Berpisah Juga Kita Akhirnya – Berpulangnya Sepupu Saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab Ke Rahmatullah Pada 18 Oktober 2023 Di Ampang, Selangor, Malaysia

Mukadimah

Bukan mudah menulis rencana ini kerana saya seakan tidak boleh menulisnya. Melihat gambar-gambar lama, mendapatkan beberapa fakta daripada anak-anak saudara saya di Selangor, merenung masa-masa yang berlalu, terasa cepatnya berputar roda kehidupan kita. Dan walaupun kami sedia maklum hidup ini lawannya mati dan reda akan takdir Allah, bagi sebilangan ahli keluarga saya, pemergian sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab pada 18 Oktober 2023 lalu tetap menyentak dan menimbulkan rasa hiba.

Keluarga Besar Saya

Ibu Rokiah/Rogayah merupakan adik kandung ibu saya, yang kami panggil ‘Mak Busu’atau ‘Mak Busu KL’. Allahyarhamah Mak Busu saya membesar di Singapura tetapi berpindah ke Selangor, Malaysia, setelah berkahwin dengan orang Malaysia, yang kami panggil ‘Pak Busu’. Adik-beradik ibu saya pada tahun-tahun 1940-an/1950-an itu bukan hanya berada di Singapura, malah di Johor, sebelum Mak Busu saya menetap di Selangor. Mak Busu dan Pak Busu saya dikurniakan dua anak perempuan, Rogayah dan Zainah. Bagi keluarga berangkai saya di Singapura, kedua-duanya diberi nama panggilan yang lain iaitu Kiah atau Rokiah dan Nab atau Zainab. Di Malaysia, sepupu saya dipanggil dan membahasakan dirinya Gayah atau Rogayah.

Kami kerap juga bertemu pada tahun-tahun 1960-an dahulu, terutama apabila keadaan keluarga kami lebih selesa. Ibu bapa saya akan membawa kami ke rumah Mak Busu dan Pak Buku saya di Kampung Puah, dengan menaiki kereta stationwagon berjenama Holden. Bapa saya ketika itu memiliki syarikat pengangkutan perkapalannya yang terletak di Telok Ayer Basin tetapi beliau tidak pandai memandu lantas mempunyai seorang pemandu yang digajikannya. Dengan kereta stationwagon itulah bapa saya pergi ke pejabatnya dan ia juga membawa keluarga kami ke beberapa tempat, termasuk ke Kuala Lumpur. Semasa cuti sekolah dan jika ada pertandingan bola sepak di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, akan menyusurlah kami ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta tersebut kerana bapa saya berminat betul dengan bola sepak dan mendapat kerabat yang sama berminat, iaitu Pak Busu saya. Disebabkan hal-hal begini, keluarga Mak Busu KL saya dan kami begitu akrab. Ada gambar-gambar kami yang diambil di studio pada zaman 1960-an itu dan ini masih dalam simpanan kami. Keakraban berulang-alik ke Malaysia – Singapura terutama semasa cuti sekolah ini seakan-akan terhenti apabila ibu bapa saya berpisah pada bulan Jun, 1968.Tiada lagi peluang kami ke rumah Mak Busu KL saya dengan menaiki kereta sendiri. Hanya pada awal tahun-tahun 1970-an sebilangan kami yang lebih muda, sudah berani ke KL dengan menaiki bas atau kereta api. Namun perubahan cara berkunjung ini tidak menjejas hubungan kedua keluarga kami.

Setelah perpisahan ibu bapa saya, keluarga kami di Johor amat jarang sekali menjengah kami kerana berasa segan ibu saya tiada di rumah kami. Hanya dua buah keluarga di Singapura – keluarga sebelah ibu saya dan keluarga sebelah bapa saya yang masih kerap berkunjung dan bersama kami. Dan di Kuala Lumpur, keluarga Mak Busu saya tidak pernah melupakan kami, lantas bersambung lagi kemesraan kedua-dua keluarga kami.

Walaupun hanya sepupu, hubungan kami dengan Kiah dan Zainab bagaikan adik-beradik. Suatu panggilan yang saya selalu kaitkan dengan Kiah ialah cara Arwah mengenalkan kami kepada seseorang di KL. Kiah akan berkata: Ini abang/kakak sepupu saya atau dalam bahasa Inggeris: This is my cousin-brother or cousin-sister. Sejauh yang saya tahu ketika itu, tiada sesiapa yang menggunakan istilah sedemikian dalam kalangan keluarga saya. Namun itulah gambaran perhubungan kami.

Cerita Kiah

Kiah dilahirkan pada 1 Mac 1954 di Kuala Lumpur. Arwah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin dan juga Air Panas Girls’ School, kedua-duanya dalam wilayah KL. Setelah lulus SPM/Form Five, Kiah bekerja di pejabat di sekitar KL. Pada zaman pembesaran itu, Kiah sekeluarga dan kami di Singapura lebih kerap saling mengunjungi, walaupun ibu saya meninggal dunia pada 1975. Bapa saya terbuka menerima bekas adik iparnya sekeluarga dan ini tidak terjejas kerana perpisahan ibu bapa saya atau kematian ibu saya.

Hubungan Kiah paling akrab dengan kakak kedua saya, yang hanya setahun lebih muda daripadanya. Mereka sama ringan mulut, mula bekerja pada tahun-tahun 1970-an dan mendirikan rumah tangga juga pada tahun-tahun 1970-an – kakak saya berumah tangga pada Disember 1975 dan Kiah pada Disember 1976. Suami mereka juga rapat antara satu dengan lain; mereka bagaikan dua pasang adik-beradik, yang happy couple, yang dapat berkongsi susah senang kehidupan dan hidup berumah tangga. Kedua-duanya juga mendapat anak pertama pada tahun-tahun 1970-an itu. Kiah dan suaminya Zainuddin dikurniakan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Kakak dan abang ipar saya pula dikurniakan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Selain bekerja di pejabat, Kiah juga kemudiannya bersama suami dan adiknya mengusahakan perniagaan alat tulis/barang-barang pejabat sementara kakak dan abang ipar saya membantu dalam perniagaan keluarga kami ketika itu. Anak-anak mereka membesar bersama dan hubungan yang akrab ini menghubungkaitkan juga anak-anak adik beradik saya yang lain. Acara-acara perkahwinan dan majlis-majlis tertentu atau sekadar pergi bercuti dan berkunjung kerap diadakan. Sebagaimana kami dengan Kiah dan Zainab rapat, begitu juga anak-anak saudara saya, malah mereka ada ‘geng’ tertentu dalam keluarga besar kami.

Pada tahun-tahun 1980-an keluarga saya mula ‘bertebar’ di beberapa pelosok dunia; ada yang menetap di United Kingdom, Brunei dan Canada namun hubungan kekeluargaan itu, tanpa adanya Internet secanggih sekarang atau telefon bimbit masih teguh diramaikan oleh pelbagai kisah dan kerenah anak-anak dan anak-anak saudara keluarga besar kami. Kiah menjadi jambatan penghubung keluarga di KL dan kakak saya pula berperanan sama di Singapura. Malah melalui Mak Busu saya dan kemudian Kiah, keluarga berangkai saya di Johor dapat dipertalikan kembali, walaupun sebilangan besar ibu dan bapa saudara saya di Johor semakin uzur atau telah meninggal dunia ketika itu. Keluarga Kiah agak kecil; Mak Busu saya hanya seorang yang tinggal di KL dan Pak Busu saya pula tiada keluarga rapat di KL. Kiah pula hanya mempunyai seorang adik. Apabila Kiah berumah tangga, suaminya pula merupakan anak tunggal dan adanya keluarga berangkainya pun agak jauh dan tidak seakrabnya, iaitu di Perak. Ini memungkinkan lagi hubungan kekeluargaan kami lebih akrab pada zaman-zaman itu semasa Kiah sekeluarga tinggal di Gombak dan kemudian Kampung Bahru. Dan walaupun orang tua kami satu-satu meninggal dunia – ibu saya pada Ogos 1975, bapa saya pada Mac 1977, Mak Busu saya pada Mac 1993, Pak Busu saya pada Disember 1996 dan nenek kami pada Disember 1991 – keluarga kami ditautkan lagi oleh generasi saya dan generasi anak buah saya. Saya tidak fikir pertautan ini akan kukuh tanpa keadaan-keadaan yang memungkinkan Kiah sekeluarga dan kami sekeluarga menjalin hubungan yang akrab, melangkaui generasi ibu bapa kami.

Selain berniaga, Kiah juga bergiat dalam Wanita Umno pada zaman itu. Saya pernah menginap selama setahun di KL dan pernah juga menjenguk ke Perhimpunan Umno pada 1996 atau 1997, kerana harus berjumpa dengan Kiah. Saya tidak berlama di perhimpunan tersebut kerana itu bukan tujuan saya. Kiah terpanggil untuk terlibat dalam Wanita Umno ketika itu kerana percaya akan perjuangan mereka.

Yang Tidak Disangka-sangka

Seperti kebanyakan keluarga, keluarga besar saya juga ada mengalami kegenjotan dalam kalangan anggotanya. Itu bagi saya hanyalah perkara biasa. Berpulangnya nenek dan ibu bapa kami, walaupun memilukan, sesuatu yang terpaksa kami terima dan meneruskan kehidupan ini seadanya. Yang tidak disangka-sangka yang sering menyentak jiwa.

Dalam keadaan yang kelihatan sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan, kakak saya tiba-tiba dijengah barah payudara pada September 1999. Ini amat memeranjatkan kami. Kiah juga turut terperanjat kerana kakak saya bukan sekadar sepupunya, malah sahabat karib dan keluarga terdekatnya. Mereka sering berhubungan dan banyak cerita dan masalah yang mereka kongsikan bersama. Kakak saya menjalani pembedahan mastektomi tetapi tidak menjalani kemoterapi kerana dipulihkan dengan cara memakan ubat yang diberi pihak hospital. Melalui peristiwa ini, kami difahamkan ada ahli keluarga sebelah ibu saya juga dijengah barah dan meninggal dunia kerananya – barah payudara dan barah pangkal rahim ketika itu. Ia menjadi semacam kejutan bagi ahli keluarga lain agar lebih berhati-hati mengenai isu kesihatan.

Apabila kakak saya pulih, kami gembira bukan kepalang dan segala-segala dalam kehidupan keluarga besar saya berjalan seperti sediakala. Diselang-selikan acara yang menggembirakan seperti melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik, perkahwinan, mendapat cucu dan sebagainya, satu lagi peristiwa ngeri menjengah keluarga besar saya – Kiah dijengah barah payudara pada Mei 2001. Kiah menjalani kemoterapi, rambutnya yang lebat dan panjang gugur dan Kiah lemah menghadapi ini. Ketika itulah Kiah tidak lagi bergiat dalam Wanita Umno dan suaminya, Zainuddin, tidak menggalakkan Kiah bekerja lagi. Itulah dua kejutan yang cukup memeranjatkan dan sukar dilupakan. Dan selepas tahun 2001 itu, ada juga ahli keluarga besar saya dijengah barah tetapi ia tidak membawa maut.

Kedua-dua Kiah dan kakak saya kembali sihat dan aktif dalam bidang pilihan masing-masing. Kiah tidak lagi bergiat dalam Wanita Umno tetapi memilih untuk terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan yang membantu pesakit barah misalnya Breast Cancer Foundation, Pink Unity, National Cancer Society Malaysia, menjadi sukarelawan di Institut Kanser Negara serta melakukan lawatan ke hospital untuk menasihati pesakit yang baru dijengah barah. Kehidupan seakan berjalan dalam temponya yang biasa.

Pada 3 Mac 2010, tanpa disangka-sangka, anak saudara kami, anak adik Kiah, bernama Hezairul, meninggal dunia kerana masalah jantung. Hezairul rapat dengan sepupu-sepupunya di KL, anak-anak Kiah. Allahyarham baru berusia 31, satu-satunya anak sepupu saya yang bernama Zainab, menyayangi dan menyara kehidupan ibunya, yang membesarkannya sebagai ibu tunggal. Belum pun lama kami menghadami kehilangan Hezairul, yang turut disayangi sepupu-sepupunya di luar Malaysia, adik Kiah, yang setelah kematian anaknya tinggal bersama Kiah sekeluarga di Ampang, meninggal dunia kerana masalah jantung pada 15 Mac 2013. Zainab baru berusia 54 tahun dan telah lama menghidap beberapa masalah kesihatan.

Tidak berapa lama kemudian, suami Kiah, Zainuddin, pula dijejas barah prostat pada 2013. Ini kemudian bercambah kepada barah sarkoma pada 2014. Allahyarham juga menghidap 2 penyakit kronik iaitu darah tinggi dan kencing manis. Ada anggota keluarga saya berulang-alik ke KL apabila mengetahui berita-berita sedih ini. Kakak dan abang ipar saya, yang akrab dengan Kiah dan Zainuddin pula semakin meluangkan masa berkunjung dan bertanya khabar melalui telefon. Sepupu saya, Kiah, menjadi balu apabila suaminya, Zainuddin, meninggal dunia pada 23 Januari 2014. Dalam masa yang purata singkat, Kiah kehilangan suami, adik dan anak saudaranya dan kedua ibu bapanya pula telah lama meninggal dunia. Yang ada hanyalah anak-anak dan cucunya serta kami, keluarga berangkainya yang jauh di mata.

Kehidupan Kiah Selepas 2014

Selepas kematian suaminya, seperti kebanyakan pasangan yang lain, Kiah mengalami kesunyian yang mendalam. Mereka sekeluarga lebih kerap ke Singapura dan hubungan Kiah dengan keluarga besar saya, terutama keluarga kakak saya dan juga keluarga adik lelaki saya di Brunei lebih diperteguhkan lagi. Kami meraikan perkahwinan-perkahwinan atau majlis-majlis kekeluargaan dengan lebih meriah lagi dan ada yang semakin meluangkan masa untuk bersantai atau bercuti bersama kerana memaklumi kami sudah mula kehilangan beberapa anggota keluarga seperti Hezairul, Zainab dan Zainuddin serta suami salah seorang anak saudara saya, anak kakak sulung saya, pada usianya 30-an tahun.

Dengan bertambahnya usia sebilangan ahli keluarga segenerasi saya mula dijengah pelbagai penyakit. Seperti suami Kiah, abang ipar saya, sahabat dan kerabat karib Zainuddin, juga dijengah barah prostrat pada tahun 2020. Tetapi bezanya, barah tersebut dapat dicantas lebih awal dan abang ipar saya pulih.

Tahun lepas, 2023, yang bermula dengan keceriaan bertukar kepada semacam rasa hiba yang tidak berkesudahan. Anak sulung kakak dan abang ipar saya, sekeluarga berhijrah ke negara lain pada bulan Jun 2023. Kiah sekeluarga beberapa kali berkunjung ke Singapura kerana mahu menyambut Hari Raya bersama-sama dan berjumpa anak saudara saya dan keluarganya, sebelum mereka berhijrah. Kiah, anak-anak, menantu dan cucu-cucunya serta kakak dan abang ipar saya dan juga adik saya di Brunei serta isterinya sempat bercuti ke Pulau Pinang pada awal Februari 2023 lalu. Semua kelihatan sihat-sihat belaka. Tetapi sejak awal 2023, Kiah semakin susut tubuhnya dan Allahyarhamah tidak sebecok dan seceria selalu.

Kali terakhir saya melihat Kiah di Singapura, dengan keceriaannya yang semakin terbatas tetapi kelihatan tidak menghidap apa-apa penyakit ialah pada bulan Jun 2023. Pada bulan Julai 2023, secara tiba-tiba, kedua-dua Kiah dan kakak saya dibawa ke hospital. Kakak saya disahkan Hospital Changi, di Singapura, sebagai penghidap penyakit barah usus. Kiah pula, walaupun dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi, di Hospital Ampang, masih belum dapat disahkan penyakit yang melandanya. Dan walaupun kemudian dipindahkan ke hospital swasta, Hospital Gleneagles, banyak perkara yang belum dapat dipastikan mengenai penyakit Kiah dan cara merawatnya. Yang pasti, Kiah tidak boleh dibius (general anesthesia) kerana ini boleh membawa maut. Jantung serta paru-parunya dipenuhi air dan cara mengeluarkan air tersebut rumit dan boleh lebih memudaratkannya.

Mulai Julai tahun lepas sebilangan ahli keluarga berangkai saya dari beberapa pelosok negara mengunjungi atau menghubungi Kiah dan juga kakak saya. Saya sempat mengunjungi Kiah mulai 21 Julai lalu, berbual-bual dengannya, membacakannya ayat-ayat syifa dan memberi ayat-ayat tersebut kepada anak-anaknya untuk diamalkan untuknya sebagai salah satu langkah rawatan. Demikian juga saya berikan ayat-ayat tersebut kepada anak saudara saya di Singapura dan ibunya, kakak saya. Usaha rawatan menggunakan ayat-ayat Quran ini juga diusahakan oleh kerabat saya di Bogor, Indonesia, untuk kedua-dua Kiah dan kakak saya.

Setelah Julai itu keadaan Kiah tidak bertambah baik. Kakak saya pula menjalani pembedahan bagi penyakit barah ususnya. Setelah beberapa ketika dirawat di hospital, kakak saya dibenarkan pulang dan menjalani kemoterapi pada hari-hari tertentu, mengikut pusingan rawatan barah ususnya. Kiah akhirnya dibawa pulang ke rumah, kerana tiada apa-apa yang dapat dilakukan para doktor. Jururawat bahagian hospis sesekali datang ke rumahnya dan ada ketika-ketikanya keadaan Kiah bertambah merudum dan terpaksa dikejarkan ke hospital, tetapi selain itu tiada apa yang dapat dilakukan lagi.

Sepupu saya semakin kurus, lemah dan tidak bermaya. Allahyarham tidak lalu makan dan tidak boleh makan apa-apa ubat. Kiah juga bercakap sepatah dua dan banyak tidur. Anggota dalamannya satu-satu mulai tidak berfungsi. Kami bagai menanti meletupnya bom jangka – tidak tahu bila sesuatu itu akan lebih meruncingkan kesihatannya. Sebilangan anggota keluarga saya, dari Singapura dan Brunei, berkejar antara KL dan Singapura, kerana menziarahi Kiah dan kakak saya. Kakak saya pula, apabila berasa pulih sedikit dan berselang masa kemoterapinya, mengunjungi Kiah di rumahnya. Walaupun lemah dan semakin kurus, Kiah menggagahkan diri dan ceria menyambut kedatangan kakak saya dan beberapa anggota keluarga saya.

Pada 17 Oktober 2023 lalu kami mendapat berita keadaan Kiah semakin membimbangkan. Anak-anak saudara saya sekeluarga dan kerabat taulan yang ada, mengusahakan apa yang termampu mengurangkan kesakitan Kiah dengan membaca ayat-ayat Quran dan berzikir untuknya. Pada pagi 18 Oktober 2023, sekitar jam 9:20 pagi, sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, tanah perkuburan yang juga menjadi tempat persemadian suaminya, Zainuddin, adiknya Zainab dan anak saudaranya, Hezairul.

Akhir Kalam

Walaupun hampir 4 bulan pemergian sepupu saya, dalam fikiran saya masih sesekali terlintas bahawa jika saya pergi ke KL, saya akan berjumpa dengan Allahyarhamah. Kiah dan saya berkongsi bintang Zodiak yang sama dan sama-sama meminati lagu-lagu nyanyian Sharifah Aini. Seperti kebanyakan orang zaman kami, minat kepada lagu dan filem serta buku cerita bukan pula sesuatu yang aneh tetapi menambahkan warna kepada kehidupan kami yang biasa-biasa ini. Saya masih ingat bagaimana Kiah ada cerita-cerita tertentu mengenai dunia seni lagu, filem, drama dan sebagainya kerana beliau mempunyai rangkaian kawan dan kenalan serta ada cerita daripada ‘orang dalam’. Ada sahaja cerita Kiah, dan dalam zaman yang yang belum ada media sosial seperti sekarang, cerita-cerita Kiah menghiburkan dan seringkali pula lucu. Saya tidak sekerapnya bercakap dengan Kiah berbanding beberapa orang adik-beradik saya tetapi jika kena dengan topik tertentu, kami rancak berbual. Kami berhubungan melalui WhatsApp, sesekali menghantar berita, lagu, nasihat agama dan sebagainya. Kiah juga membaca tulisan-tulisan di blog saya.

Semasa saya menghadiri acara-acara sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, menghadiri seminar sastera atau menyampaikan kertas kerja di KL, Kiah sempat juga bertemu saya diselang-seli hal-hal tersebut. Allahyarhamah dan Allahyarham suaminya menyayangi keluarga besar kami dan kedua-duanya tulus dalam hubungan kekeluargaan. Rumah mereka sentiasa terbuka kepada keluarga besar saya dan mereka tidak berkira menghantar sanak saudara ke stesen kereta api, terminal bas atau lapangan terbang. Seperti Allahyarham Mak Busu dan Pak Busu saya yang menyayangi keluarga dan anak buahnya di Singapura, begitu juga dengan Kiah dan Zainuddin. Yang saya kenang ialah penerimaannya terhadap saya dalam apa pun kedudukan saya – Allahyarhamah tetap bagaikan seorang kakak kepada saya.

Sebulan lebih setelah Kiah meninggal dunia, saya memimpikannya walaupun tidak dapat melihat wajahnya. Dalam mimpi tersebut, Kiah menelefon saya dengan berkata: ‘Idah, ini Kiah. Nurul nak nikah pada 24 Disember ini. Idah jangan lupa datang, ya?’ Saya menjawab; ‘Ya, Kiah, Idah akan datang’. Suara Kiah ceria menelefon saya. Dan dalam mimpi tersebut saya mendapat tahu kakak saya dan anak perempuannya juga sudah ditelefon Kiah agar jangan lupa hadir semasa pernikahan anaknya.

Saya hadir semasa pernikahan anak saudara saya pada 24 Disember 2023 lalu. Dan semasa pernikahannya, saya dan beberapa orang keluarga besar saya menitiskan air mata terkenangkan Kiah. Semasa Kiah sakit, Allahyarhamah telah berpesan kepada anaknya agar meneruskan pernikahannya apa pun kesudahan kesihatannya. Kiah begitu gembira anak sulungnya akan kembali bahagia setelah lama menjalani hidup sebagai ibu tunggal dan membesarkan satu-satunya anaknya.

Saya terkenangkan juga ketiga-tiga anak saudara saya dan keluarga mereka di KL – tanpa ibu dan ayah dan saudara-mara terdekat, terasa juga bagaikan piatu. Namun saya bersyukur, Allahyarhamah sepupu saya akrab dengan beberapa orang sahabat yang bagaikan saudara sejak usia muda dan anak-anak saudara saya juga demikian. Dan mereka tahu, walaupun kami tidak tinggal berdekatan, kejauhan itu hanyalah jarak geografi sahaja bukannya jarak perasaan atau jarak tidak mahu mengambil berat.

Sepupu saya dan suaminya telah membesarkan anak-anak mereka dengan sebaik mungkin, semampu yang boleh. Saya berdoa semoga anak-anak saudara saya sekeluarga akan sentiasa menghidupkan nilai-nilai kebaikan yang disemai oleh ibu bapa mereka dan meneruskan kebaikan yang dipelopori orang tua mereka kepada sesama mereka dan keluarga besar kita serta orang-orang yang mengakrabi kehidupan mereka.

Banyak kenangan bersama sepupu saya masih segar berlegar dalam fikiran saya. Biarlah pemergiannya mengingatkan saya dan kita bahawa kita boleh dijemput ke alam barzakh pada bila-bila masa, baik diterjah penyakit berat atau sebaliknya. Dan ikhlasnya kebaikan yang kita suburi semasa hayat kita tetap akan merimbun dan memanfaatkan kita di alam yang kekal selamanya.

Semoga Allah mengampuni segala kesilapan sepupu saya, Rokiah/Rogayah Abdul Wahab, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di Jannah. Begitu juga didoakan untuk suaminya, Zainuddin Habib, adiknya Zainab/Zainah Abdul Wahab, anak Zainab, Hezairul Abdul Hamid, dan kedua orang tuanya, Fatmah/Fatimah Hussin/Md Dali dan Abdul Wahab Md Shariff. Dan semoga anak-anak saudara saya sekeluarga tetap tabah menerima takdir Allah ini dan yakin perpisahan itu hanya sementara dan ibu bapa mereka serta semua yang mereka sayang yang telah berpulang ke rahmatullah, tetap bersama mereka, menghuni di hati mereka, selamanya. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 13 – 15 Februari 2024
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment