamba di mana jalan yang harus hamba pilih, keluh hatinya lagi. Pernah dia membaca daripada tulisan Hamka mengatakan: “Cinta itu pengorbanan.” Tapi adakah ini dikatakan pengorbanan? Entahlah. Hana ingin berbakti kepada ibunya, ingin melihat adik-adiknya terdidik dengan sempurna dan dia ingin juga menjadi orang yang berpelajaran tinggi. Dan kalau dia mesti berhenti sekolah, bagaimana? Hana menangis.

“Ibu,” kata Hana seolah-olah ibunya ada di sampingnya. “Cepatlah sembuh, Bu, Hana tak sanggup kasih sayang Hana pada Ibu, adik-adik dan cita-cita Hana jadi gadaian. Hana sanggup berkorban apa saja untuk Ibu tapi Hana cuma … Hana …” kata-katanya tidak dapat diteruskan lagi, tangisan sudah menguasai itu semua.

Bagi Hana hidup ini bertujuan dan dia diciptakan untuk berbakti kepada semua – Ibu, Ayah, adik-adik dan manusia sejagat. Tapi dapatkah tugas ini dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa ilmu pengetahuan? Semalam-malaman Hana menangis dan berdoa. Dia tahu, duduk di rumah bererti musnahlah harapannya ingin menjadi manusia yang berpelajaran tinggi. Masyarakat sekeliling tidak akan membiarkannya, dia pasti dilamar orang dan akan ke jenjang pelamin. Hana tidak mahu itu semua berlaku dengan serta-merta kerana baginya tujuan hidup yang sebenar lebih bernilai daripada itu semua. Oh! Betapa sempitnya dirasa dunia ini merangkumnya. Kesedihannya bercampur bimbang untuk memilih antara dua kasih – ibunya yang terlantar ataupun cita-citanya yang belum tercapai.

Swiiiiit! Foul ball, back to your base,” suara pengadil itu seolah-olah memisahkan Hana daripada lamunan semalamnya. Kini isakannya sudah mulai reda dan matanya tertumpu kembali kepada permainan sofbol di padang. Sekarang giliran Kalsom untuk memukul; selepas ball four Kalsom disuruh take-a-base. Dalam base kedua dan ketiga, Kalsom harus berlari ketika pelempar melempar bola. Kalau dia cergas dan berani, dapatlah Kalsom sampai ke home. Tapi kalau rintangan daripada tiap-tiap baseman itu terlalu hebat, dia akan kecewa.

Hana perhatikan kawan-kawannya bermain sofbol dengan lebih cenderung. Bermain sofbol seperti bermain dengan hidup. Kalau hendak memiliki sesuatu yang bernilai mesti menerima rintangan dan mesti cekap menewaskan itu semua. Hidup Hana tak ubah seperti bermain sofbol. Kalau dia ingin memiliki sesuatu yang bernilai, dia mesti bersungguh-sungguh dari sekarang. Seperti bermain sofbol, dia mesti cekap, sabar dan berani dan ini akan Hana lakukan.

Langkahnya kini sudah diatur. Dia akan segera kembali ke rumah. Hana ingin bertemu dengan Ibu dan adik-adiknya. Ingin dia memeluk Ibu dan mengatakan betapa dia sanggup berkorban untuk ibunya.

Tuhan, sembuhkanlah penyakit Ibu dengan segera. Ibu, segeralah sembuh untuk menjaga adik-adik dan Hana. Hana perlukan sepenuh galakan dan kasih sayang Ibu untuk mara ke hadapan. Hana berjanji akan berkorban apa saja untuk Ibu. Ibu … Hana … Hana, hati Hana berbicara tanpa mengenal penat. Dia berjalan dan terus berjalan dengan genangan air jernih di matanya.

Antara cita-cita dan ibunya hanya satu sahaja yang mendapat tempat pertama. Dia akan berkorban sedikit demi kasih sayangnya untuk orang yang paling disayanginya – Ibu.

*Sofbol: Softball, dahulu disebut dan dieja sebegini walaupun kini ada yang menyebutnya sebagai ‘bola lisut’.
*L.D.D.S.: Literature, Drama and Debating Society (Persatuan Sastera, Drama dan Bahasa/selalu juga disebut sebagai Persatuan Bahasa Melayu)
*GCE: General Certificate of Education (Sijil Am Pelajaran) –peperiksaan untuk pelajar menengah empat di Singapura ketika itu, yang menggantikan Peperiksaan Senior Cambridge.

Ditulis : 1972, Lorong L, Telok Kurau
Tersiar : Ruangan Remaja, Radio Singapura (RTS), Disember 1972, Majalah Harapan, Kementerian Pelajaran Singapura, Julai 1973
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Kenangan Seorang Siswazah (Ditulis Pada Jun 1979)

[Penerangan: Saya memasukkan cerpen yang ditulis pada 1979 ini kerana ia berpusar kepada soal kenangan, sebagaimana tumpuan entri blog kali ini. Ada  tiga buah nama dalam cerpen ini yang saya gunakan pada 1979 dan ditukar sesudah itu, saya kekalkan kini nama awal yang saya gunakan iaitu nama ‘Mazni binti Ahmad’ dan dua buah lagi nama, telah saya tukar kepada ‘Aminah’ dan ‘Sufian’ selepas 1979.  Beberapa perubahan teknikal seperti ejaan yang silap, input yang tertinggal telah saya masukkan selepas penerbitan cerpen ini pada 1979 dahulu

Masjid yang disebut dalam cerpen ini ialah Masjid Kebun Bunga yang dirobohkan pada awal tahun-tahun 80-an. Ia dahulu terletak di bahagian bawah, belakang Staff Canteen. Universiti Singapura yang terletak di Bukit Timah Road ini sekarang menjadi sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menempatkan Fakulti Undang-Undang dan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew. Universiti Singapura menjadi Universiti Nasional Singapura pada Ogos 1980 tetapi kampus di Bukit Timah bagi Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan serta Fakulti Sains masih digunakan sehingga Jun 1981. Pada tahun-tahun 1970-an dan sebelumnya, mahasiswa Melayu-Islam tidak ramai; bagi setiap tahun akademik/kohort di Universiti Singapura hanya ada sekitar 70 – 80 orang sahaja dan penuntut seluruh universiti juga tidak ramai jumlahnya seperti sekarang. Bagi seluruh Singapura, sekitar 4 – 5 peratus bagi setiap kohort sahaja dapat meneruskan pelajaran mereka di universiti. Terdapat hanya 2 universiti ketika itu – Universiti Singapura dan Universiti Nanyang (Nantah).

 Saya lampirkan juga dua buah lagu yang sering menyerikan zaman mahasiswa pada tahun-tahun 70-an itu walaupun kedua-dua lagu tersebut tidak dimuatkan dalam cerpen saya dahulu.] 

KENANGAN SEORANG SISWAZAH

Debar jantungku semakin kencang ketika aku menghampiri biliknya.  Bagaimana kalau…aku ketuk pintu biliknya, dan kemudian masuk.  Wajahnya seperti biasa, tiada gambaran apa-apa.

“Mazni binti Ahmad?” katanya, seolah-olah inilah kali pertama dia mendengar namaku.  Bilik itu sunyi sebentar.  Hatiku semakin gelisah.  Oh Tuhan, tolonglah aku, jerit hatiku.  Serasa penantian ini terlalu lama.  Kemudian, dia tersenyum.

“Awak lulus!” Bibirnya terus mengorak senyuman yang panjang.  Menawan.  Duhai mahaguruku, betulkah katamu itu?  Betapa indah kata-kata yang kauucapkan!  Dengan perkataan apakah dapat kugambarkan kegembiraanku ketika itu?

Ucapan terima kasih bertalu-talu kuucapkan kepadanya.  Aku keluar dari biliknya, perkataan ‘lulus’ masih bergema di tiap pelosok hatiku.  Ingin kukhabarkan kepada dunia, aku telah berjaya walaupun kejayaan yang kuperolehi tidak seberapa.  Seketika aku teringatkan keluargaku, terutamanya Bapak.  Alangkah bahagianya jika Bapak berada di sisiku pada saat ini?  Akan bergenangkah air mata Bapak menerima berita gembira ini?

Aku ke kantin, bertemu kawan-kawan yang mengucapkan tahniah, ketawa dan berbual seketika.  Seperti selalu, kami berborak panjang dan akhirnya berpisah.  Aku kemudian beredar ke sebuah bangku yang menghala ke padang.

Betapa indah padang ini, fikirku, dengan pokok-pokok yang besar dan rumput yang menghijau.  Siapa yang sangka di sebalik ketenangan yang dipamerkan oleh padang ini, mahasiswa-mahasiswa bertungkus-lumus untuk mendapatkan segulung ijazah, dan mungkin juga, tidak sempat menikmati keindahannya?  Selama tiga tahun aku berjalan di padang ini dan mendaki bukit ini, bagaimanakah akan kuucapkan ‘selamat tinggal’ kepada daerah yang telah menghadiahkan hidupku dengan berbagai-bagai ragam kenangan?  Tiga tahun sahaja tetapi kenangan dan pengalaman yang telah kutimba tidak mungkin kuperolehi dari mana-mana, kecuali dari daerah bersejarah ini.       

Terlalu sukar buatku untuk meninggalkan tempat ini, kerana tiga tahun yang lalu aku hampir-hampir tidak dapat mendaki bukit ini.  Tetapi syukurlah, ketegangan itu berakhir juga … Dan mujur juga aku mempunyai seorang adik yang begitu bersungguh-sungguh dan yakin terhadap masa depanku, yang ingin membantuku, walaupun wang gaji perkhidmatan negaranya ketika itu terlalu kecil untuk dibuat apa-apa.  Sufian, bagaimanakah akan kuucapkan terima kasihku padamu?  Kau telah menolongku, Suf, lebih daripada apa yang kau sangkakan, kerana jenaka, kata bual dan telatahmu selalu menghibur dan memberiku ketabahan ketika aku berasa begitu keseorangan dalam segala apa yang kuusahakan.  Kau harus gembira, Suf, kakakmu telah berjaya, walaupun dia tidak mampu memberimu apa-apa, kecuali kasih sayangnya.

 Ya, tiga tahun, betapa cepat terasa waktu-waktu yang telah kulalui.  Apakah aku telah berbuat sesuatu yang bererti dalam tempoh sesingkat ini?  Atau akukah yang harus digolongkan di antara mahasiswa-mahasiswa yang hanya cuba mendapatkan sehelai kertas sahaja, pasport untuk bekerja?  Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata yang selalu menyerikan tahun-tahun mahasiswaku:

Mulalah oh pembela
Meneroka jalan ke hadapan
Kejayaan bagimu di muka
Rintislah dengan jiwa waja…

dan

Terbinanya insan akademis
Pencipta, pengabdi, yang bernafaskan Islam …

Betapa luhur dan bersemangatnya kata-kata ini.  Apakah aku telah cuba menyempurnakan tuntutan-tuntutan unggul ini?  Setelah tiga tahun, apakah aku sudah bersedia untuk ‘bangun memupuk masyarakatku?’ Masyakarakatku yang bobrok, yang sering berpecah-belah, yang terbelakang dalam hampir semua bidang yang memanfaatkan?  Atau akukah yang akan menjadi seperti kebanyakan siswazah, langsung tidak mahu mempedulikan masyarakatnya dan berbangga kerana menduduki status kaum borjuis?

Suara pensyarahku terngiang-ngiang di telinga: “social stratification is the study of the structure and distribution of social rewards in terms of property, power and prestige…”  Lantas aku teringat suatu kajian yang telah aku jalankan di sebuah estet perumahan berbilik satu.  Betapa terharunya aku ketika menjalankan kajian itu.  Bagaimanakah dua belas orang insan dapat bernafas dan berfikir secara bebas dalam bilik sebesar kamarku?  Bagaimanakah seseorang itu dapat belajar, kalau di situlah juga tempat tidur, makan dan menonton TV?  Bila aku memikirkan ini, terasa betapa kecil masalah yang aku hadapi.  Inilah masalah masyarakatku  —  sering memberi keutamaan dalam bidang-bidang yang tidak patut diutamakan, cita-cita yang kurang diselaraskan dengan amalan dan mudah terpengaruh dengan gejala-gejala luaran yang lebih mendatangkan keburukan.  Selama tiga tahun universiti ini tidak pernah mengajarku untuk menyelesaikan ini semua, tetapi, seperti kata pensyarahku, sekurang-kurangnya aku tahu, inilah masalah dan penyakit masyarakatku.

Antara dewan kuliah, kutubkhanah dan kantin, kenangan-kenangan terus menerjah.

Masih kuingat lagi ketika kali pertama aku disuruh memberi ‘syarahan’ tentang kedatangan Islam ke Nusantara.  Aku begitu gementar bila teori yang aku kemukakan disanggah oleh pensyarah.  Ketika aku berlawan pendapat dengan seorang pensyarah.  Ketika terkekeh-kekeh ketawa mendengar keterangan antropologi dan berasa ‘kehilangan’ semasa menulis nota sejarah dengan kelajuan yang paling tinggi.  Ketika hampir peperiksaan dan aku mendapati pensyarah-pensyarah begitu baik hati, berasa terharu apabila seorang pensyarah berkata: “only two people care that you should do well – yourself and me.”  Ketika keputusan tahun pertama diumumkan dan aku dapati aku akan menjadi seorang senior lady, ketika tidur di Ladies Lounge kerana menolong membuat kereta berhias bagi (untuk acara Rag & Flag Day)  persatuan kami, berkeliaran dan mengacau freshies dalam kesibukan musim orientasi, kelas bimbingan dan telatah anak-anak murid yang nakal, mesyuarakat agung tahunan, majlis taklimat dan upacara-upacara lain yang rasmi.

Ya, bagaimanakah akan kulupakan ini semua  —  isu-isu hangat dalam terbubarnya Kesatuan Pelajar, mesyuarat tergempar, perbincangan-perbincangan hebat mengenai perkara-perkara yang serba menggugat, Valentine’s Day dan kesan-kesannya, mengembara ke Malaysia, ‘Siswa Anekarama’, dan banyak lagi yang tidak mungkin kucatatkan semua.  Tidak, tidak mungkin semua ini dapat kulupa.

Tiga tahun adalah masa yang terlalu terhad untuk membina sesebuah persahabatan tetapi, seperti kata Lulu, ‘and as I leave, I know that I’m leaving my best friend …’ Ya, inilah kawan-kawan yang akan kutinggalkan tidak berapa lama lagi.  Bagiku kawan-kawanku adalah seperti bunga-bunga di taman, walaupun aku mungkin tidak berkesempatan untuk menyiram air dan melihat mereka mekar tapi kehadiran mereka begitu penting untuk menyerikan taman hidupku.

Kali pertama aku berjumpa Aminah, aku amat tidak berkenankannya.  Tetapi kata orang tak kenal maka tak cinta.  Aku masih ingat ketika kami bertungkus-lumus menyiapkan projek kami — aku hampir-hampir berputus harap, tetapi Min banyak menyabarkanku dan menasihat.  Jenakanya yang berseloroh, kata-katanya yang pedas, dan kejujurannya membuat aku berasa seolah-olah telah lama mengenalnya.  Min, siapakah akan kau ‘sumpah’ jadi ‘kurap’ setelah aku tiada?  Dengan siapa pula akan kau bincangkan masalah-masalah masyarakat, hingga pening-pening kepala, dan akhirnya terpaksa bercakap kisah-kisah yang ringan, seperti menangkap belalang, pada waktu muda-muda?

Dan kawan-kawanku yang lain — bagaimanakah akan kuucapkan sayonara?  Bagaimanakah seorang ‘Zookeeper’ dapat berfungsi tanpa ‘binatang-binatang’ kesayangannya?  Akankah kau kehilangan aku seperti aku nanti akan mencari-cari wajah-wajahmu dalam kesibukan hidup bekerja?  Betapa benar sajak ini menggambarkan perasaanku:

padang di luar tingkap terlalu indah, seperti kenangan
manis yang  sempat kukumpul selama 3 tahun menjalaninya,
tiap rumput, pohon, & bunga yang ada di padang ini adalah
kenangan, sukar ditukar ganti, paling bernilai kenangan
yang kumiliki ini, kawanku,
& kau adalah sebahagian dari dunia indah ini.

Udara dari padang ini begitu selesa dan nyaman, aku masih dilamun kenangan.

Sesekali ingatanku tertumpu kepada seseorang.  Duhai ‘pemilik ketenangan’, bila lagi dapat kutemui wajahmu?  Mengapa Tuhan mengizinkan aku bertemu seorang insan seperti kau dan kemudian menafikan apa yang menjadi suatu kelumrahan?  Apakah kita hanya layak menjadi dua garis selari yang mempunyai banyak persamaan tetapi tidak pernah akan bertemu?

Hari semakin petang, aku berjalan perlahan-lahan menuju ke masjid.  Bila lagi dapat aku bersembahyang di masjid ini? Berapa banyak hati yang resah dan gelisah yang menemui ketenangan apabila bersolat di sini?  Sebuah masjid yang manis, yang telah mententeramkan ratusan hati mahasiswa.  Masih ingat lagi gelagat kami di masjid pada waktu musim peperiksaan dan bulan puasa, wajah-wajah sepi yang beristirahat di sini, dan dalamnya jalinan persaudaraan kami.  Ia hanya sebuah masjid, tetapi bagiku, ia lebih daripada itu — di sinilah aku bertemu ketenangan dalam hiruk-pikuk perlumbaan.  Di sinilah aku berasa tidak berdayanya aku tetapi diberi kekuatan oleh Tuhan.  Masjid, kau seperti aku juga, tidak akan lama berada di tempat ini.

Selepas Maghrib aku berjalan menuju ke Union House dan kemudian menuruni tangga.  Ingatan dan kenangan masih menebal di dada.  Hari ini aku keluar dari daerah ini dengan kelulusan yang selama ini aku idam-idamkan.  Yang menanti di luar bukan sahaja serpihan-serpihan daripada keluargaku, tetapi juga masyarakatku.  Aku tahu ijazahku tidak mungkin menyelesaikan semua masalah, tetapi aku percaya ia membolehkan aku untuk mengetahui dan cuba mengurangkannya.  Kelulusan sarjana muda sastera ini sebenarnya tidak seberapa, tetapi bila terkenangkan kaum keluargaku yang tak pernah sampai ke mari, bila teringatkan nasib orang-orang seperti perempuan tua di estet perumahan yang aku kaji, bila terkenangkan beribu-ribu anggota masyarakatku yang terus dibelenggu kemunduran dalam berbagai-bagai segi, aku tahu kelulusan ini sungguh bererti.  Betapa benarnya kata-kata daripada sajak penyair Muhamad Haji Salleh:

Aku bukan manusia baharu
tidak terlalu
berlainan dari mu;
hanya penduduk dan kota
di pantai-pantai pelabuhanku
meminta bahawa aku tidak
bermenung di depan suatu keasingan
risau melihat kepayahan
atau takut kepada kemungkinan.

Perasaan nostalgik dan sedih ini semakin menebal.  Setelah lebih dari lima belas tahun ditemani buku, fail, pena dan idea-idea, berakhir juga dunia persekolahanku.  Yang aku tinggalkan bukan sahaja dunia idealisme dan semangat jitu, tetapi juga sebahagian besar daripada hidupku.  Bila lagi akan bertemu seorang kawan seperti Paul, yang dua puluh empat jam di meja biliard, tetapi pandai mentafsir hidup dan pembelajaran?  Haron, yang sanggup memakai ‘baju perempuan’ untuk kebajikan, dan kawan-kawan yang sedia berbincang tentang berbagai-bagai teori dan idea dan tidak sepi daripada unsur-unsur ‘gila’?  Atau pergi ke Adam Road pada pukul sepuluh malam, berborak panjang-panjang sampai mamak naik bosan, terpekik-pekau menyanyi lagu ‘Barisan Pelajar’ atau lagu-lagu ‘Pop 60-an’ bila pulang beramai-ramai pada waktu malam?  Berasa bimbang menunggu keputusan, menangis kerana lulus peperiksaan.  Ya, bila lagi …

Semakin jauh aku melangkah semakin aku teringatkan Bapak.  Kalaulah Bapak ada…  Ingin sekali aku melihat wajahnya ketika majlis konvokesyen pada bulan September nanti, tetapi Bapak tidak akan hadir pada saat yang paling indah bagi hidup persekolahan anaknya.

Ketika menyeberang di simpang jalan, serangkap daripada sajak ‘Universiti di Hatiku’ tulisan Kemala bermain-main di hati:

Seorang petani tua malam-malamnya dihiasi mimpi pasti
anak bertuah di puncak gunung paling tinggi
bisiknya, ayah syukurlah, jerih payahmu,
berbayar kini.

Ditulis:  29 Jun 1979
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.

Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 16 September 1979 dan Waves (Majalah Kelab Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Singapura) terbitan September 1979;
Tulisan: Rasiah Halil.

Lagu Yang Sering Dinyanyikan Di Universiti Singapura Semasa Zaman Mahasiswa Tahun-tahun 1970-an:

LAGU UNTUK MAHASISWA

Mulalah oh pembela
Meneroka jalan ke hadapan
Kejayaan bagimu di muka
Rintislah dengan jiwa waja.

Kami menumpang ria
Perintis mencatat jaya bangsa
Kami berkorban segala
Moga jayalah pembelaku.

Selalu kudoa kepada Tuhanku
Cerahlah hari muka pelajarku
Semoga berbakti ke pangkuanku
Bangun pupuk masyarakatmu.

Selamat kau belajar
Pembela dalam persediaan
Biar bertahun kau kunanti
Pemimpin menyedar, menyatu.

Lagu asal: Selamat Pergi Pahlawanku,
Nyanyian: Biduanita Saloma/Fazidah Joned
Seni kata diubahsuaikan oleh: Hawazi Daipi, Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura/PBMUS (1975/1976 – 1976/1977).

Lagu Yang Sering Dinyanyikan Mahasiswa Malaysia Dan Singapura Semasa Zaman Mahasiswa Tahun-tahun 1970-an:

BARISAN PELAJAR

Inilah barisan kita
Barisan pelajar
Siap sedia berkorban
Untuk ibu pertiwi.

Sebelum kami berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah setia kami
Menuju medan bakti.

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa
Semoga berjaya.

Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti
Mari tentang Akta.

Lagu Asal: Perajurit Tanah Air/Inilah Barisan Kita (Malaysia), diubahsuai oleh mahasiswa Malaysia pada tahun-tahun 70-an.

Cerpen: Jejak-Jejak Di Pesisiran

Pantai 2Pantai 3

Pantai 1

Cogan kata yang dilekatkan di hadapan meja komputernya bagai menyimpulkan: ‘Anda tidak akan menemui lautan-lautan baharu, melainkan anda mempunyai keberanian meninggalkan pesisiran pantai’. Pesisiran yang akan ditinggalkan, lautan yang bakal diharungi, beranikah dia menghadapi segala, menongkah arus, jika keadaan memerlukannya berbuat begitu?

Azadiah masih termenung panjang walaupun perkara itu telah dibincangkan dengan orang-orang tersayang. Jangan ralat. Segalanya boleh terlerai, cuma kali ini hatinya sedikit berat kerana langkahnya akan semakin jauh meninggalkan sebuah pulau.

Yang penting, Nenek Timah dan Kak Ijah sekeluarga dapat memahami dan merestui keputusannya. Dan yang utama, dia sebenarnya tidak meninggalkan mereka, melepaskan tanggungjawabnya. Yang bersauh itu rasa kasihnya yang mendalam, ke mana pun dilancarkan sebuah pelayaran.

Azadiah, nama yang diambil daripada bahasa Parsi, azad/azadi, yang bererti kebebasan atau kemerdekaan. Demikianlah dia dinamakan oleh datuk dan neneknya. Dan makna namanya semakin bererti ketika dia menapak dewasa dan mengisi erti hidupnya.

Namun, tidak semua orang berlapang dada terhadap penglibatan dan usaha orang lain, sebagaimana nenek dan kakaknya sekeluarga.

“Memang kau dasarnya begitu,” luah Abang Man seakan mencemuh. Dia tiba-tiba menjelma di rumah Azadiah apabila berita keputusan itu diketahui kaum keluarga. Seolah-olah Abang Man begitu mengambil berat terhadap kebajikan adik sepupunya.

“Ini bukan keputusan tergesa-gesa, Abang Man. Dah lama Aza fikirkan. Nenek setuju, Kak Ijah sekeluarga pun tak ada masalah. Segala-galanya dah Aza bereskan.”

“Kau sukalah begitu. Biar terkenal nanti. Macam kat Singapura atau rantau ini dah tak ada kerja lagi. Belajar tinggi-tinggi, kerja begini.”

Azadiah terdiam. Kata-kata itu bukan baharu dan sering pula berulang, apa pun yang dilakukannya. Neneknya juga terdiam, maklum akan perangai kerabatnya yang cepat berang.

“Ah, kenapa diam, tak betul apa aku cakap? Kau selalu pentingkan diri sendiri. Tak ingat nenek dah tua, dah penat besarkan kau. Eh, jaga neneklah, kerja kat Singapura, kahwin, bukan berlagak konon nak bantu orang lain. Yang kat Singapura pun kau tak bantu.”

Azadiah sekadar merenung wajah abang sepupunya. Dialah orang terakhir yang seharusnya meluahkan kata-kata itu. Azadiah tidak membantu? Sejak bila? Terhijabkah orang-orang seperti Abang Man sehingga tidak terlihat apa pun yang pernah dia cuba usahakan?

Dia menghela nafas panjang, beristighfar. Nenek Timah cuba menenangkan Abang Man tetapi ternyata gagal. Abang Man menyambung lagi dan kali ini diungkit kisah-kisah lama terutama bagaimana keluarga Azadiah yang dahulu hidup susah, pernah dibantu keluarganya. Setiap kali kisah-kisah sebegini diulang, hati Azadiah terguris. Bantuan yang diberi tidak seberapa tetapi ada semacam kesumat yang seakan tidak pernah terlerai oleh masa. Dan Azadiah terasa keluarga Abang Man seakan tidak betah bahawa Kak Ijah sekeluarga hidup bahagia walaupun tidak hidup senang lenang dan dia pula dapat ke universiti, bekerja dalam bidang yang diminati dan bergiat dalam beberapa pertubuhan kebajikan. Mungkin mereka fikir, dia dan kakaknya seharusnya bergelumang dalam keperitan hidup, setelah ketiadaan orang tua dan belajar sekadar peringkat yang amat sederhana.

Setelah lama membuat bising dan cuba merusuhkan hati Azadiah dan Nenek Timah, Abang Man pulang. Nenek Timah menghampiri Azadiah, tersenyum dan mencium dahi cucunya. Tanpa mengucapkan sepatah kata, Azadiah tahu neneknya sedia memaklumi perasaannya dan mahu dia terus bersabar. Dan Abang Man bukan satu-satu orang di kalangan kerabatnya yang berperilaku sebegitu. Ada sahaja yang tidak kena apabila ada berita-berita baik yang meruangi kehidupan Azadiah, neneknya atau Kak Ijah sekeluarga.

Betapa dapat kulupakan masa-masa sukar itu, bisik hati Azadiah. Kami hanya menumpang sekejap di rumah keluarga Abang Man, keluarga Kak Jenah dan sebuah dua keluarga lagi sebelum kemudian menyewa dan akhirnya membeli rumah pangsa. Dan nenek tidak pernah mati semangat walaupun datuk tiba-tiba berpulang ke rahmatullah dan dia seorang memikul tanggungjawab membesarkan kami, cucu-cucunya. Aku ingat nenek menjadi bidan, mengurut orang, menjual kuih-muih selain mencuci kain baju orang untuk membesarkan kami. Kaum kerabat yang membantu kami boleh dihitung dengan jari tetapi nenek selalu rajin berusaha dan bersyukur dan ramai yang lain, yang bukan keluarga dan adakalanya berlainan bangsa dan agama, turut juga membantu kami. Aku masih ingat bagaimana kami berdua membantu nenek menyara hidup; menjual kuih-muih, bekerja sambilan semasa cuti, memberi tuisyen. Dan nenek amat bersyukur kami mendapat pelajaran formal, tidak seperti dirinya. Dan kesyukurannya bertambah melihat aku dapat menjejak lebih jauh. Bagaimanakah dapat kulupakan masa-masa sukar itu dan segala pengorbanannya?

Dan Azadiah teringat pula Kak Jenah, yang perilakunya tidak jauh berbeza daripada perilaku Abang Man. Lama sebelum berita keputusannya tersebar, memang Kak Jenah suka mencari-cari pasal. Kadangkala dia tidak tahu apa sebenarnya kesalahannya. Dapat keputusan baik di sekolah, salah. Bantu nenek, salah. Dapat ijazah, salah. Bekerja sebagai guru dan kemudian menceburi bidang dokumentari, salah. Azadiah teringat ketika dia membantu mengambil gambar semasa perkahwinan Husna, adik Kak Jenah. Azadiah melakukannya dengan sukarela dan sepenuh hati kerana Husna memang seorang yang baik hati dan rapat dengannya. Semasa memetik-metik gambar di majlis Husna itu, Kak Jenah bertindak seolah-olah ingin memberitahu semua orang dan memalukannya.

“Ah, inilah, belajar tinggi-tinggi, setakat ambil gambar. Tak kahwin-kahwin, macam tak laku. Eh, anak aku takkan jadi macam kaulah,” lantang Kak Jenah bersuara. Kak Jenah dan sahabat handai seumpamanya melihat petikan gambar atau rakaman video sekadar peralatan sahaja dan siapa pun boleh melakukannya. Dia tidak tahu apa itu seni dalam memetik gambar atau merakam video. Kak Jenah tidak pernah peduli makna mendokumentasi sesuatu sebagai sumbangan seni.

Kadangkala Azadiah bertanya diri sendiri, apakah kerana orang-orang sebegini, dia semakin tidak peduli, sebagaimana pernah disajakkan pernyair Chairil Anwar? Apakah kerana pengalaman-pengalaman silam yang dilalui bersama nenek, datuk dan kakaknya membuat Azadiah semakin mahu merombak keadaan melalui pelbagai bidang? Dia tahu kemiskinan atau lingkaran kemiskinan itu boleh diputuskan melalui kerja keras dan pelajaran. Dia maklumi dunia ini semakin luas apabila kita tidak sekadar hadir sahaja dalam kehidupan tetapi memberi makna kepada kehidupan tadi. Dan dia juga tidak mudah melupakan pelbagai penghinaan, penindasan, penganiayaan, penderaan yang pernah disaksikannya dan ada juga yang dialaminya. Dan wadah pendidikan dan dokumentari itulah menjadi pilihannya – sesuatu yang sukar diterima kaum kerabatnya kerana anak hingusan, anak yatim yang pernah hidup susah ini telah memulakan jejak-jejaknya di pesisiran.

Namun, lebih daripada segala-galanya, pengalaman-pengalaman silam itulah yang mengobori jiwanya agar berani meneroka, membaca seluas-luasnya dan prihatin serta melibatkan diri dalam hal-hal kebajikan awam. Azadiah teringat betapa sesetengah guru, guru agama dan pensyarahnya gemar menanamkan nilai-nilai keprihatinan itu, bukan setakat kepada mereka yang berada di Singapura, malah mereka di rantau ini dan dunia. Dia teringat juga orang-orang seperti Dr Ang Swee Chai. Dan dia tidak akan lupa bagaimana neneknya, sejak kecil lagi, suka bercerita dan berbincang mengenai permasalahan masyarakatnya dan dunia, walaupun pembacaan neneknya terbatas kepada akhbar, majalah dan buku bertulisan Jawi sahaja. Neneknya sering mengingatkannya kisah-kisah zaman dahulu, dari zaman Rasulullah (SAW) dengan pelbagai pembaharuan demi kemaslahatan semua. Dan kerana neneknya telah melalui zaman perang, suka membantu orang dan yakin setiap orang itu ada kebaikannya dan boleh menyumbangkan sesuatu yang bererti kepada kehidupan, Azadiah telah dibesarkan dengan nilai-nilai sedemikian, meskipun mereka hidup serba sederhana dan kekurangan.

Gambar dan video yang disaksikan begitu menyentuh hatinya. Inikah akibat peperangan, pengganasan dan kecuaian kita? Beginikah kita akhirnya? Setakat bunuh membunuh, benci membenci dan dipisahkan oleh pelbagai anasir jahat dan kejam yang mencarik-carik kemanusiaan kita? Demikian mercupnya pelbagai jenis peperangan dan pengganasan dan mangsanya manusia dan kemanusiaan. Bagaimana dapat dilenyapkan dari ingatan gambaran-gambaran yang sering terkilas – apabila kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan rakyat jelata menjadi mangsa, dibaham perang, diseludup, diperdagang, dicabuli, diinjak maruahnya, dijadikan pelarian, mati lemas atau terdampar kaku di tepi pantai, ditindas, dianiaya, dizalimi, dilucutkan hak asasinya kerana peperangan, pengganasan dan juga bencana alam? Bagaimanakah Azadiah dapat melupakan gambaran-gambaran ini yang seakan mengekori kehidupannya yang semakin selesa?

Ketika dia meninggalkan kerjaya gurunya dahulu, perkataan ‘gila’ sering terdengar di kalangan kaum kerabatnya, terutamanya dicanangkan oleh Abang Man dan Kak Jenah. Seolah-olah langkah hidupnya menjejas mereka pula.  Tetapi  nenek dan kakaknya sekeluarga faham. Azadiah bukan melepaskan tanggungjawabnya, dia sekadar melorongkan kehidupannya ke arah baharu, yang lebih bermakna dan mencabar, sekurang-kurangnya itulah yang diharapkannya. Simpanannya mencukupi, segala keperluan neneknya telah disediakan dan Azadiah yakin, penglibatannya dalam usaha-usaha kebajikan boleh dijadikan tumpuan sepenuh masa pula. Dia semakin bebas bergerak, menyeleras dan mengajar di khemah-khemah bencana alam dan pelarian selain menyiapkan dokumentari mengenai hal-hal sedemikian. Dia bergerak di Singapura dan di rantau ASEAN dan terasa jiwanya semakin bersemangat untuk membantu pelbagai musibah yang melibas kemanusiaan.

“Mak doakan Aza sentiasa selamat, Nak,” Nenek Timah yang dibahasakan dirinya ‘mak’, meluahkan isi hatinya.

“Walaupun Mak sedih Aza jauh daripada Mak, Mak tetap doakan yang terbaik untuk Aza. Aza jangan bimbang, Kak Ijah sekeluarga akan menjaga Mak dengan baik. Itu Mak yakin. Dan Mak yakin Allah akan sentiasa menjaga kita, Nak” air mata Nenek Timah menitis semasa mengucapkan itu.

Telah lama mereka berbincang mengenai hal tersebut dan Azadiah masih ragu membuat keputusan. Nenek Timahlah yang lebih teguh, mahu Azadiah lebih berani mencorak masa depan. Kasih sayangnya kepada cucunya tidak berubah, malah bertambah dan bercambah untuk kemaslahatan yang lebih besar, walaupun air mata tetap mengiringi restunya.

Kahwin? Biarlah apa pun orang hendak kata, dia tahu hati budi cucunya. Dia tahu Azadiah pernah benar-benar kecewa tetapi dia tahu juga Azadiah seorang Muslimah yang pandai menjaga diri dan maruahnya. Kalau masanya tiba, akan ada juga jodohnya, kalau tidak, Allah akan menjaganya. Nenek Timah tidak pernah risau mengenai hal tersebut dan tidak merungsingkan fikirannya mengenai caci umpat sesetengah orang, kerana dia hanya boleh menutup mulut tempayan. Caci umpat mereka kini, seperti caci umpat mereka ketika Nenek Timah hidup susah membesarkan cucu-cucunya, tidak menjadi kudis kepadanya. Akhirnya semuanya ditepis dan diserahkan kepada Allah.

Apakah aku benar-benar ikhlas melakukan ini atau mengejar nama, lagi bisik hati Azadiah. Mudah-mudahan apa pun yang kulakukan dalam hidup ini, aku sentiasa ikhlas. Nama? Itu tidak pernah menjadi pertimbanganku. Atau kenangan-kenangan silam itukah yang turut mencorak dan menyimpulkan keputusannya? Azadiah teringat bagaimana ketika menumpang di rumah beberapa kerabatnya, ada yang mengambil kesempatan mempergunakan tenaganya, kakak dan neneknya sewenang-wenangnya, memperlekeh, menindas, menghina, mendera dan membezakan mereka. Ini terlebih-lebih lagi apabila ada majlis perkahwinan dan keramaian.

Dan yang paling sukar dilupakan sebenarnya adalah peristiwa-peritiwa pahit yang menjadami zaman kanak-kanak dan remajanya. Neneknya hanya mengetahui hal tersebut lama kemudiannya. Tetapi pelaku-pelaku hal tersebut begitu berkuasa, bersikap talam dua muka dan mudah mengetepikan bantahan orang tua seperti neneknya. Mungkin hal ini merupakan calaran terbesar kehidupan Azadiah; dia tidak mahu kanak-kanak, remaja dan wanita direntap kesucian mereka seenaknya kerana mereka tidak punya kuasa atau kekuatan melawan pencabul mereka. Seolah-olah kesucian dan rasa terlindung golongan ini ingin Azadiah kembalikan sebagaimana dia ingin kenangan sedemikian tidak lagi mencalari kehidupannya.

Perkara-perkara sebeginikah yang mengaspalkan lorong kehidupannya selanjutnya? Tidak. Bukan hanya kerana dicalar kenangan-kenangan silam. Bukan. Dalam usia 31 tahun, banyak yang telah dilalui dan hadaminya. Lingkaran kemiskinan itu telah diputuskan. Dia bahagia, kecewa, riang dan menderita. Jodoh? Dia tidak gusar mengenainya, ada atau tiada, Allah lah penentunya. Nenek dan Kak Ijah sekeluarga semakin menanjap di hatinya. Dan kasih sayang merekalah, selain nilai-nilai yang disemai oleh datuk dan neneknya, dan juga sebilangan guru, guru agama dan pensyarahnya kini semakin tumbuh dan merimbuni penglibatannya. Dan gambaran-gambaran menyengat, pilu dan duka yang seakan menghakis nilai-nilai kemanusiaan bersama itu akan selamanya mengguris tangkai hati dan menyuluhi nuraninya.

Azadiah tahu neneknya berlapang dada. Demikian lama penantian itu, akhirnya kepasrahan itu tetap menitiskan air mata. Dia melihat neneknya lama sujud dan berdoa di sejadah. Dan dia tahu, lebih daripada segala-galanya, kebimbangan neneknya bukan kerana kehendak peribadi tetapi lebih kerana neneknya bimbangkan keselamatannya. Tetapi dia yakin ajal maut itu di tangan Allah. Dan seperti perahu yang lama telah dipersiapkan, dia tahu neneknya reda melepaskannya kerana perahu itu harus belayar ke laut dan lautan kehidupan yang semakin luas lagi terbuka.

Dunia kita semakin mengecil, walaupun jauh di mata, kini tidak terlalu sukar bersembang dengan orang-orang tersayang di alam maya. Azadiah tahu teknologi tidak dapat menggantikan kehadiran seseorang tetapi ia juga dapat merapatkan yang jauh, mengakrabkan hubungan yang rapuh. Dan Azadiah tahu di mana pun dia berada, teknologi dan jiwanya akan senantiasa mendekatkannya kepada orang-orang yang disayanginya.

Pesawat itu akan membawa Azadiah ke negara-negara yang digolakkan peperangan, pengganasan dan akibat-akibatnya yang menggelapi kemanusiaan di Eropah dan Timur Tengah. Dia akan bekerja dengan badan-badan bukan pemerintah dan cabang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di khemah-khemah pelarian, selain membuat dokumentari semasa. Walaupun pergi bersendirian, Azadiah tidak keseorangan; dia akan ditemani rakan-rakan sekerja dari rantau Asia dan lainnya di sana.

Sauhnya telah diangkat dan perahunya akan belayar. Dia akan meninggalkan orang-orang dan tanah air yang disayang. Ini hanyalah langkah permulaan, bisik hati Azadiah. Hanya jejak-jejak awal di pesisiran untuk menemui laut dan lautan, teluk dan tanjung, benua dan tanah besar sebuah kehidupan dan penglibatan.

Ditulis: 20 – 21 Disember 2016
Tersiar: Antologi Catatan Perjalanan, Singapura: Marshall Cavendish, 2017
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Cerpen: Menanti Fajar (Disiapkan pada Mac 1990)

[Cerpen yang ditulis berlatarkan Singapura abad ke-19.]

Betapa sukar melelapkan mata pada saat-saat begini; seolah-olah segalanya menjelmakan kenangan. Aku terkenangkan arwah ayah dan ibuku. Tuk, nenek, saudara-mara dan sahabat-sahabatku. Guru-guru yang pernah mengajarku dan orang-orang kampungku. Dan mungkin orang yang akan paling aku rasakan kehilangannya ialah Pak Usu. Aku bangun, pergi ke meja tulis, membawa bingkisan yang terbuka itu. Aku keluar dari bilikku, berjalan ke serambi depan dan duduk menghadap halaman rumah dan kawasan di sekitarnya. Betapa lengang semuanya sekarang. Baru sebentar tadi rasanya kami berjemaah Isyak di masjid dan mengadakan kenduri doa selamat. Mendengar tutur bicara yang kadangkala tegas dan mengharukan. Kini Kampung Haji Halim dan kampung-kampung di sekitarnya begitu sepi dan lengang. Dan malam ini, bagaikan memaklumi berbagai-bagai fikiran dan perasaanku yang bercampur-baur, berengsot perlahan, sepi dan gelap tanpa ditemani sang rembulan.

Sejak tercetusnya peristiwa-peristiwa Isemonger* dan Senex* serta beberapa peristiwa sebelum itu, penduduk-penduduk kampungku dan kampung-kampung di sekitar, menjadi semakin tegang. Seolah-olah dalam seketika kami diselubungi kegelapan. Semuanya bagai kepulan awan-awan sarat yang hitam dan menggerunkan.

[*E.E.Isemonger merupakan bendahari zaman penjajah British.  Pada 1893, beliau melalui Jawatankuasa Isemongernya  menyarankan agar ditutup 22 sekolah Melayu dan Maktab Perguruan Melayu di Negeri-negeri Selat (iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), dengan alasan kemasukan pelajarnya merosot. Senex pula merupakan nama pena seseorang yang mengkritik orang-orang Melayu dalam 11 rencananya di akbar Bintang Timur mulai Oktober 1894, dengan rencananya berjudul ‘Mengapa Melayu Layu?’]

Dan ketika keputusan peperiksaan tertinggi bagi Negeri-negeri Selatku diumumkan, Pak Usu, Pak Cik Ihsan dan beberapa kawan mereka telah pun mula mengorak langkah dan membulatkan tekad.

 

Azad. Arwah ayah dan ibuku menamakan aku ‘Azad’, yang dalam bahasa Parsi bererti bebas, merdeka. Mereka mahu aku keluar daripada belenggu zamanku dengan jiwa yang merdeka dan dengan memilik kebebasan berfikir dan bertindak. Dan betapa ciri-ciri ini, kata Pak Usu, diperlukan dalam dasawarsa terakhir abad ke-19.

Aku kembali ke sekolah lamaku, mengikuti kelas tambahan sebagai persediaan bagi kursus lanjutan. Selalunya aku naik tram ke sekolah; kadangkala bersama Kim Leong atau Mohan , atau kedua-duanya sekali. Selepas pelajaran, sering juga kami menelaah di kutubkhanah besar yang letaknya di Stamford Road, tidak jauh dari sekolahku. Sering juga kami berdedai ke Esplanade, yang banyak terdapat pokok-pokok keduduk dan kemunting serta tempat-tempat duduk. Sambil mengendurkan saraf-saraf yang tegang, menghirup udara bersih, kami memerhatikan dengan asyik perairan yang dipenuhi pelbagai perahu dan kapal. Betapa masih kuingat senda gurau dan perbincangan-perbincangan kami ketika itu.

Kami berbincang fasal perjuangan Teuku Umar dan Chut Nyak Dhien di Aceh, pergolakan di China setelah Perjanjian Shimonoseki, ledakan di India setelah ‘Mutiny’. Fasal Perjanjian Pangkor, pemberontakan di Perak, Pahang, Jawa, Padang. Kisah kebangkitan Jepun pada zaman Meiji, Jose Rizal dan Liga Filipina serta buku-buku terbaru dari Eropah. Tidak kurang pula hebatnya perbincangan kami tentang pelajar-pelajar wanita di kelas tambahan, guru-guru yasng suka ‘menyeksa’ dan telatah kawan-kawan. Betapa indah dirasakan semuanya sekarang.

Aku menghela nafas, menghirup udara malam yang bersih dan nyaman, mengumpulkan rangkaian kenangan.

 

Pak Usu, Pak Cik Ihsan dan kawan-kawannya telah cuba menarik perhatian beberapa orang penduduk di Kampung Melayu, Kampung Bedok, Kampung Geylang, Kampung Gelam, Kampung Teluk Belanga, Kampung Melaka, Kampung Keranji serta beberapa kampung lain, selain Kampung Haji Halim, untuk berbincang. Inggeris telah melaksanakan saranan Isemonger yang kesannya, menurut Pak Usu, bukan setakat penutupan 22 buah sekolah dan maktab perguruan Melayu serta kelas-kelas tambahan Melayu. Pak Usu dan kawan-kawannya membuat rayuan, tetapi ditolak. Alasan Inggeris: wang diperlukan untuk membiayai kepentingan ketenteraannya yang semakin meningkat. Pak Usu dan kawan-kawannya berbincang di masjid Kampung Haji Halim kami, di masjid Jamiah di Jalan Sultan, malah di beberapa tempat di seluruh pulau Singapura ini. Dan belum sempat pun bahang ini reda, tiba-tiba muncul seseorang yang menggelarkan dirinya ‘Senex’, membuat beberapa serkap jarang dan cemuhan yang ditulis dalam 11 rencana berjudul ‘Mengapa Melayu Layu?’ di akhbar Bintang Timur. Aku ingat betapa masa-masa itu begitu bergelora, sebagaimana yang diterakan dalam akhbar-akhbar Sekolah Melayu, Jawi Peranakan, The Straits Times, The Singapore Free Press dan juga Bintang Timur. Aku rasakan ketika itu seolah-olah terjelma suatu lingkaran yang membuat orang berpuak-puak, curiga-mencurigai dan tuduh-menuduh. Soal kepentingan dan harga diri dilempiaskan oleh mereka yang jujur dan yang menangguk di air yang keruh.

Masih kuingat lagi sebahagian tulisan Pak Usu yang tersiar di akhbar-akhbar Singapura dan Tanah Melayu.

“Haruskah kita sengaja mencari perbezaan sedangkan orang lain tetap menganggap kita serupa? Apakah bilangan kita terlalu besar lantas kita boleh bernafsi-nafsi, sedangkan apabila ada masalah yang menimpa, semua menerima padahnya? Masalah yang kita hadapi ini amat besar,” jelas Pak Usu, “bolehkah kita bertindak berlandaskan perasaan atau hanya mencemuh kerana kita tidak sepuak walaupun mendapat kesempatan daripada perkara yang dipersoalkan? Bukankah Melayu itu lebih daripada takrifan bangsa sahaja dan bukankah persaudaraan Islam itu lebih daripada kata-kata?” tambah Pak Usu lagi.

“Tulisan-tulisan Senex,” sambung Pak Usu, “jelas menunjukkan dia keliru dan membuat serkap jarang yang tidak berasas. Dakwaan Senex bahawa hanya unsur leluhur seseorang yang menentukan ‘maju’ atau ‘layu’nya dia, tentunya sukar diterima akal. Senex seolah-olah mengatakan hanya orang-orang Inggeris yang pandai sedangkan ini tidak mungkin diterima oleh orang-orang Melayu, Cina, India di Singapura ataupun di mana sahaja. Senex mengaitkan kepandaian dengan kebolehan menjajah dan mengumpul harta oleh orang-orang Inggeris, sedangkan ciri-ciri ini tidak keseluruhannya dapat diterima oleh kaum-kaum di Singapura, terutama kaum Melayunya. Apakah sesuatu kaum itu dianggap ‘layu’,” lagi tulis Pak Usu, “kerana unsur keturunan dan pandangan serta nilai hidup yang berbeza daripada Inggeris?”

Kata-kata Pak Usu itu, yang sebahagiannya sahaja kuingat, seakan-akan menerawang dan menemaniku pada malam yang semakin larut dan gelap.

 

Peristiwa-peristiwa itu walaupun menimbulkan kesan menyeluruh namun menimbulkan juga suatu kesan peribadi yang menghiris, yang seharusnya tidak timbul. Pak Usulah yang meleraikan masalahku itu.

Lama sebelum dan diperhebatkan oleh adanya peristiwa-peristiwa itu, aku terasa kadangkala ada beberapa orang yang memerhatiku dengan kesangsian di mata kerana perawakanku yang berbeza, lantas menganggapku bukan sebahagian daripada mereka tetapi orang luar. Dan terdapat orang lain pula, melihat perawakanku yang berbeza dan tambah pula dengan pencapaian pelajaranku, menganggap aku ‘lain’, lalu menyusur-galurkan kepada unsur keturunan. Kadang-kadang kedua-dua golongan ini terlalu berterus-terang, melupakan bahawa di dalam tubuhku mengalir dua darah daripada keturunan yang berlainan. Alangkah anehnya terjepit di antara penolakan dan penerimaan yang luar biasa sedangkan peluang-peluang yang dihebohkan itu, manusia sepertiku tidak menikmatinya.

Pak Usulah yang banyak meluangkan masa meredakan kecamuknya fikiran dan perasaanku. Kedua-kedua keluarga ayah dan ibuku memang kusayangi walaupun hatiku lebih condong kepada keluarga ibuku. Kata Pak Usu, hanya orang-orang yang berfikiran sempit dan dangkal sahaja yang berbangga atau mencemuh melulu mengenai soal keturunan. Dan aku, kata Pak Usu, ibaratkan sebuah  pohon yang berakar tunjang. Bezanya, aku diberi dua akar tunjang daripada leluhur berlainan ayah dan ibuku. Suatu hari nanti, kalau aku berusaha, kata Pak Usu, aku akan dapat menyatukan ciri-ciri terbaik daripada kedua-dua akar tunjang dan ini akan memperteguh dan menyuburkan lagi pohon kehidupanku. Dan yang terlebih penting, kata Pak Usu lagi, bukanlah bangsa seseorang tetapi kita dijadikan makhluk Allah yang beriman dan berbangsa manusia.

 

Semuanya ini masih kuingat dan betapa leganya terlepas daripada jerangkap aneh yang semakin dijerjaki oleh peristiwa-peristiwa Isemonger dan Senex. Lalu aku kaji semula karya-karya lama, akar tunjang daripada ayah dan ibuku, mencari apa yang disebut Pak Usu, saripatinya. Betapa banyak iktibar dan tamsil yang boleh kita nukil daripada puisi lama, sastera rakyat, kisah sejarah, falsafah, perundangan dan agama. Khazanah ini, sepatah kata Pak Usu lagi, seharusnya tidak kita telaah dengan mata sepi atau hanya memiliki tanpa menghargai.

 

Aku mula pergi ke beberapa tempat, untuk memenuhi keinginanku sebelum meninggalkan Singapura dan juga untuk membingkai apa yang aku lihat dengan gambaran latar yang dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa Isemonger dan Senex.

Aku mendaki bukit yang terletak tidak jauh dari kutubkhanah besar, yang digelar Bukit Larangan. Menurut Tukku, bukit ini pernah menakutkan Orang-orang Laut, para pedagang dan pelayar. Tetapi Orang-orang Laut ini, yang terdiri daripada Orang Selat, Orang Biduanda Kallang, Orang Gelam, Orang Seletar, Orang Kelamang dan lain-lain, kini semakin pupus dan sudah menjadi orang darat; mereka juga adalah secabang daripada rumpun Melayu. Kawasan Bukit Larangan ini tidak menakutkan Inggeris, malah sejak 1819, telah didirikan rumah untuk pembesar mereka seperti Stamford Raffles dan  William Farquhar. Aku beredar dari kawasan perkuburan orang-orang Kristian dan menuju ke sebuah kubur yang dikatakan makam Raja Iskandar Shah. Seakan-akan berlegar-legar siratan sejarah.

Lebih 600 tahun sebelum kedatangan Raffles, Sang Nila Utama yang membuka Singapura, terpaksa membuang berbagai-bagai khazanah, termasauk mahkotanya, ke perairan pulau yang dipanggil Temasik ini. Apakah penduduk pulau ini akan segagah singa dalam menghadapi cabaran setelah dicagarkan mahkota baginda yang amat bernilai? Sang Nila Utama atau digelar juga Seri Teri Buana, memerintah selama 48 tahun. Kemudian pemerintahan raja-raja Melayu ini diteruskan oleh Paduka Seri Pikrama Wira, Seri Rana Wira Kerma, Paduka Seri Maharaja dan yang terakhir, Raja Iskandar Shah. Aku teringat kisah-kisah yang dicatatkan dalam kitab ‘Sejarah Melayu’; tentang Tun Jana Khatib, serangan todak dan seorang budak bijak, Dang Anum dan Sang Rajuna Tapa. Dapat kubayangkan Singapura dikalahkan Majapahit, terbiar seketika dan kembali subur, lama sebelum kedatangan Raffles. Betapa Temasikku ini dikenali sejarahnya; Wang Ta-Yuan dalam bukunya ‘Tao Yi Chih-Lueh’  ada menyebut mengenai ‘Tan-Ma-Hsi’ iaitu Temasik, yang ditulis pada 1330. Begitu juga Parpanca dalam ‘Negrakertagama’nya , yang ditulis pada 1365, ada menyebutnya sebagaimana ia juga disebut oleh kitab Jawa, ‘Pararaton’, yang ditulis pada abad ke-15. Betapa lama siratan sejarah sebuah pulau yang kini adalah jajahan Inggeris.

 

Kampung Gelam. Aku perhatikan istana Sultan Hussain Shah yang kini semakin pudar. Betapa mudah Tengku Long ditabalkan menjadi sultan oleh Raffles, setelah Raja Muda Jaafar mengangkat adik Tengku Long, Abdul Rahman, menjadi sultan di Riau. Sedalang-dalang Raja Muda Jaafar, lebih licik lagi penjajah Inggeris dan Belanda. Melihat istana ini, aku terkenangkan seorang wanita yang bernama Tengku Puteri. Wanita bangsawan ini bermati-matian enggan memberi mohor dan kelengkapan diraja peninggalan Sultan Mahmud Shah, kepada Raja Muda Jaafar, lantas tidak mengesahkan pertabalan Abdul Rahman. Sayangnya usaha Tengku Puteri seakan disia-siakan oleh Sultan Hussain Shah. Sekarang kawasan Kampung Gelam ini begitu sibuk, dan seperti perancangan Inggeris sejak awal pemerintahannya, puak-puak Melayu-Islam seperti orang-orang Melayu, Bugis, Banjar, Bawean, Jawa, Jawi Peranakan dan Arab dibenarkan membuat perkampungan dan berniaga di kawasan ini.

Di utara Kampung Gelam, terdapat sebuah lagi kawasan lama yang dipanggil Kampung Melaka. Di sinilah terdapat ramai orang Melayu terutamanya orang-orang Melayu Melaka. Sebahagian besar daripada mereka adalah saudara-mara sebelah ibuku.

Jauh di sebelah barat Kampung Gelam pula, terletak Kampung Teluk Belanga, yang juga dipanggil Kampung Temenggung. Masih dapat aku melihat peninggalan istana Temenggung Abdul Rahman dan masjid yang didirikan. Dahulu, Temenggung Johor ini sering berulang-alik ke Singapura, tanah milik kesultanan Johor-Riau-Lingga. Dan pada 1811, beliau tinggal secara tetap di Singapura bersama pengikutnya seramai 150 orang dan termasuk keluarga masing-masing, jumlahnya 500 orang. Temenggung Abdul Rahman inilah yang ditemui Raffles pada 1819 dan diajak memetrai perjanjian. Dapatkah Temenggung menebak muslihat Inggeris dan kesannya ataupun beliau juga, seperti kebanyakan pembesar Asia, ditakutkan oleh ‘gun boat diplomacy’? Semacam perasaan menyelinap ke sanubariku ketika berdepan dengan makam Temenggung Abdul Rahman, yang diabadikan dalam kawasan permakaman Masjid Teluk Belanga. Aku kemudian memasuki kawasan persekolahan, memerhatikan Maktab Melayu Teluk Belanga, yang kini ditutup atas saranan Isemonger.

Terlalu banyak perkara yang dihubungkan dengan maju atau mundurnya sesuatu bangsa dikaitkan dengan pendidikan, fikirku. Perancis yang menjajah di Indochina, menyisihkan golongan cendekia Vietnam yang digelar ‘mandarin’, daripada aturcara pendidikan yang mereka kenalkan kerana ingin menghakis unsur bangga diri dan pemberontakan orang-orang Vietnam. Inggeris mendapati pendidikan itu adalah pisau bermata dua yang boleh membunuh mereka, di India. Dan kita di Singapura, apakah semacam terjerat antara ketakutan, kemiskinan dan dasar siasah Inggeris?

Aku pergi ke sekolah lamaku dan meninjau-ninjau daerah yang bersejarah ini dalam perkembangan pendidikan di tanah airku. Ketika Raffles berura-ura menubuhkan sebuah Institusi Singapura, dia bercadang, antara lain, untuk menjadikan institusi itu tempat mendidik anak pembesar-pembesar Melayu . Malah Sultan Hussain Shah dan Temenggung Abdul Rahman telah memberi derma yang besar jumlahnya ke arah itu. Institusi ini hanya wujud selepas Raffles; namun Raffles pernah mencadangkan agar anak-anak Sultan Hussain Shah diberi pendidikan Inggeris di luar negara tetapi cadangan itu ditolak baginda. Apakah alasan bahawa permaisurinya enggan berpisah dengan anak-anak adalah sebab yang penting ataupun baginda sebenarnya menyelindungkan ketakutannya terhadap Inggeris, terhadap kemungkinan terhakisnya agama dan budaya atau sebab-sebab lain?

Tiada siapa yang dapat memberikan jawapan dan malam ini semakin bisu dan larut, membiarkan aku terkenang-kenang.

 

Ketakutan dan kemiskinan jugakah yang menjejaki soal pendidikan sejak 1823?  Dan ketika 1837, Institusi Singapura berpindah dari kawasan High Street ke Bras Basah Road, jumlah pelajar Melayunya hanya meningkat sedikit ke angka 51 orang. Namun sejak 1868 nama institusi ini ditukar dan sehinggalah ke zamanku, tidak ramai terdapat pelajar-pelajar Melayu di sini.

Aku tahu terdapat beberapa madrasah persendirian dan sekolah-sekolah Melayu. Anehnya, Inggeris tidak membenarkan bahasanya diajar di sekolah-sekolah Melayu, lantas lulusan sekolah-sekolah ini sukar diresapkan ke dalam pentadbiran Inggeris dan syarikat-syarikat dagangannya. Terasa ada semacam lingkaran musibah dan aku tidak tahu sama ada kita sebenarnya memaklumi dan cuba memutuskannya.

Tetapi siasah Inggeris ini aneh. Di satu pihak mereka mahukan keadaan yang mantap dan mengembangkan seberapa boleh tebaran dagangannya. Dan di pihak yang lain pula, Inggeris yang dikatakan ingin membantu orang-orang Melayu, hanya ingin melihat kita di dalam bingkai yang tradisional iaitu mengekalkan keadaan yang sedia ada. Tuntutan-tuntutan ini, menurut Pak Usu, tentunya amat bercanggah. Kitakah yang akan terus terperangkap kerana soal kedaifan, ketakutan dan keadaan-keadaan yang samar?

“Mereka boleh mematahkan tulang-belulang kita, Azad, “ suara Pak Usu seolah-olah di sisiku, “ tetapi sesiapa pun tidak harus dibenarkan mematahkan semangat kita.”

 

Lama sebelum tercetusnya peristiwa-peristiwa Isemonger, Senex dan lain-lain, Pak Usu, aku lihat, tidak pernah kendur semangat. Mungkin kerana dia pernah menuntut di Aceh dan Makkah serta berguru dengan Muhammad Abduh di al-Azhar, semangatnya sentiasa tidak kunjung padam. Masih dapat lagi aku rasakan kehangatan itu ketika rumah panggung Tukku ini dihidupkan oleh kawan-kawan Pak Usu yang datang bukan sahaja dari Singapura, malah Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Riau, India dan Jazirah Arab.

Setahuku mereka sering berbincang-bincang tentang perubahan dan pembaharuan sikap seperti dianjurkan al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka juga kadang-kadang menyelongkar pandangan tentang masalah ini yang dikemukakan oleh Shah Waliullah Dahlawi, Jamaluddin al-Afghani, Sayyid Ahmad Khan dan Muhammad Abduh. Dan kadangkala pula mereka berbincang tentang berbagai-bagai ilmu yang dibawa oleh pemikir-pemikir Islam, dahulu dan sekarang, seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Miskawaih, Suhrawardi, Al-Farabi, Wali Songo, Hamzah Fansuri, Shamsuddin as-Sumaterani, Nuruddin ar-Rarini, Tok Kenali dan ramai lagi. Tidak kurang pula perbincangan mereka tentang ilmu-ilmu terbaru dari Eropah.

Dan Pak Usulah juga yang sering mendorong aku menimba ilmu, terutama ilmu-ilmu semasa yang dibawa oleh Barat. Kerana hanya dengan ilmu, menurut Pak Usu, sesuatu bangsa itu dapat mengubah keadaannya dan mencorak zamannya.

 

Dalam keheningan malam ini, terlalu banyak kenanganku pada Pak Usu, mungkin kerana sejak kematian ayahku, dialah yang banyak mendidikku. Pak Usu bukan hanya adik arwah ibuku, malah sahabatku. Ketika persoalan-persoalan semasa ini dan telaah-telaahku seakan-akan menggegarkan pemikiranku, dengan Pak Usulah dapat aku kongsikan kerana tidak ramai sahabatku yang berminat berbincang-bincang hal sedemikian. Mengingati Pak Usu, mengenangkan harapan dan cita-citanya terhadapku, mataku teralih kepada bingkisan yang terletak di sisiku. Bingkisan ini adalah pemberian Pak Usu, Pak Ihsan dan kawan-kawan mereka.

Kata-kata Pak Usu semakin segar lagi dalam ingatanku. Orang boleh menutup berbagai-bagai pintu di depan kita, kata Pak Usu, seperti dilakukan oleh Isemonger dan Senex, tetapi kita tidak harus berputus asa atau memilih jalan-jalan pintas. Tiap Tuhan membenarkan tertutupnya sebuah pintu, kata Pak Usu, Dia akan memberi kita kesempatan menggunakan akal dan keupayaan kita mencari tingkap-tingkap. Dan tingkap-tingkap kita memang banyak, tegas Pak Usu lagi, yang diberi oleh agama dan kebudayaan kita.  Pak Usu yakin jika kita bijak menggunakan tingkap-tingkap itu, kita dapat memberi tantangan bererti kepada peristiwa-peristiwa Isemonger dan Senex  serta lain-lain.

Aku menghela nafas panjang. Tenang. Dan malam ini semakin sepi dan larut. Hanya tinggal beberapa ketika sahaja sebelum aku mengorak langkah yang jauh.

Aku teringatkan Kim Leong dan Mohan. Betapa tidak sia-sia usaha kami selama ini dibalas dengan pemberian Biasiswa Ratu Victoria bagi Negeri-negeri Selat. Aku terkenangkan kaum keluarga, rakan-rakanku, jauh dan dekat. Dan aku terkenangkan Pak Usu dan kawan-kawannya serta bingkisan yang telah terbuka.

Bingkisan ini, yang diberi sebahagian penduduk kampung sekitar, yang diwakili oleh Pak Usu, Pak Cik Ihsan dan kawan-kawannya, akan aku jaga dengan cermat. Ia seolah-olah melambangkan langkah kecil dan usaha perintis mereka setelah mengalami dan mendepani peristiwa-peristiwa Isemonger dan Senex.

Betapa gelap dan larut dinihari ini, begitu sepi dan lengang. Segalanya kelihatan sunyi dan hitam. Mungkinkah kegelapan ini melenakan sebelum sempat aku menyambut siang atau akukah yang sanggup berjaga, menanti fajar?

Ditulis: Dimulakan pada awal Oktober sehingga pertengahan Disember 1989 (tergendala). Diteruskan pada pertengahan Januari 1990 (tergendala sekali lagi). Diteruskan lagi pada 26 Februari 1990 sehingga 15 Mac 1990.
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam.
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 22 April 1990
Tulisan: Rasiah Halil.

 

 

Cerpen: Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi (Ditulis: 1974)

Muka Depan ATSPL

Benar-benar dia geram kali ini.  Dirasanya tidak ada apa yang harus dipertunggu lagi.  Biar dia pergi.  Biar dia pergi meninggalkan ayahnya.  Kalau dia pergi, akan kehilangankah Ayah seorang anak?  Tidak!  Tentu tidak!  Ayah dan dunia tuanya telah mati.  Benar-benar telah mati dalam hati Ashraf.

“Kau memang bodoh Ashraf!  Bodoh!  Mengapa mesti kau memilih aliran sastera?  Apa yang ada dalam aliran itu?  Mengapa kau tolol benar, mengapa?”  kata-kata bangkang terhembur daripada mulut pengurus minyak ini.  Pak Cik Jaafar memang naik radang di atas ketololan anak bongsunya.  Diberi peluang memilih aliran sains, Ashraf telah memilih aliran sastera.  Dan ini semua berlaku tanpa pengetahuannya.  Dia benar-benar naik berang di atas pilihan anaknya itu.  Disedutnya paipnya dengan lebih mendalam.  Ingin dilontarkan paip itu ke muka Ashraf agar dia sedar di rumah ini tidak boleh diduduki oleh orang-orang tolol seperti Ashraf.  Di rumah ini orang-orang yang tidak praktikal harus dibunuh hidup-hidup.  Harus mati dipanggang!

“Tapi Ayah, Ash lebih suka dalam aliran sastera.  Ash lebih minat …”

“Minat! Minat pada sesuatu yang tidak mendatangkan hasil?  Minat kata kau, Ashraf?  Sudah, minta tukar saja ke aliran sains.  Aku, ibu kau, kakak kau, dan abang kau semuanya dari aliran sains dan aku mahu kau juga dari aliran yang sama.  Ingat Ashraf, aku ini ayah kau, tahulah aku mana yang baik buat masa depan kau …”

“Tapi Ayah …”

“Tidak ada tapi-tapi lagi, Ashraf.  Kau mesti memilih aliran sains.  Masa depan kau terjamin.  Kau ingat hanya dengan melukis dan menulis kau boleh hidup?  Mana pergi otak kau?  Aku tak mahu anak aku merempat sana sini macam pengemis.  Aku mahu kau masuk universiti, dapatkan ijazah kelas pertama supaya hidup kau senang.”

“Tidak, Ash tak mahu!  Ash tak mahu menjadi apa yang Ayah inginkan untuk diri Ash.  Ash benci dengan kepura-puraan Ayah yang menilai segala-galanya dengan sijil.  Segala-galanya dengan duit.  Ash benci dengan dunia sains keagungan Ayah.”

“Biadab, kau benci pada dunia keagungan aku?  Sini aku ingin menolong kau, kau menempelak aku pula.  Kau ingat kau boleh hidup dalam dunia sastera kau?  Nanti dah merempat baru kau sedar.  Jangan kau harap aku akan membiayai  persekolahan kau selagi kau di aliran sastera.   Selagi kau tidak minta tukar, selagi itu jangan kau harapkan apa-apa daripada aku.  Pergi, sebelum aku naik radang.”  Pak Cik Jaafar telah benar-benar dirasuk syaitan.  Rasanya ingin dia memulas kepala Ashraf yang kini sudah berisi idea-idea yang serba singkat.  Ingin dia membelasah badan Ashraf yang kini menampakkan kedewasaannya.  Pak Cik Jaafar benar-benar ingin menjahit mulut Ashraf yang kini semakin celupar.

 

Suasana di bilik tamu itu tiba-tiba menjadi tenang.  Ashraf sudah pun berlari ke biliknya.  Muka Pak Cik Jaafar yang sebentar tadi merah padam kini beransur-ansur pulih seperti biasa.  Diambil buku rekod Ashraf yang terletak di atas meja bersama borang kemasukan praUnya.  Dibacanya laporan daripada guru Ashraf:

“Ashraf sangat baik dalam mata pelajaran Sains, Ilmu Hisab, Bahasa, dan Lukisan.  Teruskan berusaha.  Keputusan keseluruhannya sungguh memuaskan.”

Mata Pak Cik Jaafar masih memerhatikan kata-kata yang tertulis dalam buku rekod Ashraf itu.  Hatinya semakin resah.  Mengapa Ashraf berminat sangat dalam bidang lukisan dan kesusasteraan sedangkan dia di dalam aliran sains?  Menyesal Pak Cik Jaafar membenarkan anaknya mengambil lukisan sebagai salah satu mata pelajaran walaupun dia di dalam aliran sains.  Mengapa mesti aliran sastera menjadi pilihan kau, Ashraf?  Mengapa?  Bingung fikiran Pak Cik Jaafar seketika.  Memikirkan soal Ashraf lebih membingitkan daripada memikirkan soal krisis tenaga.

Sedang dia berfikir-fikir panjang itu, Mak Cik Zahrah datang membawa dua cawan nescafe panas.  Nescafe panas itu diletakkan di atas meja bersama kuih-muih yang senantiasa ada buat makanan petang.  Mak Cik Zahrah telah mendengar segala-galanya.

“Abang masih hendak memaksa dia?”

“Abang tidak hendak memaksa, Abang mesti desak dia.  Kalau dia tidak mahu, pandailah Abang mengajarnya!”

“Abang salah, Bang.  Kalau Ashraf sudah berminat, buat apalah dimasukkan di aliran yang lain.  Biarlah dia merancang masa depannya sendiri.  Kan dia tu dah besar panjang…”

“Merancang masa depannya sendiri?  Dia? Tidak Zahrah, Abang tidak mahu dia terikut-ikut kawan-kawannya.  Bukan dia tu bodoh.  Markah sains dan ilmu hisabnya bagus benar.  Apa lagi yang dia mahu?  Kalau di aliran sains kan masa depannya lebih cerah sikit … Boleh jadi doktor seperti yang kita harap-harapkan,” Pak Cik Jaafar menerangkan satu persatu.  Dia benar-benar tidak faham di atas tindakan anaknya itu.  Benar-benar dia tidak mengerti.

“Siapalah tahu masa depannya akan lebih cerah dalam aliran sastera?”

“Tidak Zahrah, kalau dia boleh jadi Leonardo da Vinci atau William Shakespeare tak apa.  Ini baru melukis sebuah dua, baru mengarang sebuah dua cerita, dah taruh minat.  Padahal ilmu hisab dan sainsnya begitu handal sekali.  Abang tak mahu dia menyesal nanti …” Pak Cik Jaafar mengeluh.  Dilemparkan pandangan yang jauh sekali.

 

Mak Cik Zahrah masih merenung suaminya tanpa berkata apa-apa.  Dia tahu suaminya hanya akan menyayangi anaknya selagi Ashraf di aliran sains.  Dia tahu juga, suaminya menghargai seseorang itu hanya apabila orang-orang itu berpangkat dan mempunyai kemahiran tinggi.  Bahkan semasa dia bernikah dengan suaminya dulu, Encik Jaafar memilihnya kerana kelulusannya selain daripada budi bahasa dan kecantikannya.  Manusia ‘moden’, pandangan hidup mesti ‘moden’.  Nilai seseorang pun mesti mengikut pengukuran yang ‘termoden’.  Nilai sijil.

Mak Cik Zahrah yang terduduk di sofa lembut itu tidak mahu berfikir panjang-panjang pasal anaknya.  Jenuh sudah dia berfikir akan urusan persekolahannya, akan persatuan-persatuan wanitanya, akan urusan-urusan luarnya.  Buat apalah difikirkan perkara yang dengan senang dapat diselesaikan?  Mak Cik Zahrah tidak sedikit pun runsing di atas tindakan Ashraf.  Bahkan urusan-urusan rumahnya tidak pernah merunsingkannya.  Dia lebih runsing kalau persatuan wanitanya tidak berjalan dengan teratur.  Guru separuh umur ini sekejap-kejap menjenguk keluar kalau-kalau kereta Alfa Romeo Ashril dan Colt Gallant Ashriah sudah kedengaran mendekati pagar rumah mereka.

 

Ashraf yang teringat-ingat peristiwa tadi, berulang-alik di dalam biliknya.  Dia runsing dengan rancangan ayahnya, runsing dengan sikap endah tak endah ibunya.  Ashraf telah mendengar segala apa yang diperbincangkan oleh kedua-dua orang tuanya.  Kalau boleh ingin dipekakkan telinganya.  Tapi perkataan itu berulang-ulang dalam telinganya.  Sijil dan wang!  Ayahnya menilai seseorang hanya dengan sijil dan wang.  Dan dia, Ahmad Ashraf bin Jaafar ingin, mahu, dan benar-benar akan menentang dunia kepura-puraan ayahnya.  Dulu ayahnya adalah sanjungannya, tapi kini sanjungannya telah jatuh tersungkur.  Kerana Ayah yang disangkanya orang yang paling baik sekali di dalam dunia ini kini berkaki lumpur.  Ayahnya berhati kotor.  Kotor daripada segala-gala yang kotor.

“Aku tak mahu pergi ke rumah kau,” demikian kata Kassim semasa dipelawa ke rumah Ashraf.

“Ngapa?” tanya Ashraf kehairanan.

“Aku segan… aku takut pada ayah kau.” Jawapan itu sudah cukup menjelaskan segala-galanya.  Ayahnya memandang benar terhadap kawan-kawannya.  Kalau yang datang tidak berjam tangan, tidak berlencana ketua murid atau tidak bermuka sofistikated, ayahnya tidak akan menunjukkan wajahnya yang jernih.  Akan mencukalah wajah Pak Cik Jaafar sehingga kawan-kawan Ashraf balik.  Dan setelah itu, Ashraf terpaksa pula mendengar leteran daripada ayahnya.

“Mengapa tidak kau bawa Kamal, anak eksekutif itu, atau Ibrahim anak jurutera jiran kita tu atau bawa saja David anak Dr. Chua?  Mengapa mesti kau bawa kacang-kacang hantu ke rumah ini?”  Demikian satu leteran lumrah Pak Cik Jaafar tiap-tiap kali anaknya membawa pulang kawan-kawan yang berbapakan orang-orang daripada peringkat hidup yang rendah.  Ashraf kini faham segala tindak-tanduk ayahnya.  Ayahnya ingin dia menjadi bongkak sepertil dirinya.  Ayahnya ingin dia berhati duitan, bertuhankan sijil dan berarahkan universiti.  Itu saja yang ayahnya mahu daripadanya.  Ayahnya ingin merosakkan hidupnya sebagaimana ayahnya telah merosakkan hidup kedua-dua abang dan kakaknya.  Kedua-duanya sekarang hanya menilai seseorang daripada kaca mata ayahnya. Ashraf tidak mahu menjadi sombong dan bongkak seperti mereka.  Dia benar-benar tidak mahu!

 

“Tok!  Tok!  Tok!  Ash, kau tak mahu makan, Nak?”

“Ash kenyang, pergilah Mak makan dulu.”

“Mari makan, Nak.  Jangan runsingkan sangat cakap Ayah kau tu.  Mari, abang dan kakak kau dah pun balik.”

“Ash kenyang Mak, nanti kalau lapar tahulah Ash makan.”

“Suka hati kaulah Ash,” Mak Cik Zahrah terus berlalu. Dia tidak mahu menganggu anaknya.  Biarlah Ashraf sendiri menyelesaikan masalahnya, kalau bolehlah dipanggil masalah.  Di dalam bilik yang terkunci itu, Ashraf berjalan berulang-alik.  Lapar! Pandai emaknya pertanyakan lapar-kenyangnya, tapi laparnya jiwanya akan nilai-nilai yang suci murni tidak pernah emaknya pertanyakan. Tidak pernah!

 

Mata Ashraf yang dari tadi memandang ke bawah, kini memerhatikan lukisannya yang tergantung di dinding.  ‘Di atas buih-buih aku berdiri’ demikianlah tajuk lukisan tersebut.  Inilah hidup Ashraf.  Hidupnya seperti buih-buih sabun yang akan hilang dengan serta-merta.  Akan hilang juga segala harta benda ayahnya seperti hilangnya buih-buih tadi.  Dan Ashraf yakin, kalau dia bertindak cepat, buih-buih hidupnya tidak akan memecah sebelum dia sempat meninggalkan sesuatu yang indah.  Dia juga yakin, hanya dengan bertindak beginilah, buih-buih kepura-puraan daripada nilai hidup yang kepura-puraan ayahnya tidak akan memecah di hadapan matanya.  Inilah satu sebab mengapa dia memilih aliran sastera.  Dan ayahnya memandang hina? Biarkan ayahnya memandang rendah terhadap minatnya.  Ayahnya berkata dia tidak boleh menjadi seperti Leonardo da Vinci ataupun William Shakespeare, memang dia tidak boleh menjadi seperti mereka.  Tetapi dia akan menjadi dia: Ahmad Ashraf bin Jaafar, dengan segala kelemahannya.  Dia akan menjadi dirinya dalam melukis warna dan mencatat rasa.  Dia adalah dia!

Ashraf terdengar bunyi batuk ayahnya.  Dan hatinya tiba-tiba menjadi sedih apabila bunyi batuk ayahnya berlarutan.  Kasihan juga dia kepada Ayah yang selalu dibangkangnya sejak kebelakangan ini.  Kalau boleh, ingin dia menerangkan kepada ayahnya bahawa dia adalah dia dan dia tidak suka hidup berpura-pura.  Tetapi seperti datangnya tiba-tiba, simpatinya terhadap ayahnya tiba-tiba juga menghilang.

 

Dicarinya sebuah beg, lalu diisikan beberapa helai pakaian, buku-buku dan dibawa beberapa keping lukisan.  Ashraf menunggu.  Bunyi batuk ayahnya semakin lama semakin berkurangan.  Mungkin ayahnya sudah masuk ke bilik tidur.  Mungkin keluarganya semua sedang tidur.  Suasana rumahnya semakin lengang.  Ashraf dengan perlahan membuka pintu biliknya lalu menuju ke ruang tamu.  Diambilnya buku rekod yang terletak di atas meja.  Ayahnya belum lagi membubuhkan tanda tangannya ke atas borang kemasukan kelas praUnya.  Ayahnya benar-benar tidak mahu dia menuntut dalam aliran sastera.  Aliran sains.  Aliran sains yang ayahnya mahu! Tapi sekarang dapatkah dia meneruskan persekolahannya ke kelas praU di dalam aliran yang diminatinya?  Ayahnya tentu tidak ingin membiayai persekolahannya.  Dan dia sendiri tidak mahu menunggu pembiayaan ayahnya.  Malam ini, saat ini, detik ini, ayahnya telah tidak lagi menjadi orang yang paling disayanginya kerana Ashraf tahu dia tidak akan disayangi selagi dia memilih aliran sastera.  Dia akan ke kelas praU tapi bukan dengan wang ayahnya.  Biarlah ayahnya menyimpan wang itu untuk orang-orang yang tahu menilainya. Orang-orang yang akan menilai segala-segalanya dengan wang.

Dengan perlahan Ashraf membuka pintu depan rumahnya.  Sanggupkah dia meninggalkan orang-orang yang pernah disayanginya satu ketika dulu?  Dia …. tangannya sudah pun memanggakan pintu itu.  Ashraf dengan hati yang separuh sedih meninggalkan rumah banglo ayahnya.  Dia berjalan dan berjalan.  Dia tahu pada malam ini, orang yang paling disayanginya, lebih daripada ibunya, sajak-sajaknya dan lukisan-lukisannya, telah mati.  Mati di dalam hati kecil Ashraf.

“Ayah tidak sayang padaku lagi.  Ayah tidak sayang padaku lagi,” kata-kata itu menemani Ashraf dalam perjalanannya entah ke mana.

Ditulis : 1974, Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar : ‘Ruangan Remaja’, Radio Televisyen Singapura (RTS/Kini dinamakan Radio Warna 94.2FM), 1974
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Kepulangan

Akhirnya yang tinggal hanya kenangan.

Dan kisah-kisah yang tidak sempat dicatatkan. Dan kesepian yang memanjang. Dalam keterasingan itu, dia menerjah-nerjah ke masa silam, menafasi masa kini yang kelam dan merangkai-rangkai masa depan yang kian gersang. Kekosongan. Segala-galanya adalah kekosongan yang menghitam. Bertali-arus, berpusar dan menjungkarbalikkan kekinian.

Bagaikan sebuah lagu lama, dia seakan-akan terdengar seni katanya yang indah, puitis, mengharukan. Tetapi iramanya telah berubah, dan penyanyinya bertukar. Dan dia, bagaikan perindu nostalgia, masih mencari-cari keindahan lama yang kian pudar.

Diakah penggembala yang kehilangan serulingnya? Diakah penggubah yang kehilangan nota muziknya? Atau, seperti seorang Minke ciptaan Pramoedya, dia seakan-akan anak semua bangsa, yang kian terasing di daerahnya?

Sesungguhnya pengalaman ini terlalu menyeksa.

Pulang. Setelah bertahun di rantau orang. Setelah keluarganya hanya seorang dua yang tinggal. Setelah pembedahan. Dan pengalaman-pengalaman itu, bagaikan beg selimpang yang besar dan berat, tiada siapa yang ingin turut mengongsikannya.

Akukah yang sekian lama merindu, yang hanya dapat melihat dari jauh, kerana bagaikan pelangi, kehadiranku hanya suatu perhiasan bagimu? Engkaukah yang terlalu mendera, yang gelisah, yang hanya mengukur kesetiaan dengan nilai-nilai sementara? Atau akukah selama ini yang enggan belajar menjadi dewasa?

Hana mengeluh panjang, tidak tahu bagaimana harus dicatatkan segala yang menghiris dan meremukkan tangkai jiwanya.

Lukisan. Kupilih goresan-goresan warna kerana ia tidak pernah berdusta. Tentang anak kecil yang terbiar. Manusia dibaham peperangan. Insan kebulluran. Penindasan yang mencengkam. Atau hanya siratan warna tentang menyingsingnya fajar. Burung camar. Awan berkepul. Lautan yang tidak pernah menyisih pantai atau sayunya titis hujan. Manusia yang tersenyum, bersedih atau tabah dihirukpikukkan keadaan. Aku tahu aku tidak akan menjadi kaya atau masyhur, seperti sindiranmu, tetapi aku tidak pernah meminta itu dan tidak pernah menyesal. Apalah erti wang dan kemasyhuran jika ia semakin menghakisi nilai-nilai kemanusiaan? Apalah erti kejayaan jika ia menumpulkan rasa ihsan, menajamkan keangkuhan dan kebencian serta menyerlahkan bakat menindas dan mencemuh sesama insan?

Dia pulang, tanpa ada lagi rumah yang dikenali selama ini. Rumah itu telah terjual, dan bagaikan masa silam yang dirindui, hatinya tidak putus-putus menyesal. Mengapa sebegini jadinya? Kitakah yang kurang arif untuk belajar daripada masa silam? Kitakah yang hanya melihat pokok dan terlupakan akar tunjang? Hana tidak tahu bilakah dapat dihadapi semua ini tanpa berasa pilu, pedih. Dia masih teringat masa-masa itu yang seakan-akan membakar kenangannya. Ada yang pandai bersuara, tetapi enggan berusaha. Ada yang jujur fasal pengendalian rumah tetapi kurang bijaksana. Ada yang sengaja buat heboh, seolah-olah mahu digelar jaguh. Dan ada pula yang menyepi, seolah-olah tersingkir daripada bahang pertelagahan ini. Dan rumah peninggalan bapanya terbengkalai. Saki-baki peristiwa itu belum lagi terlerai. Dan Hana semakin pilu melihat rumah yang lama terjual tetapi masih menimbulkan rentetan masalah yang kian menular.

Apakah dia, seperti Eros dalam sajak Chairil Anwar, akan terus berada di luar kerana nasib tidak menyebelahinya dan selamanya dia tidak akan menemui wadi ketenangannya? Apakah dia akan selamanya menjadi sang kelana, hanya dilayan ringkas-ringkas dan kemudian disuruh keluar? Akukah yang akan terus tersingkir dan terasing daripada kehidupan orang-orang yang kukasihi dan kucinta? Atau kini, ditarik oleh berbagai-bagai tuntutan yang bercanggah, dia terpaksa bertindak bagaikan tiram, menelan segala, seperti yang dilakukan oleh penyair Amir Hamzah? Hana semakin resah dan sukar melelapkan mata di rumah kerabatnya. Dapatkah aku cerna dan aku canaikan segala kepedihan ini dalam goresan warna? Dapatkah aku abadikan segalanya dalam masa sesingkat ini seperti yang dilakukan oleh Kahlil Gibran dan Rabindranath Tagore dalam karya seni mereka? Atau segala ini hanya aku seorang yang berasa dan akan aku simpan di jiwa hingga akhirnya?

Orang luar. Dirasakan betapa sesuai ungkapan ini bagi menggambarkan keadaannya sejak kepulangannya. Dia menjadi orang luar di kalangan kerabatnya. Orang luar bagi sahabat yang seakan saudara. Orang luar dalam dunia seni yang dicinta dan orang luar dalam segala tindak-tanduk masyarakatnya.

Apakah dia sekadar jambatan untuk memudahkan seseorang ke seberang dan setelah itu, kehadirannya tidak lagi diperlukan? Apakah dia suatu beban yang sering dijauhi orang? Atau diakah terlalu berpegang kepada andaian-andaian lama bagaikan seorang Siti Salina dalam novel A. Samad Said,  yang sukar melupakan kehilangannya?

Sesungguhnya pengalaman ini terlalu menyeksa.

Akukah sebuah perahu yang tiba-tiba terasa dipisahkan dari pulau yang disayanginya? Mungkinkah perahu itu tabah menghadapi segala, dilepaskan ke laut luas nan bergelora? Atau diakah yang harus mengerti, bahawa anak sungai pun berubah, ini pula hati orang, mengapa dikenang?

Penyakit ini menular dan kau tidak perlu mengetahui segala. Siapakah aku untuk membebankan kau, siapakah aku untuk menangkis takdir? Pertama kali aku bertemu denganmu di pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, aku tersentuh dengan keihsanan dan kasih sayangmu terhadap kanak-kanak. Tingkahmu melayan mereka dan berbagai-bagai caramu menghargai manusia dan kehidupan, mengingatkan aku akan ciri-ciri seorang budiman. Bagaimana dapat aku lupakan masa-masa ke Central Mosque di Baker Street atau menaiki kereta api ke Canterbury? Tetapi siapakah aku untuk memenuhi impianmu? Ketika anaknya meninggal, John Milton berkata bahawa lebih daripada sajak-sajaknya, anaknyalah ciptaan kreatifnya yang terbesar. Kata Rabindranath Tagore, tiap kali lahirnya seorang bayi ke dunia bererti Tuhan tidak pernah kecewa dengan manusia. Memangnya Tuhan tidak pernah kecewa dengan manusia, tetapi kitalah yang sering kecewa. Dan pembedahan histerektomi yang telah aku jalani hanya akan mengecewakan hidup kau. Aku terpaksa menarik diri, terpaksa, kerana pada jangka panjangnya, keputusan yang pedih ini lebih adil untuk hidup kau. Bukankah pujangga pernah berkata, cinta itu pengorbanan?

Betapa sukar mensyukuri nikmat-Mu, Tuhanku, dalam penafian segala. Apakah aku selamanya akan menjadi orang luar dalam kehidupan yang Kauhamparkan bagi setiap manusia? Aku kehilangan keluargaku, aku kehilangan sahabat dan saudaraku, aku kehilangan dunia seniku dan kini aku kehilangan keupayaan untuk membina hidup baharu. Apakah aku sekadar orang luar, orang pinggir, yang perlu dinafikan secebis harapan dan kebahagiaan dan diuji oleh pahitnya pengalaman? Apakah dengan berbagai-bagai penafian ini Kau mahu aku menjadi lebih peka, lebih berani mencorakkan warna-warna kehidupan di kanvas?

“Kau harus akur kepada tindak-tanduk kami, jika tidak, maaf sajalah…” dan kata-kata itu telah berkali didengarinya walaupun dalam penekanan dan pengucapan yang sedikit berbeza. Apakah kita pekebun yang serba tahu dan belajar menilik musim? Akukah rumpai yang perlu kau perlakukan kerana tanaman-tanaman lain mahu membesar? Kitakah yang mengharapkan padi tetapi amat terpesona dengan lalang-lalang yang tegak berdiri?

Sesungguhnya pengalaman-pengalaman ini amat menyeksa.

Hana semakin merindui tempat-tempat itu dan ingin dia menjadi jauhari yang mahir mengutip butir-butir kenangan yang mengalungi sebuah kehidupan.

Sebahagian daripada Sims Avenue kini hanyalah tanah lapang, yang lain estet perumahan. Pokok sena dan Sentul itu masih berdiri tegap. Rumah panggung Mak Jarah sudah tiada. Rumah Nina, rumah Tahir, Kelab Cina dan kapal buruk yang besar, yang terbiar di padang terbuka. Betapa riang Hana bermain masak-masak, tingting, kejar-kejar, batu seremban, congkak. Bela ayam belanda, jual kuih atau berangan mengemudikan kapal buruk itu di lautan bergelora. Dan dia akan belayar jauh, katanya kepada ibu saudaranya, dan akan dibawa pulang batu karang, ikan duyung, sotong kurita dan khazanah laut. Sejauh perjalanannya dia tidak pernah membawa pulang khazanah itu. Tetapi rindunya, seperti impiannya pada waktu kecil itu, tidak pernah surut. Kepada datuk yang mengajarnya bahasa asing tiap kali mereka berehat dan mendengar radio. Kepada nenek yang menyampaikan kisah-kisah sastera lisan. Kepada kerabat dan taulan. Dan rindunya juga terbetik apabila mengingati waktu-waktu sunyi malam, mendengar sayunya suara orang menjual makanan, diselangi deringnya loceng basikal.

Dapatkah dilupakan Jalan Kobis di Kampong Batak, berdekatan Kampong Melayu Kaki Bukit? Melalui Jalan Ladang yang ada terpacak pokok-pokok kabung, melepasi Jalan Silat Gayong dan Jalan Kobis yang baginya seolah-olah penuh misteri. Ada ‘rumah berhantu’ di hujung jalan, padang ternakan lembu, padang luas, dan dataran tinggi yang sering dianggap bukit. Menggelinjang ke ‘enjin papan’ di Jalan Chekor, tengok wayang di Central.  Bagaimana dapat dilupakan tinggal di rumah berek, tanpa air paip dan elektrik. Meriahnya ketika bulan puasa, hari raya atau maulud.

Dan di rumah keluarganya di Kampong Wak Tanjong, berdekatan sebuah anak sungai dan balai rakyat. Hana masih lagi teringat betapa gembiranya bermain masak-masak, kuti-kuti, tikam-tikam, getah, guli, dan menyimpan kad-kad bubble-gum. Main bola hentam, rondas, keleret, canang. Pelihara ikan, kucing, kura-kura, kuda laut. Tolong abang buat ‘khemah’ di tepi sungai, tangkap belut dan ikan. Tumbuk gelas untuk benang layang-layang. Jual kuih dan air batu Malaysia. Mengaji dengan Ustazah Khairiah. Melintas di rumah bomoh di seberang jalan, takut loktang. Tunggu ‘penunggu’ pokok pisang di belakang rumah, seram mendengar cerita ‘hantu raya’. Tiap hari mendengar ketukan sami dari topekong di depan rumah, terlihat betapa asyiknya tukang dobi menghisap candunya. Dan ketika hujan lebat, dengan berbaju panas dan berstokin panjang, mereka berangan bermain salji dan ski, bersama-sama abang di England, di Royal Air Force Cottesmore.  Dan masih didengar lagi lagu-lagu yang diputarkan kerika itu dan ketika-ketika tertentu. Kini, setelah begini dewasa, lagu-agu lama itu sering membawa kenangannya pada zaman indah itu dan kepada keluarganya yang telah berhijrah ke merata dunia. Dan Jalan Kobis serta Kampong Wak Tanjong yang dikenalinya kini hanya berpeta dalam kenangannya.

Mereka tidak ada di sini, tidak ada. Dan Lapangan Terbang Changi ini terasa sunyi. Apakah mereka tiada masa atau segala surat dan panggilan jauhnya tiada bererti kepada sesiapa? Bagaimana akan aku luahkan rasa keterasinganku yang mendalam, setelah bertahun di rantauan, apabila orang seakan-akan tidak mengerti atau memberi masa untuk suatu penyesuaian? Pintu-pintu inikah akan satu-satu tertutup dan aku semakin terpanar?

Tahukah kau apa ertinya kepulangan aku ini? Atau seperti kebanyakan orang, engkau juga enggan peduli dan mengamatiku dengan sedikit sangsi? Akukah orang luar yang tidak pernah memikir dan menelaah timbunan masalah masyarakat atau kini, kerana perubahan-perubahan itu, suara kita tidak akan lagi senada? Betapa sukar bagiku menerima kenyataan ini, dan setelah demikian lama, dunia itu seakan-akan musnah di depan mata. Kaukah dibelenggu suasana atau kini lebih berbahagia dikelilingi suara-suara baharu yang sekata?

Perjalanan inikah yang telah menjadikan Hana orang luar atau sememangnya mereka enggan menerima kelainan suara sejak mula?  Dalam kepedihan itu, dalam kesepiannya, Hana terkenang cebisan-cebisan sajak Muhammad Haji Salleh yang seakan-akan menghablurkan perasaannya:

lihat, aku seperti kau juga
masih Melayu
sensitif pada apa
yang kupercayai baik
dan muatan kapal ini juga untukmu
kerana aku pulang.

perjalanan membuat aku pemilih
pencari yang selalu tidak menerima
apa yang diberi tanpa kejujuran
atau yang meminta bayaran dari peribadi.
bertahun di lautan dan tanah persisiran
aku telah belajar membeza
mengambil hanya yang teruji bandingan…

Aku pulang ke Lorong L, Telok Kurau Road, Maya. Sayangnya kau mengambil cuti sabatikalmu di luar negara. Rumah banglo dua tingkat ini masih berdiri tegap tetapi telah banyak diubahsuai oleh pemilik baharunya. Di mana pun aku berada, Maya, rumah dan kawasan ini tidak dapat aku lupa. Betapa kuingin kembali ke zaman silam itu, Maya, tanpa diiringi pengalaman-pengalaman pahitnya.

Ingatkah kau bersama-sama Heng Foon, Meena, Pamela, Kok Chye, Victor, Imran dan Rajesh, kita membuat eksperimen sains menggunakan katak, tikus dan anak ayam di garaj? Atau ketika berjalan ke pantai, memungut remis dan agar-agar laut atau hanya berenang di tempat yang belum lagi ditambak dan digelar Marine Parade?  Berdedai membeli air cendol ‘Hollywood’ yang terletak berdekatan sebuah sekolah Cina, sebelum ke sekolah? Berkunjung ke Perpustakaan Joo Chiat, tiap Jumaat petang, dua minggu sekali, untuk meminjam buku, berbual dan meminum ais kacang. Berbasikal ke Katong, membeli komik ‘Beano’ dan ‘Dandy’ serta buku-buku terpakai, di kedai India yang tidak jauh dari Tay Ban Guan. Berkelah ke Katong Park, mencari helah untuk pergi ke Katong Shopping Centre. Bagaimana, Maya, dapat aku lupakan sebuah daerah, tempat kita bersekolah dan belajar jadi dewasa?

Dan rumahku di Lorong L, Telok Kurau Road, seakan-akan besi berani yang tiada henti menarik aku ke daerah ini, Maya. Bagaimana dapat aku lupakan seorang bapa yang menunggu kepulangan anaknya dari sekolah? Bapa yang selang hari aku suntikkan insulin kerana penyakit kencing manisnya; bapa yang pendiam tetapi sesekali bercerita fasal sejarah dan politik dunia. Bagaimana dapat aku padamkan gambaran seorang bapa yang duduk di kerusi malasnya, di berandah, dan hampir tiap larut malam, dia menangis mengingati tingkah beberapa ahli keluarganya? Bagaimana, Maya, dapat aku lupakan Lorong L  Telok Kurau Road atau daerah Katong kalau ia sering berpaksikan wajah tabah seorang bapa? Dan betapa sukarnya, Maya, ketika menduduki peperiksaan tahun pertama di Universiti Singapura, bapaku meninggal dunia. Sejak itu, Maya, kapal keluargaku yang telah sekian lama dipukul badai, berkecai. Rumah dijual dan aku bukan sekadar kehilangan sebuah tempat tinggal, Maya. Aku kehilangan seorang bapa dan kehidupan berkeluarga buat selama-lamanya.

Air mata Hana jatuh bertitisan mengingati peristiwa-peristiwa itu, seolah-olah segala-galanya baru berlaku.

Kenangan menderanya ke Universiti Singapura, kini bangunan-bangunan universiti ini bergelar Institut Pendidikan Nasional, di Bukit Timah. Berbagai-bagai peristiwa bercampur-baur dalam pita kenangannya. Perbincangan hangat dan semasa. Pemimpin pelajar. Kesedaran sosial. Bahang idealisme. Lagu ‘Barisan Pelajar’, ‘Lagu Untuk Mahasiswa’, ‘Rabbi Zidni Ilman’, ‘Terbinanya insan akademis…’ Hari ‘Rag and Flag’, Sukan Tiga Penjuru. Bersolat di Masjid Kebun Bunga, ‘berkampung’ di Ladies Lounge atau Dewan Lee Kong Chian. Bina persahabatan. Jatuh cinta. Dan belajar menjadi dewasa.

Hana meneruskan pembelajarannya dalam bidang lukisan setelah mendapat ijazah dari Universiti Singapura. Hana ke luar negara dan akhirnya menetap di London, kerana ilmu yang diperolehi tidak dimanfaatkan oleh tanah airnya. Siapa yang ingin menetap di luar negara, Maya? Kalau boleh aku mahu menjadi tua dan mati di Singapura, berdekatan dengan semua yang aku kasihi dan cinta. Tetapi kenyataan hidup tidak selalunya selaras dengan impian kita, Maya. Dan kenyataan itu kadangkala terlalu menghiris bagi mereka yang peka.

Sejak kepulangannya Han tidak berhenti melukis. Tiap tempat yang pernah bersejarah dalam hidupnya dilukisinya, tiap peristiwa yang pernah mengesaninya dijadikan bahan pelbagai media di kanvas.  Dia melukis seolah-olah untuk menangkis keterasingan dan kesepiannya. Kini dia mengerti sedalam-dalamnya makna kesepian yang dinyatakan oleh pelukis Vincent Van Gogh. Dan memahami maksud lagu ‘Vincent’ nyanyian Don Maclean. Vincent tidak pernah berhenti melukis, Maya, walau dalam suasana yang paling mengecewakannya. Lukisan adalah segala-gala baginya, Maya, dan lukisan adalah dunia yang paling aku cinta. Seandainya seperti kebanyakan hal, aku tetap dianggap sebagai orang luar dalam dunia seni yang aku cintai ini, Maya, aku tidak akan menjadi terlalu kecewa. Cukuplah bagiku, Maya, di tengah-tengah manusia yang sering mencurigai dan mencemuh, kau dapat melihat lukisan-lukisanku seperti yang pernah dinayatakan oleh Vincent Van Gogh:

‘Either in figure or in landscape I should wish to express, not sentimental melancholy, but serious sorrow. I want to reach so far that people will say of my work: he feels deeply, he feels tenderly…’

 Hampir tida bulan Hana menginap di Singapura dan akhirnya pulang ke London. Lukisan-lukisannya, yang baharu dan lama, serta beberapa naskhah tulisannya, ditinggalkan di rumah Maya. Pemergiannya seperti kepulangannya tidak meriakkan apa-apa; saudara dan sahabatnya terlalu sibuk dengan berbagai-bagai urusan kerjaya, peribadi dan keluarga.

Maya pulang dari cuti sabatikalnya di Amerika setelah hampir sebulan Hana meninggalkan Singapura. Dalam berbagai-bagai kesibukannya, sempat juga dibaca beberapa catatan Hana dan dimulakan usaha untuk mengkatalogkan lukisan-lukisannya. Dan ketika Maya giat menguruskan segala, hal Hana, urusan kerjaya dan rumah tangganya, berita itu diterima. “Tulislah kisah orang luar ini, Maya…” kata-kata Hana masih terngiang-ngiang di telinganya.

Berita ringkas itu seolah-olah memutuskan segala:

Hana Hamzah. Meninggal Dunia. I Oktober, 8: 26 Pagi. Sakit Barah. London.”

Ditulis: Awal September – 7 Oktober 1990
Bedok, Singapura
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 28 Oktober 1990
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Cerpen: Pencarian Itu

Pencarian itu bermula dari sini ketika malam sayup ini mengundang seribu penafsiran.  Dan bagai bintang-gemintang yang dihijab tahun-tahun sinar, dia pasti pencarian itu akan diakhiri penemuan.

Inilah perjalanan.  Inilah langkah.  Inilah laluan.  Dan tapak-tapak kembaranya akan terus membekas di jalanan kehidupan, mencari sebuah wadi ketenangan.  Dan pencarian itu, dia yakin sekali, akan membawanya ke suatu perjalanan pulang.

Di kota itu sinaran lampu dan bunyi jentera menerpa ke arahnya.  Dari hotel penginapannya, segalanya dapat disaksikan dan dirasa.  Dia terjaga lama sebelum subuh, menyiapkan diri dan menunggu untuk meneruskan langkahnya.

Subuh begitu sepi.  Setelah azan kedua, solat pun bermula.  Ada sesuatu bergema di hatinya ketika rakaat kedua.  Imam telah membaca sebuah surah yang membawa berbagai pengertian bagi hidupnya.  Seperti selalu, surah itu menusuk kalbunya.  Titis-titis air yang bergenang, mengalir dari kelopak matanya.  Inikah jawapan bagi segala pencariannya?  Masih diingati terjemahan surah itu ketika imam membacanya:

Demi waktu matahari sepenggalahan naik,
Dan demi malam apabila telah sunyi,
Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan
tiada pula benci kepadamu.
Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik
bagimu dari permulaan.
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya
kepadamu, lalu hati kamu menjadi puas.

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim,
lalu Dia melindungimu.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Ada pun terhadap anak yatim, maka janganlah
kamu berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang meminta-minta
maka janganlah kamu mengherdiknya.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah
kamu menyebut-nyebutnya dengan bersyukur. *

 
Selepas jam lapan pagi dia bersembahyang di Raudhah dan kemudian menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya r.a..  Sejarah yang seakan tertayang, membuat dia insaf akan erti pengorbanan dan perjuangan.  Akan makna ketabahan.  Akan tafsiran cinta kepada Tuhan dan sesama insan.  Ada semacam keharuan menemaninya, ketika dia bertafakur dan cuba menukil iktibar daripada  kehidupan berlambang seorang insan mulia.

Bukit-bukau seakan menceracak bumi dan langit pula berada dalam waktu senja nan abadi.  Ada kesayuan yang tak terucapkan, seolah kehidupan di bumi baru bermula.  Lebih 1400 tahun yang lalu, jalanan ini telah menempah sejarah.  Dan kini, dia melalui perjalanan itu, walaupun urutannya bertukar, bukan dari Makkah ke Madinah, tetapi sebaliknya.

Pencarian itu tidak sekadar bermula dari sini, itu dia tahu dan dia pasti.  Dan dia yakin, langkah-langkahnya akan membuahkan secercah erti.

Dia pernah berjanji, lebih tujuh tahun yang lampau untuk ke mari.  Bertahun janji itu tidak dapat ditunaikan, tetapi bagai gesaan yang mendera, janji itu tidak dapat dilupakan.  Dia inginkan semacam perbualan, semacam peleraian terhadap resah gelisah hidupnya dan  akhirnya, tanpa disangka-sangka, selama 1l hari pada bulan Disember 1990, dia berada di sana.  Inikah tunjangan pencariannya?

Dengan apakah dapat digambarkan perasaannya pertama kali berdepan dengan Masjidilharam dan Kaabah?  Apakah dapat dilukiskan segalanya?  Atau, seperti sebuah catatan diari yang sarat dengan lambang dan makna, hanya diri yang pernah mengalami dapat memahaminya?  Inikah inti daripada perjalanan dan pencariannya?

Tuhanku
Di pinta-Mu aku mengetuk
Aku tidak bisa berpaling.

Betapa kecil dirasakan dirinya, betapa seni terasa segala masalahnya ketika berdepankan Kaabah.  Namun, bagai gumpalan benang kusut yang lama disimpaninya, bebola kusut satu-satu terkeluar ketika dia beriktikaf, bertawaf, mengucup Hajar Aswad, bersembahyang di Hijir Ismail, Multazam, Makam Ibrahim, bersai, minum air zam-zam, berzikir, membaca al-Quran serta ibadat-ibadat lainnya.  Masanya menjadi demikian panjang, untuk menilai diri, berdoa, minta keampunan.  Dan masa sesingkat 11 hari itu memberinya suatu ketenangan yang sejauh ini belum pernah dirasakan.

Dalam ketenangan itu dia telah bermohon dan berdoa untuk dirinya, keluarganya, saudara dan sahabatnya, malah penghuni dunia.  Betapa banyak bintik-bintik hitam telah meruangi hati dan hidupnya, yang tidak membenarkannya melihat kecerahan.  Dan betapa banyak tekanan yang menggenjotinya, yang tidak membolehkannya menikmati kehidupan.  Bagai seekor burung, dia disangkari suasana yang membelenggu kemanusiaan dan kebebasannya.  Dia mahu terbang tinggi dan jauh.  Dia mahu menjadi sebebas merpati di Tanah Haram, setenang suara imam membaca ayat-ayat al-Quran, dan setabah dan segigih insan mulia itu dalam mengharungi kehidupan dan setiap perjuangan.

Akankah aku kembali kepadamu, dia sendiri tidak pasti, ketika mengerjakan tawaf wadak.  Berilah aku keupayaan untuk datang ke sini lagi, doanya, dan ketabahan menghadapi segalanya.  Tuhanku, berilah aku kekuatan dan kesabaran untuk meneruskan sebuah pencarian.

Dia mencari dirinya di Eropah, ketika musim bunga baru berlalu dan musim panas baru bermula.  Pemandangan yang demikian indah, lebih indah daripada poskad-poskad yang pernah dilihatnya dan berbagai manifestasi tamadun manusia, membuatnya terpegun dan tersentuh akan kebolehan manusia dan keagungan Sang Pencipta.  Inikah pencariannya?  Ketika di Belgium, melawati Netherlands, mengharungi Sungai Rhine, singgah di Puncak Titlis dan Tasik Lucerne, di Switzerland.  Menyaksikan keagungan peradaban manusia di Venice, Florence, Pisa, Rome, Vatican City.  Terkenangkan Vincent van Gogh di Arles, Perancis, melawati Nice, Cannes, Paris dan mengharungi Sungai Seine.  Kembali ke United Kingdom.  Antara London yang menganugerahkan berbagai pengalaman dan Canterbury yang menimbulkan pelbagai kenangan, dia masih mendapati dirinya dalam satu jaluran pencarian yang panjang.  Di manakah akan dijumpai sebuah penemuan?

 
Siapakah yang tidak cintakan tanah tumpah darahnya?  Tempat dia bermain dan menjadi dewasa?  Siapakah yang tidak akan tersentuh, mendengar berita mengenai tanah airnya, terutama ketika dia berada di luar negara?  Bertahun di luar negara, dia tetap merindukan bunyi bising di Bedok Interchange, kesibukan di Geylang, Kampung Gelam, Katong/ Parkway dan kedamaian di pantai East Coast.  Riuh dan ragamnya anak-anak sekolah, telatah mama perata, senyuman penjual tauhue atau ‘apa khabar’ mak cik penjual nasi bungkus dan kuih.  Akankah dia tidak akan lagi terharu membaca berita anak yang ditinggalkan ibu, orang tua yang terbiar, orang muda yang perlukan rawatan ginjal atau pelajar miskin yang mengharumkan nama masyarakat?  Apakah cinta itu mesti diselarikan dengan pejalnya persetujuan, sedangkan dia adalah manusia bebas?  Apakah pencariannya bermula dari sini, ketika cintanya yang mendalam ini sering disaring dan ditafsiri?

Apa yang dialami bukan sekadar suatu kesedihan.  Perasaan itu melebihi kesedihan.  Dia berasakan semacam kehampaan, memaklumi kata-kata yang tidak diselaraskan kenyataan.  Dan dirinya terpanggang; bukan sekadar tidak diambil kira keupayaan dan usaha, malah harga dirinya.  Inikah suatu silap mata?  Tiba-tiba sepucuk surat menggelapkan masa depannya.  Pintu itu dihentam dan ditutup buat selamanya.

Inti suaranya tidak banyak berubah seperti mana suara dua orang ahli keluarganya ketika menyatakan berita buruk itu.  Hanya secebis warkah dan segala usahanya tidak memberi kesan apa-apa.  Saudarnya tergamam dan terharu mendengar nada suara yang hampir serupa superti kedua saudaranya dulu, memaklumi kesan peristiwa yang tidak jauh berbeza.   Nenek dan ibu saudaranya menangis.  Air matanya jatuh bertitisan ketika meletakkan gagang telefon itu.  Apakah yang dapat dilafazkan, apa lagi yang harus diusahakan?  Akan berlarutkah lagi sebuah pencarian?

Dia teringatkan kata-kata Shakespeare, dalam salah sebuah dramanya: ‘As flies to wanton boys, are we to the ‘gods’, they kill us for their sport’.  Betapa tidak wajar dirasakan segalanya.  Apakah ini suatu kelumrahan yang perlu ditanggunginya?  Inikah cagaran yang terpaksa dibayarnya? Tidak cukupkah segala apa yang dialami selama ini?  Atau manusiakah yang telah menjadi boneka tak berjiwa dan watak-watak wayang kulit sahaja?

Jangan.  Jangan berputus asa. Tuhan tidak memberati satu jiwa melainkan apa yang sanggup ditanggunginya.  Dia teringatkan keluarganya, sahabatnya, orang-orang yang dikasihinya.  Dia terkenangkan seorang guru yang pernah mengajarnya di sekolah menengah dulu.  Kini, segala pesanan gurunya bermain di kalbu.  Di teringat ketika menulis karangan dulu, yang berdasarkan beberapa peribahasa Melayu.  Dua buah peribahasa yang menjadi tajuk karangan, sekan-akan menjelma di hadapan: ‘Di tempat tiada helang, belalang mengaku helang’ dan ‘Anak di pangkuan mati kelaparan, beruk di hutan disusukan’.   Dan kepedihannya berlarutan.

 

Peristiwa itu telah menjejas seluruh hidupnya.  Seolah-olah segalanya hanya suatu sandiwara yang diadakan ‘asal boleh’ sahaja.  Dia terasa dirinya bagai seorang Cordelia, seorang watak dalam drama Shakespeare, berjudul ‘King Lear’.  Apakah seperti Cordelia, betapa luhur pun niatnya, tindakannya tetap di persalah, kerana dia tidak pandai memadui kata?  Apakah juga seperti Cordelia, dia akan terus disingkirkan dari Britain yang dicinta dan Raja Lear yang disayanginya?  Inikah  tragedi pencariannya?

Dia merenung awan, menyusur pantai.  Berasa demikian hampa dan keseorangan.  Apakah dia akan bermula lagi dari tangga alif walaupun pendakiannya sudah demikian jauh?  Apakah penafian demi penafian ini belum pun sampai ke tahap tepu?  Atau diakah, seperti pohon tak bernama yang pernah disajakkannya dulu, tidak akan dibenarkan menjadi rimbun dan teguh?

Dia terkenangkan dua ahli keluarganya.  Apakah perasaan terbungkam ini sama seperti apa yang mereka alami dulu?  Apakah segalanya akan terus berulang bagai lingkaran musibah yang tidak akan putus?  Dia teringatkan seorang guru, yang antara lain menulis di sijil persekolahannya: ‘She possesses a high sense of duty and an independence in thinking. She should do well…’   Itukah terkaan melulu atau harapan yang tidak akan terpenuh?  Semacam kesedihan meruangi hidupnya.  Dihabiskan masa dengan merenung, membaca, bertemu saudara dan sahabat, membuat kerja-kerja lainnya. Tetapi persoalan yang memberati jiwanya tidak pernah terjawab.  Atau inikah jawapan daripada segala persoalannya di Masjidilharam?  Inikah ertinya sebuah pencarian?

I decided long ago
never to walk in anyone’s shadow
if I failed, if I succeed
at least I live as I believe
no matter what they take from me
they can’t take away my dignity

Seni kata lagu itu membawanya kembali ke masa kini, yang perlu difikirkan dan diisi.  Betapa indah pun semalam, ia sekadar kenangan.  Betapa pahit pun peristiwa, ia sekadar pengalaman. Yang penting ialah masa kini, yang perlu dihidupi sepenuhnya dan diperkukuhkan dari peristiwa dan kenangan silam.  Dia harus merangkai masa kini,  walaupun ini bererti memilih jalan-jalan yang mungkin tidak pernah dipilih, dan memberi erti kepada kewujudan dan pencariannya selama ini.

Apakah ada hanya satu laluan untuk mencapai cita-cita?  Apakah terdapat hanya satu jalan menuju ke syurga?  Betapa banyak pilihan dalam sebuah kehidupan dan betapa besar ertinya sebuah kedewasaan.  Dia tidak akan memecahkan kepalanya untuk meruntuhkan tembok; biarlah tembok-tembok itu berdiri teguh, dia tahu bukan sekadar satu tukul besi yang berupaya dimilikinya.  Dirikanlah seberapa banyak tembok, ujar hatinya, dan manusia tetap gemilang dalam meruntuhkannya, kalau tidak kini, di suatu masa menjelang.  Dan betapa pahit pun sesuatu pengalaman, ia bukanlah rantai yang dapat membelenggu sebuah kehidupan.  Dia ingin bebas dan bahagia seperti merpati di Masjidilharam.

Tekadnya sudah kejap. Walau nanti dia mungkin menangis, dia tidak akan kecewa.  Benar, sesekali kenangan itu akan mengusik jiwanya; bila terkenangkan nyanyian lagu ‘Wind Beneath My Wings’ mereka atau telatah dan kerenah saudara dan sahabatnya.  Itu bukan suatu kelemahan, sekadar peringatan, dia juga manusia, kadang terusik oleh penghargaan dan kasih sayang sesama manusia.

Daerah itu dijengah buat kali terakhirnya.  Bagai perakam video, dia merakam segalanya dan kemudian menyimpan pita itu di suatu tempat yang tidak akan lagi dibuka.  Cukuplah sekadar di sini.  Cukuplah sekadar aku mengetahui dan memaklumi dan tidak lagi memusatkan segala titik-tolak hidupku di sini.  Apa pun hikmah Tuhan di atas segala kejadian, aku tidak menyesal, kata hatinya.  Dia yakin  sekali, suatu hari kelak, segalanya akan terjawab.  Dan pencariannya akan menemui pengakhiran yang bererti.

Tiada selamat tinggal akan diucapkan.  Apakah yang dapat diucapkan kepada peristiwa-peristiwa silam yang banyak mengajar dan mendewasakannya?   Bagaimanakah akan dituturkan menjadi penghuni yang sebenarnya tidak diterima?  Tetapi kini hatinya tidak lagi hampa, kesal, kecewa.  Bagai hujan, segalanya kini menyegarkan kerana rantai yang membelenggu kehidupannya, putus.  Semacam pembersihan jiwa atau katarsis kini mengiringi pengkelanaan dan pencariannya.

Jejaknya kini mula diatur.  Dan dia tahu perjalanannya masih terlalu panjang dan jauh…

 
Ditulis : 1 – 10 Ogos 1991
Bedok, Singapura
Tersiar : Berita Minggu (Singapura) pada 1991
Tulisan: Rasiah Halil.

*Surah Adh-Dhuhaa, Al-Quran dan Terjemahannya, KL: Pustaka Antara, 1976, halaman l070-71.

 

Cerpen: Ke Alam Ketenangan

Sudah lama aku duduk di kerusi empuk ini.  Tidak tahu apa yang mesti kubuat.  Buku-buku berselerak di atas meja yang menghala ke dewan rumahku.  Aku tidak menghiraukan.  Jam berdenting satu kali, menandakan pukul satu pagi.  Terasa kebimbangan dan keraguan merangkum seluruh jasadku.  Adakah hidup untuk derita?  Aku ingin pergi jauh jika hidup hanya untuk derita.  Dan air mata, mengapa kau mengalir?  Kau selalu menemani aku di malam sepi begini.  Malam … malam ini terasa berlainan daripada malam-malam sudah.  Ia seolah-olah mahu memujukku.  Ia seakan mengetahui rahsiaku.  Ah, aku tidak boleh turutkan perasaan.  Tangan, capailah buku-buku sastera di para-para buku itu.  Mata, renungkan sajak-sajak Chairil, Hardy, Keats, Owen, Amir Hamzah, dan Iqbal.  Hati, tenanglah sebentar.  Dan akalku, mari gambarkan kisah hidup yang paling indah.  Marilah ke Utopia.  Ketenangan … kau merapatkan hubunganku dengan alam dan sajak …

Penghuni rumahku telah lama tidur; kesunyian menyelubungi di sini.  Cuma sekali-sekala terdengar gonggongan anjing dari jiran sebelah rumah.  Si Timmy, anjing Mr. Seow, memang nakal.  Tak boleh diam sekejap.  Dan di atas mejaku ada tetamu juga. Seekor kumbang emas melanggar lampu mejaku.  Dia melanggar dan melanggar lagi.  Ting!  Ting!  Ting!  Kau mabuk,  aku bertanya, tapi sayang dia tidak mengerti.  Dia pun nakal juga.  Hampir tiap-tiap malam dia atau salah seekor daripada kawannya akan menerbang dan melanggar lampu mejaku.  Teman sejati di malam sepi.

Malam semakin larut.  Gonggongan si Timmy sudah sayup-sayup kedengaran; si kumbang kini berehat di belakang bukuku.  Angin malam berhembus.  Langsir menyapu-nyapu pipiku.  Angin menciumku.  Kau bawa pesan?  Daripada siapa?  Dia tidak mahu memberitahu.  Aku merenung bulan.  Dia tidak secantik kelmarin.  Malam ini dia ditutup awan.  Tapi kau boleh tersenyum, bukan?  Untukku?  Bulan, sampai hati kau.  Kan hampir setiap malam kita bersama?  Tolonglah aku, jangan ceritakan aku kisah derita dengan wajahmu yang muram.  Ah, kau cantik bila kau tersenyum.  Mengapa?  Ke taman?  Tapi, kan mawar dan anggerikku sudah tidur, pokok-pokok ru aku sudah berdengkur?  Kejut mereka?  Baiklah.

Aku ke taman.  Memang benar mawar, anggerik dan pokok-pokok ru aku sudah tidur.  Aku mengejut mereka dan menanti arahan dari bulan.  Mereka terpaksa menanti hingga panglima berkuda datang.  Mereka mesti menyaksikan aku pergi bersama panglima tersebut.  Itu sahaja arahan bulan.  Aku menanti.  Panglima berkuda?  Dialah panglima yang menjaga para-para bukuku.  Dia betul-betul serupa dengan ‘The Queen’s Life Guard’ yang terdapat di London.  Cuma sayang tangannya kodong sebelah dan dia pula tidak berkuda.  Aku gelarkan dia Admiral Nelson.  Tiba-tiba kedengaran bunyi kuda berlari.  Tepat seperti yang di janjikan, Admiral Nelson datang untuk mengambilku.  Pokok-pokok di tamanku melambai-lambai …

“Cepat,” katanya, “mereka sedang menunggu”.  Aku terus meloncat ke atas belakang kuda.  Aku tidak berani bertanya siapa ‘mereka’ itu.  Nelson memacu kuda putihnya.  Makin lama makin cepat pelarian kuda itu.  Kuda kami melalui gunung-ganang, padang-padang pasir dan tempat-tempat yang sungguh mengilhamkan, yang tidak pernah aku lihat.

“Kau suka pemandangan ini?” Nelson bertanya.

“Suka, tapi kita di mana?”  Dia tertawa girang mendengar pertanyaanku.  Tapi akhirnya dia terpaksa memberitahuku juga.

“Di alam idaman kau –- alam ketenangan.  Tapi kau mesti balik segera bila tiba masanya,” dia memesanku, seolah-olah aku Cinderella. Seketika, kami berhenti.  Aku turun dari kuda putih Nelson dan kemudian Nelson dan kudanya menghilang dari pandanganku.

Aku mencari-cari ‘mereka’ yang dikatakan menungguku.  Seorang pun tidak ada. Tapi tempat ini terlalu mengkhayalkan.  Cuacanya amat sesuai sekali; bukan malam dan bukan siang.  Langit kelihatan perang di sebelah timur dan berwarna biru muda di sebelah barat.  Ada pelangi yang bermula dan berakhir di bukit sebelah sana.  Dan di hadapanku berhamparan rumput-rumput hijau bagaikan permaidani.  Pokok-pokok bunga pun banyak terdapat.  Besar-besar dan cantik-cantik bunga-bunganya.  Ada yang memanggil namaku.  Aku tidak hiraukan.  Tempat ini terlalu indah dan mempesonakan.  Oh, di mana aku?  Syurga?  Mengapa banyak sekali burung-burung di sini?  Mereka menyanyikan lagu riang untukku? Dan binatang-binatang ini?  Mengapa mereka begitu jinak?

Ada yang memanggil namaku.  Siapa?  Orangnya berpakaian Melayu, lengkap dengan destar dan capalnya sekali.  Dia mengajakku pergi ke bukit tempat pelangi bermula dan berakhir.  Katanya namanya Hamzah.  Hamzah Fansuri*.  Entahlah, aku mengikut saja.  Di puncak bukit itu terdapat sekumpulan manusia yang menunggu kedatanganku.  Seorang daripada mereka, bermisai dan tertua daripada yang lain-lain, datang mendapatkan aku.  Orangnya peramah.

“Kau kenal kami bukan?” pertama pertanyaannya.  Agaknya aku kenal.  Wajah mereka seakan-akan pernah aku ketemu.  Dan dia yang bermisai?  Thomas Hardy*!  Ya, Hardy yang kupuja, Hardy yang kuminati sajak-sajaknya!  Di situ pula?  Owen?  Wilfred Owen*!  Oh!  Betapa gembiranya dia.  Dan di sana?  Amir Hamzah*, John Keats*, dan entah siapa-siapa lagi berkerumun di sebelah batu yang agak besar.  Mereka sedang membincangkan sesuatu dan nampaknya mereka sangat gembira di atas kedatanganku.

“Aku ingin menolong kau,” Chairil* membuka bicara dengan keakuannya. “Aku tahu jiwa kau tak tenang.  Kau selalu mencari-cari.  Aku akan cuba menolong kau mencari ketenangan.”

“Tapi bagaimana kau kenal aku, kau tahu rahsiaku?”  Mereka tertawa.  Tapi mereka bukan tertawa mengejek.  Ada satu keistimewaan dalam ketawa mereka itu.  Aku menangis kerana terlalu gembira.  Aku menangis lagi, kali ini entah mengapa pula.  Wilfred memujukku.  Oh, benarkah ini kenyataan atau mimpi?  Kan mereka semua sudah mati, bagaimana mereka boleh bersamaku?  Chairil dapat menangkap keraguanku, lalu menerangkan:

“Sajak-sajak aku dan mereka yang selalu kau baca itulah perantaraan antara alam kau dan alam kami.  Kami ingin kau mengecap kebahagiaan seperti yang telah kami kecap.  Dunia ini bukanlah tempat berduka, kebahagiaan dan ketenangan ada di mana-mana…”  Aku nampak mata Chairil berlinangan.  Oh Chairil, benarkah kebahagiaan ada di mana-mana?  Benarkah?  Aku menangis lagi.  Thomas Hardy mendampingi aku.

“Anak,” katanya, “selagi kau menjalankan tugas-tugas kemanusiaanmu, kau tetap benar.  Biar seribu mengatakan kau bersalah, tapi jangan takut jika kau tidak bersalah.  Hidup ini adalah satu cabaran, kau mesti berani menegakkan nilai-nilai hidupmu walaupun ada yang tidak menyetujuinya.  Kau tetap kau dan kau mesti membuktikan kecekapanmu dalam apa bidang pun yang kau pilih dalam hidup ini.  Jadi, jangan lagi bersusah-susah hati.”

Aku memeluk Hardy.  Kedewasaan umurnya dan kematangan kata-katanya memberi aku keyakinan baharu untuk terus hidup dengan sebenar-benar hidup.  Kemudian, Chairil dan Hardy memimpin tanganku menuju ke penjuru bukit itu.  Yang lain masih berbincang.  Aku dengar suara berfalsafah Hamzah Fansuri, suara tegas antiperang Wilfred, suara sayu Amir Hamzah, suara Keats dan suara dan suara …

Memandang dari penjuru bukit ini kelihatan pokok-pokok hijau yang melambai.  Kedengaran burung-burung berkicau riang, ombak laut nun jauh berirama dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.  Inikah kebahagiaan?  Tangan Hardy dan tangan Chairil begitu mesra di tanganku.  Tangan mereka memberi aku semangat untuk menghadapi segala rintangan.  Aku sungguh gembira bersama mereka.  Tapi alamku dan alam mereka jauh berbeza.  Alamku memerlukan aku untuk terus berusaha dan alam mereka menghendaki aku mencatat rasa.  Alamku … alam mereka … dua alam sama dicinta.  Aku … tapi kuda Nelson sudah sayup-sayup kedengaran.  Aku mesti pulang.  Mestikah aku?

Chairil memberiku sehelai kertas, tanda persahabatan kita.  Kau akan tolong aku, kan Chair?  Yang lain-lain mendoakan kejayaanku.  Dan yang paling sedih sekali ialah sewaktu aku berjabat tangan dengan Thomas Hardy.  Aku terlalu sayangkannya, sayangkan cara hidupnya, sayangkan kata-kata nasihatnya.  Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telingaku …

“Anak, ketenangan dan kebahagiaan ada di mana-mana selagi kau pandai menerima hidup sebagai kurniaan Tuhan yang paling berharga.  Sejuta masalah dan sebarang kekacauan tidak akan menyekat kau daripada berterima kasih dan menggunakan hidup ini dengan sepenuh-penuhnya.  Pandai-pandailah …”  Dia mahu berpesan lagi tapi Nelson sudah tercegat di sisiku.  Aku mesti pergi.  Adieu pencari ketenangan … Chairil … Hardy … Aku menangis ketika Nelson menaikkan aku ke atas kuda putihnya.

Aku menangis dan menangis.  Tiba-tiba ketenangan alam sekitarku dipecahi oleh suara bilal dari masjid di sebelah lorong. Inikah ketenangan dan kebahagiaan?  Mengapa aku menangis.  Di mana aku?  Hardy?  Chairil?  Mataku menjalar ke meja.  Di atas meja berselerak buku-buku sastera.  Di manakah aku sebentar tadi?  Sehelai kertas usang terjatuh dari meja oleh tiupan angin malam.  Tertulis di dalamnya:

Panggillah aku bila kau kesunyian
Aku akan membawamu ke alam ketenangan.
– Chairil Anwar

Aku semakin terpinga-pinga.  Admiral Nelson?  Aku menoleh ke arah para-para bukuku. Soldadu plastik itu masih tersenyum dan menjaga setiap bukuku seperti biasa.  Tapi di sebelahnya tercegat seekor kuda putih.  Siapa taruh kuda plastik itu?  Aku tak tahu.  Dan surat ini, siapa yang beri?  Aku semakin hairan.  Benarkah aku telah bertemu dengan Chairil Anwar dan Thomas Hardy?  Mungkinkah aku ke sana lagi?  Atau saat inikah alam ketenangan yang dijanjikan Chairil menjelma?  Ayat-ayat suci dari Masjid Abdul Aleem Siddique, di Lorong K, Telok Kurau,  begitu tenang meresap ke hatiku.  Ketenangan dan kebahagiaan adakah bermula pada saat ini?

*Hamzah Fansuri – penyair sufi dan pemikir dari Aceh, abad 16 – 17 Masihi.
*Thomas Hardy – novelis dan penyair Inggeris, 2 Jun 1840 – 11 Januari 1928
*Wilfred Owen – penyair Inggeris, 18 Mac 1893 – 4 November 1918
*Amir Hamzah – penyair Indonesia, 28 Februari 1911 – 20 Mac 1946
*John Keats – penyair Inggeris, 31 Oktober 1795 – 23 Februari 1821
* Chairil Anwar – penyair Indonesia, 26 Julai 1922 – 28 April 1949

Ditulis  : Akhir 1973 (ditambah nama dan penerangan mengenai ‘Wilfred Owen’ pada awal 1974)
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar : Ruangan Remaja, Radio Singapura (RTS) 1973 dan Jurnal Jejak Kembara, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura,  Bilangan 11, 1978/79.