Archive | April 2020

Catatan 20 – 21 April 2020

1. Masalah Covid-19 dan hal-hal berkaitan dengannya masih melanda kita. Banyak perkara perlu kita fikirkan dan amalkan agar wabak ini dapat dikekang dan dilenyapkan. Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak-pihak berwajib di seluruh dunia; ada langkah-langkah ini bijak dan munasabah tetapi ada juga langkah-langkah yang tidak sebijaknya kerana sebilangan besar mereka yang berwajib sukar menjangka dan meneliti sebaiknya apa yang seharus dilakukan. Sebagai rakyat biasa, di mana pun kita berada, kehadiran virus ini begitu menyukarkan dan menyeksa hidup kita. Dan angka kematian serta mereka yang dijangkiti belum lagi susut sebagaimana yang kita ingini.

Dalam merungkai masalah yang dibawa Covid-19 ini, mudah-mudahan kita tidak mengambil jalan-jalan pintas atau dilihat bagaikan mengutamakan sesetengah pihak. Kesaksamaan dan keadilan kita menangani masalah ini dan keterbukaan kita serta sikap bekerjasama yang utuh pasti menghasilkan seperti yang dikehendaki nanti, insya-Allah.

Saya juga berharap kita lebih ihsan, berlapang dada dan tidak menjadi ‘pelapor’ yang sibuk-sibuk (vigilante) bagai ingin menghangat dan membingitkan keadaan. Benar, ada penduduk di negara kita masih belum memakai pelitup dan ada pula, walaupun memakai pelitup, masih duduk di luar rumah, bersembang sedikit dan mengambil udara. Ada pula jadi marah-marah dan ada juga yang berlakuan aneh dalam lif, di pusat makanan, pasar raya dan sebagainya serta bertindak seperti orang-orang yang begitu tertekan. Mudah-mudahan kita tidak asyik menuduh dan menyaman orang; sebilangan orang, terutama orang-orang tua, berasa amat tertekan hanya duduk di rumah, apalagi kalau rumah mereka kecil dan dihuni ramai orang. Ada pula begitu kesunyian dan seakan perlu berjumpa insan lain untuk menenangkan fikiran. Dan apa pula, perasaannya merudum kerana kekurangan wang, pekerjaan dan hal-hal berkaitan, lantas terhambur kata-kata yang boleh dianggap kasar dan mungkin pula dianggap perkauman.

Saya sendiri telah menyaksikan orang-orang yang berlagak kasar dan menggunakan kata-kata kasar yang berbau perkauman (mereka menggunakan bukan bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi saya dapat tangkap maknanya) kerana mereka berasa tertekan dan perasaan kurang senang terhambur begitu sahaja. Memahami konteksnya, saya rasa ada baiknya kita tidak memanjangkan hal-hal begini.

Saya terfikir, bagaimana jika Covid-!9 ini bermula di negara yang majoritinya orang Islam, bagaimana pula tindak balas sesetengah kita terhadap orang-orang Islam? Semasa tragedi 9/11, isu pengganasan, pengeboman nekad dan sebagainya, sebilangan kita dicalit sama – seolahg-olah kita yang melakukannya. Berapa banyak kesabaran dan ketenangan  diperlukan setiap kali ada yang bergelojak kerana mercupnya hal-hal yang tidak kita ingini. Dan ini berlaku bukan sekali. Lantas, saya berharap kita berhemah dan lebih prihatin semasa Covid-19 ini, ada yang tiba-tiba bagaikan meledak dan hal-hal begini ditularkan di media sosial. Bukan kita setuju dengan perbuatan-perbuatan begini tetapi janganlah kita bagai tiada kerja lain, selain menularkan hal-hal begini, menyemarakkan rasa kebencian dan cepat menghukum bila si ikan bilis yang seakan membuat onar.

Satu lagi perkara yang seharusnya pihak-pihak tertentu fikirkan dan membuat langkah-langkah susulan yang wajar tentulah mengenai pekerja-pekerja asing kita, yang banyak terjejas dan dijangkiti virus ini. Merekakah halimunan (invisible) selama ini dan sebilangan kita sebagai masyarakat tidak mempedulikan kebajikan mereka? Sedangkan duduk di rumah yang kecil dan sesak boleh menimbulkan banyak masalah, bagaimana pula dalam dormitori/asrama yang sesak, terabai kebersihan dan kebajikan penghuninya? Apakah sebilangan tuan-tuan punya dormitori dan para majikan pekerja asing ini hanya melepas tangan atau melepaskan batuk di tangga kerana menjangkakan mereka ‘kebal’? Mungkin banyak hal perlu diubahsuai agar tindakan kita terhadap pekerja asing yang gaji mereka bukanlah lumayan ini, lebih saksama. Kita tidak boleh, seperti kata Prof Tommy Koh, menganggap diri kita berada di liga negara ‘First world‘ tetapi langkah-langkah kita lebih bertaraf  negara ‘Third world‘. Dan ada sesetengah kita pula, bila ‘bakat asing’ (foreign talent) tertentu yang bertingkah, lain pula bicaranya. Akhirnya yang terlihat ialah keadilan dan kesaksamaan kita.

Dan wabak Covid-19 ini menunjukkan, sebagaimana dicatatkan Han Fook Kwang dan beberapa orang yang lain, betapa jurang perbezaan kaya-miskin kita. Terdapat sejumlah orang Singapura yang hidup di dalam atau di bawah garis kemiskinan. Mengapakah ada orang Singapura yang lanjut usia sedia bekerja mengelap meja, mengangkat pinggan mangkuk di pusat penjaja, menjadi pembersih atau pengawal keselamatan dan sebagainya sedangkan menurut usia mereka, mereka seharusnya berehat? Apakah mereka ini pemalas atau ada langkah-langkah kita sedikit kurang wajar lantas golongan ini wujud dan semakin ketara semasa wabak Covid-19 ini? Mudah-mudahan kita tidak membuat andaian atau tindakan yang tangkap muat untuk merungkai dan mengurangkan, jika tidak pun menghilangkan masalah sebegini. Dan stereotaip yang sering dipaparkan dalam media tertentu pastinya tidak membantu.

2. Wabak Covid-19 ini bukan hanya amat menjejas kehidupan keluarga, pendidikan, agama, kehidupan sosial dan lain-lain, ia juga amat menjejas mata pencarian sebilangan kita. Banyak pekerjaan teruk terjejas dan walaupun ada juga bantuan pihak pemerintah dan badan-badan tertentu, ia tidak dapat memanfaatkan atau menampung keperluan semua yang terjejas. Ada pekerjaan yang tidak boleh dilakukan secara dalam talian dan pula pekerjaan mudah dikesampingkan bila ekonomi merudum. Mudah-mudahan kita akan lebih berani mencuba bidang-bidang baharu, menukar sedikit cara bekerja kita demi menghadapi kenyataan-kenyataan baharu ini. Memang sukar tetapi berlepas tangan atau berputus asa bukan pula satu pilihan. Mereka yang bergaji tetap atau bekerja dengan pemerintah atau pihak swasta tertentu, lain. Sebilangan besar rakyat harus bijak melakar dan memeta cara bekerja baharu agar dapur kita berasap dan kita tidak hanyut dipukul badai wabak Covid-19 ini.

3. Bagi masyarakat Islam, bulan Ramadan dan Syawal kali ini akan menjadi amat berbeza. Kita pilu tetapi kita terpaksa teguhkan hati dan bersemangat waja agar Ramadan dan Syawal kita tidak berlalu begitu sahaja walaupun tanpa tarawih, kegaitan-kegiatan di masjid, berkumpul dengan keluarga dan sanak saudara atau bersantai di bazar-bazar Ramadan yang sekian kali ada. Yang berbeza itu di luar – makna sebenar Ramadan dan Syawal tetap dapat kita hidupkan di kalangan keluarga dan sahabat handai walaupun melalui telefon bimbit dan alam maya. Inilah ujian kita – untuk bersyukur dan berusaha, apa pun yang dihadapkan kepada kita.

4. Kepada para petugas kesihatan, kebersihan dan mereka yang sama-sama membantu pembasmian atau pengurangan wabak Covid-19 serta mereka yang menjalankan pelbagai tugas yang amat diperlukan penduduk kita (essential services) – kita doakan anda tabah menjalankan tugas dan semoga Yang Maha Pengasih dan Penyayang melindungi anda dan memudahkan urusan anda untuk kebajikan semua.

5. Bulan Ramadan dan Syawal sebilangan kita akan selalu terkenang masa-masa silam yang telah kita lalui. Dan kita akan lebih terkenangkan mereka yang tiada lagi di sisi kita kerana dijemput Ilahi. Semoga kasih sayang kita kepada mereka yang tiada sentiasa merimbunkan doa dan amal jariah untuk mereka dan semoga segala kenangan kita bersama mereka menjadikan kita orang-orang yang lebih ihsan, prihatin dan mengambil berat sesama kita, makhluk-Nya, apa pun bangsa, agama dan negara mereka. Dan semoga dalam kesukaran kita menghadapi wabak Covid-19, kita akan cuba membantu mereka yang lebih susah daripada kita, baik di kalangan orang tempatan, warga asing atau mereka yang dibaham pelbagai masalah seperti orang-orang Rohingya, Palestin serta golongan pelarian dan mereka yang ditindas dan dizalimi. Amin.

6. Semoga kita diberkati dan dimudahkan segala usaha yang baik dan bermanfaat.   Selamat menjalani ibadat puasa dan menyambut Syawal kelak. Semoga kita tabah dan teguh menjalani kehidupan, apa pun yang kita hadapi. Tambat unta kita dan tawakal, sebagaimana pesanan Nabi (SAW). Fi amanilah (Semoga dalam jagaan Allah). Maaf zahir dan batin.

Salam
Rasiah Halil
20 – 21 April 2020 Masihi/ 26 – 27 Syaaban 1441 Hijriah.

Sebuah lagu berdasarkan sajak ‘Doa’ tulisan penyair Indonesia, Chairil Anwar.

 

 

‘Madah’ Manis & Manja 1

Manja n Manis 1Manja n Manis 3

Manis n Manja 2

[Anak-anak kucing saya – Manis (berwarna campuran perang, jingga, hitam dan putih) berusia 6 bulan 8 hari (pada 21 April 2020) dan Manja (berwarna campuran hitam,  kelabu dan putih) berusia genap 6 bulan hari ini (pada 21 April 2020). Kedua-duanya betina dan adik-beradik yang sebapa tetapi berlainan ibu. Saya pada mulanya ingin memelihara seekor anak kucing jantan dan seekor betina, sebagaimana kucing-kucing saya dahulu, Ginger dan Snowy. Tetapi kerabat saya hanya dapat memberi kedua-dua anak kucing betina  dan saya bersyukur kerananya. Saya mula memelihara mereka pada 25 Disember 2019.

Manis menjadi ‘ketua mafia’ seperti watak P. Ramlee dalam filem ‘Ali Baba Bujang Lapuk’ dan kenakalannya mengingatkan saya kepada watak ‘Stitch’ dalam siri kartun ‘Lilo & Stitch’. Manja pula sedikit halus dan suka duduk di atas pangku saya – saya teringatkan watak naga dalam filem ‘How To Train Your Dragon’, yang bernama ‘Toothless’ atau ‘Bud/Buddy’.

Inilah ‘madah/pantun’  ciptaan mereka, berdasarkan beberapa pantun yang terkumpul dalam buku Kumpulan Pantun Melayu, diselenggarakan oleh Zainal Abidin Bakar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.

Madah Manis & Manja  1

1.Tuku tukal balik bukit,
Manis nakal, Manja picit.

2.Tak tumbuh tak melata,
Manis usik, Manja terseksa.

3.Banyak udang, banyak garam,
Lama lockdown, kita gamam.

4.Kok komit-komit,
Betapa sukarnya kerana si Covid.

5.Ndoi-ndoi cak,
Cak makan padi;
Hati melonjak,
Badan terperap di rumah kini.

6.Kayu lurus dalam ladang,
Badan kurus banyak fikiran.

7.Pucuk leban gading gajah,
Badan tembam, makan tak sudah.

8.Anak lembu merah, tambat pokok asam,
Suruh pakai pelitup, tarik muka masam.

9.Jangan ditarik lembu garang,
Kalau ditarik banyak susahnya;
Jangan dilawan perintah kawalan,
Kalau dilawan, buruk padahnya.

10.Anak udang, udang juga,
Bolehkah jadi anak tenggiri?
Ramadan datang, datang juga,
Bolehkah seperti dahulu lagi?

11.Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang;
Tidak terkata besarnya hati,
Menanti Ramadan & Syawal menjelang.

12.Ayun anak ayun,
Ayun sampai hujung serambi;
Bangun Manis & Manja bangun,
Kita berpuasa hari ini.

13.Punggur pak punggur,
Pak punggur kayu akar;
Datang masa bersahur,
Jangan terlajak, nanti lapar.

14.Wau, wau bulan,
Wau bulan serah putih;
Di mana Bazar Ramadan?
Di alam maya yang serba canggih.

15.Carik baju raja,
Dilompati todak;
Usah abaikan syiar-Nya,
Walau tertekan & terdesak.

16.Tempurung mata tiga,
Manis & Manja berdoa sama.

17.Sampan kotak mengapa dikayuh,
Hendak belayar ke tanah seberang;
Patah langkah bersayap ampuh,
Ramadan & Syawal tetap gemilang.

18.Mengkuang konon kayu petani,
Tersandar kepada kayu bakat;
Tak terbuang masyarakatku ini,
Bagai ikan menongkah selat.

19.Tali pandan kembar empat,
Dicincang berderai-derai;
Merajuk Manis & Manja dengan Mak,
Bunga melur datang melerai.

Berdasarkan beberapa pantun tradisional yang diubah baris akhir atau dua baris akhirnya. ‘Ditulis’ oleh Manja & Manis dengan bantuan ‘ibu’ mereka pada 20 – 21 April 2020.

Sajak: ‘ Kebergantungan’, ‘Kerinduan’ dan ‘Yang Terserlah’

Kebergantungan

Mungkinkah kita terlalu angkuh
memeta pencapaian
melakar kemajuan
melihat digit & ekonomi memuncak
tanpa meneliti dasar
melibasi manusia, kemanusiaan
insan-insan disalut masalah, kekecewaan.

Mungkinkah kita terlalu bangga
kitalah golongan pemula
menebros segala bidang ilmu
di darat, laut, udara
& terlupa ada yang terpinggir
ada yang resah tak bermusim
ada yang rakus tanpa sempadan
dalam perhitungan untung rugi
si marhaen semakin disisih.

Sekadar virus sekecilnya
kehidupan kita berserabut
fikiran kusut – menolak, menerima
seolah dengan menafi atau lewa
virus lenyap bak fatamorgana
& kita selamat selamanya.

Betapa kecil dunia kita
& besarnya kebergantungan bersama
dengan sesamanya, dengan makhluk lain
demi kesejahteraan semua
& virus ini bagai mengingatkan
makna kebergantungan, erti nikmat –
kesihatan, kesejahteraan
kasih sayang, keprihatinan
kebebasan, kelapangan
yang lebih bermakna
daripada timbunan pangkat, harta.

Ditulis: 20 – 23 Mac 2020
Tulisan: Rasiah Halil.

Kerinduan

Betapa kerinduan yang tak terucap
pada rumah-Mu yang serba damai
untuk berjemaah, bersolat Jumaat
kegiatan-kegiatan yang sedia ada
atau bagi insan sepertiku
rumah-Mu sentiasa terbuka
untuk bersolat bila jauh dari rumah
beriktikaf, bermuhasabah, berdoa
bahawa dalam apa pun ketergesaan
rumah-Mu menebar sejahtera
agungnya Engkau dalam hiruk-pikuk dunia.

Yang dirindui hanya yang lumrah
sebuah masjid terbuka
jemaah yang bebas singgah
& kebiasaan-kebiasaan yang ada –
keluar, bersantai, beriadah
merimbun kasih, kebersamaan kita
yang kecil tapi besar ertinya
pada makna sebuah masjid
kebiasaan seharian kita
kasih sayang yang membumbui segala
& nikmat-Mu yang tiada terhingga.

Ditulis: 30 Mac 2020
Tulisan: Rasiah Halil.

Yang Terserlah

Yang terserlah adalah kecelaruan
piciknya wibawa, kebijaksanaan
yang diutama, kasta, bergema
yang terpinggir bak halimunan belaka
& bangganya kita diisytihar cemerlang
tanpa benar-benar masalah dirungkai
sekadar jalan pintas, potong tampal
sedang kebersamaan, kesatuan,
apakah benar diteguhi ikhlas?

Ditulis: 18 – 19 April 2020
Tulisan: Rasiah Halil

Berdepan Dengan Masalah (Ditulis Pada 1989)

Problem 1Problem 2

Problem 3Problem 4

Punca Masalah

Jean-Paul Sartre, seorang ahli falsafah Perancis pernah menulis: ‘Kita tidak dapat merubah masa silam kita, tetapi kita boleh, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, mengurangkan kesannya terhadap masa kini kita.’

Kebanyakan masalah yang muncul berasal daripada bibit-bibit yang ditanam di masa silam. Misalnya, masalah keciciran dalam pelajaran mungkin terjadi kerana kecuaian pelajar itu sendiri di masa lampau, sikap sambil lewa ibu bapanya terhadap pelajaran, keadaan keluarga yang kucar-kacir, guru-guru yang tidak mengambil berat ataupun kurang semangat perjuangan dalam diri pelajar itu sendiri. Seandainya pelajar tersebut hanya menyalahkan masa silamnya kerana masalah yang dihadapi, dia mungkin tidak benar-benar berdepan dengan masalah itu, apatah lagi merubah keadaannya. Masa silam seseorang hanya boleh memainkan peranan dalam beberapa hal sahaja; selebihnya ialah sikap individu tersebut apabila dihadapkan dengan berbagai ranjau masalah dalam kehidupan.

Manusia Dan Masalah-Masalahnya

Manusia sebagai individu dan kelompok sering berhadapan dengan masalah-masalah yang harus dihadapi, ditangkis, diubah-suai dan sebagainya demi kewujudan dan penakatannya. Apa yang sering dianggap sebagai masalah oleh kelompok ‘A’ mungkin tidak dianggap sedemikian oleh kelompok ‘B’. Perbezaan ini muncul kerana tiap kelompok mempunyai tanggapan yang berlainan dari segi pengamatan apa yang dianggap masalah. Pengamatan kita terhadap sesuatu yang dianggap masalah serta sikap kita boleh menentukan sama ada sesuatu itu hanya tinggal masalah ataupun ditukar menjadi cabaran yang memanfaatkan kita.

Terdapat sejenis ular, ular orok-orok (rattle-snake) jika ia dikepung dan tiada peluang bagi memusnahkan seterunya akan menggigit ekornya sehingga mati. Perbuatan seppuku atau harakiri (bunuh diri) yang aneh ini kadangkala menjadi ikutan sesetengah kita sebagai manusia. Selalunya ada dua cara kita bertindak apabila dihadapkan dengan masalah: kita menjadikannya satu cabaran yang perlu diatasi ataupun kita berundur diri daripada memikirkan masalah itu, seperti burung unta, dengan anggapan bahawa masalah itu akan hilang dengan sendirinya.

Sebagai contoh, seorang pelajar diberi jolokan ‘bodoh’ oleh rakan-rakan dan guru-gurunya; dia tentunya marah tetapi bagaimanakah harus dia bertindak menghadapi masalah itu? Menurut cara pertama, dia akan belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada khalayak tertentu bahawa dia sebenarnya tidak ‘bodoh’. Tindakan begini tentunya mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil kerana dia harus sabar membajakan dirinya dengan ketekunan, pengorbanan dan kebijaksanaan. Kejayaan beberapa orang anggota masyarakat kita, setelah berjuang dalam bidang masing-masing kerana jolokan tertentu ataupun cabaran tertentu sering membuktikan langkah ini banyak manfaatnya. Sebaliknya, kemarahan pelajar tadi mungkin membuat dia memilih cara bertindak kedua; dia setakat marah tetapi tidak melakukan sesuatu bagi merubah jolokan buruk itu terhadap dirinya. Dia mungkin pula memilih jalan mudah untuk menjauhkan diri daripada diejek; dia enggan meneruskan pelajarannya. Tentunya tindakan kedua ini amat merugikan diri dan masyarakatnya.

Sejarah seringkali membuktikan bahawa masyarakat yang berani berdepan dengan masalah-masalahnya akan dapat meneruskan penakatannya. Sebagai contoh, dapat kita kaji bangsa Yahudi dari segi sejarah; pilihan ini dibuat bukan kerana kita memihak kepada golongan Zionis dari segi politik dan sebagainya. Bangsa Yahudi ini satu ketika dulu, tidak dipandang tinggi oleh masyarakat Eropah, malah sering dihina kerana beberapa amalan mereka. Pandangan rendah ini tercatat misalnya pada watak Shylock dalam drama terkenal Shakespeare, The Merchant of Venice sehinggalah zaman Nazi Hitler di Jerman. Namun, kerana tekanan-tekanan demikianlah, sama ada dihina, dianiaya mahupun diusir dari negeri ke negeri (diaspora), ada orang berpendapat bangsa ini terpaksa menjadi lebih mahir dan bijak daripada masyarakat di sekeliling mereka.

Kerana sering diusir dan terpaksa melarikan diri dalam masa yang singkat, bangsa Yahudi ini harus memahirkan diri dalam bidang-bidang yang mudah ‘dibawa lari’. Lantas, menurut pendapat beberapa orang ini, bangsa Yahudi ini mencebur dan memahirkan diri dalam dua bidang yang ‘kelengkapannya’ dengan cepat dapat dilarikan jika mereka diusir – bidang intelek, iaitu  ‘harta’ mereka adalah otak mereka sendiri dan bidang niaga intan berlian, apabila  ‘harta’ mereka mudah dimasukkan ke dalam saku jika mereka terpaksa melarikan diri kerana diusir atau pogrom. Kita tidak tahu sama ada pandangan-pandangan ini seratus peratus benar, tetapi apa yang penting bagi kita, bangsa Yahudi ini telah cuba menghadapi masalahnya dengan memahirkan diri dalam dua bidang penting: intelek dan perdagangan.

Beberapa tokoh yang kita kenali juga menunjukkan bahawa berani berhadapan dengan masalah lebih memanfaatkan daripada berundur diri ataupun berdiri di atas pagar. Masalah-masalah yang mereka hadapi secara peribadi ataupun sebagai sebuah masyarakat telah mereka jadikan mangkin (catalyst) bagi menggerakkan perubahan diri mahupun masyarakat ke taraf yang lebih baik. Tidak akan timbul perubahan sikap tentang perhubungan kaum di Amerika Syarikat, misalnya, jika tokoh-tokoh seperti W.E.B. Du Bois, Martin Luther King Jr dan Malcolm X tidak berani menangkis masalah yang dihadapkan kepada masyarakat mereka. Seorang Iqbal, dengan keanggunan falsafah dan puisinya tidak akan terserlah di mata dunia seandainya beliau gagal berdepan dengan masalah penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam ketika itu. Raden Atjeng Kartini hanyalah akan menjadi nama seorang puteri silam dari Jepara, Indonesia, seandainya tokoh ini tidak berani berhadapan dengan masalah tanggapan umum terhadap masyarakatnya, terutamanya wanita pada zamannya.

Akhir Kalam

Sesuatu masalah itu boleh terus menjadi musibah ataupun manfaat bergantung kepada pengamatan, sikap dan tindakan kita terhadapnya. Kita tidak berupaya bertindak seperti burung unta, dengan menyembunyikan kepalanya ke dalam tanah, ia menganggap sesuatu masalah itu telah tiada. Kita sering memerlukan keutuhan tekad, kesabaran dan kebijaksanaan untuk merubah sesuatu masalah menjadi manfaat. Seperti kata-kata yang tertulis pada sebuah poskad:

‘Tuhanku,
Berilah aku ketabahan menerima perkara-perkara yang tak dapat aku ubah;
Keberanian, mengubah perkara-perkara yang boleh aku ubah;
Dan kebijaksanaan untuk membezakan keduanya.’

Ditulis: 4 – 13 Ogos 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tajuk Tersiar: Mungkin berlainan sedikit daripada tajuk di atas
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 1989
Tulisan: Rasiah Halil.

Berani Menghadapi Risiko (Ditulis Pada 1991)

Risk 1Risk 2Risk 3Risk 4Pendahuluan

Seorang penyair, Robert Frost, dalam sajaknya berjudul ‘The Road Not Taken’ menegaskan bahawa adakalanya terdapat dua jalan di persimpangan kehidupan seseorang.  Satu ialah jalan yang lumrah, yang dipilih oleh semua orang.  Dan satu lagi, ialah jalan yang jarang atau belum pernah diteroka oleh sesiapa.  Kedua-duanya mempunyai keistimewaannya tetapi hanya satu sahaja, menurut Frost, akan lebih mencabar dan menganugerahkan pengalaman berlainan kepada sang pengembara.

Dalam kehidupan, sering kita dibuntukan keadaan: apakah akan kita meneruskan kehidupan ini dengan memilih jalan-jalan yang biasa dipilih atau akankah kita sesekali juga berani mencabar keadaan dan meneroka ‘Jalan Yang Tidak Dipilih’?  Memilih jalan yang pertama bererti kita lebih selamat dan berupaya mencapai sasaran ataupun matlamat yang kita inginkan pada permulaan perjalanan.  Tetapi ia juga bererti kita mungkin dinafikan keragaman pengalaman yang boleh membuat kita melihat kehidupan ini dari kaca mata yang beraneka.

Memilih jalan kedua pula kadangkala bererti kita mungkin termasuk ke belukar sebelum sampai ke sebuah desa impian.  Ia memerlukan daya ketahanan yang kejap, kesabaran dan kebijaksanaan untuk menyisihkan onak dan duri perjalanan.  Tetapi hasilnya bukan sahaja boleh lebih mendewasakan kita malah membuat kita lebih menghargai perjalanan-perjalanan sukar lainnya yang bakal kita tempohi pada lain ketika.

Pilihan Dan Risiko Dalam Kehidupan

Dalam kebanyakan masyarakat, semangat ingin mencuba dan menghadapi risiko sering terpantul dalam jiwa perintis masyarakatnya.  Tanpa jiwa perintis ini, perubahan dan pembaharuan sukar terlaksana untuk generasi-generasi seterusnya.

Semangat inilah juga yang membolehkan masyarakat Islam zaman Nabi Muhammad (SAW), Khulafa-ar-Rasyidin dan seterusnya mengembangkan Islam bukan sahaja di Jazirah Arab malah di sebahagian terbesar dunia.  Seandainya jiwa mencuba dan menghadapi risiko tidak wujud dalam jiwa masyarakat awal Islam, tidak mustahil agama Islam akan mengambil masa yang lebih lama untuk disebarluaskan.  Nabi Muhammad (SAW) telah membekalkan umatnya dengan al-Quran dan sunahnya dan inilah juga panduan terutuh selain qiyas, ijmak ulama dan berijtihad, yang membolehkan umat Islam meneroka ke daerah-daerah baharu di merata dunia demi meneruskan agama dan kehidupannya.  Dan meneroka bidang baharu ini tidak pula terbatas kepada usaha mencari tanah baharu malah ia juga meliputi, misalnya, keupayaan kita mencari ubat mujarab bagi menyembuhkan penyakit barah, jika ditinjau dari segi makro ataupun dari segi mikro, misalnya, mencuba pendekatan pendidikan yang berbeza untuk pembangunan dan kemajuan anak-anak kita.

Ibn Khaldun, yang dianggap ahli sosiologi Islam yang pertama, dalam kitabnya Muqaddimah, menegaskan bahawa setelah tiga generasi, selalunya sesuatu dinasti itu akan menjalani proses penurunan atau kejatuhannya.  Perkara yang sama boleh kita andaikan kepada sebuah keluarga ataupun masyarakat.  Mengapa terjadi proses penurunan ini?  Salah satu sebab utama ialah keadaan selesa telah mematikan semangat meneroka dan menghadapi risiko ahli-ahli dinasti tersebut ataupun sesebuah keluarga.  Masyarakat tidak lagi berani menghadapi risiko, mencuba daerah baharu, kerana terlalu bahagia dan diselesakan oleh kehidupan semasa.  Natijahnya, dinasti atau masyarakat itu menjadi statis atau lebih buruk agi, memulakan lingkaran kejatuhannya.

Kenyataan Ibn Khaldun bererti keluarga atau masyarakat mesti sentiasa memupuk semangat mencuba dan menghadapi risiko di kalangan anggotanya seandainya ia ingin terus hidup dengan bermakna.  Ini tidak pula bererti kita tidak tahu bersyukur dengan apa yg kita perolehi atau atau semakin ghairah mengumpul wang dan harta sahaja, misalnya.  Tetapi ia bererti kita cuba menerjah tiap grey area (boleh ditafsirkan sebagai perkara-perkara yang sukar dan samar)  sejauh yang mampu dan terdaya oleh kita.  Dan tiap kali kita berani menerjah grey area yang dihadapkan kepada kita, kita akan bertambah teguh, seperti jasad yang sering dilatih di gimnasium.

Beberapa Pengalaman Sebagai Contoh

Pengalaman beberapa orang berikut dapat menjelaskan peri pentingnya menghidupkan semangat berani mencuba dan menghadapi risiko.

Seorang lelaki ‘melarikan’ diri ke Jerman dengan hanya berbekalkan sedikit wang dan bekalan.  Dalam perjalanan ke Jerman dengan menaiki kapal dan terkandas di beberapa daerah, ramai kawan lelaki ini patah semangat dan pulang.  Tetapi dia tetap tabah, sehinggalah sampai ke Jerman.  Di sana, dia melakukan berbagai perkerjaan demi membiayai pembelajarannya.  Akhirnya dia bukan sekadar berjaya memperolehi segulung ijazah malah fasih berbahasa Jerman.  Lelaki ini boleh memilih jalan yang lumrah – meneruskan pengajiannya di universiti tempatan tetapi dengan pilihan demikian cita-cita sebenarnya, bukan sekadar mendapatkan segulung ijazah,  tidak akan tercapai.  Dan keluarganya tidak mampu menghantarnya ke luar negara untuk memenuhi sebahagian cita-citanya itu.

Seorang lagi sanggup mengenepikan pekerjaan berjawatan tinggi dan bergaji lumayan serta rumah tangga yang baru dibina demi mendapatkan ijazahnya di luar negara.  Keluarganya terpaksa berkorban untuk tahun-tahun tersebut tetapi ternyata segala itu tidak sia-sia.  Mengapa dia memilih jalan tersebut?  Kerana dia percaya, usahanya akan menjadi contoh kepada anak dan anggota keluarganya yang lain, agar mencapai tahap yang lebih tinggi daripada apa yang terdaya diperolehinya selama ini.

Seorang wanita pula, yang berjawatan jururawat kanan, berhenti daripada bertugas dengan hospital pemerintah dan bekerja di hospital swasta.  Ini dilakukannya kerana ingin memenuhi cita-citanya, mendalami bidang perbidanan di luar negara.  Dia menjadi seorang jururawat privet dan bertugas sepanjang masa demi mengumpulkan wang untuk biaya pelajarannya.  Sebelum setahun, dia dapat meneruskan pelajarannya ke United Kingdom.  Baginya risiko yang dihadapi amat besar, tetapi ia juga membuahkan hasil yang membanggakan.

Seorang ibu beranak tiga, setelah berbelas tahun meninggalkan bangku sekolah, mengikuti kelas malam untuk belajar dan mengambil peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan ‘A’nya. Sebenarnya wanita ini boleh selesa duduk-duduk di rumah kerana rumah tangganya aman dan bahagia dan wang gaji suaminya agak lumayan.  Tetapi dia memilih jalan yang sukar yang memaksanya memerah otak dan pandai membahagi masa antara keluarga dan pelajarannya.  Mengapa ini dilakukan?  Ibu ini yakin, usaha-usaha ini akan membuatnya berani terus mencuba dan menerjah grey area dalam kehidupannya dan menjadi suatu contoh kepada anak-anaknya.

Terdapat banyak lagi cerita yang boleh membuktikan betapa pentingnya semangat berani mencuba dan menghadapi risiko ini dihidupkan di kalangan kita.  Dan ia tidak terbatas kepada usaha menimba ilmu sahaja; segala yang memanfaatkan masyarakat, harus diceburi beriring semangat ini.  Ia boleh meneguhkan peribadi pemiliknya untuk menghadapi apa pun suasana, yang sukar digentarkan oleh rasa takut atau putus asa.

Kesimpulan

Di tengah-tengah berbagai masalah dan kemelut yang menjiwai masyarakat kita, semangat ini besar ertinya bagi memungkinkan kejayaan kita daripada belenggu-belenggu semasa.  Adalah amat mudah memilih jalan-jalan biasa tetapi adalah amat menyukarkan memilih jalan-jalan yang jarang atau enggan dipilih oleh sesiapa.  Namun, sebahagian terbesar tamadun manusia dihidupkan bukan oleh orang-orang yang memilih jalan mudah itu, malah sebaliknya.

Kelainan jalan itu pula tidak semestinya mengenai perkara-perkara besar atau makro sahaja, perkara-perkara kecil atau mikro juga memerlukan pendekatan sedemikian.  Dan setiap usaha kita untuk mengobori semangat berani meneroka dan menghadapi risiko ini pasti akan membuahkan hasilnya yang ranum, walaupun ini akan mengambil masa. Seperti yang disajakkan oleh Robert Frost :

Two roads diverged in a wood, and I –
I took the one less travelled by,
And that has made all the difference.

Ditulis: 29 Mac – 3 April 1991
Tersiar: Majalah An-Nisaa’, terbitan Persatuan Pemudi-pemudi Islam Singapura (PPIS), 1991
Tulisan: Rasiah Halil.

Perihal Isi Dan Bentuk (Ditulis Pada 1992)

IB 1Set of books sketch

IB 4IB 5Mukaddimah

Pakar ekonomi, pemasaran, mereka yang bergiat dalam bidang pengiklanan, perhubungan awam dan media selalu akan bersetuju bahawa sesuatu barangan yang ingin dijual, haruslah diberi pembungkusan (packaging) yang terbaik. Tanpa berbuat demikian, barang yang betapa pun baik, unggul, tulen, tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Sebaliknya, terdapat juga barang yang mendapat perhatian ramai bukan kerana isi kandungan barang itu yang baik tetapi kerana cara ‘pembungkusan’ yang memikat. Benar, ada pepatah mengingatkan, kita tidak seharusnya menilai sesebuah buku itu berdasarkan kulit luarannya, Tetapi, alangkah baiknya jika kulit hiasan buku yang menarik juga menggambarkan isi kandungannya yang sama menarik?

Strategi Dalam Usaha Pembaikan

Strategi pemasaran atau ‘pembungkusan’ ini tidak harus dibataskan kepada bidang ekonomi sahaja. Dalam berbagai lapangan kehidupan seperti pendidikan, kerja-kerja kemasyarakatan, perhubungan antara manusia, mahupun bidang agama, ia seharusnya dititik-beratkan. Bayangkan seorang guru sekolah misalnya, yang telah melibatkan diri dalam bidang pendidikan bertahun-tahun lamanya. Beliau mungkin memiliki niat yang luhur dan harapan yang tinggi terhadap kejayaan anak-anak muridnya. Tetapi cara pengajarannya hambar, persiapannya dibuat asal boleh sahaja, malah kesilapan yang dibuat berulang setiap tahun, sehingga mudah diterka oleh para pelajarnya. Betapa pun luhur niat hati guru tersebut untuk melihat kemajuan pelajar-pelajarnya, harapan ini tdak akan kesampaian kerana cara ‘pembungkusan’nya salah. Tanpa strategi pengajaran yang baik, kesungguhan dan keghairahan dalam bidang yang diceburi/ajari serta teknik penyampaian yang lebih menarik seperti menggunakan alat-alat bantuan pengajaran, tunjuk-ajar guru tersebut tidak akan menambat fikiran dan perasaan pelajarnya. Sepenting isi kandungan sesebuah bahan pengajaran ialah cara pengajaran itu disampaikan, misalnya di bilik darjah.

Demikian juga jika seseorang itu terlibat dalam usaha-usaha memulih atau memperbaiki kepincangan masyarakat atau yang berhubung dengan soal-soal kebajikan dan pembangunan masyarakat lainnya. Orang-orang begini diharapkan dapat memimpin ahli masyarakat yang ingin memperbaiki diri mereka ke tahap yang lebih baik. Tetapi jika cara yang digunakan ialah kekerasan, penggunaan bahasa kesat, mencemuh, menyindir, terlalu ‘menghukum’ tak bertempat (judgemental) atau memaksa orang mengikut ideanya sahaja, tidaklah menghairankan jika orang begini tidak akan berjaya pada perkiraan terakhirnya. Dia mungkin berjaya di kalangan mereka yang ‘terdesak’ atau mereka yang percaya padanya bahawa satu-satu cara untuk menjadi ‘baik’, ‘terpelajar’ dan sebagainya ialah dengan menerima ucapan-ucapan sedemikian. Seperti kata Peter Ustinov, mereka mungkin berjaya di kalangan ‘unformed and terrified minds’, yang puratanya tiada pilihan golongan yang lebih baik sebagai sumber contoh. Tetapi di khalayak yang lebih besar, orang-orang yang sedemikian ternyata tidak berkesan kerana teknik ‘pembungkusan’ mereka yang indah khabar dari rupa dan songsang. Tidak pula kita menyangkal terdapatnya orang-orang yang teknik penyampaiannya demikian baik, memikat tetapi sebenarnya terlalu licik dan meracuni masyarakat.

Terdapat contoh yang baik bagi mengimbangi isi sesuatu pengajaran atau idea dengan teknik ‘pembungkusan’nya yang diberikan oleh Nabi Muhammad (SAW) Dan pengajaran Baginda tidak terhad kepada bidang agama sahaja, sebagaimana kita maklumi melalui hadis-hadis Baginda. Bagindalah manusia yang paling patuh kepada perintah Allah, tetapi cara Baginda menyampaikan perintah itu dan mendampingi manusia tidak pula dilakukan dengan kekerasan, mencemuh atau melukai hati orang lain. Ramai orang memeluk agama Islam pada zaman Nabi (SAW) bukan kerana tiada pilihan lain atau kalah semasa perang, tetapi kerana tersentuh oleh anggunnya nilai peribadi dan pengajarannya.

Cara pengajaran Nabi bukan sekadar padat dari segi ‘isi’nya, malah ‘bentuk’ atau ‘pembungkusan’nya sekali. Nabi Muhammad (SAW) menambat hati umat manusia melalui perilakunya yang baik, kesantunannya yang bertaraf tinggi serta keluhuran hati, hikmah dan budinya yang menyeluruh. Baginda membuktikan betapa seseorang dapat menjalani hidup sebagai makhluk Allah yang sentiasa menerima kehidupan ini sebagai anugerah yang berharga, dengan mempraktikkan etika hidup Islam tanpa perlu memaksa, mencemuh atau menghukum mereka yang kurang bersetuju dengan Baginda. Inti pengajaran dan penyampaian Baginda menunjukkan sintesis yang terbaik yang boleh kita contohi; di samping mematuhi perintah Allah Baginda juga menghormati manusia ciptaan-Nya.

Akhir Kalam

Berdepan dengan beberapa masalah masyarakat yang kita hadapi kini, adalah perlu bagi kita untuk menjadi lebih cekap dan prihatin dalam menyeimbangkan antara tuntutan ‘isi’ dan ‘bentuk’ atau ‘pembungkusan’ sesuatu bidang yang kita libati. Tanpa keseimbangan sedemikian, kita mungkin akan terus mengulangi kesilapan; setiap usaha kita pada natijahnya akan menjadi hambar dan kurang berkesan dan padahnya akan terpaksa dipikul oleh masyarakat. Dan mereka yang terus dibumbui cara sedemikian, lama kelamaan akan menulikan telinga, atau lebih buruk lagi, menjadi sinis dan meninggalkan kelompok tersebut, seandainya kita enggan belajar menyesuaikan teknik dan strategi dengan inti pengajaran kita.

Ditulis:  12 – 21 Januari 1992
Tajuk Tersiar: Mungkin berlainan sedikit daripada tajuk yang tertera di atas
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1992
Tulisan: Rasiah Halil.

Cerpen: Jejak-Jejak Di Pesisiran

Pantai 2Pantai 3

Pantai 1

Cogan kata yang dilekatkan di hadapan meja komputernya bagai menyimpulkan: ‘Anda tidak akan menemui lautan-lautan baharu, melainkan anda mempunyai keberanian meninggalkan pesisiran pantai’. Pesisiran yang akan ditinggalkan, lautan yang bakal diharungi, beranikah dia menghadapi segala, menongkah arus, jika keadaan memerlukannya berbuat begitu?

Azadiah masih termenung panjang walaupun perkara itu telah dibincangkan dengan orang-orang tersayang. Jangan ralat. Segalanya boleh terlerai, cuma kali ini hatinya sedikit berat kerana langkahnya akan semakin jauh meninggalkan sebuah pulau.

Yang penting, Nenek Timah dan Kak Ijah sekeluarga dapat memahami dan merestui keputusannya. Dan yang utama, dia sebenarnya tidak meninggalkan mereka, melepaskan tanggungjawabnya. Yang bersauh itu rasa kasihnya yang mendalam, ke mana pun dilancarkan sebuah pelayaran.

Azadiah, nama yang diambil daripada bahasa Parsi, azad/azadi, yang bererti kebebasan atau kemerdekaan. Demikianlah dia dinamakan oleh datuk dan neneknya. Dan makna namanya semakin bererti ketika dia menapak dewasa dan mengisi erti hidupnya.

Namun, tidak semua orang berlapang dada terhadap penglibatan dan usaha orang lain, sebagaimana nenek dan kakaknya sekeluarga.

“Memang kau dasarnya begitu,” luah Abang Man seakan mencemuh. Dia tiba-tiba menjelma di rumah Azadiah apabila berita keputusan itu diketahui kaum keluarga. Seolah-olah Abang Man begitu mengambil berat terhadap kebajikan adik sepupunya.

“Ini bukan keputusan tergesa-gesa, Abang Man. Dah lama Aza fikirkan. Nenek setuju, Kak Ijah sekeluarga pun tak ada masalah. Segala-galanya dah Aza bereskan.”

“Kau sukalah begitu. Biar terkenal nanti. Macam kat Singapura atau rantau ini dah tak ada kerja lagi. Belajar tinggi-tinggi, kerja begini.”

Azadiah terdiam. Kata-kata itu bukan baharu dan sering pula berulang, apa pun yang dilakukannya. Neneknya juga terdiam, maklum akan perangai kerabatnya yang cepat berang.

“Ah, kenapa diam, tak betul apa aku cakap? Kau selalu pentingkan diri sendiri. Tak ingat nenek dah tua, dah penat besarkan kau. Eh, jaga neneklah, kerja kat Singapura, kahwin, bukan berlagak konon nak bantu orang lain. Yang kat Singapura pun kau tak bantu.”

Azadiah sekadar merenung wajah abang sepupunya. Dialah orang terakhir yang seharusnya meluahkan kata-kata itu. Azadiah tidak membantu? Sejak bila? Terhijabkah orang-orang seperti Abang Man sehingga tidak terlihat apa pun yang pernah dia cuba usahakan?

Dia menghela nafas panjang, beristighfar. Nenek Timah cuba menenangkan Abang Man tetapi ternyata gagal. Abang Man menyambung lagi dan kali ini diungkit kisah-kisah lama terutama bagaimana keluarga Azadiah yang dahulu hidup susah, pernah dibantu keluarganya. Setiap kali kisah-kisah sebegini diulang, hati Azadiah terguris. Bantuan yang diberi tidak seberapa tetapi ada semacam kesumat yang seakan tidak pernah terlerai oleh masa. Dan Azadiah terasa keluarga Abang Man seakan tidak betah bahawa Kak Ijah sekeluarga hidup bahagia walaupun tidak hidup senang lenang dan dia pula dapat ke universiti, bekerja dalam bidang yang diminati dan bergiat dalam beberapa pertubuhan kebajikan. Mungkin mereka fikir, dia dan kakaknya seharusnya bergelumang dalam keperitan hidup, setelah ketiadaan orang tua dan belajar sekadar peringkat yang amat sederhana.

Setelah lama membuat bising dan cuba merusuhkan hati Azadiah dan Nenek Timah, Abang Man pulang. Nenek Timah menghampiri Azadiah, tersenyum dan mencium dahi cucunya. Tanpa mengucapkan sepatah kata, Azadiah tahu neneknya sedia memaklumi perasaannya dan mahu dia terus bersabar. Dan Abang Man bukan satu-satu orang di kalangan kerabatnya yang berperilaku sebegitu. Ada sahaja yang tidak kena apabila ada berita-berita baik yang meruangi kehidupan Azadiah, neneknya atau Kak Ijah sekeluarga.

Betapa dapat kulupakan masa-masa sukar itu, bisik hati Azadiah. Kami hanya menumpang sekejap di rumah keluarga Abang Man, keluarga Kak Jenah dan sebuah dua keluarga lagi sebelum kemudian menyewa dan akhirnya membeli rumah pangsa. Dan nenek tidak pernah mati semangat walaupun datuk tiba-tiba berpulang ke rahmatullah dan dia seorang memikul tanggungjawab membesarkan kami, cucu-cucunya. Aku ingat nenek menjadi bidan, mengurut orang, menjual kuih-muih selain mencuci kain baju orang untuk membesarkan kami. Kaum kerabat yang membantu kami boleh dihitung dengan jari tetapi nenek selalu rajin berusaha dan bersyukur dan ramai yang lain, yang bukan keluarga dan adakalanya berlainan bangsa dan agama, turut juga membantu kami. Aku masih ingat bagaimana kami berdua membantu nenek menyara hidup; menjual kuih-muih, bekerja sambilan semasa cuti, memberi tuisyen. Dan nenek amat bersyukur kami mendapat pelajaran formal, tidak seperti dirinya. Dan kesyukurannya bertambah melihat aku dapat menjejak lebih jauh. Bagaimanakah dapat kulupakan masa-masa sukar itu dan segala pengorbanannya?

Dan Azadiah teringat pula Kak Jenah, yang perilakunya tidak jauh berbeza daripada perilaku Abang Man. Lama sebelum berita keputusannya tersebar, memang Kak Jenah suka mencari-cari pasal. Kadangkala dia tidak tahu apa sebenarnya kesalahannya. Dapat keputusan baik di sekolah, salah. Bantu nenek, salah. Dapat ijazah, salah. Bekerja sebagai guru dan kemudian menceburi bidang dokumentari, salah. Azadiah teringat ketika dia membantu mengambil gambar semasa perkahwinan Husna, adik Kak Jenah. Azadiah melakukannya dengan sukarela dan sepenuh hati kerana Husna memang seorang yang baik hati dan rapat dengannya. Semasa memetik-metik gambar di majlis Husna itu, Kak Jenah bertindak seolah-olah ingin memberitahu semua orang dan memalukannya.

“Ah, inilah, belajar tinggi-tinggi, setakat ambil gambar. Tak kahwin-kahwin, macam tak laku. Eh, anak aku takkan jadi macam kaulah,” lantang Kak Jenah bersuara. Kak Jenah dan sahabat handai seumpamanya melihat petikan gambar atau rakaman video sekadar peralatan sahaja dan siapa pun boleh melakukannya. Dia tidak tahu apa itu seni dalam memetik gambar atau merakam video. Kak Jenah tidak pernah peduli makna mendokumentasi sesuatu sebagai sumbangan seni.

Kadangkala Azadiah bertanya diri sendiri, apakah kerana orang-orang sebegini, dia semakin tidak peduli, sebagaimana pernah disajakkan pernyair Chairil Anwar? Apakah kerana pengalaman-pengalaman silam yang dilalui bersama nenek, datuk dan kakaknya membuat Azadiah semakin mahu merombak keadaan melalui pelbagai bidang? Dia tahu kemiskinan atau lingkaran kemiskinan itu boleh diputuskan melalui kerja keras dan pelajaran. Dia maklumi dunia ini semakin luas apabila kita tidak sekadar hadir sahaja dalam kehidupan tetapi memberi makna kepada kehidupan tadi. Dan dia juga tidak mudah melupakan pelbagai penghinaan, penindasan, penganiayaan, penderaan yang pernah disaksikannya dan ada juga yang dialaminya. Dan wadah pendidikan dan dokumentari itulah menjadi pilihannya – sesuatu yang sukar diterima kaum kerabatnya kerana anak hingusan, anak yatim yang pernah hidup susah ini telah memulakan jejak-jejaknya di pesisiran.

Namun, lebih daripada segala-galanya, pengalaman-pengalaman silam itulah yang mengobori jiwanya agar berani meneroka, membaca seluas-luasnya dan prihatin serta melibatkan diri dalam hal-hal kebajikan awam. Azadiah teringat betapa sesetengah guru, guru agama dan pensyarahnya gemar menanamkan nilai-nilai keprihatinan itu, bukan setakat kepada mereka yang berada di Singapura, malah mereka di rantau ini dan dunia. Dia teringat juga orang-orang seperti Dr Ang Swee Chai. Dan dia tidak akan lupa bagaimana neneknya, sejak kecil lagi, suka bercerita dan berbincang mengenai permasalahan masyarakatnya dan dunia, walaupun pembacaan neneknya terbatas kepada akhbar, majalah dan buku bertulisan Jawi sahaja. Neneknya sering mengingatkannya kisah-kisah zaman dahulu, dari zaman Rasulullah (SAW) dengan pelbagai pembaharuan demi kemaslahatan semua. Dan kerana neneknya telah melalui zaman perang, suka membantu orang dan yakin setiap orang itu ada kebaikannya dan boleh menyumbangkan sesuatu yang bererti kepada kehidupan, Azadiah telah dibesarkan dengan nilai-nilai sedemikian, meskipun mereka hidup serba sederhana dan kekurangan.

Gambar dan video yang disaksikan begitu menyentuh hatinya. Inikah akibat peperangan, pengganasan dan kecuaian kita? Beginikah kita akhirnya? Setakat bunuh membunuh, benci membenci dan dipisahkan oleh pelbagai anasir jahat dan kejam yang mencarik-carik kemanusiaan kita? Demikian mercupnya pelbagai jenis peperangan dan pengganasan dan mangsanya manusia dan kemanusiaan. Bagaimana dapat dilenyapkan dari ingatan gambaran-gambaran yang sering terkilas – apabila kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan rakyat jelata menjadi mangsa, dibaham perang, diseludup, diperdagang, dicabuli, diinjak maruahnya, dijadikan pelarian, mati lemas atau terdampar kaku di tepi pantai, ditindas, dianiaya, dizalimi, dilucutkan hak asasinya kerana peperangan, pengganasan dan juga bencana alam? Bagaimanakah Azadiah dapat melupakan gambaran-gambaran ini yang seakan mengekori kehidupannya yang semakin selesa?

Ketika dia meninggalkan kerjaya gurunya dahulu, perkataan ‘gila’ sering terdengar di kalangan kaum kerabatnya, terutamanya dicanangkan oleh Abang Man dan Kak Jenah. Seolah-olah langkah hidupnya menjejas mereka pula.  Tetapi  nenek dan kakaknya sekeluarga faham. Azadiah bukan melepaskan tanggungjawabnya, dia sekadar melorongkan kehidupannya ke arah baharu, yang lebih bermakna dan mencabar, sekurang-kurangnya itulah yang diharapkannya. Simpanannya mencukupi, segala keperluan neneknya telah disediakan dan Azadiah yakin, penglibatannya dalam usaha-usaha kebajikan boleh dijadikan tumpuan sepenuh masa pula. Dia semakin bebas bergerak, menyeleras dan mengajar di khemah-khemah bencana alam dan pelarian selain menyiapkan dokumentari mengenai hal-hal sedemikian. Dia bergerak di Singapura dan di rantau ASEAN dan terasa jiwanya semakin bersemangat untuk membantu pelbagai musibah yang melibas kemanusiaan.

“Mak doakan Aza sentiasa selamat, Nak,” Nenek Timah yang dibahasakan dirinya ‘mak’, meluahkan isi hatinya.

“Walaupun Mak sedih Aza jauh daripada Mak, Mak tetap doakan yang terbaik untuk Aza. Aza jangan bimbang, Kak Ijah sekeluarga akan menjaga Mak dengan baik. Itu Mak yakin. Dan Mak yakin Allah akan sentiasa menjaga kita, Nak” air mata Nenek Timah menitis semasa mengucapkan itu.

Telah lama mereka berbincang mengenai hal tersebut dan Azadiah masih ragu membuat keputusan. Nenek Timahlah yang lebih teguh, mahu Azadiah lebih berani mencorak masa depan. Kasih sayangnya kepada cucunya tidak berubah, malah bertambah dan bercambah untuk kemaslahatan yang lebih besar, walaupun air mata tetap mengiringi restunya.

Kahwin? Biarlah apa pun orang hendak kata, dia tahu hati budi cucunya. Dia tahu Azadiah pernah benar-benar kecewa tetapi dia tahu juga Azadiah seorang Muslimah yang pandai menjaga diri dan maruahnya. Kalau masanya tiba, akan ada juga jodohnya, kalau tidak, Allah akan menjaganya. Nenek Timah tidak pernah risau mengenai hal tersebut dan tidak merungsingkan fikirannya mengenai caci umpat sesetengah orang, kerana dia hanya boleh menutup mulut tempayan. Caci umpat mereka kini, seperti caci umpat mereka ketika Nenek Timah hidup susah membesarkan cucu-cucunya, tidak menjadi kudis kepadanya. Akhirnya semuanya ditepis dan diserahkan kepada Allah.

Apakah aku benar-benar ikhlas melakukan ini atau mengejar nama, lagi bisik hati Azadiah. Mudah-mudahan apa pun yang kulakukan dalam hidup ini, aku sentiasa ikhlas. Nama? Itu tidak pernah menjadi pertimbanganku. Atau kenangan-kenangan silam itukah yang turut mencorak dan menyimpulkan keputusannya? Azadiah teringat bagaimana ketika menumpang di rumah beberapa kerabatnya, ada yang mengambil kesempatan mempergunakan tenaganya, kakak dan neneknya sewenang-wenangnya, memperlekeh, menindas, menghina, mendera dan membezakan mereka. Ini terlebih-lebih lagi apabila ada majlis perkahwinan dan keramaian.

Dan yang paling sukar dilupakan sebenarnya adalah peristiwa-peritiwa pahit yang menjadami zaman kanak-kanak dan remajanya. Neneknya hanya mengetahui hal tersebut lama kemudiannya. Tetapi pelaku-pelaku hal tersebut begitu berkuasa, bersikap talam dua muka dan mudah mengetepikan bantahan orang tua seperti neneknya. Mungkin hal ini merupakan calaran terbesar kehidupan Azadiah; dia tidak mahu kanak-kanak, remaja dan wanita direntap kesucian mereka seenaknya kerana mereka tidak punya kuasa atau kekuatan melawan pencabul mereka. Seolah-olah kesucian dan rasa terlindung golongan ini ingin Azadiah kembalikan sebagaimana dia ingin kenangan sedemikian tidak lagi mencalari kehidupannya.

Perkara-perkara sebeginikah yang mengaspalkan lorong kehidupannya selanjutnya? Tidak. Bukan hanya kerana dicalar kenangan-kenangan silam. Bukan. Dalam usia 31 tahun, banyak yang telah dilalui dan hadaminya. Lingkaran kemiskinan itu telah diputuskan. Dia bahagia, kecewa, riang dan menderita. Jodoh? Dia tidak gusar mengenainya, ada atau tiada, Allah lah penentunya. Nenek dan Kak Ijah sekeluarga semakin menanjap di hatinya. Dan kasih sayang merekalah, selain nilai-nilai yang disemai oleh datuk dan neneknya, dan juga sebilangan guru, guru agama dan pensyarahnya kini semakin tumbuh dan merimbuni penglibatannya. Dan gambaran-gambaran menyengat, pilu dan duka yang seakan menghakis nilai-nilai kemanusiaan bersama itu akan selamanya mengguris tangkai hati dan menyuluhi nuraninya.

Azadiah tahu neneknya berlapang dada. Demikian lama penantian itu, akhirnya kepasrahan itu tetap menitiskan air mata. Dia melihat neneknya lama sujud dan berdoa di sejadah. Dan dia tahu, lebih daripada segala-galanya, kebimbangan neneknya bukan kerana kehendak peribadi tetapi lebih kerana neneknya bimbangkan keselamatannya. Tetapi dia yakin ajal maut itu di tangan Allah. Dan seperti perahu yang lama telah dipersiapkan, dia tahu neneknya reda melepaskannya kerana perahu itu harus belayar ke laut dan lautan kehidupan yang semakin luas lagi terbuka.

Dunia kita semakin mengecil, walaupun jauh di mata, kini tidak terlalu sukar bersembang dengan orang-orang tersayang di alam maya. Azadiah tahu teknologi tidak dapat menggantikan kehadiran seseorang tetapi ia juga dapat merapatkan yang jauh, mengakrabkan hubungan yang rapuh. Dan Azadiah tahu di mana pun dia berada, teknologi dan jiwanya akan senantiasa mendekatkannya kepada orang-orang yang disayanginya.

Pesawat itu akan membawa Azadiah ke negara-negara yang digolakkan peperangan, pengganasan dan akibat-akibatnya yang menggelapi kemanusiaan di Eropah dan Timur Tengah. Dia akan bekerja dengan badan-badan bukan pemerintah dan cabang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di khemah-khemah pelarian, selain membuat dokumentari semasa. Walaupun pergi bersendirian, Azadiah tidak keseorangan; dia akan ditemani rakan-rakan sekerja dari rantau Asia dan lainnya di sana.

Sauhnya telah diangkat dan perahunya akan belayar. Dia akan meninggalkan orang-orang dan tanah air yang disayang. Ini hanyalah langkah permulaan, bisik hati Azadiah. Hanya jejak-jejak awal di pesisiran untuk menemui laut dan lautan, teluk dan tanjung, benua dan tanah besar sebuah kehidupan dan penglibatan.

Ditulis: 20 – 21 Disember 2016
Tersiar: Antologi Catatan Perjalanan, Singapura: Marshall Cavendish, 2017
Tulisan: Rasiah Halil.