Usah Lupa Adab Ketika Perluas Rangkaian [Tajuk Asal: Salahguna Rangkaian Dan lain-lain]

Dalam dunia perniagaan, para peniaga digalakkan membina rangkaian atau networking. Ini selari dengan amalan perniagaan bahawa tiap pertemuan itu mungkin melorong ke arah perniagaan. Ini tidak bermakna kita harus berhubung dengan cara yang tanpa adab atau integriti. Dilihat daripada perspektif yang positif, networking seharusnya memanfaatkan kedua-dua pihak yang menjalankan sesuatu perniagaan. Tapi jika disalahgunakan, ia boleh menimbulkan gejala-gejala negatif seperti ‘mengipas’, ‘mengampu’ dan sebagainya.

Senario ini mungkin telah anda temui. Anda bersama seorang rakan yang ada bisnes sendiri. Dia terjumpa seorang kenalan lama yang juga ada bisnes. Mereka bercakap dan melibatkan anda dalam percakapan mereka. Di akhir pertemuan itu, kenalan rakan anda tadi memberi kadnya bukan hanya kepada rakan anda malahan kepada anda juga, walaupun anda tak ada kena mengena dengan dunia niaga mereka atau dunia niaga secara umum. Dia melakukan itu kerana adab; anda telah bersamanya sejak tadi takkanlah diberi kadnya kepada rakan anda dan tidak pula kepada anda. Selain ini, secara tidak langsung dia juga meluaskan networkingnya. Yang ketara, orang ini tidak pula memandang ‘rendah’ kerana anda mungkin tidak akan memanfaatkannya dari segi bisnes.

Sekarang bayangkan senario yang sebaliknya. Anda bersama rakan anda yang mempunyai bisnes atau kedudukan tinggi. Dalam sibuk anda berbual, seseorang tiba-tiba mendekati rakan anda. Rupa-rupanya orangnya memang anda berdua kenal. Tetapi kerana rakan anda ada kedudukan yang boleh dimanfaatkan orang ini, dia hanya bercakap dan memberi kadnya kepada rakan anda dan berlagak seolah-olah tidak begitu mengenali anda. Yang difikirkan ialah membina rangkaian; yang dia lupakan ialah adab berhubung di antara manusia dan kesopanan. Dan anda teringat satu masa dulu ketika bidang kerja anda dianggap membawa semacam status, orang yang sama ini sanggup menyeberang jalan hanya untuk berkata ‘hai’ kepada anda! Ternyata makna sebenar membina rangkaian bagi orang sebegini hanya sekadar dorongan kepentingan; unsur kemanusiaan itu bagai terpinggir di tepi jalan.

Mengapa Sri berpanjang lebar pasal ini ? Kerana nampaknya gejala ini agak menonjol di kalangan kita kini. Networking banyak disalahgunakan sehingga tiap orang yang kita berhubung’ kita hanya melihat apakah manfaat yang boleh kita dapati daripada orang tersebut. Soal persaudaraan, persahabatan atau sekadar adab hubungan kemanusiaan boleh saja diketepikan atau dijadikan nilai dagangan. Semua bagaikan suatu transaksi. Kadangkala perbuatan orang-orang sebegini begitu tanpa segan silu. Ketika anda memegang sesuatu jawatan/kedudukan yang boleh memanfaatkan mereka, bukan main mereka mendekati anda tetapi bila anda diberi tugas yang berbeza, walaupun masih di dalam satu jabatan, tetapi mungkin kurang memanfaatkan mereka, dengan cepat tegur sapa mereka kepada anda menjadi semakin ringkas dan sedikit demi sedikit hilang. Dan bila tugas lama anda itu anda jawat kembali, mulalah mereka merapati anda.

Satu lagi gejala yang berhubung dengan gejala negatif ini disebut name-dropping. Memang dalam beberapa bidang pekerjaan, ada di antara kita tentunya mengenali ramai orang. Demikian juga mereka yang berpengalaman luas. Tetapi bezanya, orang yang suka lakukan name-dropping akan cuba menonjolkan ‘kehandalan’nya melalui siapa yang dia kenal, walaupun orang yang dikenal itu sekadar sepintas lalu. Lebih ramai orang ternama yang dia ‘kenal’ tentulah dia lebih hebat. Orang begini juga akan sedia menonjol-nonjolkan diri mengenai misalnya acara-acara yang telah dia libati, tempat-tempat yang dia lawati, buku-buku yang dia baca, tokoh-tokoh yang menjadi kawan-kawan rapatnya, segala ‘pencapaian’nya dan lain-lain. Bezanya orang-orang yang tiada kompleks begini, kalaupun dia berkata dia kenal si polan tokoh tertentu, atau menghujahkan idea ilmiah atau tempat-tempat yang dia terdidik atau lawati, semua disampaikan bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk menjelaskan fakta. Ilmunya mungkin lebih daripada kita tetapi lagaknya tidak seperti orang yang ada kompleks tadi.

Kawan-kawan Sri ada yang berkata, kadangkala tak tahan bekerja dengan orang yang berkompleks name-dropping/networking begini. Baru saja turun tanah misalnya dia anggap dia dah boleh jadi panglima. Baru sikit-sikit bantu misalnya bidang fotografi, dia anggap dia dah pakar. Semua soroton /angle dalam bidang fotografi tadi kononnya dia tahu walhal yang lebih tahu kadangkala segan nak membebelkan kepada khalayak tentang kebolehan mereka. Mungkin gejala ini ada kaitan dengan teknologi canggih – semuanya serba cepat dan sesiapa pun boleh mengisytiharkan ‘kebolehan’diri masing-masing walaupun apa yang sesetengah anggap ‘kebolehan’ itu sebenarnya seperti kata orang Jawa: tidak berbobot dan sekadar omong kosong saja.

Sri yakin masa nanti adalah penilai sebenar dan akan menunjukkan siapa sebenarnya ‘kaca’ dan siapa pula ‘permata’ walaupun networking dan name-dropping yang dilakukan sesuatu pihak begitu hebat sehingga tak tahan kita dibuatnya.

Ditulis: 12 Jun 2001
Tajuk Asal: Salahguna Rangkaian Dan Lain-lain
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 24 Jun 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment