Archive | January 2014

1973: Venus Menjelma

Aku menantimu di titis hujan gerimis
biar malam muram, tidak kuhiraukan
kali ini kau kusambut tanpa rintihan
kerana kaulah Venus yang akan kudakap sepanjang zaman.

 Venus, datanglah kau dengan wajah seribu cahaya
& berikan pelita buat menerang hari muka
kembangkan sayapmu, taburkan benih cinta
di Vietnam, Timur Tengah, Ireland, Bangladesh & Amerika
biar subur benih damai & cinta di merata dunia.

Beri juga suntikanmu pada pengetua-pengetua dunia
agar mereka berjabat & tersenyum seperti manusia
biar mereka sedar, lebih enak penukaran di antara:
peluru & bom dengan bunga & gula-gula
sebab harum & manisnya cinta bersemarak
& hidup lebih sempurna tiada beronak.

Venus, celikkan mata manusia pada yang terlantar
pada kesusahan, penyakit & perut lapar
pada si buta, si tuli, si bisu, si tempang
pada mangsa keganasan & kedurjanaan
serukan ini:
hulurkan bantuan, berikan zat makanan
campakkan sesen untuk membantu si anak malang
beri mereka peluang untuk mengecap udara nyaman
& malaikat-malaikatmu terus suntikkan jarum sakti
hingga bercendawan cinta & damai di bumi ini.

 1972 berakhir, aku menangis
tiba 1973: Venus & malaikat-malaikat menjelma & hilang semula
tinggal satu persoalan memberati di hari muka:
adakah berkesan suntikan Venus & malaikat-malaikat?
adakah cinta & damai tetap menjadi satu mukjizat?

 

Ditulis: 31 Disember 1972 – 1 Januari 1973
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil