Tawakallah, Bersama Susah Akan Datang Kesenangan

Seorang kawan Sri menelefon Sri beberapa bulan lalu memberitahu bahawa dia sekarang sibuk dan tak cukup masa untuk melakukan beberapa perkara seperti yang dirancangkan. Kawan Sri ini bekerja di sektor swasta dan sejak beberapa bulan lalu kerjanya bertambah. Dia kini pulang ke rumah agak lewat kerana tugas tambahan itu. Syarikatnya cuba menjimatkan kos dengan meniadakan pekerja kontrak/sambilan dan menambah tugas pekerja sepenuh masa dengan diberi sedikit gaji tambahan. Kawan Sri selalu kepenatan tetapi bersyukur kerana dia masih ada pekerjaan. Keistimewaan kawan Sri ini, selain menjadi pekerja yang rajin dan dipercayai ialah dia tidak jemu meningkatkan dirinya. Bermula dari bawah, dia dapat menapak satu persatu tangga dalam kerjayanya kerana kejujurannya dan keinginannya untuk terus menambah kemahirannya Dan dia beruntung majikannya berlapang dada memberi peluang baginya meningkatkan dirinya.

Sebelum peristiwa 11 September, suasana murung telah terasa di sana sini. Setelah peristiwa itu, kemurungan ini makin terserlah lagi. Orang tidak berbelanja seperti dahulu; di kedai-kedai makan, pelanggannya bukan hanya berkurang malah tidak muai memesan makanan. Di pusat membeli-belah juga demikian. Anda perhatikan orang membelek-belek barang atau membuat tempahan, tapi duit cengkeramnya mahu diberi bukan pada saat itu tetapi minggu hadapan. Hasrat membeli ada, tetapi kemampuan kita semakin berkurangan. Benar seperti yang sering kita dengar: wang tunai itu ‘raja’ ketika ini.

Charles Handy, seorang profesor ekonomi dari London, pernah diajukan formula untuk meningkatkan daya penghasilan dan menjimatkan kos perniagaan: iaitu ½ x 2 x 3, ertinya jadikan separuh tenaga pekerja anda, bayar para pekerja ini 2 kali gaji mereka tetapi suruh mereka kerja 3 kali ganda! Tentunya formula ini ditolak oleh Prof. Handy kerana menjimatkan kos atau meningkatkan penghasilan tidak pula bererti unsur kemanusiaan itu dihilangkan. Kita belum pula menjadi robot seperti Haley Osment dalam filem A.I..

Namun, dalam suasana tidak menentu ini memang banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Sesuatu yang amat sukar dihadapi oleh sesiapa ialah dibuang kerja atau terpaksa berhenti kerana keadaan-keadaan yang mendesak. Ini boleh menimbulkan semacam kemelut bagi orang tadi kerana dalam banyak hal dia akan berasa bersalah kerana pemberhentian kerja itu. Dia akan fikirkan tanggungjawabnya kepada keluarga, keperluan-keperluan hidup yang harus dipenuhinya dan harga dirinya yang kian rapuh. Kalaupun dia tiada tanggungjawab kecuali terhadap dirinya, dia akan fikirkan pembangunan diri dan kerjayanya yang terbantut kerana peluang yang semakin tertutup. Persoalannya bukan sekadar pasal wang tetapi potensi yang dicerutkan keadaan.

Bukan mudah memanjangkan harapan dalam suasana yang tidak menentu ini. Tetapi suatu keistimewaan manusia ialah kebolehannya untuk keluar dari kongkongan-kongkongan hidupnya dan pelaziman (conditioning) yang pernah dialaminya. Untuk terus berputus asa atau menganggap diri kita sebagai mangsa keadaan memanglah lumrah. Untuk bersedih dan menjadi murung memanglah wajar. Tetapi seperti kata orang tua-tua dan para psikologis, keadaan ini mesti ada batas waktunya. Bersedihlah, jika perlu, untuk beberapa bulan, tetapi selepas itu kita harus berani teruskan kehidupan, betapa pahit pun yang kita alami.

Tidak semua yang dinafikan dari hidup kita itu buruk untuk kita sama seperti tidak semua yang kita perolehi baik untuk kita. Keduanya disaluti oleh soal amanah dan ujian bagi menilai kesabaran dan kesyukuran kita terhadap pemberian Allah. Dan Sri amat yakin akan firman Allah bahawa Dia tidak akan memberati sesuatu jiwa melainkan apa yang sanggup ditanggungi oleh jiwa tersebut. Apa yang nampak sukar pada waktu ini akan kelihatan mudah di suatu masa, insya-Allah.

Mereka yang pernah mengalami kesukaran tahu kerana proses itu mereka semakin diteguhkan dan apa pun terjadi, mereka tidak akan patah semangat atau gentar. Stamina mereka telah dibentuk oleh kesukaran tadi. Untuk meningkatkan stamina ini kita terpaksalah menjadi lebih optimistik, muhasabah diri, tabah, berani mencuba dan berani membuat injakan paradigma terhadap kerjaya dan kehidupan kita.

Banyak perkara boleh menyedihkan kita tetapi sesekali kita haruslah bersyukur anugerah kehidupan ini masih boleh kita nikmati walaupun pada pandangan orang ia kelihatan tidak sesempurnanya. Betapa sedih atau sukarnya hidup kita, masih wujud banyak perkara yang boleh menyenangkan kita, kalau kita sedia memerhatikannya. Yang kelihatan kecil itu kadangkala amat besar ertinya, walaupun orang lain kurang menghargainya. Hanya mereka yang pernah mengalami amat maklum betapa benar firman Allah dari Surah al-Insyirah yang bermaksud: sesungguhnya bersama kesusahan itu akan datang kesenangan.

Mahatma Gandhi ketika menghadapi zaman-zaman sukarnya berkata: ‘Mereka boleh mematahkan tulang-belulangku, tapi mereka tak boleh mematahkan semangatku’. Dan Nabi saw pernah berpesan, sebagai orang Islam kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah. Baginda juga mengingatkan: ikatlah untamu dan tawakallah kepada Allah. Biarlah kita kini berpenat-lelah mengikat unta, agar manisnya makna tawakal itu diberi Allah.

Ditulis: 16 Oktober 2001
Tajuk Asal: Memanjangkan Harapan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 21 Oktober 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment