Archives

Mengimbau Kenangan Silam Di Universiti Singapura/Universiti Kebangsaan Singapura: Sri Anggerik IX (Ditulis Pada 1981).

Apakah anda, seperti Sri, begitu gabra kerana ditimpa demam periksa? Apatah lagi ketika ini bila ramainya ‘orang-orang asing’ (martians?) mula terjelma di sana sini, sehingga mengakibatkan ramai ‘orang bumi’ menjadi pucat lesi. Anda lihat saja di Red Spot dan Main Library, kadangkala begitu sukar mendapatkan tempat dan orang dah mula cop-cop tempat, hati mana yang tak gelabah dan bimbang? Mana tak takut ya, kerana masa yang singkat ini kita harus betul-betul menelaah dan bertungkus-lumus, seperti dinyanyikan Elvis, ‘It’s now or never…’

Tapi sementara anda betul-betul all out tu, jangan pula tak ada masa untuk tersenyum dan berkelakar. Tumpuan yang penuh terhadap pelajaran bukan bererti kita harus berwajah masam dan membaca nota buku ‘bagai nak telan’. Kalau membaca, kita jangan terlampau tenung sangat, nanti kutubkhanah terbakar, kata orang (sudah tentu ‘orang bumi’). Jangan pula anda terlupa makan, bersolat atau berehat sebentar, ingat, jasad anda bukan jentera, kalau terlalu banyak digunakan tanpa batas keseimbangan nanti timbul pula ‘pulangan berkurangan’ (diminishing returns). Kita seharusnya all out sekarang, pandai-pandailah membahagi masa, bekukan segala kegiatan lain, kalau boleh, agar tiba masa keputusan, kita tidak menyesal. Seperti kata Jay-lay dalam lagu ‘Menyesal Tak Berguna’:

‘Ingatlah segala pesanan
Awaslah dan waspada
Masa depanmu kaufikirkan
Menyesal tak berguna’


Baiklah, sementara anda mula ‘marathon’ dengan buku-buku pelajaran, kita cuba tenang-tenangkan perasaan, ya? Kita jenguk sekejap ke ‘Jabatan lstilah Dan Gila-Gila’ untuk memberi sedikit ilham buat memenuhi ruangan kali ini. Dan nampaknya, istilah yang agak menonjol-nonjolkan diri untuk ditafsirkan tidak lain dan tidak bukan ialah istilah ‘persahabatan’. Sri pilih istilah ini kerana ia begitu penting dalam kehidupan seseorang. Marilah sama-sama kita menimba dan mendalami lautan ‘persahabatan’ ini.

Persahabatan boleh diertikan dengan berbagai makna dan mempunyai nilai yang berbeza bagi setiap manusia. Kita menyayangi ‘A’ kerana satu-satu sebab dan ‘B’ juga kerana satu-satu sebab, dan darjah persahabatan kita mungkin berbeza bagi kedua insan ini. Kenalan pula adalah seseorang yang dengannya kita hanya mengadakan perbualan yang remeh seperti ‘Hai’, ‘Helo’ dan sebagainya, setelah itu, suatu apa pun kita tak pedulikan dia. Dia tidak termasuk dalam lingkungan dunia kita. Sedangkan seorang sahabat pula, adalah orang yang kepadanya kita berani meluahkan rahsia hati, kerana kita tahu, dia pasti menerima baik dan buruknya kita, keseluruhannya. Ada orang agak ‘mampu diri’ iaitu mempunyai seorang dua sahabat sudah cukup baginya. Ada pula memerlukan ramai kawan. Adakalanya persahabatan kita boleh membuahkan persaudaraan, dan ada juga, saudara kita menjadi lebih daripada seorang sahabat.

Persahabatan juga menjangkau batas usia, kedudukan, bangsa, dan agama. Sri percaya anda pernah melihat atau mengalami persahabatan seperti ini. Kadangkala, persahabatan yang teguh boleh terbina antara dua insan yang berlainan jenis, tanpa dicampuri oleh unsur cinta. Kita menerimanya kerana dirinya, dan perbezaan jantina hanya secara kebetulan sahaja — unsur cinta dan nafsu tiada terdapat dalam persahabatan sebegini, apa yang disebut sebagai persahabatan platonik.

Persahabatan sewaktu kecil, semasa bermain tingting atau guli lebih mudah didirikan kerana kita belum dihantui oleh berbagai prasangka, kayu ukur tertentu dan sebagainya. Berbeza pula apabila kita meningkat dewasa, kita lebih memilih sahabat-sahabat kita. Hai, nampaknya tak habis-habis Sri menulis, nanti marah pula kawan yang bakal membuat latihan ilmiahnya berkenaan ‘The Sociology of Friendship’. Biarlah Sri perturunkan petikan-petikan berkenaan sahabat dan persahabatan, ya?

Pentingnya seorang sahabat, ditegaskan oleh Rod McKuen, seorang penyair, dalam bukunya Looking For A Friend:

You can widen your life by yourself, but to deepen it you need a friend. Each encounter that becomes a friendship turns into a lifeline. One can never have too many, only too many to properly take care of’.

P. Ramlee pula pernah melagukan:

‘…tempat kawan berduka, menangis, bersama, selama-lama…’

Petikan Lagu: ‘Di Mana Kan Kucari Ganti’.

Akrabnya sebuah persahabatan diketengahkan oleh Kahlil Gibran sebagai:

He who understands you is greater kin to you than your own brother. For even your own kindred may neither understand you nor know your true worth.’

Menurut Ralph Waldo Emerson pula:

A true friend is somebody who can make us do what we can.’

Pepatah Arab pula mengistilahkan sahabat sebagai:

‘Kawan adalah sesiapa yang menentang bukan yang mengikut cakap kamu.’

Persahabatan antara wanita dan lelaki berbeza. Wanita lebih ‘berpuak’ dan agak ‘memiliki’ dalam persahabatan berbanding dengan lelaki. Muhammad Hejazi pernah menulis:

Woman reaches love through friendship
Man reaches friendship through love
.’

Sebuah madah yang pernah Sri dengar, mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam persahabatan:

‘Kasihlah kawanmu berpada-pada,
siapa tahu dia akan menjadi musuhmu di suatu masa;
bencilah musuhmu berpada-pada,
siapa tahu dia akan menjadi sahabatmu di suatu ketika.’

Dan anda juga mungkin mempunyai satu dua sahabat yag benar-benar akrab, justeru itu anda mungkin faham mengapa tulisan ini paling Sri minati:

You argue ‘like mad’, tell each other off mercilessly, criticise each other’s work with honesty born of respect and concern. You can talk about anything under the sun and beyond, from politics to Penang Laksa, from Picasso to pop art. You never have to explain a thing to her, for her mind works in the same crazy way yours does, and an hour with her feels like just a minute. When you are depressed and wonder what on earth you are living for, she yanks you out of it with some hilarious tale or a pep talk or just her infectious laugh and a brisk but affectionate “Oh come off it”. And when she is dejected and loses confidence in herself you do the same for her and you get the gratification of seeing the colour and light come back to her face. You delight in her individuality, in that unique combination of characteristics that makes her what she is. And you know she accepts you exactly as you are, faults and all. When you find such a friend, the loneliness in you, the basic loneliness in every human being, is a little lessened. Her warmth and brightness are in your for ever and nothing — not distance, nor death even — can really take her away from you.’

Petikan daripada: As I Was Passing, Vol. I,
Tulisan: Sri Delima (Adibah Amin).


Baru sebulan lebih berlalunya upacara sukan tahunan. Satu peristiwa masih berlegar-legar di otak Sri. Kalau anda menyaksikan permainan bola jaring peringkat akhir, anda pasti mengetahuinya. Dalam pertandingan itu pasukan lawan adalah dari Ngee Ann, pemainnya begitu kecil-kecil belaka berbanding dengan pasukan kita. Mereka pula tidak bertanding dan terus masuk ke peringkat akhir, apakan tak berdegap-degup melihat pemain-pemain kita yang seakan ‘gergasi’. Yang paling menggelikan hati ialah telatah seorang pemain Ngee Ann. Orangnya begitu candi, dan bila dikepung oleh pasukan kita dan dia pula passing secara dekat, kerana gengnya semua bercempara, dia menjerit:

“Eh, apa ini, aku pass kau, kau pass aku, aku pass kau, kau pass aku saja …”


Pernahkah anda fikirkan, bahawa lagu-lagu kita kini sering juga berpangkalkan nama seseorang? Bayangkan nama anda diabadikan oleh seorang pencipta atau penyanyi dan menjadi siulan dan nyanyian semua orang… tak terkata keindahannya. Lebih banyak lagu yang memuja wanita daripada lelaki, maklum, takkan seorang penyanyi wanita nak memuja-muja nama insan kesayangannya, ya? Antara lagu-lagu yang berpangkalkan nama lelaki ialah ‘Dino’ dan ‘Sani’ oleh Uji Rashid, ‘Benjy’ oleh Azean, ‘Ya Mustapha’ oleh Anita, dan lagu yang agak istimewa, ‘Mady’ nyanyian Broery untuk Ahmad Nawab.

Lagu-lagu yang berjudulkan nama wanita pula terlalu banyak. Misalnya, P. Ramlee dengan ‘Hamidah’ dan ‘Azizah’. A. Ramlie dengan ‘Oh Fatimah’, Jeffrydin dengan ‘Siti Haida’, Ismail Haron diilhami nama ‘Junainah’ dan ‘Wati’. D.J. Dave mengabadikan ‘Nora’. Sudirman mengingati ‘Mama’ (untuk Saloma) dan ‘Maya’. Terdapat juga ‘Zuraidah’, ‘Siti Zubaidah’, ‘Zuraini’, ‘Zakiah’, ‘Kamelia’ dan ‘Juliana’. Dua buah lagu yang bagi Sri adalah benar-benar indah, sama ada muzik mahupun seni katanya ialah lagu-lagu nyanyian Bob Tutupoly, ‘Kartini’ (mengingati perjuangan Raden Atjeng Kartini) dan ‘Widuri’. Kalau nak diteruskan, senarai ini masih boleh dipanjangkan lagi…

Bila, oh bila orang nak mengabadikan (atau mengabdikan) nama Sri selain daripada ‘Anggerik Merah?’


Biarlah Sri beralih kepada suatu hal yang sedih sedikit. Kematian seseorang yang dikasihi amatlah memeranjatkan, lebih-lebih lagi bila pemergiannya tidak dikesan terlebih dahulu dengan adanya penyakit dan sebagainya. Begitu sukar menerima kenyataan bahawa dia tiada lagi di sisi, untuk selama-lamanya. Pukulan hebat ini amat terasa apabila orang yang meninggal adalah ayah atau ibu kita dan kita begitu manja dengannya. Tapi, jika kita benar-benar sayangkan arwah ayah kita misalnya, kita haruslah cuba sedaya upaya agar tidak menghampakan cita-cita beliau untuk melihat kita berjaya. Kita harus cuba mengurangkan, jika tidak menghilangkan, kesedihan kita demi menjadikan kenyataan segala harapan dan impian hidupnya untuk kita.

Anda mungkin berkata Sri terlalu berfalsafah, tak punya perasaan atau berpijak di bumi nyata. Sebenarnya apa yang Sri catatkan ini telah pernah Sri alami … Ketika di tahun pertama, semasa menghadapi peperiksaan, bapa Sri meninggal dunia. Bukan saja ini memeranjatkan bahkan merupakan suatu tamparan hebat bagi hidup Sri.

Bapalah satu-satu orang tua Sri yang masih hidup dan beliau adalah lambang hidup berkeluarga Sri. Tanpanya, seolah-olah satu ikatan teguh dalam hidup berkeluarga Sri telah putus. Sri begitu sedih, kerana beliau tidak akan melihat Sri lulus periksa, apatah lagi berjasa kepadanya. Tapi, Sri cuba melupakan kesedihan Sri ketika menghadapi peperiksaan (bapa meninggal hari ini, esoknya Sri menghadapi kertas kedua peperiksaan Sri) kerana Sri tahu kalau bapa Sri masih hidup, beliau pasti ingin Sri bersungguh-sungguh dan berjaya dalam peperiksaan. Maaf, Sri terpaksa mencatatkan dengan panjang lebar, ini adalah khusus buat tatapan seorang kawan/adik, agar dia tabah dan tenang ketika mengulang kaji pelajaran di Eusoff College.


Sampai sini sajalah, Sri terpaksa mengucapkan selamat berpisah. Kita akan bertemu lagi buat kali terakhir (kali ini keputusan muktamad) dalam keluaran ketiga ‘Gempur’ kelak.

Untuk adik-adik dan juga Sri sendiri, belajarlah bersungguh-sungguh. Bagi adik-adik di tahun pertama, peperiksaan tahun ini sangat penting; ia menentukan sama ada boleh atau tidaknya anda diisytiharkan sebagai penghuni ‘sah’ Universiti Kebangsaan Singapura. Yang di tahun tiga pula, keputusan peperiksaan mempunyai pengaruh yang besar bagi mencorakkan warna masa depan hidup anda. Begitu juga dengan tahun-tahun lainnya.

Sebagaimana adik-adik dan kawan-kawan, sama-samalah kita berdoa semoga memperolehi kejayaan di medan peperiksaan kelak. Semoga Tuhan memberkati usaha kita dan memberi ketabahan dan keyakinan menghadapi pahit-getir musim periksa.

Bagaimana lagikah dapat Sri lukiskan besarnya harapan kami bagi kejayaan kita semua? Kadangkala lebih mudah melahirkan perasaan melalui lagu, kerana seni kata lagu dapat mewakili perasaan kita buat ketika-ketika tertentu. Biarlah Sri akhiri dengan petikan sebuah lagu asli yang indah dan puitis alunan Biduanita Saloma:

‘Sekapur sirih, sekapur sirih seulas pinang,
diberi bekal, diberi bekal buat perangsang,
pergilah intan, pergi intan pergilah sayang,
ke tengah medan, ke tengah medan pergilah berjuang …’

Petikan Lagu : Sekapur Sirih Seulas Pinang
Gubahan : P. Ramlee
Seni kata : Jamil Sulong

Sekian, hingga bertemu lagi.

Ditulis: Januari 1981, Asrama Nanyang, Singapura
Tersiar: Januari 1981, Majalah Gempur, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura, Bilangan 2, Tahun Akademik 1980/1981
Tulisan: Rasiah Halil.




















Mengimbau Kenangan Silam Di Universiti Singapura: Sri Anggerik V (Ditulis pada 1979)

Ma’as Salama! Nampaknya ‘terpaksa’ kita bertemu lagi, walaupun Sri dah berkobar- kobar nak tinggalkan tempat ini.  Baru Sri nak rasakan keselesaan ‘berpencen’ dah kena tarik balik untuk menulis.  Pada mulanya Sri tak mahu menulis ruangan ini lagi, maklumlah, dah penat dan dah berkali-kali cakap ‘selamat tinggal’, tapi tak juga bersurai. Setelah seluruh isi hati Sri luahkan dalam keluaran lepas (keluaran akhir 1978/79), dengan ingatan semuanya khatam, tapi masih juga tertahan-tahan.  Hai nasib badan.  Buat Sri ‘malu’ saja bila bertemu kawan-kawan … (sepatutnya perasaan sayang itu harus dipendam-pendamkan hingga meletup, binasa badan).  Agak-agak perasaan Sri macam juga perasaan Kamala Das yang menulis The Story of My Life.  Dia telah meluahkan segala rahsia hidupnya dalam buku itu (ketika sakit tenat dan terlantar di rumah sakit) dengan anggapan dia akan mati, tapi tak jadi.  Apa boleh buat, Sri di ‘kerah’ untuk terus berborak dan ‘korapkan’ (kurapkan pun boleh) anda.

Sebenarnya ‘pertabalan’ Sri sebagai penulis ‘gila-gilaan’ dirasmikan setelah upacara nyanyi-nyanyian antara Sri dan Ketua Pengarang dan Labu-labunya (alias konco-konconya).  Tirai pun dibuka, Sri dengan langkah perlahan, mulalah menyanyi lagu ‘Selamat Tinggal Bungaku’ sebagai lagu perpisahan.  Tapi Ketua Pengarang (Chipmunk?) dan labu-labunya enggan menerima perletakan jawatan Sri, lantas mendendangkan lagu ‘Jangan Tinggal Daku’.   Sri sambut dengan lagu ‘Beban Asmara: janganlah aku dirayu, janganlah aku kau goda…’  Tapi Ketua dan Labu-labunya masih terus bertegas, lalu bergemuruhlah mereka menyanyi lagu ‘Tolong kami bantu kami, anak-anak yatim piatu’. Sri pula cekalkan hati dan menjawab dengan lagu ‘Putus Sudah Kasih Sayang’.  Ketua dan Labu-labunya berasa sedih, dan terus menyanyi lagu ‘Patah Hati’.  Sri amat terharu mendengar lagu ini.  Melihat keterharuan Sri, mereka terus menyanyi lagu ‘Daku Kau Lupakan: setelah kau berjaya, mencapai cita-cita, diriku kau tinggalkan, keseorangan, bukan aku meminta balasan darimu, kesetiaanmu yang kunanti selalu...’ (lagu ini berentak perlahan dan dipopularkan oleh Hail Amir).  Hai, hancur hati Sri mendengar ratapan Ketua dan Labu-labu, (sebenarnya bukan Sri nak tinggalkan Ketua keseorangan, tapi keadaan tak mengizinkan — dan kesetiaan Sri bukan hanya terukur dengan adanya sebuah ruangan, kan?) maka berjanjilah Sri di atas pentas tersebut untuk terus menulis dalam ruangan ini.  Maka Sri pun mengakhiri upacara nyanyian dengan mempersembahkan sebuah lagu yang amat Sri gemari nyanyian kumpulan The Bee Gees.  Kerana jika difikirkan, apa yang ada dan mampu Sri beri hanyalah:

It’s only words, and words are all I have,

to take your heart away …’

Tapi tengah-tengah kami nyanyi-nyanyian tadi, sempat juga diselitkan sebuah iklan, maklum ikut kata penaja.  (Nak ikut macam rancangan ‘Dwi Puspa’, tapi rancangan kami digelar ‘Dewi Puspita’) Iklan:

 Sri      : “Tapi Sri dah besar Ketua, dan budak besar tak boleh lagi

               ‘mengkorap’ dan ‘menggila’.”

Ketua  : “Tapi Sri, budak besar pun mesti harus terus membesar dan menggila.”

Selain ‘paksaan’ daripada Ketua dan Labu-labu, Sri juga terima ‘ancaman’ daripada seorang kawan, alias ‘Kucing’ kesayangan.  Katanya, kalau Sri tak tulis lagi, dia tak mahu ‘geng’.  Dahlah itu, dia mula pula merayu dan meratap hingga hati Sri jadi tak tetap.  Dia mulalah panggil Sri ‘Kak Sri’, ‘Kak Ang’ dan ‘Kak Seriii …’ (tarikan manja konon), tapi Sri berdegil, panggil ‘Datin Sri’ pun Sri tak mahu menulis lagi.  “Bolehlah,” katanya. “Tak boleh,” kata Sri.  “Mahu?” sahutnya. “Tak mahu,” bantah Sri.  Dan kami pun “mahu tak mahu” macam kucing mengiau-ngiau pada waktu malam.  Akhirnya dia senyap sebentar, dan kemudian hampir terpekik bila terfikirkan sesuatu:

Kucing : “Ah! Kak Sri tulislah ‘Sri Anggerik Strikes Again’, kan hebat?”

Sri       : “Hebat? Kalau Kucing nak tulis tak apa.  Apa yang nak Kak Sri ‘strike

               kan?”

Kucing: “Ai, macam-macam (wajahnya berubah seperti orang mengelamun). Yalah … Kak Sri         

boleh tulis pasal orang, kenangan, kampus atau perkara-perkara yang         menghiburkan.  Lagi pun Kucing curious nak tahu pendapat Kak Sri tentang ini semua.”

Sri       : “Curious? Kan kata pepatah, Curiosity kills the cat?”

Kucing : “But let the mouse live!”

Wah pandai betaul ‘Kucing’ ini menjawab.  Jadi, untuk menjauhi ‘ancaman’ seekor kucing dan untuk ‘let the mouse live’ maka Sri paksakan diri untuk tidak bersara lagi.  Alkisah, kata sahibul hikayat, bermulalah riwayat Sri buat tahun kedua.

**************************************************************************

Musim konvokesyen baru meninggalkan kita.  Anda pasti melihat ramai kawan yang bergaya di daerah padang, kutubkhanah dan tempat-tempat berkenaan, nak buat kenangan kata orang.  Ada orang bertanya, apa pendapat Sri tentang ini semua, sebenarnya susah juga untuk diluahkan… Tapi, tentang mengambil ijazah, kalaulah ini boleh dilakukan, ingin Sri berseluar jeans, memakai kemeja-T yang punya label E=MC2 (Education = Mong-Cha-Cha [dialek Cina] yang bererti ‘bodoh’)…… dengan maaf kepada teori relativiti Einstein dan berkasut sneakers ketika konvokesyen.  Dan bila Pro-Chancellor menghulurkan ijazah, akan Sri buka gulungan itu dan koyakkan ijazah itu di depannya ……. inilah berakhirnya paper chase yang hanya menilai ‘kepandaian’ seseorang secara ‘luar’ saja.  Tapi, sebagaimana yang anda tahu, takkanlah Sri berani berbuat begitu.  Kalau kepingin sangat nak koyak ijazah, biarlah ijazah fotokopi aja, ya?

Apa pula perasaan siswazah ketika beratur, masuk ke dewan, berjalan mengambil ijazah ketika namanya diumumkan?  Pasti mereka dirundung berbagai kenangan (tidak ketinggalan rasa panas, gabra dan kepenatan) tentang waktu-waktu kecil dulu di sekolah rendah, menengah, praU (maktab rendah) dan akhirnya ke kampus yang menamatkan pusingan persekolahan mereka.  Mungkin mereka terkenangkan ayah dan ibu yang bersusah payah membolehkan mereka memiliki ijazah pada hari itu, adik-beradik dan sanak-saudara yang turut berasa bangga, guru-guru yang pernah berjasa dan kawan-kawan yang sedikit sebanyak memberi ketabahan ketika mereka ‘gabra’ dan ‘curiga’ menghadapi kertas periksa… Atau mungkin air mata mereka tergenang bila terkenangkan seseorang yang sepatutnya ada, yang kehadirannya pasti memberi lebih makna kepada ijazah yang mereka terima…

Perasaan ini mungkin dapat digambarkan dengan jelas oleh Sri Delima (Sri petik daripada bukunya ‘As I Was Passing Volume 1’, halaman 234):

 “And how does he put into words the vague uneasiness he feels about the future? Will he ‘make’ it or will he not.  Worse, will he be so bent on ‘making’ it that he forgets his dreams and ultimately loses himself?”

Pasti ramai juga kawan yang ditemuramah oleh pihak akhbar dan televisyen, apakah agaknya perasaan mereka ketika-ketika ini?  Sri nukil lagi daripada buku dan halaman yang sama:

So he smiles and says: “There is nothing extraordinary about me — why interview me?”

I smile back and do not answer.  I cannot tell him: “Because you look happy and miserable at the same time, hopeful and despairing, confident and lost. Because from the look of you, l have faith you can still be what in your conscience you want so much to be…’”

**********************************************************************

Tapi ada orang lebih bertuah, minggu ini dapat ijazah sarjana muda sastera, minggu depan dapat ijazah dari Mahkamah Syariah.  Siapalah sangka, kawan yang dulu sama-sama ‘gila-gila’, kini dah berumah tangga (itu pasal anda tak jumpa Sri masa Perjumpaan Hari Raya di kampus — Sri ke majlis perkahwinannya).  Terasa baru semalam kita sama-sama ke sekolah, berdrama, berhujah, baca cerita-cerita ‘asmaradana’, dan hari ini ‘Cleopatra’ dah pun berjumpa ‘Mark Anthony’nya.  Hai, sejak bila Sri dah jadi tua?

 Benar, semasa di Varsiti, dia bukanlah kawan rapat Sri, kami jarang bertemu kecuali waktu Pengajian Melayu.  Dan tidak banyak perkara yang dapat kami bualkan bersama; dia langsung tak minat berpersatuan, sastera dan sebagainya.  Tapi kami ada semacam persefahaman, dia menghargai persahabatan Sri, seperti mana Sri juga menghargai persahabatannya.  Kata orang persahabatan seseorang itu tidak pernah berubah, macam air — walaupun ia bertukar rupa menjadi air batu, air wap atau air hujan, intinya tetap serupa — hidrogen dan oksigen [h2O].  Kadangkala bila Sri tercungap-cungap masuk ke kelas, dia akan menegur: “Jangan overwork Sri, don’t be too active Sri, eat more Sri” dan sebagainya seolah-olah Srilah orang yang paling rajin dan paling kurus di kampus ini.  Dan, salah satu dialognya yang tak mungkin dapat Sri lupakan ialah:

Sri, you’ve always had your dreams, don’t ever let anyone take them away from you…”

Tidak, Sri tidak akan membenarkan sesiapa pun menghilangkan/memusnahkan secebis impian, dan ‘Selamat Pengantin Baharu’, kawan.

Semasa makan malam di majlis perkahwinannya, kawan-kawan pun mulalah bercakap hal-hal yang bersangkut-paut dengan hal-hal dapur dan rumah tangga. Tengah asyik Sri makan, tiba-tiba seorang kawan bertanya:

Kawan : “Sri, bila masa you pula?”

Sri       : (hampir terbegek) “Masa Sri?” Me? In Love?” (Hai, bagaimana dapat Sri bayangkan?)

Kawan : “Apa, mustahil sangat ke?”

Sri       : “Tidak, cuma hampir impossible

Kawan : “Jadi, you nak tunggulah a knight in a shining armour, datang dengan kuda

               putihnya, bawa you ke mahligai bahagia dan live happily ever after?”

              (Tak sampai hati Sri nak bagitahu fikirannya masih berada di zaman

               pertengahan/mediaeval).

Sri       : (merajuk) “Siapa bilang, Sri tak pun tunggu panglima berkuda putih atau wira

               memandu Porche.  Cukuplah kalau dia memiliki sepasang kaki untuk bawa Sri

               pergi berlari-lari anak atau menikmati alam waktu subuh atau senja.  Punya

              ‘wajah kesayangan hamba’ dan tentunya hati yang penuh kasih sayang,

              persefahaman dan mulia …”

Kawan : “Wah, banyak nah demand.”

Sri       : “Bukan, cuma berangan …” (Kan impossible Sri dah katakan.)

Tapi ada seorang rakan berkata Sri seharusnya menyanyi lagu Inggeris ini …

I know I need to be in love, l know l have wasted too much time,

I know I ask perfection of a quite imperfect world, and fool

enough to think that’s what I’ll find …’

*************************************************************

Berbalik pasal soal-soal kampus, banyak berita yang telah Sri terima.  Sri dengar ada orang begitu bersungguh-sungguh berjanji untuk mendapatkan kelulusan yang baik tahun ini.  Syabas, usaha begini wajib diteruskan.  Tapi ada juga orang yang bersungguh-sungguh dalam hal-hal yang tidak patut disungguh-sungguhkan.  Misalnya selalu sangat ponteng kuliah, tuang tutorial dan terlambat hantar tugasan… kalau ini berterusan… bahaya, kawan.  Kata orang, jangan buat ‘huru-hara’ atau ‘hara-kiri’ dalam pelajaran, terutama dalam tahun-tahun yang mendebarkan, nanti bahananya sepanjang zaman.

Ada orang pula tidak mahu bergiat dalam persatuan, maklum nak ‘bekerja keras’ tahun ini, ini tidak ada kesalahannya, cuma kita seharusnya terlebih maklum keutamaan kita.  Apa halnya kalau ‘kerja keras’ kita banyak tertumpu kepada ‘aktiviti-aktiviti luar darjah’ sedangkan kita tak punya masa buat hal-hal yang memerlukan pertimbangan kita?  Sri fikir, ramai orang boleh dan senang berkata ‘aku melakukan ini kerana masyarakat dan agamaku’ (kan lidah tak bertulang?) tapi apa ada pada kata-kata kalau ianya tidak diselaraskan dengan usaha dan sikap kita?  Misalnya, dari segi sejarah, dalam tahun lima puluhan dulu, ramai orang yang ‘bersemangat’ dan ‘berkobar-kobar’ inginkan ‘merdeka’, tapi dengan semangat, kata-kata, kemerdekaan itu mungkin diperolehi, tapi yang diminta bukan hanya setakat itu, semangat dan kata-kata (juga cita-cita dan impian) kita terhadap ‘kemerdekaan’ itu mesti seharusnya di ‘isi’… Mungkin tujuan kita bukan untuk ‘mensia-siakan’, tapi diharap, jangan sampai tujuan menghalalkan cara dan jalan …

***********************************************************************

Ada orang pula dah mula lepaskan tension dengan bermain table-soccer, biliard dan lain-lain.  Sri harap yang selalu datang pukul nine-thorty (slanga Cina) jangan lupa belanja Sri lawan table-soccer, ya?  Siapalah tahu, ada bakat Mario Kempes terselit di tangan Sri…

***********************************************************************

Nampaknya kali ini Sri dah berpanjang-lebar berbual dangan anda.  Banyak pula lagu-lagunya, maklumlah, sejak ‘berpencen’, ada-ada saja ‘penyanyi-penyanyi’ (penyanyok?) tak diundang memberi sumbangan ketika Sri sedang berehat atau membuat kerja sampai Sri tak ada chance nak keluarkan suara ‘keemasan’, lantas kertas dan ruangan inilah jadi sasaran …

Anda pasti pernah mengikuti siri komedi bertajuk ‘Mork and Mindy’. Mork, seorang makluk asing, selalu begitu kurang faham tentang tindak tanduk manusia, tapi kata-katanya selalu membuat kita berfikir sebentar, walau dalam suasana yang penuh ria dan kelakar.  Dan Mork pernah berkata ada dua perkara orang lain tidak mungkin dapat curi daripada kita, walau betapa hebat atau cekapnya dia: ilmu pengetahuan dan kenangan kita.  Jadi, Sri harap, kehadiran ruangan ‘gila-gila’ ini telah dan dapat menambahkan kenang-kenangan hidup anda atau sekurang-kurangnya membuat anda tersenyum bila ‘gabra’ atau bosan menelaah.  Jadi, untuk mengakhiri, biarlah Sri cuba-cuba beraksi …

Sri       : “Sri, calling Ketua dan Labu-labu, come in Ketua dan Labu-labu.”

Ketua  : “Ya, Sri, apa yang hendak anda laporkan minggu ini?”

Sri       : “Banyak yang telah Sri laporkan, Ketua dan Labu-labu. Tapi ada satu saja

                permintaan Sri, bolehkah Sri menyanyi?”

Ketua  : “Menyanyi? Apa Sri mahu makhluk-makhluk di alam semesta ini

              terus berdemonstrasi? Bagaimana kalau Ahmad Nawab dan Sharifah Aini tak

              mahu menggubah dan menyanyi lagi?”

Sri       : “Tapi, Ketua Labu-labu, satu saja nyanyian Sri, takkanlah begitu berkesan?

              Boleh?  Baiklah, lagu ini Sri tujukan untuk semua kawan, lawan dan ‘binatang

             kesayangan’.  Lagu ini diberi nama ‘Kerana Kau Ku Kemari’, diubahsuai

             dan tengah dipopularkan oleh anak Pak Aji Arshad. Inilah lagunya:

Sri       : “Kerana kau ku ke mari

                kerana kau kudatang menulis lagi

                walaupun lama tak jumpa

                namun hati kita telah lama bersapa

                kerana kau penaku menari

                menghilangkan rasa sunyi.”

Sekian, hingga bertemu di lain keluaran, inilah Sri melitupi laporan buat Ketua dan Labu-labu.  Selamat belajar, selamat berpisah, salam mesra dan Nano-Nano!

Ditulis : September 1979; Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura Tersiar : Disember l 979, Majalah ‘Gempur’ terbitan Persatuan Bahasa Melayu Universiti  Singapura/PBMUS, Bilangan 2, 1979/1980 Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Puasa Yok-Yok, Terlajak Bangun Sahur…(Ditulis pada 16 Disember 1998)

Di antara banyak-banyak bulan, bulan apa yang anda sukai? Kebanyakan orang, terutamanya kanak-kanak, suka pada bulan Syawal tetapi ada sebilanganm orang pula paling menggemari bulan Ramadan. Bulan ini sangat istimewa dalam berbagai hal, terutamanya dari segi ibadat. Dan kenangan kita banyak berpusar semasa bulan ini; lebih istimewa jika anda pernah tinggal di kampung di Singapura dan meraikan Ramadan dan Syawal semasa zaman kanak-kanak atau remaja di sana.

Bilakah anda mula berpuasa? Selalunya kita berpuasa semasa berusia kanak-kanak; berlatih puasa suku hari, setengah hari, tiga suku hari dan akhirnya seharinya penuh. Dan pelbagai kerenah kita ketika melalui latihan ini. Ada yang puasa yok-yok, bangun pagi buka periuk, terutama bila ibu anda tiada di dapur. Ada juga orang ‘buka periuk’ secara sembunyi-sembunyi dan riuh anda hebahkan kepada adik-beradik anda kerana anda belum faham konsep uzur semasa Ramadan.

Puasa menimbulkan pengalaman ‘sejagat’ bagi anda yang masih kecil ketika itu, walaupun ‘jagat’ anda sekadar beberapa buah kampung di Singapura. Paling ‘hebat’ semasa itu ialah ketika anda mendengar seseorang yang masih berusia muda tetapi boleh berpuasa penuh sedangkan anda tak sanggup menahan lapar dan dahaga, meskipun anda bukannya jenis kaki makan ketika itu.

Ingatkah anda semasa membawa tin kosong ke sekolah untuk berludah? Pada zaman akhir 1950-an dan awal 1960-an itu, anda tidak tahu air liur boleh ditelan dan tidak membatalkan puasa, walaupun diyakinkan hal tersebut oleh nenek anda. Di sekolah rendah Sri, pada tahun-tahun 1960-an itu, ramai yang membawa tin kosong, seakan ‘lencana’ kita berpuasa. Dan setiap tahun ada sahaja kawan anda bertanya: masa berpuasa boleh menangis tak, boleh mandi kat laut tak, kalau jari masuk ke mulut, batal tak, malah anda kawan Sri yang bertanya, kalau buang angin, batal tak? Maklumlah itu zaman kanak-kanak dan sedikit ‘jahiliah’, jadi banyak yang merunsingkan kita sebagai kanak-kanak semasa berpuasa. Ada kanak-kanak pula sanggup berpuasa bila diberi ‘habuan’: makanan yang digemari dimasak atau dibeli untuknya, malah ada yang diberi wang bagi setiap hari dia berpuasa penuh, semata-mata untuk melatih sang anak berpuasa.

Ada pula kanak-kanak kerap pula ke bilik air; sesekali ada yang entah macam mana terteguk air. Tetapi yang juga kerap ke bilik air kerana hendak berkumbah sebab tak tahan panas. Tidak kurang pula yang suka buka pintu peti sejuk; selain menghitung barang-barang dalam peti sejuk itu, mereka suka ‘air con’kan badan nan berbahang. Yang sekejap-sekejap buka periuk juga tidak kurang; seolah-olah menghiburkan hati (dan perut) mengenai makanan yang menantinya ketika berbuka.

Dan kadangkala orang menjadi ‘dramatik’ masa bulan puasa. Ada seorang anak saudara Sri ketika kecil dan mencuba-cuba berpuasa penuh, sekejap-sekejap menengok jam dinding dan tak sabar menanti Maghrib. Nanti punya nanti, bila sudah jam lima petang, dia menjadi begitu ‘layu’, dan merayu: “Mak, Faiz nak buka, Faiz dah nak mati…”

Dia juga semasa mengikut ayahnya bertarawih, merungut kerana sembahyang itu ‘tak habis-habis’ dan dia haus dan nak balik. Tetapi anak saudara Sri ini, seperti kebanyakan kanak-kanak, tidaklah ‘mati’ kerana latihan berpuasa ini, malah peristiwa berpuasa penuh  dan sembahyang tarawihnya sering menjadi bahan ketawa keluarga.

Masa bersahur juga menimbulkan pelbagai cerita bagi setiap keluarga. Yang paling terseksa tentulah orang yang menyiapkan makanan sahur dan juga mengejutkan orang bangun bersahur. Kalau anda pernah tinggal di rumah berek di kampung, jiran anda mudah mengejutkan anda dengan mengetuk-ngetuk dinding dapur ‘orang sebelah’, macam dalam cerita-cerita P. Ramlee. Sekarang tentulah lebih mudah; kita boleh menelefon sanak-saudara atau menyuruh operator telefon mengejutkan kita bangun bersahur [kini tiada lagi khidmat ini melalui telefon-telefon biasa setelah telefon bimbit berleluasa digunakan orang].

Yang dikejutkan pula, bukan senang nak bangun. Ada yang berkata: “lagi lima minit, Mak”, tapi lima minitnya menjadi setengah jam. Ada hanya terbangun bila anda berlembut, menggeletek kakinya, menyanyi lagu Kebangsaan Singapura atau bila terdengar bunyi hentakan rotan atau bulu ayam. Tidak kurang pula orang yang terpaksa direnjis (macam lagu ‘direnjis-renjis dipilis’?) dan kadangkala disimbah air, barulah nak bangun.

Masa bersahur pula berbagai gelagat dapat anda perhatikan. Ada yang makan tapi matanya tertutup, dan anda hairan mengapa nasinya tak pun terjatuh. Ada yang minta nasinya digaulkan, tinggal dia menyuap saja. Dan ada pula ‘pantang’ tak boleh tengok daging atau makanan laut; jadi 30 hari bersahur, dia sanggup makan telur. Masa bersahur ada juga yang terlajak. Kalau semasa di kampung dulu, kita mendengar bilal bertarhim dan melaungkan ‘imsak’. Kini ‘imsak’ kita ketahui dari jadual sembahyang dan pengumuman juruhebah radio. Jadi bagi yang terbangun lambat, sahurnya menjadi peristiwa ‘damage control’, apa yang boleh mengenyangkan dimakan, sebelum terlambat, terutama bagi kanak-kanak. Namun peristiwa-peristiwa terbangun lambat dan sebagainya yang sering menimbulkan kenangan manis kita semasa Ramadan.

Ingatkah anda akan bubur masjid? Sri paling suka memakan bubur masjid, terutama semasa Ramadan. Dan dulu semasa hayatnya, bapa Sri suka ia dimasak untuk berbuka. Sedapnya bubur masjid dienakkan lagi oleh sikap dermawan anggota masyarakat kita berkongsi kelebihan yang diberi Allah, untuk semua. Mungkin itulah yang selalu menambat hati kita kepada Ramadan; kita mengerjakan ibadat kerana Allah dan ibadat kita disalurkan kepada pelbagai cabangnya. Ciri-ciri terbaik baik kita sebagai hamba Allah, anggota keluarga, jiran, saudara, sesama Muslim dan sesama manusia terjalin indah dalam bulan mulia yang penuh keberkatan dan kenangan ini.

Selamat berpuasa.

Ditulis: 16 Disember 1998
Tajuk Asal: Kenangan Ramadan 1
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 27 Disember 1998
Tulisan: Rasiah Halil.  

Mengimbas Kenangan Silam: Tulisan Sri Anggerik Semasa Di Kampus Universiti Singapura/Universiti Nasional Singapura (Ditulis Pada April 1981)

SRI ANGGERIK X (1981)

Helo, apa khabar?  Pasti kurang baik sementara debar menanti keputusan, ya?   Anda tahu, sedang Sri menulis ini, hujan agak lebat di luar, daerah Asrama Nanyang ini begitu sunyi dan dalam beberapa jam lagi Sri akan meninggalkan Singapura menuju ke Utara.  Ke Utara?  Ya, seperti anda, Sri pun ‘terseksa’ semasa periksa, lantas terpaksa membuat pelarian ke Utara untuk menenangkan fikiran yang masih ‘huru-hara’.

Demam periksa telah berlalu, tapi kenang-kenangannya masih termetri di jiwa, ya? Anda pasti terkenang-kenang masa-masa tension — betapa anda tak dapat tidur macam Bidasari, makan tak lagi dipeduli, pakaian serembah-serembih dan seolah-olah segalanya terhenti, kecuali peperiksaan-peperiksaan yang harus anda duduki.

******************

Kenangan masa periksa pasti berlainan bagi setiap orang.  Yang belajar di Main Library pasti bertemu wajah-wajah serius, yang senyap-sunyi, maklum tempat itu tidak mengizinkan anda untuk tiba-tiba ketawa besar atau terpekik-pekau bila tension mendatang. Yang belajar di rumah atau asrama pula jadi ‘putera’ atau ‘puteri’ tak rasmi — segala kerja rumah langsung tak dipeduli, sampai nak makan pun, kalau boleh, mesti disaji dan disuapi. Dan mereka yang belajar di Union House lah yang paling banyak kerenah dan alkisahnya …

Dewan Lee Chee Shan, misalnya, dibuka untuk ‘members only’.  Mula-mula penghuni bilik ini agak ‘berbilang bangsa’ juga tapi lama-kelamaan, hak menghuni nampaknya terjatuh kepada kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Black Power’. Mula-mula bilik ini hanya digunakan untuk belajar, lama-lama tilam dan gebar pun dibawa sama, dan berkhemahlah mereka hingga ke akhir periksa… Dan terdapat juga penulis-penulis grafiti di kalangan mereka — tiap hari papan tanda terisi (dan tiap hari kata-kata ini dipadam dan diganti) dengan kata-kata yang kadangkala penuh falsafah dan kadangkala macam sampah seperti:

We don’t need no education

thought control…’

(Petikan daripada lagu nyanyian Pink Floyd

– seni katanya Sri terlupa).

Ban the examination system

Under pressure – shut up!’

Di TV Room lain pula ceritanya.  Anda pasti bertemu wajah-wajah yang murung lesu bila waktu Zuhur tiba — terutama bila ada yang harus menduduki peperiksaan tengah harinya.  Ada pula jadi ‘time-keeper’ — anda bertemunya hanya tepat pada waktu sembahyang, dan kemudian dia bertapa entah di mana.  Masa yang indah ialah waktu makan selepas Maghrib — inilah waktu relaks.  Relaksnya begitu sangat sehingga seorang kawan begitu bersahaja dengan kain sembahyang (sarung)nya — ke hulu ke hilir dan tak mahu tukar memakai seluar panjang — hingga ke malam. Masa ini juga kita seolah-olah mengeluarkan berbagai bahan untuk dicakapkan (walau sebentar) dan sekali gus menyuap makanan yang bagaikan terlupa disantap.  Dan ketika pulang pula lain alkisahnya.

Kalau yang balik beramai itu berkereta — hai, ‘naik minyaklah’ penumpang-penumpang kereta, habis pejalan disiulkan (sebenarnya bukan bersiul, tapi hanya dibunyikan ‘whee-whit!’) mereka.  Kalau tak berkereta, akan bergemalah dendangan tak diundang memenuhi ruang sepanjang jalan ke perhentian bas.  Alunan mereka begitu ‘mempesona’ sehinggakan bukan saja katak-katak menjelma, bahkan ada juga ular menghadirkan dirinya!

‘Waktu seram’ ialah ketika kawan anda menduduki peperiksaan dan anda menantinya.  Dia memeras otak selama 3 jam, anda tak tentu arah sementara menantinya dan menelaah pelajaran anda.  Bila dia keluar dari dewan peperiksaan, kadang-kadang anda tak tahu apa yang sepatutnya dilakukan.  Kalau dia tersenyum, mungkin anda bersyukur tapi jika dia keluar dengan sedih dan hampir-hampir menitiskan air mata, kadang-kadang anda juga, Sri percaya, kehilangan idea untuk memujuknya.

Ada juga yang keluar dari dewan peperiksaan dan mengisytiharkan yang dia pasti berhijrah ke Kent Ridge untuk menghadiri ‘May Conference’.  Ada yang agak-agak, pasti dapat ‘A’ atau ‘B’.  Ada yang rasa kena ‘play-out’ oleh pensyarah, yang bagi mereka adalah orang-orang yang harus ‘diseksa’ kerana ‘membunuh’ penuntut-pentuntutnya.  Yang Sri suka ialah jawapan mengenai markah yang mungkin diperolehi oleh seseorang misalnya:

‘Aku dapat ‘B’?  ‘B’ itu babilah, aku tak boleh sentuh!’

Ramai juga yang main table-soccer, games dan biliard pada saat-saat terdesak —maklum, lalu-lintas fikiran begitu sesak.  Dan daripada golongan inilah lahir ‘pemekik abadi’ — mereka tiba-tiba terpekik, tanpa mempedulikan orang lain bila melepaskan geram atau tension sewaktu bermain biliard dan sebagainya. Tapi seorang kawan pernah berkata, pemain-pemain biliard ini pun punya satu tradisi — setiap tahun, pasti salah seorang daripada mereka akan dapat meneruskan pelajaran di peringkat kepujian (honours) — mudah-mudahan tradisi ini berlanjutan bagi tahun l980/81 ini.

******************

Pernahkah anda terfikir, inilah tahun terakhir adanya kampus Bukit Timah — dalam beberapa bulan lagi, kedua-kedua jurusan Sastera dan Sains akan berpindah ke Kent Ridge? Kampus ini pula mulanya dikenali sebagai Universiti Malaya di Singapura, sebelum Universiti Malaya, di Malaysia, ditubuhkan pada tahun 60-an (dan sebelum itu ia digelar sebagai Raffles College).  Dan di sinilah juga bersemaraknya perjuangan pelajar pada tahun-tahun lima puluhan, lahir dan terlatihnya para cendekiawan, dan di sini juga tiap penghuninya pasti dianugerahi berbagai ragam kenangan…

******************

Kempen ‘berbudi bahasa’ kian hebat di Singapura, tapi tahukah anda, kempen ‘dwibahasa’ begitu maju juga, terutama di kalangan kita? Misalnya:

‘Pintu gate

‘Masa sudah time

The paper koyaklah …’

Ada pula membuat terjemahan seperti:

1)         ltik! ltik! (Duck! Duck!) — untuk adegan yang menunjukkan kejadian tembak-menembak – seharusnya diterjemahkan: ‘Sembunyi’ atau ‘Selindung’.

2)         ‘Api! Api! (Fire! Fire!) – untuk adegan yang sama: seharusnya ‘Tembak!’

3)         ‘Helo kuih manis’ (Hello sweetie-pie) — ini benar-benar teruk! Seharusnya ‘Helo manis’.

4)         ‘Potong pendek’ (Short-cut) — “Urgh!” seharusnya ‘jalan dekat/jalan pintas’.

Kita juga memelayukan perkataan-perkataan Inggeris, sebagai jalan mudah, misalnya:

modernization – modernisasi

urbanization – urbanisasi

Bagaimana nanti bila ‘nation’ (state) ditukarkan kepada ‘nasi’?

******************

Hari lahir adalah hari yang penting bagi kehidupan seseorang — kerana inilah masanya dia mencari dan mendalami setiap aspek kehidupannya.  Anda pasti teringat kenang-kenangan hari lahir yang pernah anda alami seperti: perjumpaan mengejut yang kawan-kawan adakan hanya untuk anda seorang, pemberian, walau hanya sekeping kad atau sekuntum bunga, daripada insan yang anda sayang, doa selamat yang ibu bapa anda adakan dan sebagainya.

Atau seperti Sri, anda teringatkan sekeping kad yang dihantar oleh anak saudara anda yang tertulis (sebenarnya ibu mereka yang tulis):

“Auntie Idah,

 Mak bilang Auntie Idah ada buat “Happy Berbay* to you”. Tapi Hafiz dan Faiz kasi kad lambat sebab Auntie Idah tak bilang kita.  Mak bilang Auntie Idah dah tua, tak boleh makan ekim *tau, nanti batuk!”

                                                                                                Hafiz & Faiz.

* Berbay — Birthday             *Ekim — Aiskrim

Tapi, tak pernah Sri terima hadiah yang ‘luar biasa’ seperti di tahun ini:

1)         Pertamanya, peperiksaan yang paling penting dalam hidup Sri (Peperiksaan Kursus Teori M.A.) bermula pada hari lahir Sri.

2)         Kedua, ada beberapa orang kawan menghadiahkan sesuatu yang amat berlainan. Hadiahnya begitu panjang, (menyindir penerima?) dan ketika Sri menggoncang-goncang, mereka beri amaran: ‘Jangan Sri, nanti meletup!’

Bila Sri buka kotak, anda tahu apa yang Sri lihat — sebuah botol ‘Kickapoo’ yang badannya telah disenget dan dipanjangkan! Sri terperanjat — mentang-mentang Sri kata raut muka Sri macam orang Neanderthal, iaitu kartun Alley Oop, mereka ingat Sri bersaudara dengan Lil Abner dari Dogpatch!

 Bila Sri balik ke asrama dan sekali lagi melihat hadiah itu — Sri ketawa besar.  Hanya pemberi yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘screwy group’ yang ‘gila’ saja sanggup hanya memberi botol ini dan hanya penerima yang ‘gila’ saja tahu menghargainya.  Dan kerana unsur ‘gila’ botol ini, kesan dan kenangannya kepada penerima pasti berlainan dan luar biasa…

Dan mungkin hadiah yang mencuit rasa adalah yang paling tidak tersangka. Misalnya, bila dua orang pelajar (Suet Lynn dan Jothi) menghadiahkan guru mereka sebatang pena, yang terukir padanya kata-kata yang begitu simbolik dan penuh makna (mudah-mudahan) iaitu:

To A Writer’s Success

******************

Anda tahu, sudah tiga tahun Sri menulis dalam ruangan ini dan masanya telah tiba untuk Sri bersara.  Mentelah pula kawan-kawan rapat Sri juga akan keluar dengan berakhirnya tahun akademik ini — mana lagi akan Sri perolehi ‘sumber inspirasi’ (takut nanti jadi ‘sumber basi’) tanpa mereka yang ‘gila-gila’ ini?  Dan Sri pun terpaksa jadi orang serius, maklum, nak dapatkan ‘Master of Angan-angan’, kalau tidak, takut mahaguru pasti jadikan Sri bahan sasaran…

Bagaimana, ya, melupakan telatah dan ‘huru-hara’nya kedatangan kawan-kawan dari kumpulan akademik 1978/79?  Betapa, dengan ‘kegilaan’ mereka, Sri, yang ketika itu berada di tahun ketiga, lebih rapat dengan mereka daripada kawan-kawan Sri dan senior mereka.  Atau, bagaimana melupakan seorang kawan yang gemar berkelakar, riang, ada bakat drama dan ketika ini sedang menjalankani ‘latihan’ yang amat berat untuk memenangi pertaruhan kami — bagaimanakah untuk tidak terkenangkan orang yang pertama memberi tugas sebagai ‘zookeeper’ kepada Sri kerana Sri suka memberi nama-nama binatang kepada kawan-kawan yang Sri sayang?

Bagaimana perasaan anda jika anda tidak hadir buat beberapa waktu di kampus dan kawan-kawan anda melukis gambar-gambar binatang yang sedang menangis dan menulis:

WE MISS YOU, ZOOKEEPER!’

Atau kawan yang memberi anda kad valentine yang ‘antik’ dan dikerahkan ‘Her Majesty’s Secret Service’ untuk menaruhnya di bawah pintu asrama anda… Kawan yang gemar bercakap ‘big deal lah’ atau seorang kawan yang suka berkata ‘monyet’ bila dia geram (dan sayang) kepada anda dan kedua-duanya amat ‘mengambil berat’ terhadap hal ehwal anda.  Atau kawan-kawan lain yang banyak keanehannya: ‘Cik Bob’ yang gemar jual gusi, ‘Ratno Timoer’ yang jarang ‘dressed to kill’ (pakaian selalu serembah-serembih), ‘Hero Hindustan’ yang ‘terpaksa’ main biliard kerana tak ada ‘tekanan’ untuk menelaah pelajaran, ‘a grain of sand’ yang lunak suaranya bila menjadi imam atau mengalunkan ‘Angela’, kawan rapatnya yang pendiam (sami?), seorang ‘Kit’ dari Laut Cina Selatan, atau seorang kawan yang  begitu bertimbang rasa, penyayang, yang ketika periksa dulu, entah berapa tempayan air mata telah di curahkan terutama untuk Ilmu Alam… dan lain-lain.

Bagaimana pula menyatakan ‘sayonara’ kepada seorang kawan, yang tahun ini telah berlaku begitu banyak pergeresan?  Untuknya biarlah diperturunkan petikan sebuah sajak tulisan  Muhammad Haji Salleh, berjudul ‘Manusia’ :

Aku manusia,
kadang-kadang logikal,
selalu juga tidak,
sering sentimental,
walaupun sesekali,
begitu intelektual.

Aku perasa,
yang selalu kejam,
pembicara
yang mungkin terdiam,
oleh hujahku sendiri,
aku pemilih,
yang juga pada waktu-waktu,
menerima melulu.

Aku seberkas
kontradiksi…

*****************

Kepada semua, maafkanlah segala salah dan silap Sri semasa menulis ruangan ini mahupun semasa penuturan dan gerak laku sehari-hari.  Untuk kawan-kawan, ingin rasanya Sri nyanyikan lagu ‘Those were the days, my friends, we thought they’ll never end…’ sayangnya suara Sri bukan macam suara Mary Hopkins pada tahun 1968…

Untuk ‘binatang-binatang’ kesayangan ini, terimalah sebuah lagu lama, sebagai tanda perpisahan atau memento mengiringi pemergian anda dari Varsiti — siapa tahu, pada tahun-tahun mendatang bila anda terdengar lagu ini, anda akan terkenangkan masa-masa mahasiswa kita yang manis dan mungkin juga, seorang kawan yang sempat anda temui semasa bertungkus-lumus mendapatkan segulung ijazah dan topi empat persegi…

Sungguh jauh dikau pergi
berpisah untuk selamanya
tiada lagi
senyum mesra dan gurau senda
ingin kuturut bersama
apa dayaku tak terdaya
sudahlah memang, nasibku demikian rupa.

Ku berdoa,
agar dikau, hidup bahagia
jangan bimbang padaku
dan berduka

Tapi kawan jangan lupa
kenang daku dalam doamu
itu yang kupinta
dari dulu, waktu bertemu …

Lagu: Kenang Daku Dalam Doamu
Ciptaan: Ahmad Wan Yet
Nyanyian: Sharifah Aini
Seni katanya diubahsuaikan sedikit.

Akhir kalam, inilah Sri meliputi laporan terakhir untuk Orson.  Terima kasih kerana menghantar Sri ke planet kampus selama 3 tahun — telah banyak pengalaman dan kenangan yang Sri alami dan sematkan di hati — semoga Tuhan saja membalas jasa baik setiap earthling dan mengekalkan kurniaan persahabatan antara anda dengan seorang alien seperti Sri, hingga abadi.  Seperti kata Mork:

I don’t know if I’m worth anything in this universe, but if my presence had made a few people happy, then it is worth it.”

Jaga diri, selamat berpisah, fi amanillah dan Nano-Nano.

Ditulis: April l 981, Asrama Nanyang
Tersiar: Jun 198l, Majalah ‘Gempur’, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura/PBMNUS, Bilangan 3, Tahun Akademik 1980/1981
Tulisan: Rasiah Halil.

Mengimbau Kenangan Silam: Ruangan Sri Anggerik VI (1980)

( Mengenai peperiksaan, kesannya dan lain-lain yang ditulis semasa di kampus Universiti Singapura. Tulisan ini, selain tersiar di majalah kampus pada zaman itu, turut termuat dalam buku Hikayat Sri Anggerik (2007). )

Pertama kali membuat sesuatu adalah paling susah, betul tak? Ingat ketika pertama kali anda belajar menunggang basikal, hingga luka dan keluar darah, barulah sah anda ‘pas’ mengayuhnya? Ketika kaki anda pertama kali mencecah bola raga (takraw), dan terasa benar anda layak dipanggil ‘kaki bangku’ dan entah berapa kali dituduh ‘spastik’ barulah anda berjaya menimang bola raga itu dengan gaya yang mempesona? Pertama kali belajar masak, bertungkus lumus anda menyiapkan lauk yang adik anda gemari, tapi dia cuma jamah sekali, tak mahu cuba lagi? Dan banyak lagi ‘pertama kali’ dalam hidup anda, yang ketika mengalaminya betapa terseksa jiwa dan raga!


Anda pasti masih teringat pertama kali anda menghadiri kuliah, hati jadi tak tentu arah, apa disyarahkan anda dengar, tapi tak tahu apa yang harus anda catatkan sebagai nota, dan susah benar nak faham biji butirnya. Begitu juga ketika pertama kali masuk ke kelas tutorial, walau persiapan anda lebih daripada cukup, hati anda tetap naik degap-degup. Dan bila tutor mula menyoal, anda yang sememangnya hitam-manis atau putih-kuning, tiba-tiba bertukar menjadi pucat lesi. Anda seolah-olah baru disoal oleh makhluk dari bintang Kejora dan fakta-fakta yang sememangnya anda hafal, serta-merta menjadi ‘gelap-gelita’ dan lidah anda juga turut ‘kelu untuk berkata-kata.’ Dan bagi anda yang pertama kali mengalami peperiksaan di universiti, hai, banyaklah kisah-kisah yang terjadi.

Betapa berdebar-debarnya hati, hari pertama menghadapi peperiksaan. Anda tak sempat makan, mungkin juga tak mandi, rambut dan wajah kusut-masai, dan ketika melangah kaki ke ‘bilik sembelih,’ mulut anda tak henti-henti berdoa, mungkin malaikat-malaikat pencatat amalan kita, terpaksa menggunakan lebih daripada kecepatan komputer untuk mencatatkan segala doa! Dan hati anda lebih berdebar-debar bila anda kehilangan ilham atau kebuntuan idea, tapi rakan di depan anda terus menulis dengan kelajuan menggila (entah tenaga apa dia pakai, anda tak sempat bertanya) dan lepas senaskhah buku tulisan, senaskhah lagi diambilnya. Eh kecutnya terasa hati perut anda! Tidak kurang yang kesuntukan masa dan terpaksa menulis ‘nota-nota ringkas’ kepada pensyarah menjelaskan bahawa:

‘Sorry, short of time, here are my points. Please try to understand, or else I’ll be in for disaster – HELP – !!!!!!!!’

Banyak lagi kerenah-kerenah musim periksa. Hati mudah terusik ketika-ketika ini dan ‘kekacauan’ dari berbagai ceruk-rantau ada saja menggoda. Ada yang jatuh sakit, asyik pening-pening kepala, debar-debar dada, ‘emotional upheaval,’ tak lalu makan, dan tidur pun ‘tak cenang.’ Ada yang dulunya misainya terjaga rapi dan mempesona, tiba-tiba simpan jambang dan janggut dan digelar ‘pendeta.’ Ada pula dibaham periksa lepas satu, satu –

petang, paginya dan petang lagi – sampai tak sempat tidur dan rehatkan diri, bila selesai saja kertas 4.30 petangnya, terus balik ke rumah dan tidur macam ‘bidasari.’ Di musim periksalah juga kita paling banyak membina angan-angan – macam-macam rancangan akan kita jadikan kenyataan masa cuti panjang, seolah-olah inilah satu cara untuk memujuk hati yang gundah-gulana ditikam onak dan duri musim periksa!

Dalam dewan peperiksaan juga anda dapat perhatikan berbagai telatah dan ragam mahasiswa. Ada itu, bila tak dapat ingat fakta, menarik-narik manja jambul/rambut depannya, seolah-olah ingin perlahan-lahan membotakkan satu-satu keindahan di kepalanya. Ada pula merokok lepas satu batang, satu batang, kalah serombong kapal. Ada yang kunyah gula-gula atau singgam, dan tiba-tiba tertelan, bila terpandang soalan yang menggerunkan. Ada yang terpaksa hafal formula, bila masuk ke dewan terus mencatatkannya, bila keluar dewan dia ingat beres semua, alangkah terperanjatnya dia bila didapati formula yang dicatatkan terbalik rupanya. Tidak kurang yang resah gelisah bila pensyarah menjenguk-jenguk kertas jawapannya atau ingin saja menjabat tangan pensyarah (ada yang sampai ingin menciumnya) kerana memberi soalan-soalan ‘hadiah.’ Ada juga yang memulakan upacara tenung-merenung kertas soalannya, beralih kepada jam di dinding atau sang invigilator, bila fakta-fakta hilang seketika. Hai, banyak lagi boleh Sri kisahkan, takut pula anda dapat ‘badi’ dan tak percaya nanti.

Menunggu keputusan pula adalah suatu perbuatan yang lebih mendebarkan – lebih-lebih lagi bila anda yakin jawapan anda tidak semua yang memuaskan. Tapi anda mestilah selalu-selalu bertenang, tabahkan hati dan yakin kepada ketentuan Tuhan (Allah berserta setiap hamba-Nya yang sabar dan berusaha). Peperiksaan telah berlalu, walaupun kita mungkin menjawab dengan cara yang salah, kita tak punya kuasa untuk mengubahnya sekarang. Kalau kita fikir kita tidak memberi perhatian yang maksimum kepada pelajaran kita selama ini, cubalah ubah sikap ini, tapi masa menunggu keputusan ini janganlah pula menyeksa diri dengan perasaan takut atau susah hati. Seperti kata seorang kawan: ‘Why worry, if you worry, will the future change?’


Baiklah kita tukar topik ya, nanti bosan pula anda dengar Sri bercerita tak habis-habis kisah periksa. Untuk menghiburkan hari yang gelabah, marilah kita menjenguh sekejap ke Jabatan ‘Istilah dan Gila-Gila,’ dan istilah pilihan kita kali ini ialah berkenaan ‘cinta.’ Kenapa Sri pilih istilah ini, anda akan bertanya, kerana, selain kuliah, tutorial dan lain-lain kegiatan mahasiswa, istilah ini juga mendapat tempat utama. Hai siapalah tak pernah teringin untuk bercinta dan menyintai, walau kadangkala ‘cinta’ yang kita alami lebih merupakan ‘cinta monyet’ saja? Jadi Sri harap anda akan bersama-sama Sri untuk membaca petikan-petikan kata yang sudah dan belum masyhur, untuk memasyhurkan lagi istilah pilihan kita kali ini.

Seorang penyair, Laura Riding, pernah mengistilahkan cinta sebagai:

Love is very everything like fire:
Many things burning
But only one combustion.

Sebuah madah yang Sri dengar dari radio baru-baru ini pula menjelaskan:

Menyintai seseorang adalah seperti menyediakan
segelas minuman beracun. Bila-bila saja minuman
tersebut boleh diminum oleh orang yang anda
cintai, oleh anda sendiri, atau oleh kedua-duanya sekali.

Sedangkan daripada filem ‘Love Story’ pula tafsiran cinta ialah:

                        Love means never ever having to say that you’re sorry.
(Tapi agak Sri, boleh juga sesekali bilang ‘I benci’ – perangainya, bukan orangnya)

Ada orang pula tak tahu meluahkan perasaan cinta (walau ada seorang kawan mengaku hatinya ‘mendidih’ bila ternampak ‘si dia’) kerana masalah ‘harga diri’ (selalunya bagi wanita), ‘ketidakpastian’ (selalunya bagi lelaki), ‘kelu lidah untuk berkata-kata’ dan sebagainya. Mereka yang dilanda ‘penyakit’ ini terpaksalah pendamkan perasaan untuk selamanya, dan berlagak ‘tak ada apa-apa’ di hadapan insan yang dipuja. Sehinggakan dipantunkan orang:

Bunga Cinta dalam jambangan Cina
Bungkus mari dalam kertas
Sungguh Tuan saya bina tak bina
Di hati, Tuan tak lepas…

Akibat cinta pula berbagai rupa misalnya:

Tinggi-tinggi Gunung Siantan
Tempatlah budak membeli telur
Tuan di sana rindu tak makan
Saya di sini rindu tak tidur.

(Kasihan, kalau Sri, makan saja pil selera makan atau pil tidur, insya-Allah sembuh penyakitnya – tapi mungkin tak semujarab kehadiran ‘penawar’ impian kita, ya?)

Tapi tidak semuanya yang indah dalam dunia cinta. Ada cinta yang segi tiga, segi empat, dan seorang pun tak dapat. Ada yang cintanya gagal separuh jalan, dan merana sepanjang hayat. Cuma Sri harap, yang pernah kecewa dalam bercinta, jangan pula terus hidup dalam kekecewaannya. Kalau Sri berkata: ‘Patah tumbuh, hilang berganti,’ anda mungkin berkata: Takkan sama orang yang telah pergi atau lukanya sembuh, tapi parutnya masih ada lagi. Sri tahu, bukan mudah melupakan orang yang pernah kita cinta, dan mungkin untuk jangka waktu yang lama dia tetap menjadi ‘ideal’ atau ‘kayu ukur’ bagi insan yang bakal kita cinta. Tapi jika dia tinggalkan anda kerana orang yang lebih jelita, berharta dan sebagainya (seperti lagu ‘Kini baru kau sedar’) sesungguhnya cinta anda terlalu agung dan tidak patut dikongsikan dengan seorang seperti dia. Insya-Allah, kalau dia benar-benar jujur kepada anda dan hanya berbuat ‘langkah yang salah,’ dia akan kembali juga kepada anda dengan perasaan cintanya yang lebih baik dan setia. Tapi jika dia benar-benar ‘not worth your tears’, mengapa harus anda mensia-siakan hidup anda memimpikan sesuatu yang hanya layak tinggal sebagai satu impian dalam hidup ini dan kenyataannya terlalu hodoh sekali? Mungkin ada akan bertemu seorang insan yang dapat menghargai cinta anda dan berpuluh-puluh kali lebih ideal daripada ideal pertama anda. Cinta suci dan kasih sayang adalah pemberian Tuhan, jangan mudah kecewa walau kita pernah dikecewakan … …

Tapi bila cinta seseorang itu dibalas oleh jejaka/dewi impiannya, hai betapa gemilang terasa dunia seperti lagu ciptaan penggubah dan dan dinyanyikan penyanyi kesayangan Sri ini:

Sudah sampai kini, ku meninggalkan derita
Yang gelisah resah selalu menggangguku
Kaulah yang mula dan akhir, dalam hidup ini
Yang membawa sinar hingga ku mengenal erti cinta.

Petikan lagu: Yang Mula dan Akhir
Gubahan: Ahmad Nawab
Nyanyian: Sharifah Aini.

Nampaknya Sri dah berlarut-larut mengutarakan ‘kisah cinta,’ kalau nak diteruskan, sampai jadi ‘karya-agung’ pun kita masih boleh terus berbicara. Sri bukanlah pakar dalam bidang ini, paling penakut untuk mengisytiharkan diri sebagai salah seorang ‘peneroka;’ biarlah Sri jadi ‘pemerhati’ pada gejala yang sungguh mengasyikkan ini aja, ya? Bagi menutupi ruangan ‘Istilah dan Gila-gila’ kita kali ini, izinkan Sri perturunkan satu petikan daripada siri ‘Mork and Mindy’. Ketika Mork melihat Exidor (watak yang agak ‘gila’ dalam siri ini) jatuh cinta dan dicintai, Mork telah melaporkan kepada Orson:

‘You know Your Blibship, love can work wonders for many people. And no matter who you are or how crazy you are, there will always be someone who’ll love you for it.. …’


Bertolak kepada kisah peribadi – ada yang ingin tahu, kenapa Sri suka nah dengan hikayat-hikayat, sampai tulis ‘alkisah’ dan sebagainya, dan bahasa Sri kadang-kadang berlarut seolah-olah dipinjam daripada zaman ‘antah berantah?’ Sebenarnya ceritanya panjang dan kalau dipendekkan, pucuk pangkalnya ialah Nenek Sri. Nenek? Ya, Neneklah yang telah ‘mengkorapkan’ Sri dengan hikayat-hikayat ini. Waktu kecil-kecil dulu, bila Sri buat kerja lintang-pukang dan kasar berdegar (sampai sekarang pun tabiat ini masih belum hilang), Nenek akan panggil Sri ‘Galuh Ajeng’! Dan Nenek akan menceritakan tentang kakak Galuh Ajeng yang ‘terbalik kot’, lemah lembut dan bernama Cendera Kirana (agaknya Nenek nak lentur Sri supaya berlemah lembut, tapi bagaimana nak buang warisan sebelah Bapa Sri yang sebilangan besarnya adalah askar?) dan kisah-kisah daripada Hikayat Panji Semirang.

Tak perlulah Sri membaca berpuluh-puluh buku Denise Robins atau Barbara Cartland, imej seorang wira yand tipikal (tall, dark and handsome) telah Nenek sisipkan daripada penceritaan hikayat-hikayat ini. Apakah anda tidak akan tertawan, ketika tahun-tahun remaja anda, Nenek ‘mengenalkan’ anda kepada wira-wira yang penuh dengan kebijaksanaan, tangkas dan tampan, memiliki nama-nama yang mempesonakan seperti: Shafik Afandi, Iskandar Zulkarnain dan Malik Saiful-Lizan?

Bagi Nenek, hikayat-hikayat bagaikan kisah-kisah yang benar-benar terjadi dan sastera ‘lebih besar daripada kehidupan,’ dan Nenek semakin lancar penceritaannya bila anda meminta ‘siaran ulangan’ (cara penyampaiannya ada ditambahi unsur-unsur drama …) Cinta Nenek kepada hikayat-hikayat begitu mendalam sehinggakan salah seseorang cucunya (lebih 30 tahun yang lalu, pada akhir tahun 1940-an) diberi nama sempena nama watak salah sebuah hikayat yang sedang Nenek baca ketika itu!

Nenek Sri banyak lagi keanehannya, misalnya bila anda dengar dia bercakap fasal kucing, ayam atau pokok-pokoknya (lain kali aja kita cerita, ya?) Dia gemar sekali bercakap fasal sejarah, hikayat-hikayat lama dan kisah raja-raja (tanyalah dia fasal keluarga DiRaja Mesir, bekas Shah Iran, Ratu Elizabeth, Sultan Johor atau keluarga-keluarga DiRaja kerajaan-kerajaan Melayu lain – whew! – kalah dia bercakap fasal anak buahnya! “Kasihan Queen sakit, tch! tch! Dah susut badan Sultan Johor kita” dan sebagainya – kalah agaknya orang yang buat Ph.D berkenaan keluarga DiRaja!) bagaimanakah cucu yang dipelihara sejak berumur 11 hari, tidak mewarisi sedikit sebanyak kecenderungan atau ‘kegilaan’ ini?


Dalam beberapa hari, ketika keputusan peperiksaan diumumkan, akan pergi pula dari universiti ini orang-orang yang ‘berperanan’ dalam hidup Sri. Bagaimanakah kita mengucapkan ‘selamat berpisah’ kepada insan-insan yang merupakan ‘satunya kasih hati?’ Bahawa perasaan kasih sayang itu paling sukar untuk diluahkan, sering disalah mengertikan dan tidak mungkin ditukar ganti atau dijual beli, bagaimanakah melahirkan ini semua kepada orang-orang yang kita sayang? Betapa ketika mereka bersusah payah menghadapi peperiksaan, kita hanya mampu berdoa dari jauh saja dan betapa kita inginkan kejayaan buat tiap seorang daripada mereka. Dan di sebalik ini semua, kita juga dilanda tanda tanya dan kadangkala kesedihan, apakah nanti ketika ijazah berada di tangan dan tercapai segala impian, akankah kita saling menghubungi atau terus melupakan setiap kenangan?

Lebih empat tahun yang lalu, ketika saat-saat terakhir meninggalkan sekolah Pra-U Sri, pengetua sekolah kami (yang secara tradisi bergelar ‘Bozo’ (the clown) dan selalu menjadi bahan ketawa kami) memberi kami ucapan perpisahan yang tak ada kelakarnya lagi dan hingga kini tersimpan di hati. Dan kata-katanya ini ingin sekali Sri kongsikan dengan kawan-kawan dari sesi tiga dan empat tahun yang silam. Pesan Bozo kepada kami:

‘Seperti anak-anak burung, dalam sedikit waktu lagi, anda akan meninggalkan sarang yang anda kenal sejak 12 tahun yang lalu. Kami berdoa dan berharap, anda akan berani mengepakkan sayap untuk menjelajah ke dunia yang terbuka. Timba dan perolehilah seberapa banyak pengalaman yang memanfaatkan, tapi jangan sekali-sekali lupa diri atau berbangga dengan pengalaman-pengalaman ini. Ingat, seperti anak-anak burung tadi, rumah pertama anda adalah sarang, yang diperbuat daripada daun kering dan ranting-ranting dahan dan anda juga diperbesarkan dari suapan burung-burung dewasa.

Dan jika anda dapati dunia terbuka itu tidak seindah apa yang anda impikan ketika berada di sarang, atau cita-cita anda pupus di tengah jalan, jangan sekali-sekali berputus asa. Ingatlah, dahulu pun ketika baru-baru belajar terbang, entah berapa kali anda telah jatuh, tapi anda tidak pernah berputus asa, malah terus mencuba dan akhirnya berjaya mengepakkan sayap dengan mahirnya.. …’

Apa lagi yang dapat Sri kata setelah ini semua? Tiada perpisahan dalam sebuah persahabatan, apa yang berlaku ialah penukaran jalan hidup dan persekitaran. Kita harus bertukar untuk menghadapi dunia pekerjaan, dunia rumah tangga dan sebagainya, tapi Sri harap apa yang sememangnya adalah intipati diri kita, jangan sekali-sekali diubah. Bagaimana ya, dapat kita lupakan seorang kawan dari seberang, yang selalu sakit lagi pendiam, tapi punya hati mulia dan semangat yang berkobar? Bagaimana mengucapkan ‘selamat jalan’ kepada kawan-kawan yang dulu bersembang, ‘usrah session’ dan ‘rewang’ ketika berada di asrama? Kawan-kawan yang pernah menitiskan air mata bila mendengar kedukaan kita, begitu gembira mendengar kegembiraan kita, dan cuba membantu dan menenangkan kecamuknya fikiran dan perasaan kita bila menghadapi jalan-jalan kebuntuan? Kata D.J. Dave, ‘sukarnya mencari kawan yang setia,’ tapi Sri tahu dan Sri percaya, sebilangan kawan Sri yang akan meninggalkan varsiti ini, adalah kawan-kawan Sri yang benar-benar setia. Dan Sri akan selalu mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan mereka, walau masa nanti akan sering memisahkan kita, dan kepada Tuhan Sri serahkan peneguhan dan pengekalan persahabatan ini hingga ke akhirnya.

Untuk mereka yang berkenaan, terimalah sebuah lagu yang dipopularkan oleh S.M. Salim pada tahun-tahun lima atau enam puluhan dulu. Kalau sekali-sekala anda mendengar lagu ini, bila balik dari bekerja atau sedang menguruskan rumah tangga, doakanlah juga kesejahteraan seorang kawan yang sentimental menulis catatan begini:

Selamat Tinggal Bungaku
(Sedikit seni kata telah diubahsuai)

Selamat pergi kawanku, aku berdoa untukmu selalu
Terima kasih seruanku, jasamu pada diriku
Ke Timur atau Utara, tak tentu arah khabar dan berita
Berlinang air mata, mengenangkan saat berpisah .. …

Sekiranya engkau masih, berada nun jauh di balik awan
Salam kasih mesra, khabar nan gembira kau kirimkan
Inikah akhir bertemu, bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku: Jaga baik diri sendiri .. .. .. ..


Dan untuk semua, sekali lagi, tabah dan tenangkan hati menunggu dan menerima keputusan peperiksaan. Seandainya kita inginkan ‘second class upper’ tapi dapat ‘second class lower,’ ingin buat ‘honours’ tapi dapat ‘general degree’, ingin dapat sekurang-kurangnya ‘straight Cs’ tapi dapat ‘straight Ds’ atau kita terpaksa menghadapi ‘Re-exams’, Sri harap jangan sekali-kali keyakinan kita mencair menerima kenyataan-kenyataan ini. Tabahkan hati, ingat pada Tuhan dan teguhkan pendirian menghadapi setiap cubaan. Sri percaya pasti ada muslihat Tuhan bila berlakunya sesuatu perkara, mungkin ada sesuatu yang Tuhan untukkan bagi kita dan menghadapi kenyataan ini adalah satu cara untuk memperolehinya. Seperti kata seorang watak dalam filem ‘The Sound of Music’:

‘When the Lord closes the door behind you, He opens a window.’

Ditulis: 12 Mac 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar: Mei 1980, Majalah Gempur, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura, Bilangan III, Tahun Akademik 1979/80.
Tulisan: Rasiah Halil.

Perbalahan Dan Iktibar (Ditulis Pada 28 Jun 2006)

Anda telah pun membaca perbalahan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Badawi, atau yang dianggap ‘dalang’ di sebalik pentadbiran tersebut. Perbalahan ini menimbulkan semacam rasa tidak selesa di kalangan beberapa pihak, malah boleh dianggap mengeruhkan keadaan politik di Malaysia. Dan mungkin pula ada yang menangguk di air yang keruh; Sri tidak tahu menahu dalam bidang politik tetapi Sri rasa perbalahan dalam sesuatu pertubuhan, perniagaan, malah keluarga juga boleh memantulkan banyak perkara yang mungkin selama ini samar-samar atau tersembunyi.

Sukar untuk kita bayangkan bahawa hidup yang kita lalui begitu mendatar; kita berjalan dari A ke Z tanpa menempuh apa-apa onak dan duri atau terpaksa menghadapi cabaran. Cabaran atau perbalahan yang menjengah di hadapan kita boleh menukar pandangan hidup kita; menjadikan kita lebih yakin dan teguh dengan pendirian kita atau menjadikan kita pengecut, lantas melarikan diri daripada cabaran-cabaran tadi. Pilihan kedua itu memanglah mudah tetapi pilihan pertama itulah yang akan mendera dan ‘menyeksa’ hidup kita untuk melakukan sesuatu yang terbaik berhadapan dengan cabaran atau perbalahan tadi. Andaian kita tentulah perbalahan atau cabaran tadi tujuan akhirnya adalah untuk kemaslahatan umum dan bukannya kepentingan peribadi.

Perbalahan di antara golongan lama dan baharu memang wujud sejak sekian lama. Memang, ada orang-orang lama sukar melepaskan ‘kuasa’ mereka dalam pertubuhan, perniagaan dan lain-lain. Dan tidak kurang pula ada orang baharu yang begitu cepat ‘naik daun’ dan berlagak bagaikan kaduk naik junjung, lantas mudah sangat membuang segala yang pernah diguna pakai oleh golongan lama. Akibatnya kedua-dua pihak menanggung kerugian.

Bapa Sri dulu begitu tabah dan sabar mengusahakan perniagaannya. Berkat ketekunan dan kebolehannya mengambil risiko yang telah ditaksir terlebih dahulu, perniagaannya menjadi. Beliau tidak suka membazir dan menunjuk-nunjuk tetapi sanggup berbelanja besar untuk sesuatu yang memanfaatkan, misalnya membeli rumah bertaman yang lama kami diami. Cara perniagaan bapa Sri dianggap ‘kuno’ oleh seorang saudara Sri yang kemudian mengambil alih perniagaan bapa Sri. Walaupun mempunyai banyak idea kreatif, saudara Sri ini tidak tahu makna sabar sebagaimana bapa Sri, dan beliau lebih banyak gempar-gempurnya dalam perniagaan, berbandingkan bapa Sri. Akibatnya berlakulah perbalahan kerana perbezaan menjalankan perniagaan. Saudara Sri ini dapat memajukan perniagaan itu dengan cepat tetapi tanpa berpegang kepada beberapa prinsip perniagaan yang asas, sebagaimana bapa Sri, beliau tidak dapat terus menerajui dan mengembangkan perniagaannya. Perniagaan yang telah bertahun-tahun lamanya bertapak akhirnya terpaksa ditutup.

Perbalahan atau perbezaan pandangan mengenai sesuatu perkara tentunya boleh memanfaatkan kita kalau kita sedia belajar atau mencari iktibar daripadanya. Asas-asas yang baik dengan terbinanya sesebuah perniagaan, pertubuhan, malah negara juga tidak harus diketepikan kerana adanya orang baharu atau pentadbiran baharu. Bila segalanya yang kita inginkan bermula dari sifar, kita kadangkala bagaikan mahu mencipta roda sekali lagi, padahal roda telah pun lama dicipta.

Pertubuhan juga mengalami pergeseran di antara golongan lama dan baharu; ada orang mahu menaikkan geng sendiri dan menyisihkan golongan yang telah lama berjasa dan berkhidmat. Dan tidak kurang pula ada yang mati-mati mahu terus memegang jawatan tinggi, lantas anak-anak muda sukar untuk ke hadapan. Tetapi adakalanya orang-orang baharu ini melakukan kesilapan-kesilapan yang terlalu besar dan asas, yang menjejas nama baik atau perjuangan pertubuhan tersebut. Jika ini berlaku, apakah golongan lama harus berpeluk tubuh dan membiarkan, sebagaimana kisah ‘Si Luncai’, dengan berkata: ‘biarkan, biarkan’? Untuk kemaslahatan semua, mungkin ada baiknya kalau kedua-dua belah pihak bertemu separuh jalan, demi meneruskan perjalanan yang lebih panjang, selamat dan berteraskan perjuangan asal pertubuhan atau perniagaan tadi.

Kadangkala adanya perbalahan membuat kita lebih berfikir dan proaktif. Terlalu selesa dengan kehidupan harian kita, perbalahan seringkali juga membuka mata kita terhadap kekurangan-kekurangan diri dan sekitar kita. Malah, jka rakan berbalah kita adalah seorang yang pintar, kita juga dipaksa untuk menjadi sepintar dia atau sekurang-kurangnya tidak memberi pandangan atau penjelasan yang setengah masak aau tdak masuk akal. Ia juga mengejapkan pendirian kita kerana kita dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sesuatu tindakan yang diambil bersebabkan perbalahan tadi.

Sebagaimana Dr Mahathir, tiada siapa yang suka pada si ‘dalang’ yang menggerakkan watk-watak dalam wayang kulit, yang kadangkala terdapat juga dalam pertubuhan-pertubuhan kita. Anda terlihat beberapa orang yang bersusup-sasap ke sana sini, konon memperjuangkan itu dan ini tetapi sebenarnya mempergunakan orang atau pertubuhan tertentu untuk kepentingan diri sendiri. Dia bukan Badut (clown/fool) dalam drama Shakespeare atau Semar dalam wayang kulit Indonesia tetapi Joker dalam siri Batman. Agendanya hanya untuk diri atau kepentingan sendiri dan apa pun label yang digunakan sekadar tempelan sahaja demi mencapai matlamat peribadi serta suku-sakatnya.

Perbalahan yang dikucar-kacirkan oleh unsur si dalang ini tentunya tidak sihat kerana akhirnya pihak-pihak yang benar-benar berbalah akan menghadapi kekalahan dan kerugian besar dalam banyak hal tetapi si Joker bertepuk tangan kerana dunia ini, bak dinyanyikan P.Ramlee dalam filem ‘Madu Tiga’, ‘ana yang empunya’…

Ditulis: 28 Jun 2006
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada akhir Jun atau awal Julai 2006, dengan tajuk yang mungkin berlainan sedikit daripada tajuk di atas. [Rencana yang tersiar tiada dalam simpanan saya.]
Tulisan: Rasiah Halil.

Pengajaran Daripada Kisah National Kidney Foundation/NKF (Ditulis Pada Disember 2005)

Laporan firma audit KPMG mengenai Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (National Kidney Foundation/NKF) tentunya memeranjat dan menimbulkan kemarahan masyarakat Singapura. Walaupun kita memaklumi terdapat beberapa hal yang janggal sebelum ini, misalnya mengenai kisah sebahagian tandas di NKF yang bersalut emas, tiket kelas pertama untuk pegawai eksekutif dan sebagainya, tidak sesiapa menjangka penyelewengan yang berlaku demikian mendalam.

Mungkin yang paling menyedihkan ialah hanya 10 sen bagi setiap 1 dolar derma yang diterima NKF dahulu, disalurkan kepada pesakit ginjal. Walhal kerana para pesakitlah sebilangan besar orang di Singapura sanggup menderma, walaupun kita bukan orang senang.

Episod NKF ini bagi Sri adalah satu pengajaran kepada kita, baik sebagai individu, anggota persatuan atau aktivis masyarakat. Tiada seorang pun boleh bertindak seolah-olah dia di atas undang-undang walaupun tujuannya kelihatan baik. Memang hati kita tesentuh mendengar penderitaan orang lain, lebih-lebih lagi cara pemaparan penderitaan tadi demikian realistik. Tetapi dalam era perdagangan ini, kadangkala penderitaan orang lain pun boleh ‘diperdagangkan’ pihak-pihak tertentu bak menangguk di air yang keruh.

Dan kisah NKF ini juga mengingatkan bahawa adalah perlu mementingkan ketelusan dalam mana-mana pertubuhan, syarikat dan badan-badan kebajikan, sivil dan sebagainya. Tanpa ketelusan, sebagaimana kisah NKF ini, perkara-perkara yang buruk disorok dan mereka yang cuba memaparkan keburukan tadi disaman atau disisihkan, lantas masyarakat umum tidak tahu kisah sebenar sehinggalah laporan KPMG yang baru lalu. Kesannya ialah hilangnya kepercayaan sesetengah kita terhadap badan tersebut dan satu lagi kesan, mungkin jumlah mereka yang dapat dibantu NKF juga berkurangan.

Ketelusan itu amat penting dalam menggerakkan hal-hal kemasyarakatan. Tanpanya banyak penyelewengan, baik dari segi kewangan mahupun mendapat habuan tertentu akan berlaku. Kalau sesebuah pertubuhan itu telus dan orang-orang yang mengerakkannya bersikap sedemikian serta amanah dan bertanggungjawab, tiada apa yang harus ditakutkan. Masalahnya, ada sesetengah orang yang diamanahkan menggerakkan sesuatu pertubuhan atau syarikat kadangkala menganggap dialah penentu segala dan tiada siapa boleh menyentuhnya, sebagaimana yang berlaku dalam NKF dahulu.

Banyak tindakan tidak melalui saluran-saluran yang betul dan perkara-perkara yang becanggah dengan prinsip-prinsip tertubuhnya NKF pula disorok-sorok. NKF bagai sebuah empayar ketua eksekutifnya. Bagi Sri, tiada suatu persatuan, yayasan atau syarikat pun boleh bergerak dengan hanya ada ketua eksekutifnya. Dengan adanya kuasa yang diberi kepada seseorang, beriring juga makna tanggungjawabnya.

Apa pun pertubuhan adalah sebuah pasukan sebagaimana olahragawan kita dalam Sukan SEA yang baru berlalu; kita pentingkan ‘Pasukan Singapura’ kerana semua olahragawan memainkan peranan jaya atau gagalnya mereka dalam pertandingan sukan tersebut. Demikian juga dalam persatuan, yayasan dan syarikat. Sri berharap kita akan lebih mengemaskinikan pertubuhan-pertubuhan yang kita terajui dengan mementingkan ketelusan dan sikap amanah dan tangungjawab. Episod NKF ini banyak mengajar kita bahawa setakat hendak berbuat baik sahaja belum mencukupi kalau perkara-perkara yang salah dilakukan.

Apakah kita mementingkan geng sendiri, apakah kita suka benar menonjol-nonjolkan diri dan sekali gus menyatakan kepada masyarakat yang kita lakukan adalah untuk kebaikan mereka sebagaimana kisah NKF ini? Perkara-perkara inlah harus kita jernihkan agar pertubuhan yang kita gerakkan benar-benar memanfaatkan masyarakat.

Ketelusan juga kita perlukan dalam menangani bencana dan musibah seperti bencana tsunami. Sebagai negara kecil, tidak dapat tidak kita harus bersedia menghadapi apa pun kemungkinan, baik bencana alam ataupun sebaliknya. Mungkin ada baiknya orang Singapura diberi latihan menghadapi bencana seumpama ini agar kita bersiap-siaga.

Orang-orang seperti Sri pernah melalui zaman perintah berkurung (curfew), banjir dan sebagainya. Anak-anak kita yang terbiasa dengan keselesaan mungkin menganggap persediaan itu tidak perlu. Tetapi adalah lebih baik kita bersedia daripada menyesal dan merintih suatu masa nanti. Kalau bukan pada zaman hidup kita, mungkin pada zaman lain, tsunami atau bencana seumpama itu akan menjelma dan kita harus bersedia.

Keharuan tsunami sukar kita lupakan, apalagi bagi mereka yang hidupnya masih tergapai-gapai setelah bencana ini. Bagi masyaraklat Islam sedunia, Sri berharap OIC (Organisation of Islamic Countries/ Pertubuhan Negara-negara Islam) dan sebagainya akan mengadakan lebih banyak latihan untuk masyarakat menangani masalah bencana, tenaga kemahiran yang diperlukan serta rangkaian bantuan yang boleh diharapkan untuk menangani masalah ini.

Sebahagian besar mangsa bencana alam adalah orang Islam dan kita tidak boleh sekadar menghulurkan derma sahaja tanpa turut mengadakan rangkaian bantuan, termasuk pekerja mahir yang diperlukan bagi menghadapi masalah-masalah sebegini. Rangkaian bantuan yang telus inilah ‘rahmatan lil alamin’ kerana kita, bersama-sama seluruh penduduk dunia cuba mengurangkan kesusahan orang lain, insya-Allah.

Ditulis: 21 Disember 2005
Tajuk Asal: Ketelusan, NKF Dan Bantuan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 1 Januari 2006
Tulisan: Rasiah Halil.

Damai Yang Kita Nantikan (Ditulis Pada November 2002)

Anak saudara Sri menyambut hari lahirnya baru-baru ini. Dia lahir hanya beberapa bulan sebelum Perang Teluk (Januari – Februari 1991) dan kini, semasa hari kelahirannya, dunia bagaikan di ambang perang. Sri pernah mencadangkan nama ‘Azad’, yang dalam bahasa Parsi bermakna ‘kebebasan/kemerdekaan’ kepada seorang kakak Sri, untuk anak bongsunya. Tetapi akhirnya nama lain yang dipilih kerana lebih sesuai dengan wajah Melayu dan bukan Parsi, anak saudara Sri, walaupun makna ‘azad’ itu tetap kami doakan untuk kehidupannya.

Di media-media massa seminggu dua ini tak putus-putus berita mengenai kesan dan resan tragedi 11 September. Diselang-selikan gambaran-gambaran daripada tragedi itu dan singkapan masa kininya, dunia juga diberitakan bahawa besar kemungkinan di sebuah lagi daerah perang akan tercetus. Pelbagai perasaan berbaur di hati kita menghadami berita-berita sebegini; bila lagi sengketa dunia akan berakhir dan kita dapat menarik nafas lega sebagai penghuni dunia, apa pun bangsa, negara mahupun agama kita? Memang kita terharu menyaksikan tragedi yang menimpa Amerika; tukarkan kata nama Amerika itu kepada negara lain, keharuan kita akan tetap terbetik juga. Melainkan kita telah kehilangan perasaan kemanusiaan, rasa keharuan itu tidak dapat kita kikis bila melihat manusia dibaham maut sedemikian dan keluarga serta sahabat handai mereka yang menanggung beban kehilangan yang amat mendalam. Angka lebih 3000 jiwa yang terkorban itu mungkin akan tetap diratapi untuk suatu jangka waktu yang lama.

Namun, adalah kurang adil jika melalui gambaran-gambaran media massa ini dan riuhnya orang berbicara mengenainya, keharuan kita terbatas kepada mangsa tragedi ini dan terbius pula keharuan kita terhadap mangsa-mangsa lain di seluruh dunia. Banyak tragedi yang berlaku di serata dunia, tetapi mungkin kerana mereka bukan kuasa besar atau mendapat liputan media tertentu, tragedi mereka bagaikan tidak mengharukan kita. Sri teringat puisi tulisan Usman Awang berjudul ‘Kemanusiaan’ ketika John F. Kennedy meninggal dunia pada November 1963.

Petikan puisinya: Kemanusiaan

Telah mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah
putera Adam membunuh-terbunuh dalam pertarungan menang-kalah
dan kematian demi kematian dinyanyikan di mana-mana
dan dilanjutkan sehingga segala tanah jadi pusara
.

Betapa titiskah air mata untuk seorang yang pergi
sebelum keranda bertolak untuk nanti ditambah lagi
dibandingkan dengan hebatnya air terjun di Niagara
air mata putera-putera tercinta dan gadis-gadis menunggu di muka jendela
bersama kerutan pahit para ibu yang pernah menyusui
mendengar berita kematian ngeri dari daerah peperangan?

Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada batasan.

Kematian itu tetap mengharukan apalagi yang menjadi mangsa adalah orang-orang awam yang terperangkap dalam satu-satu keadaan yang sukar bagi mereka mengasingkan diri daripadanya. Selain tragedi 11 September, kita mungkin terfikirkan misalnya tragedi di Lebanon pada 1982 di mana 17,500 jiwa terkorban. Atau di Bosnia, Rwanda, Kampuchea, Timur Tengah. Atau mungkin kita terfikirkan sebanyak 2400 askar Amerika yang terkorban di Pearl Harbour pada 7 Disember 1941 dan serangan balasnya, yang menghentikan Perang Dunia Kedua, ketika bom atom dilepaskan di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945, membunuh 240,000 rakyat biasa Jepun. Dan banyak lagi tragedi kemanusiaan yang tidak semestinya dicetuskan perang tetap mengharukan kita seperti peristiwa di Bhopal, India dan Chernobyll, Rusia, yang seolah-olah hilang bersama masa.

Turut mengharukan kita ialah melihat manusia-manusia daif yang tidak henti dilanda perang. Apalah erti kemanusiaan kita jika di daerah yang amat daif dan melarat, carpet bombing dihalalkan dan mangsa-mangsanya disebut collateral damage? Kalau kita menangis mendengar pesanan-pesanan terakhir melalui telefon bimbit kepada orang-orang yang disayangi semasa tragedi 11 September, bagaimana pula perasaan kita terhadap mereka yang terlalu melarat untuk memiliki apa pun jenis telefon dan tiada suara atau rakaman video untuk menggambarkan tragedi mereka kepada dunia? Ada liputan televisyen luar negara yang cuba membincangkan trauma kanak-kanak tragedi 11 September; memang trauma sedemikian wujud tetapi yang Sri sedihkan, apakah kanak-kanak di Amerika sahaja mengalami trauma sedangkan kanak-kanak lain negara tidak? Ada liputan media massa begitu over sehingga terasa mualnya, walaupun tragedi tersebut mengharukan kita.

Semasa singkapan tragedi 11 September ini disebarluaskan ke seluruh dunia, gendang-gendang perang turut terpukul bersamanya. Mungkin terbetik di hati kita, dahulu Afghanistan, sekarang mungkin Iraq dan setahun kemudian, negara mana yang akan turut terpalit dalam tragedi 11 September ini? Walaupun teori pertembungan peradaban Samuel Huntington tidak berlaku secara ketara, namun bibit-bibitnya seakan tersemai dalam pukulan gendang-gendang perang ini. Kata pepatah kita: gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah. Bagaimana kalau gajah berperang dengan kambing, bagaimana pula penderitaan pelanduk-pelanduk di seluruh dunia? Sri teringat salah sebuah ucapan Mahatma Gandhi dalam filem ‘Gandhi’: an eye for an eye will only make the world blind. Dan kita tidak mampu menjadi buta daripada kesan kehancuran apa pun perang.

