Kita Dan Dunia Niaga

masjid_hajjah_fatimah_singapore_-_20101016-051masjid-hajjah-fatimah-di-beach-road-singapura
[Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road, Singapura, yang didirikan oleh seorang peniaga dan dermawan tersohor, Hajah Fatimah binte Sulaiman, hidup pada abad ke 18 – 19 Masihi.]

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sudah pun memberikan anugerah usahawan, usahawan wanita dan usahawan muda kepada 3 orang usahawan baru-baru ini. Seperti kebanyakan orang, kita turut bergembira dengan pencapaian ketiga-tiga orang ini dan berharap perniagaan mereka akan bertambah maju pada tahun-tahun mendatang. Dan kita juga berharap lebih ramai anggota masyarakat kita akan meneroka bidang perniagaan sebagai kerjaya mereka, pandai mencari tukikan, tabah dan tekal dalam usaha mereka.

Tetapi bukanlah mudah menceburi bidang perniagaan. Ada orang baru melangkah satu dua tapak, dah kecundang. Ada yang dapat publisiti besar-besaran, tetapi selepas satu dua tahun, perniagaannya hancur kerana kurang tumpuan atau strategi perniagaan. Tidak kurang pula ada yang hanya terjun botol atau terikut-ikut kawan atau saudara, tanpa persiapan yang cukup. Atau ada pula, setelah menceburi satu-satu bidang perniagaan, baru mengetahui bidang tersebut benar-benar tidak sesuai baginya. Pendek kata, kalau kita benar-benar serius, dalam apa bidang pun, setiap kegagalan itu sebenarnya adalah suatu ‘lengkungan pembelajaran’ kerana kita menjadi lebih celik kerananya dan mudah-mudahan lebih bijak melakar langkah seterusnya.

Ada orang menganggap menceburi bidang perniagaan itu berpunca dari faktor keturunan. Kalau anda daripada keturunan tertentu, sudah pasti anda boleh berjaya dalam perniagaan. Tetapi ternyata ini tidak benar; kalau benar, semua orang daripada keturunan tersebut akan menjadi peniaga yang berjaya. Betapa pun anda daripada keturunan para peniaga, jika anda tidak bersungguh-sungguh, menyusun strategi, membina rangkaian, mendapat peluang, mempunyai modal, berani mengambil risiko dam sebagainyal, anda juga tidak akan berjaya. Berasal daripada keluarga peniaga mungkin memudahkan anda menceburi sesuatu bidang perniagaan, ibarat terbukanya sebuah pintu dalam sebuah gedung atau bangunan; sama ada anda terhenti di pintu pertama atau terus sampai ke tingkat teratas, banyak bergantung kepada diri anda, peluang dan sokongan yang anda terima.

Ada anggota masyarakat kita memandang sedikit serong terhadap peniaga. Pandangan serong itu timbul mungkin kerana ada peniaga-peniaga ini jenis tidak jujur atau amanah, sanggup menggadaikan integriti dan maruahnya demi mendapatkan keuntungan. Yang tak baik pun boleh jadi ‘baik’, bagi  peniaga jenis begini, dan etika Islam dalam perniagaan, langsung tidak diendahkan. Dalam filem, pembacaan atau pergaulan, kita bertemu juga dengan peniaga berjaya yang lekas  lupa daratan bagaikan Si Tenggang atau yang amat kedekut umpama Haji Bakhil. Malah, bertemu orang-orang sebegini, kita menjadi mual dan tak mahu jadi seperti mereka. Padahal, salahnya bukan bidang perniagaan, tetapi orang tersebut dan ketiadaan etika dalam hidupnya. Dalam Islam, tiada salahnya menjadi peniaga yang kaya raya asalkan kita tidak melupakan prinsip-prinsip Islam dan kekayaan itu bukanlah matlamat terakhir kita. Di kalangan para sahabat Nabi saw terdapat ramai peniaga, yang sanggup berkorban harta untuk kemaslahatan umum.

Sri juga pernah terdengar orang berkata: ‘Alah, orang Melayu, mana pandai berniaga’. Kata-kata ini membuat andaian bahawa ada orang memang pandai atau semula jadi pandai berniaga. Kalau kita kaji sejarah terdapat beberapa bidang perniagaan orang-orang Melayu misalnya dalam bidang pertukangan rumah, perahu dan kapal, pengusaha emas, intan, berlian, ukiran, pakaian, persenjataan, makanan, peladangan, penerbitan dan lain-lain. Zaman moyang dan datuk Sri dulu, ada saudara-mara Sri yang mempunyai perusahaan rotan, perusahaan produk kulit dan sebagainya. Ada di kalangan peniaga zaman tersebut menjadi terkenal misalnya Haji Embok Suloh (Haji Ambo Sooloh). Dan sebilangan peniaga Melayu-Islam yang berjaya ini banyak pula menyalurkan kelebihan harta mereka ke bidang-bidang kebajikan untuk masyarakat tempatan dan luar negara.

Ada orang berkata, orang Padang/Minang pandai berniaga maklumlah mereka pandai dagang (pa+dang). Ada kajian menunjukkan bahawa kerana orang Minang dulu mengamalkan sistem matrilineal iaitu hanya perempuan yang mewarisi harta ibunya, yang lelaki terpaksa mencari harta sendiri, lantas berniaga menjadi pilihan mereka. Sama ada ini betul atau tidak, yang jelas, ada faktor-faktor yang mendorong kita menceburi bidang perniagaan. Bukan keturunan, tetapi pelaziman (conditioning); anda terbiasa melihat keluarga anda berniaga, besar kemungkinan anda juga akan menceburi bidang tersebut. Dan pelaziman atau pendedahan sebegini boleh diadakan oleh sesiapa saja dengan pelbagai caranya. Seandainya pemikiran kita hanya tertumpu pada hal-hal hendak makan gaji, kerja tetap pada waktu, tak mahu berfikir di luar takuk lama, pakai nampak susahlah hendak hidupkan semangat berniaga. Kita perlukan keberanian, modal, perancangan dan ilmu untuk menghidupkan sesuatu perniagaan. Tapi ilmu itu biarlah ilmu-ilmu perniagaan dan bukan ilmu hitam kerana ada sesetengah masyarakat kita masih percaya hal-hal sebegini untuk memajukan perniagaan. Allahyarhamah Hajah Fatimah Sulaiman (antara peninggalan beliau, Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road, Singapura – Allahyarhamah seorang peniaga dan dermawan terbilang pada abad ke-18 – 19 Masihi) dan Hajah Maimunah (Allahyarhamah ada syarikat haji dan restoran), Md Salleh Marican, Umar Abdul Hamid dan lain-lain, adakah mereka berjaya kerana ilmu-ilmu khurafat itu atau kepintaran mereka dalam ilmu niaga, kesungguhan dan kesabaran mereka dalam mengejar impian hidup mereka?

Pokoknya, dalam bidang perniagaan, kita mesti ada pengetahuan, perancangan dan keberanian untuk menjayakannya dan tidak seperti kesilapan sebilangan peniaga silam kita, kita juga harus melatih anak-anak kita untuk benar-benar mengenali bidang niaga sebagai penerus kejayaan keluarga kita.

Ditulis: 15 September 2004
Tajuk Asal: Kita Dan Dunia Niaga (teks yang tersiar, hilang dalam simpanan saya)
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu pada September 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Leave a comment