Archive | February 2016

Catatan 28 Februari 2016 – Makna Tarikh 28 Februari Bagi Saya

1. 28 Februari merupakan tarikh hari lahir Amir Hamzah, penyair yang saya minati. Semasa awal remaja, ketika baru memulakan pencarian sastera saya, Amir Hamzahlah selain Chairil Anwar, Hamka, Pramoedya Ananta Toer dan sebilangan penulis Indonesia sebelum tahun-tahun 70-an, selain sejumlah penulis Malaysia, menjadi bacaan dan sumber contoh saya. Saya ‘jatuh cinta’ dengan penulisan Amir Hamzah dan Chairil Anwar dan beberapa orang penyair dan penulis Nusantara dan dari masa ke semasa, saya mengulangi membaca karya-karya mereka.

Saya mendapati karya-karya Amir Hamzah begitu menyentuh hati saya semasa remaja itu dan semakin saya meningkat dewasa, semakin saya memaklumi kemelut jiwanya. Malah, ketika ada masalah-masalah yang melanda, saya pernah menulis puisi pada 1990, yang saya tujukan kepadanya berjudul Kepada Penyair Amir Hamzah. Kehidupan dan penglibatan seninya memberi iktibar betapa seorang yang bersikap tanggung jawab rela menjalani apa sahaja dugaan demi sesuatu yang lebih murni dan besar daripada kehidupannya, walaupun jiwanya terseksa kerananya.

Semasa di Universiti Singapura/NUS, seorang profesor saya pernah mengingatkan secara berlambang – jadilah kambing yang makan rumput dan bukannya kambing yang makan kertas. Maknanya dalam penceburan seni dan juga kehidupan, kita mesti ada mercu tanda/benchmark – ada semacam taraf yang harus dituju. Kalau kita terbiasa dengan yang tohor atau yang remeh, misalnya dalam buku-buku yang dibaca, itulah mercu tanda kita. Tetapi, profesor saya mengingatkan, kalau kita terbiasa yang baik, sebagaimana kambing yang dibiasakan memakan rumput, ia tidak mahu memakan kertas yang tidak berkhasiat malah boleh memudaratkannya.

Demikian juga dengan sesiapa yang kita anggap sebagai tokoh atau kita beri jolokan-jolokan yang kurang munasabah bagi penceburan atau pencapaian mereka. Amir Hamzah merupakan penyair dan penulis yang boleh dijadikan sumber contoh kerana karya-karyanya memang mempunyai kepiawaiannya/standard. Hari lahirnya pada hari ini mudah-mudahan mengingatkan saya dan anda yang sudi membaca blog saya agar menghargai sumbangan seorang seperti beliau dan juga meletakkan kayu ukur yang tinggi apabila seseorang itu ingin dijadikan sumber contoh.

Saya memasukkan sebagai entri tulisan saya mengenai Amir Hamzah yang ditulis pada 2005. Saya juga memasukkan tulisan mengenai sebuah lagu yang indah, ‘Ghazal Untuk Rabiah’, bukan hanya ia selaras dengan tulisan mengenai Amir Hamzah, tetapi juga lagu ini bermakna bagi saya sejak mula mendengarnya dan masih bermakna bagi kehidupan saya kini.

2. Tarikh 28 Februari juga bermakna bagi saya kerana dua sebab. Yang pertama, saya meninggalkan Singapura untuk berkhidmat sebagai pensyarah sastera di Universiti Brunei Darussalam pada 28 Februari 1987. Keputusan untuk meninggalkan Singapura dan lebih-lebih lagi nenek yang membesarkan saya dan tinggal serumah dengan saya, amat sukar dibuat. Tetapi akhirnya, dengan keizinan nenek saya, saya berlepas ke Brunei pada tarikh tersebut. Saya ada menulis beberapa entri mengenai ini, yang disisipkan dalam entri catatan, cerpen dan sebagainya. Semasa di Brunei, karya pertama yang saya tulis merupakan sebuah sajak, Catatan Waktu Hujan, yang mula ditulis pada 28 Februari 1987, di Brunei.

Mengajar di Universiti Brunei Darussalam dan berada di Brunei, membuka mata saya kepada beberapa hal. Saya bukan hanya mengajar, malah turut juga terlibat dalam beberapa acara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan gemar ke Perpustakaan DBP Brunei. Saya juga suka mendengar cara orang Brunei bercakap, yang bagi saya agak berlagu, sebagaimana saya suka mendengar bahasa-bahasa dialek dari Malaysia dan Indonesia.

Walaupun bukan segalanya indah semasa di Brunei – saya berdepan dengan rasa kerinduan kepada orang-orang yang saya sayang yang saya tinggalkan dan ada juga mereka yang temui di Universiti Brunei (pensyarah bukan dari Brunei) yang kurang beretika, tetapi hal-hal inilah yang akhirnya meneguhkan pendirian saya. Saya bertemu dan berkawan dengan beberapa orang yang baik hati dan peribadi mereka semasa di Brunei. Saya juga banyak menulis semasa di sana dan seperti semasa mengajar di Singapura, dengan cara saya, saya menyayangi para pelajar saya. Salah satu karya saya semasa di sana merupakan sajak ringkas yang menggambarkan beberapa hal saya semasa di sana:

Hujan Malam

Kecapi apa yang kaupetik
menggetari kesunyian suasana
indah, bagai sebuah nostalgia
lalu seorang perantau
sepi ditemani titis-titismu
terkenang kampung halamannya.

Ditulis: 12 Ogos 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Night Rain (Translation)

What musical instrument are you strumming
reverberating the silent surrounding
enchanting, like nostalgia
thus making a traveller
lonely, befriended by your trickles
remembering her homeland.

Written: 12 August 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Written and translated by: Rasiah Halil.

Saya tidak memperbaharui kontrak tiga tahun itu dengan Universiti Brunei walaupun diminta menyambung kontrak. Saya telah berjanji dengan nenek saya, yang lebih merupakan ibu saya, bahawa saya akan pergi untuk satu kontrak sahaja dan saya juga telah ditawarkan pekerjaan di Universiti Nasional Singapura. Kepulangan saya ke Singapura membawa hal-hal yang tidak disangka-sangka pula bagi kehidupan saya.

Walaupun telah meninggalkan Brunei pada bulan April 1990, saya kembali ke Brunei beberapa kali selepas tarikh tersebut. Selain bertemu keluarga adik saya, saya juga ingin mengimbau kenangan saya semasa di sana dan pernah membeli sejumlah karya Brunei untuk dibaca dan disimpan di perpustakaan rumah saya.

Pada akhir 1992 atau awal 1993, saya diminta oleh sebuah badan penerbitan, Editions Didier Millet, untuk membantu mereka menyiapkan buku yang tebal mengenai Brunei. Kerana saya terlibat dengan beberapa projek ketika itu dan yakin mereka ada orang yang lebih memaklumi keadaan Brunei dan cara memilih bahan-bahan yang sesuai, saya memberitahu mereka saya bersedia menjadi penterjemah atau editornya. Buku itu ditulis oleh bahagian Inggeris penerbitan dan saya dilantik menjadi editor terjemahan buku tersebut. Penterjemahnya orang lain, yang pernah bekerja di Brunei. Sayangnya terjemahan orang tersebut terlalu banyak kesilapan – dari ejaan lamanya kepada terjemahan yang amat dasar yang dibuat tidak sesungguhnya. Kalau buku ini ‘terlepas’ dan tidak diterjemahkan semula, akan memalukan terutama bagi pihak Brunei.

Saya berakhir dengan bukan hanya mengedit buku tersebut malah menterjemahkan semula buku itu. Saya berkali-kali menelefon adik ipar saya, orang Brunei, untuk mendapatkan pengesahan beberapa hal yang hanya orang Brunei yang lebih mengetahui. Saya tidak dibayar untuk membuat panggilan-panggilan telefon tersebut, malah sebagai editor, honorarium yang saya terima kurang 50 peratus daripada apa yang diberi kepada penterjemah buku itu. Ada kawan-kawan saya yang ‘memarahi’ saya kerana bersusah-payah menyiapkan projek buku Brunei tersebut sedangkan bayarannya tidak setimpal dengan kerja yang saya lakukan, terutama kerana saya terpaksa menterjemah semula buku tersebut. Editor yang menghubungi saya tahu masalahnya tetapi kerana dia tidak pandai berbahasa Melayu, dia tidak tahu betapa kurang piawai/standard, penterjemahan yang dibuat oleh penterjemah pilihan mereka.

Kenapa saya lakukan itu atau mengongsi ini dengan anda? Apakah saya ingin menunjukkan saya ini ‘baik’ dan hal-hal seumpama itu? Tidak. Saya kongsikan ini kerana projek buku tersebut memberi saya peluang untuk mengucapkan terima kasih saya kepada sebuah negara yang telah memberi saya peluang untuk mencapai sebahagian daripada cita-cita hidup saya dahulu iaitu menjadi pensyarah sastera. Selamanya Negara Brunei Darussalam akan menjadi negara yang istimewa di hati saya. Dan tarikh 28 Februari 1987 itulah yang merubah sebahagian hidup saya kerana saya berkhidmat dan menetap di Negara Brunei Darussalam.

3. Yang kedua, pada 28 Februari 2013, saya menjalani ujian mamogram di Poliklinik Pasir Ris – dan saya tahu ada yang tidak kena kepada kesihatan dan payudara saya. Anda mungkin sudah membaca tulisan saya mengenai hal ini, iaitu ‘Bila Barah Payudara Menjengah’. Saya sengaja memilih tarikh 28 Februari itu untuk mendapatkan kepastian mengenai kesihatan saya kerana beberapa sebab – dan bukan kerana tarikh lahir Amir Hamzah atau saya berlepas ke Brunei pada tarikh tersebut. Betapa kepastian yang saya cari itu turut merubah kehidupan saya.

Tiga peristiwa yang berbeza pada 28 Februari – lahirnya penyair yang menjadi salah seorang sumber contoh saya dalam bidang kesusasteraan, peluang menjadi pensyarah sastera yang diberi oleh Negara Brunei Darusslam dan masalah kesihatan yang masih meruangi kehidupan saya. Namun, saya amat bersyukur ketiga-tiga peristiwa ini memainkan peranannya dalam kehidupan saya.

Dalam menjalani kehidupan ini, berselang-seli kegirangan dan kedukaan kita adalah kehidupan yang Allah hamparkan. Tanpa pembauran pelbagai hal, saya tidak akan menjadi saya dan saya tidak akan tahu nikmat bersyukur di atas segala pemberian-Nya. Banyak yang mungkin kita ‘lepaskan’ atau ‘tepiskan’ semakin usia kita meningkat dan banyak lagi yang kita teramat bersyukur kepada-Nya kerana dengan pelbagai cara Dia mengajar kita untuk menertibkan makna reda yang sebenarnya. Dan betapa sesekali kita boleh berlinangan air mata, terimbau kenangan lama dan sebagainya, kita tidak lagi bertanya ‘kenapa begini atau kenapa aku’ kerana akhirnya kita memaklumi sedikit makna Maha Pengasih dan Maha Penyayang-Nya, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
28 Februari 2016.

Amir Hamzah: Bintang Gemerlapan Di Langit Sastera

AH 1AH 3 (2)AH 3AH 4AH 5

Prakata

Siapakah yang tidak akan tersentuh membaca puisi bertajuk Padamu Jua ini:

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu

Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Di mana engkau
Rupa tiada
Suara sayup
Hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa gadis di balik tirai

Kasihmu sunyi
Menunggu seorang diri
Lalu waktu – bukan giliranku
Mati hari – bukan kawanku…….

Penyairnya dianggap oleh H. B. Jassin sebagai ‘raja penyair pujangga baru’. Dan puisi-puisinya banyak yang menyentuh kalbu kita sama ada daripada tema pilihannya mahupun teknik penulisan dan pemilihan katanya. Nama penyair ini, Amir Hamzah, sinonim dengan perkembangan puisi Melayu moden. Sesiapa yang meminati puisi seringkali mendalami puisi-puisinya kerana keindahan puisinya.Walaupun ada penyair-penyair lebih awal dari Indonesia dan Malaya pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, misalnya Md Yamin, Rustam Effendi, Sanusi Pane, Pungguk dan lain-lain, namun pada puisi-puisi Amir Hamzahlah lebih terasa kemelayuannya.

Sekilas Latar Hidup Amir Hamzah

Tengku Amir Hamzah dilahirkan di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera pada 28 Februari 1911. Bapanya, Tengku Mohammad Adil merupakan Bendahara Paduka Raja Langkat dan adik kepada Sultan Langkat, sementara ibunya pula bernama Tengku Mahjiwa. Beliau mempunyai 12 adik beradik (bapanya mempunyai 3 orang isteri) dan digelar Tengku Bongsu. Dinamakan Amir Hamzah bersempena nama bapa saudara Nabi s.a.w. dalam Hikayat Amir Hamzah. Bapanya gemar mengumpul hikayat dan buku serta memiliki perpustakaannya sendiri. Salah satu kegemarannya ialah mengumpulkan anak-anak dan sanak saudaranya dan menyuruh salah seorang daripada mereka membacakan buku-buku tertentu misalnya Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Haris Fadilah, Qisasul Anbia, Hikayat Hang Tuah, Bustanus Salatin, Syair Bidasari, Syair Ken Tambuhan dan sebagainya. Amir Hamzah membesar dalam suasana kesusasteraan tradisional begini dan juga pengasuhan dalam agama Islam.

Beliau terdidik di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Belanda di Medan dan Pulau Jawa. Di Solo, Pulau Jawa, Amir mendapat pelajaran posmenengahnya (SMA) dalam Jurusan Sastera Timur. Di Solo lah beliau bertemu dan jatuh cinta dengan gadis yang banyak mengilhami karyanya, Ilik Sundari (kadangkala ditulis sebagai Sendari), rakan sejurusannya. Semasa di sana, ibunya meninggal dunia. Ketika melanjutkan pelajarannya di Batavia (Jakarta) di Sekolah Tinggi Hukum, bapanya pula meninggal dunia. Amir Hamzah terpaksa menampung pelajarannya dengan bekerja sebagai guru sambilan. Akhirnya, persekolahannya dibiaya oleh Sultan Langkat, bapa saudaranya. Beliau lulus sebagai pemegang sarjana muda hukum.

Aktifnya Amir Hamzah
Amir Hamzah bukan sahaja seorang penyair dan penulis, bahkan aktif dalam kegiatan-kegiatan sekolah dan di luar sekolah. Beliau bergiat aktif dalam pergerakan kebangsaan, ‘Jong Sumatera’ dan ‘Indonesia Muda’. Malah pernah menjadi redaksi majalah Garuda Merapi yang digunakan untuk perjuangan ‘Indonesia Muda’. Amir Hamzah juga pernah menjadi ketua cawangan ‘Indo-nesia Muda’ di Solo yang inti perjuangannya selari dengan Sumpah Pemuda 1928. Kegiatan-kegiatan ini tidak digalakkan oleh Sultan Langkat kerana Amir Hamzah mula dimata-matai oleh pihak Belanda. Kerana tegahan Sultan Langkat ini, walaupun Amir Hamzah bersama-sama Sutan Takdir Alisjahbana dan Armin Pane mengusahakan majalah Pujangga Baru, beliau hanya ditulis sebagai ‘pembantu tetap’ demi mengelakkan tegahan Sultan Langkat dan pihak Belanda. Melalui majalah Pujangga Baru ini banyak karyanya disiarkan. Karya-karyanya yang dibukukan termasuklah: Nyanyi Sunyi (1937), Setanggi Timur (1939; terjemahan kesusasteraan Timur dari Arab, Parsi, India, China, Jepun dan lain-lain), Buah Rindu (1941) dan Sastera Melayu Lama dan Raja-rajanya (1942).

Tuntutan Bercanggah Dalam Hidupnya

Hidupnya banyak ditariki pelbagai tuntutan yang bercanggah. Walaupun bercinta dengan Ilik Sundari, Amir Hamzah tidak dapat mengahwininya. Dia berkahwin dengan sepupunya, anak sulung Sultan Langkat, Tengku Kamaliah, demi memenuhi permintaan Sultan yang telah membiayai pelajarannya. Memenuhi permintaan Sultan ini bukan pula dilakukan kerana ingin hidup selesa tetapi lebih berasaskan rasa tanggung jawabya. Sultan Langkat telah diberitahu pihak Belanda untuk mengekang penglibatan Amir Hamzah dalam dunia pergerakan; seandai-nya Amir Hamzah masih berdegil, Langkat yang kaya minyak itu dan orang-orang yang bergantung padanya akan menerima padahnya. Memandangkan banyak orang yang bergantung kepada Sultan Langkat (sultannya juga membiayai usaha-usaha pendidikan penduduk tempatan dan dari luar negara), Amir Hamzah terpaksa melepaskan satu-satunya kasih hatinya demi kebaikan yang terbanyak. Perkahwinan itu diandaikan akan menumpukan perhatian Amir Hamzah di Langkat dan mengendurkan penglibatannya dalam pergerakan kebangsaan Indonesia lantas menyelamatkannya dari disenarai-hitamkan oleh pihak Belanda. Dan kemelutnya dalam memenuhi kehendak Langkat dan mengurangkan penglibatan pergerakannya mungkin sama pedihnya sebagaimana dia terpaksa berpisah dengan Ilik Sundari dan menerima Tengku Kamaliah sebagai isterinya. Amir Hamzah dikurniakan seorang anak, Tengku Tahura Alautiah, dengan Tengku Kamaliah.

Amir Hamzah diberi gelaran Tengku Pangeran Indera Putera oleh Sultan Langkat setelah berkahwin dengan Tengku Kamaliah. Beliau menjadi wakil kepala Luhak Langkat Hilir di Tanjung Pura. Setelah Indonesia diisytiharkan merdeka pada 17 Ogos 1945, Amir Hamzah mendapat surat rasmi mengangkatnya sebagai Pembantu atau Wakil Residen yang kemudian disebut ‘Bupati’. Dan dalam revolusi sosial yang meletus di Sumatera, Amir Hamzah difitnah dan seperti beberapa ahli keluarga diraja, dibunuh oleh golongan kiri. Amir Hamzah yang berdarah raja tetapi berjiwa rakyat, terbunuh pada 20 Mac 1946.

Sebelum dia dipisahkan daripada anak isterinya, Amir Hamzah telah berpesan kepada mereka agar jangan membalas dendam seandainya malapetaka menimpa dirinya. Isterinya berpegang teguh kepada ini dan enggan menanda tangan agar pembunuhnya, mandur Yang Wijaya, dihukum bunuh apabila ditangkap. Pembunuhnya akhirnya dibebaskan kerana mendapat keampunan tetapi kemudiannya menjadi gila. Selepas revolusi sosial itu kerana segala harta keluarga diraja telah dirampas, Tengku Kamaliah terpaksa berdagang kecil-kecilan demi membesarkan anaknya. Menurut N.H.Dini dalam bukunya Amir Hamzah Pengeran Dari Seberang, Tengku Kamaliah beberapa kali cuba mencari Ilik Sundari kerana ingin meminta maaf, walaupun bukan beliau sebenarnya merampas kekasih Ilik Sundari, tetapi mereka tidak pernah bertemu. Tengku Kamaliah meninggal pada 1961.

Kekasih hati Amir Hamzah, Ilik Sundari, setelah berpisah dengannya pada 1936, tidak lagi bertemunya. Ilik menjadi guru dan hanya berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai anak pada 1949. Walaupun Tengku Tahura, anak Amir Hamzah ingin bertemunya, dia enggan berbuat demikian. Tetapi melalui perantaraan seorang saudaranya, dia dapat melihat Tengku Tahura dari jauh, berkali-kali, dan memberinya pelbagai hadiah. Ilik Sundari sempat mendengar berita Amir Hamzah diangkat sebagai pahlawan nasional bersama dengan Sultan Agung dan Untung Suropati oleh pemerintah Indonesia pada 10 November 1975. Beliau meninggal dunia pada 3 Disember 1976.

Menelusuri Sejumlah Puisi Amir Hamzah

Amir Hamzah melahirkan dua antologi puisi persendiriannya dan sebuah antologi puisi terjemahan. Buah Rindu mengandungi 28 kuntum puisi dan diterbitkan pada 1941 sementara Nyanyi Sunyi pula mengandungi 24 kuntum puisi yang diterbitkan pada 1937. Walaupun diterbitkan lebih awal (1937), sajak-sajak Nyanyi Sunyi merupakan sajak-sajak yang ditulis pada usia yang lebih dewasa; Amir Hamzah memerapkan diri selama sebulan setelah dipaksa pulang ke Langkat dan disuruh berkahwin dengan sepupunya, untuk melahirkan puisi-puisi ini. Buah Rindu pula merupakan sajak-sajaknya yang ditulis lebih awal (ditulis pada 1928 sehingga 1935) daripada kelahiran antologi Nyanyi Sunyi, walaupun diterbitkan setelah terbitnya antologi Nyanyi Sunyi.

Terdapat beberapa tema utama dalam puisi-puisi Amir Hamzah; kesemuanya berpusar kepada persoalan kasih sayang dan cinta iaitu mengenai ‘Bonda’ (kedua-duanya ibu kandungnya dan ibu pertiwinya), cintanya kepada Ilik Sundari, cintanya kepada Tuhan dan perlukisan keindahan alam. Dalam kedua-dua buah antologi, Amir Hamzah banyak menggunakan bahasa yang lebih asli yang lebih mirip kepada bahasa dalam sastera Melayu tradisional. Selain lingkungan keluarganya, mungkin pendedahannya kepada karya-karya sastera Melayu tradisional banyak memperkayakan perbendaharaan katanya dan caranya melahirkan puisinya. Kita temui kata-kata dan frasa-frasa berikut misalnya dalam puisi-puisinya:

1. Bunga: cempaka, kemboja, melur, mawar, seroja, teratai, melati, kemuning, kesuma.

2. Lain-lainnya: kanda, dinda, bonda, anakanda, tajuk mahkota, kelana, musafir, bujang berbangsi, bujang Melayu, mega berarak, dewangga raya, juita, kencana, kemala hijau, teja (bukan Tun Teja tetapi bermakna sinar atau cahaya), sepantun duli, cerpu Maulana, Duli Dewata Mulia Raya, emas tempawan, panah asmara, di balik cindai awan angkasa, dagang, pualam pelangi persih, bunga percaya, genta kencana, ratna mulia, merangkai hati, gambuh asmara, kerusi kasturi dan lain-lain.

Tema Ibu Dan Sejarah Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Ibu memainkan peranan penting kepada Amir Hamzah. Baginya ‘ibu’ atau ‘bonda’ diertikan kepada kedua-dua ibunya dan juga Sumatera/Indonesia. Banyak sajak awalnya bertemakan ibu/bonda; mungkin dipacu oleh semangat anak muda yang terpaksa berpisah daripada ibunya kerana menuntut ilmu, selain melihat ibu pertiwinya dibawah jajahan Belanda, perjuangannya, sebagaimana disuarakan dalam puisi-puisinya, adalah untuk memartabatkan kedua-dua ‘ibu’nya ini. Petikan puisi Tinggallah ini dapat menjelaskan:

Tinggallah tuan, tinggallah bonda
Tanah airku Sumatera raya
Anakanda berangkat ke Pulau Jawa
Memungut bunga suntingan kepala.

………………………………………
Selamat tinggal bondaku perca
Panjang umur kita bersua
Gubahan cempaka anakanda bawa
Jadikan gelang di kaki Bonda.

Gelang cempaka pujaan dewa
Anakanda petik di tanah Jawa
Akan Bonda penambah cahaya
Akan Ibu penambah mulia.

Demikian juga dalam sajaknya yang berjudul Dagang, kita temui rasa hibanya berpisah dengan ibunya yang sedang sakit dan akhirnya meninggal dunia dalam petikan ini:

Bonda pun gering seorang diri
Hati luka tiada berjampi
Nangislah Ibu mengenangkan kami
Rasakan tiada berjumpa lagi.

Allah diseru memohonkan restu
Moga kami janganlah piatu
Aduh Ibu, kemala hulu
Bukankah langit tiada berpintu?

Sudahlah nasib tiada bertemu
Sudahlah untung hendak piatu
Bagaimana mengubah janji dahulu
Sudah diikat di rahim Ibu.

Dalam sajaknya berjudul Hang Tuah, Amir Hamzah mengingatkan kita akan ketangkasan laksamana Melayu zaman Melaka dahulu dan sekali gus perlunya ada orang-orang setangkas beliau pada zaman Amir Hamzah. Sajaknya ditulis dalam bentuk dua baris serangkap (kuplet) dan menggambarkan serangan Peringgi dan pertentangan Hang Tuah dan orang-orang Melaka. Petikannya:

Amuk mengamuk buru-memburu
Tusuk-menusuk laru-meluru.

Lala rentaka berputar-putar
Cahaya senjata bersinar-sinar.

Laksamana mengamuk di atas pusta
Yu menyambar umpamanya nyata…..

Hijau segara bertukar warna
Sinau senjata penghantar nyawa.

Hang Tuah empat berkawan
Serangnya hebat tiada tertahan.

Tema Alam Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Sajak-sajak Amir Hamzah banyak diperkayakan oleh unsur alam; sama ada alam bunga/pohon dan unggas mahupun alam semula jadi misalnya mengenai senja, malam, bulan, awan, angin, laut dan sebagainya. Di antara sajak-sajaknya yang indah dengan perlukisan alam ini termasuklah puisi berjudul Naik-naik dan Berdiri Aku. Kita perturunkan sajak Berdiri Aku ini:

Berdiri aku di senja senyap
Camar melayang menepis buih
Melayah bakau mengurai puncak
Berjulang datar ubur terkembang.

Angin pulang menyeduk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun-ayun di atas alas.

Benang raja mencelup hujung
Naik marak mengerak corak
Helang leka sayap tergulung
Dimabuk warna berarak-arak.

Dalam rupa maha sempurna
Rindu-sendu mengharu kalbu
Ingin datang merasa sentosa
Mengecap hidup bertentu tuju.

Tema Cinta Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Namun salah satu tema utama sajak-sajaknya ialah cintanya kepada Ilik Sundari dan rasa kecewanya yang mendalam kerana perpisahan mereka. Banyak sajaknya memperkatakan hal tersebut misalnya dalam petikan-petikan berikut:

Aduh, kasihan hatiku sayang
Alahai hatiku tiada bahagia
Jari menari doa semata
Tapi hatiku bercabang dua.

(Petikan sajak Doa Poyangku)

Atau ketika beliau menganggap nasib yang menimpa diri dan kekasihnya bagaikan dua boneka yang dipermainkan sang dalang takdir dalam petikan puisi Sebab Dikau ini:

Hidup seperti mimpi
Laku lakon di layar terkelar
Aku pemimpi lagi penari
Sedar siuman bertukar-tukar

Aku boneka engkau boneka
Penghibur dalang mengatur tembang
Di layar kembang bertukar pandang
Hanya selagu, sepanjang dendang

Begitu juga Amir Hamzah berkeyakinan bahawa walaupun mereka tidak dapat mendirikan rumah tangga, cintanya tidak putus, malah akan menemukan mereka di alam yang lain sebagaimana dijelaskan dalam petikan puisi Astana Rela ini:

Tiada bersua dalam dunia
Tiada mengapa hatiku sayang
Tiada dunia tempat selama
Layangkan angan meninggi awan

Jangan percaya hembusan cedera
Berkata tiada hanya dunia
Tilikkan tajam mata kepala
Sungkumkan sujud hati sanubari

………………………………………
Di situ baru kita berdua
Sama merasa, sama membaca
Tulisan cuaca rangkaian mutiara
Di mahkota gapura astana rela.

Tema Ketuhanan Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Tema yang banyak disentuh oleh Amir Hamzah dalam puisi-puisinya ialah tema ketuhanan ataupun cinta kepada Ilahi. Ini berkait rapat dengan kekecewaan yang dialami (bukan hanya terbatas pada soal cinta, malah perjuangan kebangsaannya) dan keinsafannya sebagai hamba yang amat daif. Sejumlah puisinya menggunakan cara percakapan, seolah-olah beliau mengadu hal kepada Allah akan segala masalah yang dihadapinya. Sajak-sajaknya tidak pernah meng-gunakan huruf besar bila ditujukan kepada Allah, misalnya ditulis ‘kau’ dan bukan ‘Kau’.

Amir Hamzah pada mulanya merupakan pengikut tarekat Naqsyabandiah murni dan kemudian beliau menjadi pengikut tarekat Qadiriyah (Shaykh Abdul Qadir al-Jilani) tarekat yang berpengaruh di Langkat ketika itu. Ilmu agamanya yang mendalam selain tugasnya sebagai bupati di Tanjung Pura serta pelbagai tuntutan hidup yang beliau hadapi menjadikan Amir Hamzah memilih Allah sebagai tempat mengadu, pelindung, dan kekasihnya yang abadi. Banyak sajaknya menggambarkan sedemikian sebagaimana petikan-petikan sajak berikut:

Bertanya aku kekasihku
Permainan engkau permainkan
Kautulis kaupaparkan
Kau sampaikan dengan lisan

Bagaimana aku menimbang
Kaulipu-lipatkan
Kaukelam-kabutkan
Kalbu ratu dalam genggammu
……………………………………
Bagaimana aku menimbang
Kekasihku istana sayang
Ratu restu telaga sempurna
Kekasihku mengunci hati
Bagai tali disimpul mati.

(Petikan sajak Permainanmu)

dan:

Kerana kasihmu
Engkau tentukan waktu
Sehari lima kali kita bertemu

Aku inginkan rupamu
Kulebihi sekali
Sebelum cuaca menali sutera

(Petikan sajak Kerana kasihmu)

juga yang harum berbau tasawuf:

Kaumasukkan aku ke dalam taman-dunia, kekasihku!
Kaupimpin jariku, kautunjukkan bunga tertawa, kuntum tersenyum.
Kautundukkan huluku tegak, mencium wangi tersembunyi sepi.
Kaugemalaikan di pipiku rindu daun baldu melunak lemah.
Tercengang aku, takjub, terdiam.
Berbisik engkau:
‘Taman swarga, taman swarga mutiara rupa’.
Engkau pun lenyap.
Termangu aku gilakan rupa.

(Petikan sajak Taman Dunia; swarga = syurga)

Dan salah sebuah sajaknya yang indah mengenai ketuhanan berjudul Doa:

Dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?
Dengan senja samar sepoi, pada masa purnama meningkat naik,
setelah menghalau panas payah terik.
Angin malam menghembus lemah, menyejuk badan, melambung
rasa menayang fikir, membawa angan ke bawah kerusimu.
Hatiku terang menerima katamu, bagai bintang memasang lilinnya.
Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai sedap-malam menyerakkelopak.
Aduh kekasihku, isi hatiku dengan katamu, penuhi dadaku dengan
cahayamu, biar bersinar mataku sendu, biar berbinar gelakku rayu!

Kesimpulan

Puisi-puisi Amir Hamzah jelas menggambarkan pertautannya kepada kehidupan yang dipusarkan cinta: kepada ibu, negara, kekasih hati dan Allah. Yang merangkai segalanya ialah rasa tanggung jawabnya dan kedaifan dirinya dalam memikul segala tuntutan hidupnya yang akhirnya membuat beliau mencari ketenangan melalui cinta kepada Ilahi. Sebagaimana darah bangsawannya menghalangnya daripada terselamat semasa revolusi sosial di Sumatera, walaupun Amir Hamzah berjiwa rakyat dan pernah aktif dalam pergerakan ‘Indonesia Muda’ dan ‘Jong Sumatera’; demikian juga tuntutan dan tanggung jawab terhadap keluarga mencantas cintanya kepada kekasih hatinya. Mungkin kerana percanggahan pelbagai tuntutan dan tragedi yang dialaminya, puisi-puisinya, terutama dalam Nyanyi Sunyi, lebih menyentuh hati dan fikiran pembacanya.

Berbeza dengan Chairil Anwar yang lebih menyentuh hal-hal semasa dan diksinya dipengaruhi proses pembaratan, pada puisi-puisi Amir Hamzah, kita temui kata-kata yang lebih dibendung, tradisional dan asli, walaupun beliau terdidik dalam bahasa Belanda. Bahasanya mulus dan indah, sebagaimana sebagai seorang Melayu beliau tetap bersopan walau dalam mendepani apa pun masalah dan tuntutan-tuntutan yang mengguris dan menghancurkan jiwanya.

Ditulis: 10 – 27 April 2005
Tajuk Asal: Amir Hamzah: Bintang Gemerlapan Di Angkasa Sastera
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2005 sebanyak dua keluaran dengan tajuk-tajuk yang hampir serupa seperti yang saya berikan kepada pihak Berita Minggu.
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Lagu: ‘Ghazal Untuk Rabiah’ – Ditulis Pada Februari 1996

JN 1Basrah 1Basrah 2JN 2

Prakata

Sebuah lagu menyentuh kita dengan berbagai cara. Satu, melalui muziknya yang indah. Kedua, melalui suara penyanyi yang menambat hati dan ketiga, kerana senikatanya yang menawan dan memikat kita. Sebuah lagu yang baik mungkin adalah cantumman ketiga-ketiga unsur ini dan mungkin juga ditambahi oleh beberapa unsur yang lain.

Penilaian Ringkas Lagu Ini

Antara beberapa buah lagu yang terbaru yang amat menyentuh perasaan saya ialah lagu Ghazal Untuk Rabiah nyanyian Jamal Abdillah dan M. Nasir, dipetik daripada album terbaru Jamal berjudul Suratan Kasih. Lagu ini dicipta oleh M.Nasir dan Jamal Abdillah, sedangkan liriknya pula ditulis oleh Cenderawasih.

Apakah keistimewaan lagu ini? Sebelum saya lanjutkan perbincangan, biarlah saya perturunkan lirik lagu ini:

Ya Rabiah…….
Kilauan bintang-bintang berkelip-kelip di langit tinggi
Dan cahaya menari-nari di langit biru
Tidaklah dapat menenangkan perasaanku
Yang merindukan kehadiranmu kasih

Gemersik irama merdu buluh perindu
Dan nyanyian pari-pari dari kayangan
Tidaklah dapat tenteramkan sanubari
Yang mendambakan kepastian kasihmu

Rela lepaskan
Segala-gala
Yang kuhajatkan itu 
Yang kau hajatkan
Rela terima
Apa pun syaratnya
Dan dugaaan
Untuk kubuktikan cintaku

Asalkan dapat ku mengubati
Hatiku yang cedera ditumpaskan cinta (kekasih)
Asalkan dapat ku menundukkan
Amukan gelora di jiwa yang menagih kasih
Ah……. ya kasih……………..

Yang halus, yang tulus
Yang mulus, yang kudus

Majnun………….

Semoga malamku tidak lagi
Menjadi medan air mata
Menusuk segenap kalbuku
Lagu ini ditujukan atau mengenai seorang wanita bernama Rabiah. Kenapakah Rabiah demikian istimewa, sehingga dilagukan dalam rentak Timur Tengah dan diselangi dengan larutan bunyi yang banyak mengingatkan kita kepada keindahan nasyid serta pembacaan ayat-ayat suci yang mententeramkan jiwa?

Saya yakin Rabiah yang menjadi pilihan ini bukanlah wanita sembarangan, tetapi seorang wanita yang terkenal kerana perhambaannya kepada Khaliknya. Dan melalui lagu ini, kita seolah-olah diperkenalkan kepada falsafah dan gelora hidup Rabiah kerana memilih jalan ‘Kekasih’nya dan tentunya jalan yang dipilih bukanlah jalan yang mudah.

Siapakah Rabiah Dalam Lagu Ini?

Siapakah Rabiah ini? Setelah berulang kali mendengar lagu ini, saya semakin pasti Rabiah yang dimaksudkan di sini ialah seorang ahli sufi dari Kota Basrah, Rabiah al-Adawiyyah. Beliau lahir pada 713/717 Masihi dan meninggal pada 800 Masihi. Lahir dalam keluarga yang miskin, Rabiah dicuri semasa kecil dan dijual sebagai hamba. Tetapi perhambaannya yang mutlak kepada Allah, menyebabkan beliau dibebaskan oleh tuannya. Rabiah menjadi ahli sufi yang terkenal di Kota Basrah dan ramai orang yang berilmu mendatangi beliau untuk mendapatkan penjelasan agama.

Lirik lagu ini menjelaskan: ‘Rela lepaskan/Segala-segala/Yang ku adakah itu/Yang kauhajatkan’…. Demikianlah hidup Rabiah. Dia sanggup berkorban segala-segalanya untuk ‘Kekasih’nya – menolak kesenangan, hidup berkeluarga, kemasyhuran, kerana yang diutamakan ialah keredaan Allah. Dalam hidupnya, Rabiah terkenal kerana kata-kata: bahawa dia tidak hajatkan syurga atau takutkan neraka kerana dia beramal tanpa mengharapkan/menjauhkan kedua-duanya; yang terpenting, amalannya ikhlas kerana Allah. Allah adalah segala-galanya bagi Rabiah; dan seluruh hidupnya berpaksikan cintanya kepada Penciptanya sehinggakan hatinya sirna untuk yang lain-lain.

Terdapat perkataan ‘majnun’ dalam lagu ini; ‘majnun’ bererti ‘gila’ dalam bahasa Arab. Dan orang yang terlalu asyik kepada Tuhannya kadangkala dituduh ‘majnun’ oleh khalayak ramai kerana kurang pengertian. Konsep cinta kepada Ilahi sedemikian tentunya amat tinggi bagi kita Muslim biasa, tetapi bagi Rabiah yang telah melalui disiplin, takah demi takah ahli sufi, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Perkara yang sama boleh kita temui dalam tulisan-tulisan mengenai Ibrahim Ibn Adham, Hasan Basri, Fariduddin Attar, Al-Hallaj dan lain-lain. Rabiah semasa hidupnya, bukan hanya terkenal dengan ilmu agama yang mendalam, bahkan juga kerana tulisan berkuntum-kuntum puisinya yang berunsurkan tasawuf, berpusarkan perhubungannya dengan Khaliknya. Puisi-puisi ini amat indah dan menawan. Dan kajian mengenai Rabiah al-Adawiyyah banyak terdapat sehingga kini, di antaranya dalam tulisan-tulisan Fariduddin Attar, Al-Ghazali, Nicholson, Annemarie Schimmel dan lain-lain.

Kesimpulan
Nyatanya lagu Ghazal Untuk Rabiah bukanlah lagu sembarangan. Ia mengandungi unsur falsafah dan inti kasih dan pengorbanan seorang sufi yang tinggi martabatnya. Dan bukanlah mudah memilih jalan hidup seperti yang dilalui Rabiah al-Adawiyyah, terutama dalam kehidupan kini yang sering dihiruk-pikukkan pelbagai keadaan. Namun, mendengar lagu ini, sesekali mengingatkan kita kepada suatu keindahan, ketenteraman dan ketidak-mustahilan hidayah Allah. Dan Ghazal Untuk Rabiah adalah lagu hayat yang boleh dicontohi sepanjang zaman, insya-Allah.

Ditulis : 10 Februari 1996
Bedok, Singapura
Tajuk Asal: Ulasan Lagu ‘Ghazal Untuk Rabiah’
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 1996 dengan tajuk yang hampir serupa tetapi berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri kepada pihak Berita Harian.
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 19 Februari 2016: Hari Lahir Adibah Amin

Adibah Amin -  RH ImagesAdibah Dengan Buku This End Of The RainbowAdibah AminAdibah Sebagai Cikgu Bedah Dalam Filem Adik Manja

1. Hari ini, 19 Februari, merupakan hari lahir Adibah Amin, seorang penulis cerpen, novel, esei, rencana, skrip drama, terjemahan, buku-buku bahasa Melayu dan Inggeris, pelakon radio dan pentas dan sebagainya.

Beliau seorang ‘khazanah’ bukan sahaja bagi pencinta kesusasteraan Melayu di Malaysia, malah merentasi pelbagai negara. Kebolehannya menulis dengan baik dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris serta kerja-kerja terjemahannya dan cara penulisannya membuat kita bersyukur ada seorang insan seperti beliau di kalangan kita.

2. Sebagai penulis dan penyair kita selalu mencari sumber contoh dalam bidang yang kita ceburi. Dan tidak terdapat ramai penulis wanita semasa zaman saya membesar. Saya teringat membaca novel ‘Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan’ dan ’13 Jun’ oleh Nur Sutan Iskandar pada akhir tahun-tahun 60-an atau awal 70-an. Fikir saya penulisnya seorang wanita tetapi sebenarnya seorang penulis lelaki dari daerah Minangkabau/Padang, Sumatera.

Selain Nenek saya yang banyak menanam minat saya kepada seni melalui kecintaannya kepada dunia tersebut dan penceritaannya akan sebahagian khazanah sastera semasa saya kecil dan remaja, yang lain lebih tertumpu kepada pencarian dan pembacaan saya. Lantas saya membaca banyak karya, termasuk karya beberapa orang penulis wanita sejak awal remaja itu – Salmi Manja, Anis Sabirin, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Salmah Mohsin, Timah Baba, Siti Zainon Ismail, Fatimah Busu, Zurinah Hassan, Habsah Hassan, Mahaya Mohd Yassin dan beberapa orang lagi. Setiap seorang daripada mereka menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan kita.

Apabila saya meneruskan pelajaran ke Universiti Singapura, yang terletak di Bukit Timah Road, saya amat disedarkan bahawa sebelum saya menjejakkan kaki di sana pada tahun akademik 1976/77, penulis-penulis seperti Anis Sabirin dan Adibah Amin telah pun mendahului saya. Saya tabik kepada mereka kerana pada zaman 50-an apabila tidak ramai wanita Melayu-Islam menjejakkan kaki ke Universiti, mereka telah pun mengorak langkah ke menara gading dan terus aktif berkarya. Malah, ketika menelaah pelajaran di perpustakaan Universiti atau meminjam buku dari sana, saya semakin diingatkan akan kehadiran mereka. Zaman itu, buku-buku ada semacam ‘jaket’ di bahagian hampir belakang kulit buku. Peminjam harus menulis namanya dan ini yang diselitkan dalam ‘jaket’ dan disimpan oleh pustakawan semasa kita meminjam buku. Saya temui nama-nama Anis Sabirin, Adibah Amin, Ismail Hussein, Kassim Ahmad, malah Mahathir Mohamed dan beberapa orang lain yang demikian tersohor kemudiannya, pada ‘jaket’ buku-buku di perpustakaan Universiti Singapura. Betapa mereka ‘hadir’ dan orakan langkah pembelajaran mereka memudahkan saya meneruskan perjalanan pelajaran formal saya kerana merekalah perintisnya.

3. Saya meminati tulisan dan kerja-kerja terjemahan Adibah Amin. Dan bila beliau mula menulis ruangan pojok ‘As I Was Passing’ dalam akhbar The New Straits Times, saya semakin meminati cara penulisannya.

Saya bergiat aktif di kampus, menjadi Setiausaha Penerbitan dan menerbitkan Majalah Gempur pada tahun akademik 1976/77 (tahun satu) dan Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura/PBMUS pada 1977/78. Pada tahun ketiga, tahun akademik 1978/79. walaupun ada yang mahu saya menyandang jawatan Presiden PBMUS, saya menolaknya. Saya ingin menghidupkan sebuah jurnal sastera, Jejak Kembara, yang saya tanam cita-citanya sejak saya di tahun satu di Universiti Singapura. Walaupun demikian, saya masih tetap membantu PBMUS sebagai Penasihat Jawatankuasa Penerbitan dan juga Jawatankuasa Kebajikan. Dalam konteks inilah Adibah Amin semakin ‘memainkan peranan’ dalam penulisan saya.

Setiausaha Penerbitan pada tahun akademik 1978/79, Fauziah Ibrahim, meminta saya agar terus menulis untuk Majalah Gempur. Saya memang terus menulis untuk majalah tersebut dan beberapa media massa di luar kampus ketika itu. Tetapi dek pengaruh Adibah Amin, saya memberitahu Fauziah Ibrahim saya akan memulakan suatu ruangan pojok, yang menggetis-getis soal mahasiswa dan kampus, yang akan dipanggil ‘Sri Anggerik’ dalam majalah Gempur. Ruangan ‘Sri Anggerik’ berlangsung selama 3 tahun akademik iaitu dari 1978/79, 1979/80 dan 1980/81. Sebanyak 10 rencana ‘Sri Anggerik’ dimuatkan dalam majalah berkala itu.

Saya tidak fikir akan wujud ruangan ‘Sri Anggerik’ di kampus tanpa ada seorang penulis yang mencuit dan menyentuh hati saya seperti Adibah Amin dalam ruangan ‘As I Was Passing’ nya, walaupun tulisan kami berbeza.

Semasa di kampus, ada orang tidak tahu siapa ‘Sri Anggerik’ dan mengapa saya memilih nama ini. Dalam tulisan ruangan ‘Sri Anggerik IV’, saya menjelaskan hal tersebut (ini termuat dalam buku saya, Hikayat Sri Anggerik):

‘Ada orang bertanya mengapa Sri pilih nama ‘Sri Anggerik’? Sebenarnya ceritanya panjang tapi kalau dipendekkan, beginilah ceritanya …

Pada suatu hari Sri terbaca (dan terpaksa beli) buku ruangan pojok “As I was Passing …” tulisan ‘Sri Delima’ (alias Adibah Amin) yang sangat diheboh-hebohkan itu (lebih kurang sama hangat macam Lat, tapi tentulah Lat lebih bulat). Sri pun ‘terpikat’ dengan cara pengolahan Sri Delima, lagi pun Adibah sebagai penterjemah dan penulis amat Sri minati (bacalah novelnya ‘Seroja Masih Di Kolam’ — menawan!). Jadi bila diminta menulis, nama Sri Delima bermain-main di hati tapi takkanlah Sri nak pakai nama ini. Nak pilih Sri Durian atau Sri Duku (maklumlah sama abjad S.D.) terasa tak sedap (namanya, bukan buahnya).

Pilih punya pilih, Sri pilihlah nama ‘Sri Anggerik’ — kerana anggerik adalah bunga kebangsaan Singapura, dan, yang penting, anggerik adalah sekuntum bunga – peringkat awal sebelum menjadi tunas baharu (mudah-mudahan) dalam dunia penulisan sedangkan Sri Delima adalah buah yang ranum (penulis veteran) dalam dunia yang sama. Cita-cita Sri, kalau boleh, biarlah jadi seperti ranumnya delima ini…

Dan ada orang bertanya lagi (tak habis-habis) apa nama Sri yang sebenar… Sri boleh bagi tahu, nama Sri ialah …rahsia…

Petikan tulisan ‘Sri Anggerik IV’, ditulis pada Jun 1979, tersiar dalam majalah ‘Gempur’, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura, pada Julai 1979.’

4. Anda juga mungkin pernah menonton lakonan Adibah Amin dalam filem ‘Adik Manja’ dan anda tidak akan kering gusi melihat gelagat Adibah Amin sebagai ‘Cikgu Bedah’ dalam filem itu. Malah, Adibah Amin juga terlibat dalam drama pentas, yang hanya mampu saya ikuti melalui pembacaan majalah Dewan Sastera dan sebagainya.

Pada 1979, saya menulis sebuah sajak untuk Adibah Amin, dengan menggunakan nama pena ‘R.H.’ dan menghantarnya ke Majalah Jelita, kelolaan Adibah Amin dan Zaharah Nawawi. Mereka menyiarkan sajak tersebut pada bulan November 1979 dan pada bulan Disember, Adibah Amin ‘menjawab’ sajak saya dalam Majalah Jelita. Berikut adalah sajak saya dan jawapan Adibah Amin:

Engkau Juga
(Buat penulis Adibah Amin)

Engkau juga pernah berjalan di daerah ini
berkejar antara dewan kuliah & kutubkhanah
mencerna pengetahuan, meraih kehidupan
antara kegiatan mahasiswa & angan-angan.

Engkau juga pernah ditemani sebuah mimpi
percaya duniamu masih indah & perlu diteroka
mencari pendirian daripada apa yang kaunamakan warisan
bertemu watak-watak pincang, alam gersang,
tapi mimpimu tak pernah hilang.

Engkau juga pernah berdiri di persimpangan begini
berasa kehilangan dibuntukan keadaan
memilih jalan-jalan yang kaufikir paling sesuai
& mungkin juga kau tidak gusar
setelah 20 tahun, pilihanmu ternyata benar.

Engkau juga telah melihat bahteramu jauh meninggalkan perairan
perahuku masih tersadai di tepian pantai
angin musim tengkujuh & ombak ganas
hanya melambatkan pelancaran pelayaran
apakah nanti seperti bahteramu
perahuku tidak akan hanyut di tengah lautan
& selamat sampai ke pulau harapan?

Ditulis: 4 April 1979
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Jawapan Adibah Amin dalam Majalah Jelita:

Jawapan Adibah Kepada Puisi R.H. Untuknya Dalam Majalah Jelita Dis 1979

5. Saya bertemu Adibah Amin pada 1980-an dalam satu ceramah anjuran Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura di bangunan Universiti Singapura. Adibah Amin sedikit nostalgik ketika itu kerana ‘pulang’ ke tempat jatuh lagi dikenangnya.

Sekitar 1993 atau 1994, kalau tidak silap saya, melalui seorang kawan adik saya, diaturkan agar saya bertemu dengan Adibah Amin di Kuala Lumpur. Kami bertemu di sebuah restoran dan makan serta berbual di sana. Kami juga kemudiannya ditemani adik Adibah Amin. Beliau baru sahaja menjalani pemeriksaan di hospital sebelum bertemu saya. Bertemu dan bercakap-cakap dengannya menyenangkan saya kerana Adibah Amin memang seperti yang kita ketahui – peramah, sedikit ‘gila-gila’ dan ternyata seorang yang mudah didekati dan penyayang. Beliau penyantun dan tiada unsur kesombongan dalam dirinya yang dikenali ramai.

Pada bulan April 1998, Dewani Abbas (wartawan Berita Harian) menghubungi saya menyatakan Ismail Pantek (editor hujung minggu Berita Harian), mahu bertemu dengan saya mengenai mewujudkan sebuah ruangan baharu di Berita Harian/ Minggu. Editor Berita Harian/Minggu ketika itu ialah Guntor Sadali.

Saya memang sewaktu-waktu menulis untuk Berita Harian/Minggu melalui puisi, cerpen, esei dan tulisan-tulisan lain semenjak karya pertama saya disiarkan oleh Berita Minggu pada 2 Disember 1973. Dari zaman editor-editor seperti Hussein Jahidin, Yatiman Yusof, Zainul Abidin Rasheed mahupun editor terkini (pada waktu tulisan ini disiapkan) Berita Harian/Minggu, Guntor Sadali, karya-karya saya selalu juga mendapat tempat di satu-satu akhbar Melayu Singapura. Lantas, saya tidak keberatan datang ke pejabat Berita Harian untuk berbincang-bincang dengan Ismail Pantek.

Kerana saya masih menulis karya kreatif, saya mencadangkan mewujudkan sebuah ruangan pojok dan bukan ruangan kreatif, diberi nama ‘Sri Anggerik’, berpusar pada hal-hal kenangan dan santai, walaupun boleh juga ‘menyindir-menyindir sayang’ sebagaimana ruangan ‘Sri Anggerik’ di kampus dahulu. Ismail bersetuju dengan cadangan itu dan memberitahu bahawa ruangan ‘Sri Anggerik’ itu mesti ditulis sebanyak tiga halaman A4, berlangkau dua. Ruangan ini diadakan setiap dua minggu sekali, kecuali jika ada masalah kekurangan ruang dan sebagainya. Saya diminta menyiapkan empat rencana ‘Sri Anggerik’ sebagai langkah permulaan, untuk diteliti oleh pihak Berita Harian pada awal Mei 1998. Ruangan ‘Sri Anggerik’ ini mula diterbitkan di Berita Minggu pada 19 Julai 1998.

Hampir 2 tahun selepas pertemuan dengan Dewani Abbas dan Ismail Pantek itu, beliau mencadangkan agar saya lebih menyentuh hal-hal semasa dalam ruangan saya. Saya bersetuju dengan cadangannya, lantas ruangan ‘Sri Anggerik’ lebih menggetis-getis hal-hal semasa, yang berlaku di sekeliling kita, walaupun soal-soal santai dan kenangan masih tetap dimuatkan juga. Ruangan ‘Sri Anggerik’ wujud dari Julai 1998 sehingga Jun 2006 (lebih kurang 200 rencana Sri Anggerik diterbitkan oleh Berita Minggu).

Banyak perkara yang menyentuh hati saya, dan saya yakin, masyarakat juga, tergambar dalam ruangan-ruangan ‘Sri Anggerik’ ini. Saya gembira menyiapkan rencana-rencana untuk ruangan ini kerana terpaksa belajar mendisiplinkan diri dan memadatkan idea dalam ruangan yang terbatas. Secara tidak langsung, adanya ruangan ini memberi semacam nafas baharu bagi penglibatan saya dalam dunia penulisan dan saya bersyukur kerananya. Dan Adibah Aminlah sebenarnya meletakkan aspal dalam jalanan penulisan pojok saya ini.

Pada tahun 1999, saya menyampaikan kertas kerja dalam satu seminar sastera di Johor Baharu. Turut hadir dalam penyampaian kertas kerja saya ialah Adibah Amin, Anis Sabirin dan kalau tidak silap saya, Khadijah Hashim. Saya teruja mereka hadir dan secara tidak langsung, memberi sokongan kepada saya. Ketiga-ketiga mereka memang penulis asal Johor tetapi mereka tidak lagi menetap di Johor. Dan ketiga-tiganya adalah di antara penulis wanita yang menjadi bintang-gemintang dalam dunia penulisan saya sejak awal remaja.

6. Kepada Kak Adibah Amin, saya mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ – semoga Allah memberkati dan mnsejahterakan kehidupan Kak Adib, dunia dan akhirat. Dan semoga keteguhan Kak Adib untuk terus menyumbang dalam bidang penulisan dan penterjemahan, dalam apa pun keadaan dan semangat saling menyayangi sesama insan, baik di kalangan masyarakat Melayu-Islam dan yang bukan Melayu-Islam, akan selalu dicontohi.

Terima kasih, Kak Adibah Amin, kerana menjadi salah seorang sumber contoh dalam perjalanan seni saya dan juga dalam mengakrabi kehidupan yang diberi-Nya.

Salam
Rasiah Halil
19 Februari 2016.

Ulasan Buku: Adibah Amin Seroja Nan Tak Kunjung Layu

Cover Buku AdibahCover Seroja Masih Di KolamBuku Buku Adibah

Buku: Adibah Amin Seroja Nan Tak Kunjung Layu
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1999
Penulis: Faizah Shuib

Pengenalan

Mengkaji perkembangan kesusasteraan Melayu, nama Adibah Amin tidak dapat diketepi-
kan. Beliau menceburi bidang sastera sebagai penulis puisi, cerpen, drama, novel, esei, dan terjemahan (bahasa Melayu-Inggeris). Adibah juga menceburi bidang seni yang lain sebagai pelakon drama dan filem. Beliau juga menulis beberapa buku bahasa untuk bimbingan pelajar sekolah dan dewasa, selain menulis rencana/pojok untuk beberapa ruangan akhbar dan majalah (dalam bahasa Melayu dan Inggeris) serta membuat kerja-kerja penyuntingan.

Biografi Adibah Amin yang ditulis oleh Faizah Shuib ini setebal 184 halaman, dalam ukuran yang agak besar iaitu 19x 24 sm, dan dimuatkan dengan 15 keping gambar. Biografi ini mendapat hadiah pertama dalam peraduan menulis biografi untuk kanak-kanak anjuran DBP pada tahun 1992-93. Walaupun ditujukan kepada kanak-kanak, tulisan Faizah Shuib ini lebih sesuai bagi golongan remaja dan juga dewasa.

Mengenali Adibah

Kita dikenalkan kepada Adibah sebagai bayi yang baru lahir pada halaman-halaman permulaan biografi ini. Beliau lahir pada 19 Februari 1936 di Johor dan diberi nama Khalidah Adibah binti Amin. Bapanya diilhami nama Khalid Adib Hanim, seorang pejuang kemerdekaan Turki, sebagai namanya. Adibah merupakan anak kedua, tetapi abang sulungnya, Ismail Shafiq, hanya hidup 2 jam setelah kelahiran, lantas Adibah menjadi anak sulung dalam keluarganya. Ibunya, Puan Zainun Sulaiman, lebih dikenali sebagai Ibu Zain, merupakan seorang guru dan Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan Johor. Beliau berkahwin dalam usia yang relatif lewat pada zamannya, iaitu pada usia 30-an. Ibu Zain meminati bidang penulisan, sebagaimana datuk Adibah, Sulaiman Abdul Hadi, atau lebih dikenali sebagai Munsyi Sulaiman. Bapa Adibah, Amin bin Ahmad Aljafri adalah seorang kacukan Arab-Jawa yang lahir di Makkah tetapi berhijrah dan bersekolah di Singapura ketika berusia 15 tahun. Beliau kemudian bekerja sebagai Penolong Bendahari Kerajaan Johor dan menetap di sana. Bapa Adibah mahir soal-soal agama dan bahasa Arab dan sering membantu rombongan jemaah haji dalam pelayaran mereka ke Makkah. Di kapal hajilah ibu bapanya bertemu sebagai murid dan guru, tetapi berkahwin selepas musim haji. Ibu Zain merupakan isteri kedua Encik Amin.

Biografi ini menggambarkan betapa akrab Adibah dengan ibu bapanya, kedua-duanya meminati ilmu dan sastera dan suka bercerita kepada anak-anak mereka—Adibah, Khalilah Fadzilah dan Sulaiman Shakib. Adibahlah paling meresapi cerita-cerita itu kerana dia pandai bercerita pula kepada kawan-kawannya. Minat bercerita ini kemudian bercambah kepada minat membaca; dan kerana terdapat banyak buku di rumahnya, banyaklah buku yang dibacanya. Inilah kemudiannya mendorongnya untuk cuba menulis.

Zaman Jepun Dan Sesudahnya

Semasa pendudukan Jepun, Adibah dan keluarganya pada mulanya bersembunyi di hutan tetapi apabila keadaan reda, mereka pulang ke rumah. Keadaannya tidaklah aman, tetapi Adibah dapat juga meneruskan pelajarannya. Semasa peranglah ayahnya diserang batuk kering dan kembali ke rahmatullah. Akibat kehilangan ayah amat perit bagi Adibah; dari seorang yang periang, suka menyanyi, bercerita, berkelakar, dia menjadi pendiam dan murung. Hanya setelah beberapa ketika, barulah dia dapat keluar daripada kemurungannya.

Adibah dan adiknya Fadzilah dimasukkan ke sekolah Inggeris lelaki, dipotong rambut dan dipakaikan baju lelaki berseluar panjang, agar dapat meneruskan pelajaran selepas Perang, kerana sekolah-sekolah perempuan belum dibuka. Ibu Zain tidak mahu anak-anaknya ketinggalan dalam pelajaran, lantas terpaksa mengambil langkah begini. Adibah kemudian meneruskan pelajaran di Sultan Ibrahim Girls’ School pada tahun 1946. Beliau juga meneruskan sekolah agamanya di sebelah tengah hari dan belajar bahasa Arab di sebelah malam. Masalah kegagapannya yang tiba-tiba muncul kerana gangguan perasaan oleh pemergian ayahnya hilang setelah dibantu oleh guru-gurunya.

Adibah ternyata seolah pelajar yang pintar dan berbakat seni. Dalam usia muda itu beliau bergiat dalam bersyair, berlakon drama sekolah dan radio, malah menulis drama kanak-kanak dalam bahasa Inggeris, dan bersyarah. Ibunya pula menjadi salah seorang pengasas Wanita Umno dan sibuk dengan pelbagai tugas. Dalam kesibukan itu Ibu Zain sempat mengajar anak-anaknya tafsir Quran dan sempat juga menjaga beberapa orang anak yatim sebagai anak angkat.

Cita-Cita Adibah Dalam Dunia Penulisan Dan Seni

Cita-cita Adibah untuk menjadi penulis disumbui oleh kepahitan hidup yang dialami ibunya setelah kematian bapa Adibah. Beliau menulis cerpen bertajuk “Ibu Tirikah yang Kejam ?” menyangkal pandangan umum bahawa semua ibu tiri itu kejam, kerana ibu tirinya, Puan Aishah, dan beberapa orang yang lain, tidak pula kejam. Karyanya ini, setelah ditunggu agak lama, akhirnya tersiar dalam majalah Hiburan pada 22 Januari 1949. Usia Adibah ketika itu hampir mencecah 13 tahun. Terbitnya karya pertama ini memberi beliau keyakinan untuk menulis lantas menyusul cerpen-cerpennya yang lain misalnya “Sebab Kau Kukawal”, “Nasib Ibu Kecil”, “Pelatih Kecil”, “Ubat Ayah Mabuk” dan lain-lain. Wang sagu hati yang diterima daripada penyiaran cerpen-cerpen ini digunakan untuk membantu ibunya dan juga untuk tabungan pelajarannya.

Kegiatan politik ibunya menyebabkan khidmat ibunya sebagai Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan Johor dipendekkan oleh pihak British dan mereka sekeluarga dihalau dari Rumah Guru tempat mereka menginap. Mereka menginap di Kelab Guru dengan bantuan guru-guru lain dan akhirnya dapat menginap di sebuah rumah kayu yang comel, hasil duit peninggalan arwah ayah Adibah. Tetapi keadaan ekonomi mereka tidaklah sebaiknya. Dan Adibah mula menulis novel saduran Puteri Asli Penggal Pertama, yang dipadankan daripada novel kanak-kanak The Little Princess, terbit pada hari lahirnya, 19 Februari 1949. Kerana mendapat sambutan ramai, Adibah menulis pula Puteri Asli Penggal Kedua. Ini diikuti pula dengan novel Gadis Sipu Membuat Nama, dipadankan daripada novel kanak-kanak A House at the Corner. Dan novel sulung aslinya menyusul pada 1950, dengan tajuk Bangsawan Tulen.

Pembelajaran Selanjutnya Dan Kerjayanya

Adibah dapat meneruskan pelajarannya ke Universiti Singapura pada usianya 18 tahun. Mula-mulanya beliau ke jurusan perubatan, sebagaimana yang dicita-citakan ibunya. Tetapi kerana Adibah mabuk darah dan lebih meminati bidang sastera, beliau bertukar ke jurusan kesusasteraan, mendalami bidang pengajian Melayu dan bahasa serta sastera Inggeris. Di universitilah banyak perubahan berlaku pada dirinya dari segi sosial dan peribadi. Misalnya, beliau tidak lagi bertudung, sebagaimana biasanya dan lebih mudah meramahi orang lain, walaupun berlainan jantina, tidak seperti di sekolah perempuan dahulu. Perubahan ini tidak disukai ibunya, tetapi akhirnya Ibu Zain maklum anaknya telah memilih jurusan yang mungkin lebih sesuai dan perubahan fizikal anaknya tidak menjejas ketertiban, adab dan sopan yang tetap dipegang anaknya.

Adibah banyak terlibat dalam kegiatan seni dan sastera semasa di universiti, malah pernah mengelolakan ruangan Taman Sastera di Radio Malaya di Singapura, membaca dan mengulas sajak, bersama seorang kaki tangan radio tersebut iaitu Hashim Amir Hamzah. Dan di universitilah beliau berkenalan dengan penyair Usman Awang. Walaupun aktif, Adibah juga cemerlang dalam pelajaran, dan menjadi pelajar keempat terbaik bagi jurusan sastera pada tahun akhirnya. Latihan ilmiahnya, yang tidak disebut oleh Faizah Shuib ialah mengenai penulis Singapura, Ahmad Lutfi/A.H.Edrus. Dan salah seorang guru Adibah semasa menuntut di Jabatan Pengajian Melayu ialah Za’aba. Semasa di universiti juga beliau menyertai kumpulan pancaragam dan diundang membuat persembahan di Radio Malaya di Singapura serta ada juga mencipta lagu dan lirik untuk nyanyian sendiri iaitu Genggam Tanganku di Subuh Sunyi dan Usah Dipaksa Bibir Beku.

Tetapi tidak semuanya indah bagi Adibah. Dia gagal mendapatkan diploma pendidikan setelah tamat pengajian di universiti kerana terganggu oleh masalah kekurangan wang yang dihadapi ibunya. Demikian juga kegagalan kedua kalinya untuk mendapatkan diploma ini, setelah mengalami keruntuhan rumah tangga. Diploma pendidikan itu akhirnya diperolehi setelah waktu-waktu itu.

Adibah meneruskan kerjayanya sebagai guru di Malay Girls’ College, kemudian ke Maktab Perguruan Bahasa, Sekolah Menengah Alam Shah dan akhirnya menjadi guru besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan, Jalan Kolam Air (sekarang Sekolah Menengah Seri Puteri). Dalam sibuknya menjalankan tugas, membesarkan satu-satu anaknya, Raja Aina, menghadapi keruntuhan rumah tangga, Adibah melahirkan sebuah novel Seroja Masih Di Kolam pada 1968.. Novel ini berpusar kepada watak Nur Diana seorang berpendidikan Inggeris yang kurang mengenali budayanya sendiri tetapi akhirnya menemui jati dirinya setelah dikenalkan oleh Ridhwan sepupunya dari kampus. Jalan ceritanya segar dan mencuit hati terutama bagi mereka yang sama mengalami suka-duka kehidupan di kampus Universiti Singapura dahulu. Adibah mungkin bahagia meneruskan kerjaya sebagai guru dan bergiat terus dalam bidang seni dan sastera tetapi ini tidak berlaku. Kerjaya guru itu terpaksa beliau dihentikan kerana berasa tidak sesuai membuat kerja-kerja pentadbiran sebagai guru besar, sedangkan yang beliau meminati ialah mengajar. Lantas Adibah “melarikan diri” ke bidang kewartawanan.

Bidang Kewartawanan

Bidang kewartawanan beliau terjuni pada awal tahun 70-an. Seperti biasanya, pengalaman pertamanya dengan editornya, A. Samad Ismail, menyeramkan, sehingga menitiskan air matanya kerana rencananya dicincang lumat. Tapi itulah pembelajaran yang perit tetapi bererti sebagai wartawan biasa. Dan keyakinannya semakin tumbuh setelah menekuni bidang ini sehingga diberi kepercayaan menulis ruangan “As I Was Passing” pada Oktober 1972. Beliau menggunakan nama “Sri Delima” untuk ruangan ini dan mendapat sambutan ramai sehingga dua jilid “As I Was Passing” ini diterbitkan. Dan pada 1976 beliau dilantik sebagai pengarang majalah Jelita dan menulis sekurang-kurangnya 10 rencana bagi majalah ini, selain tugas-tugasnya yang lain sebagai wartawan. Beliau turut terlibat dan drama dan filem dan sempat berlakon dalam tiga filem iaitu Adik Manja, Hati Bukan Kristal dan Mat Som. Beliau turut aktif dalam kegiatan-kegiatan pembangunan wanita. Penglibatannya dalam bidang kewartawanan membuahkan anugerah Asian Journalist of the Year Award, diberi oleh Press Foundation of Asia dan Syarikat Matsui pada 1979. Dan sebuah lagi novelnya, yang berbentuk separuh autobiografi berjudul Tempat Jatuh lagi Dikenang terbit pada 1983.

Adibah melangkah lagi dalam kerjayanya dengan memasuki Kumpulan Fleet, anak syarikat Kumpulan The New Straits Times, pada 1984, memegang jawatan pengarah berita dan drama, iaitu menapis skrip-skrip drama yang diterbitkan di TV3. Beliau juga memilih drama dan filem luar negara untuk siaran TV3. Ketika usianya 50 tahun, Adibah mengundurkan diri dari Kumpulan NST dan memulakan usaha lain. Bersama Baha Zain, beliau memulakan majalah Era. Majalah ini mendapat sambutan, tetapi dilanda masalah kegawatan ekonomi Malaysia, majalah ini berundur setelah beberapa tahun.

Adibah kemudian diundang menjadi Penulis Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sinilah beliau menterjemahkan empat karya sastera Melayu ke bahasa Inggeris iaitu Rimba Harapan tulisan Keris Mas, Tunggul-tunggul Gerigis karya Shahnon Ahmad, Sangkar oleh Anwar Ridhwan dan Kumpulan Puisi Malaysia hasil puisi beberapa penyair Malaysia. Sebelum ini, Adibah telah pun menerbitkan novel Shahnon, Ranjau Sepanjang Jalan, dengan tajuk No Harvest But A Thorn pada tahun 70-an. Beliau sempat membuka Syarikat East-West Editors untuk mendisiplinkan diri membuat kerja-kerja terjemahan dan suntingan sebagai langkah selanjutnya dalam kerjaya. Setelah usaha ini, Adibah menjadi penulis bebas, menulis untuk beberapa ruangan akhbar di Malaysia, untuk mengisi masa lapangnya.

Satu peristiwa yang menjejasnya ialah pemergian ibunya pada 2 Mac 1989. Bagi Adibah, ibunyalah yang banyak menaikkan semangat dan kesungguhannya untuk memajukan diri walaupun dihadapkan pelbagai dugaan. Dan ibunya juga adalah sumber contoh yang baik sebagai ibu, wanita, pejuang dan penulis. Ibunya, Ibu Zain, banyak menulis syair dan rencana, sayangnya karya-karya ini tidak pula disimpan. Salah satu syair ibunya (yang juga pernah dirakamkan oleh Pendeta Za’ba) yang diingati Adibah dan menjadi pegangannya ialah:

Buat baik ayuhai rakan
ke dalam laut terus campakkan
jikalau tidak dikenal ikan
Allah mengetahui iakah bukan.

Buatlah jasamu teruna dan siti
hidupmu biar membawa erti
kamu mati semut pun mati
jasa itulah bezanya pasti.
Kesimpulan

Buku ini banyak menggambarkan kisah hidup Adibah semasa zaman kanak-kanak dan muda, sesuai dengan tujuannya bagi tatapan pembaca yang lebih muda. Walaupun diterbitkan pada 1999, fakta-fakta mengenai Adibah terhenti pada awal 1990-an itu. Lantas ada karya-karya Adibah yang terbaru, misalnya beberapa karya terjemahannya mengenai buku-buku pengurusan karya Stephen Covey, John Naisbitt dan lain-lain, tidak dimuatkan. Demikian juga beberapa terjemahan buku-buku kanak-kanaknya daripada karya asal Khadijah Hashim dan lain-lain tidak disenaraikan. Buku-buku bimbingan bahasanya misalnya Sharpen Up Bahasa Malaysia (1973), Silap tu Sayang(1983) dan Come to Class with Adibah SPM Bahasa (1997), juga tidak sempat dicatatkan oleh penulis biografi ini.

Terdapat satu dua kesilapan fakta, misalnya Adibah dicatatkan mengambil jurusan Inggeris di universiti; sebenarnya beliau mengambil jurusan kesusasteraan (Arts). Banyak fakta peribadi Adibah, misalnya keruntuhan rumah tangganya atau orang-orang yang mendekati hatinya tidak pula dicatatkan atau dicatatkan dengan mendalam. Pandangan-pandangan Adibah mengenai satu-satu isu, misalnya nukilan daripada tulisan-tulisannya tidak pula diketengahkan, lantas walaupun kita mengenali Adibah, kita tidak mengenalinya dengan mendalam, melainkan kita mengenalinya secara peribadi atau pernah membaca karya-karyanya. Gambar-gambar yang dipilih dalam buku ini tidak pula memuatkan gambar-gambar orang-orang yang dekat dengan hidupnya misalnya ibu bapa dan kedua orang adiknya serta satu-satu anaknya, Raja Aina.

Namun demikian, sebagai usaha pertama, tulisan genre biografi Faizah Shuib harus dialu-alukan untuk mengenalkan seorang penulis dan perterjemah yang berwibawa dalam kesusasteraan Melayu. Semoga ada usaha lanjutan untuk lebih mendalami insan bernama Adibah Amin dan karya-karyanya bagi tatapan semua.

Ditulis: 18-19 Ogos 2003
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 2003
Tulisan: Rasiah Halil.
NB: Adibah Amin menulis beberapa buah lagi buku dan terjemahan karya setelah rencana ini disiarkan.

Ulasan Buku: This End Of The Rainbow Oleh Adibah Amin

Cover This End Of The Rainbow
Penerbit: The Phoenix Press Sdn Bhd
Tahun Terbit: Tidak Diberi.

Pengenalan

Adibah Amin terkenal sebagai penulis ruangan pojok As I Was Passing yang terbit di akhbar The New Straits Times pada tahun-tahun 70-an dan 80-an. Beliau juga menulis novel, esei/rencana, cerpen, drama dan terjemahan. Bakatnya turut juga terserlah dalam bidang lakonan. Novel This End of the Rainbow merupakan novel berbahasa Inggeris pertama Adibah.
Menurut legenda, di penghujung pelangi, terdapat batil emas. Benarkah akan ada batil emas itu dalam kehidupan Rahayu Humaira Nurulfarahin binti Amri (Ayu), watak utama Adibah dalam novel ini? Atau telah pernah wujud semacam batil emas itu, dan Adibah atau Ayu bernostalgia mengingati tahun-tahun semasa sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah Ayu meneruskan pengajiannya di Universiti Malaya di Singapura?
Nostalgia selalu muncul kerana kita ingin mengenang sesuatu yang pernah wujud dan dianggap secara relatif, adalah lebih baik, dan kita mahu kembali ke zaman atau keadaan kesedemikian. Kadangkala masa kini tidak seindahnya dijalani kerana terlalu banyak gejala kurang sihat melanda sesuatu masyarakat atau negara, lantas dengan bernostalgia, kita kembali ke akar, mencari semacam kekuatan agar yang indah itu akan wujud kembali.

Adibah melakukan kedua-duanya dalam novel This End of the Rainbow ini. Mengetahui latar belakang kehidupan Adibah, bahawa beliau kematian bapanya semasa zaman Jepun, dan ibunya, Ibu Zain, seorang penyelia sekolah-sekolah Melayu di Johor yang ‘dipencenkan’ oleh kerajaan Inggeris kerana berjuang untuk wanita dan masyarakat melalui ceramah dan tulisan, serta Adibah pernah diterima masuk sebagai pelajar perubatan di Singapura, tetapi kemudian menukar ke Jurusan Sastera di Universiti serta beberapa fakta lain, memudahkan kita mengikuti novel ini.
Banyak cerita mengenai Adibah, yang sedia dimaklumi oleh peminatnya, terhidang dalam bentuk cereka dalam novel ini.

Ulasan Novel This End Of The Rainbow

Novel dimulakan apabila Adibah (Ayu), 17 tahun, ‘didera’ (rag) oleh mahasiswa senior kerana beliau merupakan seorang ‘freshie’. Ayu dipanggil ‘Ayu Chick’ oleh pelajar lelaki berbangsa Tionghoa, Han, kerana dia bagaikan ‘ayam yang baru menetas’ dan kebetulan Ayu berjalan dari bilik asrama ke kampus dengan memakai baju kurung dan kasut rumahnya. Kasut ini berwarna kuning dan berbulu; tak ubah macam anak ayam berbulu kuning.

Novel ini menceritakan bagaimana Ayu dan mahasiswa-mahasiswa lain berinteraksi pada tahun-tahun 50-an itu; idealisme mereka dan masyarakat masa depan yang ingin mereka bina. Tidak kurang pula dicatatkan semacam idealisme atau ‘pelangi dan batil emasnya’ yang ingin dikongsi Adibah: bahawa dalam persahabatan dan pencarian segelintir anak muda ini berakar soal interaksi sebenar yang seharusnya wujud dalam negara yang hampir mahupun sudah merdeka. Keharmonian kehidupan berbilangan bangsa, budaya dan agama itulah yang dipentingkan Adibah dalam menulis novel ini.

Ibu Bapa Ayu, Watak Utama Novel Adibah

Kita temui bapa Ayu, Amri, yang mengajar Ayu agar ‘bersaing dengan dirinya sendiri’, dan bukan orang lain, dalam mengejar impian. Kita juga dikenalkan kepada ibu Ayu, Husna, wanita gigih yang hampir putus harap kerana tiba-tiba kematian suami hanya beberapa hari sebelum Jepun menyerah kalah, dan terpaksa membesarkan tiga orang anak, dibuang kerja oleh Inggeris tetapi masih berharapan terhadap kehidupan. Melalui Husna, Ayu bukan hanya belajar erti ketabahan dan kegigihan tetapi makna menerima manusia seadanya, apa pun bangsanya, kerana yang menyeksa kehidupan Husna sekeluarga bukan orang Jepun atau orang Inggeris keseluruhannya tetapi sebilangan orang yang dibelenggu perang dan polisi mereka. Pelajaran ini yang banyak kita temui dalam novel Adibah: bahawa Ayu, yang mengambil Pengajian Melayu di Universiti dan mencintai kesusasteraan Melayu dan perjuangan untuk memartabatkan bangsanya tidak pula menjadi seorang yang prejudis terhadap bangsa lain.

Persahabatan Semasa Kecil Dan Di Kampus

Persabahatan sejak kecil dengan pelbagai bangsa misalnya Lin (Tionghoa), Nimmi (Malayali), Surmeet (Punjabi), Angel (Serani), Ima (Melayu) dan lain-lain serta kehidupan sekeliling yang tidak sepi daripada pelbagai haiwan kepunyaan keluarga ataupun kawan-kawannya, misalnya kucing, anjing, angsa dan sebagainya membuat Ayu seorang yang lebih mudah menerima semua makhluk dan mudah tersentuh oleh penderitaan mereka. Lantas, apabila ada ceramah yang diikuti bersama Ima mengenai kemiskinan masyarakat Melayu selepas Perang Dunia Kedua, misalnya yang disampaikan oleh Aminuddin Baki, Ayu juga teringatkan kemiskinan yang dialami oleh masyarakat-masyarakat lain, yang turut terjebak dalam lingkaran kemiskinan.
Di Universiti, Ayu bertemu dengan Rizal, yang ada menganggap adalah ‘kekasih’nya. Namun ada satu watak yang menyentuh hati Ayu, iaitu Han, yang dipanggil The Cynic, kerana dia begitu sinis terhadap orang lain, namun Ayu tahu dia jujur dan terluka. Han hampir dibuang Universiti kerana ‘mendera’ mahasiswa baharu, tetapi diselamatkan oleh orang yang dia dera, Badri. Ayu pula bertemu Po Po, yang pandai menulis rencana akhbar dan tulisannya saksama. Semasa di Universiti, beberapa orang pelajar yang menjadi editor, ditangkap; ada yang dibebaskan dan ada dibuang Universiti. Dalam suasana beginilah Ayu semakin sedar bahawa masih banyak yang perlu dilakukan jika masyarakat harmoni dan hidup saksama yang semua penduduk Malaya dan Singapura harapkan ketika itu, ingin dijadikan kenyataan. Walaupun Ayu turut sama dalam kumpulan nyanyian di kampus dan bergiat dalam acara-acara budaya, pencariannya terhadap makna kehidupan majmuk, saling menghormati dan hidup harmoni, bagaikan lagu latar yang sentiasa mengiringi perjalanannya.

Kisah Han

Kita akan tersentuh membaca beberapa bahagian novel ini. Ketika Han pulang ke Batu Pahat, setelah meninggalkan Universiti dan membentuk Kelab Belia bersama-sama Badri, serta memberi ceramah mengenai menubuhkan kelab-kelab belia berbilang bangsa, demi mewujudkan masyarakat bersama, ada ketegangan dan keharuan yang kita turut rasa. Di Batu Pahatlah terjadinya rusuhan kaum selepas Jepun menyerah kalah; orang Tionghoa dianggap sebagai komunis dan orang Melayu pula dianggap bersekongkol dengan Jepun, lantas kedua-dua kaum ini merusuh dan membunuh. Keluarga Han misalnya mati dibunuh, begitu juga dengan keluarga Melayu. Namun, setelah 9 tahun, Han pulang ke Batu Pahat, memberi ceramah mengenai perpaduan melalui Kelab Belia, kerana dia, seperti kebanyakan orang, harus belajar memaafkan, jika tidak pun melupakan peristiwa-peristiwa pahit masa silam di sana.

Di akhir novel ini, Ayu bertanya kepada ibunya, Husna, bagaimana seseorang itu boleh menghilangkan rasa benci terhadap sesuatu negara (dan mungkin juga bangsa) setelah dianiaya, misalnya semasa zaman Jepun atau penjajahan Inggeris? Jawapan Husna, yang melakukan itu bukan seluruh negara atau bangsa. Kita semua harus mencuba menghilangkan kenangan yang pahit, walaupun ini begitu sukar, berdoa, dan ditambah pula oleh Ayu, kita juga harus ada impian terhadap harapan yang unggul itu.

Pohon Rimbun Harapan

Perenggan-perenggan terakhir novel ini menggambarkan sebatang pohon yang rimbun dan kanak-kanak pelbagai bangsa, kawan-kawan Ayu, baik perempuan mahupun lelaki, serta pelbagai haiwan yang mereka kenali, bermain di sekitar pohon itu. Mimpi ini sering berulang dalam kehidupan Ayu setelah dia semakin dewasa tetapi bilangan kawan dan haiwan yang ditemui dalam mimpi itu semakin bertambah dan gembira.
Inilah impian Adibah Amin menulis This End of the Rainbow. Keharmonian yang beliau harapkan untuk pelbagai kaum di negaranya mahupun di seluruh dunia, bukan sekadar catatan di bibir sahaja. Kita temui kejujurannya merakamkan kepedihan-kepedihan yang menyelirat pelbagai kaum pada tahun-tahun 50-an itu, keihsanannya menggambarkan watak-watak yang berbeza, yang sepertinya, terluka oleh pelbagai peristiwa, tetapi masih tetap bermimpi mahu mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan berpadu.
Dalam novel ini, watak Han mengajak Ayu untuk bersama-sama berjuang dalam Kelab Belia berbilang bangsanya. Ayu tidak dapat melakukannya, sama seperti Ayu tidak boleh meninggalkan pelajaran di Universiti sebagaimana dilakukan oleh Han dan Badri. Ayu bukanlah seorang aktivitis. Tapi menurut Han, Ayu juga akan turut berjuang – sebagai guru dan penulis – betapa benar ini berlaku dalam kehidupan Adibah Amin.

Penutup
Semoga This End of the Rainbow akan memberi kita peringatan betapa rapuh perhubungan sesama manusia, baik yang sama atau berlainan bangsa, budaya dan agama, jika sikap saling mengasihi dan menghormati itu tidak disemai semenjak kecil dan dirimbunkan oleh unsur-unsur yang menggalakkannya tumbuh secara jujur dan saksama, semasa seseorang itu dewasa. Dan semoga semasa hayat kita ini, banyak pelangi dan batil emas keikhlasan dalam perhubungan sesama manusia dan makhluk akan terus wujud dan mencerahi persekitaran kita.

Ditulis: 10 Jun 2009
Tersiar: Berita Harian, Singapura, 2009.
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 16 Februari 2016

1. Saya terlambat sedikit menulis masukan/entri untuk blog saya kali ini. Beberapa idea berlegar dalam fikiran saya tetapi saya sedikit sibuk dan kurang tenaga. Untuk bulan Februari ini, insya-Allah ada beberapa entri yang akan saya usahakan walaupun tiada ruangan baharu, ‘Perca Kenangan’, buat masa ini.

2. Saya jarang ke Geylang Serai untuk berbelanja pasar. Saya ke pasar di kawasan perumahan saya, dan hanya sesekali ke Pasar Geylang Serai untuk membeli keperluan dapur. Tetapi saya suka ke Geylang Serai dan kawasan sekitarnya. Suatu masa dahulu, sebelum Pasar Geylang Serai dirobohkan dan kemudian dan rumah-rumah pangsa sekitarnya juga dirobohkan dan dibangunkan yang baharu, saya ke Pasar Geylang Serai dan sekitarnya untuk membeli makanan, barang-barang keperluan lain seperti kain, buku, piring hitam/ kaset/CD, cermin mata dan sebagainya. Kawasannya sedikit sesak tetapi dalam kesesakan itu saya temui semacam ketenangan di sekitarnya.

Apabila Pasar Geylang Serai dibangunkan semula, saya ke sana untuk membeli beberapa keperluan tetapi jarang membeli ikan dan sebagainya di pasarnya. Saya ke sana untuk membeli makanan, selendang, kain batik dan seumpama itu. Saya juga membeli kain mentah tetapi tidak di Pasar Geylang Serai (tingkat dua) tetapi di Joo Chiat Complex dan Arab Street.

Baru-baru ini saya ke Pasar Geylang Serai untuk membeli ayam kampung dan beberapa barang lain. Selalunya ibu saudara saya membelikan ayam kampung untuk saya tetapi kerana beliau pergi bercuti dan kebetulan kursus kreatif saya diadakan di sebuah sekolah menengah yang tidak sejauhnya dari Pasar Geylang Serai, saya singgah ke Pasar Geylang Serai sebanyak 3 kali dalam masa seminggu lebih.

Apa yang saya dapat tahu, Pasar Geylang Serai akan ditutup selama 3 bulan selepas Hari Raya Haji, untuk meningkatkan beberapa prasananya. Peningkatan itu baik kalau manfaatnya memang untuk pengunjung pasar tersebut dan para pegerainya. Tetapi masa tiga bulan itu agak lama bagi mereka yang merupakan peniaga kecil-kecilan atau pekerja bergaji hari, jika tiada tapak lain untuk mereka meneruskan perniagaan mereka. Dan bukan mudah menampung keperluan hidup dalam keadaan ekonomi yang tidak sebaiknya kini.

Saya sedih mendengar keluhan beberapa orang peniaga dan pekerja mengenai hal ini. Alangkah baiknya jika tapak pasar sementara bagi para peniaga dan pekerja yang ada sekarang diadakan oleh pihak tertentu. Masyarakat Melayu-Islam dan juga yang bukan Melayu-Islam, suka berkunjung ke Pasar Geylang Serai. Kalau anda ke sana, anda akan temui pelbagai bangsa yang membeli-belah dan berniaga di sana. Terasa uniknya bila anda temui pelbagai orang, sebilangannya bukan warga Singapura, membeli-belah dan mencuba pelbagai makanan yang terjual di Pasar Geylang Serai. Semoga ada usaha untuk tidak melengangkan Pasar Geylang Serai dengan adanya tapak pasar sementara dan keunikan Pasar Geylang Serai bagi Singapura akan terus rancak sebagaimana alunan pelbagai suara dan lagu sering terdengar di pasarnya.

3. Beberapa tulisan berkaitan dengan Geylang Serai, ketabahan yang diperlukan untuk menghadapi ekonomi yang tidak sebaiknya dan sebuah sajak ‘Alkisah’ dan terjemahan sajak ini oleh Prof. Muhammad Haji Salleh, saya muatkan dalam entri blog kali ini. Semua ditulis lebih awal, namun isunya masih relevan dan mudah-mudahan dapat membuat kita berfikir dan mungkin juga sedikit terhibur atau lebih tabah menghadapi keadaan semasa. Saya lampirkan juga dua buah lagu – satu mengenai Geylang Serai dan satu lagi, sekadar hiburan daripada seorang penyanyi yang saya minati dan sayangi, Biduanita Saloma. Suara beliau, sebagaimana suara P. Ramlee, Sharifah Aini dan beberapa penyanyi kita yang lain, sering menghibur dan mengimbau kenangan saya.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
16 Februari 2016.

Sajak: Alkisah

Kerana esok hanya menjanjikan kehilangan,
kita pun berpaut kepada semalam, terapung
bersama jerami-jerami waktu, yang bakal
menghanyutkan masa kini & masa depan.
Terlalu ghairah menjaga, pusaka ini
tidak pernah kita nilai, & terlupa menyoal,
betapa tiba-tiba timbul si penglipur lara,
mengajar kita bahasa ketawa & alpa,
sedang hikayat kita belum pernah selesai.

Pentas ini pernah dihidupi seorang Fansuri,
ahli-ahli falsafah, sarjana, ahli seni,
apakah dengan adegan-adegan longgar &
watak-watak lemah,
bakal kita teguhkan sebuah tragedi?

Ditulis: 19 Oktober 1982
Panggung Victoria, Singapura – Kent Ridge, NUS, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak: This Is The Story (Translation)

Because tomorrow promises only dispossession
we thus cling to yesterday, floating
with the straw of time, that will
set the present & future adrift.
We are too obsessed with guardianship of this heritage
that we have not evaluated, & forgotten to question,
how suddenly a storyteller may appear
to teach us the language of laughter & forgetfulness,
while our tale is yet not ended.

This stage has seen Fansuri sages,
philosophers, scholars, artists,
is it through loose acts &
weak characters,
that we shall fortify a tragedy?

Written in Malay (‘Alkisah’) by: Rasiah Halil
19 October 1982
Victoria Memorial Hall, Singapore – Kent Ridge, NUS, Singapore
Translated to English by: Muhammad Haji Salleh.

Bila Anda Dimamah Usia… – Ditulis Pada 1 Mei 1998

Bilakah anda dianggap berusia lanjut? Apakah bila anda membelek-belek kalendar dan agak tidak percaya anda sedang meniti ke usia asar kerana menjangkau angka keramat ‘40’? Atau ketika anda melihat anak-anak anda semakin dewasa; sudah jadi anak dara dan bujang dan anda pula boleh digelar ‘pasangan dewasa’?

Berbagai cara orang menanggap usianya yang semakin lanjut. Seorang sahabat Sri menjadi hiba ketika menjangkau usia 40. Adanya suami, anak-anak dan keluarga masih membuatnya terfikir-fikir, apa yang telah dilakukan selama ini. Ada yang tiba-tiba mengemas rumah, seolah-olah mengemasi kekusutan di hati. Tidak kurang pula yang menjadi tiba-tiba ‘muda’, kerana hidup bermula dengan usia 40. Ada, untuk meyakinkan diri sendiri, membeli rumah baharu, kereta baharu atau bertukar kerja. Asal jangan tukar isteri/suami baharu, sudahlah ya?

Bagaimana anda tahu anda telah menjangkau usia semakin dewasa ini? Keadaan sekeliling akan selalu mengingatkan anda akan hal tersebut; seolah-olah tidak mahu anda melupakan hakikat ‘pahit’ ini seumur hidup. Bila anda ke pasar atau pusat membeli-belah, penjual tidak lagi memanggil anda ‘kakak’ ataupun ‘abang’ tetapi ‘mak cik’ dan ‘pak cik’. Pada mulanya anda mungkin terfikir, dia memanggil orang lain; alangkah sedihnya bila anda tahu ‘mak cik’ atau ‘pak cik’ itu adalah anda sendiri.

Anda juga tidak secantik ataupun sesegak dulu. Dengan kadar metabolisme yang lebih perlahan dan rentak hidup yang memalaskan anda bersenam, Sri yakin, wajah dan badan yang cantik dan segak, sudah pun bertukar macam ‘itik gembo-gembo’. Memanglah macam ‘engkau laksana bulan’ — bulatnya sudah sepadan. Tapi seorang kawan Sri menyelah: lebih bertambah badan aku, lebih banyaklah yang boleh kau orang sayang … tentulah ‘Tuntun’ (watak kelakar filem Hindi tahun 50-an dan 60-an) memang disayang …

Yang paling sukar, anda mungkin tidak terasa anda sudah menjangkau usia lebih 40 tahun. Seolah-olah baru semalam anda remaja, berasmaradana, berumah tangga, tiba-tiba anak-anak anda sudah boleh menjadikan anda berpangkat nenek atau datuk. Kesukaran ini terlebih-lebih lagi bagi generasi baby boomers: mereka yang lahir selepas Perang Dunia Kedua (dari 1945 sehingga awal 1960-an). Di Amerika Syarikat misalnya, generasi ini, Sri dapat tahu, tidak gemar menggelarkan diri mereka ‘nenek’ atau ‘datuk’ kerana tanggapan budaya terhadap pangkat-pangkat tersebut; dan inilah generasi pertama yang mengalami berbagai ragam perubahan kehidupan dari zaman meledaknya pendidikan dan juga kebebasan pergaulan.

Anda akan terasa jentikan usia ini bila anda bercakap-cakap dengan anak-anak atau anak-anak saudara anda. Bila anda sebut main kuti-kuti, getah, ambil air dari paip munisipal, jual pisang goreng dan sebagainya dia tidak faham. Atau anda sedikit-sedikit terkenang bila jalan di Joo Chiat Complex dan beritahunya, dulu tempat ini adalah Pasar Joo Chiat. Dan berhadapan dengannya adalah ‘Back Lane’ tempat makan sate, rojak India dan lain-lain yang rata-rata sedap, tapi kini akan didirikan bangunan. Dia hanya kenal yang sekarang; dan anda sendiri akan termaklum sempadan usia anda dan dia serta meningkatnya usia dewasa.

Atau anda, seperti Sri, menjadi sedikit nostalgik mendengar lagu-lagu ‘malar segar’ di stesen radio Warna dan FM 90.5/95. Menghafal lagu-lagu Saloma dan P.Ramlee, Connie Francis dan Elvis Presley, The Beatles, Bee Gees dan Pop Yeh Yeh. Suka menonton filem-filem Melayu lama kerana hendak melihat latar Singapura pada zaman itu dan terkenang peristiwa-peristiwa tertentu di sebalik cerita-cerita tersebut …

Anda tahu anda semakin meningkat usia bila anak atau anak saudara anda berkobar-kobar bercerita pasal Leonardo DiCarprio walhal anda tengok dia betul macam budak mentah, dan hero anda ialah Gregory Peck, Charlton Heston, Omar Sharif. Atau ketika mereka heboh pasal Awie dan Erra Fazira, anda masih terkenangkan Jins Shamsudin dan Sarimah; bila orang bercerita pasal Arif S.Samsudin dan kawan-kawannya, anda masih terkenangkan P.Ramlee, S.Samsudin dan Aziz Sattar … Dan seperti lagu Ahmad CB: Di suatu petang di Geylang Serai … anda mahu Geylang Serai anda tidak terlalu banyak berubah … Walaupun tiada lagi Panggung Taj di-sana …

Dan sesekali anda terhibur bila seorang remaja yang sama membeli di kedai muzik berkata: saya tak suka kebanyakan lagu-lagu baharu, asyik merintih saja, lainlah lagu-lagu lama … betul tak, kak? Betapa anda terhibur, mendengar pandangan muziknya, lebih-lebih pangkat ‘kakak’ yang diberikannya kepada anda. Buat seketika, anda kembali muda, tapi Sri yakin, seketika cuma …

Ditulis : 1 Mei 1998
Tersiar : Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 19 Julai 1998
Tajuk Asal : Usia Lanjut.
Tulisan: Rasiah Halil
Rencana pertama dalam Ruangan ‘Sri Anggerik’ terbitan Berita Minggu (Singapura).