Archive | November 2013

MUHARAM 1435 HIJRIAH/ NOVEMBER 2013 MASIHI

Bulan Muharam baru sahaja mendatangi kita. Kita maklum makna hijrah Rasulullah saw bersama Sayidina Abu Bakar ra dari Makkah ke Madinah suatu zaman dahulu. Dan kita juga sedia maklum lain-lain peristiwa bersejarah yang terjadi pada bulan Muharam ini.

Pengetahuan kita mengenai terjadinya hijrah Nabi saw dan pelbagai peristiwa bersejarah semasa bulan Muharam kadangkala tidak semestinya membuat kita benar-benar memahami makna sebuah ‘hijrah’. Benar, kita mungkin tidak didera keadaan untuk meninggalkan tanah tumpah darah kita atau terlalu dipersempitkan kehidupan yang kita jalani. Keadaan hidup yang kita jalani hanya yang sederhana dan biasa-biasa sahaja. Namun yang dianggap sederhana dan biasa-biasa itu juga memerlukan kita menghadami makna ‘hijrah’ kerana kadangkala yang dianggap biasa itu yang meruntun jiwa. Siapakah di kalangan kita, orang-orang biasa dan sederhana ini, tidak pernah berasa kesedihan, kehilangan, kerisauan, kebuntuan fikiran, disukarkan oleh pelbagai kehendak hidup dan kecelaruan? Anak muda ada masalahnya, demikian juga yang dewasa. Yang berkeluarga atau belum/tidak berkeluarga juga demikian. Sebagai manusia biasa kita tidak sepi daripada diganggu pelbagai hal.

Hijrah Nabi saw menjadi iktibar bagi kehidupan kita – demikian Baginda mencintai Makkah dan penghuninya, demi tujuan yang lebih besar, Baginda meninggalkan Makkah. Di Makkah Baginda dibesarkan, di Makkah Baginda mendirikan rumah tangga dengan Sayidatina Khadijah ra dan di Makkah juga isteri tercinta Baginda dikuburkan.

Bukan mudah meninggalkan sesuatu atau perkara-perkara mahupun orang-orang yang kita sayang. Kita mungkin tidak punya kekuatan melakukan semacam penghijrahan Nabi saw dan juga Kaum Muhajirin yang turut berhijrah ke Madinah setelah penghijrahan Baginda ke sana. Tapi kita mungkin dapat melakukan ‘penghijrahan’ yang kecil-kecil sempena Tahun Baharu 1435 Hijriah ini.

Mungkin dapat kita ubah beberapa tabiat kita yang kurang elok, menukar cara kita bekerja atau menangani sesuatu, belajar berbelanja dengan saksama, lebih bijak membahagi masa, mengutamakan perkara-perkara yang pokok dan sebagainya. Banyak hal yang boleh kita ubah, tahap demi tahap, agar tujuan kita menuju kesejahteraan dunia dan akhirat akan kesampaian.

Ada masanya sukar bagi kita untuk berubah kerana kesan sesuatu peristiwa atau kejadian itu amat menjejas kehidupan kita. Kita sukar melupakan yang silam dan sukar pula mensaksamakan keadaan sekarang. Yang silam, bukan kisah-kisah indahnya, kita benarkan membelenggu kita demikian lama. Bagaimanakah harus kita ‘berhijrah’ daripada kesan peristiwa-peristiwa pahit ini?

Saya teringat sebuah lagu lama, ‘Mengapa Dirindu’, nyanyian penyanyi yang saya gemari, Biduanita Saloma. Lagu ini memberi kesan, pertama kali saya mendengarnya lama dahulu kerana rentaknya yang lembut dan seni katanya yang indah. Bagaikan pantun tradisional yang menawan, seni katanya kaya dengan unsur alam serta berlapis maknanya dan lagunya mengalun bagaikan tiupan bayu senja. Biarlah saya perturunkan keseluruhan seni kata lagu ini:

Mengapa Dirindu
Anak punai anak merbah
terbang turun buat sarang
anak sungai pun berubah
ini pula hati orang
mengapa dikenang.

Asal kapas jadi benang
dari benang dibuat baju
barang lepas jangan kenang
sudah jadi orang baru
mengapa dirindu.

Kasih yang dulu
tinggal dalam mimpi
kasih yang baru
simpan di hati.

Selat teduh lautan tenang
banyak labuh perahu Aceh
jangan kesal jangan kenang
walau hati rasa pedih
mengapa bersedih.
Kalau pinang masih muda
rasanya kelat sudahlah pasti
kalau hilang kasih lama
cari lain untuk ganti
mengapa dinanti.

Patah ‘kan tumbuh
hilang berganti
luka ‘kan sembuh
kalau diubati.

Sayang mengapa dirindu…

Nyanyian: Biduanita Saloma
Lagu Ciptaan: Ahmad Wan Yet
Seni Kata Ciptaan: Zain Mahmood.

Dengan lembut lagu ini mengingatkan kita bahawa ada masa-masanya, ‘barang lepas jangan kenang’ kerana seperti yang pernah dilagukan P.Ramlee, ‘kalau dikenang meracun diri’. Biarlah kita kenang yang baik, yang kurang baik kita jadikan iktibar agar ia tidak berulang dalam kehidupan kita.

Saya dapati seni kata lagu ini begitu indah mengajak kita agar melupakan peristiwa-peristiwa pahit yang berlaku pada zaman silam; anak sungai pun boleh berubah apakah tidak mungkin hati orang pun boleh berubah terhadap kita? Kalau kita sedia menerima hakikat ini bahawa hati manusia senang dibolak-balik dan berubah, walaupun sukar, mudah sedikit kita menghadami fakta ini.

Kita terpaksa melupakan yang silam, yang ‘menyeksa’ hidup kita kalau kita ingin ‘berhijrah’ ke suatu pengalaman atau daerah yang baharu. Kadangkala kita harus menutup satu pintu untuk membuka pintu yang lain pula kerana kedua-dua pintu tidak boleh terbuka secara serentak.

‘Kasih yang dulu’ dalam lagu ini bukan hanya orang yang kita kasihi tetapi boleh juga bermakna sesuatu yang kita amat gemari – kita harus ‘tinggalkan’ hal itu dalam mimpi kerana kerana kita perlu mengisi hati kita dengan ‘kasih yang baru’ pula. Inilah perubahan yang dipinta kalau kita ingin memulakan kehidupan baharu. Tanpa ‘menukar haluan’ ini, kita akan selamanya terbelenggu oleh masa silam yang menyukarkan kehidupan kita.

Betapa indah seni kata lagu ini mengingatkan bahawa hati dan kehidupan kita boleh diisi dengan ‘kasih yang baru’ dan apa pun kehilangan atau kesukaran yang kita alami, kita harus yakin, kehidupan ini, dengan rahmat Allah, akan selalu memberi kita ‘pengganti’, yang tidak bermakna hanya manusia yang kita kasihi. Kalau kita bersikap terbuka, banyak ‘pengganti’ akan kita temui – baik orang-orang yang pernah kita sayangi, minat kita kepada sesuatu, kerjaya impian kita dan sebagainya. Kerana kehidupan ini akan selalu menghadiahkan kita dengan pelbagai pilihan seandainya kita yakin bahawa ‘patah ‘kan tumbuh/hilang berganti/luka ‘kan sembuh/kalau diubati’.

Mungkin sesuatu yang kita sukai itu sukar untuk digantikan dan tumbuh mekar dalam hidup kita tetapi kalau kita yakin, setiap sesuatu boleh juga diganti atau yang menyakitkan boleh disembuhkan, kehidupan yang terhampar akan terasa lebih luas dan lapang. Yang penting tentulah sikap kita terhadap apa pun yang kita hadapi. Banyak perkara mungkin kita tidak boleh ubah tetapi kita boleh ubah respons kita kepada perkara-perkara tersebut.

Begitu juga bila kita belajar memaafkan diri kita bukan kerana perbuatan-perbuatan silam kita baik-baik belaka tetapi kita mula belajar daripada kesilapan-kesilapan itu dan berusaha untuk tidak mengulanginya. Demikian juga apabila kita memaafkan orang lain yang pernah melakukan pelbagai perkara buruk terhadap kita. Ia tidak bermakna orang-orang tersebut tidak melakukan kesalahan tetapi kita sebagai individu tidak mahu lagi menanggung beban membenci atau memusuhi orang-orang tersebut. Kalau orang-orang tersebut tidak meminta maaf atau bertaubat, biarlah. Akhirnya beban keresahan itu akan mereka tanggung dan hadapi jika tidak semasa hidup, ketika di akhirat nanti. Dan kita pula belajar mengikhlaskan hati kita agar beban silam itu tidak memberatkan perjalanan hidup kita. Mungkin kita sekadar berbasa-basi sahaja atau demi kemaslahatan semua, lebih mendepakan diri daripada orang-orang tersebut dan tidak boleh lagi menjadi insan yang mereka kenal dahulu dan ini mencukupi. Yang silam itu kita tutup kerana kita sudah menjadi ‘orang baru’ sebagaimana dilagukan Saloma.

Dengan tahun baharu Islam ini, mudah-mudahan ‘hijrah’ kita yang kecil-kecil dapat akhirnya memusarkan yang lebih bermakna dalam kehidupan kita dan mereka yang kita sayangi. Apa pun kesukaran yang telah, sedang dan bakal kita tempuh, hanyalah seketika berbanding dengan pelbagai ujian yang dihadapi Nabi saw yang kita cinta dan sanjungi. Keberanian kita untuk berubah ke arah yang lebih baik, ketabahan kita menghadapi apa pun kesukaran dan keyakinan padu kita kepada rahmat Allah mudah-mudahan akan selalu mendorong kita mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat, insya-Allah.

Tulisan: Rasiah Halil, 8 Muharam 1435 Hijriah/12 November 2013 Masihi.

Sang Pelayar

Jangan seksa dirimu begini
bagai pelayar purba Coleridge
berpindah dari tempat ke tempat
memikul beban dosa
meluahkan dalam ceritera duka
kerana tersilap langkah
di laut terbuka.

Engkau yang mengenali gelora laut
bahasa angin, pertukaran musim,
akankah selamanya terbelenggu
oleh dosa pertama & terakhir itu
membunuh seekor helang laut
yang tiba-tiba muncul dalam pelayaranmu?

Akankah dosa itu menjadikan kau
pelayar yang tidak lagi mencintai lautan
bintang petunjuk atau panggilan pulau
sedang perairan ini begitu luas & dalam
banyak khazanah laut yang belum kaukenal
& pantai-pantai waktumu masih panjang.

Belajarlah memaafkan dirimu
bagai kapal yang pulang ke pelabuhan teduh
sedia diperbaiki, diperlengkapi,
untuk pelayaran yang lebih jauh
belajarlah melupakan seekor helang laut
yang pernah berpusar-pusar, mengganggu,
kerana ia juga tidak tahu
perbuatannya menempuh maut.

Sang pelayar
samudera ini terbentang luas
helang laut hanyalah kisah purba
belajarlah memaafkan dirimu
setelah terhukum sebegini lama.

Ditulis: 14hb Januari 1990
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Bagai Phoenix

Betapa sukar memaafkan semalam,
& payahnya melupakan, kesedihan yang
terlalu lama bertakung, pada perigi pengalaman,
bahawa mereka yang seharusnya menyayang,
berwajah tidak peduli & mendendam, rumah bukan
lagi perlindungan, & kasih sayang adalah kenangan.

Pelbagai cara Tuhan mengajar manusia,
tentang nilai & erti dewasa,
& bagai phoenix, aku bangkit dari segala duka.

Ditulis: 23hb Ogos 1981
Asrama Nanyang, Jurong, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Nyanyian Si Anak Dagang

nyanyian si anak dagang

Nyanyian Si Anak Dagang merupakan kumpulan sajak terbaru Rasiah Halil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dapatkan buku ini di kedai-kedai berikut:

1. Muslimmedia di Wisma Indah
2. Hj Hashim di Joo Chiat Complex
3. Muzika Records di Joo Chiat Complex
4. Wardah Books di Bussorah St.