Ketika usianya pertengahan abad, apakah yang akan menjadi warisan anak saudara Sri ini? Adakah ia perang, permusuhan, prasangka atau gejala-gejala negatif seumpama itu? Atau mungkin seperti ‘azad’ dia bebas mengembangkan potensinya, bebas menjadi orang Islam berwarga Singapura dalam dunia yang bebas dari peperangan dan persengketaan yang kini terasa memaliti kita?

Ditulis: 9 November 2002
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada November 2002
Tajuk Asal: Tidak jauh berbeza sangat daripada tajuk di atas
Tulisan: Rasiah Halil.

Biar Sukar Meniti Tahun 2002, Semangat Manusia Tidak Mudah Luntur

Disember bagaikan menangis kerana hujan yang sering turun. Dalam kesejukan ini, kita menjadi lebih sayu menanti kedatangan tahun baharu. Berakhirnya tahun selalu membuat kita berfikir mengenai masa-masa yang telah dilalui dan yang mendatang. Dan hati kita mungkin ‘kehujanan’ menyaksikan dunia dan kehidupan sepanjang tahun ini.

Banyak perkara boleh menyedihkan kita tahun ini. Kemelesetan ekonomi menjejas sebilangan kita dan sukar pula memanjatkan harapan dalam keadaan-keadaan begini. Ada pula menghadapi masalah peribadi, kekeluargaan, kesihatan dan sebagainya yang menyukarkan kesinambungan kehidupan dan kadangkala memaksa kita membuat keputusan yang bukan mudah. Dan yang paling mengesankan kehidupan kita mungkin ialah peristiwa 11 September 2001. Sama ada kita setuju dengan apa yang terpapar di media massa ataupun tidak, rentetan tindakan selepas peristiwa itu memberi pelbagai tafsiran bagi kita sebagai orang Islam dan penghuni dunia. Dan mungkin pula ada di antara kita amat sukar melenyapkan dari ingatan beberapa gambaran: runtuhnya menara kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, manusia yang terjun dan terbunuh, bedilan bom dan peluru berpandu di Afghanistan, kanak-kanak dan rakyatnya yang menjadi pelarian, hangatnya keadaan di Timur Tengah dan di beberapa pelosok dunia. Simpati kita melimpah ruah sebagaimana air mata kita yang mudah tercurah menyaksikan penderitaan manusia dalam percaturan dan politik dunia.

Secara peribadi pula pemergian tiga orang tokoh menimbulkan semacam jeda dalam hidup Sri. Seniman Usman Awang Sri minati sejak zaman remaja. Karya-karyanya Sri gemari bukan hanya kerana bahasanya yang indah tetapi juga kerana keterlibatan sosialnya tanpa dijadikan alat propaganda. Beliau, bersama ramai lagi seniman kita, meluas dan memperhaluskan ruang-ruang seni bagi seorang seperti Sri. Walaupun ‘Tanjong Katong airnya tidak lagi biru’ tetapi seperti Usman Awang pernah tegaskan, kita tidak harus memiliki ‘jiwa hamba’ dan betapa pun ‘tajam keris raja/tajam lagi pena pujangga’.

Seorang lagi ialah George Harrison dari kumpulan The Beatles. Bersama John Lennon, Paul McCartney dan Ringo Starr mereka banyak mewarnai muzik bagi orang-orang muda pada tahun-tahun 60-an. Mendengar lagu-lagu mereka, Sri turut terbawa ke zaman yang lebih ‘murni’ sebagaimana perasaan Sri bila mendengar lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma.

Ustaz Babu Sahib pula adalah seorang yang Sri hormati. Beliau pernah mengajar salah seorang kakak ipar Sri, seorang saudara baharu, di rumah kami pada akhir tahun 60-an. Sri temui beliau lagi pada tahun-tahun 70-an semasa ceramah di kampus dan khemah-khemah orientasi. Pada 80-an Sri ikuti kuliah-kuliah beliau di sebuah persatuan. Ketika menginap di luar negara, beliau memberi Sri rangkaian doa untuk amalan dan mendoakan Sri. Walaupun Sri tidak bersempatan mengikuti kelasnya pada tahun-tahun 90-an, berita mengenai kesejahteraannya tetap Sri ikuti melalui sahabat atau telefon. Bagi Sri, beliau adalah manikam yang gemerlapan dalam masyarakat kita, yang banyak jasanya. Hidupnya amat sederhana tetapi ilmunya bukan gempar-gempur saja. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga kita menjadi jauhari yang tahu menilai manikamnya.

Namun, dalam menilai tahun ini dan meniti tahun baharu, tidak semuanya mengharu dan merungsingkan kita. Dalam keadaan betapa sukar pun, semangat manusia untuk terus hidup dan berjuang dalam kehidupan sehariannya, sukar dilunturkan. Di khemah-khemah pelarian, hati kita tersentuh melihat kanak-kanak yang comot, tersenyum dan girang bermain dengan kawan-kawan atau melihat insan yang berlainan warna kulit, bangsa dan agama, saling membantu meringankan beban di dalam dan luar negara, demi kemanusiaan. Dan kadangkala langkah-langkah ini amat kecil tetapi besar ertinya bagi kesejahteraan manusia dan makhluk Allah lainnya di seluruh mayapada ini.

Yang indah itu tidak semestinya datang bergolek, tetapi usaha berterusan kita mungkin melorongkan kita ke arah itu. Dan yang indah itu tidak semestinya serba sempurna, besar, mahal, tercanggih, terbaik. Ada orang menganggap bila dia miliki A,B,C dan seterusnya barulah dia bahagia atau bila satu-satu masalah besar itu hilang, barulah dia kecapi bahagia. Tapi bahagia itu wujud di mana-mana, walaupun ketika kita menghadapi masalah. Dan memiliki sesuatu misalnya kereta dan rumah besar, tidak dengan sendirinya memberikan kebahagiaan. Banyak perkara berhubung dengan kebahagiaan berpunca dari hati. Ada orang memiliki sedikit sahaja tetapi rasa bersyukur dan kebahagiaannya, masya-Allah, sebaliknya ada orang mendapat pelbagai sumber kebahagiaan, tetapi selalu terasa tak cukup dan secara tidak langsung, kurang mensyukuri nikmat kehidupan.

Anugerah terbesar yang kita miliki ialah kehidupan ini yang dengannya iman kita terus diobori dan amal bakti kita kepada Allah dan makhluk-Nya dapat terus dititi. Mungkin banyak lagi pergolakan yang akan kita alami pada tahun 2002, tetapi Sri yakin kita tidak akan mati semangat dan akan cekalkan hati menghadapi segala kemungkinan dan siap sedia menceburi bidang-bidang baharu dalam kerjaya dan kehidupan. Antara air mata dan ketawa, mudah-mudahan tahun baharu kali ini lebih gemerlapan dengan sinar harapannya.

Ditulis: 27 Disember 2001
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 6 Januari 2002
Tajuk Asal: Tahun Lalu Dan Tahun Baharu
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Sebalik Setiap Masalah, Ada Peluang Hidup Yang Lebih Baik (Ditulis Pada Februari 2003)


Beberapa orang sahabat dan kenalan Sri mula berasa bimbang sejak tahun lalu. Dan ini semakin memuncak pada tahun ini. Banyak perkara yang merisaukan mereka; ada yang terasa kerja mereka bertambah dari memikul tanggungjawab untuk seorang, mereka kini terpaksa membuat kerja untuk dua atau tiga orang. Ada pula semakin terganggu oleh pelbagai jenis penilaian yang dilakukan terhadap bidang kerja mereka, walau pun mereka tahu mereka telah melakukan yang terbaik dalam kerja tersebut. Dan tidak kurang pula semakin gabra membaca di dada akhbar mengenai pembuangan kerja, lebih-lebih lagi mengenai berita tergempar daripada PSA (Port of Singapore Authority/Penguasa Pelabuhan Singapura) baru-baru ini.

Pembuangan kerja bukanlah perkara ringan. Banyak masalah turut terpalit dengan munculnya isu ini. Dan orang yang menanggungnya selalu akan terasa terganggu kerana segala rancangannya untuk diri sendiri dan keluarga, terpaksa diubah Walaupun mempunyai kerja bukanlah segala-galanya dalam kehidupan kita, namun kehilangannya bererti hilang juga mata pencarian dan segala yang kita kaitkan dengan kehidupan yang serba memerlukan wang. Bagi sebahagian besar kita pula, hilangnya kerja amat menjejas rasa harga diri kita, sebagai manusia dan sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan keluarga. Antara gambaran yang paling menyedihkan ialah melihat wajah orang yang baru diberhentikan kerja; kemurungan wajahnya selalunya melukiskan isi hatinya yang berkecamuk dan mungkin juga marah.

Sebilangan kita membesar dengan melihat ayah dan/atau ibu kita pergi bekerja pada waktu tertentu. Ini terutamanya bagi mereka yang bekerja makan gaji. Kebiasaannya, kita menyambut ayah kita pulang dari kerja kerana begitu penat dia mengerah tenaga dan otak untuk mencari nafkah. Bagi mereka yang orang tuanya bekerja sendiri sama ada membuka perniagaan dan sebagainya, mereka tahu, masa bekerja orang tua mereka tidak menentu. Ada masanya ayah anda terpaksa balik lambat dan ada masanya pula cepat sedikit, bergantung kepada perniagaannya. Sri ingat bagaimana wajah dan perasaan bapa Sri bila perniagaannya tidak laris pada satu-satu bulan dan hendak tak hendak, dia mesti juga membayar gaji pekerjanya selain menampung keperluan keluarga. Namun, Sri juga tak dapat melupakan betapa dalam keadaan-keadaan sukarnya bapa Sri tetap tabah, sabar, berusaha dan berharapan untuk menggiatkan lagi perniagaannya agar bulan-bulan mendatang keadaan akan bertambah baik. Ketabahan dan semangatnya yang Sri terkenang ketika membaca mengenai PSA kerana perniagaan bapa Sri juga dalam bidang logistik perkapalan.

Memang bukan mudah menerima hakikat pembuangan kerja atau apa-apa masalah besar yang kita hadapi. Hanya mereka yang pernah mengalaminya benar-benar dapat memahaminya. Selalunya menghadapi keadaan begini, ada empat langkah yang sering kita ikuti, menurut catatan buku-buku psikologi dan pengurusan. Pertama, kita cuba menafikan munculnya sesuatu masalah itu. Kedua, kita menjadi marah kerana munculnya masalah itu. Ketiga, kita mula menerima keadaan itu. Hanya setelah ini, di peringkat keempat, barulah kita cuba melakukan sesuatu agar masalah itu ditiadakan atau dikurangkan. Ada orang mengambil masa yang lama untuk sampai ke peringkat ketiga dan keempat kerana lama dihambati rasa marah, sedih dan lain-lain. Apabila kita mula dapat berdepan dengan kenyataan, betapa pahit dan kurang adil pun, barulah kita boleh mengorak langkah selanjutnya, misalnya mencari pekerjaan lain yang mungkin tidak pernah kita fikirkan selama ini, kerana kita telah berdamai dengan keadaan yang menimpa hidup kita.


Dalam tulisan Mandarin dikatakan perkataan ‘krisis’ bermakna juga ‘peluang’. Ini bererti setiap masalah/musibah boleh juga menjadi peluang, jika kita pandai memanfaatkannya. Kita mungkin didorongkan untuk mencuba pekerjaan lain, mengemaskinikan perbelanjaan keluarga, menilai semula kehidupan kita, agar apa pun malapetaka yang bakal menjelma, jiwa dan raga kita sudah bersedia menghadapinya. Dan peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu, meningkatkan diri, menilai kehidupan kita, sentiasa terbuka selagi hati dan fikiran kita turut terbuka.

Tentulah dalam keadaan ekonomi yang muram begini ada sahaja orang yang mengambil kesempatan. Ada para majikan yang sengaja menyukarkan para pekerjanya dan mendesak secara tidak langsung: kalau tak suka boleh berhenti, kerana mereka tahu agak mudah mendapatkan pengganti pekerja tadi. Sebaliknya, ada juga orang, menggunakan alasan ekonomi yang muram, untuk membuat 1001 helah agar dia tidak payah bekerja. Memang terdapat kegenjotan kerana kadangkala pekerjaan yang ditawarkan amat tidak sesuai dengan kelulusan atau kebolehan kita tetapi tidak semua sedemikian. Akhirnya kita terpaksa menjadi lebih realistik terhadap jangkaan, perancangan dan harapan kita demi masa depan semua yang bergantung-harap kepada kita. Kemarahan dan kesedihan kita terpaksa juga kita kendurkan dan tukarkan menjadi sumbu untuk menyalakan semangat kita bagi mencuba dan berusaha dalam suasana kerja yang baharu pula. Langkah ini perlukan masa dan bukanlah mudah, tetapi perjalanan seribu batu itu bermula juga dengan langkah yang satu. Kita terpaksa melangkah kerana jika tidak, kita akan tertinggal lama.

Tiada siapa yang mahu masalah atau musibah menimpa hidupnya tetapi kehidupan selalu menjelmakan pelbagai badai dan halilintar dalam kita melayarkan bahtera kehidupan kita. Tenggelam atau lemas bukanlah pilihan kerana pelayaran kita masih terlalu jauh dan di pulau setitik merah ini, menghuni orang-orang yang kita kasihi, yang memerlukan kita untuk tabah, sabar, terus mencuba, bersemangat baharu dan tidak mengenal putus asa, demi sejahteraan mereka.

Ditulis: 20 Februari 2003
Tajuk Asal: Bila Masalah Menimpa Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 23 Februari 2003
Tulisan: Rasiah Halil.